Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ kongsi prosedur untuk tukar warna kenderaan

    JPJ kongsi prosedur untuk tukar warna kenderaan

    Sebelum ini, dalam Kad Pendaftaran Kenderaan (RC) ada tertera makluman untuk pemilik yang menukar warna badan kenderaan haruslah memaklumkan kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Namun demikian, selepas RC ditukarkan kepada Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) mulai Jun 2016, makluman tersebut tidak lagi dipaparkan.

    Ini menjadi tanda tanya di kalangan pemilik kenderaan, adakah masih perlu untuk memaklumkan kepada JPJ berkenaan dengan pertukaran warna badan kenderaan dari yang asal ke warna baharu. Berikutan persoalan tersebut, terkini, JPJ telah berkongsikan info grafik mengenai perkara ini.

    Menurut JPJ, langkah yang perlu dibuat selepas kenderaan siap ditukar warnanya ialah pemilik haruslah ke cawangan JPJ yang berhampiran untuk urusan makluman penukaran warna kenderaan tersebut.

    JPJ kongsi prosedur untuk tukar warna kenderaan

    Jika melebihi daripada satu warna, warna yang paling banyak atau dominan dianggap warna kenderaan. Contohnya, mungkin anda memilih ungu sebagai warna utama, dengan biasan kuning atau perak, maka ungu itulah yang akan dispesifikkan sebagai warna utama kenderaan. Anda perlu mengisi borang JPJ K8 (pindaan butir-butir kenderaan) dan diserahkan kepada pegawai JPJ yang bertugas. Kemudian pegawai berkenaan akan mengemaskini maklumat terbabit menerusi sistem MySikap.

    Bagi urusan mengemaskini maklumat sebegini, tiada sebarang pembayaran yang dikenakan, kata JPJ.

    JPJ turut memaklumkan, merujuk Seksyen (12) APJ 1987, setiap pemilik kenderaan yang menukar warna, perlu diberi suatu Notis Arah Periksa atau PG1. Notis tersebut diberikan supaya pemilik memaklumkan kepada JPJ setiap perubahan warna kenderaan berkenaan dan bukanlah saman kerana tukar warna kenderaan.

    Baru-baru ini, ada berita tular di laman media sosial mengenai pemilik kenderaan yang disaman kerana tidak mengemaskini maklumat mengenai penukaran warna kenderaan. Justeru, dengan adanya informasi yang dikongsikan ini dapat memberikan panduan untuk pemilik kenderaan mengenai prosedur yang perlu dilakukan selepas selesai mengecat kenderaan anda.

     
     
  • Suzuki Malaysia bukan bakal lancarkan Belang/Satria 150 baru sahaja, tetapi juga GSX-R150 secara CKD?

    Suzuki Malaysia bukan bakal lancarkan Belang/Satria 150 baru sahaja, tetapi juga GSX-R150 secara CKD?

    Hujung tahun lepas, selepas pengurusan edaran motosikal Suzuki diambil alih oleh syarikat baru, kita sudah melihat mereka mengeluarkan teaser yang menunjukkan bahagian lampu hadapan motosikal yang nampak seperti Raider R150 atau Satria F150.

    Tapi kali ini, kami mendapat khabar baru daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa syarikat ini juga akan membawa model GSX-R150 ke dalam pasaran Malaysia. Dua model ini sekarang sedang menunggu kelulusan VTA daripada JPJ dan sepatutnya tidak mengambil masa yang begitu lama untuk dilancarkan.

    Menariknya lagi, bagi motosikal yang boleh dikategorikan sebagai model kapasiti kecil ini, Suzuki Malaysia akan mengeluarkannya dalam versi CKD, di mana pemasangan dilakukan di dalam negara, sekaligus memberikan kita gambaran awal bahawa harganya akan menjadi lebih rendah.

    Suzuki Malaysia bukan bakal lancarkan Belang/Satria 150 baru sahaja, tetapi juga GSX-R150 secara CKD?

    Melihat kepada Satria F150 pasaran Indonesia yang dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 147.3 cc serta padanan kotak gear enam kelajuan, ia boleh menghasilkan kuasa sehingga 18 hp, sekaligus menjadikan ia lebih berkuasa berbanding Yamaha Y16ZR dan juga Honda RS150R.

    GSX-R150 juga menggunakan enjin sama, tetapi kuasanya lebih tinggi, iaitu 19 hp dan datang dengan bentuk lebih sporty serta fairing penuh. Yamaha R15 yang boleh dianggap pesaing terdekatnya juga mampu menghasilkan kuasa hampir sama iaitu 19.3 hp.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Navara 2021 facelift dilihat di M’sia

    SPYSHOT: Nissan Navara 2021 <em>facelift</em> dilihat di M’sia

    Melalui gambar yang sempat dirakam oleh pembaca paultan.org, Maurice Chew ini, nampaknya Nissan Navara 2021 facelift sudah berada di Malaysia. Trak pikap yang menjadi saingan kepada Toyota Hilux, Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max ini yang berada di atas trailer mungkin memberi petunjuk ia akan dilancarkan tidak lama lagi.

    Mula ditunjuk pada November 2020, ini merupakan versi melibatkan perubahan paling besar bagi Navara dalam tempoh enam tahun sejak versi Navara D23 ini diperkenalkan pada 2014. Walaupun gambar yang ada ini tidak terlalu jelas, kita tahu ia merupakan ini versi facelift kerena tulisan yang ada pada bahagian belakangnya, serta lampu belakang dengan bentuk C. Bampar belakang yang lebih berisi turut menempatkan tangga untuk mudahkan capaian ke ruang barangan lebih mudah.

    Jika unit warna kelabu yang dilihat ini menggunakan lencana biasa Nissan, unit warna hitam di bawah itu pula menggunakan lencana hitam dengan tulisan Nissan warna merah. Ini petunjuk bahawa ia mungkin grek atau varian Pro-4X terbaru. Versi ini diberikan naik taraf dari segi estetika termasuk pada lengkung tayar, kemasan perincian serta lencana gelap, serta rim hitam dengan tayar all-terrain. Bayangkan ia seperti Hilux Rouge atau Ranger Wildtrak.

