Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Video tular kanak-kanak tunggang motosikal tanpa helmet – polis ambil tindakan, saman bapa dan anak

    Video tular kanak-kanak tunggang motosikal tanpa helmet – polis ambil tindakan, saman bapa dan anak

    Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa seorang kanak-kanak dan bapanya telah pun dikenakan tindakan nasihat dan saman di bawah Pol. 257 selepas video kanak-kanak berkenaan menunggang motosikal tular di laman sosial.

    Menurut Unit Risikan/Operasi (RO) JSPT Bukit Aman, mereka telah mengesan satu rakaman video berdurasi 43 saat yang tular berkenaan dengan seorang kanak-kanak perempuan menungang motosikal jenis RGV 250 dan NSR 250 tanpa memakai helmet dan pastinya tiada lesen memandu. Video tersebut telah dimuatnaik ke dalam saluran Facebook oleh seorang individu yang menggunakan akaun “Arena Motor”.

    Unit berkenaan kemudiannya telah mengambil tindakan susulan dengan berjumpa kedua-dua pemilik motosikal itu. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada tahun 2018 semasa kedua-dua pemilik motosikal berkenaan menghantar kenderaan mereka ke sebuah bengkel yang terletak di Sijangkang, Banting.

    “Pemilik motosikal mengesyaki motor tersebut telah disalahgunakan oleh mekanik bengkel dengan membenarkan kanak-kanak perempuan iaitu anak kepada pemilik bengkel menunggang motosikal tersebut.

    “Pada 23/11/2021, Supt Dr Bakri bin Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT bersama Unit RO telah berjumpa dengan bapa kepada kanak-kanak tersebut dan hasil soal siasat mendapati kejadian berlaku pada tahun 2018 dan dirakam di jalan utama hadapan rumah beliau selain mengesahkan dua buah motosikal tersebut sedang dibaiki. Tujuan beliau membuat rakaman tersebut adalah sekadar suka-suka untuk simpanan beliau serta pelanggan. Beliau juga tidak mengetahui bagaimana video tersebut boleh tersebar,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh JSPT.

    JSPT turut menjelaskan bahawa beberapa kesalahan trafik yang dikesan berdasarkan rakaman video berkenaan termasuk menunggang motosikal tanpa memiliki lesen, tidak memakai topi keledar, dan tiada cermin sisi.

    “Ibu bapa/penjaga juga telah membenarkan kanak-kanak bawah umur menunggang motosikal dan tindakan sebegini membahayakan dan merisikokan anak beliau dan pengguna jalan raya yang lain berlakunya kemalangan.

    “JSPT menasihatkan kepada ibubapa dan penjaga agar sentiasa memantau kelakuan anak-anak mereka yang di bawah umur agar tidak memandu/menunggang kenderaan tanpa lesen memandu. Sekiranya berlaku kecuaian daripada Ibubapa dan penjaga dengan membenarkan anak-anak mereka memandu/menunggang kenderaan, mereka boleh diambil tindakan dibawah Sek.3(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selain Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tulis kenyataan tersebut lagi.

     
     
  • EICMA 2021: Yamaha Tenere Rally Edition diperkenal

    EICMA 2021: Yamaha Tenere Rally Edition diperkenal

    Yamaha tiba di pameran EICMA tahun ini dengan membawa Tenere 700 Rally Edition. Ia adalah sebuah model yang menggunakan Tenere 700 sebagai asas, dan dipasang dengan aksesori yang menjadikannya lebih bersedia untuk tunggangan lasak.

    Melengkapkan penampilannya pula adalah grafik inspirasi daripada jentera Tenere asal tahun 80-an yang digunakan dalam Rali Dakar, dengan warna putih dan merah, berserta jalur “speedblock” pada panel badan serta rim berwarna emas.

    Keluar daripada kilang, Tenere 700 Rally Edition terus dipasang dengan tempat duduk khas yang bersambung terus ke belakang dan 20 mm lebih tinggi (menjadi 895 mm), ekzos slip-on Akrapovic, pelindung bawah enjin aluminium 4 mm tebal, pelindung radiator aluminium, pelindung rantai aluminium, lampu penunjuk arah LED yang lebih kompak, lapik lutut getah pada bahagian tepi badan serta getah pemegang tangan jenis offroad (lebih mencengkam).

    Bahagian lain tidak diusik, termasuklah enjin, yang masih menggunakan unit dua silinder selari DOHC 689 cc berkuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm, bersama padanan kotak gear enam kelajuan.

    Yamaha telah menjadikan Tenere 700 sebagai sebuah motosikal ringkas dengan tiada ciri elektronik seperti mod tunggangan atau kawalan cengkaman, tetapi ia masih dilengkapi dengan ABS two-channel yang boleh ditutup dengan mudah, suspensi yang boleh dilaras di hadapan dan belakang, brek cakera berkembar 282 mm berserta angkup Brembo di hadapan, tangki bahan api 16 liter dan padanan rim 21 di hadapan dan 18 inci di belakang.

     
     
  • Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Selepas 10-tahun Ford Ranger T6 berada dalam pasaran, akhirnya ia bakal direhatkan sepenuhnya tidak lama lagi. Dan ini dia penggantinya, Ford Ranger 2022 serba baharu! Kali ini, Ranger diisytihar terus sebagai trak pikap global dalam saiz pertengahan yang akan dijual di 180 pasaran, dan pembangunan dilakukan secara ekstensif melibatkan kesemua aspek berdasarkan maklum balas pelanggan yang diterima.

    Namun walaupun ia menampilkan pembangunan semula yang menyeluruh, Ranger generasi baharu ini masih menggunakan platform T6 sedia ada, tetapi telah direka semula dengan pelbagai penambahbaikan. Menurut Ford, setiap komponen pada kerangka ladder frame berkenaan telahpun “diusik”, tetapi masih menggunakan konfigurasi casis yang sama iaitu suspensi bebas di hadapan dan sistem gandar solid beam di belakang bersama spring dedaun.

