Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Ketika ini nampak seperti pengeluar kenderaan di Jepun sedang berlumba-lumpa untuk meraih perhatian khalayak dengan pelbagai jenis model dan modifikasi – semuanya kerana acara Tokyo Auto Salon 2018 yang bakal berlangsung tak lama lagi.

    Menyertai Honda dan Daihatsu yang telag mengumumkan variasi model yang akan dipamerkan nanti ialah Mazda, yang akan tampil juga dengan model yang dikenali sebagai Flair Wagon serta Flair Wagon Custom Style. Diasaskan dari model Suzuki Spacia, model ini tampil dengan imej dan rekabentuk yang sangat sinonim dengan kei-car, walaupun nampak lebih tegap dan lebar dengan badan yang “tebal”, menurut Mazda.

    Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Mazda Flair Wagon dilengkapi dengan pilihan antara dua jenis enjin 660 cc; model asasnya menjana sebanyak 52 PS dan 60 Nm tork, manakala versi yang lebih berkuasa hadir dengan 64 PS dan 98 Nm tork dengan turbocaj. Kedua-dua ini adalah sebahagian daripada sistem janaan hibrid dengan motor elektrik 3 PS/50 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT. Sistem pacuan depan sebagai standard, manakala sistem 4WD ada sebagai pilihan.

    Di dalam kabin, rekaannya lebih minimalis; di tengah kluster instrumennya terletak paparan speedometer yang besar, disertai dengan satu paparan digital yang lebih kecil. Bahagian utama papan pemuka pula terdapat skrin bagi sistem infotainmen, sementara bahagian lain ruang dalaman dihiasi dengan kemasan metalik sebagai kontras kepada tema warna krim atau hitam bagi upholstery yang digunakan.

    Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Bahagian penumpang belakang, pintu gelungsur memudahkan lagi urusan keluar-masuk ke barisan kedua dan ketiga. Model ini juga lengkap dengan ciri keselamatan terkini, termasuk sistem amaran perlanggaran, high beam assist dan lane departure warning. Harga jualannya di Jepun bermula dari 1,333,800 yen (RM48,123) hingga 1,908,360 yen (RM68,852) bagi Flair Wagon Custom Style XT.

     
     
  • Audi TT 2.0 TFSI Black Edition tiba di M’sia – RM317k

    Audi TT 2.0 TFSI Black Edition tiba di M’sia – RM317k

    Audi Malaysia baru sahaja melancarkan model TT 2.0 TFSI Black Edition, dan ia ada dipamerkan di pusat pameran Audi di Glenmarie, Selangor. Model ini ditawarkan dalam unit yang terhad, pada harga RM317,400 (tidak termasuk insurans) bersama jaminan five tahun atau perbatuan tanpa had. Tiga pilihan warna yang disediakan adalah Vegas Yellow (seperti dalam gambar), Mythos Black dan Tango Red.

    Jika dibandingkan dengan TT 2.0 TFSi biasa, model Black Edition mempunyai harga lebih tinggi RM30,500, dan pemilik akan mendapat tambahan rim aluminium Audi Sport 19 inci berwarna hitam, dan dibalut dengan tayar 245/35. Turut ditambah adalah kemasan hitam pada gril dan bampar, serta kamera undur.

    TT 2.0 TFSI Black Edition ini juga datang dengan pakej S Line (bampar lebih tajam, side sill lebih sporty, diffuser belakang serta roda stereng dan tombol gear S Line), lampu utama Matrix LED serta sistem bunyi Bang & Olufsen 14-channel 680 watt dan 12 pembesar suara. Semua kelengkapan ini memerlukan bayaran tambahan untuk didapati pada TT biasa.

    Selain daripada barangan yang disebutkan tadi, bahagian lain model Black Edition ini masih sama seperti TT 2.0 TFSI biasa. Jadi, ia turut dilengkapi dengan sistem hiburan dan informasi MMI Radio dan MMI Touch, kokpit virtual Audi, balutan kulit/Alcantara, pengawal suhu dua-zon dan kemasan dalam dua tona warna, berserta jahitan yang kontras.

    Kuasa untuk kenderaan ini datang daripada enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menjana 230 hp dan 370 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan S Tronic klac berkembar dan kuasa disampaikan kepada tayar hadapan. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 5.9 saat.

     
     
  • Harga minyak 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018 – petrol turun satu sen, diesel sebaliknya naik tiga sen

    Harga minyak 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018 – petrol turun satu sen, diesel sebaliknya naik tiga sen

    Menjelang tahun baru 2018 yang akan tiba hujung minggu ini, harga minyak untuk tempoh 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018 akan turun sedikit bagi petrol, manakala untuk diesel pula ia bakal naik. Minggu lalu, kadar kenaikan yang dicatatkan ialah dua sen bagi petrol dan tiga sen bagi diesel.

    Bermula tengah malam ini, harga kedua-dua jenis petrol akan turun sebanyak satu sen, menjadikan RON 95 dijual pada harga RM2.26 seliter manakala petrol RON 97 pula dijual pada harga RM2.53 seliter.

    Sementara itu, diesel pula mencatatkan kenaikan sebanyak tiga sen berbanding minggu lepas. Diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.26 seliter, manakala diesel Euro 5 – seperti biasa akan mahal 10 sen – akan dijual pada harga RM2.36 seliter.

    Harga runcit terbaru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti dan akan kekal sehingga Rabu minggu depan, 3 Januari 2018.

     
     
  • Isuzu MU-X facelift tampil di China, rekaan kabin baru

    Isuzu MU-X <em>facelift</em> tampil di China, rekaan kabin baru

    Jiangxi Isuzu Motors, sebuah usaha sama antara Isuzu dan Jiangling Motors, telah melancarkan model SUV MU-X versi facelift terbaru untuk pasaran China. Harganya berada di antara 178,800 yuan (RM111,421) dan 268,800 yuan (RM167,476).

