Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – anggapan awal; suntikan lebih segar untuk imej dan gaya

    PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – anggapan awal; suntikan lebih segar untuk imej dan gaya

    Sejak model pertamanya dilancarkan pada 2014, Proton berkata lebih 50,000 unit Iriz telah pun berjaya dijual. Walau pun ia tidak dapat mengatasi angka jualan yang ditunjukkan oleh pencabarnya, Perodua Myvi, namun kehadiran Iriz di negara ini mampu merancakkan lagi pasaran bagi segmennya.

    Pada 28 Februari lalu, Proton telah menganjurkan sesi pra-tonton untuk Iriz 2019. Walau pun tarikh pelancarannya tidak dimaklumkan, namun dalam masa yang sama, Proton turut mengumumkan bahawa tempahan secara dalam talian telah pun dibuka mulai 1 hingga 11 Mac ini, dengan yuran tempahan sebanyak RM9.99 sahaja.

    Dengan menawarkan lima varian iaitu Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT, Iriz 2019 diberikan suntikan imej yang lebih segar dan bergaya. Malah rekaan yang diperagakan banyak mengikut konsep baharu Proton, yang pada mulanya diperkenalkan menerusi SUV X70.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia perkenal Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid – hingga 8 tahun/180,000 km

    Mercedes-Benz Malaysia perkenal Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid – hingga 8 tahun/180,000 km

    Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid untuk model E 300 BlueTEC Hybrid dan S 400 h, di mana dengannya, pemilik akan diberi perlindungan untuk pambaikan atau penggantian bateri hibrid kenderaan mereka sehingga tempoh lapan tahun atau 180,000 km daripada tarikh ia didaftar, bergantung kepada mana yang tiba dahulu.

    Baru-baru ini, satu gambar invois penukaran bateri yang melibatkan E 300 h BlueTEC Hybrid tersebar di dalam media sosial, dan ia menunjukkan kos bateri itu sahaja berjumlah lebih daripada RM120,000. Program waranti lanjutan ini besar kemungkinan adalah langkah maklum balas daripada insiden tersebut. Sebelum ini, perlindungan untuk bateri hibrid dimasukkan sekali dengan waranti 2+2 tahun tanpa had batuan yang datang standard untuk semua model Mercedes-Benz.

    Untuk layak dalam program waranti lanjutan ini, kenderaan tersebut perlu didaftar dalam masa kurang empat tahun (masih dalam tempoh waranti) waktu perjanjian ditandatangani. Kenderaan juga perlu melalui pemeriksaan khas waktu menandatangani perjanjian, sebelum waranti lanjutan itu boleh diberi, dan bateri hibrid kenderaan perlu berfungsi 100%.

    Dengan adanya program baru ini, semua kos untuk membaiki atau mengganti bateri hibrid kenderaan akan ditanggung oleh Mercedes-Benz Malaysia, sepanjang tempoh waranti lanjutan dari tahun kelima hingga tahun kelapan daripada tarikh kenderaan didaftar.

    Mercedes-Benz Malaysia perkenal Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid – hingga 8 tahun/180,000 km

    Sudah tentu, pemilik juga perlu mematuhi beberapa terma dan syarat spesifik untuk perlindungan program ini, dengan antaranya adalah “kenderaan tersebut perlu terus diservis dan diselenggara sepenuhnya oleh pusat servis atau pengedar berdaftar Mercedes-Benz mengikut spesifikasi pengilang, sepanjang tempoh waranti lanjutan tersebut.”

    Sebagai tambahan, waranti lanjutan ini juga cuma diperuntukkan bagi pembaikan atau penggantian bateri hibrid apabila ia gagal disebabkan kerosakan bahan itu sendiri atau tenaga kerja. Kegagalan bateri disebabkan kesan penggunaan dan pengurangan kapasiti bateri tidak termasuk dalam waranti ini.

    Syarat dan terma program waranti lanjutan ini juga ada menyatakan, “waktu pembaikan atau penukaran, Mercedes-Benz Malaysia boleh, atas pertimbangan sendiri, sama ada untuk menukar atau membaiki bahagian yang rosak, dan tidak bertanggung jawab untuk memberi ganti rugi kepada pemilik atas kerugian tidak dapat menggunakan kenderaan, kos pengangkutan atau memberi kereta ganti waktu kenderaan sedang dibaiki.”

    Sebagai maklumat, model plug-in hybrid seperti C 350 e dan E 350 e tidak termasuk dalam program waranti lanjutan baru ini, memandangkan ia mempunyai waranti berasingan sendiri untuk bateri selama enam tahun atau 100,000 km.

     
     
  • Skim pinjaman ‘tanpa duit muka’ salah dari segi undang-undang dan boleh dihukum – KPDNHEP

    Skim pinjaman ‘tanpa duit muka’ salah dari segi undang-undang dan boleh dihukum – KPDNHEP

    Kita biasa melihat iklan-iklan jualan kereta sama ada baru dan terpakai dengan tawaran ‘zero downpayment‘ atau tanpa sebarang deposit/duit muka 10% dari jumlah pinjaman sebenar bukan? Namun tahukah anda perkara ini sebenar adalah menyalahi undang-undang dalam negara?

    Perkara ini disebut oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Azman Adam dalam laporan Harian Metro. Menurut beliau antara taktik yang digunakan adalah dengan memanipulasi harga menerusi ciri dan reka bentuk kereta sebelum menawarkan kaedah pembelian tanpa deposit kepada pelanggan, contohnya memohon pinjaman untuk Honda Jazz varian pertengahan gred E dengan tetapi menggunakan spesifikasi dan model versi tertinggi gred V.

    Katanya tawaran seperti itu akan menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan. “Jika pembeli ditetapkan membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan, ia menunjukkan keupayaan pembeli untuk membayar harga bulanan dan juga mampu mengurangkan komitmen bulanan pembeli,” jelas Azman.

    “Selain itu, ia dapat mengelak pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap sekiranya bayaran bulanan tinggi,” tambahnya lagi dan menegaskan bahawa berdasarkan Akta Sewa Beli (ASB) 1967, pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian dan syarikat yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) ASB 1967.

    Menurut Azman, pihaknya menjalankan Ops 0% ASB 1967 di seluruh Selangor dengan melakukan pemeriksaan terhadap 35 syarikat menjual kenderaan semalam selepas mendapati tawaran pembelian tanpa deposit semakin berleluasa demi menarik keuntungan lumayan – hasilnya sebanyak 11 syarikat dikesan melanggar peraturan kerana tidak mengambil deposit kurang 10 peratus.

