Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ken Block kini kembali berlumba bersama Subaru

    Ken Block kini kembali berlumba bersama Subaru

    KEN BLOCK BACK IN A SUBARU FOR 2021 RALLY SEASON

    Selepas berpisah secara rasmi dengan Ford awal tahun ini, pemandu rali dan juga bintang YouTube Ken Block mengumumkan bahawa dia kembali semula untuk bertanding dalam Kejuaraan Rali Nasional Amerika tahun ini. Block berlumba di bawah pasukannya sendiri iaitu Hoonigan Racing Division, dengan Subaru WRX STI yang disokong terus oleh Subaru Motorsport USA menerusi Vermont SportsCar.

    Ini merupakan kali pertama Block memandu semula bersama Subaru selepas 12 tahun meninggalkan jenama berkenaan dan bekerjasama dengan Ford dalam perlumbaan dan juga pelbagai projek termasuk video-video Gymkhana yang disiarkan di Youtube. Block masih lagi berpasangan dengan juruarahnya, Alex Gelsomino.

    Block akan berlumba dalam enam pusingan kejohanan rali berkenaan, bermula dengan Olympus Rally yang berlangsung pada hujung minggu ini. “Sangat bagus kerana dapat berkerja kembali dengan Vermont SportsCar. Saya sangat kagum dengan WRX STI terbaharu mereka selepas mengujinya sehari selepas saya menghabiskan rali 100 Acre Wood di tempat kedua,” kata Block.

    Sebelum ini, Ken Block bukan sahaja menghasilkan dua video Gymkhana pertama dengan Subaru, malah dia turut memulakan karier dan bertanding secara kompetitif dalam kejohanan rali Amerika bersama jenama Jepun tersebut sejak 2005, sehingga kali terakhir kerjasama kedua pihak adalah pada tahun 2013.

    “Saya tentunya hanya underdog dalam musim ini. Ini merupakan kereta yang baru sepenuhnya untuk saya, dan Travis Pastrana telah memenangi dua rali untuk tahun ini, dengan kereta lumba yang telah dipandu selama berberapa tahun,” kata Block dan menanbah bahawa dia dan Alex perlu bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan cepat terhadap jentera berkenaan dan memberikan segala yang terbaik.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti kontraknya bersama Ford, Block masih bebas untuk projek-projek lain yang tidak berkaitan dengan Subaru. Oleh itu, Ken Block juga bakal beraksi selama sembilan hari di East Africa Classic Rally dengan jentera rali klasik Porsche 911 yang dibina oleh Tuthill Porsche, dan kemudian dia akan ke Mexico untuk berlumba dalam Baja 1000.

     
     
  • VIDEO: Mitsubishi Triton Athlete 2021 — makin kental?

    Mitsubishi Triton walaupun sudah lama versi generasi semasanya berada dalam pasaran, masih tetap ingin bertahan. Belum ada pengenalan model generasi baru; paling hampir ialah facelift yang agak ketara dilakukan pada tahun 2019 untuk pasaran tempatan.

    Kini hadir pula versi terbaru yang dikemaskini, dengan pengenalan Triton Athlete yang kini menggantikan varian Adventure X sebelum ini. Dengan aspek mekanikal yang masih kekal sama — misalnya dengan enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan janaan 181 PS dan 430 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem Super Select 4WD-II dengan kawalan menuruni curam.

    Kelebihannya, banyak pertambahan kelengkapan diberikan kali ini, selain perubahan pada penampilan luaran yang kini datang dengan kemasan hitam menggantikan krom.

    VIDEO: Mitsubishi Triton Athlete 2021 — makin kental?

    Bagi aspek keselamatan, Triton Athlete datang dengan pelbagai ciri maju yang mendahului segmennya. Ini termasuklah Forward Collision Mitigation (FCM), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist (BSW with LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Auto High Beam (AHB) dan tujuh beg udara. Triton paling lengkap ini juga datang dengan peninjau 360-darjah (untuk parkir), dashcam dan skrin sentuh 7.0-inci dengan sokongan AppleCarPlay dan Android Auto sebagai ciri standard.

    Kami meluangkan masa bersama trak pikap ini selama dua hari dan menjelajah ke laluan berturap biasa dan juga off-road di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik untuk menyegarkan semula ingatan tentang kemampuan trak ini. Untuk itu, pandangan kami tentang penawaran serta kelebihan serta kekurangannya disajikan dalam video ini.

     
     
  • Hongqi S9 PHEV — 1,400 hp, 0-100 km/j 1.9 saat

    Hongqi S9 PHEV — 1,400 hp, 0-100 km/j 1.9 saat

    Hongqi S9, sebuah hypercar mewah yang direka oleh Walter De Silva kini sudah pun didedahkan. Ini merupakan model pertama dari siri S yang akan diperkenalkan kelak, dan pengeluarnya, Silk-FAW akan mula mengambil tempahan dalam masa terdekat.

    Spesifikasi teknikal terperinci berkenaan kereta ini bagaimanapun masih belum dihebahkan, namun ia bakal dilengkapi janaan elektrifikasi dengan enjin 4.0 liter V8. Janaan keseluruhannya dijangka memiliki 1,400 hp, dan jentera dengan pacuan empat-roda ini disifatkan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 1.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 400 km/j.

    Hongqi S9 PHEV — 1,400 hp, 0-100 km/j 1.9 saat

    Menurut pengeluarnya, kereta ini akan menjadi model kompak, ringan dengan e-gandar yang paling cekap dalam pasaran. Akan ada tiga mod pemanduan yang akan disediakan, termasuk elektrik sepenuhnya untuk pemanduan dalam bandar. Pek baterinya pula dijangka memberikan jarak 40 km dengan satu cas penuh, namun angka ini belum disahkan.

    Rekaannya bagaimanapun tidak ada iras model konsepnya yang pernah ditunjuk sebelum ini, selain pada bahagian bumbung. Ia mempunyai “ekor” yang panjang dengan spoiler belakang adaptif, port udara di sekitar lampu LED belakang, ruang masukan udara gentian karbon yang bersepadu dengan lampu utama serta kerangka “space frame”.

    Hongqi S9 PHEV — 1,400 hp, 0-100 km/j 1.9 saat

    Belum ada gambar untuk bahagian dalaman yang diedarkan, namun pengeluar menyatakan kabinnya direka untuk memberikan keselesaan maksimum. Antara yang dikhabarkan turut disertakan ialah tiga paparan skrin sentuh; dua untuk pemandu dan satu untuk penumpang. Tidak ketinggalan sistem lampu suasana kabin dan cermin tingkap elektrokromatik.

    Hanya 99 unit hypercar ini akan dikeluarkan, dengan kumpulan pertamanya dijangka akan mula diserahkan pada tahun 2022. Harga asasnya pula bermula dari 10 million yuan (RM6.3 juta). Pengeluarannya akan dilakukan sama ada di daerah Emilia-Romagna di Itali atau di Jilin, China.

     
     
  • Toyota Crown Kluger muncul di China – 2.5L hibrid

    Toyota Crown Kluger muncul di China – 2.5L hibrid

    Selepas terdedah dalam dokumen homologasi China, Toyota Crown Kluger 2021 akhirnya ditunjukkan secara rasmi sewaktu Shanghai Motor Show 2021. Walaupun begitu, masih banyak perincian SUV ini masih belum didedah dan hanya beberapa gambar sahaja yang boleh diperoleh.

    Apa yang diberitahu dan diketahui setakat ini cuma ia digerakkan oleh enjin hibrid 2.5 liter dengan sistem pacuan semua roda, dan dibina atas platform TNGA-K yang sama seperti Highlander pasaran Amerika Syarikat (AS). Media di China ada melaporkan, enjin Kluger ini mampu menghasilkan 189 hp, dan ini lebih rendah berbanding 240 hp yang dihasilkan oleh Highlander berenjin sama.

