Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GPX akan keluarkan skuter kerjasama dengan SYM

    GPX akan keluarkan skuter kerjasama dengan SYM

    Pengeluar motosikal dari Thailand iaitu GPX telah mengeluarkan satu gambar teaser motosikal baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Ia adalah sebuah skuter, dengan rekaan yang moden dan dipanggil sebagai Drone.

    Tiada sebarang tarikh yang dikeluarkan bersama teaser ini tetapi melalui ayatnya, terdapat hashtag yang menyatakan ini adalah model kolaborasi antara GPX dan SYM. Laman khas Facebook kumpulan untuk GPX Drone ini juga sudah dibuat.

    Rekaan skuter ini nampak model dengan banyak garisan tajam tetapi kapasitinya masih tidak diketahui. Gambar spyshot di Thailand juga sudah mula tersebar dan daripada saiznya, ini berkemungkinan adalah sebuah skuter yang dipacu enjin 250 cc ataupun ke atas.

    Setakat ini dalam barisan produk GPX, masih belum ada model skuter dan kapasiti enjin paling tinggi yang digunakan adalah 300 cc, iaitu pada model MAD 300. Kerjasama dengan SYM mungkin dilakukan kerana GPX mahukan syarikat yang sudah berpengalaman menghasilkan skuter berkualiti. Sama-sama kita nantikan hari pengenalannya nanti.

     
     
  • Yamaha NVX 155 Connected 2021 di Vietnam ada beza

    Yamaha NVX 155 Connected 2021 di Vietnam ada beza

    Selain Indonesia, Vietnam juga menjadi negara terawal yang menerima model baru NVX 155 Connected daripada Yamaha. Bagi kita yang setakat ini cuma boleh menunggu sahaja ketibaannya, baik kita lihat sekiranya ada beza antara model yang dipasarkan di dua negara tersebut.

    Pertamanya, NVX Connected di Vietnam cuma dijual dalam satu versi sahaja, iaitu yang paling lengkap sama seperti versi ABS di Indonesia. Ia juga dilengkapi dengan semua ciri canggih seperti sistem tanpa kunci, brek ABS, sambungan Y-Connect, penyerap belakang dengan subtank serta sistem start/stop.

    Kemudiannya yang berbeza adalah pilihan warna. Pilihan warna hitam/emas yang dipanggil sebagai Maxi Signature Black juga ada ditawarkan di Vietnam, tetapi kemudiannya ia ditambah lagi dengan lima warna yang berbeza grafiknya iaitu biru, merah, hitam, oren dan Monster Energy Yamaha MotoGP.

    Pada bahagian kelengkapan, model di Vietnam ada kekurangan satu ciri iaitu lampu kecemasan (hazard light). Anda boleh perhatikan, butang yang sepatutnya digunakan untuk lampu kecemasan di bahagian kanan pemegang sudah diganti dengan butang untuk menutup lampu pada model pasaran Vietnam. Selain daripada itu, semuanya sama sahaja seperti Aerox 155 Connected yang diperkenalkan di Indonesia.

    Model baru Aerox/NVX Connected yang juga dipanggil sebagai V2 ini masih lagi menggunakan unit satu silinder SOHC 155 cc VVA dengan gerek dan lejang yang sama, tetapi nisbah mampatannya lebih tinggi, iaitu 11.6:1 (sebelum ini 10.5:1) dan terdapat sedikit peningkatan kuasa menjadi 15.2 hp pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Berita paling menarik berkenaan model ini adalah ia didatangkan dengan sistem sambungan aplikasi Y-Connect kepada telefon pintar, yang boleh memberikan notifikasi telefon bimbit, kedudukan terakhir motosikal, cadangan lokasi bengkel, penggunaan bahan api, notifikasi masalah serta analisa tunggangan Eco Riding.

     
     
  • Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

    Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

    Walaupun Mitsubishi Ralliart Europe sudah lama menghentikan operasi mereka termasuk menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), namun ada lagi pasukan-pasukan Ralliart nasional lain di seluruh dunia masih aktif menghasilkan jentera-jentera rali berdasarkan model-model jalan raya Mitsubishi.

    Antara yang masih aktif adalah Ralliart New Zealand, iaitu badan yang bertanggung jawab membangunkan jentera rali dari Mitsubishi Mirage generasi ke-enam dan juga MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander, berdasarkan undang-undang khas yang digunakan untuk Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) iaitu AP4.

    Dan selepas Mitsubishi memperkenalkan Mirage facelift 2020, Ralliart New Zealand turut menghasilkan jentera rali Mirage AP4 baharu berdasarkan model berkenaan dan ia baharu sahaja siap dan sedang bersedia untuk bertanding di SS rali bermula tahun hadapan dalam kejuaraan rali di New Zealand serta APRC. Antara pasukan yang bertanding dengan kereta ini sudah tentulah pelanggan Ralliart New Zealand sejak sekian lama iaitu Brian Green Motorsport.

    Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

    Jentera baharu ini nampak lain dari versi sebelumnya kerana muka Mirage berkenaan yang sudahpun menerima rekaan Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi. Ralliart New Zealand juga turut memberikan kit aero dengan overfender yang lebih berpetak sama dengan jentera-jentera R5 dan WRC terkini, lengkap dengan spoiler belakang bersaiz gergasi yang mengikut dimensi yang telah ditetapkan undang-undang AP4.

    Bahagian kabin Mirage AP4 ini juga telah ‘ditogelkan’ dan diberikan rollcage, tempat duduk perlumbaan, pedal box, tuil brek tangan, suis-suis dan panel instrumen perlumbaan, kelengkapan-kelengkapan keselamatan dan lain-lain, yang kesemuanya memenuhi regulasi AP4.

    Bagi yang masih belum mengetahui, jentera-jentera dengan spesifikasi AP4 ini dihasilkan bagi menyamai prestasi jentera-jentera R5, dijana oleh enjin 1.6 liter turbo dengan restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm (R5 hanya 32 mm), bagi menghasilkan kuasa sekitar 350 hp serta tork maksima melebihi 500 Nm.

    Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

    Sama seperti Xpander AP4 dan juga Proton Iriz R5, Mirage AP4 ini menerima enjin 4B11T yang boleh dijumpai pada Mitsubishi Lancer Evo X, tetapi dengan kapasiti yang diturunkan dari 2.0L kepada hanya 1.6L.

    Undang-undang AP4 menetapkan bahawa semua jentera perlulah menggunakan pilihan kotak gear sequential enam-kelajuan, serta sistem pacuan semua roda dengan tiga unit LSD mekanikal pada bahagian tengah serta gandar hadapan dan belakang yang sama untuk semua jentera yang bertanding.

    Malah jentera yang dihasilkan perlu menggunakan cagak suspensi sebelah atas dan juga crossmember hadapan dan belakang yang sama, bagi membolehkan kesemua jentera AP4 menggunakan suspensi yang sama. Ini secara tidak langsung bukan sahaja memberikan kondisi perlumbaan yang adil untuk semua pihak, malah kos penghasilan suspensi juga dapat dikurangkan serta jauh lebih murah dari jentera R5.

