Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pemilik kereta mewah bawah 1.5L tak dapat subsidi, kaedah untuk implementasi masih dikaji – menteri

    Pemilik kereta mewah bawah 1.5L tak dapat subsidi, kaedah untuk implementasi masih dikaji – menteri

    Rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati semalam selepas menteri kewangan YB Lim Guan Eng mengumumkan dalam Bajet 2019 bahawa kereta dengan kapasiti enjin 1.5L ke bawah sahaja akan menerima subsidi 30 sen untuk seliter, bagi 100 liter pertama setiap bulan yang akan mula dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan.

    Rasa ketidakpuashatian tersebut adalah kerana terdapat banyak model terkini yang boleh dikategorikan sebagai kereta bukan untuk golongan sasar turut mempunyai kapasiti enjin di bawah 1.5L, misalnya Mercedes-Benz A200 (1.33L), Honda Civic 1.5L VTEC Turbo dan juga Volkswagen Golf 1.4 TSI. Namun menerusi laporan Berita Harian hari ini, menteri berkenaan menjelaskan bahawa pemilik ‘kereta mewah’ tidak akan tersenarai untuk menerima subsidi tersasar tersebut.

    Menurut Lim, mekanisme pemberian subsidi bahan api berkenaan juga sebenarnya masih dalam kajian. “Sebenarnya kita sedang bincang lagi mengenai faedah berkenaan supaya dapat diperluaskan kepada golongan pertengahan dan tidak hanya terhad kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40),” jelasnya.

    “Tetapi saya boleh tegaskan di sini bahawa yang mereka menaiki kereta mewah jangan haraplah,” kata Lim lagi dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Belanjawan 2019 bersama Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, di Bangunan Parlimen, hari ini.

    Dalam pembentangan Bajet semalam, menteri berkenaan turut mengumumkan bahawa motosikal dengan kapasiti 125 cc turut akan menerima subsidi yang sama tetapi hanya untuk 40 liter pertama setiap bulan.

     
     
  • Voltrix Hunter, Milano, SG60 tiba di M’sia – motosikal elektrik dengan jaminan tiga tahun, harga dari RM4k

    Voltrix Hunter, Milano, SG60 tiba di M’sia – motosikal elektrik dengan jaminan tiga tahun, harga dari RM4k

    Satu lagi jenama motosikal baru tiba di Malaysia, iaitu Voltrix dan mereka telah melancarkan tiga buah model motosikal elektrik iaitu Hunter, Milano dan SG60, dengan harga masing-masing RM4,750, RM3,950 dan RM4,950. Segala urusan pemasangan, pemasaran dan juga pengedaran motosikal ini di Malaysia dilakukan oleh syarikat BKZ Motor Sdn Bhd.

    Kesemua motosikal ini menggunakan motor elektrik jenis DC Brushless yang mendapat kuasa daripada bateri MF Lead Acid Gel, namun dengan kuasa yang berbeza. Hunter adalah yang paling berkuasa dengan motor elektrik 1200 W dan bateri 72V/20Ah, sekaligus mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1800 W dan 110 Nm tork.

    Laju maksimum model Hunter adalah 45 km/j dan dengan sekali cas penuh ia boleh bergerak sehingga 70 km. Ciri lain bagi model ini adalah berat 110 kg, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, suspensi teleskopik dan dua penyerap di belakang serta jarak kelegaan dari tanah 150 mm.

    Milano pula menggunakan motor elektrik berkuasa 800 W dan bateri berkapasiti 48V/20Ah, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1000 W dan 72 Nm tork. Laju maksimum model ini adalah 40 km/j dan setiap cas penuh boleh membawa pengguna sejauh 50 km.

    Pergi kepada SG60, model ini juga menggunakan motor elektrik berkuasa 800 W, tetapi dipadankan bersama bateri berkapasiti 60V/20Ah, menjadikan kuasanya sedikit kurang iaitu 1000 W dan 72 Nm tork. Jarak perjalanan yang boleh diberi dengan setiap cas penuh adalah 60 km dan laju maksimumnya adalah 40 km/j.

    Kesemua model Voltrix yang baru dilancarkan ini akan berada di pasaran bermula tahun 2019 dan ia didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 20,000 km secara standard. Jika mahukan jaminan tambahan sehingga 10 tahun, pembeli boleh mendapatkan pakej khas dengan bayaran tertentu. Kemudiannya, jika pemilik sedia ada mahu menukarkan motosikal Voltrix sedia ada mereka dengan model baru dalam masa lima tahun, mereka akan diberi rebat sebanyak 50%.

    Voltrix Hunter, Milano, SG60 tiba di M’sia – motosikal elektrik dengan jaminan tiga tahun, harga dari RM4k

    BKZ juga akan membangunkan program francais Voltrix untuk usahawan motosikal bumiputera dengan sokongan daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Dalam program ini terdapat tiga pakej, yang pertama adalah Oren dengan pelaburan RM20,000 yang memberikan tiga buah motosikal dan ruang pameran dalam kompleks beli-belah.

    Pakej kedua iaitu Biru memerlukan modal permulaan RM50,000 dan akan diberi dengan lima buah motosikal, ruang pameran, alat ganti, trak pusat servis serta deposit untuk trak. Pakej terakhir iaitu Perak melibatkan pelaburan RM250,000 dan datang dengan 20 buah motosikal, model bilik pameran, trak pusat servis, spa motosikal, perkhidmatan tunda serta bayaran deposit untuk trak.

    GALERI: Voltrix Hunter


    GALERI: Voltrix Milano

    GALERI: Voltrix SG60

     
     
  • paultan.org PACE 2018: Audi Q5 2.0 TFSI Quattro baharu muncul di M’sia, dilancarkan Januari 2019

    <em>paultan.org</em> PACE 2018: Audi Q5 2.0 TFSI Quattro baharu muncul di M’sia, dilancarkan Januari 2019

    Selain dari Audi Q2, Euromobil turut membawa Audi Q5 generasi baharu ke paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) yang kini sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City. Menurut wakil jualan Euromobil di sini, SUV premium berkenaan bakal dilancarkan di Malaysia pada Januari tahun hadapan, tetapi tempahannya sudah pun di buka hari ini.

    Menurut mereka lagi, SUV ini akan ditawarkan dalam versi 2.0 TFSI quattro dan akan dijual “di bawah RM360k”. Jika harga tersebut tepat, ini akan meletakkan Q5 sedikit lebih mahal berbanding saingan terusnya iaitu BMW X3 xDrive30i, Mercedes-Benz GLC 250 4Matic dan Volvo XC60 T8 Twin Engine. Ia mungkin disebabkan Q5 diimport sepenuhnya sebagai unit CBU, manakala BMW, Mercedes-Benz dan Volvo adalah model pemasangan tempatan.

    Versi 2.0 TFSI quattro ini menampilkan enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 252 hp dan tork maksima 370 Nm, atau 41 hp/20 Nm lebih berkuasa dari Mercedes-Benz GLC 250 4Matic. Enjin yang sama seperti yang boleh ditemui pada sedan Audi A4 2.0 TFSI quattro tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S tronic, dan memacu semua roda menerusi sistem AWD quattro.

