Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai berbilion Ringgit dibatalkan. Walau bagaimana pun, perkembangan terkini melaporkan projek berkenaan berkemungkinan mampu diteruskan dalam skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan.

    Laporan Berita Harian, yang memetik temubual antara Tun Mahathir dengan akhbar Sin Chew Daily semalam, berkata Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

    “Apa yang kita cuba lakukan kini adalah memastikan kita tidak berbelanja terlalu besar dan China tidak mengalami kerugian,” katanya yang turut menyatakan Malaysia kini dalam dilema sama ada ingin membatalkan projek ECRL atau meneruskannya dengan perbelanjaan yang besar.

    “Malaysia bagaimanapun akan cuba sedaya upaya untuk meminda projek berkenaan atau mencari alternatif lain. Kita sedang berunding secara rasmi atau tidak rasmi bersama mereka (China). Bagi mereka, jika ia adalah kontrak yang menguntungkan, mereka tidak mahu melakukan sebarang perubahan,” katanya.

    ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    Pelan laluan asal ECRL

    Projek ECRL yang bernilai RM81 bilion itu diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2016. Projek pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China). Di mana Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa CCCC membina laluan kereta api.

    Ia merangkumi laluan sepanjang 600.3 kilometer bagi fasa pertama melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

    Menurut Tun Mahathir lagi, “Tetapi, perkara ini tidak mudah untuk dilaksanakan kerana kita terikat dengan kontrak. Ini kerana kita tidak mempunyai wang untuk membayar China, kita sudah pun membayar sejumlah wang kepada China selepas penangguhan itu.”

    Katanya lagi, ECRL adalah satu pembaziran kerana kerajaan tidak akan mendapat apa-apa pulangan daripada projek itu selain kerajaan tiada cara untuk membayar cukai syarikat konsesi itu. Di mana kerajaan tidak pernah menerima sesen pun keuntungan daripada perkhidmatan kereta api Pantai Timur biarpun penggunaannya berat.

    ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    “Dalam projek ECRL, terdapat beberapa individu yang miskin yang mana mereka tidak menjalankan perniagaan besar seperti mereka di kereta api Pantai Timur, jadi anda tidak boleh mendapatkan pelaburan anda semula. Pulangan daripada projek itu hampir kepada ‘sifar’ dan kita perlu membayar hutang sebanyak RM55 bilion,” katanya.

    Dr Mahathir juga menafikan bahawa dia adalah pemimpin ‘pro-Jepun, anti-China’, dengan menyatakan bahawa dia mempertahankan China ketika dia menghadiri forum di Jepun.

    “Mereka bertanya mengenai perasaan saya terhadap China, saya berkata bahawa Malaysia sentiasa berhubung dengan China dan kita adalah rakan dagang, kita sentiasa mesra dengan China,” katanya sambil menambah China datang ke Malaysia untuk berdagang berabad lalu tetapi tidak pernah menjajah Malaysia, tidak seperti Portugis.

    “Jadi, negara mana yang harus (anda) takutkan? China atau Eropah? Orang Cina mengenal saya sebagai rakan mereka. Sekarang, saya dikatakan tidak ramah kepada mereka, semata-mata kerana kerajaan sedang mengkaji projek ECRL dan Paip Gas Trans-Sabah (TSGP)?

    “Kerajaan China memahami masalah kewangan kita, bukannya kita tidak mahu projek ini, tetapi ini adalah projek yang teruk pada awal lagi dan kita tidak mampu untuk menampung perbelanjaannya,” katanya sambil menambah bahawa dia akan ke China jika perlu.

     
     
  • Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    Menurut laporan Car Magazine UK, Volvo bakal menawarkan pilihan kamera pemantau sikap dan biometrik pemandu akhir tahun ini. Ketua pegawai digital Volvo, Atif Rafiq menyatakan bahawa kamera pintar berkenaan bakal memberikan pelbagai faedah kepada pemilik sama seperti apa yang ditawarkan pada telefon pintar mahupun mana-mana peranti mudah alih untuk memantau kesihatan mereka.

    Teknologi ini bakal diperkenalkan dalam masa 12 bulan akan datang dan ia tawarkan sebagai opsyen kerana ada pelanggan akan menganggap privasi mereka mungkin terganggu kerana sentiasa dipantau oleh kamera tersebut.

    “Kamera menghadap pemandu ini akan ditawarkan sebagai opsyen dalam kereta kami pada 2019. Ia sangat canggih sekarang ini: ia boleh mengenalpasti tahap glukos pemandu dengan hanya melihat anak mata, jadi ia akan menghubungi orang kesayangan atau hospital jika ia mengesan masalah kesihatan. Kereta tersebut juga mengetahui keadaan dan mengurangkan stress anda ketika perjalanan pulang dari tempat kerja,” kata Rafiq.

    Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    Volvo telah menguji sistem ini sejak sekitar lima tahun lalu. Pada 2014, mereka telah merakam pemandu di Shanghai bagi memahami bagaimana reaksi manusia ketika menghadapi trafik bandar sibuk yang menyebabkan stress.

    Jenama Sweden itu juga kini sedang menguji kamera berkenaan keatas projek kereta pemanduan sendiri XC90 Drive Me. Pada 2017 kamera tersebut sudah mampu untuk mengesan sikap pemandu dan boleh mengambil alih pemanduan manual kepada pemanduan automatik, membuktikan kebolehan utama sistem berkenaan kearah versi produksi sebenar yang sedang bersedia untuk dilancarkan pada tahun ini.

    Volvo percaya bahawa masyarakat akan secara cepat menerima teknologi ini setelah menyedari imej yang diambil tersebut tidak akan dikongsi, dan teknologi biometrik ini mempunyai pelbagai faedah pada masa akan datang.

    Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    “Kamera boleh digunakan untuk perbualan video dan juga tujuan pengenalan identiti. Kereta anda mengenali anda dan secara automatik akan melaras aplikasi Google, sistem penghawa dingin dan kedudukan tempat duduk untuk anda. Ia sangat pintar,” jelas Rafiq kepada Car Magazine.

    Buat masa sekarang, ada pengeluar telah pun memasarkan kereta mereka dengan sistem infotaimen yang dilengkapi teknologi AI membolehkan anda bercakap dengan mereka; sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada Mercedes-Benz A-Class W177 dan GKUI pada Proton X70 misalnya. Nampaknya sistem dari Volvo ini bakal membolehkan kereta ‘melihat’ anda dan kenal siapa tuan mereka menerusi wajah, malah tahu sama ada anda sedang marah, gembira atau sakit.

     
     
  • Prasarana laksana penambahan kekerapan tren laluan LRT Kelana Jaya antara Gombak-Ara Damansara

    Prasarana laksana penambahan kekerapan tren laluan LRT Kelana Jaya antara Gombak-Ara Damansara

    Bagi menampung permintaan tinggi di antara waktu puncak, mulai 2 Januari lalu, Kumpulan Prasarana menambah kekerapan tren di laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya antara stesen Gombak dan Ara Damansara.

    Menurut CEO Rapid Rail, Khairani Mohamed, penambahan kekerapan tren berkenaan akan dilakukan bermula pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap Isnin hingga Jumaat, laporan Bernama.

    Penambahan kekerapan akan dilakukan melalui sistem ‘two loops’ di mana setiap tren ketiga daripada stesen Gombak tidak akan meneruskan perjalanan sehingga ke Putra Heights, sebaliknya akan melakukan pusingan kembali ke stesen Gombak dari Ara Damansara. Sekali gus membuatkan masa menunggu penumpang akan dapat dikurangkan kerana mereka boleh menaiki tren seterusnya dalam tempoh 90 saat bagi tren ketiga berbanding 180 saat dalam keadaan biasa.

    Prasarana laksana penambahan kekerapan tren laluan LRT Kelana Jaya antara Gombak-Ara Damansara

    “Sistem berkenaan diperkenalkan kerana laluan LRT Kelana Jaya adalah laluan yang paling sibuk di Lembah Klang dengan 290,000 penumpang setiap hari selain kerana berlaku kepadatan yang tinggi di stesen seperti Kelana Jaya, Universiti, Gombak dan Ara Damansara.

    “Ia juga dilakukan kerana laluan Kelana Jaya menunjukkan peningkatan jumlah penumpang yang konsisten sejak beberapa tahun lalu iaitu 4.5 peratus setiap tahun dan pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 bagi pemegang MyKad mulai 1 Januari lalu dijangka menyebabkan pertambahan jumlah penumpang,” jelasnya.

    Tambahnya lagi, sebanyak tujuh tren daripada keseluruhan 58 tren yang beroperasi bagi lalulan LRT Kelana Jaya akan terbabit dalam pelaksanaan sistem ini. Walau bagaimana pun, pengenalan sistem itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan bagi penumpang dari stesen Ara Damansara ke Putra Heights kerana daripada tinjauan pihaknya hanya kira-kira 50 penumpang menggunakan perkhidmatan itu ketika waktu puncak.

    Laluan pengangkutan awam rel lain kendalian Kumpulan Prasarana ialah LRT laluan Ampang dengan 190,000 penumpang harian, Transit Aliran Massa (MRT) (160,000 penumpang) dan Monorail dengan (36,000 penumpang).

