Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG C 43 4Matic facelift di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Mercedes-AMG C 43 4Matic facelift di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Turut mengiringi pengenalan C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line ialah versi facelift bagi model Mercedes-AMG C 43 4Matic W205, yang menggantikan model sama sebelum ini yang dilancarkan tahun lalu di sini.

    Dari segi penggayaan, AMG C43 ini dilengkapi dengan gril AMG jalur berkembar dengan sedikit kelainan pada bahagian bampar depan. Di belakang, ia lengkapi dengan bahagian diffuser dan paip ekzos bulat. Dengan penampilan luaran dari kemasan AMG Line, ia menggunakan sistem lampu utama LED Intelligent Light dengan bantuan lampu tinggi adaptif, spoiler AMG, sistem ekzos sport AMG dan rim 19-inci AMG.

    Di dalam, C 43 datang dengan panel instrumen digital 12.3-inci dengan penggayaan AMG sahaja. Ia boleh dipilih untuk memaparkan data pemanduan seperti maklumat enjin, G-force dan pemasa perlumbaan.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic facelift di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Skrin tengah juga menggunakan unit bersaiz 10.25-inci. Bagi sistem infotainmen, model ini menerima ciri sistem COMAND Online yang menggantikan Audio 20 GPS pada varian C 200 dan C 300. Sistem bunyi bagaimanapun masih kekal menggunakan unit Burmester.

    COMAND Online yang ada ini turut menampilkan ciri AMG Track Pace, berfungsi untuk mengumpul maklumat yang berkaitan bagi pemanduan di litar. Selain itu, sambungan ke telefon pintar melalui Apple CarPlay dan Android Auto juga ada tersedia.

    Di dalam, kemasan gentian kaca AMG menghiasi model ini, dengan perincian kemasan daripada kulit Artico. Stereng AMG yang rata di bahagian bawah juga digunakan, dengan penyudah menggunakan gentian mikro Dinamica. Tidak lupa juga tali keledar keselamatan merah.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic facelift di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Kelengkapan standard pula terdiri daripada kawalan pendingin hawa Thermotronic, bumbung panoramik, Keyless Go, tutup pintu boot dengan remote, kamera 360-darjah, bantuan mengekalkan lorong aktif dan bantuan titik buta.

    Enjin M276 3.0 liter turbo berkembar V6 yang digunakan pula diubah untuk memberikan output sebanyak 385 hp dan 6,100 rpm; 23 hp lebih daripada sebelum ini. Tork maksimum kekal pada 520 Nm, tetapi daya puncak kini boleh dicapai dari 2,500 rpm hingga 5,000 rpm (2,000 hingga 5,000 rpm sebelum ini).

    Padanan transmisinya menggunakan AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. C 43 ini hanya memerlukan masa 4.3 saat untuk memecut dari 0-100 km/j, sementara laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic facelift di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Ciri serap hentak adaptif AMG Ride Control masih dikekalkan, namun ada tambahan bagi sistem AMG Dynamic Select yang akan memberi respon berbeza terhadap enjin, transmisi dan stereng. Mod Slippery juga hadir sebagai tambahan kepada Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic dipasang di Malaysia dan dijual pada harga RM421,888 atas jalan tidak termasuk insurans. MBM juga ada menyediakan pelbagai pilihan pakej pembiayaan, bermula dari RM2,688 sebulan (berdasarkan tempoh tiga tahun dengan pendahuluan sebanyak 22% bagi C 200 Avantgarde). Sehingga 31 Disember, semua pembiayaan Flex-C akan hadir dengan pakej insurans tayar dan rim bagi tahun pertama.

    Sekiranya berminat untuk meneliti model ini dengan lebih lanjut atau membuat pembelian dengan tawaran istimewa, anda boleh berkunjung ke ruang pameran Hap Seng Star ketika pameran Premium Auto Car Expo yang akan berlangsung hujung minggu ini, 3 & 4 November 2018 bertempat di Pusat Persidangan Setia City.

     
     
  • Kia Grand Carnival facelift didedahkan harga – KX dan SX, auto 8-kelajuan baharu, RM156k hingga RM185k

    Kia Grand Carnival facelift didedahkan harga – KX dan SX, auto 8-kelajuan baharu, RM156k hingga RM185k

    Kia Malaysia telah pun mengumumkan harga bagi Kia Grand Carnival facelift. Ditawarkan dengan dua varian – model rendah KX pada harga RM155,888 dan model tertinggi SX berharga RM184,888. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Secara mekanikal, kedua-duanya menggunakan enjin 2.2 liter CRDI turbodiesel yang menjana kuasa sebanyak 200 PS dan tork 441 Nm. Bagaimanapun, transmisinya kini baharu dengan automatik lapan-kelajuan menggantikan unit enam-kelajuan yang lama.

    Antara perbezaan antara dua varian ini ialah KX menggunakan gril Tiger Nose yang sama seperti sebelum ini, sementara SX hadir dengan gril biasa. Lampu utama jenis projektor halogen diberi rekaan baru, dengan DRL LED. Tidak lupa juga rekaan bampar baru – KX menerima lampu kabus halogen, sementara SX dengan lampu kabus LED “empat kiub”.

    Kia Grand Carnival facelift didedahkan harga – KX dan SX, auto 8-kelajuan baharu, RM156k hingga RM185k

    SX juga dilengkapi rim aloi 18-inci warna perak dan bukan lagi rim 19-inci krom bagi penawaran sebelumnya. Lampu belakang LED juga menerima penampilan baru, serta rekaan bampar baru dengan lampu kabus dan reflektor yang disekalikan.

    Ruang dalaman pula hadir dengan ciri standard seperti tempat duduk balutan fabrik dengan larasan lambar dua-arah, cermin pandang belakang elektrokromik, tirai bagi barisan-kedua dan -ketiga, USB dan AUX, pintu gelangsar kuasa elektrik serta stereng dengan balutan kulit.

    Bagi KX, ia turut dilengkapi dengan paparan sistem audio tujuh-inci dengan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay, kawalan udara tiga-zon, parkir brek elektronik (tiada lagi brek parkir kaki), Smart Tailgate dan pemanas stereng. Turut ditambah ialah slot pengecas pantas USB serta ruang simpanan barang yang luas di belakang konsol tengah.

    Mod Active Eco baharu juga disediakan bagi kedua-dua varian. Dengan memilih mod ini, ia akan menyelaras enjin, transmisi dan sistem pendingin hawa untuk memberikan kecekapan minyak yang terbaik. Khas untuk SX ialah paparan infotainmen lapan-inci yang lebih canggih, kerusi depan dengan larasan lapan-cara dengan memori, pengecas tanpa wayar Qi untuk telefon yang serasi serta kemasan kulit.

    Bagi ciri keselamatan, ia turut dilengkapi dengan kamera undur bagi kedua-dua varian, amaran titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, kawalan bantuan mula mendaki, ESC dan tingkap kuasa elektrik dengan ciri anti-pinch.

    GALERI: Kia Grand Carnival KX facelift 2019

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class W205 facelift dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Mercedes-Benz C-Class W205 facelift dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini telah melancarkan model facelift bagi Mercedes-Benz C-Class W205 untuk pasaran tempatan. Model berkenaan ditawarkan dalam dua varian, C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line dan merupakan versi pemasangan tempatan.

    Di bahagian luaran, tidak banyak perubahan ketara yang kelihatan. Rekaan bampar baru menggunakan aspirasi dari model-model AMG; antaranya ruang aliran udara di tengah kini lebih tirus. Varian AMG Line kini hadir dengan gril diamond sebagai standard. Lampu utama juga baru; Multibeam LED dengan 84 diod dan Ultra Range high beam melengkapi model dengan spesifikasi lebih tinggi.

