Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW X3 G01 bakal dilancar di M’sia, ROI kini dibuka

    BMW Malaysia telah mengesahkan model BMW X3 GO1 baharu bakal dilancarkan di sini hujung minggu ini. Pertama kali didedahkan secara global pada Jun 2017, F25 generasi kedua telah pun diperkenalkan sejak 2010 lalu (dengan kemaskini LCI pada 2014).

    Bagi yang berminat dengan X3 baharu ini, bolehlah mendaftarkan di laman yang didedikasikan khas menerusi laman web rasmi syarikat ini, namun setakat ini, perincian yang diberikan adalah terhad. Walau bagaimana pun, ia pasti akan didedahkan sepenuhnya pada hari pelancarannya.

    X3 didatangkan dengan kit Luxury Design dan set roda LMR jejari-berkembar Style 696 19-inci. Juga kelihatan sepasang lampu utama LED-penuh secara standard bukannya unit adaptif, dan ketiadaan pengesan/kamera di sebelah cermin pandang belakang. Malah BMW Driving Assistant Plus mungkin juga tidak disediakan.

    Di bawah bonetnya, X3 sepatutnya digandingkan dengan penjana kuasa sDrive20i yang terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo empat-silinder (184 hp/290 Nm) dan transmisi automatik lapan-kelajuan. Walau bagaimana pun tidak diketahui adakan varian diesei juga akan ditawarkan, seperti pada F25.

    Rekaannya termasuklah gril kidney besar di hadapan yang tidak lagi disambungkan pada lampu utama, dan bampar hadapan yang lebih menyerlah. Lampu belakang lebih kecil turut disemak semula dan elemen Air Breather berada selepas roda hadapan.

    Dengan pelancaran X3 baharu di negara ini, adakah anda akan memilihnya atau pun pesaing terdekatnya termasuk Mercedes-Benz GLC dengan harga bermula RM288,888 (atas jalan tanpa insurans) bagi GLC 200? Atau pun Volvo XC60 dengan harga bermula RM298,888 bagi T5 Momentum?

    Anda boleh klik PAUTAN INI untuk mendaftarkan minat anda bagi BMW X3 G01 baharu.

     
     
  • SYM VF3i vs Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i – perbandingan spesifikasi ‘kapcai panas’

    SYM VF3i vs Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i – perbandingan spesifikasi ‘kapcai panas’

    Awal minggu ini pasaran motosikal berkapasiti rendah di Malaysia digegarkan dengan ketibaan sebuah kapcai yang didakwa sebagai “kapcai berkapasiti paling tinggi di dunia”, iaitu SYM VF3i. Ia dilancarkan dengan dua pilihan warna standard (biru dan merah) pada harga RM8,467.28 dan warna hitam matte (SE), pada harga RM8,785.28.

    Model ini menjadi perhatian ramai kerana segmen untuknya juga sudah sememangnya cukup ‘panas’, dengan pesaing yang sudah ada termasuk Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, dan juga Benelli RFS150i. Semua kapcai ini menggunakan kapasiti enjin 150 cc, tetapi SYM juga mengatasi semuanya dengan enjin 183 cc.

    Pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai, dan kebanyakannya bergantung kepada keutamaan masing-masing, baik daripada pilihan jenama, pengalaman ataupun cita rasa sendiri. Semua itu adalah persoalan subjektif, oleh itu di sini kami letakkan perbandingan spesifikasi pengeluar untuk empat buah motosikal ini.

    Anda boleh lihat sendiri daripada jadual di bawah bahagian manakah sebenarnya yang berbeza di antara semua model ini. Bahagian suspensi, brek dan ukuran badan, jika ada perbezaan pun, cumalah sedikit, tetapi yang menjadi kelainan adalah kapasiti enjin serta kuasanya. Selain itu, SYM VF3i juga mempunyai kelebihan kerana menggunakan tangki bahan api yang lebih besar (7 liter).

    Walaupun SYM ada menyatakan jarak yang boleh dicapai dengan isian penuh bahan api ini, ia masih lagi menjadi persoalan ramai. Apa yang boleh kami katakan, tunggu apabila kami dapat menguji model ini nanti, dan kami akan berikan segala laporan penggunaannya.

    SYM VF3i vs Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i – perbandingan spesifikasi ‘kapcai panas’

    GALERI: SYM VF3i


    GALERI: Benelli RFS150i

    GALERI: Yamaha Y15ZR

    GALERI: Honda RS150R

     
     
  • Peugeot 208 tiga-pintu mungkin akan dihentikan produksi tidak lama lagi kerana prestasi jualan lembab

    Peugeot 208 tiga-pintu mungkin akan dihentikan produksi tidak lama lagi kerana prestasi jualan lembab

    Peugeot dikhabarkan bakal menghentikan produksi model 208 versi tiga-pintu dalam berberapa minggu lagi kerana permintaan yang semakin menjunam terhadap kereta berkenaan, lapor AutoWeek Holland.