    Berdasarkan dokumen homologasi yang bocor itu pula, kita boleh mengetahui bahawa Crown Kluger menggunakan tiga baris tempat duduk dan mempunyai ukuran 5,015 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,750 mm tinggi dan jarak roda 2,850 mm. Rim bersaiz 18 inci, tapi masih terdapat pilihan saiz lebih besar, sehingga 20 inci.

    Selain Crown Kluger 2021, Toyota juga memperkenalkan Highlander 2021 untuk pasaran China. Perincian teknikalnya mungkin sama, tetapi penampilannya ada sedikit kelainan dan boleh dilihat pada muka hadapannya. Bukaan udara bawah pada Kluger lebih menghampiri rekaan seperti sedan Crown.

    Kelengkapan Crown Kluger dan Highlander pasaran China ini juga masih belum didedah, tetapi jika melihat model pasaran AS, ia mungkin boleh ditawarkan dengan pakej Toyota Safety Sense 2.0 yang termasuk Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection (PCS w/PD), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert dengan Steering Assist (LDA w/SA), Automatic High Beam (AHB), serta Lane Tracing Assist (LTA) dan Road Sign Assist (RSA).

    GALERI: Toyota Crown Kluger yang terdedah dalam dokumen homologasi

    GALERI: Toyota Highlander pasaran AS

     
     
  • Thailand rancang untuk haramkan kereta petrol dan diesel baru pada 2035, tumpu jualan kereta elektrik

    Thailand rancang untuk haramkan kereta petrol dan diesel baru pada 2035,  tumpu jualan kereta elektrik

    Kita sudah tahu bahawa pelbagai negara Eropah dan mungkin termasuk Jepun akan mengharamkan terus penjualan kereta baharu berkuasa bahan api fosil menjelang tahun 2030 nanti. Tapi ini sesuatu yang lebih mengejut – negara jiran kita, Thailand juga nampaknya bakal mengambil langkah berani yang sama untuk mengharamkan jualan kereta petrol dan diesel hanya sedikit lewat iaitu pada 2035.

    Tidak hairan mengapa negara Gajah Putih berkenaan berani untuk mengumumkan rancangan berkenaan kerana sejak berberapa tahun kebelakangan ini Thailand dilihat begitu aktif bersaing dengan Indonesia bagi mengalihkan industri automotif mereka lebih ke arah elektrifikasi.

    Halatuju mereka jelas dengan mengumumkan pelbagai rancangan untuk memproduksi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan juga pengilangan bateri serta membangunkan infrastruktur untuk penggunaan kereta berkuasa elektrik penuh.

    Terbaharu, Thailand telah mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk hanya menjual kenderaan bebas emisi di negara berkenaan bermula 2035, selari dengan rancangannya bagi menjadi hab untuk produksi EV bagi rantau Asia Tenggara, lapor Bloomberg.

    Thailand rancang untuk haramkan kereta petrol dan diesel baru pada 2035,  tumpu jualan kereta elektrik

    Malah pada tahun lalu, Thailand sudah pun mengumumkan polisi mereka yang mensasarkan untuk mewujudkan pengkalan produksi EV untuk rantau ini dalam masa lima tahun, dan sekarang ia telah dipercepatkan lagi.

    “Kita boleh tengok dunia sedang menuju kearah tersebut, jadi kami perlu bergerak cepat. Kami mahu untuk mendapatkan pertumbuhan selepas pandemik, dan kami mempunyai cita-cita untuk menjadi pusat produksi kerana kami sudah pun mempunyai rantaian bekalan sedia ada,” kata penasihat kepada jawatankuasa polisi kebangsaan kementerian tenaga Thailand, Kawin Thangsupanich.

    Rancangan baru ini turut menetapkan sasaran bagi mendapatkan jumlah kenderaan elektrik sebanyak 50% dari jumlah keseluruhan pendaftaran kereta baharu menjelang akhir dekad ini, naik 30% berbanding yang sasarkan sebelum ini ketika Thailand mengumumkan rancangan mereka untuk menghasilkan 750,000 unit EV setahun pada 2030. Jumlah tersebut adalah keseluruhan kenderaan termasuk komersial dan dua roda.

    Sekarang Thailand sudah pun menetapkan tarikh sasaran untuk mengharamkan jualan kereta dengan enjin pembakaran dalaman, manakala langkah seterusnya akan menyaksikan kerajaan negara berkenaan membuat penyediaan terhadap perubahan tersebut.

    Thailand rancang untuk haramkan kereta petrol dan diesel baru pada 2035,  tumpu jualan kereta elektrik

    Menurut Kawin, ini dapat dilakukan dengan menawarkan insentif cukai, membina infrastruktur berkaitan dan membangunkan regulasi untuk mempromosikan pengilangan EV serta memberikan insentif kepada pengguna untuk membeli kereta elektrik sepenuhnya berkenaan.

    Buat masa ini jumlah jualan kereta elektrik sepenuhnya di Thailand adalah kurang dari 1%, oleh itu membuat garis masa adalah langkah yang perlu bagi memastikan ia terus berkembang, menurut pengerusi kehormat persatuan kenderaan elektrik Thailand.

    “Jika kita membiarkan adaptasi EV berlaku secara semula jadi, ia akan memakan masa yang sangat lama. Sebagai pengeluar, membuat sasaran yang jelas akan menjadikan negara lebih menarik untuk pelaburan,” jelasnya.

     
     
  • ACE 2021 : 561 unit kereta bernilai RM80.5 juta dijual dalam tempoh dua hari; pecahkan rekod PACE 2019

    ACE 2021 : 561 unit kereta bernilai RM80.5 juta dijual dalam tempoh dua hari; pecahkan rekod PACE 2019

    Acara Auto Car Expo (ACE) 2021 yang dianjurkan oleh paultan.org, bersama Carsome selaku rakan penaja, telah pun berlangsung dengan meriahnya pada hujung minggu lalu. Malahan acara jualan kenderaan yang berlangsung selama dua hari di Setia City Convention Centre (SCCC) mencatatkan rekod yang tersendiri.

    Pada Sabtu lalu, kami melaporkan sebanyak 70 unit kereta telah berjaya dijual pada beberapa jam pertama acara berlangsung, dan dari situ momentumnya berterusan sehinggalah ke Ahad, penghabisan acara. Sebanyak 561 unit kereta dengan nilai berjumlah RM80.5 juta telah berjaya dijual dalam tempoh dua hari ACE 2021 berlangsung. Daripada jumlah itu, sebanyak 536 unit adalah kereta baharu dan 25 unit lagi adalah kereta pra-pemilikan.

    Kebanyakan pembeli yang berkunjung ke SCCC adalah untuk mengetahui tawaran yang terbaik untuk direbut, serta memandu uji dan membandingkan antara pesaing, semuanya di bawah satu bumbung. Bukan setakat itu sahaja, bagi mereka yang tidak berkesempatan ke Setia Alam, kami turut menyediakan fungsi tempahan secara dalam talian, di mana sebanyak 20 pembelian direkodkan menerusi tempahan dalam talian menerusi WhatsApp.