     
     
  • Perodua Aruz bakal dilancarkan – SUV 7-tempat duduk dengan enjin EEV 1.5L, dua varian dan ASA 2.0

    Perodua Aruz bakal dilancarkan – SUV 7-tempat duduk dengan enjin EEV 1.5L, dua varian dan ASA 2.0

    Beberapa minggu sebelum 2018 melabuhkan tirainya, Perodua gigih menyebarkan beberapa teaser mengenai SUV dengan kod nama D38L, yang bakal dilancarkan pada pertengahan bulan ini. Hari ini, risalah spesifikasinya telah bocor di laman media sosial, dan sahih Perodua telah menamakannya sebagai Perodua Aruz, SUV tujuh-tempat duduk, yang sebelum ini dikatakan sebagai kembar kepada Toyota Rush. Walau bagaimana pun, ternyata wajahnya adalah jauh berbeza daripada SUV tujuh-tempat duduk keluaran Toyota itu!

    Perodua Aruz, digambarkan sebagai SUV EEV, ditampilkan dengan dua varian iaitu Aruz 1.5 X dan Aruz 1.5 AV. Bagi sudut mekanikalnya, kedua-duanya hadir dengan padanan enjin 1.5 liter, dengan kotak gear automatik empat-kelajuan, turut didakwa mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien iaitu sekitar 15.6 km per liter. Ia turut hadir dengan sistem Melahu Eko selain memiliki enam beg udara dan Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) sebagai antara ciri keselamatan yang ditampilkan.

    Difahamkan, enjinnya sama dengan yang digunakan pada Perodua Myvi, iaitu 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa 104 PS dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin berkod 2NR-VE ini telah digunakan pada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia sejak 2015, selain turut dipadankan pada model Daihatsu Terios yang dilancarkan di pasaran Indonesia pada November 2017.

    Perodua Aruz bakal dilancarkan – SUV 7-tempat duduk dengan enjin EEV 1.5L, dua varian dan ASA 2.0

    Bahagian hadapan Aruz agak mirip dengan Terios Custom iaitu varian tertinggi Terios yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu. Menurut risalah spesifikasi yang tersebar ini, Aruz ditampilkan dengan lampu utama LED dengan fungsi “Follow-Me Home” (dengan varian AV menerima lampu automatik), rim aloi 17-inci dan rel bumbung sporty.

    Untuk bahagian kabinnya, ia ditampilkan dengan tempat duduk semi bucket dengan material fabrik bagi varian X dan balutan kulit untuk AV, ventilasi penyaman udara di bahagian belakang, stereng boleh laras dengan kawalan audio (kemasan kulit dan kawalan terima panggilan untuk varian tertinggi), akses pintar dengan butang mula/henti enjin, kamera undur selain port pengecas di semua barisan tempat duduk. Untuk varian AV, ciri tambahan termasuk perakam video pemanduan bersepadu (DVR) dan port HDMI turut ditampilkan.

    Dengan tagline ‘Anjakan Gaya Hidup’, SUV ini turut menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP, ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Amazon Green (warna baharu), Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, dan Granite Grey. Ia turut hadir dengan waranti lima-tahun. Nantikan perkembangan selanjutnya daripada Perodua sendiri, pasti ramai yang tidak sabar untuk mengetahui berapakah harga yang akan ditawarkan dan bilakah tempahannya bakal dibuka. Adakah anda tidak sabar menantikannya?

     
     
  • 10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2018

    Apa agaknya berita atau artikel paling popular yang mendapat perhatian ramai pembaca paultan.org/bm sepanjang 2018? Anda boleh teka? Jadi, bagi menerusi kebiasaan yang kami lakukan seperti tahun-tahun sebelumnya, di sini kami bariskan 10 artikel paling popular bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

    10. Benimar Melio 282

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Jarang-jarang kita dapat tengok “motorhome” di atas jalan raya Malaysia. Dan sebab itu agaknya berita tentang Benimar Melio ini, yang diserahkan kepada pelanggan tempatan, mendapat perhatian pembaca dan termasuk dalam senarai ini. Ia merupakan model paling panjang dalam barisan produk yang ditawarkan oleh WTA Ventures Sdn Bhd, selain satu lagi modelnya, Benimar Melio 313.

    Semua kenderaan Benimar dari siri Mileo ini diasaskan dari kenderaan komersial ringan Fiat Ducato generasi ketiga, dan menggunakan enjin turbo diesel empat-silinder Fiat Multijet 2.3 liter berkuasa 150 hp dan tork maksima 380 Nm. Ada siapa-siapa lagi yang berminat nak beli?

    9. Suzzy Helmet

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Kisah kecekalan seorang ada muda yang menghasilkan sendiri jenama helmet kustom Suzzy Helmet ini boleh dijadikan ilham untuk anak-anak muda yang lain dalam mencari kekuatan diri dan seterusnya meneroka untuk terus menawarkan kreativiti yang tersendiri. Dah baca artikel ini? Kalau belum, elok sangat mulakan sekarang.

    8. Ford F-650 Sultan Johor

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Koleksi kenderaan yang berada dalam simpanan Sultan Johor memang terkenal keunikannya. Salah satu model yang sempat dibawa dan dipertontonkan ketika acara Malaysia Bike Week 2018 yang berlangsung di MAEPS adalah trak ini, Ford F-650 Supertruck. Galeri kecil yang kami sediakan ini pasti menarik minat sesiapa sahaja yang tak berkesempatan menyaksikannya secara bersemuka.

    7. Subsidi petrol RON 95 dalam Belanjawan 2019

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Macam-macam reaksi yang muncul selepas Menteri Kewangan mengumumkan yang bermula dari suku kedua tahun ini, kenderaan dengan enjin berkapasiti kecil – di bawah 1.5L bagi kereta dan 125 cc – akan menikmati subsidi petrol RON 95. Bagaimanapun, kaedah pelaksanaannya masih belum di dedahkan, tambahan pula apabila banyak model-model kereta mewah kini juga menggunakan enjin 1.5L dan ke bawah. Bagaimana untuk menjadikan agihan ini bersasar dan adil?

    6. Cukai jalan lebih rendah di Sabah dan Sarawak

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Mengapa terdapat perbezaan kadar cukai dijalan yang dikenakan bagi kenderaan yang berada di Semenanjung dan Sabah/Sarawak? Anda pernah tahu tentang perkara ini? Dalam artikel informatif ini, kami berikan latar terhadap perlaksanaan perkara itu. Jangan tak tahu pula. Sila baca.

    5. Modenas Pulsar NS 200 terbakar

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Modenas baru nak sedap bertapak balik dalam pasaran Malaysia sebaik pengenalan model dengan kerjasama Bajaj dari India. Tak lama lepas motosikal model Pulsar berkenaan mula kelihatan di atas jalan raya tempatan, jadi pula kes sebuah Pulsar NS 200 yang tiba-tiba terbakar tepi jalan. Apa yang berlaku sebenarnya? Ini jawapan daripada Modenas.

    4. Di awal teka-teki tentang Proton X70

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Model SUV pertama Proton, X70 kini bukan lagi rahsia. Tetapi, di awal sebelum kemunculan, terdapat banyak teka-teki yang bermain difikiran kita. Apatah lagi Proton dari awal agak berahsia untuk mendedahkan penawaran penuh model ini. Tetapi, kini semuanya terjawab setelah X70 dilancarkan secara rasmi Disember lalu, sekali dengan senarai harga jualan yang ditunggu-tunggu, serta spesifikasi penuh penawaran yang boleh dipilih oleh pengguna. Dah tahu perbezaan kos penyelenggaraan antara X70 dan Honda C-RV untuk tempoh lima tahun?

    3. Harga kereta lebih rendah?

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Februari tahun lalu, sebelum pilihanraya umum ke-14, antara isu yang selalu dimainkan ialah bagaimana harga kereta di Malaysia sudah berjaya diturunkan dalam tempoh beberapa tahun sebelumnya. Tetapi, dapatan analisa kami mendapati pernyataan itu tidak tepat sepenuhnya. Berikut laporan dan tanggapan kami terhadap isu berkenaan.

    2. Proton henti pengeluaran alat ganti Wira

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Berita ini agaknya membuatkan ramai pemilik model Proton Wira sedia ada tak senang duduk. Mana taknya, mestilah pemiliknya risau kalau-kalau selepas ini sukar untuk dapatkan alat ganti, atau mungkin harga alat ganti akan naik. Apapun, ini memang resam mana-mana model yang sudah menghampiri penghujung kitaran hayatnya dari sudut penyediaan alat ganti oleh pengeluar asal; bukan dengan Proton sahaja.

    1. Pelancaran SYM VF3i di Malaysia

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> untuk 2018

    Ini kira macam kemunculan pertama motosikal ini diperingkat dunia. Dan menjadi lebih manis, Malaysia jadi pentas utama untuk tujuan berkenaan. SYM VF3i menjadi satu-satunya motosikal yang bikin kacau dalam pasaran tempatan, memecahkan tumpuan perhatian terhadap model-model 150 cc yang lebih popular lainnya.

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution Edition R oleh Dytko Sport – jelmaan Evolution XI versi ‘fan made‘

    Mitsubishi Lancer Evolution Edition R oleh Dytko Sport – jelmaan Evolution XI versi ‘<em>fan made</em>‘

    Nasib umur Mitsubishi Lancer Evolution tidak sepanjang pesaing senegaranya iaitu Subaru WRX STi. Ketika WRX masih lagi meriah dikeluarkan oleh Subaru dalam pelbagai edisi, Lancer Evolution sudah tidak lagi bernyawa selepas model terakhir Final Edition diproduksi pada tahun 2015. Ini kerana Mitsubishi kini sedang membina namanya sebagai jenama pengeluar SUV, dan setakat ini tiada lagi model generasi terkini Lancer asas dihasilkan.