    Lampu belakang juga hadir dengan rekaan baru, LED dengan lampu panduan bentuk C yang baru. Bahagian bampar belakang juga diberi sentuhan baru, dengan geometri, tingkat kemasan dan penyudah ekzos yang membezakan tahap kelengkapannya. Rekaan rim juga dikemaskini.

    Mercedes-Benz C-Class W205 facelift dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Ruang dalaman turut diberi kesegaran. Paling ketara ialah stereng baru, panel instrumen digital dengan resolusi 1,920 x 720 pixel dan bersaiz 12.3-inci (gaya paparan Classic, Sport dan Progressive). Skrin ditengah juga lebih besar, 10.25-inci.

    Untuk sistem janaan, enjin M24 baru digunakan. Varian C 200 menerima enjin 1.5 liter twin-scroll turbo, dengan kuasa 181 hp (184 PS) pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan 280 Nm tork pada 3,000 rpm hingga 4,000 rpm. Enjin berkenaan dilengkapi ciri sistem elektrik EQ Boost 48-volt dengan penghidup/alternator pacuan tali sawat, yang dapat memberikan daya tambahan sebanyak 13 hp dan 160 Nm bila diperlukan. Prestasi 0-100 km/j ialah dalam masa 7.7 saat dengan laju maksimum 239 km/j.

    Sementara itu, C 300 pula datang dengan enjin M264 2.0 liter twin-scroll dengan janaan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya; 255 hp (258 PS) pada rpm yang bagi enjin M274 1.5 liter sebelum ini (241 hp) – naik 14 hp berbanding yang lama.

    Tork maksimum kekal pada 370 Nm, tetapi boleh dicapai dari 1,800 rpm berbanding 1,300 rpm dahulu. Kemuncaknya pula adalah pada 4,000 rpm. Prestasi juga bertambah baik; 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat manakala laju maksimum 250 km/j.

    Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan, satu ciri baru bagi C 300 versi facelift ini. Satu lagi ciri tambahan terbaru bagi versi terbaru berkenaan ialah suspensi Airmatic.

    C 200 hadir dengan kemasan luaran Avantgarde, dengan bahagian tengah bamparnya disudahi dengan krom berkilat dengan gril diamond hitam. Ia menggunakan rim 18-inci. Kelengkapan lain termasuk kemasan dalaman dari kulit Artico dan kayu oak bagi Avantgarde. Selebihnya, lampu utama LED High Performance, suspensi Agility Control, Keyless Go, sistem Audio 20 GPS serta sambungan kepada telefon pintar bagi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mercedes-Benz C-Class W205 facelift dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Bagi sistem bantuan pemandu, selain daripada ciri bantuan parkir aktif, kamera undur dan kawalan cruise Speedtronic, C 200 Avantgarde juga kini ditambah dengan bantuan titik buta, yang beroperasi dari kelajuan 10 km/j hingga 200 km/j.

    Bagi varian C 300 pula, ia dilengkapi dengan kemasan luaran dan dalaman AMG Line. Ia menggunakan rim 19-inci AMG, dengan pilihan lain sekiranya diinginkan. Ia menggunakan lampu utama Multibeam LED dengan Ultra Range, sistem bunyi Burmester serta stereng sport AMG balutan kulit Nappa. Turut membezakan varian ini ialah bumbung panoramik elektronik, kamera 360-darjah dan Active Lane Keeping Assist yang berfungsi dalam kelajuan antara 60 km/j dan 200 km/j.

    Mercedes-Benz C 200 Avantgarde dijual pada harga RM259,888 sementara C 300 AMG Line pula pada harga RM304,888, atas jalan tidak termasuk insurans. MBM juga ada menyediakan pelbagai pilihan pakej pembiayaan, bermula dari RM2,688 sebulan (berdasarkan tempoh tiga tahun dengan pendahuluan sebanyak 22% bagi C 200 Avantgarde). Sehingga 31 Disember, semua pembiayaan Flex-C akan hadir dengan pakej insurans tayar dan tim bagi tahun pertama.

    Sekiranya berminat untuk meneliti model ini dengan lebih lanjut atau membuat pembelian dengan tawaran istimewa, anda boleh berkunjung ke ruang pameran Hap Seng Star ketika pameran Premium Auto Car Expo yang akan berlangsung hujung minggu ini, 3 & 4 November 2018 bertempat di Pusat Persidangan Setia City.

    Mercedes-Bez C 200 Avantgarde

    Mercedes-Benz C 300 AMG Line

     
     
  • Kia Sorento facelift mula dijual – RM170k to RM180k

    Kia Sorento facelift mula dijual – RM170k to RM180k

    Kia Sorento facelift telah mula dijual di pasaran Malaysia. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, hanya dua varian sahaja yang ditawarkan iaitu unit petrol 2.4 EX dan diesel 2.2D SX.

    Sorento generasi ketiga yang dipertingkatkan ini ditawarkan pada harga RM169,888 untuk 2.4 EX, manakala 2.2D SX pula lebih RM10,000 iaitu RM179,888. Kedua-duanya adalah harga atas jalan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan tanpa insurans, termasuk waranti lima-tahun dan tanpa had perbatuan.

    Semakan ke atas rekaannya termasuk dengan bahagian hadapan baharu yang disambungkan pada gril “tiger nose” yang dibentuk semula dan corong pengambilan udara yang diprofil semula, bersama lampu utama LED adaptif standard dengan rekaan tiga projektor. Lampu kabus juga menerima rekaan LED “ice cube” yang sebelum ini hanya ditawarkan di pasaran terpilih.

    Kia Sorento facelift mula dijual – RM170k to RM180k

    Pada bahagian belakangnya, grafik dalaman untuk lampu LED telah direka semula, dan bampar belakang juga tampil dengan rekaan baharu bersama corong udara palsu di bawah lampu kabus belakang. Melengkapkan gayanya dengan rekaan aloi dua-tona baharu, berukuran 18-inci bagi EX dan 19-inci untuk SX.

    Di dalamnya pula, Sorento menerima roda stereng pelbagai fungsi empat-jejari baharu dengan penonjolan bulat pada perumah beg udara, grafik paparan instrumen tujuh-inci dan suis kawalan suhu yang disemak semula, plastik sentuhan lembut dan kemasan hitam berkilat. Turut ditambah ialah tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, pengecas telefon pintas tanpa wayar Qi dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk kedua-dua model.

    Selain itu, EX dan SX turut ditampilkan dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, cermin hadapan akustik dan pelepasan solar, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, penghawa dingin dwi-zon dengan corong udara belakang dan kawalan suhu bagi barisan ketiga, tempat duduk hadapan berkuasa lapan-hala, tirai tingkap sisi belakang, cermin pandang belakang auto-kelam, sistem infotainmen skrin sesentuh dan tailgate berkuasa bebas-tangan.

    Kia Sorento facelift mula dijual – RM170k to RM180k

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua model didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, bantuan mula mendaki, kawalan turun bukit, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada barisan kedua, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera undur, dan pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Sorento ditawarkan dengan dua pilihan enjin yang sama seperti sebelum ini – 2.4 liter Theta II MPI petrol empat-silinder dengan hamburan kuasa 172 PS pada 6,000 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Sementara satu lagi varian dipadankan dengan enjin 2.2 liter R turbodiesel dengan start/stop bersama kuasa 200 PS pada 3,800 rpm dan tork 442 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Transmisi automatik lapan-kelajuan baharu turut digandingkan, menggantikan unit enam-kelajuan pada diesel, dan pacuan semua-roda on-demand didatangkan secara standard.