    “Semua syarikat yang melanggar peraturan itu diarah berhenti mempromosikan iklan ‘zero downpayment’ itu dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan,” katanya.

     
     
  • Harga Yamaha Tenere 700 diumum untuk UK – RM47k

    Harga Yamaha Tenere 700 diumum untuk UK – RM47k

    Tahun ini, ada dua model adventure pertengahan baru yang akan berentap rapat, iaitu KTM Adventure 790 dan Yamaha Tenere 700. Untuk Adventure 790, harganya masih belum diumumkan secara rasmi tetapi ada ura-ura di Amerika Syarikat ia akan dijual pada harga antara USD12,499 (RM50,820) untuk model Standard dan USD13,499 (RM54,886) untuk model 790 Adventure R.

    Melihat kepada Tenere 700 pula, kini Yamaha sudah mengumumkan harganya, untuk pasaran UK terlebih dahulu iaitu £8,699 (RM46,747). Walaupun begitu, mereka yang membuat tempahan awal melalui laman web khas bermula 27 Mac ini akan mendapat pengurangan harga £300 (RM1,612).

    Tenere 700 adalah sebuah model adventure yang dihasilkan daripada T7 Concept yang ditunjukkan beberapa tahun lalu, dan ia dikuasakan oleh enjin crossplane dua silinder selari 689 cc CP2 dengan sistem penyejukan cecair sama seperti MT-07, mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Yamaha Tenere 700 didakwa dapat memberikan kawalan yang mudah dan tahan atas jalan offroad, dan ia juga boleh digunakan untuk perjalanan jauh atas jalan biasa. Kemampuannya telah dibuktikan awal apabila Yamaha membawa Tenere 700 World Raid ke beberapa destinasi terkenal serata dunia.

    Antara kelengkapan pada Tenere 700 ini adalah fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm di hadapan, monoshock belakang dengan jarak gerak 200 mm, 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70, tangki bahan api 16 liter, panel paparan LCD, lampu hadapan LED yang terletak dalam kokpit seperti motosikal rali dan pelindung tangan.

     
     
  • Proton Exora facelift – bayangan dari model sedia ada

    Proton Exora facelift – bayangan dari model sedia ada

    Selepas SUV segmen-C Proton X70 dilancarkan hujung tahun lalu, nampaknya Proton kini sedang mengemaskini rupa dan ciri untuk model-model sedia ada iaitu Iriz, Persona dan Saga dalam versi facelift. Tidak mustahil, MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora turut akan menuruti jejak langkah tiga model tadi.

    Exora sudah pun berada hampir sepuluh tahun, adakah ia masih relevan disegarkan kembali untuk tahun 2020? Ya atau tidak, jangan lupa bahawa Perodua Alza juga menerima penyegaran sama tahun lalu, dan ia juga sebuah model yang diperkenalkan pada tahun 2009. Begitu juga pada peringkat antarabangsa, di mana Mitsubishi telah mendedahkan ASX facelift, yang diasaskan dari model yang muncul buat pertama kali pada 2010 itu.

    Imej bayangan Proton Exora facelift ini dihasilkan oleh pakar manipulasi digital automotif, Theophilus Chin. Dan beliau telah menterjemahkan bayangan berkenaan – bagaimana rupa Exora sekiranya masih bertahan dalam pasaran dengan pengaruh rupa terkini Proton, dan bukan dengan pengaruh rekaan Perdana pada versi render sebelum ini.

    Walaupun hanya ‘facelift‘, Theo menghasilkan Exora yang menampilkan banyak perubahan tetapi masih mengekalkan jarak roda, tiang-tiang, tingkap-tingkap dan juga cermin hadapan dan belakang. Jadi, walaupun menerima rombakan rupa, anda masih boleh mengenali model ini sebagai Exora berdasarkan bentuk badannya.

    Proton Exora facelift – bayangan dari model sedia ada

    Lampu asal ditukar dengan lampu yang lebih tirus, manakala grilnya pula direka dengan elemen ‘inifinite weave‘ dan juga busur panah seperti X70. Bampar baharu yang lebih moden turut diberikan bagi melengkapkan muka Exora baharu ini. Theo telah mereka semula garis bawah sisi MPV ini, yang seakan ‘bilah sisi’ pada Iriz dan Persona.

    Di belakang pula, lampu menegak masih lagi kekal, tetapi ia disegarkan dengan kemasan bar bawah cermin belakang dengan perkataan ‘PROTON’, serta bampar dengan rekaan diffuser baharu yang turut menempatkan lampu kabus tunggal di tengah.

    Kenapa kami rasa Exora facelift ini relevan walhal Proton telah sah bakal membangunkan MPV tujuh-tempat duduk berdasarkan Geely Jiaji? Pertama, model berkenaan hanya akan muncul pada lewat 2020 atau 2021 bagi memberikan laluan kepada SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue yang telah pun kelihatan sedang diuji.

    Kedua, berdasarkan saiz, MPV baharu berkenaan mungkin akan dijual pada harga melebihi RM100k, dan Proton masih memerlukan model MPV tujuh-tempat duduk bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan bajet bawah RM100k. Apa pun, ini semua hanyalah spekulasi dan kami tahu bahawa Proton kini memang sedang menyegarkan kembali Exora. Jadi sekiranya rupa model tersebut hampir dengan imej bayangan ini, apa pula pendapat anda?

     
     
  • Jaguar I-Pace menang Kereta Tahunan Eropah 2019

    Jaguar I-Pace menang Kereta Tahunan Eropah 2019

    Jaguar I-Pace telah dinamakan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2019 yang diumumkan di Geneva Motor Show. Walau bagaimana pun, ia bukanlah kejayaan yang jelas buat SUV pacuan semua-elektrik ini, kerana terikat dengan Alpine A110 yang turut berada dalam carta teratas dengan masing-masing menerima 250 mata.

    Namun, akhirnya I-Pace diumumkan sebagai juara apabila kebanyakan juri memilihnya, dengan undian tambahan 18 untuk I-Pace dan 16 bagi A110. Sebelum ini, I-Pace juga pernah memenangi anugerah Kereta Tahunan Jerman 2019 dan Kereta Tahunan UK 2019.

    Di belakangnya, Kia Ceed hanya ketinggalan tiga mata iaitu dengan 247 mata, sementara Ford Focus mula di tangga ketiga dengan kutipan 235 mata. Lain-lain finalis yang turut tersenarai merebut kejuaraan termasuklah Citroen C5 Aircross dengan 210 mata, Peugeot 508 dengan 192 mata dan Mercedes-Benz A-Class dengan 116 mata.

