Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

    Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

    Nampaknya selepas ini tiada lagi model-model yang “betul-betul Mitsubishi” dibangunkan di Jepun untuk pasaran negara berkenaan – menurut laporan Nikkei Asia, jenama tiga berlian berkenaan merancang untuk menghentikan semua pembangunan platform untuk pasaran negara asalnya itu, dan model-model baharunya selepas ini akan diasaskan dari platform yang dibangunkan oleh Nissan.

    Mitsubishi kini telah menjadi sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi selepas sebahagian besar kepentingan dalam jenama tersebut diambil alih oleh Nissan pada tahun 2016.

    Laporan Nikkei berkenaan menyebut bahawa empat dari lapan platform sedia ada dari Mitsubishi akan digugurkan menjelang tahun 2026 kelak. Empat platform yang tinggal nanti adalah terdiri dari dua platform yang dibangunkan sendiri di pasaran paling pentingnya iaitu Asia Tenggara, dan juga dua lagi platform yang akan disadur dari Nissan.

    Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

    Laporan tersebut juga turut menyebut bahawa Mitsubishi merupakan jenama pertama di Jepun yang menghentikan sepenuhnya pembangunan platform bagi digunakan pada kereta penumpang pasaran domestik. Selepas 2026, Mitsubishi hanya menghasilkan rekaan luaran dan dalaman serta unit rangkaian kuasa bagi model-model pasaran Jepun.

    Sejak 2019, Mitsubishi dan Nissan telah berkongsi 40% platform mereka, dan selepas ini kerjasama antara kedua-dua jenama tersebut dijangka akan lebih rapat. Antara produk Mitsubishi yang telah direalisasikan dalam kerjasama ini adalah SUV Outlander 2022, yang diasaskan dari platform Nissan X-Trail generasi baharu, serta turut berkongsi enjin yang sama.

    Buat masa sekarang, dua model yang dibangunkan sendiri oleh Mitsubishi di Asia Tenggara adalah MPV Xpander dan juga trak pikap Mitsubishi Triton. Pada Mac lalu, Mitsubishi turut mengumumkan akan menghasilkan dua model rebadge yang diasaskan dari model Renault yang akan dijual di pasaran Eropah.

    Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

    Mitsubishi Airtrek EV 2022 pasaran China

    Julai lalu, Mitsubishi telah mendedahkan SUV Airtrek generasi baharu yang dijana elektrik sepenuhnya, khas untuk pasaran China. Model berkenaan sebenarnya adalah model rebadge dari SUV EV buatan China, GAC Aion V, dihasilkan oleh GAC Mitsubishi Motors (GMMC), iaitu syarikat kerjasama antara Mitsubishi dan Guangzhou Automobile Group (GAC).

    Mitsubishi Motors telah mengalami kerugian dalam dua tahun fiskal kebelakangan ini, dan terpaksa menghentikan model-model yang tidak mendatangkan keuntungan terdiri dari kesemua model-model sedannya pada 2016 termasuk Lancer, serta SUV Pajero pada Julai lalu.

    Jenama tersebut kini mempunyai dana R&D berjumlah 99 bilion yen untuk tahun fiskal berakhir Mac 2022, atau 30% kurang dari tahun fiskal 2019. Bajet untuk dana berkenaan dijangka akan kekal sekitat 100 bilion yen, lapor Nikkei lagi.

     
     
  • Grab tidak benarkan pemandu, penumpang berstatus risiko tinggi di MySejahtera guna perkhidmatannya

    Grab tidak benarkan pemandu, penumpang berstatus risiko tinggi di MySejahtera guna perkhidmatannya

    Grab Malaysia telah mengumumkan polisi baharu diperkenalkan untuk melindungi pemandu dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing kendalianya. Mulai hari ini, 14 September 2021, hanya mereka dengan status Low Risk/Risiko Rendah atau Casual Contact (No Symptoms)/Kontak Kasual(Tiada simptom) menerus aplikasi MySejahtera sahaja yang dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan Grab.

    Bagi mereka yang tidak memenuhi peraturan baharu ini tidak akan dibenarkan menggunakan perkhidmatan ini. Untuk penumpang, mereka tidak boleh menempah dan menggunakan mana-mana perkhidmatan Grab, sementara untuk pemandu pula, tidak akan dibenarkan untuk mengambil apa jua tugasan menerusi platform Grab.

    Walau bagaimana pun, syarikat ini berkata status vaksinasi bukan sebahagian daripada polisi baharu ini, yang ditetapkan sendjri dan bukannya arahan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN). Katanya, sesiapa sahaja dengan apa jua status vaksinasi (tidak divaksin langsung, satu dos atau dua dos) dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan mereka, selagi mereka memenuhi pematuhan status MySejahtera seperti yang disebutkan itu.

    Di bawah polisi baharu, pemandu dan penumpang boleh meminta antara satu sama lain untuk menunjukkan status MySejahtera sebelum menaiki kenderaan perkhidmatan ini, dengan mempamerkan paparan pada seksyen check-in atau profil. Jika status menunjukkan selain Low Risk atau Casual Contact (without symptoms) atau tidak mendaftar pada MySejahtera, sama ada penumpang atau pemandu berhak untuk tidak terus menggunakan perkhidmatan ini dan membatalkannya.

    Grab turut menambah kedua-dua pemandu dan pemandu hanya dibenarkkan untuk meminta melihat status risiko pada aplikasi terbabut, dan bukannya maklumat lain selain status risiko Covid-19.

     
     
  • Moto Guzzi V100 Mandello ditunjuk awal dalam teaser

    Moto Guzzi V100 Mandello ditunjuk awal dalam teaser

    Tahun ini, pengeluar motosikal dari Itali, iaitu Moto Guzzi akan menyambut ulang tahun yang ke-100. Sempena dengan itu, mereka akan mengeluarkan sebuah model istimewa yang dipanggil sebagai V100 Mandello. Ia akan didedahkan secara rasmi semasa pameran EICMA di Milan November ini, tetapi sebelum itu, sebuah video teaser dikeluarkan.

