Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia, Hap Seng Star lancar pusat kereta terpakai yang bertauliah terbesar di Kinrara

    Mercedes-Benz Malaysia, Hap Seng Star lancar pusat kereta terpakai yang bertauliah terbesar di Kinrara

    Mercedes-Benz Malaysia dan Hap Seng Star hari ini melancarkan pusat kereta terpakai Mercedes-Benz yang diiktiraf (Certified Pre-Owned Centre) bertempat di Kinrara, Puchong.

    Ini menjadi premis terbesar seumpamanya yang menumpukan hanya bagi jualan kenderaan-kenderaan terpakai Mercedes-Benz secara sah di Malaysia, menyertai sebuah lagi pusat sama juga oleh Hap Seng sebelum ini, bertempat di Balakong.

    Dengan pelaburan sebanyak RM41.6 juta, pusat ini didirikan di atas kawasan seluas 46,210 kaki persegi dan mampu untuk mempamerkan lebih daripada 100 kenderaan, dan diselenggara oleh seramai 24 orang petugas. Ia juga menjadi pusat sehenti berkaitan segala urusan pembelian kenderaan terpakai yang diiktiraf sendiri oleh Mercedes-Benz.

    “Kami berbesar hati untuk melancarkan pusat kenderaan terpakai sah Mercedes-Benz ini, yang dikendalikan oleh Hap Seng. Ia melambangkan lanjutan kepada jenama Mercedes-Benz, dan dalam masa yang sama membantu kami untuk meluaskan lagi khalayak pelanggan sedia ada,” ujar Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner.

    Kelebihan jika pelanggan ingin membeli kenderaan Mercedes-Benz terpakai ialah mereka memandu uji terhadap unit yang diinginkan terlebih dahulu. Selain itu, mereka juga boleh “trade-in” kenderaan lama yang digunakan.

    Semua kenderaan kenderaan yang dijual melalui pusat ini dijamin berada dalam keadaan dan standard yang baik. Pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas setiap satu kenderaan, jumlah perbatuan juga tidak keterlaluan, bantuan dari segi pembiayaan serta kewangan dan juga penyelenggaraan.

    Selepas pembelian pula, pelanggan akan menikmati sokongan lepas jualan pula. Antaranya jaminan kenderaan 12 bulan, bantuan tepi jalan 24 jam dan juga kontrak servis untuk membolehkan pelanggan menikmatinya tanpa perlu runsing.

     
     
  • Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Tesla Motors dan Elon Musk telah bersetuju untuk membayar $20 juta masing-masing kepada Suruhanjaya Sekuriti Amerika Syarikat (SEC) untuk menyelesaikan dakwaan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan tidak berasas pada 7 Ogos lalu. Namun satu lagi berita yang lebih menjadi perhatian, Musk juga telah melepaskan jawatan pengerusi syarikat, tetapi masih kekal sebagai ketua pegawai eksekutif.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan melalui satu tweet, di mana Musk menyatakan beliau sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Tesla sebagai sebuah syarikat persendirian dengan harga saham $420 seunit (20% premium), dan “dananya telah pun diperoleh”. Hakikat sebenarnya, kenyataan itu tidak mempunyai asas, dan menurut SEC, telah menyusahkan pelabur. Selepas tweet itu dikeluarkan, harga saham syarikat senarai awam itu melonjak naik.

    Perjanjian penipuan sekuriti ini dianggap sebagai satu berita baik bagi pelabur, kerana mereka risau perjalanan undang-undang yang lama hanya akan memburukkan lagi keadaan syarikat yang sedang rugi itu. Ada pakar pentadbir dan pelabur mengatakan kejadian ini mungkin dapat membantu Tesla menjadi lebih kuat selepas menerima kesan daripada perangai Musk yang tidak menentu.

    Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Ini boleh dilihat dalam waktu yang terdekat di mana antara contohnya, Musk telah menuduh penyelam yang cuba menyelamatkan mangsa dalam gua di Thailand sebagai seorang “pedofilia” dan “perogol kanak-kanak, serta beliau juga menghisap ganja dalam satu rancangan video langsung.

    Dengan perletakan jawatan ini, Tesla perlu menamakan seorang pengerusi, dua pengarah dan jawatankuasa pengarah yang baru, dengan antara perjanjian yang dicadangkan adalah mengawal komunikasi Musk. Ini secara teorinya meletakkan Musk di bawah perhatian tanpa mengeluarkan beliau daripada syarikat.

    Dakwaan yang dilakukan oleh SEC ini telah menyebabkan harga saham Tesla turun sebanyak $7 bilion menjadi $45.2 bilion pada Jumaat lalu. Pada hari itu, Musk juga telah menghantar emel kepada pekerja mendesak mereka supaya “mengabaikan segala gangguan” kerana “cuma ada satu saja lagi hujung minggu yang sukar, dan kita semua akan menang.”

    Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Pada hari Ahad, beliau telah menghantar satu lagi emel kepada pekerja dengan kenyataan: “Kita sudah hampir mencapai keuntungan dan dapat membuktikan mereka yang selalu mengecam kita adalah salah. Tapi untuk menambah lagi keyakinan, kita perlu melakukan yang terbaik esok (Ahad). Jika kita berhempas pulas esok, kita akan mencapai kejayaan yang epik, melebihi semua jangkaan. Majulah Tesla!”

    Kejayaan yang dimaksudkan mungkin adalah sasaran pengeluaran untuk Tesla Model 3. Menurut Electrek, selepas penagguhan selama beberapa bulan, Tesla dapat mencapai rekod pengeluaran tertinggi dua hari sebelum suku ketiga tahun berakhir. Tesla mensasarkan pengeluaran 50,000 hingga 55,000 unit Model 3 untuk Q3 2018.

     
     
  • VIDEO: Model MT Yamaha 2019 cuma tukar warna?

    Barisan motosikal keluaran Yamaha yang menggunakan nama MT di hadapan adalah penting untuk syarikat itu kerana ia didatangkan dengan karekter yang tersendiri dan muncul dalam pelbagai kategori. Paling kecil adalah MT-125, diikuti MT-03, MT-07, MT-09 dan paling berkuasa, MT-10.

    Semuanya adalah model naked, dan antara aspek yang diberi penekanan adalah tork serta tunggangan yang lincah. Ini bertepatan dengan maksud MT itu sendiri iaitu “Master of Torque“. Kemudiannya dengan badan yang terdedah, semestinya ia lebih ringan berbanding motosikal yang menggunakan fairing penuh.

    Terbaru untuk siri model MT ini, Yamaha Motor Europe telah mengeluarkan sebuah video yang menunjukkan model tahun 2019. Namun, yang ditekankan dalam video ini cuma warna baru, iaitu gabungan merah dan putih yang dipanggil oleh mereka sebagai Ice Fluo. Sebelum ini, warna unik bagi MT adalah Night Fluo gabungan kelabu dan hijau fluorescent.

    Harapnya apabila motosikal sebenar didedahkan nanti (mungkin di EICMA), ia akan menunjukkan peningkatan lain pada bahagian mekanikal atau kelengkapan. Setakat yang dilihat dalam video ini memang tiada, tapi antara harapan pengguna adalah lampu hadapan yang lebih menarik pada MT-07 (seperti MT-09) dan versi prestasi MT-07 SP.

     
     
  • Kadar SST tayar, motosikal elektrik turun kepada 5%

    Kadar SST tayar, motosikal elektrik turun kepada 5%

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa kadar cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk tayar pneumatik (tayar yang menggunakan angin) dan juga motosikal elektrik telah diturunkan dan ia kini hanya pada paras 5%, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, keputusan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) setelah menerima maklum balas daripada 18 sesi taklimat soal jawab Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diadakan di seluruh negara melibatkan lebih 15,000 peserta.

    Dalam laporan-laporan sebelum ini, harga tayar kenderaan (kereta penumpang, trak ringan, van dan lain-lain) dijangka akan naik serentak dengan implementasi cukai SST, di mana syarikat-syarikat tayar sendiri – termasuk Michelin, Bridgestone, Goodyear, Continental dan Hankook – mengumumkan bahawa kenaikan harga mungkin berlaku pada 1 September sempena pengenalan semula cukai tersebut.

    Syarikat-syarikat tayar berkemungkinan akan merombak semula harga produk mereka berikutan langkah bagi pengurangan kadar SST ini kepada 5%, begitu juga dengan pengedar-pengedar motosikal elektrik dalam negara. Namun untuk tayar, sepatutnya tiada sebarang kenaikan pada harga buat masa sekarang berikutan semakan semula kadar cukai berkenaan.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 718 Boxster Spyder 2019 dikesan

    SPYSHOT: Porsche 718 Boxster Spyder 2019 dikesan

    Porsche 718 Boxster bakal menerima varian tertinggi baharu dalam bentuk Boxster Spyder, dan terdapat perkhabaran menyatakan ia akan digandingkan dengan penjana kuasa naturally-aspirated enam-silinder berbanding turbo empat-silinder.

    Prestasi didatangkan dari enjin 4.0 liter enam-silinder dari 991.2-gen 911 GT3, walau pun diturunkan hingga 400 hp. Sebelum ini, model terdahulu dipadankan dengan enjin 3.8 liter yang menghasilkan kuasa 375 hp, cukup untuk kelajuan 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 290 km/j, tetapi Boxster Spyder baharu sepatutnya akan menjadi lebih pantas.

    Gambar spyshot di bawah termasuk dengan pelbagai sudut untuk jentera ini dalam beberapa kerangka prototaip, menandakan model baharu mungkin akan menerima versi yang lebih tegar berbanding Boxster Spyder generasi 981 sebelum ini.

