Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Hilux GR Sport buat penampilan di Brazil

    Toyota Hilux GR Sport buat penampilan di Brazil

    Jika di Amerika Utara masih lagi yakin dengan nama Toyota Racing Development (TRD) sebagai versi lebih sporty untuk model produksi Toyota, di Brazil nampaknya gergasi automotif Asia tersebut kini bakal memperkuatkan jenama Gazoo Racing (GR) seperti di Jepun dan Eropah. Di Malaysia dan Thailand sudah biasa dengan Hilux lebih garang dengan nama TRD Sportivo, manakala di Brazil, Hilux kini diperkenalkan dalam versi GR menampilkan rupa yang lebih agresif.

    Trak pikap Toyota Hilux GR Sport yang diasaskan dari varian tertinggi SRX ini didedahkan di Sao Paulo International Motor Show 2018, dan ia dihasilkan di Zárate, Argentina. Model ini diberikan penyerap hentak jenis monotube dan juga spring yang lebih keras di hadapan, didakwa Toyota dapat menala semula suspensi tersebut bagi meningkatkan kawalan kenderaan dan meningkatkan keyakinan pemandu tanpa berkompromi dengan keselesaan dan juga kapasiti beban.

    Manakala untuk rupa, bahagian luaran Hilux GR ini menerima gril hadapan dengan elemen sarang lebah bersama tulisan “Toyota”. Serlahan merah diberikan pada kemasan lampu kabus hadapan, manakala bonet hadapan, bumbung, fender flare dan pemijak sisi diwarnakan hitam. Lencana GR ditelakkan pada pintu hadapan dan tailgate, dan bagi melengkapkan rupanya, livery merah-hitam Gazoo Racing diberikan pada badan bersama rim dua-tona 17-inci dibaluti tayar jenis all-terrain.

    Masuk ke kabin pula, trak pikap ini turut menerima pelbagai aksesori dengan logo GR termasuk suis penghidup enjin, karpet kaki dan juga sulaman pada perehat kepala. Panel instrumen diberikan pencahayaan berwarna putih, manakala untuk mengingkatkan nilai eksklusifnya, plak GR dengan nombor siri unik diletakkan dibelakang tuil penukar gear.

    Walau bagaimanapun, tiada perubahan kuasa ditampilkan pada Hilux Gazoo Racing ini. Ia masih dijana enjin asal 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 450 Nm. Kuasa dialirkan ke kotak gear enam-kelajuan automatik, dan ia masih dibekalkan dengan sistem pacuan empat roda yang sama.

     
     
  • Geely beli litar lumba Utah Motorsport Campus

    Geely beli litar lumba Utah Motorsport Campus

    Jenama automotif dari China, Geely telah membeli sebuah litar di Amerika Syarikat iaitu Utah Motorsport Campus, atau dikenali sebagai Miller Motorsport Park sebelum ini, lapor Road & Track.

    Litar berkenaan telah dibangunkan usahawan tempatan, mendiang Larry Miller pada tahun 2006 dan terletak di pinggir Bandar Salt Lake. Namun, keluarga Miller enggan menyambung kontrak 10-tahun dengan daerah Toole yang telah tamat pada tahun 2015. Mitime, sebuah anak syarikat Geely berusaha untuk membeli hartanah berkenaan bagi menggunakan litar berkenaan sebagai litar ujian dan terus menjalankan acara-acara sukan permotoran.

    Selepas kontrak dari keluarga Miller tamat, daerah Toole hanya menawarkan sewaan jangka pendek kepada Mitime dan di bawah pengurusan baharu litar tersebut dinamakan semula sebagai Utah Motorsport Campus (UMC). Namun, setelah menunjukkan kebolehan mereka untuk mengendalikan operasi litar berkenaan, daerah Toole menawarkan penjualan sepenuhnya UMC kepada syarikat induk Metime iaitu Geely.

    Geely beli litar lumba Utah Motorsport Campus

    “Kami teruja kerana akhirnya menyempurnakan perjanjian ini untuk membeli Utah Motorsport Campus,” kata naib presiden Mitime William Lee. “Fasiliti ini adalah sempurna untuk kami dan syarikat-syarikat lain kami, dan kami memandang kehadapan bagi membuatkan ia lebih besar dan lebih baik pada masa akan datang. Kami menghargai usaha daerah Toole bagi membolehkan ia berhasil, dan kami merendah diri dengan sokongan yang kami terima dari masyarakat Utah sejak kami mula beroperasi di fasiliti ini,” tambah Lee lagi.

    Dengan kawalan penuh terhadap hartanah seluas 511-ekar tersebut, Geely menyatakan bahawa mereka akan menghormati kontrak sedia ada, perjanjian yang telah dipersetujui, dan pajakan penyewa, namun turut menyebut perubahan mungkin akan dibuat pada 2019.

    Sehingga kini, UMC telah mengadakan pelbagai acara berprestij termasuk salah satu pusingan untuk siri Pirelli World Challenge 2019 dan juga Nitro Rallycross Travis Pastrana. Namun litar berkenaan masih lagi tidak mempunyai pengaruh sehebat pesaingnya yang lain sejak kematian Larry Miller pada 2009. CEO UMC, Willem Geyer berharap agar pengaruh Geely akan mengangkat semula status litar berkenaan selepas ini.

    “Kami sangat teruja dengan masa depan UMC, dan kami mempunyai rancangan yang signifikant untuk fasiliti ini. Kami sedang mengkaji daya maju bagi menambah pelbagai litar lumba, tempat-tempat hiburan dan infrastruktur sokongan yang bukan sahaja akan mengukuhkan kami sebagai salah satu fasiliti hiburan di Utah, malah turut memastikan UMC akan menjadi usaha yang menguntungkan untuk kali pertama dalam sejarah,” kata Geyer.

    Di bawah Geely bukan hanya ada Volvo dan usahasama bersama jenama automotif Malaysia, Proton. Malah Geely turut mempunyai entiti yang serius terhadap prestasi tinggi seperti Lotus, Polestar dan jenama mewahnya Lynk & Co bersama Cyan Racing juga akan berlumba dalam FIA World Touring Car Cup 2019 dengan sedan 03 TCR.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia umum rebat tunai akhir tahun untuk Triton, Outlander dan ASX, hingga RM8k

    Mitsubishi Motors Malaysia umum rebat tunai akhir tahun untuk Triton, Outlander dan ASX, hingga RM8k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan tawaran rebat tunai akhir tahun untuk barisan model Mitsubishi di negara ini, dengan rebat antara RM5,000 hingga RM8,000.

    Sehingga akhir Disember ini, sesiapa yang menempah dan mendaftar sama ada Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD (harga pada RM137,888) atau 2.4L 4WD (RM152,888) berpeluang menikmati rebat sehingga potongan RM8,000 dari harga runcit. Stok bagi Outlander 2.4L AWD adalah terhad, jadi anda kena pantas untuk mendapatkannya, jika mahu.

    Bagi barisan Triton, ia ditawarkan rebat sebanyak RM5,000 untuk Triton Quest (RM78,890) dan varian MT (RM95,610), sementara bagi VGT MT (RM109,600), VGT AT GL (RM105,990), VGT AT Premium (RM118,560), VGT Adventure X (RM129,270) dan Athlete (RM129,650) pula bakal menikmati rebat RM8,000.

