Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Note 2021 kini cuma digerakkan oleh e-Power

    Nissan Note 2021 kini cuma digerakkan oleh e-Power

    Nissan telah mendedahkan model Note generasi ketiga di Jepun, dan ia akan mula dijual pada 23 Disember ini. Model Nissan paling laris di Jepun ini sekarang cuma dijual dengan enjin e-Power dan tiada lagi versi petrol.

    “Pada tahun 2016, Note e-Power menjadi kegemaran ramai sebaik sahaja penjualannya bermula di Jepun. Melalui model serba baru ini, kami ingin memberikan kepuasan e-Power kepada lebih ramai lagi pengguna. Sebaik anda sudah merasakan pengalamannya, barulah anda tahun kenapa e-Power ini diterima baik oleh pengguna. Ia menawarkan pecutan yang linear dan mengujakan, yang unik kepada penggerak elektrik 100%, tanpa kekangan daripada cas bateri,” kata COO Nissan, Ashwani Gupta.

    Penggerak e-Power diperkenalkan oleh Nissan pada tahun 2016 melalui Note generasi kedua dan ia adalah satu sistem hibrid unik di mana enjin pembakaran dalaman tidak digunakan untuk memacu roda. Tahun ini juga Nissan telah memperkenalkan Kicks e-Power di Thailand dan Indonesia, dan sehingga kini 430k kenderaan e-Power telah berjaya dijual.

    Nissan Note 2021 kini cuma digerakkan oleh e-Power

    Note baru ini datang dengan sistem e-Power generasi baru, yang telah “direka dan dibangunkan semula secara menyeluruh” dan dapat memberikan “lebih kuasa, pengalaman pemanduan lebih berkualiti serta kecekapan yang dipertingkat.” Motor elektrik serta inverter yang digunakan adalah baru, tork yang dihasilkan adalah lebih tinggi 10%, kuasa bertambah 6% (sebelum ini 109 PS/254 Nm) dan teknologi kawalannya ditala semula untuk menghasilkan pecutan lebih lancar serta bunyi lebih senyap.

    Inverter baru ini 40% lebih kecil dan 30% lebih ringan. Enjin petrol yang digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik kini lebih cekap, lebih berkuasa dan lebih menjimatkan bahan api. Spesifikasi enjin tidak didedah (model sebelumnya menggunakan unit 1.2L 79 PS/103 Nm), tetapi Nissan memberitahu enjin dapat beroperasi pada rpm lebih rendah dan tidak banyak beroperasi waktu pemanduan biasa.

    Satu ciri unik pada Note ini adalah penjanaan tenaga elektriknya dikawal bergantung kepada keadaan jalan (didakwa sebagai yang pertama di dunia). Apabila bunyi daripada jalan meningkat disebabkan permukaan jalan atau kelajuan, enjin pembakaran dalaman itu akan mula hidup untuk mengecas pek bateri e-Power, sekaligus apabila berada dalam keadaan yang lebih senyap, penggunaannya dapat dikurangkan.

    Di Jepun, semua model mendapat pilihan AWD, dan bagi Note, ia menampilkan “model pacuan semua roda elektrik sebenar” dengan dua motor elektrik di hadapan dan belakang. Varian AWD ini akan ditunjukkan pada bulan hadapan. Satu lagi ciri yang pertama kali digunakan oleh Nissan adalah besi ultra-high tensile 1,470 MPa pada casis Note, yang menyumbang kepada pengurangan berat serta peningkatan ciri keselamatan.

    Bentuk Note baru ini juga berubah sepenuhnya dan kini lebih seperti kereta hatchback biasa berbanding seperti MPV mini sebelum ini. Lampu hadapan mempunyai bentuk lebih nipis dan ia sekarang menggunakan unit projector LED. Rim bersaiz 16 inci dan secara keseluruhannya terdapat 13 pilihan warna termasuk yang menggunakan bumbung berwarna hitam.

    Pada papan pemuka terdapat skrin digital bagi panel instrumen dan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen. Kelengkapan lain yang diberi adalah seperti pengecas tanpa wayar, tempat duduk Zero Gravity serta sistem ProPilot yang disambungkan kepada active cruise control.

     
     
  • Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

    Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

    Sekarang ia bukan lagi misteri – Honda City Hatchback secara rasmi didedahkan secara rasmi hari ini, dan menandakan pasaran ASEAN termasuk Malaysia kini tidak lagi menerima Honda Jazz. Pelancaran model hatchback ini juga nampaknya genap setahun selepas versi sedannya didedahkan juga di Thailand pada 25 November tahun lalu.

    Untuk yang masih tidak tahu, model generasi baharu City sedan masih menggunakan platform dari generasi GM6 sebelum ini, manakala Honda Jazz generasi terkini yang hanya dijual di pasaran Jepun, Eropah dan China sudah tidak ada lagi kaitan dengan City.

    Bagi City dalam versi Hatchback yang baru didedahkan ini pula, ia menampilkan rupa yang seiras dari muka hingga pintu belakang, dan perbezaan ketara hanya boleh dilihat pada bahagian but belakang. Pendek kata, Honda kini mengambil terus konsep yang dibuat oleh Toyota dalam menghasilkan sedan Vios dan Yaris pasaran ASEAN.

    Untuk pasaran Thailand, Honda City Hatchback ditawarkan dalam tiga varian, atau kurang satu varian berbanding sedan. Model paling asas adalah S+ dijual pada harga 599,000 baht (RM80,776), diikuti model pertengahan SV berharga 675,000 baht (RM91,025). Model tertinggi RS pula dijual pada harga 749,000 baht (RM101,011).

    Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

    Oleh itu, model hatchback ini nampaknya lebih mahal dari versi sedan dalam pasaran sama. Di Thailand, Honda City sedan dijual pada harga bermula 579,500 baht (RM78,152) hingga 739,000 baht (RM99,662) model tertinggi RS.

    Seperti yang anda boleh lihat, setiap perincian termasuk lampu, bonet dan bampar hadapan sehinggalah kepada garis sisi bermula pada fender hadapan merentasi pintu hingga ke lampu belakang pada hatchback ini adalah sama sepenuhnya seperti versi sedan.

    Pintu belakang untuk model hatchback ini masih kelihatan sama seperti sedan, namun bumbungnya ‘ditarik’ lebih kebelakang bagi memolehkan ia separas dengan spoiler, dan membuatkan tiang-C model ini lebih ‘tebal’.

    Lampu belakang hatchback ini pula menampilkan rekaan grafik yang seakan sama dengan model sedan, namun sebenarnya ia menggunakan kluster berbeza bagi disesuaikan dengan bahagian belakang lebih bulat. Jika bahagian belakang City sedan nampak seakan BMW 3 Series G20, model hatchback ini pula sekali pandang macam Mercedes-Benz A-Class W177.

    Model hatchback ini dihasilkan dengan panjang 4,345 mm (4,349 mm untuk varian RS), atau 208 mm lebih pendek dari model sedan. Lebar dan jarak roda masih sama iaitu masing-masing 1,748 mm dan 2,589 mm, tetapi model ini nampaknya 21 mm lebih tinggi dengan ukuran 1,488 mm.

