Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Setel tawarkan pulangan tunai sehingga 10% bagi bayaran yang dibuat melalui kad kredit terpilih

    Setel tawarkan pulangan tunai sehingga 10% bagi bayaran yang dibuat melalui kad kredit terpilih

    Ini ada satu lagi cara bagaimana anda boleh kurangkan hubungan atau sentuhan dengan permukaan di tempat awam dalam waktu-waktu wabak Covid-19 ini. Untuk pelanggan Petronas, anda boleh gunakan aplikasi Setel di telefon.

    Melalui aplikasi ini, anda tidak perlu berjalan untuk ke kaunter bayaran dan mengurangkan pendedahan diri sendiri dengan individu lain. Anda juga tidak perlu untuk menekan apa-apa papan kekunci pada pam minyak terbabit, melainkan masih perlu untuk mengangkat pam dan mengisi minyak ke dalam tangki kereta.

    Boleh digunakan di lebih daripada 700 stesen Petronas ketika ini, Setel kini juga menawarkan pulangan tunai 10% jika pelanggan membayar menggunakan kad kredit berkelayakan. Tawaran ini sah untuk transaksi kad kredit AmBank, CIMB, Citibank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan UOB. Lain-lain kad kredit bakal menyusul.

    Setel tawarkan pulangan tunai sehingga 10% bagi bayaran yang dibuat melalui kad kredit terpilih

    “Pelanggan yang ketika ini menikmati manfaat pembayaran minyak menggunakan kad kredit ingin manfaat yang sama ditawarkan melalui aplikasi Setel. Kini mereka boleh berbuat demikian, tanpa mengorbankan keistimewaan lain. Setel telah mencecah angka sejuta pengguna lepas sebulan diperkenalkan awal Februari lalu,” ujar CEO Setel, Iskandar Ezzahuddin.

    Pulangan tunai purata yang biasa ditawarkan ialah pada kadar 5%. Angka ini mencecah sehingga 10% pulangan tunai melalui kad Citi Cash Back Visa, Citi Simplicity dan Citi Cash Back Platinum. Sementara kad WISE Hong Leong Bank menawarkan sehingga 8%; RHB World Mastercard Credit Card/-i menawarkan sehingga 6%; manakala bagi kad-kad AmBank CARz, AmBank Islamic CARz, CIMB Cash Rebate Platinum MasterCard, RHB Cash Back Credit Card/-i dan UOB One Visa Platinum/Classic menerima pulangan 5%. Kad AmBank True Visa pula memberikan pulangan tunai 3%.

     
     
  • BMW bangunkan penggerak fuel cell i Hydrogen NEXT bersama Toyota, 374 PS, sedia untuk produksi 2022

    BMW bangunkan penggerak fuel cell i Hydrogen NEXT bersama Toyota, 374 PS, sedia untuk produksi 2022

    Selain penghasilan model Supra, BMW juga masih mempunyai kerjasama dengan Toyota dalam projek lain. Antara yang masih berjalan sekarang adalah pembangunan teknologi penggerak hydrogen fuel cell, dan BMW telah mendedahkan beberapa perinciannya. Sebelum ini, penggerak tersebut pernah diletakkan pada kereta pameran i Hydrogen NEXT.

    Unit fuel cell ini diletakkan di bahagian hadapan platform kenderaan, dan ia menggabungkan hidrogen bersama oksigen daripada udara untuk menghasilkan elektrik (untuk menggerakkan kenderaan). Apa yang dibebaskan cumalah wap air. Ia mampu menghasilkan kuasa 125 kW (170 PS) dan dihantar kepada motor di bahagian belakang selepas melalui converter elektrik (di bawah unit fuel cell itu sendiri).

    Jumlah kuasa sebegitu mungkin nampak seperti tidak begitu mengujakan, tetapi sebenarnya unit kuasa ini turut digabungkan dengan bateri kuasa puncak (mendapat kuasa daripada fuel cell itu sendiri dan penjana semula tenaga kinetik). Apabila diperlukan, bateri ini boleh memberikan lebih lagi kuasa elektrik, menjadikan kuasa keseluruhan unit kuasa ini sebanyak 275 kW (374 PS).

    Hidrogen untuk fuel cell ini disimpan dalam dua tangki berkapasiti enam kilogram (digabungkan kedua-duanya) yang disusun seperti bentuk T di bawah kenderaan. Menurut BMW, tangki ini boleh diisi penuh dalam masa antara tiga hingga empat minit, sama seperti kereta yang menggunakan bahan api biasa, dan boleh memberikan jarak penggunaan yang lebih jauh dalam pelbagai keadaan persekitaran, tidak seperti kereta elektrik kuasa bateri.

    Walaupun teknologi untuk diguna pada kenderaan ini sudah bersedia, BMW mengakui bahawa infrastruktur sokongan masih lagi kurang untuk menjadikannya berjaya, di mana hidrogen perlu dihasilkan secara mampan dalam kuantiti yang mencukupi dan pada harga yang kompetitif. Jadi, walaupun i Hydrogen NEXT sudah bersedia untuk memasuki fasa pengeluaran pada tahun 2022, BMW cuma akan mengeluarkannya dalam skala yang kecil sebagai projek percubaan sahaja.

     
     
  • Ford perkenal Digital Salesperson melalui Whatsapp

    Ford perkenal Digital Salesperson melalui Whatsapp

    Pendekatan terhadap urusan harian dan cara hidup kita telah banyak berubah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berlanjutan sehingga 14 April nanti. Tiada siapa yang membayangkan kita terpaksa berhadapan dengan situasi genting seperti ini.

    Bagaimanapun, keadaan ini juga membuka ruang munculnya kaedah atau cara baru dalam meneruskan rutin atau kerja-kerja yang ada. Bagi urus niaga automotif misalnya, operasi bilik pameran yang dihentikan memaksa pengedar untuk mencari jalan lain untuk berurusan dengan pelanggan.

    Bagi pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), syarikat itu memperkenalkan cara baru untuk membolehkan pelanggan tetap beriteraksi dengan jurujualnya, walaupun tanpa hadir ke bilik pameran, tentunya. SDAC memperkenalkan cara Digital Salesperson, sebuah kumpulan sembang live melalui medium Whatsapp yang akan melayani pertenyaan pelanggan sehingga 30 Jun nanti.

