Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Triumph Speed Twin dilancar untuk Malaysia – RM74k

    Triumph Speed Twin dilancar untuk Malaysia – RM74k

    Pelancaran model moden klasik Triumph yang berlangsung semalam dijadikan lengkap dengan ketibaan Speed Twin 2019. Model ini turut dilancarkan sekali untuk pasaran Malaysia, dengan tanda harga 73,900 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Daripada namanya juga, anda sudah tahu ia lebih mengutamakan prestasi berbanding Street Twin, dan perkara ini datang paling utama daripada enjin 1,200 cc ‘HP’ dengan lapan injap dan pemetaan yang diambil daripada satu lagi model moden klasik prestasi iaitu Thruxton.

    Enjin dua silinder selari dengan sistem penyejukan cecair ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 95 hp pada 6,750 rpm manakala tork pula berada pada tahap 112 Nm pada 4,950 rpm. Selain daripada itu, ia juga dijadikan lebih ringan, dengan catatan kurang 10 kg berbanding Thruxton, menjadi 196 kg, dan apabila dibandingkan pula dengan Bonneville T120, ia adalah lebih ringan 28 kg (T120 mempunyai berat 224 kg dan kuasa 80 hp).

    Speed Twin ini tidak boleh sekadar dikatakan sebagai Thruxton yang mempunyai gaya berlainan. Bahagian enjinnya juga telah diusik, dengan kini pergerakan inertia crank lebih rendah hasil penggunaan head silinder mampatan tinggi dengan nisbah 11.0:1. Penyampaian bahan api dilakukan oleh penyuntik multipoint sequential, dan kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta klac yang telah diperbaiki untuk memberi tarikan lebih ringan.

    Menggunakan konsep yang lebih sporty, Speed Twin ini diperlengkap dengan pelbagai barangan prestasi termasuk cakera berkembar dan angkup brek empat piston Brembo di hadapan, fork teleskopik 41 mm dan rim aluminium tujuh cabang yang dibalut dengan tayar Pirelli Rosso Corsa 3. Sistem brek ABS dan kawalan cengkaman didatangkan secara standard manakala tinggi tempat duduk pula adalah 807 mm.

    Tangki yang berbentuk klasik pada motosikal ini menyediakan ruang 14 liter untuk bahan api, dan bahan aluminium turut digunakan secara meluas pada bahagian lain termasuk lengan ayun. Speed Twin 2019 didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Silver Ice/Storm Grey dan Korosi Red/Storm yang diberikan sekali dengan jalur khas di tangki, dan juga Jet Black biasa.

     
     
  • MRT: Penutupan lorong Jalan Kuala Selangor-Sg Buloh-Kepong dilanjutkan dari 23 Mac-22 April ini

    MRT: Penutupan lorong Jalan Kuala Selangor-Sg Buloh-Kepong dilanjutkan dari 23 Mac-22 April ini

    MMC-Gamuda telah mengumumkan penutupan tiga lorong sepanjang Jalan Kuala Selangor arah Sungai Buloh dan arah Kepong dilanjutkan bermula 23 Mac sehingga 22 April ini. Ia adalah bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan tiang, pelancaran kekotak segmen (SBG) dan sebarang kerja berkaitan pembinaan MRT.

    Di mana penutupan lorong itu akan dibuat secara berkala dan melibatkan tiga lorong yang dibahagikan kepada Penutupan A, Penutupan B dan Penutupan C.

    Penutupan A membabitkan lorong paling kiri Jalan Kuala Selangor (arah Sungai buloh) di KM47 sebelum masuk ke Sierramas; lorong paling kiri Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh) selepas susur masuk ke Seirramas sepanjang 100 meter; lorong kiri di susur naik menghala ke Sierramas sepanjang 100 meter; lorong kiri menghala ke Tol Sungai Buloh sepanjang 100 meter dan lorong kiri di susur masuk ke Sierramas dan Sekolah Antarabangsa IGB (arah Kepong) sepanjang 100 meter.

    MRT: Penutupan lorong Jalan Kuala Selangor-Sg Buloh-Kepong dilanjutkan dari 23 Mac-22 April ini

    Penutupan Lorong B membabitkan lorong kanan menghala Tol Sungai Buloh sepanjang 100 meter. Syarikat itu menambah, penutupan A dan B adalah 24 jam, bagaimanapun semasa penutupan B, lorong kiri menghala ke Tol Sungai Buloh tidak akan ditutup.

    Penutupan C pula bermula jam 10 malam hingga 6 pagi membabitkan sebahagian lorong kiri selepas Tol Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh) sepanjang 80 meter.

    Turut ditutup ialah sebahagian lorong kanan selepas Tol Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor sepanjang 80 meter, sebahagian lorong kanan di susur jalan ke Sierramas sepanjang 50 meter dan sebahagian lorong kiri di susur jalan ke Sierramas sepanjang 50 meter.

    MRT: Penutupan lorong Jalan Kuala Selangor-Sg Buloh-Kepong dilanjutkan dari 23 Mac-22 April ini

    Syarikat itu turut mengumumkan penutupan separa lorong secara berperingkat setiap 30 meter di Jalan Kampung Batu dan Jalan Kepong Lama selama dua bulan enam hari, bermula 25 Mac sehingga 31 Mei, dari 9 malam sehingga 6 pagi. Sepanjang penutupan di Jalan Kampung Batu, pengguna yang menuju ke Jalan Ipoh dari arah Kuala Lumpur melalui Jalan Kampung Batu masih boleh menggunakan separa lorong sedia ada.

    Semasa penutupan lorong di Jalan Kepong Lama, pemandu ke Jalan Kepong dari arah Kuala Lumpur melalui Jalan Kepong Lama masih boleh menggunakan separa lorong yang sedia ada. Tujuan penutupan ialah untuk kerja-kerja pemindahan utiliti dan kerja-kerja lain yang berkaitan.

    Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan papan tanda trafik dan pengawal bendera yang bertugas.

     
     
  • Toyota produksi kereta hibrid baru untuk Suzuki di UK

    Toyota produksi kereta hibrid baru untuk Suzuki di UK

    Toyota telah mengumumkan akan memproduksi kereta hibrid baharu di UK untuk Suzuki, bagi membantu pekerja industri automotif di Britain disebabkan isu Brexit, laporan The Guardian. Kereta tersebut akan berasaskan Toyota Corolla, dan diumumkan sebagai sebahagian daripada kerjasama global antara Toyota-Suzuki bagi memproduksikan kereta hibrid dan elektrik.

    Kereta baharu ini, yang akan dipasang di kilang Burnaston di Derbyshire (enjin akan dibekalkan oleh kilang Deeside di Wales utara), bukanlah untuk menghasilkan pekerjaan baharu di fasiliti berkenaan, sebaliknya untuk membantu melindungi pekerja sedia ada yang dianggarkan lebih kurang 3,200 orang. Langkah ini dilihat kontra dengan keputusan Honda yang mahu menutup kilang di Swindon, yang menjejaskan 3,500 pekerja.