    Rekaan asas untuk kabin hatchback ini juga nampak seiras dengan City sedan. Ia diberikan papan pemuka rekaan sama dilengkapi sistem infotainmen Advanced Touch dengan skrin sesentuh lapan-inci (varian RS sahaja), bersama corong pendingin hawa bersaiz besar.

    Di bawah skrin utama tersebut pula menempatkan suis-suis fizikal kawalan pendingin hawa, soket kuasa 12V, port-port USB serta satu ruang storan bersaiz kecil. Di bawah lagi bahagian ini ditempatkan pula dua pemegang cawan yang bersambung dengan konsol tuil penukar gear.

    Model petrol sepenuhnya pasaran Thailand ini masih hadir dengan brek parkir manual, di mana konsolnya bersambung dengan satu lagi ruang storan di bawah perehat tangan (varian SV dan RS sahaja).

    Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

    Model hatchback ini juga masih menggunakan paparan meter analog untuk semua varian, yang dilengkapi skrin paparan pelbagai info (MID) pada bahagian tengah. Roda stereng dengan rekaan suis dari model sedan juga dibawa terus kepada model hatchback ini.

    Walaupun City hatchback ini sudah tiada kaitan dengan Honda Jazz, Honda Thailand masih menghasilkan konfigurasi tempat duduk Ultra pada model ini, dan ia masih tiada pada versi sedan. Susunan tempat duduk tersebut bukan sahaja memberikan ruang kaki lebih besar dari sedan, malah ia turut boleh dilipat dalam mod utiliti, panjang, tinggi dan refresh.

    Model hatchback pasaran Thailand ini turut menerima penjana yang sama dengan model sedan dimana kesemua varian diberikan enjin 1.0 liter (998 cc) tiga-silinder VTEC Turbo menghasilkan 122 PS pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 173 Nm bermula 2,000 hingga 4,500 rpm.

    Seperti biasa, enjin untuk model pasaran Thailand ini dihasilkan membolehkan ia beroperasi dengan bahan api gasohol E20. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

    Untuk kelengkapan pula, model S+ menerima lampu hadapan projektor, gril kromium, rim aloi 15-inci, bahagian dalaman berwarna hitam, upholsteri fabrik, pendingin hawa manual, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem melahu eco, radio standard hubungan Bluetooth, empat pembesar suara, empat beg udara, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), bantuan mula mendaki (HSA), brek ABS dan EBD serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Varian pertengahan SV ditambah dengan lampu isyarat membelok pada cermin sisi, tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa automatik zon tunggal, pencahayaan putih pada skrin MID, kotak storan pada konsol tengah, skrin infotainmen Advanced Touch serta kamera undur pandangan pelbagai sudut.

    Model tertinggi RS pula menerima penggayaan paling sporty dengan kemasan hitam pada gril, antena sirip jerung, spoiler belakang, penutup cermin sisi, elemen diffuser pada bampar belakang dan perumah lampu kabus.

    Ia turut diberikan rim aloi 16-inci, upholsteri gabungan sued, fabrik dan kulit, pedal penukar gear, cruise control, pencahayaan merah pada skrin MID, dua soket kuasa tambahan dan perehat tangan untuk penumpang belakang, sistem telematik Honda Connect dan juga tambahan dua beg udara bagi menjadikan enam unit secara keseluruhan.

     
     
  • GWM Cannon 2021 diperkenalkan di Australia — spesifikasi lebih bagus dan harga yang lebih murah

    GWM Cannon 2021 diperkenalkan di Australia — spesifikasi lebih bagus dan harga yang lebih murah

    Great Wall Motors telah melancarkan model serba baru trak pikap Cannon (terjemahan longgar dari nama Cina Pao) untuk pasaran Australia. Untuk bersaing, trak ini menawarkan lebih banyak kelengkapan dan teknologi berbanding Toyota Hilux, Ford Ranger dan Isuzu D-Max, tetapi pada harga yang jauh lebih murah.

    Terdapat tiga varian ditawarkan, bermula dengan yang paling asas pada harga AUD$33,990 (RM102k), diikuti oleh Cannon-L pada harga AUD$37,990 (RM114k) dan yang paling tinggi, Cannon-X (gambar) pada harga AUD$40,990 (RM123k). Jika dilihat pada harga sahaja, ia tidak jauh berbeza daripada pesaing-pesaing yang dinyatakan itu. Namun, sebaik sahaja melihat penawaran spesifikasi, lain ceritanya.

    Dari sudut ukuran dimensi, GWM Cannon ini memiliki 5,410 mm panjang, 1,934 mm tinggi, 1,886 mm lebar serta jarak antara roda 3,230 mm. Jarak kelegaan tanah adalah 194 mm, dengan kedalaman meredah air 500 mm. Sudut kelegaan bahagian depan dan belakang masing-masing adalah 27-darjah dan 25-darjah. Suspensi depan pula dari jenis double wishbone, sementara di belakang dari jenis leaf spring.

    GWM Cannon 2021 diperkenalkan di Australia — spesifikasi lebih bagus dan harga yang lebih murah

    Di luar, Cannon dilengkapi lampu utama projektor LED dengan fungsi selekoh, DRL LED, lampu kabus halogen, pemijak sisi, cermin sisi larasan elektrik, bampar warna badan, antena “shark fin” dan rim 18-inci sebagai ciri standard.

    Cannon-L spesifikasi pertengahan pula ditambah dengan sports bar, rim 18-inci dua-tona, pintu kargo dengan bantuan spring, tangga karga, kemasan luaran krom, landasan bumbung dan cermin sisi boleh lipat dengan kawalan elektrik. Semua ciri ini turut terdapat pada varian paling tinggi Cannon-X.

    Ciri tanpa kunci dan butang Push Start adalah standard untuk semua varian, sama seperti skrin sentuh sembilan-inci untuk infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta tiga slot USB (dua di depan, satu di belakang.)

    Varian paling mahal pula menerima kerusi balutan kulit, kamera keliling 360-darjah, kerusi larasan enam-hala, sensor parkir depan, cermin pandang belakang elektrokromik, stereng teleskopik dan tilt serta pengecas telefon tanpa wayar.

    GWM Cannon 2021 diperkenalkan di Australia — spesifikasi lebih bagus dan harga yang lebih murah

    Cannon-X menerima paparan multi-info tujuh-inci yang diapit oleh dua meter analog, sementara Cannon dan Cannon-L dipasangkan dengan paparan 3.5-inci yang lebih asas. Cannon-X turut menampilkan ciri pengesanan suara, kerusi penumpang depan larasan empat-hala dan mod stereng bantuan kuasa elektrik.

    Untuk keselamatan, semua varian diberikan tujuh beg udara (termasuk satu di antara kerusi depan), amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh, amaran penukaran lorong, bantuan pengekalan lorong, amaran lintasan trafik di belakang, kawalan melayar adaptif, pengesanan papan tanda trafik dan amaran had laju, buka kunci automatik dan memutuskan bahan api ketika pelanggaran, bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni curam.

    Pada model pesaing, semua ciri ini hanya boleh didapati pada harga di atas AUD$60,000 price point (RM180k); GWM Cannon ini memberikan lebih nilai dari sudut berkenaan. Semua varian juga menggunakan brek cakera penuh dan brek parkir elektrik sebagai ciri standard.