     
     
  • Toyota bawa lima buah Corolla hatchback generasi baharu yang diubahsuai ke pertunjukkan SEMA 2018

    Toyota bawa lima buah Corolla hatchback generasi baharu yang diubahsuai ke pertunjukkan SEMA 2018

    Toyota nampaknya bersungguh bagi mengangkat kembali jenama mereka sebagai jenama ‘orang muda’ yang tidak asing dalam dunia ubahsuai kenderaan pada pertunjukkan SEMA tahun ini. Selain dari pelbagai Supra, mereka juga membawa lima buah Corolla Hatchback generasi baharu yang telah pun ditingkat taraf ke pertunjukkan berkenaan.

    Satu daripada Corolla berkenaan adalah jentera drift untuk Drifter antarabangsa, Fredric Aasbo bagi kejohanan Formula Drift 2018 dibina oleh Papadakis Racing. Dua lagi Corolla dihasilkan oleh publikasi kenderaan ubahsuai Super Street dan juga pelumba-pelumba rali dari Hoonigan yang membina kereta kamera. Manakala selebihnya di bina oleh dua penala persendirian, iaitu SoCal Kustomz dan Muscle Tuner Auto yang menyahut cabaran “Battle of the Shops” Toyota.

    Untuk jentera drift Corolla Papadakis Racing, kereta ini telah diubahsuai secara radikal dengan disumbatkan enjin 2.5L 2AR (biasanya ditemui pada Camry) yang diubahsuai bagi menghasilkan 1,000 hp dengan bantuan turbo dan nitrus oksida, serta hanya memacu roda belakang dengan kotak gear G Force GSR.

    Beralih ke Corolla Super Street, ia diubahsuai lebih kearah gaya JDM, dan ditala untuk kegunaan ‘track day’. Kereta ini masih mengekalkan keselesaannya, dan turut diberikan tingkat taraf pada sistem stereo.

    Jika anda pengikut dunia ubahsuai, tentu kenal dengan Hoonigan bukan? Ya, Hoonigan yang terkenal dengan Ken Block dan video Gymkhana. Corolla milik mereka ini dilengkapi dengan pelbagai cagak kamera termasuk sistem ‘Russian Arm’ pada bahagian bumbung, dan ia bertugas untuk mengejar kereta-kereta ‘bintang’ yang sedang beraksi bagi mendapatkan video yang benar-benar cantik.

    Bagi Corolla yang dibina oleh SoCal Kustoms pula, ia lebih bergaya seperti budaya hot-rod Amerika dengan grafik badan ala-filem The Fast and The Furious. Kereta ini turut dibekalkan dengan sistem suntikan nitus oksida bagi menghasilkan lebih kuasa.

    Manakala saingannya iaitu Corolla yang dibina oleh Muscle Tuner Automotive, ia mengenakan warna badan dua-tona seperti Toyota Corolla AE86, dan turut dibekalkan dengan nitrus oksida. Kereta ini juga diberikan sistem suspensi custom bagi merendahkan lagi badannnya untuk kelihatan lebih agresif.

    GALERI: Jentera Drift Toyota Corolla Papadakis Racing

    GALERI: Toyota Corolla Super Street

    GALERI: Kereta Kamera Toyota Corolla Hoonigan

    GALERI: Toyota Corolla SoCal Kustomz

    GALERI: Toyota Corolla Muscle Tuner

     
     
  • Hyundai Tucson facelift dilancar di Malaysia – 2.0L Elegance & 1.6L Turbo, berharga RM124k & RM144k

    Hyundai Tucson facelift dilancar di Malaysia – 2.0L Elegance & 1.6L Turbo, berharga RM124k & RM144k

    Awal bulan ini, Hyundai-Sime Darby Motors telah mengeluarkan teaser dan mengumumkan model Tucson facelift bakal diperkenalkan sebelum Oktober menutup tirai. Hari ini, ia telah pun diperkenalkan secara rasmi, ditawarkan dengan dua varian – 2.0L Elegance dan 1.6L Turbo. Harga bermula RM123,888 bagi model 2.0L, dan varian pengecas turbo pula berharga RM143,888. Kedua-duanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    Pembaharuan yang dibawa untuk SUV segmen-C ini ialah semakan pada bahagian hadapannya. Di samping bampar baharu, 2.0L Elegance kini menerima gril perak metalik dan lampu utama projektor halogen, sementara 1.6L Turbo pula dengan gril krom bersama lampu utama LED dwi-projektor (dengan lampu selekoh dan posisi), pemegang pintu krom dengan pencahayaan poket LED dan lampu belakang LED. Kedua-dua varian turut dipadankan dengan roda 17-inci.

    Di dalamnya, papan pemuka kini lengkap dengan rekaan semula dengan paparan infotaimen ‘freestanding’ tujuh-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) yang diposisikan di atas corong udara rekaan baharu. Walau bagaimana pun, bahagian rak tengahnya tiada perubahan, masih kekal dengan kawalan suhu dwi-zon, USB dan auxiliary inputs, serta soket 12-voltan.

    Sekain itu, ia turut menampilkan rekaan baharu bagi balutan kulit pada tempat duduk, dan untuk 1.6L Turbo didatangkan elemen tambahan termasuk brek parkir elektronik, cermin pandang belakang elektrokromik, tempat duduk pemandu berkuasa larasan lapan-hala dengan sokongan belakang dua-hala, paparan pelbagai-info 4.2-inci dan papan pemuka balutan kulit.

    Bagi enjinnya, 1.6 liter T-GDI mampu memproduksi kuasa sehingga 177 PS dan tork 265 Nm, sama dengan model pre-facelift yang ada sekarang. Enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Manakala varian tanpa-turbo pula masih menggunakan unit 2.0 liter naturally-aspirated Nu dengan kuasa 155 PS dan 192 Nm, serta transmisi automatik enam-kelajuan.

    Hyundai Tucson facelift dilancar di Malaysia – 2.0L Elegance & 1.6L Turbo, berharga RM124k & RM144k

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model Tucson didatangkan dengan ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Brek Turun Bukit, Bantuan Brek dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan. 2.0L Elegance didatangkan dengan dua beg udara dan pengesan parkir belakang, sementara 1.6L Turbo pula dipertingkatkan dengan enam beg udara dan didatangkan dengan ciri tambahan pengesan parkir hadapan.

    Untuk setiap pembelian Tucson didatangkan bersama 50,000 km penyelenggaraan percuma dengan tempoh sah tiga tahun, dan juga program waranti lima-tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

     
     
  • RON 97 naik dua sen untuk November – RM2.81 seliter

    RON 97 naik dua sen untuk November – RM2.81 seliter

    Untuk bulan November 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan harga petrol RON 97 pada RM2.81 bagi setiap liter. Ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak dua sen berbanding bulan lalu.

    Harga baru untuk petrol RON 97 ini akan mula berkuat kuasa tengah malam ini hinggalah 30 November nanti, di mana harga baru untuk bulan Disember akan diumumkan.

    Sementara itu, harga untuk bahan bakar lain masih lagi kekal sama, iaitu RM2.20 seliter untuk petrol RON 95, RM2.18 seliter untuk diesel Euro 2M dan RM2.28 seliter untuk diesel Euro 5.