    Model yang dipamerkan ini juga merupakan model yang dibawakan dari Singapura, namun ia dikatakan sama dengan versi pasaran Malaysia kelak, menampilkan ciri seperti lampu hadapan LED, rim aloi 19-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, penghawa dingin tiga-zon, paparan instrumen digital Audi Virtual Cockpit, sistem navigasi MMI plus dan MMi Touch, skrin utama 8.3-inci, kamera undur dan pintu tailgate belakang dengan sistem handsfree.

     
     
  • paultan.org PACE 2018: Volkswagen Arteon di prebiu, buat kemunculan sulung untuk pasaran Malaysia

    <em>paultan.org</em> PACE 2018: Volkswagen Arteon di prebiu, buat kemunculan sulung untuk pasaran Malaysia

    Muncul buat kali pertama di Geneva Mac tahun lalu, tiba ke Singapura awal tahun ini, dan kini coupe empat pintu Volkswagen Arteon membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

    Kereta ini belum lagi dilancarkan, sebaliknya ia adalah prebiu awal model berkenaan, dan unit yang di bawa ini adalah dari Singapura dengan spesifikasi pasaran republik berkenaan. Untuk pasaran Malaysia kelak, Arteon akan diletakkan lebih tinggi dari Passat, dan berkemungkinan tinggi mempunyai perincian yang juga lebih tinggi dari sedan segmen-D tersebut.

    Untuk pasaran Singapura, Arteon hadir dengan dua varian, tetapi hanya dijana satu pilihan enjin iaitu 2.0 liter Turbo TSI berkuasa 280 PS/350 Nm. Ia digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan dan kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Motion.

    <em>paultan.org</em> PACE 2018: Volkswagen Arteon di prebiu, buat kemunculan sulung untuk pasaran Malaysia

    Ia juga dilengkapkan dengan Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Comfort, Sport dan Individual, serta LSD elektronik XDS. Model yang dipamerkan hari ini menerima set rim Montevideo berdiameter 19-inci.

    Arteon juga menerima lampu hadapan dan belakang LED, kemasan aluminium Silver Rise, roda stereng sport balutan kulit, tempat duduk balutan kulit Nappa dengan kemasan ala-karbon bersama sulaman logo R line, lampu suasana, bumbung panaromik dan tempat duduk larasan kuasa 14-hala – namun kesemua ini masih belum disahkan akan diberikan untuk model pasaran Malaysia.

    <em>paultan.org</em> PACE 2018: Volkswagen Arteon di prebiu, buat kemunculan sulung untuk pasaran Malaysia

    Arteon juga diberikan paparan instrumen digital Active Info Display bersaiz 12.3-inci bersama paparan head up, manakala sistem infotainmen pula dilengkapkan dengan sistem Discover Pro terdiri dari skrin sesentuh 9.2-inci, sistem audio Dynaudio 700-watt bersama 12 pembesar suara dan juga amplifier digital 12 saluran.

    Walaupun model ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, ia mungkin hanya akan masuk ke pasaran tempatan secara rasmi pada tahun hadapan. Jadi bagi mereka yang benar-benar berminat dengan model empat pintu yang begitu menggiurkan ini, harap bersabarlah sedikit ya.

     
     
  • paultan.org PACE: Audi Q2 Sport 1.4 TFSI kini boleh ditempah – harga dijangka RM230k, tiba hujung 2018

    <em>paultan.org</em> PACE: Audi Q2 Sport 1.4 TFSI kini boleh ditempah – harga dijangka RM230k, tiba hujung 2018

    Crossover Audi Q2 hari ini didedahkan di Malaysia buat pertama kali menerusi acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City. Model berkenaan diletakkan bersama Audi Q5 generasi kedua di booth Euromobil, iaitu pengedar sah Audi di Malaysia. Walau bagaimanapun, kereta ini masih belum dilancarkan secara rasmi di sini, di mana model yang di bawa berkenaan adalah spesifikasi pasaran Singapura, namun untuk anda berminat ia sudahpun mula boleh ditempah.

    Audi Q2 ini didedahkan buat pertama kali pada peringkat global di Geneva Motor Show, Mac 2016 dan ia merupakan crossover paling kompak dalam barisan model Q jenama tersebut, yang terdiri dari Q3, Q5, dan Q7. Dengan panjang 4,191 mm dan lebar 1,794 mm, model ini berhadapan terus dengan BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA dalam pasaran. Berbanding Audi Q3 generasi pertama, model ini adalah 197 mm lebih pendek dan 37 mm kurang lebar.

    Untuk pasaran Malaysia, kita akan menerima Q2 dalam versi TFSI COD S Tronic. Varian berkenaan menampilkan enjin 1.4 lter turbo berkuasa 150 hp/250 Nm – enjin yang sama menjana SUV Volkswagen Tiguan. Kuasa dari enjin disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan S Tronic.

    Abjad “COD” pada model ini bermaksud “cylinder on demand” iaitu sistem enjin yang mampu beroperasi dengan dua silinder “dimatikan” ketika bergerak secara pada kelajuan tetap serta putaran enjin berada pada kelajuan 1,400 dan 3,200 rpm. Ini membolehkan kadar penggunaan bahan api model tersebut mencapai 5.3 liter untuk setiap 100 km, atau 18.9 km/l. Pecutan dari 0-100 km/j pula dicatatkan dalam masa 8.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 212 km/j.

    Model pasaran Malaysia juga hadir dalam kemasan Sport – menampilkan rupa yang lebih premium dan sporty berbanding versi standard yang di bawa untuk di prebiu hari ini. Kereta yang dipamerkan ini juga menerima enjin 1.4 TFSI COD dan kotak gear S tronic, bersama rim 17-inci kemasan lima-jejari V. Walau bagaimanapun, Audi turut menawarkan rim sport 18- dan 19-inci untuk SUV kompak ini.

    Menurut wakil jualan Euromobil, model Q2 CBU yang diimport sepenuhnya akan tiba ke Malaysia pada penghujung tahun ini dan bakal dijual pada harga di bawah RM230k.

     
     
  • BAJET 2019: Pas bulanan RM100 bagi penggunaan tanpa had RapidKL, tambahan bas percuma GoKL

    BAJET 2019: Pas bulanan RM100 bagi penggunaan tanpa had RapidKL, tambahan bas percuma GoKL

    Satu lagi aspek yang turut diberi perhatian di dalam Belanjawan 2019 ialah berkaitan pengangkutan awam. Dengan sasaran untuk meningkatkan kadar penggunaannya berbanding pemilikan kenderaan persendirian, kerajaan akan memberikan beberapa inisiatif untuk menggalakkan peralihan penggunaan pengangkutan awam.

    Untuk ini, pas bulanan RM100 dengan penggunaan tanpa had akan diperkenalkan kepada orang ramai yang menggunakan perkhdmatan tren dan bas selenggaraan RapidKL bermula 1 Januari 2019 ini. Selain itu, pas bulanan RM50 turut akan ditawarkan bagi penggunaan pekhidmatan bas RapidKL, juga tanpa had.