    Dari luar, ia nampak sama seperti unit yang dijual di sini, dengan mengenakan beberapa sentuhan baru tentunya. Ini termasuk bahagian bampar baru di depan dan belakang, rim 18-inci, perumah lampu kabus rekaan baru (kini lebih banyak krom) serta rekaan gril baru.

    Isuzu MU-X <em>facelift</em> tampil di China, rekaan kabin baru

    Rekaan lampu utamanya juga kini datang sekali dengan DRL LED dan lampu panduan LED dengan grafik baru di dalam satu unit yang sama. Sementara di belakang, bentuk luaran bahagian lampunya kekal sama, tetapi kini diberikan rekaan dalaman grafik baru serta lampu panduan LED juga. Tampahan terbaru ialah lampu dengan pancaran logo Isuzu yang boleh kelihatan pada panel pintu depan.

    Perubahan paling ketara pada model facelift terbaru ini terletak di bahagian dalamnya. MU-X bagi pasaran China menerima rekaan ruang kabin yang baru sepenuhnya, dengan paparan infotainmen ala skrin tablet yang jelas dan besar. Skrin sentuh 8-inci itu juga hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan CarLife Connectiviti oleh Baidu, termasuk fungsi media lainnya.

    Isuzu MU-X <em>facelift</em> tampil di China, rekaan kabin baru

    Bahagian lain yang turut diberi rekaan baru ialah pada tombol gear, tombol sistem Terrain Command 4WD serta sterengnya. Semua ini, termasuk kemasan kayu yang digunakan, lampu suasana dan sistem audio Yamaha memberikan kelainan pada ruang kabin bagi kenderaan ini – ia hadir lebih premium, berbeza dengan MU-X dengan spesifikasi Thailand.

    Dua enjin turbodiesel diberikan sebagai pilihan, diganding bersama gear manual enam-kelajuan atau automatik serta pilihan versi 4WD atau 2WD. Enjin baru RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Blue Power dengan kuasa 150 PS/340 Nm menggantikan enjin 4JK1-TCX 2.5 liter sebelum ini. Ia disertai juga dengan enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter, yang menjana 177 PS dan 430 Nm.

     
     
  • Toyota Crown Modellista akan tiba di Tokyo Auto Salon

    Toyota Crown Modellista akan tiba di Tokyo Auto Salon

    Toyota akan datang ke Tokyo Auto Salon dengan membawa sebuah lagi variasi sedan mewah mereka iaitu Crown Modellista. Model yang hanya akan dipasarkan di Jepun ini menggunakan asas daripada Toyota Crown Concept, yang pernah ditampilkan sewaktu Tokyo Motor Show Oktober lalu, dan merupakan generasi kelima belas bagi model tersebut.

    Kit Modellista ini memberikan tambahan aksesori kepada bahagian sedia ada, dengan lebih banyak kemasan krom termasuk di bahagian bampar yang kini mempunyai lip di dua penjurunya. Pada bahagian tepi, terdapat laluan udara di fender, manakala skirt tepi juga kelihatan lebih besar.

    Terdapat juga tambahan kemasan krom metalik pada bahagian luar cermin sisi, serta rekaan rim yang baru. Bampar belakang kini menempatkan empat muncung ekzos berbentuk petak, dengan perumah yang direka semula, memberikan bentuk seperti satu diffuser.

    Toyota Crown Modellista akan tiba di Tokyo Auto Salon

    Sementara itu, tiada sebarang perubahan berlaku di sebalik badannya. Bermakna, kereta produksi nanti akan dipasarkan dengan enjin petrol turbo 2.0 berkuasa 235 PS dan 350 Nm tork sebagai permulaan, dan model yang lebih tinggi menggunakan enjin petrol V6 NA 3.5 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan.

    Juga terdapat versi hibrid, yang besar kemungkinan akan menggunakan padanan enjin V6 Multi Stage Hybrid System dengan dua motor elektrik untuk kuasa keseluruhan 354hp. Transmisi yang digunakan adalah unit empat kelajuan, tetapi apabila digabungkan dengan motor elektrik tersebut, ia mampu memberikan simulasi seperti kotak gear 10 kelajuan.

    Kelengkapan lain yang ada pada Crown generasi baru ini adalah termasuk sistem brek autonomous, serta sambungan komunikasi kereta-ke-infra (V2I) dan kereta-ke-kereta (V2V). Modul komunikasi data untuk sambungan kepada Internet of Things (IoT) juga datang secara standard.

    GALERI: Toyota Crown Concept

     
     
  • Kenichi Yamamoto – Bapa pembangunan enjin Wankel Rotary Mazda meninggal dunia pada usia 95 tahun

    Kenichi Yamamoto – Bapa pembangunan enjin Wankel Rotary Mazda meninggal dunia pada usia 95 tahun

    Jurutera yang mengetuai projek enjin Rotary Mazda setelah pembuat automotif berkenaan berjaya memperolehi paten dari warganegara Jerman, Dr. Felix Wankel iaitu Kenichi Yamamoto telah meninggal dunia pada usia 95 tahun, lapor portal berita Jepun, Asahi.

    Menurut laporan tersebut, Yamamoto disahkan meninggal dunia pada 20 Disember lalu, namun berita ini hanya disampaikan oleh keluarganya kepada media pada sambutan Hari Natal baru-baru ini.

    Yamamoto dilahirkan di daerah Kumamoto pada tahun 1922, dan kemudian berpindah mengikut keluarganya bandar kelahiran Mazda iaitu Hiroshima. Beliau kemudiannya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Tokyo pada tahun 1944, kemudian mula berkhidmat Kawanishi Aircraft Company.