    GWM Cannon 2021 diperkenalkan di Australia — spesifikasi lebih bagus dan harga yang lebih murah

    Jika ada sedikit kekurangan trak pikap ini, itu mungkin tentang sistem janaan kuasanya. Ia menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel, menghasilkan sebanyak 163 PS dan 400 Nm tork. Enjin ini menampilkan ciri pengecas turbo geometri boleh ubah, naik taraf bagi masukan udara pendikit dan camshaft. Kapasiti menunda trak ini ialah 3,000 kg, tetapi dokumen rasmi menunjukkan had 2,250 kg. Purata penggunaan minyak didakwa pada 9.4 liter per 100 km.

    Bagi transmisi, unit automatik tujuh-kelajuan dari ZF adalah standard. Bukan itu sahaja, ia datang dengan paddle shifter serta suis pemilih untuk sistem pacuan, serta differential lock di belakang. GWM Cannon datang dengan jaminan tujuh-tahun dengan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

     
     
  • Kawasaki Z H2 SE terima suspensi elektronik Skyhook

    Kawasaki Z H2 SE terima suspensi elektronik Skyhook

    Selepas satu tahun model Z H2 berada dalam pasaran, Kawasaki kini memperkenalkan satu lagi versi lebih tinggi bagi model naked tersebut, iaitu Z H2 SE. Model ini menerima beberapa peningkatan termasuk pada bahagian suspensi dan juga brek.

    Untuk suspensi, ia menggunakan unit elektronik semi aktif Showa Skyhook yang terdiri daripada fork 43 mm SFF-CA dan monoshock Uni Trak BFRC di belakang. Selain boleh dilaras mengikut mod tunggangan, suspensi ini juga boleh melaras sendiri sepanjang masa untuk menjadikan tunggangan lebih selesa.

    Kemudiannya pada bahagian brek, ia dipertingkat dengan angkup Brembo Stylema Monobloc serta master cylinder Brembo untuk dipadankan bersama cakera berkembar 320 mm di hadapan dan memberikan prestasi brek yang lebih baik. Brek belakang menggunakan cakera 260 mm dan angkup satu piston.

    Selain daripada itu, kelengkapan Z H2 SE adalah sama seperti Z H2 standard dan ini termasuklah skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar menggunakan Bluetooth, quickshifter dan semua lampu jenis LED.

    Pada bahagian elektronik, ia datang dengan IMU yang boleh mengawal fungsi Kawasaki Intelligent Brake System (KIBS) dan Kawasaki Traction Control (KTRC), serta cruise control, Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), Kawasaki Cornering Management Function (KCMF) dan tiga mod tunggangan.

    Tiada perubahan dibuat pada bahagian enjin, dan ia masih lagi dikuasakan oleh unit empat silinder DOHC 998 cc yang dibantu dengan unit supercharger, untuk menghasilkan kuasa sehingga 200 PS pada 11,000 rpm dan 137 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi menggunakan unit enam kelajuan sementara berat keseluruhan motosikal adalah 240 kg.

     
     
  • Kapasiti penuh kenderaan dibenarkan di zon hijau, perlu permit polis jika rentas zon kuning, jingga, merah

    Kapasiti penuh kenderaan dibenarkan di zon hijau, perlu permit polis jika rentas zon kuning, jingga, merah

    Semalam Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi positif COVID-19 iaitu mencecah 1,884 kes dengan Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 1,203 kes, diikuti Sabah (289 kes) dan Kuala Lumpur (196 kes). Walau pun kenaikan kes positif COVID-19 dilihat kian menggusarkan, sudah ada beberapa negeri telah bebas daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Kedah (kecuali daerah Kulim), Melaka, Johor dan Terengganu. Selebihnya masih di bawah PKPB.

    Industri pelancongan merupakan sektor yang terjejas teruk dek penangan COVID-19 dan juga pelaksanaan PKP. Walau bagaimana pun, bagi membantu memulihkan semula ekonomi yang terjejas, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (Motac) telah memperkenalkan pelan khas, Gelembung Perjalanan Domestik, untuk merancakkan kembali pelancongan domestik. Tetapi ini hanya melibatkan zon hijau sahaja. Jadi, jika anda berada di Lembah Klang atau negeri lain yang berada di zon merah, kuning mahu pun jingga, harap teruslah bertabah.

    Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berkongsi prosedur operasi standard (SOP) untuk Gelembung Perjalanan Domestik, yang membenarkan orang ramai melakukan perjalanan dari zon hijau ke zon hijau yang lain tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis. Tetapi jika anda ingin merentasi zon merah, kuning atau jingga, wajib untuk mendapatkan permit pergerakan daripada polis.

    Kapasiti penuh kenderaan dibenarkan di zon hijau, perlu permit polis jika rentas zon kuning, jingga, merah

    Menurut SOP yang dikeluarkan, pemandu yang melakukan perjalanan antara zon hijau dibenarkan membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan terbabit. Bukannya tiga individu dalam satu rumah yang sama seperti mana yang disyaratkan di bawah SOP PKPB. Walau bagaimana pun, Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, “Bagi perjalanan terbabit, mereka tidak dibenarkan untuk berhenti di mana-mana kawasan di dalam zon merah atau kuning; termasuk di R&R dan stesen minyak.”

    Manakala untuk pergerakan sekeluarga atau pun kumpulan pelancong di bawah pakej pelancongan di bawah syarikat pelancongan sah berlesen dan berdaftar dengan Kementerian perlulah
    membuat permohonan secara pukal kepada pihak polis.

    Apa yang diperlukan dalam permohonan terbabit ialah pelancong yang berasal dari zon hijau perlulah menunjukkan pengesahan deklarasi tahap kesihatan risiko semasa berstatus low risk (risiko rendah) melalui profil MySejahtera. Selain itu, bukti tempahan penginapan, tiket, atau pakej pelancongan diperlukan. Begitu juga dengan itinerari pelancongan atau pun apa-apa dokumen yang diperlukan oleh pihak polis.

     
     
  • Toyota Camry Hybrid facelift tiba di Europah — sistem keselamatan, paparan infotainmen kini dipertingkat

    Toyota Camry Hybrid <em>facelift</em> tiba di Europah — sistem keselamatan, paparan infotainmen kini dipertingkat

    Toyota Camry generasi kelapan kini diberikan facelift bagi tahun 2021, yang kini sedang berada dipertengahan kitaran hayatnya. Model yang ditunjukkan ini ialah versi hibrid, yang mengenakan kit luaran yang sama seperti model standard yang dijual di pasaran Amerika Syarikat.

    Camry Hybrid ini menggunakan enjin hibrid 2.5 liter A25A-FXS empat-silinder sebaris yang diganding bersama motor elektrik, konfigurasi yang sama seperti model sebelumnya. Menurut Toyota, output sistem keseluruhannya kini menghasilkan 218 hp.

    Camry facelift untuk pasaran Eropah ini, seperti juga untuk pasaran Amerika, turut menerima sentuhan rekaan baru, misalnya pada lekuk bukaan udara di depan serta bahagian atas grilnya. Camry 2021 ini menawarkan pilihan roda 17-inci atau 18-inci, masing-masing dengan corak V dan jejari dua-tona. Perumah lampu belakang juga adalah rekaan baru.

