Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Polis tambah 1 lokasi sekatan jalan, 5 jalan ditutup di Petaling Jaya mulai 10 April hingga tamat PKP fasa 2

    Polis tambah 1 lokasi sekatan jalan, 5 jalan ditutup di Petaling Jaya mulai 10 April  hingga tamat PKP fasa 2

    Polis daerah Petaling Jaya telah memaklumkan akan menambah satu lagi lokasi sekatan jalan raya yang akan dilaksanakan mulai jam 12 tengah malam 10 April ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua sehingga 14 April 2020.

    Lokasi terbabit ialah Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara, (di hadapan MRT Mutiara Damansara, di kedua-dua belah arah). Ia adalah pertambahan bagi lokasi sekatan jalan raya sedia ada yang sebelum ini telah pun dilaksanakan iaitu di KM 0.3 Lebuhraya Sprint menghala tol Damansara dan Persiaran Surian di Pelangi Damansara (kedua-dua arah).

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal turut berkata, terdapat lima penutupan jalan kekal (24 jam) telah dilaksanakan di kawasan berkenaan iaitu melibatkan laluan ke Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara. Jalan terbabit ialah Penchala Link arah Damansara susur masuk ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana, LDP susur masuk ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana, LDP susur masuk ke Jalan PJU 8/8 Flora Damansara, susur keluar ke Jalan PJU 7/8 (Ikea) dan lampu isyarat Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana susur ke Penchala Link/Kepong.

    Bagi pengguna yang perlu ke kawasan berkenaan atas urusan mustahak, bolehlah menggunakan laluan alternatif iaitu dari Damansara Perdana ke Penchala Link melalui Jalan PJU 7/9 Mutiara Damansara (BHP) dan dari Damansara Perdana ke Persiaran Surian melalui Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara.

    Polis tambah 1 lokasi sekatan jalan, 5 jalan ditutup di Petaling Jaya mulai 10 April  hingga tamat PKP fasa 2

    Klik untuk besarkan

    Menurut ACP Nik Ezanee, penambahan lokasi sekatan jalan raya dan penutupan jalan ini adalah bagi mengehadkan perjalanan orang ramai agar terus mematuhi PKP serta membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19.

    Sejak 28 Mac lalu, polis daerah berkenaan turut menutup Jalan 5/46 Gasing Indah (Petaling Jaya), Jalan Persiaran Mahogani (Seksyen 9), Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8) dan Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB) di Kota Damansara. Walau bagaimana pun, jalan alternatif yang masih boleh dilalui untuk ke Kota Damansara ialah Jalan Pantai Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Jalan Persiaran Kenanga-Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian-Palm Spring Kota Damansara dan Jalan Persiaran Tropicana-Casa Tropicana.

    Malah mulai hari ini, PDRM telah pun menguatkuasakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang mengingkari PKP. Perkara ini telah pun diumumkan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Katanya, kompaun terbabit tidak akan diberikan dalam sekatan jalan raya, sebaliknya pesalah PKP ini akan dibawa ke balai polis dan barulah kompaun terbabit diserahkan. Manakala bayaran kompaun perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan dan bayaran perlu dibuat di mana-mana pejabat Kementerian Kesihatan.

     
     
  • Jualan Proton susut 67% untuk Mac kerana PKP, tapi Q1 2020 naik 20.4% – Iriz +602%, Saga +36%, X70 -48%

    Jualan Proton susut 67% untuk Mac kerana PKP, tapi Q1 2020 naik 20.4% – Iriz +602%, Saga +36%, X70 -48%

    Proton telah mengumumkan data jualan bagi suku pertama (Q1) tahun 2020, di mana dalam tempoh tersebut sebanyak 21,757 unit kereta telah dihantar kepada pelanggan. Ia mewakili 20.4% kenaikan berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan Proton turut memaklumkan kini perkongsian pasaran mencapai 20.1% berbanding 17.4% pada Q1 2019.

    Berbanding dengan suku pertama bagi 2020 dan 2019, jualan bagi Saga menyaksikan peningkatan sebanyak 36% dengan 8,824 unit, sementara jualan Iriz juga naik sebanyak 602% kepada 2,009 unit. Lain-lain model yang turut mencatatkan peningkatan termasuklah Persona (+243% ke 5,677 unit) dan Exora (+17% ke 1,091 unit), tetapi X70 pula mengalami penyusutan sebanyak 48% ke 4,145 unit.

    Untuk bulan Mac sahaja, pengeluar kereta nasional ini telah menjual sebanyak 3,277 unit kereta, di mana ia mencatatkan 67% penyusutan berbanding 9,974 unit yang direkodkan pada Februari. Menurut Proton, penyusutan jualan ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila semua pusat jualannya terpaksa ditutup sejak 18 Mac.

