Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Kia EV9 telah dilancarkan di Singapura dengan harga SGD289,999 (sekitar RM1 juta) tanpa COE. Ditawarkan dalam kemasan GT-Line, SUV flagship elektrik sepenuhnya jenama itu hadir dengan konfigurasi enam-tempat duduk sahaja, dengan dua pilihan kerusi kapten untuk barisan kedua.

    Kia EV9 merupakan sebuah SUV saiz besar, dengan ukuran dimensinya adalah: 5,015 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,780 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,100 mm.

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Yang dilihat dalam gambar ini adalah dalam versi kerusi yang boleh dipusing 180-darjah ke kanan untuk bertentang dengan kerusi belakang. Satu lagi pilihan ialah dengan kerusi yang boleh dipusing 90-darjah ke kiri. Semua kerusi dibaluti dengan material kulit vegan, dengan kerusi depan mempunyai liang udara.

    EV9 dilengkapi antara lain dengan rim aero 19-inci, lampu luar LED, sunroof, gril dengan lampu dan corak piksel, pemegang pintu tersorok, cermin sisi digital, head-up display, kluster instrumen 12.3-inci digital, sistem dengan skrin sentuh 12.3-inci (Android Auto dan Appe CarPlay tanpa wayar), kawalan pendingin dengan corong di barisan kedua dan ketiga, pelancar pengecasan tanpa wayar, sistem bunyi Meridian 14-pembesa suara dan pintu ruang kargo berkuasa.

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Bantuan keselamatan pemandu pula terdiri daripada lapan beg udara, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, Driver Steering Assist, Auto Evasive Steering Assist, peninjau titik buta dan penghindar perlanggaran, bantuan mengekalkan lorong dengan bantuan mengikut, monitor sekeliling serta AEB.

    Untuk sistem janaan kuasa, EV9 menggunakan bateri 99.8-kWh lithium-ion polymer yang memberikan jarak perjalanan hingga 512 km mengikut standard WLTP. Pengcasan AC dan DC tersedia, dengan AC sehingga 11 kW (10-80% dalam masa lapan jam tujuh minit), sementara DC hingga 350 kW (10-80% Soc dalam masa 24 minit sahaja).

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    EV9 juga menggunakan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar untuk pacuan semua roda — dengan janaan 385 PS (380 hp atau 283 kW) dan 700 Nm tork. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam enam saat dan mencapai laju maksimum 200 km/j.

    EV9 muncul pertama kali di pasaran Asia Tenggara di Indonesia pada Ogos tahun lalu dan dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, kerana ia sudah pernah dilihat di sini.

     
     
  • Nissan Ariya Nismo diperkenal – kuasa dipertingkat sehingga 435 PS/600 Nm, casis ditambah baik

    Nissan Ariya Nismo diperkenal – kuasa dipertingkat sehingga 435 PS/600 Nm, casis ditambah baik

    Nissan telah menunjukkan Ariya Nismo di Tokyo Auto Salon 2024, dan ini adalah versi prestasi bagi SUV elektrik penuh yang pertama kali diperkenalkan kepada awam pada tahun 2020. Ia menerima beberapa perincian daripada Nismo, serta kuasa motor yang dipertingkat, untuk lebih prestasi.

    Merujuk kepada spesifikasi awal Nissan, Ariya Nismo ini akan datang dalam dua versi iaitu Nismo B6 e-4ORCE dan Nismo B9 e-4ORCE, dengan kuasa motor elektrik serta kapasiti bateri yang berbeza.

    Nismo B6 e-4ORCE diberitahu mempunyai kuasa maksimum 270 kW (367 PS) dan tork 560 Nm, datang daripada bateri 66 kWh sementara Nismo B9 e-4ORCE menyediakan 320 kW (435 PS) dan 600 Nm, bersama bateri 91 kWh.

    Pergi kepada dimensi, jarak roda kedua-dua versi Ariya Nismo ini adalah sama, iaitu 2,775 mm, tetapi B6 lebih ringan dengan mencatat 2,080 kg, manakala B9 2,210 kg. Panjang dan lebar masing-masing adalah 4,650 mm dan 1,850 mm, sementara tinggi terdapat beza iaitu 1,655 mm untuk B6 dan 1,650 ke 1,660 mm untuk B9.

    Menurut Nissan, Ariya Nismo turut mendapat talaan casis khas daripada Nismo, bersama sistem pacuan AWD elektrik e-4ORCE serta rim 29 inci bersama tayar 255/45, memberikan ia lebih stabiliti dan kemampuan mengambil selekoh.

    Turut diberitahu, pemilik boleh menambah pakej penjana bunyi pada kenderaan ini, untuk memberikan lebih keterujaan semasa memandunya. Peningkatan pada bahagian luarnya pula memberikan lebih downforce pada kelajuan tinggi, manakala peningkatan di bahagian dalam melibatkan antaranya kemasan khas serta tempat duduk Nismo.

     
     
  • Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Susulan pengumuman Menteri Pengangkutan ANthony Loke pada 21 Disember lalu bahawa golongan Orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal menikmati tambang percuma, hari ini (15 Jan 2024), permohonan untuk pas perjalanan OKU Smile telah pun mula dibuka.

    Di mana pas perjalanan ini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas dan rel Rapid KL, serta bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan mulai 1 Februari 2024.

    Menurut pengendali pengangkutan awam berkenaan, pas OKU Smile ini adalah untuk kedua-dua pemegang kad konsesi OKU sedia ada dan juga pemohon baharu. Untuk memohonnya, pemegang kad konsesi sedia ada boleh mengaktifkan paps OKU Smile di mana-mana stesen MRT, LRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih.

    Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Klik untuk besarkan

    Ini termasuklah di hab bas Rapid KL (Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam), hab bas Rapid Penang (ibu pejabat di Lorong Kulit, terminal bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kalian Kepala Batas dan Penang Sentral) dan hab bas Rapid Kuantan.

    Pastikan kad anda mempunyai kredit minimum RM5 untuk menggunakan OKU Smile. Untuk kad konsesi yang telah tamat tempoh, seseorang itu perlu memohon yang baharu. Anda boleh berbuat demikian di semua hab bas Rapid Penang, hab bas Rapid Kuantan, dan hab bas Rapid KL Pasar Seni atau stesen MRT Conlay di Laluan Putrajaya. Bawa kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengesahan. Proses pengeluaran kad mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit.

    Pengguna Rapid KL dan Kuantan juga boleh membuat permohonan secara dalam talian di www.myrapid.com.my. Anda (atau minta bantuan kenalan) perlu muat naik salinan MyKad, kad JKM OKU dan gambar pasport dengan latar belakang putih atau biru. Pemohon kemudiannya boleh memilih lokasi yang disenaraikan untuk mengambilnya. Bagi pemohon yang berjaya, kad anda akan dihantar ke lokasi yang dipilih dalam masa tiga hari bekerja.

    Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Klik untuk besarkan

    Untuk makluman, caj RM5 akan dikenakan untuk setiap kad baharu dan ia akan dimasukkan ke dalam kad anda sebagai kredit. Pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya RM5 dalam kad untuk menggunakan pas OKU Smile.

    Prasarana berkata bahawa pihaknya akan berkunjung ke beberapa pertubuhan OKU untuk menerangkan tentang pas OKU Smile, yang merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat syarikat. Kaunter aplikasi mudah alih juga akan disediakan semasa lawatan.

     
     
  • Isuzu D-Max catat jualan 9,650 unit untuk 2023 – varian 1.9L Standard paling tinggi sumbangan cecah 28%

    Isuzu D-Max catat jualan 9,650 unit untuk 2023 – varian 1.9L Standard paling tinggi sumbangan cecah 28%

    Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023

    Isuzu D-Max telah mencatatkan angka jualan yang memberangsangkan untuk tahun 2023 iaitu mencecah 9,650 unit, lebih tinggi sebanyak 439 unit berbanding rekod yang dicapai pada 2022 dengan 9,211 unit. Menurut Isuzu Malaysia, dengan rekod baharu yang dicapai itu telah menjadi bukti kepada keberhasilan rekaan dan ciri yang ditawarkan oleh trak pikap berkenaan, yang telah mengubah pasaran dan meraih lebih banyak penggemarnya.

    “Sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model ini sangat konsisten tinggi disebabkan oleh cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan. Model baharu ini juga telah memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185%, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

    Permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama ini untuk berada di kedudukan kedua di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap. Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan ketiga dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6%.

    Buat masa ini, untuk pasaran Malaysia, Isuzu D-Max dibarisi lapan varian komprehensif, bermula dari versi Single Cab hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

    Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain 2023

    Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang dilancarkan pada awal Julai 2023 telah menyumbang sebanyak 28% jualan. Varian ini menjadi begitu popular kerana kapasiti enjinnya yang menjimatkan bahan api serta memberi manfaat kadar cukai jalan dan kos penyelenggaraan yang rendah. Ia juga diberikan beberapa ciri tambahan termasuk kamera undur, skrin sentuh tujuh-inci, yang ditawarkan dengan harga bermula RM106k.

    Selain itu, permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023, didorong oleh tahap kecanggihan dan penampilannya yang segar serta kemampuan prestasi off-road yang diberikan. Jualannya juga meningkat sebanyak 24.5% sejak pelancarannya pada pertengahan Februari tahun lalu. Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    “Isuzu D-Max generasi ketiga telah menjadi model penting bagi jenama ini kerana ia menggabungkan keupayaan kejuruteraan terbaik Isuzu dengan kecanggihan kenderaan moden serta rekaan ergonomik yang diperlukan oleh pengguna. Ini menjadikan D-Max sebuah trak pikap yang sangat berkeupayaan dalam memenuhi keperluan setiap penggunanya. Ia trak untuk semua,” tambah Okazoe.

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain

     
     
  • Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

    Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

    Kita di pasaran ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia sudah pun menerima varian RS bagi Honda Civic generasi ke-11 sejak ia dilancarkan ke rantau ini bermula 2021. Varian berkenaan masih berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama seperti model biasa (1.5L VTEC Turbo/Hybrid e:HEV 2.0L), tetapi tampil dengan penggayaan lebih sporty.

    Namun ketika berlangsungnya acara Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Honda telahpun mendedahkan model prototaip Civic RS bagi pasaran domestik Jepun yang digelar Honda Civic RS Prototype. Seperti biasa seperti pendedahan-pendedahan Honda sebelum ini, walaupun dinamakan ‘Prototype’, ia sudahpun nampak seperti model produksi sebenar dan dijangka bakal dijual dengan rupa hampir 100% sama.

    Tidak seperti pasaran ASEAN yang hanya menerima model sedan, Civic di Jepun hanya ditawarkan dalam versi hatchback. Jadi bagi varian RS JDM ini, ia turut tampil hanya dalam bentuk badan hatchback lima-pintu.

    Dari segi penampilan sebelah luar, Civic RS Prototype ini bukan sahaja tidak menampilkan kit penggayaan seperti RS di ASEAN, malah ia turut diberikan gril dan juga bampar hadapan yang berbeza dari Civic Hatchback biasa yang telah pun dijual di Jepun.

    Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

    Gril hadapan berkenaan masih diberikan elemen sarang lebah, namun kerangkanya dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen yang sama turut dibawa ke gril bampar yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model biasa.

