Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

    Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan kerajaan sentiasa mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

    Menurut Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Isham Ishak, dasar itu bersifat ‘futuristik’ dan tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini, laporan Bernama.

    “NAP 2020 masih dikemas kini dan dipakai dengan baik buat masa sekarang. Ia sentiasa terus disemak di bawah MITI serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Kami melihat (setiap) perubahan, (sebagai contoh) geopolitik, supaya kami boleh mengubahnya dengan segera dan industri akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini melalui sokongan dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Pameran Perdagangan Automotif-Automechanika Kuala Lumpur 2023 pagi tadi.

    Tambah beliau, selain NAP 2020, terdapat juga dasar oleh agensi lain yang menyediakan sokongan mikro terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar, penyedia bahan mentah, syarikat perantaraan yang menghasilkan barangan perantaraan serta pemasang akhir.

    “Contohnya, adalah Dasar Kenderaan Elektrik (EV) Nasional yang turut dimasukkan ke dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon serta Dasar Pengangkutan Negara untuk memacu penggunaan EV di Malaysia di tengah-tengah peningkatan seruan ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus di peringkat global.

    Penubuhan Pasukan Petugas EV Kebangsaan bertujuan merangkumkan semua dasar berkaitan EV dan menyatukan semua pihak berkepentingan untuk membentuk persefahaman yang sama serta sinergi yang kukuh dalam memastikan semua inisiatif merentasi skop dan bidang kuasa masing-masing dapat digabungkan,” jelasnya lagi.

    Beliau turut berkata, pasukan petugas khas ini akan menilai dasar semasa, menggubal dasar baharu dan memantau pelaksanaan agenda EV.

    “Sebagai contoh, stesen pengecasan, yang mana kami menerima aduan bahawa Malaysia mempunyai jumlah stesen EV yang amat sedikit tetapi angka ini telah bertambah kepada 900 stesen pengecasan dan banyak lagi akan dibina.

    “Pada masa sama, pemilik stesen minyak perlu menyesuaikan diri serta bertindak balas terhadap perubahan ini kerana mereka perlu memenuhi keperluan pengguna pengecasan, yang menggunakan lebih banyak masa berbanding semasa mengisi minyak,” kataya.

    Beliau berkata, penyedia telekomunikasi juga mesti dapat menampung kemajuan teknologi yang melengkapkan sesebuah EV.

    Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

    Sambungnya, “Permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan cekap tenaga bukan saja akan memacu sektor itu tetapi juga segmen nilai tambah yang lain. Sesetengah pemain bergerak ke arah hibrid terlebih dulu sebelum bersedia ke arah EV. Ada yang mencebur terus ke dalam EV seperti pengumuman Tesla baru-baru ini di Malaysia,” katanya.

    Isham juga menjangkakan trend baharu membabitkan minat orang ramai terhadap segmen hiburan serta gaya hidup dalam kereta.

    “Kami lihat permintaan semakin meningkat untuk hiburan. Permintaan pasaran bagi meningkatkan kenderaan mereka juga bertambah. Jadi, kenderaan bukan sekadar pergerakan tetapi juga ke arah penyesuaian, hiburan dan trend ini juga berubah,” katanya.

    “Oleh itu, industri automotif secara keseluruhannya menawarkan nilai menarik untuk pelaburan mereka di Malaysia. Kami melihat banyak pengeluar baharu memasuki Vietnam tetapi kami mesti melihat perspektif keseluruhan.

    “Mereka mempunyai lebih 90 juta orang, jadi pasaran mereka adalah jauh lebih besar daripada Malaysia tetapi orang (pelabur) yang datang ke negara ini adalah berbeza kerana daripada segi pembelian kenderaan premium, Malaysia antara yang tertinggi berbanding negara ASEAN yang lain. Jadi, inilah trend yang sedang datang ke dalam industri automotif dan ini merupakan masa yang sangat mengujakan,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor VKQ sedang dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor VKQ sedang dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan satu lagi siri plat nombor pendaftaran baharu iaitu VKQ telah pun boleh dibida secara dalam talian iaitu menerusi JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari WP Kuala Lumpur, VKQ ini dibuka bidaan mulai hari ini, 17 Mac 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 21 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 22 Mac 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

    PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

    BYD antara pengeluar kereta dari China yang membawa masuk kenderaan elektrik (EV) ke pasaran Malaysia, menerusi pengedar rasminya di sini, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM), sebahagian daripada Sime Darby Motors. Mempertaruhkan model Atto 3 sebagai permulaan pengenalan jenama ini di sini yang dilancarkan pada 8 Disember lalu, sambutan terhadap SUV crossover elektrik segmen-B ini boleh dikatakan begitu memberangsangkan. Malah dalam tempoh 10 hari ia dilancarkan, sebanyak lebih 1,000 unit tempahan Atto 3 telah diterima.

    Untuk pasaran tempatan, dua varian Atto 3 ditawarkan iaitu Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

    Bulan lalu, team Paultan.org diberi kesempatan untuk memandu uji Atto 3 dan diberikan varian ER untuk dilenjan seharian secara bergilir-gilir dengan Danny Tan dan Jason Chung hingga ke Tanjung Malim, Perak.

    Pemanduan kami merentasi Lebuhraya Utara-Selatan hingga merentasi laluan kampung di beberapa kawasan Felda di daerah berkenaan yang mempunyai corak jalan yang mengujakan. Memang benar-benar menguji ketangkasan Atto 3.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BMW X7 facelift G07 tiba di M’sia dalam versi xDrive40i Pure Excellence hibrid ringkas, harga RM654,800

    BMW X7 facelift G07 tiba di M’sia dalam versi xDrive40i Pure Excellence hibrid ringkas, harga RM654,800

    BMW Malaysia mengumumkan bahawa X7 facelift G07 kini sudah tiba di Malaysia. Kali terakhir diberikan peningkatan pada tahun lepas, model Sports Activity Vehicle (SAV) terbesar jenama itu sekarang ditawarkan dalam versi xDrive40i Pure Excellence enam tempat duduk.

    Perubahan pada bahagian luar antaranya termasuk pada bahagian gril, lampu utama LED, bampar hadapan serta lampu belakang. Kemudiannya di bahagian dalam, ia menerima BMW Curved Display yang termasuk skrin instrumen 12.3 inci serta skrin sesentuh infotainmen 14.9 inci secara standard. Bentuk corong pendingin hawa juga diubah.