    Namun Perang Dunia Kedua menyebabkan Yamamoto direkrut untuk menjadi tentera laut Jepun pada 1945, tetapi beliau dapat pulang semula ke Hiroshima pada September tahun tersebut setelah bandar berkenaan ditimpa bom atom yang menyebabkan Jepun mengangkat bendera putih.

    Serangan berkenaan menyebabkan ahli keluarganya terkorban kecuali Ibunya yang masih terselamat. Bagi menyara keluarga di bandar yang teruk terjejas tersebut, Yamamoto hanya berpeluang bekerja sebagai pekerja kilang Toyo Kogyo (nama lama bagi Mazda) yang memproduksi sistem transmisi.

    Bakat Yamamoto dikesan oleh jurutera senior kilang berkenaan setelah beliau dilihat bersungguh dalam menelaah blueprint setiap kotak gear dan unit differential yang dipasangnya dan kemudian setiap spesifikasi dan toleransi komponen berkenaan diteliti dengan rapi. Selepas itu, Yamamoto ditawarkan untuk bekerja sebagai jurutera sebenar dan menghasilkan enjin dengan injap pada bahagian atas (OHV) pertama Mazda pada umur 25 tahun.

    Yamamoto kemudiannya menjadi penolong pengurus untuk Divisi Enjin dan Rekabentuk Kenderaan Mazda serta terlibat dengan pelbagai projek termasuk trak K360 serta kereta penumpang pertama Mazda – R360. Kereta berkenaan kemudiannya menguasai 65% bahagian pasaran untuk segmen K-Car di Jepun, menjadikan Mazda salah satu jenama automotif terpenting di negara matahari terbit berkenaan ketika itu.

    Seterusnya, presiden Toyo Kogyo ketika itu iaitu Tsuneji Matsuda melantik Yamamoto untuk mengetuai pasukan pembangunan enjin Rotary Mazda. Pasukan berkenaan terdiri dari 47 orang jurutera, perekabentuk serta saintis material yang kemudiannya digelar ’47 Ronin’ sempena nama sepasukan samurai lagenda Jepun.

    Pasukan ini kemudiannya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh enjin Rotary yang pada asalnya dicipta oleh Dr Felix Wankel – terutamanya masalah pelinciran pada bahagian apex seal di setiap bucu rotor yang menyebabkan enjin tersebut tidak dapat dikomersilkan.

    Kejayaan projek berkenaan seterusnya membolehkan Mazda melancarkan kereta sport produksi pertamanya dengan enjin Wankel Rotary iaitu Cosmo Sport pada tahun 1967, dan kemudian legasi berkenaan disambung pada model R100, RX-3 dan seterusnya, sehingga yang terakhir Mazda RX-8 pada tahun 2003.

    Yamamoto turut terlibat dalam Projek Phoenix pada era 70’an yang menghasilkan enjin Rotary dengan penggunaan bahan api 40% lebih baik dari sebelum ini serta berjaya melepasi kadar emisi yang ditetapkan dalam undang-undang Akta Udara Bersih 1970. Kejayaan demi kejayaan ini membolehkan Mazda bertahan sebagai satu-satunya pengeluar automotif yang menghasilkan kenderaan dengan enjin unik berkenaan, dari 14 jenama yang turut menghasilkannya sebelum itu.

    Kenichi Yamamoto seterusnya dilantik sebagai presiden Mazda pada tahun 1984 dan kemudiannya sebagai pengerusi pada tahun 1992. Kemudian, beliau bertindak pula sebagai penasihat Mazda, sebelum bersara sepenuhnya. Nama Yamamoto telah dipahat di Japan Automotive Hall of Fame pada tahun 2007, atas “usaha berterusannya untuk menyahut cabaran dalam pembangunan enjin Rotary.”

     
     
  • TVS Apache RR310 dilancar di India – Mungkinkah bakal dijadikan sebagai ‘adik kecil’ BMW S1000RR?

    TVS Apache RR310 dilancar di India – Mungkinkah bakal dijadikan sebagai ‘adik kecil’ BMW S1000RR?

    Dua model terkenal BMW iaitu R1200GS dan S1000R sudah mempunyai adik kecil, iaitu G310GS dan G310R. Seperti yang diketahui ramai, dua model yang menggunakan enjin kapasiti 313 cc ini dibangunkan bersama TVS Motorcycles dari India, dan dijual pada harga lebih mampu milik iaitu di Malaysia, G310GS pada harga RM29,900 dan G310R RM26,900.

    Kini, TVS telah mengeluarkan satu lagi model baru di India, iaitu RR310, dan walaupun dijual menggunakan jenamanya sendiri, ia dilihat seperti memberi bayangan kepada satu lagi siri model ‘adik kecil’ BMW, dan kali ini untuk model sports S1000RR.

    Model ini juga menggunakan enjin sama seperti G310R dan G310GS, iaitu unit satu silinder berpenyejukan cecair, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan sebanyak 34 PS pada 9,700 rpm dan 27.3 Nm tork pada 7,700 rpm.

    Berat motosikal ini cuma 170 kg, dan ini membolehkan ia memberi catatan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.17 saat, dan kelajuan maksimum 160 km/j. Di bahagian depan terdapat fork teleskopik, cakera brek 300 mm dan tayar 110/70-R17, manakala di belakang terdapat monoshock, cakera brek 240 mm dan tayar 150/60-R17.

    Di India, TVS Apache RR310 dijual pada harga 205,000 rupee (RM13,054), dan ini meletakkan ia dalam persaingan dengan model seperti KTM RC390, Kawasaki Ninja 300 dan Benelli 302R. Sementara itu, bagi model BMW G310GS dan G310R, ia masih belum dilancarkan lagi di India.






