Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Iklan Walmart penuh dengan kereta filem nostalgik

    Pasaraya besar Walmart sememangnya tidak lagi wujud di Malaysia, tapi kenapa kami menyiarkan berita berkenaan pasaraya ini? Sebabnya, kami tertarik dengan iklan baharu rangkaian runcit tersebut menampilkan begitu banyak kereta-kereta filem dan siri TV yang sangat nostalgik!

    Iklan tersebut adalah sempena kempen Walmart yang kini menawarkan khidmat pengambilan percuma – anda hanya perlu membuat pembelian secara atas talian, dan kemudian datang ke tempat parkir pasaraya berkenaan untuk mengambilnya dari pekerja Walmart tanpa perlu keluar dari kereta. Iklan ini menggambarkan bagaimana watak-watak filem yang menggunakan khidmat ini dan datang ke pasaraya tersebut dengan kereta-kereta mereka.

    Iklan Walmart penuh dengan kereta filem nostalgik

    Antara kereta yang tampil pada iklan ini adalah Batmobile (Suicide Squad 2016), Ecto 1 (Ghost Buster), KITT (Knight Rider), Lightning McQueen (Cars), Mutt Cutts Van (Dumb & Dumber), Mystery Machine (Scooby-Doo), Jeep Jurassic Park, Delorean Time Machine (Back to the Future II) dan Volkswagen Beetle BumbleBee.

    Walaupun iklan ini hanya berdurasi satu minit, ia sudah cukup untuk menggamit kenangan kita semasa zaman kanak-kanak dahulu bukan?

     
     
  • Volvo pecah rekod jualan lebih 600k unit untuk 2018

    Volvo pecah rekod jualan lebih 600k unit untuk 2018

    2018 menjadi satu tahun yang cemerlang untuk Volvo Cars. Syarikat itu mencatatkan rekod jualan tertinggi bagi tahun lalu, melebihi tanda aras 600,000 unit buat kali pertama sejak ditubuhkan pada 1927. Angka jualannya naik 12.4% menjadi 642,253 unit pada tahun 2018, berbanding hanya 571,577 unit pada 2017. Tahun lalu juga menjadi kali kelimat berturut-turut Volvo mencatatkan rekod jualannya.

    Antara penyumbang besar terhadap pencapaian ini ialah permintaan tinggi terhadap barisan SUV XC,
    bagi pasaran-pasaran utama seperti di AS, Eropah dan China. Pada Disember lalu, syarikat ini menjual 60,157 kenderaan, naik 2.8% jika dibandingkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

    Tahun lalu, jualan di AS meningkat sebanyak 20.6% kepada 98,263 unit, antaranya disebabkan oleh permintaan tinggi terhadap model XC60 dan SUV lainnya. Sedan Volvo S60 pengilangan AS pula baru sahaja diedarkan di sana, dan dijangka akan menjadi penyumbang besar untuk 2019.

    Volvo pecah rekod jualan lebih 600k unit untuk 2018

    Di China pula, jumlahnya lebih banyak, tetapi peratusan pertumbuhan yang dicatatkan lebih kecil; naik 14.1% kepada 130,593 unit sepanjang 2018. Permintaan paling tinggi yang dicatatkan ialah bagi XC60 dan S90. Di pasaran Eropah, pertumbuhan sebanyak 6.4% direkodkan, menjadi 317,838 kenderaan – V60 wagon dan XC40 menjadi model utama.

    XC60 menjadi model paling laris untuk 2018, dengan 189,459 unit terjual (184,966 unit pada 2017), diikuti oleh XC90 dengan 94,182 unit (87,518 pada 2017). V40/V40 Cross Country menjadi ketiga terlaris dengan 77,587 unit (95,370 unit pada 2017), hanya lebih sedikit dari XC40 dengan 75,828 unit. Sedan S90 pula mencatatkan 57,142 unit (46,602 pada 2017).

     
     
  • Hyundai dan Kia tunjuk sistem cas, letak kereta sendiri

    Hyundai dan Kia tunjuk sistem cas, letak kereta sendiri

    Hyundai Motor Company dan Kia Motors Corporation yang duduk di bawah satu syarikat besar Hyundai Motor Group telah menyiarkan satu video menunjukkan sistem mengecas dan meletakkan kenderaan secara sendiri terbaru mereka.