    Kemasan kayu yang digunakan untuk model pasaran Malaysia dipanggil sebagai ‘Lindenwood Fineline’ sementara lapik bumbung pula menggunakan M Headliner ‘Alcantara’. Turut disediakan adalah jalur lampu suasana di sekeliling kabin.

    BMW X7 facelift G07 tiba di M’sia dalam versi xDrive40i Pure Excellence hibrid ringkas, harga RM654,800

    Datang dalam konfigurasi enam tempat duduk, barisan kedua menggunakan unit kapten yang berasingan dan semua tempat duduk ini dibalut kain Sensafin. Bumbung panoramik besar memberikan suasana lebih cerah dalam kereta, manakala ruang simpanan barang pula boleh mencecah sehingga 750 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

    X7 xDrive40i facelift ini terus dipacu oleh enjin enam silinder 3.0 liter turbo B58, tetapi kuasanya telah ditingkatkan sedikit menjadi 380 PS (375 hp atau 280 kW) dan tork 520 Nm (boleh dinaikkan sekejap sehingga 540 Nm dengan fungsi boost) – naik 47 PS (47 hp atau 35 kW) dan 70 Nm berbanding sebelum ini.

    Model ini juga sekarang dimasukkan dengan sistem hibrid ringkas 48 volt melalui penggunaan motor elektrik 12 PS (12 hp atau 9 kW) dan 200 Nm yang terletak di dalam perumah transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic Sport. Dengan pakej ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem bantuan pemandu yang disediakan pada SAV ini adalah termasuk Parking Assistant Professional and Driving Assistant, yang memberikan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention serta Reversing Assistant Professional.

    Lima warna badan ditawarkan untuk X7 facelift ini, iaitu Sparkling Copper Grey Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Skyscraper Grey Metallic, Mineral White Metallic dan Black Sapphire Metallic. Untuk kemasan dalam pula, dua skema warna disediakan – Sensafin Black dan Sensafin Cognac.

    Akhir sekali untuk harga, BMW X7 facelift xDrive40i Pure Excellence dijual pada harga RM654,800 tidak termasuk insurans, bersama dengan jaminan lima tahun serta pakej program servis berkala percuma. Turut diberikan adalah bantuan tepi jalan BMW Roadside Assistance serta kad kesetiaan BMW Group Loyalty+ Mobile.

     
     
  • VIDEO: Perodua Axia 2023 — AV atau X lagi berbaloi?

    VIDEO: Perodua Axia 2023 — AV atau X lagi berbaloi?

    Sudah sebulan Perodua Axia 2023 dilancarkan secara rasmi. Seperti yang sudah ramai sedia maklum, ada empat varian ditawarkan: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Untuk tahu perincian perbezaan antara semua varian berkenaan, boleh rujuk di sini.

    Dalam video ini pula, kami tampilkan dua daripada varian berkenaan, iaitu X sebagai mewakili varian yang lebih asas, serta AV yang mewakili varian dengan penawaran paling lengkap dan paling mahal. Ada banyak perbezaan antara kedua-dua model berkenaan. Sebagai contoh, kerusi AV lebih sedap dan memberi sokongan yang lebih baik berbanding X. Kluster meter untuk pemandu juga berbeza: AV dengan paparan digital berwarna, sementara X dengan versi lebih ringkas — sekadar menyebut beberapa contoh.

    Dari segi mekanikal, kedua-duanya berkongsi penawaran yang sama. Axia 2023 masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Ura-ura enjin turbo yang bertiup sebelum ini tidak betul. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru, mengantikan transmisi 4AT lama.

    Menurut Perodua, perubahan gabungan ini — jika mengikut kitaran ujian penggunaan minyak NEDC — memberikan bacaan yang lebih baik bagi Axia 2023, iaitu 23.3 km/l berbanding 21.6 km/l bagi model sebelumnya. Namun, jika mengikut kitaran ujian MDC (Malaysia Driving Cycle) pula, ia mampu memberikan sebanyak 27.4 km/l. Ini kurang lebih bersamaan dengan RM28 duit minyak RON 95 sahaja untuk perjalanan 365 km ke Pulau Pinang (bagi varian SE dan AV, dengan ciri Eco Idle).

    Ikuti juga perkongsian pandangan dari sudut pandu uji bagi Axia X dan AV ini, dan bagaimana aspek itu menyaingi Perodua Myvi dalam banyak hal. Selamat menonton.

    Perodua Axia 2023 AV vs X

    Perodua Axia 2023 AV

    Perodua Axia 2023 X dengan kit Gear Up

     
     
  • Lori rempuh Perodua Aruz di Lebuhraya PLUS dekat Rawang – Polis Gombak cari saksi kemalangan

    Lori rempuh Perodua Aruz di Lebuhraya PLUS dekat Rawang – Polis Gombak cari saksi kemalangan

    Baru-baru ini tular video berdurasi satu minit hasil rakaman dashcam dari Perodua Aruz yang dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang. Kejadian berlaku di KM 439.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Rawang pada 14 Mac lalu, kira-kira jam 1 tengahari.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata seorang wanita berusia 29 tahun yang memandu Aruz bersama dua kanak-kanak, adik perempuan dan ibunya masing-masing berusia tiga hingga 58 tahun, tiba-tiba dirempuh oleh sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.

    “Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar. Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rohaizam Yusop di talian 0125260952 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

    Menerusi paparan video berkenaan yang dikongsi menerusi laman Facebook Perodua Aruz Owner Club, sebelum kejadian, kedengaran pemandu Aruz tersebut, berbual dengan penumpangnya dan sempat memberikan tip pemanduan di lebuh raya bagi mengelakkan kemalangan. Menurut laporan MStar, pemandu Aruz itu, Nur Asyiqin Abdul Manaf sempat memberikan tip pemanduan berhemah kepada adiknya yang belum pernah memandu jarak jauh.

    Walau bagaimana pun, belum sempat topik itu dihabiskan, tiba-tiba lori di belakangnya merempuh kenderaan yang dipandu dan kedengaran Asyiqin melaungkan kalimah Allahuakhbar beberapa kali. Dalam kemalangan terbabit, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan parah.

     
     
  • Harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan baiki jalan rosak dan berlubang di Johor – Sultan Ibrahim

    Harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan baiki jalan rosak dan berlubang di Johor – Sultan Ibrahim

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berharap agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan untuk membaiki jalan yang rosak teruk dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing, laporan Harian Metro.