    Jualan Proton susut 67% untuk Mac kerana PKP, tapi Q1 2020 naik 20.4% – Iriz +602%, Saga +36%, X70 -48%

    Angka terkini turut menyaksikan 41% penurunan berbanding bulan yang sama pada 2019, dan Proton menjangkakan PKP akan “menjejaskan jualan kereta secara drastik untuk tahun ini”. “Biar pun prestasi kami pada Januari dan Februari dilihat begitu utuh, jauh berbanding apa yang dicatatkan pada 2019, namun momentum kami begitu perlahan disebabkan PKP,” ujar Li Chunrong, CEO Proton.

    Malah Proton juga menjangkakan keseluruhan tahun 2020 ini bakal menjadi “tahun yang cukup mencabar disebabkan penularan wabak COVID-19 biar pun selepas PKP berakhir kerana syarikat-syarikat tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegini”. Li verkata, “Kami akan menggunakan masa yang ada ini untuk merangka strategi seterusnya. Dalam erti kata lain, kami bersedia menyahut cabaran ini.

    “Melihat akan penambahbaikan yang telah dilakukan sejak dua tahun kebelakangan ini, saya yakin Proton dapat mengatasi krisis ini di mana kami mengekalkan tumpuan kami iaitu matlamat jangka panjang syarikat,” tambahnya lagi.

     
     
  • Grab perkenal e-Bazar Ramadan dengan kerjasama majlis perbandaran tempatan 24 April hingga 23 Mei

    Grab perkenal e-Bazar Ramadan dengan kerjasama majlis perbandaran tempatan 24 April hingga 23 Mei

    Berikutan pembatalan bazar Ramadan yang sudah diumumkan secara rasmi di beberapa negeri, Grab mengambil inisiatif menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan penjarakan sosial, tetapi masih mahu orang ramai menikmati juadah kegemaran mereka dengan memperkenalkan e-Bazar Ramadan.

    Platform jualan elektronik ini akan dilaksana bersama majlis perbandaran tempatan, dengan yang sudah mendaftar adalah kerajaan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bagi peniaga pula, sekiranya mereka berminat untuk menyertai e-Bazar Ramadan ini, mereka perlu mendaftar dengan majlis perbandaran.

    Beberapa perlu dihantar oleh peniaga yang berminat, termasuk lesen perniagaan, penyata bank, logo syarikat, senarai barang jualan bersama harganya, kad pengenalan pemilik perniagaan, gambar halaman gerai, alamat emel serta memiliki telefon pintar Android untuk menggunakan aplikasi merchant GrabFood.

    Grab perkenal e-Bazar Ramadan dengan kerjasama majlis perbandaran tempatan 24 April hingga 23 Mei.

    Peniaga yang terpilih untuk menyertai e-Bazar Ramadan ini akan diberi latihan dan apabila beroperasi nanti, mereka cuma perlu menyediakan makanan atau minuman mengikut pesanan yang diterima dalam aplikasi, bungkuskan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan dan serahkan kepada rakan penghantar Grab yang akan menghantar kepada pelanggan.

    Jumlah jualan harian akan dimasukkan terus kepada akaun bank peniaga yang telah didaftarkan, namun pemprosesan bayaran mungkin akan mengambil masa antara satu hingga tiga hari bekerja bergantung kepada bank. Grab e-Bazar Ramadan akan beroperasi dari 24 April hingga 23 Mei 2020, dari jam lapan pagi hingga lapan malam. Maklumat lanjut di sini.

     
     
  • Castrol sebar kempen #HangUpYourKey – gantung kunci kereta kalau nak cepat hapus Covid-19!

    Pelbagai kempen dijalankan oleh syarikat-syarikat automotif di seluruh dunia bagi mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati ketika pandemik Covid-19 yang mengganas ketika ini – jika Volkswagen, Audi, Hyundai dan pelbagai jenama lain membuat logo kreatif bagi menggalakkan social distancing, Castrol pula hadir dengan kempen #HangUpYourKey untuk menggalakkan orang ramai duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan Coronavirus ini.

    Kempen berkenaan disebarkan dengan penularan video menerusi laman-laman sosial, menampilkan ikon-ikon sukan permotoran dunia seperti anak beranak dari dunia rali Petter dan Oliver Solberg, pemandu F1 pasukan Renault Daniel Ricciardo dan Esteban Ocon, Pelumba MotoGP pasukan LCR Honda Castrol Cal Crutchlow dan ramai lagi yang ‘menggantung kunci’ kenderaan masing-masing dan hanya bermain kereta dan motosikal mainan di rumah.

    Di Malaysia sendiri, sehingga petang ini, sebanyak 4,119 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 65-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita gantung kunci kereta dan motosikal dan tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

    Hari ini masuk hari ke-22 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, dan jika rantaian ini masih berleluasa, tempoh yang dijadualkan akan tamat pada 14 April ini mungkin akan dilanjutkan lagi. Kalau tak nak ia disambung, ayuh bantu barisan hadapan negara untuk menjayakan perperangan terhadap Covid-19 ini dengan duduk di rumah, dan tidak sewenang-wenangnya keluar untuk urusan remeh-temeh!