     
     
  • 10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Sebelum membeli sebarang motosikal, orang ramai perlu mempertimbangkan banyak perkara. Selain harga serta spesifikasi, rasa tunggangan juga perlu diketahui, apatah lagi tidak banyak kedai yang boleh memberi pelanggan peluang merasa terlebih dahulu sebelum membeli.

    Di sinilah pentingnya laporan tunggang uji, yang mana bagi paultan.org/bm , kami sentiasa cuba mendapatkan model-model terbaru dalam pasaran secepat mungkin untuk menyediakan laporan tunggang ujinya bagi rujukan orang ramai. Tidak kiralah sama ada ia model yang berkapasiti tinggi, kapcai mahupun skuter.

    Dalam tahun 2017, banyak juga model baru yang dilancarkan, dengan hampir semua wakil pengeluar menunjukkan ‘senjata’ masing-masing, malah ada juga model yang menandakan penyertaan pertama jenama dalam segmen tertentu. Kami ada senarai laporan tunggang uji manakah yang paling popular pada tahun ini, dan keputusannya agak menarik.

    Berdasarkan statistik laman web kami, laporan yang paling popular tahun ini adalah model yang tidak melebihi 400 cc pun, tetapi ia terdiri daripada pelbagai genre termasuk skuter, sports, naked, santai dan bajet. Model yang popular di pasaran sudah tentu menjadi perhatian, tetapi ada juga model yang seakan dilupakan, namun apabila kami mengeluarkan laporannya, ramai yang tertarik.

    Anda boleh saksikan sendiri senarai model ini di bawah, dan ia disediakan secara turutan menaik, bermaksud, dari kedudukan nombor 10, ke kedudukan nombor satu, iaitu yang paling popular. Anda juga mungkin boleh perasan, ada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2016, tetapi ia masih mendapat sambutan pada tahun ini. Bagi yang sudah membaca laporan tunggang uji tersebut, adakah ia membantu dalam pembelian anda?

    10. Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Model ini adalah satu penawaran Modenas ke dalam segmen mampu milik, dengan konsep ‘Motosikal Rakyat’, dan harganya cuma RM3,980 sewaktu dilancarkan. MR2 adalah lanjutan kepada model MR1, dan ia dikuasakan oleh enjin 110 cc serta padanan kotak gear empat kelajuan.

    9. Honda Future FI – kapcai 125 cc yang kita terlepas pandang; adakah harganya berpatutan?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Honda Future FI ini diperkenalkan pada tahun 2016, dan ia adalah pengganti kepada model sebelumnya, dengan membawa pembaharuan dalam sistem bahan api, di mana ia menggunakan sistem suntikan elektronik (EFI). Kapasiti enjinnya berada di tahap pertengahan dalam segmen kapcai iaitu 125 cc, dan antara ciri menariknya adalah terdapat ruang simpanan yang boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk.

    8. Yamaha NMax skuter terbaik kini?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Bagi mereka yang mementingkan praktikaliti, skuter memang adalah pilihan utama, dan Yamaha NMax adalah antara pilihan yang boleh dianggap berbaloi berada dalam pasaran Malaysia. Ia mempunyai saiz lebih besar daripada Nouvo dan didatangkan dengan pelbagai kemudahan seperti ruang simpanan yang luas, penggunaan bahan api baik kerana menggunakan sistem suntikan elektronik, enjin 155 cc dan brek cakera depan dan belakang. Harganya pula sekitar RM3,000 lebih murah berbanding pesaingnya, Honda PCX.

    7. KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Dua model jalanan permulaan daripada KTM ini mendapat sambutan hangat berkemungkinan kerana model yang digantinya sudah agak lama di pasaran, dan penampilan model baru ini lebih garang dan moden. Kedua-duanya adalah model naked, dan memberikan pilihan kepada pengguna bergantung kepada bajet serta kemahuan mereka. Selain enjin yang lebih berkuasa, Duke 390 juga menawarkan keistimewaan lain seperti meter digital berwarna.

    6. Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Satu lagi skuter yang masuk dalam senarai paling popular ini mempunyai enjin serta badan yang lebih besar, iaitu Honda NSS300. Model seperti ini juga dilihat semakin digemari pengguna di Malaysia kerana selain kegunaan harian, mereka juga mahukan kemampuan untuk berjalan jauh. NSS300 ternyata berkemampuan dan kami menunggangnya sehingga ke Pulau Pinang tanpa sebarang masalah.

    5. Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Laporan tunggang uji Benelli RFS150i ini sebenarnya baru sahaja kami siarkan, tetapi ia cukup mendapat sambutan sehingga meletakkannya di tangga kelima. Segmen kapcai 150 cc ini sememangnya sedang hangat, tetapi model Benelli ini seperti kurang diendahkan. Daripada pengalaman kami, ia tidak kurang hebatnya, malah lebih murah berbanding dua pesaingnya.

    4. Modenas Pulsar RS200 – adakah ia cukup sporty dan boleh menentang motosikal 250 cc?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Pulsar RS200 ini mungkin adalah model yang dibangunkan oleh syarikat motosikal India, iaitu Bajaj Motorcycles, tetapi ia dipasarkan oleh pengeluar motosikal tempatan, iaitu Modenas. Mungkin ramai yang mahu mengetahui kenapa Modenas cukup yakin dengan motosikal ini dan bagaimana prestasinya melalui laporan tunggang uji ini. Dari aspek penampilan, ia cukup garang.

