Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW X6 G06 tiba di Malaysia – xDrive40i RM729,888

    BMW X6 G06 tiba di Malaysia – xDrive40i RM729,888

    Diperkenalkan kepada dunia pada bulan Julai tahun lalu, kini BMW X6 generasi ketiga G06 sudah pun tiba di Malaysia dalam satu varian sahaja iaitu xDrive40i M Sport yang diimport sepenuhnya dan dijual pada harga RM729,800 bersama jaminan tanpa had batuan lima tahun dan pakej servis berkala percuma lima tahun.

    Melihat kepada ukuran, X6 generasi baru ini mempunyai ukuran lebih besar berbanding sebelumnya, dengan panjang bertambah 26 mm, lebar bertambah 15 mm dan jarak roda bertambah 42 mm. Hampir keseluruhan rekaannya juga adalah baru dengan antara yang menyerlah adalah gril hadapan lebih besar yang boleh menyala, lampu hadapan BMW Laserlights, lampu LED tiga dimensi di belakang dan lampu kabus LED.

    Model pasaran Malaysia ini juga dipasang dengan pakej BMW Individual Exterieur Line, yang menyaksikan penggunaan rel bumbung serta beberapa kemasan luar lain buatan aluminium. Pakej M Sport yang diberikan pula terdiri daripada sistem ekzos, brek, suspensi Adaptive M serta rim 21 inci yang dibalut tayar runflat.

    Varian xDrive40i yang dibawa ke Malaysia ini menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter TwinPower Turbo yang dipadankan bersama transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghasilkan kuasa maksimum 340 hp pada 5,500 hingga 6,500 rpm dan 450 Nm tork pada 1,500 hingga 5,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.5 saat manakala penggunaan bahan api bercampur pula pada tahap 9.0 l/100 km.

    Melalui sistem BMW xDrive, kuasa dihantar kepada semua tayar dan pemandu juga boleh mengawal karekter kenderaan sama ada sporty ataupun lebih selesa dengan kawalan Driving Experience Control. Suspensi Dynamic Damper Control datang secara standard, dengan tetapan double wishbone di hadapan dan five-link di belakang.

    Pada bahagian dalam, model ini dilengkapi dengan tempat duduk sport yang dibalut kulit Vernasca, stereng M yang dibalut kulit, kemasan Aluminium Tetragon, pedal M, bumbung panoramik (83% lebih besar), panel instrumen Sensatec, pendingin hawa automatik empat zon, sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara serta lampu suasana.

    BMW X6 G06 tiba di Malaysia – xDrive40i RM729,888

    BMW Live Cockpit Professional juga diberi standard untuk varian ini, di mana ia termasuk panel instrumen 12.3 inci, skrin sesentuh 12.3 inci Control Display dan dua skrin sesentuh 10 inci Rear-seat Entertainment Professional di belakang. Pemandu juga boleh menggunakan Head-Up Display, BMW Gesture Control dan BMW Intelligent Personal Assistant untuk berkomunikasi dengan kenderaan.

    Pada bahagian keselamatan, model ini dilengkapi dengan Dynamic Stability Control (DSC), yang termasuk Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist, Driving Assistant Professional dengan Active Cruise Control dan fungsi Stop&Go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Lane Keeping Assistant, Lane Change Assistant serta amaran perlanggaran.

    BMW X6 xDrive40i M Sport ditawarkan dalam enam warna iaitu Manhattan, Artic Grey, Riverside Blue, Carbon Black, Mineral White dan Flamenco Red. Ia kemudiannya boleh dipadankan dengan kemasan kulit BMW Leather Vernasca yang berwarna hitam atau Tacora Red (untuk warna luar Manhattan dan Riverside Blue sahaja).

     
     
  • UMW Toyota sumbang 10,000 unit PPE kepada KKM

    UMW Toyota sumbang 10,000 unit PPE kepada KKM

    UMW Toyota Motor telah menyumbang sebanyak 10,000 unit kelengkapan pelindung diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Kelengkapan PPE ini dihasilkan menerusi kerjasama anak syarikatnya, Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd (TBU), sebuah syarikat usaha sama dengan Toyota Boshoku Corporation dari Jepun.

