Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda CB150X diperkenal di Indonesia – enjin 149 cc, transmisi enam kelajuan, fork USD, tiada ABS, RM10k

    Honda CB150X diperkenal di Indonesia – enjin 149 cc, transmisi enam kelajuan, fork USD, tiada ABS, RM10k

    Semasa pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung sekarang di Indonesia, Astra Honda Motor telah memperkenalkan sebuah motosikal adventure baru iaitu CB150X.

    Secara kasarnya, motosikal ini nampak sama seperti CB200X yang diperkenalkan untuk pasaran India Ogos lalu, tetapi sebenarnya semua bahagian adalah berbeza termasuklah panel badan dan dimensi. CB150X ini mencatat panjang 2,031 mm, lebar 796 mm dan tinggi 1,309 mm – secara keseluruhannya lebih kecil berbanding CB200X.

    Enjin pula menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api, DOHC 149.16 cc, bersama gabungan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa sebenar tidak didedah, tetapi enjin ini diberitahu menggunakan nisbah mampatan 11.3:1.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork USD Showa 37 mm dengan jarak gerak 150 mm sementara di belakang terdapat monoshock yang disambung kepada lengan ayun dengan sistem Pro-Link. Kedua-dua rim adalah bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang. Brek menggunakan sistem cakera di depan dan belakang, tetapi tiada ABS.

    Kelengkapan lain pada CB150X ini adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, lampu depan dan belakang LED, panel meter digital LCD, penghadang angin yang tidak boleh dilaras serta berat keseluruhan 139 kg. Untuk waktu awal ini, CB150X cuma diberitahu akan dijual pada harga antara 32 juta ke 35 juta rupiah (RM10,264).

     
     
  • Great Wall perkenalkan stesen G-Charge 160 kW DC yang lengkap dengan tenaga solar di Bangkok

    Great Wall perkenalkan stesen G-Charge 160 kW DC yang lengkap dengan tenaga solar di Bangkok

    Great Wall telah mendedahkan stesen pengecas pantas pertama G-Charge di Bangkok, Thailand, yang dibuka untuk kegunaan 24 jam sehari. Dikenali dengan nama G-Charge Supercharging Station, ia merupakan kemudahan pengecasan pantas DC dengan output maksimum 160 kW, dibekalkan kepada enam penyambung CCS Type 2 dari tiga unit pengecas DC.

    Stesen “supercharging” ini adalah pelaburan bersama oleh PEA ENCOM International Company Limited, sebuah anak syarikat Provincial Electricity Authority (PEA) di Thailand. Stesen ini merupakan pusat pengecasan awam antara yang terbesar yang dipasangkan panel solar, jelas Great Wall.

    Menggunakan G-Charge Supercharging Station ini bersama Ora Good Cat sebagai kenderaan rujukan, varian 400 Tech dan 400 Pro dengan jarak perjalanan yang didakwa mampu mencapai 400 km dari bateri 47.8 kWh boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 32 minit.

    Great Wall perkenalkan stesen G-Charge 160 kW DC yang lengkap dengan tenaga solar di Bangkok

    Sementara bagi varian 500 Ultra — dengan jarak perjalanan 500 km dari bateri 63.1 kWh — boleh dicas dari 30% hingga 80% SoC dalam masa 40 minit. Pengguna Great Wall Ora Good Cat boleh menikmati semua itu secara percuma. Great Wall merancang untuk membina 100 lagi pusat pengecasan di seluruh Thailand menjelang 2023, dengan pengenalannya akan dipecahkan kepada tiga kumpulan utama.

    Yang pertama ialah stesen Supercharging 160 kW ini, dan kedua adalah kemudahan DC Fast Charge yang aka ditempatkan di premis rakan niaga GWM di seluruh Thailand. Kumpulan ketiga pula adalah stesen pengecas destinasi yang akan ditempat di hotel-hotel, pusat beli-belah dan tarikan lainnya, ujar Pembantu Presiden GWM Asean dan Thailand,
    Michael Chong.

    “Pengenalan stesen pengecasan pantas ini hanyalah permulaan kepada usaha kami yang sangat komited mempromosi EV. Selari dengan Mission 9 kami dalam tiga strategi, kami akan melancarkan sembilan model elektrifikasi xEV di Thailand dalam tempoh tiga tahun, dan kami juga merancang untuk memperluas rangkaian stesen di suluruh Thailand sebagai menyokong komuniti EV,” jelas Timbalan Presiden Great Wall ASEAN dan Thailand, Steven Wang.

     
     
  • Nilai jualan semula model Hyundai setara kereta Jepun

    Nilai jualan semula model Hyundai setara kereta Jepun

    Nilai jualan semula bagi kenderaan Hyundai di Malaysia kini nampaknya hampir setara dengan pesaingnya oleh pengeluar Jepun. Menurut Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Low Yuan Lung, andaian bahawa kereta Hyundai mempunyai nilai jualan semula yang jauh lebih rendah adalah tidak berasas sama sekali.

    “Perbezaan harga ketika menjual model kenderaan Hyundai yang berusia lima tahun berbanding model setara dari pengeluar Jepun adalah tidak begitu ketara. Hal yang sama berlaku bagi nilai penyusutan bagi kedua-dua keluaran itu selepas lima tahun, melibatkan kira-kira 10% setahun,” ujar beliau, dan menambah yang permintaan bagi kenderaan terpakai Hyundai semakin bertambah sejak lima tahun lalu.

    “Setelah sekian lama, Hyundai telah berhasil membuktikan kereta keluarannya boleh diharap dan ditawarkan dalam kualiti yang tinggi. Model Hyundai kini tidak hanya tampil dengan rekaan menawan, tetapi turut dilengkapi dengan inovasi terkini yang setanding dengan penawaran jenama premium Eropah, yang menyumbang kepada permintaan terhadapnya,” tambah beliau.

