Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • UMW Toyota Motor jual lebih 22k unit pada Q1 2022, naik dari 17k pada Q1 2021 – Mac catat kenaikan 32%

    UMW Toyota Motor jual lebih 22k unit pada Q1 2022, naik dari 17k pada Q1 2021 – Mac catat kenaikan 32%

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengeluarkan keputusan prestasi jualan bagi bulan Mac serta suku pertama (Q1) bagi tahun 2022. Di mana ia menyaksikan carta bagi jenama Toyota mencatatkan jualan sebanyak 8,386 unit, dan 101 unit bagi Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan cecah 8,487 unit pada Mac 2022.

    Untuk Toyota, peningkatan jualan sebanyak 32% pada bulan lalu telah mengatasi rekod pada Februari yang terjual sebanyak 6,366 unit. Sementara prestasi jualan Lexus juga meningkat sebanyak 66 unit berbanding yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Jumlah keseluruhan jualan bagi suku pertama tahun ini adalah sebanyak 22,447 unit, melibatkan kenaikan sebanyak 17,000 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Rekod prestasi bagi suku pertama tahun ini oleh UMWT disumbangkan oleh promosi jualan yang berterusan sejak Mac, termasuk manfaat tambah nilai sehingga RM4,000 untuk model paling laris iaitu Vios dan Yaris. Selain itu, UMWT juga menyasarkan penjualan akan meningkat pada masa akan datang, memandangkan ada produk baharu bakal dilancarkan pada tahun ini.

    “Dalam ke arah perubahan bagi mobiliti yang lebih mampan, Toyota berhasrat untuk tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang walau kami terus berada di barisan hadapan dalam menawarkan nilai bagi wang dengan dilengkapi kemajuan teknologi dan ciri keselamatan terkini pada semua produk kami,” kata Presiden UMW Toyota Motor Ravindran Kurusamy.

    Dalam hal lain, syarikat ini telah pun melancarkan pusat 3S baharu di Cyberjaya, bagi memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan di sekitar kawasan itu. Sebagai tambahan kepada fasiliti jualan, servis dan alat ganti, pusat 3S Cyberjaya ini dioperasikan oleh Otomobil Sejahtera yang turut termasuk dengan perkhidmatan mengecat dan mengetuk badan kenderaan, ujar UMW Toyota Motor.

    Dalam masa yang sama, promosi jualan masih lagi berlangsung, termasuk menawarkan peluang memenangi ‘duit raya’ dengan pertandingan Pandu Uji dan Menang Duit Raya. Di mana pelanggan yang memandu uji di mana-mana bilik pameran berpeluang memenangi duit raya sebanyak RM100, dan bagi yang menempah kenderaan pula berpeluang menerima RM200. Sebanyak 30 orang pemenang akan dipilih pada setiap minggu.

    Selain itu, pada 16-17 April ini akan berlangsungnya sambutan minggu Ramadan di semua cawangan Toyota di seluruh negara susulan penganjuran aktiviti Bersama Lebih Bersama yang sedang berlangsung. Banyak tawaran menarik menanti, termasuk pelbagai cenderahati (sehingga kehabisan stok) bakal diberikan kepada pelanggan yang menyertai sesi pandu uji kenderaan Toyota.

     
     
  • KPDNHEP nekad halang penjualan petrol RON95 kepada kereta asing – pesalah boleh didakwa

    KPDNHEP nekad halang penjualan petrol RON95 kepada kereta asing – pesalah boleh didakwa

    Semenjak pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka mulai 1 April lalu, pelbagai isu mengenai warga negara jiran kita itu yang mengambil kesempatan mengisi petrol bersubsidi RON 95 di stesen-stesen minyak sekitar Johor Bahru. Perkara ini mendapat kecaman dari rakyat kita, malah kementerian yang bertanggungjawab, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), juga bertegas bahawa tindakan tersebut merupakan suatu kesalahan.

    Selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pengusaha stesen minyak terbabit, KPDNHEP juga berkata Akta Kawalan Bekalan 1961 akan ditambah baik. Malahan kementerian ini juga akan memperketatkan penguatkuasaan dan mencari solusi terbaik bagi menangani ketirisan minyak petrol bersubsidi kepada warga asing.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, cadangan itu antara aspek yang dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, laporan The Edge.

    Katanya, antara yang dikaji ialah peraturan mengenai keluasan kawasan yang dibenarkan bagi kenderaan asing mengisi minyak di negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

    KPDNHEP nekad halang penjualan petrol RON95 kepada kereta asing – pesalah boleh didakwa

    “Kita sedang mengkaji memantapkan Akta Kawalan Bekalan sedia ada dan mengenakan tindakan lebih tegas kepada penjual yang membenarkan warga asing membeli minyak bersubsidi. Ada beberapa peraturan akan diketatkan dalam akta berkenaan supaya barang yang dikawal, termasuk minyak bersubsidi ini tidak disalahguna dan berlaku ketirisan dalam bekalannya,” katanya

    Seperti yang kerap kami kongsikan mengenai isu ini, kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

    Justeru, KPDNHEP turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON 95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Melaporkan terus ke stesen minyak atau KPDNHEP adalah satu-satunya pilihan yang anda ada sekiranya tindakan anda untuk konfrontasi dan memberitahu si pelaku yang tindakan tersebut adalah salah. Namun jangan pula sesekali anda menekan butang Emergency-Stop (E-Stop) pada pam minyak berkenaan sebagai ‘memberikan pengajaran’. Baca ARTIKEL INI jika anda ingin mengetahui mengapa tidak boleh menekan butang E-Stop tersebut sewenang-wenangnya.