    Pengarah urusan Toyota Manufacturing UK, Marvin Cook, berkata, “Ini adalah berita baik untuk kilang kami di UK. Mencari jalan untuk memproduksi jumlah tambahan untuk pelanggan-pelanggan lain adalah salah satu contoh usaha yang boleh kami ambil untuk memastikan operasi pembuatan di UK kompetitif seperti yang sepatutnya.”

    Melangkah ke hadapan, Toyota akan memproduksikan model hibrid berasaskan Coroola dan SUV RAV4 untuk Suzuki di Eropah, sementara Suzuki akan membekalkan Toyota enjin petrol untuk model kenderaan kompak yang akan dijual di rantau yag sama. Kerjasama ini juga menyaksikan Suzuki akan memproduksi lebih banyak kenderaan Toyota pada masa akan datang.

    Laporan tersebut turut menyebut, Suzuki, dilihat kecil tetapi merupakan pemain yang dominan dalam pasaran automotif India yang berkembang pesar, membantu Toyota untuk memperluaskan kehadirannya di India, dan miliki perancangan untuk membangunkan dua model kompak berasaskan model Ciaz dan Ertiga. Toyota pula terpaksa berhempas pulas untuk meningkatkan jualan di pasaran kereta penumpang kelima terbesar, disebabkan permintaan yang lemah bagi kereta kos rendah.

    Rakan kerjasama ini membolehkan Suzuki untuk akses kepada bahagian R&D Toyota untuk membantu membangunkan kenderaan emisi-rendah dan kereta pandu-sendiri, di mana Suzuki mengakui ia belum cukup mahir untuk itu. Sebagai balasan, Suzuki akan memproduksikan Baleno, Vitara Brezza, Ciaz, dan Ertiga untuk Toyota, yang akan dijenama semula dan dinamakan sebagai model Toyota untuk pasaran Afrika.

    Presidek Toyota Akio Toyoda berkata, “Kami percaya perkembangan dalam rakan kerjasama perniagaan dengan Suzuki ini mampu membantu kami untuk lebih kompetitif dan terus bertahan dalam satu abad yang penuh perubahan ini.”

     
     
  • ULASAN RINGKAS: Honda HR-V 1.5L Hybrid – RM121k

    Honda HR-V 1.5L Hybrid 2019 merupakan SUV kompak pertama yang dijual untuk pasaran Malaysia setakat ini. Ia tambahan terbaru yang diperkenalkan sekali dengan barisan HR-V facelift yang lain Januari lalu, dan merupakan model hibrid ketiga sejak 2017 selepas Honda Jazz Hybrid dan Honda City Hybrid (dikenali juga dengan nama Sport Hybrid i-DCD).

    Ia menggunakan enjin baru 1.5 liter suntikan terus empat-silinder patrol dengan kuasa 132 PS pada 6,600 rpm dan 156 Nm pada 4,600 rpm. Ia turut disertai dengan satu motor elektrik 22 kW/160 Nm; gabungan kedua-duanya akan berikan output keseluruhan 152 PS dan 190 Nm. Ini melebihi apa yang diberikan oleh HR-V 1.8L.

    Transmisi juga berbeza daripada daripada varian 1.8L; model hibrid ini menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan ke roda hadapan. Bagaimanapun, ciri sistem stereng Variable Gear Ratio hanya ditawarkan bagi varian tertinggit HR-V RS sahaja.

    Sebenarnya banyak lagi kelebihan model hibrid ini kalau nak dibandingkan dengan varian HR-V yang lain. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh tonton video ringkas yang kami sediakan ini. Kemudian anda kongsikan pandangan peribadi, adakah HR-V Hybrid ini sesuai untuk anda atau sebaliknya.

    Honda HR-V 1.5L Hybrid 2019

     
     
  • Proton bakal bina kilang pemasangan di Pakistan

    Proton bakal bina kilang pemasangan di Pakistan

    Perjanjian yang berlangsung antara Proton dan rakan perniagaannya dari Pakistan, Alhaj Automotive, pada tahun lalu, mendorong syarikat pengeluar kereta nasional pertama negara ini untuk menganjurkan potensi yang besar. Antaranya ialah mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di Pakistan, kilang pertama Proton di kawasan Asia Selatan.

    Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Ikram Mohammad Ibrahim, daripada segi potensi pasaran kenderaan di Pakistan, Proton rasakan potensinya amat besar. Itulah sebabnya Proton setuju bekerjasama dengan Alhaj automotive untuk membina kilang pemasangan berhampiran Karachi di wilayah Sindh.

    “ Ia signifikan kerana ini akan menjadi kilang pertama Proton di Asia Selatan berdasarkan jumlah penduduk di negara ini sahaja sudah 210 juta,” katanya seperti yang dilaporkan menerusi Bernama.

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan, dijangka menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang Proton itu pada Jumaat ini.

    Ikram berkata pembinaan kilang itu merupakan elemen penting dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara memandangkan Proton merupakan ilham Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri buat pertama kali dahulu. Tambahnya, kedua-dua Perdana Menteri itu juga akan berbincang dengan lebih terperinci mengenai usaha mempertingkat hubungan dagang antara kedua-dua negara.

     
     
  • Triumph Street Twin dan Street Scrambler 2019 tiba di M’sia – harga masing-masing RM55,900 dan RM64,900

    Triumph Street Twin dan Street Scrambler 2019 tiba di M’sia – harga masing-masing RM55,900 dan RM64,900

    Triumph Motorcycles Malaysia dalam majlis yang sama dengan pelancaran Scrambler 1200 turut memperkenalkan model baru Street Twin yang dijual pada harga RM55,900 serta satu lagi variasinya iaitu Street Scrambler pada harga RM64,900.

    Bagi model baru Street Twin 2019 ini, daripada aspek penampilan, rekaan asasnya masih sama tetapi kini didatangkan dengan rim aluminium, logo serta paparan instrumen yang lebih premium. Kemudiannya, beberapa perincian lain turut diperbaharui, termasuk tapak lampu hadapan, lencana pada tangki, bahan untuk tempat duduk serta unit lampu utama itu sendiri.

    Tidak terhenti setakat di situ, prestasi model ini juga dipertingkat, bermula dengan bahagian enjin. Walaupun masih menggunakan unit asas sama iaitu unit dua silinder selari 900 cc HT, kuasanya telah dipertingkat sebanyak 10 PS (+18%) dan had kitaran tertinggi enjin telah dinaikkan sebanyak 500 rpm. Tork pula masih berada pada 80 Nm. Semua ini adalah hasil daripada penggunaan crankshaft, dead shaft, balance shaft dan klac yang lebih ringan.