    Bahagian depan tidak kelihatan dalam gambar ini, tetapi sentuhan facelift-nya mengambil ilham daripada model Titan terkini; ada gril besar dengan ejaan Navara di atasnya. Rekaan lampu ala kiub dengan empat projektor LED serta DRL bentuk C. Paling hampir, boleh merujuk kepada model sama yang diperkenalkan untuk pasaran Thailand pada November tahun lalu.

    Di Thailand, trak pikap ini yang dipertingkatkan dan menerima enjin 2.3 liter turbodiesel lebih maju yang telah pun ditawarkan di beberapa pasaran, termasuklah bagi SUV Terra. Ia bagaimanapun untuk gred bahan api Euro 5 dan ke atas. Unit kuasa YS23 ini menggantikan unit YD25DDTi 2.5 liter empat-silinder dan ditawarkan dengan dua varian. Bagi varian YS23DDT turbo-tunggal dengan kotak gear manual enam-kelajuan, ia menghasilkan kuasa hingga 163 PS pada 3,750 rpm dan tork 403 Nm dari 1,500 dan 2,500 rpm.

    Manakala bagi varian YS23DDTT turbo-berkembar pula, ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan yang mampu mengeluarkan kuasa hingga 190 PS dan tork 450 Nm. Bagaimana pun, untuk pasaran negara ASEAN yang lain, termasuk Malaysia, yang masih menggunakan diesen Euro 2M, belum diketahui bakal menerima enjin baharu ini atau tidak.

     
     
  • Lamborghini perkenal dua model V12 baru pada 2021

    Lamborghini perkenal dua model V12 baru pada 2021

    Lamborghini bakal memperkenalkan dua model V12 baharu pada tahun ini, diikuti dengan pelancaran model hardcore Huracan Super Trofeo Omologato, laporan Autocar. Perinciannya masih tidak didedahkan, namun bos besar jenama ini, Stephan Winkelmann berkata salah satu darinya akan dilengkapi sistem supercapacitor elektrik dan dikeluarkan dengan jumlah yang terhad. Ia dijangka model prestasi sangat tinggi.

    Walau pun semakin banyak syarikat pengeluar kereta telah mula membangunkan supercar elektrik, namun Lamborghini akan tetap terus menawarkan enjin V10 dan V12. Menurut ketua pembangunannya, Maurizio Reggiani, Lamborghini merupakan jenama yang penuh beremosi. “Jika kita tidak mampu beremosi, maka tiada alasan untuk membeli Lamborghini.”

    Pada 2020, pengeluar kenderaan mewah ini telah menjual sebanyak 7,430 kereta di peringkat global, iaitu menurun sebanyak -9% berbanding tahun sebelumnya. Walau bagaimana pun, ia masih jumlah kedua tertinggi dalam sejarahnya, dengan keuntungan sebanyak £1.38 billion (RM7.91 billion).

    Amerika Syarikat masih kekal menjadi pasaran terbesar jenama ini, dengan sejumlah 2,224 kereta dihantar di negara berkenaan. Diikuti dengan Jerman (607 unit, naik 8%), China (termasuk Hong Kong dan Macau) di tempat ketiga dengan sejumlah 604 kereta. Manakala 600 kereta di Jepun, 517 unit di UK dan 347 unit untuk pasaran negara kelahirannya sendiri.

     
     
  • Skoda Kushaq 2021 – SUV segmen B baru untuk India

    Skoda Kushaq 2021 – SUV segmen B baru untuk India

    Skoda telah mula mengeluarkan teaser untuk model Kushaq baru sejak awal tahun lagi, dan kini, ia sudah pun ditunjukkan buat pertama kalinya kepada dunia. Crossover segmen B yang dibuat khas untuk pasaran India ini memasuki pasaran untuk bersaing dengan model seperti Kia Seltos dan Hyundai Creta (Honda HR-V tidak dijual di sana).

    Kushaq dibina atas platform khas MQB A0 untuk varian India, iaitu MQB A0 IN, dan mempunyai saiz sedikit lebih kecil berbanding Kamiq pasaran Eropah. Ia 20 mm lebih pendek (4,221 mm) dan 33 mm lebih kurus (1,760 mm lebar) tetapi 59 mm lebih tinggi (1,612 mm), sementara jarak roda pula masih lagi sama iaitu 2,651 mm. Jarak dari tanah Kushaq adalah 23 mm lebih tinggi, menjadi 188 mm.

    Pada bahagian luar, Kushaq mendapat banyak konsep gaya daripada Vision IN dan diterapkan dengan beberapa rekaan khas Skoda. Garis-garis tajam pada badannya dipadankan bersama gril heksagon yang besar, lampu terpisah (boleh didapati dengan unit LED, tiga bukaan udara di bawah, kemasan dengan lencana Skoda di fender serta dua garis lekuk di tepi.

    Skoda Kushaq 2021 – SUV segmen B baru untuk India

    Pergi ke bahagian belakang, anda boleh melihat lampu berbentuk L, dan bentuk yang sama, tetapi diterbalikkan diguna pada pemantul cahaya di bawahnya. Menambahkan lagi ciri ranggi SUV ini adalah kemasan plastik pada lengkung tayar, skid plate dan rel bumbung. Varian paling asas menggunakan rim besi 16 inci sementara varian yang lebih tinggi dipasang dengan sama ada rim 16 atau 17 inci.

    Di dalam, Kushaq menggunakan rekaan kabin ringkas dengan roda stereng dua cabang, skrin sesentuh seakan terapung di tengah serta corong pendingin hawa bentuk heksagon yang diambil daripada Vision IN. Skrin untuk sistem infotainmen boleh didapati dalam saiz tujuh dan 10 inci, dengan versi paling atas turut menawarkan khidmat pembelian atas talian untuk fungsi seperti navigasi. Turut disediakan adalah pengecas tanpa wayar serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    SUV ini juga datang dengan ciri “pintar” seperti tempat meletak barang luas di tepi pintu dengan tali getah, pemegang tiket di A-pillar, cangkuk barangan di tempat simpanan belakang serta tempat meletak cawan yang mempunyai getah di bawah supaya pengguna boleh membuka botol dengan satu tangan. Menurut Skoda, ruang kecil atas papan pemuka dibuat khas untuk pelanggan India meletakkan patung kecil mengikut kepercayaan mereka.

