Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jaguar perkenalkan F-Type Reims Edition — varian P300 dan P450, terhad 150 unit untuk pasaran UK

    Jaguar perkenalkan F-Type Reims Edition — varian P300 dan P450, terhad 150 unit untuk pasaran UK

    Jaguar F-Type 2021 menjadi model terkini yang menerima jelmaan Reims Edition, selepas langkah sama diberikan kepada Jaguar XE sebelum ini. Diilhamkan daripada kemenangan sulung dalam perlumbaan 12 Hours of Reims pada 1954, F-Type Reims Edition coupe ini hanya dibuat sebanyak 150 unit sahaja untuk pasaran UK dalam versi P300 atau P450 RWD.

    Ini melibatkan sistem janaan kuasa bagi unit 2.0 liter turbo petrol empat-silinder sebaris dengan janaan 300 PS/400 Nm dan juga enjin 5.0 liter supercas V8 petrol dengan 450 PS/580 Nm yang memacu roda belakang melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Rim 20-inci digunakan dengan penyudah hitam berkilat, dengan perincian kemasan hitam berkilat di beberapa tempat seperti pada gril dan pelitup corong udara.

    Di dalam, kemasan warna Ebony digunakan sebagai gandingan kemasan Black Pack yang turut digunakan, misalnya pada bahagian pemegang pintu, kemasan kluster instrumen serta pilihan ciri khusus Reims Edition yang lain, seperti bumbung panoramik kekal serta kerusi dan stereng dengan pemanas.

    Menurut Jaguar, Kelengkapan pilihan yang ditawarkan untuk edisi ini membolehkan pemilik jimat sehingga GBP4,160 (RM22,986). F-Type Reims Edition di UK ini dijual pada harga GBP58,950 (RM325,747) bagi varian P300 dan GBP71,450 (RM394,820) bagi varian P450.

     
     
  • Porsche Taycan RWD paling asas baru dilancar untuk pasaran luar China – 476 PS, jarak EV cecah 484 km

    Porsche Taycan RWD paling asas baru dilancar untuk pasaran luar China  – 476 PS, jarak EV cecah 484 km

    Pertama kali Porsche melancarkan versi pacuan roda-belakang bagi model Taycan di China pada Jun tahun lalu, dan kini ia memperkenalkan pula varian paling asas tersebut untuk lebih banyak pasaran termasuklah Amerika Syarikat dan Eropah. Model asas Taycan ini menyertai barisan pacuan semua-roda sedia ada termasuklah Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S.

    Dua konfigurasi bateri ditawarkan untuk pelanggan, bermula dengan single-deck Performance Battery dek-tunggal dengan kapasiti 79.2 kWh. Pilihan ini menawarkan jarak sehingga 431 km mengikut WLTP, dan motor elektrik yang dipasang di belakang menawarkan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) atau mencecah 408 PS (402 hp atau 300 kW) dalam mod overboost dengan launch control.

    Pilihan kedua pula ialah Performance Battery Plus dek-berkembar dengan 93.4 kWh dan mampu capai jarak hingga 484 km. Dengan larasan ini, kuasanya dipertingkatkan ke 380 PS (375 hp atau 280 kW) atau 476 PS (469 hp or 350 kW) dalam mod overboost.

    Secara standard, kedua-dua bateri menyokong pengecasan 22 kW AC (menerusi sambungan Type 2) seperti yang pernah diumumkan oleh Porsche pada Ogos 2020. Malahan Performance Battery juga menyokong pengecasan pantas DC (menerusi sambungan CCS Combo 2) dengan 225 kW, sementara Performance Battery Plus pula mencecah 270 kW.

    Porsche berkata dengan DC, ia hanya mengambil masa sekitar 22.5 minit untuk mencapai dari 0-80% pengecasan, dengan lima minit pertama apabila dicas mampu memberikan jarak sekitar 100 km.

    Bagi aspek casis, ia diberikan Porsche 4D Chassis Control dan suspensi gegelung-keluli standard yang boleh dipertingkatkan pada suspensi udara adaptif dengan peredam elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM) – sistem pengangkat gandar Smartlift turut diberikan dengan pilihan ini.

    Untuk perberhentian kuasa, EV ini digandingkan dengan cakera brek 360-mm dan kaliper bersama enam-omboh pada bahagian hadapan, bersama cakera 358-mm dan kaliper empat-omboh di belakang – kaliper aluminium monobloc turut menerima kemasan anodized hitam. Jika lebih prestasi diperlukan, ia diberikan pilihan Porsche Surface Coated Brake (PSCB), dengan cakeranya berdiameter 410 mm di hadapan dan 365 mm untuk belakang.

    Bagi elemen standard, Taycan asas ini dipadankan dengan roda Taycan Aero 19-inci, lampu utama LED, dengan kemasan hitam pada apron hadapan, ambang sisi dan diffuser belakang, sama seperti Taycan 4S. Di dalamnya, ia digandingkan dengan kluster instrumen digital dan skrin sesentuh infotainmen 10.9-inci, dengan pilihan paparan untuk penumpang.

