Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota bakal bina “Woven City” – ‘bandar masa depan’ Jepun yang ada makmal kereta pemanduan sendiri

    Toyota bakal bina “Woven City” – ‘bandar masa depan’ Jepun yang ada makmal kereta pemanduan sendiri

    Menerusi Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2020, Toyota Motor Corp telah mengumumkan cadangannya untuk membangunkan prototaip “bandar masa depan” berhampiran Gunung Fuji, Jepun. “Bandar masa depan” yang diberi nama “Woven City” ini akan dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen.

    Presiden Toyota, Akio Toyoda, berkata, pembangunan bandar berkenaan akan dibina di kawasan seluas 71 hektar dan akan dibangunkan dengan komuniti futuristik dengan pelbagai fasiliti termasuklah makmal untuk kereta pemanduan sendiri, ‘rumah pintar’, kecerdasan buatan dan teknologi lain.

    Pelan utama bagi bandar ini termasuk rekaan untuk jalan yang bakal dibina dengan tiga jenis; untuk kenderaan laju sahaja, untuk kenderaan pada kelajuan rendah, mobiliti peribadi dan pejalan kaki serta membina taman untuk kegunaan pejalan kaki sahaja.

    Tanpa mendedahkan kos untuk projek berkenaan, Akio berkata, “Untuk memudahkan para penduduk bergerak di sekitar bandar, hanya kenderaan pemanduan sendiri sepenuhnya dan sifar-emisi yang akan digunakan. Malahan kenderaan pemanduan sendiri Toyota e-Palettes juga akan digunakan sebagai kenderaan pengangkutan dan penghantaran bagi sektor peruncitan.”

    Menggelarkan projek itu sebagai “projek lapangan mimpi peribadi saya”, Akio turut berkata, pihaknya telah melantik firma arkitek Denmark, Bjarke Ingels untuk mereka bentuk bandar tersebut. Firma arkitek berkenaan memiliki pengalaman yang luas dalam bidang rekaan termasuk merekabentuk bangunan World Trade Center di New York dan juga pejabat Google di Silicon Valley dan London.

    “Kami menjangkakan sebagai pemulaan, bandar ini akan diduduki 2,000 penduduk dan sasaran untuk memulakan projek pecah tanah dan pembinaannya adalah pada tahun hadapan,” ujar Akio dengan penuh optimis.

    Dalam masa yang sama, Toyota turut mengalu-alukan kerjasama syarikat lain untuk menjadi pelabur dan yang ingin menggunakan projek ini sebagai asas ujian membangunkan dan mengimplementasikan teknologi.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 di FB/Insta – bakal tiba di M’sia?

    Volkswagen Polo Mk6 di FB/Insta – bakal tiba di M’sia?

    Agak lama juga Volkswagen Polo tak menerima pembaharuan untuk pasaran Malaysia. Namun, untuk pasaran luar, sejak 2017 lagi, pengguna di sana boleh membeli model Mk6. Sebaliknya, kita di sini bagaimanapun masih ditawarkan dengan model Mk5, walaupun telah diberikan facelift pada 2015. Apa pun, penantian nampaknya akan berakhir; Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mula memaparkan imej model Mk6 di akaun media sosial hari ini.

    Syarikat itu menunjukkan kedua-dua model standard berkenaan di Instagram, dan model GTI 200 PS di Facebook. Ini sedikit aneh, kerana mereka selalunya tidak lokek untuk menunjukkan kereta dengan spesifikasi Malaysia, sama ada yang sudah dilancarkan atau yang bakal diperkenalkan (hantaran berkenaan bagaimanapun telah diturunkan). Hakikat bahawa VPCM menunjukkan dua versi berbeza bagi model berkenaan mungkin memberi petunjuk kepada sesuatu yang lebih menarik untuk pasaran Malaysia.

    Tetapi, bagi kes Polo, situasinya agak rumit. Polo yang ada di sini merupakan pemasangan CKD dengan pek dari India, dan masih merupakan model lama. Jadi, model CKD terbaru – mungkin dari negara-negara Asia Selatan – adalah agak mustahil, walaupun untuk membawakan pek CKD dari Eropah – seperti yang dilakukan pada Tiguan dan Passat – adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan.

    Volkswagen Polo Mk6 di FB/Insta – bakal tiba di M’sia?

    Sudah tentu, VPCM boleh membawa masuk model CBU bagi Polo terbaru ini, sama seperti yang mereka lakukan pada model Polo Mk5 1.2 TSI dan GTI beberapa tahun lalu. Tetapi ini akan menjadikan harganya lebih tinggi (mungkin sekitar atau lebih RM100k). Ini akan menyukarkannya untuk bersaing. Namun, jika versi GTI diperkenalkan, ia hampir pasti akan dibawa masuk sebagai unit CBU, sama seperti Golf GTI dan R.

    Apa pun, semuanya hanya dapat dipastikan sebaik VPCM mengumumkan maklumat lebih terperinci berkenaan model Polo berkenaan, dengan andaian ia memang akan masuk ke pasaran Malaysia. Anda rasa macam mana, adakah kita betul-betul akan menerima model Polo Mk6 ini, dalam masa terdekat?

