Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kaji selidik dapati 87% responden di Malaysia pilih memandu berseorangan – jadi punca kesesakan

    Kaji selidik dapati 87% responden di Malaysia pilih memandu berseorangan – jadi punca kesesakan

    Antara faktor yang menyumbang kepada situasi kesesakan jalan raya, terutama di kawasan pusat bandar seperti Kuala Lumpur, ialah kebergantungan sebahagian besar daripada kita terhadap kereta persendirian, yang hanya dinaiki oleh seorang individu sahaja (dan membazirkan 3-4 atau lebih lagi ruang penumpang, bergantung kepada jenis kenderaan).

    Ini agaknya yang menjadi pendorong kepada kaji selidik yang dijalankan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang tiba kepada kesimpulan yang sama; kebanyakan warga Malaysia lebih gemar memandu sendirian berbanding berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam, seperti dilaporkan oleh akhbar New Straits Times.

    Di dalam sebuah kaji selidik yang dijalankan antara 23 hingga 25 Oktober lalu melibatkan 4,689 responden dari pinggir kota Kuala Lumpur termasuk Ampang, Seri Kembangan, Sungai Buloh dan Petaling Jaya mendapati lebih daripada 87% yang berada di Lembah Klang memandu sendiri ke tempat kerja. Ini angka tertinggi di dunia bagi kategori single commuter.

    Baki 11.6% lagi pula didapati bergerak dengan seorang lagi penumpang, sementara 0.9% lagi bergerak dengan dua penumpang lain dalam satu kereta. Menurut pusat yang menjalankan kaji selidik berkenaan, menyumbang kepada perkara ini ialah harga petrol dan tol yang relatifnya berkemampuan untuk ditanggung oleh seorang individu menjadi faktor utama.

    Kaji selidik dapati 87% responden di Malaysia pilih memandu berseorangan – jadi punca kesesakan

    “Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, persamaan yang didapati menjadi faktor utama bagi pemandu yang kerap memandu seorang diri ialah kos minyak dan tol yang mampu ditampung seorang, Hal itu tidak menjadikan pengguna merasa ada keperluan untuk berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam lain,” jelas laporan berkenaan.

    Bagi yang memilih untuk memandu sendiri pula, kaji selidik berkenaan mendapati antara sebab yang menjurus kepada hal itu ialah untuk mendapatkan keselesaan dan privacy dalam perjalanan. Mereka boleh menggunakan masa dalam perjalanan itu untuk berfikir, atau mendengar podcast/muzik pilihan sendiri tanpa perlu melayan karenah orang lain.

    “Satu lagi perkara ialah kerana pengangkutan awam masih lagi sukar atau tidak cekap untuk diakses. Ada responden yang merungut mengatakan kos meletak kenderaan di stesen LRT atau MRT sama saja kadarnya dengan tempat letak kereta di pejabat,” ulas laporan yang sama.

    Kaji selidik dapati 87% responden di Malaysia pilih memandu berseorangan – jadi punca kesesakan

    Menurut Cent-GPS, negara-negara lain sebaliknya mula menunjukkan angka yang menurun bagi pemandu secara bersendiri, dengan lebih ramai memilih pengangkutan awam atau berkongsi kereta. Di Amerika Syarikat, tahun lalu mencatatkan 66% sahaja mereka yang memandu seorang, sementara 34% lagi berkongsi kenderaan.

    Di Sepanyol, 55% ke tempat kerja dengan memandu sendiri tanpa penumpang, semeentara 44% lagi berkongsi kenderaan atau naik pengangkutan awam. “Belgium satu contoh terbaik, dengan jumlah pemandu bersendirian menurut pada kadar 5% setiap tahun, dengan angka mereka kini hanya sekitar 30% sahaja berbanding pengguna jalan yang lain,” jelas laporan itu lagi.

    Cent-GPS juga mengingatkan membuat dasar agar mempertimbangkan sehabis mungkin pendekatan pemansuhan tol dan juga subsidi minyak. “Tol perlu dilihat sebagai satu fungsi di dalam negara membangun untuk mula mengawal selia dan mengurangkan jumlah kereta di atas jalan.”

