Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Benelli Dong diperkenal di Indonesia – skuter elektrik berbentuk unik, motor 1.2 kW, laju maksimum 45 km/j

    Benelli Dong diperkenal di Indonesia – skuter elektrik berbentuk unik, motor 1.2 kW, laju maksimum 45 km/j

    Semasa acara Indonesia International Motor Show (IIMS) 2021 yang dijalankan secara virtual, Benelli telah memperkenalkan sebuah skuter elektrik yang dipanggil sebagai Dong. Ia membawa rekaan unik, serta teknologi penggerak yang semakin mendapat perhatian di negara tersebut.

    Benelli Dong mudah menarik perhatian ramai melalui rekaan luar kebiasaan, dengan bahagian belakangnya seakan terapung. Saiznya mungkin agak kecil, tetapi masih boleh dinaiki dua orang dan disokong oleh suspensi jenis monoshock di hadapan (bukan jenis fork) dan belakang.

    Motor elektrik 1.2 kW pada skuter ini diletakkan terus di bahagian hab belakang, dan ia mendapat kuasa daripada bateri 1.56 kWh yang boleh dicabut keluar untuk memudahkan pengguna mengecas. Melalui pakej ini, ia boleh bergerak sehingga 60 km dengan satu cas penuh dan mencapai laju maksimum 45 km/j.

    Daripada catatan ini kita sudah boleh tahu Benelli Dong disediakan lebih kepada penggunaan jarak dekat, dan di bawah tempat duduknya tiada tempat meletak barang. Walaubagaimanapun, bahagian lantai dijadikan luas dan terdapat penyangkut kecil untuk barangan ringan.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk meter jenis digital, rim 10 inci, semua lampu jenis LED (unit bersepadu siap penunjuk arah di belakang), dua mod kuasa serta bunyi khas apabila berfungsi sebagai ciri keselamatan.

     
     
  • Subaru XV 2.0i-P 2021 dinaiktaraf – tempat duduk kulit, sambungan Apple CarPlay, Android Auto; RM132k

    Subaru XV 2.0i-P 2021 dinaiktaraf – tempat duduk kulit, sambungan Apple CarPlay, Android Auto; RM132k

    Motor Image telah mengumumkan naiktaraf bagi model XV 2.0i-P 2021 dengan memberikan beberapa ciri tambahan baharu. Walau bagaimana pun, terdapat pertambahan kos yang dikenakan, dan model tersebut kini RM3,000 lebih mahal iaitu mencecah RM131,788 tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai jualan (SST) dan waranti lima-tahun/100,000 km. Model asas 2.0i digugurkan dari pasaran tempatan, jadi 2.0i-P kini varian paling bawah dalam barisan XV tempatan, bersama varian paling mahal GT Edition berharga RM137,788.

    Bagi penaiktarafan model XV 2.0i-P 2021 ini, terdapat sedikit ciri pertambahan termasuklah ia kini diberikan material uphosltery kulit dan suede dengan roda hitam dan kelabu bersama jahitan jingga, menggantikan fabrik dan kulit tiruan. Kemasan baharu ini adalah eksklusif untuk pasaran Malaysia dan Thailand – yang kedua-duanya dikendalikan oleh Motor Image.

    Turut ditambah ialah unit utama baharu dengan skrin sesentuh lapan-inci serta ketersambungan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Namun ia masih tidak diberikan sistem kamera 360-darjah seperti mana yang diumumkan sebelum ini – yang ditampilkan pada varian GT Edition.

    Subaru XV 2.0i-P 2021 dinaiktaraf – tempat duduk kulit, sambungan Apple CarPlay, Android Auto; RM132k

    Selain itu, ciri lain masih dikekalkan, termasuklah lampu utama LED adaptif, lampu belakang LED, roda aloi dua tona 17-inci, rel bumbung warna perak, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjon, kawalan suhu automatik dwi-zon, paparan pelbagai-inci tengah 6.3-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, enam pembesar suara dan kamera undur.

    Aspek keselamatan juga tidak perubahan, masih kekal dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan. Tiada sistem bantuan pemandu EyeSight diberikan, mengikut laporan sebelum ini, Motor Image mahu menampilkannya pada model facelift.

    Bahagian mekanikal juga dikekalkan, dengan unit FB20D 2.0 liter naturally-aspirated dan suntikan-terus empat-silinder, dengan kuasa 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa ini disalurkan menerusi Lineartronic CVT dengan tujuh nisbah maya dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive, bersama fungsi X-Mode yang direka untuk memberikan pengendalian terbaik bagi pemanduan off-road.