    Porsche Taycan RWD paling asas baru dilancar untuk pasaran luar China  – 476 PS, jarak EV cecah 484 km

    Porsche turut menawarkan ruang dalaman bebas-kulit untuk sesiapa yang tidak berminat dengannya, dan digantikan dengan material bahan kitar semula inovatif. Menerusi perkhidmatan Functions on Demand (FoD), ia merangkumi Porsche Intelligent Range Manager (PIRM), Power Steering Plus, Active Lane Keeping Assist dan Porsche InnoDrive.

    Menurut pengeluar kereta Jerman ini, penghantaran Taycan RWD ini akan bermula pada pertengahan Mac ini, dengan harga di negara berkenaan bermula dari 83,520 euro (RM410,435). Ia menjadikannya lebih murah berbanding Taycan 4S yang bermula 106,487 euro (RM523,330) tapi lebih murah bewrbanding dengan varian yang lebih tinggi.

    Untuk pasaran USA pula, Taycan RWD ini akan ditawarkan dengan harga USD79,900 (RM323,427) sebelum kredit cukai persekutuan (dilaksanakan untuk semua jenis varian Taycan) sehingga USD7,500 (RM30,356). Di sana, Taycan 4S berharga bermula USD103,800 (RM420,130).

    Buat masa ini, belum dipastikan adakah Malaysia bakal menerima varian baharu ini, tetapi jika ia tiba di sini, dijangkakan harganya sekitar (atau di bawah) RM600,000. Ketika ini, kita sudah menerima kehadiran Taycan 4S pada harga RM725,000, diikuti dengan Taycan Turbo (RM999,000) dan Taycan Turbo S (RM1,195,000).

     
     
  • Lynk & Co Zero — lagi imej ruang dalaman EV ditunjuk

    Lynk & Co Zero — lagi imej ruang dalaman EV ditunjuk

    Jenama muda-mudi di bawah Geely, Lynk & Co telah mendedahkan lebih banyak gambar bagi ruang dalaman kereta Zero Concept, yang menampilkan sebuah crossover SUV/coupe janaan elektrik sepenuhnya dalam pendekatan yang sama dengan Jaguar I-Pace. Kereta ini telah diuji dijalanan dan dijadual untuk masuk produksi pertengahan tahun ini.

    Ruang kabinnya sama seperti yang ditunjukkan ketika pameran permotoran Beijing tahun lalu, dengan profil papan pemuka yang lebih rendah, konsol tengah lebih tinggi serta adanya sebuah skrin sentuh yang besar di bahagian tengah. Perincian lain yang dapat diperhatikan ialah stereng yang rata di bawahnya, paparan instrumen yang tirus, tuil pemilih gear yang kecil serta jalur lampu suasana yang dipasang pada kemasan panel hiasan.

    Kerusinya pula tampil dengan sentuhan mewah, yang menampilkan perehat kepala bersepadu di depan dan dengan balutan bagi kerusi belakang. Ruang yang tersedia juga nampak sangat luas, memandangkan dikhabarkan kereta ini mempunyai jarak antara roda mencecah tiga meter, dengan panjang keseluruhannya melebihi lima meter. Zero ini datang dengan pembesar suara Yamaha dan kamera dalam kabin, mungkin untuk meninjau tahap perhatian pemandu.

    Lynk & Co Zero — lagi imej ruang dalaman EV ditunjuk

    Dibangunkan menggunakan Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely untuk kenderaan elektrik, Zero menampilkan sistem pacuan semau roda, yang anehnya dikuasakan oleh motor tunggal yang menghasilkan sehingga 400 kW (536 hp). Pengeluarnya memaklumkan pecutan 0-100 km/j kereta ini adalah di bawah empat saat dengan jarak perjalanan 700 km. Semua ini mampu dicapai dengan bateri 800-volt yang direka untuk bertahan hayat sehingga dua juta kilometer, dan mampu bertahan daripada penyusutan kuasa bagi 200,000 km pertama.

    Pengeluarnya juga mendakwa telah mencapai nisbah 50:50 bagi aagihan berat serta talaan casis kelas duani bagi penyerap hentak magnetorheological dan gelung udara, yang mampu melaras ketinggian dari 150 mm hingga 220 mm. Bagi aspek keselamatan, Zero disertakan dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) CoPilot, memanfaatkan teknologi SuperVision Mobileye dan EyeQ5 untuk fungsi pemanduan autonomous.

    Ciri pada kereta ini, termasuk suspensi udaranya, boleh dikemaskini secara OTA sepanjang hayatnya, membolehkan jurutera mengoptimumkan Zero melalui maklum balas semasa. Serahan kepada pemilik dijangka akan dilakukan bermula suku terakhir tahun ini.

     
     
  • Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

    Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

    Anda mungkin rasa tak masuk akal nak beli sebuah Toyota Yaris dengan enjin tiga-silinder 1.6 liter pada harga hampir RM300k. Tapi bagi mereka yang tahu apa di sebalik jentera hot-hatch berkenaan, mereka tak tunggu lama untuk menempah kereta ini sebaik sahaja ia rasmi masuk ke pasaran tempatan. Dan ia telah terbukti di mana UMW Toyota mengumumkan mereka telah menerima tempahan yang diluar jangkaan selepas model tersebut dilancarkan bulan lalu.