    Beliau juga menyatakan, semua model terpakai Hyundai yang tersenarai dalam program kereta terpakai Hyundai Promis akan terjual dalam masa singkat, kemungkinan disebabkan semuanya diperiksa secara menyeluruh dan diservis menggunakan alat ganti tulen sebelum diluluskan untuk jualan.

    Pusat Hyundai Promise boleh dikunjungi di Lot 33, Temasya Industrial Park, Glenmarie. Premis dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari bekerja, dan 9 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu. Hyundai Promise dimiliki dan dikenalikan oleh HSDM, dan disokong oleh Sime Darby Auto Selection.

     
     
  • Toyota Corolla Cross GR Sport tiba di Thai bulan ini

    Toyota Corolla Cross GR Sport tiba di Thai bulan ini

    Selepas Toyota Corolla Cros GR Sport dilancarkan di Taiwan pada September lalu, kini tibalah pula giliran Thailand menerima crossover tersebut. Ia akan dilancarkan di Thailand International Motor Expo 2021 yang bermula pada 1 Disember ini.

    Untuk Thailand, Corolla Cross GR Sport diberikan unit 2ZR-FXE petrol kitaran-Atkinson 98 PS/142 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm dengan kuasa keseluruhan cecah 122 PS yang dipacukan ke roda hadapan menerusi CVT, menurut Headlight Magazine. Taiwan pula menerima satu lagi pilihan enjin iaitu 2ZR-FE 1.8. liter naturally-aspirated petrol dengan kuasa 140 PS dan tork 172 Nm, di mana ia adalah enjin yang sama buat Corolla Cross untuk Malaysia.

    Untuk luarannya, Corolla Cross GR Sport menerima bahagian hadapan yang unik berbanding model biasa. Ciri yang ditampilkan termasuklah rekaan bampar yang berbeza dengan pelindung bawah yang lebih menyerlah, sementara lampu kabusnya telah diubah lebih tinggi dan ditempatkan di antara kepingan kemasan hitam.

    Corong pengambilan yang lebih rendah juga menerima rekaan berjaring baharu seperti gril utama, dengan kemasah hitam dan palang yang lebih tebal melintangi logo Toyota. Selain itu, rocker panel juga telah direka semula dan pelindung bawah untuk bahagian belakang juga lebih bergaya, dengan kemasan cat dua-tona.

    Untuk penjenamannya, lencana GR diletakkan pada tailgate, sementara ruang dalamannya menerima skrin sesentuh sembilan-inci bagi sistem infotainmen, butang penghidup enjin dengan abjad GR, dan tempat duduk yang disulamkan abjad “GR” pada perehat kepala.

    Di Taiwan, Toyota Corolla Cross GR Sport untuk versi enjin pembakaran dalaman ditawarkan pada harga 875,000 New Taiwan dollars (RM131,094), sementara bagi model hibrid, ia berharga 945,000 New Taiwan dollars (RM141,581). Sementara di Malaysia, Corolla Cross 2021 menerima dua pilihan kemasan dan satu varian enjin, dan ketika dilancarkan varian 1.8G ditawarkan pada harga RM124,000, dan model tertinggi 1.8V pula berharga RM134,000. Namun harga tersebut disemak semula dan menjadi RM129,266 pada Jun, hasil pelepasan cukai jualan (SST).

     
     
  • Inisiatif Bajet 2022 dijangka dapat mengembangkan lagi sektor kenderaan elektrik di Malaysia – MARii

    Inisiatif Bajet 2022 dijangka dapat mengembangkan lagi sektor kenderaan elektrik di Malaysia – MARii

    Bagi menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan, kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV. Pengecualian cukai jalan sehingga 100% juga diberikan kepada kenderaan berkenaan. Ia telah diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan. Perkara ini turut disambut baik oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

    Menurut CEO MARii, Datuk Madani Sahari, langkah tersebut disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran EV. Malahan ia juga dianggap sebagai salah satu langkah penting dalam pembangunan teknologi serta aktiviti perniagaan tempatan berkaitan EV, laporan Bernama.

    Tambah beliau, peralihan industri ke arah EV juga melangkaui usaha memperkenalkan model-model kenderaan elektrik kerana memerlukan transformasi penuh industri dan operasi pentadbiran, termasuk penjanaan tenaga, infrastruktur pengecasan, rangkaian perkhidmatan servis kenderaan, ketersediaan alat ganti dan pembangunan modal insan berkaitan.

    “Walaupun Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) menangani isu-isu ini menerusi rangka kerja strategiknya, aspek penting usaha itu adalah permintaan pengguna terhadap (keperluan) gaya hidup berteraskan elektrik yang dizahirkan menerusi insentif di bawah Bajet 2022.

    “Selaku agensi teknikal bagi pembangunan sektor automotif dan mobiliti secara keseluruhannya, MARii juga sedang dalam proses meningkatkan usaha menerusi pelbagai inisiatif yang sudah dimulakan jauh lebih awal sebelum pengumuman NAP 2020,” katanya.

    Inisiatif Bajet 2022 dijangka dapat mengembangkan lagi sektor kenderaan elektrik di Malaysia – MARii

    Sambung beliau lagi, pelbagai piawaian dan kawal selia turut diwujudkan bagi EV, termasuk aspek keperluan keselamatan bagi aspek kenderaan elektrik itu di jalan raya. Ini termasuk piawaian bagi komponen baharu EV seperti penyambung, sistem pengecasan, soket, ujian bateri lithium-ion serta piawaian bagi menggalakkan aspek penukaran bateri, pengecasan tanpa wayar selain kitar semula dan pelupusan bateri.