    Walaupun terdapat banyak rayuan dari peminat meminta agar Lancer terus dihasilkan, desakan kemampuan kewangan syarikat tersebut telah membataskan kemahuan mereka. Oleh itu, pembina kereta rali dari Poland yang juga pakar dengan pengubahsuaian Mitsubishi, Dytko Sport mengambil kesempatan ini bagi menghasilkan ‘Lancer Evolution XI’ edisi mereka sendiri bagi merealisasikan impian peminat Lan Evo untuk menyaksikan model tersebut terus berevolusi.

    Kereta yang digelar sebagai Mitsubishi Lancer Edition R ini sebenarnya berasaskan model Evolution X, dan menurut Dytko, kit yang mereka hasilkan ini akan dijual dan ia mudah dipadankan pada Evo X. Saya pasti, sekiranya tiba-tiba terlihat gambar kereta ini tanpa perincian, tentu anda percaya ianya sebuah Lancer Evo baharu yang sebenar bukan?

    Mitsubishi Lancer Evolution Edition R oleh Dytko Sport – jelmaan Evolution XI versi ‘<em>fan made</em>‘

    Ini kerana rekaan dari Dytko ini menampilkan muka yang seiring dengan rekaan Dynamic Shield pada model-model terkini Mitsubishi. Malah lampu hadapan Edition R berkenaan berkemungkinan diambil terus dari Mitsubishi Eclipse Cross. Ia juga menerima gril seakan dari crossover tersebut, bersama kemasan sekeliling berwarna perak yang membuatkan seolah-olah ada huruf ‘X’ pada mukanya.

    Bagi menyesuaikan muka baharu Evo ini, Dytko turut menghasilkan bonet hadapan baharu yang turut menampilkan skup pada bahagian tengah bersama sepasang liang udara. Jika anda perhatikan, Edition R ini juga diberikan badan yang lebih lebar dari Evo X standard. Dytko menghasilkan fender hadapan lebih lebar diserasikan dengan apron hadapan yang lebih agresif bersama liang udara besar kelihatan seperti mengalirkan udara dari bampar hadapan ke bahagian sisi.

    Fender belakang turut dilebarkan, manakala lampu belakang juga menerima sentuhan semula dengan rekaan ‘two-piece‘ baharu menampilkan kemasan hitam yang menjadikan ia bersambung antara kedua-dua sisi. Elemen ‘X’ turut diberikan pada bahagian ini, dan Dytko telah membuatkan kit badan mereka tersebut nampak lebih bulat berbanding Evo X asal yang bersegi. Walau bagaimanapun, spoiler ‘tiang gol’ Evolution X masih dikekalkan pada ‘Evo XI’ ini.

    Mitsubishi Evolution X diperkenalkan buat pertama kali pada Oktober 2007, bermaksud ia kini sudahpun berusia lebih dari 10 tahun. Ketika diperkenalkan, ia dijana oleh enjin 2.0 liter MIVEC Turbo 4B11T berkuasa 280 PS. Kumpulan terakhir Lancer Evolution X ini diproduksi pada tahun 2015, dihasilkan hanya 1,500 unit dengan nama Evolution X Final Edition.


    GALERI: Mitsubishi Lancer Evolution X Final Edition

     
     
  • Geely FY11- imej pertama teaser SUV coupe didedah

    Geely FY11- imej pertama teaser SUV coupe didedah

    Geely Auto telah mendedahkan imej rasmi pertama bagi SUV coupe sulung mereka, dengan kod nama FY11, yang dijangka akan didedahkan sepenuhnya tidak lagi.

    Seperti yang ditunjukkan oleh profilnya, bentuknya mengingatkan kita pada Mercedes-Benz GLC Coupe dan BMW X4. Dihasilkan oleh Geely Design Shanghai, reka bentuk FY11 ini termasuklah signatur jenama tersebut yang melebarkan lagi grilnya, serta garisan yang lebih berotot dan pengukuhan udara yang lebih rendah.

    SUV ini juga menerima rekaan lampu nyalaan siang baharu, digayakan dengan garisan yang digelar “digital arrow” yang menawarkan kemodenan. Ia juga meminjam sedikit elemen gaya daripada Borui GE termasuk rekaan lampu belakangnya. Pada bahagian belakangnya, model ini turut dipadankan dengan jaluran krom melintang dengan perkataan Geely.

    SUV coupe ini berukuran 4,605 mm panjang, 1,878 mm lebar dan 1,643 mm tinggi, dengan jarak roda 2,700 mm, bakal menjadi kenderaan Geely yang pertama menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan hasil kerjasama Geely dan Volvo, yang telah digunakan pada Volvo XC40 dan model dari Lynk & Co.

    Laporan berita turut menyebut, penjana kuasa yang bakal dipilih bagi SUV coupe ini adalah lebih kurang sama dengan Borui GE. Sistem plug-in hybrid merangkumi enjin 1.5L pengecas turbo tiga-silinder, motor elektrik dan bateri ternary-lithium yang menawarkan 177 hp dan 255 Nm.

    Nama yang bakal diletakkan pada FY11 juga mempunyai beberapa pembayang – menurut kementerian industri dan teknologi maklumat negara terbabit, dengan nama potensi yang dilaporkan telah didaftarkan termasuklah Fengyue, Geyue, Haoyue, Jinyue, Xingyue dan Zhiyue.

     
     
  • Honda Super Cub x G-Shock – terhad 1,000 unit sahaja

    Honda Super Cub x G-Shock – terhad 1,000 unit sahaja

    Honda dengan kerjasama Casio telah menghasilkan satu model jam tangan edisi khas bagi menyambut ulang tahun Super Cub yang kini sudah mencecah usia 60 tahun. Mula dikeluarkan pada tahun 1958, Super Cub cukup popular kerana ketahanannya dan di kalangan pengguna, ia sekarang sudah dianggap sebagai satu lagenda.

    Pelbagai perkara dilakukan oleh Honda untuk meraikan Super Cub, dan jam tangan Casio G-Shock yang terhad hanya 1,000 unit ini adalah yang terbaru. Walaupun ulang tahun ini disambut pada tahun 2018, jam ini baru sahaja diumumkan dan hanya akan mula dijual pada bulan April tahun 2019.

    Model asas yang digunakan untuk model Super Cub x G-Shock ini adalah DW-5600E-1, di mana ia terkenal di kalangan penggemar G-Shock sebagai seutas jam tangan yang ringkas dan lasak. Sudah tentu, sebagai sebuah model kolaborasi, penampilannya diubah supaya menjadi lebih istimewa.

    Pada bahagian tali terdapat pelbagai logo yang pernah digunakan pada Super Cub, serta bentuk motosikal yang menggunakan warna putih, manakala cogan kata terkenal Super Cub iaitu Nicest People diwarnakan merah. Di bahagian belakang jam, terdapat pula ukiran khas ulang tahun Super Cub berserta logonya.

    Bahagian skrin EL model kolaborasi ini juga agak unik. Dalam keadaan biasa, anda boleh melihat hiasan putih di sekelilingnya bersama logo Honda dan Super Cub berwarna merah, manakala apabila lampu ditekan (warna biru), muka motosikal Super Cub pula akan muncul (warna merah). Menurut informasi yang kami terima, jam ini akan dijual pada harga 14,040 yen (RM531) dan tempahan boleh dibuat di wakil pengedar motosikal Honda di Jepun.

     
     
  • Curtiss Motorcycles Zeus dan Hera – elektrik 190 hp

    Curtiss Motorcycles Zeus dan Hera – elektrik 190 hp

    Selepas mengeluarkan model Warhawk yang merupakan model terakhir menggunakan enjin pembakaran dalaman, Curtiss Motorcycles (dulunya dikenali sebagai Confederate Motorcycle) sekarang sudah memulakan pengeluaran motosikal elektrik pula dengan pengenalan tiga model iaitu Zeus Bobber, Zeus Cafe Racer dan Hera.

    Buat masa sekarang, cuma harga untuk Zeus sahaja yang sudah dikeluarkan, iaitu $60,000 USD (RM248,324) manakala untuk Hera, syarikat itu cuma membuka pendaftaran minat secara atas talian. Gaya yang diguna pada motosikal elektrik Curtiss menghampiri model flat tracker dengan tempat duduk yang rata dan tempat yang meletakkan enjin kini diisi dengan pek bateri.

    Kuasa yang menggerakkan motosikal ini datang daripada motor elektrik yang terletak di bawah tempat duduk. Setakat ini Curtiss tidak mendedahkan spesifikasi penuh motosikal tetapi ada memberitahu kuasanya bersamaan dengan 190 hp dan 195 Nm tork, dengan jarak perjalanan pula boleh mencecah 450 km dengan satu isian cas penuh.

    Dari motor elektrik, kuasa dihantar ke roda belakang melalui sistem tali sawat dan tayar yang digunakan di belakang mempunyai saiz 240/45. Untuk suspensi, unit fork girder digunakan pada bahagian hadapan manakala di belakang terdapat monoshock. Casis motosikal ini dibuat daripada aluminium 6061-T6 dan panel badan pula daripada gentian karbon.

    Dengan kuasa yang sebegitu, Curtiss turut memastikan bahagian brek mempunyai prestasi setaraf dengan penggunaan cakera terapung 230 mm dan angkup Beringer empat piston di hadapan manakala di belakang menggunakan cakera dan angkup satu piston Beringer Aerotec. Menurut Curtiss lagi, Zeus mempunyai berat 215 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 724 mm.