    Ketika diperkenalkan, UMWT mengumumkan Malaysia akan menerima tidak sampai 200 unit GR Yaris, dari hanya 25,000 unit yang dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia. Namun kami difahamkan, stok awal yang disediakan untuk Malaysia adalah berjumlah 127-unit – mungkin stok tambahan akan diperuntukkan sekiranya permintaan yang diterima cukup tinggi.

    Walaupun ada laporan yang menyatakan bahawa kesemua unit awalan tersebut sudah habis ditempah (tetapi tiada pengumuman rasmi dari UMWT sendiri), hari ini pengedar rasmi Toyota berkenaan menggesa pelanggan yang berminat tetapi masih belum menempah GR Yaris mereka agar terus mendaftarkan minat di pengedar-pengedar GR Garage seluruh negara, serta mengingatkan bahawa unit-unit yang telah sah diperuntukkan di Malaysia kini dijual “dengan cukup laju”.

    “Ketika kami diberitahu berkenaan GR Yaris baharu oleh Toyota Motor Corporation, kami tahu ia mempunyai potensi yang besar untuk pasaran Malaysia, terutamanya dengan peningkatan sukan permotoran dan aktivit berkaitan sukan permotoran yang dijalankan sendiri oleh UMW Toyota Motor,” kata Presiden UMWT Ravindran K.

    Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

    “Peminat yang penuh semangat benar-benar menunggu pelancaran model ini dan tidak membuang masa dengan terus menempahnya sebaik sahaja ia dilancarkan pada 17 Disember 2020. Dan sekarang, hanya selepas sebulan ia dilancarkan, kami menerima respon yang luar jangkaan. Kami berterima kasih kepada pelanggan untuk sokongan mereka yang sungguh bersemangat.

    “Walaupun GR Yaris dijual dengan begitu cepat, kami galakkan mereka yang berminat untuk terus mendaftarkan minat mereka di pengedar GR Garage kami di seluruh negara,” tambahnya lagi.

    “Jenama GR dihasilkan dari pengalaman melampaui had dalam sukan permotoran dan menggunakan kereta berprestasi tinggi generasi baharu dari Toyota,” kata naib pengerusi UMWT dan ketua pengarah sukan permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

    “Hasilnya adalah model seperti GR Yaris yang sempurna untuk membuktikan bagaimana kami menghasilkan kereta lebih baik yang dihargai serta seronok untuk dipandu. Oleh itu, kami juga lebih gembira kerana kami akan memperkenalkan lebih banyak lagi model GR pada masa akan datang,” tambahnya.

    Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

    Ketika UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan hot-hatch Toyota GR Yaris ini bulan lalu, harga atas jalan yang diumumkan adalah termasuk dengan cukai jualan penuh, iaitu RM299,000, memandangkan ketika itu insentif PENJANA dengan potongan SST akan berakhir pada 31 Disember 2020.

    Walau bagaimanapun, pada 29 Disember lalu kerajaan telahpun meluluskan permohonan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk melanjutkan insentif PENJANA berkenaan sehingga 30 Jun 2021. Ini bermakna, Toyota GR Yaris yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 50%, membolehkan ia dijual pada harga RM286,869 atau lebih RM12k lebih murah dari harga asal.

    Apa yang hebat sangat sebenarnya Toyota GR Yaris ini? Bagi mereka yang belum tahu, Toyota menghasilkan GR Yaris ini bukan hanya mahu menjualnya sebagai satu lagi model prestasi di bilik pameran bersama GR Supra dan Toyota 86. Kereta ini sebenarnya dihasilkan bagi membolehkan mereka membina jentera WRC yang lebih kompetitif pada masa hadapan, manakala sistem mekanikalnya pula adalah hasil apa yang Toyota belajar setelah terlibat semula dalam kejohanan berkenaan pada 2017, dengan bimbingan lagenda WRC, Tommi Makinen.

    Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

    Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

    Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

    Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    GALERI: Gambar rasmi Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

     
     
  • PKP 2.0 dilaksanakan di Kedah, Perlis, T’ganu, N9, Perak, Pahang mulai 22 Jan-4 Feb 2021 – Ismail Sabri

    PKP 2.0 dilaksanakan di Kedah, Perlis, T’ganu, N9, Perak, Pahang mulai 22 Jan-4 Feb 2021 – Ismail Sabri

    Petang ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) bakal dilaksanakan di seluruh negeri Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang bermula 12.01 tengahmalam pada 22 Januari hingga 4 Februari 2021.

    Peningkatan kes dan kewujudan kluster baharu di negeri-negeri terbabit membuatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), di atas penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk melaksanakan semula PKP, ujar Ismail Sabri.

    Sebelum ini, negeri yang terlibat dengan zon merah iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka turut dikenakan PKP 2.0 bermula 13 hingga 22 Januari ini.

    Buat masa ini, hanya Sarawak sahaja yang masih melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB), kecuali di daerah Sibu yang dikenakan PKP mulai 16 hingga 29 Januari 2021.