     
     
  • SPYSHOT – Hyundai Tucson 2022 dalam versi jarak roda panjang dijumpai di M’sia; dilancar tak lama lagi?

    SPYSHOT – Hyundai Tucson 2022 dalam versi jarak roda panjang dijumpai di M’sia; dilancar tak lama lagi?

    Selepas model generasi keempat Hyundai Tucson didedahkan buat julung kali untuk peringkat global pada September 2020, masih belum ada petunjuk jelas bila SUV segmen-C berkenaan akan dilancarkan di Malaysia. Namun menerusi imej yang kami terima dari pembaca, Asyraf Sabry, nampaknya model berkenaan akan diperkenalkan di sini tak lama lagi.

    Tucson generasi baharu ini ditawarkan dalam dua versi jarak roda pendek dan juga jarak roda panjang mengikut pasaran. Dan menerusi imej yang kami terima ini nampaknya Malaysia bakal menerima Tucson dalam versi jarak roda panjang seperti model pasaran Amerika Syarikat.

    Ini kerana model yang dijumpai di Malaysia ini menampilkan kemasan krom di atas cermin suku sisi paling belakang iaitu di tiang-C yang lebih tebal, seiras dengan model jarak roda panjang pasaran Amerika Syarikat. Perincian lain antara kedua-dua versi berkenaan adalah serupa.

    Dari segi dimensi, Tucson generasi keempat dalam versi jarak roda panjang ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,630 mm, 1,864 mm lebar, menjadikan ia 155 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar dari model sebelumnya.

    SPYSHOT – Hyundai Tucson 2022 dalam versi jarak roda panjang dijumpai di M’sia; dilancar tak lama lagi?

    Jarak roda pula diukur sejauh 2,756 mm, atau 86 mm lebih panjang dari Tucson generasi ketiga. Keluasan bahagian penumpang naik 170 liter, manakala kapasiti kargo pula kini mencapai 1,096 liter atau 218 liter lebih besar dari Tucson sedia ada.

    Juga di pasaran Amerika Syarikat, Tucson hadir dengan tiga varian enjin iaitu petrol NA, turbo hybrid dan juga plug-in hybrid (PHEV). Untuk model petrol NA, ia dibekalkan dengan enjin 2.5 liter Smartstream berkuasa 187 hp dan tork maksima 241 Nm dan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik untuk memacu roda hadapan.

    Manakala untuk model hybrid dan PHEV, kedua-duanya dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter berkuasa 177 hp dan tork maksima 254 Nm, bersama kotak gear enam-kelajuan automatik. Ia digandingkan dengan motor elektrik 44.2 kW, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan tork maksima 350 Nm.

    Untuk model hybrid, motor berkenaan menerima bekalan kuasa elektrik dari pek bateri 1.49 kWj, dan Hyundai mendakwa penggunaan bahan apinya adalah 30% lebih efisien dari model petrol biasa, dengan bekalan tork 20% lebih tinggi.

    Hyundai Tucson generasi keempat dalam versi jarak roda pendek (kiri) dan jarak roda panjang (kanan)

    Manakala untuk model PHEV pula, ia diberikan pek bateri lebih berkuasa dengan kadar 13.8 kWj. Ini membolehkan Tucson PHEV bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dengan satu caj penuh bateri sejauh 45 km. Bateri berkenaan boleh di caj penuh dalam masa tidak sampai dua jam menggunakan pengecaj on-board.

    Kelengkapan lain yang turut dibekalkan pada Tucson pasaran Amerika Syarikat tersebut termasuk skrin sesentuh 10.25-inci, panel instrumen digital sepenuhnya tanpa perumah dan juga penukar gear tanpa tombol dan hanya menggunakan butang seperti pada Sonata.

    Manakala untuk keselamatan, Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika Syarikat ini menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, dan Amaran Penumpang Belakang – kesemua ini hadir sebagai ciri standard.

     
     
  • 805 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di KL pada 8-10 April

    805 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di KL pada 8-10 April

    Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengadakan Operasi Samseng Jalanan yang bermula Jumaat hingga awal pagi semalam di sekitar ibu negara. Hasilnya, sebanyak 805 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintass telah dikeluarkan. Bukan itu sahaja, seramai 30 lelaki tempatan juga telah ditahan menerusi operasi berkenaan.

    Menurut Ketua JSPT KL, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh operasi membabitkan 175 pegawai dan anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) berakhir pada pukul 4 pagi semalam.

    “Daripada 30 lelaki ditahan itu, 18 daripadanya melakukan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, 10 menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing, manakala dua lagi melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

    Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 51 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 45(A), Seksyen 42(1) dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya.