     
     
  • Toyota Raize didedahkan – rebadge dari Daihatsu Rocky, enjin 1.0 liter tiga-silinder, harga dari RM64k

    Toyota Raize didedahkan – <em>rebadge</em> dari Daihatsu Rocky, enjin 1.0 liter tiga-silinder, harga dari RM64k

    Daihatsu terlebih dahulu mempamerkan model SUV terbaru ini ketika Tokyo Motorshow 2019, yang kemudiannya kita tahu bahawa model berkenaan akan menggunakan nama Rocky. Bagaimanapun, nampaknya Toyota terlebih dahulu akan memasarkan model ini secara rasmi – dengan nama Toyota Raize – untuk pasaran Jepun.

    Untuk itu, Toyota kini telah mendedahkan model SUV kompak berkenaan kepada umum, yang memang merupakan model rebadge daripada model Daihatsu Rocky. Model yang sama juga dijangka akan menjadi SUV Perodua kelak. Jadi, apa yang ada dengan Toyota Raize, yang mungkin tidak akan lari jauh daripada versi oleh Daihatsu dan mungkin saja Perodua? Masih ingat dengan SUV Aruz dan Rush terbaru?

    Raize dibangun berasaskan Toyota New Global Architecture (TNGA), yang kemudiannya turut dipinjam untuk dijadikan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang digunakan untuk SUV Daihatsu Rocky. Tetapi, wajah antara keduanya agak berbeza – sebahagian orang mungkin akan teringatkan model RAV4 ketika melihat Raize.

    Toyota Raize didedahkan – <em>rebadge</em> dari Daihatsu Rocky, enjin 1.0 liter tiga-silinder, harga dari RM64k

    Kelainan yang menyerlah antaranya corong yang diposisikan di bawah berbentuk trapezoidal yang disambungkan dengan lampu kabus bersudut, selain menampilkan jalur lampu LED mendatar dan sensor parkir. Kepingan kemasan yang sama dengan warna badan dengan lambang Toyota turut kelihatan. Bagaimanapun, lampu utamanya mirip dengan yang ada pada model Daihatsu Rocky.

    Toyota dijangka akan menawarkan beberapa pakej penggayaan, termasuk Modellista dan TRD, bagi yang inginkan rupa lebih agresif untuk Raize mereka. Dari tepi, pilihan dua tona warna yang sama, dengan pilihan bumbung hitam atau dalam warna badan. Bahagian belakang pula nampak seperti tiada perubahan yang begitu ketara antara Rocky dan Raize.

    Ini diikuti pula dengan rekaan dalaman, yang sekali lagi, saling tak tumpah dengan apa yang pernah dilipat pada model Daihatsu Rocky. Antara lain, Raize turut dilengkapi dengan skrin sentuh terapung sembilan-inci dengan sambungan SmartDeviceLink dan Apple CarPlay.

    Untuk itu, ukuran dimensi antara keduanya juga sama; 3,995 mm panjang, 1,695 mm tinggi, 1,620 mm lebar, dan jarak rodanya pula 2,525 mm – Toyota mendakwa, jarak yang tersedia dari kerusi depan ke kerusi belakang ialah 900 mm. Ada lapan warna ditawarkan sebagai pilihan, paling baru ialah Turquoise Blue Mica Metallic dengan pilihan warna bumbung Black Mica Metallic.

    Toyota Raize didedahkan – <em>rebadge</em> dari Daihatsu Rocky, enjin 1.0 liter tiga-silinder, harga dari RM64k

    Menjadi nadi utama Raize ini ialah unit enjin petrol 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa sehingga 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan sistem transmisi CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dan juga akan ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Toyota Raize mula dijual di Jepun hari ini, dengan harga bermula dari 1,679,000 yen (RM64,000) hingga 2,282,200 yen (RM87,000). SUV ini juga akan dimasukkan ke dalam program langganan Kinto One bermula 12 November nanti, dengan harga bermula 39,820 yen (RM1,500).

    Setelah Daihatsu Rocky mula terdedah, dan kini Toyota Raize pula ditunjukkan secara rasmi, penantian terhadap model Perodua pula menjadi lebih menarik – apakah kelainan yang akan ditampilkan untuk membezakannya daripada dua model tersebut.

    Sebagai petunjuk, mungkin kita boleh melihat kembali model X-Concept yang dipamerkan ketika Kuala Lumpur International Motor Show 2018 dahulu. Atau adakah versi Perodua nanti sama sekali berlainan, hadir dalam bentuk Axia wagon seperti yang pernah dilihat sedang diuji di Genting Highlands sebelum ini?