     
     
  • Toyota bawa empat Supra klasik, Nascar Supra dan model konsep perlumbaan TGR Supra ke SEMA 2018

    Toyota bawa empat Supra klasik, Nascar Supra dan model konsep perlumbaan TGR Supra ke SEMA 2018

    Debaran kian terasa sebelum Toyota Supra generasi baharu akan membuat penampilannya sulungnya pada North American International Auto Show (NAIAS) 2019 Januari hadapan. Bagi menambah debaran tersebut, Toyota membawakan empat generasi Supra sebelumnya, dan juga dua buah kereta lumba Supra A90 iaitu Nascar Supra dan juga model konsep perlumbaan Toyota Gazoo Racing Supra yang telah didedahkan di Geneva Mac lalu ke acara SEMA Show 2018.

    Nama ‘Supra’ muncul pada Celica generasi kedua pada model Celica Supra/Celica XX, bagi menunjukkan ia dari versi dengan enjin enam-silinder sebaris dan model A40 tersebut diiktiraf sebagai Supra generasi pertama. Konsep yang sama diteruskan pada model A60 generasi seterusnya.

    Kemudian Celica dan Supra dipisahkan pada generasi keempat di mana model enam-silinder terus menggunakan nama Supra dengan kod casis ‘A’ (A70), manakala nama Celica diberikan kepada kereta sport dalam segmen yang lebih kecil dengan kod casis ‘T’. Supra generasi baharu ini diberikan kod casis A90 sebagai sambungan dari kod casis A80 (JZA80) model sebelumnya.

    Untuk Supra Nascar pula, ia sebenarnya akan mengambil bahagian dalam kejohanan NASCAR Xfinity Series (NXS) tahun hadapan. Supra sememangnya dikenali sebagai sebuah kereta sport dengan bentuk GT sebenar, manakala kereta lumba NASCAR amat sinonim dengan rupa sebuah sedan atau muscle car Amerika. Jadi kereta lumba Supra NASCAR yang dibina oleh Toyota Racing Development (TRD) USA dan Calty Design Research ini perlu direka bagi memenuhi spesifikasi NASCAR untuk menyertai NXS – dan terhasillah Supra dengan bentuk serba tidak kena ini.

    NXS merupakan kejohanan dengan tahap sedikit rendah dari kejohanan NASCAR Cup Series, manakala TRD USA dan Calty Design Research merupakan pasangan kerjasama yang memenangi gelaran tertinggi tersebut tahun lalu menerusi jentera Camry NASCAR Cup 2018.

    Manakala untuk model konsep perlumbaan Toyota Gazoo Racing Supra, rata-rata telah mengetahui bahawa kemunculannya sebelum ini adalah sebagai prebiu untuk model produksi sebenar yang akan didedahkan tahun hadapan. Kereta ini menampilkan bentuk asas Supra sebenar, dan diberikan kit aero seperti perlumbaan GT3, bersama bahagian dalaman, brek, rim dan tayar yang kelihatan sudah bersedia untuk berlumba.

     
     
  • Jaguar I-Pace raih Kereta Tahunan Jerman 2019

    Jaguar I-Pace raih Kereta Tahunan Jerman 2019

    Jaguar I-Pace telah diumumkan sebagai penerima anugerah Kereta Tahunan Jerman 2019, dengan menewaskan pencabar terdekatnya seperti Audi A6, Volkswagen Touareg, Peugeot 508 dan Hyundai Nexo.

    Malah I-Pace turut menewaskan 59 kereta lain dalam ujian perbandingan yang dikendalikan oleh panel yang terdiri daripada wartawan permotoran, dengan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya pertama dari Jaguar itu menerima pujian untuk pemanduan dinamik, prestasi dan gaya.

    Aspek yang dinilai berdasarkan rekaan kenderaan, prestasi, pengendalian, daya maju masa depan dan apa juga yang berkaitan bagi setiap model di jalan raya dan litar Bilster Berg.

    “Kami sangat berbangga menerima penghargaan daripada media Jerman bagi EV pertama kami, Jaguar I-Pace. Menerima anugerah sebegini di tanahair bagi jenama premium ini memang tidak ternilai,” ujar Ralf Speth, CEO bagi Jaguar Land Rover.

    I-Pace diperkenalkan pada Mac tahun ini, dengan padanan bateri lithium-ion 90 kWh yang mampu menyalurkan kuasa ke dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) untuk sistem output keseluruhan sehingga 400 PS dan tork 696 Nm. Hanya mengambil masa sekitar 4.8 saat untuk pecutan dari 0-100 km/j, dengan kadar WLPT mencecah 480 km.

     
     
  • Kia Rio 1.4 EX kini automatik enam-kelajuan – RM79k

    Kia Rio 1.4 EX kini automatik enam-kelajuan – RM79k

    Ketika Kia Rio terkini diperkenalkan tahun lalu, ia masih menggunakan kotak gear automatik empat-kelajuan. Bagaimanapun, pengeluar kereta dari Korea Selatan berkenaan sebelum itu pernah memaklumkan bahawa mereka sedang membangunkan kotak gear baru dengan lebih banyak gear.

    Perkara itu kini sudah menjadi kenyataan apabila Rio dari generasi keempat akan dilengkai dengan transmisi automatik enam-kelajuan untuk pasaran tempatan, seperti yang diumumkan oleh Naza Kia. Transmisi baru ini dipadankan dengan enjin sama seperti sebelum ini, 1.4 liter Kappa empat-silinder dengan janaan 100 PS pada 6,000 rpm dan tork 133 Nm pada 4,000 rpm.

    Ia dijual pada harga RM78,888 atas jalan termasuk SST, tetapi belum termasuk insurans. Model ini juga datang dengan jaminan lima-tahun. Selain transmisi baru, Rio juga kini dilengkapi dengan senarai spesifikasi yang dipertingkat. Antaranya, kawalan cruise, cermin pandang belakang anti-silau dan sistem pengesan titik buta.

    Dengan harga yang kekal sama walaupun ada pertambahan kelengkapan seperti yang dinyatakan ini, ada dua perkara yang dikeluarkan dalam penawaran terbaru Kia Rio ini. Pertama, tiada lagi rim 17-inci (kini menggunakan rim 16-inci sahaja) dan tiada lagi sunroof.

    Selebihnya, kelengkapan yang ada kekal sama seperti sebelum ini, termasuklah lampu utama projektor halogen dengan DRL LED, lampu kabus depan dan belakang, kemasukan tanpa kunci, butang Push Start, lampu dan pengilap cermin automatik, kawalan pendingin hawa automatik, kemasan fabrik hitam, enam beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist dan lain-lain.

     
     
  • Kia Optima GT facelift dilancar di Malaysia – RM170k

    Kia Optima GT facelift dilancar di Malaysia – RM170k

    Setelah muncul secara senyap dalam laman web rasmi mereka, kini Kia Malaysia mengumumkan model Optima GT facelift telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM169,888 tidak termasuk insurans. Beberapa perubahan gaya dan peningkatan dilakukan pada model ini, tetapi ia masih mengekalkan penggunaan enjin petrol 2.0L turbo T-GDI berkuasa 245 PS dan 353 Nm tork bersama kotak gear automatik enam kelajuan.

    Pada aspek rekaan, Optima GT mendapat gril baru yang menampilkan corak berbentuk V di dalamnya, bersama bampar dengan bukaan udara lebih besar di bucu, serta jalur LED yang bertindak sebagai lampu kabus di penjuru bampar tersebut.