    Ini akan meliputi perkhidmatan sejumlah bas yang disediakan Rapid di seluruh negara. Antaranya 1,131 bas RapidKL, 408 bas Rapid Penang, 69 bas Rapid Kuantan dan 300 bas perantara MRT. Untuk melaksanakan perkara ini, kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM240 juta.

    Selain itu, DBKL juga akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi menyediakan perkhidmatan tambahan bas GoKL secara percuma, selain daripada empat laluan sedia ada ketika ini.

     
     
  • BAJET 2019: Tiada kenaikan tol lebuhraya dalam bandar; tol percuma motosikal ke P. Pinang, Singapura

    BAJET 2019: Tiada kenaikan tol lebuhraya dalam bandar; tol percuma motosikal ke P. Pinang, Singapura

    Ini pula antara berita paling ditunggu-tunggu ramai orang; berkaitan kadar tol. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa bagi tahun 2019, sebarang kenaikan kadar tol bagi lebuhraya dalam bandar akan dibekukan sepenuhnya.

    Ini bermakna, sepanjang tahun hadapan, tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga tol – bagi lingkaran lebuhraya dalam bandar, dan bukannya lebuhraya antara bandar. Langkah ini akan melibatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM700 juta.

    Selain itu, berita baik untuk semua penunggang motosikal; anda tidak lagi perlu mambayar tol bagi laluan masuk ke Pulau Pinang dan juga Singapura. Ini melibatkan kedua-dua laluan di Jambatan Pulau Pinang pertama dan kedua, serta laluan kedua Johor-Singapura.

    Menurut Lim, langkah ini meyaksikan kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan tol percuma bagi motosikal ini. Semua ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2019 nanti. Macam mana, lega sedikit bagi yang selalu berulang-alik, kan?

     
     
  • BAJET 2019: Subsidi RON 95 30 sen seliter untuk kereta 1.5L, motosikal 125 cc bermula suku kedua 2019

    BAJET 2019: Subsidi RON 95 30 sen seliter untuk kereta 1.5L, motosikal 125 cc bermula suku kedua 2019

    Menerusi belanjawan yang sedang dibentangkan di parlimen oleh menteri kewangan Lim Guan Eng, kerajaan bakal memberikan subsidi bersasar untuk petrol RON95 berjumlah 30 sen seliter kepada kereta dengan kapasiti di bawah 1.5L dan motorsikal di bawah 125 cc bermula suku kedua tahun hadapan.

    Walau bagaimanapun, subsidi bersasar berkenaan adalah terhad sebanyak 100 liter untuk sebuah kereta dan juga 40 liter untuk motosikal. Kerajaan juga masih belum mengumumkan bagaimana sistem berkenaan akan dijalankan.

    Buat masa sekarang, RON 95 ditetapkan pada kadar RM2.20 dan segala lebihan harga terhadap bahan bakar berkenaan adalah diserap sebagai subsidi pukal oleh kerajaan. Dalam pengumuman hari ini, kerajaan juga masih belum menjelaskan adakah harga RON 95 akan diapungkan seperti RON 97 dan hanya mereka yang layak yang akan menerima subsidi, atau ia masih kekal dengan harga RM2.20 seliter.

    Perincian penuh berkenaan Bajet 2019 yang berkaitan automotif dan isu berkenaan jalan raya dan pengangkutan pada PAUTAN INI.

     
     
  • Berita langsung Bajet 2019 (auto/pengangkutan)

    Berita langsung Bajet 2019 (auto/pengangkutan)

    Belanjawan Malaysia 2019 bakal dibentangkan oleh menteri kewangan Lim Guan Eng pada petang ini. Kami akan membawakan berita secara langsung segala pengumuman berkaitan automotif dan pengangkutan dari pembentangan tersebut di sini.

    Tol

    • Kenaikan bayaran tol untuk tol-tol antara bandar akan dibekukan pada tahun 2019, dengan kos RM700 juta.
    • Tol untuk motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan juga di LinKedua Johor Bahru-Singapura bermula 1 Januari 2019, dengan kos dijangka RM20 juta.

    Subsidi Bahan Api

    • Subsidi bersasar untuk petrol RON 95 akan diberikan kepada kereta berkapasiti 1.5L dan motosikal 125 cc sebanyak 30 sen seliter.
    • Namun ia hanya dihadkan kepada 100 liter untuk kereta dan 40 liter untuk motosikal . Ini akan memberikan manfaat kepada empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal .
    • Mekanisma untuk menjalankan pemberian subsidi bersasar ini juga masih belum diumumkan dan langkah ini mungkin akan menyebabkan harga petrol RON 95 turut akan diapungkan seperti RON 97.

    Pengangkutan Awam

    • Pas bulanan dengan akses tanpa had-Kerajaan akan menyediakan RM240 juta untuk memperkenalkan pas akses bulanan tanpa had untuk pengangkutan awam bermula 1 Januari 2019. Pas bulanan tersebut boleh digunakan untuk semua servis rel bandar dan servis bas RapidKL. Pas bulanan RM50 dengan akses tanpa had untuk bas RapidKL sahaja turut ditawarkan.

    MRT 2

    • Projek ini akan diteruskan dengan kos yang berjaya diturunkan dari RM39.3 bilion kepada RM30.5 bilion – penjimatan sebanyak RM8.8 bilion atau 22.4%

    LRT 3

    • Turut akan diteruskan dan kos dikurangkan dari RM31.6 bilion kepada RM16.6 bilion, penjimatan sebanyak RM15 bilion, atau 47%.
     
     
  • UMW Toyota Motor serah operasi pusat 3S Prai dan Pulau Pinang kepada Netz Toyota Tama dari Jepun

    UMW Toyota Motor serah operasi pusat 3S Prai dan Pulau Pinang kepada Netz Toyota Tama dari Jepun

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan bahawa dua pusat 3S milik mereka yang terletak di Prai dan Pulau Pinang akan diserahkan kepada rakan asingnya iaitu Toyota Netz Tama bermula 1 November 2018. langkah ini adalah bersesuaian dengan pengumuman syarikat tersebut bahawa mereka akan menyerahkan operasi peruncitannya kepada pengedar dan pihak lain yang relevan bagi menumpukan perhatian kepada pembangunan produk, pemasaran dan juga sokongan pengedar.

    Bagi yang belum mengetahui, Netz Toyota Tama adalah syarikat yang mempunyai sejarah hampir 60 tahun bersama Toyota, dengan 29 jaringan pengedar jenama tersebut di Tokyo adalah milik Toyota Netz yang mensasarkan pasaran golongan muda. Syarikat tersebut juga mempunyai 33 fasiliti jualan “Corolla” di bahagian barat Tokyo.

