Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X70 vs Honda CR-V: Beza kos servis lima tahun

    Proton X70 yang baru saja dilancarkan secara rasmi akan kekal menjadi buah mulut orang ramai untuk beberapa ketika. Selepas mendapat pengesahan harga jualannya (dari RM99,800 hingga RM123,800). Dari segi harga, X70 berada di antara segmen B dan C bagi SUV.

    Jadi, ada eloknya juga kita lihat perbandingan kos servis berkenaan antara X70 dengan SUV paling popular di Malaysia, Honda CR-V yang dijual pada harga dari RM138,308 hingga RM163,191. Ini bermaksud, harga X70 lebih rendah sekitar RM40k jika dibandingkan dengan CR-V.

    Tetapi, satu lagi persoalan yang bermain difikiran ialah berapa kos servis yang diperlukan oleh SUV ini? Kami membandingkan harga bagi setiap kali servis bagi kedua-dua model berkenaan – berdasarkan versi pemanduan dua roda, dengan CR-V dari varian 1.5 VTEC Turbo. Secara umumnya, aspek ini nampaknya tidak menyebelahi Proton. Mengikut kiraan kami, ditolak dengan kos bahan api dan penggunaan lain, kos servis bagi X70 adalah kira-kira RM1,000 lebih mahal bagi tempoh sepanjang lima tahun berbanding CR-V; RM4,921.20 berbanding RM3,863.41.

    Melihat kepada perincian setiap kali servis, adalah jelas mengapa ia lebih tinggi bagi X70. Proton memerlukan lima liter minyak enjin bagi setiap kali servis, manakala CR-V pula hanya perlukan empat liter. Kemudian, walaupun penapis udara bagi X70 lebih murah berbanding model Honda, ia perlu ditukar lebih kerap. Untuk itu, walaupun X70 memberikan kos buruh percuma bagi lima kali servis terawal (Honda pula menawarkannya bagi jadual servis berselang berikutnya), hanya pada servis ke-30,000 km sahaja X70 lebih murah.

    Lihat pula keperluan menukar bendalir untuk transmisi. CR-V perlu ditukarkan minyak untuk CVT pada setiap 40,000 km, dengan kos RM141.50 setiap kali. X70 pula hanya perlukan penukaran minyak gear automatik dalam jarak lebih jauh, iaitu 60,000 km. Tetapi kosnya juga lebih tinggi; RM500.96. Itu juga merupakan jarak di mana penukaran coolant perlu dilakukan untuk X70, menjadikan kos keseluruhannya ialah RM1,269.66.

    Proton X70 vs Honda CR-V: Beza kos servis lima tahun

    Klik untuk besarkan

    Bagi Honda, walaupun dengan harga alat ganti yang lebih tinggi, tempoh penukaran yang perlu dilakukan pula lebih panjang. Coolant bagi CR-V misalnya, walaupun melibatkan kos RM201.05, ia hanya perlu ditambah apabila kenderaan mencapai jarak 200,000 km. Penggunaan palam pencucuh Iridium pula, walaupun mahal (RM431.05), ia hanya perlu ditukar pada jarak 100,000 km sahaja, berbanding X70 yang perlu menukar palam pencucuhnya pada setiap 20,000 km.

    Kos penggunaan bagi X70 juga akan menjadi lebih tinggi sekiranya anda mengambil kira penggunaan tayar 19-inci bagi varian Premium (17-inci bagi Standard, 18-inci bagi Executive). Gantian tayar anda akan lebih tinggi jika dibandingkan dengan tayar CR-V yang menggunakan saiz 18-inci.

    Sudah tentu, semua ini adalah anggaran kos bersandarkan kepada cadangan pengeluar, dan kos sebenar mungkin saja akan berbeza, bergantung kepada cara penggunaan anda. Kadar yang dikenakan juga tertakluk kepada perubahan, terutamanya sebagai contoh, Honda kini memberikan 15% potongan harga untuk alat ganti.

    Dengan perbezaan kos servis antara kedua model ini, anda juga mungkin ingin mempertimbang harga yang ditawarkan pula untuk pembeli; mungkin di sinilah timbal balik untuk kos servis yang tinggi bagi Proton kerana X70 dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding Honda CR-V. Apa pendapat anda, mana satu lagi berbaloi?

     
     
  • Perodua dedah teaser ke-3 SUV D38L – sudut belakang

    Perodua dedah teaser ke-3 SUV D38L – sudut belakang

    Klik untuk besarkan

    Ini merupakan teaser ketiga daripad Perodua untuk model SUV D38L yang dijangka bakal dilancarkan pada Januari 2019. SUV tujuh-tempat duduk ini memfokuskan penjimatan dengan menampilkan enjin Dual VVT-i yang mendapat pengiktirafan sebagai Kenderaan Jimat Tenaga (EEV), malah disifatkan sebagai terbaik dalam kelasnya dengan penjimatan bahan api sehingga 15.6 km/l dan turut mendatangkan ciri Eco Idle dengn fungsi auto start-stop seperti mana yang ada pada Bezza dan Myvi baharu.

    Enjin Dual VVT-i ini mungkin sama dengan unit yang menjanakan Myvi, yang turut ditampilkan pada Toyota Rush. Toyota mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 15.6 km/l. Berbanding pesaingnya, Honda BR-V dengan automatik CVT, (automatik empat-kelajuan untuk Rush) dengan anggaran 15.5 km/l di Thailand.

    Pada Myvi, enjin 102 hp/136 Nm menggunakan sekitar 20.1 km/l, tetapi hatchback segmen-B ini seberat 1,015 kg. Badan SUV pastinya lebih besar dan berat, malah lebih tinggi. “Kecekapan, ditinggikan dengan kesederhanaan di hati. Ini tujuh-tempat duduk terbaik dalam kelas yang akan membuat anda pergi jauh,” coret Perodua menerusi kapsyen dalam media sosialnya.

    Klik untuk besarkan

    Menerusi iklannya, Perodua berkata SUV D38L merupakan “mesra subsidi petrol” dengan enjin 1.5L. Jadi mungkin benar ia menggunakan kapasiti enjin sebegitu, sealiran dengan sasaran bagi subsidi bahan api seperti mana yang diumumkan menerusi Bajet 2019, yang disahkan oleh kerajaan.

    Dengan teaser yang disiarkan sebelum ini, kita dapat melihat serba sedikit mengenai profil sisi dan sudut hadapan, kini sudut belakang SUV ini pila dipertontonkan.