     
     
  • Harga petrol RON 95 akan kekal RM2.20 seliter – LGE

    Harga petrol RON 95 akan kekal RM2.20 seliter – LGE

    Pengumuman harga baru mingguan bagi bahan api dengan sistem apungan – yang sepatutnya berlaku hari ini tetapi dianjak ke satu masa lain – bakal menyaksikan harga petrol RON 95 dikekalkan pada RM2.20 seliter, walaupun jika pasaran minyak mentah menjadikannya melepasi tahap itu. Ini dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti dilaporkan The Star.

    Menurut Lim, sistem apungan ini berbeza dengan apa yang diamalkan kerajaan sebelum ini. “Kalau harga petrol turun, pengguna akan membayar harga yang kurang. Tetapi, sekiranya harga naik melepasi RM2.20, mereka tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan menampung subsidi yang terlibat,” ujar LGE.

    Beliau menjelaskan, pelaksaan harga apungan mingguan ditangguhkan atas desakan dan bantahan Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM). Perdana Menteri, Tun M akan bertemu dengan mereka hari ini sebelum menentukan harga minyak baru, yang dijangka akan diumumkan selepas sidang kabinet hari ini.

    Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menyatakan pendirian persatuan ini minggu lalu. “Sebagai pengedar, kami tidak dapat mengawal harga petrol. Misalnya, kami membeli petrol hari ini, jika kerajaan menukar harganya esok, kami terpaksa juga mengikut harga itu walaupun sebenarnya ketika dibeli, kami membayar harga yang lebih tinggi.

    Harga petrol RON 95 akan kekal RM2.20 seliter – LGE

    “Tidak seperti perniagaan lain yang boleh menetukan kadar keuntungan mereka sendiri, kami tak boleh, sebab semuanya tertakluk kepada kerajaan. Jadi, bayangkan jika harga turun setiap minggu, kami terpaksa menanggungnya (termasuk kerugian) empat kali sebulan,” jelas beliau.

    “Kami bahkan tak boleh pun untuk mengurangkan pembelian stok; tangan kami terikat. Jika pengurangan harganya berlangsung secara beransur-ansur dan tidak memberi kesan kepada kadar keuntungan setiap hari, itu boleh ditolak ansur, tetapi kerajaan perlu berbincang dengan kami terlebih dahulu.

    “Memang tak ada salahnya kerajaan ingin menurunkan harga minyak untuk kepentingan rakyat, kami sokong langkah itu, tetapi kami yang terpaksa menanggung kerugian setakat ini. Jika ini berterusan, susahlah kami,” jelas beliau dengan menyatakan bahawa kadar keuntungan pengedar ialah 10 sen seliter bagi petrol.

    Sistem ini juga hanya untuk sementara, paling tidak sehingga sistem kad subsidi minyak RON 95 diperkenalkan bagi golongan B40 yang layak. Kaedah pelaksanaan agihan subsidi ini juga belum diperincikan lagi, selepas diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2019 lalu.

     
     
  • Kenapa keluar wap atau air menitik dari tip ekzos?

    Kenapa keluar wap atau air menitik dari tip ekzos?

    Anda perasan tak setiap pagi apabila anda menghidupkan enjin kereta, akan ada wap keluar dari tip ekzos kereta anda? Kadang-kadang bukan hanya wap, tapi ada air terus yang menitik dari corong paip ekzos tersebut. Tahukah anda bahawa itu bermaksud enjin anda dalam keadaan sihat? Teruskan membaca kerana saya akan kupas kenapa perkara ini terjadi dan mengapa ia sangat penting untuk mengetahui keadaan dalaman enjin kereta anda.

    Seperti yang diketahui, enjin berfungsi kerana berlakunya letupan pada kebuk pembakaran yang akan menyebabkan pergerakan turun-naik omboh (piston) untuk memusingkan aci engkol (crankshaft), kemudian kuasa putaran berkenaan dipindahkan ke kotak gear dan akhir sekali ke roda untuk menggerakkan kereta.

    Untuk mendapat letupan berkenaan, tiga unsur diperlukan iaitu udara, bahan api (dalam konteks kali ini, khusus kita perkatakan tentang petrol), dan juga percikan api dari palam pencucuh (spark plug). Jika dipecahkan dalam bentuk unsur, udara mengandungi oksigen (O), manakala petrol pula terdiri dari hidrokarbon iaitu gabungan antara hidrogen (H) dan juga karbon (C).

    Ketika petrol dan udara bergabung, kemudian diberikan percikan bunga api, gabungan oksigen dan hidrokarbon tersebut akan menyebabkan letupan seperti disebutkan tadi. Dan sekiranya pembakaran tersebut lengkap terbakar kesemuanya tanpa lebihan petrol atau udara, hasil pembakaran akan terlerai menghasilkan hidrogen (H) dan oksigen (O).

    Kedua-dua unsur tersebut akan dibebaskan menerusi paip ekzos. Fenomena wap atau air ini biasanya akan berlaku waktu pagi atau ketika waktu sejuk bukan? Ini sebabnya – ketika suhu rendah, kadar oksigen dalam udara adalah tinggi, dan ketika hidrogen dan oksigen keluar dari muncung ekzos dan bertemu dengan oksigen yang banyak di udara, unsur yang bergabung akan menjadi H20 atau dalam bentuk nyata ia adalah air!

    Kenapa keluar wap atau air menitik dari tip ekzos?

    Kenapa saya katakan sekiranya wap atau air menitik dari tip ekzos ketika waktu sejuk ini menandakan enjin anda sihat? Begini, seperti yang saya nyatakan tadi, perkara ini hanya akan terjadi sekiranya letupan tersebut terjadi dengan pembakaran yang lengkap. Bagi mendapatkan pembakaran yang lengkap ini, campuran udara dan juga petrol perlulah berada pada nisbah 14.7:1, atau lebih mudah difahami setiap 14.7 gram udara bercampur dengan 1 gram petrol.

    Pembakaran lengkap ini hanya akan berlaku ketika kelajuan melahu (idling speed) iaitu kelajuan putaran enjin (rpm) ketika enjin hidup dan anda tidak memijak pedal pendikit. Bagi mendapat pembakaran lengkap yang saya nyatakan tadi, talaan enjin (engine tuning) perlulah berada pada larasan yang tepat, dan jumlah udara yang disedut ke dalam enjin juga tepat dan mencukupi.

    Jadi jelas, sekiranya perkara ini terjadi, dengan mudah kita akan mengetahui sistem suntikan bahan api dan juga komponen-komponen dalaman enjin yang bersangkut paut dengan kemasukan udara seperti gegelang omboh (piston ring) berada dalam keadaan baik, serta tiada kebocoran pada gasket dan injap di kepala selinder enjin ketika tertutup sepenuhnya semasa pembakaran berlaku.

    Jika anda menggunakan kereta lama dengan sistem karburator, perkara ini juga menunjukkan bahawa karburator anda masih mengekalkan talaan yang tepat.

    Ha, sekarang sekiranya anda mahu membeli kereta terpakai, atau enjin di kedai halfcut, ini antara salah satu petua yang perlu anda gunakan. Ini kerana jika enjin tersebut benar-benar sihat, enjin yang sejuk (belum lagi dihidupkan dalam masa sekitar 12 jam) juga akan menghasilkan titisan atau wap air, tetapi hanya seketika. Kalau air yang keluar boleh penuh satu gayung atau wap air tak berhenti keluar lepas sejam dihidupkan, itu petanda memang nak kena overhaul enjin dengan segera!

     
     
  • S’pura mansuh tol motosikal di Linkedua mulai 21 Jan

    S’pura mansuh tol motosikal di Linkedua mulai 21 Jan

    Kementerian Pengangkutan Singapura telah mendedahkan bakal memansuhkan tol untuk motosikal di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) mulai 21 Januari 2019, ia senada dengan langkah kerajaan Malaysia yang telah mula menamatkan kutipan tol untuk motosikal mulai tahun baharu, laporan Bernama.

    “Kami maklum Malaysia sudah memansuhkan kutipan tol motosikal di Linkedua. Singapura akan mengikuti pemansuhan itu di Linkedua bermula 21 Januari 2019,” katanya. Sebelum ini, penunggang motosikal perlu membayar tol sebanyak RM1.10 di Plaza Tol Tanjung Kupang dan RM1.20 (SGD0.40) di Pusat Pemeriksaan Tuas.

    Keputusan untuk memansuhkan tol motosikal di Linkedua, termasuk Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah diumumkan oleh kerajaan Malaysia dalam perbentangan Bajet 2019, tahun lalu.

     
     
  • Terengganu paling tinggi dengan penularan kereta klon, 296 unit telah disita sepanjang 2018 – JPJ

    Terengganu paling tinggi dengan penularan kereta klon, 296 unit telah disita sepanjang 2018  – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mencatatkan sejumlah 296 kenderaan klon yang telah dikenalpasti dan disita sepanjang tahun 2018. Sekaligus menjadikan Terengganu sebagai negeri tertinggi yang terlibat dengan kenderaan klon sejak 2014 hingga 2018, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin, pihaknya tekad untuk mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras segala bentuk kesalahan yang melibatkan kenderaan klon agar ia tidak terus menular.

    “Tahun lepas sahaja, sebanyak 20 kenderaan klon disita yang terdiri daripada Honda Jazz dan MINI Cooper. Kebiasaannya individu yang sering menjadi mengsa penipuan kenderaan klon ini adalah golongan yang meminati kereta mewah,” ujarnya.

