Serentak dengan pelancaran hatchback segmen-A Axia 2023 hari ini, Perodua turut memperkenalkan barisan aksesori asli Gear Up untuk model berkenaan. Walau bagaimanapun, aksesori yang ditawarkan belum lagi melibatkan kit badan luaran, dan ia lebih tertumpu pada bahagian dalaman.
Antara aksesori Gear Up yang ditawarkan ini termasuk karpet kaki jenis coil, kemasan bendul sisi dengan kemasan gentian karbon, lampu untuk bahagian ruang kaki, dan juga tray untuk ruang but belakang.
Perodua juga turut menawarkan balutan PVC Gear Up pada tempat duduk berwarna hitam-merah – ia termasuk untuk Axia AV walaupun varian itu ia sudahpun diberikan tempat duduk semi-bucket dengan upholsteri gabungan kulit dan fabrik.
Satu-satunya aksesori Gear Up untuk bahagian luar hanyalah visor pintu. Dan satu lagi aksesori Gear Up untuk Axia 2023 ini adalah dalam hud enjin, iaitu penebat bunyi tambahan yang dilekat pada penutup hud tersebut.
Harga untuk kesemua aksesori Gear Up ini juga masih belum diumumkan, dan ia akan diberitahu tidak lama lagi.
Rapid KL telah pun memuatnaik imej teaser berkenaan dengan perkhidmatan baharunya untuk penduduk Alam Megah, Shah Alam. Imej berkenaan dengan mesej “Nantikan!” berwarna merah jambu yang turut memaparkan telefon pintar dengan logo Kumpool.
Kami jangkakan ia mungkin perkhidmatan bas perantara menerusi Kumpool. Manakala merah jambu merupakan warna bagi bas perantara LRT, dan Rapid KL sebelum ini pernah menggunakan perkhidmatan Kumpool bagi bas perantara. Sebelum ini, Kumpool pernah menawarkan perkhidmatan tempahan van e-hailing di sekitar Johor Baharu sebelum ia turut ditawarkan di Lembah Klang (Subang Jaya dan Petaling Jaya).
Pada Oktober tahun lalu, Rapid KL melancarkan laluan T250 dari LRT Wangsa Maju ke Setapak. Kadar tambangnya hanya RM1 bagi seorang penumpang untuk perkhidmatan van berkenaan, dan tempahannya dibuat menerusi aplikasi Kumpool. Ia berfungsi seperti perkhidmatan shuttle atas-permintaan dengan mengumpulkan tempahan para penumpang dan melibatkan perjalanan berdasarkan laluan mengambil dan menurunkan semua penumpang dalam masa yang sama.
Stesen LRT yang berdekatan dengan Alam Megah ialah stesen Subang Alam dalam Laluan Kelana Jaya, serta Putra Height. Apa pun kena nantikan perkembangan selanjutnya yang bakal Rapid KL umumkan untuk perkhidmatan ini.
Seperti yang diketahui, Perodua Axia 2023 sudah pun dilancarkan secara rasmi hari ini, menampilkan perincian yang jauh lebih moden membuatkan model paling asas Axia G dijual pada harga RM38,600. Model paling ‘kosong’ E dengan kotak gear manual masih belum dilancarkan, malah model G baharu ini jauh lebih mahal dari G Xtra facelift 2019 yang dijual pada harga RM34,990 sebelum ini.
Namun berita gembira untuk anda yang mahukan kereta harga dengan harga lebih mampu milik, Perodua mengumumkan bahawa ia akan meneruskan kembali produksi Axia generasi pertama dan dijual bersama model 2023, tetapi hanya dalam varian E dengan kotak gear manual!
Menurut Perodua, dengan langkah ini membolehkan syarikat berkenaan terus memainkan peranannya bagi menyediakan kereta paling murah dalam pasaran. Perodua turut menyatakan bahawa spesifikasi bagi Axia E manual berkenaan akan dikemaskini dan harga baharunya turut akan diumumkan kemudian.
Sebelum ini Perodua Axia E facelift 2019 dijual pada harga RM24,090. Harga baharu kelak bukan hanya akan mengambilkira kemaskini perincian yang diberikan, malah turut akan disertakan dengan harga bersama cukai SST.
Seperti yang diumumkan oleh Perodua sebelum ini, model E dengan kotak gear manual bagi model generasi baharu hanya akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri. Model tersebut akan dihasilkan dalam spesifikasi lebih baik dari Axia manual generasi pertama, dan selain untuk kegunaan sekolah memandu, model tersebut turut akan dijual kepada orang awam.
“Kami masih akan terus hasilkan kereta [dengan kotak gear] manual khasnya untuk sekolah-sekolah memandu. Ini akan kami umumkan kemudian dan kami rasa sekolah-sekolah memandu akan suka sebab keretanya sama (Axia), spesifikasi [yang ditawarkan] bagus,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad
Setiap kali Perodua hadir dengan model baharu, pastinya ramai yang skeptikal apa yang jenama automotif nasional kedua tersebut tawarkan kepada pengguna. Begitu juga dengan Perodua Axia 2023 yang dilancarkan hari ini – walaupun sudah diwar-warkan ini merupakan model serba baharu yang menampilkan teknologi dan perincian yang jauh berbeza dari model generasi pertama, menyebabkan harganya lebih mahal dari Axia sebelum ini, masih ramai ragu-ragu dengan kenyataan tersebut.
Jadi dalam artikel ini, kami akan memperincikan lebih lagi apa perbezaan antara Perodua Axia 2023 dan juga Perodua Axia generasi pertama, yang mungkin akan lebih memahamkan lagi berkenaan model paling mampu milik yang dijual oleh Perodua ini.
1. Platform DNGA
Asas untuk Perodua Axia generasi kedua ini bukannya menggunakan casis yang sama dari Axia generasi pertama, dan ia adalah 100% lain. Untuk Axia 2023, ia menggunakan platform terkini dari Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
DNGA merupakan platform modular yang dihasilkan berdasarkan platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA). Sebagai pakar penghasilan model-model kompak, Daihatsu merubah platform berkenaan agar ia lebih sesuai digunakan untuk model-model lebih kecil.
Sebelum digunakan pada Axia, platform ini sudahpun menjadi asas kepada dua model baharu Perodua yang lebih mahal iaitu Ativa dan juga Alza 2022. Malah Toyota Vios generasi baharu yang sudah pun diperkenalkan di Thailand dan Indonesia (bakal masuk ke Malaysia tahun ini) juga menggunakan platform DNGA yang sama.
Platform ini bukan sahaja menjadikan Axia lebih selesa dan memberikan prestasi pemanduan lebih baik, malah memberikan saiz yang lebih besar dari model generasi sebelumnya.