     
     
  • Kompaun RM1,000 ingkar PKP mulai hari ini – PDRM

    Kompaun RM1,000 ingkar PKP mulai hari ini – PDRM

    Mulai hari ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan menguatkuasakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

    “Kita akan mengeluarkan kompaun kepada pesalah PKP mulai hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Borang-borang kompaun juga sudah diterima dan diedarkan ke semua kontinjen polis negeri,” ujarnya.

    Jelasnya lagi, kompaun terbabit tidak akan diberikan dalam sekatan jalan raya, sebaliknya pesalah PKP ini akan dibawa ke balai polis dan barulah kompaun terbabit diserahkan. Manakala bayaran kompaun perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.

    Kompaun RM1,000 ingkar PKP mulai hari ini – PDRM

    “Jika pesalah enggan membayar kompaun, mereka boleh meminta untuk dibicarakan. Bayaran kompaun terbabit boleh dibayar di mana-mana pejabat Kementerian Kesihatan,” katanya seperti yang dilaporkan menerusi The Star.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara itu kerana jumlah kompaun yang ditetapkan bukanlah nilai yang sedikit.

    “Tiada pemberian diskaun apabila kompaun tersebut telah dikeluarkan,” ujarnya, sambil menambah perkara ini adalah tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

     
     
  • Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

    Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

    Lebih tiga minggu melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, bermacam-macam situasi dan keadaan yang terpaksa kita depani. Selain petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berperang dengan peristiwa-peristiwa sekitar Covid-19 (semoga Tuhan merahmati semua pengorbanan mereka), sebahagian besar lagi warga diminta untuk menyumbang peranan dengan cara yang bagi sesetengah orang sangat aneh – duduk diam-diam di rumah.

    Bunyinya macam mudah, tetapi itu pun ada yang mengeluh. Dalam berhadapan dengan situasi seperti ini, ramai yang terpinga-pinga dan resah, terutama di awal-awal pelaksanaan PKP, kerana tak tahu bagaimana untuk menguruskan masa yang ada, di samping rasa kekok terpaksa berkurung di rumah. Bagi mereka yang selalu aktif secara fizikal, ini mungkin satu hal yang agak payah untuk menyesuaikan diri.

    Mungkin, lepas seminggu melaluinya, dan ramai di antara kita sudah boleh beradaptasi dengan suasana dan realiti baru ini, sesuatu perlu dilakukan untuk kekal produktif, paling tidak dari segi fikiran, kalau pun bukan tubuh badan. Di dalam keadaan ini, anda boleh memilih untuk terus mencari alasan untuk tidak berbuat apa-apa dan menjadi counter-productive, atau sebaliknya meneroka hal-hal lain yang boleh dilakukan.

    Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

    Wabak Covid-19 mungkin penularan dengan skala paling pernah besar melanda seluruh dunia, tetapi ia bukanlah pengalaman pertama sepanjang kewujudan manusia berhadapan dengan kes seumpamanya, termasuklah perintah berkurung di rumah. Dan di sebalik segala macam kerosakan dan kemusnahan yang berpunca daripada penularan wabak sejak dulu, sejarah dunia pernah menyaksikan banyak juga perkara penting dan yang baik-baik terlahir daripada waktu-waktu sukar seperti sekarang.

    25 Julai 1665, seorang budak berusia lima tahun, John Morley ditemui mati di rumahnya di Cambridge, England. Ada kesan bintik-bintik hitam pada dadanya; dia menjadi kes pertama yang diketahui terkena dan mati akibat wabak bubonik dan menjadi petanda awal penularan ketika itu. Perintah berkurung pun diperkenalkan. Salah seorang pemuda berusia 26 tahun di Trinity College antara yang terkesan dengan perkembangan tersebut dan terpaksa berkurung di rumah – sesetengah sumber mengatakan ia berlanjutan sehingga dua tahun. Hari ini, pemuda berkenaan kita kenali dengan nama Isaac Newton.

    Sebagai lanjutan kepada pertanyaan terhadap masalah-masalah sains yang sedang diselidik sebelum itu, tempoh perintah berkurung berkenaan memberi ruang kepada Isaac Newton untuk memperlahankan rentak hidupnya dan fokus kepada permasalahan yang cuba dihadam sejak bergelar seorang pelajar ketika itu. Maka, dari tempoh perintah berkurung itulah dia menemukan hal-hal yang mengubah pengatahuan dunia terhadap sains; beliau jadi pemangkin yang menemukan ilmu kalkulus, mencipta sains pergerakan, membongkar graviti dan lain-lain.

    Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

    Itu cerita ribuan tahun dahulu. Dan hari ini, sejarah yang sama sedang berputar sekali lagi di hadapan mata kita. Bukanlah maksudnya kita inginkan seorang lagi Isaac Newton ketika wabak Covid-19 ini melanda (kalau ada, apa salahnya?), tetapi sekadar untuk menunjukkan bagaimana masa dan pengurungan di rumah yang ada ini dapat digunakan untuk menjana atau menghasilkan suatu manfaat yang lain, setidak-tidaknya sebagai pencapaian untuk diri sendiri.