    “Inilah masanya kami mahu berperanan sebagai syarikat korperat yang bertanggungjawab untuk membantu dengan cara yang termampu bagi memudahkan petugas barisan hadapan menunaikan kerja mereka. Kami mempunyai kemudahan yang boleh mengeluarkan PPE, maka kami membantu KKM untuk menambah jumlah stok dengan kadar lebih cepat – tanpa sebarang kos – berbanding terpaksa mendapatkannya dari luar negara,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

    TBU yang terlibat dalam pengeluaran kerusi kenderaan, kemasan pintu serta pengalas yang digunakan pada kenderaan yang dipasang di sini, mempunyai kemudahan untuk mengeluarkan beberapa peralatan PPE dengan mudah.

    Fasiliti berkenaan melibatkan mesin-mesin pemotong reka letak automatik serta mesin jahit industrial, dengan 75 orang pekerja mahir dalam menjahit kerusi kenderaan. Corak awal diperbuat daripada contoh unit seperti kasut pelindung, tudung dan baju yang kemudiannya dimuat naik ke mesin pemotong automatik. Rekaan akhir kelengkapan itu juga telah mendapat kelulusan KKM.

    TBU dijangka mampu menghasilkan 1,500 unit PPE sehari dan penghantaran fasa pertama sebanyak 10,000 unit tersebut telah pun diserahkan kepada KKM.

    “Toyota Motor Corporation dengan aktifnya menyokong apa juga usaha di banyak negara untuk mengatasi pandemik global ini. Sokongan tertakluk kepada keperluan, dan di Malaysia, kami sedar PPE menjadi keperluan mendesak bagi petugas kesihatan. Jadi, bersama anak syarikat kami, Toyota Boshoku Corporation, kami memberi tumpuan untuk membantu dengan cara ini,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

     
     
  • PKP: Kenderaan perdagangan dibenarkan jalani pemeriksaan keselamatan di Puspakom – Ismail Sabri

    PKP: Kenderaan perdagangan dibenarkan jalani pemeriksaan keselamatan di Puspakom – Ismail Sabri

    Dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan kerajaan membenarkan kenderaan perdagangan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tempoh ini.

    Menurutnya, kelonggaran itu diberikan memandangkan pemeriksaan kenderaan perdagangan penting bagi memastikan keselamatan. Walau bagaimana pun, pemilik perlu membuat temujanji pemeriksaan bagi memastikan kenderaan yang digunakan selamat untuk pengguna.

    “Mana-mana kenderaan komersial yang perlu diperiksa boleh membuat temujanji dengan Puspakom malah isu yang dibangkitkan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) juga kita sudah teliti. Mereka boleh membuat pendaftaran secara dalam talian dan jika perlu boleh membuat temujanji dengan Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pada 20 Mac lalu, Puspakom telah mengumumkan penutupan operasi bagi semua cawangannya sepanjang tempoh PKP. Walau bagaimana pun, sudah pasti pengumuman untuk membolehkan Puspakom membuka semula pusat pemeriksaannya untuk kenderaan perdagangan adalah selaras dengan kebenaran yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi sektor perkhidmatan penting kembali beroperasi.

     
     
  • PKP: Perkhidmatan LRT, MRT dan KL Monorail diawalkan sejam untuk operasi waktu petang

    PKP: Perkhidmatan LRT, MRT dan KL Monorail diawalkan sejam untuk operasi waktu petang

    Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan KL Monorail telah mengumumkan perubahan waktu operasi petang perkhidmatan rel di bawah kendaliannya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

    Perubahan ini melibatkan waktu operasi petang sistem rel Rapid KL yang akan beroperasi sejam lebih awal dari biasa iaitu mulai jam 4 petang sehingga 10 malam sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020.

    Frekuensi kekerapan pula adalah setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak. Walau bagaimanapun, waktu operasi pagi sistem rel Rapid KL akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 pagi sahaja, dengan kekerapan setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak.

    Klik untuk besarkan

    Manakala perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus juga akan mengikut jadual perkhidmatan yang sama. Perubahan waktu operasi petang ini adalah untuk memudahkan perjalanan pulang penggunanya yang beragama Islam bagi berbuka puasa.

    Orang awam juga diingatkan agar sentiasa mematuhi PKP termasuk menjaga jarak sosial yang telah ditetapkan ketika menggunakan pengangkutan awam serta merancang perjalanan mereka semasa perubahan waktu operasi petang ini.

    Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan rel Rapid KL, bolehlah melayari laman media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.

     
     
  • Toyota Camry XV70 – imej bayangan dengan kit badan lebar agresif, hasil imaginasi kreatif dari Brad Builds

    Toyota Camry XV70 – imej bayangan dengan kit badan lebar agresif, hasil imaginasi kreatif dari Brad Builds

    Toyota Camry generasi baharu, nyata telah diubah imejnya dari sebuah sedan ‘ayah-ayah’ kepada sesuatu yang digelar ‘beautiful monster’ oleh Toyota sendiri. Namun, pernahkah anda bayangkan bagaimana jika Camry XV70 ini menerima ubahsuai dengan pemadanan kit badan lebar? Nah, ini dia imej render dengan konsep tersebut yang dihasilkan oleh Brad Builds.

