Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Motors Malaysia serah 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020, Triton paling laku

    Mitsubishi Motors Malaysia serah 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020, Triton paling laku

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan prestasi jualan syarikat dari tempoh Januari hingga Julai 2020, yang menyaksikan 4,008 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Melalui catatan ini, perkongsian pasaran MMM telah meningkat menjadi 1.7% daripada jumlah keseluruhan industri, berbanding 1.4% bagi tempoh sama tahun lepas.

    Triton terus menjadi model paling laris MM, dan buat pertama kalinya dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2020, model tersebut mendapat perkongsian pasaran 22.2% dalam segmen trak pikap. Ini juga adalah satu peningkatan berbanding tempoh sama 2019 yang mencatat 16.9%. Triton juga adalah model paling laris bagi segmen Double Cab di tiga negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.

    “MMM rasa gembira melihat jumlah jualan positif selepas berada dalam tekanan akibat pandemik Covid-19. Pemacu utama adalah pengecualian cukai 100% yang diberikan kerajaan dan dapat digunakan bagi dua model pemasangan tempatan kami iaitu ASX dan Outlander. Jualan yang bagus ini juga mendedahkan kesetiaan pelanggan kepada jenama dalam keadaan sukar ini,” kata CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Motors Malaysia serah 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020, Triton paling laku

    Penawaran produk MMM akan ditambah hujung tahun ini dengan Xpander, tetapi perincian penuh berkenaan MPV crossover tujuh tempat duduk ini masih belum didedahkan. Sebelum pelancaran tersebut, beberapa pusat pameran Mitsubishi yang terpilih akan dinaik taraf dengan identiti korporat terkini.

    “MMM sangat teruja dengan pengenalan Mitsubishi Xpander pada masa hadapan. Crossover tujuh tempat duduk ini akan memberikan asas yang kuat untuk mengekalkan momentum jualan yang kuat sehingga hujung tahun,” tambah Shinnishi.

    “Permintaan dan kejayaan Mitsubishi Xpander baru di negara ASEAN lain menunjukkan betapa kereta ini mampu untuk memuaskan keperluan pelanggan, dan kami yakin ia akan dapat menawan hati rakyat Malaysia,” kata beliau.

     
     
  • Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Bulan lalu kecoh seketika apabila berberapa kereta rali bersejarah yang sebelum ini berada di tempat parkir Garaj Warisan Proton ‘hilang’, dan kemudian dijumpai di pusat lelongan Pickles Auction di Jalan Klang Lama untuk dilupuskan. Walau bagaimanapun, atas keprihatinan peminat sukan permotoran tempatan, suara demi suara disampaikan, dan akhirnya lelongan tersebut ditarik balik.

    Namun untuk pengetahuan anda, bukan semua kereta-kereta lumba bersejarah diletakkan di bawah pengawasan Garaj Warisan Proton. Ada sebahagian kereta-kereta lumba ini disimpan dan dijaga rapi oleh divisi perlumbaan rasmi jenama automotif nasional ini iaitu Proton R3 di bawah seliaan prinsipal pasukan tersebut, Gary Lee.

    Antara jentera-jentera berkenaan, termasuklah Proton Putra WRC ini. Dan hari ini menerusi laman rasmi pasukan tersebut, Proton Putra WRC diisytihar sebagai koleksi kekal Proton Motorsport.

    Jentera ini dihasilkan ketika Proton cuba untuk menyertai kategori utama dalam Kejuaraan Rally Dunia (WRC) bagi memberikan saingan terus kepada pasukan seperti Subaru World Rally Team (SWRT) dan Mitsubishi Ralliart, namun ia tidak pernah sempat untuk berlumba.

    Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Menurut Proton, kereta ini dibangunkan oleh pihak sama yang bertanggungjawab mengendalikan SWRT iaitu Prodrive dari Banburry, UK. Peluang untuk Proton bertarung dalam kategori utama WRC berkenaan hadir setelah regulasi perlumbaan tersebut diubah oleh FIA pada tahun 1997.

    Untuk pengetahuan anda, selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

    Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau katagori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

    Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi ‘homologation special’ (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar, seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

    Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Walau bagaimanapun, Group A hanya bertahan sehingga tahun 1996. FIA mahukan kereta yang lebih berkuasa tanpa sekatan-sekatan tertentu dan memudahkan banyak pengeluar lain untuk menyertai WRC. Oleh itu, bermula pada 1997 undang-undang WRCar mula diperkenalkan dan bertahan sehingga sekarang.

    Menerusi undang-undang WRCar ini, tidak ada lagi syarat homologasi produksi seperti Group A diperlukan. Jadi pengeluar bebas untuk menggunakan kerangka asas sebuah kereta produksi, dengan teknologi prototaip pada jentera lumba mereka. Secara tidak langsung, ini memberikan peluang buat Proton untuk pergi lebih jauh dalam saingan WRC.

    Walaupun model produksi Proton Putra hanya dijana enjin 4G93 1.8 liter NA pacuan roda hadapan, undang-undang WRCar membolehkan kereta tersebut disuap dengan pengecas turbo serta diberikan sistem pacuan empat roda, dan yang paling penting tiada model ‘homologation special’ perlu dihasilkan Proton untuk dijual ke pasaran.

    Oleh itu, Prodrive telah membina semula enjin 4G93T 1.8 liter tersebut dengan menaikkan sesarannya kepada 2.0 liter, disuap dengan pengecas turbo dengan unit restrictor udara 34 mmm, bersama sistem anti-lag bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp, dan memandankan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini.

    Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang FIA iaitu lebar maksima adalah 1770 mm, manakala trek roda hadapan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

    Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero. Berat keseluruhan jentera ini juga menepati undang-undang WRCar FIA iaitu 1,230 kg.

    Prodrive turut mereka semula bampar hadapan, memberikan liang udara pada bonet, skup kemasukan udara pada bumbung dan juga spoiler belakang bersaiz besar. Secara keseluruhan, rupa Putra WRC ini seakan sebuah lagi jentera sentuhan Prodrive iaitu Subaru Impreza WRC 1997.

    Pada bahagian dalaman, Prodrive memadankan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan bersama tali pinggang keledar lima-poin, roda stereng perlumbaan Sparco, pedal box, tuil brek tangan rali, komputer trip, serta kemasan-kemasan gentian karbon sebenar.

    Tidak diketahui mengapa Proton tidak meneruskan projek Putra WRC ini, dan selepas itu juga ia seakan dirahsiakan oleh Proton sendiri. Seperti biasa, pasti ada khabar angin bertiup selepas projek tersebut dihentikan.

    Ada desas-desus mengatakan bahawa Prodrive tidak mengaku telah menghasilkan Putra WRC berkenaan. Tidak hairanlah kerana mereka mempunyai jalinan kerjasama yang telah lama dengan Subaru, dan projek ini mungkin akan mendatang konflik antara mereka.

    Terdapat juga khabar angin yang agak merepek iaitu Prodrive telah menjual ‘blueprint’ Putra WRC ini kepada Subaru untuk menghasilkan Impreza WRC setelah Proton tidak bersetuju untuk meneruskan projek tersebut.

    Kenapa merepek? Kerana Impreza dan Putra merupakan dua buah kereta yang berbeza dari segenap sudut walaupun rupanya hampir sama, tidak mungkin boleh berkongsi satu blueprint yang sama. Dan untuk pengetahuan anda, Subaru Impreza WRC 1997 adalah kereta pertama di dunia yang memenuhi undang-undang WRCar, dan pembinaannya telah bermula seawal bulan Februari 1996.

    GALERI: Imej Proton Putra WRC oleh Jay’s Speed-graphy

     
     
  • Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Salah satu perkara yang dilakukan oleh Li Chunrong apabila beliau mengambil alih kedudukan sebagai CEO Proton Holdings adalah menubuhkan Cross Function Team (CFT), untuk mengenal pasti dan menghadapi isu dalaman yang berlaku dalam syarikat, dan pada masa sama membangunkan budaya kerja baru untuk pasukan Malaysia-China.

    Dalam laporan The Edge, Proton dikatakan menderita dengan pengurusan operasi yang lemah sebelum Geely datang, dan perkara pertama yang dicadangkan oleh CFT adalah meminta vendor mengurangkan kos sehingga 30% sekiranya mereka masih mahu membekalkan alat ganti kepada Proton.

    Permintaan ini sudah tentu mendapat tentangan. Vendor terus merungut mengatakan agak sukar untuk mengurangkan kos sebanyak 30% dan masih dapat terus berniaga. Berita berkenaan perkara ini tersebar dan kemudian menimbulkan khabar angin bahawa Proton akan mengambil alat ganti dari China. Walaubagaimanapun, Li menegaskan bahawa vendor tempatan sudah mula mengurangkan kos.

    “Masa saya datang ke sini, saya minta vendor untuk mengurangkan kos sebanyak 30%. Sudah tentu, lepas itu mereka mengeluh. Mereka bertanya kepada saya, bagaimana nak kurangkan kos? Saya tanya mereka kembali, dalam kemahiran pengurusan operasi, siapa lagi bagus? Awak atau Proton? Mereka tidak menjawab, sebab kami (pengurusan Proton) memang pun teruk sebelum ini.”

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    “Saya beritahu mereka, kemahiran awak dan saya adalah sama, setuju? Mereka setuju. Kalau saya boleh kurangkan kos, awak juga boleh kurangkan kos,” kata Li sambil menambah jika Proton boleh mengurangkan kos operasi sehingga 33%, vendor juga boleh berbuat benda yang sama.

    Bagi Proton, langkah pengurangan kos melibatkan penutupan tiga pusat alat ganti serantau dan menjualnya pada harga RM1 juta setiap satu. Mereka juga menutup belasan gudang di seluruh negara, dengan kini hanya mengekalkan empat sahaja iaitu di Kuching, Kota Kinabalu, Shah Alam dan Tanjung Malim.

    Jumlah kenderaan syarikat juga dikecilkan – Li memberitahu Proton mempunyai 1,700 buah kenderaan untuk pihak pengurusan, dan jumlah ini menurut beliau adalah sangat banyak bagi sebuah syarikat yang cuma mengeluarkan kenderaan tidak melebihi 100,000 buah satu tahun.

    “Semasa saya bekerja dengan syarikat yang dua kali ganda lebih besar di China, kami cuma mempunyai empat kereta syarikat. Ini bermakna, Proton mempunyai terlalu banyak kereta syarikat; pada pemahaman saya, ia boleh dijual,” kata Li. Dalam masa enam bulan pertama, Proton telah berjaya menjual lebih 500 unit kereta syarikat. “Ini adalah contoh bagaimana saya mengurangkan kos. Kalau saya boleh buat, vendor juga mesti boleh buat.”