    Selain daripada itu, demi memberikan tunggangan yang lebih memuaskan, aspek ergonomik untuk penunggang dan juga penumpang motosikal ini telah diperbaiki dan dijadikan lebih dinamik dengan katrij fork hadapan berspesifikasi tinggi dengan jarak gerak 120 mm. Angkup brek juga dipertingkat dengan unit empat piston daripada Brembo di hadapan.

    Untuk sistem elektronik, Street Twin 2019 kini didatangkan secara standard dengan dua pilihan mod tunggangan (Road dan Rain), brek ABS, sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup, soket pengecas USB, lampu belakang LED, immobiliser dan klac jenis Torque Assist.

    Untuk model standard, Triumph menawarkan tiga warna bagi Street Twin 2019 iaitu Matt Ironstone, Korosi Red dan Jet Black, dan pengguna boleh memilih pelbagai aksesori lain yang terdapat di dalam katalog. Untuk menjadikannya lebih senang, terdapat juga dua pakej lain iaitu kit Urban Ride dan Cafe Custom yang boleh menjadikan penampilan motosikal itu berbeza.

    Triumph Street Twin dan Street Scrambler 2019 tiba di M’sia – harga masing-masing RM55,900 dan RM64,900

    Pergi pula kepada model Street Scrambler 2019, memandangkan ia menggunakan asas yang sama dengan Street Twin, peningkatan yang diberi berbanding model sebelum ini juga adalah sama, bermula pada bahagian enjin, yang kini berkuasa 65 PS (naik 10 PS/18%), tork 80 Nm dan had kitaran tertinggi enjin telah dinaikkan sebanyak 500 rpm.

    Kemudiannya pada bahagian elektronik, Street Scrambler juga kini dilengkapi dengan dua pilihan mod tunggangan (Road dan Rain), brek ABS, sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup, soket pengecas USB, lampu belakang LED, immobiliser dan klac jenis Torque Assist.

    Pengendalian Street Scrambler juga dijadikan lebih baik dengan penggunaan katrij fork hadapan berspesifikasi tinggi dengan jarak gerak 120 mm serta angkup brek Brembo baru. Ini melengkapi ciri lain Street Scrambler seperti pemegang yang lebar, tempat letak kaki lebih ke hadapan, rim lidi 19 inci di hadapan serta tayar Metzeler Tourance yang diberikan secara standard.

    Untuk penampilan, model tahun 2019 ini dilengkapi dengan panel tepi yang diletakkan dengan logo lebih kontemporari, panel instrumen gaya baru, tempat duduk berorientasikan jelajah dengan gabungan fabrik dan kulit tahan lasak serta jarak antara fork yang lebih lebar. Pilihan warna yang disediakan pula adalah Fusion White, Cranberry Red dan Khaki Green.

    Selain pilihan aksesori yang pelbagai dalam katalog Triumph, pembeli juga boleh mendapatkan kit khas Urban Tracker yang akan menjadikan motosikal ini lebih lengkap bersama beg barangan di tepi, ekzos Vance & Hines, penutup tempat mengisi minyak hitam aluminium CNC, jeriji di depan lampu, pelindung bawah enjin dan beberapa lagi aksesori lain.

    GALERI: Triumph Street Twin 2019


    GALERI: Triumph Street Scrambler 2019


     
     
  • Triumph Scrambler 1200 XC dan XE dilancar di M’sia – pelbagai kelengkapan premium, harga dari RM81k

    Triumph Scrambler 1200 XC dan XE dilancar di M’sia – pelbagai kelengkapan premium, harga dari RM81k

    Selepas dipertontonkan buat kali pertama kepada dunia Oktober tahun lalu, Triumph Scrambler 1200 kini sudah pun tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu XC yang asas pada harga RM80,900 dan XC yang mempunyai senarai kelengkapan lebih tinggi pada harga RM86,900. Harga ini tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

    Kedua-dua model baru ini menggunakan enjin dua silinder yang sama, iaitu unit dua silinder selari 1,200 cc High Power yang ditala khas untuk tunggangan offroad, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 88.7 hp pada 7,400 rpm dan 110 Nm tork pada 3,950 rpm. Jumlah ini bersamaan 12.5% lebih berkuasa berbanding Bonneville T120 dan 38% lebih tork berbanding Street Scrambler 900 cc.

    Antara ciri baru pada Scrambler 1200 ini adalah panel instrumen TFT-LCD berwarna penuh yang didatangkan dalam beberapa pilihan tema dan boleh diletakkan dengan nama pemilik. Kemudiannya, ia juga menyediakan mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Offroad, Sport dan satu lagi mod khas yang boleh dilaras mengikut kemahuan.

    Bagi Scrambler XE, ia mendapat tambahan satu lagi mod iaitu OffRoad Pro, yang akan menutup sistem brek ABS dan kawalan cengkaman. Selain daripada itu, XE juga dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU), seterusnya disambung dengan sistem Cornering ABS dan Cornering Traction Control.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Scrambler 1200 baru ini adalah pemula enjin tanpa kunci, klac torque assist, pengecas USB di bawah tempat duduk dan cruise control. Apabila mendapatkan modul Bluetooth yang dijual berasingan, pemilik boleh menyambung panel instrumen motosikal ini kepada fungsi navigasi Google, telefon pintar untuk menjawab telefon dan mendengar musik, serta kawalan kamera GoPro.

    Suspensi yang digunakan pula adalah gabungan antara dua jenama iaitu Showa untuk fork hadapan yang boleh dilaras dan Ohlins untuk monoshock belakang (juga boleh dilaras). Bezanya, XC disediakan dengan jarak gerak suspensi 200 mm manakala XE lebih panjang dengan 250 mm. Brek adalah sama untuk kedua-dua model – angkup Brembo Monobloc M50 empat piston dengan cakera 320 mm berkembar di hadapan dan angkup Brembo dua piston dengan cakera 255 mm tunggal di belakang.

    Triumph Scrambler 1200 XC dan XE dilancar di M’sia – pelbagai kelengkapan premium, harga dari RM81k

    Perbezaan lain di antara dua model ini adalah XC mempunyai tinggi tempat duduk 840 mm manakala XE lebih tinggi, menjadi 870 mm. Rim pula adalah unit 21 inci 36 jejari di hadapan, 17 inci 32 jejari di belakang, dan dibalut dengan tayar tanpa tiub Metzeler Tourance.

    Bagi menjadikan Scrambler 1200 ini lebih unik untuk setiap pemilik, Triumph turut menyediakan lebih 80 pilihan aksesori dalam katalog mereka, termasuk dua kit inspirasi yang dinamakan sebagai Escape untuk kegunaan jelajah dan Extreme untuk kegunaan offroad lebih kasar.

