Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Bezza 2020 dilancarkan – bermula RM36k-RM50k, 4 varian, ASA 2.0, VSC & TRC, lampu LED

    Perodua Bezza 2020 dilancarkan – bermula RM36k-RM50k, 4 varian, ASA 2.0, VSC & TRC, lampu LED

    Setelah imej spyshot dan juga brosur yang tersebar tempoh hari, akhirnya Perodua Bezza facelift 2020 rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini. Ini adalah facelift kali pertama untuk Bezza, setelah berada selama tiga tahun dalam pasaran.

    Seperti yang diumumkan oleh Perodua tempoh hari, Bezza masih ditawarkan dengan dua pilihan enjin, dalam empat varian berbanding lima pada model sebelumnya. Ia bermula dengan model asas Bezza 1.0 G Manual berharga RM34,580, Bezza 1.0 G Automatik berharga RM36,580, Bezza 1.3 X Automatik berharga RM43,980 dan model tertinggi Bezza 1.3 AV berharga RM49,980 – versi 1.3 dengan kotak gear manual telah pun digugurkan. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia hadir standard dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

    Seperti yang anda boleh lihat, Bezza 2020 ini diberikan muka yang jauh berbeza dari sebelum ini. Kesemua varian kini menerima lampu hadapan LED, dan ia direka lebih nipis dan lebih tajam dari versi asal. Manakala pada bampar, ia tampil dengan ‘mulut’ lebih besar, bersama kemasan perumah lampu kabus (model 1.0L tiada lampu kabus) yang direka dengan lebih bersegi dan ‘berotot’.

    Perodua Bezza 2020 dilancarkan – bermula RM36k-RM50k, 4 varian, ASA 2.0, VSC & TRC, lampu LED

    Bezza masih belum diberikan lampu nyalaan siang LED pada mana-mana varian, tetapi jika anda memilih aksesori Gear Up, sepasang lampu posisi LED akan diberikan. Pada bahagian sisi, tiada perubahan garis badan dapat dilihat. Namun di bawah, kemasan skirt sisi kini turut direka lebih bersegi bagi disesuaikan dengan muka baharu dan menampilkan dua tona – warna badan dan hitam. Set rim aloi dua tona baharu – 14 inci untuk model 1.0L dan 15-inci untuk versi 1.3L turut hadir sebagai kemaskini baharu.

    Model yang disegarkan ini diberikan cermin sisi kawalan elektrik dan juga lengkap lampu isyarat membelok, tetapi hanya model tertinggi AV diberikan sistem lipat berkuasa elektrik. Ini bermakna tiada lagi Bezza yang hadir dengan lampu isyarat membelok pada fender walaupun pada versi asas G.

    Manakala pada bahagian belakang, kluster lampu masih lagi kelihatan sama, tetapi kemasan bar merentangi penutup but kini hadir dalam dua tona krom dan hitam. Bampar pula menerima perubahan drastik yang bukan sahaja bagi memberikan rupa lebih sporty, malah ia menghilangkan rupa ‘tonggek’ sebelum ini. Bahagian berkenaan menerima kemasan perumah reflektor pada sisi bampar berbentuk trapezoid seperti pada Myvi dan Axia facelift, mengapit kemasan seakan diffuser yang bersaiz agak besar di tengah.

    Perodua Bezza 2020 dilancarkan – bermula RM36k-RM50k, 4 varian, ASA 2.0, VSC & TRC, lampu LED

    Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010. Enam warna ditawarkan untuk Bezza 2020 iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown dari model sebelumnya, bersama dua warna baharu iaitu Granite Grey dan Garnet Red (untuk varian-varian 1.3 liter sahaja).

    Pada bahagian dalaman, rekabentuk asas papan pemuka masih lagi sama, tetapi diberikan berberapa perubahan kecil. Ia diberikan kemasan ‘jalur perak’ tambahan yang bermula dari corong pendingin hawa kiri sehingga ke tengah dan seakan ‘melindungi’ unit pemain utama sistem audio, bagi menggantikan bar hitam kosong sebelumnya.

    Kemudian panel meter juga kini diberi perubahan dari segi grafik, bersama pencahayaan berwarna putih dan skrin pelbagai info dengan latar belakang oren yang lebih jelas. Mengambil kira pandangan orang ramai yang mengatakan tempat duduk belakang yang terlalu ‘tegak’, Perodua telah melaras semula perehat badan bahagian berkenaan dari 23 darjah sebelum ini menjadi lebih condong kepada 27 darjah. Manakala ruang kargo masih kekal antara yang paling besar walaupun dibandingkan dengan sebahagian model segmen-C iaitu 508 liter.

    Model X dan AV juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin dan sistem start/stop Eco Idle. Hanya model tertinggi AV hadir dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen (dengan fungsi mirrorlink kepada telefon pintar) dan juga upholsteri balutan kulit.

    Kesemua varian Bezza 2020 akan hadir standard dengan penderia undur serta sistem brek ABS bersama EBD. Bezza juga kali ini datang dengan sistem kestabilan elektronik (ESC) dan juga kawalan cengkaman (TRC), tetapi hanya untuk model pertengahan Bezza X dan model tertinggi Bezza AV menerima sistem keselamatan aktif ini.

