Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

    PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

    Seperti ramai yang sudah tahu kini, Malaysia sedang mengorak langkah untuk memperkenalkan diesel lebih mesra alam iaitu biodiesel B10 kepada orang ramai bagi menggantikan diesel Euro 2M B7 yang sedang dipasarkan sekarang. Apabila dilaksana nanti, ia akan dijual sekali bersama pilihan diesel Euro 5 B7.

    Sebagai tambahan kepada hasil ujian badan tertentu di luar negara seperti Colombia dan Indonesia, lembaga minyak sawit Malaysia (MPOB) juga sudah menjalankan pelbagai ujian, baik secara dalaman mahupun bersama organisasi lain seperti persatuan pengeluar kenderaan Jepun, JAMA.

    Merasakan ia masih lagi tidak mencukupi, MPOB mengajak sekali wakil media untuk bersama mengalami rasa pemanduan kenderaan yang menggunakan bahan bakar ini. Acara seperti ini sebenarnya sudah beberapa kali diadakan, termasuk offroad tetapi bezanya kali ini, ia akan melibatkan perjalanan lebih 1,000 kilometer dari Bintulu, Sarawak ke Kundasang, Sabah. Turut dilalui adalah negara Brunei Darussalam.

    Bagi saya, ia adalah satu perjalanan yang cukup menarik kerana walaupun sudah pernah memandu di Sarawak dan Sabah, ini adalah pertama kali saya memandu terus dalam satu acara dari Sarawak, ke Sabah, melalui Brunei. Tetapi bagi MPOB, mereka ingin menunjukkan keyakinan terhadap ketahanan kenderaan yang menggunakan diesel B10 ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Peugeot 3008 raih Kereta Tahunan Eropah 2017

    Peugeot 3008 raih Kereta Tahunan Eropah 2017

    Peugeot 3008 generasi kedua yang diperkenalkan pada Mei tahun lalu, telah meraih anugerah Kereta Tahunan Eropah 2017 (ECOTY), dengan menewaskan pencabar terdekatnya termasuk Alfa Romeo Giulia (tempat kedua, 296 mata) dan Mercedes-Benz E-Class (ketiga, 196 mata). Manakala Volvo S90/V90 (172 mata), Citroen C3 (166 mata), Toyota C-HR (165 ata) dan Nissan Micra (135 mata) turut menerima pencalonan bagi ECOTY ini.

    Secara keseluruhannya sebanyak 31 kenderaan telah dicalonkan bagi ECOTY kali ini, dengan tujuh finalis telah dipilih sebelum panel daripada 58 juri mengesahkan undian mereka. Peugeot 3008 telah mengambil tempat Vauxhall/Opel Astra, yang memenangi anugerah sama pada tahun 2016. Pemenang ECOTY sebelum ini termasuklah VW Passat (2015), Peugeot 308 (2014) dan VW Golf (2013).

    SUV ini dijangka tiba ke pasaran Malaysia pada suku kedua tahun ini. Dijangkakan ia dijanakan oleh enjin 1.6 liter THP dan dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

    Peugeot 3008 raih Kereta Tahunan Eropah 2017

    Harga bagi 3008 ini juga belum dimuktamadkan, walau bagaimana pun ia dijangka bermula RM158,888 jika berdasarkan model sebelumnya. Dan jika harganya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding dulu, SUV 3008 baharu ini sebenarnya lebih berketerampilan dan nampak lebih menyerlah jika dibandingkan dengan model terdahulu.

    Ia turut dilengkapi dengan skrin resolusi tinggi bersaiz 12.3-inci sebagai kluster instrumen, bersama skrin sesentuh lapan-inci pada bahagian konsol tengah. Walau bagaimana pun, spesifikasi bagi pasaran Malaysia masih tidak dipastikan, namun SUV ini juga dilengkapi dengan bumbung panoramik dan pintu tailgate bebas-tangan, bersama sistem bunyi Focal Premium 10-pembesar suara dan juga Driver Sport Pack sebagai pilihan yang turut ditawarkan.

    GALERI: Peugeot 3008

     
     
  • Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

    Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

    Volkswagen Arteon yang dihasilkan sebagai model gantian kepada coupe empat-pintu CC sebelum ini kini telah pun didedahkan sepenuhnya di Geneva Motor Show. Model yang muncul sebagai model konsep Sport Coupe Concept GTE dua tahun lalu ini bakal diletakkan antara Passat generasi terkini dan juga model eksklusif untuk China iaitu Phideon.

    Menurut VW, Arteon bakal “dilancarkan secara praktikal di setiap negata yang relevan dengan kelas kenderaan sepertinya.” Arteon bakal muncul dengan model asas ketika dilancarkan, dan bakal ditawarkan dengan varian Elegence dan R-Line selepas itu.

    Model ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol TSI dan juga diesel TDI. Bagi versi diesel, ia hanya hadir dengan enjin 2.0 liter TDI, tetapi diberikan pilihan tiga talaan kuasa berbeza iaitu 150 PS, 190 PS dan juga 240 PS.

    Untuk enjin petrol pula, dua enjin ditawarkan iaitu 1.5 liter TSI Evo dan juga 2.0 liter TSI. Enjin 1.5 liter yang digunakan merupakan enjin yang sama menjana Golf baharu, menghasilkan kuasa 150 PS. Bagi enjin 2.0 liter pula, ia ditawarkan dengan dua pilihan talaan kuasa iaitu 190 PS dan juga 280 PS.

    Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

    Bagi model TSI dan TDI dengan kuasa 150 PS, ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, dan pembeli turut boleh memilih transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DSG sebagai opsyen. Manakala untuk enjin lain, transmisi DSG tujuh kelajuan dipadankan secara standard. Khas untuk model 280 PS TSI, ia turut didatangkan standard dengan sistem pacuan semua roda 4Motion Volkswagen (opsyen untuk model 190 PS TDI)

    Arteon menampilkan rekaan seiras dengan versi konsepnya yang muncul pada tahun 2015, dengan sedikit rekaan semula. Pada bahagian hadapan, model yang digelar sebagai gran turismo oleh VW ini menampilkan muncung yang panjang, serta ruang rodanya memenuhi fender hadapan.

    Bonet hadapan direka agar kelihatan sebagai sebahagian dari muka Arteon ini, dengan garisan atas lampu hadapan LED (dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam) diletakkan selari dengan garis hujung bonet tersebut dan kemudian bersambung dengan gril hadapan. Bagi model R-Line, ia turut diberikan apron hadapan yang lebih sporty, menampilkan ruang kemasukan udara berbentuk-C dengan kemasan hitam kilat.