    Di dalam, rekaletak papan pemuka diberi kemaskini untuk memuatkan paparan skrin sentuh sembilan-inci yang lebih besar. Kini peranti berkenaan dalam gaya terapung, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Lengkung S pada papan pemuka ini merupakan pengasingan antara kawalan infotainmen dan kawalan pendingin hawa.

    Toyota Camry Hybrid <em>facelift</em> tiba di Europah — sistem keselamatan, paparan infotainmen kini dipertingkat

    Camry bagi pasaran Eropah ini turut menerima balutan kulit pada bahagian kabinnya, dengan dua pilihan warna kemasan dalaman, iaitu Black Engineered Wood atau corak Titanium Line. Bagi kelengkapan keselamatan, Camry facelift ini menerima kemaskini ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), yang turut melibatkan pengesanan kenderaan dari arah depan, bantuan stereng kecemasan (ESA) dan bantuan belok di simpang.

    Lain-lain kelengkapan keselamatan termasuk kawalan melayar adaptif penuh dan bantuan pengesanan papan tanda sebagai sebahagian daripada kawalan melayar adaptif pintarnya, yang membolehkan kenderaan diperlakankan mengikut had laju semasa atau ketika tiba di selekoh. Ciri bantuan pengesanan lorong (LTA) pula akan memastikan kereta sentiasa berada dalam laluan yang betul, dengan bantuan stereng.

    Toyota Camry facelift ini juga menerima warna baru, Deep Metal Grey yang anda lihat ini dan akan mula dijual di Eropah pada musim luruh nanti.

     
     
  • Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

    Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

    Sebelum ini kami telah pun membuat perbandingan kos servis berkala untuk Proton X50 dan juga Honda City 1.5L 2020. Dan kini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pun menyiarkan kos servis berkala untuk model baharu Nissan Almera Turbo, jadi menerusi artikel baharu ini kami buat perbandingan sekali dengan sedan segmen-B yang menjadi saingan terus kepada Honda City.

    Kami tahu, mesti ada yang mempersoalkan kenapa buat perbandingan antara model yang berlainan segmen? Mestilah tak adil untuk Proton X50 kerana ia sebuah SUV manakala lagi dua model tersebut adalah sedan bukan? Pertama sekali, tujuan artikel ini dibuat bukanlah untuk kami namakan salah satu model ini sebagai model terbaik yang kami pilih, tetapi ia dibuat untuk panduan mereka yang sedang membuat penilaian model mana yang hendak dibeli.

    Jika kita lihat dari segi segmentasi memang la perbandingan ini tidak masuk akal. Tetapi dalam dunia sebenar, memang ramai yang menyenaraikan tiga model ini sebagai ‘calon finalis’ sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli kereta baharu berdasarkan julat harga yang hampir sama antara ketiga-tiganya.

    Bukan semua orang mempunyai kriteria yang sama semasa membuat senarai akhir kereta apa yang patut dibeli. Untuk mereka yang masih bujang, atau baru kahwin dengan anak masih seorang, atau seseorang yang mahukan kereta kedua setelah mempunyai sebuah kereta keluarga yang cukup praktikal, tidak mustahil untuk mereka membandingkan Proton X50 dengan dua sedan segmen-B yang baharu dalam pasaran ini.

    Walau bagaimanapun, sebelum ini kami telah pun menaikkan satu artikel berkenaan perbandingan kos servis antara Proton X50 dan pesaing terdekat dalam segmen sama iaitu Honda HR-V, yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Seperti yang kami sebut tadi, ketiga-tiga model yang kami bandingkan ini mempunyai julat harga jualan yang hampir sama. Nissan Almera Turbo dijual pada harga bermula RM79,906 hinggan RM91,310), Proton X50 berharga RM79,200 hingga RM103,300 dan model petrol sepenuhnya Honda City 1.5L berharga RM74,191 hingga RM86,561.

    Sebelum bermula, ingin kami jelaskan bahawa perbandingan kos servis selama lima tahun atau 100,000 km ini dibuat berdasarkan jadual servis rasmi kesemua pengeluar yang boleh anda lihat pada laman web rasmi masing-masing. Proton X50 dan Honda City disarankan untuk diservis setiap 10,000 km/6 bulan, namun untuk Nissan Almera sela masa servisnya adalah setiap 7,000 km/6 bulan.

    Jadi untuk Almera, jumlah keseluruhan servis yang kami ambil kira adalah sehingga 98,000 km/tujuh tahun, berbanding 100,000 km/lima tahun pada X50 dan City. Berberapa perkara lebih dari tempoh ini turut akan kami sentuh.

    Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

    Satu lagi kami nak anda tahu, ketiga-tiga model ini digerakkan dengan enjin yang agak berlainan antara satu sama lain; Proton X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, Nissan Almera menerima enjin 1.0 liter tiga silinder turbo, manakala Honda City petrol diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tanpa turbo.

    Khas untuk perbandingan ini, jadual kos keseluruhan yang kami sediakan di atas menyatakan dua angka untuk Almera iaitu pada 70,000 km/5 tahun dan juga 98,000 km/7 tahun. Boleh anda lihat pada tempoh lima tahun pertama (sekiranya pemilik secara purata tidak memandu kereta berkenaan lebih dari 7,000 km setiap enam-bulan), Almera merupakan model dengan kos servis paling rendah.

    Ini kerana Almera diberikan lima servis percuma yang merangkumi kos upah dan alat ganti pada servis perbatuan 7,000-, 21,000-, 35,000-, 49,000- dan 63,000-km. Jika diperhatikan, kesemua servis terpilih ini adalah servis-servis kecil yang melibatkan penukaran minyak enjin, penapis minyak, penapis udara kabin dan juga isian semula cecair pembersih cermin hadapan.

    Honda turut memberikan lima servis percuma kepada pemilik City tetapi hanya merangkumi kos upah pada perbatuan terpilih termasuk servis besar, manakala Proton juga memberikan pakej serupa kepada pemilik X50, tetapi ia hanya terhad kepada 30,000 pelanggan pertama.

    Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

    Klik untuk besarkan

    Jadi jika ikut tahun yang dinyatakan oleh pengeluar, memang Almera dilihat sebagai model dengan kos servis berkala paling rendah. Tetapi jika dikira berdasarkan perbatuan, kos servis berkala untuk Almera pada 98,000 km adalah lebih mahal dari Honda City, tetapi masih lebih rendah dari Proton X50.

    Nissan Almera dan Proton X50 kedua-duanya disarankan untuk menggunakan minyak enjin sintetik penuh. Manakala untuk City, Honda menyatakan bahawa minyak semi-sintetik dengan RM114.69 setiap penukaran boleh digunakan untuk jarak perbatuan 10,000 km, dan ia diberikan secara standard dalam pakej servis.

    Namun untuk pemilik City, anda masih boleh memilih untuk menggunakan minyak jenis sintetik penuh dengan harga RM130.80 untuk setiap servis (termasuk gasket penutup palam buang minyak), dan kos keseluruhan sehingga 100,000 km/5 tahun adalah RM3,830.81. Jadi jika anda menggunakan minyak enjin sintetik sepenuhnya untuk semua servis, kos servis berkala untuk City ini masih yang paling murah antara ketiga-tiga model ini.

