Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lynk & Co 03+ di M’sia – adakah ia akan dijual disini?

    Lynk & Co 03+ di M’sia – adakah ia akan dijual disini?

    Gambar-gambar yang anda lihat ini adalah gambar sebenar dan bukan imej yang telah di manipulasi – ya, Lynk & Co 03+ ini memang di bawa ke Malaysia untuk sesi penggambaran. Malah kami juga sempat untuk melihatnya depan mata dan duduk di dalam kabin kereta ini ketika ia di bawa ke litar antarabangsa Sepang akhir tahun lalu ketika pusingan akhir perlumbaan World Touring Car Cup (WTCR) 2019, di mana Lynk & Co Cyan Racing mengesahkan gelaran juara dunia mereka dalam kategori pasukan.

    Namun ini bukan bermaksud ia akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Pihak Geely sendiri memberitahu kami bahawa kereta ini di bawa kesini hanya untuk penggambaran promosi, dan juga sempena pusingan terakhir perlumbaan WTCR di Sepang berkenaan.

    Model 03+ ini tidak sama dengan model sedan 03 biasa yang didedahkan buat pertama kali pada tahun 2018. Ia adalah versi prestasi tinggi sebenar dari Lynk & Co, dan menjadi asas kepada jentera lumba sebenar WTCR yang dihasilkan Lynk & Co Cyan Racing.

    Lynk & Co 03+ di M’sia – adakah ia akan dijual disini?

    Bukan sahaja platform produksi Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40) sebenar digunakan untuk kereta lumba dengan spesifikasi TCR tersebut, malah enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E turbo (ia enjin Drive-E yang sama seperti model-model T5 Volvo) pada 03+ berkenaan juga dibawa ke perut jentera lumba tersebut.

    Menurut Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski, enjin yang digunakan dalam perlumbaan berkenaan masih menggunakan komponen dalaman yang sama seperti model produksi, tetapi ia disuap dengan pengecas turbo lebih besar membolehkan kuasa asal 254 hp/350 Nm melonjak kepada 350 hp/420 Nm.

    Di China, 03+ ini ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula 185,800 yuan (RM113k) untuk model asas 03+ Mid sehingga 228,800 yuan (RM139k) 03+ Pro Sports Package. Kesemua varian berkenaan dijana oleh enjin sama dan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda, bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.

    Untuk mereka yang masih belum mengetahui, Lynk & Co ini adalah divisi mewah Geely dan menjadikan Eropah sebagai sasaran eksport, sama seperti apa yang dilakukan oleh Toyota dengan mewujudkan Lexus. Namun di China, jenama ini masih diletakkan sedikit bawah dari Volvo.

    Sekarang macam mana? Ada yang berharap agar Geely membawa Lynk & Co ini ke Malaysia?

    GALERI: Jentera lumba sebenar Lynk & Co 03 TCR binaan Cyan Racing

     
     
  • MIROS gesa kerajaan wujudkan satu peraturan larang penjualan aksesori kenderaan yang berisiko maut

    MIROS gesa kerajaan wujudkan satu peraturan larang penjualan aksesori kenderaan yang berisiko maut

    Lambakan penjualan aksesori kenderaan di pasaran tempatan yang mampu mengundang bahaya semakin menggusarkan pihak berwajib. Ini termasuklah penyambung tali pinggang keledar. Rata-rata pengguna yang membelinya adalah kerana tidak mahu memakai tali pinggang keledar apabila berada di dalam kenderaan dan tidak tahan dengan bunyi amaran daripada sistem keselamatan kenderaan yang mengesan pemandu atau penumpang tidak memakai tali pinggang keledar.

    Aksesori sebegini memang sangat mudah untuk didapati di pasaran termasuk secara dalam talian, malahan dijual dengan harga yang begitu murah. Walau bagaimana pun, sedarkah anda, penggunaan aksesori sebegini boleh mengundang maut sekiranya anda terbabit dengan kemalangan jalan raya?

    Disebabkan perkara ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan satu peraturan yang melarang penjualan aksesori kenderaan yang berupaya mendatangkan risiko maut apabila berlaku kemalangan.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, sehingga kini penjualan aksesori kereta tertentu termasuk penyambung tali keledar adalah dibenarkan berikutan tiada undang-undang yang mengawal penjualannya di pasaran.

    MIROS gesa kerajaan wujudkan satu peraturan larang penjualan aksesori kenderaan yang berisiko maut

    “Peralatan ini tidak pernah ‘tidak sah’ dan ia boleh dijual di pasaran walaupun di kedai serbaneka, sedangkan jelas ia amat berbahaya jika digunakan pemandu kenderaan. Justeru, saya berasakan perlu diwujudkan satu undang-undang yang boleh mengawal atau menyekat penjualan aksesori kenderaan yang berbahaya kepada pengguna,” katanya menerusi laporan khas oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, pihaknya juga bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan aspek penguatkuasaan. Bagaimanapun, katanya, tindakan penguatkuasaan mungkin boleh dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan aksesori ini tidak dijual sewenang-wenangnya di pasaran.

    “Dari segi undang-undang ia memang perlu namun mungkin mengambil sedikit masa. Namun, untuk masa terdekat ini, mungkin kita akan melakukan pertemuan dengan KPDNHEP bagi membincangkan isu ini,” katanya.

