Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Pertama kali diperkenalkan pada 2014, kenderaan elektrik fuel cell (FCEV) Toyota Mirai kini ditunjukkan dalam bentuk terbarunya. Dikenali sebagai Toyota Mirai Concept dan dipertontonkan ketika Tokyo Motorshow 2019, ia disifatkan sebagai model yang sangat hampir dengan versi yang akan dikeluarkan kelak, dijangka hujung tahun 2020.

    Paling ketara, rekaannya jauh lebih matang dan menarik, seolah-olah memperlihatkan pertembungan antara rekaan yang biasanya kita lihat pada sayap premium Toyota; tidak lain, jenama Lexus. Menggunakan binaan pacuan roda belakang serta platform Toyota New Global Architecture (TNGA) seperti yang ada pada model Crown, Mirai baru ini nanti akan turut menerima pertambahan dimensi fizikalnya.

    Ukurannya ialah 4,975 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,470 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,920 mm – ia 85 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 65 mm lebih rendah berbanding yang lama. Jarak antara roda merupakan pertambahan paling banyak, dengan 140 mm lebih panjang.

    Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Gaya Mirai baru ini juga lebih tenang dan ringkas, tetapi diterapkan juga bersama lengkuk-lengkuk badan yang lebih rumit – menjadikan penampilannya jauh lebih agresif dan sporty. Sama seperti kereta Toyota sedia ada, bahagian depannya didominasi oleh rekaan gril trapezoid besar, tanpa inlet di sudut, dan dilengkapi dengan rekaan lampu utama tirus bertingkat. Bahagian bonet juga lebih panjang, turut menyumbang kepada rupa baru yang “tajam”.

    Dari sisi, garis bumbung dan ruang enam-cermin yang ada kini lebih rendah hingga ke belakang. Bahagian bahu pada badannya bagaimanapun tampil ketara, menampakkan imej lebar seperti pada Supra jika dilihat dari belakang. Penampilan ini dikukuhkan oleh lampu belakang yang lebar, serta diffuser saiz besar – rim pula dalam saiz 20-inci, dengan warna Force Blue pelbagai lapisan cat.

    Di dalam, kerana pendekatan yang diambil lebih mirip kepada sentuhan premium pada ruang kabin kenderaan Lexus. Papan pemuka ringkas dan nipis, dengan paparan utama skrin infotainmen 12.3-inci serta paparan instrumen digital. Dengan binaan dan kedudukan fuel cell yang baru menggunakan platform TNGA ini, ia membolehkan penggunaan konfigurasi lima-tempat duduk – lebih satu dari Mirai lama.

    Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Toyota menjelaskan kereta ini bakal memberikan pertambahan jarak perjalanan yang 30% lebih berbanding sebelum ini, disumbang oleh pertambahan kapasiti storan hidrogen – khabarnya mampu bertahan sehingga 650 km penggunaan. Prestasi juga mungkin lebih baik (pertambahan kuasa dan daya pecutan), sebagai melengkapi rekabentuk moden dan sporty yang dibawa kini.

    Menyentuh soal mengapa Toyota memberi tumpuan dan lanjutan terhadap pembangunan kenderaan dengan teknologi fuel cell seperti Mirai ini adalah kerana mereka percaya bahawa hidrogen adalah tenaga yang cekap untuk masa hadapan. Ia boleh diperoleh atau dihasilkan daripada beberapa sumber, dan lebih penting, dengan hidrogen, kenderaan terbabit tidak membebaskan gas C02 langsung.

    Platform TNGA yang memang dari awal telah direka untuk membolehkan penggunaan sistem janaan hidrogen turut disifatkan mampu memberikan ketahanan yang lebih baik. Ditambah dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah, Toyota memaklumkan ia akan menyumbang kepada kelincahan serta tahap maklum balas yang lebih baik dan menawarkan pengalaman pemanduan yang jitu.

     
     
  • Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Untuk Tokyo Motorshow 2019, sangat jelas arah tuju yang ditunjuk oleh jenama pengeluar utama Toyota/Lexus; semuanya adalah tentang kemaskini terhadap teknologi kenderaan elektrik dan juga yang menggunakan sumber tenaga diperbaharui.

    Lexus sebagai jenama premium dari kumpulan berkenaan juga tidak ketinggalan dalam merangkul aspirasi sama melalui model Lexus LF-30 Concept yang membuat penampilan sulung umum pada acara berkenaan – manifestasi kepada sebuah kereta dengan teknologi elektrik terkini.

    Lexus LF-30 Concept juga mempamerkan wawasan dan pandangan Lexus terhadap penggayaan rekabentuk kenderaan masa hadapan. Ia sebuah rekaan yang dihasilkan khusus untuk model konsep ini, dan bukannya diwarisi daripada model-model konsep sebelum itu, misalnya seperti Lexus LF-1 Limitless yang diperkenalkan pada awal 2018.

    Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Rekaan Lexus LF-30 lebih tersendiri. Wajah depan tampil dengan rekaan “spindle grille” yang lebih besar dan tajam. Wajah depannya juga kelihatan besar, dengan dua bukaan udara luas di sudut bampar serta rekaan lampu yang tirus antara yang membentu imej futuristik ketara. Di lihat dari sisi, garis badan dan profil tepinya juga punya sentuhan unik; kekal dengan elemen rekaan yang tajam, tetapi lebih “kembung” di bahagian belakang.