    “Saya berharap supaya peruntukan pembaikan jalan Persekutuan disalurkan untuk membaiki laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan amat membahayakan pengguna jalan raya. Habis rim kereta saya pun bengkok,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

    Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng-Senai kepada enam lorong.

    Harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan baiki jalan rosak dan berlubang di Johor – Sultan Ibrahim

    “Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendengar permintaan Johor dengan memberikan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Senai kepada enam lorong.

    “Kalau boleh, buatlah dari Gemas, buat apa separuh jalan. Kerajaan Pusat juga akan sediakan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar, satu-satunya lebuh raya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol,” titah baginda.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan beberapa projek naik taraf jalan raya Persekutuan dan lebuh raya.

    Antaranya projek naik taraf jaringan lebuh raya ke Pengerang, dengan membina lorong memotong di Senai-Desaru Expressway, serta projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan laluan Yong Peng Utara-Senai Utara Fasa 1 kepada enam lorong, membabitkan kos RM525 juta secara berfasa.

     
     
  • Nissan Sylphy facelift muncul di China – pilihan enjin petrol 1.6L 135 PS atau e-Power hibrid 136 PS

    Nissan Sylphy facelift muncul di China – pilihan enjin petrol 1.6L 135 PS atau e-Power hibrid 136 PS

    Nissan Sylphy yang diperkenalkan kali pertama di China pada tahun 2019 kini diberikan facelift, sebelum ia masuk ke pasaran Amerika Syarikat (AS) sebagai Sentra. Perubahan utama boleh dilihat pada bahagian hadapan, dengan gril V-Motion seakan model Altima/Teana facelift pasaran AS. Gril seperti dalam gambar adalah untuk model hibrid Sylphy e-Power, sementara model ICE biasa menggunakan gril dengan kemasan jalur melintang.

    Dua pakej kuasa disediakan untuk Sylphy facelift pasaran China ini, bermula dengan enjin petrol 1.6 liter berkuasa 135 PS pada 6,300 rpm dan tork 159 Nm pada 4,000 rpm, digabungkan bersama transmisi CVT untuk memacu dua roda hadapan. Laju maksimum model yang menggunakan enjin ini adalah 186 km/j, manakala penggunaan bahan api pula berada pada tahap 5.57 l/100 km.

    Pilihan kedua adalah enjin hibrid e-Power, yang menggunakan enjin 1.2 liter sebagai generator untuk penggerak elektrik yang mampu menghasilkan 136 PS dan tork 300 Nm melalui motor permanent magnet synchronous yang memacu roda hadapan. Laju maksimum varian ini adalah 165 km/j, sementara penggunaan bahan apinya berada pada 3.96 l/100 km.

    Kebanyakan bahagian badan model ini masih sama seperti sebelum facelift, manakala rim pula mendapat rekaan baru yang ditawarkan dalam saiz 16 dan 17 inci, dengan tayar masing-masing 205/60R16 dan 205/50R17.

    Pada bahagian dalam, sistem infotainmen ditambah baik dengan skrin sesentuh 12.3 inci resolusi 1920×720, sementara bahagian kabin mendapat lampu suasana termasuk di tepi pintu, tepi konsol tengah serta keliling corong pendingin hawa tengah. Kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk pengecas telefon tanpa wayar sehingga 15W, lapan pembesar suara Bose, brek parkir elektronik serta sistem kunci pintu automatik.

    Turut disediakan adlaah sistem ProPilot termasuk Intelligent Cruise Control, Forward Collision Warning, Accelerator Pedal Misoperation Mitigation (dengan tindak balas brek), Autonomous Emergency Braking, Rear Cross-Traffic Alert, Driver Fatigue Detection, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning dan Intelligent Trace Control.

     
     
  • BMW 330i facelift pasaran Malaysia dipertingkat – suspensi ditukar kepada jenis adaptif M Sport, RM320k

    BMW 330i facelift pasaran Malaysia dipertingkat – suspensi ditukar kepada jenis adaptif M Sport, RM320k

    Meskipun baru sahaja dilancarkan Januari lalu, BMW 330i kini diberikan penambah baikan apabila suspensinya ditukar kepada jenis adaptif M untuk menggantikan unit M Sport biasa sebelum ini. Harganya sekarang naik RM2,000, menjadi RM319,800 bersama jaminan dan pakej servis lanjutan, atau RM299,600 bersama tempoh jaminan biasa.

    Model 330i ini digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 258 PS pada 5,000 rpm dan tork 400 Nm antara 1,550 hingga 4,400 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda belakang. Dengan pakej ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Antara kelengkapan yang diberi pada bahagian luar adalah termasuk rim 18 inci Style 848 M dua tona yang berukuran lebar 7.5J di hadapan dan 8.5J di belakang, masing-masing dibalut tayar 225/45 dan 255/40.

    BMW 330i facelift pasaran Malaysia dipertingkat – suspensi ditukar kepada jenis adaptif M Sport, RM320k

    Pada bahagian dalam, 330i M Sport ini terus menggunakan Curved Display yang terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci dengan head-up display di hadapan pemandu, serta panel kawalan 14.9 inci. Turut disertakan adalah Connected Package Professional yang memberikan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bersama Remote Services dan ConnectedDrive dengan Intelligent Emergency Call dan Teleservices.

    Kelengkapan lain yang ada di bahagian dalam termasuk kawalan pendingin hawa tiga zon, Confort Access, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana, pakej tempat barangan serta tempat mengecas telefon tanpa wayar.

    Pada bahagian keselamatan ia mendapat pakej Driving Assistant yang termasuk Lane Departure and Lane Change Warning, Front Collision Warning, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention dan informasi had laju. Dalam pakej Parking Assistant yang diberi pula terdapat Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Lateral Parking Aid dan kamera undur.

    BMW 330i M Sport 2023

     
     
  • BMW 330Li M Sport facelift tiba di Malaysia – versi jarak roda panjang yang dipertingkat, harga RM305,600

    BMW 330Li M Sport facelift tiba di Malaysia – versi jarak roda panjang yang dipertingkat, harga RM305,600

    Seperti yang dijanjikan, BMW Malaysia telah melancarkan 330Li M Sport facelift (G28 LCI) untuk pasaran Malaysia, bersama dengan M340i untuk melengkapkan pilihan 3 Series facelift di Malaysia. Harganya adalah RM305,600 bersama dengan jaminan biasa dua tahun, atau RM325,800 bersama dengan jaminan dan pakej servis lima tahun.

