Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda 6 Wagon 2018 – gambar awal mula ditunjukkan

    Mazda 6 Wagon 2018 – gambar awal mula ditunjukkan

    Bakal dipertontonkan ketika Geneva Motor Show pada Mac nanti, Mazda kini telah mendedahkan beberapa gambar terawal bagi model facelift Mazda 6 2018. Dengan pengenalan ini nanti, versi wagon berkenaan akan menyertai model Mazda 6 sedan yang telah pun diperkenalkan diperingkat global tahun lalu ketika Los Angeles Auto Show.

    Perubahan yang terlibat sama seperti yang dilakukan kepada model sedan, dengan bahagian depan mewarisi rekaan dari CX-5 terbaru – gril rekaan baru yang tidak lagi dilanjutkan kepada lampu utama. Selain itu, grafik pada lampunya juga diberi sentuhan baru, dengan DRL LED.

    Bahagian bawah pada bamparnya juga memuatkan kemasan krom nipis pada sudutnya. Daripada gambar yang ada ini, model berkenaan kelihatan menggunakan rim 19-inci serupa yang digunakan pada sedan. Walaupun tiada gambar yang menunjukkan bahagian belakang, ia dijangka akan turut diberi perubahan.

    Mazda 6 Wagon 2018 – gambar awal mula ditunjukkan

    Di bahagian dalam, suasana dan rekaan model wagon ini serupa sahaja dengan yang terdapat pada versi sedannya – dengan rekaan papan pemuka serba baru. Corong pendingin hawa kini lebih tirus, disertai dengan kemasan kayu Japanese Sen serta balutan material UltraSuede NU.

    Turut akan dilakukan ialah pembaharuan kepada pilihan enjin – dengan penggunaan SkyActiv-G 2.5T turbo daripada CX-9. Ia menghasilkan 250 hp dan 420 Nm pada model sedan, dengan gandingan hanya transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Nissan Leaf bakal ke tujuh pasaran di Asia dan Ocenia tahun ini – akan tiba di Malaysia hujung suku keempat

    Nissan Leaf bakal ke tujuh pasaran di Asia dan Ocenia tahun ini – akan tiba di Malaysia hujung suku keempat

    Nissan telah mendedahkan generasi kedua kenderaan elektrik Leaf bakal dilancarkan ke tujuh pasaran di Asia/Ocenia pada tahun ini. EV ini akan diperkenalkan di Singapura, Malaysia, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan serta Australia dan New Zealand.

    Berita ini diumumkan semalam dalam simposium Nissan Future yang berlangsung di Singapura selama tiga hari yang melibatkan pelbagai topik perbincangan mengenai bagaimana untuk mewujudkan masa depan yang mapan melalui elektrifikasi kenderaan dan cara membangunkan teknologi pemanduan canggih yang lebih mudah, di bawah tema The Future of Mobility – Electrification and Beyond.

    Menurut Timbalan Presiden kanan serantau Nissan Yutaka Sanada, barisan yang diperkenalkan ini adalah senada dengan sasaran mereka untuk membawa masuk kenderaan kosong-emisi generasi kedua itu ke lebih banyak pasaran. Tambahnya lagi, Nissan juga sedang mengkaji pemintaan di Indonesia dan Filipina untuk fasa akan datang pelancaran EV tersebut.

    Untuk Malaysia, Leaf dijangka akan memasuki pasaran sini pada hujung suku ke empat tahun ini, seperti mana yang pernah diumumkan tahun lalu.

    Pengarah Jualan dan pemasaran Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Chris Tan mendedahkannya pada paultan.org, pihaknya merancang untuk mempamerkan EV ini buat pertama kalinya untuk Malaysia di 2018 Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 18) pada November ini, dengan pra-jualannya bermula selepas itu.

    Walau bagaimana pun, harganya masih belum ditentukan. Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini. Leaf mungkin akan hadir dengan model pemasangan tempatan (CKD) bagi memenuhi kelayakan mendapat insentif di bawah skim Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Oleh itu ETCM mungkin patut melaksanakan pelaburannya kilang pemasangan untuk memasang EV ini secara CKD, atau bekerjasama dengan kerajaan untuk mengelakkan harga yang lebih tinggi bagi kenderaan elektrik CBU.

    Untuk pengetahuan, Leaf baharu ini menampilkan peningkatan yang agak signifikan daripada segi prestasi berbanding model generasi kedua. Ia kini mampu menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork, pada 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Ia juga menggunakan bateri lithium-ion 40 kWh berkapasiti tinggi bagi menambahkan lagi kuasa pacuan elektrik sehingga 378 km (mengikut kitaran NEDC). Sebagai perbandingan, Leaf terdahulu menggunakan bateri 30 kWH yang mampu dipacu sehingga jarak 250 km.

