Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton Persona 2019 didedahkan – boleh ditempah esok dengan RM9.90, akan dilancarkan bulan ini

    Proton Persona 2019 didedahkan – boleh ditempah esok dengan RM9.90, akan dilancarkan bulan ini

    Selepas lebih seminggu Proton Iriz facelift 2019 diperkenalkan, kini giliran versi sedannya – Proton Persona facelift 2019 – pula didedahkan kepada umum. Seperti juga Iriz, Persona bukan sahaja menerima penambahbaikkan dari segi rupa, malah turut menampilkan perubahan dari ciri elektronik dan aspek NVH. Menurut Proton, Persona facelift ini menerima 303 peningkatan baharu

    Pembaharuan luaran Persona baharu ini bermula pada bahagian hadapan di mana gril baru memberi penampilan segar, dengan pendekatan rekaan yang sama pernah dilihat pada model X70 sebelum ini, menampilkan aspek busur panah dan juga elemen ‘infinite weave‘. Bampar baharu model ini disentuh semula dengan lampu nyalaan siang LED melintang pada kemasan liang udara sisi.

    Di belakang pula, lampu utama masih lagi kekal sama, namun kemasan bar merentangi but belakang yag dahulunya krom kini diberikan warna badan dan perkataan ‘Proton’ diletakkan seperti pada X70. Ciri lain yang diberikan adalah rim aloi 15-inci baharu serta antena konvensional ditukar kepada antena sirip jerung.

    Proton Persona 2019 didedahkan – boleh ditempah esok dengan RM9.90, akan dilancarkan bulan ini

    Bahagian dalam, identiti Persona dikekalkan dengan skim warna dua-tona berbanding Iriz hanya berwarna hitam. Ciri baharu pada kabin Persona ini adalah termasuk cermin pandang belakang tanpa bingkai, fabrik upholsteri dengan corak baharu dan tombol gear seakan dari X70 bersama gaiter kulit. Paparan meter Persona juga ditukar dengan unit baharu menampilkan nombor lebih jelas dan juga skrin pelbagai info TFT berwarna di tengah, sama seperti Iriz.

    Sistem infotaimen binaan ECARX menampilkan fungsi arahan suara ‘Hi,Proton’ juga dilengkapkan pada Persona. Sistem ini diberikan menerusi pemain utama dengan skrin sesentuh tujuh-inci, dan eSIM bina dalam bagi memberikan hubungan internet, serta di dakwa Proton sebagai yang pertama dalam kelasnya. Walau bagaimanapun, kawalan suara berkenaan hanya berfungsi untuk sistem infotainmen, dan tidak fungsi lain dalam kabin seperti tingkap berkuasa atau penghawa dingin.

    Tiada perubahan unit janakuasa diberikan di Persona 2019 masih lagi dijana enjin 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp dan tork maksima 150 Nm, digandingkan dengan kotak gear sama ada 5-kelajuan manual atau CVT automatik. Namun menurut Proton, mereka telah melakukakan talaan semula pada enjin, kotak gear CVT dan brek bagi meningkatkan ekonomi bahan api, tahap kesenyapan dalam kabin dan juga kuasa membrek.

    Proton Persona 2019 didedahkan – boleh ditempah esok dengan RM9.90, akan dilancarkan bulan ini

    KEMASKINI: Tempahan kilat atas talian Persona 2019 kini dibuka

    Bagi anda yang berminat, tempahan segera seperti pada Iriz turut ditawarkan untuk Persona, dengan bayaran hanya RM9.90 dan ia akan tamat pada 22 Mac ini. Model ini akan dilancarkan pada bulan ini, dan seperti model sedia ada, empat varian ditawarkan iaitu Standard 1.6 MT, Standard 1.6 CVT, Executive 1.6 dan 1.6 Premium. Ciri-ciri untuk setiap varian adalah seperti berikut:

    Proton Persona 1.6 Standard MT/CVT
    Hadir standard dengan:

    Enjin dan transmisi

    Proton Persona 2019 didedahkan – boleh ditempah esok dengan RM9.90, akan dilancarkan bulan ini

    • Enjin 1.6 liter VVT 1,597 cc NA empat-silinder petrol
    • 107 hp pada takat 5,750 rpm, 150 Nm pada takat 4,000 rpm
    • Lima-kelajuan manual atau CVT
    • Lampu ECO Drive Assist
    • Suspensi hadapan topang MacPherson, torsion beam di belakang
    • Cakera brek berliang di hadapan, dram di belakang

    Luaran

    • Lampu hadapan halogen reflektor
    • Rim aloi 15-inci
    • Spoiler but

    Dalaman

    • Penghawa dingin manual
    • Upholsteri fabrik
    • Paparan pelbagai -info hitam-putih
    • Pemain CD/Radio
    • Dua pembesar suara
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Dua port USB di belakang

    Keselamatan

    • Dua beg udara
    • ABS dan EBD, BA
    • Kawalan Kestabilan Elektronik
    • Cangkuk tempat dududk kanak-kanak Isofix di belakang

    Proton Persona 1.6 Executive CVT
    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Lampu nyalaan siang LED
    • Sistem kunci pintar


    Dalaman

    • Butang penghidup enjin
    • Stereng pelbagai fungsi
    • Skrin pelbagai info berwarna
    • Skrin sesentuh sistem infotaimen 7-inci
    • Port USB hadapan
    • Empat pembesar suara
    • Kamera undur dengan garis panduan dinamik

    Proton Persona 1.6 Premium CVT
    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Lampu hadapan automatik

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit dengan gaiter kulit
    • Cermin pandang belakang tanpa cermin
    • Internet 4G
    • Kawalan menggunakan suara, navigasi dan streaming muzik

    Keselamatan

    • Enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai)

    Lima warna akan ditawarkan termasuk Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Rosewood Maroon dan Armour Silver. Kesemua warna ini adalah dari katalog warna Geely, kecuali Ruby Red adalah dari Proton sendiri.

    GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium

    GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Executive

     
     
  • Lagonda All Terrain Concept – kenderaan tanpa emisi mewah yang bakal masuk fasa pengeluaran pada 2022

    Lagonda All Terrain Concept – kenderaan tanpa emisi mewah yang bakal masuk fasa pengeluaran pada 2022

    Bagi yang kurang mengenali jenama mewah Lagonda, ia telah wujud sejak tahun 1904, dan masuk pada tahun 1947, ia telah diambil alih oleh Aston Martin. Sejak daripada itu, kereta yang menggunakan jenama Lagonda dikenali mempunyai ciri lebih mewah daripada kereta Aston Martin yang sebenarnya juga sudah cukup mewah.