    FIA juga tidak mensyaratkan proses homologasi yang ketat seperti jentera R5 pada jentera-jentera AP4, bagi membolehkan ia dibangunkan oleh mana-mana bengkel – ini satu lagi cara yang membuatkan kos untuk menghasilkan jentera AP4 ini jauh lebih rendah dari jentera R5.

    Walau bagaimanapun, jentera-jentera AP4 ini hanya boleh bertanding pada peringkat Asia Pasifik (AP4 itu sendiri bermaksud Asia Pasifik 4WD), dan ia tidak boleh bertanding di Eropah mahupun di peringkat WRC untuk kategori WRC2.

    Menurut Ralliart New Zealand, pembangunan jentera Mirage AP4 baharu ini bukan sekadar merubah rupanya sahaja. Mereka turut melakukan rombakan semula terhadap sistem elektronik dan juga membuat kejuruteraan semula terhadap rekaan pada sistem suspensi.

    GALERI: Mitsubishi Mirage facelift 2020

     
     
  • Prasarana memperkenalkan aplikasi myrapidTap untuk menggalakkan pembayaran tambang tanpa tunai

    Prasarana memperkenalkan aplikasi myrapidTap untuk menggalakkan pembayaran tambang tanpa tunai

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui anak syarikatnya, PRIDE, atau Prasarana Integrated Development Sdn Bhd, telah mengumumkan kolaborasi dengan syarikat teknologi, Community Marketplace Technology Sdn Bhd (CM.tech) untuk membangunkan aplikasi myrapidTap.

    Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman berkata, rancangan untuk memperkenalkan aplikasi myrapidTap adalah satu lagi daripada inisiatif berterusan daripada pihak Prasarana dan anak-anak syarikatnya untuk memudahkan lagi orang awam menggunakan pengangkutan awam melalui kemajuan teknologi khususnya menggalakkan sistem pembayaran tanpa tunai.

    Tambahnya, aplikasi myrapidTap akan menjadi satu lagi mod pembayaran alternatif untuk penggunaan perkhidmatan awam kendalian Prasarana, bermula dengan bas perantara Jom Naik MRT, yang dijangka pada awal tahun depan.Penyambungan kemudahan berkenaan kepada perkhidmatan-perkhidmatan Rapid KL yang lain akan diumumkan kemudian.

    Prasarana memperkenalkan aplikasi myrapidTap untuk menggalakkan pembayaran tambang tanpa tunai

    Bakal memiliki kemudahan dompet digital, aplikasi myrapidTap ini akan turut dikembangkan untuk meliputi keupayaan untuk perancangan perjalanan bagimemberi kemudahan kepada warga kota merancang perjalanan mereka.

    Selain keselesaan menggunakan aplikasi myrapidTap, para pengguna boleh menggunakan pas perjalanan tanpa had My30, pas perjalanan MyCity, kad Touch ‘n Go dan token perjalanan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL, yang meliputi LRT, MRT, monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti-henti di Lembah Klang dan Selangor. Pengguna boleh memuat naik aplikasi myrapidTap menerusi Google Play dan Apple Store.

     
     
  • Volkswagen ID.4 X, ID.4 Crozz diperkenalkan di China

    Volkswagen ID.4 X, ID.4 Crozz diperkenalkan di China

    SUV elektrik Volkswagen ID.4 telah pun diperkenalkan September lalu, dan kini pengeluar dari Jerman itu melancarkan dua lagi versi bagi SUV itu di China, iaitu ID.4 X dan juga ID.4 Crozz. Bagi ID.4 X, rekaan luarnya sedikit berbeza berbanding ID.4 yang dijual di pasaran negara lain.

    Dua versi baru bagi ID.4 ini dibuat khas untuk pasaran China, melalui kerjasama berasingan antara Volkswagen dengan sebuah syarikat di negara itu. ID.4 X dibuat bersama SAIC-Volkswagen, manakala ID.4 Crozz pula melalui FAW-Volkswagen.

    ID.4 X mempunyai ukuran 20 mm lebih panjang dan 11 mm lebih tinggi berbanding ID.4 Crozz, manakala lebar dan jarak rodanya masih sama untuk kedua-dua versi ini. ID.4 X mendapat lampu hadapan yang lebih panjang di tepi, seperti Golf generasi kelapan, manakala bampar pula mendapat bukaan udara lebih besar di penjuru berbanding ID.4 Crozz.

    Volkswagen ID.4 X, ID.4 Crozz diperkenalkan di China

    Rekaan rim yang digunakan pada dua versi ini juga berbeza. Di bahagian belakang, tempat nombor plet ID.4 X terletak lebih tinggi, di bawah logo VW sementara untuk ID.4 dan ID.4 Crozz ia terletak bawah sedikit daripada pintu but.

    Pada bahagian dalam, ID.4 X mendapat perincian bagi membezakannya dengan ID.4 yang dijual di pasaran antarabangsa. Skrin sesentuh 12 inci untuk sistem infotainmen masih lagi sama sementara kemasan di kelilingnya dijadikan warna matte berbanding hitam berkilat pada ID.4. Konsol tengah menempatkan pad pengecas tanpa wayar, dua soket USB-C dan satu tempat meletak cawan (pada ID.4 dan ID.4 Crozz ada dua).

    Tempat duduk ID.4 X dibalut dengan beberapa corak fabrik dan warna, tetapi bentuknya masih lagi kelihatan sama. ID.4 X dipasang dengan bumbung panoramik kaca, bersama tempat duduk yang boleh dilipat secara berasingan.

    Melihat kepada laman web Volkswagen China, perincian teknikal dua versi ID.4 khas untuk negara ini cuma menunjukkan ia boleh mencapai jarak gerak antara 400 hingga 550 km melalui protokol NEDC, dan kapasiti baterinya yang paling besar boleh dicas selama 45 minit untuk memberikan tahap 80%.

    Sebagai perbandingan, ID.4 pasaran antarabangsa dijual dengan versi asas RWD yang berkuasa 204 PS dan menggunakan motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang. Kapasiti bateri yang disediakan adalah sehingga 77 kWh dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 520 km dalam ujian WLTP.

    ID.4 pasaran antarabangsa juga akan disertai oleh varian dua motor elektrik, yang menambah motor elektrik 102 PS/140 Nm pada gandar hadapan, untuk menjadikan kuasa keseluruhannya 306 PS. ID.4 boleh dicas sehingga kadar 125 kW di stesen pengecas pantas, di mana selama 30 minit, 320 km jarak perjalanan dapat disediakan.

     
     
  • GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

    Bagi yang merancang untuk tukar kereta baharu tahun ini, anda bukan sahaja menerima ‘diskaun’ dari kerajaan menerusi insentif potongan cukai PENJANA sehingga hujung tahun nanti, malah pasaran Malaysia juga kini meriah dengan pelbagai model baharu yang dilancarkan.

    Untuk mereka dengan bajet dari RM70k hingga RM100k, sangat banyak model baharu yang boleh anda pilih – dari SUV segmen-B Proton X50, MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander, dan juga dua pilihan sedan segmen-B iaitu Honda City generasi baharu, dan juga model yang kami paparkan dalam galeri penuh kali ini iaitu Nissan Almera generasi kedua.