    Tambah beliau, sebanyak 36 motosikal turut disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

    Selain itu, pihaknya juga telah mengadakan Op Tutup yang dilaksanakan Jumaat lalu menumpukan kepada kereta yang diparkir di sepanjang Jalan Raja Laut serta melakukan kesalahan membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.

    “Sebanyak 27 motokar disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan dan akan diambil tindakan serta pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya.

    Sarifudin berkata pihaknya akan terus meningkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan, kesalahan lalu lintas serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

     
     
  • BMW i4 2022 dijual pada harga dengan pengecualian SST dari RM365k, penghantaran bermula tengah Mei

    BMW i4 2022 dijual pada harga dengan pengecualian SST dari RM365k, penghantaran bermula tengah Mei

    Minggu lalu, tempahan untuk BMW i4 sudah pun dibuka untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM389,800 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga yang termasuk SST kerana ia difahamkan cuma akan dapat diserahkan kepada pelangan selepas program pengecualian cukai SST tamat 30 Jun ini.

    Walaubagaimanapun, BMW Group Malaysia telah berjaya memperbaiki keadaan tersebut dan mengesahkan bahawa penghantaran kepada pelanggan akan bermula pertengahan Mei ini. Untuk itu, ia akan dijual pada harga dengan pengecualian cukai SST 50%, menjadi RM364,676 bagi satu-satunya varian yang ditawarkan, iaitu eDrive40 M Sport

    Ini adalah harga bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan yang biasa, sementara jika pelanggan mahukan tambahan jaminan sehingga lima tahun bersama pakej servis, ia menjadi RM380,266. Sama seperti iX, i4 ini juga datang dengan Power Package berharga RM4,600 yang memberikan pengecas BMW i Wallbox serta kabel pengecas awam Type 2.

    BMW i4 2022 dijual pada harga dengan pengecualian SST dari RM365k, penghantaran bermula tengah Mei

    Senarai spesifikasi yang diedarkan juga menunjukkan terdapat beberapa tambahan bagi model di Malaysia. Ini termasuk suspensi Adaptive M, Variable Sport Steering, fungsi IconicSounds Electric, penukar gear warna perak serta sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Kelengkapan lain adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini, termasuk lampu Laserlight, rim M 19 inci Style 860, angkup brek warna biru, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, balutan kulit tiruan Sensatec, tempat duduk sport dengan larasan kuasa serta memori bagi pemandu, kawalan pendingin hawa tiga zon, Park Assist, kamera 360 darjah, pengecas Qi tanpa wayar, 17 pembesar suara serta sistem bunyi Harman Kardon 525 watt.

    Pada papan pemuka terdapat panel paparan melengkung yang terdiri daripada unit digital 12.3 inci untuk instrumen dan 14.9 inci sesentuh untuk infotainmen. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi pakej penuh Driving Assistant Professional, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Collision Prevention dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

    BMW i4 digerakkan oleh satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan 430 Nm tork, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu-kelajuan. Antara catatan prestasinya adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 190 km/j.

    Berkenaan jarak gerak, bateri 83.9 kWh yang digunakan boleh memberi perjalanan sehingga 590 km dengan sekali cas. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (sambungan CCS Combo 2) dalam masa 10 minit, i4 boleh menyediakan jarak gerak 164 km sementara apabila menggunakan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2), ia akan mengambil masa 8.5 jam untuk penuh.

     
     
  • Honda Dash 125 2022 diberi peningkatan – enjin Euro 4 berkuasa 9.85 hp, panel meter baru, RM6,449

    Honda Dash 125 2022 diberi peningkatan  – enjin Euro 4 berkuasa 9.85 hp, panel meter baru, RM6,449

    Kali terakhir diberi perubahan pada tahun 2019, Honda Dash 125 kini menerima peningkatan bagi model tahun 2022. Ia bukan setakat melibatkan pilihan warna (merah, biru dan kuning) dan grafik baru, tetapi juga beberapa peningkatan lain. Harga model ini adalah RM6,449.

    Meskipun masih menggunakan unit satu silinder SOHC 124.9 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi yang sama, enjin Dash 125 sekarang sudah mematuhi tahap emisi Euro 4 dan menjadikannya semakin mesra alam. Kuasa yang mampu dihasilkan bersama padanan transmisi empat kelajuan adalah 9.85 hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Selain daripada grafik baru, anda juga dapat melihat terdapat rekaan spoiler baru di atas panel lampu, sementara meter pula, walaupun secara kasarnya nampak sama, ia melibatkan sedikit perubahan grafik serta warna lampu. Panel meter itu juga adalah berbeza berbanding model sebelum ini.

    Bahagian lain semuanya masih sama termasuklah lampu depan jenis LED, tangki bahan api 4.0 liter, rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, penghidup enjin elektrik dan tendang, berat 105 kg dan padanan suspensi fork teleskopik serta dua penyerap di belakang.

    Honda Dash 125 datang dengan brek cakera hadapan dan belakang, serta jaminan dua tahun atau 20,000 km. Ia kini sudah pun berada di semua wakil pengedar sah motosikal Honda.

