Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW 630i Gran Turismo kini di Thai; dipasang di Malaysia, lebih murah dari 630d CBU pada RM585k

    BMW 630i Gran Turismo kini di Thai; dipasang di Malaysia, lebih murah dari 630d CBU pada RM585k

    Thailand telah pun menerima kehadiran barisan BMW 6 Series Gran Turismo dengan pengenalan varian 630i janaan petrol. Menariknya, model ini adalah hasil pemasangan kilang di Malaysia, yang terletak di Kulim, Kedah.

    Harganya pula 4,359,000 baht (RM585,000), iaitu 340,000 baht lebih murah berbanding varian diesel 630d, yang dipasang di Jerman. Walau bagaimana pun, ia lebih mahal sekitar RM150,000 berbanding model yang dijual di sini (RM430,800).

    Walau bagaimana pun model untuk pasaran Thai turut menerima ciri yang lebih baik. Varian 630i ini ditambah dengan rpda aloi Style 648 M 20-inci (varian 630d hanya 19-inci), suspensi udara, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go dan pakej Bantuan Pemanduan, termasuk brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong dan pemantauan titik buta.

    BMW 630i Gran Turismo kini di Thai; dipasang di Malaysia, lebih murah dari 630d CBU pada RM585k

    Model Thai ini juga menerima ciri yang tiada pada varian pasaran Malaysia. Ini termasuklah Parking Assist Plus, yang dilengkapi sistem kamera 360-darjah (kita hanya dapat kamera undur) dan fungsi Remote 3D View yang membolehkan pengguna melihat sekeliling kenderaan menerusi telefon pintar. Turut ditampilkan termasuklah fungsi Remote Control Parking untuk kereta diparking dengan menggunakan BMW Display Key.

    Seperti varian 630i di Malaysia, model spesifikasi Thai juga dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, dengan hamburan kuasa 258 PS dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 450 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda belakang.

    GALERI: BMW 630i Gran Turismo di Malaysia

     
     
  • HondaGO sedia khidmat sewa motosikal di Jepun – harga antara RM160-RM1,040 sehari, pelbagai model

    HondaGO sedia khidmat sewa motosikal di Jepun – harga antara RM160-RM1,040 sehari, pelbagai model

    Selepas wabak Covid-19 reda nanti, mungkin ada yang akan memulakan perjalanan ke luar negara. Sekiranya anda tiba di Jepun, dan terasa seperti ingin menyewa motosikal untuk meneroka kawasan-kawasan tertentu, ini ada berita baik. Honda kini secara rasmi menawarkan khidmat itu melalui program HondaGo di wakil pengedar mereka yang terpilih.

    Sekiranya anda berada di bandar besar seperti Tokyo, motosikal sememangnya tidak diperlukan kerana pengangkutan awam mereka sangat cekap, tapi kalau anda mahu meneroka ke luar bandar, ia mungkin adalah satu pilihan yang boleh diambil kira. Mengikut pengalaman kami, mencari tempat untuk menyewa motosikal juga bukanlah mudah, tapi dengan HondaGO, sekarang anda boleh berasa lebih lega.

    Pelbagai model disediakan, bergantung kepada unit yang dimiliki oleh wakil pengedar tersebut, sementara harga pula dibahagi kepada dibahagikan bergantung kepada kapasiti enjin, dan tempoh masa penggunaan. Paling murah adalah untuk motosikal bawah 50 cc dengan harga 1,500 yen (RM60) bagi tempoh dua jam. Motosikal kategori Premium pula ditawarkan pada harga 16,000 yen (RM640) bagi tempoh masa sama.

    HondaGO sedia khidmat sewa motosikal di Jepun – harga antara RM160-RM1,040 sehari, pelbagai model

    Selain bayaran mengikut jam, anda juga boleh memilih pakej Long GOGO yang menawarkan penggunaan sehingga 55 jam (3 hari 2 malam) dengan harga 8,500 yen (RM340) bagi motosikal bawah 50 cc dan 51,000 yen (RM2,040) bagi model Premium. Bayaran insurans juga bergantung kepada kapasiti enjin motosikal, dengan paling murah adalah model bawah 50 cc iaitu 500 yen (RM20) satu hari, sementara bagi model Premium pula 3,000 yen (RM120) satu hari.