    Jika lebih diteliti setiap jadual model-model ini, penapis minyak enjin Honda City hanya perlu ditukar setiap 20,000 km, bermakna penapis yang berharga RM34.10 berkenaan tidak perlu ditukar sekali pada setiap sesi penukaran minyak enjin. Manakala pada X50 dan Almera, ia masih bersifat konvensional di mana penapis tersebut ditukar sekali dengan minyak enjin pada setiap servis.

    Manakala untuk penapis udara enjin, dalam tempoh 100,000 km, X50 perlu menukarnya sebanyak lima kali berbanding hanya tiga kali pada Almera dan City dengan kos pada model Nissan tersebut paling rendah kerana harga komponen yang paling murah. Begitu juga untuk penapis udara kabin, dalam tempoh sama Proton X50 perlu menukar sebanyak lima kali, berbanding hanya empat untuk Almera dan tiga untuk City.

    Dua sedan segmen-B ini menggunakan kotak gear CVT automatik, manakala Proton X50 dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar jenis basah DCT tujuh-kelajuan automatik. Untuk itu, City perlu menukar minyak transmisi CVTF berkenaan setiap 40,000 km/24 bulan, dan Almera pula setiap 84,000 km 48 bulan. Manakala X50 pula minyak transmisi perlu ditukar setiap 90,000 km/54 bulan.

    Jika diperhatikan, dalam tempoh 100,000 km kos untuk menukar minyak transmisi Almera adalah paling mahal dengan harga RM414.75 (termasuk upah). City walaupun perlu ditukar dua kali dalam tempoh tersebut kos keseluruhannya hanya RM258.48, sementara X50 pula sekali penukaran menelan belanja RM237.36.

    Untuk palam pencucuh pula, Proton X50 hanya menggunakan komponen biasa yang berharga RM96.84 satu set yang perlu ditukar setiap 40,000 km. Nissan Almera pula menggunakan palam pencucuh platinum yang berharga RM120 yang perlu ditukar setiap 98,000/84 bulan. Manakala Honda City memerlukan palam pencucuh iridium yang paling mahal berharga RM554.20, dan ia boleh bertahan untuk setiap 100,000 km.

    Perkara lain yang turut perlu diselenggara termasuk penukaran penapis petrol, yang perlu dibuat setiap 20,000 km untuk X50, manakala City pula bertahan dalam tempoh yang sangat lama iaitu setiap 140,000 km/84 bulan. Namun ETCM tidak menyatakan bila penapis petrol Almera perlu ditukar.

    Bagi cecair penyejuk pada radiator, Proton X50 perlu menukarnya setiap 60,000 km/36 bulan, Almera perlu ditukar setiap 98,000 km/84 bulan, dan Honda City sekali lagi menampilkan sela masa penukaran yang sangat jauh iaitu setiap 200,000 km/10 tahun.

    Untuk Nissan Almera, tali sawat (untuk menggerakkan alternator dsb) perlu ditukar setia 28,000 km/24 bulan dengan kos RM151 (termasuk kos upah RM14). Manakala untuk City, Honda tidak menyatakan bila komponen tersebut perlu ditukar – biasanya untuk situasi seperti ini, ia perlu ditukar berdasarkan penilaian juruteknik setiap kali memeriksanya pada setiap servis.

    Aci sesondol pada enjin Almera dan City digerakkan oleh rantai logam ‘timing chain’ yang biasanya bertahan dalam tempoh dalam masa yang agak lama. Manakala untuk Proton X50, ia menggunakan sistem tali sawat ‘timing belt’ – ia perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

    Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

    Selain dari komponen-komponen servis yang perlu ditukar secara berkala ini, kami turut meninjau berberapa komponen haus dan lusuh lain yang perlu ditukar mengikut penggunaan pemilik, dan tidak tersenarai dalam jadual servis berkala.

    Untuk Nissan Almera, kos penukaran pad brek hadapan termasuk upah adalah RM387, dan kasut brek untuk sistem dram di belakang pula adalah RM 412. Tiada maklumat yang kami dapat untuk komponen sama pada Honda dan Proton.

    Satu lagi kelebihan bagi sedan seperti Honda City dan Nissan Almera adalah ia menggunakan kerana ia menggunakan tayar yang lebih kecil dan murah dengan rim dari 15- hingga 16-inci bergantung varian, berbanding Proton X50 yang dibekalkan dengan rim 17- hingga 18-inci bergantung pada varian.

    Begitu juga brek, di mana Proton X50 bukan sahaja diberikan angkup serta pad brek yang lebih besar dan mahal, malah ia diberikan sistem brek cakera untuk semua roda, berbanding Honda City dengan angkup dan pad brek lebih kecil serta hanya menggunakan sistem dram yang lebih tahan lama di belakang.

    Secara ringkas yang boleh kami katakan, kos untuk menyara sebuah sedan adalah jauh lebih murah dari sebuah SUV berdasarkan berberapa faktor yang boleh anda baca pada satu lagi artikel kami pada PAUTAN INI. Lagi sekali nak kami tegaskan, artikel yang kami tulis ini bukan nak tunjuk model mana yang paling bagus, tetapi ia lebih menumpukan kepada apa yang perlu anda tahu sebab kami tahu bahawa bajet, citarasa, keinginan, keperluan dan pelbagai faktor adalah tidak sama untuk setiap individu.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-10R dan ZX-10RR 2021 didedah

    Kawasaki Ninja ZX-10R dan ZX-10RR 2021 didedah

    Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Walaupun rupanya sangat berbeza berbanding model tahun 2020, ia masih adalah sebuah model yang dipertingkat dan bukannya model serba baru. Selain versi biasa ZX-10R, satu lagi versi yang lebih fokus kepada penggunaan litar iaitu ZX-10RR turut diperkenal.

    Fairing baru yang digunakan pada ZX-10R ini lebih mementingkan ciri aerodinamik, di mana daya tolakan ke bawahnya (downforce) bertambah baik 17% dan mempunyai winglet tepi bersepadu. Lampu LED berkembar yang digunakan juga adalah lebih kecil sementara penghadang angin hadapan kini 40 mm lebih tinggi.

    Enjin empat silinder DOHC 999 cc pada model ini sekarang menepati tahap emisi Euro 5, tetapi kuasanya tidak terjejas dan masih mampu menghasilkan 203 PS pada 13,200 rpm dan 114.9 Nm tork pada 11,400 rpm. Bagi model ZX-10RR, enjin ini dipertingkat lagi dengan intake, cam dan spring injap baru, serta piston lebih ringan daripada Pankl, sekaligus membolehkan ia dikerah sehingga rpm lebih tinggi, iaitu 14,700 rpm.

    Kawasaki Ninja ZX-10R dan ZX-10RR 2021 didedah

    Nisbah gear pada transmisi enam kelajuan ZX-10R telah diubah dengan tiga gear pertama dijadikan lebih pendek untuk lebih pecutan waktu mula memecut dan di pertengahan, sementara sprocket pula ditukar menjadi lebih besar, daripada 39 mata sebelum ini, menjadi 41.

    Kedudukan menunggang dijadikan lebih agresif dengan tapak peletak kaki yang diubah manakala tempat duduk pula dijadikan lebih tinggi di bahagian belakang bagi mengurangkan seretan angin apabila penunggang menunduk.