2. Saiz yang lebih besar
Seperti yang disebutkan tadi, Perodua Axia 2023 ini adalah lebih besar dari model sebelum ini. Berapa besar? Atas kertas, Perodua Axia menampilkan dimensi 3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar, 1,505 tinggi dan juga jarak roda sejauh 2,525 mm.
Jadi berbanding model generasi sebelumnya, Axia generasi kedua ini adalah 100 mm hingga 115 mm lebih panjang (bergantung pada varian), 65 mm lebih lebar serta jarak roda 70 mm lebih panjang. Namun ia kini 15 mm lebih rendah dan menyumbang kepada rupa yang nampak lebih stabil dan sporty.
Bukan itu sahaja, jarak roda Axia 2023 ini juga sebenarnya adalah 25 mm lebih jauh dari Myvi dan menyumbang kepada ruang kabin yang jauh lebih besar dari sebelum ini. Dengan ruang yang lebih luas, membolehkan Perodua memberikan kedudukan pemandu yang lebih baik dari model generasi pertama.
Perodua Axia 2023 (atas) vs. Axia generasi pertama (bawah)
Kedudukan kolum dan roda stereng kini berada pada sudut lebih optimum sebagai sebuah kereta berbanding seperti sebuah van sebelum ini, dan kaki pemandu juga dapat ‘menjulur kehadapan’ dengan pedal pendikit berada pada kedudukan lebih optimum pada kaki.
Jika sebelum ini dua orang berbadan besar seakan hampir “bertemu bahu” jika duduk sebelah-menyebelah di dalam Axia, ia kini semakin baik dengan ruang dalaman lebih lebar dengan jarak pasangan 40 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun jarak antara penumpang hadapan dan belakang masih tidak berubah iaitu 910 mm – jarak ini sebenarnya sudahpun memberikan jarak kelegaan lutut yang baik pada model terdahulu.
Perodua Axia 2023 (kiri) vs. Axia generasi pertama (kanan)
Menurut Perodua lagi, dengan jarak roda lebih jauh ini juga membolehkan penumpang masuk dan keluar dari kabin dengan mudah. Dan dengan ukuran keseluruhan yang lebih panjang, ruang but di belakang juga dapat dihasilkan lebih besar dari Axia sebelum ini.
Jarak antara tempat duduk belakang hingga ke pintu tailgate kini adalah 610 mm, atau 47 mm lebih panjang dari sebelum ini. Dengan ruang berkenaan Perodua mendakwa empat beg pakaian boleh diletakkan, atau sebuah kereta sorong kanak-kanak boleh dimuatkan dalam but Axia 2023 ini.
3. Penggayaan dan perincian elektronik terkini
Dengan badan yang lebih lebar dan rendah, Axia kini nampak lebih sporty dari model terdahulu. Seperti biasa, Axia masih mempunyai kembarnya di Indonesia iaitu Toyota Agya dan juga Daihatsu Ayla. Ketiga-tiga model ini biasanya akan menampilkan rekaan asas badan yang sama, tetapi dibezakan pada muka di mana ia lebih tersendiri mengikut DNA rekaan jenama masing-masing.
Untuk Axia, Perodua menyatakan bahawa ia direka oleh pereka dari Malaysia, dan ia disesuaikan dengan citarasa tempatan dan juga rantau ASEAN. Axia menerima muka yang diberikan konsep rekaan berbentuk-X seperti Myvi, Ativa dan Alza, sementara Toyota Agya yang telah didedahkan semalam nampaknya diberikan muka dengan pengaruh dari Toyota Yaris pasaran Jepun dan Eropah.
Lampu hadapan LED diberikan standard untuk varian X dan ke atas. Manakala varian SE dan AV dapat dibezakan menerusi pemadanan lampu nyalaan siang LED. Kesemua varian Axia 2023 ini diberikan kawalan elektrik, tetapi hanya varian SE dan AV menerima fungsi auto-lipat.
Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin juga adalah standard untuk varian X dan ke atas. Apa yang menarik, kunci boleh dibuka menerusi penderia elektrostatik pada pembuka pintu seperti pada Ativa, lebih canggih dari Myvi yang masih menggunakan butang hitam.
Perodua Axia 2023 (kiri) vs. Axia generasi pertama (kanan)
Bahagian kabin untuk Axia generasi baharu ini juga memberikan rasa lebih premium dari model generasi sebelum ini. Papan pemukanya direka dengan elemen mendatar dan sekali tengok nampak sama seperti papan pemuka pada Perodua Ativa. Rekaan ini memberikan rasa pemanduan yang lebih rendah berbanding rasa ‘bertenggek’ pada Axia lama dengan papan pemuka yang nampak tinggi.
Axia juga kini berkongsi roda stereng bukan sahaja sama dengan Myvi, Ativa dan Alza, malah roda stereng berkenaan turut digunakan oleh Toyota Vios 2022. Malah bagi model tertinggi Axia AV, ia diberikan skrin infotainmen berdiri sendiri sembilan-inci yang sama dengan Ativa, dan menerima paparan instrumen digital sepenuhnya juga sama seperti Ativa, Alza dan Vios.
Tombol gear dan juga tuil brek tangan Axia baharu ini juga diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dan dekat dengan tangan. Jadi tidaklah anda rasa seperti memandu bas ketika mahu menukar gear dan juga menurunkan tuil brek tangan pada Axia 2023 ini.
4. Prestasi dan penjimatan bahan api
Perodua Axia 2023 masih dibekalkan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i yang sama dengan model generasi sebelumnya, menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm. Tetapi enjin berkenaan tidak lagi dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 4AT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear Dual Mode CVT (D-CVT) yang sama seperti pada Ativa, Myvi facelift dan juga Alza 2022.
Kotak gear ini merupakan ‘senjata’ terbaharu dari Daihatsu untuk kesemua model-model baharunya. Ia jauh lebih canggih dengan menggabungkan sistem CVT yang menggunakan tali sawat bersama gear sebenar bagi memberikan penggunaan bahan api, pecutan dan juga tahap kesenyapan yang lebih baik.
Kotak gear D-CVT ini akan berfungsi seperti kotak gear CVT dengan torque converter biasa, memberikan nisbah gear menerusi tali sawat yang berubah kedudukan pada pulley yang memacu dan dipacu. Namun untuk kelajuan lebih tinggi, kuasa akan disalurkan kepada set ‘split gear’ yang turut mengandungi set planetary gear bagi menyalurkan kuasa dengan efisien tanpa banyak kehilangan kuasa. Untuk lebih perincian bagaimana kotak gear ini berfungsi, anda boleh membacanya pada PAUTAN INI.
Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelum ini. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.
Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.
Ketika dilancarkan nanti kesemua empat varian Axia 2023 iaitu G, X, SE dan AV akan hadir dengan kombinasi unit rangkaian kuasa yang sama. Axia baharu ini masih akan menampilkan versi yang diberikan kotak gear manual, namun ia hanya akan muncul selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sistem Eco Idle hanya diberi untuk Axia SE dan AV. Dua varian tertinggi ini juga diberikan mod Power, iaitu mod yang memberikan penghantaran kuasa lebih agresif menerusi butang yang diletakkan pada jejari kanan roda stereng sama seperti Ativa.