    Melalui sistem ini ia memberikan pengguna lebih kemudahan dan tidak perlu membuang masa untuk berlegar-legar mencari ruang kosong untuk mengecas atau meletakkan kenderaan waktu pergi membeli-belah atau ke mana-mana sahaja bangunan.

    Dalam video yang disiarkan itu, anda boleh melihat pengguna kenderaan elektrik boleh berhenti di pintu utama bangunan, kemudian melalui aplikasi di dalam telefon pintar, mengarahkan kenderaan itu untuk mencari tempat mengecas sekiranya tahap bateri rendah.

    Kereta itu kemudiannya akan pergi sendiri mencari tempat mengecas di dalam bangunan itu, dan apabila sudah cukup, ia akan keluar daripada petak mengecas dan pergi pula mencari petak letak kereta biasa untuk meletakkan kenderaan. Apabila pemilik sudah selesai, mereka boleh memanggil kereta untuk mengambil mereka melalui aplikasi telefon.

    Keseluruhan proses secara automatik ini dapat digunakan hasil komunikasi berterusan antara kenderaan elektrik, fasiliti tempat letak kereta, sistem pengecas dan juga pemilik kenderaan. Hyundai dan Kia sedang mengambil kira untuk mengkomersialkan teknologi ini bersama pelancaran kenderaan autonomous tahap 4 mereka pada tahun 2025.

     
     
  • Lebih 55 model baharu dijangka bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tahun ini – CEO MARii

    Lebih 55 model baharu dijangka bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tahun ini – CEO MARii

    Industri automotif Malaysia dilaporkan bakal rancak pada tahun 2019 dengan pelancaran lebih 55 model baharu dan varian yang dinaiktaraf, dengan sebahagian besarnya adalah model kenderaan cekap tenaga (EEV).

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, pengenalan model baharu ini dilihat mampu memberikan impak positif terhadap industri automotif negara selain memberikan kesedaran kepada pengguna terhadap kelebihan kenderaan EEV.

    “Permintaan pasaran kepada EEV sebenarnya membawa daya tarikan positif bagi pengeluar kereta untuk membawa lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Berita Harian.

    Lebih 55 model baharu dijangka bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tahun ini – CEO MARii

    Memperhebatkan lagi kemasukan kenderaan EEV di Malaysia adalah sejajar dengan Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014) di mana kerajaan menetapkan sasaran untuk menjadikan negara ini sebagai hab automotif serantau bagi EEV.

    Tambah Madani lagi, sebagai negara yang memeterai WP29 (World Forum for Harmonisation of Vehicle Regulations), model terbaharu yang bakal diperkenalkan juga dilengkapi ciri keselamatan terkini, yang mana sudah ditawarkan dalam kenderaan mampu milik sejak tahun lalu.

    Katanya, walaupun pasaran dijangka masih bertumpu kepada segmen kenderaan penumpang, model kenderaan utiliti sukan (SUV) dijangka menjadi perhatian tahun ini dengan kedua-dua jenama kereta nasional juga mengambil bahagian dalam segmen itu.

    “Proton telah pun melancarkan model SUV sulungnya, X70 pada Disember lalu, manakala Perodua pula akan memperkenalkan SUV terbaharunya, Aruz, bulan ini. Secara keseluruhannya, kenderaan berteknologi tinggi kian mampu dimiliki pada harga kompetitif, disebabkan ekosistem yang berdaya saing, selain kesedaran pengguna dalam sektor automotif,” ujarnya lagi.

    Selain Aruz yang bakal membuka tirai kenderaan baharu bagi 2019, syarikat pengeluar kereta lain yang akan turut melancarkan model terkini masing-masing termasuklah Honda dengan varian Honda HR-V RS, selain Hyundai yang dijangka akan memperkenalkan SUV terbaharunya, Hyundai Santa Fe generasi ke-empat dan Kona serta versi terkini bagi sedan Elantra.