    Roda hadapan telah ditolak 50 mm ke hadapan sekaligus memanjangkan jarak rodanya, dan ia turut memberikan sudut approach yang lebih baik. Lebar trek roda juga telah dipertingkat sebanyak 50 mm bagi memberikan artikulasi gandar yang lebih bagus.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Ranger sebelum ini telah dikenali sebagai sebuah trak pikap yang selesa, namun model baharu ini masih diberi penambahbaikkan untuk faktor tersebut. Rel kerangka suspensi telah dialihkan bagi memberikan pemanduan dan juga keselesaan lebih mirip kepada sebuah kereta.

    Antara perkara menarik pada Ranger baharu ini adalah unit rangkaian kuasanya. Buat pertama kali, Ranger ditawarkan dengan enjin turbodiesel 3.0 liter V6 yang sama seperti pada trak pikap saiz penuh Ford F-150. Walau bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula bagi disesuaikan pada Ranger dengan saiz yang lebih kecil ini.

    Pengecas turbo pada enjin tersebut menerima sistem peliciran yang telah direka semula, bagi membolehkan ia beroperasi secara optima pada sudut kedudukan yang sangat condong, terutama ketika digunakan pada laluan off-road yang ekstrem. Menurut Ford, enjin ini akan memberikan prestasi terbaik dalam kelasnya, serta pengalaman menunda yang sangat mudah, seperti yang pemilik-pemilik Ranger sebelum ini mahukan.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Model baharu ini juga ditawarkan dengan enjin petrol turbo 2.3 liter EcoBoost, diikuti dengan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar dan juga 2.0 liter diesel turbo tunggal seperti pada model sedia ada. Ford mendakwa bahawa masalah kebocoran minyak pelincir pada enjin turbo berkembar sebelum ini turut telah diselesaikan menerusi rekaan baharu yang dibuat pada gasket.

    Walau bagaimanapun, Ford masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan model yang menerima unit rangkaian kuasa hibird, namun telah menjelaskan bahawa platform yang telah dihasilkan semula berdasarkan platform T6 ini sememangnya boleh menerima sistem elektrifikasi.

    “Kami lakukan simulasi penggunaan pelanggan yang ekstrem dengan mengoperasikan enjin ini untuk lebih 700 jam secara berterusan pada kadar pendikit penuh. Ia seakan mengelilingi dunia sebanyak enam kali dengan pendikit penuh! Oh, lagipun, ia juga dibuat dengan suhu dalam julat antara -40 darjah sehingga lebih dari 50 darjah selsius,” kata pengurus program Ranger T6, Pritika Maharaj.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Kotak gear automatik 10-kelajuan 10R80 masih terus digunakan pada Ranger baharu ini, tetapi ia telah ditingkat taraf bagi menjadikannya lebih tahan lama (bagi menyelesaikan berberapa masalah yang telah muncul sebelum ini) dan juga lebih ringan.

    Transmisi automatik untuk Ranger ini diberikan torque converter baharu yang direka bagi memberikan rasa yang lebih diperhalusi dan respon lebih baik. Menurut Ford, tiada lagi lag mahupun ‘zon mati’ ketika memecut, walaupun dari kedudukan pegun pada kotak gear yang telah dikemaskini tersebut.

    Sela antara nisbah gear juga telah dirapatkan lagi, bagi memberikan penghantaran kuasa lebih baik ketika enjin berada pada beban rendah – ini memberikan manfaat ketika menunda dan juga melalui permukaan off-road. Kotak gear ini juga diberikan fungsi pengatur tukaran gear adaptif baharu yang mampu untuk menentukan lebih awal nisbah gear mana yang enjin perlukan, dalam masa yang sama ia turut mengadaptasi gaya pemanduan anda.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Mod “Tow Haul” turut diberikan, namun fungsi ini hanya eksklusif pada model yang menggunakan kotak gear 10R80. Bagi enjin yang menerima pengecas turbo tunggal, ia masih dipadankan dengan kotak gear 6R80, tetapi telah ditala semula bagi menjadikan ia lebih efisien dari sebelum ini.

    Manakala untuk model dengan transmisi manual, Ford telah mengenepikan kotak gear MT82 sebelum ini dan memberikan laluan kepada kotak gear MT88 baharu yang direka khas untuk platform T6. Menurut Ford, kotak gear MT88 ini telah diuji dalam tempoh lebih dari empat tahun di empat benua berbeza. Ia merupakan kotak gear yang direka secara modular dan boleh diskalakan semula bagi dijelmakan sebagai transmisi lima-kelajuan atau enam-kelajuan manual.

    Model baharu ini ditawarkan dengan dua sistem pacuan empat roda yang berbeza. Bagi sistem pertama, ia masih lagi sistem 4X4 bersama fungsi elektronik yang menampilkan sistem shift-on-the-fly sama seperti model sedia ada. Manakala satu lagi sistem adalah sistem 4X4 sepenuh masa yang lebih canggih dengan pemilih elektronik baharu dan transfer case dua-kelajuan (4H dan 4L) baharu.

    Ford turut memberikan mod pemanduan untuk sistem pacuan semua roda persis model Ranger Raptor pada model generasi sebelum ini, kepada Ranger biasa untuk versi generasi baharu ini.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Seperti yang telah tular sebelum ini, Ford Ranger 2022 menampilkan konsep rekaan muka yang sama seperti adiknya yang lebih kecil iaitu Ford Maverick. Ia diberikan lampu hadapan berbentuk-C, dengan gril lebih besar kelihatan tertusuk pada lampu berkenaan. Cangkuk penyelamat hadapan kini diberikan dua unit berbanding hanya satu sebelum ini.

    Bagi model-model varian tertinggi, Ranger menerima lampu LED Matrix buat pertama kali, sementara varian lebih rendah hanya diberikan lampu reflektor LED atau reflektor halogen. Ranger baharu ini juga kurang diberikan kemasan-kemasan krom bagi menarik minat golongan lebih muda.