    Leaf telah pun ke pasaran domestik Jepun, bermula Oktober tahun lalu. Diikuti dengan USA dan Kanada pada Januari 2018. EV ini juga bakal ke Eropah pada bulan ini, dan seterusnya ke lebih 60 pasaran lain di seluruh dunia.

    GALERI: Nissan Leaf di simposium Nissan Futures, Singapura

     
     
  • Hyundai bakal lancar barisan model N Sport; versi lebih rendah dari model-model liar N sepenuhnya

    Hyundai bakal lancar barisan model N Sport; versi lebih rendah dari model-model liar N sepenuhnya

    Umum sudah mengetahui, sayap talaan dan perlumbaan rasmi Hyundai yang digelar Hyundai N kini telah menghasilkan dua buah model produksi berprestasi tinggi sebenar iaitu i30 N dan Veloster N. Dengan jenama yang semakin mengukuh tersebut, selepas ini Hyundai merancang untuk menghasilkan model-model lebih mampu milik di bawah lencana N Sport pula, lapor Car and Driver.

    Menurut ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai, Albert Biermann, model-model N Sport berkenaan tidaklah direka dengan “pemadanan enjin lain, brek lebih besar atau keseluruhan suspensi atau gandar baharu” seperti model-model liar N sebenar, sebaliknya ia akan “ditala untuk pengalaman pemanduan yang lebih baik”.

    Hyundai bakal lancar barisan model N Sport; versi lebih rendah dari model-model liar N sepenuhnya

    Biermann turut menjelaskan, model-model N Sport ini juga mungkin akan diberikan “tayar yang berbeza dari tayar model-model standard”, serta diberikan kelengkapan-kelengkapan luaran dan dalaman yang menampilkan rupa lebih sporty. Siri N Sport ini juga disahkan akan dihasilkan dalam mana-mana barisan model, termasuk model-model yang telah pun dihasilkan bentuk N sepenuhnya – sama seperti AMG-Line pada Mercedes-Benz atau M Sport pada BMW.

    Apabila ditanya berkenaan harga untuk model-model N Sport tersebut, Biermann menjawab “anda boleh jangkakan ia berbaloi dengan harganya”. Dalam masa yang sama, bekas naib presiden kejuruteraan BMW M berkenaan turut memberikan gambaran kemana hala tuju sukan permotoran Hyundai selepas ini. Menurut Biermann, selain dari kejohanan rali dunia (WRC), tidak lama lagi Hyundai N akan berlumba dalam satu lagi kejuaraan lain dan berkemungkinan perlumbaan yang lebih menjurus ke budaya di Amerika Syarikat.

     
     
  • Honda Malaysia umum status penukaran inflator beg udara – sudah 76% lengkap, stok tersedia 100%

    Honda Malaysia umum status penukaran inflator beg udara – sudah 76% lengkap, stok tersedia 100%

    Honda Malaysia memberikan kemas kini berkenaan kempen penukaran inflator beg udara pada kenderaan mereka – kini (pada 31 Januari 2018) ia sudah mencapai tahap 76% daripada lengkap semuanya. Jumlah ini mengambil kira penukaran untuk bahagian pemandu dan juga penumpang.

    Pada 25 Januari 2018 sahaja, syarikat itu telah menukar lebih 221,000 unit inflator beg udara Takata bahagian pemandu, yang bersamaan dengan 84%. Jumlah keseluruhan inflator beg udara bahagian pemandu dan penumpang hadapan yang telah ditukar adalah lebih 427,000 unit ataupun 76% lengkap.

    Untuk penukaran yang selebihnya, Honda Malaysia menyatakan mereka mempunyai stok 100% tersedia dan pemilik kenderaan yang masih belum berbuat demikian boleh pergi terus ke pusat pengedar Honda berdekatan atau memeriksa sendiri status kenderaan mereka dengan menghubungi 1-800-88-2020 atau lawati laman web khas yang disediakan.

     
     
  • Honda akan lancar satu model baru dalam tahun ini – mungkinkah HR-V facelift, dengan pilihan enjin hibrid?

    Honda akan lancar satu model baru dalam tahun ini – mungkinkah HR-V facelift, dengan pilihan enjin hibrid?

    Semasa majlis pelancaran Honda Odyssey baru di Setia Alam hari ini, Honda Malaysia turut membuat pengumuman akan melancarkan satu model baru dalam tahun ini. Tidak banyak yang diberitahu tentang model ini, dengan cuma bayangnya (bukan bayang kereta sebenar) sahaja yang ditunjuk, tetapi kami boleh menjangka ia adalah model HR-V facelift.