    “Untuk kereta elektrik pertama kami yang pertama memenangi anugerah Kereta Tahunan Eropah ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan. I-Pace direka dan menerima sentuhan kejuruteraan dari UK bermula dengan kertas putih,” ujar Ralf Steph, CEO bagi Jaguar Land Rover.

    Tambahnya lagi, “Ia merupakan kenderaan elektrik dengan teknologi termaju. Inilah yang dinamakan sebagai game-charger yang sebenarnya. Memenangi anugerah Kereta Tahunan Eropah merupakan satu pengiktirafan yang terbaik untuk pasukan kami.”

    Tahun lalu, anugerah ini turut dimenangi oleh SUV iaitu Volvo XC40.

     
     
  • Lamborghini Aventador SVJ Roadster – 800 unit saja

    Lamborghini Aventador SVJ Roadster – 800 unit saja

    Lamborghini telah mempersembahkan Aventador SVJ Roadster baru semasa Geneva Motor Show, dengan hanya 800 unit dirancang untuk pengeluaran. Ini sekaligus menjadikannya lebih eksklusif berbanding versi coupe yang dikeluarkan sebanyak 900 unit.

    Resepi yang digunakan untuk Roadster ini kebanyakannya adalah sama sahaja seperti Aventador SVJ hardtop, termasuk enjin V12 NA 6.5 liter yang mampu menghasilkan 770 PS (759 hp) pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear Independent Shifting Road (ISR) tujuh kelajuan dan sistem pacuan empat roda Haldex generasi keempat.

    Daripada aspek prestasi, versi Roadster tidak kekurangan banyak berbanding coupe. Sebagai contoh, pecutan 0-100 km/j dan 200 km/j boleh dilakukan dalam cuma 2.9 saat dan 8.8 saat oleh model Roadster, manakala coupe mencatat masa 2.8 saat dan 8.6 saat. Kedua-dua model juga boleh mencapai laju 350 km/j.

    Antara sebab beza catatan masa pecutan ini adalah versi Roadster mempunyai berat kering 1,575 kg, yang mana sebenarnya adalah 50 kg lebih berbanding coupe. Tambahan berat ini juga menyebabkan jarak membrek 100 km/j ke berhenti bertambah satu meter berbanding 30 meter yang dicatat oleh versi coupe.

    Tiada tambahan mekanisme elektrik pada versi Roadster ini yang menyumbang kepada tambahan berat, dan bumbung itu sendiri dibuat daripada gentian karbon yang menggunakan proses penukaran resin bertekanan tinggi. Maksudnya, setiap bahagian daripada dua bahagian bumbung itu cuma mempunyai berat enam kilogram, jadi ia tidak begitu menyusahkan untuk membuka dan menutup bumbung secara manual.

    Sama seperti coupe, versi Roadster ini mendapat barangan yang membantu kecekapan waktu selekoh, seperti sistem aerodinamik aktif Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA), suspensi magnetorheological, Lamborghini Dynamic Steering (LDS), stereng roda belakang dan tayar Pirelli P Zero Corsa 255/30 di hadapan dan 355/25 di belakang.

    Lamborghini Aventador SVJ Roadster – 800 unit saja

    Unit Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva 2.0 (LDVA 2.0) terus bertindak sebagai pengawal utama untuk sistem elektronik kenderaan ini, di mana ia mengumpulkan informasi daripada sensor yang ada dan menghantarkan arahan kepada pelbagai sistem lain untuk memastikan pemandu mendapatkan prestasi yang terbaik bergantung kepada kepada mod pemanduan yang dipilih seperti Sport, Strada (Street), Corsa (Track) dan Ego.

    Harga Aventador SVJ Roadster bermula daripada 387,007 euro (RM1,787,819) di Eropah, dan ia adalah lebih mahal berbanding coupe yang dijual pada 349,116 euro (RM1,612,777). Harga ini adalah sebelum pemilik memilih program tambahan Ad Personam yang ditawarkan.

     
     
  • Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

    Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019, bakal dikuatkuasakan pada tahun 2020. Ini bermakna tinggal kurang 10 bulan lagi, pelaksanaan ini akan menjadi salah satu peraturan wajib dalam undang-undang lalu lintas.

    Walau bagaimana pun, menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai pemasangan kerusi kanak-kanak ini masih belum cukup memuaskan. Justeru, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama agensi lain termasuk MIROS sendiri dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) sedang memperhebatkan usaha dalam memupuk kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai perkara ini.

    “Selain mempertingkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa, kerajaan juga mahu memastikan semua pihak yang terlibat termasuk pembekal dan pengeluar kerusi kanak-kanak ini cukup bersedia dalam memastikan produk yang mereka jual ini benar-benar berkualiti, selain menawarkan harga yang mampu milik. Tahap kualitinya perlu menepati piawaian yang kita telah tetapkan, manakala harganya pula tidak membebankan golongan ibu bapa,” ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dailog tertutup dengan pembekal dan pengeluar kerusi kanak-kanak dan dalam masa yang sama turut menyaksikan demostrasi ujian dinamik berasaskan UN R44 kerusi kanak-kanak oleh MIROS dengan kerjasama Autoliv Hirotako Safety di Balakong, pagi tadi.

    Memandangkan harga kerusi kanak-kanak di pasaran tidak ditetapkan harga siling oleh kerajaan buat masa ini, dan harganya berdasarkan kualiti dan jenamanya, Loke berkata, pihaknya telah berbincang dengan kastam dan Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan kerusi tersebut mendapat pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai import.

    “Setakat ini, harganya adalah termasuk SST, justeru kami telah memohon kepada kastam dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan pengecualian SST bagi kerusi kanak-kanak ini. Jadi, kita rasa bila ia akan diwajibkan, atas dasar ciri-ciri keselamatan, ia ada justifikasi untuk mendapatkan pengecualian SST. Tetapi kita memerlukan keputusan daripada pihak yang berkenaan. Begitu juga dengan cukai import, keputusan untuk pengecualiannya atau mendapatkan cukai yang lebih rendah sedang diteliti. Mungkin ia akan diputuskan tahun ini juga memandangkan peraturan penggunaan kerusi ini bermula tahun depan,” ujarnya lagi.

    Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

    Mengulas mengenai kegusaran orang ramai yang memiliki anak kecil lebih dari seorang yang pastinya memerlukan lebih daripada satu unit kerusi tersebut, Loke berkata, buat masa ini pihaknya sedang berbincang dengan agensi berkaitan untuk mengeluarkan kaedah yang relevan sebagai memahami situasi dan keperluan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. “Kita akan mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas mengenainya sebelum peraturan ini dilaksanakan,” jawabnya.