     
     
  • Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Semasa pameran Consumer Electronics Show (CES) 2020 di Las Vegas, Sony telah membuat kejutan dengan memperkenalkan kereta konsep sendiri, dipanggil sebagai Vision-S, yang menggunakan teknologi pengesan dan pengimejan mereka. Melalui teknologi Artificial Intelligence (A.I), telekomunikasi dan pengkomputeran yang dimiliki pula, kenderaan ini boleh bertambah maju lagi di masa hadapan.

    Menurut Sony, Vision-S menampilkan konsep zon selamat aktif ‘Safety Cocoon’ dengan mengesan situasi sekitar bagi mengelak risiko lebih awal. Ia diperolehi melalui pemasangan 33 pengesan gred automotif pada bahagian luar kenderaan manakala di dalam pula terdapat 12 kamera, 17 pengesan radar dan ultrasonic, serta tiga pengesan lidar.

    Ini membolehkan kereta tersebut mengesan keadaan trafik secara 360 darjah, serta memberikan ciri bantuan memandu yang bersamaan dengan Level 2 seperti Advanced Cruise Control, letak kenderaan sendiri, serta tukar lorong automatik. Tambah Sony, perisian sistem ini boleh dikemas kini dan ditambah lagi sehingga mencapai tahap pemanduan autonomous Level 4.

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Cermin sisi serta cermin pandang belakang pada kenderaan ini diganti dengan kamera dan skrin paparan, dan ia boleh dilaras mengikut kegemaran pemandu. Sebagai contoh, skrin yang memaparkan pandangan belakang juga boleh memaparkan pandangan bahagian sisi kenderaan. Kemudiannya, sebarang silau daripada lampu yang mengenai kamera ini akan diperbaiki dengan HDR dan teknologi pemprosesan lain sebelum terpapar di skrin dengan kecerahan yang sesuai.

    Pada bahagian dalam, terdapat pengesan yang boleh mengenal pasti ekspresi muka serta pergerakan badan pemandu, di mana kemudiannya maklumat yang diperolehi digunakan untuk melihat tahap konsentrasi serta kepenatan, seterusnya mengeluarkan amaran jika perlu. Pengesan ini juga boleh membantu pelarasan sistem pendingin hawa, pemain muzik, mod pemanduan, paparan peta serta ciri lain.

    Dengan terdapat teknologi pemanduan autonomous pada kenderaan ini, Sony mahu mewujudkan ‘ruang hiburan bergerak’ melalui teknologi 360 Reality Audio. Selain pada kedudukan biasa, pembesar suara turut diletakkan dalam tempat duduk, dan ia boleh digunakan untuk memberi bunyi atau audio yang berbeza untuk semua empat tempat duduk yang ada.

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Melengkapi sistem bunyi ini adalah skrin panoramik yang dipasang sepanjang keseluruhan papan pemuka Vision-S. Ia dibahagi kepada tiga iaitu untuk pemandu, penumpang hadapan dan juga di tengah. Di bahagian tepi sekali adalah untuk pandangan sisi. Selain tombol kawalan di hadapan untuk sistem infotainmen ini, di belakang juga terdapat tombol untuk fungsi yang sama pada perehat tangan.

    Sistem sambungan dan integrasi kenderaan ini dipanggil sebagai Vision-S Link. Ia boleh disambungkan kepada beberapa peranti dan kenderaan. Melaluinya, pengguna boleh mengaktifkan sistem pemanduan autonomous dan memanggil kenderaan ke lokasi mereka.

    Apabila sudah masuk dalam kenderaan pula, peta serta muzik yang sedang dimainkan pada peranti pengguna akan terus dimainkan atau dipapar pada kenderaan. Sistem ini juga boleh menjadi lebih pintar dan adaptif dengan kemas kini atas talian dan sistem A.I.

    Sony Vision-S – kereta EV konsep yang padat dengan teknologi canggih, dikuasakan dua motor 200 kW

    Vision-S mengikut trend semasa dengan dibina atas platform modular, yang membenarkan ia turut dikongsi untuk pelbagai lagi bentuk kenderaan seperti coupe, sedan, SUV dan MPV. Perinciannya tidak dinyatakan tetapi Sony memberitahu mereka mahu membangunkan kenderaan ‘dengan sasaran mencapai markah tinggi dalam ujian keselamatan di seluruh dunia.’

    Melihat kepada dimensi, Vision-S mencatat ukuran 4,895 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,450 mm tinggi, dengan jarak roda 3,000 mm. Sebagai perbandingan, Tesla Model S pula mencatat panjang 4,980 mm, lebar 1,964 mm, tinggi 1,440 mm dan jarak roda 4,980 mm.

    Roda kenderaan ini dipegang oleh sistem suspensi udara dan tetapan double wishbone di semua bahagian, serta rim 21 inci yang dibalut dengan tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang. Brek adalah daripada Brembo. Kenderaan yang mempunyai berat 2,350 kg ini dipacu oleh motor elektrik 200 kW yang diletakkan pada setiap gandar, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, serta laju maksimum 240 km/j. Daripada video yang disiar juga Vision-S dilihat boleh mencapai jarak gerak sehingga 454 km dengan sekali cas.