    Pada bahagian casis, beberapa perubahan dibuat termasuk swingarm 8 mm lebih panjang, sudut fork 2 mm lebih tegak dan tapak swingarm 1 mm lebih rendah. Suspensi menggunakan unit dari Showa yang terdiri daripada fork BFF (Balance Free Front Fork) di hadapan dan monoshock BFRC lite (Balance Free Rear Cushion) di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya.

    Pada bahagian kokpit, ZX-10R 2021 hadir dengan skrin TFT berwarna baru yang boleh disambung dengan Bluetooth sementara mod tunggangan pula terdiri daripada Sport, Road, Rain dan empat mod Rider yang boleh diubah. Model ini juga datang dengan fungsi cruise control serta Traction Control yang dikawal oleh IMU.

    Brek terdiri daripada unit cakera berkembar 330 mm berserta angkup Brembo M50 di hadapan manakala di belakang terdapat çakera 220 mm berserta angkup satu piston. Berat keseluruhan ZX-10RR 2021 adalah 207 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 17 liter.

    Bagi model ZX-10RR, selain bahagian dalaman enjin yang diubah, ia juga dilengkapi dengan rim aluminium forged Marchesini serta tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP. Model lebih berprestasi ini cuma akan dihasilkan sebanyak 500 unit sahaja.

     
     
  • K’jaan belum muktamadkan lanjutan konsesi lebuhraya PLUS hingga 2058, masih dibincangkan

    K’jaan belum muktamadkan lanjutan konsesi lebuhraya PLUS hingga 2058, masih dibincangkan

    Dalam persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith memaklumkan kerajaan belum memuktamadkan lanjutan tempoh konsesi konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selama 38 tahun lagi sehingga 2058.

    Katanya, kerajaan masih meneliti isu terbabit kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan dan diimbangi, laporan Berita Harian.

    “Perjanjian mengenai PLUS sedang diteliti kerana dalam isu membabitkan tol, banyak perkara sensitif perlu dipertimbangkan seperti kenaikan harga (tol) dan tempoh konsesi. Ini perlu diimbangi dengan beban hutang kerajaan termasuk beban rakyat dan tanggungan (syarikat) konsesi. Perjanjian dengan PLUS ini dalam perbincangan dan belum diputuskan setakat hari ini,” katanya.

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) sama ada kerajaan akan mengkaji semula keputusan dibuat kerajaan terdahulu melanjutkan tempoh konsesi PLUS dan apakah perjanjian mengenainya sudah ditandatangani.

    K’jaan belum muktamadkan lanjutan konsesi lebuhraya PLUS hingga 2058, masih dibincangkan

    Sebelum itu, Mahdzir turut mengemukakan soalan sama ada kerajaan berhasrat meneruskan semula rundingan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini, Eddin Syazlee berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian.

    “Kerajaan masih mengkaji dan meneliti pilihan pengurusan lebuh raya untuk meringankan beban ditanggung kerajaan dan diimbangi dengan keperluan pengguna lebuh raya. Pada masa sama, bebanan kewangan kepada kerajaan terhadap pilihan ini akan dipertimbangkan dan diambil kira impak ekonomi serta keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.

    Beliau berkata, memorandum Jemaah Menteri bersama Hala Tuju Industri Lebuh Raya Bertol di Malaysia antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri akan dibentang untuk pertimbangan dan kelulusan pada pertengahan bulan depan.

     
     
  • Honda N-One 2021 diperkenal di Jepun — rekaan dalaman baru, lebih pintar dan selamat; dari RM63k

    Honda N-One 2021 diperkenal di Jepun — rekaan dalaman baru, lebih pintar dan selamat; dari RM63k

    Mula ditunjuk September lalu, Honda kini telah melancarkan model N-One generasi kedua untuk pasaran di Jepun. Rekaan luarannya kelihatan tidak banyak berubah berbanding sebelum ini, tetapi pengeluarnya menyatakan yang N-One baru ini lebih pintar dan selamat.

    Yang membezakan penampilannya hanyalah rekaan wajah depan dan belakang. Lampu bulat dengan kemasan hitam sekelilingnya membawakan imej comel. Bahagian belakang turut menggunakan pendekatan rekaan yang sama. Lampu yang digunakan ini sebenarnya diberi sentuhan baru. Misalnya, lampu posisi padanya kini turut bertindak sebagai lampu isyarat.

    Dengan rekaan semula yang dilakukan, Honda juga turut mengurangkan jumlah berbezaan antara varian bagi model tersebut – semua berkongsi bampar depan yang sama. Perbezaan terletak pada perinciannya – varian Premium dan RS menerima gril yang lebih besar, lampu kabus LED di depan, lampu belakang jernih, spoiler belakang dan kemasan krom pada bampar depan dan belakang. Pemegang pintu, jalur pada tingkap dan kemasan lain pada pintu bagi varian Premium adalah dalam warna krom sementara pada RS, ia dalam warna hitam.

    Honda N-One 2021 diperkenal di Jepun — rekaan dalaman baru, lebih pintar dan selamat; dari RM63k

    Roda juga datang dalam dua-tona warna bagi Premium sementara RS dengan warna hitam kesat – kedua-duanya dengan saiz 15-inci. Tetapi, perbezaan yang lebih ketara adalah di bahagian dalam. Misalnya, papan pemukanya tampil dengan rekaan serba baru. Sebuah panel hiasan menegak menjadi antara cirinya. Corong pendingin hawa juga berbeza; bulat bagi pemandu, bersegi bagi penumpang. Ada juga, head unit terapung, panel kawalan pendingin hawa berasingan serta kluster meter berkembar yang diberi rekaan baru dengan paparan digital berwarna.

    Kerusi depan kini dari jenis bucket individu, membolehkan lebih banyak ruang digunakan untuk tujuan ruang simpanan dan tiga slot USB bagi penumpang depan. Brek parkir elektronik juga telah gantikan brek kaki. Selain itu, peringatan penggunaan tali keledar juga dipasangkan bagi kerusi belakang.

    Lain-lain tentang keselamatan, kereta kompak ini juga hadir dengan ciri lampu tinggi automatik, kawalan salah operasi pedal serta pakej Honda Sensing yang terdiri daripada ciri seperti brek kecemasan autonomous, kawalan melayar automatik, bantuan pengekalan lorong dan pengesanan papan tanda trafik.

    Honda N-One 2021 diperkenal di Jepun — rekaan dalaman baru, lebih pintar dan selamat; dari RM63k

    Kereta ini menggunakan enjin S07A 658 cc tiga-silinder, sesuai dengan peraturan kei car di sana. Premium hadir dengan unit NA yang menghasilkan 58 PS pada 7,300 rpm dan 65 Nm tork pada 4,800 rpm. Unit turbocas pada Premium Tourer dan RS pula menghasilkan sebanyak 64 PS pada 6,000 rpm dan 104 Nm pada 2,600 rpm.

    Kedua-duanya digandingkan bersama transmisi CVT – dengan pilihan untuk roda hadapan atau semua roda. Buat kali pertama, RS tampil dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan pacuan roda belakang sahaja. Harga bagi model ini bermula dari 1,599,400 yen (RM63,100) bagi versi Original, sehingga 2,022,900 yen (RM79,800) bagi versi Premium Tourer dengan pacuan semua roda. RS pula dijual pada harga 1,999,800 yen (RM78,900).