    Bukan itu sahaja, Haval juga dikhabarkan akan memperkenalkan model SUV ketiganya, Haval H9 dan Borgward pula akan membawa masuk Borgward BX5. Tidak ketinggalan, Lexus juga bakal hadir dengan SUV kompak, UX 200 selain Lexus ES serba baharu. Lain-lain jenama yang akan melancarkan model baharu masing-masing pada tahun ini termasuklah Kia Cerato dan Kia Picanto GT Line, dan juga Ford Mustang varian baharu.

     
     
  • Bas GoKL percuma akan masuk ke Lembah Pantai

    Bas GoKL percuma akan masuk ke Lembah Pantai

    Perkhidmatan bas percuma GoKL akan diperluaskan meliputi dua kawasan baru iaitu di Lembah Pantai dan Setiawangsa sempena Hari Wilayah, seperti yang diumumkan datuk bandar Kuala Lumpur, memetik laporan The Star.

    “Dua laluan tambahan terbaru ini akan dilancarkan pada penghujung Februari atau awal Mac sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesesakan serta membantu kelompok miskin bandar,” ujar datuk bandar KL, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. “Kami juga ingin menyediakan alternatif kepada mereka yang ingin pergi ke tempat kerja atau ke stesen-stesen keretapi/bas,” tambah beliau.

    Beliau meninjau keadaan trafik di Jalan Kerinchi Sabtu lalu bersama ahli Perlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang turut memberi input kepada laluan baru Lembah Pantai itu nanti. Menurut Fahmi, perkhidmatan di kawasan itu nanti akan memberi manfaatk kepada 30,000 penduduk sekitar Kerinchi dan Pantai Dalam, terutama mereka yang tinggal di flat kos rendah PPR.

    “Berdasarkan kunjungan lokasi dan ujian laluan oleh DBKL bulan lalu, mereka mengenal pasti beberapa masalah yang perlu di atasi terlebih dahulu sebelum memulakan perkhidmatan,” tambah beliau.

    Perkhidmatan bas percuma Go KL, yang dilancarkan pada 2012 adalah bertujuan untuk menyediakan pengangkutan yang mudah dan murah sebagai penyelesaian kepada pengangkutan “jarak awal dan akhir” kepada pengguna kenderaan persendirian, pengguna pengangkutan awam serta pelancong di pusat bandar KL. Ketika ini, terdapat empat laluan bas Go KL yang tersedia.

     
     
  • Infiniti QX Inspiration didedah awal sebelum NAIAS

    Infiniti QX Inspiration didedah awal sebelum NAIAS

    Semasa Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) 2019 yang akan berlangsung minggu hadapan, Infinti akan membawa sebuah SUV konsep elektrik yang dinamakan sebagai QX Inspiration. Sebelum ia didedahkan sepenuhnya, syarikat dari Jepun itu menyiarkan terlebih dahulu dua gambar bahagian luar.

    Menurut Infiniti, kenderaan ini menggambarkan perancangan mereka untuk kereta elektrik prestasi tinggi, sambil memberi tanda kepada era baru rekaan baru Infiniti yang terhasil daripada teknologi baru. Rekaannya nampak lebih licin dan bersih; tiada bukaan udara pada gril kerana ia adalah kereta elektrik, lampu nipis, cermin sisi yang hampir tidak kelihatan, tiada pembuka pintu dan bumbung yang rendah.

    Infiniti QX Inspiration didedah awal sebelum NAIAS

    Untuk bahagian dalam, walaupun belum ditunjukkan, Infiniti memberitahu ia adalah luas seperti lounge, hasil penggunaan platform kenderaan elektrik baru. Ada bahagian di dalam kabin yang dibuat dengan teknik tradisional menggunakan tangan, manakala pemilihan bahan pula mendapat inspirasi daripada keghairahan orang Jepun.

    Pada tahun lepas, Infiniti telah menunjukkan kenderaan elektrik konsep yang hampir sama, iaitu Q Inspiration, tetapi itu adalah sebuah sedan empat pintu dengan bahagian belakang mempunyai pengaruh coupe. Bahagian dalamnya juga ringkas dan kemas, dengan terdapat skrin yang panjang pada papan pemuka, konsol tengah panjang sehingga ke penumpang belakang dan kemasan premium.