    Keputusan yang bakal diambil oleh Peugeot ini dikatakan adalah muktamad, dan bakal diteruskan untuk model generasi berikutnya. Ini bermakna, hatchback segmen-B generasi seterusnya berkenaan tidak akan hadir dalam bentuk badan tiga-pintu pada ruang pameran Peugeot di Paris Auto Show 2018. Begitu juga untuk versi berprestasi tingginya iaitu 208 GTi, ia hanya ditawarkan dalam bentuk lima-pintu sekiranya diperkenalkan kelak.

    Di Malaysia, model tiga-pintu berkenaan sememangnya tidak lagi ditawarkan untuk model biasa ketika versi facelift 208 diperkenalkan tahun lalu. Model asas berkenaan hadir dengan enjin petrol turbo 1.2 liter tiga-silinder PureTech baharu (RM87k) berkuasa 112 PS/205 Nm dengan kotak gear enam kelajuan automatik, menggantikan enjin petrol NA empat-silinder 1.6 liter VTI (122 PS/160 Nm) dengan kotak gear auto empat-kelajuan.

    Namun jika anda masih mahukan lagi model dengan bentuk badan tiga-pintu di Malaysia, Nasim masih menawarkan model lebih berkuasa (dan lebih mahal berharga RM144k) 208 GTi dengan versi badan berkenaan yang dijana enjin petrol empat-silinder turbo 1.6 liter berkuasa 208 hp/300 Nm, digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan.

    Sebenarnya bukan Peugeot sahaja yang mengambil keputusan sedemikian. Jika anda perasan, Renault Clio (bukan dari versi RS), Volkswagen Polo Mk6 dan juga Seat Ibiza juga kini tiada lagi versi tiga-pintu kerana kekurangan permintaan. Malah Volkswagen juga kini hanya menawarkan Polo GTI dalam bentuk badan lima-pintu. Sekarang ada sesiapa lagi nak tanya kenapa Proton tidak lagi menghasilkan Satria Neo?

     
     
  • Mercedes-Maybach tunjuk konsep sebelum ke Beijing

    Beijing Motor Show 2018 bakal membuka tirainya dalam beberapa hari lagi, Mercedes-Maybach telah menyiarkan video teaser bagi model yang bakal dipertontonkan di acara berkenaan. Terdapat desas-desus yang menyatakan pengeluar kereta itu bakal mendedahkan versi model GLS akan datang, dengan “kekemasan yang serba mewah”.

    Klip video berdurasi 33 saat ini memfokuskan ruang dalaman kenderaan terbabit, dengan warna putih dan biru sebagai tema. Malahan bentangan krom dan rose gold juga jelas kelihatan memberikan aura yang lebih mewah.

    Jika ia memang pratonton bagi GLS Maybach baharu, versi siap produksi ini akan menyamai SUV mewah lain termasuk Bentley Bentayga dan Rolls-Royce Cullinan yang akan datang. Model tersebut dikatakan akan didedahkan di Los Angeles Auto Show tahun ini.

    Selain versi Maybach, GLS biasa yang kelihatan menerusi spyshot sebelum ini juga akan ditawarkan. Dijangka menggunakan platform Modular High Architecture (MHA) baharu, yang turut akan digunakan untuk GLE generasi akan-datang. Platform baharu ini juga memiliki keupayaan teknologi pemanduan sendiri termaju dan penjana kuasa hibrid juga akan ditawarkan.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz GLS generasi akan datang

     
     
  • Memminger Roadster 2.7 – kereta sport moden 210 hp/247 Nm, diinspirasikan dari VW Super Beetle 1303

    Memminger Roadster 2.7 – kereta sport moden 210 hp/247 Nm, diinspirasikan dari VW Super Beetle 1303

    Anda mungkin ingat roadster ini adalah sebuah Volkswagen Beetle. Tetapi sebenarnya tidak, ia adalah sebuah kereta sport custom binaan pakar restorasi VW Beetle Cabriolet dari Jerman iaitu Memminger Feine-Cabrios dan kereta istimewa ini digelar Memminger Roadster 2.7.

    Menurut Memminger, binaan asas kereta ini sememangnya diambil dari Beetle, tetapi tidak diperincikan dengan jelas bahagian mana yang diadaptasi, manakala kerangka kereta ini pula dibina dari tiub keluli yang dikimpal.

    Jika dilihat pada bahagian sisi kereta ini, ia jelas lebih lebar dan lebih rendah dari Beetle klasik, serta kedudukan enjin juga berbeza – Memminger Roadster mempunyai enjin yang diletakkan pada bahagian tengah (antara tempat duduk dan tayar belakang), manakala enjin Beetle asli terletak di belakang tayar.