    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XE 2019


    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XC 2019


     
     
  • BMW 3 Series G20 dilihat di Malaysia – 330i M Sport

    BMW 3 Series G20 dilihat di Malaysia – 330i M Sport

    Sah BMW Malaysia dalam persiapan akhir untuk memperkenalkan model BMW 3 Series G20 tak lama lagi. Dan kini, beberapa unit awalnya telah mula dihantar ke bilik pameran, seperti yang sempat dilihat oleh pembaca kami ini, Duncan Loo dan Inchek Muhammad.

    Berdasarkan lambang yang ada, varian 330i M Sport akan menanti pembeli di sini, yang menggunakan enjin 2.0 liter turbocaj empat-silinder petrol. Ia menghasilkan janaan 285 PS dari 5,000 rpm hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi lapan-kelajuan automatik dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

    Kereta ini datang dengan rim 18-inci dua warna Orbit Grey M Light standard, serta lampu utama LED dengan DRL berbentuk U. Kit M Sport termasuk rekaan bampar yang lebih agresif dengan bukaan bahagian bawah lebih besar dengan lampu kabus yang lebih jelas.

    Di belakang juga turut menggunakan lampu LED dengan rekaan bentuk L tiga dimensi, dengan dua corong ekzos di bawahnya. Perbezaan antara Sport Line dan Luxury Line pula dapat dilihat pada kemasan bentuk T pada bucu bampar depan, dan dibezakan dengan kemasan krom. Pilihan warna yang ada ialah Portimao Blue, Sunset Orange metalik, dan antara Alpine White atau Mineral White.

    Bahagian dalam kereta ini bagaimanapun belum dapat dilihat; ia akan membawa pendekatan yang sama seperti yang ada pada model 8 Series G15, X5 G05 dan Z4 G29. Senarai kelengkapan yang akan ditawarkan juga masih belum didedahkan, namun ada beberapa ciri yang dijangka akan ada pada BMW 3 Series G20 ini, seperti skrin tengah 10.25-inci dengan paparan panel instrumen 12.3-inci dengan sistem operasi BMW 7.0 serta Intelligent Personal Assistant.

    Apa pun, untuk perincian spesifikasi yang lebih tepat, ia hanya akan diketahui sebaik sahaja model ini dilancarkan secara rasmi nanti. Ikuti perkembangannya bersama kami.

     
     
  • VIDEO: Toyota Supra kembali ke Super GT 2020

    Seperti yang kami laporkan ketika kunjungan ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2019 Januari lalu, Toyota mengesahkan akan kembali ke kejohanan Super GT Jepun untuk musim 2020 dengan Supra generasi A90 baharu. Bagi memberi amaran awal kepada pasukan-pasukan lain yang turut bertanding, Toyota telah menyiarkan satu video yang memaparkan lagenda-lagenda Supra generasi sebelumnya – A80 – bersama pemandu-pemandu terdahulu.

    Kereta pertama yang muncul pada video ini tentulah jentera yang paling ikonik iaitu Castrol TOM’S Supra GT500 yang bertanding dalam All-Japan Grand Touring Car Championship (JGTC – nama lama bagi perlumbaan Super GT) yang muncul buat pertama kali pada tahun 1995, dan di pandu oleh Masanori Sekiya.

    Sekiya merupakan pemandu yang tidak asing dengan Toyota, dan telah berlumba untuk jenama berkenaan sejak sekian lama termasuk mengemudi jentera Fujitsu Ten Supra A70 Turbo Group A pada perlumbaan JTCC 1990. Manakala Castrol TOM’S Supra ini berjaya memenangi gelaran juara JGTC untuk musim 1997 menerusi pasangan pemandu Micheal Krumm dan Pedro De La Rosa.

    VIDEO: Toyota Supra kembali ke Super GT 2020

    Seterusnya adalah satu lagi jentera ikonik Esso Ultraflo Supra untuk perlumbaan Super GT tahun 2002. Jentera ini dipandu oleh pasangan Akira Iida dan Juichi Wakisaka – mereka turut mencapai keputusan yang sama iaitu juara keseluruhan Super GT 500 untuk musim 2002.

    Selepas itu, jentera JGTC Cerumo Supra GT500 2001 pula muncul – ia dipandu oleh pasangan Yuji Tachikawa dan Takeichi Hirokiri, dan kedua-dua mereka berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kategori pemandu untuk kelas GT500 musim berkenaan.

    Untuk pengetahuan anda untuk generasi A80 sebelum ini Supra tidak pernah menggunakan enjin asalnya iaitu 2JZ-GTE dalam perlumbaan Super GT. Ini kerana dalam perlumbaan tersebut tidak dinyatakan ia perlu menggunakan enjin asli, sebaliknya hanya dihadkan pada aspek kuasa kuda.

    Bagi jentera JGTC 1995, Supra dijana oleh enjin 2.1 liter empat silinder turbo 4T-GTE, kemudian digantikan dengan enjin empat-silinder 2.0 liter turbo 3S-GTE seperti pada kereta lumba Toyota Celica WRC. Enjin-enjin berkenaan tidak mempunyai masalah untuk ditala bagi menghasilkan kuasa maksima 500 hp, dan berbanding enjin enam-silinder 2JZ, rekaan empat-silinder ini lebih ringan dan kompak dan membolehkan ia diletak lebih rendah dan hampir dengan kokpit, bagi mendapatkan nisbah berat dan titik graviti lebih baik.

    Namun pada era awal Y2k, jentera Supra Super GT mula dijana oleh enjin 4.3 liter V8 3UZ-FE tanpa bantuan turbo. Enjin berkenaan dipilih kerana dapat menghasilkan tork linear yang lebih besar dari enjin-enjin turbo berkapasiti kecil.

    VIDEO: Toyota Supra kembali ke Super GT 2020

    Jentera Super GT Toyota GR Supra generasi baharu berkenaan telah didedahkan pada TAS 2019, tetapi spesifikasinya masih belum dinyatakan oleh Toyota. Namun dari segi rupa, kereta lumba tersebut masih mengekalkan identiti sebuah mesin Super GT sejati dengan muka hadapan lebih rendah, kit aero yang lebih lebar dan bersegi, bersama sayap GT bersaiz gergasi.

    Setelah jentera Supra generasi baharu ini berlumba dalam siri Super GT nanti, ia bukan sahaja akan membawa kembali nama Supra dalam Super GT, malah nama Toyota itu sendiri. Ini kerana apabila Supra direhatkan pada akhir musim 2006, ia kemudian diambil alih oleh divisi mewahnya iaitu Lexus bermula pada 2007.