    Terbaru di Geneva Motor Show, Aston Martin telah memperkenalkan Lagonda All-Terrain Concept, yang dikatakan sebagai sebuah kenderaan mewah yang boleh dibawa ke mana sahaja, dan dikuasakan oleh penggerak tanpa emisi bateri elektrik.

    Setakat ini tiada perincian teknikal yang didedahkan, dan ia sekadar satu petunjuk kemungkinan gaya rekaan dan menjadi kesinambungan kepada Lagonda Vision Concept yang ditunjuk pada tahun lepas. Menurut Aston Martin lagi, gaya ini boleh digunakan pada kereta Lagonda versi produksi seawal tahun 2022.

    Di dalam, terdapat empat tempat duduk berasingan dan rekaannya serba ringkas dan elegan. Tiada butang kawalan yang dapat dilihat pada papan pemuka manakala skrin digital pula ada dua iaitu di tengah roda stereng dan juga konsol tengah. Selain bukaan pintu yang luas, sebahagian daripada bumbung kaca kenderaan ini juga boleh ditolak ke atas untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk.

    Model pasaran awam Lagonda ini nanti akan dikeluarkan dari kilang baru mereka di St Athan, Wales yang kini mempunyai hampir 200 orang pekerja dan akan ditambah lagi untuk menjadi lebih 700 menjelang awal tahun 2020 bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik sebagai pusat kecemerlangan kenderaan elektrik mewah prestasi tinggi Aston Martin Lagonda.

     
     
  • Peugeot 508 Sport Engineered bakal diproduksi

    Peugeot 508 Sport Engineered bakal diproduksi

    Nampak gayanya Peugeot telah bersedia untuk membangunkan model prestasi tinggi 508 Sport Engineered Concept, laporan CarAdvice. Ia adalah susulan jawapan CEO syarikat, Jean-Philippe Imparato menjawab pertanyaan menerusi Twitter berhubung dengan ‘kebarangkalian untuk memproduksi model prestasi 508, dan beliau menjawab, “ya, kami memang akan melakukannya!”

    Bertambah menarik apabila dikhabarkan sedan plug-in hybrid ini akan dilengkapi dengan enjin PureTech 200 termaju dengan gabungan dua motor elektrik. Satu e-motor menghasilkan 112 hp dan pacuan ke roda hadapan, di mana ia akan mengasingkan 203 hp (150 kW) ke roda belakang, menjadikannya sebagai kereta pacuan semua-roda elektrik.

    Penjana kuasa elektrifikasi ini dikatakan mampu menghasilkan kombinasi keseluruhan kuasa sehingga 350 hp, walau bagaimana pun ia belum disahkan oleh Peugeot. Walau bagaimana pun, pengeluar kereta French ini berkata, jentera ini mampu mencapai pecutan penuh dalam tempoh hanya 4.3 saat sebelum mencecah kelajuan puncak 250 km/j. Bukan itu sahaja, bateri 11.8 kWh yang diletakkan di bawah lantai juga membantu menyalurkan pacuan semua-elektrik sehingga jarak 50 km.

    Untuk rekaannya, 508 Sport Engineered menerima sentuhan yang lebih sporty, termasuk rekaan semula bahagian hadapan dengan elemen ala 3D, termasuk saluran udara ke radiator yang direka lebih spesifik. Malahan aerodinamik juga telah ditambah baik hasil flap baharu pada subframe dan panel yang menampilkan kecil untuk aliran udara yang lebih lancar. Walau bagaimana pun, untuk unit produksi, rekaan yang sarat mungkin akan dikurangkan sedikit.

    Bahagian luaran yang dipertingkatkan termasuklah warna Selenium Grey yang berubah mengikut beberapa keadaan pencahayaan, cermin pintu gentian karbon, dan gril hadapan yang nampak lebih agresif, serta lencana Singa yang pertama kali dilihat menerusi konsep e-Legend.

    Untuk kabinnya, model konsep 508 diterapkan dengan Peugeot i-Cockpit yang digunakan kini diberikan lebih penekanan kepada ciri prestasi dan anda boleh lihat terdapat banyak bahagian yang sama ada dibalut dengan Alcantara, dibuat daripada gentian karbon ataupun dihias dengan jahitan benang hijau terang. Elemen lain termasuk panel instrumen digital penuh 12.3-inci, roda stereng kompak asimentrikal, tuil gear sentuhan-sensitif serta skrin sesentuh resolusi tinggi 10-inci “all Kryptonite”.

    Pengenalan terhadap model konsep 508 Peugeot Sport Engineered dilihat sebagai satu perkara yang sangat penting buat pengeluar kereta Perancis ini. Groupe PSA mensasarkan untuk mengelektrifikasikan setiap modelnya menjelang tahun 2025, dan elektrifikasi ini akan melibatkan senibina Common Modular Platform (CMP) dan Efficient Model Platform (EMP2). 508 adalah berdasarkan platform EMP2. Peugeot juga akan memperkenalkan model Battery Electric Vehicle komersil pertamanya tahun ini.

     
     
  • Goodyear bawa kereta autonomous tahun 50-an yang telah dipulihkan semula ke Geneva – tayar berlampu

    Goodyear bawa kereta autonomous tahun 50-an yang telah dipulihkan semula ke Geneva – tayar berlampu

    Sementara banyak pengeluar yang membawa model baru ke Geneva Motor Show, Goodyear pula tahun ini membuat sesuatu yang berbeza di mana mereka membawa sebuah kereta kustom klasik tahun 50-an yang telah dipulihkan semula iaitu Golden Sahara II.

    Ini bukanlah sebuah kereta biasa, malah merupakan antara kereta konsep autonomous pertama yang diperkenalkan di dunia. Jim Street dan George Barris yang membangunkan dan mereka kereta ini mahu menjadikan ia sebagai platform menguji sistem elektronik baru, dan pada masa itu, ia telah dipasang dengan sistem brek automatik yang dapat mengesan objek di hadapan kereta.

    Masa baru dibangunkan, Goodyear juga terlibat dengan Golden Sahara II ini, di mana mereka telah memasangnya dengan tayar yang boleh menyala. Dengan tayar seperti ini, Goodyear memberitahu ia dapat menjadikan kereta lebih mudah dilihat dalam cuaca buruk dan juga boleh dijadikan menyala apabila pemandu menekan brek.