    Menerusi MARii juga, kerajaan bertindak merangka strategi membangunkan pembuatan dan penggunaan bateri tempatan bersama pembangunan Sistem Pengurusan Bateri dan Sistem Pengurusan Terma, kajian kebolehlaksanaan teknologi sel bahan api hidrogen, pembangunan komponen kritikal dalam pembuatan EV serta penerapan konsep ‘well-to-wheel’ dalam pengiraan pelepasan EV.

    “Selain itu, Pusat Saling Boleh Kendali EV (EVIC), iaitu pusat perkongsian ujian bagi pembangunan EV dan produk serta sistem berkaitan EV akan turut ditubuhkan. Butiran lanjut mengenai EVIC akan diumumkan oleh MARii atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada masa akan datang,” katanya.

    Beliau berkata, MARii turut bekerjasama dengan pelbagai pengeluar kereta, pihak terbabit dalam pemasangan motosikal, pembuat kenderaan komersial, penyedia pusat pengecasan dan pengeluar komponen tempatan dari segi pelbagai aspek pembangunan ekosistem lengkap untuk EV.

    Menurutnya, ini termasuk menyaksikan penubuhan beberapa pusat kecemerlangan seperti Pusat Reka Bentuk dan Akademi Teknologi MARii yang berperanan sebagai keutamaan bagi mempertingkat keupayaan huluan dalam ekosistem Malaysia.

     
     
  • Perodua Alza D27A dibayangkan dengan ciri rekaan Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia 2022 – bakal tiba?

    Perodua Alza D27A dibayangkan dengan ciri rekaan Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia 2022 – bakal tiba?

    Antara berita automotif terhangat dalam negara tahun ini adalah kemunculan Perodua Alza generasi kedua. Ia dikatakan bakal menggunakan model konsep DN Multisix yang didedahkan pada tahun 2017 waktu Tokyo Motor Show sebagai asas dan jika anda ingat, satu lagi model konsep yang diperkenalkan pada tahun sama, iaitu DN Trec kini sudah menjelma menjadi Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa produksi.

    Selain daripada itu, vendor Perodua juga ada memaklumkan bahawa mereka kini sedang menghasilkan bahagian untuk Alza baru yang dikenali dengan nama kod D27A tersebut, dan ia dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Semua ini nampak masuk akal kerana Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia juga sudah diperkenalkan secara rasmi di Indonesia.

    Perodua sememangnya cukup berahsia dengan perkara ini, dan masih banyak benda yang belum kita ketahui. Disebabkan itu, apa kata kita bermain dengan apa yang ada. Bagi penampilan, Theophilus Chin cuba memberi bayangan bagaimana agaknya rupa Alza baru dengan ciri-ciri yang diambil daripada Avanza dan Xenia 2022.

    Selain daripada gambar yang disertakan ini, anda juga boleh melihat bagaimana Theo menghasilkan gambar tersebut melalui video di bawah. Beliau menggunakan Xenia sebagai asas, dan dimasukkan dengan muka daripada Ativa. Kemudiannya, bahagian tepi juga ditambah dengan kemasan plastik hitam di keliling lengkuk roda.

    Melihat kepada Avanza dan Xenia baru yang diperkenalkan di Indonesia, ada dua pilihan enjin, iaitu 1.3L dan 1.5L, tetapi kita menjangkakan cuma 1.5L akan ditawarkan pada Alza. Walaupun terdapat pilihan transmisi manual lima kelajuan di Indonesia, unit D-CVT dilihat lebih bersesuaian dengan negara kita.

    Melalui penggunaan platform DNGA, kelebihan lain yang akan diperoleh pada Alza baru adalah ciri keselamatan. Ia bukan sahaja lebih tegar, tetapi juga boleh dipasang dengan pelbagai sistem seperti Toyota Safety Sense atau Perodua Smart Drive Assist (PSDA), dan juga sistem pemanduan semi-autonomous Level 2 dengan ASA 3.0.

    GALERI: Toyota Avanza 2022 pasaran Indonesia

    GALERI: Daihatsu Xenia 2022 pasaran Indonesia

     
     
  • Daihatsu Xenia 2022 dilancar di Indonesia – kembar Avanza dengan harga lebih murah, pakej ASA

    Daihatsu Xenia 2022 dilancar di Indonesia – kembar Avanza dengan harga lebih murah, pakej ASA

    Apa yang anda lihat ini adalah Daihatsu Xenia, iaitu kembar kepada Toyota Avanza yang baru sahaja didedahkan sehari sebelumnya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Hampir semua bahagian MPV Daihatsu ini sama seperti model Toyota, dengan hanya beberapa perubahan kecil dibuat dan ia datang dengan senarai kelengkapan lebih ringkas yang menjadikannya lebih murah.

    Xenia dijual bermula dengan varian paling rendah 1.3 M MT pada harga 190.9 juta rupiah (RM55,681), diikuti 1.3 X MT pada IDR193.9 juta (RM56,554) dan 1.3 X CVT pada IDR209.2 juta (RM61,017). Kemudiannya, terdapat varian 1.3 R MT berharga IDR204 juta (RM59,607) yang ditawarkan bersama dua pakej tambahan iaitu Astra Daihatsu Styling (ADS) pada harga IDR9 juta (RM2,629) dan warna istimewa (SC) Compagno Red pada harga IDR1.5 juta (RM438).