    Dengan 561 kereta yang terjual, kami juga memecahkan rekod kami sendiri menerusi Premium Auto Car Show (PACE) 2019, juga anjuran Paultan.org, di mana sebanyak 399 kereta premium dengan nilai lebih RM91.5 juta terjual. Menerusi PACE 2018 pula, sebanyak 214 kereta dengan nilai lebih RM50 juta terjual. PACE dan ACE 2020 tidak dapat dilaksanakan pada tahun lalu disebabkan penularan wabak COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

    Antara jenama yang mencatatkan jualan memberangsangkan di ACE 2021 ialah Mazda (84 unit), Toyota (72), Honda (70), Proton (66) dan Volkswagen (64). Model yang paling laris ialah Ford Ranger (46 unit, termasuk paling mengejutkan 16 unit adalah Ranger Raptor). Selain itu, model kereta lain yang turut mendapat sambutan ialah Volkswagen Tiguan (37), Proton X50 (30), Toyota Yaris (28), BMW 3 Series (27), Mazda CX-5 (26) dan Honda City (25).

    Sebanyak 819 pendaftaran bagi pandu uji turut dicatatkan. Malahan, kami juga dikhabarkan, banyak pembelian berlaku di bilik pameran selepas pengunjung pulang dari ACE 2021!

    Walau pun melibatkan penyertaan pengunjung, namun kami masih melaksanakan SOP yang tegas. Ini termasuklah daftar masuk dengan MySejahtera, mengimbas suhu badan dan juga meletakkan cecair sanitasi di merata tempat. Malahan kereta dan tempat yang kerap disentuh juga sentiasa disanitasi, dan pengunjung juga diwajibkan memakai pelitup hidung dan mulut sepanjang masa.

    Bukan itu sahaja, kami juga mengehadkan pengunjung tidak melebihi 650 orang dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kebiasaanya, ia membenarkan 1,700 orang dalam dewan seluas itu, seperti mana yang ditetapkan mengikut SOP kerajaan.

    Selain itu, krew juga sering kali mengingatkan pengunjung berhubung penjarakan sosial. Serta kanak-kanak di bawah 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas, tidak dibenarkan memasuki dewan berkenaan. Secara keseluruhannya, seramai 11,000 pengunjung telah memeriahkan ACE 2021 sepanjang hujung minggu lalu.

    Ia adalah hujung minggu yang sangat bermakna buat kami di paultan.org dan Driven, dan kami gembira melihat para pengunjung teruja menyaksikan sendiri model terkini di hadapan mata, termasuk membandingkannya dengan model pesaing dan mengambil kesempatan memandu uji. Di bawah satu bumbung, tanpa perlu pergi ke satu bilik pameran ke bilik pameran yang lain. Malahan ramai juga yang mengambil peluang ini untuk membeli kereta yang masih lagi menerima penjimatan susulan pelaksanaan pelepasan cukai jualan.

    Segala urusan pemasaran dan promosi bagi ACE 2021 dilakukan menerusi paultan.org dan juga laman media sosial kami, di mana boleh dikatakan hampir kesemua pengunjung dan pembeli adalah pengikut laman web ini. Dan apa yang kami dengar dari pempamer yang mengambil bahagian, kebanyakan pengunjung yang berkunjung ke ACE tahu tentang kereta, dan paling utama, tahu apa yang dicari.

    Di kesempatan ini, kami ingin merakamkan terima kasih tidak terhingga buat semua para pengunjung ACE 2021 di atas sokongan anda, begitu juga dengan syarikat-syarikat kereta yang mengambil bahagian termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Proton, Toyota, Volkswagen, BMW, Lexus dan MINI. Serta terima kasih infiniti buat rakan kerjasama, Carsome, serta para penaja seperti BHPetrol, V-Kool, Blueair, DK Schweizer, Dodo, Recaro dan Touch n’ Go.

    Kita jumpa lagi di acara PACE dan ACE yang akan datang!

     
     
  • Volkswagen Talagon diperkenal di China – SUV paling besar jenama itu, enjin V6 2.5L Turbo 295 hp, 500 Nm

    Volkswagen Talagon diperkenal di China – SUV paling besar jenama itu, enjin V6 2.5L Turbo 295 hp, 500 Nm

    Meskipun Volkswagen sudah ada banyak SUV dalam pasaran China, mereka merasakan ia seperti masih tidak cukup dan menambah satu lagi model yang dikenali sebagai Talagon. Ia adalah satu produk hasil kerjasama FAW-Volkswagen dan pernah dipertontonkan sebagai sebuah model konsep SMV dua tahun lepas.

    Sama seperti model pameran itu, produk akhir ini mempunyai saiz yang besar, berukuran 5,152 mm panjang, 2,002 mm lebar, 1,795 mm tinggi dan jarak roda 2,980 mm. Untuk memberi anda gambaran, ia 112 mm lebih panjang, 12 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi daripada Atlas yang dijual di China sebagai Teramont, tetapi jarak rodanya masih sama.

    Hasilnya, secara teknikal, Talagon adalah SUV Volkswagen paling besar setakat ini, dan syarikat itu memberitahu ia dibina atas platform MQB Evo yang juga digunakan pada Golf dan produk lain Volkswagen Group seperti Skoda Octavia, Seat Leon dan Audi A3.

    Volkswagen Talagon diperkenal di China – SUV paling besar jenama itu, enjin V6 2.5L Turbo 295 hp, 500 Nm

    Peralihan daripada kereta konsep kepada kereta produksi yang dipamerkan di Auto Shanghai tidak melibatkan banyak perubahan, dengan bahagian hadapannya masih lagi menggunakan gril yang mempunyai dua jalur melintang dan bersambung sehingga ke lampu DRL. Lampu belakang juga menggunakan konsep yang sama dan di bawah terdapat dua muncung ekzos besar.

    Masuk ke dalam anda akan melihat susun atur papan pemuka seperti Golf, dengan panel instrumen digital yang terletak bersebelahan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen. Konsol tengah ditinggikan dan diletakkan rata, dengan menempatkan tombol gear serta butang-butang penting lain.

    Volkswagen Talagon diperkenal di China – SUV paling besar jenama itu, enjin V6 2.5L Turbo 295 hp, 500 Nm

    Setiap penumpang yang duduk di belakang disediakan dengan corong pendingin hawa sendiri, iaitu di bahagian tiang tepi serta konsol tengah, dan tempat duduk dibalut dengan kemasan yang premium. Pelanggan boleh memilih tetapan enam tempat duduk atau tujuh tempat duduk untuk SUV ini.

    Varian Talagon yang paling tinggi akan dikuasakan oleh enjin V6 2.5 liter turbo yang menghasilkan 299 PS (295 hp) dan 500 Nm tork, digabungkan bersama transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Media di China juga ada melaporkan SUV ini bakal ditawarkan dengan enjin empat silinder 2.0 liter turbo, dengan talaan kuasa 186 PS/320 Nm dan 220 PS/350 Nm.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – aksesori JDM Mugen diperkenal

    Honda HR-V 2022 – aksesori JDM Mugen diperkenal

    Seperti biasa, setiap pelancaran model JDM baharu di Jepun, ia akan turut disertai dengan pilihan pelbagai aksesori rasmi – ini dia, Honda HR-V 2022 yang baru dilancarkan di Jepun semalam, dengan kit aksesori dari Mugen!

    Untuk bahagian luaran, Mugen menyajikan set kit badan lebih agresif yang digelar “Sports Style”, terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, dan juga spoiler bawah bampar belakang.

    Pembeli juga boleh memilih komponen tambahan termasuk dua pilihan spoiler bumbung (kecil dan besar), spoiler pada bahagian tengah pintu tailgate, penutup cermin sisi dengan sirip, kemasan tambahan pada gril hadapan, serta pelekat Mugen pada bahagian bampar belakang dan sisi badan.

    Bagi mendapatkan rupa lengkap, Mugen juga menawarkan dua pilihan rim aloi asli bersaiz 18-inci iaitu Mugen CU10 dan Mugen MDW untuk HR-V generasi ketiga ini. Pelanggan di Jepun juga boleh memilih pelbagai jenis nat pengikat roda dan juga visor asli dari Mugen.