    Kenapa dikatakan sebegitu? Sebabnya model ini sudah diumumkan bakal dilancar di Jepun, dengan beberapa gambar awalnya juga telah disiarkan, dan model yang sama turut pernah dilihat diuji di Malaysia. Selain daripada itu, HR-V juga adalah satu model yang cukup popular di Malaysia, walaupun sudah berusia tiga tahun dalam pasaran.

    Honda akan lancar satu model baru dalam tahun ini – mungkinkah HR-V facelift, dengan pilihan enjin hibrid?

    Perubahan pada bahagian luar HR-V ini boleh dikatakan tidak begitu banyak, dengan antaranya bahagian muka diubah menjadi lebih hampir seperti Accord dan Civic FC. Model baru ini mempunyai palang krom yang lebih lebar pada bahagian gril, manakala pilihan untuk lampu hadapannya kini termasuk unit LED penuh termasuk lampu tinggi dan penunjuk arah. Bahagian bawah bampar juga dijadikan lebih agresif, dengan pilihan lampu kabus LED.

    Model HR-V facelift ini boleh dijangka menggunakan enjin sama 1.8 liter i-VTEC yang berkuasa 142 PS/172 Nm, dengan padanan kotak gear automatik CVT. Walaupun begitu, terdapat kemungkinan model hibrid juga akan diperkenalkan, seperti mengikut langkah yang dilakukan pada City dan Jazz Hybrid. Selain HR-V facelift ini, Accord generasi kesepuluh juga dijangka akan tiba pada tahun ini, tetapi mungkin pada penghujung tahun.

     
     
  • Honda Malaysia rancang buka tujuh lagi rangkaian pusat 2S/3S, serta premis servis pantas yang pertama

    Honda Malaysia rancang buka tujuh lagi rangkaian pusat 2S/3S, serta premis servis pantas yang pertama

    Selain daripada mengumumkan prestasi jualan bagi tahun 2017 serta sasaran yang baru ditetapkan bagi tahun 2018, Honda Malaysia juga tidak ketinggalan dari memberi bayangan terhadap model baru yang akan diperkenalkan tahun ini. Dan, bukan itu saja, operasi lepas jualan yang diperkemas juga tidak terlepas daripada menjadi sebahagian perancangan syarikat itu di Malaysia.

    Bagi mengukuhkan operasi dalam memenuhi keperluan pelanggan di sini, Honda Malaysia mensasarkan untuk membuka tujuh lagi rangkaian pengedaran jenama itu di seluruh negara tahun ini. Langkah ini akan melibatkan pusat 2S dan 3S serta tidak lupa juga pusat mengecat badan kenderaan. Selain itu, rangkaian sedia ada juga akan dipertingkatkan kualiti servis yang diberi.

    Dalam perkembangan sama juga, sebuah pusat servis ekspres turut akan perkenalkan. HZN Express 2S Center yang terletak di Glenmarie akan menyediakan perkhidmatan servis pantas bagi kerja-kerja dan servis yang boleh diselesaikan dalam masa hanya 1 setengah jam.

    Selain itu, sebuah portal lepas jualan juga akan diperkenalkan tahun ini, menjadi platform di mana pengguna boleh menempah slot untuk servis kenderaan, menyemak status dan perkembangan kenderaan yang sedang diservis serta menyemak sejarah servis bagi sesebuah kenderaan serta makluman kemaskini produk untuk kemudahan pengguna.

    Satu perkara lagi yang akan dipertingkatkan tahun ini ialah tempoh operasi pusat panggilan Honda (Honda HELP Line) akan dilanjutkan dari 9 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu – termasuk cuti umum. Langkah ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan sehingga 30% produktiviti bagi urusan yang berkaitan dengannya.

     
     
  • Honda Malaysia sasar jualan sebanyak 109,000 unit untuk tahun 2018 – 18% bagi perkongsian pasaran

    Honda Malaysia sasar jualan sebanyak 109,000 unit untuk tahun 2018 – 18% bagi perkongsian pasaran

    Pada tahun 2017, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) meletakkan sasaran sebanyak 100,000 unit namun berjaya mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 109,511 unit. Di mana pada tahun lalu, City menjadi model terlaris Honda di Malaysia iaitu merangkumi sebanyak 27% daripada jumlah jualan keseluruhan, diikuti dengan HR-V, BR-V, Civic dan dua model hibridnya iaitu Jazz Hybrid dan City Hybrid.

    Kekal melangkah dengan penuh agresif, bagi tahun 2018, HMSB mensasarkan jualan keseluruhan sebanyak 109,000 unit. Ketika mengumumkannya dalam majlis pelancaran model Odyssey 2018 petang ini, Toichi Ishiyama sebagai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkata sasaran tersebut mewakili perkongsian pasaran sebanyak 18% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 509,000 unit yang dijangkakan pada tahun 2018.