    Harga ini menjadikan model jarak roda panjang (LWB) ini RM6k lebih mahal berbanding 330i biasa, RM27k lebih tinggi berbanding 330e dan RM42k lebih berbanding 320i. Walaupun begitu, ia masih kurang RM66k berbanding model prestasi M340i xDrive. Jika dibandingkan pula dengan 330Li sebelum facelift, versi LCI ini menyaksikan peningkatan harga sehingga RM20k.

    Sebagai model LWB, 330Li mendapat spesifikasi yang lebih premium dan bertumpukan kepada penumpang, dengan antaranya termasuk sistem suspensi lebih kepada keselesaan, bumbung panoramik serta papan pemuka dibalut kulit Sensatec. Sama seperti sebelum ini, 330Li juga mendapat muncung ekzos bentuk trapezoid, dan bukannya bulat seperti 320i, 330e dan 330i.

    Apabila dibandingkan dengan versi sebelum facelift, model baru ini mendapat kemasan M Sport LCI penuh termasuk lampu yang lebih nipis, gril kidney dengan kemasan dua jalur dan berwarna hitam (ShadowLine), bahagian dalam dipertingkat dengan Curved Display dari i4, tombol pemilih gear dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto yang diberikan terus (sebelum ini ia adalah pilihan tambahan).

    Rim pula adalah unit 18 inci Style 848 sama seperti 330Li sebelum facelift dan 320i/330e/330i baru, sementara di belakangnya terdapat sistem brek biasa seperti 320i dan bukannya angkup M Sport warna biru seperti 330e dan 330i. Pilihan warna badan terhad kepada Carbon Black, Mineral White, M Portimao Blue dan Skyscraper Grey, dipadankan bersama kemasan dalam Brown Mocha.

    Model 330 Li ini mendapat sistem suspensi khas yang lebih tinggi dan lembut (tidak boleh dilaras), manakala stereng pula menggunakan sistem biasa dan bukannya sistem sport variable seperti varian lain.

    Di bahagian dalam, G28 LCI ini mendapat butang kawalan galvanic (satu peningkatan berbanding varian lain), tetapi kemasannya masih menggunakan jenis piano black/aluminium biasa dan tempat duduk bukan jenis M Sport. Walaupun begitu, roda stereng masih menggunakan unit M Sport dan lapik bumbung masih menggunakan warna hitam. Pembesar suara ada 10, dan lebih sedikit berbanding 320i yang cuma ada enam.

    Melihat kepada dimensi, 330 Li mencatat jarak roda 110 mm lebih panjang berbanding barisan G20 yang lain, dan lebihan ini pergi ke bahagian pintu/tempat duduk belakang. Sama seperti model LWB sebelum ini, tempat duduk belakangnya tidak boleh dilipat.

    Penggerak masih tidak berubah, sama seperti 330i, iaitu unit 2.0 liter turbo B40 berkemampuan 258 PS dan tork 400 Nm, disambungkan kepada transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda belakang. Disebabkan badannya lebih berat berbanding 330i, pecutan 330Li menjadi sedikit lambat iaitu 0-100 km/j dalam 6.2 saat, tetapi laju maksimum masih kekal 250 km/j.

    Pada bahagian keselamatan ia mendapat Driving Assistant secara standard, yang termasuk Lane Departure Warning dengan maklum balas stereng aktif, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan maklum balas brek (AEB), Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Warning, Speed Limit Info dan manual Speed Limit Assist. ACC dan pemanduan autonomous Level 2 masih tiada.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya dibuka 3 petang ini – kami telah mencubanya; ini panduan untuk laluan rel baharu KV

    MRT Laluan Putrajaya dibuka 3 petang ini – kami telah mencubanya; ini panduan untuk laluan rel baharu KV

    Selepas ditangguhkan beberapa kali, akhirnya Lembah Klang (KV) telah pun memiliki laluan MRT yang kedua. MRT Laluan Putrajaya dilancarkan secara rasminya sebentar tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di depoh MRT Serdang, dan tren akan mula dibuka untuk kegunaan umum jam 3 petang ini.

    Semalam wakil kami, Danny Tan telah diundang untuk menyertai sesi taklimat khas untuk media, di mana kami telah diberikan penerangan lebih lanjut mengenai laluan baharu ini, malahan berpeluang untuk menaikinya.

    MRT Laluan Putrajaya memiliki jajaran sepanjang 57.7 km dengan 36 stesen. Ia bermula dari Kwasa Damansara (bandar baharu bersebelahan dengan Kota Damansara dan Sungai Buloh), di mana ia telah mula beroperasi sejak Disember 2016 sebagai sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, dan berakhir di Putrajaya Sentral, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

    Hari ini, pelancaran melibatkan jajaran sepenuhnya dengan pembukaan seksyen Fasa 2 sepanjang 38.7 km. Fasa 1 adalah dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah pun beroperasi sejak Jun 2022, tetapi ia terhad untuk kawasan sekitar Kepong/Jinjang dan Bandar Sri Famansara yang tidak boleh teruskan perjalanan ke pusat bandar KL dengan laluan berkenaan.

    Dengan jajaran sepanjang 57.7 km ini, 44.2 km adalah melibatkan laluan beraras tinggi, dengan 13.5 km pula jajaran bawah tanah. Sebanyak sembilan stesen berada di bawah tanah, dan ia adalah dari Sentul Barat (sepanjang Jalan Ipoh) ke Chan Sow Lin. Dua stesen inidi antaranya melibatkan laluan Titiwangsa (hab rel/bas besar, Rapid KL menyatakan ia adalah KL Sentral Kedua), Hospital Kuala Lumpur, Raja Uda (antara Jalan Tun Razak-Kg Baru), Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay dan Tun Razak Exchange (TRX).

    Laluan MRT baharu ini turut menghubungkan banyak rangkaian rel Lembah Klang. Sebanyak 10 stesen pertukaran/sambungan di antara laluan Putrajaya ini dengan setiap satunya melibatkan laluan tren sedia ada di Lembah Klang, dari Monorel hingga ke ERL.

    Peta jajaran dan senarai stesen pertukaran – klik untuk besarkan

    Sebagai permulaan, MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang bertemu di Kwasa Damansara dan TRX di ibu kota. Ini bermakna, mereka yang berada di bahagian selatan boleh ke PJ/Damansara dengan menaiki MRT – sebagai contoh, jurufoto kami, Patrick, yang tinggal berhamporan dengan stesen Taman Equine, boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya ke TRX dan dari situ bertukar ke Laluan Kajang. Dari situ, tidak mengambil masa yang lama untuk ke 1 Utama, salah satu lokasi popular untuk ke acara siri jelajah dan pelancaran kereta. Lebih menjimatkan masa dan kos.