     
     
  • Hyundai Elantra 2021 ditunjuk menerusi FB Hyundai Malaysia – sedan segmen-C bakal dilancarkan?

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk menerusi FB Hyundai Malaysia – sedan segmen-C bakal dilancarkan?

    Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) telah pun menayangkan teaser kempen bagi Elantra generasi ketujuh, sebagai petanda sedan segmen-C ini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Ia bakal menjadi gelanggang yang hebat buat segmen-C memandangkan banyak model menarik di dalamnya terutamanya Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.

    Tiada perincian diberikan menerusi teaser berkenaan – tiada spesifikasi, tarikh pelancaran atau pun jangkaan harganya. Begitu juga tidak dipastikan sama ada ia model pemasangan atau pun diimport sepenuhnya, dan tidak diketahui adakah ia bakal dilancarkan dalam tempoh ‘cuti cukai jualan’ yang sedang berlangsung tika ini.

    Elantra baharu ini juga lebih besar berbanding model sebelumnya. Jarak rodanya mengalami peningkatan sebanyak 20 mm (2,720 mm), badannya lebih lebar sebanyak 25 mm (1,826 mm) dan ketinggiannya sedikit direndahkan sebanyak 20 mm (1,415 mm). Secara keseluruhannya, ia 56 mm lebih panjang, kini berukuran 4,676 mm. Ini menjadikannya lebih panjang berbanding Corolla, Mazda 3 dan Civic.

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk menerusi FB Hyundai Malaysia – sedan segmen-C bakal dilancarkan?

    Melihat imejnya, ia membawakan bahasa rekaan Sensuous Sportiness ciptaan terbaharu Hyundai dan ini yang kedua ditampilkan bagi modelnya selepas Sonata yang baru-baru ini telah dilancarkan. Pada wajahnya, ia diberikan gril Cascading Hyundai dengan “paten permata parametik” yang kelihatan lebih agresif dari apa yang diberikan pada Sonata dan i20 generasi baharu.

    Gril berkenaan direka seakan bersepadu terus dengan kedua-dua lampu hadapan yang mengapitnya, yang turut diberikan jalur lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

    Pada bahagian sisi, Elantra ini menampilkan rekaan yang jarang-jarang orang buat iaitu garis-garis badan pada pintu berbentuk-Z. Pelbagai set rim baharu turut direka dengan tema Parametric Dynamics, dihasilkan dalam saiz dari 15- hingga 17-inci.

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk menerusi FB Hyundai Malaysia – sedan segmen-C bakal dilancarkan?

    Dengan bumbung yang rendah untuk dihasilkan menyerupai coupe, bahagian belakang Elantra ini secara tidak langsung kelihatan seperti sebuah model fastback. Penutup but belakang kereta ini direka dengan bahagian atas yang ‘terjuih’ dengan rekaan seperti spoiler ekor itik bersaiz besar dengan lampu kombinasi LED yang merentangi keseluruhan bahagian belakang kereta ini diletakkan betul-betul di bawahnya.

    Di dalamnya, ruang kabin juga lebih besar berbanding sebelum ini, dan ia menampilkan roda stereng dua-jejari dan meter instrumen digital. Hyundai menggelarkannya sebagai bentangan rekaan dalaman “Immersive Cocoon”, yang direka umpama kokpit kapal terbang.

    Model tertinggi akan diberikan paparan instrumen digital dan juga skrin infotainmen utama yang dihadapkan lebih kearah pemandu, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci Manakala model lebih rendah, hanya diberikan skrin utama bersaiz lapan-inci. Walau bagaimanapun, kedua-dua sistem ini menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh dihubungkan tanpa wayar – pertama seumpanya dalam saingan segmen-C.

    Papan pemuka tersebut digandingkan dengan roda stereng yang turut direka pelik dari kereta lain dengan rekaan yang sukar untuk disifatkan sebagai empat- atau dua-jejari, manakala liang pendingin hawa nipis direka merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan seperti model-model terbaharu Audi.

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk menerusi FB Hyundai Malaysia – sedan segmen-C bakal dilancarkan?

    Suasana kabin kereta ini juga agak mewah dengan diberikan lampu suasana LED 64-warna sama seperti yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz. Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan termasuk sistem arahan suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, sistem terhubung Hyundai Blue Link, serta sistem audio premium Bose dengan lapan-pembesar suara Super 65 pada pintu hadapan dan juga subwoofer yang diletakkan di belakang.

    Untuk penjana kuasanya, model asas akan dijanakankan oleh enjin 2.0L MPI kitaran Atkinson berkuasa 147 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 179 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia akan dipadankan secara standard dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya, dakwa Hyundai sendiri.

    Manakala untuk Elantra Hybrid, ia dijana oleh enjin petrol lebih kecil, iaitu unit 1.6L GDI kitaran Atkinson, tetapi dibantu dengan motor elektrik magnet kekal berkuasa 43 hp yang menerima tenaga dari bateri pek bateri lithium-ion-polymer 1.32 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

    Hyundai Elantra N Line

    Bagi Elantra N Line (gambar seperti di atas), ia dipadankan dengan enjin petrol 1.6 liter pengecas turbo GDI yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 201 hp dan tork 264 Nm. Pelanggan boleh memilih sama ada transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Bagi aspek keselamatan, ia diberikan sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense sebagai ciri standard yang terdiri dari Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lororng (LFA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), dan juga kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.

    Pembeli juga boleh menambah ciri lain yang ditawarkan seperti Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta (BCA) dengan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang (RCCA), Smart Cruise Control (SCC), Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA), Amaran Selamat Keluar (SEW), dan juga Bantuan Pengelak Kemalangan Parkir Mengundur (PCA) dengan pengesan pejalan kaki dan halangan.

    GALERI: Hyundai Elantra 2021

    GALERI: Hyundai Elantra N Line 2021

     
     
  • Mazda 3 2021 di Jepun – padu dari Skyactiv-X, keselamatan dipertingkat, manual untuk Skyactiv-G 2.0

    Mazda 3 2021 di Jepun – padu dari Skyactiv-X, keselamatan dipertingkat, manual untuk Skyactiv-G 2.0

    Mula diperkenalkan di Jepun pada Mei lalu, Mazda 3 generasi ke-empat itu telah menerima beberapa perubahan kecil untuk pasaran domestik, memberikannya lebih kuasa dan dinamik pemanduan serta keselamatan aktif telah ditambah baik.

    Bagi peningkatan penjana kuasa, ini termasuklah dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-X petrol empat-silinder yang menggabungkan pencucuhan percikan dan pemampatan untuk memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik dan mengurangkan emisi. Proses Spark Plug Controlled Combustion Ignition (SPCCI) telah memberikan tambahan 10 PS dan 16 Nm, sekaligus menjadikan keseluruhan output mencecah 190 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm pada 4,500 rpm.

    Bagi supercharger yang menyalurkan campuran bahan bakar udara pada putaran yang lebih tinggi, juga bertindak balas dengan lebih cepat pada input pendikitan yang lebih padu untuk membuatkan enjin lebih bertenaga. Model yang dilengkapi dengan enjin tersebut kini dipanggil e-Skyactiv-X dan turut diberikan lencana khas pada bahagian fender hadapan dan tailgate.