    Antara kelompok yang paling “beruntung” dalam waktu-waktu begini mungkin mereka yang bergelut dengan dunia kreatif. Pereka, penulis, pemuzik, artis grafik dan lain-lain. Waktu bersendirian yang ada ini (tentulah jika keadaan di rumah mengizinkan untuk ini berlaku) memberikan satu ruang dan peluang baru untuk kita meneroka dan merenung pelbagai hal yang sebelum ini bukan sahaja tak berkesempatan untuk dicuba, bahkan untuk difikirkan.

    Satu contoh kecil yang dimaksudkan ini ditunjukkan oleh Afiq Afify Anuar. Selaku pekerja freelance yang banyak terlibat dengan kerja-kerja rekaan dalam bidang seni bina atau architecture sejak 2014, beliau antara lain merupakan pendiri bagi sebuah jenama pakaian dan grafik AkuDesign. Tetapi, sebelum ini, sedikit pun dia tak pernah berminat, apatah lagi membayangkan untuk menghasilkan rekaan-rekaan grafik berkaitan automotif.

    Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

    Namun, tempoh PKP ini menghimpitnya ke satu sudut lain. Tak banyak pekerjaan untuk dilakukan, jualan barangan juga mungkin tidak serancak dahulu. Tetapi, gesaan kreatif dalam diri tetap perlu diluah dan dikeluarkan. “Saya mula sebab rasa bosan masa PKP ini, itu sahaja,” ujarnya. Yang dirujuk ialah rekaan-rekaan grafik kereta-kereta modifikasi yang dibayangkan semula olehnya.

    “Sepanjang PKP, masa terlalu banyak terbuang macam itu saja. Jadi, awalnya saya banyak luangkan masa untuk menonton Netflix. Sehinggalah saya terjumpa sebuah dokumentari – Formula One: Drive To Survive,” jelas Afiq. “Sejak itu saya terfikir dan terbayang-bayang, macam mana rupa kereta-kereta nasional kita sendiri kalau diberi imej dan modifikasi sama seperti yang saya lihat dalam dokumentari berkenaan,” tambahnya.

    Sejak itu bermulalah kenakalan imaginasinya, walhal, sebelum ini langsung tak terlalu berminat tentang kereta atau automotif secara umumnya. Tetapi, gesaan kreatif dalam diri telah mengganggunya, dan memaksa untuk dia berbuat sesuatu untuk meredakan gelisah dalam diri. Makan perlahan-lahan, terhasilkan beberapa rekaan seperti yang anda lihat ini.

    Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

    “Satu lagi, ini macam satu pernyataan saya untuk menjawab tentang bayangan yang disogokkan kepada kita berkaitan 2020. Sejak dulu orang bercakap tentang tahun 2020 yang tersangat canggih, dengan kereta terbang segala macam. Tetapi realitinya tidak. Jadi rekaan-rekaan kereta modifikasi begini bagi saya adalah lebih dekat dengan budaya dan imaginasi orang kita, berbanding kereta terbang yang selalu dimomokkan dahulu,” jelasnya.

    Afiq bermula dengan tiga kereta nasional Malaysia terlebih dahulu; Proton Saga, Perodua Kancil dan juga Proton Juara. “Kemudian, anda orang yang comission-kan saya untuk membuat rekaan yang mereka nak, misalnya Land Rover Defender. Dalam masa yang singkat, daripada sekadar hobi suka-suka, saya juga dapat memuaskan atau menggembirakan orang lain dan jana sedikit duit. Ini satu hal yang di luar jangkaan saya sendiri,” tambah Afiq.

    Apa pandangan anda tentang rekaan grafik modifikasi kenderaan yang dihasilkan ini? Kalau anda atau ada kenalan yang ada tenaga kreatif berkaitan automotif yang ingin dikongsikan, sila emelkan ke [email protected]. Kekal selamat, semua. Dan terus alirkan daya kreativiti anda.

     
     
  • Pelumba NASCAR hilang penaja sebenar selepas tarik diri dari perlumbaan simulator hujung minggu lalu

    Pelumba NASCAR hilang penaja sebenar selepas tarik diri dari perlumbaan simulator hujung minggu lalu

    Seperti juga acara-acara sukan lain, hampir semua acara perlumbaan sukan bermotor dihentikan kerana pandemik Covid-19. Ini menyebabkan ramai pelumba-pelumba sebenar kini beralih ke perlumbaan maya atas talian, menggunakan simulator-ada yang suka-suka, ada juga yang semakin serius.

    Hujung minggu lalu, penganjur perlumbaan NASCAR Amerika Syarikat telah mengadakan satu perlumbaan iRacing Pro Invitational yang berlangsung di litar maya Bristol Motor Speedway sebagai salah satu perlumbaan yang diadakan bagi mengisi kekosongan perlumbaan sebenar yang telah dibatalkan. Pelumba Richard Petty Motorsports, Bubba Wallace turut menyertai perlumbaan ini, namun beliau menarik diri dari perlumbaan setelah terlibat dengan insiden kemalangan pada lap ke-11.