    Akhir sekali, Mitsubishi ASX 2WD (RM118,866) dan ASX 4WD (RM133,336) juga ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM8,000. Sebagai tambahan, MMM turut mengumumkan pelanggan yang menghantar kereta Mitsubishi mereka untuk diselenggara dari 1 hingga 30 November akan menerima diskaun sebanyak 20% untuk alat ganti terpilih, aditif pada harga yang menarik dan pemegang telefon percuma bagi setiap penyelenggaraan.

     
     
  • Hanya rakyat Malaysia yang layak dapat langganan pas perjalanan tanpa had 30 hari – Anthony Loke

    Hanya rakyat Malaysia yang layak dapat langganan pas perjalanan tanpa had 30 hari – Anthony Loke

    Salah satu isu yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu ialah pemberian pas bulanan RM100 dengan penggunaan tanpa had akan diperkenalkan kepada orang ramai yang menggunakan perkhdmatan tren dan bas selenggaraan RapidKL bermula 1 Januari 2019 ini. Selain itu, pas bulanan RM50 turut akan ditawarkan bagi penggunaan perkhidmatan bas RapidKL, juga tanpa had.

    Walau bagaimana pun, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia boleh dibuat menerusi kad MyKad, MyTentera dan MyKid, dalam erti kata lain, hanya rakyat Malaysia sahaja yang layak menerima faedah ini. Katanya, pas perjalanan dijangka boleh mula dilanggan pada 1 Disember ini dan digunakan bermula 1 Januari 2019, laporan Bernama.

    “Langganan pas ini boleh dibuat di semua kaunter di stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) dan empat hab bas iaitu Hab Bandar Shah Alam, Greenwood (Gombak), Sri Nilam (Ampang) dan Terminal Kajang. Pas perjalanan ada untuk tempoh 30 hari dan ia bukan pas bulanan. Tempoh 30 hari adalah bermula daripada tarikh penggunaan pertama,” katanya.

    Loke berkata, penggunaan pas perjalanan itu membabitkan enam mod pengangkutan iaitu MRT, LRT, monorel, bas Rapid KL, Bas Rapid Transit (BRT) dan bas pengantara MRT.

     
     
  • Diskaun 50% saman trafik pada 7-9 Nov di JSPT KL

    Diskaun 50% saman trafik pada 7-9 Nov di JSPT KL

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan pemberian diskaun sehingga 50% bagi saman trafik pada 7 hingga 9 November ini di Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Ia adalah sempenah Hari Bersama Pelanggan JSPT KL yang berlokasi di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.

    Walau bagaimana pun, diskaun berkenaan tidak dikira untuk jenis Saman Kemalangan Tahun Semasa, Saman Berstatus NC, Saman Berstatus Waran Tahun Semasa, Saman Dalam Perbicaraan dan Saman Berkaitan Lori.

    Selain itu, pemberian diskaun saman ini juga bakal dilaksanakan di TMpoint Bukit Raja, Jalan Meru, Klang pada tarikh dan masa yang sama.

    JSPT turut menyarankan agar orang ramai membuat semakan terlebih dahulu di mana-mana Balai Polis Trafik atau menerusi dalam talian dan sebagainya tentang butiran saman yang boleh mendapat diskaun seperti yang termaktub.

    Jadi, bagi anda yang mempunyai saman tertunggak, inilah masanya untuk menyelesaikannya. Jangan sampai kena waran tangkap ya!

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Yaris CKD bakal ke pasaran M’sia?

    SPYSHOT: Toyota Yaris CKD bakal ke pasaran M’sia?

    Minggu lalu, dalam perjalanan ke acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) di Pusat Konvensyen Setia City, jurugambar kami Sherman Sim terserempak dengan sebuah lori yang membawa sebuah hatchback bertutup sepenuhnya. Nak dijadikan cerita, kain penutup pada kereta tersebut terselak oleh angin dan apa yang menarik, ia adalah hatchback segmen-B Toyota Yaris yang tidak dijual pada pasaran tempatan.

    Buat masa sekarang, Yaris dijual pada pasaran Thailand dan Indonesia, manakala model diatas lori tersebut adalah dari versi facelift yang dilancarkan di Thailand pada September 2017. Di Thailand, Yaris bersama model sedannya iaitu Yaris Ativ merupakan model yang dijual di bawah undang-undang kereta Eko Thailand yang memerlukan ia dijana enjin dengan kapasiti maksima 1.2 liter.

    Manakala untuk pasaran Indonesia, Yaris dilancarkan pada Februari lalu dengan enjin 1.5 liter 2NR sama dengan Perodua Myvi. Yaris diletakkan lebih tinggi dari Daihatsu Ayla dan Toyota Agya yang menerima enjin 1.2 liter yang bersaing dalam pasaran Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia.

    Berbalik dengan unit yang ditemui oleh Sherman tadi, ia diberikan kit badan yang berwarna merah, sedangkan warna keseluruhan badannya adalah Citrus Mica Metallic. Ini mungkin kit badan Yaris TRD Sportivo, namun ia kelihatan tidak sama dengan versi pasaran Indonesia (Thailand tidak menerima versi berkenaan). Tetapi, rim yang dilengkapkan pada Yaris tersebut adalah rim 16-inci yang sama dengan Yaris TRD Sportivo Indonesia.

    Untuk rekod, UMW Toyota pernah memasarkan Yaris di Malaysia iaitu model pre-facelift generasi sebelum ini pada tahun 2014. Namun dengan harga jualan melebihi RM100k untuk sebuah hatchback segmen-B, agak sukar untuk kita melihat Yaris tersebut merayap di atas jalan raya Malaysia.

    Yaris yang ditemui ini berkemungkinan besar menuju ke kilang baharu Toyota yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang. Sekiranya model ini dapat dipasang di kilang berkenaan, sudah tentu hatchback lima pintu ini dapat dijual dengan harga lebih kompetitif seperti apa yang Honda lakukan terhadap hatchback segmen-B mereka, Jazz.

    SPYSHOT: Toyota Yaris CKD bakal ke pasaran M’sia?

    Pada Mei 2016, UWW Toyota mengesahkan mereka sedang membina kilang di Bukit Raja dengan keluasan 670,000 meter persegi berkenaan yang berupaya untuk memproduksi 50,000 unit kenderaan setahun untuk peringkat permulaan. Fasiliti terbaharu itu akan menghasilkan kereta-kereta penumpang termasuk model-model EEV, manakala kilang Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) sedia ada di Shah Alam ditugaskan untuk memproduksi kenderaan komersial.

    Menurut Toyota, mereka menjangkakan produksi di Bukit Raja akan bermula pada awal 2019, ketika itu tiada lagi kereta penumpang akan dihasilkan di ASSB. Jadi adakah ini satu lagi petanda bahawa Yaris akan dihasilkan secara CKD di sini? Sekiranya model ini benar-benar ditawarkan sebagai model CKD Malaysia kelak, adakah ia bakal memberikan saingan sengit terhadap Honda Jazz?