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Sebelum X70 dilancarkan untuk pasaran, Li telah menggesa pengedar Proton menaik taraf kemudahan mereka kepada 3S atau 4S, dengan mengetahui bahawa pelanggan akan lebih mudah menerima imej serta kualiti jenama yang baru. Li percaya peningkatan pada pusat pameran bukan sahaja bagus untuk imej jenama, tetapi juga meningkatkan khidmat kepada pelanggan.

    Sekali lagi, ia diberikan tentangan dan kali ini daripada pengedar yang mengatakan naik taraf pusat pameran melibatkan kos tinggi. Untuk mengatasi masalah ini, Proton memberikan sedikit bantuan kepada pengedar, tetapi bergantung kepada saiz pusat pameran, lokasi dan kapasiti ruang servis.

    Pada masa ini, terdapat 124 pusat servis 3S dan 4S di seluruh negara. Li memberitahu: “Sebelum ini, lebih 70% pengedar kami cuma membuat jualan sahaja (1S). Disebabkan itu, kedai mereka adalah kecil. Pengedar tidak boleh menyimpan banyak alat ganti. Sebab itulah Proton perlu mempunyai banyak RPC. Tapi sekarang, kita sudah ada lebih banyak pusat 3S dan 4S – 124 kesemuanya – jadi RPC sudah tidak diperlukan.

    “Ini adalah strategi perniagaan. Kenapa saya bangunkan lebih banyak 3S dan 4S? Kami mahu meningkatkan pengalaman pelanggan sebab kami mempunyai keyakinan tinggi dengan X70. Jadi, kami perlu meletakkan ia dalam satu suasana yang berkualiti tinggi dan pelanggan dapat menikmati pengalaman yang baik,” kata beliau.

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Selain daripada itu, wujud juga khabar angin terdapat pertembungan budaya antara pekerja Proton dan Geely. Li memberitahu ini bukan satu masalah malah mereka berkongsi lebih banyak persamaan. “CFT ditugaskan untuk membangunkan budaya kerja baru yang menggabungkan nilai Geely, Proton dan DRB-Hicom. Kami muncul dengan TARI yang bermaksud kerjasama, pencapaian, hormat dan integriti. Sebab inilah saya berkata kita mempunyai budaya yang sama,” jelas Li.

    “Kami juga fokus kepada perniagaan. Hanya ada satu sebab kami di sini – untuk melakukan perniagaan. Jadikan Proton berjaya. Saya tidak mahu pekerja Proton terganggu dengan perkara lain. Semua orang di sini mahu mencari pendapatan untuk diri sendiri dan juga keluarga mereka.”

    “Semua orang di sini adalah pekerja. Anda pekerja tempatan, saya pekerja dari luar. Anda bukan pemegang saham. Tapi kami mempunyai sasaran yang sama iaitu menjadikan Proton berjaya. Kalau tidak, kita tidak akan dapat mencapai kata sepakat. Terdapat kepentingan bersama iaitu memastikan Proton berjaya,” tambah Li.

     
     
  • K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    Bukan mudah untuk membuat keputusan bagi menghapuskan kutipan tol di seluruh negara walau pun sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan pernah berjanji untuk melaksanakannya secara berperingkat selepas memenangi PRU 14 pada tahun 2018. Selepas tumbang pada awal tahun ini, nampak gayanya salah satu manifesto PH tersebut tergendala.

    Manakala kerajaan Pakatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak tergesa-gesa untuk membuat sebarang keputusan mengenai cadangan penghapusan tol ini. Menurut
    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, penghapusan memerlukan kajian lanjut dan membabitkan kepentingan pelbagai pihak termasuk pemegang konsesi.

    Katanya lagi, buat masa ini, kerajaan mempunyai keutamaan lain daripada segi keperluan kewangan yang perlu ditangani disebabkan kesan pandemik Covid-19, laporan Harian Metro.

    “Kerajaan teliti dan ambil kira dengan mendalam faktor implikasi yang akan timbul jika penghapusan tol dilakukan khususnya kewangan semasa yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini.

    K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    “Sehubungan dengan itu, hala tuju lebuh raya bertol akan disemak semula dan memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi mendapat kelulusan menteri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat semalam.

    Beliau turut menjawab persoalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) berhubung perancangan kerajaan bagi membanteras kesesakan Plaza Tol Gombak pula, Fadillah (GPS-Petra Jaya) memberitahu kapasiti sedia ada boleh menampung kapisiti pada waktu puncak.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak menafikan bahawa kapasiti luar biasa akan berlaku di plaza tol berkenaan ketika musim perayaaan dan cuti sekolah.

    “Kapasiti sedia ada pada waktu puncak harian bagi Plaza Tol Gombak hala barat ke Kuala Lumpur adalah 126,000 pengguna berbanding kapisiti penuh adalah 158,000 dan sepatutnya masih boleh menampung trafik pada waktu puncak.

    K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    “Untuk makluman, waktu perayaan akan mencecah sehingga 180,000 sehingga 200,000 iaitu hampir sekali ganda trafik harian kerana kemampuan kita sehingga 158,000. Sebab itulah, kesesakan (teruk) berlaku hanya pada waktu perayaan… pada hari-hari biasa masih mampu ditampung,” katanya.

    Berdasarkan pemerhatian, katanya, kesesakan berlaku di Plaza Tol Gombak dari arah Kuala Lumpur disebabkan limpahan trafik apabila pertembungan simpang berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

    Dalam masa yang sama, Fadilah memberitahu pihaknya kini sedang melaksanakan kajian bagi melaksanakan lebuh raya alternatif di antara Gombak ke Bentong dalam menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK).