    SUV Perodua ini menampilkan kekemasan sudut belakang yang unik, seperti mana yang diterjemahkan menerusi imej hadapannya. Ia ditampilkan dengan kluster lampu belakang yang melunjur, dengan penggunaan LED yang nampak menyerlahkan lagi imejnya.

    Klik untuk besarkan

    Lampu tersebut juga disambungkan dengan bar yang menampilkan lencana Perodua di tengah, dengan kemasan hitam berkilat serta seksyen krom di bawah. Ruang bersudut di bahagian bawahnya adalah untuk menempatkan plat lesen. Namun bampar bawahnya tidak jelas kelihatan.

    Walau pun Toyota dan Perodua berkongsi sedikit mengenai sentuhan teknikal, namun tidak menyamai secara keseluruhannya. Ini memastikan harga yang bakal ditetapkan untuk SUV Perodua ini lebih murah sedikit berbanding abangnya, Rush, yang ditawarkan dengan harga anggaran antara RM93k hingga RM98k. Honda BR-V pula berharga dari RM81k hingga RM88k.

    Mungkin juga SUV Perodua ini berharga lebih kurang sekitar RM70k, tetapi bergantung pada ciri yang melengkapkannya termasuk aspek keselamatan Advanced Safety Assist 2.0 yang ditampilkan. Apa pun, kena tunggu bulan hadapan untuk menantikan lebih lanjut mengenai perincian penuh dan harganya. Jangan lupa untuk daftarkan minat anda di sini.

     
     
  • Sebastien Loeb sertai WRC 2019 dengan Hyundai

    Sebastien Loeb sertai WRC 2019 dengan Hyundai

    Selepas mengumumkan persaraannya dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan rekod memegang gelaran dunia selama sembilan tahun berturut-turut pada 2013, Sebastien Loeb kembali ke perlumbaan tersebut tahun ini setelah Citroen memberikannya peluang untuk berlumba dalam tiga pusingan – Mexico, Corsica dan Sepanyol. Loeb membuktikan walaupun sudah lima tahun ‘pencen’ dari WRC dan kini berusia 44 tahun, beliau masih lagi mampu menundukkan pelumba-pelumba baharu dengan memenangi WRC Sepanyol 2018.

    Dengan potensi yang masih nampak meyakinkan, Loeb telah pun menandatangani kontrak bagi memandu untuk pasukan Rali Dunia Hyundai bagi musim 2019. Walau bagaimanapun menurut laporan Autosport, kontrak berkenaan bukanlah untuk keseluruhan musim, tetapi hanya untuk enam perlumbaan atau tiga pusingan lebih banyak dari kontrak bersama Citroen untuk musim 2018.

    Perjanjian tersebut juga menyaksikan buat pertama kali, Sebastien Loeb bersetuju untuk memandu dengan pasukan yang tidak ada kaitan dengan PSA Group (Peugeot-Citroen, yang juga jenama dari negara asalnya iaitu Perancis) sepanjang kariernya sebagai pemandu rali profesional.

    “Menang di Rali Sepanyol musim ini menyalakan kembali semangat saya untuk terus bertarung di baris paling hadapan WRC. Menyertai Hyundai akan memberikan cabaran baharu kepada kami dan saya tidak sabar untuk menyahut cabaran ini,” kata Loeb.

    “Saya kagum dengan pendekatan pasukan dan keazaman mereka untuk berjaya. Mereka berusaha keras dalam merebut gelaran musim ini dan saya rasa saya dapat menyumbang banyak untuk mereka,” tambahnya lagi.

    Untuk musim hadapan, barisan pemandu Hyundai akan diketuai oleh Thierry Neuville yang akan berlumba dalam semua pusingan WRC 2019, manakala Andreas Mikkelsen akan berlumba hanya pada pusingan-pusingan tertentu. Loeb akan berkongsi kereta dengan rakan sepasukannya ketika dalam pasukan Citroen dahulu iaitu Dani Sordo, di mana Sordo akan bermula dengan Rali Mexico pada Mac 2019. Pemandu New Zealand, Hayden Paddon masih menggalas tugas sebagai pemandu keempat Hyundai untuk WRC tahun hadapan.

    “Mendapatkan perjanjian dengan seseorang yang berbakat besar dan berkaliber menunjukkan kami berada dalam kedudukan yang menarik perhatian dan kompetitif dalam Kejohanan Rali Dunia FIA,” kata prinsipal pasukan Hyundai, Michel Nandan dan turut menegaskan bahawa kehadiran Loeb adalah “sangat penting” kepada pasukannya.

    Sebastien Loeb sertai WRC 2019 dengan Hyundai

    Hyundai telah bertarung untuk merebut takhta WRC untuk musim 2017 dan 2018 tetapi Neuville masih belum berupaya menewaskan pemandu pasukan Ford dan juga juara WRC enam-kali berturut-turut, Sebastien Ogier. “Apa yang paling penting, sasaran kami adalah memenangi gelaran juara WRC. Kami percaya bahawa kami mempunyai pakej untuk mencapainya, dan komposisi kru kami untuk 2019 adalah refleksi cita-cita kami secara sempurna,” jelas Nandan.

    Laporan ini turut menyebut bahawa Loeb mengambil keputusan untuk menyertai Hyundai setelah Peugeot menarik diri dari kejohanan Rallycross Dunia, dan PSA Group tidak akan menawarkan Loeb apa-apa kontrak selepas tamat bulan ini.

    “Kami ambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan tinggi kami kepada Sebastien dan Daniel Elena untuk kejayaan yang mereka kecapi, dengan pengetahuan bahawa rekod unik yang kami capai bersama berasaskan apa yang akan kekal sebagai persahabatan yang tidak berbelah bagi atas dasar rasa saling menghormati,” kata pengarah sukan bermotor PSA, Jean-Marc Finot.

     
     
  • Bosch tunjuk kenderaan perantara EV di CES 2019

    Bosch tunjuk kenderaan perantara EV di CES 2019

    Bosch akan memperkenalkan sebuah konsep kenderaan perantara (shuttle) elektrik sepenuhnya tanpa pemandu ketika acara Consumer Electronics Show (CES 2019) yang akan berlangsung di Las Vegas bulan depan. Ia tampil dengan rekaan yang minimalis, tetapi dalam masa yang sama futuristik.

    Menurut ahli pengurusan Bosch, Dr. Markus Hyen; “Bosch ketika ini sedang membangunkan pakej unik terdiri daripada peralatan, perisian serta khidmat mobiliti bagi kenderaan perantara untuk masa hadapan.” Konsep ini juga dibayangkan akan memenuhi kawasan tengah bandar kelak – untuk membawa penumpang dan juga perkhidmatan berkaitan yang lain.