     
     
  • Proton jual 5,093 unit kereta pada Oktober, naik 12.6%

    Proton jual 5,093 unit kereta pada Oktober, naik 12.6%

    Selepas angka jualannya dilihat menurun pada September, Proton mengumumkan prestasi mereka mula naik semula pada Oktober. Jenama automotif nasional berkenaan berjaya menjual sebanyak 5,093 unit kenderaan bulan lalu, atau peningkatan 12.6% (569 unit) berbanding bulan sebelumnya. Pegangan pasaran bagi peratusan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 10.7%, seiring dengan purata angka untuk tahun ini.

    Menurut Proton, peningkatan ini adalah didorong oleh polisi harga menarik yang ditawarkan. Pembeli dapat menikmati harga tanpa SST di mana mereka telah menyerap cukai tersebut untuk semua modelnya – bermakna tiada perubahan harga walaupun tempoh GST berkadar sifar telah berakhir dan penguatkuasaan SST pada bulan September yang lalu.

    “Bagi dua bulan yang terakhir untuk tahun 2018, kami menawarkan rebat sebanyak RM3,000 serta akan merancakkan lagi aktiviti jelajah dan karnival-karnival untuk memastikan kami dapat mendekati lebih ramai pembeli-pembeli di Malaysia,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Proton juga melihat pengenalan terhadap model SUV pertamanya, X70 turut diletakkan dengan harapan pasaran yang sangat tinggi. Oleh itu, Proton mengambil pelbagai langkah demi memastikan SUV baharu tersebut dapat memenuhi keperluan pelanggannya. Sebagai contoh, latihan produk kepada semua kakitangan telah diperhebatkan melalui ujian yang diadakan secara rambang untuk memastikan pengetahuan produk yang tepat. Dari segi teknikal, pelaburan bagi peralatan dan kelengkapan baharu pusat servis yang diiktiraf juga dilakukan dengan tambahan ruang untuk memenuhi sekiranya terdapat lebihan permintaan.

    Proton jual 5,093 unit kereta pada Oktober, naik 12.6%

    “Proton bersyukur atas sokongan tempahan yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia walaupun model Proton X70 tersebut tidak dipamerkan lagi di bilik pameran kami. Ini adalah model yang paling maju dalam rangkaian kami, dilengkapi dengan ciri-ciri baharu yang tidak pernah ada lagi dalam kereta Proton, jadi kejayaan model ini adalah amat penting dalam usaha menaikkan semula jenama kami. Oleh itu, pelaburan besar sedang dilakukan untuk memastikan kami dapat mencapai matlamat kami.”

    “Dengan pembukaan cawangan 3S/4S, latihan untuk kakitangan, pembinaan kilang baharu di Tanjung Malim serta kerjasama antara pembekal tempatan dan antarabangsa, kami memastikan persediaan awal yang sempurna. Malangnya, persediaan terperinci ini mengambil masa yang lama, jadi kami meminta pelanggan agar bersabar dan memberi sedikit masa lagi. Penantian kini hampir berakhir,” kata Abdul Rashid.

    Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, Proton X70 dilihat menerima sambutan baik apabila jumlah tempahan diumumkan sudah mencecah angka 10,000 unit. Ini berikutan pembukaan tempahan bermula 8 September lalu di semua wakil pengedar jenama itu dan juga melalui atas talian dari 17 Oktober lalu.

    Daripada 10,000 unit tempahan itu, 2,000 daripadanya dibuat melalui laman web mikro X70, yang memerlukan pelanggan membayar cuma RM99, manakala selebihnya adalah daripada pusat pameran, di mana pelanggan perlu membayar deposit RM1,000.

    Proton X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

    Antara kelengkapan bagi varian paling tinggi adalah termasuk rim 18 inci, lampu utama LED, tempat duduk balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa, bumbung panoramik, skrin sesentuh 8.0 inci dan sistem infotainmen GKUI. Semua varian akan dilengkapi dengan Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara secara standard, tetapi varian Premium 2WD akan mendapat tambahan Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS) dan kawalan lampu tinggi pintar.

     
     
  • Nissan Teana facelift dilancar di Thailand, dari RM169k

    Nissan Teana facelift dilancar di Thailand, dari RM169k

    Nissan Teana facelift baru sahaja dilancarkan di Thailand, dan ini berlaku lima tahun selepas sedan segmen D generasi ketiga ini pertama kali diperkenalkan di sana. Model facelift ini sebenarnya adalah sama dengan Altima yang dijual di Amerika Syarikat, yang telah diperkenalkan tiga tahun lalu.

    Melalui model facelift ini, Teana mendapat muka hadapan yang sama dengan Altima, termasuk gril V-motion serta lampu utama berbentuk seperti boomerang dan lampu siang LED. Walaubagaimanapun, bahagian belakang masih kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi lampu belakangnya dijadikan lebih lebar, bersama bampar yang disegarkan semula. Rimnya kini berukuran 18 inci dan datang dalam warna dua tona.

    Rekaan dalam tidak diubah, tetapi Nissan telah memasang sistem memori pada tempat duduk Teana semua varian kecuali 2.0XE yang paling asas. Enjin juga masih sama, iaitu unit empat silinder NA MR20DE 2.0 liter dengan kuasa 136 PS pada 5,600 rpm dan 190 Nm tork pada 4,400 rpm, serta enjin empat silinder 2.5 liter QR25DE dengan kuasa 173 PS pada 6,000 rpm dan 234 Nm tork pada 4,000 rpm. Kedua-duanya menggunakan transmisi XTronic CVT.

    Untuk aspek keselamatan, Teana varian 2.0XL, 2.0XL Navi dan 2.5XV Navi mempunyai Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring dan Around View Monitor 360 darjah dengan pengesan objek bergerak sebagai tambahan kepada enam beg udara, ABS, EBD, BA dan Stability Control yang merupakan ciri standard.

    Harga untuk Teana facelift ini di Thailand bermula 1,336,000 baht (RM169,200) iaitu untuk varian 2.0XE, diikuti 1,426,000 baht (RM180,600) untuk 2.0XL, 1,476,000 baht (RM186,900) untuk 2.0XL Navi dengan sistem navigasi skrin sesentuh tujuh inci dan 1,674,000 baht (RM212,000) untuk varian 2.5XV Navi paling tinggi.

     
     
  • Citroen Grand C4 SpaceTourer kini di M’sia – RM150k

    Citroen Grand C4 SpaceTourer kini di M’sia – RM150k

    Model baru Citroen Grand C4 SpaceTourer sudah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM149,888 tidak termasuk insurans, dan ia menggantikan model sebelum ini yang cuma dikenali sebagai C4 Picasso. Melalui model baru ini, MPV tujuh tempat duduk tersebut telah diperbaharui pada aspek penggayaan serta kelengkapannya.

    Antara perubahan yang diberi termasuk rekaan bampar hadapan baru siap dengan dua bukaan udara, bahagian atas yang mirip seperti model Berlingo baru serta bahagian bawah yang mempunyai jalur melintang bersambung dengan jalur krom di bahagian hujung (turut menempatkan lampu kabus).

    Lampu siang LED yang nipis masih lagi dikekalkan, dan ia terus bersambung selari dengan logo Citroen yang berada di tengah. Lampu utama model ini terletak di bawah lampu siang, manakala bentuk keseluruhannya turut diubah sedikit. Perubahan bahagian luar kebanyakannya adalah di depan, dan ia didatangkan dengan rim aloi 17 inci ‘Boa’.