    “Untuk tentukan jajaran baharu atau naik taraf jalan sedia ada, kita ambil kira pelaksanaan cadangan projek termasuk impaknya terhadap alam sekitar dan sosial yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat,” katanya.

     
     
  • Bentley Continental GT Mulliner Convertible 2021 – tunjuk hasil kerja lebih teliti, enjin W12 635 hp, 900 Nm

    Bentley Continental GT Mulliner Convertible 2021 – tunjuk hasil kerja lebih teliti, enjin W12 635 hp, 900 Nm

    Selepas didedahkan pada bulan Februari lepas, Bentley Continental GT Mulliner Convertible 2021 akan membuat penampilan pertama di depan orang ramai waktu acara Cheval Blanc di Saint-Tropez, Perancis. Model ini terletak paling atas dalam keluarga Continental GT Convertible dan merupakan model pertama yang dimasukkan dalam portfolio Collections baru yang diperkenalkan oleh Bentley Mulliner.

    Pada bahagian luar, model ini menggunakan gril Double Diamond baru bersama bukaan udara tepi khas Mulliner, serta rim 22 inci yang mempunyai logo boleh imbang sendiri (tulisan B tersebut tidak akan terbalik). Kemasan walnut veneer yang berwarna Grand Black datang secara standard tetapi Mulliner juga menawarkan 88 kemasan kayu lain yang boleh dipilih dengan pelbagai warna.

    Masuk ke bahagian dalam, Mulliner menunjukkan hasil kerja yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Banyak bahagian menggunakan jahitan Double Diamond, termasuk di tepi pintu dan panel belakang tempat duduk. Menurut Bentley, hampir 400,000 jahitan dibuat (seluruh kabin) untuk menghasilkan perincian sebegini dan setiap bentuk berlian itu mempunyai 712 jahitan sendiri. Mereka mengambil masa 18 bulan untuk membangunkan proses sulaman ini.

    Terdapat lapan kombinasi warna dua tona disediakan untuk bahagian dalam, manakala konsol tengah pula menempatkan jam khas Mulliner yang dibuat oleh Breitling. Penampilan yang sama dengan jam ini turut dipaparkan pada panel instrumen LED di hadapan pemandu.

    Barangan mewah lain yang dipasang pada model ini adalah sistem audio Naim for Bentley 1,800 watt, 20-channel yang turut termasuk dengan 18 pembesar suara, dua transducer Active Bass dan lapan mod pemproses bunyi digital. Semasa mendapatkan kereta ini, pembeli akan menerima kunci dalam kotak khas buatan tangan yang mempunyai logo Mulliner serta warna sama seperti kereta.

    Continental GT Mulliner Convertible 2021 boleh didapati dengan enjin V8 4.0 liter twin turbo yang berkuasa 550 hp dan 770 Nm, atau W12 6.0 liter twin turbo berkuasa 635 hp dan 900 Nm. Catatan masa pecutan 0-100 km/j untuk model ini adalah masing-masing 4.1 saat dan 3.7 saat.

     
     
  • VIDEO: Terlepas susur keluar? Jangan pentingkan diri, tergesa-gesa ubah lorong & bahayakan nyawa lain!

    Selain dari kerosakan pada kenderaan dan jalan raya, kemalangan trafik seringkali dikaitkan dengan sikap pemandu yang amat mementingkan diri. Kemalangan yang disebabkan ada pemandu membuat pusingan-U sesuka hati, guna lorong kecemasan tanpa alasan kukuh, pandu laju di kawasan yang sesak adalah antara kemalangan yang boleh dielak sekiranya pemandu sedar dengan sikap buruk ini.

    Satu lagi sikap yang pentingkan diri pemandu yang boleh kita lihat adalah ketika di susur keluar lebuhraya. Pelbagai ‘perangai’ yang merbahaya yang dilakukan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab ini lakukan setelah terlepas susur keluar – ada yang sanggup mengundur kereta mereka dalam keadaan merbahaya, dan ada juga yang tergesa-gesa menukar lorong untuk keluar ke susur yang dimahukan setelah tersedar mereka terlepas laluan selamat untuk keluar dari lebuhraya berkenaan.

    Pagi tadi, satu lagi insiden yang sangat mengerikan berlaku akibat sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Menerusi video yang dikongsikan oleh pemilik akaun facebook Kechiq Gtnxr, kali ini seorang penunggang motosikal menjadi mangsa pemandu dengan sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

    Berdasarkan kapsyen dan juga papan tanda susur keluar yang jelas pada video berkenaan, kemalangan ini berlaku di Lebuhraya Elite, di susur keluar Subang Jaya arah utara pada pukul 7.51 pagi tadi. Dapat dilihat sebuah Perodua Alza berwarna putih dari lorong tengah lebuhraya tersebut memberikan isyarat ke kiri dan tergesa-gesa mahu keluar ke susur berkenaan dalam keadaan yang sangat bahaya.

    VIDEO: Terlepas susur keluar? Jangan pentingkan diri, tergesa-gesa ubah lorong & bahayakan nyawa lain!

    Akibatnya, sebuah motosikal dari lorong paling kiri tidak sempat untuk mengelak bahagian hadapan MPV tersebut, dan terus melanggarnya. Tambah mengerikan, setelah jatuh, penunggang motosikal itu turut digilis sebuah lagi motosikal dari arah belakang yang turut tidak sempat untuk mengelak kemalangan berkenaan. Namun masih lagi belum ada mana-mana laporan yang memberikan status penunggang motosikal tersebut.