    Serba-serbi mengenai kenderaan ini dilengkapi dengan teknologi. Dari sistem janaan kuasanya, sensor 360-darjah hinggalah kepada sistem pengurusan perhubungan dan sambungan komputer yang ada padanya. Ia juga akan dihubungkan kepada ecosystem tempahan penumpang, perkhidmatan parkir dan mengecas serta infotainmen sepanjang perjalanan – semuanya dihubungkan secara digital.

    Perincian untuk sistem janaan yang akan digunakan masih belum didedah. Bagaimanapun, Bosch membangunkan sendiri sensor radar, video dan ultrasonic yang ada pada kenderaan ini. Begitu juga dengan sistem kawalan brek dan stereng kuasa, semuanya dibagunkan sendiri. Ia juga akan dilengkapi dengan ciri ramalan keadaan jalan supaya kenderaan tanpa pemandu ini boleh menjangkakan keadaan persekitarannya.

    Di dalam kabinnya, empat tempat duduk tersedia, dengan penumpang duduk bertentangan untuk mendapatkan ruang kaki yang lebih luas dan selesa. Infotainmen boleh dinikmati setiap individu secara bersendirian melalui skrin yang disediakan. Ciri wi-fi dan khidmat bayaran elektronik semuanya ada tersedia.

    Menarik untuk melihat kenderaan ini dengan semua maklumat spesifikasinya bila ia diperkenalkan secara rasmi Januari nanti. Mungkinkah ini nanti akan menjadi penyelesaian dalam bandar dengan jarak dekat dan membantu mengurangkan kesesakan dan pencemaran?

     
     
  • Proton X70 mampu bantu lonjakkan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk akhir tahun ini – MAA

    Proton X70 mampu bantu lonjakkan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk akhir tahun ini – MAA

    Kehadiran SUV pertama dari Proton, X70, yang dilancarkan pada 12 Disember lalu, dilihat mampu membantu melonjakkan lagi jualan kenderaan sebelum 2018 melabuhkan tirainya lebih kurang dua minggu lagi. Malah angka jualan bagi setakat ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.

    Dikhabarkan, CEO Proton, Dr Li Chunrong berkata, tempahan bagi X70 telah pun mencecah lebih 10,000 unit sejak ia dibuka pada 17 Oktober lalu.

    Menurut presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad, jualan kenderaan harus mencapai sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 585,000 unit menjelang akhir tahun. Di mana dari Januari hingga Oktober telah mencapai 6% lebih tinggi pada 502,244 unit, berbanding 427,719 unit pada tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan The Star.

    Proton X70 mampu bantu lonjakkan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk akhir tahun ini – MAA

    Tambahnya lagi, walau pun jumlah jualan menyusut sebanyak 23% pada bulan September selepas berakhirnya ‘cuti cukai GST’, namun pada Oktober, jumlahnya meningkat sebanyak 5.1%.

    “Kami tidak menjangkakan ia berlaku pada Oktober, tetapi ia jumlah yang memberangsangkan dan pada November pula, angkanya juga menunjukkan prestasi yang lebih baik,” ujar Aishah.

    Sepanjang ‘cuti cukai GST’ mulai 1 Jun hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 198,518 unit jualan kenderaan telah dicatatkan.

    MAA turut berkata jumlah jualan sebanyak 68,465 unit pada Julai laly merupakan pencapaian TIV bulanan kedua tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif tempatan. Pencapaian TIV bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam industri ialah 69,371 unit pada Disember 2015.

     
     
  • MEM hasilkan Proton Iriz R5 pemanduan sebelah kanan pertama – dibina khas untuk pelanggan

    MEM hasilkan Proton Iriz R5 pemanduan sebelah kanan pertama – dibina khas untuk pelanggan

    Tiada perkembangan dilaporkan berkenaan proses homologasi FIA untuk ke WRC bagi jentera rali Proton Iriz R5 yang sebelum ini dikatakan akan menerima kelulusan pada bulan ini, namun semalam laman Facebook dan Instagram Mellors Elliot Motorsport (MEM) mengumumkan bahawa mereka kini sudahpun menyiapkan sebuah Iriz R5 pertama dengan kedudukan pemandu sebelah kanan (RHD).

    Seperti diketahui sebelum ini, satu-satunya Iriz R5 yang telah pun membuat kemunculan sulung di Goodwood Festival of Speed tahun lalu, dipandu oleh Oliver Mellors dalam pelbagai rali domestik di UK adalah dari versi pemanduan sebelah kiri. Menurut MEM, Iriz R5 RHD ini dibina untuk pelanggan mereka tanpa menyatakan siapa pemiliknya – harap-harap ia akan bertanding di Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) yang salah satu pusingannya adalah di International Rally of Johor (IROJ), Malaysia.

    Selepas menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed 2017, Iriz R5 mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally 2017, juara di Grizedale Stages Rally 2017 dan mempertahankan takhtanya sebagai juara Rally Stage Goodwood FOS 2018. Selain Ollie Mellors, jentera ini juga pernah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    Proton Iriz R5 dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Dalam laporan Motorsport News UK sebelum ini menyatakan sekiranya Iriz R5 berjaya dalam homologasi FIA, ia bakal bertanding di pusingan pertama WRC tahun hadapan iaitu Monte Carlo Rally 2019 yang dilangsungkan Januari ini.

     
     
  • VW Passat generasi baharu pasaran AS – teaser di siar, guna platform & enjin sedia ada, muncul Jan 2019

    VW Passat generasi baharu pasaran AS – <em>teaser</em> di siar, guna platform & enjin sedia ada, muncul Jan 2019

    Pasaran Amerika Syarikat bakal menerima Volkswagen Passat generasi baharu awal tahun hadapan, namun jangan silap kerana Passat untuk pasaran tersebut sebenarnya berlainan dengan model yang ada di Malaysia, di mana model B8 yang kita terima adalah sama seperti pasaran Eropah dan versi facelift model tersebut juga akan muncul tahun hadapan.

    Kereta tersebut sebenarnya telah bersedia untuk dilancarkan pada 14 Januari ini di Detroit Auto Show, dan berberapa media terpilih di negara berkenaan telah pun dijemput untuk melihatnya. Walau bagaimanapun, tiada sebarang kamera dibenarkan untuk mengambil gambar Passat baharu itu, tetapi Volkswagen telah menyiarkan imej lakaran sebagai teaser untuk model tersebut.