    Seperti juga CC, Arteon direka seakan coupe dan kali ini menampilkan garis bahu yang lebih menyerlah dari lampu hadapan, melalui fender, pintu dan terus bersambung pada lamu belakang. Model asas akan diberikan rim 17-inci, manakala Elegence menerima rim Muscat 18-inci, sementara R-Line diberikan rim Sebring juga berdiameter 18-inci.

    Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

    Beralih kebelakang, lampu utama LED (Elegance dan R-Line diberikan fungsi penunjuk dinamik) ‘two-piece’ berkenaan direka selari dengan logo VW, manakala lencana Arteon ditempatkan di bawahnya. Dua kemasan untuk tip ekzos diberikan pada bampar bersama reflektor/lampu kabus yang direka tirus. Antara warna badan yang bakal diberikan untuk Arteon termasuk Curcuma Yellow, Atlantic Blue, dan Chili Red.

    Arteon dibina berasaskan platform modular MQB kumpulan VW, dengan dimensi 4,862 mm panjang, 1,871 mm lebar, 1,427 mm tinggi dan jarak roda 2,841 mm. Jadi berbanding CC sebelum ini, model baharu ini 60 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar, 6 mm lebih tinggi serta jarak roda kini bertambah 131 mm.

    Rekaan dalaman Arteon direka selari dengan rupa luarannya. Ia menampilkan papan pemuka yang agak ringkas dengan liang penghawa dingin kelihatan seperti merentangi keseluruhannya, diselitkan dengan hanya dua benda iaitu paparan instrumen dan jam analog.

    Arteon turut diberikan opsyen untuk paparan instrumen digital Active Info Display sama seperti Passat, yang turut boleh dihubungkan kepada paparan head-up. Versi R-Line bakal diberikan roda stereng dengan reka bentuk tersendiri, bersama pedal-pedal sport aluminium (turut diberikan untuk Elegence).

    Bagi sistem infotaimen pula, Arteon diberikan sistem Composition Media bersama skrin sesentuh 6.5-inci dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Sistem Discover Pro dengan skrin 9.2-inci yang turut boleh dikawal dengan gestur ditawarkan sebagai ciri opsyen. Ruang dalaman ini turut menerima pelbagai upholsteri dan kemasan termasuk kulit, kulit Nappa, Alcantara dan alumnium dalam pelbagai warna, selain turut diberikan lampu suasana bagi menaikkan imej premiumnya.

    Menurut Volkswagen, jarak roda yang lebih panjang pada Arteon ini membolehkan ruang kakinya direka lebih luas berbanding CC, dengan panjang keseluruhan 1,016 mm, terbaik dalam kelasnya. Bumbung yang lebih panjang juga dapat memberikan ruang kepala yang lebih baik untuk penumpang belakang. Ruang but dicatatkan dengan kapasiti 563 liter, dan keseluruhan 1,557 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

    Untuk keselamatan, Arteon hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kecemasan generasi kedua, Bantuan Kekal Lorong, lampu selekoh ramalan dengan kawalan ramalan, PreCrash, Bantuan Sisi dan Bantuan Papan Tanda.

    Volkswagen Arteon akan diproduksi di kilang VW Emden, dan bakal menerjah pasaran Jerman pada pertengahan Jun 2017. Walau bagaimanapun, tempahan telah mula diambil pada negara-negara terpilih setelah kemunculan sulungnya di Geneva ini.

     
     
  • Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

    Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

    Ini adalah Lamborghini Hurácan Performante – supercar junior versi lebih ganas yang tidak lagi menggunakan nama Superleggera seperti pada Gallardo sebelum ini kerana ia tidak sekadar bergantung pada badan yang ringan.

    Walaupun begitu, ia masih 40 kg lebih ringan berbanding Hurácan standard, pada 1,382 kg, hasil penggunaan meluas Lamborghini Forged Composite – iaitu campuran khas gentian karbon yang lebih ringan dan boleh dibentuk secara kompleks tanpa mengabaikan kekuatannya. Antara bahagian yang menggunakan bahan ini adalah spoiler hadapan dan belakang, penutup enjin, bampar belakang dan diffuser.

    Namun, perkara yang lebih menarik pada Hurácan Performante adalah ciri aerodinamiknya, digelar sebagai Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA). Keseluruhan sistem ini digerakkan secara elektronik dan 80% lebih ringan berbanding tetapan hidraulik – dua flap diletakkan pada spoiler hadapan, manakala dua lagi pada penutup enjin untuk menyampaikan udara kepada sayap belakang.

    Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

    Sistem yang dinamakan sebagai Lamborghini Piattaforma Inerziale (LPI) yang mengawal sistem elektronik pada kenderaan ini boleh membuka dan menutup flap ini dalam masa hanya 500 milisaat. Apabila ditutup, spoiler hadapan dan sayap belakang kenderaan ini mempunyai daya tolakan ke bawah yang lebih tinggi – sehingga 75% lebih berbanding Hurácan standard.

    Apabila di jalan lurus, dan flap ini dibuka, tekanan pada spoiler hadapan berkurangan dan udara disampaikan kepada bahagian bawah kenderaan. Pada bahagian belakang pula, udara disampaikan kepada bahagian bawah sayap tegar tersebut. Ini mengurangkan seretan aerodinamik dan membolehkan kenderaan memecut lebih laju.

    Memandangkan sayap belakang direka supaya dapat membantu ketika mengambil selekoh kelajuan tinggi, sistem ini boleh dibuka pada satu bahagian sahaja (kiri atau kanan), bergantung kepada arah selekoh tersebut, seterusnya mengurangkan sudut stereng dan meningkatkan kestabilan dinamik kenderaan.

    Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

    Turut dinaik taraf adalah bahagian enjin, di mana unit 5.2 liter N/A V10 yang digunakan kini boleh menghasilkan 640 hp pada 8,000 rpm dan 600 Nm pada 6,500 rpm. Jumlah ini adalah 30 hp dan 40 Nm lebih berbanding sebelum ini. Peningkatan kuasa ini adalah hasil daripada langkah mengoptimakan dinamik pelincir, saluran udara lebih cekap dan injap titanium untuk angkatan injap lebih tinggi.

    Bahagian ekzos juga lebih ringan dan kurang back pressure; slaur keluarnya lebih tinggi dan diletakkan pada bahagian tengah. Turut dioptimakan adalah transmisi klac berkembar tujuh kelajuan padanya. Semua ini membolehkan Hurácan Performante memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat (sebelum ini 3.2 saat), dan boleh mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa 8.9 saat (1 saat lebih laju).

