Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Stesen Kereta Api Kajang 2 mula beroperasi 13 Mac ini

    Stesen Kereta Api Kajang 2 mula beroperasi 13 Mac ini

    Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah mengumumkan Stesen Kereta Api Kajang 2 akan mula beroperasi Isnin ini, 13 Mac 2023. Pembukaan stesen berkenaan bakal memberikan pilihan kepada penduduk di Kajang dan Bangi untuk menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih selamat dan kondusif.

    Menurut RAC, Stesen Kereta Api Kajang 2 ini melibatkan 46 perkhidmatan tren beroperasi pada hari bekerja dan 33 perkhidmatan pada hari minggu dan hari kelepasan am. Perkhidmatan tren pertama adalah pada 6.15 pagi dari Stesen Kajang 2 menuju stesen KL Sentral dan tren terakhir dari KL Sentral ke Kajang 2 pada 10.45 malam hari bekerja.

    Manakala pada hari minggu dan kelepasan am, tren pertama dari Kajang 2 ialah 7.11 pagi dan tren terakhir dari KL Sentral pada 10.43 malam manakala kekerapan tren adalah 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.

    Stesen Kereta Api Kajang 2 mula beroperasi 13 Mac ini

    “Para pengguna digalakkan untuk menggunakan kad Komuter Link atau Touch ’n Go sebagai mod bayaran sebagai kelancaran pergerakan ke destinasi dan mengurangkan kesesakan di stesen.

    “Stesen Kajang 2 ini juga memiliki 500 petak parkir, fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU), lapan kios dan jejantas pejalan kaki dengan lif serta mampu mengendalikan 400 penumpang pada satu-satu masa,” menurut RAC dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah RAC, dua stesen kereta api berhampiran iaitu Stesen Kajang dan Bangi masing-masing mencatatkan jumlah pengguna seramai 1,328 sehari atau 484,688 orang setahun dan 624 orang atau 227,611 orang setahun pada tahun lepas.

     
     
  • MIROS dan UTAC bangunkan kriteria ujian motosikal OASIM demi tingkatkan keselamatan atas jalan raya

    MIROS dan UTAC bangunkan kriteria ujian motosikal OASIM demi tingkatkan keselamatan atas jalan raya

    Dengan motosikal kini menyumbang 43% kepada kematian atas jalan raya di Asia Tenggara, ASEAN NCAP (Program Penilaian Kenderaan Baru ASEAN) berhasrat menyediakan pengeluar dan pengilang kenderaan dengan kelengkapan penilaian serta pembangunan keselamatan yang bersesuaian.

    Dipanggil sebagai OASIM Project, atau Peningkatan Keselamatan Motosikal Menyeluruh Pasaran ASEAN, ia melibatkan kerjasama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan UTAC, iaitu satu kumpulan antarabangsa yang terlibat dengan pengangkutan digital dan mapan serta penyelesaian sistem dan ujian boleh ubah.

    Sebagai langkah pertama, OASIM telah membuat kajian terhadap keadaan perlanggaran utama yang melibatkan motosikal dengan kereta menggunakan data yang diperoleh dari Thailand dan Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kepada pengenalan sistem yang berkemungkinan dapat membantu mengelak atau mencegah perlanggaran sebegini, atau mengurangkan kesan perlanggaran sama ada kepada pemandu/penunggang, ataupun penumpang kedua-dua kenderaan.

    MIROS dan UTAC bangunkan kriteria ujian motosikal OASIM demi tingkatkan keselamatan atas jalan raya

    Projek ini juga telah mengenalpasti senario ujian yang akan dimasukkan ke dalam protokol penilaian ASEAN NCAP 2026, di mana ia akan membawa kepada lebih kesejahteraan dan keselamatan kepada motosikal dan juga kereta.

    Berkenaan kriteria pula, antara yang dikenal pasti adalah aspek visual, daya pemantulan radar dan karekter pengesan LIDAR. Selain daripada itu, sasaran juga sepatutnya boleh bertahan dengan impak dan kekal tahan tanpa merosakkan kenderaan ujian.

     
     
  • Kawasaki Vulcan S kembali ke Malaysia – RM36,500

    Kawasaki Vulcan S kembali ke Malaysia – RM36,500

    Kawasaki Vulcan S kini tiba kembali ke dalam pasaran Malaysia, dengan dijual dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Flat Spark Black pada harga RM36,500 dan Pearl Matte Saga Green berharga RM37,200. Ia akan mula berada di wakil pengedar EMOS penghujung bulan Mac ini.

    Vulcan S adalah sebuah motosikal cruiser kelas pertengahan, yang dipacu oleh enjin dua silinder selari, penyejukan cecair 649 cc DOHC, berkuasa 59.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 62.4 Nm pada 6,600 rpm, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem rantai ke roda belakang.

    Tinggi tempat duduk Vulcan S cuma 705 mm, menjadikan ia mudah ditunggang pelbagai golongan, dan mencatat berat 229 kg. Motosikal ini juga datang dengan sistem Ergo Fit, yang membolehkan penunggang melaras kedudukan pemegang, tempat duduk dan peletak kaki untuk menjadikannya selesa mengikut kesesuaian sendiri.

    Kawasaki Vulcan S kembali ke Malaysia – RM36,500

    Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal 272 mm yang berada pada rim 18 inci hadapan, sementara pada rim 17 inci di belakang terdapat cakera brek 217 mm. Sistem ABS diberikan secara standard dan tayar yang digunakan masing-masing bersaiz 120/70 untuk hadapan dan 160/60 untuk belakang.

    Pada bahagian suspensi, Vulcan S mendapat fork teleskopik tanpa sebarang pelarasan di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tangki bahan api model ini adalah14 liter

     
     
  • Laluan masuk dari Lebuhraya Sprint ke Jalan Maarof, Bangsar masih ditutup hingga Disember 2023

    Laluan masuk dari Lebuhraya Sprint ke Jalan Maarof, Bangsar masih ditutup hingga Disember 2023

    Menurut laporan oleh The Star, pengguna jalan raya perlu bersabar sehingga Disember ini sekiranya ingin menggunakan Damansara Link di Lebuhraya Sprint untuk menghala ke Jalan Maarof, Bangsar.

    Ia bagi memberikan laluan kepada pembinaan laluan flyover dengan tiga lorong sepanjang 1.34 km menghala ke Jalan Semantan, yang menggantikan laluan di Jalan Johor. Damansara Link ditutup sejak akhir Oktober tahun lalu, dan penutupan yang berpanjangan berkemungkinan akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas.

    Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, projek pembinaan jalan tersebut dilanjutkan disebabkan beberapa faktor, termasuk cuaca buruk dan kelewatan dalam penghantaran material bagi projek berkenaan.