    Passat Amerika baharu ini menampilkan rupa seakan Jetta dengan lampu hadapan seakan bercantum dengan gril, manakala di belakang pula diberikan sepasang lampu yang tirus dan tajam.

    Menurut Automotive News, model generasi baharu ini sebenarnya masih menggunakan platform PQ46 pada model New Midsize Sedan (NMS) sedia ada, iaitu platform yang sama pada Passat pasaran Eropah untuk generasi B6 dan B7, bukannya platform modular MQB yang terbaharu seperti model NMS yang telah dilancarkan di China. Ini bermaksud kereta baharu tersebut masih lagi menggunakan asas yang sama sejak tahun 2005.

    VW Passat generasi baharu pasaran AS – <em>teaser</em> di siar, guna platform & enjin sedia ada, muncul Jan 2019

    Bukan sahaja platform, malah ia turut akan menggunakan enjin 2.0 liter turbo TSI sama seperti model sedia ada, yang menjana 174 hp dan tork maksima 250 Nm. Tidak seperti pasaran lain yang menerima kotak klac berkembar DSG, versi pasaran Amerika diberikan kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan.

    Volkswagen mengekalkan platform dan unit janakuasa tersebut berkemungkinan untuk mengurangkan kos memandangkan permintaan sedan dalam kelas tersebut kian menyusut. “Tiada apa masalah pada platform tersebut,” kata pengurus model Passat di Amerika Utara, Steven Warrick.

    Beliau menyatakan bahawa pelanggan di pasaran berkenaan tidak pernah mempersoalkan dinamik pemanduan model sedia ada, namun tetap memberi jaminan bahawa sebahagian besar panel badan adalah baharu sepenuhnya. “Bahagian badan yang satu-satunya kami tidak tukar adalah pada bahagian bumbung,” jelas Warrick.

    Dengan menggunakan platform sedia ada bermaksud model baharu ini tidak akan menerima pelbagai teknologi terkini Volkswagen seperti paparan instrumen digital Active Driving Display. Tetapi Automotive News melaporkan ia masih akan menerima suis-suis kawalan baharu pada papan pemuka dan dibekalkan dengan sistem keselamatan terkini seperti adaptive cruise control, pemantau titik buta, bantuan parkir hadapan dan lampu-lampu LED.

    GALERI: Volkswagen Passat NMS 2019 pasaran China

     
     
  • ZF tunjukkan konsep beg udara di luar kenderaan

    ZF tunjukkan konsep beg udara di luar kenderaan

    Biasanya, ciri keselamatan aktif dan pasif dimasukkan dalam kategori yang berbeza. Walaubagaimanapun, pengeluar komponen automotif dari Jerman, mahu merapatkan lagi jurangnya dengan penghasilan beg udara di luar kenderaan. Ia boleh mengembung sebelum perlanggaran, sekaligus memberikan tambahan zon remuk yang boleh mengurangkan impak dari tepi. Menurut ujian, ia berjaya mengurangkan tahap kecederaan penumpang sebanyak 40%.

    Sistem keselamatan seperti beg udara sekarang sedang mengalami perubahan untuk kenderaan jenis autonomous yang mana konfigurasi tempat duduknya boleh berubah dan memberikan cabaran baru untuk sistem beg udara. “Keselamatan penumpang adalah sangat penting waktu membangunkan sistem baru untuk pemanduan autonomous,” kata ketua bahagian keselamatan pasif ZF, Michael Büchsner.

    Satu lagi rekaan beg udara tepi (tapi di dalam) yang dipanggil sebagai ‘far-side‘ turut dibangunkan oleh ZF, dan ia dapat mengurangkan risiko penumpang bertembung dengan komponen struktur lain dalam kenderaan. Menurut ZF, rekaan ini perlu disesuaikan lagi dengan kedudukan tempat duduk baru yang mungkin akan digunakan pada masa hadapan.

    ZF tunjukkan konsep beg udara di luar kenderaan

    “Pada tahun 2020 nanti, dijangka akan ada peraturan ujian baru dalam Euro NCAP, dan beg udara ‘far-side‘ ini mungkin diperlukan untuk mendapatkan pengiktirafan keselamatan perlanggaran 5-bintang,” kata ketua pembangunan sistem keselamatan pasif ZF, Norbert Kagerer.

    Pada bahagian lain yang terdapat dalam kenderaan, sistem kekangan tambahan juga perlu disesuaikan dengan susun atur yang berlainan seperti tempat duduk boleh ubah. Ini membolehkan penumpang untuk menyandarkan tempat duduk atau memusingkannya untuk berhadapan antara satu sama lain. Dalam keadaan ini, sistem kekangan seperti tali pinggang dan beg udara juga perlu disepadukan pada tempat duduk tersebut.

    Untuk masalah ini, ZF telah membangunkan beg udara ‘dual contour‘, yang mana rekaannya boleh disesuaikan dengan pelbagai posisi tempat duduk, sekaligus memberikan kebebasan kepada pengguna di dalam kenderaan autonomous.

     
     
  • Pelekat sekuriti, kod QR SIRIM – bagaimana ujian piawaian helmet dilakukan dan apa anda perlu tahu

    Pelekat sekuriti, kod QR SIRIM – bagaimana ujian piawaian helmet dilakukan dan apa anda perlu tahu

    Bermula Januari 2019, SIRIM QAS International yang merupakan sebuah anak syarikat SIRIM Bhd akan menggunakan label keselamatan baru untuk topi keledar yang lengkap dengan kod QR untuk memudahkan pengguna untuk menyemak semula maklumat keaslian dan kualiti produk berkenaan yang dibeli.

    Untuk berbuat demikian, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SIRIM QAS International dari Apple App Store atau Google Play Store ke telefon dalam telefon. Imbasan kod QR bagi setiap label pada topi keledar yang dijual akan memaparkan maklumat berkaitan status pensijilan produk serta pengeluarnya.

    Selain dari ciri baru ini, pelekat sekuriti berkenaan kekal dengan nombor siri unik, penggunaan teknologi UV dan dakwat lutsinar, teks mikro, corak Guillouche (seperti yang dicetak pada duit kertas) serta penggunaan kertas berkualiti tinggi.

    Ini bertujuan untuk mengelakkan penipuan atau penggunaan semula pelekat yang sama. Selepas ditampal untuk kali pertama pada produk asli, jika pelekat berkenaan ingin ditanggalkan, ia akan memaparkan tanda “Void”, menandakan ia telah diubah dan keaslian atau kualiti produk wajar diragui.