     
     
  • Perodua Myvi 2022 dengan kit badan GearUp – teaser rasmi telah disiarkan, akan mula dijual tak lama lagi

    Perodua Myvi 2022 dengan kit badan GearUp – <em>teaser</em> rasmi telah disiarkan, akan mula dijual tak lama lagi

    Selepas imej Perodua Myvi facelift 2022 yang dipadankan dengan kit badan GearUp didedahkan oleh laman Facebook RideAth tempoh hari, kini Perodua sudahpun menyiarkan teaser rasmi untuk kit badan berkenaan.

    Teaser tersebut dibuat dalam bentuk satu video pendek, yang mendedahkan hanya bahagian muka Myvi 2022 dengan kit badan itu. “Perincian tambahan Perodua GearUp kini hadir untuk mempertingkat rupa Myvi baharu. Akan datang di semua bilik pameran bertauliah Perodua,” tulis kapsyen video berkenaan.

    Menerusi gambar yang bocor sebelum ini, dapat dilihat bahawa kit badan lengkap tersebut terdiri dari kemasan tambahan untuk apron bampar hadapan bersama spoiler pada bahagian bawah, skirt sisi, kemasan tambahan bawah bampar belakang dengan diffuser dan juga spoiler bumbung pada bahagian atas pintu tailgate belakang.

    Sama seperti kit badan Gear Up pada Perodua Ativa, kit untuk Myvi ini sekali lagi menampilkan rekaan yang agak ‘sibuk’ dan agresif. Untuk kemasan apron bampar hadapan, ia diberikan perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara.

    Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang diberikan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

    Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler asal Myvi 2022 yang ringkas digantikan dengan spoiler bumbung yang jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

    Secara asasnya, kit badan Gear Up ini bukan sahaja memberikan rupa lebih garang kepada Perodua Myvi facelift 2022, malah ia secara tidak langsung menjadikan warna badan model berkenaan berubah kepada tema dua-tona kerana diberikan kemasan-kemasan hitam yang cukup banyak.

    Tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan kit badan GearUp lazim dilancarkan serentak ketika hari pelancaran satu-satu model baharu dari Perodua, kit untuk Myvi 2022 ini nampaknya diperkenalkan lewat sedikit, selepas model ini dilancarkan pada November tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, Perodua masih belum mengumumkan sebarang perincian harga berkenaan kit badan ini. Anda rasa kit badan ini macam mana? Bergaya atau terlalu melebih-lebih?

     
     
  • Hyundai Palisade facelift 2023 – perincian bocor awal

    Hyundai Palisade facelift 2023 – perincian bocor awal

    Hyundai Palisade facelift hanya akan didedahkan dalam masa dua hari lagi, iaitu pada 13 April nanti, tetapi nampaknya ada gambar penuh kereta tersebut yang sudah tersebar. Mereka yang bertanggungjawab menyiarkan gambar ini adalah Hyundai sendiri, tetapi sebenarnya secara tidak sengaja.

    Gambar tersebut digunakan untuk ikon pautan video pelancaran model itu, namun kini telah pun dipadam. Walaubagaimanapun, ada media seperti Motor1 yang sempat membuat tangkap layar dan menunjukkannya kepada orang ramai.

    Bahagian hadapan SUV tersebut dapat dilihat jelas dan antara perubahan paling ketara adalah gril lebih berpetak, lampu DRL LED menegak dengan pencahayaan berbentuk L, bentuk lampu baru, kemasan krom satin pada bahagian bawah bampar (mungkin untuk varian Calligraphy yang paling tinggi), serta rekaan rim baru.

    Hyundai Palisade facelift 2023 – perincian bocor awal

    Selain daripada gambar ini, laman web The Korean Car Blog juga ada beberapa perincian yang didapati daripada pembentangan untuk Palisade ini, termasuk bampar, bahagian atas papan pemuka, konsol tengah serta roda stereng baru. Kita juga boleh menjangkakan pilihan warna serta kemasan baru untuk model ini.

    Kelengkapan baru lain yang akan diberi adalah seperti skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci (sebelum ini 10.25 inci), “Full Display Rearview Mirror” (mungkin adalah unit digital dengan sambungan kepada kamera), cermin “hydrophobic” (air tidak lekat), Remote Smart Park Assist, kunci digital, sistem kawalan suara lebih maju, fungsi kawalan jauh kenderaan BlueLink yang dipertingkat serta “Tow Mode.”

    Hyundai Palisade facelift 2023 – perincian bocor awal

    Daripada aspek keselamatan, Palisade bakal menerima sistem brek kecemasan autonomous yang dipertingkat, dengan pengesan penunggang basikal, trafik dari belakang serta kenderaan dari hadapan, penghindar kemalangan titik buta, Highway Driving Assist II (pemanduan semi-autonomous Level 2 dengan bantuan tukar lorong), AEB waktu mengundur serta Adaptive Cruise Control.

    Tiada perubahan mekanikal yang dinyatakan, jadi kita boleh menjangka Palisade akan terus menggunakan enjin sama, iaitu unit petrol V6 NA 3.8 liter dengan versi MPI 277 PS dan direct injection 295 PS, serta diesel turbo empat silinder 2.2 liter berkemampuan 200 PS dan 441 Nm tork. Palisade sekarang semuanya menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan, dan ia boleh dipilih dengan sistem pacuan dua roda atau empat roda.