5. Keselamatan
Seperti dilaporkan sebelum ini, Perodua Axia 2023 menerima penarafan empat bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP. Namun ingin ditekankan, ujian berkenaan dibuat menggunakan protokol baharu yang lebih ketat dari sebelum ini, dan ia hanya menggunakan model varian SE, iaitu varian tertinggi yang ditawarkan untuk Axia 2023 ini.
Axia SE berkenaan hanya dibekalkan dengan dua beg udara, dan perincian keselamatan lain yang standard untuk semua varian termasuk sistem brek ABS, kawalan kestabilan elektronik, dan pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk pemandu serta penumpang hadapan dan belakang.
Manakala bagi varian tertinggi untuk Axia 2023 iaitu AV, ia dibekalkan dengan enam-beg udara dan hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 yang terdiri dari amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan juga amaran lintasan trafik belakang.
Kesemua kelengkapan keselamatan berkenaan lazimnya dipadankan standard pada model segmen-C, dan hadir sebagai perincian eksklusif untuk varian tertinggi model-model segmen-B. Dengan perincian yang diberikan pada Axia AV ini sudah tentu akan memaksa pengeluar lain memberikan spesifikasi yang sama untuk model-model lebih mampu milik masing-masing.
6. Harga
Perodua Axia 2023 ini dijual pada harga atas jalan bermula dari RM38,600 untuk Axia G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 untuk Axia AV. Ia sememangnya lebih lebih tinggi berbanding model genarasi sebelumnya – sebagai rujukan, harga pelancaran bagi Axia facelift 2019 adalah RM34,990 bagi GXtra dengan VSC dan RM43,190 bagi AV.
Dengan perincian yang jauh lebih canggih seperti yang telah kami huraikan di atas, anda masih lagi rasa Perodua Axia 2023 ini dijual pada harga yang terlalu mahal? Kenapa? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau pada ruang komen di laman sosial kami.
Kami sudahpun membuat uji pandu ringkas terhadap Perodua Axia 2023 ini, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Perodua hari ini melancarkan secara rasmi model kompak hatchback segmen A, Axia 2023 D74A generasi kedua untuk pasaran tempatan. Ada empat varian diperkenalkan, G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Harga ini sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran yang dinyatakan pada 31 Januari lalu.
Perodua Axia mula diperkenalkan pada tahun 2014, dan sudah berada dalam pasaran selama lapan tahun. Sepanjang tempoh itu, ia telah diberikan dua kali kemaskini, yang pertama pada Januari 2017 dan yang kedua, pada September 2019. Dan, setakat Januari 2023, sejumlah 582,728 unit Axia telah berjaya dijual.
Jadi, apa kelebihan untuk ditawarkan oleh Axia generasi kedua ini? Pertama, ia adalah model serba baru yang sudah meninggalkan jauh versi sebelumnya. Axia kini merupakan model ketiga yang dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas SUV Ativa dan MPV Alza sebelum ini. Bagi Axia 2023, projek pembangunannya melibatkan belanja RM546 juta, dimulakan pada Oktober 2019 dan mengambil masa kira-kira 300,000 jam kerja, termasuk bantuan dari Daihatsu.
Dan, dengan platform maju dan terbaru ini, ada banyak kelebihan yang datang sekali. Antaranya, kita lihat dulu saiznya: Axia kini merupakan sebuah kereta yang lebih besar — lebih panjang, lebar dan rendah — berbanding sebelumnya. Axia 2023 mempunyai panjang 3,760 mm, lebih 115 mm berbanding yang sebelumnnya. Lebar pula model generasi baru ini ada tambahan 45 mm, menjadi 1,665 mm manakala tinggi pula 1,495 mm, berkurang 15 mm.
Jarak antara rodanya pula ialah 2,525 mm, melibatkan pertambahan 60 mm, sementara jarak kelegaan tanah Axia 2023 baru ini berkurang 20 mm menjadi 150 mm. Ini sebenarnya menjadikan saiz Axia 2023 lebih menghampiri saiz Myvi: yang panjangnya 3,895 mm (+135 mm), lebar 1,735 mm (+70 mm), tinggi 1,515 mm (+20 mm), jarak antara roda 2,500 mm (-25 mm) dan jarak kelegaan tanah 140 mm (-10 mm).
Kelebihan daripada pertambahan dimensi ini boleh dirasakan dengan ruang kabin yang lebih luas, dengan jarak antara penumpang kiri dan kanan depan bertambah 40 mm, serta ruang barangan juga lebih luas, dengan 610 mm (+47 mm) luas tapaknya dari penyandar kerusi belakang. Walaupun saiz Axia 2023 meningkat, radius pusingannya kekal 4.5 m untuk memudahkan kendalian kereta kompak ini dalam bandar.
Axia ketika mula-mula dihasilkan dulu merupakan model pertama Perodua di bawah Pelan Peralihan Perniagaan syarikat itu. Dan ini kini, melalui Axia 2023, Perodua telah berjaya mencapai tahap pembangunan bahagian atas kenderaan (upper body) sendiri dengan bantuan Dihatsu. Lebih penting, pasukan dari Perodua juga telah diberi kepercayaan untuk terlibat di peringkat global bagi pembangunan model DNGA.
Ringkasnya, model global ini turut melibatkan penyertaan dan kepakaran pasukan dari Perodua sendiri, sejak dari fasa rekaan dan pembangunan lagi. Sebagai contoh, “kembar” kepada Axia 2023 ini misalnya, Toyota Agya, baru saja dilancarkan di Indonesia semalam. Ini merupakan sebuah model yang dibangunkan secara bersama, dengan nama berbeza serta untuk pasaran berbeza — tetapi secara ideal merupakan model yang sama, begitu juga dengan Daihatsu Ayla.
Bagi sistem janaannya pula, Axia 2023 masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Ura-ura enjin turbo yang bertiup sebelum ini tidak betul. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — unit sama digunakan pada Ativa, Alza dan juga Myvi semasa.
Menurut Perodua, perubahan gabungan ini — jika mengikut kitaran ujian penggunaan minyak NEDC — memberikan bacaan yang lebih baik bagi Axia 2023, iaitu 23.3 km/l berbanding 21.6 km/l bagi model sebelumnya. Namun, jika mengikut kitaran ujian MDC (Malaysia Driving Cycle) pula, ia mampu memberikan sebanyak 27.4 km/l. Ini kurang lebih bersamaan dengan RM28 duit minyak RON 95 sahaja untuk perjalanan 365 km ke Pulau Pinang (bagi varian SE dan AV, dengan ciri Eco Idle).