    SPYSHOT: Porsche 718 Boxster Spyder 2019 dikesan

    Turut dijangka model Boxster paling berkuasa ini juga lebih ringan, walau bagaimana pun bahagian belakang (penghormatan untuk model asal 718 Spyder dari 60an) dan soft-top manual (untuk penjimatan berat) akan dikekalkan.

    Selain itu, suspensi yang lebih keras dan rendah, chasis yang disemak semula dan sistem bantuan pemanduan Porsche akan ditampilkan. Boxster Spyder gen-981 turut akan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan, tetapi Porsche juga mungkin akan menawarkan PDK tujuh-kelajuan untuk kali ini.

     
     
  • Infiniti Q60 Project Black S – 3.0L V6 hibrid, 571 PS

    Infiniti Q60 Project Black S – 3.0L V6 hibrid, 571 PS

    Infiniti bersedia untuk mempamerkan model prototaip Infiniti Q60 Project Black S, sedan hibrid prestasi, di Paris Motor Show yang bakal berlangsung pada minggu hadapan. Dengan teknologi yang diterjemah dari Formula One – khususnya penjana kuasa elektrik dwi-hibrid – menjadi kereta yang boleh digunakan di jalanraya biasa.

    Ia bakal dikuasakan dengan enjin VR30 3.0 liter V6 turbo-berkembar dengan ‘sistem pemulihan tenaga’ (ERS) seperti F1, dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 571 PS. Membolehkannya mencatat masa pecutan di bawah empat saat! Dengan enjinnya yang tersendiri sahaja, ia mampu memproduksi 405 PS.

    Ia menggunakan tiga unit motor penjana (MGU) – MGU-K tunggal (‘K’ bermaksud ‘Kinetik’) dengan tenaga kinetik daripada membrek, dan pengecas turbo elektrik berkembar enjin pula dipadankan dengan dua MGU-H (‘H’ bermaksud ‘Heat’ atau haba) iaitu unit yang menjana tenaga haba daripada gas ekzos. Ia membolehkan penjana kuasa untuk menjana kuasa elektrikal semasa membrek dan pecutan.

    Penjana kuasa dan aerodinamik bagi Black S ini dibangunkan bersama dengan Renault Sport Formula One Team. Bagi rekaannya, ia menampilkan wing ‘Monza’ dengan profil aero yang lebih kurang sama dengan jentera Renault Sport F1, unit tersebut diperbuat daripada gentian karbon. Menerusi teknologi model digital, bentuk dan perkadaran bagi wing tersebut diberikan talaan untuk mendapatkan kestabilan yang lebih tegar dan cengkaman yang lebih tinggi sewaktu di selekoh.

    Infiniti Q60 Project Black S – 3.0L V6 hibrid, 571 PS

    Untuk bahagian sisinya pula, gerbang roda ditambah untuk menambahkan lebar trek dan dipadankan juga dengan roda aloi 21-inci, sementara skirt sisi juga lebih dalam dan terperinci. Manakala bahagian belakang pula lebih berkarakteristik dengan wing yang lebih besar dan diffuser yang cukup menyerlah, ditambah pula dengan ekzos titanium berkembar.

    Presiden dan pengerusi global Infiniti, Roland Krueger, berkata, “Project Black S mewakili elektrifikasi teratas dalam portfolio pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi), dan ini merupakan satu lagi contoh keusahawanan Infiniti dalam langkah menuju elektrifikasi dari 2021 dan seterusnya.”

    Sambungnya lagi, “Project Black S menggunakan pengurusan tenaga pintar dan kuasa yang tinggi daripada penjana kuasa termaju, dengan keupayaan dinamik di jalan raya dan trek dan estetika berasaskan prestasi. Ia banyak menyerapkan pelbagai teknologi dan idea baharu, menunjukkan bagaimana kerjasama dalam pakatan ini mampu menjadi realiti.”

     
     
  • Harga RON 97 naik 14 sen bagi Oktober 2018 – RM2.79

    Harga RON 97 naik 14 sen bagi Oktober 2018 – RM2.79

    KPDNHEP telah umumkan harga petrol RON 97 bagi bulan Oktober akan naik sebanyak 14 sen. Ini menjadikan harga jualannya yang terbaru ialah RM2.79 seliter berkuatkuasa tengah malam ini sehinggalah 31 Oktober nanti.

    Pada September lalu, petrol yang sama dijual pada harga RM2.65 seliter. Harga bahan api lain pula macam biasa, masih kekal sama disebabkan ada pemberian subsidi sehingga hujung tahun ini.

    Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • Acura Integra Type R DC2 asli 1997 dijual pada harga RM264k di acara lelongan Barret Jackson Las Vegas

    Acura Integra Type R DC2 asli 1997 dijual pada harga RM264k di acara lelongan Barret Jackson Las Vegas

    Saban tahun, kereta-kereta sport JDM dilihat semakin bernilai dalam pasaran. Jika anda biasa dengan pasaran kereta-kereta begini, anda tentu perasan di Malaysia sendiri Mitsubishi Lancer Evo III asli kini dijual sama harga seperti model Evo IX, manakala Toyota Corolla AE86 yang berusia lebih dari 35 tahun boleh dijual dengan harga lebih RM100k.