    Kenderaan ini masih datang dengan pendingin hawa secara standard, tetapi pembeli juga boleh mendapatkan unit kawalan automatik satu zon, ruang simpanan yang disejukkan dengan udara pendingin hawa serta bumbung suria. Luas bahagian barangan belakang adalah 385 liter, dan ia lebih kecil berbanding Seltos dan Creta yang mencatat 433 liter.

    Skoda mendakwa, Kushaq adalah kereta pertama di India yang datang dengan kawalan cengkaman secara standard, bersama dua beg udara serta cagak ISOFIX di belakang. Fungsi lain seperti Hill Start Assist dan enam beg udara terletak dalam pilihan tambahan.

    Kushaq dipacu oleh dua pilihan enjin TSI turbo iaitu unit tiga silinder 1.0 liter 115 PS dengan padanan kotak gear manual atau automatik enam kelajuan, dan satu lagi unit empat silinder 1.5 liter 150 PS bersama padanan kotak gear sama ada manual atau DSG tujuh kelajuan.

     
     
  • BMW akan terus buat enjin pembakaran dalaman

    BMW akan terus buat enjin pembakaran dalaman

    Dengan undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat, malah semakin banyak negara mahu memansuhkan terus penggunaan enjin pembakaran dalaman, kini sudah banyak jenama yang semakin berani untuk merubah perniagaan mereka untuk menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya.

    Namun bagi BMW, walaupun mereka sudahpun mempunyai rancangan elektrifikasi untuk masa hadapan, pengeluar automotif Jerman berkenaan menyatakan bahawa mereka akan terus membangunkan enjin yang dijana oleh bahan api fosil tersebut. Menurut CEO BMW Oliver Zipse dalam akaun Twitter peribadinya, BMW tidak mempunyai perancangan bagi menghentikan pembangunan enjin pembakaran dalaman “kerana permintaannya akan kekal kukuh untuk tahun-tahun mendatang.”

    Kenyataan tersebut adalah respon terhadap CEO Audi Markus Duesmann yang dilaporkan berkata bahawa undang-undang emisi di Eropah yang semakin ketat membuatkan pembangunan enjin petrol dan diesel baharu menjadi terlalu mahal dan tidak berbaloi.

    “Kami tidak akan membangunkan enjin pembakaran dalaman lagi, tetapi, sebaliknya, akan mengadaptasikan enjin pembakaran dalaman sedia ada kami agar mematuhi garis panduan emisi baharu,” kata Deusemann kepada Automobilwoche.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mercedes-Benz sebelum ini mengatakan bahawa mereka akan menghentikan produksi enjin pembakaran dalaman pada 2039. Tetapi berdasarkan laporan InsideEV, ahli lembaga Daimler AG dan juga CEO Mercedes-Benz, Markus Schafer mengatakan bahawa dia percaya ketika standard emisi Euro 7 diperkenalkan, enjin pembakaran dalaman hampir mustahil untuk dijual dalam pasaran Eropah dan Mercedes perlu bersedia sebelum 2039.

    Schafer menjangkakan jumlah kenderaan dalam barisan model Mercedes dengan enjin pembakaran dalaman akan turun sebanyak 40% menjelang 2025, dan 70% menjelang 2030. Volvo juga telah mengumumkan bahawa mereka akan menjadi jenama kereta elektrik sepenuhnya pada tahun 2023, dan tidak akan menjual sebarang model dengan enjin pembakaran dalaman termasuk hibrid untuk pasaran seluruh dunia ketika itu.

     
     
  • Mitsubishi UK tutup – lelong kesemua unit warisan sejarah; Evo, Starion, Pajero, Lancer dan Galant!

    Mitsubishi UK tutup – lelong kesemua unit warisan sejarah; Evo, Starion, Pajero, Lancer dan Galant!

    Julai tahun lalu, Mitsubishi telah mengumumkan pelan perniagaan jangka-pertengahan yang dirangka bagi memulihkan kembali prestasi syarikat yang kini sedang bergelut dengan pelbagai masalah. Dan menerusi strategi “Pemilihan dan Konsentrasi”, jenama berkenaan hanya akan mengukuhkan tapaknya di pasaran dengan reputasi mereka yang masih dominan iaitu di ASEAN, tetapi terpaksa keluar dari kebanyakkan pasaran di Eropah.

    United Kingdom merupakan salah satu negara yang terpaksa mereka tinggalkan. Walaupun jualan Mitsubishi Outlander PHEV mendapat sambutan yang baik (kerana insentif kereta mesra alam yang diberikan oleh kerajaan), jenama berkenaan betul-betul ‘merana’ pada pasaran berkenaan – tahun lalu, Mitsubishi UK hanya memperolehi 0.5% bahagian pasaran dengan jumlah jualan hanya 9,076 unit.

    Jadi, selain dari pejabat-pejabat urusan dan fasiliti-fasiliti jualan dan kejuruteraan, mereka juga terpaksa menjual unit-unit kenderaan warisan sejarah yang sentiasa berada dalam ‘kondisi muzium.’ Dan 14 unit kereta yang bakal dilelong ini bukan dari baka biasa-biasa, ia turut melibatkan sejarah emas Mitsubishi dalam sukan permotoran!

    Antaranya adalah Mitsubishi Colt Lancer generasi pertama, Colt Galant, Jeep CJ-3B, Starion Turbo, Galant VR-4, 3000GT, Lancer Evo VI Tommi Makinnen Edition (TME), Lancer Evo IX MR FQ 360, Lancer Evo X MR FQ-440, dan pelbagai model Pajero (dikenali sebagai Shogun di sana).

    Tentu ramai daripada anda yang tak pernah tau Mitsubishi pernah menghasilkan Jeep untuk kegunaan tentera bukan? Jeep CJ-3B berkenaan sebenarnya adalah model rebadge dari Jeep Willy Amerika Syarikat, dan ia telah dibawa ke UK pada tahun 1983.

    Mitsubishi Colt Lancer 1.4L Coupe (nickname Lancer telefon di Malaysia kerana lampu belakang menyerupai ganggang telefon) yang dilelong berkenaan pula adalah model tahun 1974, unit sebenar yang dipamerkan pada British Motor Show pada tahun tersebut. Mitsubishi Colt Galant 2.0L (juga dikenali sebagai Galant ‘Kuda’ kerana logo kuda yang digunakan) yang dilelong ini juga dari tahun yang sama.