    Menurut Ismail lagi, SOP yang ditetapkan untuk negeri-negeri yang terbabit dengan PKP 2.0 adalah sama seperti mana PKP sebelum ini. Walau bagaimana pun, MKN akan mengemaskini perkembangan lanjutnya menerusi hebahan termasuk menerusi laman media sosial.

    Hari ini, KKM melaporkan, sebanyak 3,631 kes positif COVID-19 direkodkan di seluruh negara, dengan 14 kematian baharu dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan di Malaysia kini mencecah 165,371 dan 39,464 kes masih aktif.

     
     
  • JPJ nasihati orang ramai agar usah terpedaya dengan tawaran iklan oleh pihak tidak bertanggungjawab

    Masih banyak lagi pihak luar yang mengambil jalan pintas untuk mengaut keuntungan secara membabi buta. Ini termasuklah mendapatkan ‘lesen terbang’, dan pelbagai lagi perkhidmatan yang berkaitan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi kononnya boleh diuruskan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya.

    Baru-baru ini, ada beberapa pihak tidak bertanggungjawab didapati memuat naik iklan di Facebook dengan menawarkan perkhidmatan menukar nama pemilikan di dalam geran kenderaan tanpa kebenaran pemilk asal, mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri ujian memandu dan juga memperbaharui cukai jalan tanpa perlu pemeriksaan di Puspakom.

    Malah ramai juga netizen yang memberikan maklum balas ‘positif’ dan meminta pihak tidak bertanggungjawab berkenaan untuk ‘pm tepi’ bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan terbabit. Waima, pasti ramai yang menyedari bahawa perkara ini adalah menyalahi undang-undang di negara kita.

    JPJ nasihati orang ramai agar usah terpedaya dengan tawaran iklan oleh pihak tidak bertanggungjawab

    Perkara yang menjadi tular ini turut mendapat perhatian JPJ yang berkata pihaknya mengambil berat isu tular yang disebarkan melalui media sosial ini. Malah menegaskan supaya orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sebarang iklan tawaran sebegini.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) dan tukar hak milik kenderaan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan, adalah TIDAK SAH.

    “Malah kami juga telah telah membuat laporan PDRM dan SKMM bagi membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini. Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menghubungi JPJ berdekatan untuk maklumat yang lebih tepat,” ujar JPJ dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya sebentar tadi.

     
     
  • Ducati Hypermotard 950 RVE tiba di M’sia – RM80,900

    Ducati Hypermotard 950 RVE tiba di M’sia – RM80,900

    Ditunjukkan awal melalui sebuah model konsep pada tahun 2019, diikuti model produksi pada tahun lepas, kini Hypermotard 950 RVE tiba di Malaysia pada harga RM80,900 tidak termasuk insurans. Ini adalah satu lagi varian bagi Hypermotard 950, yang terletak antara varian asas dan juga Hypermotard SP.

    Keistimewaan Hypermotard 950 RVE adalah penampilannya, di mana ia diserikan dengan pelekat buatan khas bercorak seperti grafiti dan mempunyai kemasan hampir seperti airbrush. Kemudiannya, ia dipasang terus dengan quickshifter, sebagai tambahan kepada ciri elektronik lain seperti Bosch Cornering ABS dengan fungsi Slide by Brake, Ducati Traction Control Evo (DTC EVO) dan Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.

    Bahagian mekanikal lain masih lagi sama seperti Hypermotard biasa, termasuklah enjin, iaitu unit Testastretta v-twin 937 cc yang berkuasa 114 hp pada 9,000 rpm dan 98 Nm tork pada 7,250 rpm. Fork hadapan menggunakan unit daripada Marzocchi yang boleh dilaras sepenuhnya manakala di belakang menggunakan monoshock Sachs yang juga boleh dilaras.

    Kelengkapan lain Hypermotard 950 RVE adalah termasuk brek cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo empat piston di hadapan, panel instrumen TFT, berat 200 kg, tangki bahan api 14.5 liter, pilihan mod tunggangan, serta transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Selepas Hypermotard 950 RVE, kita juga boleh menjangka ketibaan Multistrada V4 ke pasaran Malaysia kerana Ducati Malaysia sudah mula mengadakan promosi untuknya. Walaubagaimanapun, harga untuk model ini masih belum disiarkan.

     
     
  • Geely Group langkau 2.1 juta unit jualan tahun 2020

    Geely Group langkau 2.1 juta unit jualan tahun 2020

    Zheejiang Geely Holding Group (ZGH) telah mengumumkan jumlah jualan kenderaan bagi keseluruhan kumpulan syarikat itu melebihi 2.1 juta unit bagi tahun 2020. Di bawah kumpulan ini terdapat tiga anak syarikat utama, iaitu Geely Auto Group, Volvo Car Group dan Geely New Energy Commercial Vehicle Group serta lapan jenama semuanya.

    Berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 tahun lalu, Geely menyifatkan prestasi jenama kenderaan di bawahnya cukup baik dan mampu bertahan untuk sepanjang tahun lalu; “untuk tempoh separuh kedua tahun lalu, jenama-jenama kami kembali dengan pertumbuhan yang lebih baik berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.” Bagaimanapun, angka tetap jualan itu tidak dikongsikan oleh ZGH buat masa ini.