    Tahun lalu pasti ramai yang menjangkakan gelanggang sedan segmen-B tahun ini bakal menyaksikan pertembungan antara dua model 1.0L Turbo iaitu City Vs. Almera bukan? Tapi nampaknya Honda Malaysia tidak membawa City dengan enjin VTEC Turbo seperti model pasaran Thailand sebaliknya hanya diberikan enjin 1.5L yang ditingkat taraf dengan kepala selinder DOHC i-VTEC, sementara model paling berkuasa City RS pula menerima unit janakuasa hibrid e-HEV i-MMD.

    Walau bagaimanapun untuk mereka yang menunggu Almera boleh menarik nafas lega kerana Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menawarkan Almera N18 ini dengan enjin turbo yang sama seperti model pasaran Thailand. Malah ETCM turut mendakwa bahawa kita diberikan Almera dengan spesifikasi tertinggi di pasaran ASEAN.

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

    Unit berwarna Radiant Red yang anda lihat ini adalah model varian tertinggi Almera 1.0L Turbo VLT, yang dijual pada harga RM91,310. Dua varian lebih rendah lain yang ditawarkan pada pasaran Malaysia adalah Almera 1.0L Turbo VLP berharga RM85,715, dan juga varian paling rendah Almera 1.0L Turbo VL berharga RM79,906.

    Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran lengkap dengan pengecualian SST sehingga 31 Disember nanti. Bermula 1 Januari 2020, Nissan Almera 1.0L Turbo dalam varian VLT dijual pada harga RM95,888, VLP berharga RM89,888 dan VL berharga RM83,888. Ia turut dilindungi dengan waranti selama lima-tahun, tanpa had perbatuan, serta servis berkala percuma selama lima-tahun (termasuk alat ganti dan kos upah).

    Semua varian Almera diberikan enjin HR10DET (dikenali juga sebagai HRA0) yang menjana 100 PS pada takat 5,000 rpm, dan tork puncak 152 Nm bermula seawal 2,400 hingga 4,000 rpm. Oleh itu, enjin ini menghasilkan sekitar 2 PS kurang dari enjin HR15DE 1.5 liter NA pada model generasi pertama, namun ia menghasilkan lebih 13 Nm tork yang dicapai jauh lebih cepat (139 Nm pada 4,000 rpm pada enjin lama).

    Menurut Nissan, enjin ini menerima teknologi Mirror Bore Coating yang sama seperti pada enjin VR38DETT Nissan GT-R R35 pada silinder, yang membantu mengurangkan geseran antara gegelang omboh dan dinding silinder, seterusnya akan meningkatkan ketahanan dan pengurusan suhu yang lebih baik.

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

    Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, di mana kesemua varian menerima kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic yang memberikan rasa tukaran gear seakan kotak gear automatik konvensional. Kuasa dari enjin hanya memacu roda hadapan.

    Dari segi rupa, pasaran Malaysia menerima rekaan seiras dengan Almera pasaran Thailand dan juga Versa pasaran Amerika Syarikat. Model generasi kedua ini menampilkan ukuran badan 70 mm lebih panjang dengan jarak roda 20 mm lebih jauh, 45 mm lebih lebar dan bumbung 40 mm lebih rendah, menjadikan ia sebuah sedan kacak tanpa rupa pelik seperti model generasi pertama.

    Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

    Pada bahagian sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

    Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Semua varian Almera pasaran Malaysia diberikan lampu kabus LED, lampu belakang LED, dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa bersama lampu isyarat membelok LED. Model VL dan VLP menerima lampu hadapan automatik dan lampu nyalaan siang halogen, manakala model VLT ini pula menerima lampu hadapan dengan teknologi LED.

    Model spesfikasi tertinggi Almera VLT ini juga turut diberikan spoiler pada but belakang berwana hitam bersama set roda yang terdiri dari rim aloi 16-inci kemasan dua tona dengan tayar 205/55R16. Model VLP tidak diberikan spoiler tetapi masih diberikan roda yang sama, manakala varian asas VL pula hanya menerima rim aloi 15-inci dengan tayar 195/65R15.

    Selain warna Radiant Red, Almera turut boleh dipilih dalam warna Monarch Orange, Dark Metal Grey, Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

    Masuk ke kabin, Almera diberikan papan pemuka yang dihasilkan dengan elemen melintang. Model VLT ini dan juga varian VLP menerima papan pemuka dua tona bersama upholsteri balutan kulit, sementara semua varian Almera diberikan tempat duduk semi-bucket dan juga roda stereng rata di bawah.

    Selain itu, varian VLT dan VLP turut diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

    Ia berbeza sekiranya anda membeli model paling rendah VL kerana ia hanya hadir dengan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama 4 pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual.

    Untuk keselamatan, semua varian Almera Turbo 2020 akan dibekalkan standard dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model asas VL diberikan hanya dua beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam-beg udara.

    Model paling mampu milik dari Nissan ini juga kini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, di mana kesemua varian termasuk varian paling rendah dilengkapkan dengan sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB).

    Pakej keselamatan untuk kesemua varian Almera ini sangat padu bukan? Namun sekiranya anda memilih varian tertinggi VLT ini ia turut menerima lebih lagi sistem keselamatan termasuk fungsi penuh Safety Shield 360 yang merangkumi sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Selain dari kelengkapan-kelengkapan standard yang diberikan bergantung pada varian ini, ETCM turut menawarkan barisan aksesori asli yang boleh anda ketahui butirannya pada PAUTAN INI. Sekiranya anda mahu lebih perincian berkenaan spesifikasi setiap varian Almera 2020, anda boleh baca laporan kami terdahulu pada PAUTAN INI. Anda juga boleh melayari laman Carbase.my bagi melihat sendiri perbandingan antara Almera ini dengan model-model saingan terdekatnya.

     
     
  • Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

    Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

    Ducati akhirnya mendedahkan secara rasmi Multistrada V4, yang merupakan generasi keempat bagi model itu, dan diperkenalkan dalam tiga versi iaitu Multistrada V4, V4S dan V4S Sport. Daripada yang boleh dilihat pada namanya, peningkatan utama adalah enjin, di mana ia menggunakan unit V4 Granturismo.

    Versi paling asas iaitu Multistrada V4 menggunakan suspensi Marzocchi, yang terdiri daripada fork 50 mm boleh laras sepenuhnya, serta monoshock di belakang, dengan jarak gerak masing-masing 170 mm dan 180 mm. Brek hadapan versi ini menggunakan angkup empat piston radial M4.32 manakala di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh dan lampu menggunakan unit LED (bersama DRL).

    Versi pertengahan, Multistrada V4S dipertingkat dengan angkup brek hadapan Brembo Stylema empat piston manakala suspensi pula ditambah dengan sistem elektronik Ducati Skyhook yang boleh memberikan fungsi auto levelling (masih lagi unit Marzocchi dengan jarak gerak yang sama seperti Multistrada V4). Penambahan lain adalah sistem Vehicle Hold Control, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci, Blind Spot Detection dan Cruise Control.

    Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

    Pergi pula kepada Multistrada V4S, model ini masih menggunakan kelengkapan seperti V4S, tetapi ditambah dengan ekzos titanium Akrapovic, penghadang lumpur gentian karbon, rim serba hitam serta grafik Sport yang menggunakan warna putih dan merah.