    Model-model yang dipopularkan oleh filem-filem lakonan Jackie Chan turut ada tersenarai dalam barisan unit yang dilelong ini iaitu kereta sport Mitsubishi Starion Turbo 1988 (filem The Cannonball Run 1981) dan juga Mitsubishi 3000GT 1992 (juga dikenali sebagai GTO) yang terkenal menerusi filem Thunderbolt 1995.

    Kereta rali Mitsubishi Galant VR-4 1989 yang dilelong kali ini adalah replika jentera yang pernah dipandu oleh Pentti Airikkala dalam Lombard RAC Rally 1989. Walaupun ia hanya replika, unit ini dihasilkan dengan spesifikasi rali sebenar oleh pakar pembuat kereta rali, Co-Ordsport.

    Nak kereta rali sebenar? Anda boleh bida kereta rali Lancer Evo IX dalam simpanan Mitsubishi UK ini. Ia adalah jentera sebenar yang dipandu oleh Guy Wilkes dan menjuarai Kejohanan Rali British (BRC) untuk musim 2007 dan 2008.

    Barisan Evo lain yang boleh anda bida kali ini juga bukan model Evo yang boleh beli dengan mudah dalam pasaran sekarang. Evo VI TME yang disimpan oleh Mitsubishi UK ini bukan sahaja macam baru keluar kilang, ia juga ada tandatangan sebenar Tommi Makinen pada penutup bonet depan!

    Bagi peminat tegar Mitsubishi Lancer Evo, mereka pasti sudah tahu apa yang dimaksudkan dengan akronim ‘MR’ dan ‘FQ’ pada Lancer Evo IX dan Evo X dalam senarai ini. Kedua-duanya adalah model edisi terhad yang hanya dijual di UK (Jepun pun tak dapat!) dengan peningkatan prestasi yang begitu hardcore.

    Mitsubishi Lancer Evo IX MR FQ 360 ini dibuat pada tahun 2008, hanya sebanyak 200 unit. Berbanding model standard, versi ini diberikan unit pengecas turbo, intercooler dan ekzos yang ditingkat taraf serta talaan semula pada kotak komputer enjin, bagi membolehkan enjin 4G63T 2.0 liter tersebut menghasilkan 360 hp dan tork maksima 492 Nm.

    Manakala Lancer Evo X MR FQ-440 pula dibuat pada tahun 2014, dihasilkan hanya 20 unit sempena ulangtahun ke-40 Mitsubishi UK. Model ini menampilkan spesifikasi yang jauh lebih jahat – ia menerima pengecas turbo dan kotak komputer dari HKS, serta intercooler dan kit kemasukan udara bersama sistem ekzos dari Janspeed, membolehkan enjin 2.0 liter 4B11T berkenaan bernafas dengan 440 hp dan tork maksima 559 Nm!

    Kesemua kereta-kereta ini akan dilelong oleh Auto Auction tanpa rizab, dan bidaannya akan bermula 1 April ini. Selain dari kereta, Mitusbishi UK juga akan melelong pelbagai nombor pendaftaran persendirian yangfancy dalam simpanan mereka.

     
     
  • Daihatsu Gran Max 1.5L Euro 4 kini di Malaysia — ganti model Euro 2, versi pikap dan van, harga RM73k

    Daihatsu Gran Max 1.5L Euro 4 kini di Malaysia — ganti model Euro 2, versi pikap dan van, harga RM73k

    Daihatsu Malaysia telah melancarkan Daihatsu Gran Max Euro 4 baru untuk pasaran tempatan dan ditawarkan dalam versi pikap trak atau van panel. Model yang diperkemas ini mula dijual pada 1 Mac lalu dan menggantikan versi terdahulu Gran Max Euro 2.

    Gran Max Euro 4 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter dengan Dual VVT. Ini adalah unit 2NR empat-silinder yang turut digunakan untuk kereta penumpang Perodua dan Toyota, tetapi dengan janaan output yang sedikit lebih rendah — 97 hp dan 134 Nm. Myvi pula menghasilkan sebanyak 102 hp dan 137 Nm. Trak pikap datang hanya dengan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala van panel dengan pilihan 4AT juga.

    Daihatsu Gran Max 1.5L Euro 4 kini di Malaysia — ganti model Euro 2, versi pikap dan van, harga RM73k

    Enjin baru ini menepati tahap emisi particulate dan NOx Euro 4 serta lebih cekap penggunaan minyaknya berbanding versi terdahulu. Dengan kapasiti tangki minyak 43 liter, kadar penggunaan minyak yang diberikan ialah 12.5 km/l bagi pikap, dan untuk van 13.3 km/l bagi MT dan 13.5 km/l bagi AT.

    Daihatsu menjelaskan, kedudukan mid-engine yang terletak di bawah tempat duduk depan memberikan agihan berat yang optimum dan menjamin kestabilan. Gran Max dipacu oleh roda belakang dengan stereng EPS (radius pusingan 4.9 m). Rim pula bersaiz 14-inci, satu inci lebih besar berbanding sebelumnya. Bagi aspek keselamatan, ABS, VSC, sistem brek kecemasan, dua beg udara dan sensor undur adalah standard.

    Gran Max pikap mempunyai kapasiti beban maksimum 800 kg, sementara van pula 750 kg. Ruang barangan pikap mempunyai 2,480 mm panjang dan dindingnya 360 mm tinggi denga 20 cangkuk tali untuk mengikat barangan. Ruang kargo van pula 2,075 mm panjang dengan kelegaan lantainya 620 mm serta bukaan luas membolehkan urusan angkat barang lebih mudah. Kedua-dua sisi ada pintu gelungsur 815 mm.

    Dipasang di Indonesia, Daihatsu Gran Euro 4 ini dijual pada harga RM73,164 atas jalan tidak termasuk insurans.

     
     
  • GALERI: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021 – RM203,183

    GALERI: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021 – RM203,183

    UMW Toyota Motor telah melancarkan model Toyota Fortuner 2021, sebulan selepas tempahannya dibuka. Tiga varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 2.8L VRZ AT 4×4 diesel berharga RM203,183, 2.7L SRZ AT 4×4 dengan harga RM172,244, dan model untuk pasaran Malaysia Timur (Sabah, Sarawak, Labuan) sahaja iaitu 2.4 AT 4×4 (RM167,357).