    Memminger Roadster 2.7 – kereta sport moden 210 hp/247 Nm, diinspirasikan dari VW Super Beetle 1303

    Roadaster ini masih lagi dijana enjin boxer empat silinder seperti Beetle, tetapi dengan kapasiti jauh lebih besar iaitu 2.7 liter yang mampu menghasilkan 210 hp dan tork maksima 247 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda belakang.

    Kereta dengan berat keseluruhan hanya 800 kg ini dibekalkan dengan sistem suspensi yang diperkuat bersama sistem brek yang diambil dari Porsche 911 klasik. Keempat-empat sudut diberikan rim berdiameter 18-inci yang dibaluti tayar-tayar Michelin dengan saiz 225/45R18 di hadapan serta 255/40R18 di belakang.

    Pada bahagian luar, ciri-ciri seperti VW Beetle masih kelihatan dan mirip kepada model ‘Super Beetle’ 1303 keluaran tahun 1973 hingga 1974, dengan lampu hadapan yang lebih menonjol serta lampu belakang yang lebih besar. Pada bahagian penutup enjin pula, roadster ini direka seakan Porsche 918 Spyder bersama liang udara untuk enjin.

    Masuk ke kabin, kereta ini diberikan papan pemuka ringkas menampilkan dua meter utama iaitu takometer dan meter kelajuan (hanya meter kelajuan tunggal pada Beetle Type 1) dengan elemen nombor dan tulisan seperti Beetle klasik, manakala meter suhu dan tekanan minyak pelincir dan juga jam analog diletakkan pada bahagian tengah.

    Tiada sistem infotainmen diberikan pada kereta ini, namun elemen keseronokkan memandu sangat dititik beratkan menerusi pemadanan roda stereng sport, tombol gear balutan kulit dan juga tempat duduk bucket penuh dengan corak tartan serta tiub serlahan berwarna merah.

    Setakat ini, Memminger hanya membina sebuah sahaja Roadster 2.7 berkenaan dan dijadikan sebagai model konsep. Sekiranya mendapat permintaan, syarikat tersebut menyatakan mereka hanya akan membinanya sebanyak 20 unit sahaja.

     
     
  • Volkswagen Group uji fungsi parkir sendiri di Hamburg Airport – siri pengeluaran dilancar menjelang 2020

    Mencari ruang parkir selalunya mengambil masa yang agak lama, tetapi Volkswagen Group sedang meneliti pilihan terbaik untuk para pelanggannya. Bagaimana? Dengan menampilkan model kereta masa hadapan yang berkeupayaan mencari ruang parkir dan boleh memarkir sendiri secara automatik.

    Teknologi parkir sendiri ini sedang diuji sebagai pilot project di Lapangan Terbang Hamburg. Ujian ini melibatkan kenderaan Volkswagen, Porsche dan Audi yang dilengkapi dengan “sistem pengesan sekeliling aktif”, yang membolehkan ia mengesan ruang parkir terbuka yang boleh dimasukinya.

    Aplikasi telefon pintar digunakan untuk untuk memulakan proses di mana pemandu akan menempah tempat letak kereta terlebih dahulu di lapangan terbang. Mereka hanya perlu meninggalkan kenderaan mereka di pintu masuk tempat letak kereta, dan kenderaan itu akan terus memarkir sendiri, membuat penyesuaian yang sepatutnya dan memilih berdekatan stesen pengecasan elektrik jika diperlukan.

    Malah terdapat pilihan dengan menggunakan pakej ‘drop-off point’ atau cucian kering sementara ketiadaan pemandu, turut ditawarkan.

    Apabila pemilik ingin mengambil semula kenderaannya, akses menerusi aplikasi dilakukan sekali lagi. Kemudian kenderaan terbabit akan dipandu dengan sendirinya menuju ke pemilik. Bayaran parkir juga boleh dibayar menerusi aplikasi terbabit.

    Buat masa ini, projek berkenaan hanya melibatkan ruang parkir bertingkat yang bertentangan dengan Terminal 2 yang ditutup pada lalu lintas biasa. Dengan data yang mencukupi, ujian dalam keadaan yang sebenar termasuk melibatkan kenderaan lain dan pejalan kaki juga dilakukan.

    Menurut Volkswagen, masyarakat di Jerman mengambil masa selama 41 jam setahun hanya untuk mencari ruang parkir, manakala di Britain pula 44 jam dan New York lebih lama iaitu mencecah 107 jam. Dengan adanya fungsi ini ia mampu mengurangkan masa mencari ruang parkir kosong, dan disasarkan akan mula dikeluarkan menjelang tahun 2020.

    “Parkir sendiri boleh menjadi penyumbang penting dalam urusan seharian, malah boleh mengelakkan tekanan pada para pelanggan kami. Oleh itu, kami mahu mendemostrasi teknologi ini dan memberikan lagi kemudahan kepada orang ramai sebaik mungkin,” ujar Johann Jungwirth,ketua pegawai digital Volkswagen Group.