    Honda HR-V 2022 – aksesori JDM Mugen diperkenal

    Untuk prestasi pula, Mugen menyediakan penuras udara enjin yang dihasilkan dari teknologi kereta lumba Super GT dan Super Formula mereka, memberikan aliran udara 10% lebih baik. Sistem ekzos Mugen juga ditawarkan untuk HR-V ini yang terdiri dari paip tahan karat (rekaan paip berbeza untuk model pacuan hadapan dan AWD), bersama muncung dari material titanium.

    Mugen turut menghasilkan pelbagai ‘jajan’ untuk bahagian kabin HR-V generasi baharu berkenaan, antaranya karpet kaki dengan dua pilihan rekaan (kombinasi hitam/merah atau merah sepenuhnya), bersama karpet ruang but, pelindung kemasan pintu dan juga scuff plate.

    Tak cukup Mugen lagi? Pelanggan juga ditawarkan pelbagai perincian kecil lain seperti penutup minyak pelincir enjin, perumah nombor pendaftaran karbon bersama bolt yang sepadan, pelindung pembuka pintu, dan juga pelbagai emblem Mugen dari material logam.

     
     
  • VIDEO: Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT di M’sia — varian paling tinggi, ADAS, kabin ala SUV; RM142k

    Rekabentuk D-Max serba baru generasi ketiga telah menerima pembaharuan meluas, menjadikannya tampil lebih maskulin; ketinggian bonet dinaikkan 15 mm, sementara bahagian door sill juga dinaikkan 20 mm. Garis bumbung juga direndahkan 15 mm untuk memberikannya profil yang lebih sporty. Jarak antara rodanya pula ditambah 30 mm — menjadikan kabin lebih luas — manakala bukaan pintu ditambah 25 mm.

    Varian paling tinggi yang baru diperkenalkan pula ialah 3.0L 4×4 AT X-Terrain, dengan beza harga sekitar RM14k berbanding 3.0L AT Premium. Tambahannya pula melibatkan cermin depan khas yang mengurangkan penembusan cahaya infra-merah, bilah pengilap aerofoil premium dengan pencuci bersepadu, rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain serta penghidup enjin jarak jauh.

    Di dalam, varian ini juga satu-satunya yang menerima kemasan kulit coklat, kerusi pemandu dengan larasan elektrik lapan-hala dengan sokongan lumbar, larasan stereng teleskopik dan juga atas-bawah serta paparan skrin sentuh sembilan-inci — penambah baikan yang ternyata belum pernah disaksikan oleh D-Max setakat ini, dan melatakkannya setanding dengan trak pikap gaya hidup dari pesaing.

    VIDEO: Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT di M’sia — varian paling tinggi, ADAS, kabin ala SUV; RM142k

    Dari aspek keselamatan, varian tertinggi ini hadir dengan pakej ADAS lengkap; tujuh beg udara, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal dan bantuan selekoh ditawarkan sebagai standard. Masih tiada kamera 360-darjah, cuma ada kamera undur dan sensor parkir sahaja.

    Ini sedikit sebanyak perihal penawaran pada Isuzu D-Max X-Terrain terbaru untuk pasaran tempatan. Selebihnya, kami bawa anda untuk lebih mendekati model ini melalui video yang disediakan ini. Selamat menonton.

     
     
  • Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

    Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

    Selepas pendedahan sulungnya untuk peringkat global Februari lalu, Honda HR-V generasi ketiga kini sudah pun dilancarkan secara rasmi di Jepun. SUV segmen-B ini masih dikenali sebagai Honda Vezel di pasaran berkenaan, dan ia ditawarkan dalam versi janaan petrol sepenuhnya dan juga hibrid petrol-elektrik e:HEV dengan dua motor.

    Bagi model petrol penuh, ia hanya dijana oleh enjin L15Z 1.5 liter i-VTEC tanpa turbo, kini dengan sistem dua aci sesondol (DOHC). Walau bagaimanapun enjin tersebut tidak lagi diberikan sistem suntikan bahan api terus, dan menghasilkan kuasa lebih kecil dari versi sebelumnya iaitu 118 PS (-14 PS) pada 6,600 rpm dan tork maksima 142 Nm (-13 Nm) pada takat 4,300 rpm.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, dan ia ditala dengan nisbah yang lebih pendek dari nisbah yang diberikan pada kotak gear Honda Jazz (atau Fit di sana) bagi disesuaikan dengan badannya yang lebih berat.

    Manakala untuk varian hibrid e:HEV, ia masih menggunakan sistem i-MMD sports Hybrid yang sama dengan Jazz dan City, tetapi ditala bagi menghasilkan kuasa lebih besar, namun tork masih kekal sama dengan jumlah keseluruhan 253 Nm.

    Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

    Enjin petrol yang digandingkan dengan dua motor elektrik pada sistem ini adalah unit 1.5 liter kitaran Atkinson yang menjana 106 PS – 8 PS lebih berkuasa dari sebelumnya – dengan tork maksima kekal 127 Nm.

    Motor elektrik untuk sistem e:HEV ini menerima kuasa dari bateri lithium-ion Intelligent Power Unit (IPU) yang lebih besar dari sebelumnya, menampilkan 60 sel berbanding 48 sebelum ini. Ia boleh dibuat kerana Power Control Unit (PCU) bagi sistem berkenaan kini sudah dialih ke ruang enjin hadapan.

    Menurut Honda, bagi model petrol sepenuhnya, ia mampu untuk mencatatkan penggunaan bahan api serendah 17 km untuk setiap satu liter petrol, manakala versi e:HEV mencapai bacaan 25 km/l. Kedua-dua varian ini rangkaian kuasa ini memacu roda hadapan secara standard, serta diberikan opsyen sistem pacuan semua roda.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, HR-V masih dihasilkan dari platform yang sama dengan hatchback Honda Jazz. Bagi model generasi terkini ini, ia sebenarnya lebih pendek (1,330 mm) tetapi 20 mm lebih lebar (1,790 mm) serta lebih rendah (1,590 mm).

    Ia menerapkan rekaan lebih ringkas dari model generasi kedua, dan dengan bumbung lebih rendah, cermin belakang lebih besar, serta pembuka pintu belakang yang masih disorokkan pada cermin tingkap, membuatkan ia lebih kelihatan seperti sebuah coupe.

    Aerodinamik bagi model generasi ketiga ini juga lebih baik dari sebelumnya, dihasilkan di fasiliti R&D mereka di Sakura, iaitu fasiliti sama yang membangunkan enjin Formula 1 digunakan oleh pasukan Red Bull Racing dan Scuderia Alpha Tauri. Ia diberikan tirai udara pada bampar hadapan, skirt sisi yang menghadap keluar, serta spoiler dan lampu belakang rekaan baharu bagi memberikan keberkesanan aerodinamik lebih bagus.

    Dalam kabin, HR-V generasi ketiga ini tampil dengan papan pemuka baharu yang direka lebih melintang dan ringkas, menampilkan skrin sesentuh infotainmen berdiri sendiri di tengah bersama corong pendingin hawa merentangi dari kiri ke kanan.

    Bumbung HR-V ini juga menerima bumbung panaromik yang lebih besar – ia tidak boleh dibuka tetapi menerima cermin istimewa Low-E bagi mengurangkan jumlah cahaya infra merah dan ultraviolet melaluinya. Perincian unik lain yang turut dipadankan termasuk pelindung matahari hadapan boleh gelangsar, lampu peta kawalan sentuhan dan juga pintu tailgate belakang berkuasa tanpa sentuhan.