    Majlis berkenaan diadakan sempena lawatan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid ke kemudahan ujian helmet di kompleks SIRIM, Shah Alam Rabu lalu. Majlis turut disertai Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd. Azanuddin Salleh.

    Pelekat sekuriti, kod QR SIRIM – bagaimana ujian piawaian helmet dilakukan dan apa anda perlu tahu

    Seperkara lagi yang penting juga dinyatakan, SIRIM kini turut mempunya kemampuan dan tauliah untuk menjalankan ujian bagi pensijilan produk helmet mengikut piawaian yang dikenali sebagai UN ECE R 22.05 – Protoective Helmets and Their Visors for Drivers and Passenger of Motorcycles and Mopeds (E-Marking).

    Sejak dikuat kuasakan pada 1973, SIRIM telah mula menjalankan pensijilan helmet untuk kegunaan di Malaysia dengan mengikuti standard piawaian yang dikenali MS 1. Helmet-helmet sah yang dijual ketika ini dalam pasaran tempatan menggunakan standard berkenaan. Bagaimanapun, bagi piawaian UN E-Marking yang diperkenalkan, SIRIM masih belum menerima sebarang permintaan daripada mana-mana syarikat untuk tujuan itu lagi.

    Kami bercakap dengan Ketua Pensijilan Produk dan Pemeriksaan, SIRIM QAS International, Mohd. Hamim Bin Imam Mustain untuk mengetahui apa yang membezakan kedua-dua piawaian pensijilan ini. “MS 1 dan UN ECE R (E-Marking) ini menggunakan pendekatan ujian yang ada sedikit perbezaan. MS 1, seperti yang ramai tahu, adalah piawaian yang digunakan untuk standard khusus bagi pasaran tempatan. Misalnya, ujian yang dijalankan mengambil kira hal berkaitan keadaan helmet yang basah – kerana kita di Malaysia kerap hujan. Di pasaran lain, itu mungkin tidak jadi masalah,” ujar beliau.

    “Bagi standard E-Marking pula, ia melibatkan set ujian yang lain, dengan kriteria yang sedikit berbeza serta dari beberapa aspek memerlukan kadar kelulusan yang lebih ketat,” tambah beliau, dan menjelaskan bahawa E-Marking ini turut diterima pakai di kebanyakan pasaran lain seluruh dunia, dan ada makmal-makmal lain di luar negara yang turut menawarkan servis pensijilan yang sama. “Jadi, sekarang ini, SIRIM menawarkan kedua-dua ujian pensijilan terbabit, dengan kemampuan serta kelengkapan kemudahan lengkap, sekiranya ada pihak dari dalam atau luar negara yang perlukan perkhidmatan itu,” tambah beliau.

    Pelekat sekuriti, kod QR SIRIM – bagaimana ujian piawaian helmet dilakukan dan apa anda perlu tahu

    Setakat ini, untuk tipo keledar, SIRIM mempunyai jumlah pelanggan terdiri daripada 11 syarikat dengan 15 lesen pensijilan yang telah dikeluarkan. Daripada jumlah itu, satu daripadanya adalah dari syarikat luar negara, iaitu jenama Arai, yang inginkan pensijilan MS 1 dari SIRIM untuk produk-produknya yang dijual di Malaysia.

    Bagaimana pula dengan helmet-helmet import dari jenama lain yang banyak dijual dalam pasaran tempatan tanpa ujian pensijilan SIRIM, adakah ia menjadi kesalahan? Menurut beliau, dari sudut bidang kuasa pensijilan (perihal melibatkan urusan kastam adalah persoalan lain), itu tidak menjadi kesalahan.

    “Mungkin produk-produk itu tidak mempunyai pensijilan SIRIM bagi MS 1, tetapi mereka telah melakukan pensijilan E-Marking di tempat lain sebelum di bawa masuk. Kalau itu situasinya, ia tidak jadi masalah kerana E-Marking ini juga diterima pakai di Malaysia,” tambah Hamim.

    Bagi ujian helmet yang dilakukan pula, terdapat dua jenis yang dilakukan; type test dan consignment test (dilakukan secara berulang dan berterusan). Bagi ujian pertama, biasanya bagi helmet dari model baru untuk ditentukan jenisnya, empat contoh diperlukan.

    Pelekat sekuriti, kod QR SIRIM – bagaimana ujian piawaian helmet dilakukan dan apa anda perlu tahu

    Bagi ujian kedua pula, daripada satu batch 1,500 unit helmet, SIRIM akan memilih sembilan unit secara rawak untuk dijadikan contoh ujian. “Secara ringkas, antara ujian yang dijalankan termasuk ujian serapan hentaman, ujian penembusan dan ujian ketahanan tali pengikat pada dagu penunggang,” ujar beliau. Dan, sebelum setiap ujian dijalankan, contoh-contoh helmet terlibat akan dikondisikan terlebih dahulu, misalnya dengan keadaan susu berbeza, kebasahan dan sebagainnya.

    Kos bagi menjalankan satu ujian lengkap bagi satu model helmet dalam satu saiz spesifik ialah sekitar RM3,000. Ketika ditanya mengapa perlu ujian berulang mengikut batch seperti yang dinyatakan sedangkan sebelum itu syarikat terbabit sudah pun diberi lesen dan pensijilan awalnya, beliau menjelaskan itu bertujuan untuk memastikan standard yang dikehendaki itu sentiasa dipatuhi pengeluar.

    “Memang SIRIM sudah keluarkan lesen dan pensijilan kepada pengeluar. Tetapi, setiap helmet yang dikeluarkan itu perlukan pelabelan juga, bertujuan untuk memastikan pengeluar sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan.

    “Kita ingin elakkan kes di mana sebaik sahaja lesen dan pensijilan diberikan, pengeluar beralih untuk membuat helmet yang tidak mengikuti standard sepatutnya dan dijual dalam pasaran terbuka. Ini kita tak mahu. Maka perlukan pemantauan berterusan.” SIRIM juga dari semasa ke semasa akan membeli produk terbait dari pasaran untuk melakukan ujian berasingan dan menilai tahap produk setiap pengeluar yang sudah diberikan lesen itu.

    Secara ringkas, label sekuriti SIRIM – dan sekelas ini hadir dengan kod QR – adalah bertujuan untuk memudahkan pengguna mengenal pasti produk helmet yang diyakini selamat dan telah diuji. Ini langkah penting untuk mendidik pengguna, kerana di dalam pasaran terbuka, banyak lagi jenis-jenis helmet yang tidak disahkan aspek keselamatannya tetap dijual selamba. Jadilah pengguna bijak.