    Antara model-model menarik yang kami lihat berada dalam senarai adalah seperti PCX elektrik, CBR250RR, ADV150, CB1300 Super Bol D’Or, Rebel 250 dan pelbagai lagi. Model yang berada dalam kategori Premium adalah seperti siri CRF1000L Africa Twin, Gold Wing dan CBR1000RR-R.

    Kami sendiri sebelum ini pernah menyewa skuter 125 cc di Fukuoka dengan harga sekitar RM180 sehari dan ini membuktikan kadar sewa di sana memang tidak semurah negara Asia Tenggara. Jadi, harga yang ditawarkan oleh HondaGo ini boleh dikatakan mengikut standard di sana.

     
     
  • Pengecualian dari bayaran balik pinjaman kenderaan selama enam bulan — apa yang perlu anda tahu

    Pengecualian dari bayaran balik pinjaman kenderaan selama enam bulan — apa yang perlu anda tahu

    25 Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan arahan kepada semua bank untuk memberikan pengecualian automatik (moratorium) selama enam bulan bagi semua pinjaman atau pembiaayan berkuatkuasa 1 April hingga 30 September 2020. Apa maksudnya? Bagaimana anda terkesan dengan pengumuman ini? Kami jelaskan secara ringkas di sini.

    Bermula 1 April, semua bayaran ansuran bagi pinjaman kenderaan/sewa-beli konvesional akan ditangguhkan selama enam bulan. Anda tidak perlu membayar ansuran bulanan kenderaan anda sepanjang tempoh berkenaan. Anda hanya perlu menyambung pembayaran bermula 1 Oktober 2020 nanti.

    Sebagai contoh, katakan anda biasanya membayar RM1,000 sebulan ketika ini sehingga Disember 2021. Bermula dari 1 April 2020, anda tidak perlu membayar apa-apa jumlah untuk tujuan itu sehingga hujung September nanti. Masuk bulan Oktober, anda bagaimanapun perlu menyambung semula pembayaran ansuran berkenaan seperti sebelumnya – dengan jumlah yang sama – sehingga tamat tempoh bayaran balik pinjaman anda, yang mana tempoh akhir tadi telah ditambah enam bulan lagi sehingga Jun 2022 – tanpa sebarang caj tambahan yang lain.

    Pengecualian dari bayaran balik pinjaman kenderaan selama enam bulan — apa yang perlu anda tahu

    Pengecualian bayaran ansuran bulanan ini akan dilakukan secara automatik, jadi anda tak perlu membuat permohonan. Namun, jika anda berhasrat untuk membayar ansuran bulanan itu seperti biasa dan tidak mahukan pengecualian itu, anda perlu memaklumkan bank tempat anda membuat pinjaman berkenaan. Mesej tentang perkara ini juga sudah mula dihebahkan kepada pemegang akaun pinjaman yang terlibat.

    Sepanjang tempoh pengecualian itu juga, tiada kompaun faedah akan dikenakan, kerana pinjaman sewa-beli konvensional telahpun diberikan kadar faedah tetap, jadi anda tidak akan membayar lebih. Dalam bahasa mudah, pelanggan diberikan “cuti” daripada membayar balik pinjaman yang telah mereka buat sepanjang tempoh itu. Tidak ada sebarang denda akan dikenakan terhadap anda. Jika ada sebarang caj atau faedah yang lain dikenakan, anda perlu maklumkan kepada pihak bank dan minta penjelasan mereka.

    Bagi pinjaman kredit yang bukan daripada bank pula, situasinya berbeza. Mereka penyedia perkhidmatan kredit, dan bukannya bank. Maka mereka tidak tertakluk kepada perintah ini. Setakat ini, hanya Toyota Capital Malaysia sahaja yang mengumumkan akan mengikut langkah sama dengan bank, sementara penyedia lain akan melihat dari satu kes ke satu kes sebelum membuat petimbangan sama. Jadi, sekarang dah jelas?

     
     
  • Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Bulan lalu, Honda telah memperkenalkan Civic Type R FK8 Limited Edition, iaitu FK8 produksi jalan raya versi paling hardcore yang fokus untuk kegunaan litar. Tiada tambahan kuasa enjin diberikan tetapi ubahsuai yang dibuat adalah seiring dengan saranan pengasas Lotus, Colin Chapman iaitu “buatkan ia lebih ringan untuk tambah kelajuan.”