    Jenama di bawah Geely Auto Group termasuklah Geely Auto, Lynk & Co, Geometry, Proton dan Lotus, kembali mencatatkan pertumbuhan melalui usaha strategik termasuk memanfaatkan sepenuhnya binaan modular syarikat itu bagi model-model yang ada untuk diperluas ke pasaran global. Geey Auto, dengan jenama seperti Lynk & Co dan Geometry, melaporkan jualan 1.32 juta unit tahun lalu, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya di China. Geely juga telah menjual unit ke-10 jutanya thaun lalu, menjadikan satu-satunya jenama China yang pernah mencapai angka tersebut.

    Bagi Proton pula, Geely menyifatkan jenama ini menunjukkan prestasi yang membanggakan tahun lalu, dengan pertambahan perkongsian pasaran sebanyak 8.8% berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, Lotus pula mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4% pada tahun 2020. Bagi Volvo Car Group, prestasi setahun bagi 2020 memperlihatkan penurunan sebanyak 6%. Tetapi, jika dibanding dengan pesaing lain, Volvo berhasil menjual sebanyak 660,000 unit kenderaan, memperkukuhkan perkongsian pasarannya di pasaran utama dunia.

     
     
  • Ford Ranger MS-RT dalam imej ranggi yang “bersih”

    Ford Ranger MS-RT dalam imej ranggi yang “bersih”

    Kalau Ford Ranger Raptor tampil dengan imej dan prestasi rugged (dari pengeluar) yang lebih cenderung untuk keupayaan off-road, apa yang ada kalau nak gaya tapi dengan kecenderung lebih kepada penggunaan jalanan?

    Ada, tapi untuk mereka yang di Eropah; Ranger MS-RT menyuntik sentuhan estetika sukan permotoran dan jalanan untuk trak pikap popular ini. Nampak gaya ia memang ada kredibiliti tersendiri, memandangkan MS-RT ini merupakan kolaborasi dengan pemenang dalam World Rally Championship, M-Sport (ini bukan kena mengena dengan BMW).

    Syarikat itu juga diiktiraf sebagai Ford Qualified Vehicle Modifier; kenderaannya dijual oleh pengedar Ford sendiri dan datang dengan jaminan pengeluar. Kemaskini yang dilakukan pada Ranger MS-RT ini adalah buatan tangan, dengan rekaan bampar baru, begitu juga dengan gril dan kemasan karbon hiasan yang digunakan. Tiada pemijak sisi di sini, tetapi digantikan dengan skirting sisi.

    Ford Ranger MS-RT dalam imej ranggi yang “bersih”

    Turut dipasang ialah bampar belakang bersepadu – dengan corong hiasan – dan lagi kemasan karbon hiasan pada perumah cermin sisi. Tiga warna luaran disediakan; Frozen White, Sea Grey atau Agate Black. Di dalam, logo MS-RT ada diletakkan di bebrapa tempat, dengan kerusi jahitan sulam.

    Versi ini diasaskan daripada model Wildtrak, dengan versi MS-RT ini turut dipasangkan dengan sports bar aerodinamik, sistem infotainmen SYNC 3 dan skrin sentuh lapan-inci dan kamera undur. Untuk enjin, ia menggunakan unit 2.0 liter Bi-Turbo empat silinder, menghasilkan 213 PS dan 500 Nm tork. Ini digandingkan pula dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dengan pemilihan pacuan empat-roda.

    Apa macam imej Ranger MS-RT ini, boleh lawan yang dah sedia ada?

     
     
  • Honda Odyssey facelift dengan pilihan aksesori Mugen

    Honda Odyssey facelift dengan pilihan aksesori Mugen

    Honda Odyssey generasi kelima telah diberikan facelift pada November lalu di Jepun, dan selepas itu kita dapat melihat lebih banyak aksesori untuknya dikeluarkan. Pakej dari Modulo sudah, dan kini Mugen pula menunjukkan apa yang ditawarkan untuk MPV tersebut.

    Untuk bahagian luar, Mugen menyediakan splitter gentian karbon untuk bampar hadapan, serta kemasan pada gril, yang dibuat menggunakan bahan sama. Barangan lain yang disenaraikan dalam katalog adalah seperti kemasan tepi pintu, spoiler belakang dan rim “MDA” yang boleh didapati dalam saiz 18 dan 19 inci.

    Jika betul-betul mahukan luarannya lengkap dengan barangan Mugen, anda boleh mendapatkan visor pintu, nat serta pengunci rim, pelindung pembuka pintu gentian karbon cetak, papan nombor plet gentian karbon, skru Mugen serta lencananya. Untuk bahagian dalam pula, Mugen ada menyediakan pelbagai pilihan alas kaki, alas ruang barangan serta pedal jenis sport.

    Untuk barangan yang berkaitan dengan prestasi pula, terdapat pad brek “Type Touring”, pelindung tangki minyak brek, minyak brek prestasi tinggi, minyak perawat enjin MT105, minyak enjin 0W20, penutup radiator tekanan tinggi serta pelbagai warna penutup valve cover.