     
     
  • PANDANGAN AWAL: TVS Apache RTR200 – RM10,950

    PANDANGAN AWAL: TVS Apache RTR200 – RM10,950

    Semalam, satu jenama baru telah memasuki pasaran Malaysia iaitu TVS Motor Company dengan pelancaran dua buah model. Satu daripadanya adalah Apache RTR200, yang diumumkan dengan harga pasaran RM10,950 tidak termasuk insurans dan kami telah diberi peluang awal untuk menunggangnya. Walaupun tempohnya agak singkat, kami telah mengambil peluang penuh untuk ‘meneroka’ motosikal ini.

    Biasanya apabila mendapat sesebuah model baru, kami akan cuba untuk mendekatinya dengan hati terbuka. Tidak pedulilah ia datang dari mana, kami akan tunggu sehingga betul-betul dapat menunggangnya, barulah dapat memberi kata putus sama ada ia sebuah motosikal yang baik ataupun tidak.

    Apache RTR200 ini melalui pandangan mata kasar sahaja sudah cukup menarik untuk kami dekati. Rekaannya mudah diterima, tidak terlalu moden, dan tidak terlalu ketinggalan zaman. Selain daripada itu, perkadaran semua bahagian juga nampak serasi dan tiada yang pelik.

    PANDANGAN AWAL: TVS Apache RTR200 – RM10,950

    Apabila pergi lebih dekat, kami semakin kagum. Panel badan, plastik, butang kawalan serta bahagian-bahagian lain semuanya nampak berkualiti dan tentunya lebih baik daripada motosikal ‘bajet’ yang ada dalam pasaran Malaysia sekarang. Tidak hairanlah juga kenapa BMW memilih TVS sebagai rakan teknikal untuk menghasilkan model kapasiti rendah mereka seperti G310R dan G310 GS.

    Perkara positif tentang motosikal ini bukan hanya boleh dinikmati melalui pandangan, tetapi juga boleh dirasa melalui kualiti tunggangan. Penyumbang besarnya pada pendapat kami adalah penggunaan suspensi yang baik – fork teleskopik Kayaba di hadapan dan monoshock Kayaba di belakang – serta tayar Pirelli Angel CT saiz 80/90 di depan dan 130/90 di belakang.

    Padanan suspensi dan tayar ini mampu menyerap hentakan dengan baik, dan pengguna akan berasa senang menaikinya walaupun dengan ada penumpang di belakang. Ia juga tidak terlalu keras dan masih mampu memberikan keyakinan kepada penunggang untuk berhadapan dengan selekoh.

    Ingin juga kami nyatakan di sini bahawa Apache RTR200 terasa mudah untuk dikendali, tegap dan dapat melekap atas jalan dengan baik. Pada mulanya kami berpendapat ia disebabkan catatan berat yang lebih berbanding Modenas Pulsar NS200 tetapi setelah meneliti kembali risalah, ia sebenarnya malah lebih ringan iaitu 149 kg (NS200 mempunyai berat 155 kg).

    Pergi kepada enjin pula, Apache digerakkan oleh unit satu silinder 197.75 cc yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 21 PS pada 8,500 rpm dan 18.1 Nm tork pada 7,000 rpm. Ini adalah enjin yang mempunyai empat injap untuk setiap silinder, penyejuk minyak dan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) Bosch.

    Menariknya berkenaan enjin ini, ia tidak mengeluarkan gegaran yang banyak berbanding kebanyakan enjin satu silinder yang lain. Anda hanya akan merasakan operasi yang lancar, termasuklah dalam kelajuan tinggi. Berkenaan kuasa, kami boleh katakan ia tidaklah memecut pantas seperti KTM Duke 200, tetapi masih lagi berpadanan dengan badannya dan kami tidak bosan dengan pakej yang disediakan.

    PANDANGAN AWAL: TVS Apache RTR200 – RM10,950

    Baiklah, setakat ini kami telah memberitahu banyak perkara yang baik tentang RTR200, tetapi ini tidak bermakna ia adalah sebuah motosikal yang sempurna. Antara perkara yang kami rasakan perlu dinaik taraf adalah gearnya.

    Apabila dipulas habis untuk mendapatkan kuasa maksimum, RTR200 boleh pergi sehingga kelajuan 140 km/j dan ia tidak dapat pergi lebih kerana kami rasakan adalah disebabkan gear. Sekiranya ada satu lagi tambahan gear, ia mungkin boleh pergi lebih laju, ataupun yang pasti, ia akan memberikan lebih keselesaan dan tidak terlalu menyeksa enjin dalam kelajuan tinggi.

    Sebelum pergi lebih lanjut, ingin kami nyatakan bahawa unit yang kami uji serta boleh dilihat dalam gambar ini adalah model tahun 2017, manakala model yang dilancarkan untuk jualan umum di Malaysia adalah model terbaru tahun 2018. Selain grafik, bezanya cuma pada klac, di mana model tahun 2018 menggunakan klac jenis slipper. Melalui jangkaan kami, penukaran gear akan lebih lancar dan mudah untuk model tahun 2018 tersebut.

    PANDANGAN AWAL: TVS Apache RTR200 – RM10,950

    Untuk tangki bahan api, kapasiti yang disediakan agak besar iaitu 12 liter dan setakat yang kami gunakan, ia sudah dapat pergi hingga 270 km, dan itupun masih lagi berbaki dua bar (keseluruhannya ada lapan bar). Walaupun masa kami ambil motosikal ini ia hanya baru digunakan untuk 4 km sahaja, kami terus memulasnya seperti biasa tanpa memikirkan soal ‘berpantang’ atau break-in.

    Seperti biasa, semua informasi berkenaan operasi motosikal dapat diperhatikan pada panel digital yang terletak di depan. Menariknya, selain daripada perkara biasa seperti tahap rpm, kelajuan, tahap minyak, kedudukan gear dan lampu menukar gear, meter ini juga boleh memaparkan catatan masa lap time, High Speed Mode dan Shortest Time Mode. Walaupun begitu, kami tidak sempat untuk meneroka bagaimana semua ini berfungsi.

    Satu lagi perkara yang kami rasakan sangat perlu untuk diperbaiki pada motosikal ini adalah brek hadapannya. Cengkaman yang terhasil daripada unit cakera 270 mm serta angkup dua piston yang digunakan terasa sedikit kurang manakala brek belakang (cakera 240 mm dan angkup satu piston) masih bertindak baik. Seperti yang anda ketahui, brek hadapan sentiasa adalah lebih penting.