    Dengan perpindahan operasi ini, S&D Tama Malaysia iaitu badan tempatan Netz Toyota Tama di sini akan mengambil alih pengurusan pusat 3S di Prai dan Pulau Pinang dari UMWT. Kedua-dua fasiliti tersebut mempunyai jumlah jualan tahunan yang digabungkan berjumlah sekitar 2,000 unit, dan menservis sehingga 50,000 kereta setahun. Kedua-dua pusat berkenaan dikendalikan oleh 140 orang kakitangan.

    “Setahun lalu, kami mengumumkan bahawa operasi runcit kami akan dipindahkan ke pengedar bagi memberikan lebih tumpuan kepada operasi dan khidmat pelanggan, manakala UMW Toyota Motor akan menumpukan konsentrasi kepada aktiviti nilai tambah seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan jaringan pengedar. Sehingga hari ini, kebanyakkan pengendalian cawangan sedia ada kami telah dipindahkan,” kata presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

    “Kami berbangga dan mengalu-alukan S&D Tama Malaysia ke jaringan Toyota di Malaysia. Mereka membawa sekali pengalaman hampir 60 tahun dalam melayan pelanggan Toyota dan terkenal sebagai pengedar terbaik untuk kepuasan pelanggan di Jepun. Kami jangkakan S&D Tama mampu untuk menggembirakan pelanggan kami di Malaysia,” kata naib pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

    “Sejak kewujudan kami pada 1960, syarikat kami di Jepun sentiasa berusaha untuk melayan para pelanggan dan memberikan keselesaan untuk orang ramai. Kami percaya bahawa perniagaan Toyota di pasaran Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan kami mahu menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan tersebut,” tambah presiden S&D Tama Malaysia, Katsuhiko Tamura.

     
     
  • Subaru keluarkan panggilan semula global; masalah pada spring injap enjin dan paparan pelbagai info

    Subaru keluarkan panggilan semula global; masalah pada spring injap enjin dan paparan pelbagai info

    Subaru telah mengeluarkan panggilan semula untuk peringkat global atas dua isu yang dikesan pada model-model mereka iaitu masalah pada spring injap enjin dan juga kluster paparan pelbagai-info. Pengedar Subaru di Malaysia iaitu Motor Image telah mengesahkan bahawa model-model pasaran tempatan turut terlibat dengan panggilan semula ini.

    Bagi isu spring injap, model yang terlibat adalah kenderaan-kenderaan yang diproduksi bermula 16 Januari 2012 hingga 14 Mei 2013. Enjin-enjin yng terlibat adalah enjin boxer empat-silinder FA20 dan FB20 yang terdapat pada Subaru BRZ 2013, Subaru Legacy/Outback 2013-2014, Subaru Forester 2012-2014 dan Subaru Impreza/XV 2012-2014.

    Menurut Subaru, spring injap pada enjin-enjin terlibat berkemungkinan boleh patah pada situasi beban tinggi, seterusnya menyebabkan enjin mati dan tidak boleh dihidupkan semula atau menghasilkan bunyi yang tidak normal. Pemilik-pemilik model yang terjejas perlu ke wakil Subaru masing-masing untuk menukar komponen berkenaan bagi mengelakkan ia berlaku.

    Subaru keluarkan panggilan semula global; masalah pada spring injap enjin dan paparan pelbagai info

    Manakala untuk masalah paparan pelbagai-info pula, Subaru menyatakan bahawa isu pada program perisian mungkin boleh menyebabkan data yang tidak tepat dipaparkan berkenaan jumlah bahan api dan juga jarak perjalanan. Masalah ini melibatkan model Subaru Legacy/Outback tahun 2018 yang diproduksi sebelum 1 Ogos 2018.

    Motor Image menjelaskan bahawa mereka akan berhubung dengan pelanggan-pelanggan yang terlibat di Malaysia, manakala segala kos pembaikan termasuk alat ganti dan kos buruh adalah percuma.

     
     
  • VIDEO: Polestar 1 – GT-Hibrid dengan badan gentian karbon jalani ujian pelanggaran buat kali pertama

    Selalunya kita disajikan dengan video-video ujian pelanggaran terhadap kereta-kereta biasa dengan badan logam konvensional, jadi bagaimana rupa sebenarnya jika sebuah kereta berprestasi dengan badan yang dibuat daripada material berteknologi tinggi seperti gentian karbon ketika menjalani ujian yang sama?

    Umum mengetahui bahawa Polestar kini bukan lagi badan penala untuk Volvo, tetapi sebuah jenama bebas yang membina kereta sport sendiri dan telah pun mendedahkan model pertamanya iaitu Polestar 1. Namun sebagai sebuah jenama yang masih di bawah payung Volvo, pembinaan kereta tersebut walaupun kearah prestasi tinggi, aspek keselamatannya masih lagi dibayangi jenama Sweden berkenaan. Oleh itu, GT-hibrid dengan badan bahan polimer diperkukuh gentian karbon (CFRP) turut tidak terlepas dari ujian ketat bagi aspek keselamatan.

    Produksi prototaip yang telah disahkan untuk Polestar 1 kini telah pun bermula, membolehkan syarikat tersebut mengambil salah satu daripadanya untuk menjalani ujian pelanggaran. Ini juga kali pertama Volvo dan Polestar membuat eksperimen terhadap badan CFRP tersebut dan membuat penyelidikan dalam situasi pelanggaran sebenar.

    VIDEO: Polestar 1 – GT-Hibrid dengan badan gentian karbon jalani ujian pelanggaran buat kali pertama

    Polestar 1 carbon body + drivetrain

    Tidak seperti badan logam biasa yang secara normal akan lekuk atau bengkok, gentian karbon memindahkan tenaga ketika kemalangan dengan meretak atau pecah dan ia memerlukan tahap kejureteraan lebih tinggi. Polestar akan memberikan perhatian terhadap reaksi material tersebut ketika berhadapan impak yang kuat.

    Menurut Polestar, dengan prosedur ujian baharu ini, mereka mahu menyediakan kereta mereka untuk bersedia berhadapan dengan sesuatu yang tidak diduga seperti kemalangan. Jadi, unit-unit prototaip yang telah disahkan tersebut akan menjalani pelbagai ujian pelanggaran dalam kelajuan dan sudut yang berbeza.

    Dalam video ujian di atas, unit prototaip tersebut diuji dalam rempuhan berhadapan terhadap penghadang statik dalam kelajuan 56 km/j (35 bs/j). Dapat diperhatikan kebanyakkan tenaga dari impak berkenaan diserap oleh struktur badan yang memang direka bagi berhadan dengan pelanggaran. Manakala panel-panel badan luaran yang menggunakan CFRP tersebut kelihatan begitu fleksible tidak seperti panel logam biasa.

    VIDEO: Polestar 1 – GT-Hibrid dengan badan gentian karbon jalani ujian pelanggaran buat kali pertama

    “Kami sangat teruja dengan ujian pelanggaran ini. Ujian pelanggaran pertama Polestar 1 adalah untuk meneroka apa yang kita tidak tahu. Ini merupakan bukti penting dalam pembangunan Polestar 1; kami perlu tahu bahawa idea dan juga pengiraan yang telah dibuat semasa pembinaan kereta ini adalah tepat – dan ia sudah tentu,” jelas CEP Polestar Thomas Ingenlath berkenaan ujian tersebut.