     
     
  • JPJ buka stesen penguatkuasaan ketiga hasil kerjasama PLUS – lokasi di R&R Pagoh Arah Selatan

    JPJ buka stesen penguatkuasaan ketiga hasil kerjasama PLUS – lokasi di R&R Pagoh Arah Selatan

    Bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuhraya kendaliannya, sekali lagi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuka Stesen JPJ. Ini merupakan stesen penguatkuasaan JPJ yang ketiga di lebuhraya PLUS, dengan yang terbaharu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh (Arah Selatan) di KM135.5 di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Stesen JPJ pertama yang seumpama ini telah dibuka di R&R Dengkil (Arah Selatan) di Lebuhraya ELITE pada Februari 2018, manakala stesen kedua di R&R Gunung Semanggol (Arah Selatan) pada Januari 2019.

    Perasmian stesen ketiga ini tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Sri Shaharuddin Khalid dan disaksikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, Pengarah Wilayah Selatan Lembaga Lebuhraya Malaysia, Mohd Shahrir Amin Ahmad serta pegawai-pegawai kanan JPJ.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “PLUS sentiasa mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua lebuh raya kendalian kami agar pelanggan dapat terus menikmati perkhidmatan lebuh raya yang selamat dan selesa.

    “Pada masa sama, kehadiran anggota JPJ yang mengadakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya kami amat penting terutamanya dalam menangani isu-isu berkenaan kenderaan berat seperti penggunaan tayar celup yang tidak berkualiti, membawa muatan berlebihan dan lain-lain adalah amat kritikal.”

    Sejak tahun 2017, JPJ serta agensi penguatkuasa yang lain telah melaksanakan lebih kurang 155 Ops Halangan bagi menangani isu halangan di lebuhraya dan membantu para pengguna menikmati perjalanan yang selamat.

    Malah menurut Azman lagi, pihaknya akan terus bersama-sama JPJ untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pengguna lebuhraya melalui pelbagai inisiatif termasuklah penguatkuasaan, pemantauan, advokasi keselamatan malahan bantuan kecemasan.

     
     
  • Toyota Hilux kenderaan paling laris di Australia 4 tahun berturut-turut, Ford Ranger di tempat kedua

    Toyota Hilux kenderaan paling laris di Australia 4 tahun berturut-turut, Ford Ranger di tempat kedua

    Kita di Malaysia saban tahun carta jualan kereta terlaris pastinya milik jenama paling mampu milik iaitu Perodua. Lain pula halnya di Australia – orang kata di sana mereka sukakan kenderaan jenis pikap atau lebih popular dengan terma Ute, dan ia bukan sekadar cakap-cakap kerana Toyota Hilux telah menjadi kenderaan paling laris di negara itu, empat tahun berturut-turut!

    Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Dewan Persekutuan Industri Automotif (FCAI) Australia, Toyota telah berjaya menjual sebanyak 47,649 unit sepanjang 2019. Tempat kedua? Masih lagi dengan trak pikap iaitu Ford Ranger dengan jualan sebanyak 40,960 unit.

    Toyota Hilux kenderaan paling laris di Australia 4 tahun berturut-turut, Ford Ranger di tempat kedua

    Tempat ketiga barulah dihuni oleh model kereta iaitu Toyota Corolla dengan jualan 30,468 unit. Walau bagaimanapun, jualan keseluruhan kereta di Australia sebenarnya mengalami penyusutan sepanjang tahun lalu dengan penurunan selama 21 minggu berturut-turut di mana jualan Hilux susut 7.8 %, Ranger susut 2.8% dan Corolla susut 13.7%. Secara keseluruhan, jualan kereta di Austrlia menyusut 7.8% tahun lalu berbanding 2018.

    Namun untuk dua lagi model yang menghuni senarai 5 kenderaan paling laris di Australia telah mencatatkan peningkatan jualan tahun lalu. Tempat keempat adalah milik Hyundai i30 dengan jualan 28,378 unit dengan kenaikan 0.7%, manakala tempat kelima adalah milik satu lagi trak pikap iaitu Mitsubishi Triton dengan jualan 25,819 unit, naik 3.7%

     
     
  • DS Automobiles M’sia mula ‘usik’ DS3 Crossback

    Jarang-jarang kita dengar cerita tentang DS Automobiles Malaysia. Terakhir, pada Jun tahun lalu ketika jenama itu memperkenalkan model SUV DS7 Crossback. Dan terbaru, nampaknya seperti akan ada satu lagi model yang bakal dilancarkan secara rasmi. Melalui laman Facebook rasminya, model DS3 Crossback sudah mula beri suluh – adakah ini model seterusnya yang akan tiba?

    Nampak gayanya, begitulah. Baris ayat yang mengiringi hantara FB itu berbunyai begini; “Ambil langkah meyakinkan ke hadapan. Gayakan semula pesona pemanduan anda dan tampilkan imej yang menonjol di jalanraya. Perhatikan ruang ini. Tahun baru akan tida dengan kelajuan penuh.”

    Ditunjukkan pada September 2018, DS3 Crossback merupakan crossover kompak seperti Audi Q2. Dengan penggayaan funky pada DS, dan merupakan model paling kecilnya (4,118 mm panjang, 1,791 mm lebar, 2,558 mm jarak antara roda), ia tampil dengan rekaan sangat berbeza. Antara kelainan termasuk antena “shark fin” pada pintu belakang, meminjam semula sentuhan yang pernah ada pada model lama Citroen DS3.