    Manakala, Danny yang tinggal berhampiran dengan Pusat Bandar Damansara (Laluan Kajang) boleh menggunakan Laluan Putrajaya di TRX dan menuju ke Putrajaya bagi menghadiri acara larian di sana. katanya, dia ingin mencubanya suatu hari nanti. Jadi tidak perlulah dia memandu dalam kepenatan selepas menghabiskan acara lariannya pada awal pagi. Itu hanya sekadar contoh untuk memberikan gambaran yang lebih jelas berkaitan sambungan laluan sedia ada.

    Lain-lain stesen pertukaran adalah di Titiwangsa (KL Monorail, LRT Ampang/Sri Petaling), Chan Sow Lin (LRT Ampang/Sri Petaling) dan Sungai Besi (LRT Sri Petaling). Ampang Park (LRT Kelana Jaya Line) pula merupakan stesen sambungan dan bukan stesen pertukaran. Perbezaan ini ialah anda boleh menukar laluan di stesen sambungan, tetapi perlu ‘tap’/sentuh keluar dan masuk sekali lagi. Tetapi anda tidak perlu untuk ‘tap’ keluar sekiranya anda menukar tren di stesen pertukaran.

    Info laluan bas perantara Park & Ride – klik untuk besarkan

    Satu lagi stesen sambungan yang berada dalam laluan tetapi tidak dikendalikan oleh Rapid KL, melibatkan perkhidmatan KTM Komuter. Ia melibatkan stesen KTM Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur dalam jajaran yang sama (KTM Komuter Laluan Tg Malim-Port Klang), Kampung Batu (KTM Komuter Laluan Batu Caves – Pulau Sebang) dan Putrajaya Sentral (KLIA Transit).

    Sebelum kami berkongsi pengalaman menaiki tren dan berada di stesen berkaitan, kita bercerita pula pasal bas perantara dan Park & Ride, bagaimana hendak ke stesen MRT juga adalah penting bagi penumpang. Menurut Rapid KL, terdapat 31 laluan bas perantara yang meliputi 350 km. kadar tambangnya dari RM1 hingga RM2.40 (tanpa tunai sahaja) dan pemegang kad konsesi menerima diskaun 50%. Anda boleh mencubanya sekiranya bas berkenaan melalui kawasan kediaman anda.

    Jika bas perantara tidak melalui kawasan kediaman anda, apa yang boleh anda lakukan hanya pandu sahaja ke stesen. Untuk MRT Laluan Putrajaya terdapat 17 stesen ditampilkan dengan fasiliti Park & Ride, dengan sejumlah 6,416 petak parkir. Dan jumlah parkir juga bakal bertambah, termasuk bangunan parkir bertingkat di stesen Putrajaya Sentral yang sedang dalam pembinaan.

    Pembayaran menggunakan kad kini diterima menerusi mesin tiket baharu – klik untuk besarkan

    Kadar parkir pula ialah RM4.30 untuk setiap entri sehari (maksimum RM16.10 jika anda meletakkan kenderaan anda sepanjang malam), tetapi untuk menikmati kadar yang lebih berbaloi, gunakan saja kad Touch ‘n Go yang sama yang anda guna untuk ‘tap’/sentuh masuk dan keluar tren MRT. Jika anda dikesan sebagai bukan penggunaan MRT, anda perlu membayar parkir pada kadar RM3.30 untuk sejam pertama dan RM1.10 untuk setiap jam yang berikutnya. Jika anda sentuh masuk dan keluar di stesen yang sama tanpa menggunakan tren, anda perlu membayar mengikut kadar perjam yang ditentukan.

    Hendak makan atau membeli barangan di kawasan sekitar sebelum mengambil kenderaan anda? Anda mempunyai sekitar masa dua jam untuk pandu keluar dari tempat parkir selepas ‘tap’ keluar dari stesen. Untuk motosikal pula, kadar parkir yang dikenakan adalah RM1.10 sehari.

    Dalam sesi taklimat bersama pihak media semalam di stesen Putrajaya Sentral, di mana ia bersambung dengan perkhidmatan ERL menerusi stesen KLIA Transit – tidak perlu berjalan jauh, semuanya di bawah satu bumbung. Mesin tiket pula telah dipertingkatkan berbanding yang ada di MRT Laluan Kajang. Ia memiliki skrin yang lebih besar, tiga bahasa (BM, Mandarin dan Tamil), dan paling menarik, ia menerima pembayaran menggunakan kad debit/kredit! Ya, anda boleh membuat pembayaran untuk membeli tiket dengan menggunakan kad debit/kredit, atau pun tambah nilai kad TnG anda menggunakan mesin tersebut.

    Ciri mesra-OKU di dalam stesen dan tren

    Anda juga boleh melihat logo Visa dan Mastercard di kaunter perkhidmatan pelanggan. Di stesen ini juga bersifat mesra OKU termasuk menyediakan tandas khas OKU, permukaan laluan yang bersesuaian untuk golongan cacat penglihatan dan permukaan peralihan bercahaya dari tren ke platform untuk yang menggunakan kerusi roda.

    Selain peta laluan dan keseluruhan peta rangkaian rel, stesen ini juga mempunyai peta lokasi untuk menunjukkan kawasan sekitar stesen. Kami menaiki tren ke Chan Sow Lin (termasuk melalui trek bawah tanah berhampiran Taman Desa), dan stesen bawah tanah memiliki papan tanda yang akan membantu anda untuk keluar ke laluan yang betul, dengan gambar kecil bangunan atau mercu tanda pada peta berkenaan.

    Chan Sow Lin merupakan stesen pertukaran dengan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, di mana ia turut menampilkan jejantas pejalan kaki yang menghubungkan kedua-dua stesen MRT-LRT.

    Papan tanda yang mudah difahami

    Berkenana dengan tren pula, MRT Laluan Putrajaya memiliki 49 unit tren elektrik dan setiap satunya mempunyai empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Ia merupakan tren dengan sistem tanpa pemandu automatik sepenuhnya, tetapi ia juga boleh dipandu secara manual sekiranya diperlukan.

    Sewaktu sesi taklimat ini, kami turut diberikan peluang untuk melihat ruang kawalan di dalam tren. Malah, kami juga ditunjukkan ‘panel rahsia’ di tepi tren yang tersembunyi ruang penyimpanan kerusi roda untuk kegunaan kecemasan. Selain itu, terdapat juga CCTV di dalam tren untuk tujuan pengawasan dan keselamatan.