Walaupun kini lebih besar dan bahagian depannya lebih petak dan bersegi, aspek aerodinamiknya adalah 10% lebih baik berbanding yang lama. Ini disumbangkan oleh pendekatan rekaannya, serta bahagian spoiler dan sirip yang digunakan. Selain itu, penebat bunyi dan kedudukan intake enjin yang diubah juga membantu kereta ini ketika meredah banjir.
Harga pengenalan bagi Axia 2023 ini sebenarnya lebih tinggi berbanding model lama. Misalnya, Axia facelift 2019 dijual RM34,990 bagi varian GXtra dengan VSC dan RM43,190 untuk AV. Ini melibatkan perbezaan yang besar juga, sekitar RM4k untuk varian paling rendah hinggalah RM6k untuk AV. Dan, ketika ini, tiada Axia E yang kosong dengan transmisi manual untuk model baru ini yang ditawarkan.
Kenapa harga makin mahal? Perodua maklumkan, itu adalah kerana Axia kini merupakan sebuah kereta yang lebih besar dan sarat dengan kelengkapan teknologi yang sebelum ini tidak ditawarkan untuknya. Nilai tambahan adalah sekitar RM5,800 bagi semua varian. Untuk Axia E, ia masih akan diperkenalkan nanti, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri — dengan asas E yang sama seperti ini dan bukannya dari versi D74A, tetapi dengan kemaskini dan harga yang masih di bawah RM25k.
Kini, ciri VSC adalah standard untuk semua varian, dan untuk itu, tiada lagi varian GXtra. Axia G yang paling asas satu-satunya yang datang dengan lampu halogen dan tiang B dalam warna badan. Tiada sistem tanpa kunci dan butang Push Start, dan masih menggunakan kunci seperti biasa. Rim pula menggunakan saiz 14-inci aloi dengan tayar 175/65 Toyo Proxes CR1 — tayar dan rim ini juga standard untuk semua varian.
Bahagian dalam Axia G menggunakan kerusi fabrik, radio dengan USB/Bluetooth, tombol aircond, kunci pintu automatik, cermin sisi elektrik dan speedo meter analog dengan lampu oren dan paparan trip komputer 4.2-inci. Aspek keselamatan, ia datang dengan ABS/EBD/BA, VSC, cagak Isofix, sensor undur dan dua beg udara.
Naik satu varian, Axia X melibatkan banyak pertambahan kelengkapan untuk harganya. Lampu utama LED automatik (dengan larasan manual) diberikan, ada juga lampu “follow me home”, stereng larasan atas-bawah, sensor sudut depan dan sistem tanpa kunci dan Push Start. Lampu utama LED ini penawaran baru untuk Axia, begitu juga dengan larasan stereng. Jika bajet mengizinkan dan ingin mempertimbangkan Axia untuk dibeli, mulalah dari varian X.
Varian SE pula, DRL LED antara yang ditambah — ini bahkan tiada pada Ativa AV dan juga Alza AV (yang disekalikan dalam bodykit GearUp untuk dua model tersebut). Axia SE juga diberikan jalur krom pada gril (yang menghubungkan lampu posisi), lip depan dan skirting sisi. Spoiler belakang juga ada, dan cermin sisi lipatan automatik yang bersekali dengan lampu isyarat.
Di dalam, SE menerima kerusi “semi-bucket” dengan penampan yang tebal, perehat kepala belakang berasingan, berbeza dari G/X, kawalan pendingin digital (dengan dua posisi memori, seperti Ativa/Alza) dan butang PWR di stereng. Juga ada filem penapis haba diberikan sekali.
Varian AV pula memberikan semua yang ada pada Axia untuk pelanggan, pada tahap yang hampir sama dengan penawaran Ativa/Alza. Ini termasuklah panel instrumen digital 7.0-inci, head unit dengan skrin sentuh sembilan-inci (dari Ativa, tiada Apple CarPlay/Android Auto) dengan butang kawalan di stereng serta kamera undur. Kerusi melibatkan sebahagiannya balutan kulit, dan stereng juga balutan kulit.
Hanya Axia AV yang menerima ciri lampu tinggi automatik untuk lampu depannya. Dari aspek keselamatan, ada enam beg udara (depan, sisi, tirai; Axia lama hanya ada maksimum dua), amaran penukaran lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang. Selain itu ada juga ASA 3.0, yang terdiri daripada AEB dan amaran pergerakan kereta depan: semua ini ada pada Axia 2023.
Perodua Axia 2023 D74A sudah lari jauh daripada penampilan Axia lama. Saiz yang lebih besar memberikan penampilan yang jauh lebih menonjol dan tidak lagi kelihatan kecil. Bentuk umumnya berbeza: bahagian depan lebih tegak dan lurus, dan bahagian belakang pula lebih lebih landai sudut cerminnya, seperti kebiasaan kereta hatchback kebanyakan.
Bahagian sisinya juga kini lebih banyak garis yang kelihatan, terutama pada pemegang pintu yang membawa ke lekuk roda depan — tidak lagi kelihatan kosong seperti sebelumnya. Di belakang juga, walaupun nampak ringkas, tetap banyak sentuhan bersegi yang diberikan, dan itu tidak hanya tertakluk pada bampar sahaja.
Di dalam, papan pemuka juga nampak moden, dengan skrin terapung dan tapak gear yang lebih tinggi. Varian lebih rendah yang tiada skrin ini juga tetap memerima head unit kecil, dan bukannya radio besar seperti untuk Ativa X. Paparan dan bahagian tengah papan pemuka ini disudutkan ke arah pemandu. Keseluruhan rekaan tersebut membuatkan dalaman Axia nampak lebar; ini sesuatu yang menarik untuk Axia.
Lima warna ditawarkan untuk Axia 2023 D74A ini — Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan Coral Blue. Yang terakhir ini warna terbaru bagi barisan model Perodua, dan menjadi warna utama untuk Axia. Ketika pelancaran juga, belum ada perincian tentang bodykit GearUp untuk Axia ini, mungkin ia akan tiba kemudian. Apa pandangan anda tentang Axia generasi kedua ini?