    Bahagian belakang melengkapkan lagi imej yang ingin dibawa oleh model konsep ini, dengan rekaan lampu berbentuk L dan elemen bersegi yang tajam turut diteruskan. Menjadi teras kepada elemen “Lexus Electrified” pada model ini ialah teknologi Lexus Advanced Posture Control yang mengawal selia output kuasa dari motor elektrik dengan kadar tork tinggi dan melaraskan postur kenderaan agar selari dengan deria manusia.

    Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Menurut Lexus, kereta ini juga akan mempamerkan teknologi pemanduan autonomous serta generasi yang akan datang. Sistem sterengnya menggunakan pendekatan steering-by-wire, dan boleh disorok masuk ke dalam bahagian papan pemuka sekiranya di dalam mod melayar automatik. Rekabentuknya juga berbeza daripada rekaan bulat yang biasa; ia berbentuk seperti pemegang bersegi. Ia juga menggunakan sistem stereng untuk pacuan semua roda.

    Setiap roda juga akan mempunyai motor tersendiri dan mampu berfungsi secara independen; ini membolehkan ruang kabin yang tersedia lebih luas untuk keselesaan pemandu dan penumpang. Menurut Lexus lagi, LF-30 adalah aspirasi kepada kenderaan dengan teknologi elektrik akan datang bagi jenama itu, yang turut terdiri daripada pilihan dari jenis EV, PHEV, hibrid atau FCEV.

    Lexus LF-30 di Tokyo Motorshow 2019

    Lexus LF-30: Gambar rasmi

     
     
  • Tokyo 2019: Honda CT125 buat penampilan, 125 cc

    Tokyo 2019: Honda CT125 buat penampilan, 125 cc

    Semasa Tokyo Motor Show 2019, Honda bukan setakat membawa model kereta, tetapi juga motosikal. Selain model-model semasa seperti Africa Twin CRF1100L, ADV 150, Monkey 125 dan CB650R, ada juga model yang membuat penampilan kali pertama kepada dunia iaitu CT125.

    Ia adalah sebuah motosikal yang dipanggil oleh Honda sebagai “Trekking Cub”, dengan sasaran menjadikannya sebuah motosikal yang mudah ditunggang hari-hari dan mempunyai kelengkapan yang membolehkannya masuk ke kawasan terpencil.

    CT125 menggunakan enjin satu silinder 124 cc yang sama seperti MSX125 dan Monkey 125, tetapi gaya badannya lebih kepada sebuah scrambler. Antara rekaan uniknya adalah seperti ekzos, penapis udara dan salur angin yang tinggi, fender depan besi, tapak meletak barang di belakang dan suspensi yang bersesuaian.

    Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk meter bulat jenis digital, rim spoked dengan tayar pelbagai guna, brek cakera depan dan belakang, panel badan yang minimal, lampu bulat LED di hadapan, lampu penunjuk arah LED petak, dua penyerap hentak di belakang dan pemegang yang tinggi.

    Honda tidak memberitahu bila ia akan berada di pasaran, sama ada untuk negara lain ataupun Jepun sendiri, tetapi kemungkinan ia tidak lama lagi kerana model ini sememangnya sudah bersedia untuk menjadi penawaran unik baru dari Honda.

     
     
  • Tokyo 2019: Honda Jazz 2020 – generasi keempat didedah, lima varian, sistem hibrid dua motor baru

    Tokyo 2019: Honda Jazz 2020 – generasi keempat didedah, lima varian, sistem hibrid dua motor baru

    Apabila Tokyo Motor Show membuka tirai hari ini, akhirnya Honda Jazz serba baru juga didedahkan secara penuh. Hatchback generasi keempat ini dijual sebagai Fit di Jepun dan Amerika Syarikat, dan ia akan mula berada di pasaran pada bulan Februari 2020 di Jepun.

    Honda memberitahu model baru ini dibangunkan dengan lebih “nilai emosional”, dengan mengambil penting keselesaan serta hubungannya dengan manusia. Secara keseluruhannya ada lima varian Fit yang diperkenalkan iaitu Basic, Home, Ness, Luxe dan Crosstar.

    Seperti diketahui daripada namanya, Basic adalah varian permulaan, dengan kit serta rekaan yang asas seperti rim besi. Varian Home pula menggunakan rim yang lebih bergaya, jalur krom pada gril, tempat duduk fabrik serta stereng yang dibalut dengan kulit manakala Ness mempunyai pilihan warna lebih menarik, fabrik kalis air di dalam serta lapisan lembut di atas panel instrumen.

    Paling ranggi adalah varian Crosstar, yang menggunakan gaya crossover serta kelengkapan seperti rim 16 inci, rel atas bumbung, cermin sisi krom, serta tambahan kemasan plastik di bawah pintu serta lengkuk tayar. Varian ini juga menggunakan fabrik kalis air di dalam serta lapisan lembut di atas panel instrumen.

    Varian Luxe adalah varian yang paling mewah, dengan bahagian luarnya mempunyai kemasan krom di side skirt, gril serta cermin sisi, rim 16 inci serta kemasan hitam berkilat di bampar. Pada bahagian dalam, ia menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit.

    Setakat ini masih belum ada perincian tentang penggerak Jazz/Fit baru ini, tetapi Honda ada memberitahu bahawa sistem hibrid i-MMD dua motor baru padanya akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada barisan model e:HEV baru jenama itu.

    Tokyo 2019: Honda Jazz 2020 – generasi keempat didedah, lima varian, sistem hibrid dua motor baru

    Sebagaimana yang boleh dilihat, rekaan Jazz baru ini telah berubah sepenuhnya berbanding model sebelum ini, termasuk lampu hadapan yang lebih besar, A-pillar yang lebih nipis untuk memberi penglihatan lebih jelas kepada pemandu serta lampu belakang yang lebih konvensional berbanding menegak sebelum ini.