    Jika melihat wajah tren MRT Laluan Putrajaya ini, bahagian hadapannya seperti ‘muncung itik’.
    Ia kelihatan berbeza dengan tren MRT Laluan Kajang yang lebih futuristik dan dengan imej yang lebih ‘kayangan’.

    Bila berada di dalam tren, memang ralit memerhatikan segenap sudut (bagi yang tidak leka menghadap telefon pintar). Kami dapati tren MRT Laluan Kajang memiliki tingkap yang lebih besar berbanding tren Laluan Putrajaya. Jadi pandangan ke luar sedikit terhad, terhalang oleh bingkai tingkap tersebut.

    Trek ‘muncung-itik’ MRT Laluan Putrajaya dan ciri yang tersembunyi

    Untuk kebanyakan pekerja di sekitar pusat bandar, MRT Laluan Putrajaya dilihat sebagai ‘game changer’ untuk menjimatkan lebih banyak masa dan duit (RM50 sebulan untuk pengguna pas perjalanan My50 bagi rangkaian pengangkutan di bawah kendalian Rapid KL), dan stesen Hospital Kuala Lumpur pula dilihat banyak memberikan manfaat buat warga emas dan sesiapa sahaja yang mendapatkan rawatan di sana termasuk juga Hospital KPJ Tawakal yang berhampiran. Stesen HKL ini juga dilengkapi dengan laluan pejalan kaki automatik seperti di lapangan terbang.

    Waktu operasi MRT Laluan Putrajaya adalah dari jam 6 pagi hingga ke tengahmalam. Kekerapan tren ketika waktu puncak hari biasa adalah setiap empat hingga enam minit, sementara untuk waktu bukan puncak pula antara tujuh hingga 10 minit. Untuk waktu hujung minggu dan cuti umum pula, kekerapan tren adalah setiap tujuh hingga 15 minit.

    Berkenaan dengan waktu perjalanan, Rapid Kl berkata, perjalanan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentrak mengambil masa selama 84 minit.

    Pemandangan dan mercu tanda yang boleh dilihat, Putrajaya-KL

    Dalam pelancarannya sebentar tadi, Perdana Menteri turut mengumumkan kadar tambang percuma diberikan untuk semua pengguna MRT Laluan Putrajaya sehingga 31 Mac 2023. Jadi, inilah masa yang paling sesuai untuk anda mencuba menggunakan perkhidmatan tren ini. Boleh bawak anak-anak menaikinya sementara cuti sekolah masih berlangsung.

    Sebelum itu, anda boleh melihat galeri foto di bawah yang memaparkan stesen, fasiliti, tren dan pemandangan di sepanjang perjalanan yang sempat kami rakamkan semalam. Bolehlah meningkatkan keterujaan anda untuk mencuba perkhidmatan tren baharu ini. Jom naik MRT!

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya dilancar, kadar tambang percuma dari jam 3 petang ini hingga 31 Mac

    MRT Laluan Putrajaya dilancar, kadar tambang percuma dari jam 3 petang ini hingga 31 Mac

    MRT Laluan Putrajaya telah pun dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi. Dalam majlis yang berlangsung di depoh MRT di Serdang, Anwar turut mengumumkan perkhidmatan ini boleh digunakan secara percuma mulai hari ini sehingga 31 Mac 2023.

    Kata beliau, perkhidmatan percuma itu dari stesen MRT Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral ditawarkan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya bermula jam 3 petang ini.

    MRT Laluan Putrajaa memiliki jajaran sepanjang 57.7 km dengan 36 stesen. Ia bermula dari Kwasa Damansara (bandar baharu bersebelahan dengan Kota Damansara dan Sungai Buloh), di mana ia telah mula beroperasi sejak Disember 2016 sebagai sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, dan berakhir di Putrajaya Sentral, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

    Dengan jajaran sepanjang 57.7 km ini, 44.2 km adalah melibatkan laluan beraras tinggi, dengan 13.5 km pula jajaran bawah tanah. Sebanyak sembilan stesen berada di bawah tanah, dan ia adalah dari Sentul Barat (sepanjang Jalan Ipoh) ke Chan Sow Lin. Dua stesen ini di antaranya melibatkan laluan Titiwangsa (hab rel/bas besar, Rapid KL menyatakan ia adalah KL Sentral Kedua), Hospital Kuala Lumpur, Raja Uda (antara Jalan Tun Razak-Kg Baru), Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay dan Tun Razak Exchange (TRX).

     
     
  • JPJ eBid: Siri TCR kini dibuka untuk dibida

    JPJ eBid: Siri TCR kini dibuka untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Terengganu, TCR, telah pun dibuka bidaan sejak semalam, 15 Mac 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 19 Mac ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 20 Mac 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • KPDN cadang wujudkan kemudahan pinjaman pembiayaan kenderaan dan insurans untuk bantu B40

    KPDN cadang wujudkan kemudahan pinjaman pembiayaan kenderaan dan insurans untuk bantu B40

    Bagi membantu golongan B40, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang mewujudkan kemudahan pinjaman pembiayaan pembelian kenderaan dan insurans di bawah inisiatif Payung Rahmah.

    Menurut Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, beliau akan mengadakan beberapa libat urus bersama institut perbankan dan syarikat insurans, bagi memperhaluskan inisiatif tersebut, laporan Bernama

    “Insya-Allah akan ada insurans Rahmah yang boleh ditawarkan kepada rakyat yang memang tidak mampu beli kereta baharu dan hanya mampu beli kereta terpakai, tetapi ada skim perlindungan untuk kereta mereka,” katanya kepada pihak media hari ini.

    Untuk merealisasikan cadangan tersebut, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk menyatakan hasratnya bertemu dengan tokoh-tokoh perbankan.

    KPDN cadang wujudkan kemudahan pinjaman pembiayaan kenderaan dan insurans untuk bantu B40

    Tambah beliau, Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan, memberi pandangan positif terhadap konsep tersebut serta bersedia memberi kerjasama bagi menjayakannya.

    Jika perkara ini berjaya direalisasikan, pastinya memberikan kelegaan buat golongan B40 yang memerlukan kenderaan sendiri sebagai pengangkutan utama, walau pun sekadar memiliki kenderaan terpakai. Selain itu, ia juga dilihat dapat membantu meringankan beban mereka dalam memperbaharui insurans kenderaan.