    Foto yang dipaparkan di sini ialah varian tertinggi VRZ. Ia dijanakan oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel, unit yang sama ditampilkan pada model terkini Hilux Rogue, mampu menghamburkan kuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan limited-slip differential di belakang secara standard.

    Selain itu, enjin ini juga menampilkan blok silinder yang lebih optimum dan rekaan kepala gasket dengan balancer shaft untuk tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih baik. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan stereng berkuasa variable flow control (VFC) untuk membantu menjimatkan bahan api dengan menukar kepada mod bersedia (standby) bagi mengurangkan penggunaan kuasa dari enjin apabila tiada sudut stereng diaplikasikan.

    GALERI: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021 – RM203,183

    Fortuner 2.8 VRZ menerima lampu utama Quad LED yang dirombak semula dengan gril bercorak mesh di tengah, corong pengambilan udara bawah yang lebih besar, rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemaskan untuk imej lebih lasak.

    Malahan bahagian bumbungnya, tiang-A, perumah cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya dengan rona hitam. Rekaan setiap sudutnya juga diperkemas agar lebih aerodinamik. Untuk rim, kedua-dua varian menggunakan saiz 18-inci, manakala bampar belakangnya juga diberikan rekaan tersendiri.

    Eksklusif untuk varian tertinggi ini juga, ia diberikan Toyota Safety Sense (TSS), yang merangkumi Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dan Yaw Assist Function (YAF).

    PCS adalah konsep yang sama dengan AEB, di mana ia beroperasi dalam kelajuan antara 10 km/j dan 180 km/j, sementara DRCC pula boleh diaktifkan dari 30 km/j ke atas. Manakala YAF pula fungsinya sama dengan bantuan kekal lorong, yang akan menghantar brek ke roda untuk membantu kenderaan kembali semula ke lorong yang sepatutnya.

    Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ turut diberikan rekaan dan warna baharu, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemaskan dengan animasi pemula, dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Cahaya suasana pula memberikan kelainan ketika waktu malam, sementara perumah kunci juga diberikan rekaan lain.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik (menghindari silau) dan tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan untuk kegunaan peranti moden penumpang.

    UMW Toyota Motor turut menawarkan aksesori pilihan Tech-Up, termasuklah perakam video digital di belakang (RM350), pengecas tanpa wayar yang diletakkan di ruang storan perehat tangan hadapan (RM490), penderia tendangan untuk tailgate berkuasa (RM750), dan monitor yang dipasang di siling (RM2,990).

     
     
  • Yamaha Y16ZR dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM10,888, tiga pilihan warna, enjin VVA 155 cc

    Yamaha Y16ZR dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM10,888, tiga pilihan warna, enjin VVA 155 cc

    Selepas dilancarkan untuk pasaran Vietnam Disember tahun lalu sebagai Exciter serba baru, kini model sama yang dikenali sebagai Y16ZR sudah sedia dijual di Malaysia. Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan model ini pada harga RM10,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Hampir keseluruhan bahagian motosikal ini adalah baru tetapi yang utama adalah enjinnya yang kini menggunakan unit sama seperti R15 dan MT-15, iaitu unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm. Jumlah kuasa ini bagaimanapun sedikit kurang berbanding R15 yang mencatat 19 hp dan 14.7 Nm tork.

    Selain itu, perubahan yang boleh dilihat jelas adalah penampilan, di mana semua panel badan Y16ZR ini adalah serba baru, dilengkapi lampu jenis LED dengan nyalaan utama di bahagian atas, DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi. Rekaan lampu belakang juga adalah baru dan dikatakan mendapat inspirasi daripada model sports YZF-R1.

    Pergi kepada bahagian meter, Y16ZR VVA menggunakan unit digital LCD baru yang dapat memaparkan semua informasi dengan terang termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear. Pada bahagian butang kawalan di pemegang, selain fungsi biasa, penunggang juga disediakan dengan butang kill switch serta lampu memotong (pass light).

    Disebabkan semua panel badan model ini adalah serba baru, tempat duduknya direka semula, dengan mempunyai bentuk yang lebih sporty. Di bawahnya, terdapat tangki bahan api yang lebih besar berbanding Y15ZR, iaitu 5.4 liter.

    Selain enjin, prestasi Y16ZR VVA ini turut dipertingkat dengan angkup brek dua piston pada roda hadapan sementara fork hadapan pula ditala semula untuk menjadi lebih tinggi 10 mm (kini 100 mm). Monoshock belakang pula didatangkan dengan pelindung baru.

    Yamaha Y16ZR dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM10,888, tiga pilihan warna, enjin VVA 155 cc

    Selain daripada peningkatan yang dinyatakan di atas, Y16ZR VVA masih lagi menggunakan kelengkapan lain seperti rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, serta brek cakera belakang.

    Melalui pelancaran ini, HLYM menjadikan Malaysia antara yang terawal menerima model ini sementara negara lain seperti Indonesia dan Thailand yang sebelum ini kerap menjadi yang terawal masih belum mendapat model Y16ZR/Exciter VVA ini.

    Walaupun dengan ketibaan ini Y16ZR ini, HLYM masih akan menjual Y15ZR pada masa yang sama. Y16ZR diletakkan sebagai satu model yang terletak lebih tinggi dan ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu kuning, kelabu dan biru. Istimewa bagi 5,000 pembeli pertama, HLYM akan memberikan sarung kunci khas Royal Selangor secara percuma.



     
     
  • Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

    Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

    Baru sahaja gambar intipan tanpa sebarang pelekat penyamarannya tersebar tempoh hari, dan kini Peugeot 308 generasi terbaharu sudahpun didedahkan secara rasmi. Model generasi sedia ada hatchback tersebut boleh dikatakan masih lagi handsome sehingga sekarang, manakala versi generasi ketiga ini tampil dengan rupa lebih agresif, bersama pelbagai teknologi baharu serta ditawarkan dengan teknologi elektrifikasi buat pertama kali.

    Kereta yang didedahkan ini merupakan model dengan spesifikasi sama seperti imej intipan tempoh hari. Ia tampil dengan warna Olivine Green dan juga rim aloi 18-inci berwarna hitam, dan juga menjadi model pertama yang mengenakan logo kepala singa baru Peugeot yang diletakkan pada gril hadapan (menempatkan penderia radar), pada pintu tailgate belakang dan juga pada setiap sisi fender hadapan.