    Pada bahagian dalam, panel instrumen mempunyai bahagian atas yang lebih rata manakala tempat duduknya adalah rekaan baru yang ditingkatkan dengan ciri penstabilan badan – kurang letih bagi pemandu dan pengguna. Tetapan tempat duduk belakang masih sama, tetapi kusyennya ditambah lebih tebal supaya lebih selesa.

    Antara ciri keselamatan serta sistem bantuan baru untuk Jazz 2020 ini adalah termasuk kamera pandangan luas di hadapan, sebagai tambahan kepada pakej Sensing yang diberikan secara standard untuk semua varian. Jazz baru ini juga menjadi model pertama yang dilengkapi dengan modul komunikasi dalaman Honda CONNECT.

     
     
  • Pusat 3S Toyota terbaru kini mula beroperasi di Nilai

    Pusat 3S Toyota terbaru kini mula beroperasi di Nilai

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) kini telah menambah sebuah lagi pusat 3S Toyota (jualan, servis dan alat ganti) untuk meningkatkan lagi khidmat terhadap pelanggan, kali ini bertempat di Nilai, Negeri Sembilan. Cawangan baru ini dikendalikan oleh Unitedstar Corporation Sdn Bhd yang telah menjadi rakan niaga UMWT sejak 1995.

    “Perniagaan kenderaan kini semakin kompetetif. Untuk itu, UMW Toyota Motor menggalakkan pengedar sah kami untuk menaiktaraf kemudahan dan perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan pengguna, baik dari segi jualan mahupun lepas jualan,” jelas Presiden UMWT, Ravindran K.

    Pusat 3S Toyota terbaru kini mula beroperasi di Nilai

    “Kami yakin Unitedstar Corporation Sdn Bhd akan dapat memberikan khidmat profesional kepada pelanggan Toyota,” tambah beliau. Selain ruang pameran yang luas, premis berkenaan juga menempatkan 10 ruang servis, ruang menunggu yang selesa serta alat ganti yang tersedia. Premis terbaru berkenaan kini menyertai rangakaian 90 cawangan Toyota yang menyediakan jualan serta perkhidmatan lepas jualan di seluruh negara.

    Premis terbaru ini terletak di Lot 19745 – Lot 19758, Jalan Nilai Perdana 7, Taman Nilai Perdana, 71800 Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.

     
     
  • Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Masih ingat dengan Honda Freed yang pernah dijual untuk pasaran tempatan? Walaupun di Malaysia model berkenaan kurang mendapat sambutan, MPV mini Honda ini masih diraikan di Jepun. Model generasi keduanya kini diberikan facelift terbaru, dan kekal menawarkan konfigurasi enam atau tujuh tempat-duduk; sementara bagi Freed+, ia hadir dengan lima-tempat duduk.

    Kemaskini penampilan yang diberi bagaimanapun tidaklah terlalu ketara. Luaran misalnya hanya menerima kelainan wajah depan MPV ini. Palang yang melintang dan menghubungkan lampu utamanya kini lebih kurus – seperti yang turut dijangka pada Jazz terbaru. Rekaan bonet pula adalah baru untuk disesuaikan dengan muka depannya. Tidak ketinggalan, rekaan bampar juga baru.

    Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Bagaimanapun, Freed terkini ada melibatkan pertambahan terbaru; varian Crosstar diperkenalkan, yang menyuntik elemen crossover pada MPV kecil berkenaan. Antaranya, gril baru digunakan, plastik hitam sebagai tambahan pelapik di sekeliling badan, lampu kabus LED, landasan bumbung, rim 16-inci dwi-tona, skid plate, cermin sisi serta pemegang pintu dalam warna perak.

    Bahagian dalam pula antaranya menerima corak fabrik baru bagi tempat duduk. Freed terbaru ini juga lengkap dengan pakej keselamatan Honda Sensing, lengkap dengan ciri seperti AEB serta kawalan melayar adaptif. Selain itu, ciri tambahan seperti brek enjin ketika menuruni cerun sekiranya input brek melebihi tekanan tertentu juga disediakan.

    Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Pilihan enjin masih kekal dengan unit L15B 1.5 liter i-VTEC empat-silinder dengan janaan 132 PS pada 6,600 rpm dan 155 Nm tork pada 4,600 rpm. Ini diganding bersama transmisi CVT, dengan pilihan pacuan roda depan ataupun semua roda.

    Selain itu, versi hibrid turun diteruskan, dengan unit enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC yang menghasilkan 110 PS/134 Nm. Sebuah motor elektrik dan transmisi klac berkembar menyalurkan kuasa keseluruhan sistem sebanyak 137 PS dan 170 Nm. Kadar penggunaan minyak mengikut WLTP ialah 20.8 km bagi setiap liter. Warna baru turut diperkenalkan, iaitu Premium Crystal Orange Metallic II, Silver Mist Green, Platinum White Pearl, Super Platinum Grey dan Midnight Blue Beam.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

    PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

    Di pasaran Malaysia, memang banyak juga pilihan SUV crossover mewah yang memiliki prestasi luar biasa. Ada juga yang berharga hampir atau lebih sejuta Ringgit. Kalau dah terlebih mampu, duit bukanlah masalahnya untuk mendapatkan apa yang diingini.