    Bampar hadapan Civic RS JDM ini juga nampak lebih aerodinamik dengan menampilkan panel seperti spoiler pada sebelah bawah serta liang udara sisi menegak pada setiap sisi yang nampak dapat mengalirkan udara ke bahagian perumah roda hadapan.

    Namun pada bahagian belakang, model RS ini masih berkongsi rupa yang sama dengan Civic Hatchback biasa yang menampilkan panel diffuser pada bawah bampar bersama perumah ekzos yang pada setiap sisi. Lencana RS berwarna merah pula dilekatkan pada gril hadapan dan pintu hatch belakang.

    Prototaip Civic RS ini juga menerima rim 18-inci jejari-Y kemasan hitam matte yang nampak sama dengan rim aloi yang dipadankan pada Civic Hatchback JDM biasa, Civic Si pasaran Amerika Syarikat dan Civic RS pasaran Malaysia. Rim berkenaan dibalut dengan tayar ultra-prestasi Goodyear Eagle F1 bersaiz 235/40R18.

    Tiada perincian dalaman didedahkan setakat ini di mana unit yang dipertontonkan di dewan Makuhari Messe minggu lalu juga diberikan filem penapis cermin hitam gelap. Manakala untuk unit rangkaian kuasa pula, Honda hanya memberitahu bahawa model RS ini datang dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Buat masa sekarang Civic Hatchback pasaran Jepun ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV 2.0 liter dan juga 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 182 PS/240 Nm. Model dengan enjin petrol turbo tersebut ditawarkan dalam versi kotak gear CVT automatik dan juga manual enam-kelajuan.

    Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

    Bagi model RS JDM ini dijangka masih menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang sama, tetapi mungkin menerima talaan lebih berkuasa yang sama seperti Civic Si dan juga Acura Integra pasaran Amerika Syarikat yang menghasilkan kuasa 203 ps dan tork maksima 260 Nm.

    Honda juga menjanjikan model RS JDM ini akan “memberikan keseronokan memandu yang lebih baik”, mungkin membayangkan ia turut diberikan talaan casis serta suspensi yang lebih tersendiri.

    Model produksi sebenar Honda Civic RS 2024 pasaran Jepun ini akan dilancarkan di sana pada musim luruh tahun ini. Harga dan perinciannya lanjut berkenaan model ini turut dijangka hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti.

    GALERI: Gambar rasmi Honda Civic RS Prototype 2024 pasaran Jepun

     
     
  • SPRM berkas operator gudang di Langkawi yang elak bayar cukai – pemilik kereta mewah sedang disiasat

    SPRM berkas operator gudang di Langkawi yang elak bayar cukai – pemilik kereta mewah sedang disiasat

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memberkas enam individu yang dipercayai ahli kumpulan sindiket yang terlibat dengan aktiviti mengelak cukai kenderaan mewah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan yang dianggarkan bernilai lebih RM33 juta.

    Enam individu terbabit dijangka akan didakwa di mahkamah hari ini dengan lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen dengan niat menipu, kata Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman kepada Utusan Malaysia. Seksyen 468 undang-undang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda bagi mereka yang disabitkan kesalahan.

    Kesemua suspek yang diberkas itu merupakan pengusaha dan runner perkhidmatan gudang penyimpanan kereta mewah di Langkawi dan pernah ditahan SPRM menerusi satu operasi khas satu‘Op Eagle’ pada Julai 2023. Pemilik kereta mewah pelbagai jenama termasuk Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce itu juga sedang dalam siasatan pihak SPRM.

    Screenshot dari video Youtube NST Online – Klik untuk besarkan

    “SPRM juga sedang menyiasat pemilik-pemilik kereta terbabit di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius ini,” kata Azmi.

    Menurut laporan Utusan, tujuh individu pada mulanya ditahan pada Julai 2023 dalam ‘Op Eagle’ selepas laporan Ketua Audit Negara 2022 mendedahkan kerugian RM72 juta dalam kutipan duti untuk lebih 100 kenderaan mewah dari Jabatan Kastam Langkawi antara 2012 dan 2021.

    SPRM kemudian membongkar sindiket yang dikatakan bersekongkol dengan pemilik kereta mewah untuk mendapatkan pengecualian dan potongan duti walaupun tidak layak, dan kononnya telah mengemukakan pengakuan berkanun palsu mengenai pemilikan kenderaan kepada kastam. Fasa pertama Op Eagle menyaksikan suruhanjaya itu merampas sembilan kereta mewah bernilai sekitar RM12 juta dari bahagian utara tanah air, Johor dan Sabah.

     
     
  • Kadar sewa Litar Sepang naik sehingga 45% bermula 1 April 2024 untuk beroperasi pada “standard tertinggi”

    Kadar sewa Litar Sepang naik sehingga 45% bermula 1 April 2024 untuk beroperasi pada “standard tertinggi”

    Pihak pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun mengesahkan kadar sewaan bagi fasiliti berkenaan bakal naik bermula 1 April 2024 ini, lapor NST.

    Akhbar berkenaan menyebut dengan kadar baharu, sewaan bagi litar berkenaan pada hari Isnin hingga Jumaat bagi sesi pada sebelah siang akan meningkat dari RM55,000 kepada RM70,000, atau 27% lebih mahal. Manakala kadar sewaan pada hari hujung minggu pula naik dari 60,500 kepada RM80,000, iaitu 32% lebih tinggi.

    Untuk sesi sebelah malam bagi hari Isnin hingga Jumaat pula naik 41%, dari RM55,000 kepada RM78,000, dan sesi malam untuk hari hujung minggu pula naik setinggi 45% iaitu dari RM60,500 bagi kadar sedia ada kepada RM88,000 untuk kadar baharu nanti.