    Garis bahu Ranger ini kelihatan lebih menonjol, namun tidak menenggelamkan ‘otot-otot’ pada ruang roda. Liang pada kedua-dua fender hadapan trak pikap ini bukan dihasilkan untuk kosmetik semata-mata, malah ia benar-benar berfungsi untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin ke luar.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Ranger 2022 ini menerima barisan rim-rim rekaan baharu dengan saiz bermula 17-inci, dan buat pertama kali ia turut ditawarkan dengan rim sebesar 20-inci menerusi varian Wildtrak. Di belakang, sepasang lampu kombinasi LED rekaan baharu dipadankan, manakala pembuka pintu tailgate diletakkan betul-betul di bawah lampu brek ketiga. Kamera undur pula bersembunyi di bawah loga ‘Blue Oval’ di tengah pintu tailgate berkenaan.

    Bed belakang Ranger 2022 ini menampilkan pelbagai perincian yang sangat praktikal. Kalau anda perhatikan pada bahagian sisi bampar belakang, ia kini telah diberikan satu bahagian seakan pemijak sisi. Ini membolehkan anda mengambil barang pada bahagian sisi bed belakang tanpa perlu memanjat tayar belakang.

    Bahagian yang digelar sebagai box step tersebut menerima tekstur yang sama seperti pemijak sisi dan pemijak bampar belakang, jadi ia akan sentiasa memberikan cengkaman terhadap kaki tidak kira apa jua cuaca. Malah struktur box step yang bersaiz besar berkenaan turut boleh menampung berat individu berbadan besar, dan ia diberikan untuk setiap varian.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Bed belakang Ranger ini juga kini direka 50 mm lebih lebar dari sebelum ini, membolehkan ia memuatkan palet saiz penuh. Bahagian ini juga diberikan perincian-perincian baharu seperti bedliner acuan plastik, soket kuasa 400 watt 240 volt, dan juga pelindung kotak beban bagi melindungi cat dan juga permukaan logam.

    Pintu tailgate Ranger ini turut menampilkan pelbagai inovasi menarik yang sangat praktikal – ia dihasilkan sebagai meja kerja-kerja pertukangan dan diberikan pembaris metrik/imperial yang dicetak terus bagi memudahkan kerja-kerja mengukur bahan serta poket yang membolehkan anda menggunakan clamp.

    Ia juga diberikan lampu LED di kedua-dua belah rel tangan membolehkan anda membuat kerja di kawasan yang gelap, serta diberikan sokongan pencahayaan lain menerusi lampu 360 darjah sekeliling kenderaan (boleh diakses menerusi aplikasi telefon pintar Ford), dan juga lampu “Super Puddle” berkuasa tinggi yang terletak di bawah kedua-dua cermin sisi.

    Selain itu, terdapat juga poin-poin untuk mengikat tali bagi memastikan barangan yang dibawa dalam ruang kargo berkenaan tidak bergerak, yang turut boleh dijadikan cagak bagi aksesori-aksesori aftermarket lain termasuk kanopi.

    Bed belakang Ranger itu juga menerima sistem pengurusan kargo baharu lengkap dengan pembahagi yang membolehkan ia memegang pelbagai barangan berlainan saiz. Pemilik juga boleh menghasilkan ruang yang lebih kecil menggunakan sistem tetupai menggunakan spring yang sangat kuat yang diklip kepada rel bagi menyimpan barang-barang yang lebih kecil.

    Ruang kabin Ranger 2022 ini menerima sentuhan semula yang lebih menyeluruh. Ia kini menerima skrin infotainmen ‘besar gedabak’ bersaiz 12-inci yang diletakkan secara potret pada papan pemuka. Ia berfungsi dengan sistem infotainmen Ford SYNC 4, dan turut menerima modem bina dalam bagi membolehkan kemaskini perisian dilakukan secara over-the-air dan memberikan fungsi WiFi hotspot.

    Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

    Dengan fungsi terhubung ini juga membolehkan pemilik berkomunikasi dengan kereta mereka menerusi aplikasi telefon pintar FordPass, yang memberikan fungsi seperti penghidup enjin jarak jauh, memeriksa status kenderaan, dan juga fungsi kunci jarak jauh.

    Ranger juga kini diberikan panel instrumen digital (bergantung kepada varian) yang turut berintegrasi dengan skrin tengah bagi memberikan maklumat seperti data off-road dan juga status sistem pacuan empat roda. Ia juga diberikan kamera pemantau sekeliling 360-darjah resolusi tinggi dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Ford telah menghasilkan tiga jenis tombol gear berbeza untuk Ranger 2022 ini, termasuk satu jenis yang menampilkan gerakan pendek dengan rupa lebih moden serta lebih mudah untuk digunakan. Perincian lain yang turut diberikan termasuk pemegang cawan yang boleh disimpan, port pengecas USB-C, tempat penyimpanan barang lebih banyak termasuk di bawah dan di belakang tempat duduk belakang serta di atas dan di bawah glovebox.

    Walau bagaimanapun, varian-varian lebih rendah diberikan skrin sesentuh dengan saiz lebih kecil, dan juga konsol yang diubah sedikit.

    Ford masih belum mendedahkan perincian berkenaan sistem bantuan pemanduan termaju pada Ranger baharu ini. Namun boleh dijangka ia mungkin dibekalkan dengan sistem pemanduan berautonomi paling kurang pada Tahap 2 kerana Ford menyatakan bahawa ia “akan menetapkan aras yang tinggi untuk Ranger ini bagi mencapai lima faktor penting – stance dan kestabilan, menunda, kebolehan off-road, prestasi dan pemanduan, serta teknologi-teknologi bantuan pemanduan.”