    Seperti juga kembar hatchbacknya Perodua Axia, Bezza AV turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama. Model penuh ini juga hadir dengan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    Juga, varian X dan AV diberikan pelbagai ciri tambahan lain seperti penderia parkir hadapan, gril dengan kemasan krom, manakala hanya AV hadir dengan kamera undur.

    Tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik E-AT empat-kelajuan yang sama. Dengan sistem Eco Idle, Bezza mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 22 km/l.

    Menurut Perodua, suspensi Bezza 2020 ini juga telah di tala semula bagi memberikan keselesaan dan kestabilan yang lebih baik dari sebelum ini.

    Dari segi harga, Bezza facelift ini jelas sedikit lebih mahal dari model asal, sepadan dengan pelbagai ciri tambahan yang diberikan. Jadi, apa pendapat anda? Boleh ke Bezza kembali menggugat Proton Saga facelift 2019 yang dilihat semakin dominan dalam pasaran sedan segmen-A ini?

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 AV

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 X

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.0 G Auto

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 – pilihan warna

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Bezza facelift 2020

     
     
  • Perodua Bezza facelift 2020 – jangan terlepas, saksikan siaran langsung pelancarannya pagi ini!

    Pelancaran model facelift Perodua Bezza 2020 akan berlangsung pagi ini, jam 10 pagi. Bagi yang tidak mahu ketinggalan, anda boleh menyaksikan secara langsung majlis pelancaran ini melalui pautan video yang kami sediakan di atas.

    Sebelum daripada pelancaran ini, Perodua cuma menyiarkan beberapa video teaser berkenaan kereta ini, tetapi spyshot serta risalah jualannya juga telah tersebar. Pada aspek penampilan, muka hadapannya mengalami perubahan yang utama.

    Selain daripada itu, sistem keselamatan turut dinaik taraf, di mana Bezza baru ini boleh didapati dengan pakej ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Memandangkan ini adalah antara acara automotif terawal bagi tahun 2020 dan penting bagi Perodua, mungkin acara ini akan dijadikan lebih menarik dan bermakna. Jangan terlepas, tonton siaran langsungnya!

     
     
  • Perodua Bezza facelift 2020: saksikan siaran langsung pelancarannya disini pada pukul 10 pagi 8 Januari

    Perodua telah menyiarkan berberapa video teaser dan juga telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Perodua Bezza 2020 telah pun dibuka. Bila pelancaran sebenar model ini? Esok – secara spesifiknya pada 8 haribulan Januari 2020, pukul 10 pagi. Dan kalau anda ada masa, mari saksikan siaran langsung yang kami sediakan menerusi pautan saluran Youtube yang kami letakkan di atas.

    Bagi menggambarkan betapa ‘garang’ dan ‘pintar’ Bezza yang dikemaskini ini, Perodua telah menggunakan khidmat dua pemain bola sepak tempatan sebagai ikon iaitu Safee Sali dan Zaquan Adha. Model ini adalah versi penyegaran pertama untuk satu-satunya sedan yang dihasilkan oleh Perodua buat masa ini setelah berada tiga tahun dalam pasaran.

    Menerusi video teaser dan juga gambar spyshot yang tersebar sebelum ini, Bezza 2020 nampaknya diberikan perubahan ketara pada bahagian muka – menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, bersama bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus/kemasan liang udara sisi yang direka lebih bersegi dan agresif.

    Rekaan lampu belakang masih lagi nampak sama, tetapi bampar pada bahagian ini kelihatan lebih ‘sibuk’ dengan pemadanan kemasan untuk reflektor yang besar dan nampak seperti liang udara palsu seakan pada Axia facelift dan Myvi, serta kemasan seakan diffuser juga jauh lebih besar dari sebelum ini.

    Pada bahagian sisi, dapat dilihat kemasan skirt sisi juga berubah bentuk, dan ia kini diberikan set rim aloi dua-tona dengan rekaan baharu. Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010.

    Dalam kabin, Rekaan asas papan pemuka masih lagi nampak sama, tetapi menurut Perodua, Bezza 2020 hadir dengan panel meter diberikan pencahayaan putih yang lebih jelas dari sebelum ini. Kami juga menjangkakan bahawa perehat badan untuk tempat duduk belakang juga akan diberikan perubahan untuk memaksimakan keselesaan.

    Seperti juga kembar hatchbacknya Perodua Axia, Bezza AV turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Model X dan AV juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan, gril dengan kemasan krom dan juga rim aloi bersaiz 15-inci. Walau bagaimanapun, hanya Bezza AV yang diberikan cermin sisi boleh lipat berkuasa.

    Menerusi pengumuman Perodua sebelum ini, Bezza 2020 disahkan akan dijual dalam empat varian, berbanding lima sebelum ini. Ia bermula dengan model asas Bezza 1.0 GX Manual berharga RM34,580, Bezza 1.0 GX Automatik berharga RM36,580, Bezza 1.3 X Automatik berharga RM43,980 dan model tertinggi Bezza 1.3 AV berharga RM49,980.