    MIROS gesa kerajaan wujudkan satu peraturan larang penjualan aksesori kenderaan yang berisiko maut

    Akhbar terbabit juga meminta meminta pendapat Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, yang turut berkata perbincangan mengenai isu berkenaan giat dijalankan, susulan pelbagai kes kemalangan yang semakin meruncing kebelakangan ini.

    Sehubungan itu, beliau menjelaskan kementerian kini pada fasa melengkapkan kajian bersama pihak berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Kena teliti undang-undang, jadi kita ada buat kajian rentetan daripada kemalangan yang berlaku akhir-akhir ini, selain mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan. Sebenarnya alat ini adalah untuk kegunaan orang berbadan bersaiz besar, bukan untuk ‘mendiamkan’ penggera tali keledar kenderaan.

    MIROS gesa kerajaan wujudkan satu peraturan larang penjualan aksesori kenderaan yang berisiko maut

    “Oleh itu, memandangkan tiada larangan dalam bentuk sekatan penjualan yang boleh dikenakan terhadap peniaga aksesori ciplak sedemikian, kita perlu teliti aspek perundangan dalam usaha menangani isu seperti ini,” katanya.

    Isham mengesahkan bahawa alat nyah aktif penggera tali keledar ciplak itu tidak mampu mengaktifkan beg udara apabila berlaku impak pelanggaran ketika kemalangan.

    “Produk ciplak ini tiada peranti pengesan seperti diletakkan dalam seat belt extender (penyambung tali pinggang keledar) untuk kegunaan orang berbadan saiz besar,” katanya.

    Ditanya pendekatan terbaik untuk menyekat penjualan aksesori membahayakan pengguna itu, Isham berkata kerajaan ketika ini mampu berbuat demikian melalui kempen kesedaran dan nasihat.

     
     
  • Petron anjur peraduan Jom Bantu hingga 30 Sept 2020 – Ganjaran bernilai RM240,000 menanti pemenang

    Petron anjur peraduan Jom Bantu  hingga 30 Sept 2020 – Ganjaran bernilai RM240,000 menanti pemenang

    Petron Malaysia sedang menganjurkan peraduan Jom Bantu dengan menawarkan ganjaran bernilai RM240,000 yang terdiri daripada wang tunai, baucar barangan runcit dan mata ganjaran Petron Miles. Peraduan tersebut sudah bermula sejak 1 Julai lalu dan berlangsung hingga 30 September 2020.

    Menerusi peraduan itu, 30 pelanggan Petron berpeluang memenangi hadiah utama dan membawa pulang RM2,000 wang tunai, baucar barangan runcit bernilai RM2,000 dan mata ganjaran Petron Miles bernilai RM1,000.

    Manakala 300 lagi ahli Petron Miles pula berpeluang memenangi mata ganjaran Petron Miles bernilai hingga RM300.

    Pelanggan akan mendapat penyertaan secara automatik dengan setiap pembelian minyak terkumpul berjumlah RM50 menggunakan kad Petron Miles.

    “Peraduan Jom Bantu adalah cara kami untuk menunjukkan keprihatinan terhadap pelanggan kami. Ini juga peluang untuk kami untuk mengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada pelanggan atas kepercayaan dan sokongan mereka,” kata Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy.

    Tambahnya lagi, pihaknya menawarkan nilai yang terbaik kepada pelanggan melalui kad Petron Miles. Dengan menggunakan kad ini, para pelanggan berpeluang untuk memenangi banyak ganjaran yang menarik selain mengumpul mata PMiles.

    Bagi peraduan Jom Bantu ini, pemenang akan dipilih setiap bulan dari lima kawasan – Lembah Klang, Selatan, Utara, Pantai Timur, serta Sabah dan Sarawak dalam masa tiga bulan. Semua pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui laman sosial media Petron Malaysia.

     
     
  • Proton Saga 25th Anniversary Edition 2010 – Saga paling mahal pernah dijual, RM54,500, hanya 25-unit

    Proton Saga 25th Anniversary Edition 2010 – Saga paling mahal pernah dijual, RM54,500, hanya 25-unit

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, 9 Julai ini iaitu dua hari dari sekarang genap usia Proton Saga yang ke-35 tahun, dan Proton bakal melancarkan model istimewa Anniversary Edition sempena sambutan berkenaan. Namun ingatkah anda ketika Saga menyambut ulangtahunnya yang ke 25-tahun iaitu pada tahun 2010, versi yang sama turut pernah dihasilkan?

    Paultan.org/bm masih belum wujud lagi ketika ini, tetapi laman utama kami dalam bahasa inggeris hadir membuat liputan ketika Saga 25th Anniversary ini dilancarkan 10-tahun yang lalu – ini apa yang kami jumpa dalam arkib untuk tatapan anda.

    Saga istimewa ini dihasilkan menerusi model generasi kedua atau dikenali dengan nama Saga BLM. Berbeza dengan model genarasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore, Saga BLM yang diperkenalkan pertama kali pada tahun 2008 adalah hasil air tangan kejuruteraan tempatan, dari badan sehinggalah pada enjin Campro yang digunakan.

    Proton Saga 25th Anniversary Edition 2010 – Saga paling mahal pernah dijual, RM54,500, hanya 25-unit

    Pada tahun 2010, varian tertinggi Saga SE dijual pada harga RM44,548 manakala versi Aniversary Edition ini dijual pada harga yang agak tinggi iaitu RM54,500! Apa ada pada model ini sehingga dijual pada harga hampir RM15k berbanding Saga Premium AT 2019?