    Jenama Blue Oval tersebut turut menyatakan bahawa pemilik Ranger baharu ini bakal ditawarkan dengan 600 pilihan aksesori yang dihasilkan dengan kerjasama pengeluar, sebahagian daripadanya dibangunkan oleh pakar peralatan 4X4 iaitu ARB 4X4 Accesories.

    Produksi Ranger ini akan dibuat di kilang Ford yang terletak di Thailand dan Afrika Selatan bermula awal tahun hadapan. Ford juga akan mewujudkan Ranger Concierge yang membolehkan keperluan jualan dan khidmat selepas jualan pelanggan dibuat secara atas talian, manakala pada pasaran terpilih bakal pelanggan berpotensi turut diberikan sesi pemanduan 4WD pada laluan off-road bersama tenaga pengajar yang pakar.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

    GALERI: Ford Ranger Sport 2022

    GALERI: Ford Ranger XLT 2022

    GALERI: Lakaran-lakaran rekaan Ford Ranger 2022

     
     
  • Harga minyak 25 Nov-1 Dis – RON97 turun 3 sen seliter

    Harga minyak 25 Nov-1 Dis – RON97 turun 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 25 November hingga 1 Disember 2021, harga runcit bagi petrol RON 97 turun sebanyak 3 sen seliter, menjadi RM3.05 seliter berbanding RM3.08 seliter untuk dua minggu berturut-turut sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal berharga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 1 Disember 2021.

     
     
  • EICMA 2021: Suzuki Katana terima peningkatan kuasa

    EICMA 2021: Suzuki Katana terima peningkatan kuasa

    Bagi model keluaran tahun 2022, Suzuki telah menaik taraf Katana pada beberapa bahagian termasuk enjin, elektronik serta penampilan. Model ini sekarang ditawarkan dalam dua warna baru iaitu Metallic Matt Stellar Blue dan Solid Iron Grey.

    Model retro moden ini masih lagi menggunakan enjin empat silinder 999 cc yang sama secara asasnya seperti sebelum ini, tetapi telah dipasang dengan camshaft, spring injap, sistem ekzos 4-2-1 serta kotak angin baru. Ia kini bukan setakat menepati tahap emisi Euro 5, tetapi juga menerima peningkatan kuasa sebanyak 2 hp, menjadikan keseluruhannya 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm.

    Selain itu, ia juga dipasang dengan sistem ride-by-wire baru, bersama throttle body elektronik yang lebih kecil (40 mm) serta klac slip & assist dan sistem Suzuki Drive Mode Selector yang dilaras semula (ada tiga mod yang boleh dipilih). Quickshifter juga kini diberikan secara standard.

    Selain daripada itu, kelengkapan Katana 2022 masih lagi sama seperti sebelumnya, termasuk fork Kayaba yang boleh dilaras sepenuhnya, monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan, brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, tangki bahan api 12 liter, panel meter LCD serta lampu hadapan LED.

    Pada bahagian elektronik, selain mod tunggangan, motosikal ini juga datang dengan traction control serta ABS two-channel. Tinggi tempat duduk Katana adalah 825 mm dan berat keseluruhannya adalah 215 kg.

     
     
  • EICMA 2021: Honda ADV350 buat kemunculan pertama

    EICMA 2021: Honda ADV350 buat kemunculan pertama

    Langkah Honda memperkenalkan skuter berbentuk adventure telah menerima sambutan baik daripada pasaran, bukan sahaja melalui model berkapasiti tinggi, iaitu X-ADV 750, tetapi juga melalui model berkapasiti rendah seperti yang ditunjukkan oleh ADV150.

    Melihat kepada ini, Honda memperkenalkan satu lagi skuter yang membawa konsep sama, iaitu ADV350. Meskipun kedudukan skuter ini nampak lebih seperti skuter biasa, ia sebenarnya lebih tinggi berbanding X-ADV 750, dengan catatan tinggi tempat duduk 795 mm (+5 mm) dan kelegaan dari tanah 145 mm (+10 mm).

    Untuk penggerak, Honda telah menggunakan pakej sama seperti Forza 350, iaitu enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi 330 cc, bersama transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Berbeza berbanding X-ADV 750, ADV350 ini hanya menggunakan rim jenis aloi bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang (bukan spoked), masing-masing dibalut tayar 120/70 dan 140/70. Suspensi menggunakan fork USD 37 mm (tanpa sebarang pelarasan) dan dua penyerap hentak dengan tabung yang disambungkan kepada lengan ayun aluminium di belakang. Brek adalah jenis cakera 256 mm di hadapan (tunggal) dan 240 mm di belakang (dengan ABS two-channel).

    Walaupun datang dengan konsep lasak, ADV350 masih lagi menyediakan kemudahan seperti kebanyakan skuter dengan terdapat ruang simpanan 48 liter di bawah tempat duduk (boleh memuatkan dua helmet), pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras. Menjadikan ia lebih canggih, ADV350 turut didatangkan dengan sistem kunci pintar serta panel LCD yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui sistem Honda Smartphone Voice Control.

    Perincian lain skuter ini adalah termasuk berat keseluruhan 186 kg, lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api 11.7 liter dan sistem keselamatan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang disediakan dalam pilihan dua mod atau boleh ditutup terus.

     
     
  • Honda Civic 2022 – spesifikasi pasaran M’sia terdedah; tiada enjin 1.8L, hanya 1.5L Turbo dalam varian RS & E

    Honda Civic 2022 – spesifikasi pasaran M’sia terdedah; tiada enjin 1.8L, hanya 1.5L Turbo dalam varian RS & E

    Honda Civic generasi ke-11 sudah pun tiba di negara-negara jiran kita seperti di Thailand, Singapura dan Indonesia, walaupun baru sahaja diperkenalkan di peringkat global di Amerika Syarikat tahun lalu. Malah awal tahun ini, Honda Malaysia telah pun memberikan bayangan bahawa ia akan tiba di sini sebelum berakhir 2021.