    Insiden tersebut menyaksikan Wallace dihimpit ke dinding oleh Clint Bowyer. Berang dengan apa yang dilakukan Bowyer, Wallace mengambil keputusan untuk berhenti terus dari perlumbaan berkenaan. Ramai peminat tidak berpuas hati dengan tindakan Wallace tersebut, namun dia memberikan respon “saya dah rosakkan hari ramai orang dengan menarik diri dari..permainan video..Bahaha. Permainan video” di akaun twitter peribadinya.

    Pelumba NASCAR hilang penaja sebenar selepas tarik diri dari perlumbaan simulator hujung minggu lalu

    Wallace mungkin menganggap perlumbaan ini sebagai ‘permainan video’, namun tidak untuk penajanya dalam dunia perlumbaan sebenar iaitu Blue Emu yang menarik tajaan mereka kerana tidak berpuas hati apa yang dilakukan oleh Wallace.

    “Kami tidak lagi menaja Bubba. Boleh anda bayangkan jika dia buat perkara sama di litar sebenar? Saya pernah bekerja di NASCAR dan anda tidak akan mendapat pulangan semula dolar-untuk-dolar dengan pelaburan seperti ini,” kata naib presiden eksekutif Blue-Emu, Ben Blessing kepada Action Network.

    “Kami sangka ini adalah rahmat buat kami. Tetapi selepas itu baru anda sedar bahawa anda bukan menaja pemandu NASCAR, tetapi anda menaja seseorang yang seperti anak saya yang berumur 13-tahun yang rosakkan alat kawalan permainan video ketika bermain permainan membina rumah,” jelas Blessing lagi.

    Blessing turut memberitahu bahawa Blue-Emu menaja perlumbaan secara mingguan, dan selepas ini Richard Petty Motorsport tidak akan menerima invois untuk perlumbaan maya hujung minggu lalu kerana insiden yang terjadi.

     
     
  • SIC lantik CEO baru untuk menggantikan Razlan Razali

    SIC lantik CEO baru untuk menggantikan Razlan Razali

    Selepas lebih 11 tahun menggunakan khidmat Datuk Razlan Razali sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO), Sepang International Circuit (SIC) hari ini mengumumkan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Azhan Shafriman Hanif. Selepas ini, Razlan akan menumpukan sepenuh masa sebagai ketua pasukan Petronas Sepang Racing Team dalam perlumbaan MotoGP.

    Shafriman mempunyai latar belakang sebagai jurutera mekanikal, pernah berkhidmat untuk Petronas selama 13 tahun dan jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah ketua kerjasama strategik bahagian jenama Petronas. Beliau juga sudah biasa dengan selok belok sukan permotoran antarabangsa.

    Untuk tempoh masa awal ini, Shafriman meletakkan sasaran untuk mengatasi kekurangan perniagaan SIC bersama pasukan, serta membuat strategi masa hadapan semasa ekonomi berhadapan kesukaran sekarang. Untuk tempoh masa yang lebih panjang pula, beliau mensasarkan kecemerlangan operasi, pengurusan serta kawalan proses, dengan usaha lestari dan kerjasama baru.

    SIC lantik CEO baru untuk menggantikan Razlan Razali

    Sebagai CEO juga, Shafriman akan meneruskan pelan utama SIC yang pernah dibentangkan pada tahun 2014, untuk menjadikan litar ini sebagai hab sukan, hiburan dan pembelajaran canggih di Asia. Sekitar 60% inisiatif pembangunan yang diperincikan dalam pelan itu telah dilaksana dan ia akan disambung lagi dengan pembangunan seperti pusat pengalaman pemanduan, litar offroad, litar drag, hotel dan taman tema.

    “Mengetuai pasukan SIC sebelum ini adalah satu perjalanan yang menakjubkan. Apa yang telah kami capai sebelum ini ternyata adalah satu usaha berpasukan – ia tidak akan berjaya tanpa sokongan penuh dan komitmen bukan sahaja pasukan di SIC, tetapi juga daripada rakan kongsi dan pemegang saham. Meskipun saya masih lagi merupakan ketua pasukan Petronas Racing Team, saya tentunya akan merindui bekerjasama dengan pasukan SIC. Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka dan CEO baru,” kata Razlan.

     
     
  • BMW 330i M Sport dan 320i Sport G20 alami kenaikan harga kini RM294k dan RM249k – 330i ada AEB

    BMW 330i M Sport dan 320i Sport G20 alami kenaikan harga kini RM294k dan RM249k – 330i ada AEB

    BMW Malaysia telah mengemaskini harga bagi varian 330i M Sport dan 320i Sport G20, dan ternyata ia mengalami kenaikan untuk kedua-dua model CKD berkenaan. Bagi 330i M Sport kini ditawarkan pada harga RM293,800, naik sebanyak RM5k dari RM288,800 ketika versi pemasangan tempatan ini diperkenalkan pada September lalu.

    Sementara itu, harga bagi 320i Sport juga naik sebanyak RM5k, kini menjadi RM248,800 (berbanding RM243,800 sebelum ini). Model pemasangan tempatan ini dilancarkan pada Januari lalu.