    DS Automobiles M’sia mula ‘usik’ DS3 Crossback

    Di Eropah, DS3 Crossback hadir dengan enjin petrol dan diesel serta versi elektrik E-Tense terbaru. Enjin petrol 1.2L PureTech tiga-silinder datang dalam beberapa versi, dengan janaan 100 PS, 130 PS dan 155 PS. Sementara enjin diesel 1.5L BlueHDi pula dengan pilihan output 130 PS dan 100 PS. Pilihan transmisi pula antara automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan – AWD juga ditawarkan.

    E-Tense pula terdiri daripada motor elektrik 136 PS/260 Nm dengan bateri 50 kW lithium-ion di bawah lantai badan kenderaan. Cas penuh dicapai dalam masa lima jam melalui unit 11-kW AC wallbox (Type 2) khusus. Di stesen mengecas awam dengan 100 kW DC fast charger, ia hanya memerlukan 30 minit untuk bateri dicas ke tahap 80%.

    Jarak perjalanan dengan kuasa elektrik kereta ini adalah lebih daripada 300 km dengan kitaran WLTP, atau 450 km mengikut protokol NEDC. Dari sudut prestasi, DS3 Crossback mampu melakukan 0-50 km/j dalam masa 3.3 saat dan 0-100 km/j dalam 8.7 saat.

     
     
  • Anthony Loke cuba sendiri perkhidmatan Dego Ride

    Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke memuatnaik video menerusi laman Facebook rasminya mengenai pengalaman beliau menguji sendiri perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride. Sebenarnya ia adalah pemeriksaan mengejut bagi memastikan perkhidmatan tersebut mengikut peraturan dan selamat.

    Perkhidmatan Dego Ride diberikan kelulusan oleh kerajaan untuk beroperasi sejak 1 Januari 2020 selepas ia pernah ‘diharamkan’ oleh kerajaan terdahulu.

    Menurut Loke, beliau menunggu selama 15 minit selepas membuat tempahan melalui aplikasi perkhidmatan tersebut untuk ke stesen LRT Pasar Seni dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPK) bagi membuat tinjauan kemudahan Jambatan Pejalan Kaki Pasar Seni.

    Berkongsi pengalaman beliau menaiki motosikal itu selama 10 minit, Loke mendapati penunggang Dego Ride mengikut peraturan ditetapkan dengan menyediakan topi keledar untuk pembonceng dan menunggang pada kelajuan sederhana serta berhenti di lampu isyarat.

    “Walaupun menunggu selama 15 minit selepas membuat tempahan melalui aplikasi kerana mungkin ia masih baharu, tetapi penunggang nampaknya mengikut peraturan ditetapkan sepanjang dua kilometer perjalanan ke sini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Anthony Loke cuba sendiri perkhidmatan Dego Ride

    Tambahnya lagi, pemeriksaan mengejut yang dilakukannya itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikat pengendali perkhidmatan itu mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

    Beliau turut menjelaskan, kementerian akan memantau projek perintis perkhidmatan itu selama enam bulan sebelum sebarang kerangka undang-undang dibuat termasuk keperluan memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi pemilik motosikal perkhidmatan itu.

    “Namun kita menetapkan syarikat yang menjalankan perkhidmatan ini supaya menyediakan perlindungan insurans kepada pembonceng dan penunggang mereka,” katanya.

    Perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride yang dianggarkan mempunyai kira-kira 500 penunggang di Lembah Klang, boleh diakses dengan memuat turun aplikasi perkhidmatan itu di telefon pintar. Syarikat e-hailing Grab juga dijangka memperkenalkan perkhidmatan motosikal itu dengan Gojek, syarikat yang memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di Indonesia.

    “Bagi Gojek, setakat ini mereka masih belum membuka syarikat di sini, maka mereka masih belum dibenar menjalankan perkhidmatan teksi motosikal itu,” katanya.

     
     
  • TAS2020: Pakej tiket dengan replika Nissan GT-R R35 GT500 edisi terhad sempena ulangtahun ke-50 Tomica

    TAS2020: Pakej tiket dengan replika Nissan GT-R R35 GT500 edisi terhad sempena ulangtahun ke-50 Tomica

    Saban tahun tiap kali berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS), pembuat kereta replika tiga-inci dari Jepun, Tomica sememangnya akan hadir dengan model edisi terhad istimewa TAS. Tapi khas untuk tahun ini, pengunjung terawal yang menempah tiket mereka ke TAS 2020 berpeluang untuk mendapatkan terus model edisi khas berkenaan tanpa perlu beratur untuk membelinya pada hari pertama nanti!

    Ini adalah bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-50 Tomica tahun ini, dan model yang dipilih bagi dijadikan versi edisi terhad TAS 2020 berkenaan adalah jentera lumba Super GT Nissan GT-R R35 Nismo GT500. Ia diberikan logo 50-tahun Tomica pada sisi kanan dan logo TAS pada sebelah kiri, manakala ‘2020’ pula dicetak pada GT-Wing belakang.

    TAS 2020 akan bermula pada 10 Januari ini, berlangsung selama tiga hari sehingga 12 Januari nanti. Tiket berserta Tomica GT-R berkenaan akan dijual pada harga 4,000 yen (RM151) jika anda datang untuk hari pertama, 3,000 yen (RM113) untuk hari kedua dan ketiga.