    Walau bagaimanapun, dengan pelbagai cabaran dalam industri automotif tempatan, khususnya sekatan pergerakan penuh untuk membendung penularan virus Covid-19, masih lagi tidak nampak sebarang tanda bahawa sedan segmen-C yang akan menggantikan Civic FC tersebut akan diperkenalkan dalam masa terdekat, dan kita sudah pun hampir tiba ke penghujung tahun.

    Namun secara tiba-tiba, ada gambar tertiris di media sosial semalam, memaparkan spesifikasi bagi Civic 2022 pasaran Malaysia. Menerusi gambar-gambar slide berkenaan, perkara paling besar yang boleh kita nampak, Civic generasi baharu ini nampaknya sah tidak akan ditawarkan lagi dengan enjin 1.8 liter i-VTEC, manakala versi 1.5L VTEC Turbo bakal tampil dengan dua varian kemasan iaitu 1.5 E dan juga 1.5 RS.

    Bagi model asas gred E, ia hadir dengan rim aloi 16-inci, lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED penuh, dan juga dua fungsi baharu iaitu pengelap cermin pintar dan juga pembuka penutup but belakang automatik – diberikan penyerap hentak dengan spring torsion bagi membolehkan pergerakan naik sendiri tersebut.

    Honda Civic 2022 – spesifikasi pasaran M’sia terdedah; tiada enjin 1.8L, hanya 1.5L Turbo dalam varian RS & E

    Bagi model 1.5 RS, ia menerima pengayaan luaran yang paling sporty, menampilkan kemasan-kemasan hitam pada pembuka pintu, penutup cermin sisi dan spoiler belakang, serta gril dengan logo RS. Varian ini juga diberikan dua tip ekzos yang diserlahkan dan juga rim kemasan hitam 18-inci, atau satu-inci lebih besar dari rim Civic RS pasaran Thailand.

    Pada bahagian dalaman pula, Civic RS menerima tempat duduk yang dibalut dengan material gabungan kulit hitam dan sued, pelapik bumbung hitam, serlahan jahitan benang merah pada roda stereng dan tombol gear, serta set pedal aloi. Pintu Civic ini juga nampaknya turut diberikan pencahayaan.

    Bagi enjin, unit 1.5 liter VTEC Turbo bagi pasaran Malaysia ini mungkin menghasilkan kuasa yang sama seperti model pasaran Thai dan Indonesia, iaitu 178 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 rpm sehingga 4,500 rpm. Ia juga terus digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Untuk ciri keselamatan, model pasaran Malaysia ini juga mungkin menampilkan ciri Honda Sensing yang sama seperti di Thailand, dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.

    GALERI: Honda Civic generasi ke-11 pasaran Thailand

     
     
  • PLUS umum lencongan trafik, penutupan lorong kanan di laluan Nilai ke Bandar Ainsdale hingga 26 Nov ini

    PLUS umum lencongan trafik, penutupan lorong kanan di laluan Nilai ke Bandar Ainsdale hingga 26 Nov ini

    PLUS telah mengumumkan penutupan lorong kanan dan lencongan trafik diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan bagi laluan Nilai ke Bandar Ainsdale (arah selatan). Penutupan ini melibatkan laluan dari KM2765.9 hingga KM275.3 bertujuan untuk kelancaran kerja-kerja penanda jalan sementara.

    Penutupan lorong kanan itu telah pun bermula jam 10 malam tadi, dan dilaksanakan sehingga 5 pagi pada 26 November 2021 (Jumaat ini). Sepanjang tempoh tersebut, lain-lain lorong masih boleh dilalui, cuma pengguna lebuhraya berkenaan dinasihati agar lebih berhati-hati kerana lorong kanan telah ditutup.

    Semua pengguna lebuhraya diminta untuk merancang perjalanan anda dan ikuti papan tanda dan isyarat trafik ketika melalui laluan itu. Sekiranya berlaku kecemasan, sila hubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000. Berhati-hati ketika memandu dan diharapkan anda selamat sampai ke destinasi yang dituju.

     
     
  • UMP lancar nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UC’

    UMP lancar nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UC’

    Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal membuka bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UC’ pada Februari 2022 sempena dengan ulang tahun ke-20 universiti tersebut.

    Ini merupakan inisiatif yang diterajui oleh Yayasan UMP yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi pelbagai usaha kebajikan termasuk membantu pelajar, keluarga dan masyarakat setempat. Melalui pembelian nombor pendaftaran kenderaan khas itu, Yayasan UMP dijangka memperoleh pulangan RM3.5 juta bagi fasa pertama.

    Menurut pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMP yang juga pengerusi Yayasan UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, bidaan nombor pendaftaran itu bermula dari digit 1 hingga 9999 bermula dengan abjad ‘UC’.

    “Pelancaran ‘identiti UMP’ itu sebahagian usaha Yayasan UMP meningkatkan sumber pendapatan dan hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan. Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal,” katanya.

    Bagi nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut, UMP bekerjasama dengan Aquatwo Sdn Bhd yang bertanggungjawab dalam proses bidaan, pemasaran dan jualan.

     
     
  • EICMA 2021: MV Agusta Lucky Explorer 9.5 dan 5.5 bawa inspirasi daripada jentera rali Cagiva Elefant

    EICMA 2021: MV Agusta Lucky Explorer 9.5 dan 5.5 bawa inspirasi daripada jentera rali Cagiva Elefant

    Hasrat MV Agusta untuk memperkenalkan model adventure tahun ini memang sudah diketahui, tetapi pengeluar dari Itali itu membuat kejutan dengan tiba di pameran EICMA membawa bukan satu, tetapi dua model adventure di bawah nama Lucky Explorer, iaitu Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5.

    Kedua-duanya muncul dengan penampilan yang mendapat inspirasi daripada jentera rali Dakar Cagiva Elefant tahun 90-an, tetapi mempunyai saiz, kapasiti enjin serta kelengkapan yang berbeza. Lucky Explorer 9.5 adalah lebih besar sementara Lucky Explorer 5.5 lebih kecil.