    Bagi memastikan model ini benar-benar istimewa, Proton tidak sekadar memberikan pelekat badan dan emblem istimewa sahaja pada Saga ini, tetapi lebih daripada itu. Pada bahagian luar, model ini menerima kit badan penuh seakan pada model Saga SE, kemudian warna badan putih yang diberikan turut hadir dengan warna kontras hitam pada bumbung dan but belakang (spoiler dan kemasan nombor plat masih berwarna putih).

    Kemudian, bahagian sisi kereta ini diberikan jalur badan dengan motif belang harimau, bersama logo ’25’ pada bahagian belakang. Saga ini juga diberikan rim aloi lapan-jejari yang tidak terdapat pada model lain.

    Dalam kabin, model istimewa ini hadir dengan tempat duduk yang dibalut dengan kulit Nappa berwarna perang, dan ia turut membaluti panel pintu. Kemudian, tombol gear dan roda stereng juga menerima balutan kulit dengan serlahan benang perang yang sama. Paparan meter juga sedikit berbeza kerana ia diberikan latar belakang berwarna kelabu, berbanding warna putih pada model SE dan hitam pada model standard.

    Bukan hanya aspek kosemetik menerima tingkat taraf, malah Saga 25th Anniversary ini juga hadir dengan pelbagai kelengkapan tambahan. Antaranya adalah beg udara untuk penumpang hadapan (model biasa hanya diberikan satu konsol menyimpan barang pada bahagian tersebut) dan juga cermin berkuasa pada tingkap pintu belakang – kedua-dua ini adalah ciri yang diberikan pada Saga pasaran Australia ketika itu.

    Satu lagi fakta yang perlu anda tahu adalah, model ini dihasilkan Proton dalam jumlah yang sangat-sangat terhad, iaitu hanya 25-unit. Tak hairanlah mengapa ia begitu sukar sekali untuk melihat ia dipandu atas jalan raya. Anda sendiri bagaimana? Pernah tengok sendiri kereta ini depan mata? Atau kenal mana-mana individu yang memilikinya?

     
     
  • Kerajaan cadang sebahagian hasil cukai jalan kenderaan untuk baiki kerosakan Jalan Persekutuan

    Kerajaan cadang sebahagian hasil cukai jalan kenderaan untuk baiki kerosakan Jalan Persekutuan

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan rundingan sedang dijalankan bagi memasukkan sebahagian hasil cukai jalan bagi kenderaan ke dalam satu peruntukan khas untuk membaiki kerosakan Jalan Persekutuan di seluruh negara.

    Menurutnya lagi, ini merupakan antara cadangan yang diketengahkan melalui rundingan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menyelesaikan masalah berkenaan yang disebabkan kenderaan lebih muatan.

    Beliau berkata sehingga kini, hasil daripada cukai jalan kenderaan dimasukkan ke dalam kumpulan wang disatukan di bawah Kementerian Kewangan untuk tujuan pembangunan termasuk bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang disediakan melalui bajet mengurus (OE) kerajaan.

    “Bagaimanapun, peruntukan penyelenggaraan jalan sedia ada yang diterima daripada kumpulan wang disatukan adalah tidak mencukupi. Justeru, Kementerian Kerja Raya mencadangkan supaya peratusan tertentu daripada cukai jalan dimasukkan ke dalam akaun amanah untuk tujuan penyelenggaraan jalan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Fadillah berkata kerosakan selain daripada akibat kerja-kerja pembaikan utiliti sukar dipastikan siapa penyebabnya.

    “Kalau kerja-kerja utiliti memang mereka kena letakkan deposit kepada Jabatan Kerja Raya, kita akan baik pulih guna deposit itu ataupun sehingga kerja-kerja itu dibaik pulih oleh kontraktor dan mematuhi standard, JKR berpuas hati baru kita kembalikan deposit.

    “Tetapi selain daripada utiliti ini, payah sikit kita nak kenal pasti punca siapa sebabkan kerosakan, sama ada lori atau sebagainya ini satu perkara agak rumit dari segi tuntutan,” katanya.

    Katanya, melalui program ‘zero potholes’ (sifar jalan berlubang) yang dilancarkan sejak 2016 lagi, pihaknya komited menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan bagi pembaikan sementara ataupun dalam masa tiga hari bagi pembaikan kekal.

     
     
  • Toyota dedahkan SUV baharu 9 Julai ini – Thailand dipilih pasaran pertama, adakah ini Corolla Cross?

    Toyota dah ada SUV Segmen-C RAV4 untuk berhadapan dengan model seperti Honda CR-V, mereka juga sudah mempunyai SUV segmen-B iaitu C-HR dan yang terkini Yaris Cross untuk memberi saingan kepada model seperti Honda HR-V. Terbaharu, gergasi automotif Jepun tersebut mengumumkan akan memperkenalkan satu lagi model SUV pada 9 Julai ini, dan negara jiran kita, Thailand telah dipilih sebagai pasaran pertama melancarkan model berkenaan.

    Nama model berkenaan masih lagi belum diumumkan dan Toyota sendiri buat masa sekarang hanya menggelarnya sebagai C-SUV. Namun desas-desus yang berlegar, ia adalah sebuah SUV yang berasaskan Toyota Corolla dan akan digelar Corolla Cross, seperti apa yang telah dibuat pada Yaris Cross. Model prototaip Corolla Cross ini juga pernah dijumpai sedang diuji di Thailand sebelum ini.