    Di belakang pula, lampu kombinasi LED yang digunakan kini mempunyai grafik baru, manakala diffuser serta pemantul cahaya pada bamparnya diletakkan lebih tinggi. Rim masih lagi sama iaitu unit 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 235/45.

    Kebanyakan bahagian dalam kenderaan ini juga masih lagi sama seperti sebelum ini, dengan perubahan paling jelas adalah pada roda stereng, skrin sesentuh tujuh inci dengan sistem kamera around view monitor dan lampu suasana yang terdapat di sekeliling papan pemuka dan pintu.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah panel instrumen 4.3 inci, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, pedal penukar gear, penghadang cahaya matahari belakang, tempat duduk berliang, pengecas tanpa wayar, Smart Shift & Drive serta brek tangan elektronik.

    Pelanggan juga boleh memilih enam warna untuk bahagian luar Optima GT baru ini iaitu Snow White Pearl, Aurora Black, Gravity Blue, serta dua warna baru Silky Silver dan Platinum Graphite. Kenderaan ini datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan secara standard.

     
     
  • Kia Forte Drift – jentera pacuan belakang dengan enjin 3.3L V6 Twin Turbo dari Stinger GT berkuasa 375 hp

    Kia Forte Drift – jentera pacuan belakang dengan enjin 3.3L V6 Twin Turbo dari Stinger GT berkuasa 375 hp

    Selain dari Forte GT yang akan didedahkan di SEMA 2018, Kia turut akan membawa dua buah lagi Forte istimewa ke acara tersebut – jentera khas yang digunakan untuk perlumbaan dalam disiplin drift, digelar Kia Forte Drift Car, serta sebuah lagi Forte produksi yang diubahsuai dikenali sebagai Kia Forte Federation 2019.

    Kan Kia Forte kereta pacuan roda hadapan, macam mana dia nak drift? Tuan-tuan, walaupun kereta ini keluar dari kilang sebagai sebuah model asas Forte EX dengan enjin 2.0 liter NA dan kotak gear CVT, tetapi ia sekarang dijana oleh enjin 3.3 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang diambil dari Kia Stinger GT!

    Enjin tersebut turut dipasang dengan kedudukan sama seperti dalam perut Stinger – menghadap kebelakang dan bukan melintang seperti Forte standard. Digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan sequential, kuasa dari enjin dibawa untuk memacu gandar belakang, menjadikan Forte tersebut sebagai jentera drift FR sebenar.

    Dengan pengubahsuaian pada enjin seperti pemadanan manifold kemasukan custom, enjin berkenaan kini bernafas dengan kuasa 375 hp. Bagi memastikan badan Forte tersebut mampu menahan kuasa yang dijana, kereta ini menerima roll cage penuh, sistem suspensi talaan hibrid drift/grip serta kelengkapan drift lain seperti brek tangan hidraulik.

    Pada bahagian luaran, Forte Drift ini kelihatan seperti disuntik steroid dengan kit badan lebar, splitter udara lebar dari bampar hadapan dan sisi badan, diffuser agresif di belakang dan juga spoiler belakang bersaiz gergasi.

    Untuk Kia Forte Federation 2019 pula, ia adalah model produksi yang dipadankan dengan pelbagai produk-produk aftermarket. Pada bahagian luaran, ia diberikan kit badan penuh dari Air Design yang lebih agresif, terdiri dari lip spoiler dan tirai udara pada bampar hadapan, skirt sisi, serta diffuser dan spoiler belakang.

    Kereta ini diberikan warna badan Livid Lime, dan bagi melengkapkan rupanya, ia turut dipadankan sistem ekzos dari Borla, rim “Mosport” 19-inci dari TSW bersama tayar berprestasi dari Falken serta badan yang dirapatkan lagi ke permukaan tanah dengan spring progressive-rate sport dari Eibach. Kesemua peralatan ini boleh dibeli menerusi pengedar-pengedar bertauliah pada masa akan datang.

    GALERI: Kia Forte Drift Car

    GALERI: Kia Forte Federation 2019

     
     
  • Volkswagen siarkan teaser trak pikap kecil untuk Brazil

    Volkswagen siarkan teaser trak pikap kecil untuk Brazil

    Volkswagen nampaknya tidak berpuas hati dengan mempunyai hanya satu model dalam segmen trak pikap iaitu Amarok, dan berhasrat menambahnya dengan sebuah lagi model baru lebih kecil yang akan diperkenalkan dalam bentuk konsep di Sao Paulo International Motor Show 6 November ini.

    Syarikat dari Jerman ini masih berahsia tentang perincian trak pikap ini, tetapi mengesahkan ia akan diletakkan di bawah Amarok dalam barisan model sedia ada mereka. Berbeza dengan Amarok yang menggunakan platform ladder-frame, model baru ini pula akan menggunakan platform kenderaan penumpang MQB dan akan berkongsi banyak komponen dengan SUV Tiguan.

    Ciri penting pada trak pikap ini adalah tempat simpanan barang “multivariable“, yang terdiri daripada panel yang boleh dilipat pada tempat duduk belakang, sekaligus dapat memanjangkan ruang kargo sehingga ke tempat duduk belakang. Sistem seperti ini kali terakhir dilihat diguna pada Chevrolet Avalanche, yang telah diberhentikan pengeluarannya pada tahun 2013.

    Walaupun muncul sebagai sebuah konsep, trak itu nanti bakal menunjukkan ciri utama yang ada pada versi produksi dan hanya sedikit perubahan sahaja akan dilakukan. Walaupun sudah disahkan untuk pasaran Brazil, Volkswagen memberitahu terdapat juga kemungkinan trak ini akan diperkenalkan kepada pasaran lain yang berpotensi. Sebelum ini, Volkswagen juga pernah menunjukkan sebuah lagi trak yang menggunakan platform MQB iaitu Atlas Tanoak.

    GALERI: Volkswagen Atlas Tanoak Concept

     
     
  • Kia Forte GT pasaran Amerika akan didedahkan di SEMA 2018 – 1.6 liter turbo, 201 hp dan tork 264 Nm

    Kia Forte GT pasaran Amerika akan didedahkan di SEMA 2018 – 1.6 liter turbo, 201 hp dan tork 264 Nm

    2020 Forte GT

    Setelah sedan Kia K3 GT membuat penampilan di Korea Selatan awal bulan ini, kini model paling berkuasa dalam barisan model K3/Forte/Cerato generasi keempat tersebut bakal membuat penampilannya di Amerika Syarikat. Kia Forte GT berkenaan akan didedahkan pada acara kenderaan ubahsuai tahunan terbesar di negara tersebut iaitu pertunjukan Specialty Equipment Market Association atau lebih dikenali sebagai SEMA Show.

    Berbeza dengan model standard yang dijana enjin petrol NA Nu 2.0 liter kitaran Atkinson berkuasa 147 hp/180 Nm dengan kotak gear CVT, perut model GT ini disumbat dengan enjin 1.6 liter Gamma dengan suapan turbo dan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang mampu menghasilkan 201 hp dan tork maksima 264 Nm. Pada pasaran Korea, ia hanya ditawarkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, namun untuk pasaran Amerika ia turut diberikan pilihan transmisi manual enam-kelajuan.

    Untuk suspensi, sistem torsion beam pada model standard digantikan dengan suspensi bebas jenis multilink pada versi GT ini. Bukan itu sahaja, bahagian berkenaan turut diberikan bar anti oleng dengan diameter lebih besar bagi memberikan pengendalian, keselesaan, kestabilan dan kebolehan mengambil selekoh yang lebih baik.