    Sebagai kesimpulan untuk sehari meluangkan masa dengan Apache RTR200 ini, kami rasa ia banyak memberikan kejutan. Kalau anda mempunyai stereotaip berkenaan motosikal dari India, kami boleh katakan ia tidak boleh diguna pada motosikal ini. Memang ia satu model yang bagus, tapi akhirnya masih memerlukan sokongan selepas jualan yang juga setaraf.

    Pada masa ini kita masih perlu melihat adakah syarikat baru ini setakat mahu menjual motosikal siap sahaja ataupun juga akan memberikan fokus kepada servis selepas jualan. Kalau ada, barulah keyakinan pengguna akan meningkat untuk memilikinya.

     
     
  • Volkswagen dikesan jual 6,700 kereta pra-produksi yang tidak sah – bakal dikenakan hukuman lebih berat

    Volkswagen dikesan jual 6,700 kereta pra-produksi yang tidak sah – bakal dikenakan hukuman lebih berat

    Selepas skandal dieselgate, nampaknya Volkswagen dikesan membuat lagi satu kesalahan jenayah iaitu menjual beribu unit kereta-kereta ujian pra-produksi kepada pelanggan-pelanggan mereka tanpa mengetahui status kereta tersebut di Eropah dan Amerika Utara sejak 2006, menurut laporan Der Spiegel.

    Perkara tersebut turut sudah disahkan oleh jurucakap Volkswagen, dan turut menjelaskan mereka menjual kereta-kereta berkenaan secara rahsia, dan ia hanya melibatkan model-model dari jenama VW sendiri tanpa melibatkan jenama lain seperti Audi atau Skoda yang bernaung di bawah payung kumpulan sama.

    Kereta-kereta tersebut sepatutnya perlu dihapuskan dan tidak boleh dijual kerana ia adalah unit-unit pra-produksi atau prototaip sebelum model produksi sebenar yang dihasilkan dan disahkan lengkap dalam semua aspek. Namun Volkswagen bertindak menjual kereta-kereta berkenaan sebagai kereta baharu dan terpakai, dan ia jelas bertentangan dengan undang-undang kerana ia tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa pengangkutan bermotor.

    Volkswagen dikesan jual 6,700 kereta pra-produksi yang tidak sah – bakal dikenakan hukuman lebih berat

    Menurut laporan The Drive, Volkswagen boleh memohon untuk menjual kereta-kereta tersebut secara sah dengan melalui proses yang ditetapkan – mereka perlu mengemukakan dokumentasi bagi menunjukkan perbezaan model pra-produksi dengan model produksi sebenar dan memberitahu kesemua badan-badan penyelia dalam industri dan pengedar-pengedar mereka tentang susur galur kereta-kereta berkenaan. Satu pun langkah dalam proses tersebut tidak diambil oleh VW.

    Akhbar Jerman, Handelsblatt pula melaporkan bahawa ada dokumen dalaman yang terdedah menyatakan jumlah sebenar kereta dengan “status pembinaan yang tidak jelas” mungkin mencecah setinggi 17,000 unit, atau hampir tiga kali ganda lebih banyak dari 6,700 kes yang telah disahkan. Dalam laporan susulan dari Der Spiegel juga mengesahkan jumlah yang lebih tinggi.

    CEO Volkswagen, Herbert Diess didakwa sudah pun mengetahui sitausi berkenaan sejak 2016, namun kes ini masih disorokkan dalam masa dua tahun. Tetapi ia terdedah setelah VW mengambil keputusan untuk menyelesaikannya dengan pihak berkuasa pengangkutan Jerman awal September lalu. The Drive menyatakan bahawa risiko yang besar menanti VW kerana mereka sendiri tidak mempunyai dokumentasi apa sebenarnya yang tidak lengkap dan masalah pada kereta-kereta tersebut.

    Volkswagen dikesan jual 6,700 kereta pra-produksi yang tidak sah – bakal dikenakan hukuman lebih berat

    Jurucakap VW memberitahu Hendelsblatt bahawa berberapa model hanya perlu mengemaskini semula perisian bagi menjadikannya sama seperti model-model produksi, manakala yang lain masih lagi samar apa kekurangan dan masalahnya, dan ia perlu dilupuskan secepat mungkin. Menurut VW, mereka tidak menerima apa-apa laporan lagi berkenaan kemalangan, atau kecederaan disebabkan kereta-kereta tersebut, dan mereka “amat menyesali” penipuan yang telah terjadi.

    Panggilan semula di Eropah telah pun diumumkan berhubung masalah ini, dan Volkswagen mungkin akan mengambil langkah untuk membeli semula kereta-kereta tersebut bagi mengelakkan ia terus dipandu atas jalan raya. Jun lalu, VW telah pun disaman sebanyak satu bilion euro (RM4.74 bilion) untuk menyelesaikan skandal Dieselgate, dan kini pihak berkuasa Jerman sedang membuat keputusan sama ada untuk menghukum jenama tersebut dengan saman yang lebih berat.

     
     
  • Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

    Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

    Dato’ Zainal (kiri) & Datuk Aminar (kanan)

    Perodua mengumumkan pelantikan Dato’ Zainal Abidin Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu bagi menggantikan Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh yang bersara selepas sembilan tahun menerajui syarikat tersebut.

    Di bawah kepimpinan Aminar, Perodua bukan sahaja dapat meningkatkan bahagian pasarannya daripada 31.2% pada 2010 kepada lebih 37% setakat tahun ini, malah berjaya melaksanakan inisiatif transformasi dalam Kumpulan Perodua.

    Prestasi lepas jualan menyaksikan peningkatan yang cukup ketara, begitu juga dengan kecekapan kos, kualiti dan penghantaran. Perodua juga melaburkan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di negara ini yang diperakui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

    “Ahli Lembaga Pengarah Perodua ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk (Dr) Aminar di atas sumbangan beliau khususnya kepada Perodua serta kepada industri automotif Malaysia secara keseluruhannya,” kata Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

    Zainal Abidin Ahmad sebelum ini merupakan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd. Beliau dijangka meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport Perodua.

    “Untuk tujuan tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Perodua melihat Dato’ Zainal adalah calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan Perodua serta para vendor, pembekal dan pengedarnya ke peringkat serantau. Membawa Perodua ke peringkat rantau memerlukan seseorang yang bukan sahaja boleh memimpin malah mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar,” kata Tan Sri Asmat.