    GALERI: Model konsep Toyota GR Supra A90 Super GT 2020 di Tokyo Auto Salon 2019

    GALERI: Barisan jentera lumba lagenda Toyota Supra di Tokyo Auto Salon 2019

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga: Syarikat pengeluar dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun ini

    Projek kereta nasional ketiga: Syarikat pengeluar dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun ini

    Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof telah mengesahkan kementeriannya dalam fasa akhir menyenarai pendek syarikat yang akan bekerjasama membangunkan kereta nasional ketiga.

    Katanya lagi, keputusan akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun ini, laporan Berita Harian.

    Ketika ini, katanya, pihaknya melihat potensi dua syarikat, bagaimanapun kemungkinan besar hanya satu syarikat saja yang akan bekerjasama dalam usaha membangunkan projek kereta nasional.

    “Kereta nasional adalah rangsangan untuk membangunkan usahawan dalam bidang automotif dan kejuruteraan, khususnya anak muda. Ini usaha kerajaan untuk merangsang pembangunan usahawan dalam bidang ini sekali gus menyumbang kepada industri.

    “Jika kita lihat kemajuan teknologi hari ini membolehkan pembinaan sebuah kereta tanpa memerlukan kos yang tinggi, sebaliknya kita menerima pakai kepakaran sedia ada,” katanya pada pemberita hari ini.

    Pada pertengahan Januari lalu, beliau turut mengesahkan, dana sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan kepada tujuan penyelidikan dan pembangunan R&D sedia ada untuk kementeriannya, yang sebahagian yang akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC300 Coupe, GLE450 serba baharu akan muncul di Festival ‘Hungry for Adventure’

    Mercedes-Benz GLC300 Coupe, GLE450 serba baharu akan muncul di Festival ‘Hungry for Adventure’

    Adakah anda seorang penggemar aktiviti luaran yang lasak dan penuh mencabar? Ini ada satu festival yang cukup sesuai untuk anda, anjuran Mercedes-Benz Malaysia (MBM). Hujung minggu ini, MBM bakal menganjurkan Mercedes-Benz Hungry for Adventure Festival di samping memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mendekati dan melihat secara lebih dekat model SUV baharu yang dilancarkan. Di samping berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang lasak dan mencabar.

    Festival yang bakal dianjurkan pada 22 hingga 24 Mac ini di Sentul Depot, Kuala Lumpur, juga akan mempamerkan varian GLC Coupe C253 baharu, GLC 300 Coupe dan juga mempertontonkan secara eksklusif GLE 450 W167 serba baharu. Malahan pengunjung juga berpeluang untuk memandu uji mana-mana model Mercedes-Benz dalam acara yang berlangsung itu.

    Aktiviti luaran yang bakal dianjurkan termasuklah terjunan bungee, flying fox dan rock climbing, serta cabaran berbasikal secara maya oleh Cycology. Untuk kanak-kanak pula, aktiviti yang sesuai untuk mereka turut diaturkan termasuklah memandu kereta mini di sekitar litar buatan dan juga inflatable playground.

    Selain pameran barisan model baharu, acara ini turut diserikan dengan hiburan Hungry for Adventure Live concert yang bakal berlangsung pada 23 Mac, jam 6 petang, dengan persembahan Craig David, TS5, BATE, MC VIBE, CZA dan Electronic Theatrical Music.

    Untuk konsert ini, hanya pengunjung yang menerima jemputan rasmi sahaja yang berpeluang menyaksikannya, tapi anda boleh mendapatkan pas percuma dengan mengunjungi Hungry for Adventure Festival pada 22-23 Mac dan memandu uji mana-mana kenderaan Mercedes-Benz dalam acara berkenaan. Pas percuma akan diberikan untuk siapa yang cepat dan jumlahnya akan dihadkan pada setiap hari. Jadi, pastikan anda pantas merebut peluang ini.

    Sekali lagi, diumumkan, Mercedes-Benz Hungry for Adventure Festival akan berlangsung di Sentul Depot, Sentul West oada 22-24 Mac dari jam 10 pagi hingga 7 petang setiap hari. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman FACEBOOK INI.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC Coupé C253

    GALERI: Mercedes-Benz GLE W167

    GALERI: Mercedes-AMG G63

     
     
  • Projek ECRL: Malaysia bakal tanggung hutang RM130b jika diteruskan, bayar balik dalam 30 tahun – Tun M

    Projek ECRL: Malaysia bakal tanggung hutang RM130b jika diteruskan, bayar balik dalam 30 tahun – Tun M

    Berita terkini mengenai perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilaporkan pernah dibatalkan sebelum ini. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika projek tersebut diteruskan, kerajaan bakal menanggung hutang RM130 bilion dan hutang itu mesti dilunaskan dalam tempoh 30 tahun.

    Tambah beliau, ia membabitkan pinjaman berjumlah RM60 bilion dan kadar faedah tertentu yang menyebabkan projek diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bakal mencecah lebih RM100 bilion, laporan Berita Harian.

    “Jika diteruskan, kita perlu meminjam sehingga RM60 bilion. Bayaran semula pinjaman itu disertakan faedah selama 30 tahun. Dalam tempoh 30 tahun, jumlah pinjaman dicampur faedah akan mencecah lebih RM100 bilion dan ada yang menganggarkan ia sekitar RM130 bilion, menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung kos projek ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Ketika ditanya oleh pemberita mengenai perincian semula skala projek itu jika diteruskan, Tun Mahathir berkata, kerajaan mungkin menangguhkan perkara tertentu seperti pembinaan landasan berkembar.

    “Kita teliti semula projek itu dan melihat pada beberapa perkara yang tidak diperlukan, contohnya mungkin tidak perlu laksanakan trek berkembar. Unjuran awal kargo dan penumpang tidak begitu besar jumlahnya, maka kita boleh tangguhkan beberapa bahagian daripada projek atau perancangan sehingga ia diperlukan,” katanya.

     
     
  • Honda Accord 2019 dilancarkan di Thailand – 1.5L Turbo dan 2.0L Hybrid, harga dari RM193k-RM231k

    Honda Accord 2019 dilancarkan di Thailand – 1.5L Turbo dan 2.0L Hybrid, harga dari RM193k-RM231k

    Honda Accord 2019 telah pun dilancarkan di Thailand. Accord generasi ke-10 ini kini ditawarkan dengan varian enjin 1.5 liter turbo dan 2.0 liter hybrid yang menggantikan unit yang lama iaitu 2.0L dan 2.4L naturally-aspirated dari generasi sebelumnya. Untuk transmisinya, tiada lagi kotak gear auto lima-kelajuan, kini hanya ditawarkan dengan transmisi CVT sahaja.