    Tapi mungkin yang sudah memiliki beberapa barisan kereta mewah dan berprestasi, mahu menambahkan koleksi dengan memilih SUV crossover di bawah bajet RM450k, kami boleh sarankan Mercedes-Benz GLC 300 Coupe AMG Line. Pertama kali melihat SUV ini dilancarkan pada Mac lalu dalam acara Festival Hungry For Adventure anjuran Mercedes-Benz Malaysia (MBM), hati ini memang cukup tertarik dengannya.

    Setelah beberapa bulan berada di pasaran, barulah penulis berpeluang memandu uji SUV crossover unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang MBM di Pekan, Pahang. Ini bukan pertama kali penulis mengendalikan jentera sedan mahu pun SUV dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder, tapi dengan SUV crossover seperti GLC 300 Coupe AMG Line ini, terasa ada sedikit kelainannya. Mungkin kerana bancuhannya yang berbeza daripada sudut mekanikal, membuatkan pengendalian GLC 300 Coupe ini agak mengasyikkan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyata, Lexus lancar tiga EV baharu menjelang 2021?

    Toyata, Lexus lancar tiga EV baharu menjelang 2021?

    Untuk penganjuran Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan membuka tirainya pertengahan minggu ini, Lexus telah mengesahkan bakal memperkenalkan model konsep elektrik. Walau bagaimana pun, difahamkan, bergandingan dengan Toyota, dua jenama gergasi ini akan menawarkan tiga kenderaan elektrik penuh dalam menjelang tahun 2021.

    Menurut Autocar, rancangan ini nampaknya sahih, namun setakat ini tidak sebarang perincian penuh mengenai model yang bakal diperkenalkan itu memandangkan Lexus hanya akan mempertontonkan model konsep futuristik di TMS.

    Sebelum ini, Toyota memang tidak asing dalam menggunakan elektrifikasi dalam penghasilan kenderaan. Malah ia menjadi pelopor bagi pengenalan teknologi hibrid yang diperkenalkan menerusi model Prius pada tahun 1997. Walau bagaimana pun, dalam diam, Toyota mula memperkemaskan lagi langkahnya dengan memperkenalkan EV, selain terus menawarkan lebih banyak model plug-in hybrid.

    Ketika berucap dalam pelancaran model Lexus RX yang dipertingkatkan, timbalan ketua jurutera Nouhisa Hatta berkata, “Jika anda melihat hibrid, ia terdiri daripada bateri, enjin, motor dan PCU. Tapii jika mempertingkatkan bahagian bateri, ia akan menjadi PHEV. Tapi jika ICE dikeluarkan, ia bakal menjadi EV tulen.”

    Sambungnya lagi, “Kami telah pun mempunyai teknologi berkenaan. Kami hanya menantikan masa yang sesuai. Ia penting untuk meningkatkan ruang perniagaan dan mampu membuat keuntungan. Jika anda lihat pada fakta mengenai apa yang berlaku di pasaran sekarang, teknologi PHEV direfleksi daripada harga (kereta berkenaan). Jika kita hendak menambah EV dalam barisan produk, ia harus mampu untuk pengguna biasa.”

    Ketika ditanya apakah perbezaan antara sistem hibrid dan PHEV antara Toyota dan Lexus, jurucakap berkenaan berkata, “Hari ini, ia adalah arah penjimatan paling ketara bagi penjana kuasa hibrid dalam situasi yang sebenar.” Menurut statistik (data yang diperoleh dari pasaran UK), PHEV sering dijanakan oleh petrol semata-mata. Contohnya, RX yang dianggar menggunakan bahan api sebanyak 5.47 liter bagi setiap 100 km berbanding model pesaing dalam segmen PHEV iaitu sekitar 7.35 liter per 100 km.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    SUV dengan tiga baris tempat duduk, Mazda CX-8 belum lagi dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Namun ketika satu majlis khas sempena kumpulan pertama model ini keluar dari barisan produksi di kilangnya di Kulim, Kedah pada awal bulan ini, kami telah berkesempatan untuk memandu ujinya secara ringkas.

    Kalau kita lihat rupa CX-8 ini, ia kelihatan seolah-olah hanya sebuah CX-5 yang dipanjangkan, tetapi adakah karekternya juga masih sama dengan adiknya yang hanya mempunyai dua baris tempat duduk itu?

    Jika dilihat pada dimensi, CX-8 menampilkan ukuran panjang 4,900 mm, lebar 1,840 tinggi 1,730 mm. Berbanding CX-5, CX-8 ini adalah 350 mm lebih panjang dan 50 mm lebih tinggi, tetapi masih menampilkan lebar yang sama. Manakala jika dibanding dengan model flagship CX-9, model ini adalah 175 mm lebih pendek, 129 mm kurang lebar dan 17 mm lebih rendah.

    Menurut Mazda, platform CX-8 ini adalah hampir keseluruhannya diambil dari CX-9, dan sebab itulah kedua-dua model tersebut mempunyai jarak roda yang sama iaitu 2,930 mm. CX-8 ini adalah penawaran Mazda bagi mengisi ruang antara CX-5 dan juga CX-9 – bermaksud ia adalah SUV yang lebih banyak tempat duduk dari CX-5 jika anda perlukan, tetapi ia masih tidak semewah apa yang ditawarkan pada CX-9.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Mazda masih belum mengumumkan harga sebenar CX-8 ini, namun kita boleh jangka bahawa harganya juga akan terletak di tengah-tengah antara CX-5 dan CX-9. Untuk rekod, Mazda CX-5 dijual pada harga bermula RM137k hingga 178k, manakala CX-9 pula dijual pada harga bermula RM289k hingga RM306k.