    Pereka berkenaan menggunakan asas Camry dalam kemasan tertinggi untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu XSE. Keempat-empat ruang roda Camry tersebut diberikan fender yang jauh lebih lebar – ia tidak menerapkan rekaan seperti buih, tetapi lebih rata pada bahagian atas seakan fender kereta-kereta lumba yang membolehkan ia menerima kesan aerodinamik.

    Bagi menyesuaikan kedua-dua bahagian sisi yang kini lebih lebar, muka ‘jahat’ sedia ada pada Camry ini bertambah agresif menerusi pemadanan bampar dengan apron lebih lebar, dan diberikan pelbagai splitter udara. Manakala di belakang, kit badan ini diselarikan dengan bahagian diffuser yang juga lebih besar dan labuh.

    Toyota Camry XV70 – imej bayangan dengan kit badan lebar agresif, hasil imaginasi kreatif dari Brad Builds

    Tiada sayap GT gergasi diberikan, di mana penutup but belakang Camry ini hanya dihiasi spoiler ‘ekor itik’ lebih besar dari asal. Rupa kereta ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim yang juga jauh lebih lebar, kesemua lampu digelapkan dan diberikan warna badan merah gelap.

    Toyota Camry XV70 ini sebenarnya bukan sahaja hanya nampak lebih sporty. Dengan pembangunan menggunakan asas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menampilkan titik graviti serta kedudukan posisi pemandu yang rendah, karekter sedan ini turut selari dengan rupanya.

    Namun dengan harga yang lebih mahal dari generasi sebelum ini – RM196,888 untuk pasaran Malaysia, sudah tentu bagi mereka yang berumur lebih muda hanya mampu menelan air liur melihat sedan ini. Tapi tak mustahil ia akan jadi seperti Perdana V6 dan Honda Accord SV6 sebelum ini di mana golongan-golongan yang geram dengan kereta ini sekarang, akan ‘membalas dendam’ mereka setelah harga pasaran terpakainya nanti sudah mencapai tahap masuk akal.

    GALERI: Toyota Camry XSE 2018 pasaran Amerika Syarikat

    GALERI: Toyota Camry 2019 pasaran Malaysia

     
     
  • PKP dilanjutkan dua minggu lagi, hingga 12 Mei nanti

    PKP dilanjutkan dua minggu lagi, hingga 12 Mei nanti

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi telah mengumumkan, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 12 Mei. Bagi PKP fasa tiga sebelum ini, ia awalnya dijadualkan berakhir pada 28 April 2020.

    Di dalam ucapannya sempena menyambut bulan Ramadan yang bermula esok, beliau menjelaskan, usaha-usaha yang telah dan sedang kita ambil ketika ini terbukti menampakkan hasil yang positif. “Jumlah kes baru sejak beberapa hari ini hanya melibatkan puluhan angka sahaja, begitu juga dengan kes positif Covid-19 yang telah pulih juga melibatkan 63.2% daripada jumlah keseluruhan pesakit yang dijangkiti setakat ini. Ini satu petanda yang baik,” jelas beliau.

    Walaupun begitu, langkah-langkah semasa berkaitan PKP masih perlu diteruskan sehingga kerajaan yakin bahawa Malaysia telah berjaya membendung penularan wabak ini sepenuhnya. Dalam perkembangan yang sama, beliau juga memaklumkan kerajaan akan memberi sedikit kelonggaran terhadap pergerakan warga dalam dua situasi.

    Pertama, mereka yang terkandas di kampung sebelum PKP dilaksanakan dan tidak boleh kembali ke rumah. Dan kedua, pelajar-pelajar yang terkandas di universiti masing-masing untuk pulang ke rumah atau kampung. “Beri sedikit masa. Kerajaan sedang merancang dengan teliti pergerakan dua kelompok ini bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan,” tambah beliau. Ia juga bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan keadaan orang berpusu-pusu.

     
     
  • RAW by Koenigsegg – kereta konsep berkuasa 700 PS

    RAW by Koenigsegg – kereta konsep berkuasa 700 PS

    Buat masa sekarang, model yang dipasarkan oleh Koenigsegg cuma ada tiga sahaja iaitu Regera, Jesko (termasuk varian Absolut) dan Gemera. Tiada model baru yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat, tetapi pengeluar dari Sweden tersebut telah mendedahkan gambaran kemungkinan bagaimana rupanya nanti, secara digital.