    Pengguna jalan raya yang datang dari arah Petaling Jaya menuju ke Bangsar boleh melalui Jalan Beringin-Jalan Damanlela-Jalan Damansuria. Anda juga dinasihati agar menggunakan antara empat laluan alternatif ketika waktu puncak, iaitu Penchala Link, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kerinchi Link dan juga Jalan Universiti.

     
     
  • Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Mengotakan janjinya untuk melancarkan Nissan Leaf facelift 2023 hari ini, pengedar rasminya di pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan kenderaan elektrik (EV) penuh ini
    ditawarkan dengan harga atas jalan RM168,888 termasuk pengecualian cukai jualan dan cukai jalan tetapi tidak termasuk insurans.

    Malahan sempena pelancarannya juga, ETCM turut menawarkan Program Langganan LEAF demi memberikan pengalaman pemilikan tanpa kerisauan. Dengan Program Langganan, tiada bayaran terdahulu diperlukan dan pemilik hanya membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama tiga tahun (tertakluk pada terma dan syarat).

    Menurut ETCM, dengan Pelan Langganan LEAF ini, pelanggan tanpa perlu dibebani dengan kereta jangka panjang kerana tempoh langganan yang pendek. “Bagi pelanggan yang ingin menaik taraf kepada model Nissan lain apabila tempoh program langganan tamat, pelanggan tidak perlu risau pelupusan kereta; pulangkan Nissan LEAF dan pilih kereta Nissan lain atau tamatkan sahaja kontrak tiga tahun,” ujar ETCM.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Untuk pasaran Malaysia, Leaf facelift 2023 hanya ditawarkan dengan varian tunggal yang dilengkapi bateri lithium-ion 40 kWh. Seperti mana model yang dilancarkan pada tahun 2019, versi 2023 ini juga masih diberikan motor elektrik tunggal EM57 pacuan roda hadapan yang mampu mencapai sehingga 148 hp (150 PS atau 110 kW) dan tork 320 Nm, dan boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum cecah 155 km/j.

    Dengan satu cas penuh, EV ini mampu untuk bergerak sejauh 311 km dalam kitaran ujian NEDC.
    Seperti model terdahulu, Leaf direka bagi membolehkan ia dicas semula dengan dua jenis penyambung iaitu Type 1 (pengecas AC dengan kadar cas maksima 6.6 kW) dan CHAdeMO (pengecas DC pantas dengan kadar cas maksima 50 kW dalam masa sekitar 60 minit) – kedua-dua soket berkenaan terletak pada “hidung” kereta ini.

    Dengan kaedah cas biasa menerusi wallbox pada kadar 6.6 kW, bateri Leaf memerlukan lima hingga tujuh jam untuk mendapatkan kuasa penuh. Jadi jika Nissan Leaf dicas menggunakan pengecas awam 230V/16A 3.7 single-phase atau 230V/13A 3.0 kW single-phase di Malaysia, ia mungkin mengambil masa sekitar 10 hingga 12 jam.

    Leaf 2023 kini ditampilkan dengan gril hadapan aero hitam sepenuhnya, dengan padanan bampar bawah yang direka semula, sekaligus memberikan gaya yang lebih kemas. Selain itu, ia juga menampilkan lampu utama dengan kamaşan dalaman hitam baharu. Menyerlahkan lagi imejnya, ia diberikan aero spoiler yang direka semula, diffuser dengan serlahan kelabu dan set rim aloi lima-jejari 17-inci yang lebih sporty.

    Ciri lain yang dikekalkan termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED bentuk boomerang, dan lampu belakang kombinasi LED. Sama seperti model terkini Nissan yang lain, Leaf 2023 turut menggunakan lencana Nissan baharu untuk penampilan luaran dan dalaman termasuk pada bampar hadapan dan belakang serta pada roda stereng.

    Menjengah bahagian kabinnya, tiada perubahan yang dilakukan. Walau bagaimana pun, Nissan memberikannya skrin sesentuh infotainmen lapan-inci baharu dengan fungsi Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan pengesan suara, Selain itu, cermin pandangan belakang pintar baharu juga diberikan. Selain itu, ruang dalaman juga masih mengekalkan kemasan balutan kulit Alcantara, pendingin hawa automatik dengan fungsi pemasa (timer), kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Dengan tempat duduk belakang direbahkan, ruang barangan yang tersedia mencecah 1,176 liter dalam keadaan tempat duduk penumpang belakang dibaringkan dan sekitar 435 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua ditegakkan.

    EV ini juga mengekalkan ciri e-Pedal yang membolehkan pemandu menggunakan hanya satu pedal kaki – tekan untuk bergerak dan lepaskan untuk membrek – dan mengaplikasikan kaedah regenerative braking. Aspek keselamatan yang diberikan masih kekal dengan sistem Nissan Safety Shield yang kini ditambah dengan ciri Intelligent Lane Intervention dan Intelligent Lane Departure, Intelligent Rear View Mirror dan Bantuan Lampu Tinggi.

    Selain itu, ia masih mengekalkan enam beg udara SRS, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, pengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, peninjau pintar 360-darjah serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak selain ciri standard seperti kawalan kestabilan, ABS dengan Bantuan Brek dan Bantuan Mula Mendaki.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Model baharu ini juga telah pun menerima penarafan keselamatan lima-bintang daripada Program
    Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP). Ini merupakan penarafan tertinggi untuk penilaian
    termasuk ujian perlanggaran kenderaan serta prestasi pelbagai sistem keselamatan aktif. Selain itu, Leaf juga lulus dalam ujian perlindungan kejutan elektrik JNCAP yang mengukur aspek
    khusus EV.

    Leaf 2023 ditawarkan dengan tujuh pilihan warna luaran dengan setiap satunya digandingkan dengan warna Super Black untuk bahagian bumbung. Warna tersebut ialah Stealth Grey, Akatsuki Sunrise Copper, Opera Mauve, Vivid Blue, Midnight Black, Burgundy dan Pure White Pearl. Manakala dua pilihan warna premium untuk kabin masih kekal dengan Graphite Black dan Stone Grey.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Ia turut hadir dengan waranti kenderaan selama tiga tahun atau 100,000km serta waranti bateri lithium-ion selama lapan tahun atau 160,000km. Dengan selang servis berjadual 20,000 km, Leaf hanya memerlukan sekitar RM300 setahun dan kos penyelenggaraan ini boleh dianggap amat berpatutan.

    “Untuk tempoh terhad, ETCM turut menawar pemilik kereta dengan ganjaran istimewa. Di mana bagi
    pelanggan yang membeli Leaf boleh mendapatkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) untuk mengecaskan kenderaan elektrik di stesen pegecas awam (107 pengecas AC Type 2 dan 30 pengecas pantas DC CHAdeMO dengan 600 kredit seluruh negara) serta tinting sejuk percuma bernilai RM2,200.