    Bahagian dalam Grand C4 SpaceTourer ini masih kelihatan sama, termasuklah unit instrumen digital 12 inci yang terletak paling atas di bahagian tengah papan pemuka, dan di bawahnya terdapat sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh inci yang telah dipertingkat dengan sokongan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink.

    Kemudahan lain yang disediakan termasuk sistem pandangan menyeluruh 360 darjah, kamera undur, pengawal pendingin hawa dua zon di hadapan, corong pendingin hawa di belakang (terletak di tiang tengah), pengawal pendingin hawa belakang di bumbung serta pintu bahagian barangan belakang yang boleh dibuka secara elektrik (tanpa pegang).

    Pada aspek keselamatan, model ini dinaik taraf dengan Active Safety Brake yang boleh berfungsi sehingga kelajuan 30 km/j untuk mengelakkan perlanggaran, Speed Limit Recognition dan Driver Attention Alert. Kelengkapan lain masih lagi sama sepeti enam beg udara, Traction Control, ABS, EBD, BA, Hill Start Assist dan tiga cagak ISOFIX di baris kedua.

    Citroen Grand C4 SpaceTourer kini di M’sia – RM150k

    Kuasa penggerak MPV ini datang daripada enjin petrol 1.6 liter THP Turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 167 PS dan 240 Nm, disampaikan ke roda hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan. Penggunaan bahan api yang dicatat adalah 5.8 liter bagi setiap 100 km.

    Empat warna luar untuk Grand C4 SpaceTourer ini ditawarkan di Malaysia iaitu Ruby Red, Lazuli Blue, Onyx Black, dan Polar White, dan setiap pembelian diberikan dengan jaminan lima tahun atau 120,000 km, servis percuma tiga tahun, bantuan tepi jalan 24 jam serta akses untuk Sky Lounge di Subang Skypark.

     
     
  • Chevrolet Camaro eCopo – jentera lumba drag dengan kuasa elektrik sepenuhnya, 800 volt, 700 hp/813 Nm!

    Chevrolet Camaro eCopo – jentera lumba drag dengan kuasa elektrik sepenuhnya, 800 volt, 700 hp/813 Nm!

    The eCOPO Camaro Concept offers an electrified vision of drag racing, with an electric motor and GM’s first 800-volt battery pack replacing the gas engine, enabling 9-second quarter-mile times.

    Jentera perlumbaan drag Amerika sering dikaitkan dengan enjin petrol V8 dengan kapasiti gergasi bagi memnghasilkan kuasa kuda dan tork yang tinggi, serta identiti bunyi enjin V8 yang begitu kuat. Namun jentera drag yang didedahkan oleh Chevrolet ini agak bertentangan dengan konsep berkenaan kerana jentera ikonik Camaro yang digelar eCopo ini dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Kereta ini diasaskan dari jentera drag yang direka khas bagi bersaing pada perlumbaan seliaan NHRA iaitu Chevrolet Camaro Copo 2019, dan penghasilan model konsep untuk versi elektrik ini adalah untuk mendemonstrasikan visi perlumbaan drag berkuasa elektrik.

    Kereta ini dibina oleh General Motors dengan kerjasama pasukan perintis drag elektrik Hancock dan Lane Racing. Menggunakan badan dan sistem mekanikal hampir sepenuhnya dari Camaro Copo, eCopo ini dijana oleh dua buah motor elektrik BorgWarner HVH 250-150 berkuasa 700 hp dan tork maksima 813 Nm. Motor berkenaan menerima bekalan kuasa dari empat bateri berkuasa 200 volt yang setiap satunya dengan berat 79 kg.

    Chevrolet Camaro eCopo – jentera lumba drag dengan kuasa elektrik sepenuhnya, 800 volt, 700 hp/813 Nm!

    The eCOPO Camaro Concept offers an electrified vision of drag racing, with an electric motor and GM’s first 800-volt battery pack replacing the gas engine, enabling 9-second quarter-mile times.

    Bateri dengan kuasa keseluruhan 800 volt tersebut menawarkan aliran kuasa yang cepat ke motor elektrik dan ia turut boleh dicas secara cepat, membolehkan bateri dicas semula selepas setiap pusingan kalah-mati. Ia diletakkan pada bahagian belakang bagi membolehkan 56 peratus berat kereta ini tertumpu pada bahagian belakang dan menambahbaik aspek cengkaman tayar. Rollcage eCopo ini juga turut disambung pada bahagian bateri berkenaan bagi meningkatkan aspek keselamatan.

    Kuasa dari enjin dihantar sepenuhnya ke gandar belakang yang juga diambil terus dari Camaro Copo menerusi kotak gear perlumbaan automatik “Turbo 400”. Menurut Chevrolet, kereta ini masih lagi diuji dan dijangka ia mampu memecut dalam jarak suku batu (400 meter) hanya dalam masa sembilan saat.

    “800 volt adalah dua kali ganda voltaj yang dihasilkan oleh pek bateri produksi pada Chevrolet Volt dan Bolt EV, jadi eCopo didesak untuk memasuki wilayah teknologi baharu. Serentak dengan GM yang meluaskan lagi teraju teknologi elektrik, langkah yang besar mungkin hadir dari litar drag,” kata Russ O’Blenes, pengarah, Varian Prestasi, Komponen dan Sukan Permotoran di General Motors.

    Chevrolet Camaro eCopo – jentera lumba drag dengan kuasa elektrik sepenuhnya, 800 volt, 700 hp/813 Nm!

    The eCOPO Camaro Concept offers an electrified vision of drag racing, with an electric motor and GM’s first 800-volt battery pack replacing the gas engine, enabling 9-second quarter-mile times.

    Chevrolet menjelaskan bahawa sistem janakuasa elektrik pada eCopo ini berpotensi untuk diperkenalkan sebagai ‘crate engine’- membolehkan pelanggan membeli dan membina sendiri jentera drag Camaro berkuasa elektrik tersebut. Ini kerana motor elektrik berkenaan boleh menggantikan enjin petrol asal Camaro dengan mudah kerana kedudukan serta bentuk bellhousing pada kotak gear yang sama sepenuhnya, manakala sistem transmisi hingga ke gandar belakang sememangnya sama dengan versi petrol.

    “Kemungkinannya agak menarik dan ia mungkin dunia baru untuk pelumba. Chevrolet mempelopori konsep crate engine berkuasa tinggi semasa model Copo Camaro pertama dihasilkan, dan projek eCopo menuju ke masa depan yang mungkin termasuk motor elektrik untuk perlumbaan, atau mungkin jentera jalanan anda. Kami belum lagi sampai ke peringkat itu, tetapi ia adalah sesuatu yang kami sedang teroka,” jelas O’Blenes.

     
     
  • Kawasaki H2 SX, Ninja 400 dan Z900RS Cafe Racer dipamer di Sepang, ada harga untuk pasaran Malaysia

    Kawasaki H2 SX, Ninja 400 dan Z900RS Cafe Racer dipamer di Sepang, ada harga untuk pasaran Malaysia

    Semasa hujung minggu perlumbaan MotoGP di Litar Sepang minggu lalu, kami sempat singgah di kawasan pameran Kawasaki Malaysia dan mendapati terdapat beberapa model baru yang kini sudah mempunyai harga untuk pasaran Malaysia.