    Jadi dimana kedudukan Corolla Cross ini kelak? Sudah tentu ia disasarkan untuk menyaingi model-model crossover yang diasaskan dari kereta yang lain seperti Subaru XV (diasaskan dari Impreza) dan juga Mazda CX-30 (diasaskan dari Mazda 3).

    Malah ia juga dijangka akan mengacau pasaran Honda HR-V dan Nissan Kicks pada pasaran Thailand. Jadi untuk mereka yang masih belum boleh menerima C-HR kerana reka bentuk yang lebih menyerupai sebuah coupe, mungkin boleh memilih Corolla Cross yang kelihatan lebih tradisional ini.

    Menurut protal automotif Thailand, Headlightmag yang memetik sumber yang boleh dipercayai, Toyota akan memasarkan Corolla Cross ini sebagai SUV segmen-B. Walau Thailand menjadi tempat ia membuat kemunculan sulung bagi peringkat dunia, masih belum dapat dipastikan sama ada ia adalah model yang dibina khusus untuk pasaran ASEAN seperti Toyota Innova dan Yaris (Vios Hatchback), atau dikelaskan sebagai model pasaran global.

    Sebahagian maklumat awalan yang didedahkan berkenaan model ini adalah ia diasaskan dari platform sama seperti C-HR iaitu platform TNGA-C dengan jarak roda yang sama. Walau bagaimanapun, dimensi keseluruhannya agak besar sedikit dengan panjang 4,460 mm, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi – 100 mm lebih panjang, 30 lebih lebar dan 55 mm lebih tinggi dari C-HR.

    Menerusi dimensi ini juga jelas bahawa Corolla Cross ini akan berada di bawah RAV4 yang dihasilkan dari platform TNGA-K sebagai SUV segmen-C sebenar dengan dimensi 4,600 mm panjang, 1,855 lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,690 mm. Jadi, Corolla Cross ini tidak dikelaskan sebagai model segmen-C penuh, tetapi diletakkan sebagai SUV segmen-B bersaiz lebih besar, seakan satu kelas dengan C-HR.

    Toyota dedahkan SUV baharu 9 Julai ini – Thailand dipilih pasaran pertama, adakah ini Corolla Cross?

    Sumber yang sama turut memberitahu bahawa Corolla Cross akan ditawarkan dengan dua enjin dalam pasaran. Yang pertama adalah enjin 2ZR-FBE 1.8 liter NA empat-silinder yang boleh beroperasi menggunakan bahan api E85 (flex fuel) berkuasa 140 hp/175 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Yang kedua pula adalah model hibrid yang menggabungkan enjin petrol 2ZR-FXE 1.8 liter NA berkuasa 98 hp/142 Nm, motor elektrik berkuasa 72 hp/163 Nm dan juga transmisi e-CVT yang menghasilkan 122 hp secara keseluruhan. Kedua-dua unit janakuasa ini akan ditawarkan pada pasaran Thailand.

    Untuk harga pula, Corolla Cross dijangka akan dijual dengan harga bermula 900,000 baht (RM123,815) untuk model asas tanpa sistem hibrid, hingga 1.2 juta baht (RM165,087) untuk model tertinggi dengan unit janakuasa hibrid. Segala informasi yang telah diberitahu ini hanya akan disahkan selepas Corolla Cross ini didedahkan pada 9 Julai nanti.

     
     
  • Mitsubishi Motors jalin kerjasama dengan NIOSH untuk sediakan latihan kepada pelanggan korporat

    Mitsubishi Motors jalin kerjasama dengan NIOSH untuk sediakan latihan kepada pelanggan korporat

    Pengedar kenderaan Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menjalinkan satu kerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk membangunkan program latihan Pemanduan Defensif dan Keselamatan (SDD) serta berkongsi pengetahuan teknikal serta kemahiran dalam pembangunan produk.

    Program ini direka untuk mengenal pasti bahaya dan mengambil langkah kawalan sepatutnya semasa memandu, serta menyediakan latihan kemahiran dan teknik memandu. Ia kemudiannya akan disediakan untuk pelanggan korporat MMM yang menggunakan kenderaan Mitsubishi di tempat kerja mereka.

    “NIOSH yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia telah menjadi tulang belakang dalam menyediakan latihan berkaitan keselamatan dan pemanduan defensif agak lama. Melalui kerjasama ini, kombinasi kemahiran yang dikongsi, pengetahuan, kepakaran dan pengalaman antara NIOSH dan MMM akan menyediakan pelanggan korporat kami dengan kemahiran teknikal yang bersedia untuk industri, serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di tempat kerja mereka,” kata ketua pegawai eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    MMM berharap melalui kerjasama ini, lebih banyak program kesihatan dan keselamatan dapat dibangunkan bersesuaian dengan polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSH) yang disasarkan untuk melindungi pekerja dalam persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

     
     
  • Polis larang guna lampu kabus, mentol ‘Ice Blue’ untuk lampu brek belakang; 9,385 saman telah dikeluarkan

    Polis larang guna lampu kabus, mentol ‘Ice Blue’ untuk lampu brek belakang; 9,385 saman telah dikeluarkan

    Sejak kebelakangan ini, makin ramai pemilik kenderaan yang menggunakan mentol ‘ice blue’ untuk lampu brek belakang, hingga menjadi kecaman pengguna jalan raya yang lain. Sedarkah anda, penggunaan mentol lampu tersebut termasuk juga menyalakan lampu kabus (bukan pada wkatu yang sesuai) boleh mengundang nahas jalan raya kerana tahap silau yang tinggi berbanding lampu biasa.