    Apa yang terjadi kali ini sudah pun berlaku. Jadi kami mohon pembaca semua dan peringatan kepada penulis sendiri, janganlah kita mengambil mudah dengan tindakan ‘fikiran singkat’ sebegini yang mempunyai risiko kemalangan yang sangat tinggi.

    Jika anda terlepas susur, tolonglah jangan tergesa-gesa menukar lorong dengan cara ini. Tindakan yang paling selamat adalah fikirkan jalan alternatif yang boleh anda ambil di hadapan. Tak biasa dengan kawasan tersebut? Sekarang kan semua sudah ada telefon pintar. Jadi berhenti sebentar di tempat selamat, kemudian cari jalan ke destinasi yang anda mahukan menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps.

    Tolong, tolonglah jangan amalkan sikap pentingkan diri seperti ini. Disebabkan anda nak jimat masa kerana kesilapan sendiri, ada nyawa tidak berdosa yang melayang.

     
     
  • Kit TnG RFID pasang sendiri kini boleh dibeli di Shell

    Kit TnG RFID pasang sendiri kini boleh dibeli di Shell

    Shell Malaysia mengumumkan bahawa kit Touch ‘n Go RFID pemasangan sendiri kini boleh dibeli di stesen-stesen Shell terpilih di seluruh negara, dan dijual pada harga RM35. Dengan ini, pengguna mempunyai cara tambahan untuk mendapatkan kit pemasangan sendiri ini, selain membelinya dari Lazada, Shopee dan juga pusat pemasangan rasmi.

    Seperti yang pernah kami tunjukkan dalam video sebelum ini, untuk memasang sendiri kit berkenaan adalah sangat mudah. Setiap kit juga datang dengan panduan pemasangan yang boleh diakses melalui kod QR yang ada di luarnya, ataupun panduan langkah demi langkah yang tersedia di bahagian dalam.

    Adalah disarankan untuk memasang pelekat RFID pada bahagian atas kiri cermin depan kereta anda, atau pada bahagian lampu depan di sebelah kiri. Ini kerana, pengimbas di plaza tol berada di sebelah kiri laluan, dan bacaannya disasarkan ke bahagian kiri kenderaan.

    Cuma, yang perlu anda tahu, pelekat RFID berkenaan perlu diletakkan dalam jarak 5 cm daripada mana-mana permukaan logam yang ada, misalnya pada bahagian tiang A dan bumbung sekiranya anda ingin melekatkannya pada cermin utama. Untuk perincian lanjut tentang pemasangan sendiri pelekat TnG RFID ini, tonton video yang kami sediakan.

     
     
  • Pembinaan LPT3 diluluskan dengan kos awalan keseluruhan RM35j, dijangka siap April 2022 – Menteri

    Pembinaan LPT3 diluluskan dengan kos awalan keseluruhan RM35j, dijangka siap April 2022 – Menteri

    Walau pun kepimpinan negara telah diambilalih oleh Pakatan Nasional, namun beberapa projek terdahulu termasuk pembinaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) telah diluluskan dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.

    Menurut Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, ia diluluskan menerusi satu surat bertarikh 3 Julai 2019 daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, laporan Bernama.

    Tambahnya, kerja awalan projek tersebut telah bermula pada Ogos 2020 dan dijangka siap April 2022. Lebuhraya berkenaan sepanjang 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.

    Pembinaan LPT3 diluluskan dengan kos awalan keseluruhan RM35j, dijangka siap April 2022 – Menteri

    “Oleh yang demikian, hala tuju, skop dan tarikh pelaksanaan bagi projek LPT3 ini hanya dapat dimuktamadkan setelah laporan kerja awalan bagi projek ini diperoleh,” katanya menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, semalam.

    Sementara itu, berhubung projek laluan ‘Central Spine Road’ (CSR), Fadillah berkata ia dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keutamaan kepada aspek keselamatan, kesesakan lalu lintas dan kesinambungan jajaran.

    Menurutnya sehingga kini, jajaran sepanjang 224km telah diluluskan untuk pelaksanaan iaitu 165.1km di Pahang (Pakej 3, 4 dan 5) dan 58.9km di Kelantan (Pakej 2 dan 3).

     
     
  • Honda akan hasilkan semula skuter lipat Motocompo?

    Honda akan hasilkan semula skuter lipat Motocompo?

    Menurut laporan portal RideApart, Honda baru sahaja memfailkan tanda dagangan “Motocompacto” di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat pada 23 Julai lalu. Jenama automotif dari Jepun tersebut sebelum ini telah pun menghasilkan model kelahiran semula motosikal ikonik kompak mereka iaitu Honda Monkey, dan adakah Motocompacto ini adalah versi generasi baharu skuter lipat Honda Motocompo dari era 80’an dahulu?

    Dalam fail pendaftaran tersebut, Motocompacto dikelaskan sebagai “kenderaan darat, iaitu, skuter elektrik”. Ini mengingatkan kami kepada satu skuter konsep dengan kuasa elektrik Honda Motor Compo yang didedahkan oleh Honda pada Tokyo Motor Show 2011. Seperti versi asal, skuter tersebut turut boleh dilipat untuk diletakkan dalam satu lagi model konsep iaitu kereta elektrik kompak Micro Commuter.