    Berada paling depan di kawasan pameran itu adalah model dengan penampilan klasik iaitu Z900RS, yang sebelum ini telah pun dilancarkan pada bulan Februari lalu. Walaubagaimanapun, terletak di antara model biasa dan SE Z900RS itu terdapat sebuah lagi versi berwarna hijau iaitu Z900RS Cafe Racer.

    Harga yang terpampang berhampiran motosikal itu adalah RM72,372 tidak termasuk insurans, sekaligus menjadikan ia sekitar RM3,000 lebih mahal berbanding model Standard yang kini dijual pada harga RM69,319. Asas dua motosikal ini adalah sama tetapi seperti yang boleh dilihat versi Cafe Racer mempunyai fairing di hadapan, tempat duduk yang lebih berlekuk dan pemegang yang lebih rendah.

    Kawasaki H2 SX, Ninja 400 dan Z900RS Cafe Racer dipamer di Sepang, ada harga untuk pasaran Malaysia

    Masuk di tengah kawasan pameran, satu lagi model yang tidak dilancarkan secara rasmi lagi di Malaysia adalah H2 SX. Ini adalah versi touring bagi motosikal supercharge 998 cc Kawasaki tersebut dan harga yang diletakkan untuk pasaran Malaysia adalah RM136,900.

    Walaupun motosikal berkenaan masih menggunakan enjin supercharge empat silinder 998 cc sama seperti H2 sebelum ini, ia dijadikan lebih “lembut” dengan penggunaan unit supercharger yang baru, dan kuasa kini menjadi 200 PS pada 11,000 rpm dan 137.3 Nm tork pada 9,500 rpm. Sebagai perbandingan dengan H2, enjin pada H2 SX adalah kurang 5 PS tetapi torknya lebih 4.2 Nm.

    Dalam penawaran standard, H2 SX dilengkapi dengan unit pengira inertia (IMU), yang sekaligus dapat mengaktifkan KTRC (termasuk traction control dan wheel lift control), KIBS (termasuk pitching control dan corner braking control) dan Kawasaki Engine Brake Control, tetapi bagi model SE, ia mendapat tambahan KLCM (launch control).

    Kawasaki H2 SX, Ninja 400 dan Z900RS Cafe Racer dipamer di Sepang, ada harga untuk pasaran Malaysia

    Dalam barisan model Ninja yang ditawarkan oleh Kawasaki Malaysia sekarang, terdapat 13 model, bermula dari H2R sehinggalah Ninja 250, tapi Ninja 400 tidak termasuk dalam senarai. Walaubagaimanapun semasa di Sepang, Ninja 400 ini ada dipamerkan, siap dengan harga untuk pasaran Malaysia RM29,998 tidak termasuk insurans.

    Ini adalah untuk model yang siap dengan brek ABS, dan spesifikasi lainnya adalah termasuk enjin dua silinder selari DOHC 399 cc berkuasa 39 PS dan 38 Nm, transmisi enam kelajuan, brek cakera 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera 220 mm dan angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 14 liter, berat 168 kg, fork teleskopik 41 mm dan monoshock di belakang.

    GALERI: Kawasaki H2 SX


    GALERI: Kawasaki Z900RS Cafe Racer


    GALERI: Kawasaki Ninja 400

    GALERI: Kawasaki Ninja 250 warna baru

     
     
  • Terengganu sasar 20,864 belia layak dapat lesen motosikal percuma tahun hadapan – kos RM6.3 juta

    Terengganu sasar 20,864 belia layak dapat lesen motosikal percuma tahun hadapan – kos RM6.3 juta

    Bagi menangani masalah belia yang menunggang motosikal tanpa lesen, kerajaan negeri Terengganu sanggup memperuntukan sebanyak RM6.2 juta bagi kos pelaksanaan lesen motosikal percuma pada tahun hadapan. Ia mensasarkan seramai 20,864 belia berusia 16 hingga 40 tahun, membabitkan 652 belia belum memiliki lesen memandu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, peruntukan terbabit akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada persidangan Bajet 2019 Terengganu selama lima hari bermula 25 November depan, laporan Berita Harian.

    “Bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan dimonopoli pihak tidak bertanggungjawab, kerajaan negeri akan mengagihkan peruntukan sama rata kepada 12 institut memandu di seluruh Terengganu untuk melaksanakan kursus peraturan jalan raya serta undang-undang kepada golongan berkenaan,” katanya.

    Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata, pemberian lesen motosikal percuma kepada belia dilaksana bagi mengurangkan gejala rempit tanpa lesen.

    “Selain itu, kita mahu membantu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan. Kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan pemberian lesen percuma kepada belia ini selesai sebelum Mac tahun depan,” katanya sambil menambah pelaksanaan inisiatif itu bukan hanya pada tahun depan tetapi akan berterusan sebagai memenuhi manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

     
     
  • Citroen C3 Aircross diprebiu di M’sia – 1.2 PureTech

    Citroen C3 Aircross diprebiu di M’sia – 1.2 PureTech

    Mungkin anda sedang mencari SUV segmen-B untuk dimiliki, nah ini ada satu pilihan, dari jenama Perancis, Citroen C3 Aircross yang telah pun mula diprebiu di semua bilik pamerannya di negara ini.

    Menarik dengan gaya funky, C3 Aircross ini didatangkan dengan lampu utama yang menjadi trademark model ini, lampu belakang dengan efek-3D, lapisan hitam yang menarik dan dekorasi berbentuk squircle. Malah turut didatangkan dengan pilihan dua-tona warna untuk luaran yang menyerlahkan lagi gaya funky model ini.

    Citroen C3 Aircross diprebiu di M’sia – 1.2 PureTech

    Di dalamnya, tema squircle masih menjadi pilihan, kelihatan pada corong udaram roda stereng dan kluster instrumen. Pada bahagian tengah papan pemukanya, terletak skrin sesentuh tujuh-inci, yang bersambung dengan sistem navigasi dan juga fungsi Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink.

    Kuasanya didatangkan dari enjin 1.2 PureTech pengecas turbo tiga-silinder, sama seperti Peugeot 208 dan 2008. Ia memberikan output 110 PS pada 5,500 rpm dan tork 205 Nm pada 1,500 rpm, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan. Bagi pecutan dari sifar ke 100 km/j, hanya mengambil masa 10.4 saat, mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 200 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 5.3 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC.

    Citroen C3 Aircross diprebiu di M’sia – 1.2 PureTech

    Kit standard termasuk lampu utama halogen, roda aloi dua-tona “4ever” 17-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi, tempat duduk fabrik, pendingin hawa automatik, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang auto-kelam, pengesan parkir belakang dan kamera undur.

    Bagi keselamatan, C3 Aircross didatangkan dengan enam beg udara, ABD dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan pengunci keselamatan belakang elektronik. Ia juga didatangkan dengan dua sistem bantuan pemandu – amaran ketibaan lorong dan kepekaan perhatian pemandu.

     
     
  • PDAM cadang guna kad elektronik bagi subsidi RON95

    PDAM cadang guna kad elektronik bagi subsidi RON95

    Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan agar penggunaan kad elektronik yang mengandungi jumlah RM30 untuk kereta dan RM12 untuk motosikal untuk digunapakai bagi melaksanakan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter seperti diumumkan kerajaan Jumaat lalu.