    Harga-harga yang disebutkan ini adalah lengkap dengan bantuan pegawai teknikal dan perubatan, ambulans dan kenderaan pemadam kebakaran, tukang cuci dan pengawal keselamatan serta akses kepada fasiliti-fasiliti tertentu. Menurut CEO SIC Azhan Shafriman Hanif, kenaikan kadar sewaan ini dibuat bagi memastikan litar yang diklasifikasikan sebagai gred satu oleh FIA tersebut terus beroperasi pada tahap “standard tertinggi”.

    “Sebagai sebahagian daripada komitmen SIC untuk mengekalkan standard tertinggi untuk kemudahan dan perkhidmatan, kami telah mengumumkan pelarasan harga sewa litar dan kemudahan kami yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2024,” kata Shafriman.

    “Keputusan ini adalah penting untuk menjaga kualiti kemudahan kami, meningkatkan perkhidmatan dan memudahkan penambahbaikan berterusan yang akan menyumbang kepada pengalaman pelanggan yang lebih baik. Notis awal ini disediakan untuk memastikan ketelusan dan memberi masa yang mencukupi untuk semua pelanggan dan pihak berkepentingan membuat persiapan yang diperlukan”, tambahnya.

    Beliau turut meminta pelanggan agar yakin bahawa pihaknya akan komited sepenuhnya bagi memudahkan peralihan yang lancar bukan hanya untuk pelanggan, malah pihak pemegang-pemegang taruh yang lain.

    Laporan NST ini turut menyebut bahawa SIC tidak pernah menaikkan kadar sewaannya sejak 2013. Kenaikkan harga sewaan ini telah disebut oleh Shafriman sejak Januari tahun lalu dan beliau menyatakan ia tidak dapat dielak kerana kos operasi dan penyelenggaraan yang sudah banyak meningkat.

    Selain dari terkenal menganjurkan perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP saban tahun, SIC turut menerima pendapatan menerusi perlumbaan-perlumbaan tempatan serta sewaan untuk sesi trackday dan sebagainya.

     
     
  • KTM Komuter Lembah Klang beri tambang percuma 24-25 Jan sempena Thaipusam – tren ekstra 23-26 Jan

    KTM Komuter Lembah Klang beri tambang percuma 24-25 Jan sempena Thaipusam – tren ekstra 23-26 Jan

    Sempena dengan perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 25 Januari 2024, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal memberikan tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari iaitu pada 24 hingga 25 Januari ini. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata tambang percuma itu akan dikenakan semasa penumpang membuat imbasan masuk dan keluar di pintu automatik (ACG) stesen destinasi dalam tempoh berkenaan.

    “Penumpang perlu mengakses pintu masuk dan keluar (ACG) untuk menikmati tambang tren KTM Komuter secara percuma menggunakan KTM Wallet, kad Touch ‘N Go, kad MyDebit, kad kredit, tiket QR fizikal dari kaunter atau menerusi aplikasi KITS.

    “Kami menjangkakan seramai 250,000 orang akan menggunakan perkhidmatan komuter di Lembah Klang sepanjang tempoh empat hari tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 25 Januari,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    KTM Komuter Lembah Klang beri tambang percuma 24-25 Jan sempena Thaipusam – tren ekstra 23-26 Jan

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan beroperasi tanpa henti selama empat hari bermula 23 hingga 26 Januari 2024, dengan 28 stesen beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut berbanding 26 stesen tahun lalu.

    Katanya, sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves dan 39 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves, menjadikan jumlah keseluruhan tren tambahan KTM Komuter yang disediakan pada kali ini adalah 72 perkhidmatan setiap hari.

    “Perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan bermula seawal 9.55 malam pada 23 Januari dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves dengan kekerapan setiap sejam. Manakala tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen Batu Caves akan bermula seawal 11.39 malam juga dengan kekerapan setiap sejam.

    “Tiada perkhidmatan tren tambahan dari Tanjung Malim ke Batu Caves dan sebaliknya. Bagaimanapun, pengguna dari laluan ini boleh menaiki tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur dan KL Sentral dan membuat pertukaran tren KTM Komuter ke Batu Caves,” jelas beliau lagi.

     
     
  • Tren ETS ditambah sempena Tahun Baru Cina bagi perjalanan 7 Feb-10 Mac, jualan tiket mulai 15 Jan

    Tren ETS ditambah sempena Tahun Baru Cina bagi perjalanan 7 Feb-10 Mac, jualan tiket mulai 15 Jan

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan akan menambah empat tren tambahan bagi perkhidmatan ETS sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut bulan hadapan.

    Ia adalah bagi perjalanan dari laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 hingga 13 Februari 2024. Selain itu, dua ETS turut ditambah bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral pada 7 Februari sehingga 10 Mac ini.

    Menurut KTMB lagi, dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral merupakan tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala, berbanding masa perjalanan biasa iaitu dua jam 40 minit.

    Jualan tiket akan dibuka mulai 15 Januari 2024 (Isnin ini), jam 12 tengah hari, manakala sebanyak 29,526 tiket akan ditawarkan untuk perkhidmatan ETS bersama tren tambahan bagi tempoh yang dinyatakan ini. Tiket-tiket boleh dibeli menerusi aplikasi KTMB Mobile atau kios tiket di stesen KTMB.

     
     
  • Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Selepas didedahkan secara rasmi pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2020, GR Yaris hari ini sekali lagi menjadi tajuk besar dalam acara ubahsuai terulung di Jepun itu – ini dia GR Yaris facelift membuat kemunculan sulungnya di TAS 2024 pagi tadi!

    Model yang disegarkan kali ini bukan hanya melibatkan perubahan kosmetik pada sebelah luar, ia turut menampilkan rombakan drastik pada kabin, menerima tingkat taraf kuasa, malah turut menerima pilihan kotak gear automatik berbanding hanya ditawarkan dengan transmisi manual sebelum ini.