     
     
  • GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    Semalam, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) secara rasmi telah mengumumkan pengenalan Elantra 1.6 Executive untuk pasaran Malaysia. Disember tahun lalu, varian tunggal bagi Elantra 2021 Premium diperkenalkan di sini, dan varian Executive terbaru ini merupakan penambahan terbaru penawaran lebih rendah model berkenaan. Ia juga diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, dengan harga pengenalan RM139,888.

    Ini menjadikannya sekitar RM19k lebih murah berbanding varian Premium, dan melibatkan beberapa perbezaan atau pengurangan berbanding varian tertinggi Premium sebelum ini. Antaranya varian Executive ini mengenakan kerusi balutan fabrik hitam dengan benang putih, larasan kerusi manual dan instrumen lebih konvensional dengan paparan multi-info 4.2-inci.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    Ia bagaimanapun tidak datang dengan fungsi pemanas serta liang pengudaraan untuk kerusi depan, termasuk fungsi pemanas stereng (walaupun masih lagi balutan kulit) serta pengecas telefon tanpa wayar turut telah digugurkan. Tidak lupa, tiada juga ciri cermin pandang belakang elektrokromatik.

    Kelengkapan lain yang turut terkesan ialah ciri Hyundai SmartSense, yang pada varian ini hanya datang dengan tahap paling asas. Executive ini hanya menerima kawalan melayar pasif, amaran titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi selebihnya yang ada pada varian Premium, tiada pada varian Executive.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    Inilah ciri-ciri yang membezakan kelengkapan antara kedua-dua varian tersebut. Selebihnya, penampilannya berkongsi ciri yang sama; lampu utama LED projektor, lampu belakang kombinasi LED dengan elemen lampu jalur, rim 17-inci dua tona, skrin lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta enjin 1.6 liter Smartstream (123 PS, 154 Nm) dan kotak gear IVT dengan empat mod pemanduan. Apa pandangan anda tentang varian paling asas Elantra ini?

     
     
  • Kia EV6 diumumkan untuk UK – dari RM232k-RM292k

    Kia EV6 diumumkan untuk UK – dari RM232k-RM292k

    Selepas sebulan mendedahkan Kia EV6, pengeluar kereta bnerkenaan mengumumkan crossover sepenuhnya elektrik tersebut akan dijual di United Kingdom (UK) tidak lama lagi, dan penghantaran pertama akan bermula pada Oktober 2021. Terdapat tiga varian yang ditawarkan – EV6, EV6 GT-Line, dan EV6 GT-Line S.Manakala varian tertinggi EV6 GT, dijadualkan akan dilancarkan pada suku kedua tahun 2022.

    Setiap varian EV6 yang dipasarkan di UK akan dilengkapi dengan pek bateri lebih besar berkapasiti 77.4 kWh. Ciri standard untuk semua varian termasuklah paparan panoramik dengan skrin sesentuh berkembar 12.3-inci, dilengkapi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem UVO Connect.

    Varian EV6 yang paling rendah ditawarkan pada harga dari £40,895 (RM232k), dan didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED, roda aloi kelabu gelap 19-inci, upholstery kulit vegan, pencahayaan ambien dalaman, sistem kawalan suhu automatik dwi-zon, pemilih mod pemanduan, bantuan pemanduan lebuhraya, kawalan kelajuan pintar berasaskan GPS dengan fungsi stop/go, AEB dengan fungsi belokan di persimpangan, pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal.

    Kia EV6 diumumkan untuk UK – dari RM232k-RM292k

    Varian asas EV6 diberikan motor elektrik 168 kW (228 PS, 350 Nm) yang menyalurkan kuasa ke gandar belakang. Pengecasan penuh mampu memberikannya jarak hingga 510 km (kitaran WLTP), dan senibina elektrikal 800 voltan mampu memberikannya pengecasan pantas. Kia berkata EV6 boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 18 minit.

    Untuk model pertengahan GT-Line, ia diberikan sama ada bentuk RWD atau AWD, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 239 kW (325 PS dan 605 Nm). Ia membolehkan crossover elektrik ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan diberikan kit penggayaan GT-Line termasuk roda hitam 19-inci dan upholstery kulit vegan kelabu cerah dan hitam suede.

    Ia turut diberikan kaca privasi, dwi lampu utama LED dengan lampu tinggi adaptif, tempat duduk rehat premium, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan tiga pin vehicle-to-load yang menyalurkan kuasa sehingga 3.6 kW. Yang bersamaan dengan saluran kuasa untuk mengoperasikan televisyen 55-inci dan pendingin hawa melebihi 24 jam, serta boleh digunakan untuk mengecas kenderaan elektrik lain jika diperlukan.