    Enam warna akan ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown sedia ada, bersama dua warna baharu iaitu Garnet Red (untuk varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey. Pembelian model ini datang sekali dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

    Tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik E-AT empat-kelajuan yang sama.

     
     
  • Hyundai S-A1 Urban Air Mobility – kapal udara elektrik untuk perkongsian kenderaan masa hadapan

    Hyundai S-A1 Urban Air Mobility – kapal udara elektrik untuk perkongsian kenderaan masa hadapan

    Hyundai telah mendedahkan model konsep S-A1 Urban Air Mobility semasa pameran CES di Amerika Syarikat, berserta pengumuman kerjasama mereka dengan Uber untuk pembangunan rangkaian perkongsian kenderaan udara masa hadapan Uber Air Taxi. Hyundai juga merupakan syarikat automotif pertama yang menyertai inisiatif Uber Elevate yang menyaksikan Uber bekerjasama dengan syarikat seperti Bell, Embrger dan anak syarikat Boeing, Aurora Flight Services.

    S-A1 adalah sebuah kapal udara yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), dibina untuk tujuan perkongsian kenderaan dan mempunyai kelajuan meluncur 290 km/j. Ia boleh pergi sehingga 100 km untuk satu perjalanan dan berada pada altitud antara 300 meter hingga 600 meter dari tanah. Pada masa puncak, ia memerlukan masa antara lima hingga tujuh minit untuk dicas semula.

    Menurut Hyundai, penggunaan beberapa pemutar dan kipas pada kerangkanya adalah bagi meningkatkan ciri keselamatan, di mana kemungkinan untuk ia gagal pada satu-satu masa dapat dikurangkan. Pemutar lebih kecil yang dikuasakan oleh elektrik ini juga kurang mengeluarkan bunyi berbanding helikopter biasa dengan pemutar yang besar dan enjin pembakaran dalaman.

    Hyundai S-A1 Urban Air Mobility – kapal udara elektrik untuk perkongsian kenderaan masa hadapan

    “Visi kami berkenaan Urban Air Mobility akan mengubah konsep pengangkutan urban. Kami menjangkakan UAM untuk ‘menghidupkan’ komuniti urban dan memberikan lebih masa berkualiti kepada orang ramai, dan kami yakin Uber Elevate adalah rakan kongsi yang betul untuk menjadikan produk inovatif ini tersedia untuk sebanyak mungkin pelanggan,” kata timbalan presiden eksekutif dan ketua mobiliti udara urban Hyundai, Jaiwon Shin yang juga merupakan bekas jurutera aeronautik dari NASA.

    Hyundai S-A1 boleh memuatkan empat penumpang dalam kedudukan yang memudahkan mereka naik serta turun, dan setiap penumpang mempunyai tempat duduk yang berasingan. Pengendalinya berada di hadapan sekali, diikuti dua tempat duduk di tengah dan dua lagi di belakang.

    Menurut Hyundai lagi, pada peringkat awal S-A1 direka untuk dikendalikan oleh juruterbang, tetapi nanti ia boleh terbang secara sendiri. Antara kapal udara tentera yang beroperasi dengan cara sama seperti S-A1 adalah termasuk Hawker Siddley Harrier dan Bell-Boeing V-22 Osprey, yang boleh mengiringkan pemutarnya untuk bertukar dari pergerakan menegak kepada mendatar.

     
     
  • Nombor pendaftaran UTM, UKM dibuka untuk jualan

    Nombor pendaftaran UTM, UKM dibuka untuk jualan

    Bermula Disember lalu, penjualan dan pendaftaran siri nombor pendaftaran khas yang diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) telah pun diberhentikan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna tiada lagi nombor pendaftaran khas, tetapi orang ramai boleh membelinya secara terus daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Selain daripada itu, universiti awam turut diberi kebenaran untuk menjana pendapatan sendiri menerusi penjualan nombor pendaftaran khas dan antara yang telah mengambil peluang ini Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu pada bulan Julai lalu dan beberapa lagi universiti awam lain.

    Sekarang ia disertai oleh pula Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan jualan nombor pendaftaran UTM 1 hingga UTM 9999 sedang berlangsung secara bidaan hingga 11 Januari manakala UKM 1 hingga UKM 9999 berakhir 13 Januari. Keputusannya akan diumum hujung bulan ini.

    Menurut laporan sebelum ini, universiti awam perlu membayar RM500,000 untuk pendaftaran 10,000 nombor ini dan perlu menjualnya dalam masa tiga tahun atau memulangkannya semula kepada JPJ.

     
     
  • Toyota bakal bina “Woven City” – ‘bandar masa depan’ Jepun yang ada makmal kereta pemanduan sendiri

    Toyota bakal bina “Woven City” – ‘bandar masa depan’ Jepun yang ada makmal kereta pemanduan sendiri

    Menerusi Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2020, Toyota Motor Corp telah mengumumkan cadangannya untuk membangunkan prototaip “bandar masa depan” berhampiran Gunung Fuji, Jepun. “Bandar masa depan” yang diberi nama “Woven City” ini akan dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen.