    Kia Forte GT pasaran Amerika akan didedahkan di SEMA 2018 – 1.6 liter turbo, 201 hp dan tork 264 Nm

    Kuasa enjin yang lebih besar ini juga hadir sekali sistem brek yang lebih besar pada bahagian hadapan bagi mendapatkan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Manakala untuk roda pula, rim pelbagai jejari 18-inci yang dibekalkan dibalut dengan tayar berprestasi Michelin Pilot Sport 4.

    Kia Forte GT ini juga tampil dengan rupa lebih garang dari model biasa. Bahagian hadapan diberikan bampar yang lebih agresif bersama gril mesh kemasan hitam berkilat dan serlahan berwarna merah di dalamnya, bersama kelengkapan lain pada keseluruhan badan termasuk cermin sisi berwarna hitam, skirt sisi lebih labuh, spoiler pada but belakang dan juga sistem ekzos dengan dua tip yang lebih sporty.

    Masuk ke kabin, aura prestasi diberikan menerusi pemadanan tempat duduk sport yang dibalut dengan fabrik hitam dan jahitan benang merah, roda stereng rata di bawah, set pedal aloi, dan juga lampu suasana LED. Kesemua perincian yang dinyatakan ini adalah ciri standard untuk semua model Forte GT, dan sedan ini sebenarnya hadir dengan tiga varian iaitu GT, GT1 dan GT2.

    Untuk varian GT, ia diberikan lampu hadapan LED dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Varian GT1 pula ditambah dengan bumbung suria, sistem penghawa dingin dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, paparan skrin LCD 4.2-inci pada panel instrumen dan juga sistem bunyi 320-watt dari Harman Kardon yang dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Manakala versi tertinggi GT2, ia diberikan tempat duduk Sofino GT dengan liang dan pemanas serta larasan berkuasa 10-hala pada bahagian pemandu.

    Bagi ciri keselamatan, kesemua varian menerima Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Amaran Keluar Laluan (LDW), Bantuan Kekal Lorong-Garisan (LKA-Line) serta Amaran Tumpuan Pemandu. Bagi varian GT1, ia turut disertakan dengan Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW) dengan Bantuan Tukar Lorong (LCA) dan Amaran Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCW), manakala versi GT2 ditambah dengan Smart Cruise Control (SCC).

    Selain model GT sebenar ini, Kia turut mengesahkan model ‘acah-acah’ GT turut akan diperkenalkan dikenali sebagai Kia Forte GT-Line. Ia menampilkan rupa garang seperti versi GT ini, tetapi dijana enjin 2.0 liter NA dan kotak gear CVT sama seperti model standard.

     
     
  • Formula 4 SEA – Ghiretti menang lima daripada enam perlumbaan di Thailand, pelumba M’sia naik podium

    Formula 4 SEA – Ghiretti menang lima daripada enam perlumbaan di Thailand, pelumba M’sia naik podium

    Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) hujung minggu lalu beralih pula ke Litar Antarabangsa Buriram bagi pusingan kelima dan keenam musim ini. Seperti dijangka, pelumba Perancis, Alessandro Ghiretti memenangi lima daripada enam perlumbaan dalam tempoh tiga hari, sementara pelumba Malaysia, Alister Yoong dan Muizz Musyaffa masing-masing menduduki kedudukan podium kedua dan kelima.

    Ghiretti bermula pada petak pertama pada perlumbaan pertama, dan mengekalkan kedudukan itu selepas memulakan perlumbaan dengan baik. Beliau diikuti rapat oleh pelumba Thailand, Kane Shepherd dan Muizz. Muizz juga sempat merapatkan jurang dengan Kane, sebelum akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan ditangga kedua.

    Perlumbaan kedua pula menyaksikan saingat lebih sengit. Aksi getir antaranya ketika Muizz berlanggar dengan pelumba Jepun, Ryo Komikado. Selepas perlumbaan dimulakan semula, Ghiretti yang berada di petak pertama dipintas oleh pelumba Ireland, Luke Thompson di selekoh pertama, sebelum diasak pula oleh Sheperd sedikit di belakang. Mereka kemudiannya dapat memotong semula Thompson, dengan Ghiretti berada paling depan hingga akhir. Pelumba Belgium, Antoine Potty berjaya berada di kedudukan ketiga dan turut sama naik podium.

    Formula 4 SEA – Ghiretti menang lima daripada enam perlumbaan di Thailand, pelumba M’sia naik podium

    Perlumbaan ketiga menyaksikan Thompson berada di petak pertama, tetapi Alister Yoong sempat mencuri kedudukan pendahulu di selekoh pertama. Namun itu tidak bertahan lama; di selekoh ketiga, Sheperd dan Ghiretti berjaya memintas Alister. Perlumbaan berlangsung dengan persaingan sengit, sebelum sekali lagi Ghiretti sekali lagi di depan bagi kali ketiga berturut-turut.

    Alister Yoong sekali lagi bermula dengan baik pada perlumbaan keempat, dan memotong Shepherd dan Ghiretti yang bermula di depan. Namun, beliau didapati melakukan “jump start” dan dikenakan denda 30 saat, meletakkannya di kedudukan keenam. Di akhir perlumbaan, Ghiretti, Shepherd dan Muizz berjaya menduduki podium.

    Ghiretti dan Shepherd sekali lagi membuktikan prestasi terbaik mereka pada perlumbaan kelima. Walaupun Ryo Komikado dan Antoine Potty bermula di depan, Ghiretti dan Shepherd tetap berjaya mengasak. Ryo yang ketinggalan kemudiannya terpaksa berdepan pula dengan Muizz. Bagaimanapun, Alister berjaya memintas kedua-duanya di selekoh dan berada ditempat ke empat.

    Namun debaran perlumbaan itu masih belum berakhir. Aksi Shepherd terbabas dan kemudiannya terpaksa berada di belakang Alister dan Muizz dan kemudiannnya tetap berjaya memintas kedua-dua pelumba Malaysia itu sangat mengkagumkan. Bagaimanapun, dihujung perlumbaan, Muizz dan Alister dapat merampas semula kedudukan podium kedua dan ketiga.

    Hanya pada perlumbaan keenam barulah kemaraan Ghiretti dapat disekat. Itu dilakukan oleh Shepherd yang sekali lagi menunjukkan semangat lumba yang tinggi – beliau berjaya memintas pelumba kedudukan pertama, Thompson dalam pusingan permulaan. Ia berakhir dengan Shepherd berhasil meraih kemenangan selaku pelumba tuan rumah.

    Dengan persembahan yang konsisten, Ghiretti sekali lagi muncul juara bagi keseluruhan perlumbaan, dengan mengumpul 80 dan 63 mata berbanding Shepherd yang hanya meraih 54 mata bagi kedua-dua perlumbaan berkenaan. Perlumbaan terakhir siri ini akan berlangsung di Sepang empat minggu dari sekarang.

     
     
  • Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Ford akan turun ke pameran SEMA di Amerika Syarikat dengan membawa pelbagai model, tetapi yang paling banyak variasi adalah Ranger 2019. Syarikat itu akan mempamerkan tujuh Ranger yang diubah suai khas dengan lebih 150 kelengkapan prestasi serta aksesori, yang akan ditawarkan apabila trak pikap itu dilancarkan di sana tahun hadapan.

    Model pertama adalah Ranger Pre-Runner, yang boleh dilihat di atas. Ia dibina oleh Ford Performance, dan menunjukkan kemampuan serba boleh kenderaan ini; dipasang dengan pakej off-road FX4, differential belakang boleh kunci secara elektronik serta suspensi Fox/BDS yang lebih tinggi tiga inci bersama penyerap khas.