    Trend ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia, ia sebenarnya trend pasaran Jepun sendiri dan juga dunia. Menerusi acara lelongan Barret Jackson Las Vegas semalam, satu rekod dunia telah dicatatkan di mana sebuah Acura Integra Type R 1997 telah dilelong dengan harga USD63,800 atau RM264,082.

    Untuk pengetahuan anda, pada era 90’an, Honda hanya menghasilkan model-model Type R untuk pasaran JDM. Namun pada tahun 1997, jenama berkenaan ‘bermurah hati’ untuk membawa Integra Type R DC2 ke pasaran Australia dan Amerika Utara. Namun di Amerika, Inte-R versi pemanduan sebelah kiri ini dibina sedikit berbeza dari versi JDM, dan dihasilkan hanya 320 unit pada tahun 1997.

    Ia dijual di bawah jenama divisi mewah Honda iaitu Acura, dan menerima muka pre-facelift menampilkan sepasang lampu hadapan berbentuk bulat berkembar berbanding lampu tirus melintang untuk model asli JDM spesifikasi 1995. Ia juga tidak menerima tempat duduk hadapan Recaro berwarna merah, tetapi hanya diberikan unit yang lebih sporty dari model GS-R biasa, dibaluti sued dengan serlahan jahitan benang merah.

    Walau bagaimanapun, DC2 R pasaran Amerika ini masih dijana enjin 1.8 liter empat silinder DOHC VTEC B18C yang mampu menghasilkan 195 hp (197 hp untuk JDM) tanpa bantuan turbo, digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan nisbah pendek.

    Menurut laporan dalam laman Hagerty, Integra Type R DC2 1997 yang terjual berkenaan adalah unit ke-37 dari keseluruhan 320 unit lain. Meter perbatuan kereta tersebut hanya mencatatkan 1,191 batu atau hanya 1,916 km, dan ia hadir dengan ciri opsyen asli seperti sistem penghawa dingin serta pemain CD yang dihubungkan kepada enam pembesar suara.

    Ia juga masih tampil dengan warna asal Championship White, dan apa yang benar-benar membuatkan kereta ini mahal adalah kerana ia langsung tidak diubahsuai – sesuatu yang sangat rare kerana rata-rata Type R akan dibeli oleh mereka yang terpengaruh dengan budaya ubahsuai Jepun.

    Nak tahu lebih lagi berkenaan falsafah kejuruteraan dan spesifikasi Integra Type R DC2 ini dan model-model Type R lain? Baca artikel Legasi Type- R yang telah kami siarkan sempena ulangtahun ke-25 tahun Type R tahun lalu.

     
     
  • Smart Forease model konsep terbaru bakal ke Paris

    Smart Forease model konsep terbaru bakal ke Paris

    Dah lama tak dengar khabar jenama Smart, kan? Di Malaysia, nak nampak model-model lama jenama ini atas jalan pun susah. Tapi, diperingkat global, ia masih lagi aktif. Dan, tahun ini cukup umurnya 20 tahun.

    Untuk Paris Motor Show 2018 nanti, Smart akan pamerkan sebuah kereta konsep terbaru, dikenali sebagai Smart Forease. Masih kekal dengan idealisme asalnya untuk menghasilkan kereta yang kecil dan rugged, kini dengan teknologi elektrik. Model ini diasaskan daripada model produksi Smart EQ Fortwo Cabrio.

    Antara perkara paling ketara pada penampilan model konsep ini ialah cermin depan yang lebih pendek serta ketiadaan bumbung – ia juga mungkin sebagai lanjutan kepada rekaan konsep yang pernah Smart hasilkan sebelum ini, seperti Crossblade (2001) dan Forspeed (2011).

    Sebagai sebuah kereta dengan imej moden dan canggih, ia menggunakan perincian warna hijau terang pada banyak bahagian untuk menyerlahkan kontras, dan dipadankan dengan warna perak di luar. Di dalam juga kemasan hijau yang sama digunakan.

    Merupakan sebuah jenama kereta yang direka untuk kegunaan di bandar, Smart kini sudah bersedia untuk mengeluarkan kereta dengan teknologi elektrik. Sejak 2017, jenama di bawah Daimler ini telah menjual hanya kereta elektrik di Amerika Syarikat, Canada dan Norway. Bermula 2020 nanti, ia akan memasarkan hanya kenderaan yang dikuasakan oleh bateri sahaja di Eropah, diikuti dengan pasaran lain selepas itu.