    Malaysia merupakan salah satu negara yang menandatangani perjanjian World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations WP 29. Salah satu peraturan yang Malaysia bersetuju untuk menggunapakai adalah peraturan United Nations Regulation 44 atau UN R44 iaitu Uniform Provisons Concerning the Approval of Restraining Devices for Child Occupants of Power-Driven Vehicles atau Child Restraint System (CSR).

    Dalam demostrasi yang dijalankan oleh MIROS dan Autoliv hari ini mempamerkan ujian sled yang menunjukkan kebersediaan dan kemampuan MIROS menjalankan ujian dinamik ke atas kerusi kanak-kanak ini. Di dalam ujian sled tersebut, satu dummy kanak-kanak di dalam kategori P-dummy berusia tiga tahun diletakkan di dalam kerusi terbabit yang diuji pada kelajuan 50 km/j. Namun begitu, terdapat pelbagai jenis dummy yang boleh diuji di bawah UN R44 merangkumi bayi yang baru lahir hingga kanak-kanak berusia 10 tahun.

    Selain daripada P-dummy, MIROS juga mempunyai dummy daripada Q-Series yang digunakan di dalam penilaian ASEAN NCAP yang terbaharu ke atas kerusi keselamatan kanak-kanak. Dummy Q juga boleh digunakan di dalam penilaian mengikut ketetapan UN R129 (Enhanced Child Restraint System on Board of Motor Vehicles).

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga facelift – muka terdedah

    SPYSHOT: Proton Saga facelift – muka terdedah

    Proton Persona facelift sudah pun didedahkan hujung bulan lalu, dan pada minggu lalu kami telahpun memandu uji versi hatchbacknya iaitu Iriz facelift di litar ujian Proton. Dan kini, gambar sedan paling mampu milik Proton iaitu Saga versi disegarkan telah pun kelihatan sedang diuji di atas jalan raya awam.

    Gambar terbaharu ini diterima dari pembaca kami, Faiz, dan ia menyerlahkan rupa hadapannya, bebanding imej sebelum ini yang hanya nampak bahagian belakang. Dapat dilihat, Saga facelift ini menerima gril ‘inifinite waeve‘ baharu, bersama bampar yang direka semula dengan liang udara tengah lebih besar.

    Perumah lampu kabus masih lagi ditutup dengan pelekat penyamaran, namun berkemungkinan ia akan direka seperti Iriz dan Persona dengan rupa diinspirasikan ‘Abang Long’ mereka, SUV segmen-C Proton X70.

    Lampu-lampu utama di hadapan dan belakang nampaknya seperti tidak menerima perubahan. Namun bahagian bampar belakang dilekatkan dengan pelekat penyamaran sepenuhnya menyukarkan untuk kami lihat apa yang berbeza – mungkin kemasan diffuser direka lebih ringkas berbanding model sedia ada.

    Bahagian sisi juga menyaksikan tiada perubahan yang ketara. Kesemua rim kereta ujian ini juga dilekatkan dengan pelekat penyamaran, berkemungkinan besar bakal menerapkan rekaan baharu.

    Proton Saga facelift ini juga berkemungkinan besar masih akan menggunakan unit janakuasa sama iaitu enjin 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau CVT automatik. Persona dan dan Iriz facelift telah sah dilengkapkan dengan sistem infotaimen dengan fungsi arahan suara ‘Hi Proton’, tetapi untuk Saga ia masih lagi menjadi tanda tanya.

     
     
  • BMW 8 Series G15 kini dibuka untuk tempahan di M’sia

    BMW Malaysia kini sudah mula menerima tempahan bagi 8 Series G15 baru, yang pertama kali ditunjukkan pada bulan Jun tahun lalu. Berdasarkan laman web khas yang dibuat oleh syarikat itu, anda perlu meletakkan RM5,000 sebagai pendaftaran tempahan, tetapi varian apa atau berapa harganya masih belum diberitahu.

    Dalam pasaran lain sekarang ini, hanya terdapat dua varian untuk 8 Series baru iaitu yang pertama adalah 840d xDrive yang menggunakan enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter twin-turbo dengan 320 PS dan 680 Nm tork. Pecutan yang mampu dilakukan oleh varian ini adalah 4.9 saat bagi 0-100 km/j manakala penggunaan bahan api pula antara 5.9 hingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.

    Satu lagi varian adalah M850i xDrive, yang menggunakan enjin V8 petrol 4.4 liter biturbo M550i versi dinaik taraf, mampu menghasilkan 530 PS dan 750 Nm tork, sekaligus membenarkan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas iaitu 3.7 saat.

    Kedua-dua enjin ini datang dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan secara standard, bersama sistem pacuan semua roda. Kalau mengikutkan jangkaan kami, berkemungkinan versi yang akan tiba di Malaysia adalah varian petrol.

    Sebelum ia muncul sebagai sebuah kenderaan produksi, bentuk awal 8 Series dipertonton melalui model Concept 8 Series, yang juga ada dibawa ke Malaysia tahun lepas. Ia adalah sebuah grand tourer yang menggabungkan dinamik sporty dengan kabin yang mewah dan dilengkapi teknologi terkini BMW seperti OS 7.0 dan Live Cockpit Professional. Anda yang berminat boleh mendaftar terus di laman web khas BMW Malaysia.

    GALERI: BMW 8 Series

     
     
  • Hennessey VelociRaptor Ranger – model jadian 350 HP/521 Nm, lebih berkuasa dari versi sebenar, RM265k

    Hennessey VelociRaptor Ranger – model jadian 350 HP/521 Nm, lebih berkuasa dari versi sebenar, RM265k

    Kalau masih ada yang tak tahu, trak pikap Ford Ranger hanya mula masuk ke pasaran Amerika bermula tahun ini, di mana sebelum ini Ford hanya menjual trak pikap di pasaran negara berkenaan dalam saiz penuh, dan saiz yang paling ‘kecil’ adalah F-150. Walau bagaimanapun, tiada varian Ranger Raptor ditawarkan di AS, di mana kesemua model dijana enjin petrol EcoBoost 2.3 liter turbo, berkuasa 270 HP/350 Nm.

    Ini mendorong penala dari negara berkenaan – Hennessey – untuk menghasilkan Ranger Raptor versi mereka sendiri, dikenali sebagai Hennessey VelociRaptor Ranger, namun dalam jumlah yang sangat terhad, iaitu hanya 500 unit. Trak pikap ini masih lagi digerakkan dengan enjin asal, tetapi ia mendapat sentuhan semula dari Hennessey bagi mengerah sejumlah 350 HP dan tork maksima 521 Nm!