    3. Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Pulsar NS200 ini pula adalah satu lagi model kerjasama dengan Bajaj, tetapi ia menggunakan badan jenis naked. Ramai juga yang menggemari motosikal bentuk sebegini kerana lebih minimalis. Kedua-dua RS200 dan NS200 dikuasakan enjin satu silinder 200 cc yang mempunyai tiga palam pencucuh, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 24.5 PS pada 9,500 rpm dan tork 18.6 Nm pada 8,000 rpm.

    2. Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Jangan terperanjat, kerana laporan tunggang uji yang berada di kedudukan kedua adalah sebuah motosikal santai, yang juga dibangunkan dengan kerjasama Bajaj, tetapi dalam masa sama turut mengingatkan kembali kepada model Jaguh yang pernah dipasarkan oleh Modenas dulu. Enjin model ini cuma 150 cc, dan ia dijual pada harga menarik, iaitu RM5,989 termasuk GST.

    1. Yamaha NVX 155 – Adakah prestasi skuter ini cukup sporty seperti penampilannya?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Inilah dia di tempat pertama, Yamaha NVX 155, yang seperti kita juga seperti boleh jangkakan. Selain daripada penampilan sebuah skuter yang sporty, kami juga mendapati NVX mempunyai prestasi yang berpadanan, hasil penggunaan enjin 155 cc berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork. Harga motosikal ini adalah RM10,500, dan ia didatangkan dengan kelengkapan berteknologi antaranya seperti sistem tanpa kunci dan meter digital.

     
     
  • 10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Tahun 2017 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Dan, sebelum kita masuk ketahun 2018 dengan cabarannya yang tersendiri, kami di paultan.org/bm ingin membawa anda untuk menyorot kembali artikel-artikel paling popular yang diterbitkan sepanjang tahun ini, yang menarik perhatian paling ramai pembaca.

    Bagi kami, subjek yang paling banyak menarik perhatian pembaca umum tahun ini bercampur baur. Tentunya, berita atau artikel tentang jenama pengeluar kenderaan tempatan Perodua menjadi pelopor. Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Senarai 10 artikel paling popular ini turut disumbangkan antara lain oleh berita berkaitan motosikal, perihal harga minyak dan isu-isu semasa berkaitan lalu lintas.

    Jadi, kami mempersembahkan senarai 10 artikel paling popular sepanjang 2017:

    10. Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Julai lalu, Honda buat pertama kalinya mendedahkan model Accord 2018 generasi kesepuluh diperingkat global. Ia tidak hanya hadir dengan reka bentuk luaran yang serba baru, tetapi unit atau sistem jana kuasa yang digunakan juga baru – ditambah juga dengan kelengkapan keselamatan yang paling maju pernah dipasangkan pada Accord.

    9. GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Toyota C-HR merupakan model “dekat tapi jauh” untuk pasaran Malaysia. Sejak Mei, ia sudah diisyaratkan akan masuk ke pasaran Malaysia, dan pada bulan Ogos pula ia membuat penampilan menyeluruh yang pertama untuk pasaran tempatan. Dan, sehingga hari ini, ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Harapanya tempoh awal 2018 kita akan dapat lihat kelibat model ini di atas jalan raya tempatan.

    8. RON 95 RM4.09 seliter? Ini kenyataan rasmi dari Shell

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Petrol RON 95 dijual pada harga RM4.09 seliter? Ini berita yang menjadi tular pada bulan Mei. Ramai yang awalnya mendakwa stesen minyak Shell turut melibatkan unsur penipuan di media sosial. Tapi, apa sebenarnya yang berlaku adalah kesilapan teknikal yang melibatkan 160 transaksi keseluruhannya. Ini pula adalah kenyataan rasmi daripada pihak Shell sendiri, yang dikeluarkan pada tarikh 18 Mei.

    7. Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Satu-satunya artikel isu semasa berkaitan lalu lintas yang masuk ke senarai ini ialah tentang peraturan sekiranya anda menukar lencana atau logo kenderaan anda; misalnya dari Perodua kepada Daihatsu. Walaupun bunyinya seperti tiada masalah, perbuatan itu sebenarnya salah di sisi undang-undang.

    6. Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Ini antara model yang ditunggu-tunggu pada 2017. Menurut Honda Malaysia, ia sebuah MPV yang hadir dengan pakej sebuah SUV. Ditambah dengan tanda harga yang begitu berbaloi, Honda BR-V dengan kapasiti tujuh-tempat duduknya menjadi pilihan banyak keluarga muda di Malaysia. Ia juga mengisi kekosongan tersendiri di dalam pasaran automotif tempatan.

    5. Ford F-150 dipertonton di Malaysia – empat pilihan enjin, CKD pemanduan kanan, harga bermula RM389k

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Trak gergasi yang terkenal di AS, Ford F-150 kini sudah berada di Malaysia. Mungkin kerana reputasinya di luar negara, atau mungkin saiznya yang besar telah menjadi daya penarik yang “aneh” bagi trak ini. Lebih menarik, ia tidak dibawa masuk oleh pengedar sah Ford di Malaysia, Sime-Darby Autoconnexion, tetapi oleh Hamawangsa Kredit Sdn Bhd. Kami juga ada sediakan ulasan video untuk tatapan anda.

    4. Petronas jelaskan isu pam tidak tepat – KPDNKK dan MCM uji, sahkan tiada penipuan dan percanggahan

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Sekali lagi, isu harga minyak yang didakwa melibatkan penipuan di stesen – kali ini melibatkan Petronas – juga sempat tular dan meraih perhatian ramai pembaca dan di media sosial. Khabarnya, pam di stesen minyak berkenaan tidak tepat dalam mengeluarkan jumlah minyak seperti yang tertera. Kesudahannya, berdasarkan pemeriksaan KPDNKK, tiada penipuan atau percanggahan bacaan yang dilakukan.