     
     
  • Malaysia alu-alukan pelaburan EV bernilai tinggi – Wee

    Malaysia alu-alukan pelaburan EV bernilai tinggi – Wee

    Kerajaan Malaysia mengalu-alukan pelaburan bernilau tinggi bagi pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) di negara ini, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, beliau berkata negara telah bersedia untuk bekerjasama dengan mereka yang berminat untuk melabur di negara ini, khususnya dalam sektor pengangkutan dan juga bidang pembuatan, pemasangan atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) EV.

    “Bagi pihak kerajaan, saya amat mengalu-alukan pelaburan asing ke negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai platform penting untuk memasuki pasaran ASEAN dalam bidang pembuatan EV.

    “Selaku Menteri Pengangkutan Malaysia, saya juga bersedia untuk memberi bantuan dan kerjasama kepada mereka yang berminat untuk melabur di negara kita, khususnya dalam sektor pengangkutan dan juga bidang pembuatan, pemasangan atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan EV,” ujarnya.

    Kenyataan terbabit dikeluarkan selepas menerima kunjungan hormat daripada Ferruccio Lamborghini, ahli keluarga generasi ketiga kepada keluarga Lamborghini yang terkenal dan Sydney Yeung, Ketua Pegawai Eksekutif GSS Energy, sebuah syarikat tersenarai di Singapura, baru-baru ini.

    Dalam pertemuan tersebut, perbincangan secara mendalam mengenai masa depan EV di Malaysia turut diadakan. Katanya, perbincangan itu dari beberapa aspek penting termasuk tahap penerimaan penggunaan EV oleh rakyat Malaysia, sokongan kerajaan terhadap industri ini serta pelaburan dalam industri dan pemasaran EV di Malaysia.

    Bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, kerajaan turut memberikan beberapa insentif khas. Ini termasuklah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV.

    Selain itu, insentif terbabit turut melibatkan pengecualian cukai jalan sepenuhnya bagi EV dan juga rebat cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk setiap pembelian dan pemasangan pengecas EV, yang berlangsung sehingga 31 Disember 2023.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya sangkal dakwaan pengguna lebuhraya mungkin kena bayar tol selama-lamanya

    Kementerian Kerja Raya sangkal dakwaan pengguna lebuhraya mungkin kena bayar tol selama-lamanya

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meyangkal dakwaan kemungkinan pengguna lebuh raya akan membayar tol selama-lamanya berikutan penstrukturan empat syarikat dan pelanjutan tempoh konsesi tidak wujud sama sekali.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, KKR memaklumkan syarikat konsesi tidak boleh menambah hutang baharu sewenang-wenangnya dan ketetapan itu termaktub dalam Perjanjian Baharu membabitkan penstrukturan empat syarikat konsesi baru-baru ini.

    “Kerajaan sentiasa akan memastikan bahawa kepentingan pengguna sentiasa terjamin dan tidak terbeban. Sekiranya penstrukturan ini tidak dibenarkan dan sekiranya kerajaan ingin menjimatkan pampasan maka kenaikan kadar tol perlu diberikan dan ini akan mengakibatkan implikasi rantaian yang akan menyebabkan kos barangan juga akan meningkat,” menurut kenyataan tersebut.

    Pada 4 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat berakhir.

    Kementerian Kerja Raya sangkal dakwaan pengguna lebuhraya mungkin kena bayar tol selama-lamanya

    Empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat atau Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Lebuhraya Damasara-Puchong atau LDP).

    KKR turut menjelaskan mengenai dakwaan pemberian kos tetap bagi pembinaan dan penyenggaraan lebuh raya itu dan lanjutan tempoh konsesi yang membebankan pengguna.

    “Ini satu kenyataan yang salah dan memesong rakyat. Kerajaan tidak pernah membayar atau memberikan peruntukan dalam bentuk kos tetap untuk pembinaan mahupun penyenggaraan lebuh raya berkenaan.

    “Pembinaan sudah dibuat menggunakan dana yang diperoleh syarikat konsesi melalui pinjaman atau penerbitan sukuk yang perlu dibayar balik melalui kutipan tol manakala kos bagi operasi dan penyenggaraan ditampung melalui kutipan tol,” katanya.

    Tambahnya, lanjutan tempoh konsesi diberikan hanya sebagai sesuatu yang indikatif bagi memberi pemegang sukuk satu kelegaan bahawa pelaburan mereka akan dibayar balik.

    Kementerian Kerja Raya sangkal dakwaan pengguna lebuhraya mungkin kena bayar tol selama-lamanya

    “Tarikh tamat terawal adalah enam tahun lagi iaitu 2028 bagi KESAS, lapan tahun iaitu 2030 bagi LDP, 12 tahun iaitu 2034 bagi SPRINT dan 20 tahun iaitu 2042 bagi SMART. Ini yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi sedia ada. Dalam penstrukturan ini lanjutan diberikan adalah tidak eksklusif,” katanya.