    Model asal Honda Motocompo yang diperkenalkan pada tahun 1981 dahulu adalah skuter berkuasa petrol dengan enjin dua-lejang 49cc berkuasa 2.5 hp. Dengan saiz yang kompak dan boleh dilipat menjadi bentuk seakan segi empat, Motocompo ini juga sebenarnya adalah ciri opsyen untuk kereta kompak Honda City generasi pertama, dan ia boleh diletakkan dengan selesa pada ruang kargo kereta tersebut.

    Satu lagi fakta menarik, Honda juga telah mendedahkan model produksi untuk hatchback elektrik kompak Honda e di Frankfurt Motor Show tahun lalu, yang direka comel seakan Honda Civic ‘telur’ generasi pertama – agak menarik juga kan sekiranya ia digandingkan dengan skuter lipat elektrik seperti City dahulu? Namun setakat ini, Honda e hanya dirancang untuk dijual di pasaran Eropah bermula tahun ini.

    GALERI:Honda Motocompo 1981

    GALERI:Model konsep Honda Motor Compo 2011

     
     
  • Proton tawar pakej kewangan kepada graduan – kadar pinjaman serendah 2.98% hingga 31 Disember 2020

    Proton tawar pakej kewangan kepada graduan – kadar pinjaman serendah 2.98% hingga 31 Disember 2020

    Proton Commerce Sdn. Bhd. (PCSB), sebuah syarikat di bawah Kumpulan Proton membuka peluang kepada para graduan untuk memiliki kereta sendiri dengan menawarkan kadar pinjaman Sewa Beli (HP) yang rendah. Lebih memudahkan, kempen ini hanya memerlukan satu surat pengesahan pekerjaan atau slip gaji selama sebulan sebagai syarat untuk mendapatkan pinjaman.

    Bermula hanya 2.98%, kadar yang ditawarkan oleh PCSB ini adalah antara yang terendah di dalam segmen itu setakat ini. Syarat-syarat utama yang diperlukan pelanggan termasuklah mestilah seorang graduan (sekurang-kurangnya diploma), berumur antara 18-30 tahun dan mempunyai pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500. Kempen ini berlangsung sehingga 31 Disember 2020, seiring dengan penawaran jualan tanpa cukai bagi semua kereta Proton.

    Kempen ini diadakan bagi membantu mengatasi masalah mobiliti bagi mereka yang baru memasuki fasa pekerjaan. Halangan utama bagi pembeli di dalam segmen ini adalah untuk mendapatkan pinjaman jual beli tanpa mempunyai slip pendapatan selama tiga bulan, iaitu satu syarat biasa bagi mendapatkan pinjaman.

    Proton tawar pakej kewangan kepada graduan – kadar pinjaman serendah 2.98% hingga 31 Disember 2020

    “Melihatkan kepada ekonomi ketika ini, mobiliti adalah sesuatu yang penting bagi anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Kempen ini memberikan pemerkasaan dan autonomi kepada graduan-graduan tersebut. Kami yakin bahawa pakej ini akan membantu graduan baharu memiliki kereta, di mana bayaran semula hanya dari serendah RM239 sebulan.

    “Industri jual beli dijangka meningkat dalam waktu dekat, berikutan pengurangan baru-baru ini bagi Kadar Dasar Semalaman serta pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang,”kata Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif PCSB.

    Selain pakej kempen graduan baharu, PCSB turut mengumumkan bahawa pada 7 Julai 2020, syarikat juga telah menurunkan kadar faedah penawaran keseluruhan sehingga serendah 2.22% berdasarkan kredibiliti pelanggan dan margin kewangan. Ini bermaksud pelanggan akan mendapat keuntungan secara langsung di mana bayaran bulanan yang lebih rendah membolehkan mereka menggunakan simpanan tersebut untuk membeli barangan keperluan, dan membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai PCSB dan perkhidmatan yang disediakan, layari www.protoncommerce.com.

     
     
  • Toyota Hilux 2020 – tempahan di Malaysia kini dibuka

    Toyota Hilux 2020 – tempahan di Malaysia kini dibuka

    Hilux PreRunner 2020 pasaran Thailand
    Selepas mengeluarkan teaser beberapa hari lepas, UMW Toyota Motor (UMWT) kini mengumumkan tempahan untuk Hilux 2020 telah pun dibuka. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, model ini mempunyai penambah baikan bukan sahaja pada penampilan, malah juga prestasi dan sistem keselamatan.

    Bagi Hilux 2020 ini, UMWT memberitahu terdapat lima varian iaitu Double Cab 2.4 E A/T (tambahan baru), Double Cab 2.8 Rogue A/T (menggantikan Double Cab 2.8 Black Edition), Double Cab 2.4 V A/T (menggantikan Double Cab 2.4 L-Edition), Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4. Dua varian terakhir boleh didapati dengan transmisi manual.

    Untuk warna pula, tujuh pilihan yang diberi untuk Hilux 2020 iaitu Bronze Mica Metallic (warna baru), Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II. Varian Single Cab pula cuma boleh didapati dalam warna Solid White.

    Spesifikasi penuh Hilux 2020 yang dipasarkan di Malaysia ini masih belum disiarkan, manakala harga anggaran pula diletakkan bermula daripada RM93,880, dengan harga anggaran 2.8Rogue ialah RM148,880. Pelanggan terawal juga boleh menikmati harga istimewa RM144,880 untuk varian Double Cab 2.8 Rouge AT. Jika anda mahu melihat apa pembaharuan yang diketengahkan model ini semasa ia diperkenalkan buat pertama kali di Thailand Jun lalu, lihat pada artikel ini.