    3. Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Dan, lagi artikel berkaitan minyak yang mendapat perhatian ramai pembaca. Tetapi kali ini, kami melakukan ujian antara RON 95 dan RON 97 pada dua unit Proton Saga yang serupa spesifikasinya untuk melihat jenis minyak yang mana lebih menjimatkan sebenarnya. Dengan kerjasama Segmen Auto, Bulletin Utama TV3.

    2. Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Satu-satunya berita tentang motosikal yang tersenarai di dalam 10 artikel paling popular tahun ini adalah berkaitan pelancaran model kerjasama Modenas-Bajaj, RS200 dan NS200 untuk pasaran Malaysia. Diperkenalkan pada bulan Mei, kedua-dua motosikal ini menjadi model utama dalam barisan produk Modenas sekarang. Turut kami sediakan ulasan video bagi kedua-dua model ini untuk anda.

    1. Perodua Myvi 2018 dilancarkan di Malaysia – model generasi baharu, 1.3L dan 1.5L, bermula RM44,300

    10 artikel paling popular di <em>paultan.org/bm</em> bagi 2017

    Mendahului senarai ini ditempat pertama tidak lain dan tidak bukan berita tentang pelancaran model terbaru Perodua Myvi 2018. Merupakan model serba baru, tetapi harga yang ditawarkan tidak jauh berbeza daripada model sebelumnya – bahkan ada varian yang harganya lebih rendah. Lebih penting, teknologi keselamatan maju seperti autonomous emergency braking (bagi varian 1.5 Advance) kini boleh dinikmati oleh segmen kereta mampu milik. Ikuti juga ulasan video lengkap yang telah kami sediakan.

     
     
  • Lebuhraya MEX bagi potongan 10% untuk Tahun Baru

    Lebuhraya MEX bagi potongan 10% untuk Tahun Baru

    Sempena sambutan Tahun Baru 2018 hujung minggu ini, pengguna lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 1 Januari 2018 akan diberikan potongan kadar tol sebanyak 10%.

    Potongan harga ini sah bagi semua jenis dan kelas kenderaan (Kelas 1 hingga Kelas 5) yang menggunakan lebuhraya berkenaan, bermula dari pukul 12.01am hingga 11.59pm pada hari berkenaan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pemegang konsesi lebuhraya itu, dijangkakan sebanyak 108,000 kenderaan bakal menikmati potongan harga itu.

    Ketika ini, kenderaan Kelas 1 (dengan dua gandar dan tiga atau empat roda tidak termasuk teksi) dikenakan tol sama ada RM2 di plaza tol Salak Selatan, atau RM2.20 di plaza tol Seri Kembangan dan RM3.50 di plaza tol Putrajaya Utama.

     
     
  • Ford siar teaser Focus 2018 – tampil rupa penuh, namun dengan pelekat penyamaran warna-warni

    Ford siar <em>teaser</em> Focus 2018 – tampil rupa penuh, namun dengan pelekat penyamaran warna-warni

    Sebelum didedahkan sepenuhnya, Ford telah menyiarkan imej Focus generasi baharu sebagai teaser. Walaupun imej ini adalah gambaran sepenuhnya, namun kereta berkenaan diberikan pelekat penyamaran yang berwarna-warni bersama tanda pagar #TimeToFocus.

    Walau bagaimanapun, model generasi seterusnya ini jelas menampilkan rupa yang berbeza dari model sedia ada. Ia diberikan muka baharu dengan rekaan gril yang lebih besar bersama lampu seakan rekaan Fiesta terkini dan juga apron yang disentuh semula. Jarak antara garis bahu dengan bumbung kereta ini juga kelihatan lebih tinggi dari sebelumnya, membayangkan bahagian dalaman yang dapat direka lebih luas.

    Kami juga memperolehi spyshot model generasi baharu ini yang memberikan gambaran bahagian belakang. Bagi Focus 2018, ia nampaknya menggunakan rekaan lampu belakang yang lebih tirus dari sebelum ini. Selain dari sedan dan hatchback, Focus 2018 dalam versi wagon turut kelihatan sedang diuji. Walaupun berlainan bentuk badan, kesemua versi nampaknya menampilkan rekaan lampu belakang yang hampir sama.

    Berdasarkan rupa, Focus 2018 nyata nampak lebih besar dari model sedia ada, walaupun belum ada lagi angka dimensi rasmi dari Ford. Menurut khabar angin, Focus baharu ini bakal tampil dengan jarak roda lebih jauh bagi membolehkan ruang dalaman direka dengan lebih luas.

    Ia juga dikatakan akan menerima papan pemuka rekaan baharu sepenuhnya. Bahagian berkenaan bakal diberikan skrin paparan yang lebih besar, bersama ciri lain yang dijangka menyamai apa yang ditawarkan pada Fiesta generasi baharu.

    Model generasi baharu ini juga dijangka akan diberikan pilihan enjin turbo sepenuhnya tanpa kehadiran enjin NA empat silinder 2.0 liter Duratec Ti-VCT. Model asas akan dijana enjin Ecoboost tiga-silinder 1.0 liter turbo, manakala versi lebih berkuasa digerakkan dengan enjin EcoBoost empat-silinder 1.5 liter turbo.

    GALERI: Spyshot Ford Focus 2018 Hatchback

    GALERI: Spyshot Ford Focus 2018 Sedan

    GALERI: Spyshot Ford Focus 2018 Wagon

     
     
  • Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Tokyo Auto Salon merupakan pameran yang penting dan dinanti-nantikan, bukan hanya di Jepun tetapi juga oleh peminat di seluruh dunia. Dan, pameran ditempat sendiri bagi pengeluar-pengeluar negara matahari terbit itu sentiasa menjadi platform untuk menunjukkan kreativiti dan kehebatan masing-masing.