Perodua Axia G 2023 Ciri standard:
Mekanikal
Enjin 1.0L VVT-i tiga-silinder (1KR-VE)
67 hp @ 6,000 rpm, 91 Nm @ 4,400 rpm
Penggunaan minyak 25.3 km/l MDC (23.3 km/l NEDC)
Transmisi automatik D-CVT
Tangki minyak 33-litre
Stereng kuasa elektrik (EPS)
Radius pusingan 4.5-meter
Brek tangan manual
Cakera brek berliang (depan), brek dram (belakang)
3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar, 1,495 mm tinggi, 2,525 mm jarak antara roda
Jarak kelegaan tanah 150 mm
Jaminan 5-tahun/150,000 km
Luaran
Lampu halogen
Cermin sisi warna badan larasan elektrik dengan lipatan manual
Rim aloi 14-inci dengan tayar 175/65 Toyo Proxes CR1
Dalaman
Kunci pintu automatik sensitif terhadap kelajuan
Kerusi fabrik
Kerusi belakang boleh lipat dengan perehat kepala “bantal”
Kerusi pemandu boleh laras ketinggian
Tingkap kuasa, auto naik/turun untuk pemandu sahaja
Larasan pendingin manual
Panel meter analog dengan paparan LCD multi-info 4.2-inci
Head unit tanpa skrin sentuh dengan USB/Bluetooth
Empat pembesar suara
Stereng urethane
Keselamatan
Dua beg udara
ASB, EBD, Brake Assist, Bantun mula mendaki, VSC
Sensor parkir belakang
Isofix
Perodua Axia X 2023
Tambahan:
Luaran
Sistem tanpa kunci dengan sensor sentuh elektrostatik
Lampu automatik
Lampu LED dengan larasan tahap manual
Lampu posisi LED
Lampu “follo me home”
Tiang B hitam
Dalaman
Stereng larasan atas/bawah
Butang Push Start
Keselamatan
Sensor parkir di sudut depan
Perodua Axia SE 2023
Tambahan:
Mekanikal
Eco Idle Start/Stop
Mod Power
Penggunaan minyak 27.4 km/l MDC
Luaran
Lampu DRL LED
Jalur krom di gril
Skirting depan
Skirting sisi
Spoiler belakang
Cermin sisi lipatan automatik dengan lampu isyarat
Filem penapis haba
Dalaman
Butang mod Power di stereng
Kerusi semi-bucket
Perehat kepala belakang terpisah
Kawalan pendingin digital dengan memori
Meter rev
Perodua Axia AV 2023
Tambahan:
Luaran
Lampu tinggi automatik
Dalaman
Panel instrumen digital 7.0-inci dengan butang kawalan stereng
Head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci dengan butang kawalan stereng
Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan Range Rover serba baru, yang tiba dalam versi Standard Wheelbase dan enjin V8. Model generasi kelima ini – menggunakan nama kod L460 – pertama kali ditunjuk kepada dunia pada Oktober 2021, dan menggantikan model L405 generasi keempat yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2012.
Dibina atas platform Flexible Modular Longitudinal Architecture (MLA-Flex), Range Rover baru ini mempunyai ketegaran torsional 50% lebih kuat berbanding model sebelumnya, dengan ketegaran statik 30,000 Nm setiap darjah. Casis baru ini juga menampilkan bulkhead hadapan besi dengan susunan bahagian tertutup yang mengurangkan tahap kebisingan transmisi serta gegaran frekuensi rendah dari jalan ke dalam kabin sehingga 24%.
Dalam versi SWB ini, Range Rover baru mencatat jarak roda 2,997 mm, dengan panjang 5,052 mm, lebar 2,047 mm dan tinggi 1,870 mm. Model L405 adalah lebih kecil dengan catatan panjang 4,999 mm, lebar 1,984 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,922 mm.
Berkenaan penggayaan, model generasi kelima ini tidak melibatkan perubahan yang radikal dan masih lagi mengekalkan identitinya. Antara yang baru adalah lampu belakang menegak yang seakan tersembunyi dan hanya akan terlihat jelas apabila menyala, serta kemasan hitam di tengah yang turut menempatkan lampu penunjuk arah di bahagian tepinya. Satu lagi yang unik adalah antena berbentuk sirip berkembar.
Pada bahagian hadapan, terdapat lampu utama Digital LED baru serta lampu DRL yang diperkemas semula, yang mengapit gril dengan kemasan baru di bahagian tengah. Pintu pula menggunakan pembuka yang sama rata dengan badan dan mempunyai kemasan yang lebih ringkas (hadapan).
Bahagian dalam juga menggunakan rekaan yang lebih ringkas, sebagai contoh corong pendingin hawa yang kelihatan bersepadu dengan kemasan berjalur melintang di sepanjang papan pemuka. Di hadapan pemandu terdapat skrin Interactive Driver Display 13.7 inci.
Jika sebelum ini model L405 menggunakan tetapan dua skrin di tengah, model baru ini pula mendapat satu skrin sesentuh melengkung 13.1 inci yang diletakkan seakan terapung. Ia disambung kepada sistem infotainmen Pivi Pro dan di bawahnya terdapat panel kawalan khas untuk sistem pendingin hawa.
Pada konsol tengah pula terdapat tombol gear pendek, butang pemula enjin, tombol kawalan suara media dan butang kawalan Terrain Response untuk mod offroad. Dalam versi SWB, Range Rover baru ini datang dengan tetapan lima tempat duduk, dengan bahagian belakang boleh disandarkan sehingga 12 darjah dan diberikan dengan fungsi pemanas dan penyejuk.
JLRM telah mengesahkan bahawa Range Rover baru ini akan ditawarkan dengan pakej kuasa P530, yang menggabungkan enjin petrol V8 turbo 4.4 liter berkuasa 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 750 Nm, bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF dan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.
Penyerap udara diberikan standard pada model ini, dan ia disambungkan kepada tetapan suspensi double wishbone di hadapan dan five-link di belakang. Model L460 ini juga menjadi Range Rover pertama yang mendapat sistem rear-wheel steering yang membolehkan roda belakang membelok sehingga 7.3 darjah pada kelajuan bawah 50 km/j dan mengurangkan radius pusingan kepada 10.95 meter.
Sekiranya anda bercadang membawa Range Rover baru ini meredah offroad, ia sentiasa bersedia dengan menyediakan jarak dari tanah 295 mm, sudut bampar hadapan 34.7 darjah, sudut bampar belakang 29 darjah dan breakover angle 27.7 darjah. Perincian penting lain adalah seperti kemampuan meredah air sehingga 900 mm, sudut condong 45 darjah, kapasiti menarik 3,500 kg dan kemampuan membawa beban di bumbung 100 kg.
Untuk pasaran Malaysia, SUV ini datang dengan spesifikasi HSE (High Specification Equipment), yang memberikan Interactive Driver Display 13.7 inci, sementara sistem infotainmen Pivi Pro disambung kepada skrin sesentuh tengah 13.1 inci serta sistem bunyi Meridian dengan amplifier 1,600 watt.
Kelengkapan lain yang diberikan adalah termasuk rim 22 inci, balutan tempat duduk kulit semi-aniline, kawalan pendingin hawa tiga zon, lampu suasana 30 warna, differential aktif boleh kunci secara elektronik, head-up display serta tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan liang udara dan fungsi pemanas.