    Di sebalik badan ini, suspensi Hurácan Performante juga adalah 10% lebih keras berbanding Hurácan standard, manakala ketegaran olengan juga meningkat 15%. Turut dipertingkat adalah ketegaran bushing radial dan axial arm untuk memperbaiki kawalan sampingan.

    Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

    Hurácan Performante juga menandakan kembalinya sistem stereng elektromekanikal dan sistem Lamborghini Dynamic Steering (LDS) sebagai pilihan untuk meningkatkan respon serta maklum balas yang boleh didapati dalam mod sistem Anima Strada, Sport dan Corsa.

    Secara standard, Hurácan Performante dilengkapi dengan rim 20 inci dengan pengunci satu skru tengah disediakan sebagai pilihan. Di belakang rim ini terdapat angkup brek enam piston dan cakera seramik di hadapan dan angkup empat piston di belakang. Jarak membrek dari 100 km/j adalah 31 meter.

    Hasil daripada semua ini, Hurácan Performante berjaya mencatat rekod bagi kenderaan produksi di litar Nürburgring Nordschleife pada 6 minit 52.01 saat. Ini adalah lima saat lebih laju berbanding Porsche 918 Spyder dan hampir lapan saat lebih laju berbanding Lamborghini Aventador SV.

     
     
  • Mercedes-AMG GT Concept muncul sebelum Geneva

    Mercedes-AMG GT Concept muncul sebelum Geneva

    Selepas beberapa gambar teaser, akhirnya Mercedes-AMG GT Concept dipertontonkan secara penuh di Geneva Motor Show. Tampil sebagai model empat pintu, versi produksi GT Concept ini akan berada setara dengan CLS sedan; dengan CLS Shooting Brake dihentikan pengeluarannya dan diganti dengan model ini.

    Perincian lanjut masih belum dikeluarkan, tetapi GT empat pintu ini akan mengenakan unsur seperti GT4 bagi meletakkannya dalam keluarga kereta sports GT. Enjin yang digunakan juga belum dapat dipastikan tetapi jangkaannya mungkin adalah enjin V8 4.0 liter twin turbo daripada barisan kenderaan AMG – dalam versi paling berkuasa, enjin ini boleh menghasilkan sehingga 603 hp dan 850 Nm tork seperti pada E 63 S.

    Malah, GT Concept empat pintu ini mungkin juga menggunakan pakej kuasa yang lebih berprestasi berbanding E 63 S kerana terdapat lencana EQ Power+ pada bahagian fender-nya. Lencana ini pertama kali dilihat pada kenderaan F1 W08, dan ia membawa maksud hibrid prestasi, seterusnya membawa saranan bahawa enjin GT akan mendapat kuasa tambahan sehingga 20 hp daripada integrated starter generator (ISG) di antara enjin dan transmisinya. Selain itu, ia juga mungkin akan mendapat kuasa daripada enjin 48V generasi baru Mercedes-Benz.

    Seperti yang boleh dilihat pada teaser sebelum ini, GT Concept empat pintu menggunakan lampu hadapan yang sedikit berbeza daripada GT dua pintu manakala gril dan salur udara di tepi masih lagi sama, termasuk lampu belakangnya. Model konsep ini juga kelihatan tidak mempunyai cermin sisi, yang mana bagi versi produksi nanti, pasti akan dilengkapinya.

     
     
  • Honda City 2017 – perbandingan antara spesifikasi

    Pelancaran model facelift bagi Honda City 2017 memang ditunggu-tunggu ramai. Apatah lagi sedan segmen-B ini menerima suntikan imej yang lebih segar dan senada dengan barisan model baharu Honda yang lain. Malah turut dilengkapi dengan beberapa elemen tambahan lain.

    Antara perubahan kosmetik yang dilakukan termasuklah bahagian hadapan yang direka semula dengan lampu utama yang dibentuk semula (kini dengan lampu nyalaan siang LED untuk semua varian, spesifikasi V pula menerima lampu utama dan lampy kabus LED), gril baharu, corong udara yang diposisikan semula, sementara bahagian belakang tampil lebih sporty dengan rekaan bampar dan lampu belakang LED bersama ducktail spoiler bagi varian V. Malah ia juga didatangkan dengan roda aloi dua-tona baharu, dengan ukuran 15- dan 16-inci (tiada lagi roda keluli bagi varian S).

    Untuk bahagian kabinnya, perubahan termasuk kekemasan gunmetal grey, pencahayaan latar putih bagi kluster instrumen, butang penghidup enjin seperti Civic baharu dan sistem infotainmen skrin sesentuh 6.8-inci double-DIN baharu bagi varian E dan V. Dua varian tersebut turut menerima kamera undur yang tiada pada model sebelum ini. Sementara varian S pula telah ‘menyingkirkan’ radio single-DIN dan menggantikannya sistem audio standard. Bahagian mekanikal pula tiada perubahan, masih kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC, dipadankan bersama CVT.

    Tetapi perubahan paling besar ialah memadankan elemen standard untuk semua varian, dengan varian S turut menerima pelbagai kit (ia adalah bagi menggantikan varian S+ pada model sebelumnya) dengan penambahan harga RM2,200, dan varian lain turut menerima tambahan elemen tanpa kos tambahan. Di bawah ini adalah elemen yang terdapat pada setiap varian, harga atas jalan termasuk insurans.

    Honda City 1.5 S – RM78,300

    Enjin dan transmisi
    1.5 liter N/A i-VTEC empat-silinder, 120 hp pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,600 rpm
    Earth Dreams CVT
    Penggunaan bahan api kombinasi 5.7 liter per 100 km

    Elemen
    Lampu utama halogen reflektor, lampu nyalaan siang LED (baharu)
    Lampu belakang jenis mentol
    Antena sirip jerung (baharu)
    Roda aloi dua-tona 15-inci, tayar 175/65R15 (baharu)
    Kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin (baharu)
    Cermin sisi boleh laras secara berkuasa (baharu)
    Paparan pelbagai-info termaju (baharu)
    Pelarasan roda stereng teleskopik, tilt
    Tempat duduk pemandu boleh laras ketinggian, balutan fabrik upholstery
    Unit utama radio/CD, sambungan Bluetooth, empat-pembesa suara (baharu)
    Kawalan audio pada roda stereng
    Tempat duduk belakang 60:40 (baharu)
    Pengesan undur

    Keselamatan
    ABS dengan EBD dan bantuan brek
    Cagak ISOFIX
    Kawalan Kestabilan Kenderaan (baharu)
    Bantuan Mula Mendaki (baharu)
    Isyarat Berhenti Kecemasan (baharu)