    “Memandangkan tempoh PKP dilanjutkan hingga 14 April, kami memperkenalkan kaedah interaksi alternatif melalui Digital Saleperson ini, yang membolehkan pelanggan berhubung terus dengan kami secara digital. Walaupun tidak boleh hadir ke bilik pameran, permintaan atau pertanyaan pelanggan tentang pembelian serta model sedia ada akan tetap dilayan dalam tempoh ini,” jelas Pengarah Urusan SDAC, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Ford perkenal Digital Salesperson melalui Whatsapp

    “Jurujual digital” ini akan melayan sebarang pertanyaan terhadap promosi jualan yang sedang berlangsung. Ia tidak akan menggantikan jurujual sebenar, sebaliknya akan menghubungkan pelanggan dengan jurujual Ford yang berdekatan.

    Selepas itu, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai maklumat yang diinginkan seperti ketersediaan stok, promosi yang sedang berlangsung, pilihan pembiayaan dan sebagainya sementara menanti tempoh PKP tamat. Urusan seterusnya, seperti pembayaran deposit serta menandatangani dokumen boleh dilakukan selepas tempoh PKP nanti.

    Bagi pelanggan yang berminat untuk berhubung secara langsung dengan Ford melalui medium Digital Salesperson ini, anda boleh berbuat demikian dengan mengirim pesanan Whatsapp ke nombor +6019-2041200 dari jam sembilan pagi hingga empat petang pada hari bekerja. Pertanyaan akan dilayan dalam tempoh 24 jam.

     
     
  • Polis akan tutup jalan di Selangor secara berperingkat

    Polis akan tutup jalan di Selangor secara berperingkat

    Bagi mengurangkan pergerakan orang awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dilaksanakan mulai 1 hingga 14 April ini, polis Selangor telah memaklumkan lebih banyak jalan di negeri itu akan ditutup secara berperingkat.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, setakat ini empat hingga lima jalan di Kota Damansara dan Petaling Jaya ditutup sejak beberapa hari lepas, dan penutupan sebahagian lagi laluan di kawasan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

    “Walaupun langkah itu dilihat akan menyusahkan masyarakat di kawasan terlibat, namun ia bagi memastikan kawalan pergerakan, dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Kita ada terlalu banyak jalan, nak tutup semua memang kita tak boleh buat. Jadi kita tutup sebahagian saja yang mana menerusi laluan itu, polis boleh buat tapisan dan kawal pergerakan mereka.

    Polis akan tutup jalan di Selangor secara berperingkat

    “Memang PKP membenarkan orang awam keluar membeli barangan keperluan, namun ia tidak harus disalah gunakan. Misalnya, jika tinggal di Kota Damansara, beli sahaja keperluan asas di situ, tidak perlu bagi alasan nak beli barang di Kepong,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Mengenai pelaksanaan PKP di Selangor, Arjunaidi berkata, sejak mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam, sebanyak 364 tangkapan dilakukan kerana mengingkari perintah kawalan itu, dan daripada jumlah itu, 114 adalah warga asing.

    “Setakat ini, lapan daripada yang ditahan telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan, dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” katanya.

    Sekali lagi kami ingin mengingatkan anda semua agar keluar rumah sekiranya perlu sahaja, iaitu bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Hadkan pergerakan anda dan jangan lupa sekarang ini sudah ada peraturan satu kereta, seorang sahaja (iaitu hanya pemandu sahaja). Anda boleh mencuba perkhidmatan penghantaran barangan ke rumah dan paling penting, jaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan anda serta orang di sekitar anda.

    #duduksajadirumah #juststayathome #silalayanpaultanorgsampailebam #jangankatakamitakpayung

     
     
  • MBM Resources derma RM300k perangi COVID-19

    MBM Resources derma RM300k perangi COVID-19

    MBM Resources telah mengumumkan bakal menderma sebanyak RM300,000 bagi membantu negara dalam memerangi wabak COVID-19. Syarikat berkenaan yang merupakan salah satu daripada pemegang saham utama Perodua, bakal menyalurkan derma berkenaan kepada tabung perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Derma berkenaan akan digunakan untuk membeli ubat-ubatan, kelengkapan perubatan dan keperluan lain yang berkaitan, bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh hospital di seluruh negara.

    “Dalam tempoh dua minggu ini, jumlah kes akibat COVID-19 meningkat di Malaysia, mendorong hospital awal kita bekerja lebih masa, malah terpaksa berhadapan dengan kekurangan bekalan perubatan. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dalam sosial, inilah peranan kami dalam membantu negara sedaya mungkin. Kami berharap dengan sumbangan ini, dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pengamal perubatan,” ujar pengerusi dan bekas presiden/CEO Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh.

    Aminar turut berterima kasih kepada pengamal perubatan yang bertugas di barisan hadapan, dan menasihati rakyat Malaysia yang lain untuk sama-sama membantu. “Kita tidak boleh memeranginya sendirian. Kesihatan dan keselamatan negara kita bergantung di antara satu sama lain dan setiap antara kita lakukanlah apa yang perlu, dan kami juga menggesa agar semua rakyat supaya duduk di rumah.

    “Mewakili pasukan saya di MBM Resources, kami ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua barisan hadapan yang terlibat dalam menentang COVID-19 ini. Begitu juga dengan pihak lain yang terlibat termasuk polis, tentera, imegresen, pihak berkuasa tempatan dan semua yang terlibat,” ujarnya.

    Sebagai mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MBM Resources turut menggantung perdagangan dan pembuatan serta melanjutkan arahan bekerja dari rumah untuk para pekerja yang berkaitan, dan operasi akan disambung semula sebaik sahaja PKP ditamatkan.

     
     
  • KTM akan siarkan pembentangan teknikal 890 Duke R secara langsung melalui Youtube malam ini

    KTM akan siarkan pembentangan teknikal 890 Duke R secara langsung melalui Youtube malam ini

    Semasa pameran EICMA November tahun lepas, KTM telah membawa beberapa model baru termasuklah 890 Duke R. Pada waktu itu, cuma perincian asas didedah, yang menyatakan model ini merupakan satu evolusi kepada 790 Duke R berserta beberapa gambar.