    Kereta konsep yang anda lihat ini dipanggil sebagai “RAW by Koenigsegg” dan ia direka oleh seorang pelajar rekaan kenderaan, Esa Mustonen sebagai sebahagian daripada tesis ijazah beliau. Bukan sekadar rekaan biasa, ia juga dihasilkan di bawah penyeliaan pengasas Koenigsegg sendiri iaitu Christian von Koenigsegg serta Sasha Selipanov.

    Selipanov pula adalah ketua RAW Design House, iaitu sebuah syarikat yang diasaskan pada Oktober 2019 dan menjadi salah satu cabang rasmi jenama Koenigsegg. Tambah menarik lagi, Koenigsegg memberitahu, “kereta konsep ini memberikan gambaran kepada hypercar permulaan masa hadapan yang terletak di bawah jenama sub imaginasi, RAW by Koenigsegg.”

    Melihat kepada gambar digital ini, rekaan kereta konsep tersebut nampak berlainan daripada model Koenigsegg biasa, tetapi masih mempunyai elemen seperti cermin hadapan yang bersambung hingga ke tepi, bumbung yang mempunyai dua gelembung serta pintu jenis dihedral synchro-helix.

    Menurut Koenigsegg, kereta konsep ini dikuasakan oleh enjin sama seperti Gemera, iaitu unit Freevalve tiga silinder turbo 2.0 liter yang ditala untuk menghasilkan kuasa 700 PS. Berat kenderaan pula dikatakan cuma 700 kg, sekaligus menjadikan nisbah berat dan kuasanya 1:1 seperti Agera. Pada bahagian dalam, tempat duduk pemandu terletak di tengah manakala untuk penumpang terdapat dua lagi tempat duduk di belakang.

    Meskipun rekaan digital ini agak menarik untuk dilihat, Koenigsegg masih belum memberikan kata putus ia akan diteruskan untuk pengeluaran dan jenama “RAW by Koenigsegg” itu juga masih belum dipastikan akan menjadi realiti.

     
     
  • Toyota Yaris Cross didedahkan – SUV lebih kecil dari C-HR, pilihan 1.5L hibrid dan sistem AWD E-Four

    Toyota Yaris Cross didedahkan – SUV lebih kecil dari C-HR, pilihan 1.5L hibrid dan sistem AWD E-Four

    Selepas versi hatchback lima-pintu, kemudian versi berprestasi tinggi GR tiga-pintu, kini Toyota memperkenalkan satu lagi versi dari Yaris generasi baharu pasaran Eropah, dikenali sebagai Yaris Cross. Seperti namanya, model yang sepatutnya diperkenalkan ketika Geneva Motor Show 2020 (dibatalkan kerana pandemik Covid-19) ini adalah SUV kompak dari versi Yaris biasa yang ditinggikan.

    Model Cross ini berkongsi banyak komponen dengan Yaris hatchback termasuk platform TNGA-B sebagai asas. Oleh itu, ia dihasilkan dengan jarak roda yang sama iaitu 2,560 mm. Namun dengan penggayaan SUV yang diberikan, dimensi lain telah berubah sedikit – ia 240 mm lebih panjang dengan 4,180 mm untuk memberikan ruang dalaman lebih besar, 20 mm lebih lebar dengan 1,765 mm dan 90 mm lebih tinggi dengan 1,560 mm.

    Dengan saiz ini juga, Yaris Cross diletakkan di bawah satu lagi SUV segmen-B Toyota iaitu C-HR. Ini kerana berbanding C-HR, Yaris Cross adalah 180 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 5 mm lebih rendah dan jarak roda 80 mm lebih dekat.

    Toyota Yaris Cross didedahkan – SUV lebih kecil dari C-HR, pilihan 1.5L hibrid dan sistem AWD E-Four

    Dari segi rupa, anda boleh lihat Yaris Cross ini menggunakan panel-panel muka yang berlainan dari Yaris Hatchback, tetapi masih lagi nampak pertalian antara kedua-duanya. Ia juga masih diberikan lampu belakang belakang dengan kluster dan grafik jalur merah yang merentangi pintu tailgate, tetapi ia direka nampak lebih ‘tebal’.