    Empat varian CX-8 akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang terdiri dari tiga versi petrol NA iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus dan 2.5L 2WD High serta satu pilihan turbodiesel iaitu 2.2L AWD. Dari segi rupa, muka CX-8 ini masih lagi seiras dengan CX-5. Kedua-duanya dibezakan dengan pemadanan gril di mana CX-5 menerima gril mesh, manakala CX-8 diberikan elemen slat seakan gril pada CX-9.

    Semua varian menerima rim aloi 19-inci dengan tayar 255/55R19 (Mid Plus dengan kemasan perak, High dan diesel pula kemasan aloi lebih gelap), lampu hadapan LED automatik (hanya model asas diberikan lampu mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED. Selain dari rim, model diesel juga boleh anda kenali dari luar berdasarkan sepasang rel bumbung yang diberikan dengan kemasan perak.

    Masuk ke kabin, anda akan dihidangkan dengan papan pemuka yang diambil terus dari CX-5. Namun untuk CX-8 ini, ia masih menggunakan kelengkapan CX-5 terdahulu – dibekalkan dengan instrumen analog bersama skrin pelbagai info LCD TFT tanpa meter kelajuan digital.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Dua jenis konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada CX-8 pasaran Malaysia. Model paling asas 2.5L 2WD Mid hadir dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk (2-2-2) dan juga upholsteri fabrik, manakala model 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD pula berkongsi kelengkapan yang sama iaitu enam-tempat duduk (2-3-2) dengan baris kedua menerima kerusi kapten dipisahkan dengan konsol perehat tangan dan pemegang cawan, serta upholsteri balutan kulit Nappa.

    Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan pada SUV ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, tailgate berkuasa, sistem infotainmen MZD Connect, enam-beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

    Model tertinggi petrol dan diesel pula turut hadir dengan kamera pemantau sekeliling 360-darjah dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

    Sistem bantuan pemanduan Mazda i-Activesense pula hanya diberikan pada model tertinggi 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD, terdiri dari sistem lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Amaran Keluar Lorong (LDWS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sokongan Brek Bandar Pintar hadapan dan belakang (CMBS).

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Untuk model petrol, ia dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi diesel akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

    Bagi sesi pandu uji ini, saya hanya berkesempatan untuk menguji model turbodiesel 2.2L AWD. Sebelum berpeluang untuk memandu, saya terlebih dahulu mencuba untuk duduk di bahagian paling belakang, kerana untuk model-model tiga baris tempat duduk, ini adalah antara bahagian yang orang tertanya-tanya adakah ia cukup selesa atau tidak bukan?

    Dengan saiz CX-8 yang begitu besar, ruang pada bahagian tersebut boleh dikatakan agak ok dan selesa. Ia menampilkan ruang kaki yang ‘ngam-ngam’ untuk orang dewasa, dan hadir dengan ruang storan pada kedua-dua belah sisi yang agak besar membolehkan anda meletak satu botol air, sebungkus jajan dan juga telefon pintar tanpa masalah, dan ia juga turut boleh bertugas sebagai perehat tangan.

    Kulit Nappa yang membaluti tempat duduk SUV ini juga sangat lembut, membuatkan ia bukan sahaja sangat selesa, malah rasa premium dalam kabin turut bertambah. Suspensi yang ditala dengan cukup baik juga tidak menjadikan anda terasa melambung-lambung walaupun duduk betu-betul di atas ruang roda.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Mazda juga mengambil berat aspek NVH sehingga kebahagian paling belakang ini bukan sahaja dengan menambah bahan menyerap bunyi dan getaran pada tiang-D serta dinding di bawahnya, malah jarak antara kemasan bumbung dan spoiler belakang juga diambil kira bagi mengurangkan bunyi yang masuk ke kabin semaksima yang mungkin.

    Tetapi, bukanlah bermaksud ruang ini pada CX-8 adalah sempurna. Pertama, lantai pada tempat duduk paling belakang ini masih lagi lebih tinggi dari hadapan (kerana di bawahnya terletak pelbagai sistem mekanikal antaranya sistem suspensi dan juga gandar untuk pacuan roda belakang), membuatkan lutut anda berada pada posisi lebih tinggi – kalau anda ada perut besar macam saya, tentulah ini juga menyumbang kepada ketidakselesaan.

    CX-8 juga masih mengekalkan liang udara sistem pendingin hawa kabin belakang di konsol perehat tangan kabin hadapan dan bukan terletak pada bumbung, jadi penumpang paling belakang tidak berpeluang untuk mendapat udara sejuk yang dihala tepat ke muka.

    Walau bagaimanapun, Mazda menyatakan bahawa mereka telah melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan penumpang belakang kekal sejuk, antaranya mewujudkan satu liang kecil yang terdapat di bawah tempat duduk baris kedua, khas untuk penumpang di baris ketiga. Memang benar bahagian ini sebenarnya memang sejuk, tapi sebagai rakyat Malaysia, rasa tak puas kan kalau tak dapat ‘angin ekon’ yang dihembus terus ke muka?

    Jika anda nak rasa seperti seorang ‘bos’, kerusi kapten pada baris kedua adalah tempatnya. Bahagian tersebut bukan sahaja luas, ia juga memberikan rasa lebih privasi dengan rekaan tempat duduk yang lebih bersifat individual. Ia juga dapat memberikan ada rasa seolah-olah menaiki sebuah MPV mewah, dan bukannya sebuah SUV.