    Presiden Toyota, Akio Toyoda, berkata, pembangunan bandar berkenaan akan dibina di kawasan seluas 71 hektar dan akan dibangunkan dengan komuniti futuristik dengan pelbagai fasiliti termasuklah makmal untuk kereta pemanduan sendiri, ‘rumah pintar’, kecerdasan buatan dan teknologi lain.

    Pelan utama bagi bandar ini termasuk rekaan untuk jalan yang bakal dibina dengan tiga jenis; untuk kenderaan laju sahaja, untuk kenderaan pada kelajuan rendah, mobiliti peribadi dan pejalan kaki serta membina taman untuk kegunaan pejalan kaki sahaja.

    Tanpa mendedahkan kos untuk projek berkenaan, Akio berkata, “Untuk memudahkan para penduduk bergerak di sekitar bandar, hanya kenderaan pemanduan sendiri sepenuhnya dan sifar-emisi yang akan digunakan. Malahan kenderaan pemanduan sendiri Toyota e-Palettes juga akan digunakan sebagai kenderaan pengangkutan dan penghantaran bagi sektor peruncitan.”

    Menggelarkan projek itu sebagai “projek lapangan mimpi peribadi saya”, Akio turut berkata, pihaknya telah melantik firma arkitek Denmark, Bjarke Ingels untuk mereka bentuk bandar tersebut. Firma arkitek berkenaan memiliki pengalaman yang luas dalam bidang rekaan termasuk merekabentuk bangunan World Trade Center di New York dan juga pejabat Google di Silicon Valley dan London.

    “Kami menjangkakan sebagai pemulaan, bandar ini akan diduduki 2,000 penduduk dan sasaran untuk memulakan projek pecah tanah dan pembinaannya adalah pada tahun hadapan,” ujar Akio dengan penuh optimis.

    Dalam masa yang sama, Toyota turut mengalu-alukan kerjasama syarikat lain untuk menjadi pelabur dan yang ingin menggunakan projek ini sebagai asas ujian membangunkan dan mengimplementasikan teknologi.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 di FB/Insta – bakal tiba di M’sia?

    Volkswagen Polo Mk6 di FB/Insta – bakal tiba di M’sia?

    Agak lama juga Volkswagen Polo tak menerima pembaharuan untuk pasaran Malaysia. Namun, untuk pasaran luar, sejak 2017 lagi, pengguna di sana boleh membeli model Mk6. Sebaliknya, kita di sini bagaimanapun masih ditawarkan dengan model Mk5, walaupun telah diberikan facelift pada 2015. Apa pun, penantian nampaknya akan berakhir; Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mula memaparkan imej model Mk6 di akaun media sosial hari ini.

    Syarikat itu menunjukkan kedua-dua model standard berkenaan di Instagram, dan model GTI 200 PS di Facebook. Ini sedikit aneh, kerana mereka selalunya tidak lokek untuk menunjukkan kereta dengan spesifikasi Malaysia, sama ada yang sudah dilancarkan atau yang bakal diperkenalkan (hantaran berkenaan bagaimanapun telah diturunkan). Hakikat bahawa VPCM menunjukkan dua versi berbeza bagi model berkenaan mungkin memberi petunjuk kepada sesuatu yang lebih menarik untuk pasaran Malaysia.

    Tetapi, bagi kes Polo, situasinya agak rumit. Polo yang ada di sini merupakan pemasangan CKD dengan pek dari India, dan masih merupakan model lama. Jadi, model CKD terbaru – mungkin dari negara-negara Asia Selatan – adalah agak mustahil, walaupun untuk membawakan pek CKD dari Eropah – seperti yang dilakukan pada Tiguan dan Passat – adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan.

    Volkswagen Polo Mk6 di FB/Insta – bakal tiba di M’sia?

    Sudah tentu, VPCM boleh membawa masuk model CBU bagi Polo terbaru ini, sama seperti yang mereka lakukan pada model Polo Mk5 1.2 TSI dan GTI beberapa tahun lalu. Tetapi ini akan menjadikan harganya lebih tinggi (mungkin sekitar atau lebih RM100k). Ini akan menyukarkannya untuk bersaing. Namun, jika versi GTI diperkenalkan, ia hampir pasti akan dibawa masuk sebagai unit CBU, sama seperti Golf GTI dan R.

    Apa pun, semuanya hanya dapat dipastikan sebaik VPCM mengumumkan maklumat lebih terperinci berkenaan model Polo berkenaan, dengan andaian ia memang akan masuk ke pasaran Malaysia. Anda rasa macam mana, adakah kita betul-betul akan menerima model Polo Mk6 ini, dalam masa terdekat?

     
     
  • Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Semasa pameran Consumer Electronics Show (CES) 2020 di Las Vegas, Sony telah membuat kejutan dengan memperkenalkan kereta konsep sendiri, dipanggil sebagai Vision-S, yang menggunakan teknologi pengesan dan pengimejan mereka. Melalui teknologi Artificial Intelligence (A.I), telekomunikasi dan pengkomputeran yang dimiliki pula, kenderaan ini boleh bertambah maju lagi di masa hadapan.