    Bukan itu sahaja, penggunaan kedua-dua lampu tersebut sebenarnya adalah dilarang kerana ia boleh mendatangkan risiko terhadap pengguna jalan raya lain yang boleh mengganggu fokus pemanduan mereka. Justeru, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memberikan amaran keras buat mereka yang masih berdegil di mana penggunaan lampu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, kesalahan itu ditafsirkan sebagai keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau memungkinkan bahaya kepada orang dalam kenderaan atau di jalan raya.

    “Sebanyak 9,385 saman dikeluarkan bagi kesalahan sepanjang bulan Januari sehingga Jun tahun ini kerana menggunakan lampu berkenaan. Daripada jumlah itu, 6,566 saman belum dijelaskan manakala selebihnya telah dibayar. Sepanjang tahun lepas, 16,092 saman dikeluarkan dan 9,323 saman masih belum dijelaskan.

    Polis larang guna lampu kabus, mentol ‘Ice Blue’ untuk lampu brek belakang; 9,385 saman telah dikeluarkan

    “Justeru, pemasangan aksesori tanpa kebenaran ini adalah menyalahi undang-undang jalan raya kerana memungkinkan bahaya kepada orang di dalam kenderaan atau di jalan raya,” katanya kepada
    Bernama.

    Tambah beliau lagi, kesalahan itu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

    Azisman berkata tindakan keras akan diambil jika didapati pemandu kenderaan masih ingkar dan memasang aksesori berkenaan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Dari segi penguatkuasaan, kita bersedia dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dari segi penjualan, pemasangan dan kebenaran oleh pihak yang berwajib. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik kenderaan supaya tidak mengubah suai kenderaan mereka dengan memasang lampu berkenaan yang melanggar Vehicle Type Approval (VTA) yang diberikan kepada kenderaan tersebut,” katanya.

    Beliau menegaskan kenderaan berkenaan juga boleh disita di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengelak kesalahan tersebut berulang.

     
     
  • Lamborghini siar teaser Sian Spyder – didedah esok

    Lamborghini siar teaser Sian Spyder – didedah esok

    Sebelum ini Lamborghini sudah memberitahu mereka akan memperkenalkan sebuah model baru pada 8 Julai. Sekarang, mereka menunjukkan teaser untuk model tersebut dan ia memberi petunjuk kepada varian Spyder (bumbung boleh buka) bagi Sian FKP 37.

    Gambar yang disiar dalam Twitter syarikat itu menunjukkan sebahagian pakej aerodinamik, iaitu salah satu winglet yang berada di belakang, dan ia menyerupai sayap belakang aktif Sian. Ayat yang dikeluarkan bersama gambar itu cuma “made in Sant’Agata Bolognese,” iaitu tempat Lamborghini membuat kereta mereka.

    Sekiranya petunjuk itu masih tidak cukup, satu lagi gambar bahagian belakang kenderaan tersebut jelas menampakkan bahagian belakang yang menggunakan banyak bentuk heksagon, termasuk pada lampu serta muncung ekzos, sama seperti Sian. Dari sudut ini juga kita boleh melihat bahagian atas yang direka semula untuk menempatkan bumbung boleh buka tersebut.

    Selain perubahan pada bahagian bentuk badan, atau lebih tepat bumbungnya, Sian Spyder dijangka masih menyediakan pakej kuasa sama seperti versi coupe, menggunakan enjin V12 NA 6.5 liter yang berkuasa 785 PS (774 hp), yang dipadankan bersama kotak gear Independent Shifting Rod tujuh kelajuan dengan motor elektrik bersepadu di dalamnya.

    Melalui tetapan ini, kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 819 PS (807 hp), dan bersama dengan sistem pacuan semua roda, ia mampu membantu Sian memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 2.8 saat dan mencapai laju maksimum lebih 350 km/j. Prestasi versi Spyder dijangka juga hampir sama.

     
     
  • VIDEO: GR Supra GT500 semua pasukan didedahkan

    Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota mengesahkan akan kembali ke kejohanan Super GT Jepun untuk musim 2020 dengan Supra generasi A90 baharu, setelah 14 tahun hanya diwakili divisi mewahnya iaitu Lexus dalam perlumbaan berkenaan. Dan kini, kesemua pasukan bertanding menggunakan jentera GR Supra GT500 tersebut didedahkan dalam satu video pendek.

    Sebanyak enam pasukan akan berlumba dengan GR Supra dalam kategori GT500 pada Super GT musim ini iaitu TGR Team Wako’s Rookie, TGR Team WedsSport Bandoh, TGR Team au’ TOM’s, TGR Team KeePer TOM’s, TGR Team ZENT Cerumo dan TGR Team SARD.

    Seperti yang anda boleh lihat dalam video, ada berberapa pasukan yang masih mengenakan livery perlumbaan GT500 yang sama ketika era kegemilangan model generasi keempat Supra A80 dahulu seperti Denso SARD Supra dan juga ZENT Cerumo Supra. Untuk pasukan TOM’s pula, walaupun ia tidak lagi diberikan grafik Castrol seperti Castrol TOM’s Supra dahulu, nombor perlumbaan ’36’ dan ’37’ masih kekal pada kedua-dua GR Supra mereka.