    Honda City 1.5 E – RM84,600

    Semua di atas, dengan tambahan:

    Elemen
    Pemegang pintu krom
    Kawalan kelajuan (baharu)
    Pedal penukar gear (baharu)
    Kawalan suhu automatik dwi-zon panel-sesentuh (baharu)
    Corong pendingin hawa belakang
    Unit utama skrin sesentuh 6.8-inci Double-DIN, HDMI port, soket kuasa belakang berkembar (baharu)
    Poket bagi telefon pintar di belakang (baharu)
    Storan tengah dengan perehat tangan belakang hadapan, perehat tangan belakang dengan pemegang cawan
    Kamera undur (baharu)

    Keselamatan
    Empat beg udara (baharu, hadapan dan sisi)

    Honda City 1.5 V – RM92,000

    Semua di atas, dengan tambahan:

    Elemen
    Lampu utama LED (baharu)
    Lampu kabus LED (baharu)
    Lampu belakang kombinasi (baharu)
    Ducktail spoiler yang disambung dengan lampu brek ketiga (baharu)
    Tempat duduk balutan kulit upholstery (baharu)
    Roda stereng dan tombol gear balutan kulit
    Pad papan pemuka sentuhan-lembut
    Lapan-pembesar suara

    Keselamatan
    Enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai)

    Untuk perincian dan spesifikasi lengkap bagi semua model Honda City, sila layari CarBase.my.

    Honda City 2017 Varian V

    Honda City 2017 Varian E Modulo

    Honda City 2017 Varian S

     
     
  • Teksi dan Uber bakal bekerjasama guna aplikasi sama

    Teksi dan Uber bakal bekerjasama guna aplikasi sama

    Jika sebelum ini umum mengetahui teksi dan Uber merupakan dua pihak yang sentiasa bertelegah, perkembangan baharu ini mungkin agak mengejutkan. Menurut laporan The Sun, syarikat-syarikat teksi bakal menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Uber selewat-lewatnya minggu ini bagi membolehkan kedua-dua pihak menggunakan aplikasi yang sama.

    Usaha ini dilakukan bagi “menyelamatkan industri teksi” dan peringkat permulaan bakal menyaksikan 500 pemandu teksi di seluruh semenanjung Malaysia dari sekurang-kurangnya enam syarikat teksi akan menggunakan aplikasi Uber untuk mendapatkan penumpang. Syarikat-syarikat berkenaan dikatakan sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan Uber, memandangkan aplikasi berkenaan melakukan banyak transaksi menggunakan kad debit dan kad kredit.

    “Kami akan terus menggunakan operasi teksi bermeter,” kata pengurus operasi teksi. “Tetapi jika pemandu teksi mahu mengambil tempahan menerusi Uber, mereka perlu mengikut kadar tambang yang ditetapkan oleh Uber, sama ada ia lebih rendah atau lebih tinggi dari kadar tambang yang ditentukan SPAD buat masa sekarang.”

    Menurut laporan ini lagi, penolakkan tambang kerana menggunakan aplikasi ini hanya akan melibatkan pemandu teksi dan Uber, dan ia ditetapkan pada kadar 25%, sama seperti pemandu Uber biasa yang menggunakan kenderaan persendirian. “Kami perlu bertindak cepat kerana e-hailing bakal dikuatkuasakan tidak lama lagi selepas undang-undang tersebut dibentangkan di Palimen bulan ini,” kata seorang lagi pengarah urusan syarikat teksi berkenaan.

    Teksi dan Uber bakal bekerjasama guna aplikasi sama

    Apabila ditanya mengapa syarikat-syarikat teksi ini bekerjasama dengan Uber dan bukan aplikasi lain seperti Grab (yang juga syarikat tempatan dan turut mempunyai aplikasi teksi sendiri iaitu MyTeksi), pengarah syarikat teksi utama berkata, “orang ramai lebih biasa dengan jenama Uber. Kami juga telah menggunakan aplikasi tempatan [untuk tempahan] tetapi kami tidak dapat banyak pelanggan kerana kekurangan pemasaran.”

    Pertelegahan antara pemandu teksi dan aplikasi perkongsian kereta seperti Uber dan Grab sudah berlangsung dalam tempoh agak lama, sejak tahun 2015 lagi. Pemandu teksi telah melakukan pelbagai bantahan termasuk demonstrasi jalanan yang menutup Jalan Bintang dan juga menyerang pemandu aplikasi tersebut. Tindakan untuk menyaman juga telah dilakukan sebelum ini.

    Kesemua tindakan tersebut walau bagaimanapun gagal untuk menjatuhkan servis aplikasi-aplikasi berkenaan, sebaliknya pada Oktober lalu sekitar 10,000 pemandu teksi memulangkan semula teksi mereka kerana gagal untuk bersaing dengan Uber dan Grab.
    Turut dinyatakan banyak syarikat teksi tidak akan dapat bertahan bertahan sehingga 2018, dan mereka turut mengatakan kepada The Sun, “daripada terus berperang dengan Uber, ini masanya untuk bekerjasama dengan ‘musuh.'”

    Pengarah syarikat berkenaan juga mengatakan mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan Uber sebagai respon kepada permintaan pasaran, yang The Sun sifatkan ia merupakan tanda yang jelas bahawa industri tersebut kini tewas kepada servis aplikasi perkongsian kenderaan yang kini semakin popular.

     
     
  • Keputusan kerajaan untuk umum harga siling bahan api setiap minggu baik untuk pengguna – MyCC

    Keputusan kerajaan untuk umum harga siling bahan api setiap minggu baik untuk pengguna – MyCC

    Sebelum ini, Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menyuarakan kegusaran mengenai keputusan kerajaan yang mahu mengumumkan harga siling bahan api pada setiap minggu mulai April ini yang dikatakan tidak memberikan keuntungan kepada para pengguna dalam tempoh waktu yang panjang, malah boleh menyebabkan pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar kerana kerugian.

    Namun perkara ini tidak senada dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang memuji langkah kerajaan tersebut kerana dikatakan ia bakal mewujudkan harga siling petrol dalam pasaran kompetitif yang memberi manfaat kepada rakyat, laporan Bernama.

    Menurut Pesuruhjaya MyCC Datuk Dr Gan Khuan Poh, dengan menetapkan harga siling petrol, peruncit boleh meletak harga yang lebih rendah dan mewujudkan persaingan.