    Antara langkah yang Honda lakukan untuk meringankan lagi kereta berkenaan adalah dengan membuang segala kelengkapan yang tidak perlu untuk kelajuan termasuk penebat-penebat bunyi, pengelap cermin belakang dan sistem audio serta menggantikan rim asal kepada rim BBS yang lebih ringan.

    Rasanya kita di Malaysia tentu tak boleh terima satu lagi sistem yang dibuang pada kereta ini iaitu sistem penghawa dingin (heater pun tiada ya!) untuk mendapatkan berat keseluruhan yang disisihkan iaitu 47-kg. Sebenarnya, tidak ada apa yang menghairankan sebab memang kereta lumba tidak kira di Eropah, Jepun mahu pun kereta rali yang berlumba di Rali Safari di Kenya dan juga Rali Dakar memang tidak mempunyai sistem pendingin hawa.

    Pemandu hanya berharap aliran udara dari luar menerusi corong-corong yang dibuat bagi memberikan mereka sedikit keselesaan dan tumpuan hanya diberikan kepada kelajuan. Untuk pengetahuan anda juga, Civic Type R Limited ini juga bukan kereta produksi jalan raya pertama yang tidak mempunyai pendingin hawa atas alasan mahu laju, ada banyak lagi kereta lain yang membuang sistem tersebut atas alasan sama.

    Dalam artikel ini, akan saya tunjukkan contoh-contoh kereta lain yang tiada sistem pendingin hawa bukan kerana mahu kurangkan kos, tetapi lebih kepada untuk mengerah prestasi.

    Lotus Elise dan Exige

    Seperti yang saya sebut tadi, idea untuk mendapatkan kelajuan dari berat yang rendah dan bukan dari kuasa enjin adalah seringkali dikaitkan dengan Lotus. Model-model Lotus seperti Elise dan Exige tidak datang dengan sistem penghawa dingin secara standard, tetapi pembeli masih boleh memilihnya sebagai ciri opsyen.

    Bahagian dalaman kedua-dua Lotus ini juga tiada ciri-ciri mewah seperti kemasan-kemasan yang tidak perlu, dan untuk sistem audio pun hanya pemain 1-Din ditawarkan pada model-model tertentu. Dengan sistem mekanikal dibina dengan bahan-bahan ringan serta tidak diberikan aksesori-aksesori ‘fancy’, kedua-dua Lotus ini biasanya hadir dengan berat tidak sampai 1 tan.

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Sejak dihasilkan bermula pada tahun 1996, Elise hadir dengan pelbagai varian enjin. Namun kesemua enjin berkenaan hanyalah dalam bentuk empat-silinder sebaris dengan kapasiti dari 1.6 liter hingga 1.8 liter. Enjin yang paling berkuasa pernah disumbat oleh Lotus pada Elise hanya enjin Toyota 2ZR-FE 1.8 liter yang disuap oleh supercharger bagi menghasilkan 253 PS/265 Nm.

    Manakala untuk Exige pula, ia sebenarnya masih diasaskan dari Elise tetapi dihasilkan dengan lebih liar. Kebanyakkan model Exige masih menggunakan enjin empat silinder yang sama dengan Elise, namun akhir-akhir ini ia menerima enjin lebih besar iaitu enjin V6 Toyota 2GR-FE 3.5 liter yang disuap supercharger, dan pada model-model tertentu ia pernah ditala sehingga 436 PS/440 Nm.

    Model-model Type R Honda dengan enjin tanpa turbo (NSX Type R NA1/NA2, Civic Type R EK9/FD2R, Integra Type R DC2/DC5)

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Yup, Civic Type R FK8 Limited Edition bukanlah model pertama Honda yang tidak diberikan penghawa dingin sebab nak laju. Tetapi ia sebenarnya adalah model inspirasi dari pejuang-pejuang Type R terdahulu, atau lebih spesifik ketika Honda menghasilkan model prestasi tinggi dengan enjin DOHC VTEC/DOHC i-VTEC tanpa sebarang sistem induksi paksaan (NA).

    Walaupun mampu untuk menghasilkan angka kuasa yang luar biasa, enjin-enjin NA VTEC berkenaan tidak menghasilkan jumlah tork sebesar yang dihasilkan oleh enjin turbo. Jadi sangat penting untuk Honda menghasilkan badan model-model Type R berkenaan seringan yang boleh.