     
     
  • Jaguar Land Rover kurangkan 1,000 tenaga kerja di UK akibat Brexit dan jualan kenderaan diesel menyusut

    Jaguar Land Rover kurangkan 1,000 tenaga kerja di UK akibat Brexit dan jualan kenderaan diesel menyusut

    Jaguar Land Rover (JLR) membuat keputusan untuk mengurangkan tenaga kerja di West Midlands, United Kingdom, akibat ketidakpastian Brexit dan jualan kenderaan diesel yang dilaporkan menyusut.

    Pengeluar kenderaan terbesar Britain itu akan memberhentikan 1,000 pekerja kontrak sementara di kilang di Solihull, yang mengeluarkan Range Rovers dan Land Rover Discovery. Kilang terbabit mempunyai 10,000 pekerja, termasuk 2,000 kakitangan kontrak.

    Secara keseluruhannya, syarikat ini yang memiliki 40,000 pekerja di seluruh UK, akan memindahkan sejumlah kakitangannya dari kilang berhampiran Castle Bromwich untuk mengisi kekosongan jawatan di Solihull.

    Menurut laporan Reuters, pengurangan tersebut difahamkan ejoran penyusutan jualan JLR sebanyak 26% di UK bagi tiga bulan pertama 2018. Manakala jualan di Jerman, pasaran kenderaan terbesar di Eropah pula juga menyusut sebanyak 32% dalam tempoh waktu yang sama.

    Jaguar Land Rover kurangkan 1,000 tenaga kerja di UK akibat Brexit dan jualan kenderaan diesel menyusut

    JLR merekodkan jualan sebanyak 612,109 unit kenderaan di seluruh dunia pada tahun 2017, meningkat sebanyak 6.5% berbanding tahun sebelumnya. Walau bagaimana pun, jualan di UK menyusut sebanyak 15.8% disebabkan kekurangan keyakinan para pengguna.

    Syarikat berkenaan juga berkata penangguhan pengguna dalam soal pembelian kenderaan baharu disebabkan kurang yakin dengan polisi kerajaan terhadap kenderaan diesel. Malahan kekurangan keyakinan tersebut juga berpunca daripada ketidakpastian terhadap Brexit.

    Dalam kenyataannya, JLR menggambarkan Brexit dan cukai diesel sebagai “perkara yang menyakitkan kepala”. Katanya, “Perkara ini memberikan kesan mendalam terhadap industri automotif, membuatkan kami terpaksa melakukan beberapa penyusunan semula terhadap jadual produksi kami termasuk tenaga kerja. Walau bagaimana pun, kami akan terus merekrut sebilangan besar jurutera, siswazah dan perantis yang sangat mahir kerana kami melabur secara besar-besaran dalam produk dan teknologi baharu.”

     
     
  • TINJAUAN AWAL: SYM VF3i 183 cc di M’sia – RM8,647

    Semalam, baru saja pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan model kapcai terbaru jenama itu, dikenali dengan nama SYM VF3i.

    Uniknya kapcai ini – sehingga ia menarik begitu banyak perhatian daripada peminat dan pengguna motosikal tempatan – ialah kerana buat pertama kalinya sebuah kapcai dilengkapi dengan enjin 183 cc, empat-lejang SOHC penyejukan cecair.

    Ini menjadikannya kapcai yang hadir dengan kapasiti enjin paling tinggi dalam pasaran setakat ini, sekurang-kurangnya di Malaysia. Dan, kita menjadi negara pertama yang menyaksikan pelancaran model ini. Jika dilihat dari aspek persaingan pula, SYM VF3i mencabar model-model popular lain sedia ada di sini, iaitu Yamaha Y15R , Honda RS 150R dan mungkin juga Benelli RFS150i.

    SYM VF3i menggunakan kotak gear enam-kelajuan, dan enjin suntikan bahan api ini mampu memghasilkan kuasa sebanyak 17.7 hp pada 8,500 rpm, manakala tork pula sebanyak 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm (dengan piawaian enjin Euro 3). Laju maksimum yang boleh dicapai ialah 155 km/j (dari paparan meter).

    Apa yang ditawarkan oleh kapcai terbaru ini? Antaranya ialah unit LED bagi lampu siang (DRL), lampu penunjuk arah serta lampu belakang. Warna yang ditawarkan pula ada tiga, iaitu biru dan merah untuk model standard yang dijual pada harga RM8,467.28 dan warna hitam matte, iaitu model SE pada harga RM8,785.28 (termasuk GST, tanpa insurans).

    Jadi macam mana? Anda rasa SYM VF3i ini mampu menandingi populariti model-model pesaingnya atau tidak? Harga dia ok tak untuk kapasiti enjin yang ditawarkan? Untuk tahu lebih lanjut, layan dulu video ringkas yang kami sediakan ini.