    Walau bagaiamanapun, spesifikasi teknikal jentera-jentera GR Supra GT500 ini masih lagi belum didedahkan. Namun untuk pengetahuan anda, kesemua jentera GT500 untuk perlumbaan Super GT kini perlu dibina berdasarkan undang-undang FIA Class 1, sama seperti Kejohanan Touring Car Jerman atau lebih dikenali sebagai DTM. Dalam undang-undang ini, kesemua jentera hanya dibenarkan menggunakan enjin turbo empat-silinder 2.0 liter.

    GR Supra GT500 bakal berentap dengan dua lagi musuh tradisinya dalam Super GT tahun ini iaitu Honda NSX-GT dan juga Nissan GT-R Nismo GT500. GT Association (GTA) telah mengumumkan bahawa akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang, keseluruhan jadual musim 2020 ini terpaksa ditunda.

    Tiada perlumbaan yang akan dibatalkan sepanjang musim ini namun disebabkan pusingan pertama di Okayama yang sepatutnya berlangsung bulan lalu ditangguh ke 11 dan 12 Julai, pusingan yang akan diadakan di Asia Tenggara iaitu Sepang dan Burriram, Thailand akan dianjak mungkin ke Disember 2020 atau Januari 2021.

    Sepang sepatutnya menjadi tuan rumah perlumbaan ini pada 16 hingga 19 Julai nanti sebagai pusingan kelima, dua minggu selepas selesai pusingan keempat di Thailand. Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan ini selepas menarik diri tujuh tahun lalu, dan ia akan menjadi pusingan Super GT pertama dalam sejarah yang akan diadakan pada sebelah malam.

    Pusingan di Suzuka turut ditangguh – sepatutnya berlangsung pada 30 hingga 31 Mei, kini ia dijadualkan semula akan berlangsung sebelum dua pusingan akhir yang diadakan luar dari Jepun.

     
     
  • Toyota Harrier 2020 dengan kit Wald International

    Toyota Harrier 2020 dengan kit Wald International

    Selepas Modellista dan Gazoo Racing, satu lagi syarikat pengubah suai kenderaan terkenal iaitu Wald International juga memperkenalkan kit badan khas untuk Toyota Harrier 2020. Ubah suai yang diketengahkan oleh Wald nampak lebih kemas, bersih dan tidak keterlaluan.

    Gril model standard yang sebahagian besarnya tertutup diganti dengan unit krom bersama jalur melintang oleh Wald sementara bahagian bampar serta lampu kabusnya masih kelihatan sama, cuma ia ditambah dengan lip di bahagian bawah dan menjadikan bampar tersebut nampak lebih labuh.

    Sambungan di bawah ini diteruskan pada bahagian tepi melalui side skirt dan di belakang ia bersambung terus dengan bampar yang kelihatan lebih sibuk dengan empat muncung ekzos berlapis, pemantul cahaya serta kemasan seperti diffuser di tengah.

    Toyota Harrier 2020 dengan kit Wald International

    Harrier 2020 pertama kali didedahkan pada bulan April lalu dan ia diberitahu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin Dynamic Force baru Toyota iaitu unit empat silinder 2.0L dengan kuasa 171 PS an 207 Nm, serta unit empat silinder 2.5L yang digabungkan dengan motor elektrik 120 PS dan 202 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT, dengan versi Hybrid juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang ditambah motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 54 PS dan 121 Nm. Versi Hybrid FWD pula akan mempunyai output sistem 218 PS, sementara versi E-Four dengan output 222 PS.

     
     
  • Audi Q4 Sportback e-tron Concept diperkenalkan esok

    Audi Q4 Sportback e-tron Concept diperkenalkan esok

    Audi telah mengesahkan bahawa model Q4 Sportback e-tron concept bakal diperkenalkan esok. Model baharu yang menggunakan bentuk badan SUV kompak empat-pintu ini pertama kali didedahkan pada Mac tahun lalu.

    Q4 e-tron Concept ini menggunakan penggerak elektrik. Jadi, ia dibina atas platform MEB, dan dijadikan pacuan empat-roda Quattro dengan penggunaan motor elektrik pada setiap gandar. Tiada penyambung mekanikal di antara dua gandar ini, sebaliknya penyampaian kuasa dikawal oleh unit elektrik supaya cengkaman yang optimum dalam pelbagai keadaan dapat dicapai.

    Dalam kebanyakan waktu, Q4 e-tron akan menggunakan pacuan roda belakang, demi menjadikan ia lebih cekap. Motor elektrik yang berada di gandar hadapan hanya akan hidup apabila pemandu mahukan lebih prestasi ataupun terdapat gelinciran yang dikesan oleh unit pengawal elektronik tersebut.

    Audi Q4 Sportback e-tron Concept diperkenalkan esok

    Untuk kuasa, unit motor di belakang mempunyai kadar yang lebih tinggi iaitu 150 kW (204 PS) dan 310 Nm tork, manakala unit di hadapan menghasilkan 75 kW (102 PS) dan 150 Nm tork. Apabila digabungkan, sistem ini mampu menghasilkan 225 kW (306 PS), dan kedua-dua motor tersebut mendapat kuasa daripada bateri 82 kWh (dengan berat 510 kg) yang terletak di bawah lantai.