    Anda juga boleh memilih untuk membeli tiket tanpa pakej bersama Tomica ini dengan harga 3,000 yen untuk hari pertama dan 2,000 yen (RM76) untuk Sabtu dan Ahad.

     
     
  • Mitsubishi tawar promosi CNY 2020 – kadar faedah Triton dari 0.88%, rebat bagi ASX hingga RM12k

    Mitsubishi tawar promosi CNY 2020 – kadar faedah Triton dari 0.88%, rebat bagi ASX hingga RM12k

    Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) 2020 ini, Mitsubishi Motors Malaysia menawarkan promosi khas yang berlangsung sekarang hingga akhir Januari ini. Bagi varian trak pikap Triton yang terpilih bakal menikmati kadar faedah bermula 0.88%, eksklusif untuk perjanjian sewa beli dengan Maybank dan Public Bank, atau rebat tunai.

    Untuk model tertinggi Triton Adventure X (RM137,900) dan Triton VGT AT Premium (RM121,000) layak untuk mendapat kadar faedah sebanyak 0.88% atau rebat tunai RM6,000. Sementara bagi Triton VGT MT Premium (RM112,500) pula ditawarkan kadar faedah 0.88% atau rebat tunai sebanyak RM9,000.

    Promosi ini turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM2,000 untuk model edisi terhad Triton Knight (RM137,900), rebat tunai RM8,000 bagi Triton VGT AT (RM105,990) dan rebat tunai RM6,000 untuk Triton VGT MT (RM100,200). Manakala Triton Quest 4X2 (RM79,890) pula ditawarkan rebat tunai sebanyak RM4,000.

    Mitsubishi tawar promosi CNY 2020 – kadar faedah Triton dari 0.88%, rebat bagi ASX hingga RM12k

    Kesemua varian Triton dilindungi waranti selama lima-tahun atau 200,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) kecuali Triton Quest 4X2 yang hadir dengan waranti lima tahun/100,000 km.

    Sementara itu, pelanggan yang menempah dan mendaftar Outlander baharu dalam tempoh promosi juga berpeluang menikmati rebat tunai dan pakej servis percuma; ini termasuk rebat tunai sebanyak RM4,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk Outlander 2.0 (RM137,888) dan rebat tunai sebanyak RM2,000 dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk Outlander 2.4 liter (RM152,888).

    Namun tawaran yang paling hebat untuk promosi kali ini melibatkan SUV kompak ASX. Di mana varian 4WD (RM133,336) ditawarkan dengan rebat tunai sebanyak RM12,000, sementara varian 2WD (RM118,866) pula dengan rebat tunai RM8,000. Mitsubishi Outlander dan ASX dilindungi waranti selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had; kesemuanya harga atas jalan tanpa insurans, termasuk SST sebanyak 10%.

     
     
  • Bosch tunjuk penghadang matahari canggih di CES

    Bosch tunjuk penghadang matahari canggih di CES

    Pameran Consumer Electronics Show (CES) 2020 yang sedang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat turut menarik penyertaan syarikat teknologi yang terlibat dalam dunia automotif seperti Bosch. Syarikat dari Jerman ini telah menunjukkan bahagian dalam kereta baru, iaitu penghadang matahari canggih yang dipanggil sebagai Virtual Visor.

    Ia masih lagi turun dari atas seperti penghadang matahari untuk pemandu dan penumpang kenderaan yang berada di hadapan, tetapi menggunakan panel LCD lutsinar dan sistem Artificial Intelligence (A.I) untuk mengelakkan pengguna daripada silau akibat cahaya matahari.

    Sistem A.I pada penghadang ini boleh mengesan kedudukan mata pengguna, dan seterusnya menggelapkan sebahagian kecil panel LCD tersebut untuk menghalang cahaya matahari daripada menyinar terus kepada mata. Bahagian lain panel LCD yang tidak digelapkan masih membolehkan pengguna melihat keadaan di hadapan kenderaan.

    Bosch tunjuk penghadang matahari canggih di CES

    Bagi kebanyakan pemandu di seluruh dunia, komponen penghadang yang kita kenal tidak cukup untuk menghalang cahaya silau yang merbahaya – terutamanya waktu matahari baru terbit dan hendak terbenam,” kata presiden Bosch Car Multimedia, Dr. Steffen Berns.

    “Virtual Visor dibangunkan oleh pasukan Bosch di Amerika Utara sebagai sebahagian daripada aktiviti inovasi dalam syarikat. Sebagai pembekal teknologi global, kami faham inovasi boleh datang daripada siapa sahaja dalam syarikat, dan kami mahu ia terus berkembang,” kata presiden Bosch North America, Mike Mansuetti.

     
     
  • TOGG C-SUV – model elektrik sepenuhnya dari Turki dengan kuasa sehingga 400hp, jarak gerak 500 km

    TOGG C-SUV – model elektrik sepenuhnya dari Turki dengan kuasa sehingga 400hp, jarak gerak 500 km

    Cantik SUV dalam gambar di ataskan? Tapi ini SUV jenama apa? Tuan-tuan, ini adalah SUV dengan janakuasa elektrik sepenuhnya dari jenama TOGG, yang berasal dari Turki diberi nama C-SUV. Ya, Turki dan TOGG itu sendiri adalah akronim dari Türkiye’nin Otomobili Girisim Grubu.