    Walaupun dengan dimensi lebih pendek, HR-V masih dikekalkan dengan ukuran jarak roda sejauh 2,610 mm. Malah dengan falsafah rekaan “Man-Maximum, Machine-Minimum”, ruang kaki untuk penumpang belakang dapat diluaskan lagi dengan tambahan 35 mm, serta tempat duduk belakang dapat diserengkan 2 darjah lebih ke belakang untuk meningkatkan keselesaannya.

    Di Jepun, Vezel menerima sistem Honda Connect yang terdiri dari sistem infotaimen bersama skrin sesentuh sembilan-inci dan pelbagai servis terhubung Honda Total Care Premium. Ia termasuk sistem hotspot WiFi dalam kereta (pertama kali untuk Honda), pusat aplikasi, kemaskini peta automatik, kunci digital menggunakan telefon pintar, dan juga hubungan kenderaan-kepada-infrastruktur (V2I) yang akan memberikan maklumat seperti adakah anda akan sempat untuk melepasi lampu hijau di hadapan.

    Model e:HEV juga ditawarkan dengan paparan instrumen digital bersaiz tujuh-inci dan juga sistem bunyi dengan sepuluh pembesar suara.

    Vezel JDM ini juga menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing secara standard. Ia termasuk brek kecemasan automatik (kini dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal serta pengelak dengan bantuan stereng), cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, lampu tinggi automatik, amaran pergerakan kehadapan, dan juga kawalan salah pedal yang turut berfungsi ketika mengundur. Honda turut memberikan sistem kawalan menurun bukit pada Vezel ini, buat pertama kali untuk model pasaran domestik.

    Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

    Casis untuk HR-V baharu ini juga telah dipertingkat bagi memberikan pemanduan dan pengendalian lebih baik. Badannya direka lebih kuat dan lebih ringan. Kemudian suspensi ditala bersama pemadanan bushing bagi memberikan lebih keselesaan dengan menyisihkan pergerakan yang tidak diingini, serta komponen suspensi dihasilkan dengan kurang geseran bersama kolum stereng lebih keras untuk memberikan belokan lebih dinamik.

    Cagak enjin HR-V ini juga menerima rekaan struktur baharu dan dihasilkan bagi mengurangkan bunyi pada frekuensi tertentu, serta secara tidak langsung mengurangkan bunyi enjin yang turut naik, dakwa Honda.

    Honda HR-V pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 2,279,200 yen (RM86,600) untuk varian asas petrol G, meningkat kepada 2,658,700 yen (RM101,000) untuk model asas e:HEV X Hybrid. Model pertengahan e:HEV Z pula dijual pada harga 2,898,500 yen (RM110,100), manakala model tertinggi e:HEV Play boleh dimilik dengan harga 3,298,900 yen (RM125,300).

     
     
  • Proton mulakan pembinaan kilang stamping baharu di Tanjung Malim, bakal siap pada suku ke-3 2022

    Proton mulakan pembinaan kilang stamping baharu di Tanjung Malim, bakal siap pada suku ke-3 2022

    ????????????????????????????????????

    Proton hari ini telah merasmikan upacara pecah tanah sempena permulaan untuk membangunkan fasiliti baharu mereka di Tanjung Malim. Kilang tambahan berkenaan akan menjalankan kerja-kerja stamping menerusi mesin “Superlarge” yang membolehkan lebih banyak komponen dihasilkan secara tempatan untuk model sedia ada dan akan datang jenama automotif nasional berkenaan.

    Menurut Proton, dengan kemudahan baharu kelak mereka mampu menghasilkan panel badan yang lebih besar serta komponen-komponen lain dan ia direka bagi membolehkan mereka mengilangkan lebih banyak model dan varian pada masa akan datang, serta menghasilkan kereta-kereta yang berstandard lebih tinggi.

    Kerja-kerja ini akan melibatkan pelaburan sebanyak RM200 juta, tambahan dari RM1.2 bilion yang telah dibelanjakan dalam fasa pembesaran kilang Tanjung Malim yang telah dibuat sebelum ini. Proton turut menyatakan bahawa pelaburan ini merupakan sebahagian dari strategi berkembang dan juga rancangan masa hadapannya, dan fasiliti terbaharu ini dijangka akan siap pada suku ketiga 2022.

    Proton mulakan pembinaan kilang stamping baharu di Tanjung Malim, bakal siap pada suku ke-3 2022

    ????????????????????????????????????

    “Walaupun kami berpuas hati dengan kemajuan syarikat setakat ini, Proton perlu sentiasa bergerak ke depan. Penambahan baru ini adalah sebahagian dari strategi kami untuk memastikan kami boleh terus berkembang dan pada masa yang sama, menambah jumlah model bila ia diperlukan. Ini bermakna syarikat akan mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan pelbagai model tetapi lebih penting lagi, kami akan mengeluarkan produk yang bertaraf tinggi dan mempunyai teknologi baru,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

    “Haluan dan perkembangan masa depan Proton adalah jelas. Malaysia akan tetap menjadi pasaran utama tetapi syarikat perlu mempunyai kebolehan untuk bersaing di luar negara. Fasiliti baru ini adalah sebahagian kecil dalam perjalanan itu tetapi ia amat penting kerana ia membolehkan penambahan penggunaan komponen tempatan pada masa hadapan. Ini juga akan membolehkan Proton melibatkan lebih ramai vendor tempatan dalam proses pengeluarannya dan dengan demikian, mengembangkan lagi ekosistem automotif tempatan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi Mac 2021 ikut jenama – Perodua semakin jauh di tempat pertama

    Jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi Mac 2021 ikut jenama – Perodua semakin jauh di tempat pertama

    Keadaan semakin bertambah baik dalam industri automotif pada bulan Mac, di mana jumlah jualan dalam negara meningkat sehingga 49% berbanding bulan sebelumnya. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan, 63,878 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan, iaitu lebih 21,094 uit berbanding jumlah 42,784 unit yang dicatat pada bulan Februari.

    MAA meletakkan beberapa faktor sebagai pemangkin kepada peningkatan jualan ini, seperti pengenalan model baru, serta syarikat yang berebut-rebut mahu menyerahkan kenderaan sebelum tahun kewangan berakhir 31 Mac. Jualan juga terus dibantu dengan pengecualian SST yang diberi sehingga 30 Jun. Hampir semua jenama menunjukkan peningkatan jualan pada bulan lepas.

    Perodua, yang pada bulan Februari mengalami sedikit penurunan kini kembali meningkat dengan catatan jualan 24,431 unit pada bulan Mac, bersamaan 47.3% lebih tinggi berbanding jumlah 16,583 unit yang dicatat pada bulan sebelumnya. Sebagai pengeluar yang berada di tempat pertama, kedudukan Perodua kini semakin jauh berbanding Proton yang berada di tangga kedua dengan jualan 14,770 unit pada bulan Mac – peningkatan 26.4% berbanding 11,686 unit yang dicatat pada bulan Februari.

    Jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi Mac 2021 ikut jenama – Perodua semakin jauh di tempat pertama

    Saingan antara Toyota dan Honda untuk merebut tempat ketiga terus sengit. Bagi bulan Mac 2021, Honda berada di atas dengan jualan 8,925 unit (+103.3%) kenderaan sementara Toyota pula mencatat 8,136 unit (+61.9%). Meskipun begitu, jika mengambil kira jualan keseluruhan tahun ini, Toyota masih di atas Honda.

    Mitsubishi terus kekal berada di tempat kelima dengan jualan 1,688 buah kenderaan, yang mana adalah lebih tinggi 27.9% berbanding bulan Februari. Jenama lain yang turut menunjukkan peningkatan adalah Nissan (+79.6%), Mazda (+72.5%), Subaru (+102.3%) dan Hyundai (+80%).