Turut disediakan adalah Active Noise Cancellation yang menggunakan sensor untuk mengesan tahap gegaran tayar, bunyi tayar serta bunyi enjin yang memasuki kabin, seterusnya mengeluarkan bunyi yang berlawanan (untuk menjadikan lebih senyap) melalui sistem audio. Sistem keselamatan aktif yang ada pada model ini adalah termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Attention Warning, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Assisted Parking dan Traffic Sign Recognition.
Sudah tentu, dengan status mewah ini, Range Rover baru menawarkan pelbagai ubah suai khas untuk pelanggan, termasuk pakej hiburan tempat duduk belakang, balutan tempat duduk, kemasan serta warna badan. Rim juga boleh dipilih sehingga saiz 23 inci – paling besar untuk untuk Range Rover.
Harga yang ditetapkan untuk Range Rover 2023 adalah RM1.268 juta, tidak termasuk pilihan tambahan dan duti. Apabila dikira sekali dengan duti, harganya boleh mencecah RM2.488 juta tidak termasuk insurans. Setiap pembelian datang dengan jaminan serta servis percuma lima tahun, dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.
Selepas Perodua mendedahkan Axia 2023 (dikenali dengan kod D74A) minggu lalu, salah satu kembarnya di Indonesia iaitu Toyota Agya telah pun diperkenalkan secara rasmi hari ini di negara berkenaan. Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Agya standard (mungkin akan dikenali sebagai Agya G) dan juga versi lebih sporty iaitu Agya GR Sport.
Walaupun pendedahan ini digelar sebagai “World Premier”, Toyota Astra Motor (TAM) iaitu pengedar Toyota di Indonesia masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi dan juga harga untuk hatchback ini. Hanya rupanya sahaja didedahkan dan beberapa maklumat yang tidak terperinci.
Sama seperti Axia, Agya diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang bukan sahaja bakal memberikan prestasi pemanduan dan juga keselesaan lebih baik, malah menampilkan saiz yang lebih besar dari sebelum ini.
Malah menurut Ketua Jurutera Eksekutif Agya 2023, Toshihiro Nakaho, saiz hatchback segmen-A ini menampilkan panjang badan yang sama seperti beberapa model segmen-B dalam pasaran. Walau bagaimanapun, spesifikasi dimensi sebenar model ini masih belum disebutkan secara rasmi sama ada oleh Toyota mahupun Perodua.
Dari segi rupa, seperti biasa Toyota akan memberikan muka tersendiri pada Agya. Kluster lampu Agya nampaknya lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.
Gril untuk Agya biasa direka seakan gril Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak seakan diambil terus dari Perodua Myvi facelift.
Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatchGR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.
Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang.
Bahagian sisi Agya ini menampilkan bayang badan dan juga garis-garis sisi yang sama seperti Axia D74A. Model standard menerima rim kemasan perak yang mungkin bersaiz 14-inci seperti Axia, manakala model GR Sport diberikan rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.
Pada sebelah belakang, Agya dan Axia dilihat menampilkan rupa yang hampir sama seluruhnya, dibezakan hanya dengan logo-logo jenama masing-masing.
Pada bahagian dalaman, Agya turut berkongsi papan pemuka yang sama dengan Axia, dibezakan dengan beberapa perincian kecil termasuk panel kawalan pendingin hawa. Panel pada Agya ini tampil dengan rekaan berbeza, serta tidak diberikan dua slot memori seperti Axia.
Nampaknya Agya pasaran Indonesia ini juga tidak menerima paparan instrumen digital penuh seperti Axia, tetapi hanya diberikan meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan. Untuk Axia, model tertinggi AV hadir dengan skrin instrumen TFT 7-inci yang nampak sama seperti pada Ativa dan Alza.
Walau bagaimanapun, gambar papan pemuka yang disiarkan ini mungkin untuk model varian biasa Agya, dan paparan instrumen digital penuh mungkin ditawarkan pada Agya GR Sport. Ini kerana tiada sebarang kemasan yang sporty ditunjukkan seperti lazimnya Agya GR Sport terdahulu.
Apa yang dapat dilihat lagi, skrin infotainmen yang berdiri sendiri di tengah papan pemuka juga menunjukkan Agya turut diberikan sokongan Apple CarPlay. Juga, Agya nampaknya turut diberikan pedal penukar gear di belakang roda stereng.
Untuk unit rangkaian kuasa, Nakaho-san ada menyebut bahawa Agya generasi baharu ini diberikan ‘enjin baharu’ yang dipadankan dengan kotak gear CVT baharu. Bagi model generasi sebelumnya, Agya dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-VE berkuasa 88 PS dan tork maksima 108 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear empat kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual.
‘Enjin baharu’ yang dimaksudkan Nakaho-san berkenaan berkemungkinan adalah enjin generasi baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder yang kini digunakan varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.
Enjin berkenaan masih lagi menghasilkan 88 PS, namun tork yang dihasilkan sedikit tinggi iaitu 112 Nm. Manakala untuk transmisi, Agya mungkin menerima kotak gear D-CVT seperti Axia 2023 dan masih ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.
Dalam pendedahan yang dibuat ini, Nakaho-san turut ada menyatakan bahawa Agya GR Sport turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.
Esok, 14 Februari, Axia 2023 akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi, dan beberapa perincian lain seperti saiznya akan didedahkan. Manakala untuk satu lagi kembar hatchback segmen-A ini iaitu Daihatsu Ayla generasi baharu dikhabarkan akan dilancarkan pada lusa, 15 Februari 2023, dan selepas itu mungkin perincian penuh untuk Agya 2023 ini akan didedahkan sepenuhnya.
Toyota telah memperkenalkan sebuah SUV besar baru untuk pasaran Amerika Syarikat, dipanggil sebagai Grand Highlander, dan diletakkan atas daripada model Highlander dan Sequoia di pasaran negara tersebut. Dibina atas platform TNGA-K, Grand Highlander disediakan dalam pilihan tiga enjin iaitu empat silinder petrol turbo 2.4 liter (FWD dan AWD), petrol hibrid 2.5 liter (FWD dan AWD), dan Hybrid Max 3.5 liter (AWD).
Enjin 2.4 liter yang digunakan pada Grand Highlander ini juga ada digunakan pada model Lexus, seperti NX 350, di mana ia menghasilkan kuasa 275 hp dan tork 430 Nm. Model Hybrid Max 3.5 liter yang diletakkan sebagai varian paling tinggi pula mampu menghasilkan 362 hp dan 542 Nm, membolehkan ia memecut 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 6.3 saat dan kapasiti menarik beban 2,272 kg.
Bergantung kepada varian, tempat duduk Grand Highlander boleh dipilih dengan sama ada tujuh tempat duduk atau lapan tempat duduk, dan baris kedua boleh menempatkan tempat duduk jenis kapten (berasingan) atau bersambung.