    Di Jepun, Odyssey facelift ini ditawarkan dalam pilihan dua enjin iaitu 2.4 liter NA dengan kuasa 175 PS dan 225 Nm tork, serta hibrid i-MMD yang terdiri daripada enjin empat silinder 2.0 liter 145 PS/175 Nm serta motor elektrik 184 PS/315 Nm.

     
     
  • Porsche siar teaser Taycan baru – model asas RWD?

    Porsche siar teaser Taycan baru – model asas RWD?

    Porsche telah menyiarkan satu teaser menerusi laman media sosial mengenai “ahli baharu dalam famili”, yang memaparkan varian baharu bagi model Taycan. Berdasarkan imej yang dimuat naik itu, sudah pasti ia bukanlah Taycan Cross Turismo kerana varian baharu itu ditempatkan bersebelahan dengan model yang dikenali seperti Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S.

    Walau bagaimana pun, Porsche tidak memberikan sebarang bayangan mengenainya, namun mungkin ia adalah varian paling asas yang lebih mampu milik untuk menarik minat lebih ramai pembeli. Versi Taycan ini telah pun diperkenalkan di China sejak Jun 2020 dan kekal eksklusif bagi pasaran terbabit, walau pun tidak lama kemudian ia diberikan teaser baharu.

    Model Taycan asas ini didatangkan dengan dua konfigurasi bateri, termasuk single-deck Performance Battery dengan kapasiti 79.2 kWh dan double-deck Performance Battery Plus dengan 93.4 kWh. Bateri single-deck menyalurkan kuasanya ke motor elektrik yang dipasang di belakang (varian lain adalah pacuan semua-roda) dengan angka prestasi 408 PS (402 hp atau 300 kW), sementara double-deck pula mampu menghamburkan kuasa hingga 476 PS (469 hp atau 350 kW).

    Bagi aspek prestasinya, kedua-duanya mengambil masa sekitar 5.4 saat untuk mencapai pecutan dari 0-100 km/j dan kelajuan maksiumum mencecah 230 km/j. Unit kapasiti paling rendah pula mampu menawarkan jarak hingga 414 km, sementara pek bateri 93.4 kWh pula mampu mencapai hingga 489 km, kedua-duanya adalah kitaran NEDC.

     
     
  • Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

    Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

    Sekali lagi, kita terpaksa mengharungi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali kedua bagi melandaikan graf kes jangkitan harian Covid-19 yang dilihat semakin ‘mencanak’ naik akhir-akhir ini. Ya, walaupun yang tak boleh keluar ke pejabat tetapi masih lagi perlu bekerja dari rumah, hujung minggu pastinya sangat bosan kerana hanya terperap di rumah saja kan?

    Bagi mereka yang ‘kaki kereta’, anda juga pasti terkurung pada hari Sabtu dan Ahad sekarang kan? Ye lah, nak lepak bengkel, window shopping di kedai-kedai halfcut, lepak TT, malah nak sunday drive ke Ulu Yam atau Genting pun dah tak boleh. Jadi untuk meluangkan masa hujung minggu ni, pasti ramai yang berniat nak ‘membelai’ kereta masing-masing.

    Ada tak di kalangan pembaca yang dah habis buat detailing bahagian luar kereta, sekarang terfikir nak bersihkan pula ruang enjin dengan membasuh bahagian tersebut? Persoalannya, boleh ke kita buat perkara berkenaan, adakah ia akan merosakkan komponen-komponen tertentu di ruang enjin tersebut?

    Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

    Jadi untuk menjawab persoalan ini, jenama automotif nasional, Proton memberikan berberapa penjelasan am yang anda boleh gunakan sebagai panduan. Menurut Proton, ya, anda boleh basuh ruang enjin menggunakan hos/pancuran air, tetapi berberapa perkara perlu diambil kira bagi mengelakkan sebarang masalah atau kerosakan.

    Pertama sekali, anda kena pastikan bahawa ruang enjin tersebut sudah cukup sejuk untuk disentuh sebelum mula membasuh enjin. Ini kerana ada sebahagian logam, contohnya blok dan kepala enjin, sebenarnya akan mengembang ketika ia beroperasi dalam suhu bekerja. Selepas enjin di matikan, komponen berkenaan akan mengecut kembali secara beransur-ansur selari dengan penurunan suhu.

    Sekiranya dari panas anda terus lalukan air padanya, penurunan suhu akan berlaku secara mendadak. Kesannya, ada kemungkinan ia akan retak atau berubah bentuk. Untuk mudah faham, cuba anda masukkan air panas ke dalam gelas kaca dan kemudian terus letak ke dalam peti sejuk – besar kemungkinan gelas berkenaan boleh pecah kerana perubahan molekul yang mendadak.

    Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

    Kemudian, anda jangan gunakan pancuran air dengan tekanan seperti washer jet. Ini kerana pancutan air bertekanan tinggi boleh menyebabkan kerosakan pada gasket-gasket pengedap, soket-soket juga penutup-penutup plastik yang melindungi komponen elektrik dan elektronik di dalamnya.