    Model generasi baharu ini sebenarnya masih diasaskan dari Efficient Modular Platform (EMP2) seperti generasi sebelumnya. Sebab itulah ia masih tampil dengan badan hatchback bersama rekabentuk muncung panjang serta tiang-C yang kelihatan tak jauh berbeza dari 308 sebelum ini.

    Rupa lebih agresif yang diberikan pada 308 2021 pula dilihat seakan mengambil inspirasi dari model 508 dan 208 baharu. Pada bahagian muka, ia menerima sepasang lampu LED yang cukup nipis (lampu opsyen LED matrix lebih nipis) bersambung dengan lampu nyalaan siang yang kelihatan seperti gigi taring. Lampu utama ini juga direka seakan tertusuk pada gril hadapan yang bersaiz besar.

    Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

    Lampu belakang juga direka jauh lebih nipis dari sebelum ini dan ia seakan bersambung merentangi pintu tailgate belakang (perumah nombor pendaftaran kini pada bampar), bersama grafik LED tiga cakaran signatur terkini Peugoet. Model generasi baharu ini juga nampak lebih rendah dari sebelumnya kerana ia ditala 20 mm lebih rendah serta jarak rodanya kini 55 mm lebih jauh bersama badannya kini 11 mm lebih panjang.

    Pada bahagian dalaman, model generasi baharu ini masih mengekalkan konsep rekaan avant-garde Peugoet, menampilkan rekaan signatur i-Cockpit. Paparan instrumen digital (boleh ditingkat taraf dengan pilihan skrin 10-inci) diletakkan tinggi dari roda stereng, bersama corong udara dan skrin infotainmen bersaiz 10-inci yang bukan sahaja memberikan lebih keselesaan pada penumpang, malah skrin sesentuh tersebut lebih mudah dicapai oleh pemandu.

    Kalau anda perhatikan dengan teliti, papan pemuka ini sebenarnya diberikan satu lagi skrin sesentuh yang terletak di bawah skrin infotainmen utama. Skrin tersebut menyediakan ikon pintas pelbagai fungsi seperti sistem pendingin hawa, sistem navigasi, telefon dan pelbagai lagi yang boleh anda pilih dan atur sendiri.

    Tiada tombol gear diletakkan di konsol tengah di mana ia diganti dengan suis toggle, yang diletakkan berhampiran dengan suis penghidup enjin serta pemilih mod pemanduan. Rekaan lebih ringkas tersebut membolehkan ia memberikan fungsi dan storan lebih banyak pada konsol tersebut seperti slot pengecas peranti tanpa wayar, dua pemegang cawan besar, serta storan berkapasiti 34 liter.

    Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

    Menurut Peugeot, kabin 308 ini diberikan kemasan-kemasan dengan material bermutu tinggi seperti plastik sentuhan lembut, panel aluminium sebenar serta balutan-balutan fabrik, Alcantara dan kulit Nappa.

    Sistem infotainmen i-Connect pada 308 ini juga sebenarnya adalah perincian baharu. Ia memberikan lapan profil pemandu berbeza yang boleh disimpan serta screen mirroring tanpa wayar (mungkin Apple CarPlay dan Android Auto) serta hubungan Bluetooth yang boleh dibuat pada dua telefon serentak.

    Ia juga menampilkan sistem arahan suara “Ok Peugeot”, sistem navigasi TomTom serta kemaskini perisian yang boleh dibuat secara over-the-air. Sepuluh pembesar suara Focal pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

    Untuk keselamatan, Peugeot 308 menerima pek Drive Assist 2.0 baharu, yang ditambah dengan kemampuan pemanduan separa autonomous. Selain dari adaptive cruise control dan bantuan kekal lorong, sistem ini turut dilengkapkan dengan penasihat had laju dan penukaran lorong serta boleh memperlahankan sendiri kelajuan ketika ia dipandu mengambil selekoh pada kelajuan 180 km/j.

    Sistem-sistem lain seperti pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pembersih kamera undur, kamera 360-darjah, dan fungsi panggilan kecemasan masih lagi diterapkan pada model generasi baharu ini.

    Peugeot 308 2021 ini menerima pilihan sistem rangkaian kuasa petrol dan diesel bersama pilihan transmisi manual dan automatik serta penjana hibrid plug-in (PHEV). Bagi model petrol sepenuhnya, ia hadir dengan enjin 1.2 liter tiga silinder PureTech Turbo dalam versi talaan 110 PS, dan 130 PS.

    Manakala versi diesel, ia diberikan enjin 1.5 liter empat-silinder BlueHDi turbodiesel juga menghasilkan 130 PS. Kesemua pilihan enjin pembakaran dalam ini boleh dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan sama ada manual atau automatik.

    Manakala untuk versi PHEV, ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Hybrid 180 dan Hybrid 225. Kedua-dua versi ini menerima enjin Prince 1.6 liter empat-silinder turbo, di mana model 180 menghasilkan 150 PS/250 Nm, manakala model 225 pula menjana 180 PS.

    Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

    Kedua-duanya menerima sistem elektrifikasi yang sama terdiri dari motor elektrik dengan tambahan kuasa 110 PS dan bateri 12.4 kWj. Ini membolehkan kedua-dua model berkenaan dibekalkan dengan tork maksima gabungan 320 Nm, dan masing-masing boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada jarak 59 dan 60 km menerusi kiraan kitaran WLTP.

    Model-model hibrid ini juga dibekalkan dengan pengecas on-board 3.7 kW , tetapi boleh ditingkat taraf dengan sistem opsyen 7.4 kW yang memerlukan wallbox fasa-tunggal membolehkan caj penuh dicapai dalam masa hanya 1 jam 55 minit. Dengan soket domestik 8-ampere pula, caj penuh memerlukan masa 7 jam 5 minit, atau 3 jam 50 minit sekiranya menggunakan soket 16-ampere.

    Peugeot juga menawarkan keahlian jaringan pengecaj Free2Move – dengan 225,000 stesen pengecaj di seluruh Eropah – dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km. Aplikasi telefon pintar MyPeugeot juga membolehkan pengguna untuk melakukan pra-kondisi sistem kawalan iklim serta menjadualkan masa mengecaj.