Pada bahagian keselamatan, varian paling asas sudah dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense (TSS) 3.0, yang memberikan Pre-collision System dengan pengesan pejalan kaki, Lane Departure Alert dengan bantuan stereng, Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Automatic High Beams dan Proactive Driving Assist. Pergi kepada varian paling tinggi, ia kemudiannya ditambah lagi dengan Traffic Jam Assist dan Front Cross-Traffic Alert.
Kelengkapan lain yang boleh didapati pada Grand Highlader ini adalah seperti tempat duduk dengan liang udara dan fungsi pemanas, lampu suasana, bumbung panoramik, pedal penukar gear di stereng, pengesan jarak dengan fungsi membrek, unit multimedia 12.3 inci dengan sistem audio 11 pembesar suara JBL, pintu but boleh dibuka dengan pengesan dan panel instrumen digital penuh di hadapan pemandu.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengesahkan kelemahan keselamatan yang dikesan dalam aplikasi MyJPJ berjaya diatasi sebelum dilancarkan pada 10 Februari lalu. Jelas beliau, CyberSecurity Malaysia (CSM) sudah mengenal pasti kelemahan itu semasa proses pembangunan aplikasi itu, laporan Bernama.
“Pihak CSM sudah melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi MyJPJ, kita sudah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar dan ia (kelemahan itu) telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan.
“Saya tiada maklumat terperinci, tetapi sebelum digunakan secara meluas ia sudah dikesan. Saya sendiri berhubung dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan perkara itu telah diselesaikan,” katanya bagi menjawab kegusaran yang disuarakan pengguna mengenai keselamatan data peribadi dan aplikasi MyJPJ.
Sejak Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian dilaksanakan bermula 10 Feb lalu, orang ramai mula memuat turun aplikasi MyJPJ untuk mendapatkan mod paparan cukai jalan dan lesen memandu.
Walau bagaimana pun, banyak rungutan diterima dari orang ramai yang menyatakan sukar untuk mendaftar aplikasi berkenaan termasuk kesukaran mendapatkan TAC dan sebagainya. Namun Loke berkata, orang ramai tidak diwajibkan untuk memuat turun aplikasi berkenaan kerana ia adalah salah satu opsyen sahaja untuk mendapat salinan digital untuk road tax dan lesen memandu sahaja.
“Orang ramai tidak akan disaman hanya kerana tidak dapat menunjukkan mod paparan digital cukai jalan dan lesen memandu. Ini kerana pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen memandu melalui sistem dalam peranti penguatkuasaan,” kata Loke.
Versi produksi untuk XFC berkenaan sebelum ini telah pun diumumkan bakal masuk kepasaran ASEAN pada tahun ini dan bakal di bawa ke VMS 2023. Dan ini dia, prototaip untuk model produksi tersebut telah pun dilihat diuji di lebuhraya awam di Indonesia!
Kelibat unit prototaip berkenaan dirakam dan dimuatnaik oleh pemilik saluran Youtube Sigimedianet Pictures. Dapat dilihat sepanjang ujian itu dibuat di atas lebuhraya, prototaip berkenaan sentiasa diapit oleh dua buah Mitsubishi Xpander berwarna hitam yang masing-masing berada di hadapan dan belakang.
Seperti juga XM Concept dan Xpander, kebanyakkan perincian dari XFC Concept ini nampaknya diterapkan pada model produksi sebenar. Anda boleh lihat pada bahagian muka, ia masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.
Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.
Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.
Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.
Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.
Sebelum ini Mitsubishi ada menyatakan bahawa XFC Concept ini diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, di mana mod Wet adalah pertama kali diperkenalkan untuk Mitsubishi yang dihasilkan khas untuk pemanduan di rantau ASEAN – di mana hujan lebat boleh turun pada bila-bila masa.
Mitsubishi masih belum memberikan sebarang bayangan spesifikasi teknikalnya. Namun ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.
Versi produksi XFC Concept ini bakal berhadapan terus dengan SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Subaru XV dan sebagainya. Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran.
September tahun lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.
Versi produksi XFC Concept yang bakal menggantikan ASX di ASEAN ini sudah tentu berbeza dengan ASX generasi baharu pasaran Eropah. Ini kerana Mitsubishi mengesahkan bahawa ia direka bagi disesuaikan untuk pemanduan di Asia Tenggara sama seperti Triton, Pajero Sport dan Xpander.
Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri nombor pendaftaran terkini Melaka, MDS, bakal bidaan bermula 18 Februari 2023, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 22 Februari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 Februari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QLE, bidaannya bakal dibuka bermula 19 Februari 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 23 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 Februari ini.
Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.
Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan orang ramai kini tidak perlu lagi melekatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pun cukai jalan pada kenderaan persendirian. Memang ia memberikan ‘keterujaan’ pada rakyat namun ada juga yang mendesak agar kerajaan menghapuskan bayaran cukai jalan pula.
Loke memberikan respon berhubung perkara ini dan menyatakan ia (mengecualikan cukai jalan) tidak boleh dilakukan memandangkan itu adalah hasil diperoleh kerajaan yang akan digunakan semula untuk menfaat rakyat, laporan Berita Harian.
Katanya, kerajaan menerima hasil lebih RM2 bilion setiap tahun dari cukai jalan dan gesaan pengecualiannya hanya akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negara.
“Cukai jalan adalah satu hasil kepada kerajaan. Kalau kerajaan semua mahu kecualikan, tiada hasil, bagaimana kita mahu mentadbir negara. Mana-mana negara, kerajaannya mesti ada kutipan hasil.
“Cukai jalan adalah satu cukai penting dan utama (kepada kerajaan). Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hampir RM4 bilion lebih setiap tahun dan sebahagian besar adalah daripada cukai jalan. Cukai jalan saja kalau tak silap saya ada lebih RM2 bilion. Jadi kalau semua dikecualikan, hasil kerajaan akan berkurangan. Kalau berkurangan sudah tentu akan menjejaskan perjalanan pentadbiran negara,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan khususnya kementeriannya sentiasa berusaha sedaya mungkin untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi pendekatan dan tindakannya termasuk langkah pengecualian mempamerkan cukai jalan pada kenderaan.
“Mana yang kita boleh kurangkan kos, kita akan cuba lakukan. Mengapa kita buat pendigitalan (cukai jalan) ini, ia dapat mengurangkan kos rakyat. Mana-mana rakyat yang gunakan (syarikat) pihak ketiga untuk hantar cukai jalan, lepas ini ‘sticker’ itu tak perlu, jadi penghantaran (oleh pihak ketiga) pun tak perlu lagi. Jadi jimatlah beberapa ringgit dari kos penghantaran itu,” katanya.
Beliau turut menambah, langkah MOT untuk mengecualikan kenderaan mempamerkan cukai jalan bukan langkah mandatori atau wajib, sebaliknya ia pilihan untuk semua pengguna kenderaan. Di mana bagi mereka yang berdepan masalah akses kepada digital atau warga emas yang tidak mahir dengan pendigitalan, mereka masih boleh meneruskan penggunaan yang lama seperti biasa.