    “Manakala, pelanggan yang memilih program langganan turut menikmati diskaun 50% bagi tinting sejuk dan RM300 subsidi bagi keahlian JomCharge selama 12 bulan,” kata ETCM lagi.

     
     
  • JPJ ambil tindakan terhadap pengusaha e-hailing Maxim – lebih 4,000 kenderaannya tiada permit EVP

    JPJ ambil tindakan terhadap pengusaha e-hailing Maxim – lebih 4,000 kenderaannya tiada permit EVP

    Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan Ops e-Hailing yang memfokuskan kepada pengoperasian Syarikat Pengendali Perniagaan Pengantaraan (EHO) yang membenarkan kenderaan tidak berdaftar atau pun tiada permit kenderaan e-Hailing (EVP) yang sah.

    “Hasil daripada pemantauan dan risikan selama 14 hari, pihak JPJ mendapati sebuah syarikat EHO yang mengendalikan aplikasi Maxim kepada orang ramai secara dalam talian dikesan telah melanggar Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana beroperasi tanpa EVP yang sah. Syarikat berkenaan yang beroperasi di Kuantan, menawarkan perkhidmatan e-Hailing di sekitar Putrajaya dan Pahang.

    “Daripada 5,000 kenderaan aktif yang menggunakan aplikasi Maxim, hanya 402 kenderaan sahaja yang memiliki EVP. Dalam operasi berkenaan juga, beberapa peralatan dan dokumen syarikat seperti komputer, papan iklan, banner dan bunting telah dirampas dan disita untuk siasatan di bawah Seksyen 222 APAD 2010,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    JPJ ambil tindakan terhadap pengusaha e-hailing Maxim – lebih 4,000 kenderaannya tiada permit EVP

    Tambah JPJ lagi, jika disabit kesalahan dii bawah Seksyen 12A (9) APAD 2010, pengusaha syarikat terbabit berhadapan dengan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

    “Ekoran daripada itu, pihak JPJ ingin menasihati mana-mana syarikat yang hendak menjalankan perniagaan pengantara dan penyedia sistem EHO kepada para pemandu kenderaan e-Hailing supaya mendaftar serta dilesenkan di bawah APAD atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

    “Selain itu, orang awam yang menjadi penumpang perkhidmatan kenderaan e-Hailing turut dinasihati untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar dan dilesenkan melalui semakan di portal APAD/LPKP terlebih dahulu. Ini supaya penumpang mendapat jaminan perlindungan insurans semasa menggunakan perkhidmatan tersebut, sekiranya berlaku kemalangan jalan raya,” kata JPJ lagi.

     
     
  • JPJ eBid: BRJ dan QTY dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRJ, telah pun dibuka bidaan sejak 8 Mac 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 12 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya,13 Mac 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QTY, bidaannya bakal dibuka bermula 23 Mac 2023 selama tujuh hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 29 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Mac ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Prius 2023 dengan GR Parts kini di Jepun

    Toyota Prius 2023 dengan GR Parts kini di Jepun

    Jika anda bukan peminat bahagian Modellista yang ditawarkan untuk Toyota Prius, mungkin GR Parts ini lebih menarik perhatian anda.

    Aksesori luaran ini merangkumi spoiler hadapan yang dijual pada harga 60,500 yen (RM2,013), tailgate spoiler berharga 44,000 yen (RM1,464), pelindung tingkap berharga 27,500 yen (RM915) dan pelindung pemegang pintu berharga 3,300 yen (RM110). Selain itu, ia juga menawarkan pemegang plat nombor karbon dengan harga 19,800 yen (RM659) untuk setiap bahagian hadapan dan belakang.

    Toyota juga menjual komponen dalam bentuk modifikasi termasuk set Performance Damper (dengan cap tanda dagang dari Yamaha) yang menyerap bunyi casis termasuk getaran dan bunyi bising lain semasa pemanduan, yang ditawarkan pada harga 99,000 yen (RM3,294).

    Selain itu, ia juga menawarkan set penstabilan pintu dengan harga 16,500 yen (RM549) untuk dua pintu atau 33,000 yen (RM1,097) bagi keempat-empat pintu. Ia dapat mengisi ruang di antara jarak pintu.

    Para pelanggan boleh membeli komponen ini secara individual atau pun bundle dengan harga 264,000 yen (RM8,776) dan termasuk spoiler hadapan, tailgate spoiler, Performance Damper, pelindung tingkap dan penstabilan pintu.

     
     
  • Royal Enfield Hunter 350 tiba di Malaysia – dari RM22k

    Royal Enfield Hunter 350 tiba di Malaysia – dari RM22k

    Didedahkan kali pertama kepada dunia Ogos tahun lalu, Royal Enfield Hunter 350 kini tiba di Malaysia dalam dua varian, iaitu Metro Rebel dan Metro Dapper, dengan harga masing-masing RM22,200 dan RM22,000 tidak termasuk insurans.

    Beza antara dua varian ini cuma pada warnanya, dengan Metro Rebel datang bersama tangki dua tona warna sementara Metro Dapper menggunakan warna yang tersendiri. Kesemuanya ada lima pilihan warna untuk dua varian Hunter 350 ini.

    Jika dilihat semasa pelancaran globalnya, dua varian yang dibawa ke Malaysia ini adalah dua varian yang tertinggi, di mana ia datang dengan rim aloi 17 inci (saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang) dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dan belakang serta meter gabungan digital dan analog seperti Meteor 350.

    Hunter 350 dipacu oleh enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm. Walaupun ia adalah enjin yang sama dengan Classic 350 dan Meteor 350, pemetaannya telah diubah.

    Dibina sebagai sebuah motosikal yang serba mudah bagi pelbagai golongan, Hunter 350 turut datang dengan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, sistem ABS two-channel, tinggi tempat duduk 800 mm, tangki bahan api 13 liter serta pengecas USB.

    Aksesori Royal Enfield Hunter 350

     
     
  • Toyota Yaris facelift 2023 dilancar di Thailand – muka lebih agresif, masih 1.2L NA dan CVT, bermula RM72k

    Toyota Yaris facelift 2023 dilancar di Thailand – muka lebih agresif, masih 1.2L NA dan CVT, bermula RM72k

    Toyota Motor Thailand telahpun mendedahkan hatchback segmen-B Toyota Yaris 2023 – ia bukan model serba baharu berdasarkan versi sedan Vios 2023 yang diasaskan dari platform DNGA yang diperkenalkan di sana Ogos tahun lalu, tetapi ia masih lagi model facelift dari generasi sedia ada yang muncul pada 2013.

    Ini merupakan fasa facelift ketiga untuk Yaris pasaran ASEAN ini di mana ianya diberikan kemaskini besar pada 2017 dan 2020 sebelum ini. Penyegaran terbaharu ini menyaksikan ia menerima muka yang diinspirasi dari hammerhead sama seperti model-model terkini Toyota. Ia diberikan bampar dengan garis-garis tajam dan bersegi memberikan rupa yang lebih agresif.

