Teknologi yang bakal digunapakai untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga sedang giat diperhalusi dan diteliti oleh kerajaan, ujar Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Memetik laporan Berita Harian, Redzuan berkata ia bagi memastikan teknologi digunakan kelak sesuai dan mampan dengan jenis kereta bakal dikeluarkan.
“Kita menerima cadangan pelbagai pihak ini dan akan menyenarai pendek mana yang wajar. Apa juga keputusan perlu dibincangkan di peringkat Majlis Pembangunan Negara dan keputusannya mungkin diketahui tahun ini,” katanya selepas menjadi tamu program Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian, semalam.
Tambahnya lagi, dasar kerajaan ketika ini ialah untuk menjadi negara pengeluar kereta dan bukan sebaliknya, iaitu pengguna semata-mata.
Sebelum ini, ada laporan menyatakan, projek kereta nasional ketiga ini berpotensi dikuasakan sepenuhnya oleh gas petroleum cecair (LPG), sekiranya ada syarikat tempatan yang merintis jalannya.
Restorasi kereta lama sering dikaitkan dengan lelaki yang sudah berumur. Tapi berbeza dengan Gemma Wade, gadis dari Scotland ini, kerana bermula pada tahun 2007 ketika baru berusia 12 tahun, dia sudahpun memulakan projek restorasi kereta lama pertamanya.
Gemma juga tidak merostorasi model-model retro ‘hipster’ yang glamour seperti Mini Mk1 atau Volkswagen Beetle, tetapi lebih berminat dengan kereta kecil buatan Jepun iaitu Toyota Publica 1000 KP30 1976. Menurut blog Toyota UK, sehingga kini hanya ada sekitar 10 buah Publica KP30 yang masih lagi bernyawa di UK, dan salah satunya adalah unit yang berwarna kuning mustard milik Gemma ini.
Menurut Gemma, projek ini dikawal selia oleh ayahnya iaitu Harvey Wade sejak dia mula masuk ke sekolah menengah. Kereta berkenaan juga sudah dibeli oleh ayahnya lebih awal iaitu pada tahun 2002.
rpt
cof
“Saya sebenarnya tahu dari umur tujuh atau lapan tahun kereta ini akan menjadi milik saya. Walaupun saya tidak dapat memilih, sebaik sahaja saya nampak (Toyota Publica) 1000 yang comel, berkotak ini saya sangat sukakannya,” kata Gemma.
Gadis ini turut bercerita, sebelum projek ini bermula Publica berkenaan tidaklah berada dalam keadaan yang sangat teruk. Hanya bahagian belakangnya sahaja yang mungkin terlibat dalam kemalangan dan pernah menerima restorasi kecil sebelum ini.
Namun setelah ia disimpan agak lama dari 2002 hingga 2007, kereta berkenaan telah dihuni oleh serangga-serangga hutan sekaligus menambahkan lagi kerja yang perlu dilakukan. Walau bagaimanapun, Gemma dan ayahnya bersetuju bahawa kereta ini perlu disiapkan dalam masa lima tahun iaitu ketika dia berumur 17-tahun.
OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Sepanjang projek ini, banyak perkara yang dipelajari oleh Gemma, antaranya merombak rawat enjin menggunakan manual bengkel sebagai panduan, menukar tayar dengan gaya tradisional iaitu menggunakan bar panjang, dan dia juga belajar bagaimana mahu menghidupkan enjin lama menggunakan injap ‘choke’ manual.
Mencari alat ganti juga menjadi satu cabaran buat Gemma kerana tiada kedai yang menjualnya dengan stok yang tersedia. Selain mencarinya dengan cara biasa, portal eBay juga banyak membantu, dan sudah tentu ada komponen dijual pada harga yang sangat mahal. Gemma dan ayahnya juga berjaya membeli berberapa buah lagi kereta yang sama sebagai ‘donor car’ – bagi mengambil alat ganti yang masih lagi boleh digunakan.
Selain dari menggunakan komponen asli, berberapa bahagian pada kereta ini telah diubahsuai dan diambil dari model berlainan. Contohnya ada panel badan Ford Cortina yang diubahsuai menjadi valance belakang, karburator dari Toyota Starlet milik emaknya, dan juga ekzos dari Toyota Yaris. Malah ada komponen yang perlu di ‘custom‘ sendiri oleh ayahnya seperti ruang roda hadapan, dibuat dari kepingan logam.
Sebelum projek ini dimulakan juga, Gemma dan ayahnya selalu berseloroh bahawa kereta ini mungkin akan dipenuhi dengan warna merah jambu, patung unicorn dan kusyen-kusyen berbulu. Namun hakikatnya, Gemma mempunyai citarasa yang baik dengan mengekalkan rupa asli Toyota Publica berkenaan.
Di Malaysia, Toyota Publica KP30 ini dikenali dengan nickname ‘Atok Kambing’. Ini kerana Publica merupakan model awalan Toyota Starlet (KP47, KP60 dan KP61) yang juga dipanggil sebagai ‘Starlet Kambing‘ di sini, disebabkan logo Starlet itu sendiri kelihatan seperti kepala kambing. Apa yang menarik, Gemma juga mempunyai sebuah model yang lahir dari susur galur casis ‘P’ yang sama iaitu Toyota Yaris berwarna emas.
“Pengalaman memandu kereta ini sentiasa hebat. Ia sangat berlainan dengan kereta moden – anda akan rasa seperti anda benar-benar memandu dan fokus berbanding rasa seperti dipandu. Anda boleh didorong untuk memandu tanpa destinasi yang ditetapkan dan ia mempunyai kebolehan untuk anda melupakan perkara lain.”
ptr
dav
“Saya sentiasa lihat orang tersenyum pada (Publica) 1000 saya di jalan raya. Dan setelah terlihat ia dipandu oleh gadis mereka akan terkejut dan tidak percaya. Saya rasa itu sesuatu yang seronok untuk dilihat. Kelakar juga ketika di acara-acara perjumpaan apabila saya dengar ada orang yang percaya bahawa ini bukan Toyota. Mereka yakin ia adalah Datsun atau Honda, dan saya kata: ‘Tak, ini memang Toyota. Tengok, ada logo di situ!’,” ujar Gemma.
Apabila ditanya adakah dia akan memulakan lagi satu projek seperti ini, Gemma menjawab “Ya, semestinya. Saya masih lagi sayang (Publica) 1000 saya, jadi ia memang tidak akan dijual. Tetapi saya tolong ayah dengan projek-projeknya bila saya sempat dan saya juga mempunyai Yaris T Sport berwarna emas – sebagai hadiah hari jadi ke-21 – yang saya suka selenggaranya sendiri,”
Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Petronas telah pun melancarkan bahan api baharunya, Primax 95 dengan Pro-Drive yang didatangkan dengan ciri “Dual Friction Modifier” yang pertama di dunia. Kini, bahan api baharu ini telah pun dijual di semua stesen Petronas di seluruh negara mulai 29 Januari lalu.