    Turut dipasang pada model ini adalah kit upper control arm BDS, ekzos jenis cat-back oleh Ford Performance dan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar BFGoodrich High-Performance All-Terrain KO2 – tetapan sama seperti Ranger Raptor.

    Aksesori offroad lain yang ada pada Pre-Runner ini termasuk bampar hadapan dengan skid plate dan bampar belakang Desert Racer, pemijak tepi berlampu Rock Slider, rak belakang Addictive Desert Design dengan lampu LED, serta kit lampu offroad.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Versi seterusnya adalah Ranger Base Camp, yang juga disiapkan oleh Ford Performance. Ia dilengkapi dengan kit suspensi Fox/BDS yang lebih tinggi tiga inci dan penyerap off-road, kit upper control arm BDS, skid plate serta pelindung differential. Bampar hadapan adalah daripada Ascent manakala bampar belakang, winch hadapan serta pelindung gril adalah daripada Warn Industries.

    Sepanjang A-pillar kenderaan ini anda boleh melihat ia mempunyai snorkel yang membantu penyampaian udara kepada enjin, dan ia dipasang dengan rim 18 inci yang dibalut tayar BFGoodrich All-Terrain KO2. Sistem lampu turut diambil penting pada versi ini, dan ia dipasang dengan unit daripada Rigid, termasuk di bahagian belakang.

    Aksesori lain yang ada pada Ranger Base Camp ini adalah bakul bumbung Skinny Warrior, kit rak Outpost, pelindung hujan Slim Shady serta tapak-tapak khas lain. Bahagian dalam turut dinaik taraf dengan plet tepi pintu krom hitam, lapisan lantai tahan hujan serta sistem keselamatan yang lebih baik.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Model ketiga adalah Xbox Ranger oleh Addictive Desert Designs. Di dalam kenderaan ini, penumpang boleh bermain permainan video di tempat duduk belakang, yang mana tempat duduknya hanya ada dua dan konsol Xbox One Xs dipasang secara terus di situ.

    Selain ciri itu, kenderaan ini turut dipasang dengan upper control arm dan kit peninggi BDS Suspension, rim Rev 883 17 inci dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3, bampar depan dan belakang khas, rak atas HoneyBadger bersama pengangkat tayar serta lampu LED tambahan daripada Rigid.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Satu lagi model, Ranger Project Nightfall pula menggabungkan kemampuan offroad dengan penampilan yang bergaya. Senarai aksesorinya bermula daripada penutup bahagian kargo belakang A.R.E. CX Revo, upper control arm BDS Suspension, pengangkat berat Airlift, penyerap hentak Fox, lengkuk roda Bushwacker, bampar Ford Performance, pemijak tepi NFab Epyx dan rim 20 inci Black Rhino Mint, dibalut tayar Cooper Discoverer STT Pro.

    Grafik yang cukup menyerlah pada model ini dicat khas oleh Lynch Concepts, dan sebahagian daripadaya, iaitu yang berwarna kelabu serta hijau terang itu adalah pelekat khas. Turut dipasang pada model ini adalah ekzos jenis cat-back serta pelindung differential oleh Borla, rak bumbung oleh Yakima JetStream dan pengangkat basikal Highroads.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Untuk mereka yang betul-betul serius dengan pemanduan offroad, versi Project Ranger X mungkin adalah pilihan yang paling sesuai. Model ini diubah suai secara khas supaya bahagian kargo belakangnya lebih panjang, dan mempunyai kotak barangan Knapheide dengan sistem rak buatan khas untuk kelengkapan yang biasa digunakan di jalan kasar.

    Barangan lain yang ada pada kenderaan ini adalah kit suspensi enam inci lebih tinggi serta upper control arm daripada BDS, penyerap hentak Fox 2.5 Factory Series DSC, sistem suspensi beg udara AirLift di belakang dan rim offroad 17 inci KMC XD Series Grenade yang dibalut tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3. Bampar hadapan turut dipasang dengan winch Aeon 10-S, dan ia mempunyai pelindung penuh di bahagian bawah kenderaan.

    Ubah suai untuk dua model lagi adalah lebih ringkas. Baja-forged Ranger menggunakan cat warna hijau askar dengan jalur hitam dan kuning di beberapa bahagian, manakala bampar depan dan belakangnya menggunakan besi berbentuk bulat. Bahagian suspensi model ini dinaikkan sedikit sahaja, dan bahagian kabin menggunakan balutan tempat duduk kulit daripada Katzkin yang berwarna hitam dan kemasan kuning.

    Model terakhir adalah Airdesign USA Ranger. Penampilan yang lebih kemas ini datang daripada kit badan offroad Airdesign, dan digabung dengan aksesori berlesen Ford yang lain seperti hiasan bawah pintu, bampar hadapan, lengkuk roda lebih lebar, corong udara di fender, skup udara depan, spoiler belakang, spoiler atas bumbung serta hiasan di tailgate.

    Bahagian mekanikal lain yang dinaik taraf adalah suspensi serta upper control arm BDS Suspension, penyerap hadapan Fox 2.5 Factory Series DSC, penyerap belakang Fox 2.0 dan rim Fuel Ripper bersaiz 20 inci dengan tayar Nitto Ridge Grappler. Kesemua tujuh Ranger yang diubah suai untuk SEMA ini menggunakan enjin petrol empat silinder 2.3 liter EcoBoost yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan dengan ciri SelectShift.

     
     
  • Ford GT Carbon Series 2019 – 18 kg lebih ringan

    Ford GT Carbon Series 2019 – 18 kg lebih ringan

    Susulan pengumuman Ford yang akan menambah lagi 350 unit bagi model prestasi GT, jenama ini turut mendedahkan lagi sebuah sportscar yang diberi nama GT Carbon Series. Model edisi istimewa ini adalah 18kg lebih ringan sekaligus menjadikannya paling ringan dalam barisan GT, dan merupakan satu-satunya yang dibina dalam masa seminggu bagi pelanggan yang menempahnya.

    Sportscar ini didatangkan dengan roda gentian karbon bersama skru titatnium, dan juga sistem ekzos titanium dan polycarbonate di belakang, sekaligus membantu mengurangkan lagi berat jentera ini.

    Di dalamnya, Ford tidak memberikan peletak cawan dan juga ruang storan di sisi bahagian pemandu yang bertujuan untuk mengurangkan beratnya. Walau bagaimana pun, ia masih dilengkapi dengan elemen lain termasuk sistem infotainmen SYNC 3 dan paling penting aliran udara yang lebih selesa.

    Ford turut berkata model baharu ini juga paling banyak menggunakan komponen gentian karbon di dalam barisan GT, bermula dengan dua jaluran pada badan, yang menyertai A-pillar dan juga panel bawah badan. Untuk dalaman, konsol tengan dan pod juga diperbuat daripada matte carbon.

    Pelanggan juga boleh memilih antara empat warna iaitu perak, jingga, merah atau biru – untuk perumah cermin sisi, jaluran tengah dan kaliper. Malahan tempat duduk juga ditampilkan dengan paten unik dengan jahitan jingga, yang juga kelihatan pada roda stereng, penukar pedal dan juga lencana unik pada panel instrumen.

    “Ini satu lagi contoh di mana kami mendengar permintaan para pelanggan. Sementa model Ford GT Competition adalah bagi pencinta pelumbaan, kami mendapati ada ramai pelanggan yang mahukan gentian karbon dengan pendingin hawa dan radio di dalam jentera sebegini. Jadi kami membangunkan Carbon Series sebagai memenuhi kehendak, dengan pandangan yang berbeza,” ujar Lance Mosley, pengurus pemasaran di Ford Performance.