    Bagi 330i, peningkatan harganya turut ditambah dengan kit ekstra termasuklah pakej Bantuan Pemanduan, dengan menambah Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Penukaran Lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pengelak pelanggaran belakang serta AEB, dengan amaran pelanggaran hadapan disusuli tindakan balas brek.

    BMW 330i M Sport dan 320i Sport G20 alami kenaikan harga kini RM294k dan RM249k – 330i ada AEB

    Walau bagaimana pun pakej Bantuan Pemanduan ini tidak disebut dalam senarai harga rasmi 320i Sport, dengan kit Bantuan Pemandu masih sama disenaraikan, termasuk memiliki Attentiveness Assistant, kawalan kelajuan pasif dengan fungsi brek, bantuan parkir dengan bantuan undur dan kamera pandangan belakang.

    Kalau ikut dokumen yang ditunjukkan, 320i Sport ini sepatutnya turut menerima pakej Bantuan Pemanduan seperti 330i, termasuk LDW, Amaran Penukaran Lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan maklumbalas brek dan amaran lintasan trafik belakang serta pengelak pelanggaran belakang.

    Sama ada ia memang kekal seperti mana yang disahkan secara rasmi, tapi selalunya mesti ada ciri tambahan jika melibatkan kenaikan harga, sama seperti 330i M Sport. Apa pun nanti kami akan menyemaknya dengan BMW Malaysia dan akan berkongsi perkembangan selanjutnya jika ada.

    GALERI: BMW 330i G20 CKD

    GALERI: BMW 320i Sport G20 2020, CKD

     
     
  • Toyota India hentikan jualan Corolla kerana kurang permintaan, tumpu model rebadge dari Maruti Suzuki

    Toyota India hentikan jualan Corolla kerana kurang permintaan, tumpu model <em>rebadge</em> dari Maruti Suzuki

    Siapa yang tak kenal Toyota Corolla? Ia adalah antara model paling laris di dunia dengan jualan lebih 44 juta unit selama 50-tahun iaitu dari pengenalannya pada 1966 hingga 2016. Namun lain pula ceritanya di India – Toyota kini sah menghentikan terus jualan Corolla di negara tersebut kerana kurang permintaan, lapor IndiansAutoBlog.

    Toyota Corolla kini sudahpun berada selama 17-tahun di India, mula masuk ke negara berkenaan menerusi model generasi ke sembilan. Model generasi ke-12 sepatutnya akan dilancarkan di pasaran tersebut pada tahun ini, tetapi terpaksa dibatalkan kerana permintaan yang sangat rendah, sekaligus menamatkan terus penjualan plat nama Corolla di India.

    Menurut portal berkenaan lagi, sedan segmen-C merupakan pilihan yang tidak popular di India kerana ia biasanya diimport sepenuhnya dari luar dan secara tidak langsung membuatkan harganya menjadi mahal. Dengan permintaan lebih tinggi terhadap SUV segmen-C selepas Jeep Compass dilancarkan di India pada 2017 menyebabkan pasaran sedan segmen-C ini lebih terjejas teruk.

    Bagi membolehkan Toyota terus hidup di India, Toyota telah menjalinkan kerjasama dengan jenama Jepun-India yang mendominasi pasaran negara tersebut ketika ini iaitu Maruti Suzuki. Jadi, di India tiada Toyota Yaris sama ada versi seperti di Eropah dan Jepun atau versi pasaran ASEAN, tetapi Toyota telah menghidupkan semula nama Glanza di sana, dihasilkan secara rebadge dari Suzuki Baleno.

    Selepas ini, dijangka lebih banyak lagi model-model rebadge Toyota yang dihasilkan dari Maruti-Suzuki bagi membolehkan mereka kekal relevan di India.

     
     
  • Mazda MX-30 akan dapat versi range extender rotary

    Mazda MX-30 akan dapat versi range extender rotary

    Waktu Mazda mendedahkan buat kali pertama crossover elektrik MX-30 pada bulan Oktober tahun lepas, syarikat Jepun itu juga telah memberitahu bahawa versi range extender yang menampilkan enjin rotary juga nanti akan diperkenalkan untuk model tersebut.

    Rancangan itu nampaknya masih diteruskan, di mana dalam siaran akhbar terbaru yang dikeluarkan, Mazda menyambut enjin rotary sebagai bahagian penting sepanjang kewujudan syarikat selama 100 tahun. Perincian tepat berkenaan range extender rotary yang akan digunakan pada MX-30 ini masih belum didedah, tetapi mungkin menggunakan asas seperti sistem yang pernah diguna sebelum ini.

    Pada tahun 2013, Mazda pernah mengeluarkan prototaip model Demio (Mazda 2) elektrik yang menggunakan enjin rotary single rotor 330 cc sebagai range extender dan ia mampu menghasilkan kuasa 38 hp dan jarak gerak menggunakan elektrik 380 km. Jarak ini bersamaan hampir dua kali ganda berbanding jarak yang ditawarkan oleh Demio EV biasa (tanpa range extender), iaitu sekitar 200 km.