    GT-Line S berharga dari £48,395 (RM275k; RWD) hingga £51,895 (RM295k; AWD), menerima ciri yang dipertingkatkan termasuk roda 20-inci, tempat duduk dengan pengaliran udara dan penghabaan, tailgate berkuasa, bumbung panoramik kuasa, sistem audio Meridian dengan 14-pembesar suara, bantuan parkir pintar, bantuan mengelak pelanggaran parkir, bantuan pemanduan lebuhraya dan paparan utama.

    Kedua-dua GT-Line dan GT-Line S turut dilengkapi dengan pam pemanas bateri pilihan, yang boleh memaksimakan jarak pemanduan ketika dalam kondiri cuaca sejuk. Pam pemanas ini adalah standard bagi EV6 GT, yang masih dalam fasa terakhir proses pembangunannya.

    Setakat ini, lebih 1,205 pelanggan di UK telah menempah crossover elektrik terbaharu Kia ini. Malahan tempahannya juga telah ditutup, dan sesiapa yang berjaya menempahnya turut layak menerima tawaran servis pengecasan, termasuklah langganan percuma selama setahun untuk KiaCharge Plus. Ini termasuklah rangkaian pengecasan IONITY pan-European ultra-rapid EV.

     
     
  • Rentas negeri cetus 13 kluster sejak April lalu – KKM

    Rentas negeri cetus 13 kluster sejak April lalu – KKM

    Sebanyak 13 kluster dikesan mengakibatkan jangkitan COVID-19 sejak April lalu gara-gara aktiviti merentas negeri. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ia termasuk satu kluster di Kelantan yang dikesan berkaitan varian dari Afrika Selatan membabitkan 10 individu, laporan Berita Harian.

    Katanya, ia membabitkan Kluster Kabu di Kedah yang berasal dari Pulau Pinang; Kluster Taman Malim Jaya di Melaka (dari Selangor); Kluster Jalan Gapam di Negeri Sembilan (dari Melaka); Kluster Taman Rakyat di Terengganu (dari Sabah); Kluster Kampung Domis, Kelantan (dari Selangor); Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kelantan (dari Kuala Lumpur).

    Selain itu, Kluster Seri Kuantan, Pahang (dari Kuala Lumpur); Kluster Pengkalan Batik, Melaka (dari Selangor); Kluster Taman Changkat, Perak (dari Selangor); Kluster Jalan Kesidang, Kluster Kota Shahbandar dan Kluster Air Budi, Melaka (dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur) serta Kluster Jarang Emas, Melaka (dari Selangor).

    “Berikutan itu, aktiviti rentas negeri tidak akan dibenarkan hingga 17 Mei ini sehingga pengumuman seterusnya. Untuk kategori subkluster komuniti, berdasarkan kepada jumlah kes diperoleh, ia membabitkan kontak rapat atau kontak keluarga.

    “Ada yang berlaku di majlis pengebumian, keraian, perkahwinan, sambutan perayaan, pertunangan dan banjir, selain apa yang berlaku di rumah panjang Sarawak seperti gotong-royong, pengebumian dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya. Sehingga 1 Mei lalu, sejumlah 1,669 kluster dilaporkan.

     
     
  • Polis cadangkan agar Malaysia guna plat nombor pendaftaran seragam dengan cip untuk elak jenayah

    Polis cadangkan agar Malaysia guna plat nombor pendaftaran seragam dengan cip untuk elak jenayah

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya semua kenderaan di negara ini diseragamkan dengan ‘e-plate’ atau nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan sebagai langkah untuk pencegahan jenayah, lapor Berita Harian.

    Perkara ini disebut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dalam program Ruang bicara PDRM terbitan Bernama TV bertajuk ‘Trend Jenayah Semasa Penularan Pandemik COVID-19’, semalam. Menurutnya, e-plate ini antara perkara yang dicadangkan jabatannya kepada kerajaan dalam menyaingi perubahan teknologi dan menghadapi trend jenayah semakin sofistikated.

    “Sudah tiba masa negara kita menggunakan nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan atau e-plate yang mana ia sudah lama digunakan di negara maju selain di Singapura dan Thailand.

    “Kalau kita tengok, nombor pendaftaran standard tanpa cip keselamatan dipakai di Indonesia, Vietnam dan Laos tetapi kita masih menggunakan nombor pendaftaran yang cacamarba, termasuk nombor pendaftaran ‘fancy’ dan sebagainya.

    “Sekiranya penggunaan nombor pendaftaran diseragamkan, ia dapat mencegah jenayah. Sukar untuk individu atau penjenayah membuat nombor pendaftaran palsu dan sebagainya kerana ia diselaraskan dan hanya satu badan atau jabatan membuat nombor pendaftaran,” katanya.

    Beliau juga menyatakan bahawa penggunaan sistem sedemikian juga akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketidakpatuhan pengguna jalan raya, termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, selain dapat membantu JSJ menangani kes kecurian kenderaan yang mana jenayah itu penyumbang tertinggi kepada kes jenayah di negara ini.