    Naik lebih tinggi, terdapat varian 1.3 R CVT pada harga IDR219.3 juta (RM64,016), diikuti 1.5 R MT pada IDR221 juta (RM64,512) dan 1.5 R CVT pada IDR233.7 juta (RM68,219) – varian ini juga diberikan dengan pilihan pakej tambahan ADS dan SC seperti 1.3 R MT. Varian paling tinggi adalah 1.5 R CVT ASA, yang dijual pada harga IDR242.4 juta (RM70,759).

    Sama seperti Avanza, Xenia dibina atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan sekarang menggunakan pacuan dua roda hadapan (sebelum ini pacuan roda belakang). Kerangkanya juga telah ditukar daripada ladder frame kepada monocoque manakala suspensi menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

    Pilihan enjin juga sama, dengan varian 1.3 digerakkan unit empat silinder DOHC 1.3 liter NA 1NR-VE dengan Dual VVT-i yang mampu menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4.200 rpm, manakala varian 1.5 mendapat unit 1.5 liter 2NR-VE berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Pilihan transmisi sedikit berbeza berbanding Avanza, kerana kedua-dua enjin 1.3L dan 1.5L Xenia boleh dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau D-CVT, bergantung kepada varian. Pada Avanza, varian 1.3L cuma datang dengan transmisi manual sementara model 1.5L barulah diberikan pilihan kedua-dua transmisi.

    Daihatsu Xenia 2022 dilancar di Indonesia – kembar Avanza dengan harga lebih murah, pakej ASA

    Bentuk asas Xenia masih sama seperti Avanza, tetapi beberapa bahagian seperti bampar serta gril di hadapan telah diubah untuk menjadikannya lebih unik. Di belakang, semuanya sama kecuali logo.

    Bahagian dalam juga, sekali lagi, adalah sama seperti Avanza, tetapi dengan penggunaan bahan yang kelihatan kurang premium. Masih terdapat tiga baris tempat duduk yang disediakan untuk menempatkan sehingga tujuh orang dalam kenderaan, dengan baris kedua boleh dilipat 60:40 manakala baris paling belakang 50:50.

    Melihat kepada kelengkapan, varian asas 1.3 M MT mendapat rim besi 15 inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, pendingin hawa manual dengan paparan digital dan corong pendingin hawa belakang, panel meter Optitron, skrin sesentuh tujuh ini, dua pembesar suara, ABS, EBD dan dua beg udara.

    Daihatsu Xenia 2022 dilancar di Indonesia – kembar Avanza dengan harga lebih murah, pakej ASA

    Varian 1.3 X ditambah dengan rim aloi 15 inci, dua lagi pembesar suara dan pengesan jarak belakang, manakala varian yang dilengkapi CVT turut mendapat VSC, Brake Assist dan Hill Start Assist. Pergi kepada varian 1.3 R, pelanggan akan mendapat cermin sisi boleh lipat automatik, lampu kabus, peredam bunyi, dua tweeter tambahan, skrin sesentuh sembilan inci, panel meter 4.2 inci, sistem pemula enjin tanpa kunci, butang kawalan audio di stereng, immobiliser serta penggera keselamatan.

    Varian 1.5 R mendapat kelengkapan sama seperti 1.3 R, tetapi ditambah dengan jalur merah pada gril, rim 16 inci, pemegang pintu krom, tinggi tempat duduk yang boleh dilaras secara manual, sistem masuk tanpa kunci dan kamera 360 darjah.

    Varian paling tinggi 1.5 R CVT ASA didatangkan khas dengan pakej sistem keselamatan dan bantuan pemandu Advanced Safety Assist (ASA) yang termasuk Pre Collision System (amaran dan brek automatik), Pedal Misoperation Control, Leading Vehicle Departure Warning, Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention.

    Varian yang dipilih dengan pakej ADS akan mendapat lip bampar hadapan, side skirt, hiasan seperti diffuser di belakang, penapis cahaya cermin, kemasan pemantul cahaya di belakang, hiasan pada tailgate, lampu suasana, kemasan seakan karbon di dalam, alas kaki khas dan penapis udara.

     
     
  • Honda BR-V 2022 didedahkan harga untuk Indonesia – 5 varian 1.5L, 6MT/CVT, Honda Sensing; dari RM81k

    Honda BR-V 2022 didedahkan harga untuk Indonesia – 5 varian 1.5L, 6MT/CVT, Honda Sensing; dari RM81k

    Harga untuk Honda BR-V generasi kedua untuk pasaran Indonesia telah pun didedahkan di dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Pertama kali crossover tujuh-tempat duduk ini didedahkan pada September lalu, dan sebelum ini ia dipertontonkan sebagai N7X Concept pada Mei 2021.

    Ditawarkan dengan lima varian, kesemuanya dijanakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silinder dengan DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 121 PS pada 6,000 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm. Kuasanya sama dengan City baharu, dan ia ada kenaikan sebanyak 1 PS berbanding BR-V sebelum ini. Pacuannya disalurkan ke roda hadpaan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT, bergantung pada pemilihan varian.

    Barisan BR-Z 2022 di Indonesia bermula dengan varian asas S MT yang ditawarkan dengan harga 275.9 juta rupiah (RM80,694). Ia diberikan roda keluli 16-inci, lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, upholstery fabrik, sistem Display Audio tujuh-inci, enam beg udara, ABS, EBD, bantuan mula mendaki dan bantuan kestabilan kenderaan.

    Honda BR-V 2022 didedahkan harga untuk Indonesia – 5 varian 1.5L, 6MT/CVT, Honda Sensing; dari RM81k

    Diikuti dengan varian E yang menerima ciri dipertingkatkan berbanding S, termasuk roda aloi 16-inci, lampu kabus LED, sistem kemasukan tanpa kunci dengan pengunci automatik walk-away, paparan pelbagai-info TFT dan outlet kuasa aksesori untuk barisan kedua. Varian E juga ditawarkan dengan transmisi manual berharga IDR289.9 juta (RM84,790) atau CVT dengan harga IDR299.9 juta (RM87,715).