    Tambah Zulkarnain lagi, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan sindiket ini, orang ramai dinasihati agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran pakej harga murah dan janji kononnya kenderaan itu tidak bermasalah. Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan di kaunter JPJ untuk mendapatkan status yang sahih kenderaan terbabit.

     
     
  • Lima model terbaik 2018 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Kelendar automotif di Malaysia tidak kurang meriahnya bagi tahun 2018. Pelbagai model diperkenalkan, dan sebahagian besarnya sempat kami di paultan.org/bm dekati, termasuk untuk melakukan pandu uji bagi melihat sendiri keupayaan serta kelebihan-kekurangan sesebuah model itu dan menyatakan pandangan kami tentangnya.

    Sebagai melabuhkan tirai 2018, setiap seorang individu dari pasukan editorial paultan.org/bm menyenaraikan lima kenderaan yang meninggalkan kesan paling dalam terhadap kami, tentunya dengan alasan-alasan tersendiri. Sebagai menyambung “tradisi” setiap hujung tahun, sama seperti tahun-tahun 2016 dan 2017 dahulu, berikut merupakan senarai peribadi daripada kami. Pilihan anda pula bagaimana?

    IZWAASHURA SADALI

    Tempoh kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selama 3 bulan sejak Jun hingga Ogos lalu menyaksikan keghairahan rakyat Malaysia untuk membeli kenderaan baharu melonjak. Memandangkan harga kenderaan di pasaran ketika itu ibarat “durian runtuh”, ia mendorong peningkatan jualan bagi kebanyakan syarikat kereta.

    Selepas Cukai Jualan dan PerKhidmatan (SST) dikembalikan mulai September lalu, ada di antara model kenderaan baharu mengalami sedikit penurunan harga yang melibatkan unit pemasangan tempatan (CKD), berbanding unit import sepenuhnya (CBU) yang rata-ratanya naik harga. Jadi mana yang tak sempat menempah model baharu ketika “cuti GST”, bolehlah meneruskan hasrat itu sebelum (mungkin) harganya berubah lagi pada masa hadapan.

    Penganjuran Kuala Lumpur International Motorshow 2018 (KLIMS18) November lalu, memang dinanti-nantikan oleh pencinta dunia automotif tempatan, setelah menunggu ketibaannya hampir 5 tahun selepas kali terakhir ia diadakan pada tahun 2013.

    Walaupun acaranya tidaklah berskala besar, namun banyak syarikat kenderaan mengambil kesempatan untuk mempertontonkan model baharu yang bakal dilancarkan, dan juga menayangkan model konsep yang memberikan bayangan perancangannya untuk diproduksi pada masa akan datang. Namun sejauh mana impak KLIMS18 terhadap automotif tempatan?

    Dalam suasana pasaran automotif tempatan dengan segala turun-naiknya sepanjang 2018, ini lima kenderaan yang meninggalkan kesan paling ketara bagi penulis.

    5. Kia Picanto

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Merupakan model kenderaan pertama yang dilancarkan pada 2018, Kia Picanto ini bukan sekadar model kompak segmen-A yang biasa-biasa. Walaupun ia digandingkan dengan enjin 1.2 MPI DOHC dengan hamburan kuasa 83 hp pada 6,000 rpm dan tujahan tork 122 Nm pada 4,000 rpm, bagi kenderaan dalam segmennya, Picanto agak membanggakan dari segi pemanduan dan pengendalian. Ia “kecil-kecil cili padi”.

    Jangan pandang enteng dengan ketangkasannya, kerana ia boleh bertindak mengikut kesesuaian pemanduan. Pengendaliannya cukup jinak, malah jarang menghampakan serta kekal selesa biarpun dalam kelajuan yang sedikit tinggi.

    Selain itu, imej rekaan luarannya juga lebih kemas dan menarik perhatian berbanding model sebelum ini. Malah ia juga nampak lebih sporty dengan rekaan gril open-link yang menyerlahkan bahagian hadapannya dan menampakkan ia lebih lebar walau pun masih kekal ringkas. Bahagian kabinnya juga tidak kurang menarik dan sesuai dengan imej luaran dan harga yang ditawarkan.

    Dengan harga RM50k (tanpa insurans), Picanto 2018 mampu memberikan persaingan buat Perodua Myvi 1.3L dan Proton Iriz 1.3L yang harganya lebih kurang saja. Tetapi Picanto ini memiliki satu kelebihan yang tiada pada model Perodua dan Proton tersebut; ia dibuat oleh pengeluar antarabangsa. Jadi, kalau anda mahukan kereta kompak dengan logo jenama luar pada harga murah, Picanto pilihan yang harus dipertimbangkan.

    4. Toyota C-HR

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Ini antara model panas 2018, dan kelibatnya juga makin banyak di jalan raya. Motif utama kenapa ia digemari, pastinya gaya yang nampak begitu moden, futuristik dan stailo. Walau pun harganya agak tinggi iaitu mencecah RM150k (tanpa insurans), crossover C-HR buatan Toyota ini lebih mahal berbanding pesaingnya yang terdahulu dilancarkan di pasaran lokal termasuk HR-V (RM110k), CX-3 (RM121k) dan XV (RM118k).

    Untuk pasaran Malaysia, C-HR hadir dengan satu varian saja dengan enjin 1.8 liter empat-silinder naturally aspirated Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Tiada pilihan enjin iaitu 1.2 liter turbo dan 1.8 liter hibrid seperti yang ditawarkan dipasaran lain.

    Walaupun pemanduannya lebih sesuai untuk di dalam bandar, namun C-HR mampu memberikan pengendalian yang dinamik dalam pemanduan yang agak agresif. Sterengnya mudah dikawal dan mampu mempamerkan sifat sporty dalam pemanduan sebegini, termasuk ketika melayan selekoh. Bertambah menyeronokkan bila menggunakan mod Sport yang menghasilkan pemanduan lebih berdaya tinggi. Dengan imej luaran dan dalaman yang ditampilkan, termasuklah prestasi kuasa yang sederhana, pasti ramai yang tak kisah dengan harganya.

    3. MINI Cooper S Countryman Sports

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Walaupun model baharu silih berganti, namun sentuhan moden klasik masih dipersembahkan oleh barisan MINI Cooper S Countryman Sports. Gayanya kekal unggul, prestasinya mengujakan dengan impak yang tersendiri. Ia masih tidak pernah gagal mengundang jelingan cemburu tatkala kelibatnya kelihatan. Diperkenalkan di pasaran Malaysia pada awal April lalu, MINI Cooper S Countryman Sports ini ditawarkan pada harga RM241k (tanpa insurans) yang hadirnya turut ditemani kembarnya, MINI Cooper S E Countryman plug-in hybrid.

    Walau bagaimanapun, Cooper S Countryman Sports masih mengekalkan enjin 2.0 liter pengecas turbo DOHC dengan suntikan terus bahan api. Ia mampu meledakkan kuasa sehingga 195 hp pada 5,000 rpm dan tork 280 Nm pada 1,350 rpm, dengan padanan kotak gear automatik 8-kelajuan yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan. Malahan gabungan mekanikal ini mampu mendorong Cooper S Countryman Sports 2018 untuk dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum mampu dicapai 224 km/j.

    Pengendaliannya cukup memuaskan, terutamanya ketika memacunya di lebuhraya. Malah sistem penyerap hentak (damping) pula boleh dikatakan terbaik dan kestabilan jentera juga agak optimum walau pun ketika jentera berada dalam kelajuan tinggi. Malah ia juga lebih tangkas dan lebih cengkaman.

    2. Ford F-150 Raptor a.k.a Sutton MonsterRaptor

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Trak pikap keluaran Ford ini memang cukup menggiurkan. Umpama jatuh cinta pandang pertama! Empat hari sebelum 2018 berakhir, harga untuk pasaran Malaysia didedahkan oleh Hamawangsa Kredit, mencecah RM788k! Agak-agak siapa yang sanggup berbelanja besar untuk memiliki F-150 Raptor yang dijual di Malaysia sebagai versi Sutton MonsterRaptor ini? Ia juga datang dalam bentuk badan SuperCrew, dengan ruang untuk penumpang belakang yang lebih luas, pintu saiz penuh, jarak roda 30 cm lebih panjang berbanding Raptor SuperCab dan lebih lebar 15 cm berbanding F-150 biasa.

    Enjin yang digunakan adalah unit V6 3.5 liter twin-turbo EcoBoost, dipadankan bersama transmisi automatik 10-kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 450 hp dan 691 Nm tork. Untuk pengetahuan anda, enjin ini juga mampu menghasilkan kuasa yang lebih berbanding enjin V8 6.2 liter yang digunakan pada Raptor sebelumnya. Pastinya imej garang dan penuh agresif yang ditampilkan haruslah senada dengan penjana kuasa yang luar biasa.

    Dipasang di Malaysia di kilang yang terletak di Gurun, Kedah, Sutton MonsterRaptor ini ditawarkan dalam lima warna iaitu putih, hitam, biru, merah dan kelabu. Hanya mensasarkan sekitar 20 hingga 30 unit untuk dijual dalam setahun, Sutton MonsterRaptor ini pasti menjadi idaman ramai terutamanya jejaka macho, maskulin dan yang memiliki gaya hidup lasak. Adakah anda termasuk dalam golongan sebegitu? Saya yang wanita tulen ini pun jatuh cinta dengannya!