    Huzir menjelaskan bahawa cadangan tersebut diusulkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan untuk dipertimbangkan.

     
     
  • Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Honda telahpun mendedahkan model konsep baharu mereka yang digelar “New 7-Seater eXcitement” atau N7X Concept. Model ini dibangunkan oleh Honda R&D Asia Pacific, dan pendedahan sulungnya dibuat oleh Honda Indonesia – jadi jelas bahawa SUV 7-tempat duduk ini sebenar preview untuk Honda BR-V generasi baharu, di mana model BR-V sedia ada sudahpun berada lebih lima-tahun dalam pasaran.

    Walaupun ia dinamakan sebagai konsep, N7X ini nampak seakan sudah bersedia untuk diproduksi dan tidak menampilkan ciri-ciri khayalan – boleh dijangka hampir kesemua perincian yang anda nampak pada model konsep ini bakal tampil pada BR-V generasi kedua nanti.

    N7X ini nampaknya menampilkan perubahan yang besar berbanding BR-V sedia ada, tampil dengan rupa yang lebih lasak. Muka SUV ini seakan diinspirasikan dari model facelift terbaharu MPV mewah Honda Odyssey, tampil dengan gril hadapan yang terdiri jalu-jalur dan bar krom, diapit oleh lampu hadapan yang tajam bersama jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-L.

    Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Ia diberikan satu lagi gril pada bampar hadapan bersama kemasan skid plate di bawahnya, serta kedua-dua bahagian sisi menempatkan kemasan perumah lampu kabus juga diberikan satu lagi jalur LED. Seperti model-model terbaharu Honda yang lain, N7X juga tampil dengan bonet hadapan seakan mempunyai ‘jendul’.

    Pada bahagian sisi, N7X diberikan rekaan lebih ringkas dari BR-V. Tiada lagi garis-garis yang bersimpang siur, sebaliknya hanya menampilkan satu garis karekter bermula dari lampu hadapan, melalui bahagian bawah pembuka pintu dan bersambung pada lampu belakang. Kemasan pelindung badan pada semua ruang roda juga kini lebih nipis dan tidak menggangu bahagian badan lain di atasnya.

    Di belakang, N7X ini menampilkan lampu yang lebih nipis dan tajam dan juga grafik LED yang kelihatan seperti sedan Honda City. Pintu tailgate juga kelihatan lebih ringkas dan kemas – tiada lagi bar reflektor yang menghubungkan kedua-dua lampu serta permukaan lebih rata, manakala perumah nombor plat masih kekal di bawah.

    Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Honda masih belum mendedahkan sebarang imej bahagian dalaman N7X ini. Tetapi menerusi visual dari video pengenalan yang disiarkan, papan pemuka model konsep ini juga menampilkan rekaan yang jauh berbeza dari BR-V sedia ada, bersama rekaan-rekaan suis kawalan pendingin hawa dan roda stereng yang baru.

    Video berkenaan juga menunjukkan bahawa N7X turut menerima sistem bantuan titik buta Honda LaneWatch. Selain dari rupa, Honda masih belum mengumumkan sebarang perician lain termasuk unit rangkaian kuasa yang digunakan pada SUV tujuh-tempat duduk ini. Setakat ini, apa pandangan anda terhadap N7X? Boleh jadi ancaman baru kepada pasaran SUV/MPV tujuh tempat duduk lain seperti Mitsubishi Xpander dan Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz?

     
     
  • Saga model paling laris di M’sia, pintas Myvi untuk April 2021; Proton jual 15k unit 3 bulan berturut-turut

    Saga model paling laris di M’sia, pintas Myvi untuk April 2021; Proton jual 15k unit 3 bulan berturut-turut

    Proton telah pun mengumumkan prestasi jualan mereka untuk April 2021 – mereka berjaya menjual sebanyak 15,017 unit kenderaan bulan lalu, mengekalkan momentum jualan melebihi 15k unit untuk bulan ketiga berturut-turut tahun ini. Angka tersebut menunjukkan ia adalah peningkatan sebanyak 0.18% berbanding bulan Mac. Proton biasanya akan mencampurkan jualan domestik dan eksport dalam pengumuman mereka.

    Dengan jualan melebihi 15k unit berkenaan, Proton menganggarkan mereka kini memegang 26.7% bahagian dalam pasaran. Jualan kumulatif untuk empat bulan pertama tahun ini sudah pun mencapai 47,843 unit, dengan anggaran pegangan bahagian pasaran sebanyak 24.4%. Ini mungkin membuatkan Proton selesa berada di tempat kedua di belakang Perodua dalam kedudukan keseluruhan.