     
     
  • Lamborghini Huracan Evo tunjuk bahagian belakang

    Lamborghini Huracan Evo tunjuk bahagian belakang

    Satu lagi foto model akan datang Lamborghini telah dimuatnaik menerusi aplikasi telefon pintar syarikat terbabit, yang memberikan pandangan bahagian belakang jentera tersebut. Malah nama rasminya juga telah didedahkan, dan dikenali sebagai Huracan Evo.

    Banyak perubahan visual telah pun didedahkan menerusi model prototaip, dan ini termasuklah sistem ekzos yang direka semula yang lebih kurang sama pada Huracan Performate. Satu perbezaan dari Performante ialah kedudukan plat nombor, di mana ia sedikit tinggi pada Evo.

    Satu lagi kelainan ialah dengan padanan diffuser baharu yang sedikit besar berbanding Huracan standard. Tidak seperti Performate, Evo kelihatan lebih kecil, dengan sayap belakang elemen-berkembar, bersama penutup enjin dan gril belakang baharu. Pod sisi yang lebih rendah menampilkan elemen aero baharu seperti mana yang didedahkan sebelum ini.

    Semakan semula di bahagian depan pula memfokuskan peningkatan aerodinamik tetapi mengekalkan tahap ekstremnya. Manakala bahagian dalaman masih dirahsiakan tetapi menurut laporan ia bakal menerima sistem infotainmen skrin sesentuh baharu untuk antara muka yang lebih intuitif.

    Huracan dipadankan dengan enjin 5.2 liter V10 yang mampu meledakkan lebih kuasa berbanding model semasa dengan 610 PS dan 560 Nm. Bersama pek R8 baharu pada Lamborghini V10 dengan ledakan kuasa sehingga 620 PS/580 Nm, dijangka Huracan baharu ini mampu mencapai angka prestasi yang lebih menguja.

    GALERI: Lamborghini Huracan Spyder facelift

     
     
  • Porsche 911 dilengkapi mikrofon untuk bantu pemandu ketika masalah hydroplanning berlaku

    Porsche 911 dilengkapi mikrofon untuk bantu pemandu ketika masalah <em>hydroplanning</em> berlaku

    Jika anda masih tidak lagi faham apa itu hydroplanning, mari sini saya terangkan. Ia adalah masalah di mana tayar kereta kita terapung dan tidak menyentuh permukaan jalan apabila anda melanggar lopak air – sama ada lopak tersebut terlalu dalam atau kita melanggarnya dengan kelajuan yang terlalu tinggi.

    Risiko untuk berlakunya hydroplanning ini boleh menjadi lebih tinggi sekiranya kereta berkenaan dibina atau diubahsuai untuk mendapatkan cengkaman terbaik ketika kering, misalnya dengan casis yang lebih ringan dan juga diberikan tayar yang sangat lebar serta kurang bunga bagi ‘memotong’ air. Apabila ini terjadi tentulah anda tidak dapat mengawal langsung kereta anda, dan risiko untuk terlibat dalam kemalangan menjadi semakin tinggi.

    Oleh itu, Porsche telah menghasilkan satu sistem bagi membolehkan risiko hydroplanning ini untuk terjadi pada 911 generasi baharu. Komponen utama yang digunakan pada sistem berkenaan adalah dua buah mikrofon yang diletakkan pada ruang roda tayar hadapan. Bagaimana mikrofon tersebut boleh menyelamatkan keadaan?

    Porsche 911 dilengkapi mikrofon untuk bantu pemandu ketika masalah <em>hydroplanning</em> berlaku

    Sebenarnya mikrofon berkenaan bertindak sebagai penderia (sensor) untuk sistem ini. Mikrofon tersebut akan mengambil input dari bunyi air yang dilanggar oleh kereta, dan dengan frekuensi yang dihasilkan, kotak komputer mampu mengagak kedalaman lopak air berkenaan. Bersama input-input lain misalnya kelajuan kereta, sistem ini akan membuat analisa sama ada “Wet Mode” boleh diaktifkan secara automatik atau tidak.