Menurut Petronas, Primax 95 dengan Pro-Drive direka sepenuhnya di Malaysia sebelum turut diuji di Amerika Syarikat, malah telah melibatkan proses pembangunannya selama dua tahun. Ia juga telah menjalani begitu banyak proses ujian dalam pelbagai peringkat untuk memastikan kualitinya adalah lebih berbanding teknologi yang sebelum ini hanya menggunakan Friction Modifier tunggal.
Bukan itu sahaja, Petronas juga telah menganjurkan beberapa siri ujian dengan menjemput pengguna bagi merasai pengalaman prestasi dan merasai perbezaan antara Primax 95 terdahulu dengan yang diterapkan teknologi baharu ini. Malah penulis turut diundang untuk menyertai salah satu siri ujian yang dilakukan pada November lalu. Dengan memandu kereta sendiri, konvoi yang turut disertai hampir 15 buah kereta memulakan perjalanan dari Batu Tiga, Shah Alam, menuju ke Ipoh, Perak. Untungnya menggunakan kereta sendiri, kita mampu mengagak dan mengetahui penggunaan bahan api bagi jarak tertentu.
Malah sehari sebelum sesi ini berlangsung, kami dimaklumkan oleh Petronas untuk mengosongkan tangki bahan api sebaik sahaja tiba di lokasi berkumpul di Batu Tiga. Dengan keadaan jalan yang agak sesak menuju ke sana, indikator bahan api sudah berkelip-kelip menandakan tangkinya hampir kering. Penulis yang sudah terbiasa akan mengisi minyak apabila meter bahan api menunjukkan baki tinggal 1-2 bar, jadi perasaan cuak pantas menguasai diri. Sampai saja di pintu masuk lokasi berkenaan, enjin terus terhenti sendiri menandakan tangki bahan api sudah kosong. Fuh! Tepat pada masanya.
Kemudian krew Petronas segera mengisi semula tangki bahan api, tapi hanya sekitar 15 liter sahaja. Kami memulakan perjalanan selepas sarapan pagi dan diberikan penerangan oleh Harvinder Singh selaku ketua konvoi. Memandu di Lebuhraya Utara-Selatan dengan kelajuan sekitar 100-110 km/j dengan keadaan trafik yang normal. Kami juga tidak dimaklumkan sama ada bahan api Primax yang lama atau pun yang baharu, jadi kami hanya merasai pengalaman pemanduan yang seadanya. Hampir dua jam memandu, dengan jarak 200.1 km, kami sampai di Ipoh. Meter bahan api menunjukkan ada lagi berbaki 60 km.
Untuk perjalanan kembali ke Shah Alam, sekali lagi setiap kereta diisi bahan api petrol sebanyak 35 liter. Untuk bahan api ini, pemanduan terasa lebih lancar, malah prestasi enjin juga lebih menguja. Enjin tak berapa bising, lebih cepat pick-up bermakna untuk melakukan pecutan atau pun memotong kenderaan, lebih terasa lancar, tidak seperti minyak yang digunakan dalam perjalanan pergi. Dalam hati terdetik, mungkin inilah minyak baharu Petronas. Tepat juga telahan penulis selepas bertanya kepada seorang krew. Sampai semula ke Shah Alam, meter bahan api menunjukkan 230 km lagi jarak yang boleh pergi dengan baki minyak yang ada. Wah, ternyata lebih menjimatkan.
Malah peserta konvoi turut berkongsi pandangan yang sama, masing-masing setuju dengan bahan api dalam perjalanan balik lebih berprestasi walau pun corak pemanduan berbeza, model kereta juga pelbagai. Malah secara tidak langsung ia turut memberikan penjimatan yang lebih efisien, selain enjin lebih responsif dan lancar. Ini pastinya memberikan lebih banyak bonus buat Petronas dalam menarik perhatian pelanggannya. Menghasilkan bahan api yang menepati keinginan para pengguna dengan memberikan prestasi enjin yang lebih baik dan penjimatan yang lebih efisien.
Setelah dilancarkan pada Januari lalu, barulah terbongkar mengenai teknologi yang digunakan oleh Primax 95 dengan Dual Drive yang dirumuskan bersama ciri “Dual Friction Modifier”. Menurut Petronas, bahan api baharu ini berkeupayaan mengurangkan geseran dalam enjin sebanyak 20% berbanding bahan api dengan modifier tunggal. Kesannya, enjin kenderaan menjadi lebih lancar dan responsif. Kedua, ia juga hadir dengan “Double Detergent” yang berupaya membersihkan sehingga 99% deposit karbon.
Selain itu, petrol baharu ini juga hadir dengan ciri anti-hakisan enjin yang kini menyediakan dua kali lebih perlindungan kepada enjin. Ujian dan pemerhatian Petronas ke atas kenderaan juga mendapati, tenaga bateri yang tersisa masih berbaki 2% berbanding penggunaan petrol biasa. Ia juga menggunakan kurang tenaga bateri dan bahan api bagi satu jarak perjalanan yang sama.
Perkara inilah yang cukup diperlukan oleh pengguna kita di Malaysia. Malah usaha yang dilakukan oleh Petronas untuk menghasilkan bahan api yang menepati keperluan dan pastinya terdorong dengan banyak kelebihan pastinya mudah menarik perhatian pengguna untuk memilihnya. Kombinasi prestasi enjin yang responsif, lancar dan penjimatan yang efisien, merupakan pakej yang dicari-cari oleh pemandu, apatah lagi dengan keadaan harga runcit bahan api yang ada perubahan boleh dikatakan saban minggu. Sudah pasti pengguna mencari dan memilih bahan api yang lebih bersesuaian dengan kondisi kereta dan poket mereka.
Entah bila gamaknya akan selesai dengan nombor plat khas ini. Katanya kerajaan tidak lagi akan mengeluarkan nombor plat khas ini kepada NGO, tetapi siri yang telah diluluskan sebelum keputusan itu dibuat tetap dibenarkan untuk dijual, dalam tempoh ehsan setahun. Antara nombor yang tergolong dalam kelompok ini ialah IQ; dari IQ 1 hingga IQ 999.
Ini bukan nombor baru, dan telah ditawarkan sebetulnya dari 8 Ogos hingga 28 Ogos tahun lalu. JPJ telah beri kebenaran jualan nombor khas ini kepada Yayasan Ar-Ri’Ayah, dengan jualannya diuruskan sepenuhnya oleh Skyport Global Sdn Bhd.
Harga tender bermula dari serendah RM3,500 hinggalah kepada RM250,000; paling mahal ini adalah bagi nombor “IQ 3”. Nombor dua digit pula dijual pada harga RM18,000 hingga RM23,000.