    Menurut Sony, Vision-S menampilkan konsep zon selamat aktif ‘Safety Cocoon’ dengan mengesan situasi sekitar bagi mengelak risiko lebih awal. Ia diperolehi melalui pemasangan 33 pengesan gred automotif pada bahagian luar kenderaan manakala di dalam pula terdapat 12 kamera, 17 pengesan radar dan ultrasonic, serta tiga pengesan lidar.

    Ini membolehkan kereta tersebut mengesan keadaan trafik secara 360 darjah, serta memberikan ciri bantuan memandu yang bersamaan dengan Level 2 seperti Advanced Cruise Control, letak kenderaan sendiri, serta tukar lorong automatik. Tambah Sony, perisian sistem ini boleh dikemas kini dan ditambah lagi sehingga mencapai tahap pemanduan autonomous Level 4.

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Cermin sisi serta cermin pandang belakang pada kenderaan ini diganti dengan kamera dan skrin paparan, dan ia boleh dilaras mengikut kegemaran pemandu. Sebagai contoh, skrin yang memaparkan pandangan belakang juga boleh memaparkan pandangan bahagian sisi kenderaan. Kemudiannya, sebarang silau daripada lampu yang mengenai kamera ini akan diperbaiki dengan HDR dan teknologi pemprosesan lain sebelum terpapar di skrin dengan kecerahan yang sesuai.

    Pada bahagian dalam, terdapat pengesan yang boleh mengenal pasti ekspresi muka serta pergerakan badan pemandu, di mana kemudiannya maklumat yang diperolehi digunakan untuk melihat tahap konsentrasi serta kepenatan, seterusnya mengeluarkan amaran jika perlu. Pengesan ini juga boleh membantu pelarasan sistem pendingin hawa, pemain muzik, mod pemanduan, paparan peta serta ciri lain.

    Dengan terdapat teknologi pemanduan autonomous pada kenderaan ini, Sony mahu mewujudkan ‘ruang hiburan bergerak’ melalui teknologi 360 Reality Audio. Selain pada kedudukan biasa, pembesar suara turut diletakkan dalam tempat duduk, dan ia boleh digunakan untuk memberi bunyi atau audio yang berbeza untuk semua empat tempat duduk yang ada.

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Melengkapi sistem bunyi ini adalah skrin panoramik yang dipasang sepanjang keseluruhan papan pemuka Vision-S. Ia dibahagi kepada tiga iaitu untuk pemandu, penumpang hadapan dan juga di tengah. Di bahagian tepi sekali adalah untuk pandangan sisi. Selain tombol kawalan di hadapan untuk sistem infotainmen ini, di belakang juga terdapat tombol untuk fungsi yang sama pada perehat tangan.

    Sistem sambungan dan integrasi kenderaan ini dipanggil sebagai Vision-S Link. Ia boleh disambungkan kepada beberapa peranti dan kenderaan. Melaluinya, pengguna boleh mengaktifkan sistem pemanduan autonomous dan memanggil kenderaan ke lokasi mereka.

    Apabila sudah masuk dalam kenderaan pula, peta serta muzik yang sedang dimainkan pada peranti pengguna akan terus dimainkan atau dipapar pada kenderaan. Sistem ini juga boleh menjadi lebih pintar dan adaptif dengan kemas kini atas talian dan sistem A.I.

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Vision-S mengikut trend semasa dengan dibina atas platform modular, yang membenarkan ia turut dikongsi untuk pelbagai lagi bentuk kenderaan seperti coupe, sedan, SUV dan MPV. Perinciannya tidak dinyatakan tetapi Sony memberitahu mereka mahu membangunkan kenderaan ‘dengan sasaran mencapai markah tinggi dalam ujian keselamatan di seluruh dunia.’

    Melihat kepada dimensi, Vision-S mencatat ukuran 4,895 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,450 mm tinggi, dengan jarak roda 3,000 mm. Sebagai perbandingan, Tesla Model S pula mencatat panjang 4,980 mm, lebar 1,964 mm, tinggi 1,440 mm dan jarak roda 4,980 mm.

    Roda kenderaan ini dipegang oleh sistem suspensi udara dan tetapan double wishbone di semua bahagian, serta rim 21 inci yang dibalut dengan tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang. Brek adalah daripada Brembo. Kenderaan yang mempunyai berat 2,350 kg ini dipacu oleh motor elektrik 200 kW yang diletakkan pada setiap gandar, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, serta laju maksimum 240 km/j. Daripada video yang disiar juga Vision-S dilihat boleh mencapai jarak gerak sehingga 454 km dengan sekali cas.