    Yaris turut menerima lampu hadapan LED baharu yang kini nampak lebih berintegrasi dengan bampar, disesuaikan dengan gril atas yang menampilkan liang udara lebih nipis, manakala gril bawah pula lebih besar dan menonjol. Di belakang, lampu dari model sebelum ini masih lagi digunakan, tetapi rekaan bampar telah diubah dengan diberikan liang udara menegak pada bahagian sisi bersama kemasan diffuser lebih besar.

    Toyota Yaris facelift 2023 dilancar di Thailand – muka lebih agresif, masih 1.2L NA dan CVT, bermula RM72k

    Empat warna badan iaitu Cement Gray Metallic, Spicy Scarlet, Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic ditawarkan sebagai pilihan dua tona (bumbung hitam), manakala empat lagi warna iaitu Attitude Black Mica, Metal Stream Metallic, Urban Metal dan Platinum White Pearl adalah pilihan warna tunggal.

    Namun dalam kabin, perubahan yang diberikan tidaklah ketara dan masih nampak sama seperti sebelumnya. Apa yang berbeza, varian Premium dan Premium S kini diberikan skrin infotainmen lebih besar bersaiz sembilan-inci. Varian Smart pula diberikan skrin lapan-inci, sementara model asas Sport pula menerima skrin tujuh-inci.

    Semua skrin kecuali skrin tujuh-inci dapat menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto. Perubahan lain yang diberikan termasuk tempat duduk dengan rekaan baharu, panel-panel perapi yang dikemaskini serta menampilkan port USB-C.

    Toyota Yaris facelift 2023 dilancar di Thailand – muka lebih agresif, masih 1.2L NA dan CVT, bermula RM72k

    Antara perincian lain yang turut ditawarkan bergantung varian termasuk rim aloi 15-inci, upholsteri fabrik atau kulit, paparan instrumen Optitron dengan skrin pelbagai infor 4.2-inci, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, empat atau enam pembesar suara, sistem telematik T-Connet dan juga pemantau pandangan panaromik.

    Dua varian tertinggi iaitu Premium dan Premium S diberikan sistem keselamatan aktif seperti Pre-Collision System dengan brek kecemasan automatik, Amaran Keluar Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Pemantau titik buta, Sementara sistem asas seperti VSC, Traction Control, Bantuan Mula Mendaki, ABS, EBD dan BA adalah standard untuk semua varian.

    Di Thailand Yaris merupakan model yang dihasilkan dalam segmen kereta Eco, oleh itu ia hanya ditawarkan dengan enjin 3NR-FKE 1.2 liter NA empat-silinder berkuasa 92 PS dan tork maksima 109 Nm sama seperti sebelum ini. Transmisi juga tidak berubah dengan kotak gear Super CVT-i yang membolehkan penggunaan bahan api mencapai 23.3 km/l.

    Bagi versi facelift ini model asas Sport dijual pada harga 559,000 baht (RM72,145), diikuti varian Smart berharga 619,000 baht (RM79,891), Premium berharga 679,000 baht (RM87,635) dan varian paling tinggi Premium S dijual pada harga 694,000 baht (RM89,571). Berbanding model facelift 2020, harga untuk model 2023 ini naik sekitar 10,000 hingga 15,000 baht (RM1,290 hingga RM1,935).

    Toyota Thailand turut menawarkan pelbagai aksesori asli dan juga tiga tema penggayaan berbeza untuk bahagian luaran. Pakej-pakej berkenaan adalah Lusso berharga 19,990 baht (RM2,580), Chiaro 9,690 baht (RM1,251) dan Presto berharga 16,500 baht (RM2,130).

    Dengan pengenalan model facelift 2023 ini ia mungkin menandakan bahawa model generasi berkenaan akan sekurang-kurangnya berada dua tahun lagi dalam pasaran, sebelum model generasi baharu berasaskan platform DNGA diperkenalkan. Malah Oktober lalu pengarah pemasaran PT Toyota Astra Motor (TAM) Anton Jimmi Suwandy ketika pelancaran Vios 2023 di Indonesia menyatakan bahawa Yaris generasi baharu berkenaan masih lagi dalam peringkat kajian pasaran.

     
     
  • Stesen Komuter Kajang 2 bakal dibuka bulan ini

    Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah mengumumkan stesen KTM Komuter Kajang 2 akan memulakan operasinya pada bulan ini.

    Katanya, stesen Kajang 2 memiliki 500 petak parkir, fasiliti untuk golongan kurang upaya, kamera pengawasan, lapan kioks dan jejambat pejalan kaki dengan fasiliti lif.

    Ia terletak di Jalan Reko, berdekatan dengan Bangi. Jika anda datang dari arah KL, ia adalah stesen seterusnya selepas Kajang (stesen antara KTM Komuter dengan MRT) dan sebelum UKM.

    Nama stesen ini diambil dari kawasan perbandaran Kajang 2 yang dimiliki oleh MKH Berhad. Anda boleh melihat logo pemajunya pada imej sepanduk di atas. Pembukaan stesen KTM Komuter Kajang 2 pastinya memberikan kemudahan kepada para penduduk yang tinggal di Kajang 2, Bangi dan kawasan sekitarnya yang sering menggunakan pengangkutan awam.

     
     
  • Naza keluarkan kenyataan berkaitan penamatan Ferrari

    Naza keluarkan kenyataan berkaitan penamatan Ferrari

    Susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Ferrari berkaitan penamatan Naza Italia sebagai rakan niaga bermula 8 April ini, Kumpulan Automotif Naza pula hari ini mengeluarkan kenyataan balas.

    Dalam kenyataan itu, kumpulan berkenaan menjelaskan bahawa pengakhiran kerja sama dengan pengeluar kenderaan dari Itali itu adalah disebabkan oleh perbezaan strategi dan tiada persefahaman dalam menentukan arah tuju perniagaan. Berikut maklumbalas penuh daripada Naza:

    “Sejak beberapa tahun terakhir ini, perniagaan automotif Naza telah menilai semula jenama yang dikendalikan, dan melihat yang mana lebih selari dengan strategi perniagaan kami. Kami bersetuju untuk mengakhiri hubungan perniagaan dengan Ferrari S.p.A disebabkan jangkaan mereka yang tidak lagi selari dengan strategi kami.

    Sudah sampai masa bagi kami untuk perpisah arah dengan Ferrari kerana itu akan membolehkan kami fokus kepada jenama lain dan memberikan yang terbaik kepada jenama lain yang dikendalikan serta menyusun semula sumber kepada jenama yang lebih menepati strategi perniagaan automotif kami.