    Jika itu masih tidak mencukupi, anda berpeluang melihat sendiri pembentangan teknikal berkenaan model yang dipanggil sebagai “Super Scalpel” ini atas talian, melalui laman Youtube rasmi KTM jam 11 malam ini. Biasanya, pembentangan teknikal seperti ini hanya dibuat kepada wakil media dalam sesi khas.

    Melalui maklumat yang telah didedah sebelum ini, 890 Duke R masih lagi menggunakan enjin dua silinder selari sama seperti 790 Duke R, tetapi telah dipertingkat untuk menghasilkan kuasa 121 hp dan 99 Nm tork (lebih 18 hp dan 12 Nm berbanding 790 Duke R).

    Kemudiannya, ciri ergonomik model baru ini turut dipertingkat, bersama brek yang lebih baik (angkup Brembo Stylema di hadapan) dan suspensi WP boleh laras depan dan belakang. Dalam keadaan standard, 890 Duke R datang bersama tayar prestasi Michelin Powercup II dan sistem elektronik seperti mod tunggangan, traction control serta ABS. Quickshifter ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih terperinci bagaimana KTM boleh menaik taraf enjin dua silinder asal pada 790 Duke R untuk mendapatkan lebih kuasa pada 890 Duke R, dan apa lagi yang dilakukan pada motosikal ini, sila tonton pembentangan tersebut.

    GALERI: KTM 890 Duke R 2020

     
     
  • Ford akan hasilkan 50,000 ventilator dalam 100 hari

    Ford akan hasilkan 50,000 ventilator dalam 100 hari

    Dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat yang kini telah mencecah sebanyak 140,000 pesakit, pelbagai syarikat di negara berkenaan telah tampil bagi membantu melawan wabak pandemik ini. Antara syarikat tersebut ialah pengeluar kereta Ford yang telah mengumumkan akan menghasilkan sejumlah 50,000 ventilator di kilang Rawsonville yang terletak di Michigan.

    Bekerjasama dengan GE Healthcare, rekaan ventilator akan diberikan oleh Airon Corporation, syarikat pensendirian yang pakar dalam penghasilan produk sokongan hayat pneumatik berteknologi tinggi.

    Ventilator Model A-E ciptaan syarikat berkenaan direka untuk mengoperasikan tekanan udara tanpa memerlukan elektrik dan ia boleh digunakan secara pantas di bilik kecemasan. Pengeluaran ventilator ini adalah bagi memenuhi permintaan yang tinggi di US, khususnya untuk pesakit COVID-19 yang sangat memerlukannya.

    Ford akan menyediakan keupayaan pembuatannya untuk menghasilkan produksi yang lebih pantas dan juga akan menghantar pasukannya ke Melbourne, Florida untuk bekerja dengan Airon bagi meningkatkan produksi di sana – buat masa ini syarikat berkenaan menghasilkan tiga ventilator pNeuton Model A sehari.

    Jadual produksi Ford akan menyaksikan penghasilan ventilator terbabit bermula di kilang Rawsonville pada 20 April ini, dengan sasaran 7,200 unit ventilator Model A-E seminggu. Ford turut mensasarkan sejumlah 1,500 unit akan tersedia menjelang akhir April, sebelum mempertingkatkan produksi ke 12,000 unit pada akhir Mei dan 50,000 unit pada 4 Julai.

    50,000 unit terbabit menepati separuh daripada sasaran kerajaan US yang merancang untuk menghasilkan 100,000 unit ventilator dalam tempoh 100 hari, dan kilang Rawsonville akan beroperasi secara tiga shif termasuk menggajikan 500 sukarelawan bagi menepati jumlah sasaran pengeluaran.

    “Ford dan GE Healthcare bekerjasama erat bagi menghasilkan ventilator ini secara pantas dan bagi mencapai jumlah yang disasarkan. Dengan itu, kami berharap dapat membantu pekerja kesihatan dalam menyelamatkan nyawa, itu keutamaan nombor satu kami,” ujar Jim Hackett, presiden dan CEO Ford.

     
     
  • Honda kekal di Australia dengan strategi baharu – tiada lagi tawar menawar, Jazz dan City digugurkan

    Honda kekal di Australia dengan strategi baharu – tiada lagi tawar menawar, Jazz dan City digugurkan

    Lanjutan dari laporan bahawa Honda mungkin akan keluar dari pasaran Australia kerana tidak mencatatkan keuntungan tempoh hari, kini jenama tersebut telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan kekal di negara berkenaan dengan strategi baharu, menurut laporan CarAdvice.

    Antara strategi berkenaan adalah untuk menetapkan harga bagi semua modelnya di semua bilik pameran mereka di seluruh Australia, mengurangkan pilihan model yang ditawarkan serta menyusun semula jumlah pengedar mereka. Menurut Honda Australia, antara penyebab mereka berhadapan dengan sukar ini adalah kerana tekanan dari nilai matawang dan juga tahap kompetitif pasaran automotif di negara berkenaan; sebab yang sama mengapa operasi produksi pemasangan tempatan Ford, Toyota dan Holden ditutup sebelum ini.

    Jenama tersebut menyatakan bahawa perniagaan-perniagaan pengedarnya akan beroperasi seperti biasa, tetapi bermula bermula Julai 2021, tiada lagi tawar-menawar boleh dilakukan oleh mana-mana pengedar. Ini bermaksud semua pengedar akan menjual kereta dengan harga tetap yang sama. Honda menjelaskan bahawa mereka terpaksa melakukan langkah ini setelah mencatatkan jualan lembab selama 23-bulan di Australia.

    Honda kekal di Australia dengan strategi baharu – tiada lagi tawar menawar, Jazz dan City digugurkan

    Honda juga mengesahkan bahawa jumlah pengedar yang akan ditutup tidaklah sebanyak yang dikhabarkan sebelum ini, tetapi memang ada pemilik pengedar akan dihentikan operasi mereka. Masih lagi terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang berapa jumlah pengedar yang akan kekal selepas 2021, tetapi mereka sudahpun merancang untuk mengekalkan bilik-bilik pameran utama dengan model perniagaan “hab dan jaringan” yang akan menyaksikan penghantaran akan dilakukan pada pusat serantau.