    Dalam segmen kenderaan premium, sama seperti bulan Februari, Volvo dan Lexus terus mencatat jualan yang lebih baik dengan peningkatan masing-masing 87% dan 100%. Seperti biasa, tiada rekod jumlah BMW dan MINI kerana BMW Group Malaysia hanya akan mengeluarkannya mengikut suku tahun sementara Mercedes-Benz pula sekadar memberitahu akan berkongsi semula data dengan MAA, tetapi masih tidak tahu bila waktunya.

     
     
  • Toyota sedang bangunkan enjin pembakaran dalaman guna bahan api hidrogen menerusi sukan permotoran

    Walaupun telah mula memperkenalkan kereta elektrik sepenuhnya model konsep Toyota bZ4X sebagai permulaan peralihan ke era elektrikfikasi, Toyota adalah antara pengeluar kenderaan yang percaya akan ada masalah lain terjadi jika sektor automotif mula bergantung kepada tenaga berkenaan kerana lebih dari separuh kuasa elektrik di dunia masih dijana oleh bahan api fosil seperti arang batu.

    Umum mengetahui, Toyota sebelum ini aktif membangunkan Toyota Mirai, iaitu kereta dengan sistem sel bahan api hidrogen bagi menghasilkan kuasa elektrik (FCEV) untuk menggerakkan kereta yang menjadi alternatif kepada kereta elektrik bateri penuh (BEV). Dan terbaharu, Toyota kini sedang membangunkan lagi satu alternatif yang dilihat masih mengekalkan keseronokan enjin petrol, tetapi jauh lebih mesra alam iaitu enjin pembakaran dalaman yang menggunakan bahan api hidrogen!

    Malah pembangunan ini telah dibuat menerusi sukan permotoran di mana enjin berkenaan telah pun diletakkan pada kereta lumba Toyota Corolla Sport, yang akan berlumba dibawah program ORC Rookie Racing, bermula pada pusingan ketiga siri Super Taikyu 2021, NAPAC Fuji Super TEC 24 Jam pada bulan Mei nanti.

    Tiada sebarang motor elektrik terlibat dalam teknologi ini, kerana enjin yang dibangunkan tersebut mengekalkan komponen asas yang sama seperti enjin petrol konvensional, tetapi menggunakan hidrogen sebagai bahan api. Enjin tersebut menggunakan sistem suntikan bahan api yang telah diubahsuai dari sistem petrol untuk berfungsi.

    Toyota sedang bangunkan enjin pembakaran dalaman guna bahan api hidrogen menerusi sukan permotoran

    Menurut Toyota, penggunaan bahan api hidrogen ini tidak akan menghasilkan pencemaran CO2, tetapi ia akan turut membakar minyak pelincir ketika digunakan (juga sebenarnya terjadi pada enjin berkuasa petrol). Hidrogen juga menghasilkan pembakaran dalam kadar lebih cepat dari petrol, membolehkan ia memberi respon lebih baik.

    Jadi disamping baik untuk alam sekitar, enjin hidrogen ini disifatkan Toyota sebagai “mempunyai potensi untuk mengekalkan keseronokan pemanduan” termasuk memberikan bunyi dan getaran yang peminat kereta sukakan.

    Kereta lumba dengan enjin hidrogen tersebut akan berlumba dengan hidrogen yang dihasilkan oleh Fukushima Hydrogen Energy Research Field di Namie, Fukushima. Selain dari untuk mengembangkan infrastruktur hidrogen dengan mempromosikan penggunaan hidrogen, usaha ini juga sebenarnya baik untuk pemulihan ekonomi wilayah Tohoku yang sebelum ini terjejas akibat gempa bumi dan Tsunami pada 2011.

    Toyota juga tidak mempunyai masalah untuk memastikan keselamatan penggunaan hidrogen berkenaan kerana sudah berpengalaman menghasilkan kereta FCEV Toyota Mirai yang sudahpun masuk ke generasi kedua.

    Jika apa yang dibangunkan oleh Toyota ini berjaya, berkemungkinan besar akan ada lagi model berprestasi tinggi GR dari gergasi automotif Jepun ini yang akan mengekalkan keseronokan memandu enjin pembakaran dalaman yang sememangnya lebih beremosi dari motor elektrik.

     
     
  • Volvo S90 facelift 2021 dilancar di M’sia — dua varian, Recharge T8 Inscription Plus bermula RM339k

    Volvo S90 facelift 2021 dilancar di M’sia — dua varian, Recharge T8 Inscription Plus bermula RM339k

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan secara rasmi model S90 facelift terbaru versi pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam. Sedan eksekutif yang diberikan kemaskini baru itu ditawarkan dalam dua varian, termasuk T5 Momentum dan versi plug-in hybrid Recharge T8 Inscription Plus.

    Ketika ini, harga yang disahkan adalah hanya untuk versi Recharge T8, yang dijual pada harga RM339,315 atas jalan tidak termasuk insurans — RM30k kurang berbanding sebelum ini. Ini disebabkan pengecualian SST (100% dalam kes CKD) dan jaminan pengilang selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan juga jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri PHEV.

    Versi facelift ini juga turut melibatkan beberapa perubahan kecil di luarnya; bampar rekaan baru dengan bahagian bukaan udara bentuk baru dengan jalur krom kelebaran penuh. Di belakang, diberikan kesan 3D, lampu LED sepenuhnya dengan grafik bentuk C dan lampu isyarat sequential, sementara muncung ekzos kini disorok.

    Volvo S90 facelift 2021 dilancar di M’sia — dua varian, Recharge T8 Inscription Plus bermula RM339k

    Kemasan krom yang menghiasi kereta ini adalah sebahagian daripada pakej rekaan Inscription, sementara Momentum mengenakan kemasan hitam. Varian paling tinggi menerima rim hitam 19-inci 10-jejari, sementara Momentum dipasangkan rim aloi saiz sama dengan lima-jejari.

    Di dalam, tak banyak yang berubah. S90 masih mengekalkan papan pemuka yang sama. Kelengkapan standard termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem skrin sentuh infotainmen sembilan-inci Sensus Connect dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Ini termasuklah stereng tiga-jejari balutan kulit dengan kemasan Unideco, pelapik bumbung hitam, kemasan balutan kulit, kerusi depan larasan elektrik, pelindung matahari belakang, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin dua zon dengan corong di tiang B serta dua slot USB-C untuk penumpang belakang.

    Volvo S90 facelift 2021 dilancar di M’sia — dua varian, Recharge T8 Inscription Plus bermula RM339k

    Khusus untuk Momentum ialah lampu utama LED Illumination dengan lampu tinggi aktif, kemasan aluminium corak petak pada papan pemuka, sistem lampu suasana tahap pertengahan dan 10-pembesar suara dengan sistem audio 330-watt.

    Inscription Plus menempatkan lebih banyak perincian, misalnya head-up display, tombol gear kristal Orrefors rekaan baru, tombol cora berlian, kemasan kayu serta balutan kerusi kulit Nappa, plat Recharge dengan pencahayaan, pencahayaan dalaman tahap tinggi, kerusi dengan fungsi memori, liang udara dan tambahan larasan untuk bahagian depan, fungsi Active Bending Lights untuk lampu utama, kamera 360-darjah serta sistem audio Bowers and Wilkins 1,400-watt dengan 19-pembesar suara.

    Aspek keselamatan terdiri daripada suit City Safety yang merangkumi ciri penghindaran perlanggaran dengan pengesanan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar, sokongan stereng bersekali dengan brek kecemasan autonomous depan dan belakang, bantuan mengekalkan lorong, Sistem Peninjau Titik Buta dengan bantuan stereng serta amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik.