    Menurut presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, kaedah ini dilihat lebih mudah, praktikal dan tidak membabitkan kos yang tinggi kepada pengusaha stesen minyak untuk segera dilaksanakan.

    “Maknanya, kerajaan akan keluarkan kad khas berkenaan kepada pemilik kenderaan yang benar-benar layak dan hanya boleh digunakan untuk mengisi minyak petrol RON95 sehingga kuota subsidi 100 liter itu habis digunakan. Selepas habis kuota kad itu, mereka perlu membayar harga penuh minyak mengikut pasaran semasa seperti RM2.20 seliter ketika ini. Cara itu lebih mudah kerana tidak memerlukan penetapan harga di pam minyak yang memerlukan proses lebih rumit,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    PDAM cadang guna kad elektronik bagi subsidi RON95

    Menurut Khairul Annuar lagi, PDAM yang mempunyai lebih 3,000 ahli mewakili kira-kira 3,400 stesen minyak seluruh Malaysia tidak mahu dilantik sebagai pihak untuk menentukan kesahihan kad elektronik berkenaan.

    “Kita hanya uruskan proses penggunaan kad dan bukannya membelek kad untuk semak ia sahih atau tidak kerana itu tugas pihak berkuasa. Kita tidak akan kejar, halang atau halau pengguna kad sekiranya kad itu boleh digunakan dan masih mempunyai kuota subsidi 30 sen seliter. Pemegang kad itu layak atau tidak itu adalah tugas pihak berkuasa dan kami hanya melaksanakan apa yang diputuskan kerajaan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak panik mengenai kaedah pelaksanaan subsidi berkenaan kerana pastinya akan memberi keutamaan kepada golongan miskin dan sederhana dan bukannya pemilik kenderaan mewah import seperti yang ditularkan di media sosial.

     
     
  • MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

    MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

    Acara paling besar dan meriah di Litar Antarabangsa Sepang iaitu MotoGP 2018 baru sahaja melabuhkan tirai dan kali ini ia menyaksikan pelbagai kejadian menarik bermula dari pusingan kelayakan lagi. Sudah tentu sebagai tuan rumah, fokus rakyat Malaysia lebih kepada pelumba tempatan yang terlibat.

    Semasa hari pusingan kelayakan berlangsung, Adam Norrodin yang bersaing dalam kategori Moto3 melalui pasukan Petronas Sprinta Racing mencatat masa yang baik tetapi dikenakan penalti kerana tunggangan yang dikatakan merbahaya. Disebabkan itu, beliau terpaksa memulakan perlumbaan dari laluan pit.

    Itu tidak melunturkan semangat Adam kerana pada hari perlumbaan, beliau menunjukkan prestasi yang lebih baik, sehingga pada satu masa, beliau berada di kedudukan ketujuh. Walaubagaimanapun, beliau terjatuh dengan baki hanya beberapa pusingan sahaja lagi dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-23. Rakan sepasukan beliau, Ayumu Sasaki di tempat ke-18.

    MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

    Pergi kepada kategori Moto2, tumpuan diberikan lebih kepada pelumba pasukan Sky Racing Team VR46 iaitu Francesco Bagnaia kerana beliau berpeluang dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini di Sepang. Apabila perlumbaan berakhir, adik Valentino Rossi iaitu Luca Marini yang mencuri tumpuan kerana memenangi tempat pertama dan ini adalah kali pertama beliau mendapat kedudukan juara dalam perlumbaan Moto2.

    Bagnaia turut berada atas podium, iaitu di tempat ketiga dan dengan mata yang dikumpul, ia sudah mampu mengatasi semua pelumba lain walaupun masih ada baki pusingan di Valencia. Khairul Idham Pawi yang berlumba untuk pasukan Idemitsu Honda Team Asia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

    Kategori utama MotoGP juga pastinya melibatkan pelbagai aksi dan drama. Pusingan kelayakan berlangsung dalam keadaan basah dan waktu ia berlangsung, penganjur terpaksa memberhentikan sesi kerana hujan yang terlalu lebat. Kesudahannya apabila sesi kelayakan ini berakhir, Marc Marquez mencatat masa terpantas diikuti oleh dua pelumba Yamaha iaitu Johann Zarco dan Valentino Rossi. Walaupun begitu, Marquez dikenakan penalti dan memulakan perlumbaan di petak ketujuh.

    MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

    Hafizh Syahrin bukan sahaja mendapat perhatian peminat tempatan, malah seluruh dunia kerana ini adalah kali pertama beliau menunggang motosikal MotoGP di Litar Sepang dalam keadaan basah. Tetapi, beliau bukan sahaja gagal mendapatkan tempat yang baik, malah berada di tempat terakhir.

    Walaupun begitu, hari perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik memihak kepada Hafizh kerana dalam pusingan awal sahaja beliau sudah berjaya memotong banyak pelumba lain sehingga berada di kedudukan ke-11. Marquez juga terus memecut sehingga berada di kelompok hadapan bersama Rossi dan Zarco.

    Sedang perlumbaan hampir tamat dengan beberapa pusingan sahaja lagi dan kelihatan seperti Rossi akan memenangi perlumbaan, beliau telah terjatuh di selekoh pertama Sepang seterusnya memberikan Marquez peluang mudah memintas. Zarco pula mengalami sedikit masalah dengan cengkaman dan sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas Alex Rins dari pasukan Suzuki Ecstar.

    MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

    Hafizh juga menunjukkan aksi perlumbaan yang baik dan menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh. Ada beberapa ketika beliau bersaing sengit dengan Danilo Petrucci tetapi jarak di antara dua pelumba ini semakin jauh di hujung perlumbaan. Bagi rakyat Malaysia, ini sudah merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.

    Selain daripada tiga kategori perlumbaan ini, seorang lagi pelumba berpengalaman Malaysia iaitu Zulfahmi Khairuddin telah diberikan peluang istimewa untuk melakukan pusingan demonstrasi menggunakan motosikal elektrik MotoE di Sepang. Daripada pengalaman kami berada di sana, motosikal ini memang nampak pantas dan menghasilkan bunyi unik yang boleh disedari.

    MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

    Kami ke Litar Sepang untuk hari perlumbaan ini bersama konvoi Givi, yang bermula dari Muzium Negara dan melibatkan peserta pelbagai jenis motosikal yang datang dari seluruh negara. Disebabkan perlumbaan yang diawalkan dua jam kerana bimbang hujan, konvoi ini turut berlepas seawal jam 8.30 pagi untuk memastikan semua orang dapat menikmati perlumbaan.

    Melalui konvoi Givi ini, peserta cuma perlu membayar RM200 dan mereka diberikan dengan tiket Main Grandstand, tempat letak motosikal khas, baju peserta, baucar diskaun barangan Givi, beg pinggang kalis air serta minyak hitam dari Castrol. Dari pandangan kami, untuk orang awam ini adalah satu pakej yang mudah dan cukup berbaloi bagi mereka yang mahu pergi ke Litar Sepang menyaksikan perlumbaan MotoGP.