    Untuk barisan model pula, selepas ini Honda Australia akan menumpukan kepada tiga model utama iaitu SUV segmen-C Honda CR-V, SUV segmen-B Honda HR-V serta model hatchback dan sedan segmen-C Honda Civic, serta mereka tidak akan lagi menjual model di bawah harga AUD$ 20,000 iaitu Honda Jazz dan City.

    Stok-stok untuk pasaran Australia ini masih lagi akan diimport dari UK, Amerika Syarikat dan Jepun, tetapi selepas ini Honda Australia akan mula mengambil stok dari Thailand bagi mengurangkan lagi kos. Honda Australia menjangkakan jualan tahunan mereka akan berkurangan lebih dari separuh selepas ini – dari 43,800 unit tahun lalu dan 51,500 tahun sebelumnya, kepada hanya 20,000 unit dengan pelan perniagaan baharu mereka ini.

     
     
  • Naza Group sumbang RM1.25j untuk Tabung COVID-19

    Naza Group sumbang RM1.25j untuk Tabung COVID-19

    Syarikat Kumpulan Naza berbesar hati untuk menyumbang sebanyak RM1.25 juta kepada Tabung COVID-19 kelolaan kerajaan. Pengerusi kumpulan dan CEO Naza SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, “Kami harap dengan sumbangan ini mampu mengurangan bebanan kewangan kepada mereka yang terjejas terutamanya buat pengamal perubatan, polis dan tentera serta barisan hadapan yang membantu menguruskan situasi ini dan memastikan kita kekal selamat.

    “Selain daripada sumbangan kewangan ini, Kumpulan Naza akan aktif membantu Kementerian Kesihatan dalam menangani krisis yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti bersama untuk melalui tempoh kritikal yang bakal berlaku,” katanya.

    Buat setakat ini, tabung berkenaan telah pun menerima lebih daripada RM10 juta sumbangan dari pelbagai pihak. Sehingga 29 Mac 2020, hampir 38,000 individu telah disaring untuk pengesanan wabak coronavirus ini, dengan mencatatkan 2,626 kes positif.

    Esok bakal bermula fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan diperketatkan lagi. Justeru, kerjasama dari kita semua sangat diperlukan untuk sama-sama membantu pihak kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19 ini. #duduksajadirumah #juststayathome

     
     
  • Proton serah 50 unit X70 kepada KKM untuk perangi Covid-19; bantu keperluan logistik petugas kesihatan

    Proton serah 50 unit X70 kepada KKM untuk perangi Covid-19; bantu keperluan logistik petugas kesihatan

    Proton telah mengumumkan bahawa mereka telahpun menyerahkan sejumlah 50 unit SUV X70 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi digunakan oleh petugas-petugas kementerian berkenaan untuk memerangi penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

    Menurut Proton lagi, kenderaan-kenderaan yang dibekalkan oleh mereka ini akan digunakan oleh KKM bagi memberikan sokongan logistik; antaranya akan membawa petugas kesihatan pergi dan balik kerja, serta menghantar petugas kesihatan ke mana-mana lokasi ‘hot spot’ dalam negara yang memerlukan perhatian segera.

    Proton adalah antara syarikat tempatan yang memberikan bantuan kepada kerajaan bagi memerangi pandemic Covid-19 ini. Sebelum ini berberapa syarikat swasta lain telah menyerahkan bantuan berbentuk wang tunai kepada kerajaan menerusi dana Tabung Covid-19 yang telah diwujudkan.

    Kerajaan juga telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini telah masuk ke fasa kedua, dan ianya akan dijalankan dengan penguatkuasaan yang lebih tegas bermula 1 April ini. Sedang barisan hadapan kita berperang dengan musuh yang sangat halus ini, mainkan peranan anda sebagai warganegara yang bertanggungjawab dengan duduk di rumah dan tidak sewenang-wenangnya keluar bagi mempercepatkan proses penghentian rantaian jangkitan wabak Covid-19 ini.

     
     
  • Genesis G80 generasi ketiga ditunjukkan kali pertama

    Genesis G80 generasi ketiga ditunjukkan kali pertama

    Genesis G80 2020 sudah pun didedahkan buat pertama kalinya, sebelum ia dilancarkan untuk pasaran Korea Selatan dan diikuti Amerika Utara tidak lama lagi. Apabila masuk ke dalam pasaran, ia akan bersaing dengan model seperti Audi A6, BMW 5 Series, Mercedes-Benz E-Class, Lincoln Continental dan Volvo S90.

    Malah kalau dilihat pada rekaannya juga, anda boleh nampak beberapa bahagian seperti mempunyai persamaan dengan model-model mewah jenama lain, seperti bentuk lampu belakang, bumbung yang menjunam ke belakang dan bersambung terus dengan but, lampu hadapan serta corak bahagian dalam gril. Ia tidak betul-betul sama, tapi seakan mirip.

    Menurut Hyundai, G80 2020 ini adalah model generasi ketiga, dan penyambung kepada model generasi pertama yang diperkenalkan pada tahun 2008. Ia mempunyai ukuran panjang 4,995 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,465 mm dan jarak roda 3,010 mm. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, ia 5 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar dan 15 mm lebih pendek. Jarak roda pula masih sama.

    Genesis G80 generasi ketiga ditunjukkan kali pertama

    Sama seperti bahagian luar, bahagian dalam juga dijadikan lebih mewah, dengan inspirasi daripada SUV GV80. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 14.5 inci untuk sistem infotainmen manakala di depan pemandu pula terdapat skrin 12.3 inci dengan grafik 3D. Selain sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem kereta ini juga datang terus dengan servis pembayaran dalam kenderaan Genesis CarPay.

    Bagi menjadikan pemandu lebih selesa, tempat duduk di bahagian itu dipasang dengan fungsi pergerakan ergonomik yang boleh memastikan kedudukan optimum, membetulkan postur secara automatik dan mengurangkan keletihan waktu pemanduan jarak jauh. Sudah tentu, balutan kulit digunakan pada bahagian-bahagian utama, dan diserikan lagi dengan kemasan kayu serta aluminium.

    Kelengkapan lain yang diberikan adalah termasuk lampu suasana, sistem bunyi Lexicon, Active Sound Design, sistem pembersih udara dengan dua penapis dan skrin sesentuh untuk penumpang belakang. Sistem keselamatan pula termasuk 10 beg udara, Pre-active Safety Seat (PSS), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Remote Smart Parking Assistant (RSPA) and Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA).