Nombor plat khas yang diperkenalkan oleh organisasi swasta sebelum ini ialah E, namun ia adalah susulan kepada banyak lagi plat-plat khas begini yang pernah dijual; sebagai contoh antaranya ialah seperti PATRIOT, GTR, VIP dan sebagainya.
Selain itu, ada juga yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri, seperti siri plat “Malaysia” yang mencatatkan rekod tertinggi; RM1,111,111 bagi “Malaysia 1”. Bidaan oleh Aldi International itu memecah rekod sebelum ini yang dipegang oleh “V1” dengan harga RM989,000 pada 2016.
Ini ada beberapa susulan kepada cadangan kerajaan untuk mengambil alih konsesi lebuhraya dan memansuhkan kutipan tol secara berperingkat, dan menggantikannya dengan model caj kesesakan pada waktu puncak. Cadangannya adalah untuk mengambil alih lebuhraya yang mana Gamuda Berhad memiliki kepentingan majoriti di dalamnya.
Ini termasuk Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata semalam, kerajaan menjangkakan langkah pengambilalihan itu akan memakan masa enam bulan untuk memenuhi tuntutan perundangan, kawal selia dan kewangan, lapor The Star.
Lim juga menambah, anggaran awal penjimatan yang boleh dinikmati oleh pengguna lebuhraya keseluruhannya sekiranya itu berlaku ialah sekitar RM180 juta setiap tahun dengan pertukaran kaedah kutipan tol ketika ini kepada model kutipan caj mengikut kesesakan waktu puncak.
Cadangan pengambilalihan oleh kerajaan ini disifatkan penyelesaian yang sama menguntungkan ke atas semua pihak – kerajaan (yang akan membelanjakan wang rakyat untuk tujuan ini) dan pengguna lebuhraya. Menurut Lim lagi, dengan langkah ini juga, kerajaan/wang rakyat dapat dijimatkan sehingga RM5.3 bilion sebagai pampasan kepada konsesi tol kerana membekukan kenaikan kadar tol, yang sebenarnya sah secara undang-undang untuk dilakukan oleh pemegang konsesi.
Pada Disember, Lim menyatakan kerajaan perlu mengeluarkan RM972.75 juta sebagai pampasan kepada 21 lebuhraya supaya mereka tidak menaikkan kadar tol dalam tahun ini. Bagi pengguna pula, kita mampu menjimatkan RM180 juta setiap tahun dan menikmati kesesakan yang berkurangan ketika waktu puncak. Ini dengan andaian, sebahagian daripada pengguna akan memilih untuk mengelak tempoh waktu sesak berkenaan.
Mana-mana lebihan kutipan tol yang diperoleh daripada caj kesesakan ini akan disalurkan semula kepada operasi dan penyelenggaraan lebuhraya, dan bayaran balik pinjaman; bahkah boleh dilanjutkan kepada pembiayaan, naik taraf serta penyelenggaraan sistem pengangkutan awam negara.
Empat lebuhraya bertol berkenaan mempunyai perkongsian pasaran 48% dalam pasaran jalan bertol kota (tidak termasuk PLUS) berdasarkan pendapatan yang dipungut. Jadi, langkah ini akan memberi manfaat kepada ramai pengguna.
Sejumlah 2,100 teksi yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA/KLIA2) bakal dilengkapi dengan peranti pemantauan Smart AI menjelang hujung tahun ini, lapor Bernama.
Sistem berkenaan – yang merangkumi aplikasi, kamera definisi tinggi, pembesar suara dan butang kecemasan – adalah bertujuan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan pemandu-pemandu teksi, jelas Presiden Petekma, Syahrir Abdul Aziz. Ia akan memantau dan merakam pergerakan pemandu teksi, dan akan disambung terus ke pusat kawalan, yang akan bertindak sekiranya ada kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Pemandu akan sentiasa diperhatikan kerana tumpuannya adalah cara pemanduan mereka. Larangan merokok dalam kenderaan serta bertengkar dengan pelanggan juga perlu dipatuhi. Sekiranya keadaan menjadi semakin merbahaya, pusat kawalan akan memberi amaran terhadap tindakan yang boleh dikenakan terhadap pemandu. Sistem ini bahkan boleh memberhentikan kenderaan sekiranya keadaan bertambah buruk,”
AppleMark
“Bagi penumpang pula, Smart AI akan memastikan mereka sentiasa dilindungi daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini melibatkan pemandu teksi, seperti diminta untuk bayar tambah lebih, diganggu atau dimarahi pemandu ketika dalam perjalanan dan sebagainya,” jelas beliau.
Syahrir memaklumkan, operasi sistem baru berkenaan akan dimulakan dengan 300 teksi, dengan pemasangan bagi teksi-teksi berikutnya akan dilakukan secara berperingkat. Menurut beliau, usaha itu – yang akan turut disertai dan disokong oleh Persatuan Pemandu Teksi, Limosin dan Pengusaha Kereta Sewa (Petekma) dan penyedia kelengkapan berkenaan, Teguh Tunggal – tidak akan melibatkan kenaikan kadar tambang teksi.
Ketika ini, tambang dari KLIA ke pusat bandar Kuala Lumpur bagi teksi bajet ialah RM83, sementara teksi premium ialah RM118 manakala bagi teksi mewah dan keluarga pula ialah RM233.
Toyota bakal mendedahkan versi lebih sporty Corolla Hatchback generasi terbaharu di Geneva Motor Show 2019 yang akan berlangsung bulan hadapan. Model tersebut akan dikenali dengan nama Corolla GR Sport, dan jangan keliru, ini bukanlah hot-hatch Corolla GRMN yang khabar angin pembinaannya sedang bertiup kencang sekarang.
Menurut Toyota, model ini akan “disuntik semangat Toyota Gazoo Racing”, dan ia adalah model kedua GR Sport di Eropah selepas Yaris GR Sport didedahkan pada Paris Motor Show tahun lalu. Corolla GR Sport ini akan hadir dalam dua kemasan iaitu pertengahan dan tinggi. Ia bukan sahaja ditawarkan dalam bentuk badan hatchback, malah turut hadir dalam versi wagon Touring Sport.
Pada bahagian luaran, kereta ini menampilkan pelbagai ciri unik seperti gril hadapan baharu dengan kemasan krom gelap, skirt sisi, dan juga diffuser pada bampar belakang. Model ini turut hadir dengan lampu hadapan LED, lampu kabus, cermin belakang privasi serta warna badan ekslusif dua tona Dynamic Grey-hitam. Rupa model GR Sport ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi 18-inci yang direka khas hanya untuknya.
Pada bahagian kabin, Corolla GR Sport menerima tempat duduk sport dengan gabungan balutan fabrik-kulit (pembeli turut boleh memilih balutan kulit sepenuhnya). Upholsteri tersebut turut diserlahkan dengan jahitan benang merah di panel instrumen, roda stereng dan juga tombol gear.