     
     
  • EICMA 2019: Honda CBR1000RR-R Fireblade dan Fireblade SP 2020 – dirombak menyeluruh, 215 hp

    EICMA 2019: Honda CBR1000RR-R Fireblade dan Fireblade SP 2020 – dirombak menyeluruh, 215 hp

    Sebaik pameran EICMA 2019 membuka tirai hari ini, Honda mendedahkan versi terbaru bagi superbike terkenal mereka, CBR1000RR-R Fireblade. Hampir keseluruhan bahagian motosikal ini adalah baru dan sasaran Honda adalah untuk menjadikannya lebih dekat dengan model prestasi RC213V-S.

    Seperti yang boleh dilihat, panel luar yang menyumbang kepada penampilan motosikal ini semuanya adalah baru dan ia juga mengambil penting ciri aerodinamik serta fungsi pengaliran angin untuk penyejukan. Menurut Honda, winglet yang dipasang mampu memberikan downforce sama seperti RC213V-S dan ia juga adalah superbike yang paling aerodinamik dalam pasaran.

    Hasil daripada bentuk baru ini, bahagian tangki juga adalah lebih rendah 45 mm dan menjadikan aliran udara lebih lancar kepada penunggang dan motosikal. Bahagian bawah juga direka dengan fungsi tersendiri seperti mengurangkan angin yang kena kepada tayar dan mengurangkan angkatan pada tayar belakang.

    Enjin empat silinder sebaris 999.9 cc pada Fireblade baru ini adalah serba baru dan mampu menghasilkan kuasa 215 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 12,500 rpm. Kalau dibandingkan dengan CBR1000RR sebelum ini, antara yang diubah adalah stroke lebih pendek, semi-cam gear train, finger-follower rocker arm, titanium con-rod, teknologi pengurangan geseran daripada RC213V-S, piston jet dengan sistem check ball serta laluan air bypass untuk water jacket silinder.

    Kerangka aluminium model baru mungkin nampak sama tetapi keseimbangan berat dan kekuatannya telah dipertingkat manakala lengan ayun pula sekarang lebih panjang 48 mm. Berat bertambah 6 kg menjadi 201 kg, dan kemungkinan besar ini kerana Honda terpaksa menggunakan sistem ekzos baru untuk menjadikan motosikal ini patuh tahap emisi Euro 5. Bahagian hujung ekzos menggunakan unit yang dibangunkan bersama dengan Akrapovic.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini dilengkapi dengan sistem throttle by wire, tiga mod tunggangan dengan pilihan penukaran tahap kuasa enjin, engine braking serta Wheelie Control, Honda Selectable Torque Control (HSTC) sembilan tahap, Slip Rate Control, pengesan IMU dan launch control yang dipanggil sebagai Start Mode.

    EICMA 2019: Honda CBR1000RR-R Fireblade dan Fireblade SP 2020 – dirombak menyeluruh, 215 hp

    Kedua-dua bahagian suspensi CBR1000RR-R ini boleh dilaras sepenuhnya, dengan di hadapan menggunakan fork Showa 43 mm BPF manakala di belakang pula menggunakan unit Showa Balance-Free Rear Cushion dan Pro-Link dengan penyerap HMAS. Brek adalah cakera berkembar 330 mm di hadapan dengan angkup Nissin empat piston dan cakera 220 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang.

    Sekiranya ini semua masih tidak mencukupi, Honda juga telah mendedahkan satu versi yang lebih tinggi dikenali sebagai CBR1000RR-R Fireblade SP. Suspensinya dinaik taraf dengan unit Ohlins EC 43mm NPX di hadapan dan TTX36 Smart-EC di belakang, manakala brek pula ditukar dengan angkup Brembo Stylema di hadapan dan Brembo monoblock di belakang.

     
     
  • 1,935 samseng jalanan diberkas, 5,777 saman dikeluarkan dari Jan hingga Okt tahun ini – PDRM

    1,935 samseng jalanan diberkas, 5,777 saman dikeluarkan dari Jan hingga Okt tahun ini – PDRM

    Banyak juga laporan mengenai samseng jalanan disiarkan oleh pihak media. Sama ada kes bertumbuk di plaza tol, bergaduh di tengah lebuh raya sampai ada yang membabitkan kehilangan nyawa, provokasi sewaktu memandu dan macam-macam kes lain.