     
     
  • Porsche 935 ‘Moby-Dick’ dilahirkan semula – 3.8 liter Twin Turbo, 700 hp/750 Nm, hanya 77 unit, RM3.37 juta

    Porsche 935 ‘Moby-Dick’ dilahirkan semula – 3.8 liter Twin Turbo, 700 hp/750 Nm, hanya 77 unit, RM3.37 juta

    Bagi mereka yang lahir pada era 80’an, anda tentu ingat watak ‘Jazz’ dalam animasi Transformers G1 bukanlah kereta sport buatan Amerika seperti filem-filem Transformers generasi baharu. Sebaliknya, Jazz adalah sebuah kereta lumba ikonik iaitu Porsche 935 yang bertarung pada perlumbaan Le Mans pada pertengahan era 70’an hingga awal 80’an. Kereta lumba yang diasaskan dari model 911 Turbo berkenaan turut dikenali sebagai ‘Moby-Dick’ kerana badannya yang lebih lebar bersama sayap belakang yang lebih besar persis ikan paus.

    Sempena acara “Rennsport Reunion” di litar Laguna Seca Raceway, California, Porsche telah mendedahkan model kelahiran semula 935/78 tersebut. Dihasilkan dengan konsep yang sama seperti model asal, kereta lumba ini dibangunkan dengan asas Porsche 911 GT2 RS, dan ia bukan sekadar versi konsep – Porsche akan memproduksi kereta ini hanya sebanyak 77 unit.

    “Kereta yang hebat ini merupakan hadiah hari jadi Porsche Motorsport untuk peminat di seluruh dunia,” kata Dr Frank-Steffen Walliser, naib presiden sukan permotoran dan kereta GT Porsche. “Kerana kereta ini bukan homologasi, jurutera dan pereka bentuk tidak perlu mengikut undang-undang biasa dan mempunyai kebebasan dalam pembangunannya,” jelasnya lagi.

    Panel badan asal 911 GT2 RS berkenaan ditanggalkan dan diganti dengan panel-panel yang diperbuat dari material komponen komposit gentian-karbon (CFRP). Rekaan semula pada badan kereta ini membuatkan ia kini lebih panjang dengan ukuran mencecah 4.87 meter, manakala lebar keseluruhan pula 2.03 meter.

    Porsche 935 ‘Moby-Dick’ dilahirkan semula – 3.8 liter Twin Turbo, 700 hp/750 Nm, hanya 77 unit, RM3.37 juta

    Liang udara ruang roda pada fairing hadapan kereta ini sebenarnya merupakan ciri yang sama pada kereta lumba pelanggan Porsche 911 GT3 R, berfungsi untuk meningkatkan downforce pada gandar hadapan. Manakala sayap gergasi berukuran 1,909 mm lebar dan 400 mm tinggi di bahagian belakang pula memberikan kestabilan aerodinamik pada kawasan berkenaan.

    Kereta lumba ini turut menerima rim seiras dengan jentera 935/78 asal. Manakala bahagian lain, ia turut dilengkapkan dengan perincian diinspirasi dari pelbagai kereta lumba ikonik Porsche, antaranya – lampu LED belakang dan hujung plat sayap belakang dari kereta lumba 919 Hybrid LMP1, cermin pandang belakang sisi dari jentera lumba 911 RSR yang bergelar juara Le Mans buat masa sekarang dan juga paip ekzos titanium yang terdedah seperti Porsche 908 dari tahun 1968. Akhir sekali, badan kereta berwarna putih ini turut menerima livery perlumbaan Martini Racing sama seperti ‘Moby-Dick’ sebenar.

    Konsep yang sama di bawa ke bahagian kabin di mana tombol penukar gear diberikan kemasan kayu seperti kereta-kereta lumba terdahulu, contohnya 917, 909 Bergspyder dan juga kereta super sport Carrera GT. Roda stereng dengan rekaan seperti unit dari kereta lumba sebenar diperbuat dari gentian-karbon, manakala pemandu akan memantau segala parameter menerusi panel instrumen digital berwarna yang diambil dari Porsche 911 GT3 R 2019.

    Seperti kereta lumba sebenar, kokpit jentera ini dilindungi oleh roll cage lengkap, manakala badan pemandu akan diikat menggunakan tali pinggang perlumbaan enam-poin, pada tempat duduk bucket penuh bagi memastikan keselamatan pada tahap maksima. Porsche menawarkan tempat duduk penumpang sebagai ciri opsyen, manakala sistem penghawa dingin masih diberikan secara standard.

    Porsche 935 ‘Moby-Dick’ dilahirkan semula – 3.8 liter Twin Turbo, 700 hp/750 Nm, hanya 77 unit, RM3.37 juta

    Model istimewa 935 ini masih dijana oleh enjin boxer enam-silinder 3.8 liter dengan suapan dua pengecas turbo seperti pada 911 GT2 RS, menjana 700 hp dan tork maksima 750 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan dengan pedal penukar gear pada stereng, dan turut dilengkapi dengan suspensi kotak gear jenis tetap. Bagi memadankan kedudukan roda seiring dengan bentuk badan lebih lebar, kuasa dari enjin dan kotak gear kini dilalirkan kepada gandar belakang dengan ukuran 310 mm lebar.