    Maklumat yang didedahkan setakat ini agak terhad, tetapi apa yang diketahui, model 9.5 akan menggunakan enjin tiga silinder yang sudah banyak digunakan untuk model MV Agusta 800, tetapi kapasitinya ditingkatkan menjadi hampir kepada 950 cc, dan menawarkan kuasa sehingga 123 hp dan 101 Nm tork. Selain transmisi manual biasa, ia juga akan didatangkan dengan pilihan klac Rekluse yang lebih memudahkan pengguna.

    Seperti yang anda boleh lihat, MV Agusta mahu memastikan model 9.5 ini dapat memberikan saingan sengit kepada model seperti Honda Africa Twin dan BMW R1250 GS dengan memasang rim 21 inci di hadapan, serta pelbagai lagi kelengkapan canggih seperti suspensi boleh laras, skrin TFT serta cangkuk beg barangan yang mudah cabut.

    Pergi pula kepada model 5.5, MV Agusta memberitahu, ia dibangunkan dengan kerjasama rapat Qianjiang Motorcycles dari China. Seperti yang diketahui, syarikat ini juga adalah pemilik bagi motosikal jenama Benelli, dan khabarnya, model 5.5 ini akan menggunakan enjin dua silinder selari sama seperti TRK502, tetapi dengan kapasiti yang ditingkatkan kepada 550 cc.

    Perincian lanjut masih belum didedah, tetapi kita boleh melihat ia juga menggunakan barangan yang lengkap sebagai sebuah motosikal adventure termasuk pelindung pada cakera brek, bawah enjin, pemegang serta tongkat tengah manakala angkup brek juga menggunakan unit daripada Brembo.

    GALERI: MV Agusta Lucky Explorer 5.5

    GALERI: MV Agusta Lucky Explorer 9.5

     
     
  • JPJ laksana Ops Sedar di seluruh negara mulai hari ini – kesan kenderaan yang tiada perlindungan insurans

    JPJ laksana Ops Sedar di seluruh negara mulai hari ini – kesan kenderaan yang tiada perlindungan insurans

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan Ops Sedar akan dilaksanakan di seluruh negara bermula hari ini, 24 November 2021. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, operasi ini adalah bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya yang dibuat di beberapa lokasi terpilih. Ia berikutan masih ramai pengguna jalan raya yang gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan.

    Katanya, pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans kenderaan akan menimbulkan kesulitan kepada pemilik kenderaan itu sendiri sekiranya berlaku kemalangan.

    “Sepanjang Ops Sedar dilaksanakan di lapangan, JPJ akan menyediakan kemudahan Mobile JPJ bagi memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara terus. Sehingga kini, JPJ tidak ada menerima arahan kelonggaran penangguhan bayaran pembaharuan kedua-dua dokumen itu yang berakhir jam 12 tengah malam pada 31 Disember ini,” katanya.

     
     
  • Yamaha Tracer 9 GT kini dijual secara rasmi – RM69k

    Yamaha Tracer 9 GT kini dijual secara rasmi – RM69k

    Yamaha Tracer 9 GT 2021, yang dipertontonkan awal untuk pasaran Malaysia waktu pelancaran T-Max 560 bulan lepas kini sudah ada harganya. Ia dijual secara rasmi pada harga RM69,498 tidak termasuk insurans dan datang dalam dua pilihan warna, iaitu perak dan merah. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Jika dibandingkan dengan Tracer yang dilancarkan pada tahun 2019, Tracer 9 GT ini mencatat peningkatan harga sekitar RM10k, dan ini ditimbal balik dengan pelbagai peningkatan yang menjadikan model baru ini lebih canggih dan berkuasa.

    Ia bermula dengan bahagian enjin, di mana sekarang menggunakan enjin tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dan mendapat penarafan Euro 5, sama seperti MT-09 2021. Jumlah kuasa yang dihasilkan juga sama iaitu 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Sebelum ini, enjin 847 cc yang digunakan pada Tracer 900 menghasilkan kuasa 113 hp dan 87.5 Nm tork, sekaligus memberi makna enjin baru ini mencatat peningkatan tork 7% dan sampai ke puncak pada rpm yang lebih rendah. Enjin baru 890 cc ini juga 1.7 kg lebih ringan dan dipadankan bersama ekzos berkembar yang juga lebih ringan 1.4 kg berbanding ekzos sebelum ini.

    Transmisi masih lagi unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, tetapi sedikit perubahan dibuat bagi menjadikan tarikan klac itu lebih ringan. Nisbah gear untuk gear 1 dan gear 2 juga dilaras kembali supaya padan dengan tork yang sudah berubah dan memastikan penukaran lebih lancar.

    Satu lagi perubahan besar adalah kedudukan enjin dijadikan lebih tegak pada casis Deltabox, demi memberikan imbangan serta maklum balas yang lebih baik kepada penunggang. Lengan ayun aluminium model baru ini juga direka semula dan mempunyai panjang yang lebih 60 mm. Walaupun begitu, jarak roda masih tidak berubah iaitu 1,500 mm.

    Yamaha Tracer 9 GT kini dijual secara rasmi – RM69k

    Bahagian elektronik juga menunjukkan peningkatan yang jelas. Yamaha telah memasang unit pengukur inertia (IMU) six axis pada Tracer 9 dan unit generasi baru ini 50% lebih kecil dan 40% lebih ringan berbanding unit awal yang digunakan pada model R1 tahun 2015.

    IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik seperti mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan.

    Untuk brek, di hadapan menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55.

    Model baru Tracer 9 ini menggunakan panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED.

    Tempat duduk Tracer 9 kini adalah 15 mm lebih rendah dan ia boleh dilaras secara mudah tanpa menggunakan sebarang alat. Peletak kaki juga boleh dilaras sehingga 15 mm sementara pemegang disediakan dalam dua kedudukan.