    Selain penampilan yang lebih segar, berita paling utama adalah enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang ditala semula untuk menghasilkan kuasa 204 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 Nm – lebih berkuasa dari sebelum ini yang hanya menjana 177 PS/450 Nm. Enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel masih lagi menghasilkan kuasa yang sama.

    Model dengan sistem pacuan empat roda kini dibekalkan dengan Kawalan Menurun Bukit, manakala model 4X2 pula diberikan sistem elektronik yang membolehkan gandar belakang beroperasi seakan diberikan LSD mekanikal, dakwa Toyota. Selain itu, perubahan mekanikal turut dibuat pada sistem suspensi di mana talaan penyerap hentaknya telah diusik semula, rekaan pada spring dedaun belakang ditingkat taraf serta menggunakan set bushing baharu.

    GALERI: Toyota Hilux 2020

    GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo PreRunner 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo Z-Edition 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo B-Cab 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Invicible 2020 pasaran Eropah

     
     
  • Geely muncul dalam Up To Speed oleh Donut Media – jika tak kerana Proton, adakah anda tahu tentangnya?

    Rancangan Up To Speed yang disiarkan menerusi saluran Youtube Donut Media biasanya akan menampilkan sejarah jenama automotif yang berkaitan dengan budaya automotif di Amerika Syarikat. Tapi untuk episod minggu lalu, rancangan yang dihoskan oleh James Phumprey ini mengetengahkan satu jenama yang belum pernah dijual di negara tersebut, dan berasal dari China iaitu Geely.

    Jika kita di Malaysia rata-rata mula kenal Geely ini sejak jenama tersebut menjalinkan kerjasama dengan Proton pada tahun 2017, tapi macam mana pula mereka di Amerika Syarikat ini sedar akan kewujudan Geely? Jelas dalam video berkenaan nama Geely dikenali kerana pembuat kereta dari China tersebut berjaya memiliki Volvo, serta divisi mewahnya iaitu Lynk & Co bergelar juara dunia dalam kategori pengeluar dalam kejuaraan WTCR pada tahun lalu.

    Walaupun hanya bermula dengan menghasilkan model-model ‘copy ori’ 33 tahun lalu, dengan jualan yang memberangsangkan, jenama yang diasaskan oleh Li Shufu tersebut berjaya mengambil alih Volvo dari Ford lebih sedekad lalu dengan harga US$1.8 bilion. Ini membolehkan Geely menghasilkan model-model baharu mereka dengan pengetahuan dan juga teknologi dari Volvo.

    Geely muncul dalam Up To Speed oleh Donut Media – jika tak kerana Proton, adakah anda tahu tentangnya?

    Nama Geely mungkin hangat diperkatan di Malaysia pada tahun 2017, namun sebenarnya idea untuk Proton bertapak di China telah dicetuskan oleh perdana menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2014. Perjanjian kedua-dua belah pihak tersebut dirancang untuk melibatkan rekaan kenderaan, pembekalan, pembuatan, pemasaran, import serta pengedaran pada pasaran ASEAN dan China – ketika itu ia turut disaksikan sendiri oleh pengasas Proton, Tun Dr Mahathir Mohamed.

    Walau bagaimanapun, Proton terus dihambat dengan pelbagai masalah di Malaysia termasuk jualan yang lembab serta beban hutang yang semakin bertambah. Ini memaksa Proton untuk membuat pinjaman dari kerajaan pada pertengahan 2016. Pinjaman tersebut diluluskan dalam jumlah RM1.5 bilion bagi membolehkan Proton membayar hutang-hutang pada vendor, tetapi kerajaan menetap pelbagai syarat, antaranya Proton perlu mencari rakan strategik dari luar bagi membolehkan ia bertahan pada masa hadapan.

    Tawaran yang dibuka oleh Proton untuk kerjasama yang disyaratkan kerajaan tersebut telah menarik minat pelbagai pihak, dan antara nama dalam senarai pendek adalah pemilik jenama Peugeot dan Citroen iaitu PSA Group, dan juga Geely.

    Perancangan awal Geely sebenarnya mahu mendapatkan Lotus Cars dari DRB-Hicom, tetapi akhirnya ia terpilih sebagai opsyen utama dalam perjanjian kerjasama Proton berkenaan. Ia diakhiri dengan perjanjian sebenar pada 2017, menyaksikan Geely memperolehi sebanyak 49.9 peratus kepentingan Proton dari DRB-Hicom.

    Syarat yang diberikan oleh kerajaan nampak berhasil. Proton kini tidak lagi perlu bergantung dengan dana dari kerajaan. Pengenalan model-model kemaskini dan juga pelancaran SUV segmen-C Proton X70 membolehkan jenama tersebut menjual lebih dari 100,000 unit kenderaan setahun pada 2019, setelah kali terakhir berjaya berbuat demikian hanya pada tahun 2015.

    Tahun ini, Proton dijangka akan melancarkan model yang paling ditunggu-tunggu iaitu SUV segmen-B yang sebaris dengan Honda HR-V, dijangka digelar sebagai Proton X50 yang diasaskan dari Geely Binyue dan dikhabarkan akan dilancarkan pada suku keempat nanti.