    Seperti model 911 lain, nisbah berat keseluruhan kereta ini merupakan faktor bagi mendapatkan cengkaman serta prestasi membrek terbaik. Angkup brek aluminium monoblok enam-omboh diberikan pada bahagian hadapan bersama cakera logam berliang yang telah diukir berukuran 380 mm. Manakala bahagian belakang pula diberikan angkup empat-omboh dengan cakera 355 mm.

    Jentera dengan berat 1,380-kg ini masih diberikan sistem keselamatan seperti model 911 GT2 RS, dengan kelengkapan seperti sistem Porsche Stability Management (PSM) bersama traction control dan sistem brek ABS. Pemandu boleh mematikan terus sistem-sistem bantuan pemanduan tersebut menerusi suis yang digelar map switch.

    Berminat dengan kereta lumba ini? Porsche 935 generasi baharu tersebut sudahpun boleh ditempah, dijual pada harga 701,948 Euro (RM3.37 juta) termasuk cukai VAT pasaran berkenaan. Penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada Jun 2019, namun bukanlah di rumah atau bilik pameran, sebaliknya pada majlis-majis eksklusif yang akan diadakan.

     
     
  • SPYSHOT: Lamborghini Huracan Spyder facelift dikesan – mungkin diperkenalkan pada 2019 atau 2020

    SPYSHOT: Lamborghini Huracan Spyder facelift dikesan – mungkin diperkenalkan pada 2019 atau 2020

    Lamborghini Huracan facelift telah dikesan buat pertama kali di Jerman, dengan varian Spyder ini mungkin diperkenalkan pada tahun hadapan atau 2020. Walau pun masih dibaluti balutan penyamaran, namun apron hadapan yang kelihatan menampilkan ciri lebih agresif.

    Corong sisi bawah dan bampar belakang menampilkan rekaan yang lebih aerodinamik, dengan dwi ekzos yang masih dikekalkan posisinya. Enjin 5.2 liter naturally-aspirated V10 dijangka akan dipadankan, dengan perkhabaran mengatakan Huracan akan menerima senibina elektrikal 48-voltan baharu, yang menyalurkan kuasa lebih mudah.

    Antara penambahbaikan yang diberikan termasuk kecondongan stereng rodabelakang, seperti Aventador S. Semua model pacuan semua-roda dan pacuan roda-belakang Huracan masih ditawarkan, tetapi model terakhr yang disebut tidak akan disertakan dengan sistem (yang menghantar pacuan ke roda belakang) seperti BMW M5.

    SPYSHOT: Lamborghini Huracan Spyder facelift dikesan – mungkin diperkenalkan pada 2019 atau 2020

    “Jika anda mempunyai sistem pacuan-semua roda dan menekan butang untuk pacuan dua-roda, anda akan membawa (40 kg), ia tidak akan berfungsi, dan anda mempunyai larasan suspensi yang sama dengan pacuan semua-roda. (Ini bermakna) anda harus mempunyai kompromi dan ini bukan pilihan terbaik yang boleh ditawarkan. Pada kami, itu bukanlah pilihan,” jelas ketua pegawai teknikal Lamborghini
    Maurizio Reggiani.

    Awal tahun ini, Lamborghini meraikan produksi ke 10,000 Huracan selepas empat tahun, yang dianggap sebagai peristiwa penting buat pengeluar kenderaan mewah Itali ini. Buat masa ini, Huracan ditawarkan dengan enjin 5.2 liter V10 dengan kuasa 630 hp (640 PS) dan tork 600 Nm. Ia boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 2.9 saat, dengan kelajuan maksimum 325 km/j.

     
     
  • Proton sah terima lesen untuk memproduksi dan jual tiga model Geely di ASEAN – Boyue, SX11 dan VF11

    Proton sah terima lesen untuk memproduksi dan jual tiga model Geely di ASEAN – Boyue, SX11 dan VF11

    Ini bukan lagi khabar angin atau sekadar desas-desus – Proton yang kini pegangan sahamnya sebanyak 49.9% dipunyai oleh jenama automotif China, Geely, telah sah untuk menggunakan hak intelektual (IP) dan hak untuk memproduksi dan menjual tiga model Geely.

    Model-model berkenaan adalah Geely Boyue yang telah sah akan dipasarkan sebagai Proton X70, dan juga dua lagi model yang belum dijual di China iaitu SUV SX11 dan MPV VF11. Buat masa sekarang, SUV segmen-B dengan kod SX11 tersebut baru sahaja didedahkan dan tampil dengan nama Binyue di China, manakala model MPV dengan tiga baris tempat duduk itu pula belum didedahkan sepenuhnya melainkan berberapa imej teaser yang baru disiarkan.

    Melalui perjanjian yang bertarikh 24 September berkenaan, Proton berhak terhadap rekaan, pembangunan, pembuatan, jualan, pemasaran dan pengedaran untuk tiga model; dan ia menyatakan bahawa Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand sebagai negara yang dibenarkan untuk Proton memasarkan model-model yang telah diberikan lesen. Lesen tersebut sah selama 10 tahun.