    “Berdasarkan kaji selidik dalaman, Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kami telah meningkat sebanyak 23 mata berbanding tahun sebelumnya. Untuk memberi lebih Keseronokan Membeli (Joy of Buying), kami akan meningkatkan aspek ini secara lebih signifikan pada tahun ini,”ujar Ishiyama.

    Selain Odyssey, HMSB juga bakal melancarkan satu model pada tahun ini, namun tidak dimaklumkan secara terperinci. Pastinya model yang benar-benar mampu meraih perhatian dan sambutan bagi memastikan momentum yang stabil sejak empat tahun yang lalu terus berkekalan. Pendapat anda, apakah model yang bakal diperkenalkan itu?

     
     
  • Honda Odyssey facelift kini tiba ke pasaran Malaysia – CBU, hanya satu varian, Honda Sensing, RM254,800

    Honda Odyssey facelift kini tiba ke pasaran Malaysia – CBU, hanya satu varian, Honda Sensing, RM254,800

    Setelah lebih empat tahun dalam pasaran tempatan, Honda Odyssey generasi kelima (siri RC) kini diperkenalkan dalam versi facelift. Dilancarkan ketika berlangsungnya majlis bersama media hari ini, Odyssey facelift 2018 hanya ditawarkan dalam varian tunggal EXV (dua varian sebelum ini), dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM254,800.

    Model versi disegarkan ini muncul buat pertama kali di Jepun November tahun lalu, dengan rupa sedikit berbeza dari model asal. Muka MPV ini menerima gril dengan ‘Honda Wings’ yang lebih tebal, manakala jalur melintang di bawahnya kini lebih nipis dengan empat tingkat berbanding tiga pada model sebelumnya, bersama bahagian ‘mulut’ berbentuk-U tersebut diberikan serlahan jalur krom.

    Odyssey pasaran Malaysia juga kini menerima pakej sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri tujuh sistem bantuan pemanduan iaitu Cruise Control adaptif, sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF), sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System atau FCW), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

    Honda Odyssey facelift kini tiba ke pasaran Malaysia – CBU, hanya satu varian, Honda Sensing, RM254,800

    Bampar model ini juga menerima sentuhan semula di mana kemasan seperti liang kemasukan udara pada kedua-dua sisi kini lebih kecil, menempatkan perumah lampu kabus LED yang direka mendatar. Odyssey facelift 2018 ini juga menerima roda aloi 17-inci pelbagai jejari dengan rekaan baharu.

    Bahagian belakang MPV ini juga menerima sedikit perubahan. Logo ‘Odyssey’ yang sebelum ini terletak pada panel kemasan yang menghubungkan lampu kiri dan kanan kini telah dialihkan pada bahagian bawah kiri pintu tailgate.

    Sebahagian besar bahagian kabin masih lagi sama seperti model sebelumnya. Namun pada model facelift ini, Odyssey diberikan upholsteri dengan rekaan geometrik unik baharu. Bentangan tempat duduk juga tidak berubah di mana barisan kedua menerima dua tempat duduk kapten Ottoman individu yang boleh digelangsarkan (kini menerima perehat tangan lebih besar) – menjadikan ia sebuah MPV yang boleh memuatkan tujuh-orang. Tempat duduk barisan kedua dan ketiga juga boleh dilipat sekiranya anda memerlukan ruang kargo yang lebih besar.

    Honda Odyssey facelift kini tiba ke pasaran Malaysia – CBU, hanya satu varian, Honda Sensing, RM254,800

    Tidak seperti pasaran Jepun yang kini turut ditawarkan dengan model hibrid, pasaran Malaysia masih hanya ditawarkan dengan enjin petrol 2.4 liter DOHC i-VTEC empat silinder. Enjin tersebut menghasilkan 175 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 225 Nm pada takat 4,000 rpm, dipindahkan ke kotak gear CVT automatik, memacu roda hadapan.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk penderia-penderia parkir (dua dihadapan dan empat dibelakang), sistem pendingin hawa dua zon di hadapan bersama sistem zon tunggal untuk kabin belakang, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh tujuh-inci, kamera undur serta pintu gelangsar belakang berkuasa elektrik.

    Bagi sistem keselamatan pula, Odyssey facelift 2018 menerima enam-beg udara, (dua di hadapan, sisi dan tirai) sistem pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, Bantuan Parkir Pintar, bantuan mula mendaki, VSA serta sistem brek ABS lengkap dengan EBD dan bantuan brek.

    Tiga warna ditawarkan iaitu warna asal Super Platinum Metallic serta dua warna baharu Platinum White Pearl dan Premium Twinkle Black Pearl. Setiap pembelian hadir standard dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, dan pelanggan yang berminat sudah boleh menempah MPV yang dibawa terus dari Jepun ini di semua 93 bilik pameran Honda seluruh Malaysia. Lebih perincian untuk model ini, anda boleh lawati laman Carbase.my.