    Kami akan terus menyediakan sokongan kepada Ferrari bagi memastikan peralihan perniagaan yang lancar, sehingga April 2023. Kami juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Ferrari di atas hubungan perniagaan yang panjang sebelum ini, dan berharap jenama Ferrari akan terus berkembang pada masa akan datang.”

    Ferrari masih belum mendedahan identiti rakan niaga barunya di Malaysia, tetapi beberapa nama disebut-sebut sebagai calon yang sesuai, dan sebahagian daripadanya juga memang nama besar yang sudah dikenali.

    Berakhirnya hubungan perniagaan dengan Ferrari bermakna Naza Italia hanya tinggal dengan jenama Maserati — yang akan terus diwakilinya di sini. Selain itu, di bawah Naza juga masih ada jenama automotif lain seperti Ducati (Next Bikes) dan Suzuki (Naza Eastern Motor).

     
     
  • Boon Siew Honda siar teaser model baru – lagi Vario?

    Boon Siew Honda siar teaser model baru – lagi Vario?

    Boon Siew Honda (BSH) Malaysia melalui akaun media sosial mereka telah mendedahkan satu teaser yang menunjukkan gambar gelap pandangan dari belakang sebuah model baru yang diberitahu akan muncul di Dataran Sri Jempol bersempena pusingan Cub Prix di sana hujung minggu ini.

    Jika mahu membuat tekaan, bentuk keseluruhan model di dalam gambar teaser ini kelihatan seperti sebuah skuter dengan terdapat seakan poket barangan di bahagian pemegang, sementara lampunya pula kelihatan seperti Vario 150.

    Sejak Vario 160 dilancarkan untuk pasaran Malaysia November tahun lalu, Vario 150 sudah tidak dijual dan ia juga sudah tidak lagi dipaparkan dalam laman web rasmi BSH. Jika benar ini adalah sebuah Vario, adakah ia akan membuat kemunculan semula, atau mungkin dalam versi berenjin kapasiti lebih rendah?

    Di pasaran negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, Vario 125 masih dijual bersama dengan Vario 160 dan ia dijadikan sebagai pilihan untuk mereka yang mencari sebuah skuter lebih mampu milik dengan beza harga sekitar RM2k.

    Dalam barisan produk skuter yang ditawarkan oleh BSH sekarang, model paling kecil adalah Beat, dengan kapasiti enjin 109.5 cc dan harga RM5.8k tidak termasuk insurans. Model lain adalah seperti Vario 160, ADV 160 dan Forza 250.

     
     
  • Nissan sasar harga model hibrid e-Power setara dengan harga model enjin pembakaran pada 2026

    Nissan sasar harga model hibrid e-Power setara dengan harga model enjin pembakaran pada 2026

    Sistem hibrid elektrik e-Power Nissan merupakan sistem jenis range extender, di mana enjin petrol yang dibekalkan hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion, dan roda dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti kenderaan elektrik (EV) sebenar.

    Oleh itu, Nissan kini mengumumkan pendekatan baharu terhadap pembangunan unit rangkaian kuasanya yang digelar ‘X-in-1’. Menerusi pendekatan ini Nissan bakal menghasilkan komponen unit rangkaian kuasanya secara modular yang membolehkan model EV dan e-Power berkongsi komponen utama.

    Menurut Nissan, dengan ‘X-in-1’ membolehkan kos pembangunan dan produksi dikurangkan sekitar 30% berbanding ketika 2019. Sasaran pendekatan ini adalah untuk membolehkan model-model dengan sistem hibrid e-Power mencapai harga yang setara dengan model yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman konvensional menjelang 2026.

    Nissan sasar harga model hibrid e-Power setara dengan harga model enjin pembakaran pada 2026

    Menerusi pendekatan ‘X-in-1’ ini komponen-komponen utama model-model EV akan diproduksi dalam barisan yang sama dengan model-model e-Power. Untuk EV, Nissan telah membangunkan prototaip unit rangkaian kuasa 3-dalam-1 yang menampilkan moto, inverter dan reducer (kotak gear pengurang kelajuan) akan dihasilkan secara modular.

    Nissan juga ada menghasilkan prototaip untuk unit rangkaian kuasa modular e-Power ‘5-dalam-1’ yang turut menampilkan dua komponen tambahan iaitu generator dan increaser (peningkar kelajuan).

    Untuk menambah lebih lagi manfaat terhadap kos, pendekatan ‘X-in-1’ ini turut membolehkan saiz dan berat unit rangkaian kuasa ini dikurangkan bagi memberikan prestasi pemanduan dan NVH yang lebih baik. Pembangunan motor elektrik untuk pendekatan ini turut menggunakan logam nadir bumi berat yang lebih sedikit dalam strukturnya (berat magnet yang 1% atau kurang).

    Bulan lalu Nissan telah mengumumkan bahawa ia akan mempercepatkan strategi elektrifikasi Ambition 2030, yang akan menyaksikan pengenalan 27 model elektrifikasi (termasuk 19 EV) menjelang tahun fiskal 2030. Sistem e-Power menjadi teknologi utama dalam inisiatif tersebut, dengan kedua-duanya berkongsi komponen yang sama, membolehkan pembangunan dibuat secara rasional dan kos dapat dikurangkan.


     
     
  • GasGas akan keluarkan lebih banyak motosikal street

    GasGas akan keluarkan lebih banyak motosikal street

    GasGas, satu jenama pengeluar motosikal dari Sepanyol yang kini duduk di bawah satu bumbung dengan KTM dan Husqvarna nampaknya akan mengeluarkan lebih banyak model street ke pasaran pada masa hadapan, seperti yang dilaporkan oleh laman mcnews.com.au.

    Laman itu memetik ayat daripada salah seorang ahli lembaga GasGas, Hubert Trunkenpolz yang ditemui waktu pelancaran pasukan MotoGP GasGas di Barcelona. “Pada masa hadapan, barisan motosikal GasGas akan dikembangkan lagi dengan motosikal street dan MotoGP menjadi tapak persediaan untuk produk ini, yang akan datang tahun demi tahun,” kata Trunkenpolz.

    Barisan motosikal GasGas yang ada sekarang kebanyakannya adalah jenis offroad dengan kategori seperti enduro, motocross, cross country dan trial. Walaubagaimanapun, mereka masih mempunyai dua model yang boleh dibawa atas jalan biasa iaitu ES700 dan SM700.

    GasGas akan keluarkan lebih banyak motosikal street

    Dua motosikal ini sebenarnya berkongsi asas yang sama dengan KTM Enduro/SMC 690 dan Husqvarna 701 Enduro/Supermoto, dan menggunakan enjin satu silinder 692 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa sehingga 74 hp.

    Kita sudah boleh menjangka motosikal street yang akan dikeluarkan oleh GasGas nanti sudah tentu juga akan menggunakan asas yang sama dengan KTM dan Husqvarna, tetapi agak menarik untuk kita melihat bagaimana perbezaannya kerana setiap jenama yang duduk di bawah satu kumpulan ini mempunyai identiti tersendiri.