    Ini adalah barisan-barisan perincian yang ditawarkan ketika dilancarkan nanti. Namun platform EMP2 yang telah ditingkat taraf ini turut mampu untuk dijana oleh sistem elektrik sepenuhnya (EV), dan tidak mustahil versi berkenaan akan ditawarkan kemudian.

     
     
  • GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 – RM129,677

    GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 – RM129,677

    Toyota Innova 2021 telah pun dilancarkan di Malaysia pada awal Februari lalu, dan kini kami memaparkan galeri penuh untuk model facelift bagi MPV ini dengan varian 2.0X. Ditawarkan pada harga RM129,677 atas jalan tanpa insurans dengan pelepasan cukai jualan (merupakan model CKD).

    Selain itu, varian lain yang turut ditawarkan termasuklah model asas 2.0E berharga RM111,622, dan varian pertengahan dengan harga RM121,483. Terdapat juga versi komersil iaitu 2.0E yang digunakan sebagai teksi, berharga RM97,978. Innova didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had.

    Ketiga-tiga varian berkongsi npenjana kuasa yang sama seperti sebelum ini, dengan unit 1TR-FE 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm. Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik torque converter enam-kelajuan dengan mod sequential shift.

    GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 – RM129,677

    Semakan penggayaan untuk Innova termasuklah bampar baharu bersama gril berbentuk trapezoid dengan kemasan hitam dan krom, disesuaikan dengan sepasang lampu hadapan baharu yang lebih tajam. Selain itu,
    lampu kabus dan juga perumahnya turut direka semula, kini diposisikan secara menegak, sesuai dengan mukanya yang diperbaharui.

    Walau bagaimanapun, tiada perubahan besar dilihat pada bahagian belakang kerana ia masih menggunakan perumah lampu berbentuk-L yang sama. Apa yang berbeza, hujung keliling lampu tersebut kini digelapkan, manakala kemasan yang menghubungkan keduanya kini berwarna hitam.

    Untuk 2.0X, Varian 2.0X juga kini didatangkan dengan kemasan penggayaan tambahan yang ekslusif hanya untuknya, seperti kemasan pelindung pada ruang roda, kemasan sisi dan juga skirt sisi yang direka semula. Ia juga menerima rim aloi kemasan kelabu gelap berdiameter 17-inci.

    Di dalamnya, ia diberikan kemasan perak dan kayuan, skrin sesentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan turut memaparkan visual dari Pemantau Pandangan Panaromik 3D yang dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian berkenaan.

    Selain itu, ia diberikan pendingin hawa automatik depan/belakang, sistem audio dengan enam-pembesar suara tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, tempat duduk kapten pada barisan kedua, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Power) dan kombinasi kulit upholstery.

    Kesemua port USB juga telah ditingkat taraf yang memberikan pengecas pantas, manakala dua port di hadapan diposisikan semula ke papan pemuka dari panel konsol tengah, dan penumpang di baris ketiga turut menerima port USB mereka sendiri.

    Untuk aspek keselamatan, Innova diberikan tujuh beg udara secara standard, bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan, ABS, EBD, bantuan brek, penderia parkir hadapan/belakang dan cagak ISOFIX untuk barisan kedua. Varian 2.0X dan 2.0G turut didatangkan dengan pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, paparan pandangan panoramik dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS), yang kesemua ciri ini adalah pilihan untuk 2.0E.

    Beberapa ciri pilihan lain turut ditawarkan dengan kos tambahan iaitu perakam video digital (RM1,100), dan pengecas telefon tanpa wayar (RM490) yang terletak di perehat tangan bahagian tengah antara pemandu dan penumpang hadapan. Selain itu, varian 2.0X turut diberikan pilihan warna spesifik iaitu
    Crimson Spark Red Metallic, selain warna lain termasuk Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Silver Metallic, Super White II dan rona baharu Bronze Mica Metallic.

     
     
  • Honda City, BR-V ada diskaun ekstra hingga RM5,000; daftar sebelum 24 Mac, berpeluang menang unit SE

    Honda City, BR-V ada diskaun ekstra hingga RM5,000; daftar sebelum 24 Mac, berpeluang menang unit SE

    Jika anda memang berhasrat untuk membeli kereta Honda, sekaranglah masanya. Selain daripada pengecualian cukai yang berlangsung hingga 30 Jun 2021, Honda Malaysia juga sedang meraikan penanda aras 1 juta kenderaan di sini sejak memulakan operasi pada 2003, dan menganjurkan satu kempen promosi dan peraduan besar untuk tujuan tersebut.

    Pasti ramai yang sudah sedia maklum berkaitan kempen Honda 1 Million Dreams, yang menawarkan tujuh model kereta edisi khas Honda sebagai hadiah, melibatkan Jazz, City, Accord, BR-V, HR-V, Civic dan CR-V secara percuma. Dalam kempen sama, Honda Malaysia juga bekerjasama dengan Cuckoo, Shopee dan Watsons. Model Jazz edisi khas pula dikhaskan hanya kepada petugas barisan hadapan.

    Ada banyak cara untuk pelanggan ikut serta dan memenangi peraduan ini. Seperti biasa, membeli sebuah kereta baru Honda akan memberikan peluang terbesar untuk menang dengan gandaan jumlah penyertaan — dan tentulah, semuanya bergantung kepada tuah masing-masing.

    Honda City, BR-V ada diskaun ekstra hingga RM5,000; daftar sebelum 24 Mac, berpeluang menang unit SE

    Untuk itu, Honda Malaysia juga mengumumkan rebat istimewa 1M Dreams sehingga RM5,000 bagi City dan BR-V. Tawaran ini sah sehingga 31 Mac 2021; jadi masih berbaki dua minggu untuk pelanggan memanfaatkan tawaran ini. Jumlah diskaun berbeza mengikut varian kenderaan — keseluruhannya RM4,000 bagi City S dan V, dan RM5,000 bagi City E varian pertengahan. Bagi BR-V, varian E dan V akan diberikan rebat RM4,500. Semua kereta ini adalah dari unit pengeluaran tahun 2021.