    TOGG sebenarnya adalah konsortium yang terdiri dari lima kumpulan industri iaitu Anadolu Group, BMC, Kok Group, dan juga pengendali rangkaian telekomunikasi mudah alih Turkcell iaitu Zorlu Holding. TOGG C-SUV ini dihasilkan dengan pelaburan $3.7 billion (RM15.2 billion), dan bakal masuk ke pasaran bermula 2022 dengan produksi sekitar 175,000 setahun.

    Menurut laporan Car and Driver, SUV tersebut dihasilkan dengan saiz seakan Mercedes-Benz GLC dan BMW X3. Menurut TOGG, mereka menghasilkan platform sendiri dengan memegang hak intelektual 100%. Dua versi akan diperkenalkan iaitu model asas dengan sebuah motor elektrik berkuasa 200 hp memacu roda belakang dan jarak gerak 300 km, dan model paling berkuasa dijana dua motor menghasilkan 400 hp memacu kesemua roda dan jarak gerak 500 km.

    TOGG C-SUV – model elektrik sepenuhnya dari Turki dengan kuasa sehingga 400hp, jarak gerak 500 km

    Model dengan kuasa 200 hp mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, manakala versi tertinggi 400 hp bakal mencatatkan masa hanya 4.8 saat dalam pecutan sama. SUV berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion dengan sistem penyejukkan cecair yang boleh dicas semula dengan pengecas cepat DC pada 150 kW, membolehkan bekalan tenaga 80% dapat dipenuhkan dalam masa hanya 30 minit.

    Untuk keselamatan pula, ia akan dipastikan akan menerima lima-bintang dalam ujian Euro NCAP dengan rekaan ‘novel crash structure’, pelbagai kelengkapan keselamatan aktif dan pasif termasuk tujuh-beg udara sebagai ciri standard.

    Sistem pemanduan sendiri juga bakal diberikan pada SUV ini dengan kemampuan pada Tahap 2, bersama fungsi Slow Traffic Pilot. Menurut TOGG, sistem tersebut berupaya untuk ditingkat taraf ke ‘Tahap 3 dan seterusnya’ dengan lancar pada masa akan datang hanya menerusi teknologi over-the-air.

    TOGG C-SUV – model elektrik sepenuhnya dari Turki dengan kuasa sehingga 400hp, jarak gerak 500 km

    Sistem terhubung kereta ini membolehkan ia sentiasa dihubungkan kepada internet tanpa memerlukan sokongan peranti luar, dan ia akan sentiasa terhubung kepada “semua peranti pintar, rumah, bangunan, infrastruktur termasuk grid bekalan kuasa elektrik” dan bandar pintar secara keseluruhan.

    TOGG bercadang untuk memasarkan kereta ini bukan setakat di Turki, malah berhasrat menjadikannya sebagai jenama antarabangsa. Ia akan diproduksi di hab pemasangan yang terletak di Bursa dan kilang tersebut dijangka akan siap tahun hadapan, bakal dioperasikan oleh 4,300 pekerja.

    Bukan sahaja SUV, TOGG turut bakal menghasilkan model sedan yang juga dijana oleh elektrik sepenuhnya. Jumlah keseluruhan pelaburan TOGG ini akan digunakan selama 13-tahun. Presiden negara tersebut, Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa Turki turut sedang merancang untuk membangunkan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik dan dijangka siap pada 2022, serentak dengan kemunculan SUV-C dalam pasaran secara rasmi.

     
     
  • Kerajaan ingin struktur semula duti import kenderaan

    Kerajaan ingin struktur semula duti import kenderaan

    Kerajaan ketika ini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menstruktur semula duti import ke atas kenderaan, dengan kedua-dua Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlibat di dalam perbincangan berkenaan.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insight. Lim menjelaskan, jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kedua-dua kementerian berkenaan serta dipengerusikan oleh oleh dua menteri yang bertanggungjawab itu kini sedang mengkaji perkara itu.

    “Duti eksais sebelum ini berada di bawah bidang kuasa MITI, tetapi sekarang kita tubuhkan jawatankuasa bersama untuk melihat bukan hanya terhadap pelaburan tetapi juga ke atas duti dan cukai. Apa pun, perlu tunggu pengumuman bersama yang akan dibuat nanti,” jelas Lim.

    Belum ada apa-apa perincian lanjut tentang cara atau kaedah penstrukturan semula duti dan cukai berkenaan setakat ini; tidak diketahui juga adakan perkembangan ini nanti akan menjurus kepada penurunan harga kenderaan – terlalu awal untuk membuat andaian.

    Kerajaan ingin struktur semula duti import kenderaan

    Tahun lalu, MITI memaklumkan akan meninjau ke arah penurunan duti eksais bagi kenderaan sebagai satu langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan harga kenderaan. Kementeriaan itu menyatakan, walaupun langkah itu akan mengurangkan pendapatan kerajaan, perkara itu akan diimbangi dengan cara pengumpulan cukai yang lebih diperkemas daripada jumlah jualan kenderaan yang bertambah.