    Sekiranya sistem mengaktifkan “Wet Mode” ini, respon pendikit akan menjadi lebih lembut, gear akan dikekalkan pada kedudukan tinggi, LSD akan berada dalam kedudukan ‘lock-up’, tork enjin akan dikurangkan, serta kawalan kestabilan dan juga sistem brek ABS akan menjadi lebih sensitif. Sistem pacuan semua roda pula akan menghantar lebih tork ke roda hadapan, sementara spoiler belakang akan dinaikkan bagi meningkatkan downforce untuk gandar belakang – ini semua bagi membolehkan pemandu lebih mudah untuk mengawal kereta tersebut ketika keadaan basah.

    Sistem ini direka bagi menghindarkan berlakunya kemalangan di atas jalan raya awam. Untuk pemanduan dilitar, pemandu masih lagi boleh mematikan “Wet Mode” berkenaan dan juga kawalan kestabilan eletronik bagi mengelakkan ia ‘campur tangan’ ketika anda mahu melakukakan serangan maksima.

    GALERI: Porsche 911 generasi 992

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2019 terima Brilliant Sporty Blue Metallic, pek keselamatan Sensing di Thailand

    Honda Civic Hatchback 2019 terima Brilliant Sporty Blue Metallic, pek keselamatan Sensing di Thailand

    Honda Civic facelift telah diperkenalkan di Thailand pada November tahun lalu. Selain ada peningkatan kecil, sedan FC turut menerima warna pilihan baharu Brilliant Sporty Blue Metallic dan juga sistem bantuan pemandu Honda Sensing untuk varian tertinggi.

    Sementara Civic Hatchback tidak didatangkan dengan versi facelift bersama sedan, secara global, Headlightmag melaporkan bahawa hatch FK itu akan dipertingkatkan tidak lama lagi di Thailand. Civic Hatchback model 2019 akan menerima warna yang sama Brilliant Sporty Blue Metallic dan Honda Sensing seperti sedan, yang dijangka akan diperkenalkan di sana pada suku pertama 2019.

    Civic Hatchback dilancarkan di Thailand pada Mac 2017. Tidak seperti sedan, hatch tidak menggunakan enjin asas NA dan hanya ditawarkan dengan unit 1.5 liter turbo empat-silinder dengan kuasa 173 PS dan tork 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm. L15B7 ini dipadankan dengan transmisi automatik CVT dengan pedal penukar gear.

    Bagi sudut dimensi, hatch ini menggunakan asas seperti Civic Type R – berkongsi lebar (1,798 mm) dan jarak roda (2,700 mm) seperti sedan, tetapi lebih tinggi (+20 mm) dan lebih pendek (-112 mm). Ruang but berkapasiti 727 liter dengan semua tempat duduk dibaringkan, berbanding model yang ada but dengan 519 liter. Ia berharga 1,169,000 baht (RM150,606) dan kit Modulo turut ditawarkan. Tahun lalu, versi merah turut diperkenalkan.

    Apa pendapat anda dengan versi hatch ini bersama warna baharu yang ditawarkan? Ia adalah warna sebenar bagi Type R (lihat foto di atas), jadi sesuailah untuk anda yang ingin memiliki replika FK8 Type R. Walau bagaimana pun, Honda Malaysia tidak berhajat untuk membawanya ke pasaran kita.

    GALERI: Honda Civic Hatchback, spesifikasi Thai

     
     
  • Toyota Avanza 2019 facelift didedah sebelum dilancar

    Belum sempat diperkenalkan secara rasmi, beberapa gambar MPV Toyota Avanza facelift 2019 bagi pasaran Indonesia mula bocor di Internet. Apa yang dapat dilihat, penampilan versi baru model berkenaan mengambil banyak ilham dari model MPV lebih besar dan mewah keluaran jenama itu, Vellfire.