    Nama model ini sebenarnya diambil daripada sebuah bandar di Itali, iaitu Mandello del Lario, yang mana telah digunakan oleh Moto Guzzi sebagai ibu pejabat sejak dari tahun 1921 lagi. Ia juga bakal menunjukkan hala tuju Moto Guzzi pada masa hadapan.

    V100 Mandello menggunakan bentuk sebuah motosikal sport touring, dengan kedudukan tinggi dan tegak, serta rim 17 inci dengan tayar jalan biasa. Gayanya mungkin masih menampakkan sedikit ciri klasik, tetapi kelengkapannya kelihatan moden, termasuklah lampu LED.

    Moto Guzzi V100 Mandello ditunjuk awal dalam teaser

    Daripada video itu juga kita boleh melihat beberapa kelengkapan lain pada motosikal ini seperti panel instrumen TFT, brek Brembo, penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara elektronik serta enjin V 90 darjah melintang.

    Namun satu yang menarik, V100 Mandello ini juga akan datang dengan ciri aerodinamik aktif, di mana satu panel kecil di tepi tangkinya boleh bergerak sendiri secara elektronik, mungkin mengikut kepada kelajuan. Kita juga boleh menjangka pelbagai sistem bantuan penunggang serta keselamatan lain seperti kawalan cengkaman, mod tunggangan, sambungan kepada telefon serta pelbagai lagi pada motosikal ini.

     
     
  • Pandu uji di bilik pameran bagi negeri Fasa 2 termasuk Lembah Klang dibenarkan; harus lengkap vaksinasi

    Pandu uji di bilik pameran bagi negeri Fasa 2 termasuk Lembah Klang dibenarkan; harus lengkap vaksinasi

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan bagi aktiviti-aktiviti di bawah sektor perdagangan pengedaran sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Berfasa.

    Antara aktiviti yang kini dibenarkan termasuklah sesi pandu uji di bilik pameran kenderaan bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 2. Ini termasuklah untuk negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang baru memasuki Fasa 2 sejak 10 September lalu, seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. Sebelum ini, negeri-negeri berkenaan diletakkan di Fasa 1 PPN di mana kebanyakan sektor perniagaan dan aktiviti perdagangan ditutup sejak pertengahan Jun lalu.

    Manakala negeri-negeri lain yang terlebih dahulu telah diumumkan memasuki Fasa 2 ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.

    Walau bagaimana pun, hanya individu yang lengkap vaksinasi sahaja (dengan dos kedua yang telah melepasi hari ke-14 bagi vaksin Pfizer, Astra Zeneca, Sinovac, Moderna dan Sinopharm/atau melepasi hari ke-28 untuk jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson &Johnson dan Cansino) yang dibenarkan untuk memandu uji di bilik pameran.

    Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada harus terus dipatuhi termasuk memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan dan check-in menerusi aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis. Hanya pelanggan dengan status “Low Risk” termasuk “Casual Contact Low Risk” dalam MySejahtera dibenarkan masuk ke dalam premis.

     
     
  • Statistik sektor borong dan runcit menguncup 14.7% pada Julai, automotif paling teruk dengan -85.4%

    Statistik sektor borong dan runcit menguncup 14.7% pada Julai, automotif paling teruk dengan -85.4%

    Sektor borong dan runcit Malaysia dilaporkan menguncup sebanyak 14.7% bagi tempoh sama tahunan sehingga Julai 2021, kepada RM92.7 bilion. Menurut Jabatan Perangkaan, seperti dilaporkan oleh Malay Mail, kenderaan motor menyumbang kepada pertumbuhan negatif pada kadar -85.4%, diikuti perniagaan runcit dengan -8.1% dan -1.1% bagi perniagaan borong.

    Dalam subsektor perniagaan runcit, Jualan Runcit bagi Bahan Api Automotif dalam Kedai Khusus jatuh sebanyak 14.1%, Jualan Runcit bagi Barangan Lain dalam Kedai Khusus jatuh 11.1% dan Jualan Runcit dalam Kedai Bukan-Khusus menurun 10.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Pecahan bagi kategori perniagaan borong pula melibatkan Borongan Berasaskan Yuran atau Kontrak (-22.1%), Borongan Barangan Isi Rumah (-12.1%), Borongan Mesin, Peralatan dan Bekalan (-10.4%) dan Perniagaan Borongan Bukan Khusus (-1.2%).

    Statistik sektor borong dan runcit menguncup 14.7% pada Julai, automotif paling teruk dengan -85.4%

    Bagi kenderaan motor, ia dipecahkan kepada Penyelenggaraan dan Baik Pulih Kenderaan (-88.7%), Jualan Alan Ganti dan Aksesori Kenderaan (-87.4%) dan Jualan, Penyelenggaraan dan Baik Pulih Motosikal (-86.9%).

    Memang angka bagi kenderaan motor ini mengejutkan, tetapi perlu diingat bahawa kita berada di dalam PKP penuh sepanjang Julai lalu, dan sektor automotif dibekukan sepenuhnya operasi mereka — bekalan alat ganti, kilang kenderaan dan bilik pameran semuanya terpaksa ditutup. Tiada pergerakan, bermaksud kenderaan juga tidak dihantar untuk servis dan baik pulih seperti selalu.

    Sektor automotif dibenarkan beroperasi semula pertengahan Ogos, dan dengan kilang kembali mengeluarkan kenderaan dan jualan mula meningkat semua untuk melangsaikan tunggakan pesanan, jualan pada Ogos meningkat banyak. Corak yang sama dijangka untuk September, dengan operasi dan jualan berjalan untuk tempoh sebulan penuh.

     
     
  • RapidKL jangka peningkatan kadar pengguna dalam Fasa 2 PPN, sedia tambah kekerapan tren jika perlu

    RapidKL jangka peningkatan kadar pengguna dalam Fasa 2 PPN, sedia tambah kekerapan tren jika perlu

    Rapid KL yang telah meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas dan tren kendalian syarikat itu di Lembah Klang bermula 10 September berikuta peralihan ke Fasa 2 PPN di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjangkakan peningkatan penumpang juga akan berlaku untuk perkhidmatan LRT bermula hari ini, 13 September.