    Proton juga mendakwa model paling mampu milik keluaran mereka, Proton Saga merupakan model paling laris bulan lalu, dengan jualan sebanyak 5,472. Ini bermakna Saga telah pun berjaya memintas jualan model paling laris di Malaysia sejak sekian lama iaitu Perodua Myvi pada April 2021. Ini juga sebenarnya kali kedua Saga mencatatkan rekod sebagai model bulanan paling laris selepas Mei 2020, walaupun jualan pada bulan lalu sebenarnya lebih rendah dari Mac.

    Barisan SUV Proton terus mencatatkan jualan yang memberangsangkan dan menyumbangkan bahagian yang besar secara keseluruhan. Sebanyak 3,583 unit Proton X50 telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang April (rekod tertinggi setakat ini), serta 2,101 unit untuk X70. Ini bermakna Proton berjaya menjual sebanyak 5,684 unit SUV sepanjang bulan lalu, iaitu bulan kedua tertinggi pernah dicatatkan untuk barisan model X, hanya sedikit rendah berbanding rekod pada Mac.

    Tiga lagi model Proton juga telah mencatatkan jualan bulanan terbaik untuk 2021 pada April. Persona telah terjual sebanyak 2,266 unit (kedua dalam kelas sedan segmen-B), Exora berjaya dijual sebanyak 616 unit, manakala Iriz yang dibantu dengan model edisi terhad R3 juga telah mencatatkan jualan bulanan terbaik sejak 2019, terjual sebanyak 974 unit (ketiga dalam kelas hatchback segmen-B).

    “April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari PROTON, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini. TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada akhir bulan Jun,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eskekutif, Proton Edar.

    “Bagi Proton, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat. Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” tambahnya lagi

    Bulan lalu juga upacara pecah tanah untuk kilang stamping terbaharu Proton juga telah dibuat di Tanjong Malim. Fasiliti bernilai RM200 juta berkenaan dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2022, dan ia membolehkan Proton menghasilkan panel-panel badan yang lebih besar.

     
     
  • Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 di M’sia — RM140k

    Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 di M’sia — RM140k

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) dengan rasminya memperkenalkan Elantra 1.6 Executive untuk pasaran Malaysia. Ini menjadi tambahan varian kepada penawaran sebelum ini, 1.6 Premium yang dilancarkan di Malaysia Disember tahun lalu. Varian lebih rendah ini juga diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, dengan harga pengenalan RM139,888.

    Ini menjadikannya sekitar RM19k lebih murah berbanding varian Premium. Untuk itu juga, tentulah ada ciri dan kelengkapan yang dikurangkan pada varian ini. Paling ketara ialah pada bahagian dalamannya; model Executive ini mengenakan kerusi balutan fabrik hitam dengan benang putih, larasan kerusi manual dan instrumen lebih konvensional dengan paparan multi-info 4.2-inci.

    Ia juga tidak datang dengan fungsi pemanas serta liang pengudaraan untuk kerusi depan, termasuklah fungsi pemanas stereng (walaupun masih lagi balutan kulit) serta pengecas telefon tanpa wayar turut digugurkan. Tidak lupa, tiada juga ciri cermin pandang belakang elektrokromatik.

    Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 di M’sia — RM140k

    Kelengkapan lain yang turut terkesan ialah ciri Hyundai SmartSense, yang pada varian ini hanya datang dengan tahap paling asas. Executive ini hanya menerima kawalan melayar pasif, amaran titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi selebihnya yang ada pada varian Premium, tiada pada Executive.

    Inilah yang membezakan kelengkapan antara kedua-dua varian tersebut. Selebihnya, penampilannya berkongsi ciri yang sama; lampu utama LED projektor, lampu belakang kombinasi LED dengan elemen lampu jalur, rim 17-inci dua tona, skrin lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta enjin 1.6 liter Smartstream (123 PS, 154 Nm) dan kotak gear IVT dengan empat mod pemanduan.

    “Kami menerima permintaan yang agak banyak daripada pelanggan yang mahukan Elantra terbaru ini dengan tanda harga yang lebih rendah. Seperti kereta import lainnya, kadar tukaran matawang asing menjadi penentu utama bagi harga kenderaan di sini,” ujar Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung. Apa pandangan anda tentang varian paling asas Elantra ini?