    Ketika berpeluang memandu SUV ini, perkara pertama yang saya jangka adalah tujahan enjin turbodiesel Mazda yang sentiasa saya rindui selepas memandu sedan Mazda 6 SkyActiv-D dan juga CX-5 SkyActiv-D, kedua-duanya dibekalkan dengan enjin sama seperti CX-8 ini. Tapi sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, tujahan yang diharapkan nampaknya tidak hadir.

    Ini bukan bermaksud CX-8 diesel ini kurang berkuasa, ia masih memberikan pecutan yang sangat baik, cuma penghantaran kuasanya dirasakan sangat linear dan ia jauh lebih jinak dari CX-5. Kemudian saya teringat ketika sesi penerangan teknikal kereta ini sebelum pandu uji bermula tadi, pengurus program dari divisi produk Mazda, Koichiro Yamaguchi menerangkan bahawa nisbah gear akhir pada CX-8 ini adalah lebih panjang dari CX-5.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Talaan kotak gear berkenaan menjadikan anda akan rasa seronok untuk memandu CX-8 ini secara tenang, dan bukan sentiasa mahu memecut tak tentu hala dek kerana penangan tork 450 Nm tersebut. Ini juga sebenarnya sesuai dengan imejnya sebagai sebuah kenderaan untuk ‘ayah-ayah’ yang mempunyai anak yang ramai, dan tentunya sudah berusia dan mempunyai sifat lebih tenang berbanding orang muda.

    Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang pengendalian SUV ini kerana laluan uji pandu kali ini lebih tertumpu pada kawasan bandar dan juga jalan persekutuan serta lebuh raya yang lurus. Apa yang boleh saya komen adalah, walaupun dengan badan yang besar dan juga jarak roda yang panjang, ia masih lagi lincah untuk digunakan dalam suasana urban, dengan stereng yang memberikan respon yang cukup jitu seperti model-model Mazda lain.

    Sebagai kesimpulan, saya melihat CX-8 ini sebagai sebuah SUV yang jauh lebih matang dari CX-5, bukan sahaja dari segi rupa, malah karekter pemanduannya juga. Jika kedua-dua SUV ini adalah manusia, CX-5 adalah lelaki dalam lingkungan umur 20’an yang lincah dengan badan yang masih slim, manakala CX-8 pula adalah lelaki yang lebih berusia sekitar 35 hingga 40 tahun dengan sifat yang lebih matang, tidak terburu-buru, dan badan lebih berisi.

     
     
  • Perkhidmatan bas mini perlu ditambah dan diperluaskan di sekitar KL – Anthony Loke

    Perkhidmatan bas mini perlu ditambah dan diperluaskan di sekitar KL – Anthony Loke

    Memandangkan bas mini yang telah membuat kemunculan semula di ibu negara sejak bulan lepas, mendapat sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan meminta agar Prasarana dan RapidKL untuk menambah dan memperluaskan perkhidmatan terbabit.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, ia berikutan perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai dengan purata 1,200 penumpang sebelum ini telah meningkat kepada 1,800 penumpang setiap hari di laluan T304 (Ampang Point ke Bukit Indah).

    Memetik laporan Bernama, Loke berkata, “Kelebihan bas yang lebih kecil ini ia lebih mudah untuk masuk ke kawasan perumahan dan ini memudahkan pemandu bas maka tempoh untuk trip itu lebih pendek dan beroperasi dengan kekerapan 15 minit pada waktu puncak.

    Perkhidmatan bas mini perlu ditambah dan diperluaskan di sekitar KL – Anthony Loke

    “Rapid KL telah membuat kajian dan kebanyakan penumpang telah memberikan sokongan terhadap kepuasan hati mereka kepada perkhidmatan bas mini, jadi ini telah memberikan satu petunjuk kepada kita bahawa memang pengenalan bas mini ini mendapat sambutan kerana ia lebih cepat dan menjimatkan masa.”

    Dalam masa yang sama, beliau juga berharap perkhidmatan bas mini berkenaan diperkenalkan menjelang tahun hadapan terutamanya di kawasan perumahan dan berharap lebih banyak syarikat operator bas swasta yang akan melabur demi mempertingkatkan perkhidmatan bas itu.

    Setelah menamatkan perkhidmatan hampir 21 tahun yang lalu, perkhidmatan bas mini membuat kemunculan semula dengan trip percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi, mulai 1 September hingga 29 November 2019. Di mana bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

     
     
  • PLUS umum persimpangan bertingkat Yong Peng (utara) ditutup sementara mulai 22 Okt-19 Nov 2019

    PLUS umum persimpangan bertingkat Yong Peng (utara) ditutup sementara mulai 22 Okt-19 Nov 2019

    Menerusi laman web rasminya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan sementara laluan di Persimpangan Bertingkat Yong Peng (Utara) di KM99.30 di Lebuhraya Utara-Selatan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaiktaraf jalan berkenaan. Penutupan laluan dan kerja-kerja menaiktaraf berkenaan akan dilaksanakan selama 29 hari bermula pada 22 Oktober (hari ini) sehingga 19 November 2019.

    Sehubungan itu, pelanggan lebuh raya dari arah Johor Bahru dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif untuk ke Yong Peng, Batu Pahat atau Segamat. Pengguna boleh keluar melalui Plaza Tol Yong Peng (Selatan) di KM94.55 iaitu melalui Jalan Persekutuan untuk ke Yong Peng/Batu Pahat/Segamat. Selain itu, pengguna juga boleh beluar melalui Plaza Tol Ayer Hitam di KM80.22 dengan melalui Jalan Persekutuan ke Batu Pahat/Segamat.