    Menurut Audi, dengan tetapan ini, Q4 e-tron Concept boleh pergi sehingga 450 km (kitaran WLTP) dan pengecasan pantas DC (melalui penyambung CCS) berada pada kadar 125 kW. Untuk mendapatkan tahap bateri 80%, 30 minit waktu mengecas diperlukan.

    Untuk pecutan, Audi memberitahu kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j (dihadkan secara elektronik). Pembahagian berat gandar dikatakan sempurna pada hampir 50:50, dan semua roda disambung dengan penyerap adaptif.

    Bagi imej luarannya, bahagian hadapannya diserlahkan dengan gril Singleframe yang besar tapi tertutup, dan angin sejuk dari luar masuk ke dalam melalui dua bukaan udara yang terdapat di hujung bampar. Lampu hadapan menggunakan unit matrix LED manakala di belakang pula terdapat grafik lampu yang bersambung dari hujung ke hujung.

    Q4 e-tron Concept ini menggunakan rim 22-inci, dan profilnya dijadikan tegap, dengan garis bumbung yang menjunam di belakang. Menurut Audi, rekaan ini berjaya mencatat kadar rintangan angin 0.27 Cd dan disudahi dengan warna “Solar Sky.”

    Istimewanya warna biru ini adalah ia boleh berubah mengikut sudut cahaya, dan dibangunkan khas untuk Q4 e-tron Concept dalam persekitaran yang mesra alam. Satu lagi fungsinya adalah boleh mengurangkan pembinaan haba pada bahagian badan dan juga dalam kenderaan.

    Di dalam kabinnya pula, ia ditampilkan dengan roda stereng haksagon, unit yang sama dengan model Q4 e-tron. Selain itu, ia turut diberikan kokpit maya Audi digital sepenuhnya dan unit utama, konsol tengah ala terapung, dan bentangan papan pemuka yang biasa.

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan papan infotainmen 12.3-inci yang dipusingkan sedikit supaya menghadap pemandu dan butang kawalan HVAC diletakkan bawah padanya. Pemilihan gear pula boleh dilakukan melalui butang yang terdapat permukaan hitam berkilat di konsol tengah. Butiran penuh akan didedahkan pada detik pengenalannya.

    GALERI: Audi Q4 e-tron

     
     
  • Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Sebelum ini kebanyakan pemain industri automotif tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi jualan yang dicatatkan bagi tahun ini selepas pandemik COVID-19 menular di Malaysia mendorong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Dalam tempoh bulan ketiga 2020, jualan kenderaan direkodkan mengalami penyusutan sebanyak 44%. Manakala untuk bulan April pula, jualan kenderaan jatuh hampir 100%.

    Walau bagaimana pun, selepas PKP makin dilonggarkan, dan sektor perniagaan dibuka kembali, jualan kenderaan dilihat meningkat semula. Buktinya, pada Mei lalu, jualan kenderaan naik sebanyak 16,183%. Ini bermakna, kuasa pembeli sudah kembali.

    Melihat akan prestasi tersebut, AmInvestment Bank menerusi nota penyelidikannya mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) kekal memberangsangkan dengan sasaran 565,000 unit tahun ini. Perkara ini terdorong dengan inisiatif diumumkan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

    Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Penganalisis AmInvestment Bank, Jeremie Yap, berkata TIV pada separuh kedua tahun ini bakal disokong prestasi lebih baik bagi semua pengeluar utama berikutan pelaksanaan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi unit pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi model import (CBU) berkuatkuasa 15 Jun hingga 31 Disember 2020, laporan Berita Harian.

    “Memasuki separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan pemulihan kukuh dalam tempoh enam bulan berikutnya selepas jumlah kes baharu COVID-19 domestik semakin berkurangan dan kebanyakan perniagaan beroperasi semula.

    “Kerajaan juga melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana semua pusat pengedaran, bilik pameran dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah boleh mengambil tempahan dan pendaftaran kenderaan baharu,” katanya dalam nota penyelidikan.

    Tambahnya lagi, pengecualian cukai jualan menyaksikan harga kereta turun antara 1.1% hingga 6.5% bagi semua kenderaan, yang dilihat sebagai suntikan yang sangat diperlukan sektor automotif negara sebagaimana yang berlaku ketika tempoh ‘cuti cukai’ Jun hingga Ogos 2018.

    Jualan kenderaan bagi tahun 2020 dijangka kekal memberangsangkan, sasaran 565k unit – penganalisis

    Beliau berkata, pada 2018 cuti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyaksikan harga kereta susut antara tiga hingga lima peratus, sekali gus memacu permintaan ke atas kereta baharu dengan jumlah jualan sebanyak 198,500 unit bagi tempoh Jun hingga Ogos, menokok 42% perbezaan suku ke suku dan meningkat 32% tahun ke tahun.

    “Proton dan Perodua meraih manfaat daripada rangsangan pengecualian cukai jualan berbanding pengeluar lain di mana harga kereta menjadi lebih berpatutan memandangkan semua barisan model keluarannya adalah CKD.

    “Kami sangat yakin Proton dan Perodua akan terus menerajui sektor automotif pada separuh kedua tahun ini bersandarkan faktor harga lebih menarik berbanding pesaingnya.

    “AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham DRB-Hicom dengan nilai saksama RM2.49 sesaham dan saham MBM Resources dengan nilai saksama RM4.62 memandangkan kedua-duanya adalah proksi kepada Proton dan Perodua,” katanya.