    “Kita akan melaksanakannya secara mingguan manakala di Amerika Syarikat, ia dilakukan secara harian,” katanya sambil menambah melalui kaedah ini, pengguna akan lebih dilindungi dan mempunyai akses kepada pelbagai pilihan.

    Hujung minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin, telah mengesahkan, pihak kerajaan memutuskan untuk mengumumkan harga siling bahan api pada setiap minggu, berbanding yang dilakukan sebelum ini pada hujung bulan. Katanya, ia akan dilaksanakan mulai April ini bagi memastikan pengguna mengetahuinya serta mengelak daripada berlaku keraguan.

     
     
  • PSA sah ambil alih Opel-Vauxhall dari General Motors

    PSA sah ambil alih Opel-Vauxhall dari General Motors

    Pemilik jenama Peugeot dan Citroen, PSA Group dari Perancis kini sah telah mengambil alih jenama Jerman – Opel serta subsidiari Britain mereka iaitu Vauxhall dari penguasaan gergasi automotif Amerika Syarikat iaitu General Motors (GM).

    Perjanjian pengambilalihan yang bernilai 2.2 bilion euro tersebut secara tidak langsung menjadikan PSA sebagai kumpulan automotif kedua terbesar di Eropah, di belakang Volkswagen Group dan mengatasi Pakatan Renault-Nissan.

    Menurut kenyataan rasmi dari PSA, pengambilalihan berkenaan turut termasuk kesemua operasi automotif Opel-Vauxhall, meliputi jenama Opel dan Vauxhall, enam-fasiliti pemasangan dan lima-fasiliti penghasilan komponen, satu pusat kejuruteraan (di Rüsselsheim, Jerman) serta kira-kira 40,000 orang tenaga kerjanya. Fasiliti pusat kejuruteraan di Torino, Itali masih lagi kekal milik GM kerana ia digunakan untuk projek-projek antarabangsa.

    Produk-produk Opel akan terus menggunakan teknologi GM yang dihasilkan sebelum ini menerusi lesen harta intelek dari pembuat automotif tersebut sehingga kesemua modelnya dialihkan secara progresif kepada platform PSA dalam masa berberapa tahun akan datang. Ini bermaksud, SUV Crossland X dan Grandland X yang dibina bersama PSA berasaskan SUV Peugeot 2008 sebelum ini merupakan siri pertama model yang diasaskan dari teknologi PSA.

    “Kami bangga untuk berkerjasama dengan Opel/Vauxhall dan sangat komited untuk terus membangunkan syarikat yang hebat ini dan mempercepatkan keuntungannya,” kata pengerusi lembaga pengurusan PSA, Carlos Tavares.

    Sebelum ini, spekulasi berkenaan pengambilalihan ini turut menimbulkan kegusaran tentang kemungkinan akan menyebabkan dua kilang Vauxhall di UK akan ditutup. Kerajaan Perancis merupakan pemegang saham sebanyak 14% di dalam PSA, dan mereka berpendapat dengan memindahkan kilang produksi Vauxhall dari UK ke Perancis dapat mengurangkan kadar tarif selepas UK sah meninggalkan Kesatuan Eropah (Brexit) kelak.

    Selain dari pengambilalihan Opel/Vauxhall ini, PSA turut mengesahkan mereka kini sedang membida untuk menjadi rakan strategik Proton bagi mendapatkan 51% pegangan saham pada kilang Tanjong Malim milik pengeluar automotif nasional Malaysia tersebut, mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluarannya di Asia.

    Zhejiang Geely dari China yang menjadi pesaing terdekat PSA dalam perlumbaan untuk mendapatkan tawaran tersebut baru-baru ini dilaporkan mahu menarik diri dari bidaan berkenaan, yang mungkin akan memberikan harapan cerah kepada PSA.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia sedang tunggu info dari Daimler AG untuk panggil balik sesetengah model baharu – berpunca daripada enjin hydrolocked

    Mercedes-Benz Malaysia sedang tunggu info dari Daimler AG untuk panggil balik sesetengah model baharu – berpunca daripada enjin hydrolocked

    Baru-baru ini, menerusi laporan Reuters, Daimler AG mengesahkan bakal memanggil balik sejuta unit model terbaharu Mercedes-Benz di seluruh dunia ekoran terdapat risiko kebakaran. Ia membabitkan model C-Class, E-Class, CLA, GLA dan GLC yang dibina dari tahun 2015 hingga 2017.

    Menurut laporan tersebut, sebanyak 51 kes kebakaran setakat ini dilaporkan telah berlaku tetapi tidak menyebabkan kecederaan dan kematian.

    Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menyebarkan kenyataan media, pihaknya sedang menantikan informasi selanjutnya daripada Daimler AG berhubung perkara tersebut.

    Menurut kenyataan terbabit, Daimler AG telah mengenal pasti terdapat beberapa model tertentu yang pernah mengalami kerosakan sebelum ini, seperti pernah ditenggelami banjir (situasi yang lebih dikenali sebagai ‘hydrolocked engine’), apabila pemandu cuba untuk menghidupkan enjin, arus elektrik akan tetap mengalir walau pun enjin terbabit ‘terkunci’. Lantas boleh mencetuskan percikan api dan menyebabkan enjin terbabit terbakar.

    MBM berkata, sekiranya Daimler AG mengarahkan pihaknya untuk melakukan kempen panggilan balik ini, semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi secepat mungkin. Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai perkara ini, para pelanggan boleh menghubungi MBM di talian khidmat pelanggan 1-800-88-1133.

    Daimler AG berkata, daripada satu juta kenderaan yang terlibat dengan panggilan balik ini, 307,629 unit daripadanya adalah di Amerika Syarikat. Malah daripada 51 kes kebakaran yang dilaporkan, sebanyak 30 kes adalah berlaku di negara berkenaan.

     
     
  • Brabus Ultimate 125 – kereta kecil berharga lebih RM230k, dengan enjin 898 cc berkuasa 125 hp/200 Nm

    Brabus Ultimate 125 – kereta kecil berharga lebih RM230k, dengan enjin 898 cc berkuasa 125 hp/200 Nm

    Untuk Geneva Motor Show tahun ini, Brabus bukan sahaja membawa model-model yang dihasilkan oleh Mercedes-Benz, malah turut membawa sebuah model sub-1,000 cc, dihasilkan dari Smart Fortwo, digelar Brabus Ultimate 125 (secara teknikal, Smart juga dihasilkan syarikat yang sama dengan Mercedes-Benz iaitu Daimler AG).