    Mengenai penstrukturan kadar tol pula, KKR memaklumkan ia akan tetap bagi tempoh selanjutnya, malah kerajaan boleh menamatkan tempoh konsesi pada bila-bila masa tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan dan sekurang-kurangnya dapat mengelak kenaikan harga barang akibat kenaikan kadar tol.

    KKR turut menjelaskan perkara berhubung dakwaan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang mengambil alih aset lebuh raya bernilai lebih RM5 bilion bermodalkan RM5,000.

    “Peranan ALR ini hanya sebagai penjaga keempat-empat lebuh raya berkenaan. Bakal pelabur sukuk memerlukan keyakinan untuk melabur dan oleh demikian, ALR terdiri daripada tokoh korporat yang tidak berkait dengan mana-mana parti politik. Ini yang membolehkan ALR yang bermodalkan hanya RM5,000 mampu menjadi ‘penjaga’ bagi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

    “Selain itu, oleh kerana pemegang saham asal telah tiada lagi dan oleh kerana ALR adalah bukan keuntungan maka tiada sebarang pembayaran dividen diperlukan dan ini membolehkan kadar tol dikekalkan pada kadar sedia ada dan peruntukan tambahan melalui kenaikan tol tidak diperlukan,” katanya.

     
     
  • Proton gesa agar pemilik Exora tidak guna OCH bukan OEM kerana ia mungkin sebabkan kerosakan enjin

    Proton gesa agar pemilik Exora tidak guna OCH bukan OEM kerana ia mungkin sebabkan kerosakan enjin

    Dengan masalah kebocoran hos penyejuk minyak (oil cooler hose atau OCH) pada Proton Exora dengan enjin turbo CFE yang dilihat masih terjadi, ada bengkel-bengkel luar kini menyediakan komponen alternatif untuk menyelesaikan masalah itu. Namun Proton menasihatkan pemilik-pemilik berkenaan dinasihatkan agar tidak membeli OCH yang ditempah khas tersebut kerana dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku.

    Menurut Ketua Pengurusan Kandungan Proton, Faisal Shah dalam laporan FMT, pembekal OCH alternatif ini diragui kepakarannya selain tidak mempunyai makmal untuk tujuan ujikaji komponen buatan mereka.

    “Isu spesifik seperti OCH pada Proton Exora adalah salah satu isu yang sedang diberi perhatian dan kita usahakan untuk menyelesaikannya. Proton menasihatkan pengguna supaya tidak membeli komponen tidak tulen.

    “Bagi Proton Exora yang menggunakan enjin turbo, ia adalah satu model yang telah dilancarkan pada 2011 tetapi, pihak syarikat masih melakukan banyak aktiviti untuk meningkatkan prestasinya, termasuk menyelesaikan apa-apa isu yang ada seperti OCH,” kata Faisal kepada FMT.

    Proton-enhancing-customer-service-15-630x392

    OCH merupakan paip penyambung yang mengalirkan minyak pelincir dari enjin kepada unit penyejuk minyak bagi memastikan ia sentiasa berada dalam suhu operasi. Sekiranya hos berkenaan pecah, ia akan menyebabkan masalah enjin menjadi panas melampau dan merosakkan komponen lain.

    Menurut Faisal, selepas beberapa tahun Exora dilancarkan dengan enjin turbo, Proton telah mengenal pasti masalah kebocoran OCH asal yang ketika itu diperbuat sepenuhnya daripada getah. Susulan daripada itu, satu panggilan semula telah dibuat untuk menggantikan OCH kereta-kereta yang terjejas, dan komponen tersebut telah dimasukkan dalam senarai servis untuk ditukar setiap 40,000 km.

    Kemudian pada 2018, Proton telah menghasilkan OCH baharu yang menampilkan material logam pada sebahagian hos tersebut, dikatakan mampu bertahan untuk tempoh jarak perjalanan sejauh 80,000 km, serta bertahan pada suhu dan tekanan lebih tinggi.

    Proton gesa agar pemilik Exora tidak guna OCH bukan OEM kerana ia mungkin sebabkan kerosakan enjin

    Faisal mewakili Proton bagi menjelaskan ketidakpuasan hati pemilik Exora yang mendakwa syarikat tersebut gagal menyelesaikan isu OCH yang kerap pecah dan mendatangkan kerugian yang banyak. Menurutnya lagi, Proton akan memanggil semula Proton Exora berkenaan jika terdapat teknologi baharu yang boleh menggantikan OCH sedia ada pada masa akan datang.

    Masalah berkaitan OCH pecah ini seringkali disuarakan menerusi hantaran Facebook di Kelab Pemilik Exora Malaysia, malah ada yang menggelar isu OCH sebagai ‘bom jangka’ untuk MPV berkenaan. Ramai pemilik mendedahkan bahawa mereka terpaksa membeli kit OCH alternatif yang berharga RM1,000, dan mendakwa Proton tidak menawarkan sebarang solusi sejak 2011.

    Ada juga pemilik yang mengadu bahawa mereka terpaksa menunggu pusat servis Proton untuk membaiki OCH kereta mereka, dan memaksa mereka mencari solusi dari pihak ketiga.