     
     
  • Perodua terus hasilkan alat ganti Myvi generasi kedua

    Perodua terus hasilkan alat ganti Myvi generasi kedua

    Walaupun bukan model yang masih dijual di bilik pameran, Perodua telah membuka satu lagi barisan produksi khas bagi menghasilkan komponen alat ganti untuk model ‘Myvi Lagi Best’ atau Myvi generasi kedua – yang diperkenalkan pertama kali pada 2015 dan masuk ke fasa facelift pada 2015.

    Barisan produksi yang terletak di kilang yang berada di Tanjung Malim berkenaan dioperasikan oleh vendor Perodua iaitu IQM, menghasilkan komponen seperti bonet, pintu, fender, panel sisi badan dan juga bumbung.

    “Untuk keselamatan, keselesaan dan ketenangan minda pelanggan, kami memberikan komitmen kami kepada mereka dan akan terus menghasilkan komponen yang berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kenderaan Perodua mereka,” kata Takahashi Masanori, presiden Perodua Auto Corporation.

    Perodua terus hasilkan alat ganti Myvi generasi kedua

    “Kami memilih untuk memproduksi komponen diluar kilang asal untuk Myvi generasi kedua kerana kilang kami kini berada pada kapasiti tertinggi. Kerana telah pun menghasilkan komponen untuk Viva sejak model tersebut dihentikan pada 2014, IQM merupakan pilihan semula jadi untuk projek ini,” tambah Masanori.

    Untuk komponen enjin pula, alat ganti untuk Myvi berkenaan masih lagi dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing (PMSB) di Rawang, manakala vendor lain masih menghasilkan komponen-komponen lain.

    Selain Myvi dan Viva, IQM turut menghasilkan komponen lain kepada Perodua seperti stamping logam, komponen-komponen pemasangan badan dan juga komponen tiub pada sistem brek.

    Dalam masa yang sama, Perodua turut mengesahkan komponen alat ganti untuk model-model lamanya yang masih popular seperti Myvi generasi pertama, Kelisa dan Kancil masih lagi dihasilkan oleh vendor-vendor mereka di Malaysia sehingga kini.

    “Masih lagi ramai yang menggunakan Myvi generasi kedua, dari sejumlah 519,000 unit yang diproduksi bermula Mei 2011 hingga Oktober 2017. Ini merupakan penghargaan yang dibuat oleh masyarakat Malaysia dan kami galas kepercayaan ini secara serius,” tambahnya.

    “IQM telah menjadi vendor Perodua sejak 2002. Sejak dari itu, Perodua dan IQM telah mewujudkan hubungan yang kuat berdasarkan kepercayaan, kualiti dan kesetiaan yang tidak berpenghujung terhadap pelanggan kami,” tambah Aidil Azlan Mohd Fitri, pengarah ekskutif IQM.

     
     
  • Suzuki Ertiga 2018 – terima papan pemuka dari sedan Dzire, muncul di Indonesia separuh pertama tahun ini

    Suzuki Ertiga 2018 – terima papan pemuka dari sedan Dzire, muncul di Indonesia separuh pertama tahun ini

    Selepas Suzuki Swift generasi baharu masuk kepasaran, sudah tentu versi MPV yang diasaskan dari platform yang sama iaitu Ertiga turut akan diperkenalkan. Tahun lalu khabar dari Indonesia mengatakan MPV generasi baharu berkenaan bakal didedahkan di negara tersebut pada separuh pertama tahun ini, manakala unit protaipnya yang sedang diuji juga telah ditemui di India.

    Selain dari imej bayangannya yang telah dihasilkan berdasarkan rupa Swift terbaharu dan gambar intipan di India tersebut, ini ada satu lagi petunjuk berkenaan rupa Ertiga generasi seterusnya tersebut – Autonetmagz melaporkan bahawa Ertiga bakal dilengkapi dengan papan pemuka yang diambil dari Suzuki Dzire atau Swift versi sedan yang kini berada di pasaran India.

    Oleh itu, rekaan pada papan pemuka berkenaan akan menyaksikan perubahan yang besar dari generasi Ertiga sedia ada. Elemen asas rekaan antara dua model tersebut sememangnya berbeza di mana Dzire menampilkan lebih bersudut dari Suzuki/Proton Ertiga yang berada dalam pasaran sekarang, termasuk pada liang-liang penghawa dingin dan juga pada konsol tengah.

    Rekaan pada suis-suis kawalan penghawa dingin dan sistem infotaimen turut berubah, manakala ruang storan kecil pada bahagian atas glove box turut ditiadakan. Untuk menampakkan ia lebih premium dari sebelum ini, kemasan panel-panel kayu palsu juga diberikan pada papan pemuka tersebut.