    Goodyear tidak memiliki Golden Sahara II ini dari awal. Selepas muncul pada tahun 50-an, ia telah dibawa untuk pameran di sekitar Amerika Syarikat dan kemudiannya disimpan sahaja dalam garaj. Pada bulan Mei 2018, Klairmont Kollections telah membelinya daripada Mecum Auctions dan kini dipulihkan semula dengan bantuan Speakeasy Customs dan Classics in Chicago.

    “Kami sangat berbangga dapat sekali lagi menjadi rakan kerja dalam projek Golden Sahara II ini. Penemuan dan inovasi terus menjadi asas penting bagi apa yang dilakukan oleh Goodyear. Bekerjasama dalam projek seperti ini memberi peluang untuk kami melebarkan lagi imaginasi dan membayangkan produk serta servis untuk masa hadapan,” kata timbalan presiden konsumer untuk Goodyear Eropah, Henry Dumortier.

     
     
  • Lorong Persimpangan Bertingkat Seremban-Bandar Ainsdale ditutup setiap Jumaat hingga 26 Apr – PLUS

    Lorong Persimpangan Bertingkat Seremban-Bandar Ainsdale ditutup setiap Jumaat hingga 26 Apr – PLUS

    PLUS Berhad mengumumkan beberapa lorong di KM265.4 di antara Persimpangan Bertingkat Seremban dan Persimpangan Bertingkat Bandar Ainsdale (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup sementara bermula pada 10 Mac untuk membolehkan kerja-kerja penyelengaraan jambatan dilaksanakan di kawasan terbabit.

    Penutupan lorong tersebut akan diadakan secara berterusan bermula pada tarikh yang disebutkan dari jam 10 malam hingga 12 tengahari pada hari Jumaat pada setiap minggu sehingga 26 April yang akan datang.

    PLUS juga bersedia untuk membuka laluan kontra di laluan terbabit sekiranya berlaku kesesakan yang luar biasa semasa penutupan lorong ini dilaksanakan.

    Justeru, PLUS menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan serta mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan oleh pihak PLUS.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Mac – RON97 naik 3 sen lagi

    Harga minyak 9-15 Mac – RON97 naik 3 sen lagi

    Buat lima minggu berturut-turut, Kementerian Kewangan memaklumkan harga runcit bagi petrol RON97 naik, Ini termasuklah untuk minggu bertarikh 9 hingga 15 Mac 2019 iaitu melibatkan kenaikan sebanyak 3 sen seliter, daripada RM2.43 seliter menjadi RM2.46 seliter. Manakala harga runcit petrol RON95 pula masih kekal pada paras RM2.08 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit bagi diesel pula masih kekal di paras RM2.18 seliter untuk Euro 2M dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ini berikutan keputusan Jemaah Menteri untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan bebanan kewangan rakyat. Malah kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum yang memberi manfaat kepada rakyat.

    Harga baharu ini akan bermula tengah malam nanti, dan sah sehingga Jumaat depan, 15 Mac 2019.

     
     
  • Petronas lancar bendalir iona untuk kendeaan elektrik

    Petronas lancar bendalir iona untuk kendeaan elektrik

    Petronas Lubricant membuat kehadiran di Geneva Motor Show dengan pelancaran bendalir khas untuk pasaran kenderaan eletrik. Barisan produk baru yang diperkenalkan ini termasuk bendalir bateri Thermal iona untuk penyampaian kuasa elektrik yang lebih cekap, iona Integra untuk pengurusan geseran cecair dalam sistem pacuan dan gris bebola (bearing grease) iona Glide.

    Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petronas Lubricants International (PLI), Giuseppe D’Arrigo berkata: “Perubahan global ke arah tenaga yang lebih bersih adalah satu peluang bagi kami untuk bekerjasama bagi mengurangkan emisi karbon, melalui penyelesaian yang boleh diakses oleh semua.”

    “Dalam sektor automotif, pengeluar kelengkapan asli (OEM) sekarang perlu mematuhi pelbagai peraturan ketat dalam pengurangan emisi karbon. Di Petronas, kami sudah bersedia dan sentiasa memajukan penyelesaian teknologi bendalir kami untuk berhadapan cabaran seperti ini di masa hadapan bersama rakan kongsi kami,” tambah D’Arrigo.

    Tahun lepas PLI telah mengumumkan penggunaan 75% pelaburan penyeledikan dan teknologi mereka ke arah inovasi untuk mengurangkan emisi karbon dan sebahagian daripadanya termasuk pengenalan pelincir Syntium dengan CoolTech baru untuk kenderaan hibrid, bendalir pemacu Tutela dan minyak asas unik kumpulan III+ ETRO+

     
     
  • Mitsubishi 4Sure Thrill – pengalaman penuh aksi

    Mitsubishi 4Sure Thrill – pengalaman penuh aksi

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, acara Mitsubishi 4Sure Thrill akan dilangsungkan esok hingga 10 Mac di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), menggabungkan pelbagai pengalaman dan aksi, serta pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga dan juga peluang memenangi pelbagai hadiah lumayan. Namun hari ini, acara berkenaan telah dibuka untuk pihak media terlebih dahulu, membolehkan kami merasai pengalaman hebat tersebut lebih awal.

    Sudah tentu yang paling ditunggu-tunggu adalah ‘taxi ride’ bersama pemandu-pemandu handalan yang di bawa sendiri oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM). Menerusi pengumuman sebelum ini, dua pelumba akan membawa anda dengan laju di litar off-road dengan Mitsubishi Triton baharu iaitu juara Rali Dakar dua kali Hiroshi Masuoka dan atlit sukan permotoran Malaysia ‘Girl Drifter’ Leona Chin.

    Tetapi hari ini, seorang lagi pemandu turut hadir untuk acara ini iaitu Kazuto Koide, pemandu ujian Mitsubishi yang turut diterbangkan dari Jepun. Walaupun litar berkenaan agak pendek, ia sudah cukup untuk membuatkan adrenalin anda menggelegak dengan aksi melompat dan juga menyerang selekoh permukaan berpasir dengan kelajuan tinggi.

    Selain dari taxi ride ini, anda juga berpeluang untuk memandu uji sendiri Mitsubishi Triton baharu pada litar off-road yang direka dengan pelbagai halangan seperti jalan yang tidak rata, curam sisi, memandu dalam lopak dalam, memanjat bukit tinggi serta menurun bukit yang sangat curam.

    Menerusi litar berhalangan ini, anda bukan sahaja dapat menguji kuasa dari enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel trak pikap berkenaan, anda juga dapat merasai keselesaan casis dan suspensi Triton serta kecanggihan sistem pacuan empat roda model tersebut.