“Kita tak wajibkan. Kalau masih tak sesuai dengan pendigitalan, masih boleh dipakai (tampal cukai jalan pada kenderaan), teruskan. Saya hanya kata itu tak wajib, bukan mesti dikeluarkan dan mesti pakai digital. Kita hanya bagi opsyen, bagi pilihan kepada rakyat,” katanya.
UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja menyiarkan teaser yang menunjukkan bayangan lima kereta baharu bersama logo sayap perlumbaan dan prestasinya iaitu Toyota Gazoo Racing. Dan berdasarkan kapsyen “akan datang 17 Februari” dan “Bersedia untuk kebangkitan kerana barisan rasaksa baru akan muncul tidak lama lagi”, UMWT nampaknya bakal melancarkan lima model prestasi Toyota serentak pada minggu hadapan!
Sekali dengan imej teaser berkenaan, UMW Toyota turut menyediakan pautan bagi membolehkan anda mendaftarkan minat sekiranya berminat pada mana-mana model GR yang akan dilancarkan ini.
Bagi GR Corolla, ia sudahpun rasmi masuk ke pasaran ASEAN, dengan dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2022 November lalu, dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352). Berbanding GR Yaris yang dijual di Thailand pada harga 2.69 juta baht (RM341,021) ketika diperkenalkan pada Disember 2020, harga GR Corolla ini jelas adalah 46.8% lebih mahal.
Di Malaysia, GR Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 (RM286,896 ketika tempoh cuti cukai jualan) ketika dilancarkan juga pada Disember 2020. Jadi berdasarkan harga jualan di Thailand, GR Corolla ini kelak mungkin akan dijual di sini pada harga sekitar RM439k.
Corolla yang jauh lebih liar ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba di fasiliti GR Factory di Jepun bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.
GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.
Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu.
Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.
Bagi GR Supra pula, model dengan kotak gear manual baru sahaja diperkenalkan pada peringkat global pada April tahun lalu. Model dengan kotak gear Intelligent Manual Transmission (i-MT) enam kelajuan tersebut hanya ditawarkan untuk model dengan enjin 3.0 liter enam silinder turbo sahaja.
UMWT telah membawa GR Supra buat pertama kali ke pasaran Malaysia pada September 2019, hanya dalam varian GTS 3.0L dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM568,000. Berapa pula harga untuk versi manual nanti? Sama-sama kita tunggu.
Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA dengan kapasiti lebih besar. Ia dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.
Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.
Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Ini membolehkan GR 86 dalam versi manual mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota GT86 generasi sebelum ini dan mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Model automatik pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 216 km/j.
Bagi Hilux GR Sport dan juga Corolla Cross GR Sport, kedua-dua model ini telah pun dilancarkan di Thailand, dan ianya hanya menampilkan tingkat taraf kosmetik semata-mata. Sebelum ini UMWT sudahpun memperkenalkan Vios GR Sport di Malaysia, dan model berkenaan hadir dengan talaan suspensi lebih sporty serta nisbah maya untuk kotak gear CVT telah diubah kepada 10-kelajuan berbanding hanya tujuh kelajuan pada model biasa.
Awal bulan ini Toyota Hilux GR-Sport telah pun dilancarkan di Australia di mana versi berkenaan bukan sahaja hadir dengan fender flare yang lebih lebar, ia turut menampilkan ubahsuai suspensi yang ekstensif serta enjin yang ditala semula bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.
Agak-agak apa spesifikasi Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport pasaran Malaysia nanti? Kita nantikan sahaja pengumuman rasmi dari UMW Toyota nanti.
Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat pada Ahad ini, 12 Februari, bagi memberi laluan kepada perlumbaan basikal Grand Fondo New York (GFNY) 2023.
“Program berkenaan akan bermula di Dataran Merdeka pada 6 pagi dan melalui beberapa jalan sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur serta Selangor dan akan berakhir semula di Dataran Merdeka,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menurutnya, antara jalan yang akan ditutup dan dilencongkan ialah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak ke arah Lebuhraya Sultan Iskandar.
Selain itu, ia turut melibatkan Jalan Kuching ke Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela ke Jalan Loke Yew, Bulatan Billion ke MRR2, MRR2 hingga ke Taman Metropolitan ke sempadan Selangor, Jalan Kuching bermula Bulatan Batu Caves hingga Bulatan Segambut dan Jalan Kuching hingga Bulatan Dato’ Onn dan ke Dataran Merdeka semula.
“Jalan berkenaan akan ditutup dan dilencongkan bermula 6.30 pagi secara berperingkat hingga 9 pagi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. Kemudian ia akan dibuka semula juga secara berperingkat mulai 9 pagi hingga 11.30 pagi,” sambungnya.
Tambahnya seramai tujuh pegawai kanan dan 103 pegawai rendah polis daripada JSPT akan digerakkan untuk menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sepanjang berlangsungnya program berkenaan..
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam atau elakkan melalui jalan yang ditutup dan patuhi arahan anggota polis bertugas bagi memastikan pengurusan lalu lintas berjalan lancar.
Acara berbasikal ini melibatkan seramai 1,200 peserta dari dalam dan luar negara yang melibatkan dua kategori peringkat profesional dengan jarak kayuhan sejauh 140 km dan semi profesional (70 km).
Ingatkah anda dengan tragedi muatan yang diangkut sebuah treler jatuh lalu menimpa sebuah kereta yang dipandu dari arah bertentangan yang berlaku di Gerik pada Oktober 2022? Pagi tadi, Mahkamah Majistret Gerik telah menetapkan denda sebanyak RM10,000 terhadap pemandu treler berkenaan selepas dia mengaku bersalah memandu secara tidak cermat sehingga mengakibatkan kematian seorang bayi yang masih dalam kandungan.
Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara 12 bulan, selain butiran kesalahan diendors dalam lesen memandu tertuduh, laporan Bernama.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh terbabit, Alias Awang, 49 tahun, didakwa memandu treler secara tidak cermat di Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada jam 10.50 pagi, 29 Oktober tahun lalu. Dalam perbicaraan di mahkamah berkenaan, dia telah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Savinder Singh di bawah kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, selain butir-butir mengenai sabitan di bawah seksyen itu hendaklah diendorskan pada semua lesen memandu orang yang disabitkan.
Dalam kemalangan terbabit, kenderaan yang dinaiki sepasang suami isteri terbalik selepas terlanggar muatan yang jatuh dari treler berkenaan. Lebih menyedihkan, kemalangan itu turut meragut nyawa bayi sulung mereka dalam kandungan yang berusia 34 minggu, manakala wanita yang hamil itu cedera parah.
Beberapa hari selepas kemalangan berkenaan, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa syarikat pengangkutan itu, Mun Fei Enterprise telah dibatalkan lesennya sebagai operator.