    Manakala varian Prestige CVT pula berharga IDR321.9 juta rupiah (RM94,150), ia menerima ciri sama seperti E tetapi diberikan tambahan roda aloi 17-inci, cermin sisi boleh dilipat secara automatik dengan indikator LED, upholstery kulit, konsol perehat tangan barisan kedua dan outlet kuasa untuk barisan ketiga.

    Varian tertinggi pula ialah Prestige CVT yang dilengkapi Honda Sensing, berharga IDR339.9 juta (RM99,414). Kit keselamatan tersebut merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong, kepekaan ketibaan hadapan, lampu tinggi automatik dan kamera titik buta LaneWatch.

    Penghantarannya di pasaran Indonesia bermula Januari 2022, jadi BR-V ini tidak dapat manfaat pengecualian cukai jualan barangan mewah untuk kenderaan baharu.

     
     
  • Acura Integra Prototype didedahkan – harga sekitar RM125k, 1.5L VTEC Turbo, 6-kelajuan manual dan LSD

    Acura Integra Prototype didedahkan – harga sekitar RM125k, 1.5L VTEC Turbo, 6-kelajuan manual dan LSD

    Selepas beberapa teaser didedahkan sebelum ini, akhirnya model generasi baharu Acura Integra telah pun didedahkan di Amerika Syarikat. Ia masih lagi dalam versi yang digelar ‘Prototype’, namun dengan perincian hampir seperti model produksi sebenar, rupanya mungkin tidak jauh berbeza ketika ia masuk ke bilik pameran kelak, sama seperti model-model ‘Prototype’ Honda sebelum ini seperti Civic Prototype dan Insight Prototype.

    Seperti yang anda boleh lihat, Acura Integra Prototype ini menampilkan bentuk badan yang hampir sama seperti Honda Civic generasi ke-11. Ia sudah boleh dijangka di mana sebelum ini naib presiden dan pegawai jenama Acura, Jon Ikeda ada mengatakan bahawa Integra generasi baharu bakal dibangunkan dari asas yang sama dengan Civic.

    Ia bukan sahaja mengambil semula prinsip model-model Integra dari generasi sebelumnya yang juga dibina dari asas Honda Civic, malah dengan cara ini Acura dapat menghasilkan sebuah model sport paling murah dalam barisan model jenama divisi mewah Honda berkenaan, dan boleh dijual dalam pasaran yang lebih luas kerana menampilkan harga lebih mampu milik.

    Acura Integra Prototype didedahkan – harga sekitar RM125k, 1.5L VTEC Turbo, 6-kelajuan manual dan LSD

    Malah ketika pengenalan model prototaip ini, Ikeda sudahpun mengumumkan bahawa Acura Integra 2023 bakal dijual di Amerika Syarikat tahun hadapan dengan harga sekitar US$30,000 (RM125k). Sebagai perbandingan, Honda Civic Sedan varian tertinggi di AS iaitu Civic Touring dijual pada harga US$29,295 (RM122k).

    Boleh dilihat, Acura Integra Prototype ini menampilkan bentuk tiang-A, garis bumbung dan cermin tingkap sisi yang hampir sama dengan Civic. Namun apa yang berbeza, but belakang Integra adalah bersambung terus dengan cermin belakang bagi membentuk pintu liftback, membolehkan ia digelar sebagai Coupe lima-pintu.

    Rekaan bonet hadapan yang tidak bersambung dengan lampu dan gril juga adalah sama seperti Civic, namun ia diberikan muka yang lebih dengan gaya signatur terkini Acura iaitu lampu hadapan LED JewelEye bersama lampu jalur lampu nyalaan siang “Chicane” bina dalam, dan juga gril Diamond Pentagon tanpa kerangka.

    Acura Integra Prototype didedahkan – harga sekitar RM125k, 1.5L VTEC Turbo, 6-kelajuan manual dan LSD

    Lampu belakang turut dihasilkan dengan konsep yang sama seperti bahagian hadapan. Manakala bampar belakang pula tampil ringkas dengan hanya reflektor melintang pada setiap sisi, bersama ruang plat pendaftaran di tengah, serta kemasan diffuser berwarna hitam berkilat yang turut menyerlahkan sepasang tip ekzos berbentuk oval.

    Versi Prototype ini menerima layangan warna badan Indy Yellow Pearl. Warna tersebut bukan sahaja diambil terus dari NSX, malah ia turut melambangkan penghormatan kepada warna Phoenix Yellow yang ditawarkan pada Honda Integra Type R pertama iaitu Integra DC2 Type R.

    Perincian-perincian lain yang turut boleh dilihat pada Integra Prototype ini termasuk spoiler ekor itik dengan warna Berlina Black, dan juga kemasan rona sama pada gril hadapan, bumbung dan penutup cermin sisi. Perkataan ‘INTEGRA’ turut diukir pada bampar – di bawah lampu kiri hadapan dan kanan belakang – sama seperti model-model Integra generasi sebelum ini.

    Ia padankan dengan rim aloi 19-inci rekaan jejari lima-jejari berkembar, dan turut boleh dilihat disebalik set roda berkenaan adalah sistem brek lebih besar dari Civic yang dibekalkan oleh Brembo, dengan angkup yang turut diberi warna Indy Yellow.

    Jon Ikeda turut mengesahkan bahawa Integra 2023 ini dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo (menjadikan ia Integra produksi pertama yang menerima induksi paksaan), bersama kotak gear manual enam-kelajuan lengkap dengan LSD bagi memacu roda hadapan.