    Ujian pelanggaran Polestar 1 ini akan disambung minggu hadapan. Ia dilakukan di Volvo Cars Safety Center yang terletak di Gothenburg, Sweden, iaitu tempat yang sama kereta-kereta Volvo yang diakui sangat selamat menjalani pelbagai ujian simulasi dunia sebenar.

     
     
  • Laluan Senawang-Pedas Linggi arah selatan ditutup secara berperingkat mulai 7 hingga 22 Nov – PLUS

    Laluan Senawang-Pedas Linggi arah selatan ditutup secara berperingkat mulai 7 hingga 22 Nov – PLUS

    Sebahagian lorong di laluan Senawang ke Pedas Linggi (arah selatan) antara Kilometer (KM) 251.60 dan 247.60 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ditutup sementara secara berperingkat bagi kerja-kerja penyelenggaran jalan.

    Menurut PLUS, kerja-kerja penyelenggaraan itu akan bermula pada 9 malam sehingga 8 malam keesokannya pada tiga tempoh yang ditetapkan iaitu pada 7 hingga 8 November, 11 hingga 15 November dan 21 hingga 22 November.

    Manakala 7 hingga 8 November, kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan km249.3 hingga KM248.3, 11 hingga 15 November (KM249.7 hingga KM248.6) dan 21 hingga 22 November (KM249.3 hingga KM248.3).

    Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lokasi itu akan dihentikan sementara pada 2 hingga 6 November bagi memastikan perjalanan trafik lancar sempena perayaan Deepavali. Justeru, PLUS menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan itu supaya merancang perjalanan, mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan oleh PLUS.

     
     
  • Toyota Camry 2.5V 2019 bagi spesifikasi pasaran Malaysia disiar – tempahan dibuka, harga dari RM190k

    Toyota Camry 2.5V 2019 bagi spesifikasi pasaran Malaysia disiar – tempahan dibuka, harga dari RM190k

    Perincian penuh dan spesifikasi bagi Toyota Camry 2019 baharu telah pun diumumkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT). Camry generasi ke-lapan ini memasuki pasaran Malaysia dengan spesifikasi tunggal 2.5V, berharga RM189,900 atas jalan tidak termasuk insurans. Tempahannya telah pun mula dibuka, namun harganya diklasifikasikan sebagai “jangkaan”.

    Selain imej yang lebih bergaya, Camry 2019 ini juga menggunakan platfrom Toyota New Global Architecture (TNGA) untuk meningkatkan lagi kestabilan, ketegaran dan keselamatannya.

    Camry baharu ini juga lebih panjang (+35 mm menjadi 4,885 mm), lebih lebar (+15 mm menjadi 1,840 mm) dan lebih rendah berbanding sebelum ini (-25 mm for 1,445 mm). Manakala jarak rodanya pula 2,825 mm wheelbase iaitu 50 mm lebih panjang, bermakna overhang juga lebih pendek.

    Toyota Camry 2.5V 2019 bagi spesifikasi pasaran Malaysia disiar – tempahan dibuka, harga dari RM190k

    Suspensinya pula didatangkan dengan topang MacPherson untuk hadapan dan double wishbone di belakang. Manakala roda aloi 18-inci dibaluti tayar 235/45.

    Di bawah hudnya pula, dipadankan dengan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder, yang sama dengan Camry semasa, juga digandingkan dengan transmisi auto enam-kelajuan. Unit Dual VVT-i dan ACIS ini mampu memberikan kuasa 184 PS dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm. Ini bermakna ia memberikan lebih 4 PS berbanding model semasa.

    Ini bermakna kita tidak akan menerima enjin 2.5 liter Dynamic Force terkini yang menjadi pilihan di pasaran Thailand – motor 209 PS/250 Nm, dan dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Kita juga tidak menerima varian hibrid, yang ada ditawarkan di Thailand.

    Bagi elemen yang ditampilkan, Camry 2019 didatangkan dengan lampu utama projektor bi-LED dengan lampu isyarat LED. Juga lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang LED. Semuanya LED. Lain-lain elemen luaran termasuk rin 18-inci, cermin sisi hydrophilic auto retractable (yang disambung ke memori), bilah pengelap cermin auto dan dua corong ekzos.

    Di dalamnya, sedan percana UMWT ini didatangkan dengan tempat duduk “kulit yang lembut”, tempat duduk hadapan larasan berkuasa lapan-arah (sokongan lumbar dan memori untuk tempat duduk pemandu, suis bahu dan perehat kepala boleh dilipat untuk penumpang sebelah), roda stereng boleh laras (disambung ke memori), paparan skrin sesentuh kapasitif dengan navigasi, sistem audio JBL dengan sembilan-pembesar suara, dan papan pelbagai-info berwarna tujuh-inci antara dua dail Optitron. Selain itu, ia menampilkan panel instrumen dengan paparan utama berwarna (HUD) 10-inci.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan cermin pandang belakang elektrokromik, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik (dengan penahan brek auto), pendingin hawa auto dwi-zon, tiran matahari (berkuasa untuk cermin belakang, manual untuk pintu belakang), pengecas telefon pintar tanpa wayar dan perakam video digital (dashcam).

    Untuk keselamatan, Camry baharu ini didatangkan dengan sistem Toyota Safety Sense, yang merangkumi sistem pra-pelanggaran, Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik dan Lampu Tinggi Automatik.

    Ia juga ditampilkan dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), Pemantauan Titik Buta dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, bantuan mula mendaki, pengesan parkir hadapan/belakang dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Enam warna ditawarkan iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan Burning Black CS GF. Turut ditawarkan dengan lapisan cermin solar dan keselamatan UMWT. Klik senarai harga di bawah untuk mengetahuinya.

    Toyota Camry 2.5V 2019 bagi spesifikasi pasaran Malaysia disiar – tempahan dibuka, harga dari RM190k

    GALERI: Toyota Camry 2019 spesifikasi Thailand

     
     
  • Touch ‘N Go eWallet perkenal bayaran tanpa tunai dalam kempen #JomTeksi – hanya imbas kod QR

    Touch ‘N Go eWallet perkenal bayaran tanpa tunai dalam kempen #JomTeksi  – hanya imbas kod QR

    Perkhidmatan bayaran tanpa tunai Touch ‘N Go eWallet hari ini melancarkan perkhidmatan terbaharunya, kali ini khas untuk servis teksi yang hanya memerlukan penumpang melakukan imbasan kod QR menggunakan telefon pintar bagi melunaskan tambang, tanpa memerlukan transaksi tunai dijalankan.

    Servis ini sebenarnya telah pun berjalan selama tiga bulan dan digunakan oleh 4,000 orang pemandu teksi menerusi kerjasama strategik penyedia aplikasi berkenaan iaitu TNG Digital Sdn Bhd bersama operator teksi EzCab dan Public Cab. Majlis hari ini turut melancarkan kempen #JomTeksi bertujuan untuk mempromosikan servis bayaran tanpa tunai untuk teksi tersebut.