    Menurut Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dari awal Januari hingga Oktober 2019, sebanyak 5,772 saman telah dikeluarkan, manakala jumlah tangkapan keseluruhan mencecah 1,935 individu. Malah PDRM juga telah melaksanakan 2,602 operasi berkaitan samseng jalanan untuk tempoh yang sama.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata pihak berkuasa merancang untuk meningkatkan lagi mutu serta bilangan operasi berkenaan tahun ini susulan peningkatan dalam kes-kes berkaitan samseng jalanan sejak kebelakangan ini.

    “Lebih 12,000 saman dikeluarkan terhadap pesalah samseng jalanan sejak dua tahun lepas. Ini sebabnya kami akan menggandakan operasi berkenaan untuk menangani isu ini ,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menurut Azisman, perlakuan samseng merupakan salah satu tanda protes selain perasaan ingin mencuba. Namun demikian, beliau tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai perbuatan samseng jalanan yang diberkas mahu pun disaman itu.

     
     
  • Subaru Forester GT Edition dipertontonkan di S’pura

    Subaru Forester GT Edition dipertontonkan di S’pura

    Subaru Forester 2019 baru saja dilancaran oleh Motor Image untuk pasaran tempatan pada Ogos lalu. Tetapi, ada satu lagi versi bagi SUV berkenaan yang baru saja dipertontonkan di Singapura hari ini, iaitu Subaru Forester GT, seperti yang anda lihat dalam galeri ini.

    Untuk pasaran Asia, model ini merupakan model kedua dalam barisan kenderaan Subaru yang menerima pengenalan edisi GT ini selepas Subaru XV GT yang ditampilkan sebelum ini. Ia akan diperkenalkan secara rasmi pada bulan hadapan di Taiwan.

    Subaru Forester GT Edition ini menggunakan varian 2.0i-S dengan Eyesight. Pertambahan yang diberikan untuk versi GT ini bagaimanapun hanya melibatkan kemasan dan penampilan kosmetik sahaja. Antara yang diberi kelainan ialah lanjutan pada bahagian bampar depan, skirting sisi badan, spoiler belakang serta lanjutan pada bahagian bampar belakang. Tidak ketinggalan, rim aloi 18-inci GT turut dikenakan pada edisi ini.

    Sekadar makluman, Forester 2019 menggunakan enjin petrol FB20 2.0 liter NA empat-silinder dengan bahan api suntikan terus. Enjin boxer ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dan disalurkan ke semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dengan tujuh-kelajuan untuk mod manual dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    Bagi pakej keselamatan Eyesight pula, ia antara lain turut merangkumi ciri-ciri termaju seperti Pre-Collision Braking & Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning, serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert. Model ini dijangka akan memasuki pasaran Malaysia pada suku pertama tahun depan.

     
     
  • Yamaha TMax 2020 – enjin dibesarkan kepada 560 cc

    Yamaha TMax 2020 – enjin dibesarkan kepada 560 cc

    Satu lagi motosikal yang diperkenalkan oleh Yamaha lebih awal daripada pameran EICMA 2019 yang bermula esok adalah skuter TMax 2020. Ini adalah sebuah model yang cukup popular di Eropah dan kini sudah memasuki generasi ketujuh.

    Antara perubahan utama pada model ini adalah kapasiti enjin yang dibesarkan, daripada 530 cc sebelum ini, kepada 560 cc. Walaubagaimanapun, peningkatan kuasa daripada enjin dua silinder DOHC ini cuma sebanyak 2.6 hp, menjadi 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm. Kuasa daripada enjin disampaikan ke roda belakang melalui transmisi automatik dan sistem tali sawat.

    Walaupun masih mengekalkan gaya sporty yang sama seperti sebelum ini, Yamaha mendakwa keseluruhan bahagian luar TMax 2020 ini adalah baru kecuali fairing. Sekiranya diperhatikan secara terperinci barulah anda akan nampak perbezaannya dan ini termasuk lampu penunjuk arah yang disepadukan sekali pada unit lampu utama serta bentuk lampu belakang baru.

    Panel badan baru ini, bersama tempat duduk yang direka semula juga menjadikan ergonomik skuter ini lebih bagus dan menyumbang kepada lebih keselesaan. Bahagian lain masih sama seperti tetapan brek cakera berkembar 267 mm di hadapan dan 267 mm di belakang, rim 15 inci dan tangki bahan api 15 liter.