    Sekiranya gasket-gasket dan penutup-penutup tersebut rosak sudah tentu tugas untuk melindungi bahan asing seperti air, pasir, habuk dan sebagainya untuk masuk ke dalam komponen tersebut akan gagal dan menyebabkan kerosakan mekanikal dan elektrikal.

    Walau bagaimanapun, anda masih boleh menggunakan washer jet berkenaan untuk menghilangkan kotoran pada bahagian-bahagian casis dan panel-panel logam seperti pada bahagian firewall. Juga anda perlu pastikan tekanan air yang digunakan tidak melebihi 70 bar, semburan berkenaan dibuat dengan jarak sekitar 40 cm, dan sekali ‘tembak’ jangan melebihi 30 saat. Jika panduan ini tidak diikuti, anda mungkin akan merosakkan cat pada bahagian berkenaan.

    Bagi menghilangkan kotoran minyak atau gris pula, anda disarankan untuk menggunakan berus untuk mebersihkan bahagian berkenaan. Namun sekali lagi, anda perlu berhati-hati untuk tidak memberus terlalu kuat pada bahagian-bahagian plastik kecil seperti soket elektrikal dan sebagainya bagi mengelakkan ia patah. Setelah siap diberus, bilaskan dengan menggunakan hos air biasa.

    Sebagai perlindungan tambahan, Proton turut mengesyorkan anda untuk memberikan perlindungan tambahan pada bahagian-bahagian elektrik dan elektronik dengan bahan kedap air seperti plastik dan sebagainya. Bahagian-bahagian yang perlu diambil perhatian termasuk pada terminal bateri, kotak fius dan juga alternator.

    Anda juga perlu pastikan laluan dari kotak udara (perumah penapis udara) hingga ke manifold kemasukan dilindungi dari dimasuki air. Oleh itu, pastikan bahagian ini juga betul-betul kedap air ketika membasuh ruang enjin.

    Selain dari menggunakan air, anda juga sebenarnya boleh membersihkan ruang enjin ini dengan cara lebih selamat menggunakan produk-produk pembersih yang dikhaskan untuk kegunaan ruang yang agak sensitif berkenaan. Jika dahulu produk-produk sebegini hanya dijual pada kedai-kedai hardware tertentu, sekarang dengan platform beli-belah atas talian, ianya boleh dicari dengan lebih mudah dan ia akan terus dihantar ke pintu rumah.

     
     
  • PERMAI: Pemandu bas, teksi boleh mohon bantuan kewangan one-off RM500 menerusi APAD – Dr Wee

    PERMAI: Pemandu bas, teksi boleh mohon bantuan kewangan one-off RM500 menerusi APAD – Dr Wee

    Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada pemandu bas dan teksi serta e-hailing.

    Memberi maklumbalas mengenai perkara ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata individu yang layak bolehlah memohon bantuan tersebut menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), laporan Bernama.

    “Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh APAD dalam masa terdekat. Sehingga kini, rekod terdahulu menunjukkan terdapat kira-kira 600 pemohon yang layak tetapi masih belum berdaftar dengan APAD, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan dibuat,” katanya.

    PERMAI: Pemandu bas, teksi boleh mohon bantuan kewangan one-off RM500 menerusi APAD – Dr Wee

    Selain bantuan one-off ini, kerajaan turut memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama lima tahun, berbanding tujuh tahun sebelum ini.

    Malahan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi juga akan diperkenalkan iaitu memberi 50% jaminan ke atas pinjaman bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan. Ia membolehkan pengusaha bas dan teksi menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.

    Di bawah PERMAI, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 bilion dengan 22 inisiatif yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

     
     
  • JPJ rekod 321 kesalahan dalam tempoh 2 hari penugasan bersama PDRM dalam Ops COVID-19

    JPJ rekod 321 kesalahan dalam tempoh 2 hari penugasan bersama PDRM dalam Ops COVID-19

    Baru dua hari sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkolaborasi dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PFRM) dalam Ops COVID-19 bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuatkuasa sehingga 26 Jan ini. Walau bagaimana pun dalam tempoh dua hari tersebut, sebanyak 321 kesalahan jalan raya di seluruh negara telah pun direkodkan oleh JPJ.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, kesalahan paling tinggi dicatatkan melibatkan lesen kenderaan motor yang sudah tamat tempoh iaitu sebanyak 43 kesalahan manakala paling rendah tujuh kesalahan membabitkan tiada cukai jalan serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33), laporan Bernama.

    “Penugasan kita ini juga lebih kepada aspek seperti kesalahan merentas sempadan melibatkan kenderaan perdagangan misalnya dalam bas, penumpang naik tapi penumpang tiada surat rentas sempadan, jadi itu juga akan kita fokuskan.