    CEO Rapid KL, Azmi Md Zain berkata syarikat itu menjangkakan peningkatan jumlah pengguna untuk LRT bermula Isnin, dan data tersebut akan diperhatikan setiap hari untuk menentukan jika tren tambahan perlu digerakkan, lapor New Straits Times.

    Bercakap kepada wartawan Jumaat lalu, beliau berkata peningkatan kadar aliran penumpang belum dikesan ketika itu, dan tren sedia ada mampu menampung keperluan dengan memastikan pematuhan SOP PPN yang telah digariskan kerajaan.

    Sejak Jumaat lalu, perkhidmatan LRT jajaran Kelana Jaya telah beralih kepada selang empat minit antara tren pada hari bekerja dalam waktu puncak sebelah pagi dan tengahari. Pada bukan waktu puncak hari bekerja, tren akan tiba dalam selang 11 minit, dan ini akan dinaikkan kepada 15 minit pada hujung minggu.

    Azmi memaklumkan Rapid KL akan memastikan semua pengguna mematuhi SOP. “Kami mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pematuhan SOP. Kami akan melaksakan pematuhan SOP dengan tegas, termasuk tidak membenarkan mereka yang mempunyai simptom atau tidak memakai pelitup muka daripada menaiki tren,” jelasnya. Staf Prasarana dan polis bantuan juga telah ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di stesen untuk memastikan semua orang mematuhi SOP berkenaan.

     
     
  • Pengeluar kenderaan Jepun kecilkan produksi hingga 1 juta unit akibat kekurangan cip dari Asia Tenggara

    Pengeluar kenderaan Jepun kecilkan produksi hingga 1 juta unit akibat kekurangan cip dari Asia Tenggara

    Menurut laporan Nikkei Asia, beberapa pengeluar kenderaan di Jepun telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan jumlah produksi melibatkan lebih daripada satu juta kenderaan bagi tahun kewangan semasa. Ini disebabkan oleh peningkatan jangkitan Covid-19 di Asia Tenggara, yang telah memberi kesan kepada bekalan cip semikonduktor daripada pembekal utama di rantau ini, termasuk untuk pengeluar di Eropah dan Amerika Syarikat.

    Pada 10 September, Toyota memaklumkan syarikat itu menilai semula ramalan pengeluaran globalnya kepada sembilan juta unit berbanding 9.3 juta unit sebelum ini. Dalam jangka pendek, ini akan menyaksikan menyusutan angka pengeluara sekitar 70,000 unit dan 330,000 unit (180,000 unit pasaran luar dan 150,000 unit di pasaran Jepun) bagi Oktober, berbanding rancangan pengeluaran bulan Ogos.

    Toyota bagaimanapun menambah, permintaan kekal kukuh, tetapi jangkaan pengeluaran bagi November dan selepas ini masih tidak jelas. Disebabkan itu, rancangan pengeluaran bagi November dan bulan-bulan mendatang akan diteruskan dengan anggapan bahawa pelan terdahulu masih dikekalkan.

    Suzuki pula terkesan agak teruk akibat kekurangan cip, dengan terpaksa mengurangkan pengeluaran sebanyak 350,000 kenderaan, iaitu 10% daripada jumlah pengeluaran keseluruhan tahun kewangan terakhir. Operasi syarikat itu di Jepun, Thailand dan Hungary turut akan digantung, sementara di India, satu daripada pasaran terbesar bagi Suzuki, dijangka akan beroperasi dengan kira-kira 40% daripada kapasiti normalnya untuk bulan ini.

    Pengeluar kenderaan Jepun kecilkan produksi hingga 1 juta unit akibat kekurangan cip dari Asia Tenggara

    Sementara itu, Nissan pula telah maklumkan pengurangan produksi sebanyak 250,000 kenderaan, dan jualan Honda pula menurun 150,000 kenderaan disebabkan pengurangan pengeluarannya. Bagi Mazda, Mitsubishi dan Subaru telah umumkan juga pengurangan pengeluaran masing-masing, menyumbang kepada penguncupan keseluruhan bagi semua pengeluar automotif Jepun sekitar 1.05 juta kenderaan.

    Toyota terpaksa mengambil langkah pengurangan tersebut akibat penutupan kilang STMicroelectronics di Malaysia, yang telah memberi kesan ketara kepada bekalan terhadap alatan kenderaan yang menggunakan semikonduktor. Dengan kilang yang agak lambat dibuka semula untuk operasi, STMicroelectronics menyatakan kilang itu mempunyai tempahan tertunggak hingga 18 bulan dan sedang berusaha keras memenuhi permintaan itu.

    Pengeluar cip automotif lain, Infineon Technologies, telah menggantung produksi di kilang Melaka bagi tempoh 20 hari ketika PKP pada JUn lalu. Syarikat lain seperti Bosch dan Continental turut mempunyai operasi kilang di Asia Tenggara yang terkesan sama.

    Masalah kekurangan bekalan cip turut memberi kesan kepada pengeluar kenderaan di luar Jepun, dengan General Motors misalnya terpaksa menggantung operasinya di separuh daripada kilangnya bagi tempoh antara satu hingga empat minggu bermula 6 September. Renault turut menutup operasi beberapa kilangnya di Sepanyol hingga 60 hari sejak hujung Ogos, sementara Volkswagen juga terus mengurangkan pengeluarannya di kilang utama di Wolfsburg.

     
     
  • Aplikasi CaltexGO dilancarkan di Lembah Klang; akan diperluaskan menjelang separuh pertama tahun 2022

    Aplikasi CaltexGO dilancarkan di Lembah Klang; akan diperluaskan menjelang separuh pertama tahun 2022

    Chevron Malaysia telah melancarkan secara rasmi aplikasi CaltexGO untuk pengguna di Lembah Klang, susulan pengenalannya pada April lalu. Ia menawarkan cara pembayaran yang lebih pantas untuk mengisi minyak, dan pengguna berpeluang memperoleh dan menebus mata ganjaran.