    Kenyataan akhbar Mazda juga ada menyatakan, “Syarikat sebelum ini pernah menghasilkan prototaip Mazda 2 EV dengan enjin rotary single rotor yang digunakan sebagai range extender. Sistem hampir sama berkemungkinan diguna pada MX-30, iaitu crossover elektrik bateri baru yang akan tiba di pusat pameran tahun ini.”

    GALERI: Mazda MX-30 di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Status PKP dilanjutkan atau tidak bakal diketahui dalam tempoh 72 jam; zon merah kini cecah 21 lokasi

    Status PKP dilanjutkan atau tidak bakal diketahui dalam tempoh 72 jam; zon merah kini cecah 21 lokasi

    Dalam tempoh 72 jam atau pun lebih tepat lagi, pada Jumaat 10 April ini, keputusan mengenai status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada dilanjutkan mahu pun tidak, akan diketahui, laporan Bernama.

    PKP fasa kedua yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini, telah pun memasuki hari yang ke-22 sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu. Jika kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskannya, Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu mengikut zon-zon kawasan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Perkara ini telah pun dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menurut beliau, ia akan diumumkan esok.

    Mengikut maklumat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) setakat jam 12 tengahari 6 April 2020, terdapat 21 kawasan telah diisytiharkan sebagai zon merah, ini termasuklah seluruh Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Hulu Langat, Gombak, Klang, Hilir Perak, Kinta, Kota Bharu, Jerantut, Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru, Seremban, dan tiga lokasi baharu iaitu Putrajaya, Rembau dan Jasin.

    Sehingga kini, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Simpang Renggam di Kluang, Sungai Lui di Hulu Langat, Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion yang terletak di Kuala Lumpur.

    Status PKP dilanjutkan atau tidak bakal diketahui dalam tempoh 72 jam; zon merah kini cecah 21 lokasi

    Menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 666 operasi sanitasi telah dilakukan di 79 zon termasuk kesemua 18 Zon Merah. Dalam tempoh itu, bangunan kerajaan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut dinyah cemar termasuk 24,077 unit rumah PPR.

    Mengikut pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian semalam, sehingga kini, terdapat 3,953 kes positif dan membabitkan keseluruhan 63 kematian. Ini termasuklah 69 kes sporadik COVID-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya.

    Bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat asing yang berada di negara ini WAJIB untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Inilah masanya untuk kita saling muafakat, bekerjasama dan bergandingan bahu bagi memastikan wabak pandemik ini terus lenyap. Sudah ‘berjuta kali’ ayat ini dilaungkan oleh banyak pihak; “Sila duduk saja di rumah”, “jaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter”, “jaga kebersihan diri” dan “kita jaga kita”.

    Tolonglah bagi kerjasama, jangan sesekali ingkar dengan arahan kerajaan. Sayangi nyawa anda dan orang di sekeliling anda. Dan jangan lupa untuk menghargai jasa pengorbanan para barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam menangani penularan wabak ini.

     
     
  • Fiat Strada 2021 – trak pikap kecil didedah di Brazil

    Fiat Strada 2021 – trak pikap kecil didedah di Brazil

    Fiat telah mendedahkan model terkini trak pikap Strada untuk pasaran Brazil. Strada bakal dijual di bilik pameran di bawah satu lagi trak pikap Fiat yang lebih besar di pasaran berkenaan iaitu Fiat Toro. Ia sepatutnya dilancarkan terus di Brazil pada awal bulan ini, namun akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda yang menyebabkan kilang Fiat tutup, ia mungkin akan dirasmikan pada separuh kedua tahun ini, menurut laporan Motor1.

    Berapa kecil sebenarnya Fiat Strada ini? Ia mempunyai panjang keseluruhan 4,480 mm dengan bed kargo belakang 1,174 mm dan lebar 1,059 mm. Untuk memudahkan anda membayangkannya, berbanding Ford Ranger, Strada adalah 874 mm lebih pendek. Trak pikap kompak ini mempunyai keupayaan mengangkat beban seberat 650 kilogram.

    Dua pilihan enjin akan ditawarkan untuk Strada 2021. Model asas akan dibekalkan dengan enjin 1.4 liter berkuasa 88 hp dengan tork maksima 123 Nm, manakala satu lagi pilihan lebih berkuasa ialah enjin 1.3 liter berkuasa 109 hp dan tork maksima 139 Nm. Tiada pilihan kotak gear auto, di mana kedua-duanya digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    Fiat Strada 2021 – trak pikap kecil didedah di Brazil

    Berbanding model sebelumnya, Strada 2021 ini menampilkan lampu hadapan dengan kedudukan lebih tinggi. Ketika dilancarkan nanti, ia akan hanya tampil dengan bentuk badan double cab empat pintu dengan bed belakang pendek, manakala versi single cab dua pintu bakal diperkenalkan kemudian. Model varian tertinggi akan dibekalkan dengan rel bumbung yang bersambung terus ke sports bar pada bed belakang.