    “Kita juga akan melihat kesalahan melibatkan menyalahgunakan permit perjalanan yang mana mereka hanya boleh ke tempat tertentu sahaja tetapi mereka ke kawasan lain juga, kalau tak buat satu kawalan dan seliaan di lapangan, mereka akan salah guna,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam masa yang sama, beliau berkata penambahan anggotanya dalam penugasan membantu PDRM sepanjang PKP, PKPB dan PKPP itu akan diteliti mengikut keperluan selain akan bekerjasama dengan semua badan penguat kuasa. Buat setakat ini, seramai 1,200 anggota JPJ di seluruh negara diatur gerak mulai Sabtu lalu bagi tujuan penugasan tersebut.

     
     
  • Toyota hasilkan GR Supra tanpa pemandu yang boleh drift untuk penyelidikan teknologi keselamatan aktif

    Dalam menghasilkan pelbagai sistem keselamatan dan kenderaan pemanduan sendiri yang lebih baik pada masa hadapan, para jurutera kini sedang menjalankan pelbagai usaha penyelidikan bagi membangunkan perisian yang boleh memandu kereta berkenaan sebaik pemandu sebenar.

    Bagi Toyota, mereka kini menghasilkan kereta pemanduan sendiri yang bukan hanya boleh bergerak, malah boleh melakukan aksi drift bagi membolehkan mereka belajar tindak balas refleks dan juga kemahiran untuk perisian mereka, bukan sahaja untuk menghasilkan kereta tanpa pemandu yang boleh ‘menyelamatkan diri’ sekiranya terlibat dalam kemalangan, malah ia boleh digunakan untuk sistem keselamatan aktif seperti sistem kestabilan kenderaan elektronik (ESC/VSA).

    Projek ini dijalankan oleh Toyota Research Institute (TRI) di Amerika Syarikat, dengan kerjasama Makmal Rekaan Dinamik Universiti Stamford iaitu pihak yang bertanggungjawab menghasilkan Delorean DMC12 pemanduan sendiri berkuasa elektrik yang juga boleh melakukan aksi drift diberi nama MARTY, dan anda boleh membaca perinciannya menerusi PAUTAN INI.

    Toyota hasilkan GR Supra tanpa pemandu yang boleh drift untuk penyelidikan teknologi keselamatan aktif

    Untuk projek Toyota ini, mereka menggunakan model sport pacuan belakang terbaharunya iaitu GR Supra yang diubahsuai sebagai kereta drift oleh Toyota Racing Development (TRD) Amerika Syarikat, lengkap dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny!

    Menurut TRI, pasukan jurutera mereka kini sedang menjalankan penyelidikan bagaimana untuk menyatukan naluri pemandu profesional dan teknologi pemanduan berautonomi. Mereka mensasarkan untuk menghasilkan teknologi keselamatan aktif pada tahap baharu agar ia boleh digunakan di atas jalan raya awam oleh Toyota dan berkongsi dengan pengeluar lain.

    “Setiap hari, banyak kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh situasi ekstrem di mana kebanyakkan pemandu perlu mempunyai kemahiran luar biasa untuk mengelakkan pelanggaran,” kata Gill Pratt, CEO TRI dan Ketua Saintis di Toyota Motor Corporation (TMC).

    Toyota hasilkan GR Supra tanpa pemandu yang boleh drift untuk penyelidikan teknologi keselamatan aktif

    “Realitinya adalah setiap pemandu mempunyai kelemahan, dan bagi mengelakkan kemalangan, pemandu selalunya perlu melakukan pergerakan yang melampaui kebolehan mereka. Menerusi projek ini, TRI akan belajar dari berberapa antara pemandu profesional di dunia bagi membangunkan algoritma kawalan yang sofistikated yang memperkasakan kemampuan memandu manusia dan memastikan keselamatan manusia. Ini adalah intipati dalam pendekatan Toyota Guardian,” jelasnya lagi.

    Menurut Toyota, sebanyak sekitar 1.25 juta kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh dunia, dan 40,000 daripadanya adalah di Amerika Syarikat, di mana jenama dari Jepun berkenaan menyatakan bahawa mereka mahu mengurangkan angka tersebut sehingga sifar.

    Sementara kebanyakkan kemalangan berlaku dalam situasi biasa, dalam situasi lain pemandu mungkin perlu membuat pergerakan yang memerlukan kenderaan mereka hampir dan kadangkala melangkawi had pengendalian. Misalnya ketika memandu di atas permukaan basah atau licin, pemandu profesional mungkin memilih untuk drift bagi memastikan mereka boleh melepasi satu-satu selekoh berkenaan.

    “Sejak tahun 2008, makmal kami telah mengambil inspirasi dari pelumba manusia dalam menghasilkan algoritma bagi membolehkan kenderaan berautonomi beroperasi ketika situasi kecemasan yang paling mencabar,” kata Professor Chris Gerdes dari Makmal Rekaan Dinamik Universiti Stamford.

    “Menerusi penyelidikan ini, kami mempunyai peluang untuk menyalurkan idea berkenaan untuk lebih menyelamatkan nyawa manusia di atas jalan raya,” jelasnya lagi.

    TRI telahpun menyokong penyelidikan Universiti Stamford berkenaan selama bertahun-tahun. Asas dari sistem yang telah digunakan pada MARTY untuk mengawal tork pada gandar belakang, brek dan juga stereng dipindahkan pada GR Supra TRI ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025