    Model istimewa ini dihasilkan hanya 125 unit dengan nombor berturutan khas oleh Brabus, dan pembeli boleh memilih sama ada mahu dari versi coupe atau cabriolet. Model yang dipaparkan ini merupakan model dengan nombor turutan 001/125, dan dihasilkan dari versi cabriolet, serta warna badan Blu Glauco.

    Kereta kecil dengan dua tempat duduk ini menerima kit badan Brabus Widerstar yang meliputi flare pada semua ruang roda, lip spoiler pada bahagian hadapan serta tip ekzos dengan tiga muncung. Brabus turut memberikan sistem suspensi sport yang ditala khas untuk pengendaliannya, serta untuk merendahkan lagi kereta ini.

    Brabus Ultimate 125 – kereta kecil berharga lebih RM230k, dengan enjin 898 cc berkuasa 125 hp/200 Nm

    Dengan fender yang kini lebih lebar serta telah direndahkan secukupnya, Ultimate 125 turut menerima set rim Brabus Monoblock Y berdiameter 18-inci bagi melengkapkan rupanya. Rim bahagian hadapan menerima tayar berprestasi tinggi bersaiz 205/35R18, manakala bahagian belakang pula dibalut dengan tayar 235/30R18. Menurut Brabus, rim berkenaan antara yang paling ringan dalam pasaran di mana sepasang rim hadapan hanya 6.7 kg, dan belakang pula hanya 7.1 kg sepasang.

    Masuk ke kabin, Brabus turut memberikan tema Blu Glauco pada bahagian ini, yang meliputi upholsteri pada tempat duduk dan bahagian serta kemasan-kemasan lain. Penggunaan kulit Mastik Brabus juga begitu meluas bagi memberikan sentuhan premium pada kebanyakkan perincian, selain dari tombol aluminium dan juga set pedal binaan keluli tahan karat. Walau bagaimanapun, pelanggan masih lagi ditawarkan dengan ciri opsyen lain sekiranya mereka mempunyai idea sendiri untuk dicurahkan pada bahagian dalaman kereta ini.

    Brabus Ultimate 125 dijana enjin 898 cc tiga-silinder disuap dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 125 hp dan tork maksima 200 Nm, iaitu 35 hp/65 Nm lebih berkuasa dari Smart Fortwo standard. Kuasa berkenaan dapat diekstrak dengan pengubahsuaian dilakukan pada sistem kemasukan udara enjin, unit intercooler untuk sistem turbo yang lebih efisien, sistem ekzos binaan keluli tahan karat, serta talaan semula diberikan pada kotak komputer enjin.

    Ini membolehkan kereta kecil ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima pada 175 km/h. Walaupun diatas kertas kelihatan ia tidak liar seperti jentera binaan Brabus yang lain, perlu diingatkan, ia merupakan sebuah jentera yang sangat kecil dengan enjin tidak sampai 1,000 cc, dan pada asalnya direka hanya untuk kegunaan dalam bandar.

    Kereta mewah dalam kerangka kecil Brabus Ultimate 125 ini dijual pada harga 49,980 euro (RM236,019) untuk versi coupe, manakala untuk versi cabriolet pula dijual dengan harga tambahan 2,820 euro (RM13,318). Kereta ini bukanlah kereta kecil pertama yang diberikan sentuhan mewah tidak masuk akal, dimana sebelum ini Aston Martin pernah menghasilkan model Cygnet diasaskan dari Toyota iQ.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia memperkenalkan Outlander 2017 yang dipertingkatkan – RM171k

    Mitsubishi Motors Malaysia memperkenalkan Outlander 2017 yang dipertingkatkan – RM171k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pengenalan SUV outlander dengan sedikit peningkatan yang menampilkan kit yang lebih segar untuk 2017.

    Antara elemen baharu yang ditampilkan pada SUV tujuh-tempat duduk, yang dilancarkan pada April tahun lalu, termasuklah brek parkir eletronik dan antena sirip jerung. Bukan itu sahaja, Outlander turut didatangkan dengan lampu dalaman lantai iluminasi untuk memberikan lebih keselesaan buat para penumpang di dalam kabin.

    Elemen terbabit telah menambahkan beberapa ciri komprehensif sedia ada, termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit (dengan tempat duduk hadapan bersama fungsi pemanas), pendingin hawa dwi-zon, kawalan kelajuan, lampu utama dan bilah pengelap cermin automatik serta unit utama skrin sesentuh dua-DIN sebagai standard.

    Mitsubishi Motors Malaysia memperkenalkan Outlander 2017 yang dipertingkatkan – RM171k

    Malah Outlander turut dilengkapi dengan bumbung matahari, pintu tailgate elektrik dengan fungsi anti-pinch, balutan kulit upholstery dan lampu serta bilah pengelap cermin auto. Tiada perubahan mekanikal bagi model 2017 ini dan ia masih menggunakan enjin 2.4 liter empat-silinder MIVEC dengan sistem pacuan empat-roda (4WD) yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 167 PS pada 6,000 rpm dan tork 222 Nm pada 4,100 rpm.

    Ia boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu Red Metallic, White Pearl dan Grey Metallic.Model Outlander CBU ini ditawarkan pada harga atas jalan RM171,000 tanpa insurans, bersama waranti lima-tahun/100,000 km.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian Outlander ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

    Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

    Malaysia kini dalam proses untuk memperkenalkan biodiesel B10 untuk kegunaan orang awam. Walaubagaimanapun, langkah ini menjadi seperti satu skandal apabila pada bulan Jun 2016, ia sudah pun dilaksanakan, kemudiannya ditarik balik dan perancangan yang dibuat, diperkenalkan kembali pada bulan Disember 2016. Tetapi sekali lagi, ia ditangguhkan sehingga kini.

    Selepas penangguhan itu, Persatuan Haulier Malaysia (MHA) menggesa kerajaan melakukan lebih banyak kajian dan perbincangan berkenaan perkara ini, manakala beberapa pengeluar kenderaan termasuk BMW Group Malaysia, UMW Toyota Motor, Volkswagen Group Malaysia dan Isuzu Malaysia telah menyatakan kenderaan mereka tidak boleh menggunakan biodiesel B10 tersebut.

    Bagi yang baru hendak mengikuti perkembangan biodiesel B10 ini, biar kami terangkan secara ringkas. Biodiesel B10 adalah bahan bakar yang mempunyai campuran 10% metil ester kelapa sawit dan 90% diesel biasa. Biodiesel kelapa sawit ini bukanlah sesuatu yang baru bagi Malaysia kerana sejak penghujung tahun 2014, semua diesel yang dijual di stesen minyak sebenarnya sudah merupakan biodiesel iaitu B7 dengan campuran 7% metil ester kelapa sawit.