     
     
  • Mazda CX-5 hampir dihanyut ke laut ketika pemiliknya menyusuri Pantai Temalah, Tanjung Sedili, Johor

    Mazda CX-5 hampir dihanyut ke laut ketika pemiliknya menyusuri Pantai Temalah, Tanjung Sedili, Johor

    Polis Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor mengesahkan terdapat sebuah Mazda CX-5 hampir ditenggelami air dan nyaris dihanyutkan dalam laut sewaktu pemandu dan dua lagi penumpangnya bersiar dan menyusuri pantai di Pantai Temalah di daerah berkenaan semalam.

    Dalam kejadiaan berkenaan, ia berpunca dari air laut yang ketika itu sedang pasang dan mangsa terlibat tidak menyedari kejadian air pasang ini dan mangsa juga terlalu asyik serta kurang berpengalaman tentang keadaan laut.

    Selepas menerima laporan mengenai kejadian ini, Ketua Polis Kuala Sedili SM Saidon Hadzri Hj Abu Hassan bersama anggotanya dan dibantu oleh penduduk kampung Tanjung Sedili bergegas ke lokasi kejadian.

    “Tindakan dan usaha telah dijalankan bagi menggelak kenderaan tersebut dari terus ditenggelami air dan dihanyutkan ke dalam laut. Kenderaan yang terlibat telah berjaya ditarik keluar dengan menggunakan kenderaan 4X4 ke atas darat di kawasan pantai tersebut. Semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan selamat.

    “Laporan polis mengenai kejadian ini telah dibuat oleh pemilik kenderaan berkenaan di Balai Polis Kuala Sedili,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Mazda CX-5 hampir dihanyut ke laut ketika pemiliknya menyusuri Pantai Temalah, Tanjung Sedili, Johor

    Dalam pada masa yang sama, pihak polis menasihati orang ramai yang datang berkunjung untuk beridah secara persendirian, berkeluarga atau berkumpulan di kawasan pantai yang terdapat di kawasan Tanjung Sedili, agar sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjaga keselamatan semasa berada di kawasan pantai dan sentiasa berwaspada bagi menggelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

    Bersiar-siar di tepi pantai memang menyeronokkan, namun tindakan memandu dengan keadaan kenderaan yang tidak bersesuaian mungkin mampu mengundang masalah. Keadaan pasir pantai yang bila-bila saja boleh mendap, waktu air naik, keadaan tayar yang tidak bersesuaian dan sebagainya mungkin boleh menyebabkan kenderaan anda terperangkap sebegini.

    Jika kenderaan AWD tetapi tidak menggunakan mod AWD juga boleh menyebabkan kenderaan ‘terperangkap’ dengan keadaan pasir pantai yang lembik dan jerlus. Kadang kelihatan permukaan pantai yang nampak ‘keras’, dan anda fikirkan di situ selamat untuk meletakkan kenderaan. Namun apabila ombak makin menghempas pantai, ia boleh membuatkan pasir pantai menjadi lembik.

    Semakin berat kenderaan anda, semakin banyak peluangnya untuk ‘tenggelam’ di pantai. Jika kenderaan anda membawa bebanan yang berat, ia boleh memberikan tekanan yang tinggi terhadap tayar. Atau pun air laut boleh termasuk dalam kenderaan termasuk di bahagian ekzos. Air laut yang bersifat masin boleh membuatkan komponen atau badan kenderaan anda lebih cepat berkarat sekiranya tidak dicuci secara betul.

    Apabila kenderaan anda terperangkap di pantai, jika anda terus berusaha untuk memandu dengan memaksa tayar untuk bergerak, sebenarnya ia akan lebih memburukkan keadaan. Tayar hanya berpusing keras tetapi tidak dapat mengerakkan kenderaan anda.Tayar akan menjadi lebih terperesok ke dalam pasir dan ia akan menyulitkan lagi usaha untuk membawa kenderaan keluar ke permukaan yang selamat.

    Cara yang terbaik ialah menggunakan external force untuk menarik keluar kenderaan anda. Ini termasuk dengan teknik tunda atau winch (ditarik) oleh kenderaan lain (terutamanya kenderaan 4WD atau lori) atau beberapa orang mengikut jumlah tenaga yang diperlukan.

    Apa pun, berhati-hatilah ketika anda mahu menikmati keseronokan. Jangan sesekali mengabaikan keselamatan diri, orang lain dan harta benda. Kos untuk baik pulih kenderaan yang rosak akibat air laut juga bukanlah murah. Fikir-fikirkanlah sebelum berseronok.

     
     
  • Ford Puma ST Powershift diperkenal – 1.0L 3-silinder turbo dengan hibrid ringkas 48V, 170PS/248 Nm!

    Ford Puma ST Powershift diperkenal – 1.0L 3-silinder turbo dengan hibrid ringkas 48V, 170PS/248 Nm!

    LICENSE EXPIRES: IN PERPETUITY – LICENSE BY: FORD – LICENSE SCOPE: A – Earned editorial, press releases, press kits. B – All non-broadcast digital and online media. C – All non-broadcast digital and online media, plus Retail and POS (showrooms, events etc). REGION: GLOBAL. COPYRIGHT AND IMAGE RIGHTS: This content is solely for editorial use and for providing individual users with information. Any storage in databases, or any distribution to third parties within the scope of commercial use, or for commercial use is permitted with written consent from Ford of Europe GmbH only.

    Ford kini memperkenalkan satu lagi varian untuk versi prestasi SUV kompak Puma ST yang digelar Puma ST Powershift. Tidak seperti Puma ST yang dijana oleh enjin EcoBoost 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 200 PS/350 Nm, Puma ST Powershift ini menerima enjin petrol turbo lebih kecil iaitu EcoBoost 1.0 liter tiga-silinder yang dibekalkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt.

    Walaupun enjin berkenaan lebih kecil, ia mampu mengekstak kuasa yang agak mengkagumkan untuk sebuah enjin 1.0 liter tiga silinder iaitu 170 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 248 Nm pada takat 3,000 rpm! Unit rangkaian kuasa ini diasaskan dari enjin 1.0L EcoBoost hibrid ringkas 48 volt yang dipadankan untuk Puma biasa yang diperkenalkan pada 2020, tetapi ditala bagi menghasilkan lebih kuasa.

    Ia masih menggunakan sistem hibrid ringkas 48-volt yang sama iaitu menampilkan unit motor stater/generator bersepadu pacuan tali sawat (belt-driven integrated starter/generator atau BISG) bersama pek bateri lithium-ion, tetapi ia telah dipertingkat bagi memberikan pemulihan kuasa lebih besar seterusnya dapat memberikan tujahan boost elektrik segera tambahan sebanyak 10 PS lebih lama pada takat rpm rendah.