    Jika anda bercadang untuk membeli model-model baharu Mitsubishi, ambil peluang pada acara ini kerana MMM menawarkan pelbagai faedah menarik. 1,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan Triton baharu bakal menerima beg Thule Subterra yang berharga RM2,000, dan baucer kad petrol bernilai RM30 serta payung Ralliart untuk 30 orang pertama pemilik Mitsubishi baharu.

    Anda yang sekadar hadir untuk merasai pengalaman 4Sure Mitsubishi ini juga ditawarkan dengan pelbagai hadiah menarik. Bagi 100 peserta pertama yang melengkapkan semua komponen pengalaman; taxi ride berkelajuan tinggi, pandu uji di litar off-road berhalangan dan juga di litar jalan raya, anda akan ‘dibelanja’ dengan kopi Starbuck oleh MMM.

    Penganjur juga akan menjalankan pertandingan foto dan video 4Sure Thrill, di mana pemenang akan menerima baucer kad petrol bernilai RM800, kad Touch n Go bernilai RM500 dan baucer Tesco bernilai RM300 untuk pemenang pertama, kedua dan ketiga. Cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah bernilai RM5,000 juga akan diadakan pada acara berkenaan.

    Teruja? Jadi jangan lupa esok atau lusa, luangkan masa anda untuk hadir ke Mitsubishi 4Sure Thrill ini. Ia akan bermula pada pukul 10 pagi dan tamat pada 8 malam setiap hari.

     
     
  • Kelantan mahu ambil alih projek lebuhraya rakyat

    Kelantan mahu ambil alih projek lebuhraya rakyat

    Kerajaan Kelantan pimpinan Pas telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil alih pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang telah dibatalkan beberapa tahun lalu.

    Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) (MTPNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya meniliti permohonan tersebut supaya projek yang terletak di dalam jajaran jalan raya lingkaran tengah (CSR) itu tidak terputus, laporan Bernama.

    “Projek tersebut telah dibatalkan sebelum ini disebabkan syarikat yang mendapat tender membina lebuh raya sepanjang 10 kilometer bernilai RM200 juta itu tidak mampu melaksanakannya. Walau bagaimana pun, MTNg memutuskan supaya pihak JKR dapat meniliti cadangan kerajaan negeri itu kerana kita tidak mahu terputus disebabkan lebuh raya ini terletak di dalam CSR.

    “Tidak munasabah sekiranya kita menyiapkan CSR tanpa mengambil pertimbangan projek Lebuh Raya Rakyat yang terbengkalai atas inisiatif kerajaan negeri Kelantan sebelum ini,” katanya kepada pemberita semalam.

    Lebuh Raya Rakyat dilancarkan pada Mei 2012 oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pada mulanya dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. Bagaimanapun pada tahun 2015, Kerajaan Pas Kelantan memohon untuk menyerahkan projek tersebut kepada Kerajaan Pusat kerana tidak mampu untuk melaksanakannya.

    Pembinaan CSR yang menelan kos RM8.4 bilion telah bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan turut menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 demi kemudahan rakyat. Projek ini telah dipecahkan kepada dua fasa iaitu melibatkan Simpang Pelangai, Bentong (Pahang) ke Kuala Krai, Kelantan sepanjang 390 kilometer dan Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 61.5 kilometer.

     
     
  • Pengecualian cukai untuk penukaran hak milik kenderaan di Langkawi dan Labuan – KP Kastam

    Pengecualian cukai untuk penukaran hak milik kenderaan di Langkawi dan Labuan – KP Kastam

    Jabatan Kastam Malaysia telah memaklumkan kenderaan yang berdaftar di Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dikecualikan daripada cukai ke atas pertukaran hak milik.

    Menurut Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam, kenderaan tersebut perlu memenuhi syarat di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 untuk kenderaan di Langkawi dan Labuan yang menetapkan kenderaan perlu didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), laporan Bernama.

    “Kenderaan juga perlu dikembalikan ke PBC dalam tempoh tidak melebihi 90 hari untuk tempoh satu tahun kalendar dari tarikh ia dibawa keluar dari pulau tersebut,” katanya.

    Tambahnya lagi, semua kereta yang diimport (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) yang didaftarkan di kedua-dua pulau berkenaan adalah bebas dari duti atau cukai selagi ia digunakan di PBC.

    Katanya, Seksyen 163 (E) Akta Kastam 1967 memperuntukkan barang-barang berduti hendaklah disifatkan tidak berduti semasa berada di Langkawi dan Labuan.

    Manakala Seksyen 163 ((B)(1)(C) menyatakan import adalah perlu dibayar ke atas semua barang berduti yang diangkut ke Semenanjung Malaysia atau Sabah dan Sarawak dari Langkawi atau Labuan seolah-olah pengimportan ke Malaysia.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Mercedes-Benz E350 W213 2019

    Barisan model E-Class telah pun diperbaharui oleh Mercedes-Benz Malaysia, dengan pelancaran E 200 Sportstyle Avantgarde, E 300 Exclusive dan E 350 AMG Line. Kesemuanya sekarang menggunakan enjin baru empat silinder 2.0L dan transmisi 9G-Tronic, tetapi mempunyai talaan dan jumlah kuasa yang berbeza.

    Dalam video di atas, kami melihat kepada E 350 AMG Line, yang selain berkemampuan 299 hp dan 400 Nm tork, turut dibantu lagi dengan sistem hibrid ringkas starter generator pacuan tali sawat, yang memberi tambahan lagi 14 hp dan 150 Nm tork.

    E 350 AMG Line juga mempunyai kelengkapan yang paling canggih di antara tiga varian E-Class baru ini, di mana untuk sistem keselamatan, ia mempunyai Driving Assist Package, yang termasuk Active Lane Keeping Assist dan juga Pilot Distance Distronic (cruise control adaptif dengan stop & go).

    Tonton video di atas untuk melihat secara ringkas apa lagi yang ditawarkan pada E 350 AMG Line, yang dijual pada harga RM399,888 ini.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S pertama di Kluang, Johor

    Proton lancar pusat 3S pertama di Kluang, Johor

    Proton telah melancarkan pusat 3S pertamanya di Kluang, Johor, yang menampilkan warna Identiti Korporat Syarikat (CI) baharu. Pusat 3S yang dikendalikan oleh Street Car Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan turut dihadiri oleh barisan Pengarah Street Car dan ahli pengurusan kanan syarikat pengeluar kereta nasional pertama ini.