    Jadi semua jentera Type R pada era NA ini dihasilkan dengan pengurangan penebat bunyi, menggunakan cermin lebih nipis, tiada beg udara, tiada penghawa dingin, tiada penggilap cermin belakang, tiada radio, tiada jam pada konsol tengah, tiada sistem stereng berkuasa dan juga tiada sistem brek ABS. Kerangka kereta ini juga diperkuatkan dengan kimpalan ‘spot-weld’ yang lebih diberikan dan juga pemadanan bracket serta pendakap logam tambahan.

    Ini bukan sahaja menjadikan jentera Type R ini laju di jalan raya, ia juga dengan mudah dijadikan kereta lumba untuk kategori-kategori produksi. Hanya pasangkan rollcage serta peralatan keselamatan lain, ia sudah pun lulus sebagai kereta lumba sebenar! Walau bagaimanapun, Honda masih menawarkan penghawa dingin sebagai ciri opsyen kerana masih ramai yang menggunakan model-model Type R ini sebagai kereta harian (model FD2R yang dibawa oleh Honda Malaysia memang hadir standard dengan pendingin hawa).

    Mitsubishi Lancer Evolution RS

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Dalam setiap generasi Lancer Evolution, Mitsubishi akan menghasilkannya dalam dua varian asas iaitu GSR dan RS. Model GSR adalah model yang dihasilkan untuk digunakan setiap hari, yang bukan sahaja diberikan nisbah gear lebih panjang untuk cruising dengan lebih selesa di atas lebuh raya, malah hadir lengkap seperti kereta biasa dengan ciri seperti pendingin hawa dengan kawalan digital, kemasan-kemasan premium, sistem tingkap berkuasa, sistem audio dan sebagainya.

    Manakala untuk RS (bermaksud Rally Sport) pula, ini adalah model yang dihasilkan Mitsubishi khusus untuk dijual kepada pasukan-pasukan lumba. Oleh itu, model-model RS ini hadir dengan kelengkapan cukup asas – tiada penghawa dingin, tingkap manual, tiada sunroof, kurang penebat bunyi, tiada tempat duduk Recaro, malah tiada rim aloi dan hanya diberikan rim besi.

    Tetapi, model-model RS ini datang dengan kotak komputer yang akan memberikan respon kuasa yang lebih agresif serta kotak gear dengan nisbah yang lebih pendek, sesuai digunakan di litar atau di SS rali. Ini membolehkan tranformasi kepada kereta rali produksi (Group N) dilakukan dengan sangat mudah – pasang rollcage dan kelengkapan keselamatan lain, ia sudah lulus sebagai kereta rali yang dianjurkan dengan seliaan FIA!

    Namun, ada juga model RS ini dijual untuk orang awam di bilik pameran. Oleh itu ia turut ditawarkan dengan ciri opsyen seperti sistem penghawa dingin (dengan kawalan manual sahaja), rim aloi dan juga tempat duduk Recaro.

    Subaru Impreza WRX STI Type RA

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Sama juga dengan Lancer Evolution, seteru utamanya dalam dunia rali ini turut hadir dengan dua versi asas yang dihasilkan dengan tujuan yang sama – Subaru WRX STI Version untuk model jalan raya biasa, manakala WRX STI Type RA adalah versi untuk dijadikan kereta rali Group N.

    Untuk pengetahuan anda, maksud RA pada model awal generasi GC8 dan GDB adalah tidak sama dengan model WRX STI Type RA yang diperkenalkan pada tahun 2018. Untuk model generasi baharu tersebut, RA bermaksud Record Attempt, iaitu model yang diinspirasikan dari jentera perlumbaan yang mencatatkan rekod di litar Nürburgring pada tahun 2017.

    Manakala untuk versi asal Type RA pula, akronim tersebut bermaksud ‘R’ untuk Racing/Racer, manakala ‘A’ pula merujuk kepada badan empat pintu, iaitu asas yang sama digunakan untuk Prodrive untuk menghasilkan kereta WRC Subaru Group A yang pernah dipandu oleh Colin McRae ketika dinobatkan sebagai juara dunia pada tahun 1995.