     
     
  • Op Selamat 18/Aidilfitri mulai 29 April-8 Mei 2022, dijangka 4.7j kenderaan berada di jalan raya – JSPT

    Op Selamat 18/Aidilfitri mulai 29 April-8 Mei 2022, dijangka 4.7j kenderaan berada di jalan raya – JSPT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangkakan sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, ekoran jangkaan pertambahan kenderaan, pihaknya akan mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik.

    “Cuti raya pada tahun ini agak panjang dan dijangka masyarakat akan mengambil peluang untuk beraya di kampung setelah dua tahun kita tidak dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan Covid-19,” katanya kepada Bernama.

    Tambah beliau, tahun-tahun sebelum ini, Op Selamat 18 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ turut akan dilancarkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan. Di mana JSPT turut melakukan perancangan rapi bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan diminimumkan ke paras sekurang-kurangnya 50% penurunan.

    “Dalam Op Selamat 18 ini, JSPT akan memberi fokus terhadap Op Motosikal, Op Had Laju dan Op Perdagangan yang akan dijalankan secara penguatkuasaan menyeluruh dengan tiada sebarang rayuan akan diterima bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.

    “Aset-aset JSPT seperti motosikal dan kereta peronda juga akan dioptimumkan penggunaannya bagi tugas penguatkuasaan dan rondaan ‘omnipresent’ di lokasi panas seluruh negara,” katanya.

     
     
  • Orang Malaysia sanggup bayar RM8k sehari bagi sewa kereta mewah untuk balik kampung dengan bergaya

    Orang Malaysia sanggup bayar RM8k sehari bagi sewa kereta mewah untuk balik kampung dengan bergaya

    Untuk pertama kali dalam tempoh dua tahun ini, kurang dari sebulan kita akan berhari beraya dengan penuh gembira, tanpa sekatan. Yelah…dah dua tahun kita kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada musim Hari Raya Aidilfitri. Jadi, tahun ini, pasti ada yang nak lepas geram raya sakan bersama keluarga dan sanak saudara.

    Kalau anda pulang ke kampung halaman kelak, tengok ada pula sepupu sepapat atau anak jiran sebelah, memandu kereta mewah, mesti terbeliak mata. Apalah agaknya kerja dia kan? Mungkin ada bisnes MLM? Tokey kosmetik OEM? Atau….mungkin dia sewa sahaja kenderaan mewah tersebut. Hah! Jangan terkejut, memang ada di kalangan kita yang sanggup mengeluarkan bajet yang tinggi semata-mata untuk menyewa kenderaan mewah, hanya untuk nampak bergaya pada Hari Raya. Malahan ada segelintir individu yang sanggup berbelanja sehingga RM7,999 sehari semata-mata untuk menyewa supercar.

    Azam, Pengurus AHMJ Luxury Car Rental memaklumkan kepada Kosmo!, permintaan terhadap sewaan kenderaan mewah untuk Aidilfitri ini sudah mula diperoleh. “Menurut rekod sewaan dalam beberapa hari ini, kenderaan yang paling popular ialah Toyota Alphard dan Vellfire. Selain itu, pelanggan juga sanggup membayar RM4,000 sehari untuk menyewa NIssan GT-R dan sehingga RM8,000 utuk menyewa Lamborghini Aventador.

    Orang Malaysia sanggup bayar RM8k sehari bagi sewa kereta mewah untuk balik kampung dengan bergaya

    Antara barisan kenderaan mewah untuk disewakan yang ditawarkan oleh syarikat terbabit termasuklah BMW i8, Audi R8, Porsche 911, McLarens, Rolls-Royces, Ford Mustang, Honda Civic Type R FK8, dan Range Rover. Selain itu, ‘King of the Highway’, Perodua Myvi turut ditawarkan dengan sewaan RM120 sehari.

    Sebenarnya, perkata ini bukanlah trend baharu. Memang ramai yang sanggup berbelanja sehingga RM20,000 seminggu untuk menyewa kenderaan mewah ini bagi menyambut Hari Raya. Pada tahun 2018, Koperasi Pengusaha Kereta Sewa Malaysia (Kopkes) berkata, untuk musim Aidilfitri sahaja, sebanyak RM10 juta keuntungan telah diperoleh oleh industri kereta sewa.

    Banyak alasan sebenarnya mengapa kereta sewa menjadi pilihan. Selain ada yang nak nampak bergaya, ada juga kerana kereta miliki mereka mengalami kerosakan dan disebabkan tidak mahu meletakkan risiko terhadap keluarga, maka pilihan terbaik adalah menyewa kereta.

    Mungkin ada yang memang tidak memiliki kereta langsung, hanya menggunakan motosikal atau naik pengangkutan awam sahaja. Dan ada juga yang tidak mahu terikat dengan pinjaman sewa beli. Jadi kalau nak pakai kereta, sewa sahaja bila-bila masa.

    Apa pun, terpulanglah untuk anda, apa alasan anda menyewa kereta waima kereta mewah atau pun yang biasa-biasa sahaja. Apa yang penting, amalkan pemanduan berhemah ketika berada di jalan raya. Apa jua kenderaan yang dipandu, tetap ada risiko jika alpa dan leka dalam pemanduan.