    Street Car telah menjadi pengedar PROTON sejak sembilan tahun yang lalu, memulakan perniagaan sebagai pengedar cawangan 1S di Johor Bharu. Untuk mengembangkan lagi perniagaannya bersama Proton dan untuk memenuhi keperluan pasaran semasa bagi sebuah pusat sehenti, mereka mengambil keputusan untuk membuka sebuah cawangan 3S baharu di pusat bandar Kluang.

    Dengan kos pelaburan berjumlah RM3.5 juta, berkeluasan sebesar 827 meter persegi dan dilengkapi dengan Wi-Fi percuma, ruangan minuman, ruang rehat pelanggan, empar petak penyelenggaraan dan empat pengangkat serta ruang parkir luas yang disediakan untuk pelanggan.

    Menurut Soong Chai Huat, Pengarah Urusan Street Car Sdn Bhd, “Keputusan yang diambil untuk membuka cawangan 3S baharu di Kluang adalah satu keputusan yang mudah kerana kami mendapati tempat ini mempunyai potensi perniagaan yang besar. Sebagai seorang pengedar, saya melihat perubahan positif pelanggan terhadap Proton sejak pelancaran SUV X70. Ramai antara mereka yang telah mengulas tentang betapa kagumnya mereka dengan model tersebut dan bagaimana ciri-ciri pintar yang dilengkapi pada model itu adalah yang terbaik berbanding mana-mana pesaing yang lain.”

    Setakat ini, Proton telah memiliki 75 cawangan baharu 3S/4S dan yang dinaik taraf telah beroperasi di seluruh negara. Jumlah tersebut meletakkan Proton menjadi yang pertama mempunyai cawangan 3S/4S yang paling banyak bagi jenama automotif di Malaysia.

    “Untuk mengembangkan lagi perniagaan kami, kami memerlukan cawangan 3S/4S yang lengkap untuk beroperasi. Ini adalah penting kerana kami perlu memudahkan pelanggan untuk berkunjung ke cawangan kami bagi keperluan jualan dan servis yang diperlukan. Dari awal lagi, kami faham bahawa pelanggan merupakan keutamaan dalam keseluruhan perniagaan kami jadi setiap keputusan yang diambil adalah untuk memastikan kepuasan pelanggan yang optimum,” kata Dr. Li Chunrong.

     
     
  • Penyelenggaraan jalan persekutuan terpaksa ditunda kerana kekurangan bajet – Menteri Kerja Raya

    Penyelenggaraan jalan persekutuan terpaksa ditunda kerana kekurangan bajet – Menteri Kerja Raya

    Menteri Kerja Raya Baru Bian telah mengesahkan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan.

    Menurutnya, kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019. Di mana sejak 2015, peruntukan penyelenggaraan dikurangkan berbanding keperluan sebenar iaitu kira-kira RM2 bilion setahun, laporan Bernama.

    “Sejak 2015, kementerian menerima peruntukan kira-kira RM600 juta hingga RM800 juta setahun. Namun, mulai tahun ini ia dikurangkan kepada RM100 juta,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

    Penyelenggaraan jalan persekutuan terpaksa ditunda kerana kekurangan bajet – Menteri Kerja Raya

    Walau bagaimana pun, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM610 juta bagi menampung keperluan melaksanakan penyelenggaraan jalan raya.

    Baru berkata kira-kira 35% daripada 17,771.42 km jalan Persekutuan didapati mengalami masalah ‘crocodile crack’ akibat kurangnya penyelenggaraan mengikut jadual. ‘Crocodile crack’ merujuk kepada keadaan jalan yang rosak akibat rekahan dan retakan pada permukaannya berikutan kekerapan penggunaan oleh kenderaan yang membawa muatan berat.

    Antara jalan Persekutuan yang sering mengalami kerosakan serius ialah di jalan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor. Kerosakan berpunca daripada volum kenderaan tinggi yang melalui jalan tersebut selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

    Dalam tempoh 2016 hingga Julai 2018, sebanyak 15,594 aduan awam diterima KKR dengan 50% atau 7,987 adalah berkaitan isu penyelenggaraan jalan.

     
     
  • Volkswagen I.D. Buggy bawa konsep santai – dipacu motor elektrik 204 PS, tiada bumbung dan pintu

    Volkswagen I.D. Buggy bawa konsep santai – dipacu motor elektrik 204 PS, tiada bumbung dan pintu

    Volkswagen sekarang mempunyai platform kenderaan elektrik baru yang dipanggil sebagai MEB, dan penggunaannya telah ditunjuk melalui model I.D Concept (kompak), I.D Buzz (van), I.D Crozz (SUV), I.D Vizzion (saloon), dan terbaru, I.D Buggy yang diperkenalkan kali pertama di Geneva Motor Show.

    Melalui I.D Buggy ini, Volkswagen mempunyai dua tujuan utama iaitu menunjukkan kemampuan platform MEB ini, dan juga membawa kembali nostalgia buggy pasir yang pernah popular satu masa dahulu. Ia dianggap sesuai untuk kegunaan sebagai cruiser di musim panas sambil menawarkan teknologi terkini penggerak elektrik.

    Badan I.D Buggy ini dibuat daripada campuran bahan aluminium, besi serta plastik, dan ia boleh dicabut daripada platform MEB ini. Dalam keadaan asal, ia tidak mempunyai bumbung dan pintu manakala bahagian dalam pula dijadikan ringkas dan kalis air. Kemudiannya tempat duduk pula cuma ada dua, tetapi pemilik boleh mengubahnya kepada 2+2.

    Untuk penggeraknya pula, I.D Buggy dikuasakan oleh bateri lithium ion yang disepadukan pada bahagian lantai dan motor elektrik 150 kW/204 PS yang terletak di bahagian belakang. Walaubagaimanapun, nanti ia boleh dipasang dengan satu lagi motor elektrik di hadapan untuk mendapatkan pacuan semua roda.

    Semasa Geneva Motor Show juga Volkswagen telah mengumumkan bahawa mereka membuka tempahan platform MEB kepada pihak luar, yang melaluinya, mereka akan mendapat satu asas teknikal sebuah kenderaan elektrik. Kepelbagaian guna platform ini telah ditunjuk melalui model I.D yang didedahkan.

     
     
  • Nissan X-Trail facelift dipertonton di M’sia – empat varian, 2.0L hibrid baru; harga dari RM134k-RM160k

    Nissan X-Trail facelift dipertonton di M’sia – empat varian, 2.0L hibrid baru; harga dari RM134k-RM160k

    Selepas dibuka untuk tempahan semalam, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mempertontonkan pula model terbaru yang akan dilancarkan dijangka April nanti, Nissan X-Trail facelift terbaru. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau ingin membuat tempahan model ini, daftarkan minat anda melalui pautan ini.