    Untuk menggunakan aplikasi ini, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Touch ‘N Go eWallet di Google Play Store atau Apple App Store, kemudian mengisi kredit tunai di akaun berkenaan. Ketika ingin melakukan pembayaran, pengguna perlu untuk klik ikon ‘Scan’ di dalam aplikasi tersebut untuk mengimbas kod QR teksi yang dinaiki. Seterusnya, sahkan jumlah yang perlu dibayar kepada pemandu teksi (kira dan masukkan sekali bayaran tol, jika ada) dan masukkan jumlah bayaran untuk perkhidmatan teksi tersebut. Masukkan kod pin 6 digit Touch ‘n Go eWallet anda dan pembayaran telahpun disempurnakan serta notifikasi segera akan dihantar melalui SMS.

    Touch ‘N Go eWallet perkenal bayaran tanpa tunai dalam kempen #JomTeksi  – hanya imbas kod QR

    Pada masa sama, pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh melihat sejarah transaksi mereka dengan menggunakan aplikasi berkenaan bagi menyemak pembayaran atau pembelian. Menerusi sistem tanpa tunai ini, bukan sahaja memudahkan pengguna agar tidak risau jumlah tunai dalam poket atau tidak mempunyai wang kecil untuk melakukan pembayaran, malah pemandu teksi juga berasa lebih selamat dari risiko ketika membawa tunai yang banyak atau ditipu menggunakan wang yang tidak sah untuk digunakan.

    “Industri pengangkutan turut dipengaruhi perkembangan teknologi dan kepesatan era digital. Dengan kemajuan aplikasi mudah alih untuk perkhidmatan bas dan keretapi, serta peningkatan platform aplikasi ‘e-hailing’ dan perkongsian kenderaan perubahan digital telah banyak mengubah cara industri ini berkembang,” kata menteri pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook, ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.

    “Saya berbangga dengan TNG Digital kerana mengambil langkah yang proaktif ini bagi membantu pemandu teksi untuk menjadi lebih inovatif di dalam era digital, di samping memastikan industri teksi kekal mesra pengguna dan berdaya saing. Kemudahan QR untuk teksi berdaftar di Malaysia akan memodenkan industri ini sekaligus membolehkan para pemandu teksi untuk menawarkan kaedah pembayaran yang lebih cekap dan selamat untuk para penumpang. Saya menyeru pemandu teksi di seluruh negara agar melaksanakan kemudahan pembayaran tanpa tunai ini untuk terus maju ke hadapan,” tambahnya lagi.

    “Kami menyasarkan supaya 67,000 teksi berdaftar di seluruh negara bertukar kepada kaedah pembayaran QR dengan Touch ‘n Go eWallet menjelang penghujung tahun 2019 dan menjadikan mereka sebahagian daripada senarai ekosistem perusahaan kami. Kerjasama dengan EzCab dan Public Cab adalah usahasama pertama dalam memeterai pelbagai usahasama lain untuk memperkenalkan penyelesaian digital dan memperkasakan pemandu teksi. Kaedah ini dilaksanakan berdasarkan maklumbalas yang diterima untuk kita bergerak maju ke arah masyarakat tanpa tunai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin.

    Syarikat berkenaan turut mensasarkan lebih 10,000 teksi akan menggunakan aplikasi tersebut menjelang hujung tahun ini dan telah memperkenalkan program rujukan tanpa tunai bagi menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran QR di kalangan pemandu teksi dan para penumpang. Setiap pemandu teksi akan menerima 100 PIN tambah nilai Touch ‘n Go eWallet. Setiap satunya bernilai RM8 dan ianya akan diagihkan kepada para penumpang. Pemandu teksi akan mendapat insentif berjumlah RM4 bagi setiap tambah nilai yang digunakan oleh penumpang mereka (Hanya untuk pengguna Touch ‘n Go eWallet yang baru atau kali pertama).

    Selain itu, EzCab turut menawarkan promosi istimewa bernilai RM2, eksklusif untuk pengguna-pengguna Touch ‘n Go eWallet buat pertama kali dengan kod promo EZTNGD2. Kod promo ini sah bermula 1 hingga 5 November 2018 dan terhad kepada 500 PIN pertama yang ditebus setiap hari.

     
     
  • Desakan haramkan Grab tidak akan dilayan – Loke

    Desakan haramkan Grab tidak akan dilayan – Loke

    Kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan pemandu teksi yang mahu perkhidmatan syarikat e-hailing yang menggunakan kereta persendirian, khususnya Grab diharamkan, ujar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

    Menurutnya, kerajaan peka dengan permasalahan melibatkan pemandu teksi, namun isu itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh, bukan hanya menerusi pandangan pemandu teksi malah perlu dilihat daripada perspektif penumpang. Di mana kementerian telah merangka formula menang-menang untuk menjaga kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-hailing, laporan Bernama.

    “Hala tuju kita, kita nak menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-hailing, sama ada syarikat Grab atau syarikat-syarikat lain, bukan nak fokus kepada Grab saja, ada 20 hingga 30 syarikat e-hailing di negara ini, ada banyak lagi pilihan. Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baharu, kita akan ketinggalan,”ujarnya.

    Sambungnya lagi, “Kita nak bantu, bukan nak memangsakan pemandu teksi, tapi kalau ikut permintaan sebahagian pemandu teksi yang mahu kerajaan haramkan e-hailing, haramkan Grab, maka pada hari yang sama orang ramai juga akan adakan demonstrasi membantah keputusan itu.”

     
     
  • Kia dan Hyundai umum teknologi bumbung pengecas solar – tiga sistem berbeza, muncul selepas 2019

    Kia dan Hyundai umum teknologi bumbung pengecas solar – tiga sistem berbeza, muncul selepas 2019

    Kia dan Hyundai telah mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan teknologi pengecas pada bumbung untuk model-model terpilih pada masa akan datang. Teknologi tersebut akan dipadankan pada kereta-kereta yang dijana enjin pembakaran dalaman konvensional, hibrid, dan juga yang menggunakan kuasa elektrik bateri sepenuhnya (EV) – disasarkan bagi meningkatkan ekonomi penggunaan bahan api dan juga untuk menambah jarak perjalanan bagi model EV.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Hyundai Motor Group akan menghasilkan tiga jenis sistem bumbung pengecas solar untuk setiap jenis kenderaan, bagi memastikan bateri yang digunakan akan sentiasa di cas untuk mobiliti yang lebih mesra alam.

    Sistem generasi pertama akan dipadankan pada model-model hibrid, dan akan menampilkan struktur panel solar silikon yang disepadukan pada bumbung kereta standard. Dengan kaedah tersebut, sistem berkenaan mampu untuk mengecas 30 hingga 60 peratus kuasa bateri pada hari biasa, bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor alam sekitar lain.

    Untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman, ia akan menggunakan bumbung solar separa telus cahaya, yang didakwa sebagai pertama di dunia seumpanya. Sistem ini boleh disatukan dengan bumbung panaromik sedia ada, membolehkan cahaya dari luar masuk ke kabin, dalam masa yang sama bateri dapat dicas tanpa bergantung sepenuhnya kepada alternator.