    Sistem lain termasuk bantuan pemandu termasuk kawalan melayar adaptif, sistem pemanduan semi-autonomous Pilot Assist dan Park Assist, dengan tambahan terakhir pada Inscription Plus ialah ciri masuk parkir mengundur dan mengiring.

    T5 menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder Drive-E petrol yang menghasilkan 254 PS (251 hp) pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,500-4,800 rpm. Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan menghantar kuasa ke roda depan, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.8 saat, dengan kadar penggunaan minyak 7 l/100 km.

    T8 pula yang hadir dengan nama Recharge menerima enjin Drive-E yang sama dengan tambahan turbocas dan supercas, menghasilkan 320 PS dan 400 Nm, dengan transmisi lapan-kelajuan automatik. Ini dibantu oleh motor elektrik di belakang dengan kuasa 87 PS dan 240 Nm, yang menyediakan pacuan semua roda elektrik dan menjadikan output keseluruhan sistem ini 407 PS pada 5,700 rpm dan 640 Nm dari 1,200-5,400 rpm.

    Volvo S90 facelift 2021 dilancar di M’sia — dua varian, Recharge T8 Inscription Plus bermula RM339k

    Motor elektriknya dikuasakan oleh bateri lithium-ion dengan kapasiti lebih besar, 11.6 kWh berbanding 10.4 kWh sebelum ini. Disambung ke pengecas Type 2 3.7 kW — maksimum yang boleh ditampung T8 — ia memerlukan tiga jam untuk cas penuh, memberikan 58 km jarak perjalanan elektrik sepenuhnya.

    Dengan kuasa yang lebih ini, 0-100 km/j untuk T8 ini ialah 4.9 saat, dengan kadar penggunaan minyak 2.1 l/100 km. Kedua-dua varian dihadkan kelajuan maksimumnya kepada 180 km/j. T5 datang dengan Dynamic Chassis, sementara T8 dengan Active Chassis (penyerap hentak adaptif semuanya) dengan suspensi udara di belakang. Ada lima pilihan warna ditawarkan; Onyx Black, Bright Silver, Platinum Grey dan Thunder Grey, serta Crystal White.

    Volvo S90 Recharge T8 Inscription Plus 2021

     
     
  • Yamaha Avantiz diperkenal dalam warna baru – RM4.9k

    Yamaha Avantiz diperkenal dalam warna baru – RM4.9k

    Yamaha Avantiz, yang kini sudah berada dalam pasaran hampir lima tahun sekali lagi diberikan penampilan baru, yang terdiri daripada tiga warna iaitu biru, merah dan hijau. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) adalah RM4,873.31, dikira sekali dengan pengecualian duti eksais, dan tidak termasuk insurans.

    Perincian lain motosikal ini masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk enjin, iaitu unit BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan adalah 96 kg.

    Setiap pembelian Yamaha Avantiz 125 akan diberi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, dan model penampilan baru ini akan boleh didapati di kedai pengedar Yamaha bermula bulan ini.

     
     
  • Ferrari 812 Superfast 2021 – gambar awal model khas didedah sebelum pengenalan 5 Mei nanti, 841 PS

    Ferrari 812 Superfast 2021 – gambar awal model khas didedah sebelum pengenalan 5 Mei nanti, 841 PS

    Ferrari telah mengeluarkan satu set gambar rasmi pertama untuk model 812 Superfast edisi khas, yang akan didedahkan secara penuh, bersama namanya 5 Mei nanti. Anda juga boleh menyaksikan sendiri majlis pengenalannya melalui siaran langsung di media sosial Ferrari hari itu, jam 8.30 malam.

    Varian baru ini diberitahu akan menjadi ekspresi muktamad bagi sebuah berlinetta enjin hadapan Ferrari, dan menjanjikan tahap prestasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Enjin V12 NA 6.5 liter yang sama masih terus digunakan, tetapi ia telah ditala semula untuk menghasilkan sehingga 841 PS pada tahap rpm 9,500.

    Ini bersamaan dengan peningkatan kuasa sebanyak 41 PS berbanding 812 Superfast biasa, dan menjadikannya sebagai enjin pembakaran dalaman paling berkuasa pada kereta kegunaan jalan biasa Ferrari. Untuk mencapai tahap kuasa ini, banyak komponen penting enjin perlu direka semula, termasuklah mekanisme pemasaan injap dan sistem ekzos.

    Catatan prestasi lain masih belum didedah, tetapi kereta itu mendapat independent four-wheel steering untuk meningkatkan kelincahan dan ketepatannya, selain bakal menjadi Ferrari pertama yang menampilkan Side Slip Control 7.0 versi terbaru.

    Penggunaan gentian karbon pada banyak bahagian luar dan dalam mengurangkan berat keseluruhan kereta ini, sementara prestasi aerodinamik diperbaiki untuk memaksimumkan daya tolakan ke bawah (downforce). Antara yang baru adalah bukaan udara hadapan, bilah gentian karbon yang melintang atas bonet, serta bampar belakang yang direka semula bersama diffuser yang besar.

    Cermin belakang kini ditutup dengan satu lapisan aluminium, yang mempunyai sirip untuk menghasilkan kitaran udara vortex. Rekaan bahagian ini dijadikan bersambung dengan kemas kepada bumbung dan pergi kepada spoiler yang juga adalah baru. Sebagai makluman, kereta ini masih halal digunakan atas jalan raya biasa.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

    Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

    Volkswagen Polo generasi ke-enam sudahpun diperkenalkan sejak 2017, namun ia masih belum masuk ke pasaran Malaysia di mana kita masih perlu memilih model generasi kelima di bilik pameran tempatan. Tetapi hari ini, Polo Mk6 sudahpun muncul dalam versi facelift untuk peringkat global.

    Untuk kemaskini terbaharu ini, Polo menerima rupa yang semakin hampir dengan abangnya, Golf terutama pada bahagian belakang dengan Lampu yang menerima kluster tambahan pada pintu tailgate serta nama ‘POLO’ yang diletakkan pada bahagian bawah logo VW di tengah.

    Pada bahagian hadapan pula, kluster lampu Mk6 facelift ini direka semula yang nampak lebih tirus dari sebelum ini. Jalur lampu nyalaan siang bina dalam pada lampu tersebut direka bersambung dengan bar lampu pada gril yang turut berhubung dengan logo VW di tengah. Satu lagi jalur LED yang lebih pendek turut diberikan pada bahagian hujung lampu utama tersebut.

    Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

    Polo Mk6 facelift ini diberikan lampu hadapan LED sebagai ciri standard, bersama pilihan lampu hadapan LED matrix “IQ.Light” buat pertama kali. Bampar untuk model ini juga dirombak sepenuhnya dengan kemasan hitam serta gril bawah yang besar.

    Unit berwarna biru yang anda lihat ini adalah varian standard yang paling sporty untuk Polo Mk6 facelift iaitu R-Line, tetapi ia agak mengelirukan kerana logo-logo R yang dilekat pada gril dan fender hadapan tidak menampilkan perkataan ‘Line’.

    Versi R-Line ini juga menampilkan kemasan-kemasan hitam berkilat pada gril bampar dan lips di bawahnya, skirt sisi, serta bampar belakang. Ia juga diberikan tips ekzos palsu kemasan krom dan juga kemasan pemanjang pada spoiler belakang berwarna hitam berkilat.

    Pada bahagian dalaman, rupa papan pemuka model facelift ini masih lagi kelihatan sama dengan versi sebelum ini, tetapi ia tidak lagi ditawarkan dengan kemasan yang sama warna dengan warna badan. Sistem infotainmen yang diberikan adalah dari versi terkini dengan pilihan skrin paling besar 9.2-inci (sebelum ini 8.0-inci).