    Turut dipertingkatkan ialah 1.8 liter Skyactiv-D turbodiesel, kini dengan jalur tork yang lebih luas dan meningkatkan maklumbalas pendikitan. Ia juga bertambah 14 PS bagi kuasanya menjadikannya sebanyak 130 PS pada 4,000 rpm, walau pun angka tork sebenar pada 270 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Penjana kuasa biasa 2.0 liter Skyactiv-G juga menerima pilihan kotak gear manual enam-kelajuan baharu, sebagai memberikan variasi selain mengekalkan transmisi automatik sedia ada.

    Mazda 3 2021 di Jepun – padu dari Skyactiv-X, keselamatan dipertingkat, manual untuk Skyactiv-G 2.0

    Lain-lain peningkatan termasuklah menala semula gegelung dan damper untuk pergerakan suspensi yang lebih lancar, mengurangkan getaran dan menambah baik pengendalian. Bagi aspek keselamatan, ciri pemanduan semi-sendiri Cruising & Traffic Support (CTS) Level 2 kini boleh berfungsi dalam kelajuan di lebuhraya, meningkat berbanding terhad 55 km/j sebelum ini. Kawalan kelajuan adaptif juga memberikan respon yang lebih lancar untuk memberikan pengendalian yang lebih menyenangkan.

    Mazda 3 2021 ini turut memperkenalkan model edisi terhad baharu bagi meraikan kejayaanya. Di mana ia telah dianugerahkan “100th Anniversary Special Commemorative Car 2020 World Car Design of the Year (WCDOTY) Award Commemorative Model”.

    Bagi model edisi terhad ini, ia menerima sedikit ciri yang berbeza. Ini termasuklah dengan diberikan warna Soul Red Crystal Metallic bukannya Snowflake White Pearl Mica, di samping turut diberikan hiasan peringatan khas untuk pemiliknya.

     
     
  • VIDEO: Volvo S90 T5 dan T8 Twin Engine — apa beza?

    Untuk tahun 2020, Volvo menawarkan tiga varian bagi model S90 untuk pasaran tempatan; S90 T5 Momentum, S90 T8 Inscription dan S90 T8 Inscription Plus, dengan harga bermula dari RM320k hingga RM370k setiap satunya.

    Apa perbezaan, kelebihan dan kekurangan masing-masing? Atau adakah di antara semuanya memang banyak persamaan? Untuk penelitian ini, kami pertemukan varian paling asas S90 dengan varian paling lengkapnya dalam video ini.

    Secara umumnya, Volvo S90 dijanakan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder, yang digabungkan dengan transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Aisin. Enjin T8 Twin Engine plug-in hybrid merupakan unit supercharged dan turbocharged untuk lonjakan kuasa 320 hp dan 400 Nm. ICE dipadankan dengan motor elektrik 87 hp/240 Nm yang memacu roda belakang untuk AWD. Motor tersebut dijanakan oleh bateri lithium-ion 10.4 kWh, yang jika dicas penuh mampu dipacu hingga 50 km.

    Kombinasi kuasa keseluruhan mencecah 407 hp dan tork 640 Nm, yang membolehkan S90 T8 dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 250 km/j. Satu angka yang besar juga untuk sebuah sedan eksekutif premium, kan? Ketahui lebih lanjut pandangan kami tentang dua varian T5 dan T8 dalam ulasan video ini.

    Volvo S90 T5 Momentum

    Volvo S90 T8 Inscription Plus

     
     
  • Royal Enfield rancang buka kilang di Thailand 2021

    Royal Enfield rancang buka kilang di Thailand 2021

    Sejak operasi utama syarikat berpindah ke India, Royal Enfield tidak pernah mempunyai kilang selain daripada di negara itu. Kini, ia telah berubah apabila mereka membuka kilang pemasangan di Argentina September lalu dan mempunyai perancangan untuk satu lagi kilang di Thailand.

    Perkara ini dilaporkan oleh Bangkok Post apabila diberitahu sendiri oleh ketua bahagian perniagaan Asia Pasifik Royal Enfield, Vimal Subbly. Beliau turut menambah bahawa kilang di Chachoengsao itu akan dibukan pada pertengahan tahun 2021 dan mempunyai kapasiti pengeluaran 3,500 unit dalam tempoh satu tahun.

    Royal Enfield mempunyai kedudukan yang kuat di Thailand dengan 30 pengedar dan jumlah jualan mereka telah meningkat pada tahun ini sebanyak 71%, iaitu bersamaan 2,810 unit. Dalam pasaran motosikal kapasiti pertengahan (250 – 750 cc), Royal Enfield mempunyai pegangan pasaran 5.4%.

    Royal Enfield rancang buka kilang di Thailand 2021

    Selain daripada pasaran Thailand, Subbly turut memberitahu bahawa kilang ini akan menjadi hab bagi Royal Enfield di Asia Pasifik dan produk yang dikeluarkan dari kilang itu akan juga dieksport ke negara lain. Pada masa sekarang di Asia Pasifik, Royal Enfield mempunyai 150 wakil pengedar dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa.

    Melihat kepada barisan motosikal yang ditawarkan, model terbaru yang diperkenalkan oleh Royal Enfield adalah Meteor 350, di mana ia menggunakan enjin suntikan bahan api 350 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 20.2 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm.

     
     
  • SYM Jet X 125 diperkenal di Eropah – bentuk dan kelengkapan sama seperti GPX Drone, enjin lebih kecil

    SYM Jet X 125 diperkenal di Eropah – bentuk dan kelengkapan sama seperti GPX Drone, enjin lebih kecil

    Pengeluar motosikal dari Taiwan, SYM Motor telah melakukan pelancaran atas talian sebuah skuter baru yang dinamakan sebagai Jet X 125. Ini adalah pengganti bagi model Jet 14, yang dikatakan cukup laris di pelbagai negara termasuk Eropah, sementara di Malaysia, Jet 14 pernah dilancarkan pada tahun 2018 dengan harga RM7k.

    Jika mengikuti perkembangan kemunculan model baru dalam masa yang terdekat ini, kita akan dapat melihat Jet X ini mempunyai rekaan sama seperti GPX Drone yang dilancarkan di Thailand. Walaupun GPX mendakwa rekaan tersebut adalah idea mereka sendiri, mungkin ini adalah sebahagian daripada kerjasama antara dua syarikat tersebut yang membenarkan penjualan model sama, tetapi di negara yang berlainan, dengan jenama masing-masing.

    Satu lagi perbezaan adalah kapasiti enjin kerana GPX Drone menggunakan enjin 150 cc sedangkan Jet X dikuasakan oleh enjin 125 cc. Ia adalah unit satu silinder suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm dan 11 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Selain daripada enjin, semua ciri dan kelengkapan Jet X adalah sama seperti GPX Drone, termasuklah sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED dengan DRL di hadapan, penghadang angin hadapan jenis smoked, pengecas USB serta panel meter LCD digital penuh.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci, dengan tayar 100/90 di hadapan dan 110/80 di belakang, dan pada kedua-dua roda ini terdapat brek cakera yang masing-masing bersaiz 260 mm dan 220 mm. Fork hadapan menggunakan jenis teleksopik biasa sementara di belakang pula terdapat dua penyerap hentak dengan tiga tahap pelarasan pra beban.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025