     
     
  • Volvo S90 T5 Momentum kini di Malaysia – RM338,888

    Volvo S90 T5 Momentum kini di Malaysia – RM338,888

    Volvo Cars Malaysia (VCM) kini telah membawa sedan S90 dalam versi T5 Momentum ke pasaran tempatan yang diletakkan di bawah model plug-in hybrid T8 Twin Engine Inscription dan T8 Twin Engine Inscription Plus. Volvo S90 T5 Momentum ini dijual pada pasaran tempatan pada harga RM338,888, atau RM30,000 lebih murah berbanding versi asas T8 Twin Engine Inscription.

    Model ini hanya dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Drive-E tanpa bantuan motor elektrik, menjana 251 hp (254 PS) dan tork maksima 350 Nm. Kuasa dari enjin hanya menjana roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik konvensional Aisin AW TG-81SC. Ini membolehkan sedan berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

    Kemasan untuk varian Momentum ini tentunya berbeza dari versi Inscription. Pada bahagian hadapan, ia diberikan serlahan krom pada gril, dan tiada kemasan krom pada bahagian bampar disertakan. Namun, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bina dalam ‘Tukul Thor’ masih diberikan secara standard bersama fungsi larasan automatik dan lampu tinggi aktif.

    Volvo S90 T5 Momentum kini di Malaysia – RM338,888

    Pada bahagian sisi pula, model Momentum ini juga tidak diberikan kemasan krom pada bahagian bawah kesemua pintu seperti pada Inscription, manakala tip ekzos berkembar berbentuk trapezoid pada bahagian belakang digantikan dengan dua tip ekzos berbentuk bulat. Model ini dibekalkan dengan rim aloi 19-inci dengan lima jejari kembar tiga, dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 255/40R19.

    Masuk ke kabin, papan pemuka masih lagi kelihatan sama, tetapi tombol gear kristal Orrefors digantikan dengan tombol konvensional balutan kulit, sementara panel-panel lain menerima kemasan Iron Ore Aluminium. Suis pilihan mod pemanduan yang diperbuat seperti berlian juga tiada pada model ini, tetapi butang penghidup enjin masih pada kedudukan yang sama.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan pada versi T5 Momentum ini termasuk panel instrumen Adaptive Digital Display dengan paparan 12.3-inci, sistem penghawa dingin dua-zon, sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan-inci, tempat duduk Comfort balutan kulit hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, liang udara kabin belakang (pada tiang-B sahaja), kusyen peninggi bina dalam untuk kanak-kanak pada bahagian belakang dan juga kamera undur.

    Bagi sistem keselamatan pula, segala kelengakapan pada versi T8 Inscription di bawa terus pada model lebih rendah ini. Antara sistem berkenaan termasuk tujuh-beg udara, Adaptive Cruise Control, City Safety dengan Amaran Pelanggaran Hadpaan serta pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal lengkap dengan Brek Automatik Penuh, Amaran Keluar Laluan, Bantuan Kekal Lorong, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Kawalan Kestabilan Olengan, dan Kawalan Menurun Bukit. Sistem pemanduan separa automatik Pilot Assist juga diberikan bersama Park Assist dan Park Assist Pilot.

    Nak tengok kereta ini dengan lebih dekat? Volvo S90 T5 Momentum ini akan dibawa ke acara Premium Auto Car Expo (PACE) yang kami sendiri adakan di Pusat Konvensyen Setia City dari 3 hingga 4 November 2018. Khas untuk acara berkenaan, VCM akan menawarkan lima kali servis standard percuma (VSA 5+) bagi mereka yang menempah XC60 T5, S90 T5 dan XC90 T5 pada kedua-dua hari berkenaan.

     
     
  • Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

    Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

    Peraturan mewajibkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019, ditangguhkan setahun lagi iaitu dikuatkuasakan pada 2020.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, sebelum ia dilaksanakan secara mandatori, pihaknya akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang tahun 2019, laporan Bernama.

    “Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia, tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

    Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

    Menurut Loke, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

    “Diharapkan MOF menerima cadangan kami dan sekiranya terdapat sebarang pengumuman positif, kami berharap ia akan diumumkan Jumaat ini,” kata Loke.

    Mungkin ada yang beranggapan kerusi khas kanak-kanak ini agak mahal dan anda kurang berkemampuan untuk membelinya. Tetapi tolonglah fikirkan dan utamakan soal keselamatan si kecil anda. Malang tidak berbau, namun tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk memastikan agar keselamatan si kecil diletakkan di aras yang tertinggi.

    Untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar. Ini adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.

    Dan mereka juga perlu didudukkan di tempat duduk penumpang belakang, bukan di hadapan. Ini bagi menjauhkan mereka daripada beg udara hadapan yang akan terkeluar sekiranya berlaku kemalangan. Anda hanya boleh menempatkan kerusi khas kanak-kanak atau booster seat di tempat duduk hadapan sekiranya ada suis untuk mematikan beg udara di bahagian penumpang hadapan (tidak semua kereta didatangkan dengan fungsi itu), tetapi ini hanya pilihan terakhir (terutamanya jika bimbang si kecil anda mengamuk, meragam atau tantrum bila kena duduk seorang diri di belakang).

    BUkan itu sahaja, tolong jangan sesekali memangku si kecil bila duduk di hadapan, paling ‘dahsyat’ dan kurang berhemah; ketika sedang memandu. Pegangan tangan anda tidak begitu kuat untuk menahan si kecil anda sekiranya terlibat dalam kemalangan, malah ia juga sangat berbahaya bila beg udara terkeluar. Ia kemungkinan mampu memberikan kecederaan parah pada si kecil termasuk terpatah leher, tengkorak retak dan sebagainya.

    Maka, sekali lagi kami di paultan.org menyeru untuk anda mempertingkatkan lagi tahap keselamatan si kecil, berfikirlah secara rasional, betapa pentingnya penggunaan kerusi khas untuk mereka. Biarpun harus berbelanja lebih untuk membelinya, demi keselamatan si kecil, silalah pertimbangkanlah perkara ini. Bukan tunggu peraturannya dikuatkuasakan, tetapi lakukanlah sekarang.

     
     
  • Modenas Dominar 400 – harga baru diumum, RM15,488

    Modenas Dominar 400 – harga baru diumum, RM15,488

    Motosikal sports tourer dari Modenas, Dominar 400 yang dilancarkan April lalu kini diumumkan akan dijual dengan harga baru. Seperti yang diumumkan di laman Facebook rasmi Modenas, harga jualannya kini bermula dari RM15,488 berbanding harga pengenalan dahulu iaitu RM14,615 (RM13,788 jika tanpa GST). Ini melibatkan perbezaan sebanyak RM873.

    Modenas Dominar 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti 373 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm manakala tork pula 35 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini juga hadir dengan teknologi Digital Triple Spark Ignition (DTSi), empat injap, sejukan cecair serta sistem suntikan minyak.

    Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini antaranya ialah lampu utama LED penuh dengan fungsi nyalaan auto, yang membolehkan motosikal ini dilihat dari jarak sejauh 1.5 km. Selain itu, brek cakera untuk bahagian depan (320 mm) dan belakang juga disediakan, memberi daya henti yang cekap.

    Ikuti juga laporan tunggang uji ringkas yang kami lakukan. Jadi macam mana, dengan kenaikan harga ini, Dominar kekal berbaloi untuk dimiliki?