Tiada sebarang peningkatan mekanikal diberikan untuk mode GR Sport ini, dan kedua-dua bentuk badan masih ditawarkan dalam dua pilihan janakuasa iaitu enjin petrol 1.8 liter NA berkuasa 122 PS/142 Nm, dan juga versi 2.0 liter petrol hibrid elektrik berkuasa 180 PS/190 Nm. Toyota Corolla GR Sport ini akan mula masuk ke pasaran bermula Januari 2020.
Industri automotif Malaysia memulakan tahun baharu dengan langkah yang lebih positif, menurut data jualan yang diperoleh dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Ia sangat diperlukan untuk mengharungi pasaran yang kian mencabar dan bagi memenuhi sasaran jualan dari MAA iaitu sekitar 600,000 unit pada 2019 – meningkat 0.21% berbanding jualan pada tahun lalu.
Secara keseluruhannya, sebanyak 48,450 kenderaan terjual pada Januari, meningkat 282 unit berbanding 48,188 unit pada Disember. Walau pun tidak banyak, tetapi peningkatan ini menunjukkan langkah yang memberangsangkan.
Jaguh pasaran Perodua menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 9.4%, melonjak 1,722 unit dari 18,402 ke 20,124. Sudah tentu jualan SUV baharu Aruz banyak mempengaruhi jualan ini, di mana lebih 1,000 unit telah didaftarkan pada hari terakhir Januari. Manakala bagi Honda, permulaan 2019 ternyata tidak begitu berkilauan kerana jualannya menurun sebanyak 6.3% dari 8,021 unit ke 7,515.
Jenama ketiga yang menduduki tangga ke atas dalam carta ialah Proton, yang boleh tersenyum lebar dengan lonjakan jualan sebanyak 22.6% ke 6,862 unit – naik dari 5,598 berbanding bulan sebelum ini. Peningkatan 1,270 unit pastinya dipacu oleh SUV X70, dengan sejumlah 2,777 unit telah dihantar kepada pelanggan pada Januari. Berada di tempat ke-empat, jualan Toyota pula merosot sebanyak 27.3% dari 4,310 unit ke 3,133, manakala Nissan turut menyusut sebanyak 30% dari 2,870 unit ke 2,008.
Dalam sektor premium pula, Mercedes-Benz mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu carta, walau pun pasarannya menyusut sebanyak 5.6% dengan hanya 1,063 unit terjual. Sementara BMW pula telah mendaftarkan 800 unit kenderaan, juga menurun 21.3%. Walau bagaimana pun, Januari menjadi bulan yang baik untuk Volkswagen (meningkat sebanyak 143.2%, tetapi hanya menjual 586 unit sahaja), Hyundai (+45.9%) dan Volvo (+28.6%), tetapi bukan bulan yang bermakna buat Isuzu (-45.5%) dan Lexus (-27.1%).
Klik jadual di bawah untuk melihat versi yang lebih besar.
Menurut laporan Autocar New Zealand, eksekutif Toyota berkenaan mengesahkan bahawa hot-hatch Corolla yang akan diberikan lencana Gazoo Racing Master of Nurburgring (GRMN) tersebut kini berada dalam peringkat perancangan awal. Kanei berkata bahawa Toyota sedang menyiasat apa yang terbaik untuk pasaran Eropah, dan Corolla GRMN adalah “sangat realistik”.
Kanei juga mengesahkan bahawa kereta tersebut tidak akan diberikan janakuasa hibrid, tetapi berkemungkinan ia akan dibekalkan dengan enjin petrol 1.6 liter turbo. Menurutnya, konfigurasi berkenaan nampak sangat menarik.
Autocar NZ turut menyebut dalam laporan ini bahawa Corolla GRMN mungkin akan muncul pada pertengahan hayat produksinya, dan pembinaan kereta ini sebahagian besarnya akan melibatkan jurutera janakuasa. Toyota juga akan menilai semua pasaran di mana kereta ini akan dijual.
Toyota Corolla hatchback generasi baharu berkenaan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai ketegaran torsi 60% lebih baik. Ia juga mempunyai pusat graviti lebih rendah yang semestinya memudahkan Gazoo Racing membuat pengubahsuaian tertumpu pada aspek prestasi tinggi.
Dalam versi standard, Corolla generasi ke-12 versi hatchback tersebut hanya ditawarkan dengan enjin petrol NA empat silinder M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force. Enjin berkenaan ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik Direct-Shift CVT yang lebih responsif dari sebelum ini atau manual enam-kelajuan yang lengkap dengan fungsi rev-match.
Sejak generasi pertama, Toyota Corolla sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’, tetapi sebenarnya Corolla sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.
Ramai yang menjangka sebelum ini Corolla GRMN bakal masuk ke liga hot-hatch segmen-C arus perdana, bagi berhadapan dengan model-model seperti Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS. Namun dengan ‘petunjuk’ bahawa ia hanya aka dijana oleh enjin 1.6 liter turbo, adakah ia cukup kuat untuk masuk ke gelanggang tersebut? Malah hot-hatch yang lebih kecil dari Corolla iaitu Yaris GRMN dijana oleh enjin 1.8 liter Supercharged, mampu menghasilkan 205 hp.
GALERI: Blitz Toyota Corolla Sport Turbo di Tokyo Auto Salon 2019
GALERI: TOM’s Toyota Corolla Sport di Tokyo Auto Salon 2019
Jelas sekarang ini, kita boleh jangkakan pengenalan rasmi bagi dua model adik-beradik dari barisan kenderaan sedia ada keluaran Proton, Iriz dan Persona, dalam masa terdekat ini. Kedua-duanya telah ditunjukkan kepada umum melalui gambar-gambar rasmi awal sebelum ini.
Tapi, perasan tak ada perbezaan rekaan antara kedua-dua model ini? Walaupun dua-dua berwajah baru, ada kelainan khusus yang membezakan antara Iriz dan Persona. Soalannya, kalau kita tukar wajah depan antara Iriz dan Persona, macam mana agaknya rupa kereta-kereta ini?
Itulah yang akan kita lihat dalam artikel ini. Mulakan dari depan. Walaupun kedua-duanya memang tampil dengan wajah depan yang berbeza, dalam gambar ini Iriz menerima lampu depan reflektor halogen dari Persona, menggantikan unit projektornya.
Bahagian atas gril menjadi perbezaan ketara antara keduanya, dengan rekaan yang sama sekali berlainan, terutama jalur krom yang menghubungkan lampu. Kedua-duanya kini menampilkan rekaan “Ethereal Bow” yang digunakan ketika ini.
Bezanya, jalur krom Persona melingkari bahagian gril, manakala pada Iriz elemen yang sama pula terarah kepada logo Proton di tengah-tengah. Corak “Infinite Weave” pada gril berkenaannya ada sedikit perbezaan, dengan elemen yang lebih nipis pada Iriz.