    Menurut Toyota, pembangunan GR Yaris ini tidak terhenti selepas ia dilancarkan empat tahun lalu. Model produksi tersebut dibawa untuk berlumba bukan hanya dalam disiplin rali, malah pelbagai lagi format perlumbaan membolehkan ia terus dibangunkan menerusi kaedah “pembangunan-kereta mengutamakan-pemandu” dalam persekitaran ekstrem “rosak dan baiki semula” berulang kali.

    Malah proses berkenaan turut disertai oleh pengerusi Toyota yang juga “Toyota Master Driver”, Akio Toyoda – atau lebih dikenali dengan nama alter ego Morizo ketika berlumba – bagi “menambahbaik prestasi kenderaan secara komprehensif”.

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    GR Yaris facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini. Namun kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm pada versi sebelumnya kini sudah dipertingkat bagi menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm, atau 32 PS/30 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini.

    Toyota tidak memperincikan bagaimana kuasa berkenaan dicapai, namun angka kuasa kuda tersebut jelas menyamai bekalan kuasa yang sama seperti abangnya GR Corolla, malah tork GR Yaris facelift ini juga adalah 30 Nm lebih tinggi!

    Dengan tenaga yang lebih tinggi dihasilkan oleh enjin, Toyota turut menawarkan opsyen Cooling Package. Bagi pelanggan yang memilih pakej ini, unit sub-radiator, kit ambilan udara sejuk (CAI) dan juga penyembur air untuk unit intercooler akan dipasangkan di kilang ketika kereta ini diproduksi di GR Factory.

    Bagi model manual, ia masih menerima kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala bagi pilihan versi transmisi automatik yang baru ditawarkan menerusi model facelift ini, ia dibekalkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang diberi nama Gazoo Racing Direct Automatic Transmission.

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Seperti namanya, kotak gear ini dibina oleh sayap perlumbaan rasminya, Toyota Gazoo Racing (TGR). Menurut TGR, kotak gear ini mempunyai “kelajuan transmisi dan ketahanan yang boleh dinikmati oleh pelbagai jenis orang”, dan perisian kawalan transmisi tersebut telah dioptimakan untuk pemanduan sporty.

    Kotak gear ini akan “belajar” bagaimana rentak pemandu memijak pedal brek dan pedal pendikit bagi membolehkan ia membuat anggaran lebih tepat bila gear perlu ditukar walaupun sebelum perubahan dalam tingkah laku kenderaan berlaku. Dengan itu gear akan ditukar secara automatik dalam tempoh masa hampir sama ketika pemandu berniat menukar gear tersebut, seterusnya akan memberikan tukaran gear yang hampir sama bagaimana pemandu profesional menukar gear, dakwa TGR.

    Kotak gear AT ini didatangkan dengan penyejuk minyak ATF secara standard. Ia juga menggunakan material geseran yang sangat tahan panas pada klac penukar gear, bersama penambahbaikkan dibuat pada perisian kawalan transmisi bagi memberikan ‘tukaran gear berkelas-dunia’, dakwa TGR lagi.

    Dengan jumlah gear yang lebih banyak berbanding versi manual, kotak gear automatik 8AT ini juga dapat memastikan enjin sentiasa berada pada lengkuk kuasa. Bagi varian RZ “High performance”, LSD jenis torsen dipadankan secara standard.

    GR Yaris facelift ini juga menerima satu lagi perincian pemanduan baharu yang digelar Drive Mode Select. Menerusi fungsi ini, sistem stereng kuasa elektrik (EPS), penghawa dingin dan unit rangkaian kuasa (enjin dan kotak gear) akan menerima talaan spesifik Sport, Normal atau Eco yang boleh dipilih oleh pemandu. Manakala fungsi pemilih mod 4WD pula adalah sama seperti sebelum ini.

    Casis asal GR Yaris yang sememangnya sangat tegar diberikan lebih penambahbaikkan pada model facelift ini. Jumlah bolt yang mengikat badan kereta kepada penyerap hentak telah ditambah dari hanya satu kepada tiga bagi mengelakkan jajaran roda berubah ketika pemanduan, seterusnya meningkatkan input stereng serta memberikan kestabilan kawalan lebih baik.

    TGR turut menambah bilangan titik kimpalan (spot weld) sekitar 13% lebih banyak dan menambah jumlah kawasan di mana perekat sturktur digunakan sekitar 24% lebih banyak bagi memberikan ketegaran badan lebih tinggi, seterusnya memberikan pengendalian dan keselesaan ketika memandu.

    Satu lagi ciri baharu pada GR Yaris facelift ini adalah Circuit Mode. Menerusi mod ini, ia akan memberikan talaan paling optima bagi pemanduan di litar dengan memberikan fungsi termasuk kawalan anti-lag, pengehad kelajuan dikurangkan sebaik sahaja kereta memasuki litar (dikesan melalui GPS), kipas enjin yang berpusing pada kelajuan penuh dan juga penunjuk penukar gear diberikan pada paparan instrumen. Setiap fungsi ini turut boleh diubah menerusi aplikasi telefon pintar.

    Sekali tengok bahagian luaran GR Yaris ini memang menerima banyak perubahan. Dan perubahan-perubahan ini sebenarnya bukan hanya bersifat kosmetik kerana ia berfungsi bagi meningkatkan prestasi. Pada bahagian hadapan, gril pada bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya, namun ia masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan “GR Four” pada elemen sarang lebah tersebut.

    Manakala kemasan pada bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan direka agar ia boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah. Liang aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukkan yang lebih baik.

    Terdapat juga liang udara pada bahagian sisi bagi mengeluarkan haba dari unit sub-radiator dan penyejuk minyak ATF. Liang udara pada bahagian bawah bampar belakang direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.