    Papan pemuka Suzuki Dzire (kiri) dan Proton Ertiga (kanan)

    Dijangkakan rupa yang lebih moden pada bahagian dalaman ini turut akan dibawa ke bahagian luaran. Dzire dan Swift generasi terkini dibina berasaskan platform Heartect baharu yang lebih tegar dan juga menampilkan pelbagai komponen yang lebih ringan – ciri ini tentu dibawa bersama pada Ertiga generasi baharu berkenaan.

    Ia juga dijangka bakal dijana barisan enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu enjin petrol NA 1.4 liter berkuasa 92 PS/130 Nm dan juga versi diesel dengan enjin 1.3 liter turbo berkuasa 89 hp/200 Nm yang turut disertakan dengan sistem hybrid ringkas. Transmisi juga dijangka sama dimana model petrol ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, manakala model diesel dipadankan dengan hanya manual enam-kelajuan.

    Kita di Malaysia turut menerima Ertiga generasi sedia ada, namun seperti yang diketahui ia diproduksi di kilang Proton serta dijual dengan logo jenama automotif nasional berkenaan. Buat masa ini, Proton dilihat lebih menumpukan kerjasama mereka terhadap rakan strategik baharu dari China iaitu Geely, dan tidak diketahui sama ada mereka berminat atau tidak untuk membawa Ertiga generasi baharu ke sini.

     
     
  • Pusat 3S/4S Proton – 61% rangkaian pengedar telah dinaiktaraf, persiapan bagi pengenalan SUV pertama

    Pusat 3S/4S Proton – 61% rangkaian pengedar telah dinaiktaraf, persiapan bagi pengenalan SUV pertama

    Sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuhkan perniagaan Proton, pengeluar kenderaan nasional itu mensasarkan untuk meningkatkan jumlah pusat 3S/4S menjadi 109 buah, sebagau persediaan bagi pelancaran model SUV pertama syarikat itu pada suku keempat 2018.

    Bagi tempoh tiga bulan lalu, Proton telah menerima 170 permohonan daripada pengedar-pengedar atau rakan perniagaan yang berpotensi untuk menyediakan pusat 3S/4S berkenaan, dengan 82 daripada mereka berkemungkinan besar akan diluluskan untuk memulakan kerja-kerja naiktaraf berkenaan.

    Sehingga kini, 66 permohonan telah dinilai dan diluluskan, menjadikan jumlahnya ialah 61% daripada 109 sasaran awal yang telah ditetapkan sebelum ini. Dengan perkembangan ini, Proton yakin akan dapat mencapai sasaran bagi naiktaraf rangkaian pengedarnya bagi tahun 2018.

    Bergerak ke hadapan, syarikat itu bakal memperkenalkan model-model yang dibangunkan secara bersama dengan Geely, dan meneruskan rancangan naiktaraf yang terdiri daripada beberapa fasa sehingga 2020 nanti.

    Pusat 3S/4S Proton – 61% rangkaian pengedar telah dinaiktaraf, persiapan bagi pengenalan SUV pertama

    Selain memperkemas tahap operasi rangkaian pengedarnya, Proton juga sedang menjalankan penambahbaikan terhadap amalan serta proses dalaman syarikat itu. Ini termasuk mengambil individu-individu yang berpengalaman dalam industri automotif untuk menyertai mereka serta menghantar tenaga kerja untuk belajar daripada rakan strategik di China.

    Proton juga memberi tumpuan untuk menambahbaik kualiti keseluruhan produk-produk sedia ada dengan cara mengaplikasikan sistem skor yang diamalkan oleh Geely – yang datangnya daripada sistem yang digunakan oleh Volvo.

    Usaha-usaha ini adalah sebahagian sahaja daripada keseluruhan perubahan yang sedang dijalankan Proton untuk pengenalan SUV barunya nanti. Model berkenaan juga akan hadir dengan pelbagai ciri termaju, antaranya kawalan kruise adaptif serta brek kecemasan automatik (AEB). Setakat ini, ia sudah pernah dilihat sedang diuji di Malaysia. Pemilihan nama atas talian juga menarik minat orang ramai.

     
     
  • MPV Geely VF11 – imej bocor sebelum didedahkan, bakal dijadikan asas untuk Proton Exora baharu?

    MPV Geely VF11 – imej bocor sebelum didedahkan, bakal dijadikan asas untuk Proton Exora baharu?

    Hadir pada Auto Shanghai 2017 sebagai model konsep, MPV baharu dari Geely ini nampaknya bakal diperkenalkan dalam bentuk produksi sebenar pada Beijing Auto Show tahun ini. Dikenali dengan kod dalaman VF11, MPV ini bakal menggantikan model Emgrand EV8 dan ada khabar angin mengatakan ia bakal menjadi asas kepada MPV Proton Exora generasi seterusnya.