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Selain dari tiada penghawa dingin, diberikan tingkap manual, Type RA turut ditawarkan dengan satu ciri opsyen yang begitu ikonik iaitu skup udara pada bumbung yang boleh dibuka/tutup. Ini bermaksud jika kereta ini ditransformasikan kepada kereta rali Group N, pasukan berkenaan tidak lagi perlu untuk membuat corong bumbung tersebut untuk memberikan udara segar kepada pemandu di dalam kabin yang tidak mempunyai pendingin hawa.

    Subaru juga ada menawarkan versi yang digelar WRX STI Type RA Limited, iaitu model dengan talaan enjin dan kotak gear sama seperti Type RA, tetapi diberikan terus dengan aksesori kegunaan harian seperti pendingin hawa, cermin tingkap berkuasa, sistem audio dan pelbagai lagi.

    Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

    Untuk generasi GDB, Subaru turut menawarkan model WRX STI Type RA-Spec C, iaitu model Type RA yang diringankan lagi serta diberikan talaan enjin dan suspensi yang diperhalusi.

    Ada banyak lagi sebenarnya model-model berprestasi yang dibina dengan konsep sebegini, namun nama-nama yang saya senaraikan ini adalah antara yang paling popular, dan ia akan sentiasa disebut-sebut jika berbicara berkenaan ‘kereta yang tiada pendingin hawa kerana nak laju’. Ada lagi kereta lain yang anda tahu dan boleh kita perkatakan? Kongsikannya dengan kami dan pembaca yang lain di ruang komen di bawah.

     
     
  • BMW X6 G06 dilancarkan di Thailand – varian tunggal xDrive30d M Sport ditawarkan; harga dari 7.299j baht

    BMW X6 G06 dilancarkan di Thailand – varian tunggal xDrive30d M Sport ditawarkan; harga dari 7.299j baht

    BMW X6 G10 generasi ketiga pertama kali diperkenalkan di peringkat dunia pada Julai 2019, dan kini ia telah pun dilancarkan di Thailand. Menawarkan varian tunggal xDrive30d M Drive, SUV ini berharga dari 7.299 juta baht (RM960,380), lebih mahal berbanding adiknya, X5 xDrive30d M Sport yang berharga 5.659 juta baht (RM744,778).

    Di bawah bonetnya, X6 spesikasi Thailand ini dijanakan oleh enjin 3.0 liter turbodiesel enam-silinder dengan hamburan kuasa 265 PS (261 hp) pada 4,000 rpm dan tork 620 Nm dari 2,000 hingga 2,500 rpm. Pacuan disalurkan ke empat-empat roda menerusi transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda xDrive.

    Larasan enjin ini, lebih kurang seperti yang diberikan pada X5, mampu dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 6.5 saat dan kelajuan tertinggi mampu capai 230 km/j, bersama gabungan penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter per 100 km.

    BMW X6 G06 dilancarkan di Thailand – varian tunggal xDrive30d M Sport ditawarkan; harga dari 7.299j baht

    Pakej M Drive standard untuk X6 ini termasuklah bampar hadapan dan belakang yang sporty, kit M Aerodynamic dan pakej BMW Individual high-gloss Shadow Line. Selain itu, ia turut didatangkan dengan lampu utama BMW Laserlight, gril ‘kidney’ iluminasi (Iconic Glow), bumbung kaca panoramik, sistem ekzos M SPort, roda aloi dengan jejari-berkembar M 22-inci, dan suspensi M adaptif.

    Untuk ciri dalamannya pula, ia menampilkan tempat duduk hadapan dengan larasan elektronik bersama fungsi memori, kabin dihiasi kulit Vernasca, gentian karbon dan kemasan kulit, serta anthracite bagi headliner. Lain-lain ciri termasuk kawalan suhu empat-zon, sistem BMW Live Cockpit Professional, sistem bunyi Harmon Kardon, pengecas tanpa wayar dan paparan utama.

    Untuk ciri keselamatan pula, SUV ini diberikan enam beg udara, kawalan cengkaman, ABS, brek parkir elektronik, pemantauan tekanan tayar, Kawalan Jarak Parkir, kamera pandangan sekeliling, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go dan Driving Assistant Professional. Ciri lain termasuk Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Penukaran Lorong, pemantaua trafik lintasan belakang, Fungsi Brek Bandar, Pengelak Pelanggaran Belakang dan Info Had Kelajuan.