    Dalam kabin, Strada diberikan papan pemuka yang menempatkan skrin infotaimen tujuh-inci bersama suis kawalan pendingin hawa konvensional di bawahnya. Manakala suis-suia kawalan lain diletakkan sebaris di atas skrin berkenaan. Pemandu akan dibantu dengan meter kelajuan bersaiz besar dengan skrin pelbagai info diletakkan di tengahnya.

    Fiat Strada 2021 ini dijangka akan dijual pada harga R$70,000 di Brazil atau sekitar RM58k. Ia juga dijangka akan dijual di Mexico dengan nama Ram Truck 700.

     
     
  • Permintaan Grab menurun, syarikat sedia tiga insentif untuk pemandu — penghantaran GrabFood meningkat

    Permintaan Grab menurun, syarikat sedia tiga insentif untuk pemandu — penghantaran GrabFood meningkat

    Musim Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memang memberi kesan ke atas ekonomi dunia – masing-masing antara kita terpaksa berdepan situasi ini dengan cabaran yang tersendiri. Ada yang hilang pekerjaan, ada yang habis wang tabungan; harapnya mereka yang ada terlebih dapat sama-sama prihatin dan membantu.

    Bagi Grab Malaysia pula, ia mencatatkan penurunan permintaan terhadap perkhidmatan e-hailing sehingga 90% jurangnya sejak PKP dilaksanakan. Tambah menyulitkan pemandu ialah jadual operasi yang dibenarkan hanyalah dari 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. Bagi khidmat penghantaran makanan GrabFood, operasi yang dibenarkan ialah dari 8 pagi hingga 8 malam.

    Menurut Pengurus Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu wawancara di BFM Radio, ini merupakan waktu yang paling mencabar untuk mereka. Permintaan bagi perkhidmatan e-hailing merudum, dan walaupun servis penghantaran makanan semakin melonjak, ia juga membawa masalah yang tersendiri dengan mengakibatkan lebih banyak kerugian dari aspek kos operasi.

    Permintaan Grab menurun, syarikat sedia tiga insentif untuk pemandu — penghantaran GrabFood meningkat

    Bagaimanapun, syarikat itu tidak berhasrat untuk memotong insentif untuk pemandu walaupun sedang berdepan dengan masalah berkenaan. Grab ketika ini mempunyai lebih daripada 100,000 pemandu e-hailing di Malaysia, tetapi mereka juga berada dalam situasi bermasalah kerana tiadanya permintaan.

    Untuk mengatasi hal ini, Grab perkenalkan tiga inisiatif – paling utama dengan meletakkan pemandu Platinum dan Gold mereka ke dalam platform GrabFood. Menurut Sean, pemandu sepenuh masa ini lebih tetap bekerja, dan dengan melakukan itu dapat memastikan pendapatan mereka terus ada.

    Dua lagi dana untuk pemandu turut diperkenalkan. Pertama insurans yang dipanggil Partner Protection Fund yang mana Grab akan menawarkan bayaran sekali bernilai RM300 bagi pemandu yang belum dijangkiti Covid-19, tetapi perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. Pemandu yang telah dijangkiti pula akan menerima RM1,000 – tidak kira sama ada mereka dijangkiti ketika bekerja atau sebaliknya.

    Permintaan Grab menurun, syarikat sedia tiga insentif untuk pemandu — penghantaran GrabFood meningkat

    Terakhir, pemandu Grab layak untuk menikmati diskaun (sehingga 50%) ketika membeli barangan keperluan penting, dengan Grab akan membantu mereka untuk jimat sehingga RM500. Ini berasingan daripada bantuan RM500 yang diberikan oleh kerajaan seperti yang diumumkan sebelum ini.

    Sesetengah kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan RM300 kepada pemandu Grab yang terkesan. Semoga kita semua dapat mengharungi situasi ini sebagai satu komuniti yang berkerjasama untuk kembali memulihkan keadaan dan membangun semula ekonomi di hari mendatang.

     
     
  • 443,160 kenderaan diperiksa pada PKP hari ke-20; jumlah tangkapan masih tinggi – Ismail Sabri

    443,160 kenderaan diperiksa pada PKP hari ke-20; jumlah tangkapan masih tinggi – Ismail Sabri

    Bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, sebanyak 763 sekatan jalan raya telah dilakukan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sejumlah 443,160 buah kenderaan telah diperiksa.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, polis juga telah menahan 403 individu di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP. Walau bagaimanapun jumlah ditangkap semalam menurun berbanding 554 tangkapan pada hari sebelumnya.

    “Berbanding kelmarin, kadar tangkapan ini menurun kepada 26%, namun, jumlah tangkapan 403 individu ini masih tinggi berbanding sebelum ini. Daripada jumlah yang ditahan itu, mereka yang direman adalah 347 individu dan 56 individu dijamin,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambahnya, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah sebanyak 6,451 individu.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu mengikut zon-zon kawasan Khamis ini berhubung langkah kerajaan selepas berakhirnya PKP.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024