    Rebat istimewa terbaru ini adalah tambahan kepada promosi bulan Mac Honda yang sedang berlangsung seperti diumumkan terdahulu (menawarkan diskaun antara RM1,000 hingga RM2,000), dan melebihi jumlah rebat bagi City dan BR-V sebelum ini.

    Bagi model lain, semua varian Civic 2021 akan menerima rebat keseluruhan RM1,000, sementara bagi semua varian Accord menerima diskaun RM2,500. Bagi Jazz, HR-V dan CR-V 2021 pula semuanya ditawarkan dengan rebat RM1,500. Rebat bagi City dan BR-V bagaimanapun kini lebih menguntungkan pembeli. Untuk perincian lanjut berkaitan tujuh model edisi khas Honda 1 Million Dreams dan cara mudah untuk menyertai peraduannya, tonton video di bawah.

    Edisi Khas Honda 1 Million Dreams

    Honda Jazz

    Honda City

    Honda Civic

    Honda Accord

    Honda HR-V

    Honda CR-V

    Honda BR-V

     
     
  • Polis nafi beri saman kepada pemandu pakai cermin mata hitam, tiada dalam peruntukan undang-undang

    Polis nafi beri saman kepada pemandu pakai cermin mata hitam, tiada dalam peruntukan undang-undang

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman hari ini menafikan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada mengeluarkan saman kepada individu yang memakai cermin mata hitam ketika memandu seperti yang tular dalam aplikasi WhatsApp.

    Menurut laporan Bernama, Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain menegaskan tiada peruntukan undang-undang menyatakan memakai cermin mata hitam atau gelap adalah satu kesalahan seperti yang didakwa dalam satu rakaman audio yang tular menerusi aplikasi berkenaan.

    “Antara kandungan mesej dalam audio yang tular berkenaan berbunyi ‘info kepada pemandu kereta atau lori yang memakai cermin mata gelap atau Ray-Ban tanpa masalah penglihatan yang melalui sekatan jalan raya, polis akan mengenakan saman sebanyak RM500 dan tiada kompaun’.

    “Perakam suara ini turut menyatakan dirinya telah disaman atas kesalahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Nadzri menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran mesej palsu tersebut dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu mesej sebelum dimuat naik atau dikongsi dalam laman sosial.

     
     
  • Kerajaan perincikan nilai kompaun PKP – diskaun 50% diberikan jika bayar dalam tempoh kurang seminggu

    Kerajaan perincikan nilai kompaun PKP –  diskaun 50% diberikan jika bayar dalam tempoh kurang seminggu

    Minggu lalu kerajaan telah pun mengumumkan bahawa nilai kompaun maksimum untuk kesalahan-kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000, berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 (Akta 342) yang baru sahaja dikemaskini.

    Sebelum ini, polis sudah mengumumkan bahawa kesemua kompaun yang mereka keluarkan berkenaan pelanggaran SOP berkenaan akan terus ditulis dengan amaun sebanyak RM10,000, kemudian ia boleh dikurangkan menerusi rayuan yang dibuat kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD).

    Terbaharu, kerajaan sudahpun mengumumkan senarai pelanggaran SOP yang boleh dikenakan kompaun, bersama jumlah sebenar denda berdasarkan kesalahan, lapor The Star. Senarai ini turut boleh anda rujuk secara dalam talian dalam laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Kerajaan perincikan nilai kompaun PKP –  diskaun 50% diberikan jika bayar dalam tempoh kurang seminggu

    Semalam, menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memperincikan kesalahan dan memberikan contoh jumlah kompaun yang akan diterima. Beliau menjelaskan bahawa kesalahan di bawah Akta 342 adalah dikelaskan dalam tiga kategori.

    Kesalahan kategori pertama adalah melibatkan risiko penyebaran virus yang tinggi dan boleh menyebabkan impak berskala besar terhadap komuniti. Kesalahan di bawah kategori ini akan diberikan jumlah kompaun yang paling tinggi. Contoh yang diberikan termasuk:

  • Ingkar arahan pegawai yang diberi kuasa di bawah Seksyen 11(3) Akta 342 – RM5,000
  • Orang yang dijangkiti atau orang yang disyaki dijangkiti ingkar arahan pihak berkuasa kesihatan – RM5,000
  • Masuk ke pub atau kelab malam, atau makan dan minum di pub atau kelab malam – RM10,000
  • Syarikat yang membuka operasi pub atau kelab malam – RM 50,000
  • Kerajaan perincikan nilai kompaun PKP –  diskaun 50% diberikan jika bayar dalam tempoh kurang seminggu

    Kesalahan Kategori kedua pula adalah melibatkan risiko penyebaran virus yang tinggi tetapi tidak menyebabkan impak berskala besar kepada komuniti. Contoh kesalahan dan kompaun yang diberikan termasuk:

  • Masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tanpa kebenaran – RM3,000
  • Ingkar arahan pegawai pihak yang diberi kuasa berkaitan PKPD – RM4,000
  • Ingkar arahan atau memberikan maklumat berkenaan langkah-langkah pencegahan wabak – RM4,000 untuk individu, RM20,000 untuk syarikat.
  • Kerajaan perincikan nilai kompaun PKP –  diskaun 50% diberikan jika bayar dalam tempoh kurang seminggu

    Manakala untuk kesalahan Kategori Ketiga pula, ia dikelaskan sebagai mereka yang terlibat risiko rendah penyebaran virus dan tidak akan memberikan impak berskala besar kepada komuniti. Ini merupakan kesalahan yang biasa dibuat oleh orang awam. Contohnya termasuk:

  • Gagal untuk memakai pelitup separa muka – RM1,500 untuk kesalahan pertama
  • Gagal untuk merekodkan perincian menerusi aplikasi MySejahtera atau buku log sebelum memasuki premis – RM1,500
  • Gagal untuk mengekalkan penjarakan fizikal – RM1,500
  • Menurut Takiyuddin, mereka yang membayar kompaun berkenaan dalam masa kurang seminggu hanya perlu membayar separuh sahaja dari amaun tersebut. “Jika mereka membayar kompaun dalam tempoh tujuh hari, mereka akan menerima diskaun sebanyak 50%. Jika mereka membayar kompaun dalam tempoh lapan hingga empat belas hari selepas mereka disaman, mereka layak untuk menerima diskaun sebanyak 25%,” jelasnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025