    GALERI: BMW X6 G06

     
     
  • Kerajaan sediakan peruntukan RM60 juta untuk pemandu e-hailing – RM500 untuk setiap seorang

    Kerajaan sediakan peruntukan RM60 juta untuk pemandu e-hailing – RM500 untuk setiap seorang

    Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja membentangkan pakej ransangan ekonomi berjumlah RM250 bilion yang akan diagihkan kepada rakyat serta perniagaan untuk berhadapan keadaan teruk waktu pandemik Covid-19 sekarang ini.

    Dalam pakej yang menyeluruh ini, pemandu e-hailing juga akan menerima manfaat di mana setiap seorang daripada mereka akan menerima bayaran satu kali sebanyak RM500, dengan jumlah keseluruhannya RM60 juta. Ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban mereka memandangkan jumlah penumpang sekarang menurun dengan banyak.

    Sebelum ini, Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) pernah meluahkan rasa kecewa kerana tidak mendapat sebarang bantuan seperti pemandu teksi semasa pakej ransangan ekonomi yang dibentangkan pada bulan Februari lalu.

    Selain daripada itu, Bank Negara juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa semua pelanggan bank secara automatiknya – termasuk bagi individu serta perniagaan kecil dan sederhana – dibenarkan untuk menangguh bayaran semula pinjaman dan ini termasuk bayaran semula sewa-beli (hire-purchase) kenderaan.

     
     
  • Harga minyak 28 Mac-3 April – semua turun lagi

    Harga minyak 28 Mac-3 April – semua turun lagi

    Buat minggu kedua, iaitu untuk minggu bertarikh 28 Mac hingga 3 April 2020, harga runcit bagi bahan api utama dilaporkan mengalami penyusutan harga lagi.

    Di mana harga runcit bagi petrol RON 97 turun sebanyak 6 sen seliter, iaitu dari RM1.74 seliter kini menjadi RM1.68 seliter. Begitu juga dengan petrol RON 95 yang turun 6 sen seliter, menjadi RM1.38 seliter, berbanding harga pada minggu sebelumnya RM1.44 seliter.

    Untuk diesel pula, ia melibatkan penurunan sebanyak 7 sen seliter, dengan Euro 2 bakal berharga RM1.68 seliter dan Euro 5 pula RM1.78 seliter.

    Kesemua harga runcit baharu yang diumumkan ini bakal efektif bermula jam 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 3 April 2020.

    Menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataannya, penurunan harga ketiga-tiga bahan api ini disebabkan ketidakstabilan harga minyak mentah di peringkat global dan juga isu penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang mengganas di seluruh dunia.

     
     
  • Toyota Hilux bakal dapat versi facelift lagi, lebih kuasa

    Toyota Hilux bakal dapat versi facelift lagi, lebih kuasa

    Belum lama sebelum itu, iaitu pada 2017, Toyota Hilux telah diberikan kemaskini versi facelift diperingkat pasaran global. Tak sampai tiga tahun, model trak pikap paling popular berkenaan dijangka akan diberikan kemaskini sekali lagi – khabarnya dengan penampilan lebih ranggi dan enjin lebih berkuasa.

    Menurut sebuah laporan CarAdvice, trak yang dipertingkat itu bakal memasuki bilik pameran di Australia seawal hujung Julai atau awal Ogos tahun ini. Tetapi, ia mungkin juga ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda ketika ini.

    Dengan pengenalan versi terbaru itu, Hilux dijangka akan tampil dengan reka bentuk yang lebih rugged dan sasa terutama di bahagian hadapan. Bahagian dalaman juga mungkin akan diberikan sedikit kemaskini, termasuk sistem infotainmen dengan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto.

    Toyota Hilux bakal dapat versi facelift lagi, lebih kuasa

    Model facelift terbaru itu nanti juga akan menampilkan penggunaan enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel, dengan angka janaan yang lebih tinggi dan kemaskini bagi mengatasi masalah penapis zarah (particulate filter) tersumbat. Laporan dari Jepun juga ada yang mencadangkan bahawa enjin berkenaan akan turut digunakan pada Land Cruiser generasi akan datang.

    Di Australia, model-model paling asas juga sudah dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, termasuk ciri brek kecemasan autonomous (AEB). Versi facelift ini juga dijangka akan menerima pakej keselamtan berkenaan untuk rantau pasaran yang lebih meluas, terutama di Asia Tenggara untuk meningkatkan daya saingnya berdepan penawaran trak pikap moden yang lain.