    Sudah tentu, model crossover ini menerima kemasan-kemasan pelindung di sekeliling badan, dengan rim 18-inci lebih besar, manakalan pada tiang-C menjadi pemisah antara warna hitam pada bumbung dan warna badan keseluruhan. Menurut Toyota, Yaris Cross ini dihasilkan dengan imej ‘tegap dan minimalis’ bagi menawarkan ‘kualiti pemanduan tinggi seperti SUV, tetapi direka khas untuk penggunaan dalam kawasan bandar.”

    Toyota masih belum memperincikan sepenuhnya apa yang ditawarkan pada bahagian dalaman Yaris Cross ini, namun menerusi imej-imej yang disiarkan, ia menerima papan pemuka yang hampir seiras dengan Yaris Hatchback, panel meter yang berbeza serta diberikan jalur lampu suasana LED.

    Toyota Yaris Cross didedahkan – SUV lebih kecil dari C-HR, pilihan 1.5L hibrid dan sistem AWD E-Four

    Untuk akses ke bahagian kargo, Yaris Cross diberikan pintu tailgate dengan bantuan kuasa yang boleh dibuka tanpa sentuhan tangan. Bahagian ini juga diberikan dek dengan larasan tinggi yang boleh diubah bagi memberikan ruang storan tambahan.

    Dek tersebut juga boleh dibahagikan kepada dua bahagian untuk bagi memberikan ruang storan bawah lantai. Sistem flex belt turut diberikan bagi memastikan barangan anda tidak bergerak ketika kereta sedang berjalan. Jika lebih ruang diperlukan, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.

    Untuk pasaran Eropah, Yaris Cross digerakkan dengan unit janakuasa hibrid yang sama seperti Yaris Hatchback Hybrid iaitu enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter kitaran Atkinson dan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 116 hp. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT, dan hadir dalam pilihan pacuan hadapan dan pacuan semua roda E-Four.

    Toyota Yaris Cross didedahkan – SUV lebih kecil dari C-HR, pilihan 1.5L hibrid dan sistem AWD E-Four

    Menurut Toyota, mereka telah memberikan perhatian khas terhadap karekter penghantaran kuasa unit janakuasa ini bagi membolehkan ia dipandu dengan responsif.

    Manakala untuk pasaran lain, Yaris Cross turut diberikan pilihan enjin petrol sepenuhnya 1.5 liter tiga-silinder Dynamic Force. Untuk versi ini, tiada sistem pacuan semua roda ditawarkan namun pembeli boleh memilih sama ada dengan transmisi CVT automatik atau manual enam-kelajuan.

    Toyota Yaris Cross ini akan dilancarkan pada pasaran Jepun pada musim luruh tahun ini. Ia kemudian akan masuk ke pasaran Eropah pada pertengahan tahun hadapan.

     
     
  • JPJ buka semula kaunter urusniaga-bagi kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan saja

    JPJ buka semula kaunter urusniaga-bagi kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan saja

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan akan membuka semula kaunter urusniaga bagi kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan mulai 29 April 2020. Walau bagaimana pun, waktu operasi bagi kaunter berkenaan adalah dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari sahaja.

    Manakala urusniaga yang terlibat bagi kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan adalah memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), memperbaharui Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) serta menyelesaikan senarai hitam dan pembayaran saman berhubung dengan dua urusan lesen berkenaan.

    Senarai cawangan JPJ yang bakal membuka kaunter urusniaga berkenaan adalah seperti di bawah.


    Klik untuk besarkan

    JPJ turut berkata bagi urusniaga di kaunter yang melibatkan perkhidmatan yang lain, arahan pembukaan akan dikeluarkan berdasarkan perkembangan semasa isu pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Sejak 20 Mac lalu, JPJ telah menutup semua perkhidmatan di kaunternya selaras dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKP mulai 18 Mac 2020. Walau pun pada mulanya, JPJ telah memaklumkan pembukaan kaunter perkhidmatan di cawangannya (kecuali di UTC) beroperasi seperti biasa. Namun demikian, setelah mendapati kaunter-kaunter JPJ telah menjadi tempat orang ramai berkumpul, iaitu bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, keputusan penutupan tersebut terpaksa diambil.

    Bagi LKM kenderaan persendirian yang tamat tempoh dalam pelaksanaan PKP ini, anda boleh memperbaharuinya menerusi portal MYEG dengan transaksi bayaran secara dalam talian. Manakala cetakan bagi LKM anda juga akan dihantar menerusi perkhidmatan pos.