    Enjin V4 Granturismo yang digunakan pada Multistrada V4 adalah berbeza berbanding enjin V4 pada model lain, dan Ducati memanggilnya sebagai versi “touring“. Ia mempunyai kapasiti 1,158 cc, dengan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan 125 Nm tork pada 8,750 rpm, dan cuma memerlukan penukaran minyak setiap 15,000 km. Pemeriksaan injap pula tidak perlu dilakukan sehinggalah tahap 60,000 km.

    Enjin ini tidak menggunakan sistem injap Desmodromic dan saiznya adalah lebih kecil dan lebih ringan – berat keseluruhan cuma 6.7 kg dan 1.2 kg lebih ringan berbanding enjin Testastretta DVT pada Multistrada 1260, meskipun mempunyai lebihan dua piston. Berat Multistrada V4 adalah 215 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 22 liter.

    Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

    Seperti yang boleh dijangka, pelbagai teknologi canggih dipasang pada Multistrada V4 termasuk sistem Cornering ABS Bosch-Brembo 10.3ME, Traction Control, Wheelie Control dan Vehicle Hold Control. Untuk suspensi Skyhook pula, ia boleh melaras sendiri ketinggian mengikut tetapan satu penunggang, penunggang dan pembonceng ataupun penunggang dengan beg barangan. Sistem pemerhati tekanan angin tayar pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Sistem elektronik lain dapat dilihat pada panel instrumen LCD, yang mana apabila ditambah dengan Ducati Connect System, boleh disambungkan dengan telefon pintar dan memaparkan peta navigasi serta memberi arahan petunjuk. Sistem ini juga boleh dipasang dengan modul Ducati Connect untuk mengawal fungsi telefon dan muzik menggunakan butang pada pemegang. Tempat khas meletakkan telefon disediakan atas tangki dan datang sekali dengan pengecas USB.

    Sistem radar baru Ducati diberikan terus pada Multistrada V4S dan V4S Sport manakala untuk versi asas V4, ia dijual berasingan. Sistem ini dibangunkan bersama Bosch dan dapat memberikan fungsi Adaptive Cruise Control yang boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan, serta pengesan titik buta.

    Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

    Ada empat mod yang disediakan pada Multistrada V4 iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro. Dalam mod Sport, semua 170 hp dapat dinikmati, suspensi diletakkan dalam mod Sport, Traction Control dan Wheelie Control pada tahap rendah dan ABS pada tahap nombor 2.

    Dalam mod Touring, maklum balas enjin adalah lebih lancar dengan Traction Control dan Wheelie Control ditetapkan pada tahap maksimum, manakala dalam mod Urban kuasanya dikurangkan kepada 115 hp bagi memudahkan kendalian dalam trafik sesak atau jalan basah.

    Mod Touring mengubah ABS kepada tahap nombor 3, dan fungsi ABS dilaras supaya bersesuaian dengan keselesaan tunggangan jarak jauh. Mod Enduro adalah untuk tunggangan offroad, dengan kuasanya dilaras kepada 115 hp, Wheelie Control ditutup dan ABS cuma berfungsi pada tahap 1 untuk roda hadapan.

    Perhatian turut diberi kepada keselesaan penunggang serta pembonceng, dengan model baru ini telah melalui ujian dalam terowong angin untuk memperbaiki ciri aerodinamiknya. Penghadang angin hadapan boleh dilaras menggunakan satu tangan, sementara beberapa lagi sirip angin lain dipasang pada bahagian tepi dan bawah untuk mengalihkan angin panas dan memberikan stabiliti kepada motosikal.

    Tempat duduk Multistrada V4 mengggunakan bentuk bertingkat dengan bahagian penunggang dijadikan lebih kurus supaya kaki lebih mudah mencecah tanah manakala untuk penumpang ia dijadikan lebih lebar dan tebal demi keselesaan. Tempat duduk standard penunggang boleh dilaras untuk ketinggian 840 mm dan 860 mm, manakala untuk menjadikan ia lebih rendah, pemilik boleh mendapatkan unit 810 mm atau untuk lebih tinggi, ia berukuran 875 mm.

    Pelbagai lagi aksesori dijual secara berasingan untuk Multistrada V4 ini, bagi menjadikannya lebih sesuai dengan penggunaan pemilik, seperti rim spoked, beg barangan, tongkat tengah, pemanas tempat duduk, ekzos Akrapovic dan pelbagai lagi.

     
     
  • Ford Ranger T6 terima versi facelift 2021 di Thailand

    Ford Ranger T6 terima versi <em>facelift</em> 2021 di Thailand

    Ford Ranger T6 baru sahaja dikemaskini di pasaran Thailand hujung tahun lalu, dan pasaran Malaysia juga secara beransur-ansur menerima kemaskini berkenaan. Tapi tiba-tiba, Ranger sekali lagi diberikan tingkat taraf untuk versi facelift 2021 di Thai, dan kali ini menampilkan sedikit kelainan yang lebih ketara.

    Model yang disegarkan untuk kali entah ke berapa sejak diperkenalkan pada 2011 ini menerima gril hadapan baharu yang seiras dengan Ranger FX4. Gril tersebut kini diberikan standard untuk varian-varian Ranger T6 2021 termasuk model XL, XL Street, XL+, XLT dan Wildtrak.

    Varian XL+ Sport, XL Street, XLT dan Wildtrak menerima rim aloi dan juga penutup cermin sisi dalam kemasan hitam. Manakala hanya pada XL+ Sport, XLT dan Wildtrak turut ditambah dengan pembuka pintu hitam. Model Wildtrak pula kini hadir dengan bed belakang yang dilengkapi oleh penutup roller shutter dengan bantuan kuasa.

    Varian XL Street yang tersenarai tadi macam tak pernah dengarkan? Ini sebenarnya adalah varian baharu yang diasaskan dari model king-cab dua-pintu, yang kemudiannya diberikan pelbagai elemen sporty. Ia termasuk grafik badan yang dihasilkan oleh pasukan rekaan di Australia, dan diinspirasikan dari Ford Thailand Racing (FTR).

    Model XL Street ini ditawarkan dalam warna badan Lightning Blue, Aluminum Metallic, Arctic White dan Absolut Black. Selain dari grafik badan, ia juga diberikan kemasan-kemasan hitam pada bahagian luar serta gril model yang ditambah dengan serlahan berwarna merah.

    Dari segi angka kuasa, tiada perubahan dilihat pada barisan enjin 2.2L turbodiesel dan juga enjin diesel 2.0L dengan dua pengecas turbo berkuasa 213 PS/500 Nm yang digandingkan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan pada varian-varian Ranger 2021 ini.

    “Dengan menggunakan data analitik, maklum balas pelanggan, dan juga pelbagai ujian, enjin 2.0L telah menerima perubahan dengan teknologi pengeluaran penting dan juga tingkat taraf material,” tulis Ford dalam kenyataan yang dikeluarkan, membayangkan ada perubahan kecil yang dibuat pada enjin tersebut.