    Melalui model baru ini juga, Yamaha telah memperkenalkan satu versi baru yang lebih sporty dinamakan sebagai TMax Tech Max. Model ini ditambah dengan kelengkapan seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan, suspensi belakang boleh laras, fork berwarna emas dan sambungan MyTMAX Connect.

     
     
  • ‘Myvi Metal’ sebagai Daihatsu Sirion dalam iklan kreatif

    Selalunya memang lebih menarik bila kita dihidangkan dengan perkara-perkara yang sedikit lebih berani dan beragam. Iklan model kenderaan pula biasanya lebih skema dah hanya bercerita tentang produk semata-mata. Tapi lain ceritanya dengan iklan Myvi dari Indonesia ini, yang di sana dikenali sebagai Daihatsu Sirion.

    Ia memaparkan satu cerita pendek yang tidak terlalu memberi tumpuan kepada model kereta terbabit yang hanya dijadikan latar dan muncul di penghujung iklan ini. Selebihnya, untuk membawakan tema slogan “Berani Baru, Berani Hitz” yang digunakan untuk kereta itu, ia secara nakal dan bersahaja menampilkan kisah “anak metal” yang ingin mencari cinta.

    Iklan ini menarik kerana product placement tidak diangkat sebagai perkara utama dan disampaikan secara yang sangat subtle. Daihatsu di sana lebih berminat untuk meresap ke dalam imajinasi anak muda, termasuk mereka yang dari kelompok fringe untuk sama-sama merasakan bahawa Myvi atau Sirion ini adalah juga untuk mereka. Selamat menonton.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Kerajaan sedia lepaskan jika ada syarikat yang sanggup tanggung hutangnya – PM

    Isu ambil alih PLUS: Kerajaan sedia lepaskan jika ada syarikat yang sanggup tanggung hutangnya – PM

    Jika baru-baru ini Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengulangi pendirian untuk tidak menjual PLUS Malaysia Berhad (PLUS), namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berkata, kerajaan sedia melepaskan PLUS sekiranya ada syarikat lain yang mampu menanggung hutang konsesi terbabit.

    Walau bagaimana pun, katanya, buat masa ini, piliha terbaik adalah membiarkan Khazanah mengurus perkara yang berkaitan untuk menyelesaikan hutang-hutang tersebut.

    “Kita nak tengok mana yang terbaik mungkin. Kalau Khazaah urus, boleh selesai hutang, Ok la,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Khazanah memiliki 51% kepentingan dalam PLUS manakala 49% lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

    Isu ambil alih PLUS: Kerajaan sedia lepaskan jika ada syarikat yang sanggup tanggung hutangnya – PM

    Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersedia melepaskan PLUS jika ada pihak yang sanggup membayar harga tinggi untuk mengambil alih dan menanggung hutang yang dialaminya.

    “Kalau ada orang lain menawar untuk mengambil alih hutang sampai RM30 bilion, itu sesuatu yang baik. Bagi kerajaan, kita (akan) cakap dengan Khazanah,” kata Dr Mahathir.

    Baru-baru ini, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion. Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.

    Selain WBG, tiga lagi syarikat konglomerat terkemuka turut membuat tawaran untuk membeli kepentingan dalam PLUS; Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.

     
     
  • Suzuki bakal perkenalkan V-Strom 1000 2020 di EICMA

    Bermula 7 hingga 10 November ini, perhatian dunia automotif dua roda akan dialihkan ke Milan, Itali. Hanya ada satu sebab; acara pameran motosikal antara yang terpenting di dunia akan berlangsung di sana. Dan, dunia bakal diperkenalkan dengan pelbagai model serta teknologi terbaru berkaitan jentera dua roda akan ditampilkan.

    Banyak jenama telah mula menunjukkan video teaser mereka sejak beberapa tempoh kebelakangan ini. Tetapi, lain pula bagi Suzuki; video yang ditunjukkan ini bukanlah lagi sebuah video acah terhadap motosikal yang akan diperkenalkan. Ini kerana, sosok penuh jentera berkenaan telahpun ditunjuk dengan sangat jelas – motosikal kembara Suzuki V-Strom 1000 versi terbaru untuk tahun 2020.

    Selepas kali terakhir diberikan peningkatan pada 2014 (dari segi piawaian emisi), akhirnya generasi terbaru V-Strom 1000 2020 akan memberikan kesegaran yang lebih menarik pada model berkenaan. Ini antaranya melibatkan rupa bentuk baru – boleh dilihat pada lampu utamanya yang kini menggunakan bentuk yang mirip seperti model Katana terbaru.