     
     
  • PKP: Operasi pengangkutan awam dilanjutkan sejam sepanjang bulan Ramadan — SOP keseluruhan sama

    PKP: Operasi pengangkutan awam dilanjutkan sejam sepanjang bulan Ramadan — SOP keseluruhan sama

    Sebagai persediaan memasuki bulan Ramadan, perlu diingatkan semua peraturan yang dikenakan semasa Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) kekal sama dan perlu dipatuhi keseluruhannya, seperti tempoh-tempoh sebelum ini. Ini termasuklah pergerakan hanya boleh dilakukan untuk hal-hal yang penting sahaja.

    Namun begitu, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam sidang media tengahari tadi memaklumkan, akan terdapat sedikit perubahan terhadap tempoh operasi pengangkutan awam bagi PKP sepanjang bulan Ramadan ini. Kerajaan membenarkan pengusaha pengangkutan awam untuk beroperasi awal sejam bagi sesi di sebelah petang, iaitu dari 4.00 petang hingga 10.00 malam, lapor Bernama.

    Sebelum ini, tempoh operasi petang adalah dari 5.00 petang hingga 10.00 malam – melibatkan lanjutan selama sejam. “Ini bagi memenuhi keperluan mereka yang bekerja, terutamanya pegawai kerajaan yang seperti lazimnya sepanjang bulan Ramadan sebelum ini, akan pulang ke rumah lebih awal,” ujar beliau.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 835 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 581,942 kenderaan.

    “Sebanyak 41,184 pemeriksaan mengejut telah diadakan dengan sebanyak 6,658 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa, 763 individu telah ditangkap polis kerana ingkar PKP yang merangkumi 648 individu direman dan 115 dijamin polis.

    “Seramai 860 individu juga dituduh di mahkamah semalam dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 18,498 individu,” katanya.

     
     
  • PKP: Permohonan rentas negeri hanya untuk mereka yang terkandas di kampung sahaja – Ismail Sabri

    PKP: Permohonan rentas negeri hanya untuk mereka yang terkandas di kampung sahaja – Ismail Sabri

    Ramai yang keliru dengan pengumuman yang dilakukan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai permohonan rentas negeri yang boleh dimohon menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ atau pun di mana-mana balai polis bermula 25 April ini.

    Walau bagaimana pun, ditegaskan sekali lagi, permohonan tersebut hanya untuk mereka yang terkandas di kampung yang mahu pulang ke rumah mereka dan bukannya untuk mereka yang ingin pulang ke kampung, ujar menteri berkenaan dalam sidang media hariannya sebentar tadi.

    “Ada kekeliruan …yang ada di bandar nak balik ke kampung tidak boleh, daripada awal lagi kita beritahu tidak boleh. Jangan ada yang keliru untuk memohon. Yang saya sebut sebelum ini adalah untuk mereka yang terperangkap di kampung,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    PKP: Permohonan rentas negeri hanya untuk mereka yang terkandas di kampung sahaja – Ismail Sabri

    Katanya, sebaik diumum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bermula 18 Mac, ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung dan kini terkandas di kampung lebih sebulan.

    “Jadi kita minta mereka mendaftar namun keputusan masih belum dibuat kerana kita cuma benarkan mereka lapor kepada polis melalui dalam talian mulai 25 April supaya kita dapat informasi yang jelas berapa ramai sebenarnya yang balik sebelum PKP dan yang ingin balik semula ke tempat kerja masing-masing,” katanya.

    Berbeza dengan kebenaran pulang kepada para pelajar, beliau berkata mereka boleh dibawa pulang beramai-ramai dengan menaiki bas memandangkan status kesihatan mereka diketahui oleh pihak pentadbir.

    PKP: Permohonan rentas negeri hanya untuk mereka yang terkandas di kampung sahaja – Ismail Sabri

    “Tetapi untuk mereka yang di kampung, mereka tinggal di kawasan berasingan dan tidak diketahui status kesihatan mereka,” katanya.

    Jelasnya, banyak perkara lain perlu diteliti oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia sebelum keputusan kebenaran untuk pulang ke tempat masing-masing dibuat.

    “Kalau dibolehkan, barulah kerajaan akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagaimana untuk mereka pulang. Keputusan untuk memberikan kebenaran dijangka akan diperoleh pada 1 Mei ini dan selepas itu barulah perbincangan lanjut akan diadakan.

    “Jadi bukan automatik mereka (yang terkandas di kampung) boleh balik ke Kuala Lumpur (dan negeri-negeri lain),” katanya.