    Tiada sebarang angka kuasa disebutkan, namun enjin yang sama pada Civic menghasilkan 180 hp dan tork maksima 240 Nm, manakala versi prestasi Civic Si pula ditala bagi menjana 200 hp dan tork 260 Nm menerusi enjin 1.5L VTEC Turbo tersebut.

    Acura Integra Prototype didedahkan – harga sekitar RM125k, 1.5L VTEC Turbo, 6-kelajuan manual dan LSD

    “Integra merupakan salah satu model yang paling ikonik dalam sejarah Acura,” kata Jon Ikeda. “Integra baharu ini, akan terus memberikan aspirasi unik asal dan kedudukan pasaran yang boleh dicapai yang sama, dengan emosi prestasi dan gaya, digabungkan dengan versatil dan utiliti yang dicari oleh pembeli masa kini.”

    Walaupun model ini dibangunkan di Jepun, produksi Acura Integra 2023 ini akan berjalan di Amerika Syarikat, menjadikan ia sebagai Integra pertama yang dihasilkan di negara berkenaan. Produksi besar-besaran akan dimulakan tahun hadapan di kilang Marysville Auto Plant di Ohio, iaitu fasiliti yang sama menghasilkan Acura TLX.

    Lebih perincian maklumat akan didedahkan pada separa pertama tahun hadapan, iaitu hampir kepada tarikh pelancaran rasmi model produksi Acura Integra 2023 tersebut.

     
     
  • Yamaha Ego Gear dilancar untuk Malaysia – 125 cc, sistem Start and Stop, pengecas USB, harga RM5,418

    Yamaha Ego Gear dilancar untuk Malaysia – 125 cc, sistem Start and Stop, pengecas USB, harga RM5,418

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini telah melancarkan sebuah skuter baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Ego Gear. Ia dijual pada harga RM5,418.62 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna iaitu perak, merah dan biru. Setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km dan kunci cakera brek percuma.

    Ego Gear dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 125 cc, bersama padanan transmisi automatik, untuk menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm. Menambah lagi kecekapan penggunaan bahan apinya, enjin ini didatangkan bersama sistem Start and Stop yang menggunakan Smart Motor Generator (enjin mati apabila berhenti dan hidup semula apabila pendikit dipulas).

    Walaupun adalah sebuah skuter kecil, Ego Gear didatangkan dengan lampu hadapan jenis LED, lampu kecemasan serta soket pengecas USB yang mudah diakses untuk kemudahan pengguna. Panel meter pula masih menggunakan unit analog biasa.

    Sistem brek skuter ini menggunakan gabungan unit cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Rim bersaiz 14 inci dan dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang.

    Perincian lain Ego Gear adalah termasuk tangki bahan api 4.2 liter, berat 95 kg dan tinggi tempat duduk 750 mm. Model ini menggantikan Ego Solariz di dalam pasaran sementara Ego Avantiz pula masih akan dijual (harga RM4.9k).

     
     
  • Hyundai Creta facelift 2022 dilancarkan di Indonesia – 4 varian CKD, 1.5L NA; harga dari RM81k-RM116k

    Hyundai Creta facelift 2022 dilancarkan di Indonesia – 4 varian CKD, 1.5L NA; harga dari RM81k-RM116k

    Baru pagi tadi foto rasmi Hyundai Creta facelift 2022 disebarkan sebelum ia dilancarkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Petang ini SUV berkenaan telah pun dilancarkan secara rasmi dalam acara berkenaan yang membuka tirainya mulai hari ini.

    Ia ditawarkan dengan empat varian, bermula dengan model asas Active yang dijual pada harga 279 juta rupiah (RM81k), diikuti dengan varian Trend yang berharga 299 juta rupiah (RM87k), Style pada harga 359 juta rupiah (RM105k) dan model spesifikasi penuh Prime berharga 397.5 juta rupiah (RM116k). Produksinya dilaksanakan di kilang yang baru ditubuhkan di Cikarang (Jawa Barat) yang dikendalikan oleh PT Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI).

    Kesemua varian menerima enjin yang sama iaitu unit Smartstream G1.5 naturally-aspirated petrol, dengan hamburan kuasa 115 PS pada 6,300 rpm dan tork 144 Nm pada 4,500 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi iVT (intelligent variable transmission) atau manual enam-kelajuan. Rotary dial juga membenarkan pemandu memilih empat mod pemanduan (eco, comfort, smart dan sport), serta dua mod cengkaman – sand dan mud.

    Hyundai Creta facelift 2022 dilancarkan di Indonesia – 4 varian CKD, 1.5L NA; harga dari RM81k-RM116k

    Bagi saiznya, SUV segmen-B yang dipertingkatkan ini berukuran 4,315 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,630 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,610 mm. Ia juga agak ringan iaitu sekitar 1,165 kg (+10 kg untuk varian spesifikasi penuh), dan semuanya diberikan roda aloi potongan berlian 17-inci dengan dibaluti tayar 215/60.

    Ia turut ditawarkan dengan tujuh warna pilihan – Creamy White Pearl, Galaxy Blue Pearl, Titan Grey Metallic, Magnetic Silver Metallic, Midnight Black Pearl, Glowing Silver Metallic, dan warna eksklusif Dragon Red Pearl. Gril permata parametrik merupakan ciri baharu dan standard untuk semua varian.

    Bergantung pada varian, Creta juga menerima lampu nyalaan siang (DRL) LED tersembunti di antara hujung gril, lampu utama reflektor LED, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjing dan lampu belakang kombinasi LED.