    Selepas Honda yang akan mempersembahkan barisan kenderaan syarikat itu untuk acara sama Januari 2018 nanti, Daihatsu juga tak ingin ketinggalan; sembilan model konsep akan dipertontonkan ketika acara berkenaan.

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Yang pertama ialah dari barisan kenderaan sporty, dari versi Sporza bagi model hatchback Thor dan Mira dan satu lagi, Daihatsu Boon dengan Sporto Package. Setiap satu daripada model ini dipasangkan dengan dekorasi dwi-tona merah/hitam yang dipadankan pula dengan rim warna emas. Kelilingnya ialah bodykit sporty – termasuk sekali bampar depan yang lebih dalam dengan bahagian sisi dalam perincian warna merah.

    Kumpulan kedua pula terdiri daripada model yang lebih premium; terdiri daripada model Move Canbus, Tanto dan Thor dengan imej bersih warna putih serta kemasan hitam dan krom untuk membezakan penampilannya. Rekaan dan kemasan rim juga lebih bersahaja.

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Kecuali Tanto, barisan model premuim ini datang dengan bumbung hitam, manakala bagi Thor dan Move Canbus turut disertakan dengan perumah cermin sisi hitam. Thor dan Tanto juga kelihatan dalam kedudukan yang lebih rendah untuk nampak lebih menawan.

    Kelompok ketika pula menampilkan kenderaan dalam imej yang lebih menarik – terdiri dari versi Active bagi kenderaan Daihatsu seperti Boon dan pikap Hijet. Boon Active menampilkan bahagian tambahan pada bampar, sisi dan lengkung tayar – dalam kemasan perincian warna perak dan oren.

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Sementara itu, Hijet kabin berkembar juga mendapat sentuhan off-road – kedudukan badannya dinaikkan, tayar off-raod, pemijak sisi, lampu kabus pada bampar depan dan bumbung serta dekorasi dalam tema marin dibahagian luarannya.

    Hijet kabin tunggal pula diberikan sentuhan yang lebih klasik. Nuansa warna putih pada bahagian luaran membuatkan model ini tampil dengan imej bersih. Antara semua model Daihatsu yang ditampilkan ini, mana satu yang kena dengan selera anda?

     
     
  • Honda umum barisan model ke Tokyo Auto Salon 2018

    Honda umum barisan model ke Tokyo Auto Salon 2018

    Selepas Nissan, kini Honda pula mengumumkan barisan modelnya yang akan dibawa ke acara tahunan kenderaan ubahsuai Jepun – Tokyo Auto Salon – yang akan di langsungkan pada Januari hadapan. Untuk edisi 2018 ini, Honda akan membawa lima model konsep yang dihasilkan dari model sedia ada dan juga model yang akan dipasarkan di Jepun pada masa akan datang.

    Model pertama dalam barisan ini adalah SUV yang digelar CR-V Custom Concept, iaitu CR-V generasi terkini yang diberikan pelbagai komponen dari Modulo seperti bampar hadapan dan belakang, rim aloi bersaiz 19-inci, gril hadapan dan juga spoiler belakang. Warna badan putih SUV ini juga diberi kontras kemasan hitam bagi menonjolkan rupa yang lebih sporty.

    Honda turut akan membawa MPV Jade RS Custom ke TAS 2018 yang dibina dari Jade RS versi diperkemas yang akan dilancarkan pada musim luruh 2018. Jade merupakan MPV segmen-C yang dibina bagi menggantikan model Stream sebelum ini. Bagi Jade RS yang bakal muncul nanti, ia akan diberikan barangan Modulo seperti kemasan krom gelap dan juga suspensi yang direndahkan sekitar 15 mm.

    Kali ini, Honda turut akan membawa MPV StepWGN yang digelar sebagai StepWGN Modulo X Concept. Seperti juga CR-V dan Jade RS, StepWGN ini turut akan diberikan pelbagai aksesori Modulo, dan bakal dihasilkan sama seperti Freed Modulo X yang turut akan dibawa ke TAS 2018. Model-model MPV konsep ini sebenarnya sebagai prebiu bagi varian-varian baharu yang bakal ditawarkan oleh Honda pada masa akan datang.

    Selain dari SUV dan MPV di atas, Honda turut akan membawa model sport sebenar iaitu Kei-roadster S660 Modulo X Concept. Roadster comel berkenaan akan diberikan kit aero penuh termasuk bampar hadapan dan belakang baharu serta sistem suspensi yang diolah semula menampilkan penyerap hentak boleh laras.

    Divisi prestasi tinggi sebenar Honda iaitu Mugen turut bakal hadir ke TAS 2018 dengan membawa jentera RC 20 GT yang diasaskan dari Civic Type R FK8, prototaip model talaan khas Civic Hatchback, NSX dan N-One RS. Honda turut akan mempamerkan barisan jentera perlumbaan sebenar mereka yang terdiri dari kereta dan motosikal.

     
     
  • Toyota Alphard, Vellfire facelift – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Di Jepun, walaupun ketika cuti Krismas, Toyota ada berita besar yang diumumkan; perincian bagi Toyota Alphard dan Vellfire facelift didedahkan secara rasmi. MPV mewah berkenaan, yang akan mula dijual pada 8 Januari, selain menerima perubahan penampilan luaran turut disertakan dengan enjin V6 yang dipertingkat serta sistem bantuan pemanduan.

    Antara perkara utama ialah penawaran Toyota Safety Sense generasi kedua sebagai ciri standard untuk semua varian. Diumumkan awal bulan ini, sistem berkenaan mengandungi ciri-ciri termasuk pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal (siang sahaja) bagi Pre-Collision System, serta Lane Tracing Assist (LTA), Road Sign Assist (RSA) dan juga ciri Front Departure Alert (FDA) ketika berhenti di lampu isyarat.