    GALERI: Gambar rasmi Honda Odyssey facelift 2018

    GALERI: Honda Odyssey facelift 2018

     
     
  • VIDEO: Keluarkan kaki sebelum selekoh – kenapa?

    VIDEO: Keluarkan kaki sebelum selekoh – kenapa?

    Jika anda banyak menonton perlumbaan motosikal, pasti anda ada terperasan ramai pelumba masa kini yang mengeluarkan kaki (bahagian dalam) sebelum memasuki selekoh. Mungkin ramai yang tertanya, kenapa mereka berbuat begitu dan adalah ia mempunyai kelebihan tersendiri.

    Dalam video yang disiarkan oleh Speed & Noise ini, penyampainya cuba menerangkan beberapa teori yang dianggap boleh jadi kemungkinan kenapa pelumba gemar mengeluarkan kaki sebelum selekoh. Walaupun begitu, bukan semua pelumba melakukan perkara ini, dan ia mula menjadi popular apabila Valentino Rossi melakukannya.

    Antara teori yang disebut adalah ia memberikan rasa keseimbangan yang lebih baik apabila motosikal sedang membrek kuat, dan lebih mudah dikawal sekiranya bahagian belakang tayar mula menggelungsur ke tepi (sliding). Teori lain adalah ia memberikan rintangan angin tambahan untuk memperlahankan motosikal.

    Selepas menonton video ini, anda rasa teori manakah yang masuk akal atau mungkin anda ada teori sendiri yang boleh difikirkan? Cuba nyatakan pendapat anda, kami juga berminat untuk tahu.

     
     
  • Hyundai Santa Fe 2018 – gambar awal mula ditunjuk

    Hyundai Santa Fe 2018 – gambar awal mula ditunjuk

    Hyundai telah mengeluarkan gambar awal bagi model Santa Fe generasi keempat, yang akan dibuka untuk tempahan di Korea Selatan bermula esok. SUV saiz besar ini menerima penampilan serba baru serta peningkatan dari segi sistem infotainmen dan teknologi keselamatan.

    Daripada gambar yang didedahkan ini, dapat dilihat bahawa rekaannya mengambil pendekatan yang sama seperti pada model Nexo yang dikuasakan oleh hidrogen. Antaranya dengan lampu utama dua lapisan yang lengkap dengan DRL tirus serta unit lampu utama yang lebih besar dibawahnya.

    Selain itu, rekaan gril baru yang ada juga menjadi antara rekaan khusus yang semakin kerap digunakan oleh Hyundai, dengan lengkung tayar yang lebih bersegi serta garis bahu yang lebih menonjol disepanjang badan kenderaan ini.

    Untuk bahagian dalam, Santa Fe meminjam banyak rekaan yang pernah kita saksikan pada model Hyundai Kona sebelum ini – papan pemuka dengan rekaan tiga tahap, paparan skrin tunggal di tengah dan diikuti dengan corong udara tirus yang terletak ditengah serta tombol suis dibawahnya. Hyundai menjelaskan syarikat itu menggunakan material dan warna berkualiti tinggi, serta mementingkan keselesaan pengguna.

    Hyundai Santa Fe 2018 – gambar awal mula ditunjuk

    Selain itu, panjang dan jarak antara roda SUV ini turut dipertingkat, menjadi yang terbaik dalam kelasnya bagi tempat duduk barisan kedua, sementara ruang kepala di barisan ketiga turut menerima pertambahan. Urusan keluar-masuk bagi penumpang barisan ketiga juga lebih senang – untuk lipat kerusi, hanya satu butang perlu digunakan.

    Dari segi teknologi, Santa Fe akan ditawarkan dengan BlueLink 2.0 (percuma untuk 5 tahun) yang menyediakan perkhidmatan telematik seperti penghidup enjin jarak jauh, fungsi pengurusan keselamatan dan kenderaan serta panduan tunjuk arah masa sebenar melalui sambungan telefon. Juga ada fungsi pengesan pengenalan lagu, dibangunkan secara bersama dengan SoundHound.

    Sebagai tambahan, sistem pengesanan suara terbaru yang bersepadu dengan teknologi artificial intelligence dari sebuah syarikat Korea, Kakao akan memperkemas fungsi dan ketepatannya. Ini membolehkan sistem mengenal pasti corak percakapan kebiasaannya.

    Senarai ciri keselamatan juga menarik; Forward Collision Warning (FCW) dan Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Departure Warning (LDW), Driver Attention Warning (DAW) dan High Beam Assist (HBA). Ini ditambah juga dengan ciri seperti Safe Exit Assist (SEA), Rear Occupant Alert (ROA) dan Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA).