     
     
  • Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

    Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

    Ketika ini, Proton menjual dua “jenis” kenderaan. Satu, yang dibangunkan sendiri sebelum ini, seperti Persona, Iriz, Exora dan Saga. Kedua, model rebadge dari Geely, SUV X70. Walaupun antara dua jenis ini memang ada berkongsi sedikit aspek rekaan dan ciri seperti Geely Key User Interface (GKUI), kedua-duanya sangat berbeza. Namun, itu mungkin bukan lagi keadaannya di masa depan nanti.

    Dalam satu temuramah bersama kami hari ini, Ketua Pereka Proton, Azlan Othman, memaklumkan bahawa barisan model akan datang akan lebih terhubung, dengan model binaan sendiri berbesa sama sekali daripada apa yang ada ketika ini. “Akan sampai masa nanti bahawa model-model legasi Proton ini tidak lagi membawa penampilan yang sama seperti hari ini. Nama mungkin dikekalkan, tetapi bukan rupa dan reka bentuk,” jelas beliau.

    Untuk itu, Proton ketika ini sedang membangunkan platform baru yang akan digunakan oleh model-model binaan sendiri kelak. Ini dilakukan dengan kerjasama Geely, walaupun masih belum jelas adakah Proton bakal mendapat akses bagi platfrom segmen B Modular Architecture (BMA) dan Modular Architecture (CMA) yang dimiliki syarikt China itu.

    Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

    Model-model baru nanti akan lebih menonjol dan berbeza dari segi rekaan. X70 hari ini menampilkan perubahan estetika yang minimum berbanding Geely Boyue, dan elemen yang sama itu diterapkan kepada model-model lain yang ada bagi versi facelift terbaru ketika ini. Pendekatan ini sebetulnya turut membuka jalan kepada pembangunan produk baru untuk menjana angka jualan dan keuntungan yang lebih baik.

    Disebabkan itu, Proton menumpukan perhatian untuk membangunkan kenderaan dengan cepat dan menepati keperluan pasaran semasa, jadi rekaan jatuh ke tempat kedua dari segi keutamaan sebelum ini. Namun, Azlan menyatakan model-model akan datang akan menerima reka bentuk yang lebih menarik. “Tugas kami ketika ini adalah untuk menghasilkan rekaan yang lain dan luar biasa bagi model-model berkenaan,” ujarnya.

    Membangunkan kereta dari awal adalah sangat penting bagi Proton untuk menjadi pusat pemasangan kereta pemanduan kanan bagi Geely. Syarikat juga komited untuk menghasilkan kereta generasi baru untuk rantau Asia Tenggara, termasuk negara seperti Thailand dan Indonesia. Untuk menampung kos pembangunan platform baru, Proton menawarkan kepada Geely untuk membantu menghasilkan kenderaan yang boleh memasuki segmen pasaran yang baru. Bila boleh kita jangkakan model baru ini akan memasuki pasaran? Azlan bagaimanapun enggan memberikan jangka masa yang jelas; “harapnya dalam masa yang tak terlalu lama,” ujarnya.

     
     
  • Lamborghini bakal tunjuk model baharu pada 8 Julai

    Lamborghini bakal tunjuk model baharu pada 8 Julai

    Lamborghini telah mengumumkan bakal memperkenalkan model baharu pada 8 Julai ini, dengan berkata, ia adalah “lebih awal daripada waktunya.” Walau bagaimana pun, pengeluar kereta Itali tersebut tidak memberikan sebarang perincian mengenai jentera tersebut, tapi kita bolehlah mengagak serba sedikit mengenainya.

    Ini disebabkan beberapa minggu kebelakangan ini, Lamborghini telah menayangkan model SCV12, jentera hypwercar untuk litar yang dijanakan oleh enjin 6.5 liter naturally-aspirated V12 yang didakwa boleh menghasilkan kuasa hingga 830 PS (819 hp). Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan dari Xtrac yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

    Foto model prototaip comouflaged ini menunjukkan SCV12 akan mengadaptasi lampu nyalaan siang LED baharu Lamborghini yang pertama kali dilihat pada Sián FKP 37, yang diberikan gaya terkini. Lamborghini berkata SCV12 akan diperkenalkan pada musim panas tahun ini, iaitu antara Jun hingga Ogos, jadi kita akan dapat menyaksikannya tidak lama lagi.

    Lamborghini bakal tunjuk model baharu pada 8 Julai

    Ada khabar angin mengatakan model Lamborghini baharu ini mungkin versi Spyder bagi Sián. Terdahulu, versi coupe pertama kali diperkenalkan di Frankfurt Motor Show tahun lalu dan ditetapkan sebagai model edisi terhad (hanya 63 unit sahaja yang dibuat) bagi jentera hybrid super sport ini hadir dengan kuasa 819 PS (807 hp).

    Janaan kuasanya hasil e-motor yang dihamburkan oleh supercapacitor yang meledakkan enjin 6.5 liter V12, dipadankan dengan kotak gear ISR (Independent Shifting Rod) dan sistem pacuan semua-roda. Ia membolehkan Sián dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 2.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j. Apa pun, kita akan mengetahui model terbaharu yang bakal diperkenalkan oleh Lamborghini sedikit masa lagi.

    GALERI: Teaser Lamborghini SCV12

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025