    Hyundai Creta facelift 2022 dilancarkan di Indonesia – 4 varian CKD, 1.5L NA; harga dari RM81k-RM116k

    Ciri dalaman termasuk paparan skrin sesentuh lapan-inci secara standard, pembesar suara bergantung pada kemasan iaitu antara empat hingga lapan unit (dengan Bose). Ia juga diberikan kamera pandangan belakang, pedal penukar gear, bumbung suria panoramik, alas pengecasan tanpa wayar untuk peranti yang boleh digunakan dengan Qi, pencahayaan mood ambian, tempat duduk dengan pengaliran udara dan kawalan suhu automatik zon-tunggal bersama sistem pembersihan udara dalaman (air purification).

    Untuk aspek keselamatan, ia diberikan kelengkapan Hyundai SmartSense, tetapi tidak secara keseluruhan. Untuk tiga model tertinggi bermula Trend, ia diberikan sistem pemantauan tekanan tayar dan pemantauan pandangan belakang pemandu secara standard. Sementara Style ditambah dengan bantuan mengelak pelanggaran titik buta, bantuan mengelak pelanggaran trafik lintasan belakang, amaran keluar selamat dan kepekaan penumpang belakang.

    Manakala bagi varian paling mahal, Prime, ditambah dengan bantuan mengelak pelanggaran hadapan (AEB), bantuan kekal lorong, bantuan ikut lorong dan bantuan lampu tinggi.

     
     
  • Haval Jolion Hybrid buat kemunculan global pertama di Thailand – kuasa 190 hp dan 375 Nm, dari RM100k?

    Haval Jolion Hybrid buat kemunculan global pertama di Thailand – kuasa 190 hp dan 375 Nm, dari RM100k?

    Selepas Haval Jolion diumum akan dijual di Thailand, ia kini didedahkan secara rasmi di negara itu. SUV segmen B tersebut ditunjukkan dalam versi hibrid, di Rayong, sekaligus menandakan kemunculan pertamanya secara global.

    Jolion Hybrid dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter turbo, bersama padanan motor elektrik dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Jika dibandingkan dengan H6 Hybrid yang lebih besar, kuasa Jolion Hybrid ini sedikit rendah, dengan jumlah keseluruhan 190 hp dan 375 Nm tork.

    Seperti yang bleh dilihat melalui imej daripada Headlight Magazine ini, muka hadapan Jolion Hybrid telah diubah sepenuhnya berbanding Jolion biasa. Lampu utama LED dan DRL menegak padanya kini disepadukan dalam satu unit, dan menampilkan jalur LED di dalamnya untuk penunjuk arah.

    Gril “Star Matrix” padanya juga adalah lebih lebar, dan bersambung kepada lampu utama, mengingatkan kembali kepada rekaan Concept H yang dipertonton tahun lepas. Bahagian badan lain termasuk lampu belakang tidak diubah, dan begitu juga dengan papan pemuka di dalam, yang dilengkapi panel instrumen digital tujuh inci, skrin infotainmen sesentuh 10.25 inci dan konsol tengah yang tinggi.

    Bagi aspek keselamatan, Jolion Hybrid datang dengan enam beg udara, Stability Control dan pelbagai lagi sistem bantuan pemandu lain seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan Stop and Go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert and Braking serta Park Assist.

    Perincian penuh dan harga hanya akan didedahkan hujung bulan ini, tetapi ia sudah diberitahu akan ditawarkan dalam varian HEV Pro dan HEV Ultra, dengan harga jangkaan antara 800,000 baht (RM100,400) dan 1,000,000 baht (RM125,500).

     
     
  • Honda SUV RS dipertonton, jadi petunjuk model ZR-V

    Honda SUV RS dipertonton, jadi petunjuk model ZR-V

    Taruhan terbaru Honda untuk Asia Tenggara akhirnya telah dipertontonkan dalam bentuk SUV RS Concept. Ini merupakan bayangan paling hampir bagi model produksi baru kelak yang akan menyaingi Daihatsu Rocky dan Toyota Raize (dan Perodua Ativa tentunya). Direka di Thailand, crossover kecil lima-tempat duduk ini baru saja didedahkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 dan kemungkinan besar akan ditawarkan untuk pasaran rantau ini kelak.

    Perincian masih belum banyak yang diketahui, tapi kita tahu bahawa versi produksinya nanti — yang dikhabarkan akan dipanggil ZR-V — akan diasaskan daripada BR-V tujuh tempat duduk, dan dari kerangka sedan Amaze di pasaran India. SUV RS bagaimanapun tampil dengan rekaan lebih segar dan menarik sesuai untuk golongan belia.

    Di depan, lampu utama tirus dan tajam yang mengalir terus ke bahagian gril yang menampilkan corak petak — mirip seperti yang dilihat pada Peugeot 3008. Wajah agresif ini didorong lagi oleh bukaan udara di tengahnya serta inlet menegak segi tiga yang ada.

    Honda SUV RS dipertonton, jadi petunjuk model ZR-V

    Bahagian sisi, ada garis bahu yang ringkas kelihatan. Tiang C pula tidak seperti teaser sebelum ini; ia tidak dihitamkan, sebaliknya diberikan warna badan dan dan bertemu bahagian bumbung yang hitam. Lampu belakang dengan kelebaran penuh, bampar belakang dengan bentuk yang ketara serta skid plate depan dan belakang menjadi pemangkin kepada imej sporty ini.

    Honda belum mendedahkan sebarang spesifikasi, tetapi boleh diandaikan ZR-V akan berkongsi enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC 121 PS/145 Nm dari BR-V dan CVT. Enjin City untuk pasaran Thailand juga mungkin boleh jadi calon yang layak, dengan enjin 1.0 liter turbocas tiga-silinder dengan 122 PS/173 Nm, serta mungkin juga versi e:HEV hibrid.