    Kesemua pasaran yang dinyatakan adalah pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD), dan Proton sebelum ini telah ditauliahkan sebagai hab serantau untuk model pasaran RHD oleh Geely.

    Semua ini telah didedahkan oleh Geely Automobile Holding Limited – sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham Hong Kong, yang mengawal pemegang saham Zhejiang Geely Holding Group Company Limited (ZGH). Bayaran lesen untuk IP berkenaan adalah RMB 1,344,000,000 (RM808.3 juta), yang akan diselesaikan oleh ZGH dalam lima bayaran ansuran tahunan sekata.

    Manakala untuk “Perjanjian Jualan Proton” yang berkaitan akan menyaksikan jenama automotif nasional itu membeli komponen-komponen CBU,CKD dan selepas jualan yang berkaitan untuk tiga model bagi tempoh masa tiga tahun yang akan berakhir 31 Disember, 2020. Jumlah transaksi yang dicadangkan adalah RMB 398,729,892 (RM239.8 juta) untuk tahun kalendar 2018, RMB 3,803,497,732 (RM2.28 bilion) untuk 2019 dan RMB 4,147,700,048 (RM2.49 bilion) untuk 2020, dengan margin 5.83% dipertimbangkan untuk vendor.

    Dalam nota kepada pemegang saham, Geely mengatakan bahawa jumlah berkenaan adalah adil dan berpatutan, dan adalah demi kepentingan syarikat dan pemegang-pemegang saham secara keseluruhan.

    Perjanjian pemberian lesen yang menurut Geely sebagai masuk ke perniagaan biasa dan amalan kebiasaan dalam perniagaan, dan dijalankan dalam terma komersial normal, turut akan memberikan peluang untuk kumpulan tersebut untuk mengeksport teknologi dan produknya, disamping menjana pendapatan tambahan untuk kumpulan. Geely tidak ada sebarang operasi yang merangkumi negara-negara ASEAN, jadi tiada sebarang pertindihan di dalam kumpulan.

    Sekarang sudah jelas bahawa selain Proton X70, barisan model Proton pasca kerjasama dengan Geely ini akan menampilkan sebuah lagi SUV yang berhadapan terus dengan Honda HR-V, manakala Proton Exora bakal menerima penggantinya tidak lama lagi. Jadi apa pendapat anda? Adakah strategi ini bakal menaikkan semula Proton dalam pasaran negara, dan meletakkannya dalam persaingan global?

    GALERI: Proton X70

    GALERI: Geely Binyue/SX11


    GALERI: Imej teaser MPV Geely VF11

     
     
  • Petronas sambung tajaan MotoGP hingga tahun 2020

    Petronas sambung tajaan MotoGP hingga tahun 2020

    Sudah terlibat dengan perlumbaan MotoGP sejak awal tahun 2000, kini Petronas menyambung lagi kerjasama dengan sukan lumba motosikal itu apabila menandatangani perjanjian dengan Dorna Sports untuk mempunyai pengiklanan jenama di Litar Antarabangsa Sepang serta Litar Antarabangsa Chang, Thailand untuk tiga tahun lagi.

    Ini adalah komitmen tambahan yang diberi oleh Petronas setelah menaja pasukan dalam kelas Moto3, Moto2 dan mulai tahun depan, MotoGP melalui pasukan Petronas Yamaha SRT. Senarai pelumba untuk setiap pasukan ini juga telah diumumkan sebelum ini.

    “Petronas berbangga dapat bekerjasama dengan Dorna Sports dengan menaja pengiklanan tepi litar di Thailand dan Malaysia. Kami harap dapat meningkatkan kesedaran jenama melalui kerjasama ini memandangkan MotoGP adalah satu acara sukan permotoran yang mempunyai banyak pengikut, sekaligus melengkapkan lagi projek kami dalam Moto3, Moto2 dan MotoGP,” kata pengurus kanan komunikasi strategik kumpulan, Petronas, Zahariah Abdul Rahman.

    “Petronas adalah antara jenama yang besar di Asia dan kami teruja untuk menerima mereka sebagai rakan kerjasama untuk dua acara yang paling besar tahun ini (Thailand GP dan Malaysia GP). Ini juga menunjukkan komitmen mereka terhadap sukan ini,” kata pengarah urusan Dorna Sports, Pau Serracanta.

     
     
  • Kia tidak akan ada jenama penala seperti Hyundai N, model-model biasa dan GT akan dibina lebih sporty

    Kia tidak akan ada jenama penala seperti Hyundai N, model-model biasa dan GT akan dibina lebih sporty

    Walaupun pembangunan model-model berprestasi tinggi Kia dan Hyundai kini di bawah pengawasan orang yang sama iaitu Albert Biermann, kedua-dua jenama berkenaan tidak akan menerapkan strategi yang sama. Jika Hyundai kini menghasilkan kereta-kereta di bawah jenama sayap talaan dan perlumbaan Hyundai N seperti i30 N Fastback yang baru sahaja diperkenalkan, Kia pula tidak akan melakukan perkara sedemikian, kata Biermann dalam laporan Autocar.