Rekaan bampar pula nampak sama, dengan tiga ruang masukan udara di bawah serta DRL LED yang melintang (pertama bagi Persona). Iriz juga menerima spoiler hitam di depan dengan sedikit kemasan krom, sementara Persona menerima elemen dalaman bentuk U hitam berkilat pada bucu bukaan masukan udaranya.
Perbezaan rekaan semula paling ketara tentulah pada bahagian belakang, walaupun kedua-duanya hadir dengan tulisan Proton yang lebih berjarak antara hurufnya. Iriz juga menerima bahagian hitam berkilap pada pintu ruang barangannya, menampakkan cermin belakang seperti lebih lebar.
Bampar ini turut menerima profil baru, dengan rekaan bahagian bawah bampar belakang yang lebih sporty, lengkap dengan rekaan corong udara hiasan di bucu. Panel hitam juga kini lebih besar, menempatkan nombor plat dan rekaan ala diffuser ke bawah. Persona pula sebaliknya mempunyai rekaan bampar belakang yang lebih ringkas; dihiasi paling ketara dengan pengunaan jalur krom melintang yang ada.
Rekaan rim baru dwi-tona warna melengkapi imej baru kedua-dua model ini – rekaan bilah pada Iriz, manakala Persona dengan rekaan jejari berkembar. Selain itu, kedua-dua kereta ini nampak gayanya akan ditawarkan dengan pilihan warna baru – Iriz juga mungkin kekal dengan pilihan bumbung hitam untuk varian paling tinggi.
Di dalam, pembaharuan yang sama diberikan kepada keduanya. Kluster instrumen rekaan baru dengan jarum-jarum yang lebih kemas dan mudah dilihat (110 km/j kini pada kedudukan pukul 12). Lingkaran warna perak memberikan kemasan tambahan pada bahagian ini, dengan jenis muka huruf yang sama pada X70. Penunjuk bahan api dan suhu minyak juga dalam bentuk digital yang baru.
Lain-lain pembaharuan termasuk tombol gear dari X70, cermin pandang belakang tanpa bingkai serta fabrik tempat duduk yang diperbaharui bagi Persona (Iriz masih dengan rekaan berjalur). Skrin sentuh dan sistem tunjuk arah juga baru, dibangunkan bersama dengan syarikat ECARX dari China – yang turut membangunkan Geely Smart Ecosystem (GKUI) pada X70.Bagi Persona, bahagian bawah papan pemukanya, terowong transmisi serta panel pintu adalah berwarna biege.
Manakala pada Iriz, semuanya hitam. Selain itu Theophilus Chin juga telah menukar wajah antara keduanya, seperti yang dapat anda lihat dalam gambar terakhir ini. Dalam dunia nyata, ini tidak sukar untuk dilakukan kerana Iriz dan Persona berkongsi rekaan yang sama. Mana satu pilihan anda?
Satu lagi motosikal elektrik mula memasuki pasaran antarabangsa, iaitu Zero Motorcycles SR/F 2019, dengan harga yang bermula USD 18,999 (RM77,350). Menurut syarikat pengeluarnya yang berpusat di California, motosikal ini boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j dan baterinya boleh dicas daripada kosong ke 95% dalam masa satu jam sahaja, bergantung kepada pakej yang dipilih.
Kuasa penggerak SR/F datang daripada motor permanent magnet penyejukan udara Z-Force 75-10, yang mampu menghasilkan kuasa 110 hp pada 5,000 rpm dan 189 Nm tork sebaik pendikit dipulas. Motor elektrik ini mendapat tenaga daripada bateri lithium ion yang didatangkan dalam dua pilihan iaitu 6.0 kW ataupun 3.0 kW, dengan kapasiti maksimum 14.4 kWh.
Menurut Zero Motorcycles lagi, apabila menggunakan pek bateri 6.0 kW, motosikal ini boleh dicas penuh dalam masa 2.5 jam, manakala pek bateri 3.0 kW pula akan mengambil masa 4.5 jam. Walaubagaimanapun, apabila menggunakan pengecas Rapid Charge yang disediakan sebagai pilihan tambahan, bateri 6.0 kW dan 3.0 kW masing-masing boleh dicas penuh dalam masa 1.5 jam dan 1.8 jam.
Daripada motor, kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem tanpa klac dan tali sawat karbon HTD. Mengikut Zero Motorcycles, apabila SR/F dipasang dengan Power Tank (pilihan tambahan), ia boleh digunakan bagi perjalanan sehingga 321 km (259 km jika dalam bandar).
Walaubagaimanapun, tanpanya, motosikal ini hanya boleh pergi 159 km pada kelajuan 89 km/j di atas lebuh raya, dan apabila digunakan pada kelajuan 113 km/j, jaraknya turun lagi menjadi 131 km. Paling baik, ia boleh mencatat 175 km dalam keadaan 50/50 antara dalam bandar dan lebuh raya.
Berat SR/F dalam keadaan standard adalah 207 kg, manakala dalam spesifikasi premium, ia menjadi 225 kg. Tinggi tempat duduk pula adalah 790 mm, manakala suspensi hadapan menggunakan unit fork Showa Big Piston Separate Function 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya dan di belakang menggunakan monoshock, juga boleh laras, daripada Showa.
Pemilik boleh menggunakan motosikal ini dalam empat mod tunggangan – Street, Sport, Eco dan Rain – dengan tambahan 10 lagi mod yang boleh dilaras untuk mengikuti kegemaran penunggang. Pada bahagian kokpit, terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh, yang boleh disambung dengan aplikasi Cypher III, seterusnya membenarkan telefon pintar penunggang disambungkan kepada sistem itu untuk mengetahui waktu pengecasan, navigasi dan status motosikal.
Di Amerika Syarikat, dua versi Zero Motorcycles SR/F 2019 ditawarkan, iaitu Standard pada harga USD 18,999 (RM77,350), manakala versi Premium yang datang dengan penghadang angin kecil di hadapan, pemanas tangan serta hujung bahagian pemegang aluminium dijual pada harga USD 20,995 (RM85,496).
Adakah kereta terbang yang pernah dibayangkan bakal muncul seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak menerusi aspirasi Wawasan 2020 akan direalisasikan? Adakah ia bukan omong kosong atau pun ‘coooobaaan’, sebaliknya akan diperkenalkan tidak lama lagi? Cubit pipi anda kiri dan kanan (nak cubit pipi orang rumah pun boleh juga)…ini bukan main-main, tapi inilah kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof, yang mengesahkan kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan.
Seperti yang dilaporkan Bernama, Redzuan berkata, prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini. Malah menambah, kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.
“Tahun ini adalah sasaran yang realistk kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan. Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terrafugia Transition yang diperkenalkan oleh Geely
Menurutnya, projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.
Sambungnya lagi, “Kami menyediakan pemangkin dan ekoistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini. Malah projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.
“Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ok, ramai yang tak puas hati Toyota GR Supra A90 pakai enjin BMW kan? Ramai yang “rindu zaman 2JZ” kan? Nah, tak sampai sebulan Supra generasi baharu berkenaan diperkenalkan pada peringkat global, penala dari Amerika Syarikat, CX Racing telah pun mengumumkan bahawa mereka bakal menghasilkan kit untuk anda menyumbat enjin 2JZ-GTE dari Toyota Supra JZA80, dan tempahan sudah pun dibuka sekarang untuk mereka yang berminat.
CX Racing masih lagi belum mengeluarkan sebarang perincian apa yang terkandung dalam ‘swap-kit‘ berkenaan, dan cuma menyiarkan imej mock-up sebuah Supra A90 dengan enjin 2JZ-GTE. Namun jika dilihat dari kit-kit yang mereka sediakan untuk model-model lain, ia terdiri dari set cagak enjin, cagak transmisi dan juga header untuk sistem ekzos.
Enjin 2JZ-GTE adalah enjin yang menjana Toyota Supra generasi keempat. Ia mempunyai asas yang hampir sama dengan enjin BMW B58 yang menjana Supra generasi kelima (berkongsi dengan BMW Z4) iaitu berkapasiti 3.0 liter, enam silinder turbo (turbo berkembar pada 2JZ). Dalam keadaan standard, 2JZ-GTE menghasilkan 325 PS untuk pasaran Amerika dan Eropah.
Supra generasi baharu A90 dibekalkan dengan kuasa 340 PS/500 Nm, jadi apa keperluan untuk menggunakan enjin dari era 90’an pada perut kereta lebih moden ini? Sejak diperkenalkan, 2JZ-GTE sentiasa menjadi bahan uji kaji ramai penala dari seluruh dunia. Jadi peralatan prestasi untuk enjin ini sudah banyak dipasaran. Untuk mendapatkan 1,000 hp dari enjin tersebut bukanlah satu perkara pelik pada masa sekarang.
Toyota GR Supra A90 (kanan) dan Toyota Supra JZA80 (kiri)
Kuasa yang sama masih boleh dijana oleh enjin baharu dari BMW tersebut, tetapi pastinya ia lebih sukar pada masa sekarang kerana pengeluar-pengeluar masih perlu menjalankan pelbagai proses R&D bagi menghasilkan komponen-komponen tingkat-tarafnya.
Selain dari model paling rendah dan paling tinggi, Toyota GR Supra A90 juga hadir dengan versi pertengahan, dijana enjin 2.0 liter yang sama, tetapi ditala dengan kuasa 258 PS/400 Nm.
Buat setakat ini, Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) masih belum dapat kata putus daripada kerajaan setelah ia dimaklumkan pernah terbatal sebelum ini. Walau bagaimana pun, terkini, Perdana Menteri Tun Mahathir berkata, ECRL hanya akan diteruskan sekiranya harga yang ditawarkan bersesuaian.
“Ketika ini, Malaysia tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan berharap untuk mengeluarkan perbelanjaan kurang daripada kos sebelum ini (yang ditawarkan) iaitu lebih RM55 bilion. Bukan kita tidak mahu meneruskan projek itu kerana ketika ini kita tidak mempunyai wang berkenaan. Kita perlu 30 tahun untuk membayar balik pinjaman dan kita akan dibebankan dengan faedah yang banyak dan akhirnya membayar sehingga RM140 bilion ,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Kerajaan dijangka akan mengadakan rundingan dengan kontraktor ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) yang dijadualkan minggu ini.
Dr Mahathir berkata, kerajaan kini perlu membelanjakan kewangan negara dengan baik berikutan hutang yang banyak termasuk yang membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Katanya, semua hutang berkenaan ditanggung sejak pentadbiran sebelum ini.
“Dan sekarang, sudah tentu mereka (pembangkang) memberitahu kita bagaimana nak mentadbir negara, tetapi ketika mereka mentadbir negara, mereka tidak melakukan kerja yang baik, mereka menanggung begitu banyak hutang yang menyebabkan negara perlu membelanjakan semua pendapatan untuk membayar hutang atau kita mungkin dikenakan tindakan muflis,” katanya.
Bagi memberikan capaian lebih mudah kepada pemilik Volvo di Setia Alam dan Klang, Volvo Cars Malaysia (VCM) secara rasmi membuka fasiliti 3S terbaharunya yang terletak di Setia Avenue, Setia Alam. Pusat 3S yang terletak di kawasan strategik berkenaan dioperasikan oleh satu lagi pengedar baharu VCM iaitu Motion Beyond Sdn. Bhd.
“Sejak kami mulakan pelan transformasi, kami nampak galakan luar biasa dari pelanggan berdasarkan tinjauan yang dijalankan. Sebagai jenama yang bersandarkan masyarakat, ini merupakan penunjuk yang penting bahawa kami sedang menuju kearah yang betul,” kata Lennart Stegland, Pengarah Urusan VCM.
Sehingga kini VCM mempunyai 11 pengedar di seluruh negara, dengan lima daripadanya beroperasi untuk pelanggan-pelanggan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Usaha syarikat berkenaan tidak akan terhenti setakat ini kerana mereka berminat untuk membuka lebih banyak fasiliti di kawasan lain dalam negara, terutamanya di kawasan-kawasan yang masih belum diteroka.
“Perkara yang paling penting untuk kami adalah untuk mendapatkan pengedar-rakan kongsi kompeten yang bersungguh dengan jenama dan memastikan bahawa mereka mewakili jenama dengan cara yang betul secara konsisten – ini janji kami kepada pelanggan,” tambah Stegland.
Motion Beyond sudahpun berada 15 tahun dalam industri automotif. Untuk fasiliti 3S di Setia Alam ini, ia sudahpun mencapai standard bilik pameran dan servis global Volvo iaitu standard Volvo Retail Experience (VRE).
Bilik pameran berkenaan lengkap dengan lounge untuk pelanggan dan juga studio bagi memudahkan pilihan warna, opsyen dan aksesori yang diperlukan untuk pembeli kereta baharu Volvo. Manakala untuk servis, pusat ini mempunyai tiga ruang kerja untuk menyelesaikan tugas-tugas menyelenggara dan pembaikkan.
Bilik pameran Volvo Setia Alam dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang untuk Isnin hingga Sabtu, dan dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang pada hari Ahad dan cuti am. Manakala pusat servis pula beroperasi bermula 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu, dan tutup pada hari Ahad serta kelepasan am.
Sebanyak 10 buah Proton X70 telah memulakan perjalanan jarak jauh hari ini, dengan jarak 13,000 km melalui empat buah negara. Bakal merentasi sempadan Malaysia, Thailand, Laos dan China, kembara ini menuju ke ibu pejabat Geely di Hangzhou, China – dan singgah di 13 kota di antaranya.