    Kereta ini juga mungkin akan dilengkapi dengan Honda Sensing, termasuk AEB dan kawalan melayar adaptif. Di India, ZR-V boleh jadi akan menggantikan model WR-V. Apa pandangan tentang SUV RS Concept ini, cukup meyakinkan ke?

     
     
  • Naik taraf Laluan FT050 Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang bersifat mendesak, kurangkan nahas maut – Menteri

    Naik taraf Laluan FT050 Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang bersifat mendesak, kurangkan nahas maut – Menteri

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan projek naik taraf laluan FT050 yang menghubungkan daerah Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang adalah penting dan mendesak. Ia adalah bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut yang tinggi di sepanjang jajaran ini yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia.

    Menurut beliau, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukkan RM250 juta bagi menaiktaraf laluan berkenaan selepas diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Naik taraf tersebut melibatkan Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam–Kluang FT050 daripada Parit Sempadan, Batu Pahat (Seksyen 21) hingga Jambatan Merentasi Lebuhraya PLUS (Seksyen 34.5) di Pekan Ayer Hitam.

    Projek berkenaan telah pun bermula sejak 26 Oktober lalu dan dijangkap siap pada 25 Oktober 2024, laporan Bernama.

    “Matlamat utama projek berkenaan adalah mengurangkan kes kemalangan serta memastikan aliran trafik lebih lancar dan terkawal. Daripada tahun 2015 hingga 2020, terdapat sejumlah 405 kes kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050,” katanya

    Tambah beliau, laluan yang menghubungkan Pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam berkenaan juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama pada musim cuti perayaan.

    Naik taraf Laluan FT050 Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang bersifat mendesak, kurangkan nahas maut – Menteri

    “Kajian trafik yang dijalankan pada tahun 2020 merekodkan 28,298 trafik dalam masa 16 jam dan 2,279 trafik dalam waktu puncak 5 petang hingga 6 petang. Jumlah trafik di laluan berkenaan adalah tertinggi di daerah Batu Pahat berbanding kawasan lain di daerah sama.

    “Projek berkenaan membabitkan pembinaan pembahagi jalan sepanjang 13.5 kilometer dengan tiga pusingan U bagi kenderaan berat, pelebaran bahu jalan sedia ada dari jalan tunggal empat lorong kepada jalan berkembar empat lorong 13.5 kilometer. Ia membabitkan kerja menaik taraf lima persimpangan (Persimpangan Parit Sempadan, Pekan Parit Raja, Parit Botak, Pekan Ayer Hitam dan Bandar Baru Ayer Hitam), membina tiga jejantas baharu untuk pejalan kaki dan laluan motosikal dan menaik taraf sistem perparitan dan pembentung sedia ada,” katanya.

    Sementara itu, Fadillah berkata, pihaknya akan meminta pasukan projek menyediakan saluran aduan bagi penduduk sekitar dan pengguna jalan raya yang ingin menyalurkan aduan dan cadangan ketika projek berkenaan berjalan.

    “Kita akan wujudkan ruangan untuk mereka buat aduan dan cadangan bagi memastikan projek naik taraf ini dapat dilakukan dengan baik dan pasukan ini dapat berbincang untuk atasi sebarang kesulitan,” katanya.

     
     
  • Puspakom bakal laksana transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku pertama tahun 2022

    Puspakom bakal laksana transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku pertama tahun 2022

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan bakal melaksanakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya di semua pusat pemeriksaannnya termasuk perkhidmatan mobile bergerak bermula suku pertama (Q1) tahun 2022. Setakat suku ketiga 2021, sebanyak 91% transaksi tanpa tunai telah dilaksanakan di semua pusat pemeriksaannya sejak April lalu.

    Menurut Puspakom, mod urusniaga tanpa tunai dan e-dompet membawa banyak kelebihan lain, seperti keselamatan kepada pengguna dan Puspakom sendiri, selain mengurangkan transmisi kuman atau virus yang mungkin berlaku dalam transaksi tunai. Bukan itu sahaja, pelaksanaan transaksi tanpa tunai ini dapat menjimatkan masa dan memastikan transaksi prmbayaran yang lebih selamat.

    Justeru, mod ini akan diperluaskan ke perkhidmatan mobile bergerak termasuk trak dan van Puspakom pada masa yang terdekat. Puspakom menjangkakan 100% penggunaan transaksi tanpa tunai di kalangan pelanggan akan dicapai pada suku pertama tahun 2022.

    Puspakom bakal laksana transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku pertama tahun 2022

    “Kadar penggunaan transaksi tanpa tunai yang semakin meningkat di Puspakom menunjukkan penerimaan e-pembayaran di kalangan pelanggan sangat menggalakkan. Selain kad debit dan kad kredit, Puspakom juga memberikan pilihan pelbagai e-dompet termasuk Puspakom e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan Puspakom. Tiada alasan lagi sebenarnya untuk tidak menggunakan mod transaksi moden ini,” kata Shukor Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom.

    Katanya lagi, initiatif ini juga sejajar dengan langkah Kerajaan yang giat mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan lagi transaksi digital yang mudah dan selamat, dan meningkatkan kebeskesanan sistem e-pembayaran di Malaysia.

    “Selari dengan ini, usaha mendigitalisasikan segala urusan di Puspakom dari temujanji dalam talian untuk pemeriksaan kenderaan, pembayaran yuran pemeriksaan dan pembaharuan insuran tanpa tunai, pemeriksaan kenderaan secara berkomputer juga terus meningkat,” jelasnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025