    Satu lagi peningkatan yang dilakukan ialah pada enjinnya; ia kini dilengkapi enjin 2GR-FKE 3.5 liter V6 suntikan terus sebagai tambahan penawaran yang ada. Belum ada perincian terhadap output yang dihasilkan enjin ini, tetapi Toyota mendakwa ia mampu memberikan prestasi serta penjimatan yang lebih baik. Penggunaan minyak ialah pada kadar 10.4 km dan 10.6 km bagi setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun – bacaan terdahulu ialah 9.5 km bagi setiap liter.

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Model V6 juga telah beralih daripada transmisi automatik enam-kelajuan kepada versi lapan-kelajuan Direct Shift. Selaini itu, model dengan enjin 2.5 liter Dual VVT-i kitaran Atkinson yang menghasilkan 180 hp/235 Nm dan padanan transmisi CVT masih dikekalkan, lengkap dengan elektrik motor 141 hp dan motor belakang 67 hp yang menyediakan pacuan semua roda. Penggunaan minyak yang mampu dicapai ialah 19.4 km bagi setiap liter.

    Selebihnya, bahan pencantum struktur (structural adhesive) yang lebih baik digunakan, termasuk pada bahagian cermin yang lebih tahan – menyumbang kepada peningkatan ketahanan badan yang turut memberi kesan kepada kestabilan pemanduan dan keselesaan keseluruhan.

    Perubahan kosmetik pula melibatkan wajah depan yang lebih segar. Alphard misalnya datang dengan gril depan yang lebih besar dan tinggi bersama kemasan krom melibatkan bahagian lampu utama; rekaan pada lampu berkenaan turut menerima sentuhan baru untuk bahagian dalamannya, dengan tambahan dua atau tiga projektor LED, bergantung kepada varian.

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Vellfire pula menerima rekaan gril besar dalam kemasan krom dan perubah lampu kabus tiga segi, memberikannya wajah yang lebih menonjol. Pada kedua-dua model ini, varian Aero menerima bampar depan yang lebih sporty dengan kawasan lampu kabus yang lebih besar – pada Vellfire, bahagian ini diwarisi dari model Voxy.

    Terakhir, rekaan lampu belakang bagi kedua-dua model ini juga melibatkan sentuhan terkini; pada Vellfire, ia turut hadir dengan lampu panduan empat segi. Kemasan lampu belakang dan rekaan roda juga ada sebagai pilihan.

    Pada ruang kabin pula, kluster instrumen menerima rekaan baru, dengan penggunaan upholstery kulit dan perincian kayu, termasuk pilihan untuk kulit Nappa dalam warna hitam/putih. Model WellCab versi untuk kemudahan pengguna kurang upaya juga datang dengan tilt mechanism baru pada tempat duduknya untuk memudahkan penjaga yang menenami. Kerusi berkenaan juga tidak terkeluar terlalu banyak, memudahkan urusan keluar masuk di tempat sempit menjadi lebih mudah.

    Barisan varian yang ditawarkan juga kini diubah; varian Executive Lounge enam-tempat duduk kini turut terdapat sebagai model Aero, dengan menggunakan lencana Alphard Executive Lounge S dan Vellfire Executive Lounge Z. Selebihnya, model asas terbaru diisi oleh model Hybrid Aero, Alphard S Hybrid S dan Alphard Hybrid Z.

    Toyota Alphard facelift 2018

    Toyota Vellfire facelift 2018

     
     
  • Skoda Motorsport rai kejayaan WRC 2 dan Krismas dengan ‘Taxi Ride’ bersama Fabia R5 di bandar Prague

    Sebagai meraikan kejayaan dalam kejohanan rali dunia dalam kategori WRC 2 selama tiga tahun berturut-turut, jenama automotif dari Republik Czech -Skoda- telah bermurah hati untuk membawa warga bandar Prague dan peminatnya ‘bersiar-siar’ di kota berkenaan dengan jentera rali sebenar Fabia R5 sempena sambutan Hari Natal.

    Skoda bukan sahaja memonopoli WRC 2, malah turut menjadi pasukan paling unggul bagi Kejuaraan Rali Republik Czech sendiri. ‘Teksi’ Skoda R5 yang membawa ‘penumpang’ di Prague ini dipandu sendiri oleh juara tiga tahun berturut-turut Rali Republik Czech, Jan Kopecký. Untuk sambutan yang diadakan pada hari berkenaan, Kopecký telah membawa lebih dari 20 orang penumpang.

    “Ia agak mengkagumkan. Terutamanya buat masa sekarang, dengan perayaan Krismas yang sedang berlangsung dan Prague penuh dengan pelancong serta rakyat tempatan. Saya kagum dengan ramainya orang yang mengerumuni kereta ini. Saya sangat terkejut,” ujar Kopecký.

    Untuk tahun hadapan, Fabia R5 bakal berhadapan dengan ‘sepupunya’, Volkswagen Polo GTI R5 yang di bina oleh bekas pasukan WRC VW yang membangunkan Polo R WRC sebelum ini, dan dengan kerjasama dari Skoda sendiri. Namun, Volkswagen tidak akan turun sebagai pasukan rasmi, sebaliknya membekalkan jentera kepada pasukan persendirian dalam program perlumbaan pelanggan.

    Selain dari VW, Mellors Elliot Motorsport (MEM) dari UK turut mengumumkan akan mengambil bahagian dalam WRC 2 untuk musim 2018, mempertaruhkan jentera R5 yang diasaskan dari hatchback segmen-B dari Malaysia, Proton Iriz R5.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025