    Gambar yang kami paparkan ini merupakan gambar yang telah bocor diinternet, disiarkan oleh laman CarnewsChina. Imej berkenaan jelas menunjukkan rekaan asas MPV ini diambil kebanyakkannya dari versi konsep yag didedahkan tahun lalu. Model produksi ini menampilkan muka yang diberikan gril signatur Geely yang diapit dengan sepasang lampu hadapan tirus yang dijangka adalah unit dengan teknologi LED, bersama lampu nyalaan siang LED.

    Model sebenar yang akan dijual ini juga menampilkan roda yang lebih kecil, bersama pintu konvensional berbanding pintu gelangsar pada model konsepnya dahulu. Ia direka dengan dimensi 4,706 mm panjang, 1,909 mm lebar, 1,664 mm tinggi dan jarak roda 2,805 mm. Berbanding Exora (4,592 mm) sedia ada, MPV berkenaan adalah 114 mm lebih panjang.

    Pada bahagian belakang pula, ia turut menampilkan lampu utama yang tirus, namun tidak setirus pada model konsep dahulu. Ia direka dengan rekaan two-piece dengan unit tambahan pada pintu tailgate belakang, dan berhubung antara kedua-dua sisi menerusi kemasan krom bar yang turut menempatkan perkataan ‘GEELY’ dan juga kamera undur. Manakala pada bahagian bampar, tiada sebarang perumah tip ekzos diberikan.

    Menurut laman berkenaan lagi, VF11 bakal digerakkan oleh tiga pilihan janakuasa iaitu enjin petrol, versi plug-in hybrid serta model dengan sistem elektrik sepenuhnya. Model petrol akan menerima enjin empat-silinder turbo berkuasa 177 hp, manakala versi hibrid pula akan menggabungkan enjin 1.5L yang sama bersama motor elektrik. Kedua-dua model tersebut akan dilancarkan pada Jun ini, manakala versi elektrik sepenuhnya akan menjengah pasaran kemudian tahun ini.

    Tiada lagi perincian lain untuk senarai kelengkapan yang bakal diberikan pada MPV ini didedahkan. Namun menerusi gambar, dapat dilihat VF11 turut diberikan bumbung kaca panaromik. Ketika dilancarkan nanti, MPV ini dikhabarkan akan ditawarkan dengan tiga jenis konfigurasi tempat duduk iaitu sama ada pilihan lima, enam atau tujuh.

    GALERI: Geely MPV Concept di Auto Shanghai 2017

     
     
  • Nissan Sylphy EV diperkenal di Beijing minggu depan

    Nissan Sylphy EV diperkenal di Beijing minggu depan

    Nissan dijangka memperkenalkan Sylphy Ev di Beijing Auto Show 2018 minggu hadapan. Menerusi imej yang disiarkan oleh PCauto dari China ini, sedan ini mirip dengan gambaran yang kita jangkakan – nampak macam versi biasa tetapi ada perubahan pada logonya yang menggambarkan ia adalah EV.

    Bahagian hadapan Sylphy EV ini hasil kombinasi model Sentra/Sylphy facelift pasaran USA yang diperkenalkan pada akhir 2014 dengan generasi kedua Leaf. Bentuk-U dan bersudut V dari Leaf, dengan bampar hadapan yang sedikit rendah.

    Pastinya ramai yang akan perasan lokasi port pengecasan Sylphy EV ini di mana ia betul-betul terletak di bawah logo Nissan – nampak begitu ketara berbanding Leaf. Selain itu, lencana Nissan Zero Emission pula kelihatan pada pintu hadapan dan boot lid.

    Bateri Sylphy dijanakan oleh motor elektrik berkuasa 109 hp yang mampu memacu kenderaan ini sehingga kelajuan maksimum 144 km/j. Laman web China terbabit turut menjangka, baterinya mampu memacunya bagi jarak 200 hingga 250 km. Leaf terkini dengan kuasa 148 hp, 320 Nm mampu mencecah jarak pemanduan sehingga 378 km mengikut kitaran Eropah dari bateri lithium-ion 40 kWh, iaitu meningkat sebanyak 250 km berbanding model generasi pertama. Perincian penuh hanya akan didedahkan minggu hadapan.

    GALERI: Nissan Sentra facelift pasaran USA

     
     
  • Nissan Terra kini rasmi dijual di pasaran China – SUV 5-tempat duduk dari platform Navara, enjin petrol 2.5L

    Nissan Terra kini rasmi dijual di pasaran China – SUV 5-tempat duduk dari platform Navara, enjin petrol 2.5L

    SUV yang diasaskan dari casis ladder frame yang sama dengan trak pikap Nissan Navara NP300 iaitu Nissan Terra, kini secara rasmi membuat kemunculan sulung globalnya, dan dijual pada pasaran China untuk permulaan. SUV ini turut kan dibawa ke pasaran terpilih lain di Asia tahun ini, manakala di China ia akan dijual oleh Dongfeng Nissan dan Zhengzhou Nissan.