    Tapi jangan terkejut, ada juga yang sanggup sewa helikopter untuk pulang ke kampung halaman semata-mata tak nak tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Asal ada duit, semua boleh jadi, bro!

     
     
  • Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Sehingga kini, tiada sebarang tanda yang jelas bahawa Mazda akan kembali menghasilkan kereta sport dengan enjin wankel rotary. Platform pacuan roda belakang Mazda yang sebelum ini digembar-gemburkan akan menghasilkan sedan atau coupe bersaiz besar dengan konfigurasi pacuan roda belakang juga baru-baru ini disahkan hanya akan menjadi asas kepada model-model SUV.

    Malah Mazda juga menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai perancangan untuk menghidupkan kembali sayap prestasinya iaitu MazdaSpeed bagi menghasilkan model-model produksi jalan raya yang lebih berkuasa dengan menggunakan asas model-model sedia ada.

    Adakah Mazda hanya akan menumpukan penghasilan model-model SUV sahaja selepas ini dan melupakan terus DNA sporty mereka? Jangan lupa, Mazda masih ada lagi kereta sport pacuan roda belakang iaitu Miata MX-5, dan jenama dari Hiroshima berkenaan akan memastikan model generasi baharu roadster tersebut masih akan kekal sebagai model dengan enjin petrol dan memacu roda belakang.

    Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Menurut laporan Autocar, ketua pembangunan produk dan kejuruteraan Mazda di Eropah iaitu Joachim Kunz memberikan bayangan bahawa MX-5 adalah model yang diasingkan terus dari model-model arus perdana Mazda yang disasarkan untuk pertumbuhan syarikat, dan model tersebut akan terus kekal sebagai model yang dibina khusus untuk peminat-peminat pemanduan sporty Mazda.

    “Ia merupakan ikon untuk jenama kami dan ia akan sentiasa menerima layanan istimewa,” kata Kunz kepada Autocar. “Buat masa ini, nampaknya kami perlukan kereta ini selama-lamanya, dengan saiz dan konsep yang sama serta enjin pembakaran dalaman. Sudah tentu, sampai masanya nanti, kami perlu untuk mengelektrifikasikannya, tetapi kami mahu terus dengan konsep asli ini.”

    Kunz turut memberitahu bahawa Mazda Eropah tidak mempunyai pengaruh yang besar untuk membangunkan bersama MX-5 berbanding model-model lain kerana kereta sport berkenaan adalah “anak emas ibu pejabat Mazda” di Jepun, di mana jurutera di sana sangat komited untuk terus mengekalkan karekter aslinya kepada model generasi baharu.

    Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Beliau turut menjelaskan bahawa MX-5 biasanya akan mempunyai kitaran hayat produksi yang lebih lama berbanding model-model Mazda yang lain. “Mempunyai satu generasi untuk tempoh 10 tahun bukan masalah buat kami,” kata Kunz, membayangkan model generasi baharu untuk MX-5 mungkin hanya akan diperkenalkan selepas 2024 kerana model generasi sedia ada telah diperkenalkan pada 2014.

    Jadi ada kemungkinan Mazda MX-5 generasi seterusnya ini bakal menggunakan enjin petrol Mazda yang paling efisien buat masa sekarang iaitu SkyActiv-X, yang beroperasi dengan menggunakan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan).

    Tiada pengecas turbo digunakan pada enjin ini, sebaliknya ia dibekalkan unit supercharger kecil – bukan untuk tekanan boost, sebaliknya hanya untuk memampatkan sebanyak yang boleh udara ke kebuk pembakaran. Enjin ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean sehingga 29.4:1. Pada Mazda 3 generasi sedia ada, enjin 2.0 liter Skyactiv-X ini ditala dengan kuasa 190 PS dan tork maksima 240 Nm.

     
     
  • Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal untuk pasaran Malaysia – RM11.7k, 5,000 unit sahaja

    Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal untuk pasaran Malaysia – RM11.7k, 5,000 unit sahaja

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Y16ZR versi ulang tahun ke-60 World GP untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM11,688 tidak termasuk insurans. Model istimewa ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja.

    Daripada aspek penampilan, Y16ZR World GP 60th Anniversary ini menggunakan grafik perlumbaan ikonik Yamaha, yang terdiri daripada warna putih sebagai warna utama, dengan jalur putus-putus warna merah di tepi, sedikit jalur kuning di hadapan serta rim warna emas.

    Menjadikannya lebih istimewa, setiap pembelian juga akan diberi sekali dengan kotak hadiah yang di dalamnya terdapat sijil keluaran, botol air World GP 60th Anniversary, pin keluaran terhad serta rantai kunci premium. Seperti kebiasaan bagi motosikal Yamaha, model ini datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, dan kunci cakera brek secara percuma.

    Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal untuk pasaran Malaysia – RM11.7k, 5,000 unit sahaja

    Bahagian mekanikal motosikal ini masih sama seperti Y16ZR biasa, termasuk enjin satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk lampu jenis LED, meter digital LCD, butang kill switch, lampu memotong (pass light), tangki bahan api 5.4 liter, angkup brek dua piston di hadapan dan satu piston di belakang, suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan monoshock, serta rim 17 inci yang dibalut tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024