    Seperti yang ditunjuk di dalam video ini, penggunaan paparan meter digital baru juga dijangka akan membuat pemampilan, selain bahagian fairing yang juga ada kelainan. Lain-lain pembaharuan yang dijangka ialah bahagian rubber pad baru, pemijak off-road dan perumah untuk bahagian enjin. Selebihnya, perincian lanjut akan didedahkan ketika pengenalan rasminya nanti.

     
     
  • Yamaha Tracer 700 2020 didedahkan sebelum EICMA

    Yamaha Tracer 700 2020 didedahkan sebelum EICMA

    Pameran EICMA 2019 hanya akan dibuka secara rasmi esok di Milan, Itali tetapi Yamaha telah mendedahkan lebih awal motosikal baru mereka termasuklah Tracer 700 2020. Kita cuma menerima Tracer 900 di Malaysia tetapi di Eropah Tracer 700 ini sudah dipasarkan beberapa tahun.

    Perubahan yang dapat dilihat jelas pada model baru ini adalah muka hadapannya yang sekarang menggunakan unit LED seperti jalur di atas sebagai lampu siang dan dua lagi LED projector sebagai lampu utama dan lampu tinggi. Penghadang angin hadapannya juga diubah untuk menjadi lebih aerodinamik dan boleh dilaras dengan satu tangan.

    Enjin crossplane CP2 689 cc dua silinder yang sama masih digunakan tetapi sistem suntikan bahan api, pengapian, ekzos serta nisbah gear diubah sedikit dan ia kini mematuhi tahap emisi Euro 5. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 72.4 PS pada 8,750 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Keselesaan motosikal yang didakwa sebagai model paling ringan dalam kelasnya – dengan catatan berat 196 kg – ini juga turut dipertingkat dengan sedikit perubahan pada bahagian tempat duduk penunggang serta penumpang. Kapasiti tangki bahan api masih lagi sama iaitu 17 liter.

    Kelengkapan lain yang ada pada Tracer 700 adalah seperti fork hadapan dengan jarak gerak 130 mm, monoshock belakang dengan jarak gerak 142 mm, set cakera berkembar 282 mm di hadapan dan cakera 245 mm di belakang, rim 17 inci dan panel paparan LCD. Ia ditawarkan dalam tiga warna dan akan berada di pasaran Eropah pada bulan Februari tahun hadapan.

     
     
  • Tiada lagi tambah nilai di semua lorong keluar mulai 5 November ini, langkah kurangkan kesesakan – PLUS

    Tiada lagi tambah nilai di semua lorong keluar mulai 5 November ini, langkah kurangkan kesesakan – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memutuskan untuk menutup perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n Go di semua lorong keluar di plaza tol di lebuh raya seliaannya mulai 5 November ini. Langkah ini juga merupakan pendekatan yang diambil untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol di Wilayah Utara (melibatkan laluan Hutan Kampung – Ipoh Utara) dan Wilayah Selatan (di antara Seremban dan Skudai).

    Walau bagaimanapun, Pusat Khidmat Pelanggan di sesetengah plaza tol dan Lorong Tambah Nilai di Lorong Masuk di plaza tol terpilih masih disediakan dan beroperasi seperti biasa.

    Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan melibatkan kenderaan berat merempuh pondok tol kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Di antara tahun 2016 hingga 2018, terdapat 81 kes di mana kenderaan berat merempuh pondok tol yang dikendalikan oleh pembantu perkhidmatan pelanggan.

    Tiada lagi tambah nilai di semua lorong keluar mulai 5 November ini, langkah kurangkan kesesakan – PLUS

    Sebelum ini, PLUS telah melaksanakan inisiatif ‘Tiada Tambah Nilai’ di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah di antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan sejak 1 Ogos yang lalu. Setelah tiga bulan pelaksanaan inisiatif tersebut, PLUS telah berjaya merekodkan pengurangan melebihi 60 peratus melibatkan kesesakan trafik dan jumlah kenderaan yang beratur untuk menambah nilai di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah.

    Menurut PLUS, sebanyak 8% daripada 253,000 purata trafik harian di wilayah utara dan 9% daripada 189,000 purata trafik harian di wilayah selatan tidak mempunyai baki yang mencukupi untuk melaksanakan transaksi tol di lorong keluar. Ini menyebabkan perjalanan pelanggan yang lain sering terganggu kerana setiap transaksi tambah nilai akibat baki rendah boleh mengambil masa sehingga 3 minit untuk setiap kenderaan.