    Sambungnya lagi, “Dato’ Zainal telah membuktikan bahawa beliau dapat bekerja dengan baik bersama semua pemegang saham, termasuklah Daihatsu Motor Company of Japan dalam membawa teknologi baharu ke Perodua dan menggalakkan pelaburan di dalam negara. Masa hadapan Perodua bergantung kepada keupayaan kami untuk bekerja lebih harmoni dengan Daihatsu kerana mereka sentiasa menyokong kami dan Dato’ Zainal membuktikan bahawa dia sesuai untuk tugas tersebut.”

    Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

    Tempoh perkhidmatan Aminar selaku Presiden dan CEO Perodua akan tamat pada 31hb Disember 2018. Zainal akan mengambil alih jawatan tersebut dari 1 Januari 2019.

    Zainal Abidin, 52, memegang ijazah dalam Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan daripada Pacific Lutheran University, Washington, USA. Beliau memulakan kerjayanya di Perodua pada tahun 1995 di jabatan kawalan kos, dan terlibat secara langsung dalam mewujudkan struktur kos pengeluaran Perodua.

    Beliau juga akan menjadi Presiden dan CEO yang pertama dipilih dari keluarga Perodua. Antara pencapaiannya termasuklah menyertai pembentukan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan bekerja secara dekat dengan kerajaan Malaysia menerusi pelbagai badan di bawah MITI dalam menambahbaik lagi dasar tersebut.

    Selain itu, beliau juga berperanan dalam penubuhan hab tren kuasa (powertrain) di Sendayan, Negeri Sembilan yang terdiri daripada Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (beroperasi 2016) dan kilang pengeluaran transmisi Akashi Kikai Sdn Bhd (beroperasi 2015).

     
     
  • K’jaan Sarawak pertimbangkan semula projek LRT

    K’jaan Sarawak pertimbangkan semula projek LRT

    Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan kerajaan negeri di bawah pimpinannya sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula projek Transit Rel Ringan (LRT) terutama di Kuching dan Kota Samarahan.

    “Saya menangguhkan projek LRT selepas mendapat bantahan daripada pihak tertentu tetapi sekarang mereka mahu projek tersebut dilaksanakan semula dan justeru, kita mungkin mempertimbangkan untuk melaksanakannya jika keperluan itu timbul,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Abang Johari berkata kesesakan lalu lintas terutama di Kota Samarahan sangat teruk apabila pekerja terpaksa keluar rumah seawal jam 5.30 pagi dan tiba di tempat kerja pada jam 8 pagi walaupun jarak laluannya singkat

    “Ketika kita sudah maju, pengangkutan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pencemaran udara di kawasan bandar dan bandar raya. Oleh itu, untuk mengatasi degradasi kualiti udara, antara pilihan untuk mitigasi adalah LRT, bas menggunakan bahan api hidrogen, kenderaan bermotor elektrik dan kenderaan biofuel,” ujarnya lagi.

     
     
  • Toyota Supra A90 – imej muka bocor di internet

    Toyota Supra A90 – imej muka bocor di internet

    Pendedahan rasmi Toyota Supra A90 untuk peringkat global akan dibuat tidak lama lagi, iaitu di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 yang akan berlangsung di Detroit, bulan hadapan. Tetapi, baru-baru ini muka Supra generasi baharu berkenaan telah bocor di internet, di siarkan di laman forum SupraMkV.com.

    Menurut posting pada laman tersebut, gambar Supra A90 berkenaan diambil ketika kereta itu sedang dalam proses pengangkutan. Sekali imbas, muka Supra ini adalah seiras dengan model konsepnya iaitu Toyota FT-1, tetapi jika diteliti dengan lebih terperinci, terdapat berberapa perbezaan ketara antara kedua-dua kereta tersebut.

    Pertama adalah saiz lampu hadapannya – di mana untuk FT-1 ia direka lebih kecil dan tirus, berbanding model produksi yang mempunyai saiz lebih besar seakan memberikan kesinambungan dari rekaan lampu Supra generasi sebelumnya iaitu A80. Model produksi ini juga menampilkan liang udara pada bawah ‘muncung F1’ pada muka kereta ini, bersama dua liang yang mengapit juga lebih besar, sementara liang udara menegak pada hujung kedua-dua sisi di reka lebih tirus berbanding FT-1. Turut kelihatan adalah rekaan ‘double-bubble‘ pada bumbung yang sememangnya seiras dengan FT-1.

    Model konsep Toyota FT-1 (kiri) dan Toyota Supra A80 (kanan)

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

    Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Kuasa hanya akan dialirkan ke gandar belakang, yang lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina dengan diatas casis aluminium dan logam komposit, pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

    GALERI: Model konsep Toyota FT-1 di KLIMS 2018

    GALERI: Prototaip produksi Toyota Supra A90

     
     
  • Volvo XC40 ungguli Kereta Tahunan Jepun 2018

    Volvo XC40 ungguli Kereta Tahunan Jepun 2018

    Volvo XC40 telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun 2018-2019, menjadikannya kejayaan berulang buat jenama dari Sweden ini yang turut memenangi anugerah yang sama tahun lalu menerusi XC60.

    SUV yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) dengan kerjasama Geely, tidaklah asing dari memenangi anugerah COTY, malah pernah menerima Kereta Tahunan Eropah 2018 awal tahun ini.

    Persaingan yang agak sengit dengan pemenang di tempat kedua, Toyota Corolla Sport. Di mana Corolla memperoleh markah sebanyak 314 mara, ketinggalan 49 mata di belakang XC40.

    Manakala di tangga ketiga disandang oleh Volkwagen Polo, dengan memperoleh 197 mata, sementara Toyota Crown dengan kutipan 170 mata dan Mitsubishi Eclipse Cross pula di tangga kelima dengan 165 mata. Panel undian melibatkan seramai 60 orang juri.

    Bagi kategori anugerah khas, Honda Clarity PHEV (plug-in hybrid) membawa pulang Anugerah Inovasi Terbaik, sementara BMW X2 pula menerima Anugerah Emosi dan Daihatsu Tocot pula menerima Anugerah Mobiliti Kecil.

    Selain itu, COTY turut memberikan Anugerah Pencapaian Khas kepada pasukan Toyota Gazoo Racing atas pencapaian cemerlang dalam Le Mans 24-Hours dan World Rally Championships. Honda N-Van pula menerima Anugerah Pencapaian Khas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025