     
     
  • JPJ buka stesen penguatkuasaan ketiga hasil kerjasama PLUS – lokasi di R&R Pagoh Arah Selatan

    JPJ buka stesen penguatkuasaan ketiga hasil kerjasama PLUS – lokasi di R&R Pagoh Arah Selatan

    Bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuhraya kendaliannya, sekali lagi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuka Stesen JPJ. Ini merupakan stesen penguatkuasaan JPJ yang ketiga di lebuhraya PLUS, dengan yang terbaharu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh (Arah Selatan) di KM135.5 di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Stesen JPJ pertama yang seumpama ini telah dibuka di R&R Dengkil (Arah Selatan) di Lebuhraya ELITE pada Februari 2018, manakala stesen kedua di R&R Gunung Semanggol (Arah Selatan) pada Januari 2019.

    Perasmian stesen ketiga ini tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Sri Shaharuddin Khalid dan disaksikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, Pengarah Wilayah Selatan Lembaga Lebuhraya Malaysia, Mohd Shahrir Amin Ahmad serta pegawai-pegawai kanan JPJ.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “PLUS sentiasa mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua lebuh raya kendalian kami agar pelanggan dapat terus menikmati perkhidmatan lebuh raya yang selamat dan selesa.

    “Pada masa sama, kehadiran anggota JPJ yang mengadakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya kami amat penting terutamanya dalam menangani isu-isu berkenaan kenderaan berat seperti penggunaan tayar celup yang tidak berkualiti, membawa muatan berlebihan dan lain-lain adalah amat kritikal.”

    Sejak tahun 2017, JPJ serta agensi penguatkuasa yang lain telah melaksanakan lebih kurang 155 Ops Halangan bagi menangani isu halangan di lebuhraya dan membantu para pengguna menikmati perjalanan yang selamat.

    Malah menurut Azman lagi, pihaknya akan terus bersama-sama JPJ untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pengguna lebuhraya melalui pelbagai inisiatif termasuklah penguatkuasaan, pemantauan, advokasi keselamatan malahan bantuan kecemasan.

     
     
  • Toyota Hilux kenderaan paling laris di Australia 4 tahun berturut-turut, Ford Ranger di tempat kedua

    Toyota Hilux kenderaan paling laris di Australia 4 tahun berturut-turut, Ford Ranger di tempat kedua

    Kita di Malaysia saban tahun carta jualan kereta terlaris pastinya milik jenama paling mampu milik iaitu Perodua. Lain pula halnya di Australia – orang kata di sana mereka sukakan kenderaan jenis pikap atau lebih popular dengan terma Ute, dan ia bukan sekadar cakap-cakap kerana Toyota Hilux telah menjadi kenderaan paling laris di negara itu, empat tahun berturut-turut!

    Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Dewan Persekutuan Industri Automotif (FCAI) Australia, Toyota telah berjaya menjual sebanyak 47,649 unit sepanjang 2019. Tempat kedua? Masih lagi dengan trak pikap iaitu Ford Ranger dengan jualan sebanyak 40,960 unit.

    Toyota Hilux kenderaan paling laris di Australia 4 tahun berturut-turut, Ford Ranger di tempat kedua

    Tempat ketiga barulah dihuni oleh model kereta iaitu Toyota Corolla dengan jualan 30,468 unit. Walau bagaimanapun, jualan keseluruhan kereta di Australia sebenarnya mengalami penyusutan sepanjang tahun lalu dengan penurunan selama 21 minggu berturut-turut di mana jualan Hilux susut 7.8 %, Ranger susut 2.8% dan Corolla susut 13.7%. Secara keseluruhan, jualan kereta di Austrlia menyusut 7.8% tahun lalu berbanding 2018.

    Namun untuk dua lagi model yang menghuni senarai 5 kenderaan paling laris di Australia telah mencatatkan peningkatan jualan tahun lalu. Tempat keempat adalah milik Hyundai i30 dengan jualan 28,378 unit dengan kenaikan 0.7%, manakala tempat kelima adalah milik satu lagi trak pikap iaitu Mitsubishi Triton dengan jualan 25,819 unit, naik 3.7%

     
     
  • DS Automobiles M’sia mula ‘usik’ DS3 Crossback

    Jarang-jarang kita dengar cerita tentang DS Automobiles Malaysia. Terakhir, pada Jun tahun lalu ketika jenama itu memperkenalkan model SUV DS7 Crossback. Dan terbaru, nampaknya seperti akan ada satu lagi model yang bakal dilancarkan secara rasmi. Melalui laman Facebook rasminya, model DS3 Crossback sudah mula beri suluh – adakah ini model seterusnya yang akan tiba?

    Nampak gayanya, begitulah. Baris ayat yang mengiringi hantara FB itu berbunyai begini; “Ambil langkah meyakinkan ke hadapan. Gayakan semula pesona pemanduan anda dan tampilkan imej yang menonjol di jalanraya. Perhatikan ruang ini. Tahun baru akan tida dengan kelajuan penuh.”

    Ditunjukkan pada September 2018, DS3 Crossback merupakan crossover kompak seperti Audi Q2. Dengan penggayaan funky pada DS, dan merupakan model paling kecilnya (4,118 mm panjang, 1,791 mm lebar, 2,558 mm jarak antara roda), ia tampil dengan rekaan sangat berbeza. Antara kelainan termasuk antena “shark fin” pada pintu belakang, meminjam semula sentuhan yang pernah ada pada model lama Citroen DS3.