    Buat masa ini, CaltexGO hanya boleh digunakan di sekitar Lembah Klang sahaja, dan ia akan diperluaskan di lain-lain bahagian dinegara ini menjelang separuh pertama tahun hadapan, menurut syarikat tersebut. Aplikasi ini boleh digunakan dalam peranti yang menggunakan sistem operasi Apple iOS dan Android, serta boleh dimuat turut menerusi Apple App Store dan Google Play.

    Chevron Malaysia turut memberikan penekanan aspek keselamatan dengan menasihati pelanggan untuk menggunakan aplikasi pada peranti mudah alih mereka hanya setelah enjin kenderaan mereka dimatikan, di dalam kenderaan yang tidak bergerak dengan tingkap tertutup atau ketika berada di dalam kedai serbaneka.

    Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu mempunyai kad pembayaran (kad debit atau kredit) dan kad Journey yang didaftarkan pada aplikasi, dengan menyertakan stesen dan nombor pam, dan kemudian mengisi minyak kenderaan mereka dengan amaun yang dinyatakan. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh memeriksa baki BPoints mereka dan jika baki mencukupi, ia boleh ditebus dan digunakan untuk mengisi minyak sebelum membuat pembayaran bagi amaun akhir.

    Untuk masa yang terhad, bagi pengguna yang pertama kali menggunakannya dengan minimum RM30 bagi pembelian minyak di Caltex akan menerima pulangan balik (cashback) sebanyak RM5,dan satu lagi pulangan balik bernilai RM5 ketika mengisi minyak minimum RM30 untuk kunjungan yang berikutnya. Ia hanya terhad kepada dua kujungan sahaja bagi setiap pengguna dengan pulangan balik maksimum RM10, dan promosi ini akan berakhir pada 31 Disember 2021.

     
     
  • VIDEO: Mat Saleh jumpa Proton Iswara 1994 dalam bangsal di UK – hanya 17,259 km, hampir seperti baru

    Selepas sebuah Proton Saga Black Knight 1989 memenangi hadiah utama dalam acara Hagerty Festival of the Unexceptional di United Kingdom bulan lalu, nampaknya minat terhadap model-model lama Proton oleh peminat-peminat kereta klasik di negara tersebut mula meningkat.

    Semalam Matt Richardson dari saluran YouTube Furious Driving memuat naik video penemuannya terhadap sebuah Proton Saga 1994 (juga dikenali sebagai Iswara di Malaysia) yang telah terbiar dalam sebuah bangsal dengan keadaan yang sangat-sangat sempurna.

    Sebenarnya Matt pergi melihat kereta berkenaan bagi pihak Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic, yang telah dihubungi oleh keluarga pemilik asal Saga berkenaan untuk dijual kepadanya. Sebelum Steph sendiri datang melihat sendiri kereta berkenaan pada Sabtu lalu, Matt terlebih dahulu membantunya datang ke bangsal berkenaan bagi mengetahui keadaan sebenar kereta tersebut.

    Kereta berkenaan telah disimpan oleh keluarga berkenaan dalam sebuah bangsal tanpa lampu dan juga tanpa sebarang akses cahaya masuk ke dalamnya sejak 10 tahun yang lalu. Manakala meter perbatuannya hanya mencatatkan jarak perjalanan sejauh 10,724 batu atau 17,259 km selepas dibeli baru pada tahun 1994.

    Ia adalah model spesifikasi khas untuk pasaran UK, yang sedikit berbeza dari model pasaran Malaysia bagi membolehkan ia mematuhi syarat homologasi negara berkenaan. Antara perincian yang jelas berbeza adalah enjin 4G15 1.5 liter 12 injap yang dibekalkan tidak disuap oleh karburator sebaliknya menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik, dan ia diberikan papan pemuka serta roda stereng yang seiras dengan Mitsubishi Lancer Fiore.

    Melihat dengan lebih teliti keadaan kereta yang ditinggalkan lebih satu dekad berkenaan, bahagian luarannya termasuk panel-panel dan cat badan, unit-unit lampu dan sebagainya masih dalam keadaan seperti baharu dan hanya diselaputi oleh habuk dan debu kotoran. Oleh kerana tidak terdedah kepada sebarang cahaya, getah pengelap cermin Saga tersebut juga masih lembut seperti baru dibeli.

    Keempat-empat tayar masih belum kempis, malah pada bahagian bawah lantai juga nampak seakan baharu, serta pemilik asalnya turut telah memberikan lapisan perlindungan berwarna hitam bagi mengelakkan ia berkarat. Begitu juga pada bahagian kabin, tempat duduk, karpet lantai, pelapik bumbung serta kemasan-kemasan lain nampak masih seperti baharu.

    Melihat ke bahagian ruang enjin, tiada sebarang kebocoran minyak dijumpai. Malah ketika minyak enjin diperiksa, ia dalam keadaan yang sangat bersih seolah-olah ia baru ditukar sebelum kereta tersebut disimpan dalam bangsal berkenaan.

    VIDEO: Mat Saleh jumpa Proton Iswara 1994 dalam bangsal di UK – hanya 17,259 km, hampir seperti baru

    Bateri yang terletak dalam ruang tersebut juga nampak seperti baru (resit yang dijumpai disahkan ia dibeli 10 tahun yang lalu!) dan pemiliknya dilihat sudah mencabut terminalnya sebelum ditinggalkan. Namun mungkin sudah terlalu lalu lama bateri itu dibiarkan, kereta berkenaan tidak dapat dihidupkan walaupun menggunakan unit jumper.

    Menurut Matt, dia tidak mahu berusaha untuk menghidupkan enjin berkenaan, kerana ‘acara’ tersebut perlu dibuat sendiri oleh pemilik baharunya, Stephanie kelak. Matt kembali semula ke bangsal berkenaan Sabtu lalu (11 September) bersama Stephanie untuk membawa pulang Proton Saga tersebut.