    Wajah depannya kini lebih menonjol, misalnya dengan rekaan bampar yang makin agresif. Antara lain, ia menggunaan rekaan dua lapisan bagi lampu utama – dipisahkan oleh jalur dalam warna badan, sama seperti Vellfire – dengan perumah lampu kabus yang lebih jelas kelihatan.

    Bahagian lain yang menerima pembaharuan ialah rekaan gril, dengan jalur lintang yang lebih tebal dan menonjol berbanding sebelumnya. Bahagian belakang pula diberikan rekaan yang lebih ringkas; dua pemantul cahaya merah kini lebih kurus. Elemen berkenaan disertai bahagian krom ditengah, yang bersekali dengan rekaan vertikal lampu belakang yang direka semula.

    Lebih ke bawah, ada lagi bahagian pemantul cahaya yang ditempatkan pada bucu sisi bampar. Sama seperti sebelum ini, Avanza di sana akan ditawarkan dalam dua versi, standard dan juga Veloz. Versi kedua ini hadir dengan rupa depan dan belakang yang sedikit berbeza dan lebih sporty.

    Di bahagian dalam, rekaan secara umumnya masih kekal, namun diberikan lebih banyak ciri-ciri bernilai tambah yang lain. Sebagai contoh, sistem pendingin hawa kini boleh dikawal melalui butang dan skrin, sistem tanpa kunci, material berkualiti lebih tinggi dan unit utama sistem audio yang dipertingkat.

    Berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, Avanza di Indonesia akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin, 1.3 liter (96.5 PS/120 Nm) atau 1.5 liter (104 PS/136 Nm) dengan padanan transmisi automatik empat-kelajuan atau manual lima-kelajuan. Di Indonesia, Avanza turut dipasarkan oleh Daihatsu sebagai model Xenia. Model berkenaan turut akan menerima kemaskini yang sama.

     
     
  • Harga petrol dan diesel sah turun tengah malam ini

    Harga petrol dan diesel sah turun tengah malam ini

    Akhirnya, harga bahan api kembali semula diapungkan dan menyaksikan penurunan bagi minggu pertama tahun ini, dari 5 hingga 11 Januari, bermula tengah malam ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, harga petrol RON95 akan diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter. Manakala petrol RON97 juga turun 27 sen daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter.

    Untuk diesel pula, gred Euro 2M akan dijual pada harga RM2.04 seliter, turun 14 sen dari RM2.18 seliter. Euro 5 yang selalunya akan dijual 10 sen lebih mahal juga akan turun menjadi 2.14 seliter dari RM2.28 seliter. Kesemua harga ini berkuat kuasa selama seminggu iaitu mulai 5 Januari 2019 sehingga 11 Januari 2019.

     
     
  • Polestar 2 – teaser awal pesaing Tesla Model 3 disiar

    Polestar 2 – teaser awal pesaing Tesla Model 3 disiar

    Model pertama Polestar iaitu Polestar 1 masih lagi dalam proses pembangunan, tetapi kini syarikat yang dimiliki oleh Volvo Cars itu telah menunjukkan pula teaser untuk model baru bernama Polestar 2. Sementara Polestar 1 adalah sebuah kereta PHEV coupe prestasi tinggi, Polestar 2 pula adalah sebuah kereta elektrik berbentuk fastback empat pintu.

    Hanya satu gambar sahaja dikeluarkan oleh Polestar untuk menunjukkan bentuk Polestar 2 buat masa ini, dan apa yang anda boleh lihat, ia mempunyai bentuk yang tegap, cermin belakang besar dan lampu belakang yang nipis. Gambar kedua pula cuma menunjukkan logo Polestar.

    Menurut syarikat itu, pengeluaran model Polestar 2 hanya akan bermula tidak lama selepas Polestar 1 keluar daripada kilang hujung tahun ini. Polestar 2 juga akan menjadi kereta elektrik bateri pertama syarikat itu, dan dikatakan boleh memberi jarak pergerakan sehingga 483 km dengan satu cas, dan kuasa sebanyak 400 hp. Spesifikasi lain belum disiarkan lagi.