    1. Proton X70

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Proton X70, SUV pertama dari Proton, hasil kerjasama dengan Geely, merupakan model terakhir yang dilancarkan sebagai penutup 2018. Malah ini merupakan model baharu yang cukup dinantikan oleh ramai orang, kerana tak sabar mahu melihat produk hasil kerjasama itu. Sebelum ini ramai yang masih menganggap, kualiti produk buatan China tidaklah semegah mana. Kualiti masih di takuk lama. Namun masih relevankah anggapan itu?

    Batch pertama X70 ini didatangkan dari China, unit CBU kerana produksi pemasangan tempatan hanya akan berlangsung pada tahun hadapan. Jika anda berkesempatan mengunjungi mana-mana bilik pameran Proton berhampiran, cuba lihat kualiti yang dipamerkan pada SUV ini. Lihat juga segala elemen yang ditampilkan khususnya untuk varian tertinggi, X70 Premium 2WD. Boleh dikatakan apa yang ditampilkan pada X70 ini agak hampir dengan kenderaan dari Jepun dan mungkin… Eropah.

    Walau bagaimanapun difahamkan, untuk unit CKD kelak, ada beberapa elemen akan diubah, selari dengan imej tempatan. Cuma buat masa ini, Proton masih menyimpul rapi rahsia tentang itu. Apa pun, kita harapkan X70 versi Tanjung Malim itu nanti tidak mengetepikan kualiti yang sepatutnya. Biarlah pembeli merasakan pemilikannya berbaloi dengan RM yang dikeluarkan.

    FARID AWALUDIN

    Pada saya, tahun 2018 agak ‘slow‘ dalam dunia automotif, terutamanya untuk kereta-kereta dalam kelas marhaen. Sepanjang tahun 2018, saya jarang berkesempatan untuk menguji model-model kebanyakkan kerana kurangnya model-model baharu sepenuhnya dan juga hanya versi facelift yang dilancarkan. Jadi, untuk senarai kali ini adalah terdiri hampir semua dari model-model kelas ‘bangsawan’. Jangan marah haaa…

    5. Kia Optima GT

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Ini antara model yang saya tidak sangka akan di bawa oleh Naza Kia ke Malaysia. Optima GT ini bukan seperti Optima biasa, kerana ia adalah versi lebih berkuasa dan tentunya tidak boleh dijual pada harga yang sama seperti sedan segmen-D yang lain, terutamanya jenama-jenama dari Jepun. Secara logik berdasarkan sentimen pasaran di Malaysia, siapa yang nak beli sebuah sedan ‘ayah-ayah’ dari Korea dengan harga yang lebih mahal dari Honda Accord?

    Ini yang saya tabik kepada Naza Kia, kerana mereka masih mahu memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasa model unik dari Kia ini. Optima GT ini dijana oleh enjin empat-silinder Theta II 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI). Ia berupaya menghasilkan 242 hp/350 Nm atau 69 hp/125 Nm lebih berkuasa dari Honda Accord 2.4L.

    Selain dari laju, kereta ini turut dibekalkan dengan sistem Electronic Sound Generator (ESG) yang memberikan bunyi deruman enjin palsu seakan V8, meningkatkan semangat anda untuk memandu. Walau bagaimanapun, saya masih tidak berapa gemar lagi dengan karekter pada kotak gear dan juga dinamik pengendalian Optima GT ini yang rasanya ia masih belum menerima ‘Biermann Effect‘ seperti Hyundai Elantra Sport yang saya pandu tahun lalu.

    4. Mercedes-AMG GT C

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Sehari selepas Mercedes Benz Malaysia (MBM) melancarkan Mercedes-AMG GT C dan model-model ‘Dream Cars‘ mereka di Malaysia untuk tahun 2018, syarikat tersebut telah mengadakan satu sesi pandu uji barisan kereta-kereta berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Rezeki saya pada hari itu, saya orang pertama terpilih untuk memandu Mercedes-AMG GT C ini dari Kuala Lumpur meredah laluan berbukit dengan selekoh-selekoh mengujakan di lebuhraya Karak.

    Ini adalah supercar sebenar dari Mercedes-AMG dan ia adalah varian pertengahan antara GT S dan model paling buas GT R. Di jana enjin M178 4.0 liter biturbo V8 berkuasa 549 hp/680 Nm digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G-DCT automatik dan hanya memacu roda belakang, pengalaman meratah selekoh-selekoh di Karak adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan.

    Bunyi V8 yang mengaum, pecutan gila yang diberikan tidak kira pada mana-mana kedudukan gear, posisi pemanduan yang cukup rendah dengan muncung yang sangat panjang sementara roda belakang hanya berada di belakang tempat duduk, dan cengkaman dari tayar Michelin Pilot Super Sport 305/30ZR20 adalah sesuatu yang sukar untuk saya lupakan.

    3. Mercedes-AMG E 63 S

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Ini satu lagi jentera Dream Cars yang di bawa oleh MBM dalam sesi pandu uji yang sama. Berbanding GT C, Mercedes-AMG E 63 S ini adalah supercar tetapi menyamar sebagai sedan ‘ayah-ayah.’ Saya tidak sempat untuk berkenalan lebih rapat dengan AMG E 63 S ini, kerana hanya diberi peluang untuk memandunya kira-kira 20 minit sekitar pesisir pantai Cherating.

    Walaupun hanya sedan, kereta ini diberikan enjin AMG M178 4.0 liter V8 biturbo yang menjana 612 hp/850 Nm – jauh lebih berkuasa dari AMG GT C tadi! Ia dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD Mercedes 4Matic. Bunyi yang dihasilkan juga lebih garang, dan pecutannya…astaghfirullahalazim.

    Bukan sahaja kuasa, sebenarnya saya suka segala-gala tentang kereta ini berbanding GT C. Laju tak masuk akal, empat pintu, boleh naik empat orang dengan selesa dan juga ada ruang kargo seperti sedan normal. Jadi apa perlunya nak beli Lamborghini Huracan yang boleh naik dua orang saja?

    2. Mazda CX-5 2.2 GLS SkyActiv-D 4WD

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Sejak dari model generasi sebelumnya, Mazda CX-5 versi diesel sememangnya telah menambat hati saya. Enjin diesel Mazda ini bukanlah seperti enjin-enjin turbodiesel pada trak-trak pikap, sebaliknya ia adalah enjin turbodiesel berteknologi tinggi yang senyap dan menghasilkan tork yang cukup tinggi membolehkan SUV segmen-C mereka tersebut bersifat cukup cergas.

    Juga sama seperti model sebelumnya, nisbah kotak gear telah disesuaikan dengan sangat baik, membolehkan tork 420 Nm pada enjin 2.2 liter SkyActiv-D ini mampu untuk membawa SUV berkenaan pada kelajuan 200 km/j dalam masa yang singkat, tanpa anda sedari. Manakala sistem AWD yang dibekalkan adalah sangat bersesuai untuk memberikan cengkaman untuk semua roda memandangkan bekalan tork yang diberikan adalah sangat besar.

    Apa yang membuatkan saya lebih suka terhadap model generasi baharu ini adalah ciri-ciri yang diperhalusi oleh Mazda. Ia jelas lebih senyap dari model sebelum ini, manakala suspensinya telah ditala bagi mengekalkan sifatnya yang keras bagi membolehkan anda mengambil selekoh dengan lebih yakin, dalam masa yang sama ia masih lagi selesa untuk dinaiki oleh seisi keluarga.

    1. Mercedes-AMG C 43

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Dua model Mercedes-AMG yang saya sebutkan di atas kalau anda lihat ia mempunyai satu sifat yang sama iaitu ia dibekalkan dengan kuasa yang sangat liar. Memang best sifat seperti itu, tapi sebenarnya ada satu perasaan yang tidak selesa ketika memandu kereta-kereta sebegini di jalan raya awam – takut. Ya, takut. Tork melebihi 650 Nm bukan perkara main-main, dan anda mungkin berani untuk menggunakan tujahan penuh sedemikian hanya di litar sebenar.

    Tetapi tidak dengan Mercedes-AMG C 43. Model AMG sebenar yang dijana oleh enjin M276 DELA 30 3.0 liter V6 turbo berkembar berkuasa 362 hp dan tork maksima 520 Nm ini di tala cukup baik untuk kegunaan di jalan raya. Dengan sistem AWD Mercedes-AMG 4Matic, ia adalah sebuah jentera ‘touge’ yang sangat seronok.

    Anda boleh menggunakan hampir semua kuasa di selekoh, bersama penggunaan mod gear manual yang sangat mudah untuk dijangka. Dengan kuasa yang ‘sedang-sedang elok’ dan tidak melebih-lebih, saya sangat sukakan sedan sport yang bersifat wasatiyyah ini.

    DURRANI SHAROM

    Daripada berita yang dinaikkan sebelum ini, boleh dilihat sememangnya berita berkenaan motosikal adalah antara yang sering mendapat sambutan ramai. Pengeluar dan pengedar motosikal di negara kita juga sedar perkara ini, dan saban tahun pastinya banyak model baru diperkenalkan.

    Sebagai penutup tahun ini, saya senaraikan lima model yang menjadi pilihan dan kesemuanya pernah saya tunggang sendiri. Agak sukar untuk menamakan sesebuah model sebagai model yang terbaik secara keseluruhan, jadi ada di antaranya termasuk dalam senarai kerana dianggap memberikan kualiti tunggangan yang baik serta berbaloi untuk dimiliki jika dibanding dengan pesaing terdekatnya.