    Bagi mendapatkan angka kuasa sedemikian, Hennessey telah memadankan sistem kemasukan udara baharu, sistem ekzos catback dari material stainless steel, serta talaan semula dilakukan pada kotak komputer enjin. Ini membolehkan VelociRaptor Ranger memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 6.1 saat, atau 1.3 lebih pantas dari model standard.

    Sistem suspensi juga dinaik taraf dengan talaan Stage 1 off-road Hennessey, membuatkan VelociRaptor Ranger ini empat-inci lebih tinggi dari Ranger di bilik pameran. Rim asal juga telah digantikan dengan rim HPE berdiameter 17-inci, dan balut dengan tayar off-road BFGoodrich, membolehkan tinggi keseluruhan Raptor jadian ini adalah enam-inci lebih tinggi dari Ranger standard.

    Bagi membezakan Raptor versi Hennessey dengan Ranger standard, ia menerima berberapa ciri tambahan pada bahagian luaran, termasuk bampar baharu lengkap dengan lampu LED, bar lampu LED pada bahagian bumbung, dan juga pelekat-pelekat badan.

    Hennessey Velociraptor Ranger ini dijual pada harga USD$64,950 (RM265k). Sebagai perbandingan, varian Ranger paling asas untuk pasaran Amerika dijual pada harga USD$24,300 (RM99k).

     
     
  • Mercedes-AMG GT R Roadster – hanya 750 unit dibuat

    Mercedes-AMG GT R Roadster – hanya 750 unit dibuat

    Mercedes-AMG GT R Roadster pertama kali diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2016, dan sekarang, versi bumbung boleh buka bagi ‘Beast of the Green Hell’ ini telah diberikan pembaharuan. Prestasinya kini hampir sama seperti versi coupe dan bumbung itu tidak dijadikan sebagai penghalang.

    Ia dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter biturbo M178 dengan kuasa sebanyak 585 PS pada 6,250 rpm dan 700 Nm tork antara 2,100 hingga 5,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.6 saat manakala laju maksimum pula adalah 317 km/j. Catatan ini adalah sama seperti versi coupe, kecuali laju maksimum, dan itu pun cuma kurang 1 km/j.

    Enjin V8 ini, yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan AMG Speedshift DCT diletakkan atas tapak dinamik, sementara limited-slip differential yang dikawal secara elektronik membantu memastikan kuasa sampai ke atas jalan melalui roda secara cekap.

    Tugas memberhentikan kenderaan pula dijalankan oleh sistem brek komposit, yang menggunakan cakera berliang saiz 390 mm di hadapan dan 360 mm di belakang. Jika mahukan yang lebih besar, anda boleh mendapatkan unit cakera seramik komposit 402 mm di hadapan dan 360 mm di belakang, dan ia adalah lebih ringan 15 kg.

    Pada bahagian pengendalian, semua tetapan seperti bearing uniball spherical pada wishbone bawah belakang, suspensi coil-over AMG dengan penyerapan adaptif boleh laras, stereng roda belakang aktif dan stereng sports sensitif pada kelajuan semuanya digunakan pada Roadster ini.

    Sistem ini disambungkan lagi dengan AMG Dynamic Select, yang menawarkan beberapa mod pemanduan – Slippery, Comfort, Sport, Sport Plus, Race dan Individual. Dalam setiap mod ini pula, terdapat AMG Dynamics yang boleh mengawal ESP kenderaan, dan anda boleh memilih tetapan Basic, Advanced, Pro atau Master.

    Melihat kepada gaya, Roadster ini nampak sama sahaja seperti versi coupe, termasuk ciri-ciri dinamik dan pasifnya. Satu-satunya perbezaan yang sudah tentu jelas adalah penggunaan bumbung fabrik tiga lapis yang boleh dilipat dan disokong oleh struktur yang menggunakan gabungan beberapa bahan.

    Mercedes-AMG GT R Roadster – hanya 750 unit dibuat

    Pada bahagian belakang juga terdapat sayap baru yang boleh dilaras, dan ia disepadukan sekali dengan lampu brek supaya kenderaan ini dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di beberapa pasaran apabila bumbungnya dibuka.

    Masuk ke dalam kabin, versi Roadster ini mendapat tempat duduk AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa kombinasi beberapa warna, manakala roda stereng AMG Performance padanya adalah sama seperti unit yang digunakan pada AMG GT lain yang telah diperbaharui. Walaubagaimanapun pada Roadster ini tiada butang besar untuk mengawal AMG Traction Control pada papan pemuka seperti coupe, sebaliknya ia boleh dikawal dengan butang di roda stereng.

    Menggantikan tempat butang kuning itu adalah butang untuk kawalan suhu tempat duduk (pilihan tambahan), dan anda juga boleh memilih ciri Airscarf untuk memastikan bahagian leher suam dalam suhu yang sejuk. Barangan lain yang diberikan standard adalah panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin utama 10.25 inci dengan skrin khas AMG.

     
     
  • Perodua catat lebih 37k unit jualan dalam dua bulan pertama 2019 – naik 7.3% berbanding tahun 2018

    Perodua catat lebih 37k unit jualan dalam dua bulan pertama 2019 – naik 7.3% berbanding tahun 2018

    Permulaan bagi 2019 telah menampakkan langkah yang yang kian cemerlang buat Perodua apabila berjaya merekodkan jualan hampir 37,400 kenderaan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini. Sekaligus meningkat sebanyak sebanyak 7.3% berbanding 34,800 kenderaan yang dijual pada tempoh yang sama sebelumnya – disebabkan permintaan yang tinggi untuk hampir kesemua modelnya.

    Dalam dua bulan pertama tahun ini, Perodua menjual sekitar 15,000 unit Myvi, 10,100 unit Axia, 5,900 unit Bezza, 3,600 unit Aruz dan 2,700 unit Alza, manakala dari segi pengeluaran, 36,500 kenderaan telah dikeluarkan – hampir 6.2% lebih daripada 34,375 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

    Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin, peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha syarikat untuk menambahbaik masa penghantaran.

    Katanya lagi, “Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa bahagian pasaran kami setakat tahun ini adalah 41%. Sementara itu, SUV tujuh tempat duduk terbaharu kami, Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari.”

    Zahari turut menambah, disebabkan permintaan Aruz yang semakin meningkat, pihaknya telah menyelaraskan operasi pengeluaran dalam usaha untuk mengurangkan masa menunggu bagi model SUV tersebut dan ia akan diteruskan juga pada bulan Mac. Pada masa ini, kira-kira 85% daripada tempahan adalah untuk varian tertinggi AV.