Akan mengambil masa selama 33 hari, kumpulan ini membiayai sendiri perjalanan mereka – bagi kos penginapan dan bahan api serta perbelanjaan lainnya. Proton terlibat dalam menyediakan sokongan teknikal dan servis kenderaan yang terlibat, selain selaku pemudah cara bagi melicinkan lagi perjalanan itu.
Untuk hari pertama kembara, konvoi ini akan bermalam di Hatyai terlebih dahulu. Pusingan penuh kembara ini nanti akan berakhir di kilang Proton Tangjung Malim. Konvoi ini dianjurkan oleh Borneo Automobile Leisure Touring Team. Bagi Proton, secara tidak langsung ini peluang yang baik untuk mempromosi jenama Proton serta SUV pertama keluarannya dirantau ini melalui kembara ini.
Mereka dijangka tiba di Hangzhou pada 12 Mac nanti, dan mengakhiri perjalanan panjang ini di Tangjung Malim pada 28 Mac. Semua Proton X70 yang terlibat adalah milik persendirian semua peserta yang ikut serta. Semoga perjalanan mereka lancar dan selamat pulang ke tanah air.
Nampak gayanya pasaran hatchback segmen-B kian sibuk tahun ini, dengan beberapa model baharu dijadualkan akan diperkenalkan pada 2019. Antara yang terawal diperkenalkan di pasaran ialah Peugeot 208, yang direka semula untuk bersaing dengan model terkini Volkswagen Polo dan Ford Fiesta.
Ia dibangunkan dengan senibina Common Modular Platform (CMP) terbaharu dari PSA Group, dan ini merupakan pertama kali ia direka dengan elektrifikasi selengkapnya.
Bercerita tentang gaya penampilannya, ia hadir dengan kebanyakan sudut rekaannya yang dipinjamkan dari sedan 508 baharu . Dengan model yang lebih besar, lampu utamanya tampil dengan pencahayaan yang lebih dramatik untuk mencapai keseluruhan tinggi bampar, dan sesetengah varian turut menerima lampu “three-claw” LED penuh. Gril enam-poin besar turut ditampilkan memberikan pandangan yang lebih tajam, dengan padanan corong udara berbentuk-U dan logo 208 di atasnya.
Untuk cermin hadapannya, ditolak sedikit ke belakang untuk memberikan hadapan yang lebih panjang bagi 208 ini, dengan sisi yang bersimbah dengan tingkap cahaya yang separa menegak memberikan pandangan yang lebih menguja. Malah kehadiran gerbang roda hitam pada versi GT Line dan GT, didatang dengan roda aloi 17-inci.
Manakala bahagian belakangnya pula, kelihatan panel hitam bersaiz penuh, seperti yang ditampilkan pada 508, 3008 dan 5008, dengan lampunya yang sama, turut memiliki rekaan “three-claw”. Plat nombornya pula telah dipindahkan ke bampar, yang turut kelihatan diffuser hitam berkilat dengan paip ekzos berkembar.
Pilihan warna pula kini dihadirkan dengan kuning Faro metalik, biru Vertigo dengan tiga lapisan coating dan merah Elixir. Kini hanya versi lima-pintu sahaja yang ditawarkan, tiada lagi model tiga-pintu.
208 yang mula memperkenalkan konsep dalaman Peugeot i-Cockpit, dan model yang terkini telah mengangkat keseluruhan tahap baharu. Masih kelihatan kluster instrumen yang ditempatkan sedikit tinggi di atas roda stereng, tetapi kini ditampilkan dengan paparan digital tiga-dimensi golografik sebagai pilihan.
Turut ditampilkan dengan skrin sesentuh tegah yang besar, didapati dengan versi lima-, tujuh- dan 10-inci, bergantung pada varian. Pembeli juga boleh memilih navigasi TomTom, fungsi Mirror Screen yang menyokong MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto, serta empat soket USB – termasuk satu untuk Type C.
Peugeot turut memperkenalkan beberapa ruang storan ekstra, termasuk satunya pada konsol tengah di mana anda boleh mengecas telefon bimbit secara tanpa wayar atau meletakkan barangan kecil di dalamnya. Papan pemuka sentuhan lembut pula ditampilkan di rak kedua bagi model Active dan yang ke atas.
Untuk aspek keselamatan, 208 didatangkan dengan teknologi terkini, termasuk brek kecemasan sendiri (dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu siang dan malam), kawalan kelajuan aktif (dengan stop-go untuk model automatik), bantuan posisi lorong, bantuan kekal lorong aktif, bantuan parkir penuh, pemantauan titik buta, pengesan isyarat trafik dan lampu tinggi auto. Malah brek parkir elektronik juga telah menggantikan brek tangan manual.
Peugeot berkata dengan senibina CMP, syarikat ini mampu mengehadkan emisi karbon dioksida bagi 208, hasil pengurangan berat sehingga 30 kg, menambahbaik aerodinamik, mengurangkan rintangan olengan, dan mengoptimakan penjana kuasa. Ia turut mendakwa tahap getaran dan bunyi bising juga dapat dikurangkan untuk kereta ini.
Barisan enjin juga telah dicantas, dengan hanya ada satu enjin petrol yang ditawarkan – 1.2 liter PureTech tiga-silinder dengan menawarkan 75 hp, 100 hp dan 130 hp, semua dengan fungsi start/stop automatik dan dipadankan sama dengan kotak gear manual lima-kelajuan (74 hp), manual enam-kelajuan (100 hp) dan auto baharu lapan-kelajuan (100 hp, 130 hp). Dalam sesetengah pasaran (mungkin pasaran kita juga), ia turut menawarkan kotak gear auto enam-kelajuan.
Untuk yang memilih varian diesel, ditawarkan dengan enjin 1.5 liter BlueHDi empat-silinder 100 hp, dan berita yang paling gempak sekali, Peugeot turut menawarkan versi elektrik yang dipanggil e-208. Ia mampu menghasilkan 136 hp dan tork 260 Nm dari motor elektrik tunggal, memberikan pecutan sifar ke 100 km/j dalam 8.1 saat dan paling mengujakan ia mampu mencapai sehingga jarak 340 km, dengan kiyaran WLTP.
Dengan bateri 50 kWh, ia memiliki 200 liter volume, yang ditempatkan di bawah lantai tanpa kompromi dengan ruang dalaman dan but. Pengecasan sekitar 16 jam menerusi soket domestik, atau lima jam 15 minit dengan wallbox tiga-fasa 11 kW (lapan jam untuk fasa-tunggal 11 kW). Sebagai alternatif, pemandu boleh menggunakan pengecas awam 100 kW yang mampu menyalurkan 80% untuk pengecasan dalam 30 minit.
e-208 dilengkapi dengan gril sama warna dengan badan, lencana singa biru, aloi 17-inci dengan kemasan unik dan upholstery kelabu Alcantara/Greval sentuhan 3D.