     
     
  • Toyota Capital Malaysia berikan pengecualian bayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula 1 April

    Toyota Capital Malaysia berikan pengecualian bayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula 1 April

    Toyota Capital Malaysia telah umumkan bahawa mereka akan memberikan pengecualian pembayaran selama enam bulan secara automatik kepada pelanggannya (individu atau SME) bermula dari 1 April hingga 30 September 2020. Langkah berkenaan selari dengan usaha Bank Negara Malaysia seperti diumumkan Rabu lalu, walaupun syarikat itu sebenarnya adalah sebuah penyedia perkhidmatan kredit dan bukannya sebuah institusi perbankan.

    “Kami melaksanakan tugas kami di dalam mempermudahkan beban kewangan yang dihadapi oleh pelanggan akibat penyebaran wabak Covid-19. Dalam masa yang sama, kami komited untuk terus menyumbang kepada ekonomi negara di dalam waktu yang mencabar seperti sekarang,” jelas makluman di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarat kelayakan bagi skim berkenaan ialah pelanggan wajib tidak mempunyai sebarang tunggakan pinjaman/pembiayaan bagi tempoh 90 hari bermula 1 April nanti. Penangguhan jadual bayaran balik pinjaman ini juga tidak akan memberi kesan kepada rekod pelanggan dengan Toyota Capitan Malaysia, dalam CCRIS, atau mana-mana laporan kewangan lain.

    Mereka yang layak akan secara automatik menerima manfaat daripada moratorium ini (tiada tindakan diperlukan). Tetapi, sekiranya pelanggan tidak mahu terlibat di dalam skim penangguhan ini, mereka perlu menulis untuk memaklumkan hasrat tersebut ke [email protected].

     
     
  • GALERI: Ducati Streetfighter V4, V4S – 208 hp, 123 Nm

    GALERI: Ducati Streetfighter V4, V4S – 208 hp, 123 Nm

    Setelah sekian lama, akhirnya Ducati Streetfighter V4 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran. Tapi, untuk betul-betul sampai ke pusat pameran ia mungkin mengambil masa yang lebih lama kerana keadaan yang tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19 sekarang.

    Streetfighter V4 diperkenalkan dalam dua versi iaitu standard pada harga iaitu 19,990 euro (RM93,094) dan 22,990 euro (RM107,019) untuk versi S di Itali. Beza utama antara dua versi ini adalah suspensi, di mana STF V4S mendapat unit Ohlins larasan elektronik depan dan belakang, sementara STF V4 menggunakan fork Showa BPF di hadapan dan monoshock Sachs di belakang (masih lagi boleh dilaras sepenuhnya secara manual). STF V4S juga mendapat rim Marchesini.

    Kedua-dua enjin dan kerangka monocoque pada model naked ini diambil terus daripada Panigale V4, cuma STF V4 ini tidak mempunyai banyak panel badan, mempunyai pemegang yang lebih tinggi dan enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc tersebut mampu menghasilkan kuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm.

    Dengan berat kering 178 kg (hampir 200 kg apabila diisi segala minyak), Streetfighter V4 mencatat nisbah kuasa kepada berat 1.17 hp/kg, dan menurut ketua pegawai eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, ia adalah 25% lebih berkuasa berbanding pesaing terdekatnya. Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.

    Jumlah ini dapat ditingkatkan lagi apabila menggunakan ekzos Akrapovic titanium, yang juga menjadikan kuasanya naik kepada 216 hp dan mengurangkan lagi empat kilogram. Penyampaian kuasa Streetfighter V4 ini berbeza berbanding Panigale V4 kerana ia mampu menghasilkan 14% lebih tork pada kelajuan 100 km/j. Kalau dibandingkan dengan Streetfighter 1098 sebelumnya, model V4 ini mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j.

    Sistem brek menggunakan khidmat Brembo, dengan unit angkup Stylema M4.30 Monobloc serta cakera 330 mm di hadapan dan angkup dua piston serta cakera 245 mm di belakang, sekali dengan ABS Cornering EVO. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

     
     
  • Honda CB-F Concept didedah – gaya retro, 999 cc

    Honda CB-F Concept didedah – gaya retro, 999 cc

    Bulan ini sepatutnya Osaka Motorcycle Show berlangsung di Jepun dan Honda mempunyai perancangan untuk memperkenalkan CB-F Concept 2020 kepada dunia buat pertama kali. Walaubagaimanapun, disebabkan dunia sekarang sedang berperang dengan Covid-19, pergerakan orang ramai adalah terbatas dan acara itu telah dibatalkan. Disebabkan itu juga, Honda cuma memperkenalkan model ini di atas talian.