    Di Thailand, Ford menawarkan program “10-Year Driveline Care” untuk semua pembeli Ranger bagi semua varian sehingga hujung tahun ini. Program ini memanjangkan perlindungan waranti untuk komponen-komponen pada sistem enjin, transmisi serta gandar hadapan dan belakang. Bagi yang belum tahu, Ford memasang Ranger di Thailand bukan hanya untuk pasaran tempatan, malah ia turut menjadi hab pemasangan utama bagi pasaran rantau ini.

    Ford Ranger XL Street dijual pada harga 669,000 baht (RM89,454) di Thailand. Manakala Ranger Wildtrak pula boleh dibeli pada harga bermula 979,000 (RM130,905) untuk variab 4×2 MT hingga 1,265,000 baht (RM169,147) untuk model 4×4 AT.

     
     
  • Nissan Navara facelift didedah – rupa lebih tegap dengan pilihan varian Pro-4X, AEB, Apple CarPlay

    Nissan Navara facelift didedah – rupa lebih tegap dengan pilihan varian Pro-4X, AEB, Apple CarPlay

    Selepas beberapa teaser dan gambar yang bocor lebih awal, Nissan akhirnya telah mendedahkan Navara generasi ketiga yang dipertingkat pada bahagian penampilan, teknologi serta sistem keselamatan, untuk kembali memberi saingan hebat dalam segmennya.

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, ini adalah kali pertama Navara D23 diberikan perubahan besar. Nissan juga tidak lagi menggunakan nama NP300 bagi Navara ini, seperti yang dibuat pada beberapa pasaran lain sebelum ini.

    Perubahan bahagian luar Navara banyak mendapat inspirasi daripada trak Nissan yang lebih besar iaitu Titan, dan ia boleh dilihat terutamanya pada gril yang menonjol di hadapan. Logo Nissan dengan tulisan merah diletakkan pada bahagian tengah gril ini sementara di atasnya pula tertulis Navara dengan saiz besar. Lampu utama menggunakan empat projector LED pada setiap bahagian, dan di atasnya terletak lampu DRL.

    Nissan Navara facelift didedah – rupa lebih tegap dengan pilihan varian Pro-4X, AEB, Apple CarPlay

    Bampar juga turut diubah, dengan terdapat lekuk berbentuk C di bucu dan menempatkan lampu kabus. Bahagian bawah mempunyai skid plate yang besar bersama penutup tempat cangkuk penarik. Bonet dijadikan lebih tinggi, dengan bonjolan di bahagian tengah, sementara kemasan pada pemijak tepi pula dikatakan dapat meningkatkan ciri aeodinamik, mengurangkan bunyi dan membantu kecekapan bahan api.

    Lampu LED di bahagian belakang juga menggunakan pencahayaan berbentuk C, dan penutup ruang barangan direka semula dengan tulisan Navara di bawahnya, serta logo di tengah. Bampar dijadikan lebih tegap dan datang sekali dengan pemijak untuk memudahkan pengguna. Bergantung kepada pasaran, ruang barangan ini boleh datang dengan saiz yang besar serta cangkuk pengikat barang.

    Nissan juga memperkenalkan gred Pro-4X yang memberikan pelbagai barangan tambahan seperti kemasan tambahan pada keliling lengkuk roda, serta lencana, gril, pemegang pintu, cermin sisi, rel bumbung dan pemijak tepi yang semuanya berwarna hitam. Rimnya yang bersaiz 17 inci adalah lebih kecil berbanding varian lain yang lebih tinggi, tetapi dibalut dengan tayar all-terrain.

    Nissan Navara facelift didedah – rupa lebih tegap dengan pilihan varian Pro-4X, AEB, Apple CarPlay

    Anda juga akan menemui tulisan merah pada lencana, penutup cangkuk penarik serta kemasan keliling lengkuk rodanya, bersama pilihan warna kelabu metalik. Versi ini bagaimanapun tidak mempunyai naik taraf casis yang lebih kepada prestasi offroad seperti Frontier Pro-4X di Amerika Utara.

    Bahagian dalam tidak banyak berubah, kecuali beberapa peningkatan teknologi. Paparan di dalam panel instrumen kini mempunyai skrin tujuh inci yang lebih besar, dengan resolusi lebih tinggi, sementara sistem infotainmen pula kini menggunakan unit Nissan Connect dengan skrin sesentuh lapan inci dan sambungan Apple CarPlay. Jumlah soket USB juga ditambah, berserta satu soket USB-C di hadapan.

    Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, penebat bunyi di dalam trak ini telah ditambah, bersama kaca akustik yang digunakan pada cermin hadapan dan tepi. Tempat duduk belakang dibentuk semula supaya lebih selesa, dan perehat tangan mempunyai tempat letak cawan. Ciri baru lain adalah pengelap cermin dengan pengesan hujan, cermin sisi boleh lipat sendiri serta pengunci pintu yang peka kepada kelajuan.

    Pada bahagian keselamatan, Navara 2021 datang dengan pelbagai sistem aktif baru, termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning dengan pengaktif brek, Blind Spot Monitoring dan Driver Attention Alert. Model ini juga datang dengan sistem kamera 360 darjah yang boleh mengesan objek bergerak, serta mod offroad yang dapat membantu pemandu meletakkan kereta di kawasan sempit dengan lebih mudah.

    Navara baru ini terus menggunakan suspensi multilink di belakang, tetapi mendapat gandar belakang yang diperkuat untuk meningkatkan kemampuan membawa barang. Nissan juga memberitahu trak ini boleh membawa barangan dengan berat maksimum yang lebih tinggi tetapi jumlah sebenarnya tidak diberitahu. Sistem stereng juga adalah baru, untuk meningkatkan maklum balas dan pengendalian pada kelajuan rendah.

    Pilihan enjin tidak diberitahu, jadi berkemungkinan Navara akan terus menggunakan unit empat silinder turbo 2.3 liter yang sama, dengan kuasa 188 hp dan 450 Nm bagi varian paling tinggi. Setakat ini juga kita tidak mengetahui sama ada pasaran ASEAN seperti negara kita akan mendapat enjin baru atau masih akan menggunakan enjin 2.5 liter turbo sama.

     
     
  • Honda CR-V facelift 2020 dilancarkan – harga bermula RM140k, 3 varian, model tertinggi kini dengan AWD

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 dilancarkan – harga bermula RM140k, 3 varian, model tertinggi kini dengan AWD

    Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini Honda Malaysia (HM) mengumumkan bahawa Honda CR-V facelift 2020 dilancarkan secara rasmi. Selain dari rupa yang disegarkan bersama berberapa peningkatan kelengkapan diberikan, versi yang dikemaskini ini juga menerima rombakan semula dari segi penawaran varian.

    Kali ini, CR-V ditawarkan dengan hanya tiga varian berbanding empat ketika model generasi kelima ini mula-mula dilancarkan di Malaysia pada 2017. Jika sebelum ini varian tertinggi adalah 1.5L 2WD TC-P, kini model pacuan semua roda 1.5L 4WD TC-P pula diangkat sebagai varian CR-V paling atas. Tiada lagi varian 1.5L TC 4WD/2WD ditawarkan, manakala varian 2.0L 2WD kekal varian paling asas.

    Untuk itu, model tertinggi 1.5L TC-P 4WD dijual pada harga RM162,910.18, varian 1.5L TC-P 2WD dijual pada harga RM157,615.91, dan model paling rendah 2.0L 2WD dijual pada harga RM139,912.53. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran lengkap dengan potongan cukai jualan 2020 untuk model CKD sebanyak 10%.