     
     
  • Toyota siar teaser Avalon dan Camry TRD – bakal muncul di Los Angeles Auto Show hujung bulan ini

    Toyota siar <em>teaser</em> Avalon dan Camry TRD – bakal muncul di Los Angeles Auto Show hujung bulan ini

    Ketika pengeluar lain dipasaran Amerika mula menghadapi peralihan pasaran dari sedan ke SUV – Ford bakal menghentikan jualan sedan, manakala Honda menghadapi masalah untuk menjual Accord generasi baharu pada pasaran berkenaan – Toyota nampaknya masih lagi gah dengan model-model sedan mereka. Sempena Los Angeles Auto Show akhir bulan ini, jenama tersebut akan memperkenalkan dua sedan besarnya dalam versi lebih agresif iaitu Avalon TRD dan Camry TRD.

    Tiada perincian diumumkan lagi, namun pengumuman dua model berkenaan telah disiarkan di laman Twitter mereka bersama satu gambar teaser menunjukkan sedikit bahagian hadapan kedua-dua model tersebut. Tidak seperti di Jepun dan Eropah yang kini menggunakan nama Gazoo Racing untuk model lebih sporty, pasaran Amerika masih lagi percaya dengan nama Toyota Racing Development untuk model sedemikian, seperti Toyota 86 TRD yang telah diperkenalkan sebelum ini.

    Toyota Avalon sememangnya sebuah sedan yang menampilkan rupa yang garang walaupun dalam varian XSE. Menerusi iemj teaser tersebut, dapat diperhatikan untuk model TRD ini, apron hadapan dengan gril besar pada Avalon ditambah dengan lips spoiler berwarna hitam membuatkan ia lebih agresif. Manakala untuk Camry TRD pula, lips spoiler dengan gaya sama juga dipadankan, bersama rim TRD pelbagai jejari berwarna hitam dan angkup brek berwarna merah

    Buat masa sekarang, Avalon hadir dengan empat kemasan iaitu XSE, Touring, XLE dan Limited. Dua pilihan enjin ditawarkan pada model ini di pasaran Amerika iaitu enjin V6 3.5 liter 2GR-FKS, dan versi hibrid yang gabungan enjin empat silinder 2.5 liter Dynamic Force THS II dengan motor elektrik 650 volt.

    Manakala untuk Camry Amerika Syarikat pula, ia juga datang dengan empat kemasan iaitu LE, SE, XLE dan XSE. Manakala janakuasa pula datang dengan tiga pilihan iaitu 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan D-4S (301 hp/363 Nm), 2.5 liter Dynamic Force empat silinder (206 hp/253 Nm) dengan transmisi automatik lapan kelajuan baru dan 2.5 liter Dynamic Force bersama hibrid THS II.

    Oh ya, Toyota Camry generasi baharu ini juga secara rasmi telah mendarat di Asia Tenggara setelah dilancarkan di Thailand dengan empat varian hujung bulan lalu, manakala Malaysia bakal menerima varian tunggal 2.5V yang dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.

    GALERI: Toyota Avalon Touring 2019

    GALERI: Toyota Camry XSE 2018

     
     
  • S’pura mansuhkan tol motosikal di Tuas mulai 01.01.19

    S’pura mansuhkan tol motosikal di Tuas mulai 01.01.19

    Sejajar dengan keputusan Malaysia untuk memansuhkan tol bagi penunggang motosikal di Linkedua mulai tahun hadapan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019 Jumaat lalu, Singapura turut mengambil langkah yang sama iaitu penunggang motosikal akan dikecualikan daripada tol S$0.40 (RM1.21) di tempat pemeriksaan Tuas, laporan Bernama.

    Memetik seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan (MOT), The Straits Times dilaporkan berkata bahawa kementerian berkenaan sedia maklum dengan langkah Malaysia untuk menamatkan tol motosikal di Linkedua itu mulai 1 Januari.

    “Sekiranya Malaysia mengurang atau membatalkan bayaran tol motosikal di Linkedua itu, Singapura akan menyesuaikan kadar tol yang dikaji semula oleh Malaysia,” menurut sumber terbabit.

    Menurut MOT dasar sekian lama Singapura adalah menyesuaikan kadar tol dengan Malaysia.

    “Ini mencerminkan ciri perkongsian Linkedua,” kata jurucakap kementerian berkenaan.

    Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari berkata, purata 40,000 penunggang motosikal mengguna Linkedua setiap hari. Pasa masa sekarang, penunggang motosikal membayar tol RM1.10 di laluan Linkedua Malaysia

     
     
  • Momo hasilkan roda stereng edisi khas 50-tahun Hot Wheels – hanya boleh ditempah atas talian, RM1.7k

    Momo hasilkan roda stereng edisi khas 50-tahun Hot Wheels – hanya boleh ditempah atas talian, RM1.7k

    Pelbagai model istimewa dihasilkan oleh pembuat kereta die-cast 3-inci, Hot Wheels sempena ulang tahunnya yang ke-50. Tidak cukup dengan kereta-kereta dalam skala kecil berkenaan, jenama tersebut turut menghasilkan pelbagai barangan bersama syarikat lain dalam sambutan ulangtahun berkenaan, antaranya roda stereng sebenar edisi istimewa dari pembuat aksesori perlumbaan Itali, Momo.

    Roda stereng ini dibuat berdasarkan salah satu rekaan Momo yang popular iaitu Momo Prototipo. Untuk versi Hot Wheels ini, roda stereng berkenaan dibalut dengan Alcantara dan dijahit dengan tangan menggunakan benang berwarna emas di Itali. Logo Hot Wheels pada jejari roda stereng pula diukir dengan menggunakan laser, kemudian butang hon menerima logo 50-tahun Hot Wheels. Anda yang membeli roda stereng ini turut akan menerima kotak eksklusif yang turut meningkatkan nilainya.

    Momo dan dan Hot Wheels bukanlah entiti yang asing. Bagi mereka yang mengumpul Hot Wheels pasti tahu bahawa banyak kereta-kereta keluaran syarikat berkenaan hadir dengan logo Momo. Malah Momo turut menghasilkan roda stereng dan tombol gear untuk kereta Hot Wheels skala penuh seperti Bone Shaker dan Rip Rod.

    “Dengan Momo juga baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-50 kami faham sepenuhnya kepentingan peristiwa penting seperti itu,” kata pengerusi MW Company Henrique Cisneros. “Kami sangat berbangga untuk menolong jenama yang sangat ikonik seperti Hot Wheels yang meraikan bukan sahaja sejarah 50-tahun, tetapi 50-tahun memberikan inspirasi kepada peminat pelbagai usia,” tambahnya lagi.

    Jika anda mahukan roda stereng ini, ia hanya boleh ditempah dalam talian untuk masa terhad di hotwheels.momo.com. Bagi mereka yang berjaya menempahnya, penghantaran pertama akan bermula awal tahun hadapan. Harganya? USD399.95 atau sekitar RM1,700.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class Coupe facelift C205 dilancar untuk M’sia – C200 dan C300 AMG Line, dari RM347k

    Mercedes-Benz C-Class Coupe facelift C205 dilancar untuk M’sia – C200 dan C300 AMG Line, dari RM347k

    Beberapa hari lalu mesti anda sudah melihat berita Mercedes-Benz C-Class facelift W205 versi sedan (termasuk C 43 AMG) dilancar untuk pasaran Malaysia, namun ada lagi sambungannya. Sekarang, versi berbadan Coupe C205 pula dilancar dalam dua varian iaitu C 200 dan C 300. Kedua-duanya juga menggunakan trim AMG Line.