    Terdapat empat varian yang ditawarkan, bermula dengan X-Trail 2.0L 2WD (RM139,900), X-Trail 2.0L 2WD Mid (RM149,900), X-Trail 2.5L 4WD (RM159,900), dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid (RM169,900). Namun, ambil maklum harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga anggaran dan tertakluk kepada perubahan.

    TERKINI: ETCM baru sahaja mengumumkan “harga rasmi sementara” untuk X-Trail facelift dan ia lebih rendah daripada anggaran sebelum ini: RM133,888 untuk 2.0L 2WD, RM145,888 untuk 2.0L 2WD Mid, RM153,888 untuk 2.5L 4WD dan RM159,888 untuk Hybrid (tidak termasuk insurans).

    Varian dengan spesifikasi paling rendah menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan janaan 144 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan enjin kedua pula hadir dengan unit QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm pada 4,400 rpm. Bagi versi hibrid, ia berkongsi enjin 2.0 liter yang sama, digandingkan bersama motor elektrik dengan janaan tambahan 41 PS dan 160 Nm.

    Model hibrid ini dilengkapi juga dengan ciri Intelligent Dual Clutch Control – satu motor dengan sistem hibrid selari dua-klac. Dua klac di sini merujuk kepada klac antara enjin dan motor elektrik, serta klac di antara motor elektrik dan Xtronic CVT. Dengan enjin dalam keadaan tidak aktif, SUV ini boleh meluncur dengan kelajuan sehingga 120 km/j.

    Nissan X-Trail facelift dipertonton di M’sia – empat varian, 2.0L hibrid baru; harga dari RM134k-RM160k

    Nissan X-Trail Hybrid baru ini memberikan purata kadar penggunaan minyak sebanyak 6.21 liter bagi setiap 100 km; menurut ETCM, ini yang terbaik dalam kelasnya. Apa pun, semua varian X-Trail ini diiktiraf sebagai EEV di sini. Enjin berkenaan digandingkan dengan Xtronic CVT dengan mod manual. Bagaimanapun, model hibrid ini hanya hadir dengan kapasiti lima-tempat duduk; bateri sistem hibrid menngunakan lebih ruang. Varian selebihnya kekal dengan tujuh-tempat duduk.

    Dari segi penampilan, gril V-Motion baru menghiasi wajah depannya, begitu juga dengan lampu utama baru serta DRL LED. Di belakang, lampu gabungan LED dengan perumah gelap antara sentuhan baru yang diberikan. Lima pilihan warna luaran tersedia – Brilliant White, Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black dan warna baru Imperial Umber.

    Kelengkapan lain termasuk sistem infotainment Navi tujuh-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, kerusi depan balutan kulit dengan kuasa elektrik, kemasan kulit pada papan pemuka dan penampan lutut serta paparan digital lima-inci Advanced Drive Assist pada panel instrumen.

    Nissan Intelligent Mobility kini ditawarkan bagi semua varian, yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan standard untuk semua varian seperti Around View Monitor dengan Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Ride Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Trace Control.

    Varian 2.0L Mid pula menerima ciri tambahan seperti Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Warning (BSW), Motion Activated Power Tailgate, dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Hanya dua varian teratas turut menerima ciri-ciri Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).

    Selain itu, tiga varian teratas menerima enam beg udara keseluruhannnya, sementara yang paling asas dilengkapi empat-beg udara – tiada lagi penawaran dua beg udara seperti sebelum ini, semuanya dipertingkatkan. Lain-lain ciri keselamatan termasuk Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.

    Nissan X-Trail facelift ini juga datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan; ini termasuk bagi model hibrid (alat ganti sistem hibrid dan bateri). Sempena kempen pra-pelancarannya, pelanggan juga akan menerima pakej Servis Penyelenggaraan Berjadual 40,000 km atau tempoh dua tahun (yang mana dahulu). 500 kenderaan pertama yang didaftarkan pula akan menerima hadiah eksklusif bernilai RM488.

    Nissan X-Trail 2.0L 2WD

    Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid (Outdoor)

    Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid

    Nissan X-Trail 2.5L 4WD

    Nissan X-Trail 2.0L Hybrid 2WD

     
     
  • Proton Iriz R5 sedia untuk rali antarabangsa!

    Proton Iriz R5 sedia untuk rali antarabangsa!

    Akhirnya, Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah mengumumkan bahawa jentera R5 binaan mereka yang diasaskan dari Proton Iriz kini sudah lengkap menjalani proses homologasi FIA. Ini bermakna, Iriz R5 sudah pun boleh digunakan pada mana-mana kejohanan rali antarabangsa seliaan FIA, termasuk pusingan-pusingan Kejuaraan Rali Dunia (WRC)!

    Jentera rali ini membuat kemunculan sulungnya pada Goodwood Festival of Speed 2017, dan proses kelulusan homolagasi tersebut nampaknya mengambil masa yang cukup lama di mana peringkat akhirnya adalah pada Disember tahun lalu.

    “Kami adalah pasukan kecil dan homologasi telah mengambil masa yang lebih lama dari apa yang kami harapkan, tetapi kami telah membuat pelbagai perubahan dan peningkatan seiring dengan tempoh tersebut dan ia dalam keadaan agak baik sekarang, ia adalah kereta yang sangat hebat,” kata prinsipal pasukan MEM, Chris Mellors.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

    Dalam proses homologasi berkenaan, MEM bukan sekadar melakukan ujian persendirian pada Iriz R5 ini. Jentera berkenaan turut muncul dalam rali-rali domestik sekitar UK dan telah mencatatkan berberapa kejayaan, antaranya menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed 2017, mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally 2017, juara di Grizedale Stages Rally 2017 dan mempertahankan takhtanya sebagai juara Rally Stage Goodwood FOS 2018.

    Kesemua ujian dan perlumbaan yang disertai oleh Iriz R5 dipandu sendiri oleh anak Chris Mellors iaitu Oliver Mellors. Selain Ollie, Iriz R5 juga pernah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    Disember tahun lalu juga MEM telah mengumumkan bahawa mereka telah menyiapkan sebuah Iriz R5 dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan mendakwa ia adalah untuk pelanggannya. Namun sehingga kini identiti ‘pelanggan’ tersebut masih lagi menjadi tanda tanya – adakah ia di bawa ke Asia Tenggara?

     
     
  • DSK Murni – betul ke hatchback elektrik sepenuhnya dari China ini adalah kereta nasional ketiga?