Volkswagen baru saja menunjukkan Transporter T6.1 facelift, yang memberikan model komersial generasi keenam tersebut dengan beberapa peningkatan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2015. Sebagai permulaan, model standard kini datang dengan tingkap kuasa elektrik, central lock, cermin sisi boleh laras secara elektrik berserta pemanas dan juga muka yang baru yang lebih serasi dengan model-model lain Volkswagen.
Di bahagian depan, Transporter T6.1 ini mendapat bukaan udara lebih besar, yang menurut Volkswagen memang adalah sesuatu yang diperlukan bagi enjin masa kini. Semua lampu utama, lampu siang serta lampu belakang jenis LED model ini telah direka semula dan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan warna badan. Warna di dalam gambar ini diambil daripada model Multivan (atau Caravelle), yang akan digunakan sebagai asas untuk campervan T6.1 California.
Di bahagian dalam, bahagian papan pemuka telah direka semula dan dimasukkan dengan sistem infotainmen terbaru MIB3, berserta Discover Media lapan inci dan skrin sesentuh Discover Pro 9.2 inci. Lebih menarik, head unit yang lebih tinggi daripada pilihan Composition Colour 6.5 inci akan mempunyai eSIM bersepadu, yang memboleh pengguna membuat panggilan. Ciri eSIM ini juga membawa sekali fungsi “Volkswagen We” dan menawarkan radio internet, stream lagu serta arahan suara (bergantung kepada pasaran).
Di hadapan pemandu, terdapat kokpit digital 10.25 inci boleh laras, bagi model bermula daripada Multivan Highline. Kemudahan lain yang disediakan adalah App Connect, pengecas Qi tanpa wayar untuk telefon pintar, sambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan juga soket kuasa 230 volt berhampiran tempat duduk pemandu.
Untuk sumber kuasa, semasa pelancaran, Transporter T6.1 diperkenalkan dengan enjin empat silinder TDI 2.0 liter, yang datang dalam beberapa talaan – 90 PS untuk yang asas, diikuti 110 PS dan paling tinggi 199 PS (bi-turbo dan kotak gear DSG). Model pertengahan dengan kuasa 150 PS juga ada ditawarkan, dan ia boleh didapati dengan kotak gear DSG klac berkembar serta sistem pacuan semua roda.
Sebagai alternatif, T6.1 juga nanti akan ditawarkan sebagai kenderaan tanpa emisi, dan dibangunkan bersama dengan ABT. Ia nanti akan menggunakan motor elektrik 112 PS, dan dikuasakan oleh pilihan bateri sama ada 38.8 kWh atau 77.6 kWh. Bateri 77.6 kWh ini mampu memberikan jarak gerak lebih 400 km (berdasarkan kitaran NEDC), sekaligus menurut Volkswagen, menjadikan ia sesuai untuk kerja komersial dalam dunia urban.
Dalam aspek keselamatan, van ini sekarang datang dengan Cross Wind Assist secara standard. Melalui sistem ini, apabila terdapat angin lintang yang kuat secara tiba-tiba, pergerakan kenderaan secara automatik akan distabilkan. Melalui stereng kuasa elektromekanikal baru pula, sistem Lane Assist pada van ini dapat disambungkan dengan pembetulan input stereng apabila diaktifkan. Ciri keselamatan lain yang ada adalah termasuk Rear Traffic Alert, Trailer Assist (berat treler maksimum 2,500 kg), Park Assist, kamera belakang dan pengenalan tanda jalan.
Dua model motosikal dari Thailand iaitu GPX Racing Gentleman 200 dan GPX Racing Demon 150 GR kini sudah dijual di Malaysia dengan harga RM10,978 untuk Gentleman 200 yang bergaya retro dan RM9,800 untuk Demon 150 GR yang bergaya sports (tidak termasuk insurans).
Kuasa untuk Gentleman 200 datang daripada enjin empat strok satu silinder 197 cc dengan kotak gear enam kelajuan, dan ia mampu menghasilkan kuasa 20 hp, tork 18 Nm dan laju maksimum 135 km/j. Bagi membantu pemilik menikmati kuasa ini, ia didatangkan dengan tayar Pirelli bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang manakala berat pula cuma 160 kg.
Kelengkapan lain yand ada pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, sistem bahan api karburetor, fork USD tanpa larasan di hadapan, monoshock YSS di belakang, brek cakera berkembar di hadapan, tinggi tempat duduk 730 mm, panel instrumen LCD berwarna serta rim 17 inci jenis spoked.
Demon 150 GR pula dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc dan ia mempunyai gaya seakan sebuah superbike Ducati Panigale. Model ini juga didatangkan dengan fork jenis USD di hadapan manakala di belakang ia menggunakan monoshock daripada YSS.
Berat Demon 150 GR cuma 133 kg, dan ia menyediakan tinggi tempat duduk 780 mm, tangki bahan api lapan liter, rim 14 inci, tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, panel paparan LCD monochrome, lampu siang, lampu LED di belakang dan juga pengecas USB 5 volt.
Proton telah mendedahkan beberapa gambar terawal model Persona facelift. Model ini dijangka akan dilancarkan tahun ini, bersama dengan Iriz yang telah pun mula didedahkan awal Februari lalu.
Pembaharuan luaran Persona nampaknya agak ketara, mengikut sentuhan rekaan yang diwarisi daripada SUV X70 dan juga Iriz. Di depan, gril baru memberi penampilan segar, dengan pendekatan rekaan yang sama pernah dilihat pada model X70 sebelum ini – dan nampak lebih kemas serta menonjol berbanding pada Iriz.
Bahagian bampar Perosna juga turut menerima rekaan yang dikemaskini. Perhatikan bahagian bawah bamparnya, kini dilengkapi oleh bukaan udara serta bahagian dalam bentik trapezoid dengan tujuan yang sama. DRL LED pula ada terletak di kedua-dua belah sisinya.
Di belakang, nama Proton kini terbentang besar dan memenuhi pada pintu ruang barangannya; ini bukan baru, kita pernah melihat pendekatan yang sama pada X70 dan juga Iriz. Sama seperti di depan, bahagian bawah bampar ini juga hadir dengan rekaan baru. Lain-lain pembaharuan termasuk antena “sirip jerung” dan rekaan rim 15-inci yang baru.
Ruang dalam menyaksikan pembaharuan yang sama seperti yang diterima oleh Iriz. Ini termasuk paparan multi-info dengan warna pada panel instrumen. Sistem infoitainmen dengan skrin sentuh juga ada, dibangunkan oleh Proton dan syarikat China eCarX – pihak yang sama membangunkan antaramuka GKUI pada X70.
Selebihnya, pilihan akses capaian serta fungsi voice command juga tersedia. Tombol gear kini kelihatan lebih mirip dengan rekaan tombol X70, serta corak baru yang lebih menarik pada tempat duduknya. Apa tanggapan anda tentang Persona facelift ini?