     
     
  • Honda X-ADV 2021 dilancarkan untuk Malaysia – kuasa bertambah, kelengkapan dipertingkat, harga RM67,799

    Honda X-ADV 2021 dilancarkan untuk Malaysia – kuasa bertambah, kelengkapan dipertingkat, harga RM67,799

    Honda X-ADV 2021 baru sahaja didedahkan untuk pasaran Eropah November tahun lalu, dan kini ia sudah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga RM67,799 tidak termasuk insurans. Tiga warna ditawarkan, iaitu hitam, merah dan perak, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bentuk asas model ini masih lagi menggunakan konsep sama tetapi hampir kesemua panel badan adalah baru untuk menjadikannya lebih agresif, termasuklah lampu hadapan LED yang dilengkapi dengan DRL LED. Bentuk tempat duduk turut diubah supaya penunggang dapat menjejak tanah dengan lebih mudah dan tingginya sekarang adalah 820 mm. Penghadang angin baru di hadapan boleh dilaras lima tahap secara manual.

    Di hadapan pemandu kini terdapat panel digital TFT 5.0 inci berwarna untuk memaparkan segala informasi penting. Ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar serta headset (tidak disertakan) melalui Honda Smartphone Voice Control System dan membolehkan kawalan panggilan, emel, muzik dan navigasi.

    Enjin yang digunakan juga masih lagi sama, iaitu unit dua silinder selari SOHC 745 cc, tetapi kuasanya telah ditingkatkan sebanyak 4 hp, menjadi 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm tork pada 4,750 rpm. Enjin ini juga sekarang sudah melepasi tahap Euro 5 dan boleh dikerah sehingga 7,000 rpm. Antara yang diubah adalah pemasaan injap serta kecekapan kemasukan udara serta ekzos.

    Pada bahagian transmisi, nisbah gear untuk unit klac berkembar (DT) enam kelajuan padanya telah diubah untuk menjadikan pecutan awal lebih pantas (gear 1, 2 dan 3 lebih pendek) dan meningkatkan kecekapan bahan api serta kebolehgunaan gear pada kelajuan lebih tinggi (gear 4, 5 dan 6 lebih panjang). Selain penukaran gear automatik, transmisi ini juga mempunyai mod manual dengan kawalan naik dan turun gear menggunakan butang.

    Untuk kawalan kuasa, X-ADV 2021 menggunakan sistem ride by wire dan penunggang disediakan dengan lima mod iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Dalam empat mod yang pertama, tahap penyampaian kuasa, engine braking, Honda Selectable Traction Control (HSTC) dan ABS dilaras pada tahap tertentu sementara dalam mod User, penunggang boleh melaras semua ciri ini pada tahap yang mereka mahukan. HSTC mempunyai tiga tahap dan ia juga boleh ditutup terus.

    Honda X-ADV 2021 dilancarkan untuk Malaysia – kuasa bertambah, kelengkapan dipertingkat, harga RM67,799

    Di sebalik panel badan X-ADV 2021 ini terdapat kerangka besi rekaan baru yang menjadikan beratnya lebih ringan satu kilogram dan membantu penggunaan ruang – kapasiti ruang simpanan bawah tempat duduk meningkat menjadi 22 liter dan boleh memuatkan helmet full face. Di bahagian ini juga soket 12V telah diganti dengan soket USB.

    Antara kemudahan yang disediakan oleh skuter ini adalah seperti sistem kunci pintar, Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 13.2 liter, lampu penunjuk arah boleh tutup sendiri, tongkat tengah, penghadang tangan serta ruang simpanan kecil di bawah pemegang.

    Pada bahagian roda, ia dilengkapi dengan rim spoke 17 inci, tayar 120/70, brek cakera berkembar 296 mm, angkup empat piston serta fork USD 41 mm di hadapan manakala di belakang terdapat rim 15 inci, tayar 160/60, brek cakera 240 mm, angkup satu piston serta monoshock.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG One lalui ujian jalanan akhir

    SPYSHOT: Mercedes-AMG One lalui ujian jalanan akhir

    Dua tahun tertangguh, kini akhirnya Mercedes-AMG bersedia untuk membawa hypercar One ke fasa produksi tahun ini. Kereta yang menggunakan enjin jentera Formula One ini dilihat sedang melalui ujian jalanan akhir, dengan bentuknya sekarang mungkin adalah bentuk akhir yang akan diguna.

    Kebanyakan bentuk asasnya masih lagi sama seperti model yang ditunjukkan pada tahun 2017 dan muncul hujung tahun lepas dalam satu video promosi, tetapi sekarang anda boleh melihat ia sudah mempunyai lampu yang berfungsi dan lebih sesuai untuk kereta jalanan, serta cermin sisi sebenar yang melekat pada pintu.

    Kereta ini juga dilengkapi dengan sistem aerodinamik aktif, di mana antaranya adalah sirip tepi fender dan sayap belakang, yang boleh dilaras mengikut mod pemanduan atau kelajuan. Bahagian-bahagian lain juga cukup menarik dan mempunyai fungsi tersendiri untuk meningkatkan prestasinya.