    Polestar 2 – teaser awal pesaing Tesla Model 3 disiar

    Melihat penting kepada ciri ketersambungan dalam kenderaan, Polestar akan menampilkan buat kali pertama sistem infotainmen baru yang menggunakan asas sistem operasi Android oleh Google, yang juga termasuk Google Assistant versi kereta.

    Apabila masuk dalam pasaran nanti, Polestar 2 akan bersaing dengan Tesla Model 3, dan ini bukan sahaja pada aspek prestasi, tetapi juga harga. Syarikat itu memberitahu, Polestar 2 akan dipasarkan pada julat harga yang dekat dengan Model 3, iaitu antara USD44,000 (RM182,168) hingga USD62,000 (RM256,692) sebelum insentif di Amerika Syarikat.

    Selain jualan secara tunai, kenderaan ini juga akan ditawarkan dalam pakej langganan yang dikatakan oleh Polestar sebagai satu versi premium kepada pakej Care by Volvo. Selepas Polestar 1 dan Polestar 2, syarikat itu akan memperkenalkan pula sebuah SUV yang dinamakan sebagai Polestar 3.

     
     
  • Lebih 10,000 kemalangan setahun terjadi disebabkan tayar celup kenderaan berat – Menteri Kerja Raya

    Lebih 10,000 kemalangan setahun terjadi disebabkan tayar celup kenderaan berat – Menteri Kerja Raya

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian menyatakan bahawa lebih dari 10,000 kemalangan berlaku di Malaysia setiap tahun hanya kerana penggunaan tayar celup yang digunakan oleh kenderaan berat dan lori. “Saya terkejut bahawa penggunaan tayar celup adalah sebab utama kebanyakkan kemalangan berlaku di jalan raya,” katanya dalam laporan Malay Mail.

    Beliau berkata demikian kepada media ketika kunjungannya ke pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia di Pulau Pinang, dan menyatakan bahawa purata sekitar 30 kemalangan terjadi dalam masa sehari akibat penggunaan tayar tersebut. Menteri berkenaan menyatakan tayar celup yang tidak berkualiti adalah tidak selamat dan langkah penguatkuasaan perlu diambil bagi mengelakkan ia terus berlaku.

    Bian turut menjelaskan antara faktor lain yang turut menyebabkan kemalangan dalam angka yang tinggi juga melibatkan kenderaan berat, khususnya lori, kali ini kerana membawa beban berlebihan. “Ini akan ditangani oleh penguatkuasaan, kita tidak boleh membiarkan kenderaan melebihi muatan di jalan raya jadi kita perlu memastikan langkah penguatkuasaan diambil secara serius,” tegas Bian.

    Tayar celup adalah sejenis tayar yang dihasilkan menggunakan tayar lama yang telah botak, kemudian ‘dicelup’ dengan getah bagi menghasilkan bunga baharu yang tebal. Tayar ini bukan sahaja mudah meletup, malah getah baharu pada tayar tersebut mudah tertanggal dan serpihan yang bertaburan boleh menyebabkan kemalangan terutamanya kepada penunggang motosikal.

     
     
  • Lamborghini Huracan facelift – teaser pertama muncul

    Lamborghini Huracan facelift – teaser pertama muncul

    Tidak lama lagi, Lamborghini bakal memperkenalkan Huracan facelift, dengan imej teaser pertama telah pun muncul di aplikasi telefon pintar syarikat tersebut. Imej tersebut memaparkan semakan terhadap beberapa bahagian model itu, yang buat masa ini masih kekal misteri.

    Seperti mana yang kita dapat lihat pada spyshot sebelum ini, ia menampilkan bampar hadapan baharu yang kelihatan lebih agresif berbanding pada model semasa.

    Bahagian corong pengambilannya pula lebih menampilkan elemen bersudut, sementara scoop sisinya ditambah kemasan hitam berkilat dan terdapat juga sirip mendatar yang lebih menonjol. Manakala rekaan bagi lampu nyalaan siangnya juga lebih anggun.

    Lamborghini Huracan facelift – teaser pertama muncul

    Nampaknya Huracan Performante menjadi pengaruh utama dalam rekaan Huracan facelift, termasuk dengan sistem dwi ekzos, diffuser baharu dan corong tambahan pada bahagian belakang. Dijangka bahagian dalaman juga dipertingkatkan, dengan laporan mendakwa ia bakal menampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh baharu yang membantu mengurangkan butang yang berselerak.