    Selepas berakhirnya insentif potongan cukai PENJANA ini pada 31 Disember nanti, Honda CR-V facelift 2020 1.5L TC-P 4WD dijual pada harga RM169,900, 1.5L TC-P 2WD dijual pada harga RM164,300, dan model 2.0L 2WD dijual pada harga RM145,400. Setiap pembelian dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had.

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 dilancarkan – harga bermula RM140k, 3 varian, model tertinggi kini dengan AWD

    Honda CR-V 2020 ini terus dijana oleh barisan enjin yang sama seperti sebelum ini. Model-model 1.5L TC-P digerakkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder berkuasa 193 PS dan tork maksima 243 Nm. Manakala untuk model 2.0L, ia juga masih kekal menerima enjin NA 2.0 liter empat-silinder i-VTEC berkuasa 154 PS dan tork maksima 189 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin digandingkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dream Honda. Seperti yang disebutkan tadi, model tertinggi 1.5L TC-P 4WD dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda, manakala dua lagi varian dibawahnya hanya memacu roda hadapan.

    Model pasaran Malaysia ini tampil dengan rupa yang hampir sama dengan CR-V facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Julai lalu. Ia menerima sedikit perubahan pada mukanya, terutamanya pada kemasan plastik yang merentangi keseluruhan bampar hadapan, ‘misai’ krom dan juga motif ‘Solid Wing’ juga dalam kemasan krom.

    Tiada perubahan ketara jika dilihat dari sisi kecuali rim aloi rekaan baharu berdiameter 18-inci dalam kemasan dua tona diberikan pada kesemua varian SUV segmen-C ini. Di belakang, lampu masih kelihatan sama tetapi digelapkan sedikit, manakala kemasan skid plate pada bampar digantikan dengan satu jalur perak.

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 dilancarkan – harga bermula RM140k, 3 varian, model tertinggi kini dengan AWD

    Bahagian dalaman juga tidak diberikan perubahan yang ketara. Kini kesemua varian menerima skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh-inci Display Audio baharu dengan butang putar fizikal larasan bunyi baharu, serta menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta datang dengan fungsi arahan suara.

    Honda juga telah mengatur semula kedudukan port USB di bawah konsol tengah agar ia lebih mudah untuk diakses, serta menjadikan ruang storan dibawahnya lebih luas.

    Untuk perbezaan spesifikasi antara varian, boleh dikatakan setiap varian menerima kelengkapan yang hampir sama. Kesemua model CR-V 2020 diberikan lampu hadapan LED automatik dan fungsi auto leveling bersama lampu kabus dan lampu nyalaan siang LED serta cermin sisi dengan lampu isyarat membelok.

    Anda boleh bezakan rupa luaran antara model TC-P dan model asas 2.0 hanya pada tip ekzos di mana model Turbo hadir dengan dua corong ekzos krom, manakala model i-VTEC hanya satu corong. Dua model lebih tinggi berkenaan juga diberikan pintu tailgate belakang berkuasa yang boleh dibuka tanpa sentuhan tangan.

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 dilancarkan – harga bermula RM140k, 3 varian, model tertinggi kini dengan AWD

    Pada bahagian dalaman pula, kesemua varian CR-V datang standard dengan panel meter digital TFT tujuh-inci, pedal penukar gear, cruise control, sistem pendingin hawa automatik dua zon bersama corong kabin belakang, cermin pandang belakang anti-silau automatik, roda stereng balutan kulit, dan lapan pembesar suara.

    Kesemua model juga menerima upholsteri kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan hala dan larasan kuasa empat hala untuk penumpang hadapan, tempat duduk belakang boleh lipat dengan satu tuil dalam nisbah 60:40 dan juga penutup tonneau untuk ruang kargo belakang.

    Sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin juga diberikan untuk semua varian, tetapi model 2.0L tidak menerima fungsi penghidup enjin jarak jauh. Model paling asas itu juga tidak diberikan pengelap cermin hadapan automatik, serta tidak diberikan kemasan kayu pada papan pemuka.

    Untuk keselamatan pula, semua varian CR-V hadir dengan enam-beg udara, pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), bantuan ketangkasan pengendalian (AHA), brake hold automatik, bantuan mula mendaki, dan juga isyarat berhenti kecemasan (ESS).

    Juga kesemua varian diberikan kamera titik buta Honda LaneWatch dan juga undur belakang pelbagai sudut bersama empat penderia parkir belakang, tetapi untuk model 2.0L tidak dilengkapkan dengan penderia parkir hadapan.

    Khas untuk dua model 1.5 Turbo Premium tertinggi, ia dilengkapkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Pakej tersebut menampilkan sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adpatif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, bantuan kekal tengah lorong, dan lampu tinggi automatik.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Honda CR-V facelift 2020 ini iaitu Lunar Silver Metallic, Passion Red Pearl, Modern Steel Metallic, Dark Olive Metallic dan juga warna baharu Platinum White Pearl. Menurut Honda Malaysia, selepas tempahannya dibuka bulan lalu, sejumlah 600 unit CR-V 2020 ini telah ditempah, dan syarikat tersebut mensasarkan untuk menjualnya sebanyak 700 unit sebulan.

     
     
  • Subaru BRZ 2022 – teaser sebelum pengenalan rasmi

    Subaru BRZ 2022 – teaser sebelum pengenalan rasmi

    Bulan lalu, Subaru telah mengumumkan bahawa BRZ generasi kedua akan membuat penampilan tahun ini, dan kereta itu telah dipamerkan waktu acara Subaru Tecnica International Subiefest – tapi dengan tirai dan penyamaran penuh. Kini, mereka mengumumkan pula tarikh pendedahan sebenarnya, iaitu 18 November 2021.

    Seperti yang kita tahu, BRZ baru ini juga akan mempunyai kembar daripada Toyota yang dipanggil sebagai GR 86, memandangkan kedua-dua syarikat telah bersetuju untuk menyambung kerjasama pembangunan model sports dua pintu ini.

    Bersama dengan pengumuman tarikh ini, Subaru of America turut menyiarkan beberapa teaser termasuklah video yang menampakkan beberapa bahagian kereta itu, bunyinya serta gambar jelas lampu hadapan. Syarikat itu juga telah siap menyediakan screenshot daripada video itu untuk memudahkan peminatnya – tapi gambar itu masih tidak berapa jelas.

    Berdasarkan petunjuk yang ada sekarang, rekaan lampu hadapan BRZ sama seperti apa yang ditunjukkan waktu acara Subiefest sebelum ini. Bahagian bawah lampu itu mempunyai jalur LED yang bertindak sebagai DRL, dan rekaan ini turut diguna pada prototaip GR 86 yang ditunjuk pada bulan Ogos lalu.

    Gambar yang lebih dekat pula menunjukkan perinciannya, di mana jalur LED itu bersambung sehingga ke tepi dan ia berkemungkinan merupakan unit projector LED kerana mempunyai satu lagi elemen pencahayaan di sebelahnya.