    Model yang tiba di Malaysia ini adalah versi GT, bermakna suspensi Kayaba yang terdiri daripada fork USD 41 mm dan monoshock di belakangnya boleh dilaras sepenuhnya secara elektronik dan diberikan dengan quickshifter serta pemanas tangan. Walaubagaimanapun, beg barangan tidak didatangkan sekali dan dijual sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Subaru XV 2022 dilancarkan di Thai pada Disember 2021 – dilengkapi EyeSight; CBU dari Malaysia?

    Subaru XV 2022 dilancarkan di Thai pada Disember 2021 – dilengkapi EyeSight; CBU dari Malaysia?

    Subaru XV generasi kedua telah pun berada di pasaran agak lama, dilancarkan di pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia pada tahun 2017. Dan baru kini, versi facelift crossover bakal memasuki rantau ini selepas ia didedahkan di peringkat global pada tahun lalu.

    Laman web automotif Headlight Magazine melaporkan crossover yang diberikan suntikan lebih segar itu akan diperkenalkan di Thai Motor Expo, yang bakal berlangsung pada 1 hingga 12 Disember ini. Malah dikhabarkan kelengkapan EyeSight juga antara ciri tambahan yang akan diberikan, selepas ia tidak ditampilkan pada model pre-facelift.

    XV tersebut juga diberikan kamera stereo yang ditempatkan di atas cermin hadapan, turut dilengkapi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, kepekaan ketibaan hadapan dan paparan pandangan hadapan cermin utama. EyeSight boleh didapati di pasaran lain sebelum ini (juga pada Forester untuk pasaran Malaysia), tetapi kali ini ia diperkenalkan untuk model facelift bagi XV di rantau Asia.

    Subaru XV 2022 dilancarkan di Thai pada Disember 2021 – dilengkapi EyeSight; CBU dari Malaysia?

    Selain fungsi keselamatan baharu, XV ini juga diberikan gaya yang lebih estetika dan menarik. Ini termasuklah penampilan bampar hadapan yang disemak semula dengan sudut berbentuk-L, gril baharu dan roda aloi 17-inci dan 18-inci dengan rekaan lebih bergaya. Bukan itu sahaja, material dalaman juga dipertingkatkan dan suspensi juga ditala semula, dengan pilihan warna luaran baharu – Plasma Yellow Pearl.

    Dijangkakan penjana kuasanya masih dikekalkan iaitu unit FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder, dengan hamburan output 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga mengekalkan Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua-roda.

    Subaru XV 2022 dilancarkan di Thai pada Disember 2021 – dilengkapi EyeSight; CBU dari Malaysia?

    Malah dikhabarkan Thailand bakal menerima XV facelift yang dieksport dari Malaysia, yang dipasang di kilang Tan Chong di Segambut, KL – jadi kita juga dijangka akan menerima model facelift yang sama tidak lama lagi.

    Pada tahun 2019, Motor Image telah mengesahkan pelanggan di Malaysia bakal menerima EyeSight untuk model facelift. Syarikat terbabit berkata ia mungkin diperkenalkan pada akhir tahun 2020, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, sudah tentu perancangan itu tertunda.

     
     
  • Toyota GR Corolla 2022 – teaser sudah keluar!

    Toyota GR Corolla 2022 – <em>teaser</em> sudah keluar!

    Toyota sudah lama menyebut berkenaan versi prestasi tinggi untuk Corolla generasi baharu, di mana idea berkenaan telah disebut pada 2018. Malah pada Februari 2019, hampir setahun sebelum GR Yaris didedahkan secara rasmi, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei telah menyebut berkenaan enjin 1.6L Turbo yang mahu disumbatkan ke dalam Corolla tersebut, ketika semua orang belum tahu sedikit pun berkenaan GR Yaris yang turut akan dijana enjin yang sama – Toyota dah lama rancang, kita je yang lalai.

    Dan kini, Toyota secara rasmi telah mendedahkan teaser pertama GR Corolla yang mengesahkan kewujudannya, sekali lagi dalam bentuk teka-teki teori konspirasi! Sekali tengok, gambar papan pemuka Corolla Hatchback biasa dengan kapsyen “Biar mereka terus berteka-teki…” yang disiarkan di akaun instagram rasmi Toyota USA berkenaan mungkin nampak macam hantaran biasa.

    Namun jika anda perhatikan betul-betul, banyak petunjuk-petunjuk berkenaan GR Corolla pada gambar tersebut. Pertama, perhatian jam digital pada panel meter kereta berkenaan. Ia tidak menunjukkan waktu, tetapi memaparkan “G:16”. Untuk pengetahuan anda, ini adalah kod enjin 1.6 liter tiga-silinder Turbo yang digunakan pada GR Yaris, atau kod penuhnya G16E-GTS.

    Kemudian, perhatikan pula pada skrin navigasi – ada tertulis “GR-Four” pada sebatang jalan yang dipaparkan berkenaan. Rasanya semua tahu bahawa GR-Four adalah merujuk sistem pacuan semua roda yang dibekalkan pada GR Yaris, diberikan LSD pada gandar hadapan dan belakang, dan hadir dengan tiga mod tetapan iaitu Normal (agihan tork 60% roda hadapan dan 40% roda belakang), Sport (30:70) dan Track (50:50).

    Selepas itu anda perhatikan pula angka 2 68 yang dipaparkan pada kawalan pendingin hawa di bawah skrin infotainmen tersebut. Angka tersebut tidak syak lagi merupakan angka kuasa kuda 268 hp (272 PS) yang dihasilkan oleh enjin 1.6L Turbo pada GR Yaris pasaran Jepun (hanya 261 PS untuk pasaran Eropah dan pasaran lain termasuk Malaysia).