     
     
  • Nissan tutup HQ dan kilang di Jepun hingga 10 Mei

    Nissan tutup HQ dan kilang di Jepun hingga 10 Mei

    Berdasarkan perkembangan terkini di Jepun, Nissan akan menutup ibu pejabatnya di Yokohama, lapor Reuters. 15,000 pekerja yang ada di sana, serta pusat R&D utama di Atsugi, Kanagawa dikehendaki untuk bercuti bermula Isnin depan. Hanya petugas kerja-kerja penting sahaja akan dibenarkan.

    Cuti berkenaan adalah perlu bagi mengelakkan pekerja-pekerja terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19 ketika dalam tugas mereka. Kebetulan, cuti berkenaan juga bertindan dengan cuti “Golden Week” di sana yang akan bermula 4 Mei ini. Menurut jurucakap Nissan, mereka yang perlu bercuti dalam tempoh tersebut juga masih akan menerima majoriti daripada jumlah gaji.

    Langkah berkenaan bertujuan untuk menghindarkan 90% tenaga pekerjanya daripada pejabat, naik daripada 80% ketika ini. Pengeluaran di kilang Nissan di Tochigi juga telah dihentikan hampir sebulan, dan dijangka kekal begitu hingga Mei. Kilang di Kyushu pula hanya akan beroperasi pada waktu siang bagi bulan ini dan bulan depan, dan akan tutup sepenuhnya selama empat hari Mei nanti.

    Honda dan Toyota juga turut mengeculkan operasi pengilangan. Toyota dijangka mengecilkan pengeluaran domestik sebanyak 40%, sementara Honda juga akan menghentikan pengeluaran di beberapa kilang terpilih minggu hadapan berikutan gangguan rantaian bekalan global yang dihadapi ketika ini. Semua perkembangan ini adalah sebagai akibat atau kekangan daripada penyebaran wabak Covid-19.

     
     
  • Ford Mustang Cobra Jet 1400 – kereta drag elektrik penuh dengan kuasa lebih 1,400 hp, 1,500 Nm tork

    Ford Mustang Cobra Jet 1400 – kereta drag elektrik penuh dengan kuasa lebih 1,400 hp, 1,500 Nm tork

    Ford Performance buat pertama kalinya telah mendedahkan sebuah kereta drag prototaip yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, dipanggil sebagai Mustang Cobra Jet 1400. Selain menunjukkan kemampuan penggerak elektrik, kereta ini juga dihasilkan sebagai satu penghargaan kepada Cobra Jet tahun 60-an yang terkenal dalam sukan permotoran drag di sana.

    Untuk menjayakan projek ini, Ford Performance telah bekerjasama dengan beberapa pakar lain termasuk MLe Racecars untuk rekaan dan binaan kenderaan, Watson Engineering untuk bahagian sokongan casis dan roll cage, AEM EV untuk perisian, kalibrasi motor dan kawalan, serta Cascadia sebagai pembekal motor dan inverter.

    “Ford memang sudah kerap menjadikan sukan permotoran sebagai tempat untuk menunjukkan inovasi baru. Penggerak elektrik memberikan kita prestasi yang serba baru dan Cobra Jet 1400 elektrik sepenuhnya ini adalah satu contoh kepada pembawaan teknologi ini ke tahap lebih tinggi. Kami teruja untuk menunjukkan kemungkinan keadaannya apabila Mustang Mach-E elektrik penuh diperkenalkan kepada pasaran nanti,” kata pengarah global Ford Icons, Dave Pericak.

    Perincian spesifikasi Mustang Cobra Jet 1400 tidak didedahkan sepenuhnya tetapi Ford Performance ada menyiarkan video kereta tersebut diuji di litar drag dengan menyatakan ia mampu menghasilkan kuasa lebih 1,400 hp, 1,500 Nm tork dan mencatat masa pecutan 0-400 m (1/4 batu) bawah lapan saat.

    Sebelum didedahkan secara rasmi hujung tahun ini, Mustang Cobra Jet 1400 akan diuji lagi oleh Ford Performance semasa acara drag di Amerika Syarikat (selepas tamat tempoh kawalan pergerakan) dan orang ramai boleh menyaksikan prestasinya di depan mata.

     
     
  • Covid-19: MINI tukar nama rim 17-inci ‘Corona Spoke’ kepada ‘Power Spoke’ pada Cooper SE varian Iconic

    Covid-19: MINI tukar nama rim 17-inci ‘Corona Spoke’ kepada ‘Power Spoke’ pada Cooper SE varian Iconic

    MINI Cooper SE adalah model pertama MINI yang dijana oleh motor elektrik sepenuhnya, diperkenalkan pada Julai tahun lalu. Selain unit janakuasanya yang unik, perincian kereta ini juga dihasilkan dengan rekaan tersendiri bagi membezakannya dari model-model janaan bahan api fosil.