    Timbalan Menteri MITI, Ong Kian Ming berkata ketika itu, secara keseluruhannya, langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada pengguna, pemain industri serta kerajaan sendiri. “Sudah tentu, ada isu kos-manfaat yang terlibat dalam maksud anda akan mendapat lebih banyak pengurangan cukai dan duti eksais. Kerajaan akan mengumpulkan kurang cukai/duti bagi seunit kenderaan. Tetapi, apa juga pendapatan yang hilang untuk kementerian kewangan itu boleh diraih semula atau diimbangkan dengan jumlah jualan yang bertambah kerana harga kenderaan menjadi lebih murah,” ujar beliau.

    Pengeluar boleh menjual lebih banyak kenderaan, pengguna dapat manfaat dari segi penurunan harga kenderaan dan kementerian kewangan juga akan mendapat kelebihan pengumpulan cukai daripada peningkatan jumlah jualan itu. Ini yang kita ingin cuba capai bagi semua model kenderaan,” tambah beliau.

    Selain daripada cukai jualan dan servis sebanyak 10%, semua kenderaan yang dijual turut dikenakan duti import dan duti eksais. Duti eksais dikenakan sebanyak 60% hingga 105%, dikira berdasarkan kenderaan dan kapasiti enjinnya, manakala duti import pula boleh mencecah sehingga 30%, bergantung kepada negara ia dikeluarkan. Bagaimanapun, kenderaan yang dipasang di negara ASEAN dan Jepun tidak dikenakan duti import.

     
     
  • Perodua Bezza 2020 – beberapa video teaser disiarkan

    Dua lagi video teaser dikeluarkan oleh Perodua untuk model baru Bezza facelift 2020. Kali ini ia juga menampilkan seorang lagi pemain boleh sepak kebangsaan iaitu Zaquan Adha, sementara yang pertama menampilkan Safee Sali.

    Video pertama yang menampilkan Zaquan menggunakan kata tarikan ‘Now is the time to go further‘ yang bermaksud ‘sekarang adalah masa untuk pergi lebih ke hadapan’. Kereta tersebut bergerak dalam gelap tetapi anda boleh nampak lampu utama jenis LED serta sedikit mukanya. Turut diberitahu adalah Bezza baru ini mampu mencatat penggunaan bahan api hingga 22 km/l.

    Untuk model ini, kami menjangkakan bahagian enjin tidak diubah dan masih menggunakan unit tiga silinder 1.0L 67 hp/91 Nm serta empat silinder 1.3L 94 hp/121 Nm tork. Enjin 1.0L boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan atau auto empat kelajuan, sementara model 1.3L pula cuma datang dengan transmisi automatik. Enjin ini juga dipasang dengan sistem start/stop Eco Idle yang menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih baik.

    Satu lagi video yang menampilkan Zaquan juga menggunakan konsep kereta tersebut bergerak dalam gelap, tetapi menampakkan pula lampu LED belakangnya. Pesaing utama Bezza tidak mempunyai lampu depan dan belakang LED, dan nampaknya Perodua mahu menekankan ciri tersebut. Lampu depan LED adalah ciri baru pada Bezza facelift dan ia diberikan untuk semua varian.

    Turut dinyatakan dalam video ini adalah sistem bantuan pemandu Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, yang diberikan kepada varian AV paling tinggi, yang termasuk ciri Pedestrian Detection (sehingga 50 km/j), Pre-Collision Warning (sehingga 100 km/j), Pre-Collision Braking (sehingga 80 km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

    Pakej ASA pertama kali digunakan oleh Perodua pada Myvi dan kemudiannya diikuti oleh Aruz (varian 2.0) dan Axia facelift. Selain daripada ASA, ABS dan EBD diberikan terus pada Bezza facelift ini sementara VSC pula datang pada model 1.3L.

    Menerusi video pertama yang menampilkan Safee, Bezza 2020 boleh dilihat mengalami perubahan ketara pada bahagian muka – menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, bersama bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus/kemasan liang udara sisi yang direka lebih bersegi dan agresif.

    Rekaan lampu belakang masih lagi nampak sama, tetapi bampar pada bahagian ini kelihatan lebih ‘sibuk’ dengan penggunaan kemasan untuk reflektor yang besar dan nampak seperti liang udara palsu seakan pada Axia facelift dan Myvi, serta kemasan seakan diffuser juga jauh lebih besar dari sebelum ini.

    Pada bahagian sisi, dapat dilihat kemasan skirt sisi juga berubah bentuk, dan ia kini diberikan set rim aloi dua-tona dengan rekaan baharu. Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010.

    Perodua Bezza 2020 – beberapa video teaser disiarkan

    Pada bahagian dalam, bentuk keseluruhan papan pemuka masih sama, tetapi diberikan kemasan baru berwarna perak berhampiran skrin sesentuh 2-DIN untuk varian AV (dengan kamera undur). Kemasan sama turut digunakan di sekeliling corong pendingin hawa. Perkara lain yang diberitahu oleh Perodua adalah panel meter diberikan pencahayaan putih yang lebih jelas.

    Varian 1.3L (X dan AV) juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pengesan jarak hadapan, gril dengan kemasan krom dan juga rim aloi bersaiz 15-inci. Pengesan undur diberikan untuk semua varian sementara varian AV kemudiannya ditambah dengan cermin sisi boleh lipat berkuasa dan kamera belakang.