    SPYSHOT: Mercedes-AMG One lalui ujian jalanan akhir

    Persamaan kereta ini dengan jentera F1 bukan sekadar satu gimik pemasaran, tetapi ia lebih istimewa kerana betul-betul menggunakan enjin F1 yang diletakkan di belakang, iaitu unit V6 turbo 1.6 liter daripada W07 Hybrid. Ini adalah enjin yang membantu Nico Rosberg memenangi gelaran juara dunia pada tahun 2016.

    Sama seperti kereta F1, enjin pada model One ini juga mempunyai dua unit motor-generator elektrik untuk memacu compressor pada tahap rpm rendah dan memberikan pecutan tambahan apabila diperlukan. Sudah tentu, ada beberapa bahagian yang diubah supaya ia sesuai untuk digunakan atas jalan raya biasa termasuk had rpm (11,000) dan sistem bahan api (boleh menerima petrol RON 98). Mercedes mendakwa, kuasa One boleh mencecah 1,000 PS dan mencapai laju maksimum 350 km/j.

     
     
  • BMW X3 LCI 2021 bocor – warna, roda dan wajah baru

    BMW X3 LCI 2021 bocor – warna, roda dan wajah baru

    Walau pun sedang menantikan masa yang sesuai untuk diperkenalkan secara rasminya tahun ini, sedikit maklumat dan foto model facelift BMW X3 G01 telah pun dibongkarkan. Foto di atas dipaparkan menerusi laman web BMW Sepanyol, dan terdapat beberapa perubahan serta peningkatan yang dilakukan, ini termasuklah roda dan warna luaran baharu.

    Walau belum jelas perubahan yang dilakukan untuk model facelift ini, namun dijangka ia menerima lampu utama LED, bersama lampu belakang dengan grafik baharu. Selain itu, dijangkakan ia turut menerima gril ‘kidney’.

    Untuk kabinnya, ada laporan menyatakan model facelift ini bakal menerima paparan infotainmen yang lebih besar, dan berpotensi disertakan dengan iDrive dan BMW Operating System 8 baharu. Sebelum ini, BMW pernah berkata, iDrive 8 bakal diperkenalkan pada model iX dan i4 pada tahun ini.Jadi kemungkinan besar X3 LCI bakal menerima iDrive 7.

    Sistem iDrive menawarkan peningkatan tahap penampilan dan grafik visual yang lebih baik, serta “warna moden dan tekstur futuristik.” Terdapat tiga susun atur untuk dipilih (Drive, Fokus dan Galeri), masing-masing disertai dengan widget yang dapat disesuaikan untuk maklumat secara langsung.

     
     
  • Proton Commerce sasar rekod tahunan bagi pinjaman

    Proton Commerce sasar rekod tahunan bagi pinjaman

    Proton Commerce mensasarkan jumlah pemberian pinjaman tertinggi tahun ini, dengan angka jangkaanya 20,000 pinjaman sepanjang 2021.

    Cabang kewangan Proton ini telah menyaksikan pengembangan dalam jumlah pinjaman yang diberikan selari peningkatan jualan kenderaan Proton. Pada 2018, ia mengagihkan 5,410 pinjaman, dan angka itu naik hampir sekali ganda pada tahun berikutnya. Pada 2020, walaupun dengan gangguan wabak Covid-19 dan moratorium, Proton Commerce telah berhasil mengagihkan sebanyak 14,189 pinjaman.

    2021 juga nampak meyakinkan buat mereka. Sepanjang suku pertama tahun ini, jumlah jualan terkumpul memperlihatkan angka tertinggi pada Mac, dan ini sekali lagi memberikan petanda positif kepada Proton Commerce.

    “Walaupun banyak sektor ekonomi mencatatkan penguncupan akibat Covid-19, sentimen pelanggan terhadap kenderaan masih lagi positif. Peningkatan Proton terhadap kualiti produk, pengembangan rangkaian pengedar dan pengenalan model baru telah meningkatkan minat pasaran terhadap kenderaan keluaran syarikat dan membawa kesan positif bagi permohonan pinjaman yang diterima,” ujar CEO Proton Commerce, Mooi Fi Phang.

    Proton Commerce sasar rekod tahunan bagi pinjaman

    “Jumlah agihan pinjaman kami bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 42.3% dan kami yakin ia akan terus berkembang untuk suku kedua nanti. Bagaimanapun, pasaran sewa-beli mungkin akan menghadapi tempoh sukar pada separuh kedua tahun ini sebaik sahaja insentif cukai jualan kenderaan di bawah Penjana berakhir pada Jun. Maka pasaran bakal menyaksikan tempoh pembetulannya selepas itu,” tambah beliau.