    Apa pun, diharap pihak pembankan yang terlibat lebih munasabah dalam mewujudkan terma dan syarat, serta tidak membebankan pengguna di kemudian hari, termasuk berkaitan dengan peningkatan kadar OPR.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Mac – semua masih dikekalkan

    Harga minyak 16-22 Mac – semua masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel untuk minggu bertarikh 16 hingga 22 Mac 2023. Ini merupakan minggu ke-12 harga runcit petrol dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

    Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

    Seperti yang diketahui, Kejohanan Rali Dunia (WRC) kini sudah pun mula menggunakan teknologi hibrid elektrik menerusi kategori Rally1 sebagai kelas tertinggi menggantikan kategori WRCar bermula musim tahun lalu. Jentera baharu ini menggandingkan enjin 1.6 liter turbo dari WRCar berkuasa sekitar 380 hp bersama motor elektrik bagi memberikan kuasa tambahan 134 hp, menjadikan kuasa keseluruhannya berjumlah 520 hp.

    Walau bagaimanapun keseluruhan kuasa tersebut tidak dapat digunakan sepanjang masa. Ia hanya berfungsi apabila cukup kuasa elektrik dicas semula menggunakan sistem pemulihan tenaga dan memberikan tujahan boost elektrik selama beberapa saat ketika memecut.

    Tambahan pula dengan kotak gear sequential enam-kelajuan bersama pedal penukar gear tidak lagi boleh digunakan dan digantikan dengan kotak gear lima-kelajuan sequential hanya dengan tuil tangan, berat keseluruhan bertambah 70 kg, kesan aerodinamik yang perlu dikurangkan 15% berbanding sebelum ini, tiada lagi unit differential tengah dan strok penyerap hentak juga dikurangkan, prestasi jentera Rally1 ini dilihat masih setara berbanding jentera WRCar sebelumnya.

    Namun untuk Rally Mexico yang bakal berlangsung hujung minggu ini iaitu bermula 16 hingga 19 Mac nanti, teknologi hibrid ini mungkin akan menyaksikan jentera Rally1 bakal mencatatkan masa yang lebih pantas berbanding jentera WRCar sebelum ini.

    Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

    Ini kerana salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh semua pasukan dalam WRC Mexico adalah ia diadakan pada kawasan berbukti dengan altitud yang agak tinggi, menyebabkan kadar udara di kawasan berkenaan lebih nipis dari biasa. Dengan udara yang nipis, enjin turbo pada jentera-jentera rali tersebut akan menghasilkan kuasa yang kurang sekitar 25% dari biasa.

    Namun untuk sistem hibrid elektrik, ia tidak akan terjejas dengan kadar udara yang nipis berkenaan. Jadi dijangkakan tujahan boost 134 hp dari sistem hibrid elektrik jentera-jentera Rally1 ini akan memberikan pemanduan lebih berkuasa dari jentera-jentera WRCar sebelum ini.

    “Ia akan menjadi menarik dengan kuasa tambahan ini. Sudah tentu, kami akan dapat rasakan boost bila kami dapat – ia sangat penting untuk memastikan kami sudah cukup semuannya dan bersedia untuk mengambil manfaat sepenuhnya dari sistem hibrid dan kuasa tambahan,” kata pelumba pasukan Hyundai, Thierry Neuville.

    “Apabila kami memperolehi boost, kami pastinya mempunyai kereta paling berkuasa pernah kami pandu di Mexico – tetapi ia juga merupakan cabaran yang besar. Ini merupakan kali pertama kami membawa kereta ini ke altitud sebegini dan ia juga merupakan rali permukaan batu kerikil pertama untuk musim ini,” tambahnya.

    Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

    Bagi pengarah teknikal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing (TGR WRT) Tom Fowler pula, kelebihan kuasa tambahan ini memang sudah dijangka, namun dia masih risau dengan perkara lain membabitkan sistem penyejukan.

    “Memang benar untuk fikirkan bahawa kita mendapat kuasa lebih besar dari sebelum ini – kuasa elektrik tidak akan terjejas dengan altitud seperti enjin pembakaran dalaman biasa, tapi kita perlu ingat bahawa kereta dan bateri masih perlu disejukkan oleh udara yang lebih nipis di ketinggian sebegitu. Udara yang lebih nipis ini tidak akan memberikan penyejukan yang berkesan, jadi agak menarik untuk dilihat apa yang bakal terjadi,” kata Fowler.

    Tahun ini menyaksikan Rally Mexico diadakan semula setelah ia digugurkan dari kalendar WRC selepas musim 2020. Ia juga merupakan rali di atas permukaan gravel pertama untuk musim ini selepas pusingan pertama di atas permukaan tar dan juga salji di Monte Carlo pada Januari dan permukaan salji sepenuhnya di Rally Sweden yang berlangsung bulan lalu.

     
     
  • Honda CL300 dan CL500 masuk pasaran Thailand

    Honda CL300 dan CL500 masuk pasaran Thailand

    Nampaknya Honda CL300 yang dilancarkan di China Disember tahun lalu tidak akan menjadi model khusus untuk negara itu apabila ia turut dilancarkan hari ini di Thailand, bersama ‘abangnya’, CL500. Bagi CL500, ia pertama kali ditunjukkan kepada dunia November tahun lalu di pameran EICMA.

    Kedua-dua model ini membawa bentuk ala scrambler dengan ekzos yang terletak tinggi, tangki melengkung, tempat duduk rata serta lampu hadapan bulat. Tayar yang dipasang pada rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang bagaimanapun masih adalah tayar kegunaan jalan biasa.

    Bagi CL300, ia digerakkan oleh enjin satu silinder DOHC 286 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dan klac jenis slip & assist, menghasilkan kuasa maksimum 25.7 hp. Brek cakera depan dan belakang motosikal ini turut dilengkapi dengan ABS.

    Untuk CL500 pula, ia sebenarnya menggunakan enjin yang sama seperti barisan model CB500, iaitu unit dua silinder DOHC 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan 46 hp pada 8,500 rpm dan 43.4 Nm tork pada 6,250 rpm – tiada mod tunggangan yang disediakan. Bagi menyesuaikan enjin ini dengan karekternya, sprocket belakang telah dibesarkan menjadi 41 mata, berbanding 40 pada Rebel CMX500.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada CL500 adalah termasuk brek cakera 310 mm tunggal dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston – lengkap dengan ABS dual-channel, panel meter LCD berbentuk bulat, semua lampu jenis LED serta tangki bahan api 12 liter.