    Manakala untuk kereta yang dijana elektrik dari bateri sepenuhnya, Hyundai mengatakan ia masih sedang diuji dan direka bagi dipadankan bukan sahaja pada bumbung, malah turut diletakkan pada hud hadapan bagi menghasilkan kuasa maksima.

    Sebenarnya sistem solar ini turut pernah dibangunkan oleh pengeluar lain seperti pada Toyota Prius dan juga Nissan Leaf generasi sebelum ini. Namun sistem dari Kia dan Hyundai ini tentunya membolehkan pengeluar automotif dari Korea tersebut memenuhi undang-undang alam sekitar yang kini semakin ketat.

    “Pada masa akan datang, kami jangka akan ada pelbagai lagi teknologi untuk menjana elektrik yang dipadankan pada kenderaan-kenderaan kami. Bumbung solar ini merupakan perintis kepada teknologi-teknologi tersebut, dan bermaksud automobil tidak akan menggunakan tenaga secara pasif, tetapi akan mula menghasilkannya secara aktif,” kata naib presiden eksekutif Jabatan Kejuruteraan dan Rekaan Hyundai Motor Group, Jeong-Gil Park yang juga orang bertanggungjawab membangunkan teknologi tersebut.

    “Ia merupakan pembangunan yang mengujakan untuk kami, merekabentuk teknologi untuk pemilik kenderaan bagi membantu mereka beralih dari pengguna tenaga kepada penghasil tenaga,” tambahnya lagi. Teknologi solar generasi pertama (untuk model hibrid) ini akan dilancarkan selepas 2019.

     
     
  • Mercedes-AMG C 43 4Matic facelift di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Mercedes-AMG C 43 4Matic <em>facelift</em> di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Turut mengiringi pengenalan C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line ialah versi facelift bagi model Mercedes-AMG C 43 4Matic W205, yang menggantikan model sama sebelum ini yang dilancarkan tahun lalu di sini.

    Dari segi penggayaan, AMG C43 ini dilengkapi dengan gril AMG jalur berkembar dengan sedikit kelainan pada bahagian bampar depan. Di belakang, ia lengkapi dengan bahagian diffuser dan paip ekzos bulat. Dengan penampilan luaran dari kemasan AMG Line, ia menggunakan sistem lampu utama LED Intelligent Light dengan bantuan lampu tinggi adaptif, spoiler AMG, sistem ekzos sport AMG dan rim 19-inci AMG.

    Di dalam, C 43 datang dengan panel instrumen digital 12.3-inci dengan penggayaan AMG sahaja. Ia boleh dipilih untuk memaparkan data pemanduan seperti maklumat enjin, G-force dan pemasa perlumbaan.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic <em>facelift</em> di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Skrin tengah juga menggunakan unit bersaiz 10.25-inci. Bagi sistem infotainmen, model ini menerima ciri sistem COMAND Online yang menggantikan Audio 20 GPS pada varian C 200 dan C 300. Sistem bunyi bagaimanapun masih kekal menggunakan unit Burmester.

    COMAND Online yang ada ini turut menampilkan ciri AMG Track Pace, berfungsi untuk mengumpul maklumat yang berkaitan bagi pemanduan di litar. Selain itu, sambungan ke telefon pintar melalui Apple CarPlay dan Android Auto juga ada tersedia.

    Di dalam, kemasan gentian kaca AMG menghiasi model ini, dengan perincian kemasan daripada kulit Artico. Stereng AMG yang rata di bahagian bawah juga digunakan, dengan penyudah menggunakan gentian mikro Dinamica. Tidak lupa juga tali keledar keselamatan merah.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic <em>facelift</em> di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Kelengkapan standard pula terdiri daripada kawalan pendingin hawa Thermotronic, bumbung panoramik, Keyless Go, tutup pintu boot dengan remote, kamera 360-darjah, bantuan mengekalkan lorong aktif dan bantuan titik buta.

    Enjin M276 3.0 liter turbo berkembar V6 yang digunakan pula diubah untuk memberikan output sebanyak 385 hp dan 6,100 rpm; 23 hp lebih daripada sebelum ini. Tork maksimum kekal pada 520 Nm, tetapi daya puncak kini boleh dicapai dari 2,500 rpm hingga 5,000 rpm (2,000 hingga 5,000 rpm sebelum ini).

    Padanan transmisinya menggunakan AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. C 43 ini hanya memerlukan masa 4.3 saat untuk memecut dari 0-100 km/j, sementara laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic <em>facelift</em> di Malaysia – 385 hp/520 Nm, 3.0L V6 Biturbo, harga bermula RM421,888

    Ciri serap hentak adaptif AMG Ride Control masih dikekalkan, namun ada tambahan bagi sistem AMG Dynamic Select yang akan memberi respon berbeza terhadap enjin, transmisi dan stereng. Mod Slippery juga hadir sebagai tambahan kepada Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic dipasang di Malaysia dan dijual pada harga RM421,888 atas jalan tidak termasuk insurans. MBM juga ada menyediakan pelbagai pilihan pakej pembiayaan, bermula dari RM2,688 sebulan (berdasarkan tempoh tiga tahun dengan pendahuluan sebanyak 22% bagi C 200 Avantgarde). Sehingga 31 Disember, semua pembiayaan Flex-C akan hadir dengan pakej insurans tayar dan rim bagi tahun pertama.

    Sekiranya berminat untuk meneliti model ini dengan lebih lanjut atau membuat pembelian dengan tawaran istimewa, anda boleh berkunjung ke ruang pameran Hap Seng Star ketika pameran Premium Auto Car Expo yang akan berlangsung hujung minggu ini, 3 & 4 November 2018 bertempat di Pusat Persidangan Setia City.

     
     
  • Kia Grand Carnival facelift didedahkan harga – KX dan SX, auto 8-kelajuan baharu, RM156k hingga RM185k

    Kia Grand Carnival facelift didedahkan harga – KX dan SX, auto 8-kelajuan baharu, RM156k hingga RM185k

    Kia Malaysia telah pun mengumumkan harga bagi Kia Grand Carnival facelift. Ditawarkan dengan dua varian – model rendah KX pada harga RM155,888 dan model tertinggi SX berharga RM184,888. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Secara mekanikal, kedua-duanya menggunakan enjin 2.2 liter CRDI turbodiesel yang menjana kuasa sebanyak 200 PS dan tork 441 Nm. Bagaimanapun, transmisinya kini baharu dengan automatik lapan-kelajuan menggantikan unit enam-kelajuan yang lama.

    Antara perbezaan antara dua varian ini ialah KX menggunakan gril Tiger Nose yang sama seperti sebelum ini, sementara SX hadir dengan gril biasa. Lampu utama jenis projektor halogen diberi rekaan baru, dengan DRL LED. Tidak lupa juga rekaan bampar baru – KX menerima lampu kabus halogen, sementara SX dengan lampu kabus LED “empat kiub”.