    Proton Commerce juga ambil maklum bahawa ia sedang menyaksikan perubahan dari sudut demografik pelanggan-pelanggannya yang kini terdiri daripada mereka yang lebih muda. Menurut syarikat itu, 80% pelanggannya memilih tempoh pinjaman sembilan-tahun dengan kadar pinjaman yang terjejas pula rendah sehingga tiga kali ganda berbanding purata industri.

    “2020 adalah tahun yang sukar bagi industri dengan institusi kewangan perlu membuat perubahan akibat tempoh moratorium enam bulan yang diumumkan oleh Bank Negara. Proton Commerce bernasib baik kerana kestabilan kewangan pelanggan kami menyaksikan tidak ramai yang memohon lanjutan moratorium selepas itu,” tambah Mooi.

     
     
  • Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan VVI secara percuma sehingga 12 Mei 2021 sempena Aidilfitri

    Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan VVI secara percuma sehingga 12 Mei 2021 sempena Aidilfitri

    Semepan dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Puspakom menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection – VVI) percuma. Bertemakan “Jaga jarak! Jaga kenderaan! Jom buat pemeriksaan VVI percuma!”, kempen VVI percuma ini dianjurkan khusus untuk kenderaan persendirian di mana pemilik- pemilik kenderaan boleh membawa kenderaan mereka di mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara (kecuali cawangan Shah Alam dan Pasir Gudang). Ia bermula pada 2 hingga 12 Mei 2021 dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Menurut Puspakom, walaupun musim perayaan ini kita tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun keselamatan kenderaan masih perlu dititikberatkan kerana kenderaan masih lagi digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja dan membeli barang keperluan.

    Walau bagaimana pun, bagi memastikan para pelanggan yang hadir pemeriksaan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga bagi mengelak daripada kesesakan di cawangan Puspakom, semua pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan percuma ini dikehendaki membuat temujanji secara dalam talian terlebih dahulu di www.mypuspakom.com.my. Fi pemprosesan MyPUSPAKOM yang dikutip pada waktu tempahan akan dipulangkan setelah pemeriksaan selesai.

    “VVI secara percuma ini dianjurkan untuk kita mengubah persepsi masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman mereka terhadap aspek keselamatan kenderaan. Kenderaan bukan hanya perlu diselenggara pada musim perayaan, atau sebelum memulakan perjalanan jauh, tetapi juga harus menjalani pemeriksaan secara berjadual. Ini akan memastikan keadaan kenderaan beroperasi pada tahap yang terbaik.

    “Terdapat 25 item yang akan diperiksa iaitu termasuk ujian brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap , lampu, cermin gelap, bahagian atas dan bawah kenderaan dan banyak lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail.

    Selain di cawangan, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom turut berada di dua lokasi bagi menawarkan pemeriksaan percuma ini iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan di Perkarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2021 dengan kerjasama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK). Unit Pemeriksaan Bergerak ini akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada tarikh tersebut.

     
     
  • PANDU UJI: Porsche Taycan – kereta elektrik beremosi

    PANDU UJI: Porsche Taycan – kereta elektrik beremosi

    Kali pertama saya berpeluang untuk memandu kereta elektrik sepenuhnya (EV) adalah pada tahun 2012, ketika itu saya diberi peluang untuk memandu Nissan Leaf generasi pertama. Pada tahun yang sama juga saya diberi peluang untuk memandu satu lagi kereta elektrik iaitu Renault Fluence ZE. Dan kali terakhir saya memandu EV adalah pada 2019, dengan memandu Nissan Leaf generasi kedua.

    Atas kertas, kereta-kereta elektrik ini menyajikan tork yang cukup besar yang bermula dari 0 rpm. Ini bermakna, katalah kereta tersebut dibekalkan dengan 300 Nm, dari pegun kemudian pedal pendikit ditekan sepenuhnya, tork 300 Nm tersebut terus dilepaskan tanpa perlu motor mendaki pada takat rpm tertentu. Sebab itulah kereta elektrik kebiasaannya tidak memerlukan kotak gear.

    Tapi, adakah dengan fakta tersebut menjadikan kereta elektrik benar-benar seronok? Ya, pecutannya memang sukar ditandingi kereta petrol, tapi laju bukan terus bermaksud seronok. Biasanya yang membuatkan kita teruja untuk memandu sebuah kereta adalah kerana emosi yang diberikan, dan emosi tersebut datang dari faktor seperti bunyi dan getaran terhasil dari sistem mekanikal.

    Kita ambil Toyota 86 dan Subaru BRZ generasi pertama sebagai contoh. Kereta sport ini tidak dibekalkan dengan enjin yang berkuasa, tetapi dengan dimensi yang ‘ngam-ngam’, konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, serta enjin boxer tanpa turbo yang memberikan bunyi induksi yang cukup sedap ketika diperah, membuatkan kereta tersebut sangat seronok untuk dipandu.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024