    Santa Fe 2018 ini menggunakan pilihan enjin termasuk unit 2.0 liter turbo petrol dan 2.0 liter serta 2.2 liter turbodiesel. Angka janaan kuasa bagaimanapun masih belum didedahkan. Sistem transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda Hyundai HTRAC datang sebagai ciri standard.

     
     
  • Yamaha Avantiz dalam tiga warna baharu – RM5,717

    Yamaha Avantiz dalam tiga warna baharu – RM5,717

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan tiga warna baru untuk model Avantiz 125 pasaran 2018, iaitu terdiri daripada warna biru, merah dan kuning. Untuk harga, ia masih lagi kekal pada RM5,717 (termasuk GST, tanpa insurans) seperti waktu ia pertama kali dilancarkan pada bulan Ogos 2016.

    Avantiz adalah sebuah skuter yang dikuasakan oleh enjin BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim yang digunakan pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik serta brek cakera, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, bersama brek jenis dram. Berat keseluruhan skuter ini adalah 96 kg.

    Setiap pembelian Yamaha Avantiz 125 akan diberi dengan jaminan selama satu tahun atau 10,000 km, dan model penampilan baru ini akan boleh didapati di kedai pengedar Yamaha bermula minggu ini.

     
     
  • Triumph Speed Triple – kuasa ditingkat, lebih canggih

    Triumph Speed Triple – kuasa ditingkat, lebih canggih

    Selepas beberapa teaser dikeluarkan, Triumph akhirnya mendedahkan secara penuh model Speed Triple 2018, yang ditawarkan dalam dua versi iaitu S dan RS. Mengambil model sebelum ini sebagai asas, enjin tiga silinder 1,050 cc padanya telah dinaik taraf untuk memberikan lebih kuasa – kini menjadi 150 PS pada 10,500 rpm (naik 7%) dan 117 Nm tork pada 7,150 rpm (naik 4%).

    Antara yang menyumbang kepada peningkatan kuasa ini adalah 105 komponen baru yang digunakan pada enjinnya, termasuk crank gear yang lebih ringan, lapik silinder aluminium, serta starter, bateri dan alternator yang lebih kecil dan ringan.

    Mengikuti perubahan yang dilakukan pada ‘adiknya’ iaitu Street Triple 765, model Speed Triple ini didatangkan dengan pakej elektronik dan sistem bantuan penunggang yang penuh. Ini termasuk lima mod tunggangan, traction control, ABS yang boleh ditutup, cruise control dan cornering ABS, yang dibangunkan dengan kerjasama Continental.

    Untuk bahagian panel instrumen, Speed Triple baru ini menggunakan skrin TFT LCD berwarna penuh, sama seperti Street Triple, dan bagi model S, ia diberikan dengan tiga tema paparan, manakala model RS boleh ditukar dengan enam tema. Penambahan baru lain adalah sistem tanpa kunci untuk model RS dan butang di bahagian pemegang yang mempunyai lampu.

    Bahagian kotak gear dan klac slip assist yang digunakan turut menerima talaan semula bagi meningkatkan keselesaan semasa menunggang, dan bagi model RS, ia didatangkan terus dengan ekzos Arrow secara standard. Untuk sistem brek, Speed Triple baru ini menggunakan unit Brembo Monobloc empat piston di hadapan, manakala di belakang menggunakan angkup Nissin.

    Untuk bahagian suspensi, Speed Triple S dilengkapkan dengan unit fork Showa 43 mm USD di hadapan dan di belakang terdapat unit monoshock Showa – kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya. Bagi Speed Triple RS pula, ia dinaik taraf dengan fork Ohlins NIX30 di hadapan manakala di belakang menggunakan monoshock Ohlins TTX36 – juga boleh dilaras sepenuhnya.

    Secara keseluruhannya, Speed Triple S mencatat berat 192 kg, manakala versi RS mencatat 189 kg, hasil penggunaan komponen gentian karbon, subframe aluminium serba ringan dan ekzos Arrow. Kapasiti tangki bahan api yang disediakan adalah 15.5 liter dan tinggi tempat duduk bagi kedua-dua versi adalah sama, iaitu 825 mm.

    Harga untuk Speed Triple 2018 ini masih belum diumumkan, tetapi ia ditawarkan dalam dua pilihan warna bagi kedua-dua versi iaitu Jet Black dan Crystal White untuk versi S, dan Crystal White dan Matte Jet Black untuk versi RS. Ia juga didatangkan sekali dengan bellypan dan penutup tempat duduk belakang.