    Kluster lampu belakang baharu pada GR Yaris ini juga direka bukan hanya untuk rupa semata-mata. Menurut TGR, bahagian atas dan bawah lampu tersebut menampilkan rekaan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan serta memberikan penglihatan lebih baik. Lampu brek ketiga juga tidak lagi diletak pada spoiler belakang, sebaliknya diasingkan bagi membolehkan spoiler tersebut direka lebih baik. Logo Toyota juga tidak lagi dilekat pada pintu hatch GR Yaris facelift ini.

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Masuk ke kabin pula, perubahan lebih drastik diberikan terutamanya pada bahagian papan pemuka. Jika anda rasa papan pemuka GR Yaris facelift ini pelik, ia sebenarnya lebih mengutamakan pemandu dan direka diinspirasikan dari jentera lumba GR Yaris yang digunakan dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance dan dan juga Kejohanan Rali Jepun.

    Bahagian konsol tengah papan pemukan berkenaan telah dipalingkan 15 darjah menghadap pemandu, bagi memudahkan segala paparan dilihat dan juga suis pada bahagian tersebut mudah dicapai oleh pemandu. Bagi model manual, tombol gear telah dinaikkan 75 mm lebih tinggi berbanding tombol gear pada model CVT sebelumnya. Toyota turut menawarkan opsyen tuil brek tangan yang terletak bersebelahan tombol gear seakan brek tangan jentera WRC sebenar untuk varian RC yang dijual untuk diubah menjadi kereta lumba.

    Berbeza dari versi pre-facelift yang hanya menampilkan paparan meter analog, model kemaskini ini menerima paparan instrument digital penuh dengan skrin 12.3-inci. Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear, rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.

    Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini. Namun sebenarnya Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25 mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah.
    Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50 mm.

    Segala kelengkapan pada GR Yaris facelift ini membolehkan ia menampilkan spesifikasi yang lebih baik dari model hardcore Yaris GRMN yang didedahkan tahun lalu. Namun bagi pemilik GR Yaris sedia ada yang mahukan prestasi sama seperti GR Yaris baharu ini, Gazoo Racing turut menawarkan kit prestasi bagi membolehkan kereta anda mencapai angka kuasa menyamai model kemaskini ini, lengkap dengan emblem khas bagi menandakan ia telah menerima tingkat taraf tersebut.

    Ketika berlangsungnya TAS 2024 ini, Toyota turut mengumumkan model konsep GR Yaris RZ “High performance・Sébastien Ogier Edition” dan GR Yaris RZ “High performance・Kalle Rovanperä Edition” disahkan akan diproduksi diasaskan dari model facelift ini. Versi sebenar kedua-dua model edisi khas tersebut akan didedahkan di pusingan pertama WRC tahun ini iaitu Rally Monte Carlo 2024 yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.

    GALERI: Toyota GR Yaris RZ High Performance facelift 2024

    GALERI: Toyota GR Yaris facelift 2024 RR x Grow Concept

     
     
  • Tiada lagi pelancaran kempen keselamatan jalan raya setiap musim perayaan mulai tahun ini – Loke

    Tiada lagi pelancaran kempen keselamatan jalan raya setiap musim perayaan mulai tahun ini – Loke

    Mulai tahun 2024, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan menganjurkan lagi majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan seperti kelaziman tahun-tahun sebelum ini. Menurut menterinya, Anthony Loke, keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos yang menelan antara RM100,000 ke RM200,000 bagi setiap majlis, laporan Bernama.

    Tegasnya, peruntukan tersebut boleh disalurkan untuk menambah baik kempen keselamatan sedia ada yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

    “Mulai tahun ini, tiada lagi majlis pelancaran kerana tanpa majlis pelancaran itu pun, operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tetap berjalan. Operasi bersepadu pun tetap diadakan dan undang-undang tetap dikuatkuasakan.

    Tiada lagi pelancaran kempen keselamatan jalan raya setiap musim perayaan mulai tahun ini – Loke

    “Namun, jika ada syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik. Mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2024 bagi kementeriannya pagi tadi.

    Dalam hal lain, Loke turut menyampaikan amanat memaklumkan bahawa MOT akan memberikan tumpuan terhadap empat fokus utama tahun ini. Fokus pertama bagi memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik. Di mana ia sejajar dengan anjakan besar Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi.

    Manakala fokus kedua pula ialah membudayakan aspek keselamatan sektor darat, udara dan maritim. “Tahun lalu, hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya, jadi isu keselamatan pengguna ini menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan dan memastikan program yang bakal dilaksanakan kelak, perlu mencapai tujuannya,” jelasnya.

    Untuk fokus ketiga pula mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan dan terakhir ialah memacu intervensi dasar berdasarkan inovasi pendigitalan dan pengukuhan keupayaan penggunaan data.

     
     
  • Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Peralihan kepada penggunaan lesen memandu digital menjadi antara langkah pendigitalan terkini yang dilakukan oleh kerajaan, selepas pengenalan cukai jalan digital, yang juga boleh diperbaharui melalui aplikasi mudah alih MyJPJ bermula 1 Februari nanti.

    Dalam satu wawancara bersama Nasional FM (klik untuk video) yang dirakam pada Khamis, 11 Januari 2024, Pengarah Perlesenan Kenderaan JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie menjelaskan perubahan yang bakal berlaku disebabkan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu digital berkenaan.

    Antara situasi yang dibangkitkan adalah ketika pemandu ditahan di sekatan jalan. Dalam keadaan itu, lesen digital sudah memadai, dan sekiranya pengguna lebih senang menggunakan salinan fizikal lesen memandu, mereka perlu menunjukkan format baru lesen berkenaan dalam bentuk slip bercetak, bersama dengan lesen memandu kad yang telah tamat tempoh.

    Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Bagaimana pula jika di hujung hari dan bateri telefon habis atau telefon rosak? Pegawai JPJ yang bertugas akan mempunyai peranti khas yang boleh memeriksa kesahihan lesen dan cukai jalan ini dengan hanya memasukkan nombor kad penganalan, jelas Abdul Rahman.

    Untuk cukai jalan, tidak lagi perlu untuk mempamerkan salinan fizikal di cermin kereta anda sejak 10 Februari tahun lalu. Dalam keadaan yang diperlukan, misalnya ketika sekatan jalan, hanya nombor pendaftaran kereta diperlukan untuk pengesahan, sama seperti pengesahan lesen memandu melalui nombor kad pengenalan, tambah Abdul Rahman lagi.

    Kerisauan orang awam berkaitan kesepaduan antara agensi, seperti JPJ dan PDRM dalam penguatkuasaan pula menurut Abdul Rahman, telah dibincangkan bersama dan disepakati dalam kalangan agensi yang terlibat itu.

    Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Peralihan kepada bentuk digital bagi cukai jalan juga adalah disebabkan oleh maklum balas sebelum ini, terutamanya yang merujuk kepada penggantian pelekat cukai jalan yang bagi kebanyakan orang dirasakan susah untuk ditanggalkan dan meninggalkan kesan di cermin.

    Pendigitalan perkhidmatan juga membantu memudahkan lagi proses keseluruhan, dan pengguna tidak perlu lagi bersesak di kaunter JPJ. Ia juga memberikan manfaat kewangan kepada JPJ; ia mampu menjimatkan sebanyak RM96 juta setahun, seperti dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Februari tahun lalu.

    Sudah gunakan cukai jalan dan lesen memandu digital ini? Bagaimana pengalaman anda?

     
     
  • Kymco AK550 Premium dilancar untuk pasaran M’sia – unit CBU dari Taiwan, enjin 550 cc, harga RM65,600

    Kymco AK550 Premium dilancar untuk pasaran M’sia – unit CBU dari Taiwan, enjin 550 cc, harga RM65,600

    Modenas selaku pengedar eksklusif motosikal jenama Kymco di Malaysia hari ini melancarkan AK550 Premium untuk pasaran, pada harga RM65,600 tidak termasuk insurans. Ia adalah unit yang diimport (CBU) dari Taiwan dan ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan coklat matte.

    Skuter ini dipacu oleh enjin dua silinder selari crossplane DOHC 550.4 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 50.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 52 Nm pada 6,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan sistem tali sawat. Untuk menyesuaikan tunggangan dengan keadaan, penunggang boleh memilih dua mod, sama ada Power atau Rain.

    Memegang skuter seberat 238 kg ini ke atas jalan adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan (tanpa pelarasan) dan monoshock melintang dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua rim adalah bersaiz 15 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Brek AK550 menggunakan set cakera berkembar 270 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, sementara di belakang terdapat cakera 260 mm dengan angkup dua piston. Selain fungsi brek parkir, sistem brek skuter ini juga datang dengan sistem Cornering ABS pintar yang dikatakan mempunyai sensor dan boleh mengawal kuasa brek pada setiap tayar mengikut keadaan.

    Sebagai sebuah skuter maxi, AK550 datang pelbagai kemudahan antaranya penghadang angin boleh laras secara elektrik, cruise control, sistem kunci pintar serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang dikatakan boleh menempatkan satu helmet fullface dan satu helmet open face.

    Untuk paparan informasi, ia dilaksanakan oleh skrin digital dengan unit TFT bulat di bahagian tengah serta sistem Noodoe yang membolehkan ia disambung kepada telefon untuk kawalan fungsi navigasi, musik dan telefon. Tangki bahan api AK550 berkapasiti 14.5 liter dan tinggi tempat duduknya adalah 785 mm.


     
     
  • Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South 12-14 Jan – diskaun, hadiah bernilai RM1j menanti anda!

    Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South 12-14 Jan – diskaun, hadiah bernilai RM1j menanti anda!

    Jika tahun 2024 antara azam anda adalah untuk memiliki kenderaan baharu, inilah masa yang paling bersesuaian untuk direalisasikan. Apatah lagi tak lama lagi kita bakal menyambut Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, jadi seronok jugalah kalau dapat bergaya dengan kenderaan baharu. Jika ingin membeli kenderaan baharu yang baru keluar kilang, di luar bajet anda, apa kata anda kenderaan yang dijual oleh myTukar. Mulai hari ini (12 Jan) hingga Ahad, 14 Jan 2024, MYTukar menganjurkan Tukar-Je CARnival yang berlangsung di di Puchong South Retail Experience Centre.

    Model kenderaan apa yang ada di Tukar-Je CARnival? Macam-macam model kenderaan yang sesuai untuk golongan B40 hinggalah ke T20. Ikut saja bajet, keperluan dan kemahuan anda. Paling menarik, sepanjang penganjuran acara ini, pelbagai tawaran menarik disediakan khas.

    Apa tawaran menarik yang menanti anda? Hah! Sekiranya membeli kereta dari myTukar, anda bakal nikmati diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih. Selain itu, myTukar juga menawarkan banyak ganjaran menarik, termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.

    Bukan setakat itu sahaja, anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.Fuh! Memang banyak ganjaran menarik yang ditawarkan oleh myTukar dan ia bernilai lebih RM1 juta!

    Jika anda berkunjung ke Tukar-Je CARnival bersama keluarga, banyak juga aktiviti menarik yang disediakan, termasuklah konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan, khemah gergasi yang menempatkan pelbagai aktiviti untuk anak-anak anda termasuk Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Bila dah penat ‘mencuci mata’ dengan deretan kenderaan yang dipamerkan, sambil-sambil anda fikirkan kereta mana yang paling sesuai untuk dibeli, anda seisi keluarga juga boleh menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang disediakan menerusi food truck yang mengambil bahagian.