    Justeru, pelanggan PLUS dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya. PLUS bersama Touch ‘n Go Sdn Bhd akan memastikan semua kiosk tambah nilai Touch ‘n Go berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

    Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai yang disediakan oleh Touch ‘n Go di seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat beli-belah.

    Balance X Cukup?Jangan risau! Ada lebih daripada 11,000 lokasi tambah nilai Touch 'n Go berdekatan anda sekarang.Check out this video guys untuk tahu lebih lanjut. Jangan lupa share dengan kawan-kawan.

    Posted by Touch 'n Go Malaysia on Selasa, 5 November 2019

     
     
  • Selangor peruntuk RM1j untuk program Inisiatif Roda Darul Ehsan pada 2020 untuk belia ambil lesen motor

    Selangor peruntuk RM1j untuk program Inisiatif Roda Darul Ehsan pada 2020 untuk belia ambil lesen motor

    Menerusi Belanjawan Selangor 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besarnya, Amirudin Shari, Jumaat lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menawarkan subsidi RM350 bagi pengambilan lesen motosikal pada tahun hadapan.

    Amirudin berkata, inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada hampir 3,000 anak muda di seluruh Selangor terutama golongan miskin bandar.

    “Oleh itu, bagi menggalakkan anak muda melibatkan diri dalam bidang ini, kerajaan negeri akan memperkenalkan inisiatif RiDE. Subsidi sebanyak RM350 seorang akan diberikan bagi anak muda mengambil kursus latihan lesen motor,” katanya seperti yang disiarkan menerusi selangortv.my.

    Jelasnya, program tersebut akan dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN). Buat masa ini, cara pemohonan untuk RiDE belum diperjelaskan secara lanjut. Tunggu kerajaan Selangor atau MSN buat pengumuman rasmi mengenainya.

     
     
  • Ford Bronco bakal diperkenal pada musim bunga 2020

    Setakat ini, tak banyak maklumat yang diketahui tentang Ford Bronco. Pada 2017 lalu, ia diumumkan akan membuat kemunculan semula pada tahun 2020, dan kekal dengan reka bentuk berkotak, serta akan menggunakan asas yang sama dengan model Ranger. Kini, Ford menambah satu lagi maklumat terbaru; Bronco akan diperkenalkan pada musim bunga tahun depan.

    Pengumuman berkenaan dibuat melalui sebuah video teaser yang turut mendedahkan lencana Ford Bronco yang digunakan sejak pengenalannya pada 1966, serta lencana terbaru yang akan digunakan pada versi terkininya nanti. Walaupun rekaan abjad pada tulisan Bronco kelihatan lebih moden, lambang kuda yang pernah digunakan dahulu turut akan ditampilkan semula.

    Ford Bronco bakal diperkenal pada musim bunga 2020

    Bronco bagaimanapun akan tampil berbeza daripada Everest, yang turut menggunakan asas yang sama daripada Ranger. Daripada bentuk samar-samar yang pernah ditunjukkan sebelum ini, Bronco kelihatan lebih pendek daripada dua model berkenaan. Kedudukan tayar gantinya juga akan terletak di pintu ruang belakang, imej standard bagi kenderaan yang kerap menerima nama jolokan “jeep”. Bronco bagaimanapun hanya akan ada di pasaran Amerika Utara, Timur Tengah dan Afrika.

     
     
  • Aprilia RS660 – bunyi pula disiar dalam video teaser

    Selepas teaser gambar bahagian tepinya dikeluarkan, anda sekarang boleh mendengar pula bagaimana bunyi model kapasiti pertengahan baru yang akan diperkenalkan oleh Aprilia semasa pameran EICMA nanti iaitu RS660. Ia adalah kesinambungan daripada model konsep yang ditunjukkan tahun lepas.

    Dalam video teaser yang dikeluarkan, anda juga boleh melihat beberapa bahagian lain motosikal ini, seperti susupensi, meter serta fairing tepi, tetapi ia masih lagi gelap dan samar-samar. Pada penghujung video, motosikal itu dihidupkan dan mengeluarkan bunyi garang.