    GALERI: Triumph Speed Triple S 2018


    GALERI: Triumph Speed Triple RS 2018

    GALERI: Aksesori Triumph Speed Triple 2018

     
     
  • Formula 1 ganti tugas gadis litar dengan kanak-kanak

    Formula 1 ganti tugas gadis litar dengan kanak-kanak

    Kecoh minggu lalu apabila pengedali baharu untuk perlumbaan Formula 1, Liberty Media mengumumkan khidmat gadis litar akan dihentikan pada perlumbaan berkenaan kerana ia tidak lagi relevan buat masa sekarang. Bagi menggantikan ‘kehilangan’ tersebut, badan berkenaan kini mengumumkan kanak-kanak bakal mengiringi pemandu di grid permulaan, lapor motorsport.com.

    “Ini akan menjadi detik yang luar biasa untuk kanak-kanak berkenaan: bayangkan, berdiri di sebelah hero mereka, lihat bagaimana mereka bersedia untuk berlumba, golongan elit dalam sukan permotoran elit, untuk berada di sana, di sebelah mereka dalam masa berberapa minit yang sangat berharga sebelum perlumbaan bermula,” kata ketua komersial F1, Sean Bratches.

    “Ia pengalaman yang tak dapat dilupakan, untuk mereka, dan keluarga mereka. Ia inspirasi untuk terus memandu, berlatih dan belajar supaya mereka boleh bermimpi agar mereka pula yang berada disitu satu hari nanti. Langkah yang baik untuk memberikan inspirasi kepada hero Formula 1 akan datang.” tambah Bratches lagi.

    Kanak-kanak tersebut akan dipilih oleh kelab-kelab sukan permotoran tempatan berdasarkan merit ataupun loteri pada setiap perlumbaan Formula 1 serta Formula 2 dan GP3 jika berkesempatan. Mereka akan juga akan diiringi oleh ahli keluarga terdekat.

    Presiden FIA, Jean Todt pula menambah, “Formula 1 merupakan puncak dalam sukan permotoran dan ia merupakan impian setiap pelumba muda yang berlumba dalam siri junior sebagai asas kepada piramid perlumbaan kereta satu-tempat duduk FIA, dari kart sehingga ke F1.”

    “Jadi kami berbesar hati untuk membawa impian tersebut sedikit lebih dekat dengan memberikan peluang kepada juara masa hadapan bagi sukan kami untuk berdiri di samping hero mereka di grid permulaan ketika persiapan sebelum bermulanya perlumbaan,” jelas Todt.

     
     
  • Mitsubishi Xpander raih empat-bintang ASEAN NCAP

    Dalam laporan ujian kemalangan ASEAN NCAP terbaru, Mitsubishi ada dua model yang diuji. Satu model Mitsubishi Eclipse Cross dan kedua, kenderaan gaya MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander. Dalam ujian berkenaan, model kedua ini memperolehi penarafan empat-bintang, menjadikannya kenderaan pertama yang memperoleh markah seperti itu melalui protokal ujian terbaru yang digunakan sejak tahun lalu.

    Dengan sistem baru berkenaan, yang membahagikan tahap markah 50% bagi Adult Occupant Protection (AOP), 25% bagi Child Occupant Protection (COP) dan 25% bagi Safety Assist Technologies (SAT) menyaksikan Mitsubishi Xpander mencapai bacaan seperti berikut; 39.08% untuk AOP, 18.69% untuk COP dan 13.89% untuk SAT – menjadikan markah keseluruhan yang diraih 71.66%.

    Bagi AOP yang dibahagikan kepada perlanggaran depan dan juga perlanggaran sisi, Xpander mendapat masing-masing sebanyak 14.22 mata dari 16 mata dan 13.92 mata daripada 16 mata. Model ini bagaimanapun tidak memperoleh sebarang mata bagi ujian Head Protection Technology (HPT) kerana ia tidak mempunyai beg udara tirai. Maka, mata keseluruhan yang diperoleh ialah 28.14 daripata 36 mata.

    Beralih kepada ujian COP pula, Xpander mendapat lapan daripada 16 mata bagi impak hadapan, lapan mata penuh bagi impak sisi, 11.63 mata daripada 12 mata bagi kemudahan memasang kerusi kanak-kanak dan sembilan mata daripada 13 mata untuk pemasangan kenderaan. Ini menjadikan keseluruhan 36.63 mata daripada 49.

    Terakhir ialah ujian SAT, dengan perolehan 10 mata daripada 18 semuanya, termasuk enam mata bagi teknologi Effective Braking and Avoidance (EBA) seperti ABS dan kawalan kestabilan – semua ini ditawarkan hanya pada varian tertentu Xpander. Ia juga menerima tiga daripada enam mata bagi peringatan tali keledar (hanya untuk penumpang depan).

    Lain-lain, Xpander tidak mendapat sebarang mata daripaa dua mata bagi sistem peninjau titik buta dan hanya satu daripada dua mata bagi Advanced SAT – model ini hanya dilengkapi dengan lampu isyarat kecemasan, dan tidak hadir sekali dengan ciri seperti autonomous emergency braking dan lane departure warning.