    DS Automobiles M’sia mula ‘usik’ DS3 Crossback

    Di Eropah, DS3 Crossback hadir dengan enjin petrol dan diesel serta versi elektrik E-Tense terbaru. Enjin petrol 1.2L PureTech tiga-silinder datang dalam beberapa versi, dengan janaan 100 PS, 130 PS dan 155 PS. Sementara enjin diesel 1.5L BlueHDi pula dengan pilihan output 130 PS dan 100 PS. Pilihan transmisi pula antara automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan – AWD juga ditawarkan.

    E-Tense pula terdiri daripada motor elektrik 136 PS/260 Nm dengan bateri 50 kW lithium-ion di bawah lantai badan kenderaan. Cas penuh dicapai dalam masa lima jam melalui unit 11-kW AC wallbox (Type 2) khusus. Di stesen mengecas awam dengan 100 kW DC fast charger, ia hanya memerlukan 30 minit untuk bateri dicas ke tahap 80%.

    Jarak perjalanan dengan kuasa elektrik kereta ini adalah lebih daripada 300 km dengan kitaran WLTP, atau 450 km mengikut protokol NEDC. Dari sudut prestasi, DS3 Crossback mampu melakukan 0-50 km/j dalam masa 3.3 saat dan 0-100 km/j dalam 8.7 saat.

     
     
  • Anthony Loke cuba sendiri perkhidmatan Dego Ride

    Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke memuatnaik video menerusi laman Facebook rasminya mengenai pengalaman beliau menguji sendiri perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride. Sebenarnya ia adalah pemeriksaan mengejut bagi memastikan perkhidmatan tersebut mengikut peraturan dan selamat.

    Perkhidmatan Dego Ride diberikan kelulusan oleh kerajaan untuk beroperasi sejak 1 Januari 2020 selepas ia pernah ‘diharamkan’ oleh kerajaan terdahulu.

    Menurut Loke, beliau menunggu selama 15 minit selepas membuat tempahan melalui aplikasi perkhidmatan tersebut untuk ke stesen LRT Pasar Seni dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPK) bagi membuat tinjauan kemudahan Jambatan Pejalan Kaki Pasar Seni.

    Berkongsi pengalaman beliau menaiki motosikal itu selama 10 minit, Loke mendapati penunggang Dego Ride mengikut peraturan ditetapkan dengan menyediakan topi keledar untuk pembonceng dan menunggang pada kelajuan sederhana serta berhenti di lampu isyarat.

    “Walaupun menunggu selama 15 minit selepas membuat tempahan melalui aplikasi kerana mungkin ia masih baharu, tetapi penunggang nampaknya mengikut peraturan ditetapkan sepanjang dua kilometer perjalanan ke sini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Anthony Loke cuba sendiri perkhidmatan Dego Ride

    Tambahnya lagi, pemeriksaan mengejut yang dilakukannya itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikat pengendali perkhidmatan itu mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

    Beliau turut menjelaskan, kementerian akan memantau projek perintis perkhidmatan itu selama enam bulan sebelum sebarang kerangka undang-undang dibuat termasuk keperluan memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi pemilik motosikal perkhidmatan itu.

    “Namun kita menetapkan syarikat yang menjalankan perkhidmatan ini supaya menyediakan perlindungan insurans kepada pembonceng dan penunggang mereka,” katanya.

    Perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride yang dianggarkan mempunyai kira-kira 500 penunggang di Lembah Klang, boleh diakses dengan memuat turun aplikasi perkhidmatan itu di telefon pintar. Syarikat e-hailing Grab juga dijangka memperkenalkan perkhidmatan motosikal itu dengan Gojek, syarikat yang memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di Indonesia.

    “Bagi Gojek, setakat ini mereka masih belum membuka syarikat di sini, maka mereka masih belum dibenar menjalankan perkhidmatan teksi motosikal itu,” katanya.

     
     
  • TAS2020: Pakej tiket dengan replika Nissan GT-R R35 GT500 edisi terhad sempena ulangtahun ke-50 Tomica

    TAS2020: Pakej tiket dengan replika Nissan GT-R R35 GT500 edisi terhad sempena ulangtahun ke-50 Tomica

    Saban tahun tiap kali berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS), pembuat kereta replika tiga-inci dari Jepun, Tomica sememangnya akan hadir dengan model edisi terhad istimewa TAS. Tapi khas untuk tahun ini, pengunjung terawal yang menempah tiket mereka ke TAS 2020 berpeluang untuk mendapatkan terus model edisi khas berkenaan tanpa perlu beratur untuk membelinya pada hari pertama nanti!

    Ini adalah bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-50 Tomica tahun ini, dan model yang dipilih bagi dijadikan versi edisi terhad TAS 2020 berkenaan adalah jentera lumba Super GT Nissan GT-R R35 Nismo GT500. Ia diberikan logo 50-tahun Tomica pada sisi kanan dan logo TAS pada sebelah kiri, manakala ‘2020’ pula dicetak pada GT-Wing belakang.