    DSK Murni – betul ke hatchback elektrik sepenuhnya dari China ini adalah kereta nasional ketiga?

    Baru-baru ini, muncul satu syarikat tempatan bernama DSK Industri, dan apa yang menarik mereka mendakwa sebagai pengeluar kereta elektrik sepenuhnya (EV) dari Malaysia serta sebagai “pengeluar kereta nasional Malaysia ketiga”. Laman sesawang mereka juga telah menyiarkan imej-imej sebuah hatchback EV bersaiz kompak diberi nama DSK Murni.

    Setelah di teliti, hatchback Murni berkenaan adalah seiras dengan model SiTech DEV1 dari China, iaitu sub-jenama di bawah payung FAW. Walau bagaimanapun, spesifikasi Murni ini sebenarnya agak menarik – boleh dipandu sejauh 350 km dengan satu cas penuh, dengan fungsi cas cepat bagi mendapatkan 80% penuh dalam masa 40-minit, sementara cas penuh menggunakan soket tempatan biasa mengambil masa selama 5.5 jam. Kapasiti bateri kereta ini pula adalah 100,000 mAh.

    Murni dibekalkan dengan motor synchronous magnet tetap berprestasi tinggi berkuasa 55 kW dan tork maksima 170 Nm. Ini membolehkan kereta dengan berat 1,120 kg ini memecut dari kedudukan pegun hingga 50 km/j dalam masa 4.8 saat. Dengan pemanduan dalam jarak 100 km akan menggunakan kuasa sebanyak 13.1 kWj.

    DSK Murni – betul ke hatchback elektrik sepenuhnya dari China ini adalah kereta nasional ketiga?

    Ia juga didakwa menggunakan litar elektrikal IP67-sealed, dan mempunyai sistem pengurusan bateri on-board bagi mengelakkan ia terlebih cas atau nyah cas terlalu cepat. Selain itu, sistem pengurusan suhu pintar juga dilengkapkan bagi mengawal selia suhu operasi bateri – memanaskan ketika cuaca sejuk dan menyejukkannya ketika cuaca panas.

    Kereta ini direka dengan gaya industri Nordic ringkas, dakwa DSK Industri. Mukanya diberikan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, dengan gril tanpa liang udara yang turut menyorokkan port pengecasnya. Bahagian belakang turut direka ringkas dengan sepasang lampu belakang LED tirus, dan rim aloi dua-tona melengkapkan rupa model ini.

    Bahagian dalaman juga nampak agak menarik jika dilihat dalam gambar, menampilkan skrin sesentuh utama yang berdiri sendiri dengan saiz 10-inci, manakala pemandu menerima maklumat dari paparan instrumen digital lapan-inci. Oh ya, masih lagi belum ada gambar untuk versi pemanduan sebelah kanan, di mana imej yang disiarkan semuanya dari versi pemanduan sebelah kiri.

    DSK juga mendakwa bahawa Murni menerima sistem kereta pinta D.OS, yang mereka reka sendiri secara bersendirian. Sistem tersebut memberikan pengalaman perjalanan bersepadu dari cloud menerusi “hubungan fizikal, aliran data dan pengiraan.” Kami masih kurang jelas sebenarnya apa yang dimaksudkan, namun apa yang kami perasan DEV1 turut mempunyai D.OS yang sama – tambah mengelirukan kerana DSK mendakwa mereka membinanya sendiri, dan kami tidak pasti sama ada kedua-dua sistem tersebut mempunyai fungsi yang sama.

    Ciri-ciri lain yang turut diterima EV kompak ini termasuk sistem pengenalan muka untuk mengunci/membuka kunci kereta ini, aplikasi mudah alih untuk memantau status kereta dari jarak jauh, dan juga sistem pengenalan ID (D-User) bagi mengoperasikan sistem-sistem terhubung termasuk melayari internet dan streaming muzik/filem.

    Pada pasaran China, DEV1 turut mempunyai sistem bayaran tanpa tunai bina dalam yang digelar “brushing payment,” dan ia dijual pada harga 100,000 yuan atau sekitar RM60,000. Laman sesawang DSK Industri ini juga mengumumkan bahawa mereka kini sedang mencari pengedar di Malaysia, tetapi apa yang meragukan nombor telefon yang diberikan adalah nombor dari Singapura, dan mempunyai laman Facebook dengan nama Autod Singapore.





    GALERI: SiTech DEV1 pasaran China

     
     
  • Jetpack Aviation Speeder – motosikal terbang yang sudah boleh ditempah, harga RM1.5 juta, enjin jet

    Jetpack Aviation Speeder – motosikal terbang yang sudah boleh ditempah, harga RM1.5 juta, enjin jet

    Memang, sebenarnya kita sudah melihat banyak contoh kenderaan persendirian yang boleh terbang, daripada yang berbentuk seperti sebuah kereta, motosikal mahupun yang dipakai seperti beg. Prototaip juga mungkin ada, tapi yang betul-betul sudah boleh diguna mungkin belum lagi.

    Kali ini kami mahu tunjukkan satu lagi contoh, daripada syarikat Jetpack Aviation yang beroperasi di Los Angeles, Amerika Syarikat dan dinamakan sebagai Speeder. Ia hanya boleh dinaiki oleh satu orang (dengan kedudukan seperti meniarap), dan dikatakan memberi tunggangan seperti sebuah motosikal.

    Menariknya, Speeder ini sudah dibuka untuk tempahan melalui laman web syarikat itu, dan mereka yang berminat cuma perlu membayar USD10,000 (RM40,871) sahaja. Walaupun begitu, harga sebenar sebuah unit Speeder ini adalah 38 kali ganda daripada jumlah deposit, iaitu USD380,000 (sekitar RM1.55 juta).

    Dengan harga yang juga boleh mendapatkan anda sebuah supercar itu, Speeder menawarkan ‘motosikal’ terbang yang boleh memecut sehingga 150 km/j di udara, naik sehingga ketinggian 15,000 kaki, berat sekitar 104 kg dan boleh stabil secara sendiri. Kuasa pula datang daripada enjin “turbo-jet” yang boleh diisi dengan bahan bakar kerosin, diesel atau bahan api jet. Tiada kipas pada Speeder ini, dan ia boleh naik dan turun secara menegak menggunakan daya tolakan daripada enjin tersebut.