    Ketika itu, buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun, Saga berkenaan kembali terdedah kepada cahaya matahari. Ia ditolak keluar dengan mudah bukan hanya kerana tayarnya yang masih mempunyai tekanan udara, malah brek Saga tersebut juga tidak jammed walaupun sudah ditinggalkan sekian lama.

    VIDEO: Mat Saleh jumpa Proton Iswara 1994 dalam bangsal di UK – hanya 17,259 km, hampir seperti baru

    Tanpa sebarang penukaran dilakukan pada palam pencucuh serta masih menggunakan baki petrol berjumlah 3/4 tangki yang diisi lebih sedekad yang lalu, enjin Saga tersebut terus hidup dengan hanya satu putaran kunci setelah ia diberikan bateri yang lebih baharu!

    “Semua orang di Malaysia kini sedang cemburu dengan saya,” kata Stephanie setelah mengetahui keadaan kereta berkenaan. Menurutnya selepas ini kereta ini akan terus dibasuh dan diperiksa bagi menjalani pemeriksaan MOT yang telah di tempah minggu ini juga. Dia juga bercadang untuk membalut kesemua tempat duduk dan memberikan satu lagi lapisan alas kaki bagi memastikan kesemua perincian asal dari kilang berkenaan terpelihara seperti baharu.

    Walau bagaimanapun, mengapa kereta tersebut ditinggalkan dalam garaj berkenaan begitu lama tidak diberitahu dalam video ini. Tetapi Matt menyatakan bahawa kereta ini hampir dihantar untuk diskrap ketika keluarga berkenaan mahu membersihkan garaj tersebut. Nasib baik salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan memberikan cadangan agar ia dijual kepada mereka yang berminat kerana keadaannya yang masih lagi elok!

     
     
  • 200 individu ditahan dalam Ops Khas Motosikal di KL awal pagi semalam, 300 saman dikeluarkan – JSPT

    200 individu ditahan dalam Ops Khas Motosikal di KL awal pagi semalam, 300 saman dikeluarkan – JSPT

    Awal pagi semalam, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengadakan Ops Khas Motosikal di Jalan Tun Razak di ibukota. Menurut Ketua JSPT, Asisten Komisioner Sarifuddin Mohd Salleh berkata, operasi yang bermula jam 12 malam itu dilakukan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan serta mengesan individu yang menggunakan motosikal tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

    Selain itu, operasi berkenaan bertujuan mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol serta mereka yang terlibat dalam lumba haram.

    Dalam operasi berkenaan, sekurang-kurangnya 200 individu termasuk remaja ditahan. Ketika diperiksa ada kumpulan remaja memberi alasan motosikal ditunggang mereka milik ibu bapa. Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk ujian saringan air kencing dan semakan rekod jenayah, laporan Astro Awani.

    “Selain daripada operasi motosikal, kita juga melakukan operasi ini untuk mengesan pemandu mabuk di Kuala Lumpur. Ketika operasi ini dijalankan, kami mendapati ada individu yang menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya iaitu lumba haram. Kami akan teruskan operasi ini dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana seperti yang kita tahu kenderaan mula bertambah di pusat bandar,” katanya.

    Tambah beliau, lebih 300 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya ekzos bising serta nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. Beberapa buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur ekzos kenderaan.

     
     
  • Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Ketika belum ada lagi kata putus sama ada Mitsubishi Lancer Evolution akan ‘bangkit semula dari kubur‘ atau tidak, ini dia, seteru utamanya Subaru WRX kini sudah pun muncul dalam versi generasi kelima! Ia membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat dengan platform baharu, rangkaian kuasa yang lebih bertenaga serta perubahan rupa yang ekstensif.

    Sama dengan model-model terkini Subaru yang lain seperti XV, Impreza, Levorg, Forester dan Ascent, WRX generasi baharu ini turut diasaskan dari Subaru Global platform. Oleh itu, ia kini menampilkan kekuatan torsi keseluruhan 28% lebih tinggi, manakala kekuatan cagak-cagak suspensi pula meningkat sehingga 75%.

    Model-model rekaan Subaru sememangnya dikenali dengan titik graviti yang rendah kerana dijana oleh enjin bentangan boxer, namun WRX generasi baharu ini didakwa menampilkan titik graviti yang lebih rendah. Ia juga diberikan suspensi dengan strok lebih panjang, membolehkan kestabilan dan cengkaman lateralnya dipertingkat pada permukaan jalan yang tidak rata.

    Geometri suspensi hadapan WRX ini dioptimakan bagi mengurangkan offset besar. Bar penstabil belakang pula kini dipasangkan terus pada badan dan bukan pada subframe, memberikan operasi lebih efisien dengan memberikan kadar olengan yang lebih dikurangkan ketika mengambil selekoh.

    Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Manakala untuk stereng, ia diberikan sistem bantuan kuasa dua-pinan yang mengasingkan syaf input dari pemandu dan juga syaf motor bantuan. Kombinasi berkenaan memberikan respon yang lebih pantas terhadap input pemandu, serta memberikan ketepatan lebih baik serta rasa stereng yang lebih semula jadi.

    Bagi model varian tertinggi WRX GT, ia turut menerima suspensi dengan penyerap hentak kawalan elektronik – pertama kali dipadankan pada WRX. Suspensi ini datang dengan tiga tetapan mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Normal dan Sport. Pilihan berkenaan boleh dibuat menerusi sistem Drive Mode Select, yang juga menawarkan opsyen untuk membuat tetapan terhadap rasa stereng.

    Subaru WRX generasi baharu ini datang dengan pilihan rim aloi 17- atau 18-inci bergantung pada varian, bersama brek cakera berliang untuk setiap sudut.

    Model generasi baharu ini menerima enjin boxer yang lebih besar dan berkuasa dari sebelum ini, iaitu unit FA24F 2.4 liter empat silinder, berbanding hanya 2.0 liter pada model generasi sebelumnya. Enjin tersebut juga menerima pengecas turbo dengan injap wastegate dan injap bypass udara kawalan elektronik bagi memberikan respon dan pecutan lebih baik.

    Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Enjin berkenaan menghasilkan 271 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,000 hingga 5,200 rpm. Walaupun kapasiti enjin baharu ini jauh lebih besar, penghasilan kuasa yang ditampilkan sebenarnya tidak jauh berbeza dari model sebelum ini yang menjana 268 hp dan tork maksima 350 Nm bagi model pasaran Amerika Syarikat. Namun menurut Subaru, enjin baharu ini ditala bagi memberikan lengkuk kuasa yang lebih luas.

    Enjin FA24 ini juga turut digunakan pada SUV Subaru Ascent, namun unit pada WRX ini menampilkan kuasa yang lebih besar tetapi menerima tork yang lebih rendah (260 hp/376 Nm pada Ascent). Subaru masih belum mengumumkan sebarang angka prestasi seperti pecutan 0-100 km/j dan sebagainya, namun boleh dijangka ia lebih pantas dari model sebelum ini.

    Subaru masih menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan bagi WRX generasi baharu ini. Manakala untuk mereka yang lebih gemarkan pemanduan dua pedal, ia juga masih ditawarkan dengan transmisi CVT automatik yang digelar Subaru Performance Transmision yang kini telah ditala bagi memberikan tukaran gear menaik 30% lebih pantas, dan tukaran menurun gear 50% lebih pantas antara gear maya kedua dan ketiga.

    Subaru juga menyatakan bahawa rasa “gegelang getah” pada transmisi CVT tersebut juga kini dikurangkan lagi, dan ia juga diberikan sistem kawalan tukaran gear adaptif yang mampu memberikan respon lebih pantas bagi memberikan kesan seakan sistem rev-match ketika gear diturunkan semasa membrek.

    Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Pemandu juga boleh memilih tiga mod pemanduan dalam sistem SI Drive dengan transmisi CVT ini, serta diberikan lapan nisbah gear maya dalam mod manual. Ia juga kini dibekalkan dengan penyejuk cecair transmisi jenis luaran bagi memberikan ketahanan dan kebolehan lebih baik dalam situasi lasak, misalnya ketika dipandu dalam litar.

    Seperti biasa, kesemua kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, serta dibantu dengan sistem Active Torque Vectoring.

    Dari segi penggayaan, WRX generasi baharu ini menampilkan ciri-ciri rekaan yang diambil dari Viziv Performance Concept yang didedahkan pada Oktober 2017. Oleh itu, mukanya diberikan rupa yang lebih garang menampilkan gril berbentuk heksagon, serta kelihatan seperti tertusuk pada lampu hadapan LED yang juga direka lebih tajam.

    Bahagian apron bawah bampar direka lebih lebar bagi menempatkan lampu kabus LED yang diletakkan pada perumah yang turut diberikan elemen sarang lebah. Skup pada penutup bonet signatur yang mengalirkan udara segar terus ke unit intercooler di atas enjin masih lagi kekal, dan ia kini direka lebih lebar.

    Scooby generasi baharu ini diberikan fender hadapan yang diperbuat dari aluminium, didakwa dapat mengurangkan berat sebanyak 2.3 kg. Dan apa yang jelas berbeza, sedan sport ini turut menerima pelindung badan plastik hitam untuk kesemua ruang roda, menyebabkan ia kelihatan seperti SUV.

    Dimensi sebenar WRX ini belum lagi diumumkan oleh Subaru, tetapi ia disahkan lebih panjang dan lebih lebar berbanding model generasi keempat. Ia juga diberikan rekaan but belakang yang lebih tersendiri dan berbeza dari Impreza sedan biasa. Walau bagaimanapun, profil sisi WRX ini masih nampak tidak jauh berbeza dari versi sebelum ini.

    Bahagian belakang WRX ini juga diberikan rupa seakan Viziv Performance, menampilkan lampu berbentuk-C dan bersambung dengan kemasan yang merentangi sepenuhnya penutup but. Juga seperti model konsep tersebut, bampar belakang WRX produksi ini kelihatan agak ‘sibuk’ dengan diffuser yang besar bersama tip ekzos berkembar pada setiap sisi.

    Dalam kabin, WRX ini menerima rekaan yang seiras dengan model-model terkini Subaru yang lain, dengan papan pemuka hampir seiras seperti crossover Subaru Outback. Ia diberikan skrin sesentuh utama dengan kedudukan menegak bersaiz 11.6-inci, diapit liang penghawa dingin tengah yang juga berdiri.

    Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Skrin tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon dengan 11-pembesar suara, bersama teknologi GreenEdge dan Clari-Fi, memberikan memberikan kesan bunyi yang dipacu dengan 504 watt.

    Walau bagaimanapun, WRX masih belum menerima paparan meter digital sepenuhnya seperti BRZ, dan masih diberikan kluster meter analog bersama skrin pelbagai info di tengah. Pemandu juga menerima roda stereng rata di bawah serta tombol gear serta tuil brek tangan yang direka dalam kedudukan mudah capai.

    Secara keseluruhan, kabin WRX ini menerima upholsteri yang dijahit dengan serlahan benang merah, panel-panel kemasan grafik gentian karbon, manakala model dalam varian GT menerima tempat duduk Recaro yang dibalut material Ultrasued berwarna hitam bersama larasan elektrik pada sebelah pemandu.

    Subaru WRX 2022 didedahkan secara rasmi – dijana enjin boxer turbo 2.4 liter berkuasa 271 hp/350 Nm

    Untuk keselamatan pula, WRX 2022 ini dibekalkan dengan tujuh-beg udara, manakala varian dengan kotak gear automatik diberikan pakej sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight sebagai ciri standard. Pakej keselamatan tersebut memberikan fungsi seperti sistem Pengelak Keluar Lorong yang diperhalusi bersama Stereng Automatik Kecemasan, Sistem Brek Pra-pelanggaran.

    Malah buat pertama kali, WRX menerima sistem Advanced Adaptive Cruise Control dengan Bantuan Kekal Tengah Lorong menerusi sistem EyeSight berkenaan.