    5. TVS Apache RTR200

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Pasti ada yang mahu mempersoalkan kenapa model ini berada dalam senarai, tapi saya ada sebab tersendiri. Pengeluar motosikal dari India iaitu TVS baru sahaja membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia beberapa minggu lepas dengan antara model yang dilancarkan adalah Apache RTR200. Saya bernasib baik kerana sebelum pelancarannya, telah berpeluang menguji model ini selama satu hari.

    Mungkin ada yang tertanya bagaimana sebuah model dari India boleh masuk dalam senarai ini, kan? Memanglah TVS bukan satu jenama baru, malah mereka sudah mendapat kepercayaan daripada BMW untuk menghasilkan model yang menggunakan logo jenama dari Jerman itu, tetapi ia bukanlah sebab utama.

    Melalui pengalaman menguji jentera yang ada kaitan dengan pengeluaran dan penggunaan alat ganti dari India, saya sedikit sebanyak sudah ada jangkaan bagaimana rasanya. Walaupun begitu, Apache RTR 200 tidak seperti yang saya jangka dan ia menghancurkan segala jangkaan awal saya berkenaan jentera dari negara tersebut.

    Motosikal itu sendiri sudah bagus, tetapi sekarang kita masih perlu melihat bagaimana khidmat sokongan yang bakal disediakan oleh syarikat baru yang membawa TVS ini ke Malaysia. Harapnya mereka serius untuk menjaga pelanggan dan bukannya setakat mahu menjual motosikal sahaja.

    4. Yamaha MT-09 2018

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Barisan model naked MT dari Yamaha sememangnya mempunyai penampilan yang menarik, dan keputusan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk memasangnya di dalam negara memberikan peluang kepada lebih ramai orang untuk memilikinya (kerana harga yang lebih menarik).

    Bagi MT-09, ia sudah beberapa tahun berada dalam pasaran Malaysia dan ramai yang sudah tahu kelebihan dan kekurangannya. Masuk tahun ini, model baru diperkenalkan dan ia bukan setakat melibatkan perubahan grafik atau warna, tetapi juga beberapa masalah yang dihadapi model lama telah diperbaiki.

    Ini termasuklah tempat duduk yang lebih selesa serta tindak balas pendikit yang lebih baik. Selain daripada itu, MT-09 2018 juga datang dengan kelengkapan lain yang menjadikan tunggangan lebih memuaskan seperti quickshifter, kawalan cengkaman serta fork hadapan yang boleh dilaras.

    3. Triumph Tiger 800 XCX

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Untuk model tiga yang teratas ini, saya mengalami masalah untuk meletakkannya di kedudukan mengikut turutan. Sebabnya, saya memang cukup menggemari ketiga-tiganya, tetapi ia mempunyai karekter yang berbeza. Triumph Tiger 800 XCX yang saya pilih ini berada dalam kategori kembara.

    Motosikal dalam kategori ini adalah antara yang paling sukar untuk dihasilkan kerana penggunanya berpotensi untuk menjadikan model yang dipilih sebagai ‘satu untuk semua benda’. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, apa saja yang dicari pada motosikal kembara bukan setakat ada pada Tiger 800 XCX ini, malah cukup memuaskan.

    Melihat kepada senarai barangan dan ciri yang ada pada motosikal ini sahaja ia sudah cukup lengkap, tapi apa yang membuatkan saya lebih tertarik padanya adalah padanan kualiti tunggangan, keselesaan dan serba boleh.

    Bila sudah memiliki motosikal ini, anda akan mencari sebab untuk keluar menjelajah, tidak kiralah sama ada jarak destinasi itu jauh atau bagaimana keadaan jalannya. Saya mengalami perkara ini sendiri, dan saya telah membuat keputusan tidak masuk akal untuk melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, Dungun, Kuantan dan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa dua hari sahaja.

    Saya bukan setakat melalui jalan lebuh raya, malah meneroka ‘jalan-jalan lama’ yang lebih kecil dan ada di antaranya jalan tidak berturap. Habis sahaja perjalanan, tidak ada sebarang benda yang saya tidak gemari pada motosikal ini dan ia akhirnya bergantung kepada penunggang sama ada anda cukup kuat untuk menunggang tanpa henti.

    2. Kawasaki Z900 RS

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Model seterusnya berbentuk klasik. Seperti yang anda boleh lihat, model rekaan seperti ini kembali mendapat sambutan ramai dan makin banyak jenama yang mengeluarkan model baru tetapi menggunakan inspirasi daripada model lama, termasuklah Kawasaki Z900 RS.

    Interpretasi moden kepada model lama Z1 tahun 70-an ini dianggap mudah diterima dan dalam warna gabungan perang dan oren seperti dulu, ia cukup menarik. Walaupun kelihatan klasik, Z900 RS memberikan kualiti tunggangan yang cukup memuaskan dan sebab itulah ia berada dalam kedudukan kedua bagi motosikal pilihan saya tahun ini.

    Enjinnya cukup lancar, ia mudah dikendali, mempunyai kuasa yang tinggi, cukup selesa dan mampu mengejutkan mereka yang memandang rendah model klasik. Saya yang lebih cenderung kepada motosikal kembara juga hampir terperdaya untuk memiliki model ini.

    Kemudiannya juga, cuba anda fikirkan sekiranya anda adalah seorang yang mahu mendapatkan model klasik. Walaupun ada syarikat yang membawa model lama dari Jepun dengan AP klasik, harganya juga tidak murah. Jadi, Z900 RS ini adalah pilihan yang lebih munasabah untuk motosikal yang berbentuk klasik tetapi dengan kualiti tunggangan yang lebih moden dan memuaskan.

    1. Ducati Panigale V4
    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Menjuarai pilihan lima motosikal terbaik yang pernah saya cuba bagi tahun 2018 adalah model sports jenama dari Itali iaitu Ducati Panigale V4. Seperti biasa, model sports seperti ini adalah platform untuk pengeluar menawarkan teknologi terkini kepada pengguna dan ini adalah versi yang lebih ‘mampu milik’ dan bukannya bernilai lebih RM500,000 seperti BMW HP4 Race atau Honda RC213V-S.

    Saya berpeluang menguji jentera yang menjadi bualan ramai ini di Litar Sepang dan itu memang adalah tempat terbaik baginya. Jika anda tertanya kenapa Panigale V4 ini kerap disebut-sebut, ini adalah kerana ia bukan sahaja sebuah model serba baru malah turut memberikan perubahan kepada karekter Panigale yang dikenali sebelum ini.

    Sebaik tetapan enjin V4 digunakan oleh Ducati dalam perlumbaan, ia jelas menunjukkan perubahan positif dan bagi orang biasa, anda akan dapat merasakan Panigale kini tidak terlalu liar, lebih lancar dan mudah dikawal tapi tetap berkuasa. Kelengkapan elektronik padanya juga adalah antara yang termaju jika dibandingkan dengan model yang setara.

    Dari pengalaman saya memandu pelbagai superbike dalam litar, sebelum ini saya berpendapat BMW S1000R adalah yang paling memuaskan tetapi kini, pilihan saya telah beralih kepada Panigale V4. Anda bukan sahaja dapat menikmati sebuah jentera yang cukup berkuasa, tetapi ia juga tidak menakutkan dan membolehkan anda melakukan pelbagai tindakan lebih hebat (biasanya dilakukan pelumba profesional) seperti membrek semasa motosikal condong, menghalakan motosikal ke garis lumba terbaik dan laju dalam masa sama serta menggunakan posisi lumba.

    Itulah dia pilihan saya untuk tahun 2018, dan pastikan juga anda terus mengikuti laporan dari paultan.org kerana akan ada lebih banyak laporan tunggang uji model baru, bukan sahaja yang akan dilancarkan tahun 2019, tapi yang sudah dilancarkan tahun 2018 juga masih ada yang saya masih belum berpeluang mengujinya.

    HAZRIL HAFIZ

    Tahun 2018 menyaksikan banyak model-model kenderaan yang sangat menarik diperkenalkan. Bagi saya, dua model dari pengeluar tempatan, SUV pertama Proton X70 dan Perodua D38L (yang belum dilancarkan ketika artikel ini ditulis) menjadi tumpuan utama secara peribadi. Ramai juga dalam lingkungan teman-teman dan kenalan yang tertanya-tanya tentang perbezaan penawaran dan dan prestasi kedua-duanya, dalam usaha untuk membuat pertimbangan yang mana satu wajar dibeli, kemungkinan pada tahun 2019 nanti.

    Selebihnya, banyak juga model-model lain yang memberi kesan tersendiri kepada saya. Sebahagiannya sempat saya meluangkan masa untuk memandu uji, ada juga yang memberi tanggapan yang sangat kuat dari segi penawaran serta kualitinya dalam sekali pandang. Jadi, berikut lima kenderaan yang saya pilih untuk mewakili pengalaman di sepanjang 2018 yang akan meninggalkan kita. Bawa datang 2019!

    5. Ferrari GTC4 Lusso

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Jarang-jarang dapat peluang untuk memandu uji genre supercar mewah seperti Ferrari. Dan, dalam kesempatan yang sebelum ini, pengalaman bersama model-model dalam kategori berkenaan juga sangat tertumpu kepada dimensi penawaran yang hampir sama – sebuah kereta sport yang tidak terlalu menghiraukan aspek selain prestasi semata-mata.