    Sebelum ini paparan meter digital Active Info Display hanya ditawarkan sebagai opsyen, tetapi sekarang ia dipadankan secara standard untuk semua varian dengan skrin bermula 8.0-inci hingga 10.25-inci. Selain itu, model tingkat taraf ini juga datang dengan panel kawalan pendingin hawa yang sama seperti Tiguan dan Arteon terkini, serta pengecas tanpa wayar dan roda stereng rekaan baharu.

    Manakala untuk varian R-Line, ia hadir dengan lencana R pada kemasan bendul pintu, roda stereng serta skrin pemula sistem infotainmen, bersama rekaan corak fabrik yang lebih funky. Selain R-Line, dua lagi varian lebih rendah untuk Polo ini adalah Style dan Life.

    Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

    Buat masa sekarang Polo Mk6 facelift diberikan berberapa pilihan enjin, tetapi kesemuanya datang dalam kapasiti 1.0 liter. Model paling rendah adalah 1.0L NA berkuasa 80hp dan tork maksima 93 Nm, digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.

    Pilihan lebih berkuasa pula adalah versi turbo 1.0 liter TSI dalam dua pilihan talaan kuasa; 95 hp dan 110 hp. Model dengan 110 hp dipadankan standard dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, manakala pada model 95 hp pula kotak gear tersebut ditawarkan secara opsyen.

    Enjin 1.0 liter TGI berkuasa 90 hp dan tork maksima 160 Nm yang dijana oleh gas asli termampat (CNG) pula adalah pilihan dengan tahap penggunaan bahan api paling efisien antara semua. Tiada enjin diesel TDI ditawarkan untuk Polo Mk6 facelift ini, dan seperti biasa model prestasi tinggi Polo GTi akan menyusur selepas ini menampilkan enjin TSI dalam kapasiti lebih besar.

     
     
  • Porsche Panamera 2021 facelift dilancarkan di M’sia — 2.9L biturbo V6 dengan 330 PS, 450 Nm; dari RM1 juta

    Porsche Panamera 2021 facelift dilancarkan di M’sia — 2.9L biturbo V6 dengan 330 PS, 450 Nm; dari RM1 juta

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche Panamera 2021 facelift untuk pasaran Malaysia. Ketika ini, hanya ada varian paling asas ditawarkan, dengan harga RM1,026,735, dengan pengecualian cukai SST yang sah sehingga 30 Jun nanti.

    Menjadi nadi utama Panamera ialah enjin 2.9 liter biturbo V6 yang menghasilkan 330 PS pada 5,400 hingga 6,400 rpm dan 450 Nm tork pada 1,800 hingga 5,000 rpm. Transmisi PDK dwi-klac lapan-kelajuan menghantarkan kuasa ke roda belakang, membolehkan kereta dengan berat 1,860 kg ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (atau 5.4 saat untuk Sport Plus). Laju maksimum ialah 270 km/j.

    Beberapa bahagian pada kereta ini telah dilakukan penambahbaikan. Misalnya pada penyerap hentak, palang penstabil elektronik, sistem stereng, enjin dan mounting gandar semuanya telah dinaik taraf. Ini memberikan dinamik dan kestabilan di selekoh serta input stereng yang lebih tepat.

    Porsche Panamera 2021 facelift dilancarkan di M’sia — 2.9L biturbo V6 dengan 330 PS, 450 Nm; dari RM1 juta

    Kemaskini lain termasuk pilihan tiga set rim 20-21-inci, menjadikan 10 pilihan semuanya untuk pelanggan. Ini termasuk versi Exclusive Design 21-inci. Ini datang lengkap dengan tayar sport generasi terbaru Pirelli rintangan rendah. Elemen brek, di depan ia dikendalikan oleh angkup monoblok aluminium enam-piston, sementara di belakang menggunakan unit empat-piston. Sistem brek terbaru ini juga lebih ringan.

    Dari segi rekaan, penambahbaikan tidak terlalu ketara. Ia kini menerima wajah depan dengan pendekatan Sport Design sebagai standard (sebelum ini pilihan), dengan bahagian bukaan udara serta jalur DRL yang lebih menarik. Lampu utama LED Matrix dengan Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS Plus) adalah standard. Jalur lampu belakang pula kini mengikut bentuk pintunya, menghubungkan kluster lampu belakang LED yang diberi sentuhan baru.

    Selebihnya, bahagian kabin dikekalkan seperti sebelum ini, dan diberi pilihan kustom untuk mengikut selera pelanggan. Stereng dengan butang multi-fungsi baru adalah satu-satunya kelainan. Sistem standard termasuk bantuan pengekalan lorong dengan pengesanan tanda jalan, bantuan Night Vision, bantuan parkir dengan kamera 360-darjah dan head-up display.

     
     
  • Jalan Kuching ditutup 11 malam-5 pagi hingga 14 Mei

    Jalan Kuching ditutup 11 malam-5 pagi hingga 14 Mei

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memaklumkan Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut ditutup kedua-dua arah bermula 19 April lalu hingga 14 Mei ini, dari jam 11 malam hingga 5 pagi pada setiap hari sepanjang tarikh yang dinyatakan.

    Laluan berkenaan ditutup bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan perparitan di lokasi berkenaan, dan ini akan menyebabkan kesesakan trafik.

    Justeru, DBKL menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi semua isyarat papan tanda bagi mengelakkan kekeliruan serta kesulitan.

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 tiba di Malaysia tahun ini?

    Honda Civic generasi ke-11 tiba di Malaysia tahun ini?

    Honda sudahpun mendedahkan rupa sebenar model generasi terbaharu Civic pada minggu lalu, namun ia hanyalah imej awalan untuk bahagian hadapan sahaja, manakala foto dan informasi lebih terperinci akan didedahkan pada 28 April ini.

    Jadi pendedahannya untuk peringkat global dan Amerika Syarikat khususnya masih berjalan secara berperingkat, sudah tentu untuk sampai ke Malaysia akan mengambil masa lebih lama bukan? Tetapi menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum, Civic generasi ke-11 tersebut mungkin akan mendarat di Malaysia seawal tahun ini!

    Dalam satu temuramah majalah syarikat berkenaan, WithDreams yang turut disiarkan secara online, Sarly ditanya adakah Honda mempunyai apa-apa yang mengujakan yang sedang dirancang? Dan jawapan yang diberikan adalah, “Anda tak tengok pendedahan sulung Civic 2022 dalam internet? Anda ke mana selama ini? Petunjuk untuk 2021…tunggu…”

    Honda Civic generasi ke-11 tiba di Malaysia tahun ini?

    Walau bagaimanapun, kami jangkakan apa yang disebutkan oleh Sarly berkenaan mungkin kita hanya akan dapat melihat prebiu Honda Civic yang bakal menggantikan model FC tersebut tahun ini, dan bukanlah pelancaran sepenuhnya ke pasaran Malaysia.

    Jika kita sorot kembali detik kedatangan Civic FC ke Malaysia sebelum ini, ia diprebiu buat pertama kali di Malaysia pada bulan Mei 2016, lebih kurang lapan bulan selepas kemunculan sulung globalnya di Amerika Utara. Ketika prebiu yang dibuat di My Auto Fest tersebut, Honda Malaysia turut membuka tempahannya dan mengumumkan perincian awalan sebelum pelancaran sebenarnya dibuat sebulan selepas itu.

    Harap-harap situasi pandemik di Malaysia tidak mengganggu apa yang dirancang oleh Honda berkenaan, dan kita dapat melihat Honda Civic generasi baharu tersebut seawal tahun ini. Apa pula pendapat anda? Ada yang betul-betul menunggu, atau ramai yang masih tak boleh ‘move on‘ dengan bentuk garang ditampilkan oleh Civic FC berbanding rekaan lebih matang diberikan pada model generasi ke-11 berkenaan?