    Genesis G80 generasi ketiga ditunjukkan kali pertama

    Ia juga dilengkapi dengan Highway Driving Assist II (HAD II) yang membolehkan kenderaan menukar lorong secara automatik apabila lampu penunjuk arah dinyalakan, dan Smart Cruise Control dengan Machine Learning (SCC-ML) yang boleh membantu pemandu mengikut tabiat memandu mereka.

    G80 2020 didatangkan dalam dua pilihan enjin petrol iaitu 2.5 liter empat silinder turbo 300 hp/421 Nm dan 3.5 liter V6 375 hp/530 Nm. Pilihan versi diesel pula datang dengan enjin 2.2 liter turbo 207 hp/441 Nm. Semua enjin ini boleh dipadankan dengan sistem pacuan roda belakang sahaja atau AWD, dan digabungkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.

    Prestasi model baru ini dijangka lebih baik kerana ia 110 kg lebih ringan hasil penggunaan lebih banyak bahagian aluminium, dan titik graviti juga lebih rendah, menghasilkan kawalan lebih baik, bersama suspensi jenis adaptif.

     
     
  • Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Kereta memang di reka untuk memudahkan kita berjalan setiap hari. Tapi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan kerajaan sehingga 14 April ini, tentu banyak kereta yang ‘tersadai’ kerana tidak boleh bergerak bukan? Tahukah anda, jika kereta tidak bergerak dalam tempoh yang lama, akan ada juga masalah yang timbul nanti?

    Jadi, Proton telah mengeluarkan empat saranan selenggara mudah yang boleh anda lakukakan sendiri di rumah bagi memastikan tiada masalah untuk anda gunakan kelak setelah tamat tempoh PKP ini.

    1. Cas semula bateri dengan cara memanaskan enjin

    Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Menurut Proton, kereta anda perlu dihidupkan sekurang-kurangnya tujuh hari sekali bagi memastikan bateri menerima cas semula dari alternator. Jika anda tidak menghidupkan enjin lebih lama dari tempoh tersebut, dikhuatiri bateri berkenaan akan kekurangan cas (memori untuk sistem-sistem elektronik masih berjalan menggunakan bateri walaupun enjin tidak dihidupkan) dan ini mungkin akan menyebabkan kereta anda tidak boleh dihidupkan nanti.

    Oleh itu, Proton mencadangkan agar enjin dihidupkan dalam masa 10 minit bagi membolehkan alternator mengecas semula bateri berkenaan. Dan, kalau boleh jangan hidupkan radio mahupun pendingin hawa ketika proses tersebut kerana ia mungkin akan mengurangkan keberkesanan proses cas semula berkenaan, kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    2. Tekanan tayar

    Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Tayar berkemungkinan akan kempis sekiranya sesebuah kereta itu tidak dipandu terlalu lama. Jadi Proton menasihatkan anda untuk memeriksa tekanan tayar setiap dua minggu. Jika anda pemilik Proton X70, agak mudah untuk mengesan jika ada tayar yang tidak cukup tekanan kerana model tersebut dibekalkan dengan sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar (TPMS).

    Jadi untuk model lain, anda boleh memeriksanya dengan alat pengukur angin tayar (saranan penulis: ada jual di aplikasi-aplikasi beli belah dalam talian ya!). Atau boleh bawa terus kereta sebentar ke stesen minyak berhampiran untuk memeriksa dan mengepam terus tayar anda jika perlu.

    Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Jika kereta anda tidak bergerak dalam masa yang lama juga mungkin akan menyebabkan bahagian bawah tayar kereta anda akan menjadi rata (flat spot). Ini akan membuatkan kereta anda bergegar, dan lebih teruk kalau ia terjadi pada tayar hadapan ia akan menyebabkan stereng anda bergegar teruk ketika dipandu.

    Jadi, apa nak buat? Proton menyarankan anda menggerakkan sedikit kereta anda kehadapan dan kebelakang sedikit ketika memanaskan enjin untuk mengecas semula bateri tadi, untuk ‘membulatkan’ kembali tayar berkenaan.

    3. Basmi kuman

    Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Proton menyarankan anda untuk ambil kesempatan ketika kereta anda tidak bergerak dalam tempoh PKP ini bagi membersihkan serta lakukan langkah untuk membasmi kuman yang ada dalam kabin kereta anda. Setiap kali selepas berjalan, lap bahagian-bahagian yang selalu dipegang dengan tangan seperti roda stereng, tombol gear, pemegang pintu, suis tingkat dan sebagainya dengan sabun atau cecair penyah kuman.

    Tapi ingat, jangan guna hand sanitizer atau bahan lain yang beralkohol kerana ia akan merosakkan dan melunturkan warna kemasan-kemasan plastik dalam kereta anda! Untuk lebih tips bagi membersihkan bahagian dalaman ini, anda boleh baca artikel khas kami untuk perkara tersebut pada PAUTAN INI.

    4. Naikkan bilah pengelap cermin

    Proton saran 4 perkara perlu diselenggara pemilik untuk kereta yang tidak bergerak ketika tempoh PKP

    Jika anda letak kereta anda tanpa perlindungan dari cahaya matahari, Proton sarankan anda untuk mengangkat bilah pengelap cermin. Menurut mereka, suhu panas dari cermin kereta anda yang terdedah dengan sinaran UV akan menyebabkan getah pada pengelap cermin tersebut keras dan rosak dengan lebih cepat.

     
     
  • Fasa kedua PKP lebih ketat dilaksana bermula 1 April – tiada lockdown, tetapi lebih banyak sekatan jalanraya

    Fasa kedua PKP lebih ketat dilaksana bermula 1 April – tiada lockdown, tetapi lebih banyak sekatan jalanraya

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan fasa kedua bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula 1 April 2020. Ini akan melibatkan kawalan pergerakan yang lebih ketat, dengan pertambahan jumlah sekatan jalanraya.

    Ahad lalu, seramai 282 individu telah ditahan ketika sekatan jalanraya dan ketika rondaan, menunjukkan pihak berkuasa kini akan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang melanggar PKP. Matlamatnya masih sama, supaya orang ramai kekal diam di rumah dan tidak melakukan pergerakan yang tidak perlu.