    Walau bagaimanapun, laluan lorong masuk Plaza Tol Yong Peng (Utara) dibuka dan beroperasi seperti biasa untuk pengguna yang menghala ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur. Sementara itu, pengguna dari arah Kuala Lumpur juga boleh keluar menggunakan Plaza Tol Yong Peng (Utara) untuk ke Yong Peng, Batu Pahat atau Segamat.

    Sehubungan dengan itu, PLUS ingin menasihatkan semua pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan dan mematuhi semua papantanda serta arahan yang dikeluarkan.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Kerajaan akui dapat empat tawaran, keputusan diputuskan beberapa minggu lagi

    Isu ambil alih PLUS: Kerajaan akui dapat empat tawaran, keputusan diputuskan beberapa minggu lagi

    Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) mengakui telah menerima empat tawaran rasmi daripada pelbagai syarikat korporat yang berhakjat mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

    Menurut Menteri KKR, Baru Bian, pihak yang mengemukakan tawaran tersebut ialah Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad. Dan kesemua tawaran tersebut akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu lagi untuk diputuskan.

    “Pada tahap ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi KKR yang bertanggungjawab atas lebuh raya bertol di seluruh Malaysia, kita menyediakan semua tawaran ini dan akan kemukakan kepada kabinet dan akan menasihati kabinet apa yang baik dari segi kita. Ia akan diselesaikan dalam masa dua minggu,” katanya seperti yang dlaporkan oleh Bernama.

    Isu ambil alih PLUS: Kerajaan akui dapat empat tawaran, keputusan diputuskan beberapa minggu lagi

    Tambahnya lagi, walaupun kementerian mempunyai tempoh masa sendiri untuk menyelesaikan perkara tersebut namun akan cuba melakukannya secepat mungkin kerana memahami ia merupakan kebimbangan rakyat.

    “Kita akan lakukan dalam waktu yang diperuntukkan dan kita memang mahu ia dilaksanakan secepat mungkin. Saya faham ini satu isu yang dibimbangkan bagi rakyat Malaysia dan sudah pasti kita tak akan melengahkannya terlalu lama,” katanya.

    Pada 7 Oktober lalu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pemegang saham terbesar PLUS telah membuat kenyataan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak. Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Redzuan, Khazanah memang banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak. Namun mengambil keputusan untuk menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

     
     
  • Volvo sasar jadi jenama kereta janaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang

    Volvo sasar jadi jenama kereta janaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang

    Menurut Presiden dan CEO Volvo Hakan Samuelsson, pengeluar kereta Sweden itu menjangka bakal menjadi jenama kereta elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang, dan ini bergantung kepada permintaan para pelanggannya yang melangkah lebih ke hadapan.

    Syarikat ini mendedahkan kenderaan elektrik pasaran semaa pertama adalah dalam bentuk XC40 Recharge, dan mengumumkan rancangan untuk menjadi neutral iklam menjelang 2040. Volvo mensasarkan 50% daripada jualan global mereka menjelang 2025 adalah daripada kereta elektrik penuh, dan selebihnya adalah hibrid. Sambil menambah, setiap model baharu yang dilancarkan akan dielektrifikasikan, dengan kereta elektrik sepenuhnya diperkenalkan dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

    Bercakap kepada Autocar UK, Samuelsson berkata hanya satu perkara apabila Volvo hanya menjadi jenama elektrik semata-mata dan bukannya berkata “orang yang akan menentukan (masa) adalah pelanggan. Semakin tinggi peratusan kereta elektrik, semakin cepat kita akan menghentikan enjin pembakaran. Jika hanya sebilangan kecil (jualan) melibatkan enjin pembakaran, mungkin kita akan lebih cepat menghentikannya.”

    Buat masa ini, Volvo masih belum mendedahkan model EV selepas XC40 Recharge, tetapi syarikat ini memang cukup komited untuk menawarkan versi elektrik bagi model semasanya, dan telah membangunkan penjana kuasa yang bersesuaian dengan pendekatan tersebut.

    Volvo sasar jadi jenama kereta janaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang

    XC40 dibangunkan dengan Compact Modular Architecture (CMA), dan ia boleh digunakan untuk enjin pembakaran dalaman konvensional, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Untuk model besar seperti XC60, XC90, S60 dan S90, buat masa ini Volvo sedang membangunkan versi baharu untuk Scalable Product Architecture (SPA) yang digunakan oleh model berkenaan, yang dijangka diperkenalkan pada 2021, dimulakan dengan model generasi akan datang bagi XC90.

    Sub-jenama Volvo, Polestar, yang berkongsi platform dan pembangunan bersama, telah pun memiliki Polestar 2 yang berasaskan-CMA, dan dilaporkan sedang membangunkan SUV bersaiz besar baharu yang dikenali sebagai Polester 3 – pesaing Tesla Model X – yang kemungkinan besar merupakan EV akan datang Volvo.

    “Saya tidak akan menolak bahawa kita akan memperluaskan model lain bagi saiz ini,” ujar Samuelsson, sambil menambah pengeluar kereta itu juga mungkin akan mempertimbangkan nama baharu yang terdiri daripada kereta yang lebih kecil dan lebih besar pada masa akan datang.