     
     
  • Audi Q7 3.0 TFSI Quattro – spesifikasi diubah, RM600k

    Audi Q7 3.0 TFSI Quattro – spesifikasi diubah, RM600k

    Selain Q2, Q5 dan Q8 yang dilancarkan hari ini, Audi Malaysia turut memberikan pembaharuan kepada spesifikasi Q7, daripada model pertama yang diperkenalkan pada tahun 2015 di sini. Sekarang, hanya satu varian 3.0 TFSI Quattro ditawarkan, dengan tanda harga RM599,900 tidak termasuk insurans. Ini termasuk jaminan lima tahun, tanpa had batuan (sebelum ini empat tahun atau 120,000 km).

    Enjin juga masih sama seperti sebelum ini, iaitu unit petrol V6 3.0 liter supercharge, yang mampu menghasilkan kuasa 333 hp antara 5,500 hingga 6,500 rpm dan 440 Nm tork dari 2,900 hingga 5,300 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik tiptronik lapan kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda Quattro.

    Daripada kedudukan pegun, SUV ini boleh mencecah kelajuan 100 km/j dalam masa 6.3 saat, sebelum mencecah laju maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Penggunaan bahan api pula terletak pada 7.9 liter bagi setiap 100 km.

    Kelengkapan yang diberikan terus kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini, termasuk suspensi udara adaptif, lampu utama dan lampu siang LED (dengan pembantu lampu tinggi dan pembersih), cermin sisi dengan fungsi pemanas dan anti silau, pintu but bukaan kuasa elektrik serta pembantu letak kereta dengan kamera pandangan keliling. Perubahan yang diberi adalah rim, yang sekarang merupakan unit Audi Sport 20 inci, dibalut tayar 285/45.

    Sama juga dengan bahagian dalam. Anda masih akan mendapat balutan kulit, pengawal pendingin hawa automatik empat zon, tempat duduk larasan kuasa dengan penyokong belakang dan fungsi memori untuk pemandu, pakej lampu suasana, roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan dan kemasan brushed aluminium.

    Turut disediakan adalah kokpit virtual Audi, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, Audi Connect (termasuk pencarian Point of Interest dan WLAN hotspot), dan sistem bunyi Bang & Olufsen dengan bunyi 3D, menggantikan sistem bunyi Bose 3D pada model sebelum ini.

    Pada bahagian keselamatan, pembeli Q7 baru ini akan menerima lapan beg udara, sistem pemerhati tekanan angin tayar, cagak Isofix pada semua tempat duduk baris kedua dan ketiga, Hold Assist dan Electronic Stability Control (ESC).

     
     
  • Audi Q8 3.0 TFSI Quattro kini di Msia – dari RM728k

    Audi Q8 3.0 TFSI Quattro kini di Msia – dari RM728k

    Selepas diletakkan sebagai tontonan di pusat pameran Euromobil Glenmarie, sekarang Audi Q8 sudah dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Pesaing bagi Mercedes-Benz GLE Coupe dan BMW X6 ini ditawarkan dalam satu varian lima tempat duduk sahaja, dengan harga RM727,900 tidak termasuk insurans.

    Spesifikasi Q8 untuk pasaran Malaysia kebanyakannya adalah sama sahaja seperti unit yang dipamerkan sebelum ini, dengan kuasa utama datang daripada enjin petrol V6 turbo 3.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 340 hp antara 5,200 hingga 6,400 rpm, dan tork 500 Nm antara 1,370 hingga 4,500 rpm.

    Menyampaikan kuasa kepada semua empat tayar adalah transmisi automatik lapan kelajuan tiptronik, berserta sistem pacuan semua roda Quattro. Dengan tetapan ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan had laju maksimum dihadkan kepada 250 km/j. Penggunaan bahan api pula berada di tahap 8.9 liter bagi setiap 100 km, atau 11.2 km/l.

    Audi Q8 3.0 TFSI Quattro kini di Msia – dari RM728k

    Bahagian lain yang termasuk dalam sistem pemanduan adalah all-wheel steering, suspensi udara adaptif dan stereng progresif. Kebanyakan sistem ini, termasuk enjin dan transmisi dihubungkan dengan interface Audi Drive Select, yang membolehkan pemandu menggunakan beberapa mod pemanduan.

    Untuk kelengkapan, Q8 datang dengan lampu utama LED HD Matrix bersama rekaan lampu dinamik dan lampu tunjuk arah dinamik, lampu belakang LED, pembantu letak kereta dengan kamera pandangan 360 darjah, bumbung panoramik dan rim 20 inci lima cabang dengan tayar 275/50.

    Masuk ke dalam pula, anda akan dapat melihat gabungan balutan kulit Valcona dan juga Oak Grey. Pemandu dan penumpang hadapan dapat duduk atas kerusi yang boleh dilaras 18 arah secara elektrik dan mempunyai liang, manakala tempat duduk pemandu disediakan dengan fungsi memori. Menambah lagi keselesaan, penghadang cahaya matahari belakang boleh dibuka dan ditutup secara elektrik manakala untuk pintu belakang, ia perlu dilakukan secara manual.

    Pada bahagian teknologi, kokpit virtual Audi masih lagi digunakan, manakala sistem infotainmen MMI Navigation Plus kini datang dengan penerima maklum balas sesentuh MMI, seperti A8 terbaru dan dilengkapi dengan tetapan skrin sesentuh berkembar 10.1 inci di atas dan 8.6 inci di bawah. Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk kawalan pendingin hawa empat zon automatik, sistem bunyi Bang & Olufsen Premium dengan bunyi 3D, interface telefon pintar Audi serta head-up display.

    Untuk keselamatan pula, anda akan mendapat Audi Pre Sense hadapan secara standard, dan ia datang dengan pembantu belok dan pembantu pengelak perlanggaran, serta pengenalan tanda jalan berasaskan kamera. Turut disediakan secara terus adalah enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), sistem pemerhati tekanan angin tayar dan cagak Isofix.

    Orang ramai diberikan pilihan warna Dragon Orange Metallic, Glacier White Metallic, Galaxy Blue Metallic, Cobra Beige Metallic dan Samurai Grey Metallic untuk Q8 baru ini. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan, dan ini adalah satu peningkatan berbanding sebelum ini cuma empat tahun atau 120,000 km.