    “Sasaran kami bukanlah untuk menambah angka tangkapan, tetapi untuk mengurangkannya. Jika makin ramai yang ditahan setiap hari, maksudnya ada ramai lagi orang yang tidak mematuhi PKP ini,” ujar beliau.

    Sebanyak 257,287 buah kenderaan diperiksa di 1,520 sekatan jalan yang dilakukan pada hari Ahad lalu. Jelasnya, jumlah sekatan jalan ini juga akan ditambah sepanjang tempoh fasa kedua PKP. Ini termasuk di semua laluan masuk ke lebuhraya seluruh negara, yang telah pun ditambah sebelum ini – dari 23 kepada 65 sekatan ketika ini. Sekatan di plaza tol akan ditambah menjadi 114 bagi fasa kedua PKP nanti.

    Fasa kedua PKP lebih ketat dilaksana bermula 1 April – tiada lockdown, tetapi lebih banyak sekatan jalanraya

    Beliau menambah, lebih daripada 67,000 anggota polis, tentera dan Rela ketika ini telah dikerah untuk operasi PKP, tetapi menyatakan kapasiti keseluruhan sedia untuk ditambah sekiranya ada keperluan, pada bila-bila masa.

    Berbeza dengan fasa pertama bagi tempoh dua minggu sebelum ini, fasa kedua PKP nanti akan melibatkan kawalan yang lebih ketat, walaupun pergerakan masih dibenarkan. Operasi bagi semua kedai yang dibenarkan juga akan melibatkan tempoh yang sama bagi semua perniagaan – hanya dari 8 pagi hingga 8 malam – termasuk bagi pasaraya dan servis penghantaran rumah. Bagaimanapun, ini bukanlah situasi larangan pergerakan sepenuhnya (lockdown).

    Waktu operasi bagi pengangkutan awam pula (seperti LRT/MRT dan bas henti) kekal seperti yang dijadualkan sebelum ini, iaitu dari enam pagi hingga 10 pagi dan lima petang hingga 10 malam setiap hari. Teksi dan e-hailing pula dibenarkan beroperasi dari enam pagi hingga 10 malam. Bagi kenderaan persendirian, peraturan seorang dalam setiap kenderaan masih dikekalkan.

     
     
  • Toyota bantu mengeluarkan pelapik muka, ventilator

    Toyota bantu mengeluarkan pelapik muka, ventilator

    Pengeluaran kenderaan bukanlah satu hal yang penting di tengah-tengah penularan bawak Covid-19 ketika ini. Tetapi, kemudahan kilang sedia ada oleh pengeluar-pengeluar automatif mempunyai peranan yang sangat penting – mengalihkan tumpuan kepada kerja-kerja mengeluarkan alatan keperluan perubatan yang berkaitan.

    Di Amerika Syarikat, Toyota (TMNA) memainkan peranan ini dengan membantu pengeluaran dua peralatan medik utama yang diperlukan ketika ini; topeng atau pelindung muka untuk petugas barisan hadapan serta, akan datang dalam jangka masa terdekat, mengeluarkan alat bantuan pernafasan atau ventilator serta beberapa lagi alatan penting yang lain.

    “Nilai utama yang dipegang oleh Toyota adalah untuk menyumbang dengan cara sebaik mungkin kepada masyarakat sekitarnya, melangkaui sekadar menyediakan penyelesaian mobiliti semata-mata. Dengan operasi kilang yang terhenti sebelum ini, kami tetap ingin menyumbang kepakaran kami ketika berhadapan dengan cabaran Covid-19 dengan cara membantu mengeluarkan peralatan perubatan penting ketika ini dengan bantuan komuniti industri perubatan,” jelas CEO TMNA, Ted Ogawa.

    Ketika ini, TMNA bertungkus-lumus mengeluarkan pelapik muka melalui kaedah cetakan 3D, dengan pengeluaran besar-besaran akan bermula awal minggu depan. Edaran pertama akan diberikan kepada MD Anderson di Houston, UT Southwestern Medical Center di Dallas, dan hospital-hospital lain di Indiana, Kentucky serta Michigan. Bagi topeng muka pula, Toyota kini bersedia untuk mengeluarkannya dan dalam proses mencari rakan bagi mendapatkan penapis yang diperlukan.

    Toyota juga ingin membantu pengeluaran alat bantuan pernafasan serta ventilator, dan ketika ini dalam proses akhir menetapkan persetujuan bagi memulakan kerja-kerja berkaitan dengan dua syarikat lain yang merupakan pengeluaran alatan berkenaan untuk meningkatkan kapasiti sedia ada. Bagi pengeluaran kenderaan pula, TMNA merancang untuk memulakannya semula pada 20 April nanti.

    Selain itu, Toyota juga menggunakan Pusat Sokongan Sistem Pengeluaran Toyota untuk menawarkan penyaluran pengetahuan kejuruteraan bagi syarikat-syarikat lain untuk membantu mereka meningkatkan kapasiti pengilangan dan kejuruteraan masing-masing dalam mengeluarkan alatan kesihatan.

     
     
  • PDRM buka laluan khas untuk petugas barisan hadapan,lori bawak barangan asas di setiap lebuh raya

    PDRM buka laluan khas untuk petugas barisan hadapan,lori bawak barangan asas di setiap lebuh raya

    Memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan peraturan yang akan lebih ketat, semakin banyak sekatan jalan raya yang bakal dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan anggota tentera di merata lokasi. Bahkan, lebih banyak jalan juga akan ditutup bagi mengurangkan pergerakan orang awam tanpa hal yang munasabah.

    Walau bagaimana pun, PDRM telah memutuskan untuk mewujudkan laluan khas untuk petugas barisan hadapan dan kenderaan perdagangan keperluan asas di setiap lebuh raya. Ia adalah bagi memastikan semua pergerakan penting sepanjang tempoh PKP ini berjalan lancar.

    Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, laluan khas berkenaan atau (Fast Lane) dikhaskan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lain-lain agensi yang terbabit dalam PKP.

    “Selain barisan hadapan ini, turut dibenarkan melalui laluan khas berkenaan adalah kenderaan perdagangan yang membawa barangan keperluan asas asas dan makanan.