    Imej bayangan digital Toyota GR Corolla oleh Theophilus Chin

    Akhir sekali, anda tengok pula pada cermin sebelah kanan kereta berkenaan. Ini adalah petanda paling jelas – kelihatan sebuah Corolla hatchback yang dibalut dengan pelekat penyamaran merah-hitam-putih Gazoo Racing seperti unit-unit prototaip GR Supra dan GR Yaris sebelum ini. Namun gambar tersebut terlalu kecil dan perincian-perincian lain tidak dapat dilihat langsung.

    Toyota GR Corolla ini dikhabarkan akan membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat tahun hadapan – ia sebagai gantian kepada GR Yaris yang tidak dibawa ke pasaran tersebut. Malah sebelum keluarnya imej teaser ini, Toyota USA pernah menghantar ciapan “Sementara GR Yaris tidak akan dilancarkan di Amerika Syarikat…mungkin AS akan menerima hot-hatchnya sendiri.” Penuh teori konspirasi betul Toyota USA ni kan?

     
     
  • Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

    Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

    Great Wall Motors (GWM) – jika disebut jenama ini saya teringat akan trak pikap Wingle 5. Ini kerana ia adalah model GWM pertama yang pernah saya pandu ketika jenama China tersebut mula bertapak di Malaysia. Namun sekarang GWM bukan seperti dahulu, ia mempunyai pelbagai jenama di bawahnya seperti Haval (untuk SUV), Ora (untuk kereta elektrik), Wey (divisi mewah) dan pelbagai lagi.

    Terbaharu, GWM telahpun memperkenalkan satu lagi sub-jenama baharu di bawahnya iaitu Saloon Auto. Jika Ora dikhususkan untuk kenderaan elektrik (EV), Saloon Auto ini pula divisi yang akan menghasilkan EV dalam segmen premium dengan sasaran pembeli dari golongan muda yang lahir sekitar era 80’an dan 90’an, mungkin akan berhadapan terus dengan Zeekr dari Geely di China.

    Sedan dengan bentuk dengan rupa macam kereta perisai ini adalah model pertama dari Saloon Auto, digelar Saloon Mecha Dragon, didedahkan buat pertama kali di Guangzhou Auto Show 2021. Menurut laporan CarNewsChina.com, nama Mecha Dragon ini diambil sempena watak ‘bos penjahat’ dalam permainan video klasik dari Jepun, Mega Man.

    Jadi mungkin ini boleh menjawab persoalan anda mengapa sedan ini direka sedemikan rupa – dengan liang udara seakan sirip di atas lampu hadapan, serta badan dengan otot-otot yang bersegi. Unit berwarna hijau yang ditampilkan ini adalah model edisi terhad First Edition, yang hanya dihasilkan sebanyak 101-unit, dan ianya sudahpun habis dijual.

    Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

    Pada bahagian muka, sedan ini menerima muncung yang direka landai ke bawah, dengan lampu seakan supercar seperti Ferrari F40. Ia juga menerima bampar yang seolah-olah diilhamkan dari model-model Lamborghini, serta diberikan skup udara pada penutup but hadapan, walaupun diketahui tiada sebarang enjin yang memerlukan pengambilan udara di bawahnya

    Dari sisi dapat dilihat ia direka dengan konsep fastback, yang turut menampilkan bahagian but belakang landai. Elemen-elemen bersegi diberikan pada garis-garis badan, garis tingkap dan juga cermin sisi, manakala kesemua ruang roda diberikan overfender bulat dengan perincian seakan dilekatkan dengan rivet seperti gaya overfender Proton Satria GTI.

    Rekaan bersegi turut di bawa ke bahagian belakang dengan lampu yang direka merentangi sepenuhnya bahagian tersebut. Manakala bampar pula menerima kemasan diffuser yang begitu agresif, dan sekali lagi, ada sepasang tip ekzos diletakkan di tengah walaupun diketahui ia tidak mempunyai sebarang enjin pembakaran dalaman.

    Saloon Mega Dragon ini menerima dua motor elektrik, satu pada gandar hadapan dan satu lagi di gandar belakang – menjadikan ia model pacuan semua roda – dengan kuasa keseluruhan dihasilkan adalah 550 hp dan tork maksima 750 Nm. Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari pek bateri 115 kWj, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan jarak gerak sejauh 802 km dalam kitaran ujian kenderaan tugas ringan China (CLTC).

    Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

    Sistem elektrikal kereta ini diasaskan dari platform 800V, membolehkan ia menerima caj cepat – jarak 401 km dapat dicapai dengan caj hanya selama 10-minit, dan 545 km sekiranya di caj selama 545 km. Walau bagaimanapun, spesifikasi pengecaj bagi mendapatkan prestasi mengecaj sedemikian tidak dinyatakan.

    Bahagian kabin juga menampilkan rekaan yang begitu futuristik, dengan diberikan skrin 27-inci 4K (boleh dibahagikan kepada tiga) yang merentangi hampir keseluruhan papan pemuka, bersama paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci untuk pemandu. Ia turut diberikan sistem audio dari Harman Kardon.

    Tiada sebarang tombol dilihat pada konsol terowong kecuali satu suis putar bersama butang lain disekelilingnya yang mungkin berkaitan dengan mod pemanduan. Di belakang, walaupun diberikan tiga set tali pinggang keladar, ia kelihatan hanya selesa untuk membawa dua orang penumpang.

    Mega Dragon juga menerima sistem pemanduan berautonomi. Sistem yang digelar Captain-Pilot tersebut beroperasi dengan tujuh kamera UHD, empat kamera pemantau, radar-radar gelombang 5 mm, 12 radar ultrasonic dan juga sebuah unit penentududukan ketepatan tinggi bebas. Sistem ini berfungsi dengan seni bina Da Vinci dari Huawei serta mempunyai kuasa pengkomputeran NPU 400TOPS dan juga kuasa pengkomputeran CPU 440K DMIPS.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025