    Kia Grand Carnival facelift didedahkan harga – KX dan SX, auto 8-kelajuan baharu, RM156k hingga RM185k

    SX juga dilengkapi rim aloi 18-inci warna perak dan bukan lagi rim 19-inci krom bagi penawaran sebelumnya. Lampu belakang LED juga menerima penampilan baru, serta rekaan bampar baru dengan lampu kabus dan reflektor yang disekalikan.

    Ruang dalaman pula hadir dengan ciri standard seperti tempat duduk balutan fabrik dengan larasan lambar dua-arah, cermin pandang belakang elektrokromik, tirai bagi barisan-kedua dan -ketiga, USB dan AUX, pintu gelangsar kuasa elektrik serta stereng dengan balutan kulit.

    Bagi KX, ia turut dilengkapi dengan paparan sistem audio tujuh-inci dengan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay, kawalan udara tiga-zon, parkir brek elektronik (tiada lagi brek parkir kaki), Smart Tailgate dan pemanas stereng. Turut ditambah ialah slot pengecas pantas USB serta ruang simpanan barang yang luas di belakang konsol tengah.

    Mod Active Eco baharu juga disediakan bagi kedua-dua varian. Dengan memilih mod ini, ia akan menyelaras enjin, transmisi dan sistem pendingin hawa untuk memberikan kecekapan minyak yang terbaik. Khas untuk SX ialah paparan infotainmen lapan-inci yang lebih canggih, kerusi depan dengan larasan lapan-cara dengan memori, pengecas tanpa wayar Qi untuk telefon yang serasi serta kemasan kulit.

    Bagi ciri keselamatan, ia turut dilengkapi dengan kamera undur bagi kedua-dua varian, amaran titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, kawalan bantuan mula mendaki, ESC dan tingkap kuasa elektrik dengan ciri anti-pinch.

    GALERI: Kia Grand Carnival KX facelift 2019

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class W205 facelift dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini telah melancarkan model facelift bagi Mercedes-Benz C-Class W205 untuk pasaran tempatan. Model berkenaan ditawarkan dalam dua varian, C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line dan merupakan versi pemasangan tempatan.

    Di bahagian luaran, tidak banyak perubahan ketara yang kelihatan. Rekaan bampar baru menggunakan aspirasi dari model-model AMG; antaranya ruang aliran udara di tengah kini lebih tirus. Varian AMG Line kini hadir dengan gril diamond sebagai standard. Lampu utama juga baru; Multibeam LED dengan 84 diod dan Ultra Range high beam melengkapi model dengan spesifikasi lebih tinggi.

    Lampu belakang juga hadir dengan rekaan baru, LED dengan lampu panduan bentuk C yang baru. Bahagian bampar belakang juga diberi sentuhan baru, dengan geometri, tingkat kemasan dan penyudah ekzos yang membezakan tahap kelengkapannya. Rekaan rim juga dikemaskini.

    Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Ruang dalaman turut diberi kesegaran. Paling ketara ialah stereng baru, panel instrumen digital dengan resolusi 1,920 x 720 pixel dan bersaiz 12.3-inci (gaya paparan Classic, Sport dan Progressive). Skrin ditengah juga lebih besar, 10.25-inci.

    Untuk sistem janaan, enjin M24 baru digunakan. Varian C 200 menerima enjin 1.5 liter twin-scroll turbo, dengan kuasa 181 hp (184 PS) pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan 280 Nm tork pada 3,000 rpm hingga 4,000 rpm. Enjin berkenaan dilengkapi ciri sistem elektrik EQ Boost 48-volt dengan penghidup/alternator pacuan tali sawat, yang dapat memberikan daya tambahan sebanyak 13 hp dan 160 Nm bila diperlukan. Prestasi 0-100 km/j ialah dalam masa 7.7 saat dengan laju maksimum 239 km/j.

    Sementara itu, C 300 pula datang dengan enjin M264 2.0 liter twin-scroll dengan janaan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya; 255 hp (258 PS) pada rpm yang bagi enjin M274 1.5 liter sebelum ini (241 hp) – naik 14 hp berbanding yang lama.

    Tork maksimum kekal pada 370 Nm, tetapi boleh dicapai dari 1,800 rpm berbanding 1,300 rpm dahulu. Kemuncaknya pula adalah pada 4,000 rpm. Prestasi juga bertambah baik; 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat manakala laju maksimum 250 km/j.

    Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan, satu ciri baru bagi C 300 versi facelift ini. Satu lagi ciri tambahan terbaru bagi versi terbaru berkenaan ialah suspensi Airmatic.

    C 200 hadir dengan kemasan luaran Avantgarde, dengan bahagian tengah bamparnya disudahi dengan krom berkilat dengan gril diamond hitam. Ia menggunakan rim 18-inci. Kelengkapan lain termasuk kemasan dalaman dari kulit Artico dan kayu oak bagi Avantgarde. Selebihnya, lampu utama LED High Performance, suspensi Agility Control, Keyless Go, sistem Audio 20 GPS serta sambungan kepada telefon pintar bagi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> dilancarkan – C 200 Avantgarde dan C 300 AMG Line, dari RM260k

    Bagi sistem bantuan pemandu, selain daripada ciri bantuan parkir aktif, kamera undur dan kawalan cruise Speedtronic, C 200 Avantgarde juga kini ditambah dengan bantuan titik buta, yang beroperasi dari kelajuan 10 km/j hingga 200 km/j.

    Bagi varian C 300 pula, ia dilengkapi dengan kemasan luaran dan dalaman AMG Line. Ia menggunakan rim 19-inci AMG, dengan pilihan lain sekiranya diinginkan. Ia menggunakan lampu utama Multibeam LED dengan Ultra Range, sistem bunyi Burmester serta stereng sport AMG balutan kulit Nappa. Turut membezakan varian ini ialah bumbung panoramik elektronik, kamera 360-darjah dan Active Lane Keeping Assist yang berfungsi dalam kelajuan antara 60 km/j dan 200 km/j.

    Mercedes-Benz C 200 Avantgarde dijual pada harga RM259,888 sementara C 300 AMG Line pula pada harga RM304,888, atas jalan tidak termasuk insurans. MBM juga ada menyediakan pelbagai pilihan pakej pembiayaan, bermula dari RM2,688 sebulan (berdasarkan tempoh tiga tahun dengan pendahuluan sebanyak 22% bagi C 200 Avantgarde). Sehingga 31 Disember, semua pembiayaan Flex-C akan hadir dengan pakej insurans tayar dan tim bagi tahun pertama.

    Sekiranya berminat untuk meneliti model ini dengan lebih lanjut atau membuat pembelian dengan tawaran istimewa, anda boleh berkunjung ke ruang pameran Hap Seng Star ketika pameran Premium Auto Car Expo yang akan berlangsung hujung minggu ini, 3 & 4 November 2018 bertempat di Pusat Persidangan Setia City.

    Mercedes-Bez C 200 Avantgarde

    Mercedes-Benz C 300 AMG Line

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026