    PDRM buka laluan khas untuk petugas barisan hadapan,lori bawak barangan asas di setiap lebuh raya

    “Laluan khas ini dibuka di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap lebuh raya bagi memastikan mereka yang terbabit sebagai petugas hadapan segera sampai ke destinasi serta tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pemeriksaan SJR,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian

    Selain itu, pegawai kakitangan kerajaan berkepentingan yang terbabit dalam penugasan PKP juga boleh menggunakan laluan khas itu.

    Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, pula berkata selain kenderaan perdagangan pihak media cetak dan elektronik yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia juga dibenarkan melalui laluan berkenaan.

    “Selain petugas barisan hadapan, pekerja media juga boleh melalui laluan berkenaan dengan syarat menunjukkan pas atau kad media serta surat kebenaran dari syarikat masing-masing,” katanya.

     
     
  • Detroit Motor Show (NAIAS) batal kerana COVID-19

    Detroit Motor Show (NAIAS) batal kerana COVID-19

    North American International Auto Show (NAIAS) 2020 di Detroit yang juga dikenali sebagai Detroit Motor Show telah sah terpaksa dibatalkan penganjurannya. Pada mulanya ia dijadualkan bakal berlangsung pada Jun ini, pertama kali NAIAS diadakan pada pertengahan tahun berbanding tahun – sebelum ini ia berlangsung pada Januari – walau bagaimana pun disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19, lokasi berkenaan telah diubah menjadi hospital untuk menempatkan para pesakit yang dijangkiti virus tersebut.

    Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan Ameri Syarikat telah mengubah pusat TCF untuk dijadikan hospital sementara bagi kes COVID-19, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan. Kini USA telah mendahului China dan Itali dalam kes positif COVID-19 dan Michigan – negeri di mana Detroit bernaung – buat masa ini sudah memiliki sebanyak 5,486 kes dengan 132 kematian.

    Justeru, NAIAS terpaksa membatalkan acara pertunjukan tersebut dan akan diadakan semula pada tahun 2021. Ini bukanlah satu-satunya penganjuran acara automotif global yang terpaksa dibatalkan disebabkan COVID-19. Perkara yang sama turut dihadapi dalam penganjuran pertunjukan automotif di New York, Beijing dan Geneva yang terpaksa membatalkan acara masing-masing untuk tahun ini.

     
     
  • Pematuhan PKP naik 95%; aplikasi navigasi ‘pecah rahsia’ lokasi sekatan jalan raya – menteri KDN

    Pematuhan PKP naik 95%; aplikasi navigasi ‘pecah rahsia’ lokasi sekatan jalan raya – menteri KDN

    Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memasuki fasa kedua pada Rabu ini, yang akan berlangsung sehingga 14 April 2020. Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, setakat hari ke-12 semalam, kadar peratusan pematuhan arahan itu meningkat kepada 95% dan angka itu diharap bertambah baik selepas ini.

    “Sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu, sehingga hari ke-12, jumlah tangkapan terhadap mereka yang ingkar dan gagal mematuhi PKP bagi membendung wabak COVID-19 meningkat kepada 1,354 orang. Daripada jumlah itu, seramai 73 orang sudah dituduh di mahkamah. Ini menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin bertegas,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Menurutnya lagi, jumlah sekatan jalan raya juga akan ditambah termasuk memberikan tumpuan kepada laluan bukan utama atau ‘jalan belakang’. Di mana langkah itu bagi membendung pergerakan segelintir pihak yang masih berdegil, melanggar arahan PKP supaya duduk di rumah masing-masing.

    Pematuhan PKP naik 95%; aplikasi navigasi ‘pecah rahsia’ lokasi sekatan jalan raya – menteri KDN

    “Kita terpaksa guna strategi ini kerana pengguna jalan raya yang menggunakan aplikasi panduan arah dan navigasi seperti Waze, mereka akan diberitahu lokasi-lokasi yang ada sekatan jalan raya. Mereka kemudian akan mencari jalan-jalan alternatif untuk mengelak melalui jalan yang ada sekatan.

    “Justeru, kita akan lakukan sekatan-sekatan di laluan berkenaan sehingga memaksa mereka masuk ke laluan yang ada sekatan. Sebagai contoh di Kota Damansara yang terdapat banyak laluan, maka kita akan buat sekatan-sekatan,” katanya yang turu menambah tindakan itu perlu supaya orang ramai mematuhi arahan PKP dan tidak sewenang-wenangnya bergerak ke sana sini tanpa tujuan penting.

    “Kita mohon semua rakyat supaya mematuhi arahan PKP dengan sebaik mungkin. Kita tidak mahu perkara ini (PKP) berlanjutan kerana ia akan membawa lebih banyak masalah dan tekanan kepada rakyat,” jelas beliau.

    Team paultan.org sekali lagi merayu kepada anda semua, tolonglah patuhi PKP ini sekiranya kita tidak mahu ia dilanjutkan lagi. Sama-samalah kita membantu pihak kerajaan khususnya pasukan barisan hadapan untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak pandemik COVID-19 ini. #duduksajadirumah #juststayathome

     
     
  • Honda akan ganti suis kawalan pendingin hawa panel sesentuh dengan butang analog yang lebih ergonomik

    Honda akan ganti suis kawalan pendingin hawa panel sesentuh dengan butang analog yang lebih ergonomik

    Buat masa sekarang, Honda menampilkan suis kawalan pendingin hawa jenis panel sesentuh untuk model-model seperti Jazz, City dan juga HR-V. Kalau anda perasan, Jazz generasi baharu yang didedahkan di Jepun lewat tahun lalu telah kembali menggunakan suis konvensional.

    Kenapa tiba-tiba mereka mengambil langkah seakan mengundur kebelakang ini? Menurut ketua projek Jazz generasi Takeki Tanaka seperti yang dilaporkan oleh Autocar, ini dilakukan kerana butang konvensional tersebut adalah lebih ergonomik.

    “Alasannya mudah – kami mahu meminimakan gangguan kepada pemandu ketika menggunakannya, khususnya untuk pemanas dan pendingin hawa,” katanya.