    Enjin 1.5 liter VTEC Turbo, seperti yang digunakan pada Civic dan CR-V, mampu meledakkan kuasa sehingga 190 PS dan 243 Nm dan tork 243 Nm dari 1,500 hingga 5,500 rpm. Dengan “talaan seperti CR-V”, ia adalah lebih tegar berbanding 173 PS/220 Nm pada Civic.

    Accord Hybrid baharu ini turut dilengkapi dengan Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive) yang dikombinasikan dengan enjin 2.0 liter naturally aspirated i-VTEC bersama dua motor elektrik. Kitaran Atkinson mampu menghasilkan 145 hp/175 Nm, sementara padanan e-motor pula dengan 184 hp/315 Nm. Jumlah keseluruhan output yang terhasil mencecah 215 hp, disalurkan oleh CVT auto. Pek bateri lithium-ion yang lebih kompak diletakkan di bawah lantai belakang, berbanding di but seperti model sebelumnya.

    Honda Accord 2019 dilancarkan di Thailand – 1.5L Turbo dan 2.0L Hybrid, harga dari RM193k-RM231k

    Accord 2019 baharu ini ditampilkan dengan imej yang lebih segar dengan garis bumbung melengkung. Model ini berukuran 4,920 mm panjang dan 1,860 mm lebar, menjadikannya 10 mm lebih pendek dan 10 mm lebih lebar berbanding sebelum ini. Garis bumbungnya pula 15 mm lebih rendah berbanding sebelum ini, sementara jarak rodanya 2,830 mm iaitu 55 mm lebih panjang. Pusat grafitinya juga 10 mm lebih rendah berbanding sebelum ini.

    Accord Turbo EL yang merupakan varian baharu, didatangkan dengan tayar 225/50 R17, sementara 235/45 R18 bagi varian Hybrid.

    Sebagai model utama Honda untuk barisan ini, Accord Hybrid akan didatangkan dengan pakej keselamatan Honda Sensing sepenuhnya, ini termasuklah Collision Mitigation Braking System, Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation dan Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow.

    Honda Accord 2019 dilancarkan di Thailand – 1.5L Turbo dan 2.0L Hybrid, harga dari RM193k-RM231k

    Manakala ciri yang ditonjolkan, Accord baharu ini didatangkan dengan pelbagai elemen menarik termasuk paparan unit utama (HUD), paparan pelbagai-info TFT tujuh-inci dan pengecas tanpa wayar. Tiga varian ditawarkan di Thailand – Turbo EL berharga 1.5 juta baht (RM192,844), Hybrid pula 1.65 juta baht (RM212,129) dan Hybrid Tech dengan kos ekstra 150k baht (RM19,282).

    Hybrid Tech didatangkan dengan lebih banyak ciri menarik termasuk bumbung matahari, pencahayaan pintu luaran, spoiler belakang, tempat duduk balutan kulit hitam atau merah (bergantung pada pemilihan warna luaran), HUD, pengesan parkir hadapan empat-poin, bantuan parkir belakang dengan empat pengesan, kamera parkir 360-darjah, paparan lintasan trafik dan Honda Smart Parking Assist System dengan auto parallel dan perpendicular parking.

    Di Thailand, Accord Hybrid bersaing hebat dengan Toyota Camry Hybrid yang ditawarkan pada harga dari 1.639 ke 1.799 juta baht (RM210,659 hingga RM231,223).

     
     
  • Yamaha YZF-R25 2019 dijual pada harga RM19,988

    Yamaha YZF-R25 2019 dijual pada harga RM19,988

    Januari lalu, serentak dengan pelancaran Tracer 900 GT, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mempertontonkan model baru YZF-R25 yang akan menggantikan R25 di dalam pasaran. Kini, harganya sudah pun diumumkan, iaitu RM19,988 tidak termasuk insurans dan akan berada di pengedar motosikal dalam minggu ini. Ia datang dalam pilihan warna merah dan biru, dan diberi jaminan selama satu tahun atau 10,000 km.

    Melalui model baru ini, sudah tentu, penampilannya disegarkan lagi berbanding model sebelum ini dan kini mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip seperti R1. Kemudiannya, ciri aerodinamik juga diperbaiki, seterusnya membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j). Lampu depan dan belakang motosikal ini menggunakan unit LED.

    Untuk bahagian enjin R25, tiada perubahan berbanding model sebelum ini (model sebelum ini dijual pada harga RM19,463) dan ia masih lagi menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair, serta kotak gear enam kelajuan yang sama dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Perubahan yang lebih utama adalah pada bahagian suspensi, di mana sekarang R25 baru menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang, monoshock yang digunakan ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    Reka bentuk tangki (kapasiti 14 liter) juga telah diubah, dan menurut Yamaha, semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal berciri sporty. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh lengkap dengan lampu shift light.

    Model yang dipertonton di Malaysia ini tidak dilengkapi dengan ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Bagi yang tertanya mungkinkah akan ada versi VVA bagi R25 ini, salah seorang wakil Yamaha yang berada di majlis pelancarannya di Indonesia pernah memberitahu bahawa R25 sudah mempunyai kuasa yang cukup dan tidak akan dilengkapi dengan VVA.


     
     
  • Yamaha keluarkan teaser model baru – Y15ZR V2?

    Yamaha keluarkan teaser model baru – Y15ZR V2?

    Salah satu media sosial rasmi Hong Long Yamaha Motor (HLYM) nampaknya telah mengeluarkan satu teaser yang menampakkan sedikit sahaja bahagian hadapan sebuah motosikal. Sudah tentu, nama model tersebut tidak disebut, tapi ia kelihatan seperti Y15ZR.

    Ramai yang sedang menunggu ketibaan Y15ZR versi baru, dipanggil sebagai V2, tapi sukar untuk membuktikannya melalui gambar teaser ini. Boleh saja ia menjadi cuma Y15ZR yang diberikan pilihan warna baru bagi tahun ini. Tetapi, ada satu pengedar yang menyebarkan teaser ini mengatakan ia adalah Y15ZR V2.

    Kami juga tidak pasti kerana tidak mendapat undangan rasmi untuk majlis ini. Melalui teaser ini nampaknya HLYM mengajak terus semua orang untuk datang sendiri ke Jasin melihatnya. Minggu itu juga perlumbaan Cubprix berlangsung di Jasin.

    Versi baru Y15ZR yang dipanggil ramai sebagai V2 telah dilancarkan di negara-negara jiran termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam, tapi di Malaysia ia masih belum ditawarkan lagi. Asas motosikal ini masih lagi sama seperti Y15ZR sekarang ini tetapi mempunyai sedikit perubahan.

    Antaranya adalah bentuk lampu LED baru, fender lebih besar untuk memuatkan tayar yang juga lebih besar, meter LCD, butang lampu tinggi (passing light), butang mematikan enjin (kill switch) serta penggera yang boleh ditekan untuk mengeluarkan bunyi.