    Talaan semula untuk kotak komputer enjin juga dibuat semula bagi mendapatkan kuasa keseluruhan hampir 10% lebih besar berbanding enjin EcoBoost 1.0L Puma biasa yang pada asalnya sudahpun memberikan angka cukup baik iaitu 155 PS. Ia juga menerima sistem ekzos dengan teknologi injap aktif sama seperti Puma ST bagi memberikan kawalan bunyi dari senyap untuk pemanduan biasa, dan bunyi lebih garang dihasilkan dalam mod Sport.

    Ford Puma ST Powershift diperkenal – 1.0L 3-silinder turbo dengan hibrid ringkas 48V, 170PS/248 Nm!

    LICENSE EXPIRES: IN PERPETUITY – LICENSE BY: FORD – LICENSE SCOPE: A – Earned editorial, press releases, press kits. B – All non-broadcast digital and online media. C – All non-broadcast digital and online media, plus Retail and POS (showrooms, events etc). REGION: GLOBAL. COPYRIGHT AND IMAGE RIGHTS: This content is solely for editorial use and for providing individual users with information. Any storage in databases, or any distribution to third parties within the scope of commercial use, or for commercial use is permitted with written consent from Ford of Europe GmbH only.

    Berbanding Ford Puma ST yang hanya hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan, Puma ST Powershift ini hadir dengan kotak gear hanya dengan transmisi klac berkembar automatik Ford Powershift tujuh-kelajuan dengan pedal penukar gear, dan kuasa hanya memacu roda hadapan. Ini membolehkan Puma ST Powershift memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, sedikit perlahan dari Puma ST yang mampu melakukan pecutan sama dalam masa 6.7 saat.

    Ford Puma ST Powershift ini turut menerima talaan casis yang sama seperti Puma ST. Ia termasuk penggunaan bar anti-oleng 28 mm di hadapan dan 24 mm di belakang, kadar piuh pada suspensi torsion beam belakang 50% lebih keras dari Puma standard serta pemadanan penyerap hentak tiub berkembar reaktif-frekuensi dari Hitachi.

    Ia juga menerima komponen-komponen casis ST lain termasuk knuckles pada hab roda hadapan, lengan stereng dan gear pada rak stereng yang memberikan nisbah 11.4:1 atau hampir 25% lebih pantas dari Puma biasa. Pengendalian Puma ST Powershift ini turut dibantu oleh sistem Torque Vectoring.

    Untuk sistem pemberhentian, booster brek pada Puma ST Powershift ini ditala dengan modulasi, rasa dan tindak balas yang sesuai untuk pemanduan prestasi, serta pemulihan kuasa yang lebih besar pada sistem hibrid ringkas juga memberikan engine braking lebih kuat. Cakera brek hadapan turut dipertingkat dengan unit berdiameter 325 mm, 17% lebih besar dari Puma standard.

    Penampilan luaran dan dalaman Puma ST Powershift ini adalah seiras dengan Ford Puma ST. Ia mengenakan kit badan lebih garang terdiri dari splitter hadapan yang bersepadu dengan bampar, gril lebih besar, skirt sisi, spoiler bumbung lebih besar dan juga diffuser belakang lebih agresif. Menurut Ford kita aero pada Puma ST ini memberikan downforce hadapan 80% lebih tinggi dari Puma biasa.

    Ia juga diberikan kemasan-kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, bumbung, cermin sisi dan juga spoiler, bersama rim aloi 19-inci dalam kemasan Magnetite. Enam warna badan ditawarkan termasuk warna eksklusif Azura Blue untuk Puma ST Powershift ini.

    Kabin Puma ST Powershift ini pula diberikan tempat duduk sports Ford Performance balutan kulit sintetik Sensico, pengecas tanpa wayar, modem FordPass Connect, skrin untuk sistem infotainmen Ford SYNC 3 yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

    Manakala untuk keselamatan model prestasi ini turut menerima pakej bantuan pemanduan termaju dengan fungsi seperti Bantuan Pra-pelanggaran dengan brek kecemasan automatik, Bantuan Parkir Aktif, Amaran Lintasan Trafik Belakang dengan brek automatik aktif dan juga pengehad kelajuan pintar.

     
     
  • Nikmati pakej VSA5+ percuma atau baucar wallbox bernilai RM7,000 Volvo dari sekarang hingga 31 Mac

    Nikmati pakej VSA5+ percuma atau baucar wallbox bernilai RM7,000 Volvo dari sekarang hingga 31 Mac

    Dengan tradisi panjang terhadap rekaan, prestasi serta piawaian keselamatan kenderaan, Volvo menawarkan barisan kenderaan yang pelbagai, memenuhi pilihan gaya hidup penggunanya. Jika anda sudah lama inginkan pengalaman pemanduan dan penampilan Scandinavia unik yang hanya boleh ditawarkan oleh Volvo, inilah masanya.

    Bermula sekarang hingga 31 Mac 2023, Volvo Car Malaysia menyediakan pakej VSA5+ secara percuma sekiranya anda membeli model Volvo terpilih. Volvo Service Agreement 5 Plus (VSA5+) memastikan pengalaman pemilikan Volvo yang menyenangkan dengan merangkumi lima kali servis yang dijalankan oleh juruteknik berkemahiran serta menggunakan alat ganti tulen.

    Dengan VSA5+, Volvo anda akan dijaga dengan rapi dan bukan hanya untuk servis berjadualnya, tetapi turut meliputi alat ganti terpilih. Sebagai tambahan, kemaskini perisian percuma serta pemeriksaan kesihatan kenderaan turut disediakan agar kereta anda sentiasa dijaga dan diperiksa sepenuhnya setiap kali servis.

    Pakej VSA5+ percuma ini ditawarkan bagi model sporty S60 serta versi wagonnya yang bergaya, V60. Kedua-duanya menampilkan sistem janaan Recharge plug-in hybrid yang sememangnya sudah dikenali, yang menawarkan sehingga 90 km jarak perjalanan elektrik, penggunaan minyak rendah serta kuasa sebanyak 462 PS.

    Sistem Recharge dan pakej VSA5+ percuma juga sah untuk model sedan S90, yang merupakan sedang mewah flagship Volvo yang didatangkan dengan sistem suspensi udara untuk memberikan lebih keselesaan kepada penumpang, sementara sistem audio hi-fi Bowers & Wilkins dengan 19-pembesar suara membawakan pengalaman bunyi Gothenburg Concert Hall melalui output 1,400 watt.

    Tidak hanya model sedan Volvo yang menikmati pakej VSA5+ percuma ini. Peminat SUV juga boleh mempertimbangkan model XC40 B5 yang dikuasakan oleh sistem janaan kuasa mild-hybrid, yang selari dengan usaha Volvo sebagai pengeluar kenderaan berteknologi hijau.