    Walaupun ramai masih tidak sedar, sebenarnya di semua stesen minyak pun, diesel yang dijual (Euro 2M dan Euro 5) mempunyai campuran B7. Jadi, langkah pengenalan biodiesel B10 adalah untuk menambah 3% lagi metil ester kelapa sawit dalam diesel yang dijual kepada pengguna. Walaubagaimanapun, campuran B10 ini akan dilakukan untuk diesel Euro 2M sahaja, manakala diesel Euro 5 akan dibiarkan dengan campuran B7.

    Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

    Berpeluang menyertai sendiri konvoi Trans Borneo kenderaan yang menggunakan biodisel B10 dari Bintulu, Sarawak ke Kundasang, Sabah, kami juga sempat bertemu dengan ketua penyelidikan kejuruteraan teknologi biodiesel dan pemprosesan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Harrison Lau untuk bertanyakan beberapa soalan berkenaan isu ini.

    Pertamanya berkenaan penarikan balik pelaksanaan B10 ini di seluruh negara. Beliau menyatakan, ini adalah berikutan harga sawit yang agak tinggi, dan bukannya sebab teknikal. Kementerian perusahaan perladangan dan komoditi perlu menunggu harga minyak sawit ini menjadi lebih ‘lembut’ supaya tidak membebankan pengguna akhir. Apabila merujuk kepada tinggi ini, harganya adalah sekitar RM2,900 bagi setiap tan metrik.

    Sebaik mula dijual di stesen minyak nanti, diesel B10 (Euro 2M) akan menggantikan diesel B7 yang dijual kini, dengan harga yang mungkin mendapat penambahan sekitar 3/4 sen seliter. Diesel Euro 5 pula akan dibiarkan dengan campuran B7 dan harganya akan sentiasa terletak lebih tinggi 10/20 sen daripada diesel B10 Euro 2M.

    Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

    Apabila ditanya kenapa pengguna perlu menyokong langkah pengenalan diesel B10 ini, Dr Lau memecahkan kebaikannya kepada dua – untuk alam sekitar dan teknikal. Untuk alam sekitar, ia akan membantu mengurangkan kesan pemanasan global dan hujan asid serta meningkatkan kualiti udara. Bagi kesan teknikal pula, biodiesel dapat mengurangkan kehausan enjin dan menambah baik pembakaran bahan api. Satu lagi yang penting, ia dapat membantu ekonomi Malaysia kerana kita adalah antara pengeluar minyak sawit yang paling besar di dunia.

    Tambah beliau lagi, orang ramai tidak sepatutnya risau dengan penggunaan diesel B10 kerana pelbagai ujian telah dilakukan oleh pelbagai organisasi. Di Malaysia, selain melakukan ujian dalaman sendiri, MPOB juga telah bekerjasama dengan persatuan pengeluar kenderaan Jepun (JAMA). Hasilnya, JAMA meluluskan penggunaan sehingga campuran B20 dengan antara syaratnya, adalah untuk minyak sawit sahaja dan untuk kenderaan yang mempunyai taraf emisi sehingga Euro 4.

    JAMA turut menyatakan tiada sebarang modifikasi perlu dilakukan pada kenderaan untuk menggunakan diesel sehingga taraf B20, tetapi apabila ingin pergi lebih daripada itu, beberapa bahagian perlu ditukar dan yang utama adalah hos sistem minyak.

    Antara negara yang telah melaksanakan penjualan diesel B10 adalah Colombia, Argentina dan Amerika Syarikat, manakala Indonesia pula telah melaksanakan sehingga B20, di mana ia turut diberi subsidi, menjadikannya lebih murah berbanding diesel biasa. Selain kelebihan yang dinyatakan tadi, Indonesia juga dapat mengurangkan import diesel biasa mereka sebanyak 20 peratus dan menggunakan minyak kelapa sawit yang datang dari dalam negara mereka sendiri. Jaminan kenderaan juga sama seperti biasa.

    Sejak tiga tahun yang lepas, sehingga kini, MPOB sendiri sudah menggunakan diesel B10 pada pelbagai kenderaan yang dimiliki termasuk kenderaan komersial, trak pikap dan kereta diesel biasa tanpa sebarang masalah. Ini turut disokong dengan data penilaian yang dibuat. Turut menggunakan diesel B10 ini adalah 50 kenderaan pelbagai jenis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    MPOB juga mengeluarkan satu senarai yang menyatakan kedudukan pengeluar kenderaan berkenaan isu diesel B10 ini. Walaupun rata-ratanya bagi kenderaan komersial ia diterima, masih banyak lagi pengeluar yang tidak termasuk dalam senarai ini. Selain itu, Dr Lau juga memberi contoh, Scania, walaupun diluluskan untuk menggunakan diesel B10, juga ada menyediakan kit naik taraf untuk penggunaan biodiesel melebihi tahap itu. Selesai dinaik taraf, kenderaan tersebut boleh menggunakan sehingga 100% minyak biodiesel (B100).

    Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

    Berdasarkan kenyataan terakhir yang dikeluarkan oleh menteri perusahaan perladangan dan komoditi (MPIC), Datuk Seri Mah Siew Keong yang terakhir, penjualan diesel B10 akan dilaksanakan pada tahun ini, tetapi tarikh sebenarnya belum disiarkan.

    Menurut Dr Lau, sebelum masa itu tiba, MPOB akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak-pihak yang masih ragu dengan perkara ini dan kerjasama mereka sentiasa dialu-alukan. Jumlah besar kenderaan awam diesel di Malaysia datang daripada kenderaan Jepun, dan JAMA telah menyatakan keputusan ujian mereka. Walaubagaimanapun, ia masih bergantung kepada pengurus jenama itu di Malaysia untuk sama ada mengikut keputusan JAMA dan ibu pejabat masing-masing atau sebaliknya.

    Pelaksanaan jualan biodiesel B10 ini tiada kena mengena dengan kelebihan stok minyak kelapa sawit, kerana bagi penggunaan B7 biodiesel ini sekarang sahaja, ia cuma menyumbang kepada 1.8% daripada keseluruhan pengeluaran minyak kelapa sawit, iaitu 350,000 tan setahun. Secara keseluruhan, pengeluarannya adalah 19 juta tan setahun.