    GALERI: Yamaha Y15ZR V2

     
     
  • Ford kurangkan lebih 5,000 pekerja di Jerman, UK

    Ford kurangkan lebih 5,000 pekerja di Jerman, UK

    Dalam usaha untuk mengembalikan keuntungan di Eropah, Ford merancang untuk mengurangkan lebih 5,000 tenaga kerja di Jerman. Pengeluar kereta US tersebut juga akan membuat tindakan yang sama di UK dan menawarkan program pemberhentian sukarela untuk pekerja di kedua-dua negara, katanya dalam satu kenyataan.

    “Menerusi program sebegini dan inisiatif lain, Ford Jerman menjangkakan untuk mengurangkan 5,000 pekerjaan, termasuk kakitangan sementara,” ujar syarikat terbabit, sambil menambah jumlah yang bakal terjejas di Britain hanya akan ditentukan kemudian.

    Pengeluar kereta Detroit, yang menjual model popularnya Focus dan Fiesta hatchback di Eropah, juga mengumumkan bahawa ia akan menyelaraskan barisannya dengan “meningkatkan atau keluar dari barisan kenderaan yang kurang menguntungkan,” walaupun ia tidak mengulas lanjut tentang model mana yang akan digugurkan.

    Langkah ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang diumumkan oleh Ford pada bulan Januari yang melibatkan ribuan pengurangan pekerjaan dan kemungkinan penutupan kilang dan barisan kenderaan yang dihentikan pengeluarannya.

    Menurut Reuters, Ford Eropah juga telah mengalami kerugian bertahun lamanya dan tekanan untuk penstrukturan semula operasi ini dipertingkatkan sejak General Motors meningkatkan keuntungan dengan menjual jenama Opel-Vauxhall kepada Groupe PSA, pengeluar Peugeut dan Citroen. Pelan pemulihan Ford mensasarkan margin operasi 6% di benua.

    Baru-baru ini,Ford telah menyertai pakatan dengan Volkswagen, walau pun perkongsian itu tidak melibatkan cross-ownership seperti model Renault-Nissan.

     
     
  • Yema Bojun – Geely Boyue palsu di China

    Yema Bojun – Geely Boyue palsu di China

    Kita biasa baca berita-berita berkenaan kereta-kereta dengan rekaan ciplak di China yang biasanya meniru rekaan model-model Eropah yang lebih mahal bukan? Ini ada pelik sikit – SUV Yema Bojun ini baharu sahaja diperkenalkan dan ia adalah ‘copy ori’ dari model senegaranya iaitu Geely Boyue!

    Lampu hadapan Bojun ini direka hampir sama dengan bentuk pada Boyue, namun gril expanding cosmos Geely di gantikan dengan gril jalur-jalur krom melintang. Manakala bampar hadapan pula direka dengan ‘inspirasi’ dari Boyue sebelum facelift, tetapi lampu kabusnya dialihkan lebih ke bawah.

    Pengaruh Boyue terus diterapkan pada bahagian sisi di mana garis-garis sisi terutama pada pintu di tiru terus, selain bentuk pada cermin tingkap sisi belakang dan juga tiang-D yang direka seiras menampilkan rupa seakan bumbungnya terapung.

    Yema Bojun – Geely Boyue palsu di China

    Di belakang pula, lampu Bojun ini direka lebih ‘tebal’ tetapi bar krom yang menghubungkan kedua-dua sisi lampu berkenaan adalah jelas seperti Boyue. Ciri-ciri lain seperti bampar belakang dan spoiler bumbung adalah seiras dengan Geely Boyue.

    Walaupun nampak seakan sama, Yema Bojun ini sebenarnya sedikit kecil berbanding Geely Boyue. Model ciplak ini direka dengan dimensi 4,360 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2550 mm, berbanding Boyue sebenar dihasilkan dengan ukuran 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi serta jarak roda 2,670 mm.

    Namun pada bahagian dalaman, SUV dari Yema ini menampilkan rupa yang lebih tersendiri, berbeza dari model dari Geely berkenaan. Bojun menerima skrin infotaimen bersaiz lapan-inci, diapit oleh liang penghawa dingin, berbeza dengan Boyue di mana liang tersebut terletak di atas skrin. Selain itu, Bojun turut menerima panel instrumen dan kawalan penghawa dingin digital sepenuhnya.

    Yema Bojun – Geely Boyue palsu di China

    Dua pilihan janakuasa diberikan untuk ‘Boyue palsu’ ini iaitu enjin 1.5 liter NA berkuasa 112 hp digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan manual, dan juga versi 1.5 liter turbo berkuasa 156 hp dipadankan dengan kotak gear CVT automatik.

    Sebagai perbandingan, Geely Boyue pasaran China ditawarkan dalam tiga versi janakuasa. Versi 2.0 liter NA diberikan enjin empat silinder berkuasa 139 hp/178 Nm. Untuk versi turbo pula, ia dipadankan dengan enjin 1.8 liter tetapi dengan dua pilihan kuasa – 161 hp/250 Nm (hanya transmisi enam-kelajuan manual) dan 181 hp/285 Nm (hanya diberikan kotak gear enam-kelajuan automatik).

     
     
  • Honda catat jualan 102,282 buah kenderaan pada 2018, masih lagi jenama bukan nasional nombor satu

    Honda catat jualan 102,282 buah kenderaan pada 2018, masih lagi jenama bukan nasional nombor satu

    Pada tahun 2018, jumlah jualan keseluruhan dalam industri (TIV) di Malaysia telah meningkat sebanyak 3.7% menjadi 598,714 (daripada 576,625). Bagi Honda sahaja, jualan kenderaan mereka bagaimanapun telah merosot sedikit 6.6% menjadi 102,282 unit daripada 109,511 unit pada tahun 2017.

    Walaupun dengan penurunan ini, Honda masih lagi kekal menjadi jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia, dan ini menjadikannya tahun yang keempat berturut-turut memegang gelaran tersebut. Apabila dibandingkan pula dengan semua jenama, Honda berada di tempat kedua (tahun ketiga berturut-turut) dengan pegangan pasaran sebanyak 17.1%.

    Melihat kepada model pula, daripada keseluruhan jumlah jualan yang dicatatkan oleh Honda Malaysia, model paling popular adalah City dengan mencatat 32%, kemudiannya diikuti Civic 16% dan CR-V 13%.

    Pergi pula kepada Civic generasi ke-10, sejak ia dilancarkan tiga tahun lalu, 41,000 unit telah terjual dan 58% daripadanya adalah varian 1.5L Turbo. Accord pula, sejak dilancarkan pada tahun 2017 telah mencatat jualan sebanyak 3,600 unit, dengan 18% daripada adalah varian yang dilengkapi Honda Sensing. Bagi CR-V generasi kelimat pula, sejak dilancarkan, 3,600 unit telah terjual dan 18% daripadanya adalah varian yang dilengkapi Honda Sensing.