    Perincian lain adalah termasuk bonet yang lebih berlekuk, dengan garisan yang pergi dekat kepada lampu utama, manakala bahagian bawah bampar pula mendapat kemasan berbentuk C di sekeliling bukaan udara yang direka semula.

    Daripada video yang disiarkan, kita juga boleh melihat rekaan rim model baru ini, yang menggunakan rekaan 10 cabang serta angkup brek dua piston di hadapan. Turut kelihatan adalah bukaan udara kecil berhampiran roda hadapan, yang harapnya adalah unit yang berfungsi dan bukan setakat hiasan sahaja.

    Untuk bahagian belakang pula, lampunya kini lebih tajam dan pergi lebih panjang ke bahagian tepi. Garis C-pillar yang lebih beralun menjadikan profailnya lebih lembut, dan ia bersambung sehinga ke but yang mempunyai spoiler ducktail. Bentuk asas kereta ini sebenarnya tidak berubah banyak.

    Save the screenshots. We did the work for you. Now watch the full video at subaru.com/2022-brz.

    Posted by Subaru of America, Inc. on Wednesday, November 4, 2020

    Berdasarkan bunyi enjin yang didengar dalam video itu, ia tidak mempunyai sebarang siulan, dan mungkin masih lagi unit empat silinder boxer NA. Ada khabar yang mengatakan kapasitinya ditingkatkan kepada 2.4 liter dan dilengkapi dengan sistem suntikan D-4S daripada Toyota.

    Dengan kapasiti lebih besar, kuasanya juga dijangka lebih tinggi, iaitu 217 hp dan 240 Nm tork, berbanding 205 hp dan 212 Nm pada model sekarang. Ia juga sudah jelas menggunakan pacuan roda belakang, dan bakal ditawarkan dengan transmisi automatik serta manual.

    Sudah tentu, banyak lagi yang masih belum diberitahu, dan kita perlu menunggu beberapa hari lagi sebelum BRZ generasi baru ini didedah sepenuhnya kepada dunia. Yang pasti, peminat kereta sports pasti gembira dengan ketibaan model ini.

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

    Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

    Walaupun hanya akan dilancarkan secara rasmi dalam sedikit masa lagi, hari ini Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bermurah hati untuk mengumumkan harga untuk MPV tujuh-tempat duduk, Mitsubishi Xpander.

    Seperti yang diumumkan sebelumnya, Xpander yang dihasilkan dalam versi pemasangan tempatan di fasiliti DRB-Hicom di Pekan, Pahang ini hanya ditawarkan dalam satu varian dengan harga atas jalan tanpa insuran, bersama insentif potongan cukai jualan PENJANA, RM91,368.75. Model ini turut dilindungi dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Menurut MMM, sejak tempahannya dibuka pada 22 Oktober lalu, sejumlah lebih dari 2,000 unit Xpander telah ditempah. Pelanggan yang berminat untuk melihat dan memandu uji MPV ini, anda boleh datang ke kesemua bilik pameran Mitsubishi Motors yang bertauliah bermula 20 November nanti.

    Sama pada pasaran ASEAN yang lain, Malaysia menerima Xpander yang dijana oleh enjin petrol NA 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Namun kita hanya menerima kotak gear automatik empat kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

    Untuk rupa, Xpander 2020 pasaran Malaysia terus datang dalam versi facelift terkini yang diperkenalkan di Indonesia Februari lalu. Berbanding model asal yang didedahkan pada 2017, model yang disegarkan ini menerima gril hadapan baharu manakala lampu hadapan utama yang diletakkan pada bampar menerima unit reflektor bi-LED menggantikan lampu halogen sebelumnya.

    Muka Dynamic Shield pada Xpander ini juga adalah dari olahan terkini Mitsubishi yang menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus yang diletakkan pada posisi atas, yang lazimnya diletakkan lampu utama. Lampu belakang turut menggunakan teknologi LED dan penampilan luaran Xpander ini dilengkapkan dengan rim aloi 16-inci dua-tona.

    Bagi panduan anda, Xpander adalah MPV segmen-B dengan rupa seakan SUV sama seperti Honda BR-V. Namun jika diteliti pada dimensi, Xpander dilihat mempunyai sedikit kelebihan dari segi saiz dengan ukuran 1,730 mm tinggi, 4,475 mm panjang, 1,750 mm lebar bersama jarak roda 2,775mm – atau 18mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar, 23 mm lebih tinggi dan jarak roda 113 mm lebih jauh dari BR-V.

    Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

    Berbanding pasaran Indonesia yang diberikan kabin dengan berwarna Beige dan kemasan kayu palsu, Xpander CKD untuk Malaysia ini diolah lebih sesuai dengan selera tempatan dengan menampilkan warna tema hitam bersama kemasan-kemasan perak.

    Selain itu, bahagian dalaman Xpander ini turut dilengkapi upholsteri kulit pada tempat duduk, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai info 4.2-inci pada kluster meter analog, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz sembilan-inci dengan sokomgan Apple CarPlay dan Android Auto, enam-pembesar suara, kamera 360-darjah dan juga dashcam.

    Sistem penghawa dingin juga dihasilkan sesuai dengan status MPV tujuh tempat duduk di mana kesemua penumpang kabin belakang pada baris kedua dan ketiga akan menerima udara dingin dari empat corong yang diletakkan pada bumbung.

    Mitsubishi turut mendakwa bahawa Xpander merupakan satu-satunya model dalam kelasnya yang menampilkan tempat duduk belakang yang boleh dilipat sehingga rata bagi memberikan ruang kargo yang boleh digunakan dengan lebih baik. Jika tempat duduk baris ketiga dilipat, ia akan memberikan kapasiti kargo 495 liter, dan meningkat kepada 836 liter jika tempat duduk baris kedua turut dilipat.

    Itu sekiranya ia dikira sehinggan paras tingkap. Jika diambil kira keseluruhan ruang sehingga bumbung, kapasiti kargo tersebut sebenarnya mencapai lebih dari 1,600 liter. Satu ruang simpanan tersorok juga disediakan di but belakang, manakala tayar gantian bersaiz penuh (dengan rim besi) diletakkan di bawah lantai.

    Untuk keselamatan pula, Xpander dibekalkan dengan dua beg-udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan juga cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak di baris kedua. Empat warna badan ditawarkan untuk Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia iaitu Red Metallic, Quartz White Pearl, Graphite Grey Metallic dan Jet Black Mica. Untuk mereka yang berminat, tempahan untuk model ini sudahpun dibuka.


    GALERI:Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

    GALERI:Pilihan warna Mitsubishi Xpander

    GALERI:Foto rasmi Mitsubishi Xpander

     
     
  • Kuchai Link 2 bakal dibuka pada 12 Nov – Besraya

    Kuchai Link 2 bakal dibuka pada 12 Nov – Besraya

    Jejambat hubungan Kuchai atau Kuchai Link 2 dijangka bakal dibuka untuk laluan trafik mulai 12 November ini, menurut laporan Bernama. Laluan yang melibatkan dua lorong ini menghubungkan Jalan Kuchai Lama ke Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Maju Expressway (MEX) dan Persimpangan Kuchai. Ini boleh membantu menguraikan kesesakan trafik antara 10 hingga 15 minit, kata pengurus projek Nur Amani Zakaria.