    Menurut Jetpack Aviation, sekarang ini mereka sudah ada prototaip yang berfungsi, tapi di dalam video dan gambar yang disiar, ia cuma lukisan digital. Walaubagaimanapun, syarikat ini sudah terkenal dalam penghasilan pek terbang yang dipakai seperti beg, dan sudah wujud sejak 10 tahun yang lepas. Untuk Speeder kegunaan awam, mereka cuma akan menghasilkan sebanyak 20 unit sahaja, sementara yang lain adalah untuk kegunaan askar dan pasukan penyelamat lain.

     
     
  • SM Sport 110R dapat rekaan grafik baru untuk 2019

    SM Sport 110R dapat rekaan grafik baru untuk 2019

    SM Sport 110R yang pertama kali dilancarkan pada 2017 kini diperkenalkan dengan grafik baru. Merupakan sebuah jenama baru yang diedarkan oleh Mforce Bike Sdn Bhd, ia menggunakan enjin satu silinder empat strok 109 cc SOHC, dengan sistem bahan api karburetor dan dibangunkan hasil kerjasama dengan Qian Jiang Motorcycle (juga adalah pemilik jenama Benelli) dari China.

    Kebanyakan bahagian motosikal ini diimport manakala 30 peratus daripadanya adalah dari Malaysia sendiri. Pada masa hadapan, Mforce akan meningkatkan lagi penggunaan bahan tempatan untuk menjadi sehingga 60 peratus.

    Padanan transmisi yang digunakan adalah jenis empat kelajuan, tanpa klac tangan dan ia mampu menghasilkan 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 7,000 rpm. Pada bahagian hadapan terdapat fork teleskopik dan tayar 70/90 R17, manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak, dan tayar 80/90 R17. Tugas membrek pula dilaksanakan sistem cakera 220 mm di hadapan dan dram di belakang.

    SM Sport 110R dapat rekaan grafik baru untuk 2019

    SM Sport 110R juga mempunyai beberapa ciri keselamatan istimewa seperti, lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyarat hadapan dan belakang LED, sistem suspensi belakang Kayaba (KYB), ruang penyimpanan besar, suis anti-kecurian, sepasang tayar tanpa tiub dan satu soket pengecas USB 5V.

    Kapcai ini dijual pada harga RM3,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insuran) dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Terdapat tiga pilihan warna – hitam, biru dan merah bagi pengenalan dengan grafik baru ini.

     
     
  • Lynk & Co 03 Cyan Concept – jentera versi jalan raya 2.0L turbo, 528 hp/504 Nm, pacuan roda hadapan

    Lynk & Co 03 Cyan Concept – jentera versi jalan raya 2.0L turbo, 528 hp/504 Nm, pacuan roda hadapan

    Seperti yang dijanjikan sebelum ini, pasukan lumba yang menguruskan jenama di bawah Geely Group di Kejuaraan TCR Dunia (WTCR), Cyan Racing kini telah mendedahkan jentera konsep jalan raya Lynk & Co 03 Cyan Concept, yang diinspirasikan dari kereta lumba sebenar pasukan tersebut untuk kejuaraan musim ini.

    Seperti yang anda boleh lihat, model berprestasi tinggi ini menampilkan rupa yag jauh lebih garang dari versi standard sedan Lynk & Co 03, dan ia lebih menyerupai kereta lumba WTCR yang juga dibina oleh Cyan Racing. Rupa lebih garang kereta ini bermula dengan liang agresif pada bonet hadapan, fender lebih lebar dengan laluan aliran udara bersama rim, tayar dan brek lebih besar, apron belakang dengan diffuser dan dua tip akzos, serta GT-Wing yang besar pada bahagian belakang.

    Kereta ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo, dan ia menerima sentuhan ekstensif dari Cyan Racing dan mampu menghasilkan kuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm! Kesemua kuasa berkenaan hanya dialirkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear sequential enam-kelajuan, lengkap dengan pedal penukar gear di stereng serta LSD dari jenis pelbagai plat.

    Lynk & Co 03 Cyan Concept – jentera versi jalan raya 2.0L turbo, 528 hp/504 Nm, pacuan roda hadapan

    Dengan berat hanya 1,287 kg, Lynk & Co 03 Cyan Concept ini mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat, dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 310 km/j.

    Bagi memastikan kuasa buas ini dapat dikawal, kereta ini dibekalkan dengan set suspensi boleh laras dari Öhlins, dan juga sistem brek besar terdiri dari cakera 380 mm bersama angkup enam-omboh di hadapan, serta cakera 278 mm dan angkup dua-omboh di belakang. Keempat-empat sudut dihiasi dengan rim Cyan Racing 20-inci, dibaluti tayar bersaiz 285/30R20.

    “Ini adalah langkah biasa kami bersama Lynk & Co. Menghasilkan versi jalan raya dari kereta lumba merupakan jalan terbaik untuk belajar lebih berkenaan kereta dan karekteristiknya,” kata pengasas dan pemilik Cyan Racing, Christian Dahl.

    Cyan Racing merupakan juara FIA World Touring Car Championship (WTCC) 2017, ketika itu bersama satu lagi jenama di bawah Geely iaitu Volvo dengan jentera S60. Namun setelah Volvo berpisah dengan Polestar (dijelmakan sebagai jenama kereta sport bebas oleh Geely), dan perubahan undang-undang FIA dari WTCC ke WTCR, Cyan Racing berehat untuk musim 2018.

    Dan untuk musim ini, Cyan Racing kembali bersama Lynk & Co, dan masih akan dipandu oleh juara WTCC yang memandu S60 pada 2017, Thed Björk dari Sweden. Projek model jalan raya ini adalah kesinambungan dari model-model dengan konsep sama sebelumnya iaitu Volvo C30 Polestar Concept berkuasa 450 hp dan Juga S60 Polestar Concept berkuasa 508 hp.

    Lynk & Co 03 Cyan Concept – jentera versi jalan raya 2.0L turbo, 528 hp/504 Nm, pacuan roda hadapan

    Selain dari Björk, cabaran pasukan Lynx & Co Cyan Racing dalam WTCR tahun ini turut akan dibantu oleh tiga lagi pemandu handalan dalam dunia Touring Car iaitu Yvan Muller, Andy Priaulx dan Yann Ehrlacher.

    FIA WTCR 2019 akan bemula di Maghribi April 2019, kemudian bergerak ke Hungary, Slovakia, Belanda, Jerman, Portugal, China, Jepun, dan Macau pada bulan November. Apa yang menarik, pusingan terakhir WTCR musim ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia dengan satu dari tiga perlumabaan pusingan berkenaan akan dijalankan pada waktu malam. Walau bagaimanapun pusingan terakhir tersebut masih lagi belum ditetapkan tarikhnya.