    Menurut Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M, Kia akan membina kereta-keretanya menjadi lebih sporty dan lebih seronok untuk dipandu, serta berberapa barisan model GT yang akan memfokuskan prestasi dunia sebenar.

    “Untuk Kia, tidak ada keputusan untuk masuk kepasaran kereta berprestasi tinggi. Kami lakukannya dengan Hyundai N, tetapi keputusan jelas ia tidak akan melibatkan Kia, dan GT memerlukan pakej yang lebih berpatutan. Dengan Ceed GT sekarang, pada masa anda mula menghasilkan model berprestasi tinggi, anda perlu bekerja di litar lumba, dan kemudian kos akan meningkat dan perniagaan akan menjadi semakin mencabar. Untuk mengambil langkah seterusnya sedemikian merupakan langkah yang sukar,” kata Biermann.

    Kia Stinger telah pun mendapat pengiktirafan berhubung karekter pemanduannya, dan secara dinamik, selepas ini Optima GT akan menjadi perkara besar buat Kia. “Untuk Optima GT seterusnya, anda boleh jangka unit janakuasa dan suspensi yang menarik pada tahap seterusnya. Ia akan menjadi tahap setersunya untuk prestasi pemanduan Kia,” katanya dan menambah bahawa setiap model-model GT tidak akan diproduksi dengan banyak.

    Biermann bukan sahaja sedang membangunkan model-model GT, namun terlibat dengan kereta-kereta biasa Kia. Misinya adalah untuk memberikan kereta-kereta Kia dengan perasaan pemanduan yang lebih sporty, khususnya untuk kereta-kereta spesifikasi Eropah. Untuk pengendalian yang baik, rasa stereng yang lebih ‘berisi’ serta kawalan badan yang lebih mantap, “anda kena terima bahawa sedikit kompromi perlu diambil pada keselesaan, khususnya di Eropah, untuk aspek sporty,” katanya.

    Selain itu, berberapa perkara lain turut akan diambil dalam proses ini. “Ia boleh jadi rasa ketika penukaran gear, rasa ketika anda mula duduk di dalam kabin – ia adalah falsafah yang lebih luas yang akan diperkenalkan dan banyak lagi perkara akan menyusul,” jelasnya. Model Kia yang akan menyaksikan perubahan dinamik ini adalah Kia Soul generasi ketiga, yang akan mempunyai “tahap ketangkasan yang tidak ada sebelum ini.”

     
     
  • Cas EV 80% dalam masa 12 minit pada 2020 – Audi

    Cas EV 80% dalam masa 12 minit pada 2020 – Audi

    Menurut satu laporan Autocar, barisan kenderaan EV bagi jenama Audi akan mempunyai kemampuan pengecasan pantas; ia boleh mencapai tahap 80% penuh dalam tempoh hanya 12 minit. Model SUV Audi e-Tron yang baru saja dilancarkan, yang menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama buat Audi, boleh dicas sehingga 80% dalam masa 30 minit melalui pengecas 150kW DC pantas yang kini mula beredar di Eropah.

    Pengecas pantas ini adalah sebahagian daripada rangakaian Ionity oleh Audi sendiri, disertai selainnya oleh jenama-jenama seperti BMW, Mercedes, Porsche dan beberapa lagi. Unit pengecas berkenaan hadir dengan keupayaan mengecas 350 kW DC. Bagaimanapun, ini hanya akan digunakan sebaik sahaja teknologi berkapasiti tinggi dibangunkan.

    Jangkaannya, tempoh masa untuk perkara itu berlaku tidaklah terlalu lama lagi. Pengurus Pemasaran Produk e-tron, Johannes Eckstein memaklumkan penerbitan berkenaan, model e-tron GT yang akan datang akan menjadi kereta pertama menggunakan bateri jenis itu, dijangka pada 2020 nanti.

    Ketika ini, bagi e-tron, Audi menawarkan dua penyelesaian pengecas untuk AC di rumah melalui Charging System Compact dengan kadar 11 kW untuk pasaran Eropah, dengan cas penuh mengambil masa 8.5 jam. Pasaran Amerika menerima unit yang sama, dengan kadar 9.6 kW (kurang 10 jam untuk penuh).

    Yang kedua, Charging System Connect 22 kW, dengan cas penuh dalam masa 4.5 jam sahaja. Sistem ini disambungkan ke aplikasi myAudi, membolehkan pengguna untuk menentukan tempoh cas yang diinginkan dan merancang bila untuk mengecas. Kedua-duanya menggunakan penyambung Type 2, tetapi e-tron turut menggunakan Combined Charging System (CSS) standard untuk cas pantas DC.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025