    “Dengan adanya jejambat ini, ia dijangka mampu mengurangkan kesesakan trafik terutamanya pada waktu puncak di Persimpangan Kuchai dan Jalan Kuchai Lama-Jalan Kuchai Maju. Jejambat ini bermula di Jalan Kuchai Lama berhampiran kilang UPA dan berakhir di Lebuhraya Besraya,” ujarnya.

    Tambah beliau lagi, jejambat ini juga akan menyediakan aliran lalu lintas tanpa gangguan dari Besraya ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE) melalui Kuchai Link dan dari NPE melalui Jalan Kuchai Lama ke Besraya, dan Persimpangan Kuchai akan dikonfigurasikan semula dari persimpangan lampu isyarat empat fasa sedia ada.

    “Projek ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk setempat, malah pengguna jalan raya yang datang dari arah Petaling Jaya, Bangsar, Subang dan mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Seremban,” kata Nur Amani lagi. Jejambat hubungan yang menelan kos pembinaan sebanyak RM60 juta ini, dibiayai oleh Besraya, dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

     
     
  • TC Euro Cars buat jualan penghabisan stok mega alat ganti Renault – diskaun hingga 90% serta manfaat lain!

    TC Euro Cars buat jualan penghabisan stok mega alat ganti Renault – diskaun hingga 90% serta manfaat lain!

    Ini berita baik untuk pemilik-pemilik model lama Renault – pengedar jenama Perancis tersebut di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) kini sedang mengadakan jualan penghabisan stok mega untuk alat-alat ganti Renault dengan diskaun sehingga 90%! Jualan berkenaan bermula dari sekarang sehingga kehabisan stok.

    Alat-alat ganti yang termasuk dalam jualan mega ini adalah komponen-komponen untuk model Kangoo, Captur 2015, Scenic, Koleos 2014, Fluence, Megane (2012 ke bawah), Megane RS (R26, RS 250, RS 265, RS 275), Clio, Clio IV RS, Espace III, Espace IV dan Laguna III.

    Selain dari diskaun untuk alat ganti, pelanggan yang mahu komponen yang dibeli tersebut ditukar oleh pusat-pusat servis bertauliah Renault juga akan diberikan potongan harga untuk kos upah serta manfaat lain.

    TC Euro Cars buat jualan penghabisan stok mega alat ganti Renault – diskaun hingga 90% serta manfaat lain!

    Jika kerja-kerja tersebut dibuat di pusat servis Renault Petaling Jaya, anda akan menerima diskaun 50% untuk kos upah, serta pemeriksaan dan basuh kereta percuma. Jika ia dibuat di pusat servis cawangan lain, diskaun upah 30% diberikan bersama pemeriksaan percuma.

    Satu lagi keistimewaan jika anda terus ke pusat servis Renault PJ, pembayaran menggunakan kad kredit Maybank juga boleh dibuat menerusi Ezy Payment Scheme yang membolehkan anda membuat pembayaran semula dengan pelan bayaran balik bulanan tanpa faedah, jika anda membuat perbelanjaan minima RM500.

    Jualan penghabisan stok ini bukan hanya berlangsung di pusat-pusat servis Renault, malah turut dibuat secara dalam talian. Anda boleh layari laman sesawang rasmi Renault Malaysia, pilih alat ganti yang anda mahukan, kemudian periksa ada stok atau tidak sebelum membuat pembelian.

    TC Euro Cars buat jualan penghabisan stok mega alat ganti Renault – diskaun hingga 90% serta manfaat lain!

    Atau dengan cara lebih mudah, proses ini turut boleh dibuat dalam aplikasi Shopee menerusi Renault Malaysia official store. Setelah pembelian dibuat, TCEC akan menguruskan penghantaran dan kos ini perlu dibayar oleh pelanggan.

    Untuk pelanggan yang lebih suka membeli secara nyata, anda juga boleh terus ke pusat-pusat servis Renault. Namun anda dinasihatkan untuk membuat temujanji menerusi Renault E-Store terlebih dahulu bagi memastikan barang yang diingini mempunyai stok, serta selari dengan SOP norma baharu yang sedang diamalkan ketika situasi pandemik Covid-19 ini.

    Kami turut memeriksa sendiri stok-stok komponen alat ganti yang ditawarkan dalam jualan penghabisan stok kali ini, dan mendapati ia agak komprehensif serta ada alat ganti yang rasanya agak sukar untuk anda dapatkan di kedai-kedai biasa.

    Sebagai contoh, TCEC mempunyai stok untuk pam bahan api Renault Laguna Coupe dan juga set penyerap hentak asli Megane R26, dan ia ditawarkan dengan diskaun 50%! Juga terdapat banyak alat ganti untuk hot-hatch Megane RS250 dalam jualan kali ini. Untuk pemilik-pemilik Renault, jangan lepaskan peluang untuk ‘menyelam’ dalam jualan penghabisan stok ini!

     
     
  • Yamaha MT-07 2021 – enjin Euro 5, brek dipertingkat

    Yamaha MT-07 2021 – enjin Euro 5, brek dipertingkat

    Selepas MT-09 2021, kini Yamaha memperkenalkan pula MT07 2021. Model naked yang menggunakan enjin sedikit lebih kecil ini dipertingkat pada beberapa bahagian termasuklah enjin yang sekarang mematuhi tahap Euro 5.

    Enjin crossplane dua silinder selari DOHC pada model ini masih mempunyai kapasiti 689 cc dan digandingkan bersama transmisi enam kelajuan, tetapi kuasanya berkurang sedikit menjadi 72.3 hp pada 8,750 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Sebelum ini kuasa MT-07 adalah 73.7 hp dan 68 Nm tork.

    Sementara bentuk asasnya masih kelihatan seperti sama, panel badan MT-07 2021 ini sebenarnya telah direka semula dan perubahan yang paling jelas dapat dilihat pada bahagian lampu hadapan yang kini merupakan jenis projector LED bersama DRL LED.

    Bahagian lain termasuklah rangka serta tuil brek dan klac semuanya berwarna hitam, menjadikan penampilan model ini lebih garang. Lampu penunjuk arah yang dilekatkan di tepi radiator juga menggunakan unit LED manakala di bahagian kokpit, panel meter digitalnya direka semula dengan paparan berwarna putih atas latar belakang hitam.

    Bagi menghasilkan rasa tunggangan lebih meyakinkan, bahagian pemegang MT-07 2021 dijadikan lebih lebar sementara untuk brek, cakera berkembar di hadapan adalah lebih besar, iaitu 298 mm, berbanding sebelum ini 282 mm. Brek belakang masih lagi menggunakan saiz cakera 245 mm, dan model ini dilengkapi dengan sistem ABS two-channel.

    Kelengkapan lain masih lagi sama termasuklah tangki bahan api 14 liter, fork hadapan tanpa sebarang pelarasan, monoshock dengan pelarasan beban, tinggi 805 mm dan berat 184 kg. Dalam keadaan standard, MT-07 2021 kini didatangkan dengan tayar Michelin Road 5, bersaiz 10/70 R17 di hadapan dan 180/55 R17 di belakang. Pilihan warna ada tiga iaitu Storm Fluo, Icon Blue dan Ice Black.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025