    Sama seperti model sedan, perubahan pada bahagian luar kenderaan ini adalah minimal, dan ini termasuk bampar serta lampu hadapan yang diperbaharui, serta lampu belakang LED dengan grafik yang berbeza. Dengan kit AMG Line juga ia bermakna kenderaan ini menggunakan gril ‘diamond‘ dengan pin krom, bersama kemasan bawah bampar serta rim AMG.

    Perubahan bahagian dalam juga sama seperti versi sedan – terdapat roda stereng baru, panel instrumen digital penuh serta skrin LCD 12.3 inci dengan pilihan tiga gaya paparan (Classic, Sport dan Progressive). Saiz panel paparan di konsol tengah juga telah dibesarkan menjadi 10.25 inci.

    Mercedes-Benz C-Class Coupe facelift C205 dilancar untuk M’sia – C200 dan C300 AMG Line, dari RM347k

    Kedua-dua varian C-Class Coupe ini dikuasakan oleh enjin M264 tetapi dengan kapasiti yang berbeza. C 200 Coupe menggunakan unit 1.5 liter dengan twin-scroll turbo, menawarkan kuasa 181 hp (184 PS) pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan 280 Nm tork pada 3,00 hingga 4,000 rpm.

    Enjin ini juga dibantu dengan sistem EQ Boost, yang terdiri daripada sistem elektrikal 48 volt serta starter/alternator yang digerakkan oleh tali sawat. Sistem ini memberikan tambahan 13 hp (10 kW) dan 160 Nm tork waktu memulakan pecutan, sebelum turbo dapat menghasilkan boost penuh.

    Digabungkan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan, C 200 Coupe boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 239 km/j. Jika dibandingkan dengan C 200 Sedan, laju maksimum ini adalah sama, tetapi pecutan 0-100 tersebut perlahan sedikit kerana C 200 Sedan boleh mencatat 7.7 saat.

    Melihat kepada C 300 pula, ia datang dengan kapasiti enjin lebih besar iaitu 2.0 liter twin-scroll turbo, yang mampu menghasilkan kuasa 255 hp (258 PS), pada tahap rpm yang sama dengan enjin 1.5 liter, dan ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 14 hp berbanding enjin M274 yang digunakan pada model sebelum facelift ini (241 hp).

    Tork untuk model C 300 ini masih tidak berubah, iaitu 370 Nm, tetapi ia sampai di puncak bermula daripada 1,800 rpm, berbanding 1,300 rpm bagi enjin M274 (hingga 4,000 rpm). Transmisi yang digunakan adalah unit automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan, menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.0 saat, iaitu perlahan sedikit berbanding C 300 Sedan (5.9 saat), manakala laju maksimum pula adalah 250 km/j.

    Melalui trim AMG Line ini juga, kedua-dua C-Class Coupe ini menggunakan balutan kulit Artico pada tempat duduk, papan pemuka serta tepi pintu, manakala roda stereng pula dibalut dengan kulit Nappa dan terdapat kemasan kayu anthracite liang terbuka pada beberapa bahagian.

    Mercedes-Benz C-Class Coupe facelift C205 dilancar untuk M’sia – C200 dan C300 AMG Line, dari RM347k

    Kelengkapan standard yang datang pada C 200 Coupe AMG Line adalah termasuk lampu utama LED High Performance, rim AMG lima cabang 18 inci, Keyless GO dan suspensi Agility Control. Turut diberi adalah kamera undur, sistem infotainmen Audio 20 GPS serta integrasi dengan telefon pintar melalui aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Pada C 300 pula, ia datang dengan lampu utama Multibeam LED dengan lampu tinggi adaptif, rim AMG lima cabang 19 inci, suspensi sport, bumbung panoramik dan pandangan kamera menyeluruh. Sistem infotainmen varian ini juga ditambah dengan COMAND Online serta sistem bunyi Burmester.

    Pada bahagian keselamatan, kedua-dua varian C-Class Coupe datang dengan Active Parking Assist, Blind Spot Assist, Active Brake Assist dan tujuh beg udara. Kemudiannya melalui C 300 pula, ia ditambah dengan Lane Tracking Package serta Active Lane Keeping Assist.

    Harga jualan untuk Mercedes-Benz C 200 Coupe AMG Line adalah RM346,888 manakala C 300 Coupe AMG Line pula RM416,888. Harga ini tidak termasuk insurans dan anda juga boleh memilih pelbagai pakej pembiayaan yang ditawarkan melalui program Flex-C yang mempunyai tawaran istimewa sehingga hujung tahun ini.

    GALERI: Mercedes-Benz C 200 Coupe AMG Line


    GALERI: Mercedes-Benz C 300 Coupe AMG Line

     
     
  • Faktor usia kereta, kuasa kuda diambil kira untuk tentukan kelayakan subsidi RON 95 – Saifuddin

    Faktor usia kereta, kuasa kuda diambil kira untuk tentukan kelayakan subsidi RON 95 – Saifuddin

    Lagi berhubung subsidi 30 sen seliter petrol RON95 untuk kereta 1.5 liter ke bawah dan motosikal 125 cc ke bawah bakal dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan yang diumumkan oleh menteri kewangan YB Lim Guan Eng ketika pembentangan Bajet 2019 semalam. Hari ini menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menjelaskan bahawa pemberian subsidi bersasar tersebut bukan berdasarkan kapasiti enjin semata-mata, menurut laporan Berita Harian.

    Menteri berkenaan menyatakan kerajaan akan mengambil kira pendapatan pemilik, usia dan kuasa kuda kereta dalam menentukan kelayakan pemberian subsidi petrol RON95 kepada orang ramai.

    “Kategori yang layak berdasarkan tahap pendapatan, kuasa kuda kenderaan dan juga usia kenderaan.Jadi, kita perlukan maklumat tepat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenalpasti jumlah pemilik kenderaan lama,” jelasnya.

    Menurut Saifuddin lagi, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Kewangan pada 8 November ini bagi mencari formula terbaik untuk pelaksanaan subsidi ini.

    “Kita galakkan perbincangan, perbahasan dalam kalangan rakyat mengenai perkara ini. Pandangan rakyat, jemaah menteri, syarikat minyak, pengedar minyak dan persatuan pengguna kami akan ambil kira. Kami mempunyai empat bulan lagi untuk memberi situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya lagi.

    Dalam laporan lain, menteri kewangan turut menyatakan bahawa mekanisme pemberian subsidi bahan api berkenaan juga sebenarnya masih dalam kajian. “Tetapi saya boleh tegaskan di sini bahawa yang mereka menaiki kereta mewah jangan haraplah,” kata Lim menegaskan bahawa pemilik kereta-kereta mewah dengan kapasiti enjin di bawah 1.5L tidak akan menerima bantuan tersebut.

    Pemberian subsidi tersebut disebutkan dalam Bajet 2019 yang menyatakan bahawa kereta dengan kapasiti enjin 1.5L ke bawah akan menerima subsidi 30 sen untuk seliter bagi 100 liter pertama setiap bulan, dan juga motosikal dengan kapasiti 125 cc turut akan menerima subsidi yang sama tetapi hanya untuk 40 liter pertama setiap bulan, yang akan mula dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026