    Bezza 2020 akan ditawarkan dengan enam warna – Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown sedia ada, bersama dua warna baharu iaitu Garnet Red (untuk varian 1.3L sahaja) dan Granite Grey. Harganya adalah RM34,580 untuk Bezza 1.0 GX Manual , RM36,580 untuk Bezza 1.0 GX Automatik, RM43,980 untuk Bezza 1.3 X Automatik dan RM49,980 untuk model tertinggi Bezza 1.3 AV. Harga ini tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun/150,000 km.

     
     
  • Kereta terbang tiada kaitan dengan Wawasan 2020-PM

    Kereta terbang tiada kaitan dengan Wawasan 2020-PM

    Sejak projek kereta terbang pertama Malaysia diumumkan tahun lalu oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof, banyak pihak menjadikan berita ini umpama ‘joke of the 2019’. Malahan ada pihak juga menjadikannya sebagai bahan lawak yang mengaitkannya dengan Wawasan 2020 yang diinspirasikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991.

    Walau bagaimana pun, ternyata isu kereta terbang yang dikaitkan dengan Wawasan 2020 tidak disenangi oleh Perdana Menteri ke-tujuh ini.

    Menerusi rakaman temubual yang disiarkan pada program Pagi Hari di Kool FM oleh stesen radio Media Prima Berhad yang dikendalikan penyampai AG, Haiza dan Muaz pagi tadi, Tun Dr Mahathir berharap tidak ada lagi pihak yang mengaitkan Wawasan 2020 dengan kereta terbang.

    “Kewujudan kereta terbang bukan wawasan yang ingin dicapai Malaysia pada 2020. Saya harap tidak ada lagi pihak yang bercakap bahawa Wawasan 2020 ini bermakna ada kereta bermotor yang boleh terbang. Itu bukan wawasan kita.

    “Itu adalah kemajuan yang dicapai mungkin di negara lain, tidak berbentuk kereta, tetapi kenderaan yang boleh terbang dan membawa orang, yang juga sejenis dron. Di Malaysia, kita boleh lihat kenderaan seperti ini di kemudian hari,” ujar Tun Dr Mahathir secara ringkas.

    Kereta terbang tiada kaitan dengan Wawasan 2020-PM

    Walau pun mengakui Wawasan 2020 tidak berjaya dicapai sepenuhnya, namun Tun Dr Mahathir berkata, banyak perbezaan dapat dilihat sepanjang 29 tahun Wawasan 2020 diumumkan. Antaranya, rakyat dan negara lebih makmur, malahan pembangunan sudah terlihat jelas di seluruh negara dan infrastruktur yang lebih baik.

    “Tapi belum sampai tahap yang boleh mengatakan kita adalah negara maju keraka ada bidang tertentu yang kita masih ketinggalan,” jelasnya lagi.

    Kalau bercakap soal kereta terbang, sepanjang 2019, memang banyak yang dipersoalkan, dibangkitkan dan diperdebatkan. Ini termasuklah kontroversi ‘ujian penerbangan pertama’ untuk ‘kereta terbang’ yang dijadualkan pada 22 November 2019, tertangguh kerana tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

    Sebenarnya ‘kereta terbang’ terbabit adalah dron Ehang 216 hasil rekaan sebuah syarikat dari China yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd., bukannya Vector yang dibina oleh syarikat tempatan Aerodyne Group.

    Apa pun, untuk mana-mana pihak yang masih kaitkan kereta terbang dengan Wawasan 2020, sila hentikanlah. Jangan buang masa anda. Kita tunggu saja bila ‘kereta terbang’ pertama negara yang diuar-uarkan bakal muncul untuk tatapan rakyat jelata.

     
     
  • Honda RS150R V2 dilancar secara rasmi – dari RM8.2k

    Honda RS150R V2 dilancar secara rasmi – dari RM8.2k

    Anda sudah melihat sebelum ini kami paparkan Honda RS150R facelift (V2) yang sudah berada di kedai motosikal, tapi kini barulah siaran akhbar rasmi dikeluarkan oleh Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd menandakan ia sudah dilancarkan secara rasmi untuk jualan.

    Harga yang dikeluarkan oleh BSH adalah RM8,199 untuk versi Standard iaitu berwarna Tricolor, hitam dan biru, sementara versi Repsol pula adalah RM8,499 tidak termasuk insurans. Melalui artikel yang kami siarkan sebelum ini, harganya di kedai termasuk insurans pula adalah RM9,300 untuk versi Standard dan RM9,500 untuk versi Repsol.

    Antara peningkatan utama pada model facelift ini adalah panel meter digital LCD, unit lampu belakang lebih kecil tanpa panel lutsinar di tepi dan lampu penunjuk arah. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa perubahan atau penambahan lain pada motosikal ini seperti panel plastik tambahan atas lampu hadapan dan ekor belakang, cermin sisi dan tiada lagi pemula enjin jenis tendang.

    Bahagian enjin tidak mengalami sebarang perubahan, di mana ia masih dikuasakan oleh unit satu silinder empat lejang DOHC berpenyejukan cecair 149.16 cc, kotak gear enam kelajuan, serta kuasa 15.6 PS pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Model facelift yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ini adalah sama (kecuali grafik dan warna) seperti Honda Supra GTR150 yang dilancarkan di Indonesia September lalu sementara model yang lebih ditunggu-tunggu iaitu Winner X masih tidak diberitahu sama ada akan tiba di Malaysia ataupun tidak.

    GALERI: Honda RS150R V2 di wakil pengedar

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025