    Honda akan ganti suis kawalan pendingin hawa panel sesentuh dengan butang analog yang lebih ergonomik

    “Kami tukar dari skrin sesentuh kepada operasi suis biasa, selepas kami menerima respon dari pelanggan bahawa ia agak sukar untuk digunakan secara intuitif. Anda perlu lihat ke skrin untuk ubah suhu pemanas tempat duduk, oleh itu, kami tukar kepada sistem yang boleh anda guna tanpa melihatnya, memberikan lebih keyakinan ketika memandu,” tambah Tanaka lagi.

    Langkah yang dibuat oleh Honda ini agak melawan arus berbanding trend terkini industri automotif. Audi misalnya, mereka kini mengurangkan seberapa banyak butang kawalan fizikal dengan alasan “semakin ramai orang yang selesa menggunkan fungsi sentuhan sama seperti telefon pintar”, dan ketua sistem elektronik untuk Audi A3, Melanie Limmer menjelaskan bahawa sistem baharu berkenaan adalah lebih mudah digunakan berbanding sebelum ini.

    Ada pula bagaimana? Lebih suka sistem dengan skrin sesentuh, atau lebih suka sistem seperti Nokia 3310 yang boleh kita gunakan tanpa langsung melihatnya?

     
     
  • Geely Haoyue 2020 – beberapa lagi gambar disiarkan

    Geely Haoyue 2020 – beberapa lagi gambar disiarkan

    Beberapa lagi gambar SUV baru Geely Haoyue (sebelum ini dipanggil sebagai VX11) telah didedahkan dan kali ini kita dapat melihatnya lebih terang. Daripada aspek rekaan, ia mempunyai ciri seperti SUV lain Geely, dengan gril “expanding cosmos” di hadapan, manakala di belakang terdapat lampu yang seperti mendapat inspirasi daripada model Icon.

    Melihat kepada saiz, Haoyue mempunyai ukuran panjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 2,815 mm. Diletakkan sebagai perbandingan, Mazda CX-8 yang mempunyai tetapan tujuh-tempat duduk sama seperti Haoyue memiliki ukuran panjang 4,900 mm (+65 mm), lebar 1,840 mm (-60 mm), tinggi 1,730 mm (-50 mm), dan jarak roda 2,930 mm (+115 mm).

    Mengambil kira ukuran yang diberi ini, serta gambar bahagian dalam, Haoyue kelihatan luas dan tempat duduk baris kedua serta ketiga boleh dilipat rata. Rasa luas itu ditambah lagi dengan penggunaan cermin yang besar, termasuk di atas bumbung, sehingga tempat duduk baris kedua.

    Walaupun papan pemuka Haoyue nampak seperti mempunyai persamaan dengan Icon, ada bahagian yang telah diubah, seperti corong pendingin hawa yang dijadikan lebih selari untuk meletakkan panel instrumen digital serta skrin besar di tengah untuk sistem infotainmen. Antara ciri lain yang boleh dilihat adalah seperti corong pendingin hawa belakang, lampu suasana serta tempat duduk balutan kulit.

    Laporan sebelum ini mengatakan Haoyue akan ditawarkan dengan dua enjin turbo, iaitu 1.5 liter dan 1.8 liter. enjin 1.5 liter itu mungkin dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan atau klac berkembar tujuh kelajuan, dengan kuasa 174 hp serta 225 Nm tork, manakala enjin 1.8 itu pula mempunyai kuasa 181 hp dan 300 Nm tork, seperti pada Boyue Pro.

     
     
  • Ford Mustang RTR Spec 5 – kit badan lebar, V8 Supercharger 750 hp/908 Nm, terhad hanya 10-unit

    Ford Mustang RTR Spec 5 – kit badan lebar, V8 Supercharger 750 hp/908 Nm, terhad hanya 10-unit

    Jenama penala yang diasaskan oleh pelumba drift dan juara Formula D dengan memandu Ford Mustang, Vaughn Gittin Jr. iaitu RTR (Ready To Rock) akan menyambut ulangtahun ke-10 tahun ini. Dan untuk meraikannya, mereka menghasilkan model edisi terhad Ford Mustang RTR Spec 5 yang hanya akan dibuat sebanyak 10-unit.

    Seperti model-model RTR lain, ia turut dihasilkan oleh Lebanon Ford Performance. Sebelum ini, Mustang RTR hanya ditawarkan dalam Spec 1 (hanya perubahan kosmetik), Spec 2 (lengkap dengan ubahsuai suspensi) dan Spec 3 (diberikan kit Superchager fasa 2 berkuasa 700 hp/827 Nm).

    Jadi Mustang Spec 5 ini adalah sesuatu yang baharu, dan ia dihasilkan jauh lebih ekstrem. Enjin Coyote V8 5.0L asal pada Mustang tersebut diberikan suapan Supercharger rekaan Roush dan Ford Performance sama seperti RTR Spec 3, tetapi ditala untuk mendapatkan kuasa lebih tinggi iaitu 740 hp/908 Nm.

    Bagi memastikan ia mampu mengendalikan jumlah kuasa yang meningkat ini, Mustang RTR Spec 5 diberikan sistem penghantaran kuasa termasuk syaf ke gandar belakang yang dipertingkat dan juga sistem suspensi RTR Tactical Performance.

    Ford Mustang RTR Spec 5 – kit badan lebar, V8 Supercharger 750 hp/908 Nm, terhad hanya 10-unit

    Pada bahagian luaran, Mustang istimewa ini diberikan kit badan lebar seiras dengan kereta drift Vaughn Gittin Jr., dan ia dilengkapkan dengan roda yang juga sangat besar dan lebar, iaitu set rim RTR Aero 7 Forged bersaiz 20×9.5 bersama tayar Nitto NT555 G2 285/30R20 di hadapan serta rim 20×11 dan tayar 305/30R20 di belakang.

    Pada bahagian dalaman pula, Mustang RTR Spec 5 ini hadir dengan ciri-ciri seperti karpet kaki dan juga tombol gear RTR, bersama plak nombor siri istimewa pada papan pemuka yang ditandatangani sendiri oleh Vaughn Gittin Jr.

    Kesemua 10-unit Ford Mustang RTR Spec 5 ini hanya hadir dengan warna badan Lead Foot Grey, namun pembeli boleh memilih 5 warna serlahan berbeza iaitu Hyper Lime, Race Red, Orange Fury, Grabber Blue atau Space White.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026