     
     
  • Audi Q2 Sport 1.4 TFSI kini di Malaysia – dari RM220k

    Audi Q2 Sport 1.4 TFSI kini di Malaysia – dari RM220k

    Sebuah lagi model dari siri Q yang diperkenalkan oleh Audi hari ini ialah Audi Q2 2.0 TFSI, mengiringi tiga lagi model lainnya – Audi Q5, Q7 dan Q8. Juga pertama kali dipertontonkan ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) paultan.org tahun lalu, Audi Q2 dijual pada harga bermula RM219,900.

    Seperti Q5, Q2 ini hadir hanya dalam satu variant dengan tingkat kemasan Sport, ia dilengkapi enjin 1.4 liter TFSI (turbocaj) yang menghasilkan 150 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 250 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 3,500 rpm, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada Volkswagen Tiguan, dan dipadankan dengan kotak gear S tronic klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Kelainan enjin ini, ia hadir dengan ciri COD (cylinder on demand) yang akan merehatkan dua silinder ketika kenderaan bergerak dalam kelajuan enjin antara 1,400 hingga 3,200 rpm. Q2 mempunyai dimensi ukuran 1.51 meter tinggi dan 1.79 meter lebar. Panjangnya pula 4.19 meter dengan jarak antara roda 2.60 meter

    Audi Q2 Sport 1.4 TFSI kini di Malaysia – dari RM220k

    Ini membantu menjimatkan bahan api; penggunaan minyaknya ialah 5.2 liter bagi setiap 100 km, atau 18.9 km/l. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.5 saat dan laju maksimum SUV kecil seberat 1,290 kg ini ialah 212 km/j.

    Aspek luarannya dilengkapi dengan lampu utama LED dengan DRL LED, lampu belakang gabungan LED dengan lampu isyarat dinamik, cermin sisi boleh laras dengan fungsi pemanas dan bantuan parkir dengan kamera undur. Ia menggunakan rim 17-inci aloi, dengan saiz tayar 215/55.

    Ruang dalam SUV yang diimport sepenuhnya ini menerima stereng multi-fungsi tiga jejari balutan kulit, kerusi balutan kulit campuran, kawalan suhu automatik, kerusi belakang boleh lipat serta kemasan dalaman warna merah. Pakej lampu kabin turut dinyatakan, memberikan kelebihan pencahayaan suasana ruang tersebut.

    Ruang barangan di belakang boleh menampung kapasiti 405 liter, dan sekiranya penyandar kerusi belakang direbahkan, jumlah berkenaan boleh meningkat kepada 1,050 liter – lebih luas, membolehkan untuk membawa barangan dengan lebih mudah.

    Lain-lain ciri termasuk Audi Drive Select, brek parkir elektro-mekanikal, sistem tanpa kunci dengan butang Push/Start serta kawalan cruise. Turut tersedia ialah MMI Navigation Plus, virtual cockpit Audi serta sistem audio Audi 180-watt dengan 10 pembesar suara dan amplifier enam-saluran.

    Ciri-ciri keselamatan standard antaranya termasuk enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau tekanan tayar, Hill Hold Assist dan Isofix. Setiap pembelian Audi Q2 datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan pelanggan boleh memilih dari 10 warna luaran yang ditawarkan.

     
     
  • Audi Q5 Sport 2.0 TFSI quattro diperkenal dari RM340k

    Audi Q5 Sport 2.0 TFSI quattro diperkenal dari RM340k

    Dipertontonkan di Malaysia pertama kali ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) paultan.org tahun lalu, Audi Q5 generasi kedua kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM339,900 atas jalan tanpa insurans. Hanya satu varian ditawarkan, Q5 Sport 2.0 TFSI quattro.

    Hadir dengan kemasan Sport, Q5 baru ini antaranya dilengkapi dengan rim aloi 19-inci lima jejari, lampu utama LED dengan DRL LED, lampu belakang gabungan LED dengan lampu isyarat dinamik serta cermin pandang belakang dan cermin sisi anti-silau.

    Di dalam, tempat duduk untuk trim Sport tersedia untuk penumpang, dengan kawalan elektrik serta sokongan lambar empat-arah (fungsi memori hanya untuk sebelah pemandu). Balutan kulit juga standard, dengan perincian Aluminium Rhombus.

    Audi Q5 Sport 2.0 TFSI quattro diperkenal dari RM340k

    Lain-lain kelengkapan termasuk sistem kawalan pendingin hawa tiga zon, stereng multifungsi balutan kulit, MMI Navigation Plus, Audi Connect, antaramuka telefon pintar Audi, sistem audio Audi (10 pembesar suara, amplifier enam saluran, 180 watt), virtual cockpit Audi, pakej Ambient Light dan sistem tanpa kunci.

    Bagi aspek keselamatan pula, Q5 baru ini dilengkapi dengan enam beg-udara, kawalan kestabilan ESC, Hold Assist, pemantau tekanan tayar dan Isofix di tempat duduk belakang; sistem Audi Pre Sense bagaimanapun tidak ditawarkan.

    Enjin pula ia menggunakan unit 2.0 liter turbocaj empat-silinder petrol yang menghasilkan 252 hp dari 5,000-6,000 rpm dan 370 Nm tork dari 1,600-4,500 rpm yang disalurkan ke semua roda melalui transmisi S tronic tujuh-kelajuan klac berkembar serta sistem pacuan semua roda quattro dengan teknologi Ultra.

    Ini termasuk decoupler bagi gandar belakang yang akan membolehkan Q5 menggunakan hanya pacuan roda depan untuk lebih cekap tenaga. Dengan tetapan ini, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.3 saat, manakala kelajuan maksimum 237 km/j.

    Gabungan penggunaan minyak didakwa mampu mencapai 7.4 liter bagi 100 km, atau 13.5 km bagi seliter. Turut melengkapinya ialah suspensi pasif dengan kawalan serapan hentakan dan kendalian stereng progresif yang disambungkan pada antaramuka Audi Drive Select, serta dengan sistem janaan.

    Harga yang dinyatakan adalah termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan; peningkatan daripada tawaran sebelum ini, dengan hanya jaminan empat-tahun/120,000 km. Pilihan warna pula terdiri daripada senarai berikut; hitam metalik Mythos, kelabu metalik Manhattan, hijau metalik Azores, coklat metalik Java, kelabu metalik Quantum, merah metalik Matador, perak metalik Floret dan putih mutiara Daytona.