    Unit yang diuji adalah dengan spesifikasi Indonesia Standard GLS manual. Model ini turut dijual di Thailand dan Filipina. Ia juga akan tiba di Malaysia tahun ini.

     
     
  • Proton Iriz asas yang baik untuk rali – Oliver Mellors

    Proton Iriz asas yang baik untuk rali – Oliver Mellors

    Berberapa tahun kebelakangan ini, kategori WRC2 dalam kejohanan rali dunia didominasi dengan dua nama besar iaitu Skoda Fabia R5 dan juga Ford Fiesta R5. Namun untuk tahun ini, kelas tersebut dijangka lebih meriah dengan kehadiran jentera Volkswagen Polo GTI R5 yang bakal membuat penampilan pada pertengahan tahun serta Citroën C3 R5 yang akan muncul dalam berberapa bulan lagi.

    Buat rakyat Malaysia, pastinya kita tertunggu-tunggu aksi yang bakal disajikan oleh Proton Iriz R5 yang dibina oleh pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM). Sebelum Iriz R5 dapat beraksi di WRC2 setelah proses homologasinya lengkap dijangka pada paling cepat pada 1 April ini, portal sukan permotoran Le Mag Sport Auto dari Perancis telah bertemu dengan pemandu MEM Proton Iriz R5, Oliver Mellors untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan jentera berkenaan.

    Menurut Oliver yang juga anak kepada pemilik pasukan serta juara rali nasional British tiga kali Chris Mellors, MEM kini masih lagi dalam proses untuk membuat keputusan rali dan kejuaraan mana yang perlu disertai. Namun sudah tentu beliau akan mengambil bahagian pada acara di Britain serta rali lain di luar U.K bagi mendapatkan pengalaman sebanyak yang boleh.

    Proton Iriz asas yang baik untuk rali – Oliver Mellors

    Ketika ditanya mengapa MEM memilih Iriz untuk program R5 berkenaan dan bagaimana mereka bekerjasama dengan Proton, Oliver menjelaskan pasukannya telah bekerjasama dengan jenama automotif dari Malaysia tersebut sejak sekian lama – menjadi juara WRC dalam kategori produksi atau PWRC (Proton PERT Evo VI yang dibina MEM dipandu Karamjit Singh memenangi gelaran berkenaan pada tahun 2002) serta menjadi juara sebanyak dua kali pada kejuaraan rali Asia Pasifik (APRC) dengan Satria Neo S2000. “Jadi apabila kami mencari kereta untuk R5 ia agak logik untuk terus bersama Proton,” kata Oliver.

    “Kereta ini sebenarnya mempunyai asas yang baik dengan semua ciri yang tepat, ia sebuah kereta yang pendek tetapi pada masa yang sama mempunyai jarak roda yang panjang bermaksud ia dapat dikendali dengan sangat baik dan akan membuat apa sahaja yang anda arahkan, banyak kereta R5 sedia ada nampaknya mempunyai kadar oversteer yang banyak dan Proton (Iriz) kurang masalah tersebut kerana kurang jarak juntaian (overhang),” jelas Oliver lagi.

    Proton Iriz asas yang baik untuk rali – Oliver Mellors

    Mengulas berkenaan Satria Neo S2000 pula, Oliver mengatakan ia sebuah jentera pertama yang mereka bina sepenuhnya dari peringkat awal dan semestinya pelbagai masalah dijangka akan muncul. Namun pada peringkat akhirnya, MEM mula faham dengan kereta tersebut dan segala masalah dapat diselesaikan bagi menjadikan Neo S2000 sebagai sebuah jentera hebat. “Saya pandu kereta tersebut dari peringkat awal sehingga perlumbaan terakhirnya dan ia sentiasa seronok dipandu serta tidak pernah mengecewakan, ia juga memberikan banyak kejayaan kepada pasukan dan saya sendiri,” kata pemandu rali berkenaan.

    Dengan pengalaman dari membina Neo S2000 berkenaan juga menjadikan Iriz R5 sebuah jentera yang lebih kompetitif. “Sejak saya pandu kereta ini (Iriz), kami hanya menumpukan pada aspek mencari talaan berbanding untuk memperbaiki kerosakan. Dengan pencapaian tiga podium pada tiga perlumbaan terawal merupakan impian setiap pasukan dan setiap kali keluar kami lebih banyak belajar dan lebih laju, juga dengan kereta yang sangat mudah untuk dipandu ia menggalakkan lagi anda untuk lebih laju,” ulas Oliver berkenaan pencapaian awal Iriz R5 pada Rally Stage Goodwood Festival of Speed, Malton Forest Rally, dan Grizedale Stages Rally.

    GALERI: Proton Iriz R5

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025