     
     
  • Hafizh Syahrin akan dapat tajaan KBS – Menteri

    Hafizh Syahrin akan dapat tajaan KBS – Menteri

    Umum mengetahui, pelumba Moto GP negara, Hafizh Syahrin akan kembali ke kelas Moto2 untuk musim pelumbaan 2020 bersama pasukan Angel Nito, tanpa sebarang gaji. Berita baik yang dilaporkan oleh Malay Mail, peruntukan dari Kementerian Belia dan Sukan dalam Belanjawan 2020 yang akan disalurkan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut mempunyai bahagian untuk Hafizh.

    Perkara ini telah diumumkan oleh menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman ketika pelancaran kad kenangan legenda sukan negara dalam bentuk kepingan emas terbitan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Galeri KBS tempoh hari.

    “Saya telah berhubung dengan Datuk Razlan Razali (CEO SIC) dan saya akan pastikan Hafizh akan beraksi dalam Moto2 walaupun tidak mendapat tajaan dari Petronas,” kata menteri berkenaan.

    Hafizh Syahrin akan dapat tajaan KBS – Menteri

    Hafizh mula menjadi pelumba Grand Prix sepenuh masa pada tahun 2014, dan berjaya menamatkan musim tahun 2016 dan 2017 dalam kedudukan 10 teratas. Kemudiannya pada tahun 2018 beliau melangkah satu tahap ke kategori MotoGP bersama pasukan Yamaha Tech3 dan seterusnya bersama pasukan sama, tetapi bertukar kepada jentera KTM (2019).

    Namun dengan prestasi tidak menentu kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan motosikal KTM tersebut, tempatnya dalam pasukan itu digugurkan untuk musim 2020, dan digantikan dengan Brad Binder.

     
     
  • Toyota C-HR 2020 – kit badan Modellista diperkenal

    Toyota C-HR 2020 – kit badan Modellista diperkenal

    Baru sahaja Toyota C-HR facelift 2020 diperkenalkan untuk pasaran Jepun minggu lalu, kini pengeluar kit badan terkenal dari negara berkenaan, Modellista telah pun mendedahkan peralatan penggayaan versi mereka untuk crossover tersebut. Bukan hanya satu, malah Modellista memperkenalkan dua versi kit badan tersendiri untuk C-HR berkenaan.

    Yang pertama dikenali sebagai Boost Impulse, iaitu C-HR yang berwarna kuning seperti gambar di atas. Kit ini hadir dengan lips spoiler hadapan yang sangat agresif yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED tambahan, skirt sisi bersama kemasan hitam, kemasan seakan diffuser lebih garang di belakang, serta empat tip ekzos berbentuk empat segi.

    Anda juga boleh menambah peralatan opsyen lain sebagai tambahan, antaranya adalah kemasan krom pada gril bahagian atas, kemasan hitam berkilat pada fender hadapan lengkap dengan jalur krom, penutup cermin sisi dengan rekaan lampu LED unik, spoiler belakang dan juga rim bersaiz 19-inci yang datang bersama tayar.

    Kit kedua dikenali sebagai Elegance Ice seperti yang anda boleh lihat pada C-HR yang berwarna putih. Ia juga hadir dengan kit aero yang terdiri dari lips spoiler hadapan dengan serlahan-serlahan krom, skirt sisi dan kemasan bawah bampar belakang. Opsyen lain yang turut boleh dipilih dengan kit ini termasuk kemasan-kemasan krom pada bahagian bawah pintu dan pembuka pintu, serta tip ekzos berkembar dan juga rim 19-inci.

    Versi standard Toyota C-HR menerima pembaharuan pada lampu hadapan, bampar hadapan dan juga lampu belakang yang kini bersambung dengan spoiler. Untuk pasaran Jepun juga anda boleh mendapatkan C-HR yang lebih sporty terus dari bilik pameran menerusi model GR Sport yang diberikan sentuhan oleh Toyota Gazoo Racing.

    Untuk pilihan janakuasa pula, model pasaran Jepun ini tidak menerima versi yang dijana oleh sistem hibrid bersama enjin 2.0 liter baharu yang menghasilkan 184 hp. Ia masih kekal dengan dua pilihan seperti sebelum ini – model hibrid 1.8 liter dan juga versi petrol sepenuhnya 1.2 liter turbo.

    Toyota C-HR 2020 – kit badan Modellista diperkenal

    Bagi model Hybrid, ia menggabungkan enjin kitaran-Atkinson 1.8 liter empat silinder 2ZR-FXE (94 hp/142 Nm) dan juga motor elektrik (72 hp/163 Nm) bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 hp, dan kadar penggunaan bahan api sehingga 25.8 km setiap liter mengikut standard WLTP.

    Model petrol sepenuhnya pula dijana oleh enjin 8AR-FTS 1.2 liter empat silinder dengan pengecas turbo, berkuasa 115 PS/185 Nm. Kedua-dua versi berkenaan digabungkan dengan kotak gear CVT automatik, tetapi untuk model GR Sport dengan enjin 1.2 liter turbo, pembeli boleh memilih kotak gear manual enam-kelajuan, yang direka bersama sistem rev-match automatik yang akan memberikan kesan sama seperti teknik heel & toe ketika pemandu menurunkan gear secara agresif.

    Bukan itu sahaja, Toyota C-HR GR Sport juga hadir dengan kerangka lebih tegar menerusi pemadanan pendakap pada tengah lantai, dan juga penyerap hentak, spring, bar anti-oleng, dan juga stereng yang ditala semula bagi memberikan pemanduan yang lebih dinamik.

    Toyota C-HR 2020 Modellista Boost Impulse

    Toyota C-HR 2020 Modellista Elegance Ice

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024