    TAS 2020 akan bermula pada 10 Januari ini, berlangsung selama tiga hari sehingga 12 Januari nanti. Tiket berserta Tomica GT-R berkenaan akan dijual pada harga 4,000 yen (RM151) jika anda datang untuk hari pertama, 3,000 yen (RM113) untuk hari kedua dan ketiga.

    Anda juga boleh memilih untuk membeli tiket tanpa pakej bersama Tomica ini dengan harga 3,000 yen untuk hari pertama dan 2,000 yen (RM76) untuk Sabtu dan Ahad.

     
     
  • Mitsubishi tawar promosi CNY 2020 – kadar faedah Triton dari 0.88%, rebat bagi ASX hingga RM12k

    Mitsubishi tawar promosi CNY 2020 – kadar faedah Triton dari 0.88%, rebat bagi ASX hingga RM12k

    Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) 2020 ini, Mitsubishi Motors Malaysia menawarkan promosi khas yang berlangsung sekarang hingga akhir Januari ini. Bagi varian trak pikap Triton yang terpilih bakal menikmati kadar faedah bermula 0.88%, eksklusif untuk perjanjian sewa beli dengan Maybank dan Public Bank, atau rebat tunai.

    Untuk model tertinggi Triton Adventure X (RM137,900) dan Triton VGT AT Premium (RM121,000) layak untuk mendapat kadar faedah sebanyak 0.88% atau rebat tunai RM6,000. Sementara bagi Triton VGT MT Premium (RM112,500) pula ditawarkan kadar faedah 0.88% atau rebat tunai sebanyak RM9,000.

    Promosi ini turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM2,000 untuk model edisi terhad Triton Knight (RM137,900), rebat tunai RM8,000 bagi Triton VGT AT (RM105,990) dan rebat tunai RM6,000 untuk Triton VGT MT (RM100,200). Manakala Triton Quest 4X2 (RM79,890) pula ditawarkan rebat tunai sebanyak RM4,000.

    Mitsubishi tawar promosi CNY 2020 – kadar faedah Triton dari 0.88%, rebat bagi ASX hingga RM12k

    Kesemua varian Triton dilindungi waranti selama lima-tahun atau 200,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) kecuali Triton Quest 4X2 yang hadir dengan waranti lima tahun/100,000 km.

    Sementara itu, pelanggan yang menempah dan mendaftar Outlander baharu dalam tempoh promosi juga berpeluang menikmati rebat tunai dan pakej servis percuma; ini termasuk rebat tunai sebanyak RM4,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk Outlander 2.0 (RM137,888) dan rebat tunai sebanyak RM2,000 dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk Outlander 2.4 liter (RM152,888).

    Namun tawaran yang paling hebat untuk promosi kali ini melibatkan SUV kompak ASX. Di mana varian 4WD (RM133,336) ditawarkan dengan rebat tunai sebanyak RM12,000, sementara varian 2WD (RM118,866) pula dengan rebat tunai RM8,000. Mitsubishi Outlander dan ASX dilindungi waranti selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had; kesemuanya harga atas jalan tanpa insurans, termasuk SST sebanyak 10%.

     
     
  • Bosch tunjuk penghadang matahari canggih di CES

    Bosch tunjuk penghadang matahari canggih di CES

    Pameran Consumer Electronics Show (CES) 2020 yang sedang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat turut menarik penyertaan syarikat teknologi yang terlibat dalam dunia automotif seperti Bosch. Syarikat dari Jerman ini telah menunjukkan bahagian dalam kereta baru, iaitu penghadang matahari canggih yang dipanggil sebagai Virtual Visor.

    Ia masih lagi turun dari atas seperti penghadang matahari untuk pemandu dan penumpang kenderaan yang berada di hadapan, tetapi menggunakan panel LCD lutsinar dan sistem Artificial Intelligence (A.I) untuk mengelakkan pengguna daripada silau akibat cahaya matahari.

    Sistem A.I pada penghadang ini boleh mengesan kedudukan mata pengguna, dan seterusnya menggelapkan sebahagian kecil panel LCD tersebut untuk menghalang cahaya matahari daripada menyinar terus kepada mata. Bahagian lain panel LCD yang tidak digelapkan masih membolehkan pengguna melihat keadaan di hadapan kenderaan.

    Bosch tunjuk penghadang matahari canggih di CES

    Bagi kebanyakan pemandu di seluruh dunia, komponen penghadang yang kita kenal tidak cukup untuk menghalang cahaya silau yang merbahaya – terutamanya waktu matahari baru terbit dan hendak terbenam,” kata presiden Bosch Car Multimedia, Dr. Steffen Berns.

    “Virtual Visor dibangunkan oleh pasukan Bosch di Amerika Utara sebagai sebahagian daripada aktiviti inovasi dalam syarikat. Sebagai pembekal teknologi global, kami faham inovasi boleh datang daripada siapa sahaja dalam syarikat, dan kami mahu ia terus berkembang,” kata presiden Bosch North America, Mike Mansuetti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025