    Nissan Terra dibina dengan dimensi 4,882 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,835 mm tinggi dan jarak rodanya pula sejauh 2,850 mm. Nissan mendakwa Terra mempunyai jarak kelegaan permukaan tanah terbaik dalam kelasnya dengan 225 mm, bersama approach angle 32 darjah dan departure angle 27 darjah.

    Untuk pasaran China, Terra hadir sebagai SUV dengan lima-tempat duduk. Sebelum ini, ada yang menjangkakan Terra bakal menerima konfigurasi tujuh-tempat duduk, manakala sama ada versi tersebut akan ditawarkan untuk pasaran lain masih belum dapat dipastikan.

    Nissan Terra kini rasmi dijual di pasaran China – SUV 5-tempat duduk dari platform Navara, enjin petrol 2.5L

    Di China juga, Terra dijana enjin petrol empat-silinder QR25 2.5 liter berkuasa 181 hp dan tork maksima 251 Nm. Ia ditawarkan dengan pilihan kotak gear tujuh-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual, dan pilihan pacuan sama ada ke roda belakang sahaja atau memacu kesemua empat roda.

    Sesuai dengan casisnya yang lasak, sistem 4WD Terra turut hadir dengan kemampuan off-road sebenar iaitu pengunci differential belakang, manakala sistem Kawalan Menurun Bukit dan Bantuan Mula Mendaki turut dipadankan pada model 2WD.

    Untuk kelengkapan lain, Terra turut diberikan dengan ciri seperti rim berdiameter 18-inci dibalut dengan tayar 225/60R18, cermin suria, lampu hadapan halogen atau LED, lampu belakang LED.

    Pada bahagian dalaman pula, SUV ini menampilkan kelengkapan seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan instrumen bersaiz lima-inci, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen tujuh-inci, pilihan sehingga enam-pembesar suara, sistem penghawa dingin dua-zon, tempat duduk Zero Gravity dan juga upholsteri kulit.

    Bagi sistem keselamatan, Nissan Terra menerima tujuh beg-udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) serta pakej bantuan pemanduan Nissan Safety Shield yang terdiri dari Amaran Keluar Laluan, Amaran Titik-Buta, Monitor Pemantau Sekeliling dengan Pengesan Objek Bergerak serta Sistem Brek Kecemasan Pintar.

    “Nissan Terra dibina dari warisan sejarah SUV kami yang teguh dalam masa yang sama memenuhi keperluan pelanggan di Asia serta prestasi kenderaan kami pada kerangka yang diperhalusi. Terra merupakan keturunan dari Nissan Patrol, iaitu ikon off-road kami yang lasak dan pada asalnya direka untuk kegunaan polis dan ketenteraan,” kata Ashwani Gupta, naib presiden senior perniagaan Kenderaan Komersial Ringan Nissan.

    SUV lima-tempat duduk Nissan Terra ditawarkan dengan enam warna pada pasaran China iaitu Gold Metallic, White Pearl, Brown Pearl Metallic, Silver Metallic, Black Solid dan Red Solid. Enam varian ditawarkan pada repubik tersebut dengan harga bermula 169,800 yuan (RM104,887) hingga 245,800 yuan (RM151,833).


     
     
  • Perkhidmatan e-hailing, kereta sewa wajib ikut syarat dan peraturan yang sama dengan teksi – Najib Razak

    Perkhidmatan e-hailing, kereta sewa wajib ikut syarat dan peraturan yang sama dengan teksi – Najib Razak

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan, semua pemandu e-hailing dan kereta sewa diwajibkan melalui syarat dan peraturan sama dengan pemandu teksi bagi mewujudkan persaingan sama rata antara perkhidmatan tersebut.

    Peraturan yang dilaksanakan sejak 6 April lalu adalah termasuk saringan latar belakang, kesalahan trafik, kesihatan, keperluan latihan dan pemeriksaan kenderaan berkala seperti yang perlu dilalui oleh pemandu teksi, laporan Bernama.

    “Saya sedar bahawa pemandu teksi menghadapi banyak rintangan, dugaan dan cabaran. Saya sedar pendapatan pemandu teksi sedikit sebanyak terjejas dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing di dalam negara kita. Satu perkhidmatan yang dituntut oleh rakyat (e-hailing) tetapi kita perlu melakukan sesuatu melalui intervensi kerajaan supaya periuk nasi pemandu teksi tidak terjejas,” katanya dalam majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Serdang, Jumaat lalu.

    Najib berkata kertas kabinet mengenai peraturan baharu bagi perkhidmatan e-hailing itu dibentangkan oleh Nancy dan SPAD dan diluluskan oleh jemaah menteri pada 6 April lepas.

    “Saya telah arahkan penguatkuasaan melalui gazetnya dibuat pada hari yang sama,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025