    Subaru WRX serba baharu ini akan mula dijual di Amerika Syarikat pada awal 2022 nanti, jadi senarai harga rasmi hanya akan diumumkan hampir ketika dilancarkan nanti. Subaru juga masih belum mengumumkan bila versi lebih berkuasa WRX STI generasi baharu akan membuat penampilan, namun biasanya ia akan muncul tidak lama selepas versi biasa ini didedahkan.



     
     
  • Mazda CX-9 2021 diperkenal di M’sia — Apple CarPlay tanpa wayar, kerusi merah, luaran Ignite Edition

    Mazda CX-9 2021 diperkenal di M’sia — Apple CarPlay tanpa wayar, kerusi merah, luaran Ignite Edition

    Bagi model tahun 2021 untuk pasaran tempatan, Bermaz Motor kini memperkenalkan kemaskini bagi model SUV Mazda CX-9. Sama seperti sebelum ini, model CBU berkenaan ditawarkan dalam dua varian — 2WD dan 4WD — kedua-duanya dengan spesifikasi yang hampir sama melainkan sistem pacuannya.

    Dari segi harga, varian 2WD dijual pada harga RM319,847.40 atas jalan tidak termasuk insurans, sementara versi 4WD pula RM336,215.40. Kedua-dua harga ini mengambil kira potongan 50% SST untuk kenderaan CBU dan termasuk jaminan lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaraan percuma.

    Kemaskini penggayaannya pula melibatkan pakej luaran “Ignite Edition” sebagai ciri standard, yang melibatkan gril dan cermin sisi hitam berkilat, dan dilengkapi dengan rim 20-inci hitam. CX-9 datang dalam enam pilihan warna, dengan Soul Red Crystal menyertai warna sedia ada sebelum ini — Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl dan Sonic Silver.

    Mazda CX-9 2021 diperkenal di M’sia — Apple CarPlay tanpa wayar, kerusi merah, luaran Ignite Edition

    Di dalam, kerusi dalam balutan kulit berwarna merah menjadi kontras kepada kemasan dalaman hitam yang menghiasinya. Skrin infotainmen Mazda Connect sembilan-inci yang diperkenalkan tahun lalu masih dikekalkan, tetapi kini dengan ciri sokongan Apple CarPlay tanpa wayar yang melengkapi sambungan Android Auto dengan wayar sebelum ini. Turut diperkenalkan pengecas tanpa wayar dan paddle shifter bagi transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuannya.

    Kotak gear ini digandingkan dengan enjin petrol sama, SkyActiv-G 2.5 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm tork pada 2,000 rpm. Bagi varian 2WD, ia adalah pacuan roda depan, sementara 4WD menerima sistem pacuan semua roda i-Activ Mazda.

    Versi 4WD juga lengkap dengan ciri Off-road Traction Assist, yang merupakan lanjutan kepada Traction Control System (TCS) pada SUV ini, untuk membantu pemandu di dalam permukaan mencabar. Ciri lain yang masih dikekalkan dari model tahun 2020 termasuk sistem i-Stop dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).

    Kelengkapan lain hampir sama seperti sebelumnya, dengan kedua-dua varian dilengkapi lampu utama LED latasan sendiri, lampu belakang LED, pengilap cermin automatik, pintu belakang berkuasa, sunroof berkuasa, sensor parkir depan dan belakang (empat di setiap sudut) dan sistem pintar tanpa kunci.

    Ada juga kerusi depan berkuasa (larasan 10-hala dengan fungsi memori untuk pemandu, enam-hala untuk penumpang) dengan fungsi pengudaraan dan pemanasan, paparan kluster instrumen 4.6-inci, pendingin hawa tiga-zon dengan corong di barisan kedua, fungsi tunjuk arah dan sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara.

    Kelengkapan keselamatan SUV tujuh-tempat duduk ini juga kekal sama, termasuk enam beg udara (depan, sisi dan tirai), ABS, DSC, EBD, Emergency Brake Assist, bantuan mula mendaki, lampu isyarat kecemasan dan Isofix. Tidak ketinggalan ialah bantuan pemanduan i-ActiveSense yang terdiri daripada ciri seperti lampu utama LED adaptif (ALH), peninjau titik buta (BSM), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), amaran penukaran lorong (LDWS), bantuan mengekalkan lorong (LAS) dan amaran perhatian pemandu (DAA). Sistem Smart City Brake Support (SCBS) juga datang dengan pengesan pejalan kaki di depan dan belakang.

     
     
  • Modenas Dominar D400 2021 dilancar di M’sia – RM14k

    Modenas Dominar D400 2021 dilancar di M’sia – RM14k

    Modenas hari ini telah melancarkan model Dominar D400 versi dipertingkat untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua warna baru, iaitu Savanna Green dan Charcoal Black, dan dijual pada harga RM13,997 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Dominar D400 baru ini akan menggantikan Dominar yang mula dijual di Malaysia sejak tahun 2018 lalu, dan antara peningkatan utamanya adalah pada bahagian suspensi, di mana bahagian hadapan kini menggunakan unit fork USD 43 mm dengan jarak gerak 135 mm. Bahagian belakang masih menggunakan monoshock dengan tabung Nitrox.

    Enjin masih lagi menggunakan unit satu silinder DOHC tiga palam pencucuh berkapasiti 373.2 cc, tetapi ia telah ditala semula untuk menghasilkan 40 hp pada 8,650 rpm dan 35 Nm tork pada 7,000 rpm (tambahan 5 hp berbanding model terdahulu). Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.

    Kemudiannya pada bahagian brek, model ini masih menggunakan padanan cakera 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang, siap dengan sistem ABS two-channel, tetapi kedudukan cakera itu telah dialih ke bahagian kiri roda, berbanding sebelah kanan sebelum ini. Rim bersaiz 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Kelengkapan lain masih lagi sama, termasuklah tangki bahan api 13 liter, panel meter LCD, lampu hadapan LED dan berat 182 kg. Model ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 versi CKD sah akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 versi CKD sah akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengesahkan bahawa model A-Class Sedan V177 bakal dilancarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi. Perkara tersebut didedahkan ketika sesi temuramah bersama presiden dan CEO syarikat berkenaan, Sagree Sardienas dan juga ketua jualan dan pemasarannya, Micheal Jopp.