    Tetapi Ferrari GTC4Lusso ini mengubah beberapa sisi pandangan saya terhadap kereta sport mewah seperti ini. Bahawa ia tidak semestinya “keras” dan merimaskan ketika perlu dipandu perlahan, itu menjadi satu tarikan yang tidak saya jangkakan awalnya. Ruang juga tidak terbatas hanya kepada dua tempat duduk depan; model ini yang direka antaranya untuk membolehkan ia digunakan dengan selesa sebagai kenderaan harian hadir dengan empat tempat duduk.

    Dari segi rekaan gaya Itali yang terperinci dan menawan, sehinggalah kepada prestasi janaan enjin serta aspek pemanduan yang jitu, model ini akan saya kenang sebagai sebuah model yang berhasil “mengingatkan semula” saya kepada Ferrari, dalam maksud yang sangat menyenangkan.

    Sebab itu jugalah ia sempat menarik perhatian ramai orang ketika saya memandunya dari KL ke Ipoh – termasuk menarik perhatian dua kereta peronda polis, mungkin kerana unit yang diuji itu belum didaftarkan atau memang kerana ia terlalu seksi. Ikuti pengalaman saya dalam laporan ini.

    4. Toyota Harrier

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    SUV JDM dari Jepun. Ini saja sudah menjadi satu pernyataan yang tersendiri tentunya. Seingat saya, ketika memandunya, ia terasa begitu solid dan memuaskan, hadir bersama enjin baru 2.0L turbo dengan janaan kuasa yang mencukupi untuk memberikan aspek pengendalian padu sebagai sebuah SUV.

    Sebagai tambahan, ia juga lengkap dengan feel dan fungsi yang lebih premium sifatnya, berada satu takuk lebih tinggi berbanding SUV massa yang lebih popular lainnya. Untuk tahu lebih lanjut tentang pandangan saya tentang model ini, boleh ikuti laporan pandu uji yang ada ini.

    3. Proton X70

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Sekali lagi, sebuah SUV. X70 menjadi penting kerana dengan satu model ini, Proton akan mengukir jalannya ke hadapan. Jika percaturannya menjadi, maka kita bakal menyaksikan era baru Proton, yang diharap kemudiannya akan dapat memberi banyak manfaat kepada pembeli di sini. Jika sebaliknya yang berlaku, maka makin panjanglah ceritanya.

    Tetapi, melihat kepada angka tempahan yang diumumkan, serta senarai harga yang akhirnya diumumkan ketika pelancarannya awal Disember lalu, nampak gayanya Proton lebih cenderung untuk melalui jalan yang pertama itu – mendapat sambutan (10,000 pra-tempahan dan 200-300 unit sehari selepas pelancaran) dan semacam berjaya meraih semula kepercayaan umum. Tinggal lagi, Proton perlu mempercepatkan proses serahan kepada pelanggan.

    Mendekati model ini beberapa kali sejak sebelum pelancarannya, saya merasakan ia memilik banyak kelebihan dan mampu memberikan nilai baru untuk ditawarkan, yang sebelum ini tidak dimiliki oleh Proton. Kualiti buatan, sekurang-kurangnya pada unit CBU awal-awal ini, nampak kemas dan berwibawa. Teknologi dan ciri keselamatan yang ada pun terkedepan berbanding pesaing yang lain, apa lagi kalau ambil kira tanda harga yang dikenakan. Sekarang ini cuma tinggal cari peluang untuk cuba pandu dan rasa sendiri pakej keseluruhan yang ada itu, sama ada ia betul-betul berbaloi atau sebaliknya.

    2. Volvo XC40

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Kereta terbaik Eropah dan Jepun untuk 2018. Apa lagi yang nak dikata? Saya agak berbelah bahagi awalnya ketika cuba membuat penilaian yang adil terhadap kereta ini. Dari segi reka bentuk, ia memang kuat dan tampil sangat menarik. Apalagi kalau kita letakkannya dalam konteks model-model yang pernah dikeluarkan oleh Volvo.

    Di Malaysia, Volvo XC40 kini menjadi SUV yang paling “kecil” dalam barisan keluarga kenderaan siri XC yang ditawarkan (saiz dan tentulah harganya yang paling rendah) oleh jenama Sweden ini. Sebelumnya ada XC60 dan XC90 – dengan pilihan varian yang pelbagai, termasuk T8 Twin Engine untuk model “abang”nya.

    Tetapi dari sudut pemanduan dan pengendalian, seperti ada yang “kurang garam”. Semuanya terlalu mudah, dan ada waktunya juga maklum balas stereng begitu ringan. Tetapi, setelah melihat kembali latar dan tujuan model ini direka – antaranya untuk kegunaan bandar dan untuk pemilik urban – maka XC40 ini boleh ditolak ansur untuk tampil dengan kelebihannya yang lebih terkedepan bagi memenuhi keperluan itu.

    Perjalanan menjadi sangat selesa, jimat minyak, mudah dan bersahaja, luas dan praktikal serta akan sentiasa menerima pujian terhadap penampilannya, anda akan sentiasa berada dalam gaya yang rasanya mampu bertahan dalam satu tempoh yang agak lama.

    1. Ford Ranger Raptor

    Lima model terbaik 2018 – editorial <em>paultan.org/bm</em> senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Memang ia besar, berat dan keras. Tak mampu tawarkan keselesaan seperti sebuah kereta keluarga. Lebar, perlu lebih berhati-hati ketika masuk parking. Macam-macam lagi perkara yang mungkin akan menjauhkan anda daripada trak pikap ini. Tetapi bagi saya, semua itulah yang menjadikannya sangat berlainan dan berada di satu sudut yang tak mampu dihuni oleh kenderaan lain di dalam spektrum penawaran kenderaan yang ada.

    Dengan kedudukan yang sedikit lebih tinggi dari permukaan jalan berbanding Ranger biasa, casis yang lebih besar, kehadirannya di atas jalan raya menjadi sesuatu yang luar biasa perasaannya. Itu belum mengambil kira yang Ranger Raptor ini menjadi trak pikap prestasi pertama yang ada dalam pasaran tempatan.

    Dengan trak pikap ini, serta segala yang ada padanya, saya tak ragu-ragu untuk meredah ke lokasi manapun. Mungkin saiz dan beratnya (serta harganya yang tinggi) tidak begitu serasi jika ingin dijadikan kenderaan off-road yang hardcore, ia sentiasa bersedia untuk menggalas cabaran apa pun.

    Enjin 2.0L bi-turbo dengan sistem suspensi Fox serta casis yang digunakan memberikan satu takrifan baru bagi penawaran mana-mana trak pikap di Malaysia sebelum ini. Serba-serbi tentang Ford Ranger Raptor ini sangat mengujakan.

     
     
  • Tiada penurunan harga petrol, diesel malam ini, ditangguh hingga minggu pertama 2019 – Menteri

    Tiada penurunan harga petrol, diesel malam ini, ditangguh hingga minggu pertama 2019 – Menteri

    Pasti ramai yang menunggu berita berapa harga petrol RON 95 dan diesel akan turun malam ini ekoran kenyataan menteri kewangan Lim Guan Eng minggu lalu yang mengesahkan harga bahan bakar berkenaan akan kembali diapungkan secara mingguan bermula 1 Januari ini bukan? Namun petang ini kami menerima berita tidak berapa baik kerana menteri yang sama menyatakan bahawa langkah berkenaan akan ditangguhkan sehingga sebelum akhir minggu pertama 2019, menurut laporan Astro Awani.

    Oleh itu Lim mengesahkan bahawa buat masa ini harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter. Beliau turut menjelaskan bahawa penangguhan ini adalah selepas mengambil maklum balas beberapa pihak berwajib.

    “Kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan. PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum,” kata menteri tersebut.

    Dalam laporan Astro Awani berkenaan mengatakan bahawa PDAM sebelum ini memberikan dua cadangan untuk menggantikan mekanisme penetapan harga secara mingguan. Dua cadangan ini adalah mekanisme Margin Pengusaha Stesen Minyak (DGM) dan penjualan secara konsainmen. Di bawah sistem DGM, sekiranya harga minyak turun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak. Ini bermakna stesen minyak akan mendapat pampasan daripada syarikat minyak sekiranya mereka mengalami kerugian.

    Tiada penurunan harga petrol, diesel malam ini, ditangguh hingga minggu pertama 2019 – Menteri

    Bagaimanapun sekiranya harga minyak meningkat selepas stesen minyak membuat pesanan, stesen akan membayar bayaran gantian kepada syarikat minyak. DGM memastikan margin keuntungan stesen minyak kekal pada 10 sen seliter, tidak kira sama ada harga minyak mentah global meningkat atau menyusut. Penjualan secara konsainmen pula bermakna stok di stesen adalah milik syarikat minyak, dan pengusaha stesen hanya menjual selaku ejen. Ini bermakna pengusaha stesen minyak mendapat komisyen bagi setiap liter dijual, dan tidak akan menanggung apa-apa risiko perubahan harga.

    Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata mekanisme penetapan harga mingguan yang mahu diguna pakai kerajaan akan menyebabkan harga runcit petrol bertukar dengan kerap, sekali gus menyebabkan margin keuntungan stesen minyak tidak menentu.

    Minggu lalu Lim memaklumkan bahawa kerajaan akan kembali menetapkan harga runcit bagi bahan api secara mingguan bermula 1 Januari 2019 susulan penurunan harga minyak mentah global secara berterusan sejak kebelakangan ini. Namun selepas itu PDAM dilaporkan pula mahu kerajaan mengadakan rundingan dengan ahli-ahlinya sebelum langkah itu dilaksanakan kerana ia akan mengakibatkan kerugian bagi peniaga sekiranya harga minyak mentah merosot lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024