     
     
  • 4 mukim di Kedah kena PKPD kerana kluster nasi kandar bermula hari ini, babitkan 7,000 penduduk

    4 mukim di Kedah kena PKPD kerana kluster nasi kandar bermula hari ini, babitkan 7,000 penduduk

    Akhirnya, akibat kedegilan seorang Permastautin Tetap (PR) dengan tidak melaksanakan kuarantin sendiri di rumah, sebaliknya terus membuka kembali perniagaan restoran nasi kandarnya setelah pulang dari Sivangangga, India, kini empat mukim di negeri Kedah telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) mulai hari ini hingga 30 Ogos, lapor Berita Harian.

    TEMCO tersebut akan melibatkan kira-kira 7,000 penduduk dan dilaksanakan bagi membolehkan pasukan petugas perubatan menyaring semua penduduk terbabit dengan ujian calitan (swab test) bagi mengesan jangkitan Covid-19 dalam penularan pandemik yang berasal dari kluster yang dinamakan sebagai Kluster Sivagangga berkenaan – setakat ini telah menyebabkan 11 kes positif.

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD TEMCO itu akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama.

    4 mukim di Kedah kena PKPD kerana kluster nasi kandar bermula hari ini, babitkan 7,000 penduduk

    “Mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca daripada Kluster Sivagangga di Kedah yang membabitkan empat mukim, Kerajaan Negeri Kedah memohon untuk melaksanakan PKPD TEMCO.

    “Pertama, satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

    Dalam PKPD TEMCO ini juga Ismail Sabri menjelaskan bahawa selain sekolah dan tadika, masjid dan rumah ibadat dalam kawasan berkenaan akan turut ditutup sepanjang tempoh pelaksanaannya. Solat Jumaat masih dibenarkan, tetapi cuma tiga orang jemaah dibenarkan bagi melaksanakan ibadah berkenaan.

     
     
  • UMWT perkenal pakej penyelenggaraan Toyota Service Savers – bayar awal lima tahun, dapat penjimatan

    UMWT perkenal pakej penyelenggaraan Toyota Service Savers – bayar awal lima tahun, dapat penjimatan

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah memperkenalkan satu pakej penyelenggaraan baru untuk pemilik kenderaan Toyota, dipanggil sebagai Toyota Service Savers (TSS). Ia boleh dibeli bersama dengan kenderaan dan dimasukkan sekali dalam pelan Toyota EZ Beli.

    Pakej TSS ini sebenarnya adalah seperti pembayaran awal untuk kos servis berkala kenderaan, dan dikira bersama penjimatan yang diberi. Jika anda telah mendapatkan pakej ini, apabila anda menghantar kereta untuk servis biasa, anda tidak perlu membayar apa-apa kerana telah dibayar melalui TSS.

    Pakej TSS ini boleh digunakan pada semua 85 pusat servis berdaftar Toyota di dalam negara, dalam tempoh lima tahun selepas pembelian. Harganya bermula dari RM3,220 untuk Vios (penjimatan RM469), sehinggalah RM6,030 untuk Hilux (penjimatan RM922).

    Pakej TSS merangkumi semua keperluan servis bagi selang masa yang disyorkan, dan termasuk dengan bendalir serta alat ganti. Satu lagi manfaat untuk pembeli TSS ini adalah mereka akan diberi diskaun 10% untuk alat ganti tertentu dan 20% untuk penjajaran serta pengimbangan roda, serta pakej servis pendingin hawa di pusat servis Toyota.

     
     
  • Tak wajib pakai pelitup muka dalam kereta sendiri – kompaun batal, yang sudah bayar boleh tuntut semula

    Tak wajib pakai pelitup muka dalam kereta sendiri – kompaun batal, yang sudah bayar boleh tuntut semula

    Semalam tular ada yang mengatakan terdapat orang awam yang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka walaupun dalam kereta sendiri. Namun menerusi sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diadakan sebentar tadi oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri memberi pencerahan berkenaan perkara tersebut.

    Dalam laporan Berita Harian, menteri berkenaan menyebut bahawa setelah berbincang dengan polis dan Kementerian Kesihatan (KKM), saman yang dikenakan terhadap individu yang tidak memakai pelitup muka di dalam kenderaan persendirian akan dibatalkan. “Kalau mereka sudah pun membayar kepada KKM, ia boleh dituntut semula,” jelasnya lagi.

    Menurut Ismail Sabri, tempat-tempat yang diwajibkan perlu memakai pelitup muka tersebut telah jelas dinyatakan dalam laman sosial rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Kawasan-kawasan tersebut adalah di pengangkutan awam seperti bas, teksi, kenderaan e-hailing atau LRT dan KTM serta tempat-tempat awam yang sesak seperti pasar awam, pasar tani, pasar malam dan juga pasar raya, serta tempat tumpuan pelancong dan panggung wayang.

    Tak wajib pakai pelitup muka dalam kereta sendiri – kompaun batal, yang sudah bayar boleh tuntut semula

    Beliau sekali lagi menjelaskan bahawa pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan di rumah dan di dalam kenderaan sendiri. Walau bagaimanapun, menteri berkenaan menasihatkan orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka berkenaan setiap kali keluar dari rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19 ini.

    Kerajaan mula mewajibkan pemakaian pelitup muka ditempat-tempat yang telah ditentukan ini bermula pada 1 Ogos lalu setelah kes-kes positif jangkitan Covid-19 dilihat naik semula dalam negara. Mereka yang dikesan gagal mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini bakal dikenakan kompaun iaitu denda sebanyak RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025