    Huracan dengan padanan enjin 5.2 liter V10 mampu memberikan ledakan yang lebih berprestasi berbanding kuasa sedia ada 610 PS dan tork 560 Nm. Dengan pek R8 baharu pada versi Lamborghini V10 dengan 620 PS/580 Nm, dijangka Huracan baharu ini setara atau mungkin dengan lebih angka.

    GALERI: Lamborghini Huracan Spyder facelift

     
     
  • Porsche Cayman GT4 Clubsport 718 – kereta lumba dalam dua varian, badan daripada bahan organik

    Porsche Cayman GT4 Clubsport 718 – kereta lumba dalam dua varian, badan daripada bahan organik

    Tiga tahun selepas Porsche Cayman GT4 Clubsport pertama diperkenal, sekarang pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula model baru Cayman GT4 Clubsport 718. Dua varian ditawarkan untuk kereta lumba enjin di tengah ini iaitu “Trackday” untuk pelumba amatur dan “Competition” untuk perlumbaan antarabangsa dan dalam negara.

    Selain mempertingkatkan prestasi serta kemampuan kenderaan ini, Porsche turut memberi fokus kepada penggunaan bahan boleh kitar semula, di mana ia adalah kereta lumba pertama di dunia yang menggunakan badan diperbuat daripada bahan komposit gentian asli.

    Pintu serta spoiler belakang Cayman GT4 Clubsport 718 diperbuat daripada campuran gentian organik, di mana sumber utamanya adalah bahan agrikultur seperti biji flex dan hemp. Menurut Porsche, bahan ini mempunyai ketegaran dan berat sama seperti gentian karbon.

    Enjin yang digunakan pada Cayman GT4 Clubsport 718 adalah unit enam silinder sebaris 3.8 liter, yang mampu menghasilkan kuasa 425 hp, dan ini bersamaan dengan 40 hp lebih berbanding model sebelum ini. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan klac berkembar dan pengunci differential gandar belakang mekanikal.

    Suspensi hadapan pula diambil daripada model 911 GT3 Cup manakala untuk brek, sistem perlumbaan digunakan, terdiri daripada cakera besi 380 mm. Kereta yang mempunyai berat 1,320 kg ini datang terus dengan roll cage yang dikimpal terus, tempat duduk bucket lumba dan tali pinggang six-point.

    Seperti yang diberitahu tadi, varian Trackday disediakan untuk pemandu amatur, yang mahu menggunakannya untuk sesi pemanduan litar persendirian atau acara tertentu, tanpa banyak komitmen. Ia menampilkan tetapan suspensi yang tidak boleh diubah, manakala ABS, ESC dan sistem kawalan cengkaman boleh ditutup kalau mahu. Turut diberi adalah pendingin hawa, pemadam api dan tangki minyak keselamatan FT3 80 liter.

    Porsche Cayman GT4 Clubsport 718 – kereta lumba dalam dua varian, badan daripada bahan organik

    Versi Competition pula adalah jentera lumba yang lebih serius. Penyerap hentaknya boleh dilaras dalam tiga tahap, dan tangki minyaknya mempunyai kapasiti 115 liter, menjadikannya sesuai untuk perlumbaan jarak jauh. Hasil daripada penggunaan sistem pengimbang kuasa brek, tahap kekuatan brek antara roda yang ada juga boleh dilaras, manakala jack angin yang disediakan pula membantu apabila kereta masuk ke pit.

    Turut diberi pada versi Competition ini adalah roda stereng yang boleh dicabut dengan pantas (diambil daripada 911 GT3 R) dan sistem pemadam api automatik. Kedua-dua versi Cayman GT4 Clubsport 718 ini hanya untuk kegunaan atas litar dan tidak boleh dibawa atas jalan biasa. Harga versi Competition adalah 157,000 euro (RM740,567) tidak termasuk cukai dan ia sudah dibuka untuk tempahan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024