    Antara komponen yang khas hanya diberikan pada Cooper SE varian tertinggi Iconic ini adalah rim 17-inci dengan rekabentuk pelik, diberi nama ‘Corona Spoke’. Namun oleh kerana dunia kini digemparkan dengan pandemik disebabkan oleh Coronavirus yang digelar Covid-19, MINI telah menukar nama rim tersebut kepada ‘Power Spoke’ bagi menjaga sensitivi mereka yang terjejas kerana wabak berkenaan, lapor Carbuzz.

    “Nama rekaan rim tersebut yang ditawarkan pada MINI Cooper SE dalam kemasan Iconic telah ditukar dari ‘Corona Spoke’ kepada ‘Power Spoke.’ Langkah ini diambil bagi memastikan MINI sentiasa sensitif kepada semua yang terjejas kerana penularan Covid-19 yang sangat meluas,” kata jurucakap MINI kepada portal automotif tersebut.

    “Walaupun nama rekaan rim ini sudahpun diberi sebelum pandemik ini berlaku, kami mahu memastikan semua bahan pemasaran dan komunikasi konsumer dikemaskini bagi selari dengan nama baru rekaan rim ini. Ia adalah langkah yang tepat untuk diambil,” tambahnya lagi.

    MINI Cooper SE ini masih lagi belum tiba di pasaran Malaysia. Namun ia telahpun mendarat pada pasaran negara jiran, Thailand pada Februari lalu, dijual pada harga 2.29 juta baht (RM308k). Ia dikuasakan oleh motor elektrik yang sama pada BMW i3S, menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm.

    Dibekalkan dengan bateri lithium ion dengan kapasiti 32.6 kWh, MINI Cooper SE boleh berjalan sejauh 235 km hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP.

    GALERI: MINI Cooper SE

     
     
  • Pengeluaran kenderaan global tahun ini turun 20%

    Pengeluaran kenderaan global tahun ini turun 20%

    Ketika ini, tentu ramai yang sudah dapat melihat kesan yang dibawa bersama dengan penularan wabak Covid-19. Ada yang negatif tentunya, dan ada juga hikmah yang hadir bersama. Tetapi, apa jangkaan terhadap industri automotif global secara khususnya?

    Beberapa peramal ekonomi kini telah mengeluarkan sebahagian data berkaitan. Menurut LMC Automotive, jumlah pengeluaran kenderaan peringkat global dijangka menurun lebih daripada 20% kepada hanya sekitar 17 juta unit bagi tahun ini, sebagai akibat daripada Covid-19 dan kemelesatan ekonomi yang dihadapi, lapor Reuters.

    Penurunan itu diterjemahkan kepada kehilangan pengeluaran sebanyak 19 juta unit tahun ini, penurunan yang sangat jauh daripada apa yang dijangkakan awal tahun ini. Pihak peramal pasaran juga memaklumkan bacaan atau ramalan ini boleh berkurangan lebih banyak, bergantung kepada berapa cepat keadaan di rantau terlibat kembali pulih.

    Mereka merujuk kepada Amerika Utara, yang menyaksikan semua kilang kereta tutup sepanjang April dan diminta untuk menangguhkan pengenalan model atau merancang aktiviti untuk merancakkan keadaan dengan beberapa model baru selepas ini.

    Pengeluaran kenderaan global tahun ini turun 20%

    Menurut LMC, jualan kenderaan akan menjunam pada April di pasaran Amerika Utara dan Eropah, dan pemulihan semula pasca-pandemik dijangka akan berlaku secara perlahan dalam bulan-bulan mendatang. Eropah antara yang paling teruk dilanda Covid-19, terutama Sepanyol dan Itali.

    Suasana lebih positif dari sudut pengeluaran kenderaan mungkin akan berlaku di China, yang menjadi negara punca penularan wabak berkenaan dan kini semakin reda dengan operasi kilang mula dibuka. Di sana, LMC meramalkan akan berlaku penurunan 12% terhadap jualan kenderaan tahun ini.

    Tak ada siapa yang tahu bagaimana ekonomi keseluruhan dan suasana industri automotif akan pulih selepas ini, mahupun berapa lama masa yang diperlukan untuk itu. Permintaan terhadap kenderaan pastinya menurun, dan dari sudut pengeluaran, pengurangan 20% dan 20 juta unit untuk tahun ini nampaknya tidak dapat dielakkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025