    RS660 ini dijangka menggunakan enjin dua silinder V, dan bunyi itu sememangnya adalah bunyi daripada enjin konfigurasi sebegitu. Ia bukan sesuatu yang baru bagi Aprilia kerana mereka sudah biasa dengan konfigurasi enjin tersebut, tetapi RS660 ini adalah penyertaan baru mereka dalam kategori motosikal sports pertengahan.

    Aprilia RS660 – bunyi pula disiar dalam video teaser

    Daripada gambar teaser yang kami terangkan sedikit, bentuk RS660 ini kelihatan sama sahaja dengan model konsep yang pernah ditunjukkan, dengan panel yang mempunyai sirip aerodinamik dan gaya yang diwarisi daripada RSV4.

    Kedudukan pemegang yang rendah serta tetapan satu tempat duduk juga menunjukkan Aprilia mahu menjadikan RS660 ini sebagai sebuah sportsbike yang serius dan bukannya dikompromi untuk tunggangan harian. Kelengkapan yang dipasang juga lebih kepada prestasi seperti brek Brembo, lengan ayun aluminium serta fork USD.

     
     
  • Proton catat jualan sebanyak 79,833 unit dari Jan-Okt 2019 – naik 46%, yakin cecah 100k hingga akhir tahun

    Proton catat jualan sebanyak 79,833 unit dari Jan-Okt 2019 – naik 46%, yakin cecah 100k hingga akhir tahun

    Proton tetap memacu jualan yang memberangsangkan dengan mencatatkan sebanyak 79,833 unit kenderaan pada Januari hingga Oktober 2019. Di mana pada bulan Oktober sahaja, sebanyak 9,503 unit kenderaan telah berjaya terjual. Dengan kejayaan bagi 10 bulan pertama 2019 ini, kadar pertumbuhan Proton telah meningkat sebanyak 46% walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) menurun sebanyak 1.3%. Pegangan pasaran pula dianggarkan pada 16%, memperlihatkan kenaikan positif sebanyak 5.2% berbanding tahun lepas.

    Menurut Proton, Saga 2019 telah diangkat sebagai hero dalam keseluruhan jualannya dan menjadi model paling popular dengan lebih 28,000 tempahan diterima sejak ia dilancarkan pada 6 Ogos lalu. Malah pada Oktober lalu, model tersebut telah mencatatkan jualan paling tinggi selama tempoh empat tahun. Sebanyak 4,273 unit dijual pada bulan lepas dan bagi 10 bulan pertama tahun ini, jumlah kumulatif adalah sebanyak 30,331 unit, iaitu peningkatan sebanyak 26% berbanding tahun sebelum ini.

    Manakala SUV X70 turut mengekalkan kedudukan sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris
    Proton X70 terus mencatatkan jualan yang cemerlang bagi 10 bulan berturut-turut di mana model tersebut telah mengekalkan kedudukan jualannya yang teratas sebagai SUV premium dan eksekutif. Setakat ini, lebih 24,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan, di mana jumlah tersebut telah menjadikan model itu sebagai SUV segmen C terlaris dan membuktikan model itu kekal menjadi pilihan pembeli.

    Begitu juga model Exora, Iriz dan Persona yang turut menunjukkan peningkatan jualan dan secara keseluruhan setakat ini, jualan bagi ketiga-tiga model itu beserta Saga telah meningkat sebanyak 21% pada tahun ini. Model- model tersebut juga telah menyumbang 78% daripada jumlah jualan PROTON pada bulan Oktober dan bagi jumlah keseluruhan pula adalah sebanyak 68%.

    “Proton terharu dengan sambutan yang diterima daripada pembeli kereta di Malaysia. Dalam tempoh hanya lapan bulan dari kami melancarkan SUV pertama serta menaik taraf rangkaian model-model yang lain, membuatkan Proton menghasilkan barisan model yang lebih segar berbanding mana-mana jenama lain di Malaysia.

    “Segala kerja keras telah membuahkan hasil dan kini kami yakin dapat menjual 100,000 unit kereta pada tahun ini, yang mana itu akan menjadi asas kukuh untuk Proton terus bergerak ke hadapan pada tahun 2020 dan seterusnya,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Setakat ini, Proton telah mempunyai 108 pusat 3S/4S dengan empat buah cawangan baharu dibuka pada Oktober. Dengan jumlah yang semakin meningkat, syarikat ini menghargai komitmen para pengedar dengan terus melabur dalam program latihan disediakan khas bagi kakitangan jualan dan servis untuk memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan selari dengan inspirasinya yang ingin tampil dengan imej premium.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024