    Untuk harga, CL300 dijual dalam lingkungan yang sama seperti CRF300L, iaitu bermula pada 149,900 baht (RM19,443), sementara CL500 pula bermula 226,800 baht (RM29,418), sedikit tinggi berbanding CB500X (224,900 baht/RM29,171).

    GALERI: Honda CL300 pasaran Thailand

    GALERI: Honda CL500 pasaran Thailand

     
     
  • Volkswagen Golf R-Line tidak lagi dijual di Malaysia

    Volkswagen Golf R-Line tidak lagi dijual di Malaysia

    Kebiasaannya model pemasangan tempatan memiliki kestabilan jualan di pasaran, namun ternyata tidak semua model memiliki nasib yang sama. Adakalanya, ia berakhir agak pantas, walau pun bukan kerana kekurangan komponen untuk pemasangan model terbabit.

    Ini termasuklah dengan model Volkswagen Golf TSI R-Line Mk8. Diumumkan sebagak model CKD pada Oktober 2021 dan dipertontonkan sebulan selepasnya, ia mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan, dijangkakan pada Februari 2022, namun hanya Julai tahun lalu harga rasminya didedahkan.

    Pada tika itu, harganya diumuumkan mencecah RM170,560, lebih tinggi dari yang dijangka iaitu antara RM155k hingga RM165k seperti yang dinyatakan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pada Februari tahun lalu.

    Dan setahun selepas harganya diumumkan, kini R-Line tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, dan perkhabaran ini disahkan selepas ia tidak lagi tersenarai dalam barisan model semasa menerusi laman web Volkswagen Malaysia.

    Sebab utama ia digugurkan dalam pasaran Malaysia tidak pula diketahui. Tidak mungkin disebabkan kekurangan ciri kelengkapan yang ditawarkan. Untuk R-Line ini, ia dijanakan oleh enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan kuasa 150 PS dan 250 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Dilaporkan jualan model ini baik, namun mungkin tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

    Malahan soal harga juga mungkin menjadi asbabnya. Dan mungkin juga peningkatan kos produksi juga antara penyebab ia terpaksa dikeluarkan dari model CKD Volkswagen di sini. Namun jika anda masih memasang impian untuk membeli Golf Mk98 baharu, anda ada pilihan lain yang masih disenaraikan, sama ada versi Golf GTI atau pun Golf R.

     
     
  • Yamaha NMax pasaran Malaysia dapat warna baru

    Yamaha NMax pasaran Malaysia dapat warna baru

    Yamaha NMax V2 yang dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada Disember 2020 kini diperkenalkan dalam dua warna baru iaitu merah dan biru. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Malaysia adalah RM9,798, tidak termasuk insurans dan juga cukai jalan.

    Model ini sudah dua kali diberikan pembaharuan warna, dan kali terakhir adalah pada bulan Julai 2022. Pada waktu itu, selain diperkenalkan dalam warna baru, harganya juga meningkat sedikit menjadi RM9,498. Kini dengan harga baru yang dikeluarkan, ia sekali lagi menunjukkan peningkatan.

    NMax dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi jenis automatik CVT.

    Model yang dipasarkan di Malaysia adalah antara yang paling ringkas jika dibandingkan dengan negara lain, dan ia tidak mempunyai Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar.

    Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Pertandingan Hot Wheels X Proton untuk kanak-kanak; reka kad blister untuk model edisi khas Saga 1985!

    Pertandingan Hot Wheels X Proton untuk kanak-kanak; reka kad blister untuk model edisi khas Saga 1985!

    Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, syarikat permainan dari Amerika Syarikat, Mattel telah mengumumkan kerjasamanya dengan jenama automotif nasional, Proton bagi menghasilkan model die-cast skala 1/64 Proton Saga generasi pertama 1985 sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia.

    Bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan, Mattel dan Proton kini menganjurkan pertandingan rekaan kad blister Hot Wheels untuk pakej Proton Saga tersebut yang akan dihasilkan untuk versi edisi terhad, dan pertandingan ini dibuka hanya untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun pada 1 Mac 2023.

    Untuk menyertai pertandingan ini, anda terlebih dahulu perlu memuat turun templat yang disediakan oleh penganjur pada PAUTAN INI. Rekaan berkenaan perlu dihasilkan dengan tema yang menyerlahkan maksud “Kereta Nasional Malaysia”. Peserta boleh menghasilkan rekaan ini dengan pelbagai material seperti pensel warna, krayon, warna air, pen berwarna dan sebagainya, tetapi sebarang perisian aplikasi rekaan digital adalah dilarang.

    Ada dua cara bagi menghantar hasil karya untuk pertandingan ini. Pertama adalah secara atas talian iaitu dengan mendaftar, scan dan muatnaik hasil rekaan berkenaan menerusi PAUTAN INI sebelum 11:59 pm 25 April 2023, serta lengkapkan slogan “I LOVE Hot Wheels because…” tidak melebihi 20 patah perkataan.

    Cara kedua adalah menerusi acara fizikal yang akan diadakah oleh Hot Wheels Malaysia di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang pada 8 hingga 19 Mac dan juga di Sunway Pyramid Mall, Kuala Lumpur pada 18-25 April. Seperti yang disebut tadi, rekaan terbaik yang memenangi hadiah pertama pertandingan ini akan digunakan pada kad blister sebenar Hot Wheels Proton Saga 1985 Edisi Terhad yang akan dipasarkan di seluruh negara bermula awal 2024.

    Para pemenang akan menerima hadiah masing-masing ketika berlangsungnya acara Art of Speed 2023 yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Selangor pada 29 dan 30 Julai ini, dan senarai pemenang akan diumumkan di laman Facebook Hot Wheels Malaysia sebulan sebelum itu.

    Pertandingan Hot Wheels X Proton untuk kanak-kanak; reka kad blister untuk model edisi khas Saga 1985!

    Tiga pemenang utama akan membawa pulang hadiah lumayan di mana tempat pertama akan menerima wang tunai RM500, produk Hot Wheels bernilai RM800, barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels, dan juga mock-up istimewa untuk rekaan kad blister yang dihasilkan untuk Saga edisi terhad berkenaan.

    Tempat kedua akan menerima wang tunai RM350 bersama produk Hot Wheels bernilai RM500 dan barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels, manakala tempat ketiga pula akan diberikan wang tunai RM200 bersama produk Hot Wheels bernilai RM300 serta barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels.

    Jadi apa lagi? Klik pautan yang telah kami sediakan di atas, muat turun templat dan mulakan rekaan sekarang!