    Honda catat jualan 102,282 buah kenderaan pada 2018, masih lagi jenama bukan nasional nombor satu

    Selain jualan kenderaan, Honda Malaysia turut mendedahkan prestasi perkhidmatan selepas jualan mereka. Kemasukan kereta ke pusat servis mereka telah meningkat sebanyak 11% manakala jualan alat ganti pula meningkat 25% berbanding tahun 2017. Kedua-dua catatan ini adalah catatan paling tinggi dalam sejarah syarikat.

    Bagi tahun 2019, Honda Malaysia menjangka TIV akan meningkat kepada 580,000 unit, dan mereka mensasarkan jualan sebanyak 95,000 unit daripada kenderaan Honda sendiri. Sasaran pegangan pasaran pula dijadikan lebih optimistik dengan kadar 16%.

    Antara langkah yang akan mereka lakukan untuk mencapai sasaran ini, selain pengenalan model baru adalah dengan meningkatkan tahap servis untuk pelanggan dan menguatkan rangkaian pengedar mereka yang sekarang ada sebanyak 83 di Semenanjung Malaysia, 15 di Sabah dan Sarawak, dan 22 pusat pusat membaiki badan dan mengecat.

     
     
  • Malaysia Speed Festival (MSF) 2019 – pusingan pertama libatkan penyertaan 205 kereta, aksi sengit

    Malaysia Speed Festival (MSF) 2019 – pusingan pertama libatkan penyertaan 205 kereta, aksi sengit

    Pusingan pertama Malaysia Speed Festival (MSF) 2019 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lalu menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah dan aksi perlumbaan sengit, menarik 15,000 pengunjung untuk menyaksikannya.

    Diadakan sekali dengan Asia GT Festival, penyertaan pusingan pertama MSF 2019 ini bukan sahaja melibatkan penyertaan ramai, iaitu 205 jentera, tetapi juga terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan penyertaan pelumba dari Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia.

    Walaupun terdapat pelbagai kategori, yang paling menarik perhatian adalah kategori Ultimate, dengan kereta seperti Honda EG6 (#29) Speed Demon Motorville, Proton Satria Turbo (#21) 4WD MilleniumFatboy Penrite, Honda EG6 K24 (#50) Wenso Racing, Honda EG6 K24 (#500) Sitty Racing Team dan Honda EG6 K24 (#13) Empire M ByKunyit.

    Malaysia Speed Festival (MSF) 2019 – pusingan pertama libatkan penyertaan 205 kereta, aksi sengit

    Perlumbaan pertama menyaksikan pelbagai insiden berlaku, tetapi dalam perlumbaan akhir, kereta #29 yang mendapat tempat pertama, diikuti kereta #21, #50, #500 dan #13. Satu lagi kategori yang menarik perhatian ramai adalah Saga Cup, di mana untuk kali ini, ia menjadi lebih bermakna kerana dilepaskan sendiri oleh perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Selain daripada itu, pusingan pertama MSF 2019 juga menyaksikan SUV Proton X70 digunakan buat kali pertama sebagai kereta pengiring, kereta pasukan perubatan dan kereta rasmi. Pusingan kedua MSF akan berlangsung pada 19 April, dan ia juga akan melibatkan perlumbaan motosikal MSF Superbikes.

     
     
  • Retro Havoc 2019 – dapat sokongan PEKEMA, tawar hadiah Toyota Starlet KP61 untuk pengunjung bertuah

    Retro Havoc 2019 – dapat sokongan PEKEMA, tawar hadiah Toyota Starlet KP61 untuk pengunjung bertuah

    Perhimpunan tahunan kereta-kereta retro dan juga ‘future retro’ – Retro Havoc – kembali lagi tahun ini untuk edisi ke-enam berturut-turut. Bakal diadakan di lokasi sama seperti tahun lalu iaitu di Kompleks BRT Sunway pada 30 Mac ini, Retro Havoc yang dikendalikan oleh Speedy Sabel bakal tampil lebih kuat dengan sokongan dari Dewan Muda PEKEMA (Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia).

    Namun apa yang berbeza tahun ini, pengunjung yang hadir (selain dari peserta yang berdaftar) perlu untuk membayar tiket sebanyak RM10 untuk menyaksikan kereta-kereta yang dipamerkan. Tetapi, bayaran tiket tersebut tidak sia-sia kerana bukan sahaja anda dapat mencuci mata untuk melihat sendiri kereta-kereta ubahsuai yang hebat di depan mata, malah anda berpeluang untuk memenangi sebuah Toyota Starlet KP61 yang sudah siap direstori dalam cabutan bertuah yang akan diadakan.

    Menurut pengasas Retro Havoc, Rosli Mohamad Said atau lebih dikenali dengan nama Alie Kuoppa, Starlet berkenaan bukan sahaja menerima pembaikkan semula pada badan, tetapi turut diberikan kit aero JDM Old School dari Kacak Embun Enterprise, cat badan baharu berwarna merah, set rim ‘mangkuk’ Work Equip 01, dan juga upholsteri dalaman yang dibuat semula.

    Selain dari Starlet Kambing ini, Retro Havoc turut menawarkan hadiah cabutan bertuah lain seperti 1 tiket pegi balik ke Jepun untuk mengunjungi Tokyo Auto Salon 2020, 1 set rim Atara Racing dan juga lima hadiah istimewa lain.

    Alie turut menjelaskan bahawa Retro Havoc tahun ini hanya dibuka penyertaan kepada 550 buah kereta, memandangkan ruang di Kompleks BRT Sunway itu sendiri yang agak terhad. Penyertaan antarabangsa masih mendapat sambutan untuk edisi kali ini, dengan kehadiran kereta-kereta dari Thailand dan Singapura.

    Daijiro Inada (pengasas majalah Option), Shoji Inoue (pengasas Star Road), Ron Celestine (Speedhunters) dan Ichiraku Toshiya (1048 Japan) masih kekal sebagai delagsi Jepun ke Retro Havoc tahun ini, tetapi ditambah dengan seorang lagi iaitu pelumba pasukan Toyota Gazoo Racing, Akira IIda. Manakala Lulut Retro (Kustomfest Indonesia), Jeiven T.Perez (garaj restorasi Sushi Factory Philipines) dan Pasukan ClassicRacer Hong Kong turut hadir sebagai jemputan khas antarabangsa.

    Bersedia untuk ke Retro Havoc 2019? Alie ada satu pesanan buat pengunjung-pengunjung pada 30 Mac ini, “Kalau nak merokok, jangan merokok merata-rata, kita ada sediakan tempat merokok khas,” kata Alie dalam sikit-sikit loghat Kedah.