    Direka dengan barisan ciri praktikal yang memudahkan pemanduan seharian, keseimbangan rekaan XC40 serta keluasan ruang kabinnya menjadikan SUV ini sesuai untuk kegunaan kota dan lain-lainnya. Enjin mild-hybrid yang menjana 263 PS serta sistem pacuan semua roda standard memberikan cengkaman yang meyakinkan untuk pemandu.

    Sebagai sebahagian daripada kempen Volvo Cars Malaysia, pendaftaran model XC40 Recharge Pure Electric — versi elektrik sepenuhnya bagi SUV kompak berkenaan — akan disertakan dengan baucar wallbox bernilai RM7,000. Model elektrik sepenuhnya yang pertama jenama Sweden ini memberikan sehingga 438 km jarak perjalanan bagi satu cas penuh, dengan kuasa yang mengagumkan — 408 PS serta pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    Jika anda memerlukan lebih banyak ruang, maka SUV Volvo XC60 akan memberikan itu, dengan rekaan minimalistiknya yang tetap menonjol dan praktikal, yang ditawarkan dalam versi janaan B5 mild-hybrid atau Recharge T8 plug-in hybrid.

    Nikmati pakej VSA5+ percuma atau baucar wallbox bernilai RM7,000 Volvo dari sekarang hingga 31 Mac

    Perlukan kenderaan lebih besar? Tak ada lain, SUV Volvo XC90 adalah jawapannya. Seperti XC60, SUV yang lebih besar ini juga ditawarkan dengan sistem janaan B5 dan T8, dengan semua versi SUV ini disertakan dengan pakej VSA5+. Seperti juga S90, XC90 menjanjikan keselesaan dan menampilkan sistem bantuan pemanduan yang canggih bagi memudahkan pemandu dan menjamin keselamatan semua.

    Bahkan, sistem keselamatan menyeluruh yang ada pada XC90 telah menerima anugerah Top Safety Pick+ (TSP+) 2023 daripada Insurance Institute for Highway Safety (IIHS), yang memerlukan kenderaan lulus bagi kriteria lebih ketat berkaitan perlindungan ketika perlanggaran sebelum boleh diberikan pengiktirafan itu.

    Sebagai sebuah kenderaan dengan gaya menawan, memberikan prestasi terbaik serta dikenali di peringkat global untuk aspek keselamatannya, memandu sebuah kenderaan Volvo adalah satu hal yang didambakan. Untuk mengetahui apa yang boleh dijangkakan daripada jenama dan kenderaannya, layari laman web Volvo Cars Malaysia untuk melihat barisan kenderaan yang ada, serta untuk mendapatkan maklumat berkaitan promosi bulan Mac ini.

    Promo Mac Volvo Car Malaysia untuk Volvo XC40 Recharge Pure Electric hanya disertakan dengan pengecas wallbox percuma bernilai RM7,000, selepas kereta didaftarkan.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Mac – semuanya masih kekal

    Harga minyak 9-15 Mac – semuanya masih kekal

    Bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Mac 2023, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel. Ini merupakan minggu kesebelas harga runcit petrol dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Buat masa ini, kerajaan masih belum mengumumkan mekanisme bagi subsidi bersasar untuk petrol RON95. Untuk makluman anda, tanpa subsidi kerajaan, petrol RON95 dijual pada harga RM3.22 seliter di Malaysia.

     
     
  • Naza Italia tamat edar Ferrari 8 April ini — Berjaya, Sime Darby, Ital Auto bakal jadi rakan niaga baru?

    Naza Italia tamat edar Ferrari 8 April ini — Berjaya, Sime Darby, Ital Auto bakal jadi rakan niaga baru?

    Sejak beberapa minggu lalu, khabar angin bertiup mengatakan bahawa Naza Italia akan terlepas hak mengimport dan mengedarkan kenderaan Ferrari di Malaysia. Dan kini, perkara itu telah disahkan yang jenama itu akan diwakili di sini oleh syarikat pengedar baru dalam masa terdekat.

    Daripada maklum balas oleh Ferrari Far East (FFE) berkaitan hal ini, syarikat itu mengeluarkan maklum balas berikut: “Ferrari S.p.A telah mengumumkan penamatan rakan niaga antara Ferrari S.p.A dan Naza Italia (Ferrari Malaysia) bermula 8 April 2023. Naza Italia akan terus memenuhi tanggungjawabnya kepada pelanggan untuk aktiviti jualan dan lepas jualan sehingga tarikh tersebut,” jelas jurucakap FFE dalam sebuah jawapan bertulis.

    “Dalam tempoh peralihan ini, Ferrari S.p.A akan mengemukakan perhubungan bagi hal berkaitan jualan dan lepas jualan kepada semua pelanggan kami sehingga kami mengesahkan rakan niaga baru kelak,” jelas kenyataan itu.

    “Tanpa membelakangi sumbangan yang telah dilakukan oleh Naza Italia terhadap kejayaan jenama ini di Malaysia, Ferrari menjelaskan yang keputusan ini mencerminkan keinginannya untuk memperbaharui perwakilan jenama tersebut untuk pasaran di sini. Ferrari komited terhadap Malaysia, dan akan terus memenuhi permintaan memberangsangkan dalam pasaran tempatan dan akan terus berhubung secara rapat dengan pelanggannya di sini,” ujar kenyataan yang sama.

    Naza Italia tamat edar Ferrari 8 April ini — Berjaya, Sime Darby, Ital Auto bakal jadi rakan niaga baru?

    Syarikat itu bagaimanapun tidak mengulas tentang pihak mana yang akan menjadi rakan niaga barunya di Malaysia selepas ini. Tetapi, senarai nama syarikat yang ura-ura akan dipilih sudah kedengaran: ini termasuklah dua syarikat Malaysia yang mempunyai hubungan tidak langsung dengan Ferrari, walaupun bukan sebagai pengedar, dan bukan di Malaysia — Sime Darby di Australia, dan Berjaya, melalui cabang runcit automotif H.R. Owen di UK.

    Syarikat kedua ini disebut-sebut sebagai calon paling sesuai, dengan sebuah lagi syarikat yang turut disebut ialah Ital Auto, yang telah menjadi pengimport Ferrari di Singapura sejak 2009. Ital merupakan sebahagian daripada kumpulan francais Komoco yang dimiliki oleh bilionair Malaysia yang berpusat di Singapura, Ong Beng Seng. Selain Ferrari, Komoco turut mengendalikan jenama automotif lain seperti Hyundai dan Maserati di sana.

    Dalam perkembangan berasingan, Naza yang telah menjadi pengedar Ferrari di Malaysia sejak 2008 akan terus bertindak mewakili jenama Maserati di sini. Selain Maserati, Naza turut mengendalikan jenama automotif Ducati (Next Bikes) dan Suzuki (Naza Eastern Motors) ketika ini.