     
     
  • Mercedes-Benz V-Class Marco Polo Horizon akan ke Geneva – tampil 5 tempat tidur untuk pengembara

    Mercedes-Benz V-Class Marco Polo Horizon akan ke Geneva – tampil 5 tempat tidur untuk pengembara

    Mercedes-Benz bakal membawa kenderaan rekreasi Marco Polo yang berasaskan van W447 V-Class versi dipertingkat digelar Mercedes-Benz V-Class Marco Polo Horizon ke Geneva Motor Show tahun ini.

    “Marco Polo dan Marco Polo Activity sangat popular di kalangan pelanggan kami dan mendapat permintaan yang sangat tinggi. Jadi kami mengambil keputusan untuk mengembangkan lagi portfolio camper van kompak dan kenderaan rekreasi dengan penambahan Marco Polo Horizon,” kata Klaus Maier, ketua pemasaran dan jualan Mercedes-Benz Vans.

    Marco Polo Horizon menawarkan sehingga tujuh-konfigurasi tempat duduk yang fleksibel dengan opsyen tempat tidur untuk lima orang, yang disasarkan untuk kumpulan yang digelar pengembara yang menitikberatkan trend oleh Mercedes-Benz. Perbezaan model Horizon berbanding versi Marco Polo lain adalah tahap fleksibel dalam kabinnya.

    Sebagai ciri standard, model ini menawarkan lima-tempat duduk dengan tiga tempat duduk jenis bangku serta dua lagi konfigurasi tempat duduk boleh putar hadir sebagai tambahan kepada bentangan empat tempat duduk individu yang selesa, juga tempat duduk bangku/boleh putar untuk tiga orang pada baris kedua dengan tambahan dua tempat duduk individu pada barisan pertama dibelakang.

    Tahap fleksibel Horizon ini turut meliputi kebolehannya membawa kargo besar, dengan tempat duduknya boleh dibuka bagi memuatkan peralatan sukan dan rekreasi. Untuk tujuan bermalam, tempat tidur pada bumbung berukuran 2.05×1.13 m boleh memuatkan dua orang dengan selesa, manakala tempat duduk belakang boleh juga dijadikan tempat tidur dengan ukuran 1.93×1.35 m, mampu memuatkan tiga orang. Untuk Marco Polo biasa, ruang tambahan diatas hanya mampu dijadikan sebagai ruang menegak tambahan.

    Sama seperti model dalam barisan kereta penumpang Mercedes-Benz yang lain, Marco Polo ditawarkan dengan pelbagai pilihan kemasan dalaman seperti kemasan kayu, kemasan piano berkilat atau kemasan dengan elemen gelombang. Pakej Interior Design dengan kulit Lugano juga boleh dipilih, serta pilihan kemasan AMG Line.

    Tiga jenis enjin diesel ditawarkan untuk camper van baharu ini dengan pilihan bermula dengan versi asas berkuasa 136 PS/330 Nm, sehingga versi tertinggi berkuasa 190 PS/440 Nm. Pada asasnya model ini hadir dengan konfigurasi pacuan roda belakang dengan kotak gear tujuh-kelajuan automatik 7G-Tronic, namun pembeli turut ditawarkan dengan versi pacuan semua roda 4Matic.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace bakal tiba ke Eropah

    Volkswagen Tiguan Allspace bakal tiba ke Eropah

    Selepas diperkenalkan di Amerika Syarikat, Volkswagen Tiguan Allspace kini bakal tiba pula ke pasaran Eropah, selepas ia ditampilkan di Geneva Motor Show. Tiguan Allspace ini diposisikan antara Tiguan biasa dengan Toureg, dan ia boleh dibina sama ada dengan konfigurasi lima- atau tujuh-tempat duduk.

    Bagi pasaran Eropah, Tiguan Allspace ini bakal dipadankan dengan enam enjin yang mematuhi Euro 6, daripada barisan penjana kuasa petrol TSI hingga ke diesel TDI. Kuasa yang mampu dihamburkan daripada barisan enjin pengecas turbo empat-silinder suntikan-terus adalah dari 150 PS hingga 240 PS.

    Semua model, yang dipadankan dengan enjin TSI dan TDI boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 150 PS, dengan sistem pacuan semua-roda 4Motion dan 4Motion Active Control secara standard, bersama kotak gear dwi-klac. Pelanggan juga boleh memilih pacuan semua-roda dengan kos tambahan.

    Berkenaan dengan dimensi, Tiguan Allspace adalah 215 mm lebih panjang berbanding Tiguan biasa (4,701 mm) dan tambah 109 mm bagi jarak rodanya (2,790 mm). Malah penggayaannya telah dipertingkatkan bagi menyesuaikannnya dengan nisbah yang lebih besar disebabkan pintu belakang yang direka semula dengan lebih panjang, malah telah menaikkan kedudukan bonetnya di atas gril radiator. Sebagai pilihan, “pakej off-road” turut ditawarkan untuk SUV ini, termasuk menambah pelindung di bawah badan dan seksyen hadapan baharu (sudut pendekatan ditingkatkan sebanyak tujuh darjah).

    Disebabkan pertambahan pada saiz kerangka yang lebih panjang, Tiguan Allspace ini turut memberikan kapasiti ruang storan yang lebih besar berbanding Tiguan biasa. Bagi versi lima-tempat duduk, Tiguan Allspace menawarkan ruang penyimpanan barangan sehingga 760 liter, iaitu lebih 145 liter berbanding model jarak-roda yang lebih pendek. Sekiranya tempat duduk barisan kedua dibaringkan sepenunya, kapasiti ruangan storan mampu mencecah sehingga 1,920 liter.

    Bagi versi tujuh-tempat duduk pula (5+2), ia mampu memberikan sehingga 230 liter bagi ruang kapasiti, dan jika tempat duduk barisan ketiga dibaringkan sebenuhnya, ia mencapai 700 liter. Sekiranya dua barisan belakang tersebut dibaringkan sepenuhnya, ia mencapai sehingga 1,775 liter bagi ruang storan.

    Bahagian kabinnya pula tidak banyak perubahan berbanding Tiguan biasa, dan Volkswagen menawarkan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline. Bergantung pada pilihan, pelanggan akan menerima sistem Kawalan Penjagaan Udara tiga-zon, operasi tanpa kunci, material kulit upholstery, sistem infotainmen Composition Colour dengan lapan-pembesar suara dan banyak lagi.

    Bagi varian Trendline, ia didatangkan dengan Bantuan Hadapan secara standard, termasuk Brek Kecemasan Bandar (dengan pemantauan pejalan kaki) dan Bantuan Lorong secara standard. Sementara varian tertinggi pula bakal menerima Park Pilot, kawalan kelajuan adaptif dan Bantuan Kesesakan Trafik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025