    Februari tahun ini, MBM telah mendedahkan minat mereka bagi menambah model-model kompak berasaskan platform MFA dan juga SUV yang dihasilkan secara pemasangan tempatan dalam barisan modelnya. Ia kemudiannya disahkan apabila tercatat dalam laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk bulan Julai.

    Laporan tersebut tidak mendedahkan secara terperinci model mana yang akan dipilih untuk dipasang oleh kilang MBM di Pekan, Pahang, namun dengan kapasiti enjin yang disenaraikan adalah 1,301 cc hingga 1,501 cc, ia memberi petunjuk kepada tiga model yang menggunakan enjin M282 1.33 liter empat silinder turbo iaitu A 200 Sedan, W177 A 200 hatchback dan crossover GLA 200.

    Tekaan kami ketika itu bahawa A-Class Sedan yang akan dipilih ternyata tepat. “Pertama sekali, kami ucapkan tahniah [kepada paultan.org] kerana menjumpai perkara ini, sangat bagus. Ya, kami akan lancarkan A [Class] Sedan CKD, yang mana, jelas kami umumkan pada awal tahun ini bahawa kami akan lancarkan [model dari] MFA,” kata Jopp.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 versi CKD sah akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat

    “Namun, walaupun kami telah memproduksi kereta bukan bermaksud kami boleh menjual kereta tersebut, kerana sebelum kami boleh menjual kereta, ada berberapa pra-syarat lain yang perlu kami penuhi secara dalaman, hanya dari perspektif pelepasan produksi sebenar,” tambahnya lagi.

    Jopp turut menyatakan berkenaan isu kelulusan harga , yang sebelum ini menjejaskan syarikat-syarikat kereta di Malaysia, seperti yang kita lihat terjadi pada Honda Civic facelift. “Merujuk kembali kepada kerajaan, kesemua kelulusan harga yang diperlukan belum lagi kami terima pada saat ini,” katanya.

    “Ini sesuatu yang boleh saya pastikan sekarang dan oleh itu, malangnya, saya tak dapat pastikan bila sebenarnya kami akan lancarkan [A-Class Sedan]. Dari perspektif jualan, saya harap hanya beberapa minggu akan datang. Tetapi secara jujurnya, saya tak tahu, saya memang tak boleh katakannya pada masa sekarang,” tambah Jopp lagi.

    Berdasarkan jawapan Jopp, kita boleh jangkakan A-Class Sedan CKD akan dilancarkan dalam masa “beberapa minggu” lagi, mungkin dengan harga lebih rendah berbanding model A 200 Progressive Line yang diimport sepenuhnya (CBU) sedia ada yang bakal kehabisan stok tidak lama lagi. Juga masih tidak dapat dipastikan adakah model CKD nanti akan kekal dengan kelengkapan yang diberikan pada model CBU.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 versi CKD sah akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat

    Buat masa sekarang, A 200 Sedan Progresive Line dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM222,121, sudah termasuk pengecualian cukai jalan 50% untuk kenderaan CBU. Model CKD kelak mungkin lebih murah setidak-tidaknya ia menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 100%, membolehkan ia berada dalam kedudukan lebih kompetitif dengan pesaing terusnya, BMW 2 Series Gran Coupe F44 yang juga versi CKD dalam varian 218 M Sport bermula RM211,367.

    Kami turut menjangkakan MBM turut akan melancarkan sekali model A 250 CKD serentak dengan A 200 kelak, berdasarkan trend sebelum ini di mana syarikat tersebut lazimnya akan memperkenalkan barisan model pemasangan tempatan yang sama seperti versi CBU. Buat masa sekarang A 250 AMG Line CBU dijual pada harga RM259,255 dengan pengecualian cukai jualan 50%.

    Dengan pemasangan tempatan model-model dari platform MFA tersebut kini menjadi kenyataan, kami turut bertanya adakah MBM turut akan membawa model-model EQ (janaan elektrik sepenuhnya) yang menggunakan platform sama dalam barisan model CKD mereka.

    “Dengan penilaian keseluruhan portfolio EV, keputusan belum dibuat produk mana yang lebih masuk akal bagi dilokalisasikan dalam Malaysia, jika kami buat keputasan untuk untuk langkah tersebut. Dan oleh itu, malangnya, saya tak boleh beri jawapan sekarang,” balas Jopp.

    GALERI: Mercedes-Benz A 200 V177 Progressive Line Sedan

     
     
  • Rapid KL mula tingkatkan kekerapan tren susulan peralihan Lembah Klang ke Fasa Kedua PPN

    Rapid KL mula tingkatkan kekerapan tren susulan peralihan Lembah Klang ke Fasa Kedua PPN

    Rapid KL memaklumkan semua perkhidmatan rel kendalian syarikat ini telah dipertingkatkan kekerapan tren susulan peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. Di mana langkah itu diambil bagi membolehkan penumpang kekal mematuhi penjarakan fizikal berikutan jumlah pengguna dijangka bertambah mulai minggu depan.

    Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasminya, kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, laluan monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara empat hingga 10 minit, bergantung pada waktu puncak. Bagaimana pun, operasi perkhidmatan rel adalah dari jam 6 pagi hingga 11 malam sahaja.

    Rapid KL turut memaklumkan pihaknya akan sentiasa memantau situasi penumpang melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sekiranya perlu jumlah tren akan ditambah lagi. Justeru, para penumpang tidak perlu gusar kerana Rapid KL menyediakan kapasiti mencukupi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Namun demikian, penumpang juga digalakkan untuk melakukan penjarakan fizikal secara kendiri memandangkan operasi tren dijalankan dengan kapasiti 100% penumpang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025