    Selain apa yang ditawarkan menerusi Tukar-Je CARnival ini, jika anda berkunjung ke mana-mana cawangan myTukar untuk menjual kereta anda, banyak juga tawaran yang diberikan. Termasuklah baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.

    Anda juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Kalau anda menghantar kereta untuk diservis melalui jenama Carro Care pula, anda bakal menerima diskaun
    30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100 dan diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Untuk yang ingin memperbaharui insurans pula, nikmati diskaun 10% tambahan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Untuk yang berkelapangan pada hujung minggu ini, jom berkunjung ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre yang berlangsung sehingga Ahad ini (14 Jan), dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    Nota kaki: Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB), syarikat usaha sama di antara Kumpulan Careplus Berhad dan Kumpulan Go Auto hari ini secara rasmi memulakan pembinaan kilangnya yang terletak di Chembong Industrial Area, Rembau, Negeri Sembilan.

    Menurut syarikat tersebut, ini merupakan kilang pertama di Malaysia yang dibina khas bagi memproduksi kenderaan tenaga baharu (NEV), dan ia dijangka bakal beroperasi pada awal suku pertama 2025. Majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang berkenaan telah berlangsung pagi tadi dan perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun.

    Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, dan ia bukan sahaja menghasilkan EV dalam bentuk kereta-kereta penumpang, malah turut bakal memasang kenderaan-kenderaan komersil serta motosikal yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Dari keseluruhan produksi, satu pertiga model yang akan dipasang di kilang ini adalah dari jenama Neta, termasuk Neta V yang telah pun dilancarkan dalam pasaran tempatan tahun lalu dan buat masa sekarang ia diimport sepenuhnya dari China. Manakala dua pertiga selebihnya ia dibuka untuk jenama-jenama lain yang berminat untuk menghasilkan model-model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

    Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    Antara jenama yang sudah mengesahkan untuk memasang EV mereka di kilang baharu ini termasuk pengeluar kenderaan komersil dari China iaitu Higer dan Yutong. Kedua-dua jenama berkenaan diedarkan di Malaysia oleh GVT Sdn. Bhd iaitu syarikat usaha sama antara W&R Resources Sdn Bhd dan Kumpulan Careplus Berhad. Buat masa sekarang kedua-dua jenama tersebut menghasilkan model-model CKD mereka menerusi kilang Go Automobile Manufacturing yang terletak di Gurun, Kedah.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, NMSB menyatakan pembinaan kilang tersebut bakal menjana peluang pekerjaan dan pelaburan baharu di Negeri Sembilan serta kawasan-kawasan berhampiran. Fasa pertama projek ini merangkumi pembangunan kilang pemasangan, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2024.

    Sementara itu, fasa kedua dan ketiga akan bermula pada tahun 2026 dan 2028, bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun. Jumlah pelaburan bagi pembangunan kilang ini adalah sekitar RM600,000,000.

    Fasa ini juga akan mewujudkan lebih 600 pekerjaan mahir dan separa mahir dengan pengkhususan pembuatan EV, terutamanya dalam penggunaan teknologi pembuatan pintar, termasuk automasi, integrasi sistem (system integration), robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, IoT industri dan teknologi-teknologi lain seiring Revolusi Industri Ke-empat.

    Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    NMSB turut mengumumkan bahawa proses pengambilan dan latihan tenaga kerja bagi kilang ini akan bermula seawal bulan Ogos 2024 kerana ia dijangka mula beroperasi pada awal 2025.

    Bagi memastikan proses pembuatan dalam kilang ini selari dengan visi bagi mengurangkan tapak karbon, NMSB akan menggunakan pelbagai penyelesaian mesra alam bagi operasinya termasuk teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam kawasan kilang. Sebahagian besar tenaga yang digunakan di kilang ini dikuasakan oleh panel solar yang dipasang di bumbung kilang.

    Menurut Pengerusi Go Auto, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, kilang ini turut akan menjalankan beberapa proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus bagi penyimpanan bateri EV di kilang berkenaan. Ia adalah bagi memastikan setiap kakitangan mampu mengendalikan bateri-bateri tersebut seiring dengan pengenalan teknologi-teknologi baharu yang akan diperkenalkan selepas ini.

    “Kami berbangga dengan sokongan meluas yang diberikan kepada projek ini, dari kerajaan negeri dan juga persekutuan, yang menyumbang kepada kemajuan pemasangan tempatan dan lokalisasi yang pesat di dalam negara. Kami percaya ini adalah satu langkah signifikan ke arah menjana penerimaan dan kesedaran mengenai kenderaan elektrik di masa hadapan”, katanya.

    Majlis yang sama turut menyaksikan pertukaran perjanjian CKD di antara Intro Synergy dan pemilik jenama Neta, Hozon New Energy Automobile Co. Ltd., sebagai kolaborasi bagi operasi CKD di Malaysia. NMSB juga menukar Persefahaman bersama Qingdao Huayue Guotai New Energy Car Co. Ltd. bagi meneroka peluang baharu bagi Kenderaan Tenaga Baharu di Malaysia dan ASEAN.

    “Kami ucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa pusat dan tempatan, penduduk tempatan dah juga semua rakan perniagaan kami. Kami berharap dengan pemasangan model Neta V ini lebih ramai rakyat Malaysia dapat menerima dan menyokong produk keluaran dari Chembong ini”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Careplus, Lim Kwee Shyan.

    NMSB menyatakan bahawa ia kini telahpun memperolehi Lesen Pengilangan sementara dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Oktober 2023. Baru-baru ini syarikat itu juga telah menerima Kebenaran Merancang bagi memulakan pembinaan kilang pembuatan ini dari Majlis Daerah Rembau.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025