     
     
  • Niu tiba di M’sia – skuter elektrik dengan jarak gerak 80 km sekali cas, laju maksimum 55 km/j, RM8,800

    Niu tiba di M’sia – skuter elektrik dengan jarak gerak 80 km sekali cas, laju maksimum 55 km/j, RM8,800

    Niu adalah sebuah syarikat pengeluar skuter elektrik dari China, namun mempunyai pasukan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk dari BMW, Microsoft, Intel, Huawei, Xiaomi, McKinsey, KKR dan Bain Capital, dan mempunyai kerjasama dengan syarikat seperti Bosch, Panasonic, LG dan Vodafone. Sejak dilancarkan pada tahun 2015, lebih 240,000 unit skuter mereka telah terjual di seluruh dunia, termasuk Eropah.

    Kini, Niu telah tiba di Malaysia, diuruskan oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, dan model N-Series telah dilancarkan sebagai pengenalan. Harga skuter yang dikuasakan oleh elektrik sepenuhnya dan boleh ditunggang atas jalan secara sah ini adalah RM8,800 termasuk insurans dan cukai jalan.

    Niu N-Series ini mempunyai penampilan yang ringkas, menggunakan lampu LED di depan dan belakang, paparan meter LCD untuk melihat laju, tahap bateri serta mod tunggangan, dan tempat duduk untuk dua orang yang berketinggian 740 mm. Penggunaannya juga dijadikan lebih mudah dengan adanya ruang simpanan 18.9 liter di bawah tempat duduk, pilihan tiga mod tunggangan, pengecas USB dan penyangkut barangan di hadapan.

    Untuk menggerakkannya pula, kuasa datang daripada bateri lithium ion 60 V 29 Ah Panasonic, yang cuma mempunyai berat 10 kg dan boleh dikeluarkan untuk diganti atau dicas. Dari bateri, kuasa pergi kepada motor penggerak 1,500 W Bosch, sekaligus menjadikan kuasa maksimum skuter ini 2,300 W dan 120 Nm tork, manakala laju maksimum pula cuma 55 km/j. Bergantung kepada penggunaan, setiap cas penuh boleh membawa kepada jarak 50 hingga 80 km, dan ia boleh dicas semula menggunakan soket rumah biasa dalam masa enam jam.

    Kelengkapan lain pada skuter elektrik ini adalah rim 12 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 120/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan teknologi penjanaan semula kuasa brek, berat keseluruhan 95 kg dan lengan ayun gabungan titanium dan aluminium. Satu lagi ciri menarik, skuter ini juga boleh disambungkan kepada aplikasi khas telefon pintar, untuk melihat navigasi, tempat mengecas, diganostik masa sebenar dan penggera anti kecurian.

     
     
  • Kereta terbang bukan untuk dijual, tapi bagi memantau pengangkutan awam dan ladang – Redzuan

    Kereta terbang bukan untuk dijual, tapi bagi memantau pengangkutan awam dan ladang – Redzuan

    Sejak Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof mengumumkan Malaysia bakal mempunyai kereta terbang sendiri, banyak pihak menjadikan isu ini sebagai bahan lawak, berpendapat sinis malah menyerlah hasrat kerajaan untuk merealisasikan salah satu misi Wawasan 2020 itu. Jika dilihat pada segi ekonomi negara dewasa ini, adakah kita benar-benar mampu untuk menghasilkannya, sedangkan untuk mengeluarkan model prototaip pun melibatkan pelaburan sebanyak RM1 juta.

    Menerima segala pandangan ini, Redzuan pantas mengeluarkan kenyataan yang menurutnya, kereta terbang yang bakal direalisasikan kerajaan tahun ini hanya untuk kegunaan industri pengangkutan dan bukan untuk dijual kepada orang awam, laporan Bernama.

    Katanya, ketika ini pelbagai syarikat gergasi dunia mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembangunan prototaip itu. Justeru, perkara itu menunjukkan perkembangan positif, sekali gus berupaya menarik pelaburan dan keyakinan kepada negara.

    Kereta terbang bukan untuk dijual, tapi bagi memantau pengangkutan awam dan ladang – Redzuan

    Terrafugia Transition yang diperkenalkan oleh Geely

    “Kita buat bukan untuk dijual (kepada orang awam). Contoh F1 (Formula Satu), orang tak beli, tapi naik sahaja. Setakat ini, saya dihubungi syarikat gergasi dunia bertanyakan mahu melihat pelan asas (blueprint) dan ia satu tarikan pelaburan. Ini juga beri keyakinan dalam pembangunan berskala angkasa (aerospace). Pihak Grab juga ada menyuarakan mahu menggunakan kereta terbang untuk perkhidmatan mereka,” katanya.

    Beliau turut menambah, infrastruktur seperti pembinaan jambatan dan jalan raya dapat dikurangkan dalam tempoh lima tahun akan datang jika kereta terbang itu mampu direalisasikan. “Ini penting untuk kerajaan dekati teknologi dan bersaing dengan negara maju lain. Bukan sahaja menarik pelaburan malah membuka peluang pekerjaan,” ujarnya.

    Mengenai anggapan negatif dan skeptikal yang diterima, Redzuan berkata, “Sesiapa yang tidak memahami hasrat kerajaan untuk membangunkan negara terpulang.”

     
     
  • ULASAN RINGKAS: Proton Iriz 2019 – apa yang baru?

    Proton Iriz facelift 2019 telahpun ditunjuk kepada media. Akan ada dua pilihan enjin dan lima varian untuk pengguna pilih. Dan, bermula hari ini sampai 11 Mac 2019, tempahan atas talian sudah boleh dibuat, dengan bayaran serendah RM9.90 sahaja.

    Lima varian yang dimaksudkan adalah seperti berikut: Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT.

    Perubahan yang dilakukan sebahagiannya diwarisi dari pendekatan sama yang ada pada SUV Proton SUV. Paling ketara, tentulah penampilan wajah depannya – dengan lampu dari Persona (tiada lagi lampu projektor), rekaan gril ilham dari busur panah dan unsur “Infinite Weave” menjadi perkara utama yang menyumbang pada kelainannya.

    Tetapi, adakah ia hanya melibatkan perubahan kosmetik semata-mata? Jawapannya tidak. Iriz baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini telah diberikan sebanyak 367 pembaharuan semuanya, baik yang boleh dilihat dengan mata kasar atau tidak.

    Jadi, di dalam video ini, kami huraikan sedikit-sebanyak tentang pembaharuan yang dilakukan itu. Tidak lupa juga, kami sempat memandu uji Iriz 2019 ini secara ringkas di dalam litar ujian Proton dan memberi tanggapan awal kami tentangnya sekali. Jangan pening-pening, terus tonton video ini untuk tahu lebih lanjut.

    GALERI: Proton Iriz Premium 1.6L CVT 2019

    GALERI: Proton Iriz Executive 1.6L CVT 2019