    Barisan model CB keluaran Honda sudah wujud sejak tahun 60-an dan model konsep ini dibuat sebagai satu penghormatan kepada sejarah lebih 60 tahun tersebut. Rekaan motosikal konsep ini mengikut gaya seperti model CB750F, bersama tetapan enjin empat silinder sebaris.

    Enjin 998 cc penyejukan cecair, DOHC berserta padanan transmisi enam kelajuan pada CB-F Concept diambil daripada CB1000R baru, namun jumlah kuasa sebenarnya tidak disiarkan. Pada CB1000R, enjin ini mampu menghasilkan 143 hp pada 7,500 rpm dan 104 Nm tork pada 8,250 rpm.

    Selain penampilan retro serta lampu LED yang menarik (di belakang menggunakan jalur melintang), model konsep ini juga dilihat menggunakan lengan ayun single sided Pro-Arm yang dulu dibangunkan untuk jentera lumba siri RC keluaran Honda. Suspensi pula menggunakan fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.

    Rekaan rim menggunakan cabang berbentuk Y, dan kelengkapan lain yang boleh dilihat pada motosikal konsep ini adalah seperti meter jenis digital, tetapan brek berkembar dengan angkup radial empat piston di hadapan, ekzos pendek tetapi masih mempunyai catalytic converter di bawah serta pemegang yang tinggi.

     
     
  • Peruncit petrol mungkin tutup stesen akibat harga minyak rendah dan PKP – gesa harga lantai diperkenal

    Peruncit petrol mungkin tutup stesen akibat harga minyak rendah dan PKP – gesa harga lantai diperkenal

    Ini perkara yang bakal menggusarkan banyak pihak; majoriti pengusaha atau peruncit petrol di seluruh negara berhadapan risiko gulung tikar dan mungkin terpaksa menghentikan operasi masing-masing. Ini ekoran tekanan kewangan membabitkan penurunan ketara harga bahan api serta aliran trafik yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, pihak peruncit petrol telah mencatat penurunan jualan produk bahan api yang mencecah 70%.

    “Tidak lama lagi ramai yang terpaksa menutup operasi masing-masing… duit sudah tiada dan bergantung kepada sebanyak mana simpanan sahaja. Kami tidak dibenarkan mengambil cuti tanpa gaji, manakala kadar (caj) elektrik kami juga kekal sama. Kami tidak mendapat sebarang rebat 15% dan akan teruk terjejas. Keadaan pastinya akan lebih sukar,” katanya kepada Bernama

    Minggu bertarikh 21-27 Mac 2020 menyaksikan penyusutan harga bahan api yang cukup ketara
    dengan petrol RON97 berharga RM1.74 seliter – turun 36 sen daripada RM2.10 seliter manakala RON95 berharga RM1.44 seliter berbanding RM1.82 seliter minggu sebelumnya. Bagi diesel pula, harganya turun 12 sen menjadi RM1.75 seliter.

    Punca penyusutan harga ini disebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah akibat perbalahan antara negara pengeluar, selain isu penularan COVID-19. Tambah Khairul Annuar lagi, ada kalangan peruncit petrol yang menyuarakan kebimbangan bahawa mereka tidak lagi mampu membeli bahan api apabila modal kerja sedia ada terus susut.

    Peruncit petrol mungkin tutup stesen akibat harga minyak rendah dan PKP – gesa harga lantai diperkenal

    “Setiap hari kami menjual mengikut harga belian sebelum ini iaitu RM1.82 (seliter) dan kemudiannya harga itu turun kepada RM1.44, melibatkan pengurangan sebanyak 38 sen untuk RON95. Secara kebetulan jualan pula rendah ketika terpaksa menjual bahan api itu pada paras rugi 38 sen seliter selama seminggu atau lebih.

    “Penyusutan harga ini telah berlanjutan selama tiga minggu dan kami telah mengalami kerugian RM40,000 untuk minggu ini sahaja yang merupakan sebahagian daripada modal kerja kami. Malah, pada akhir bulan, kami perlu membayar gaji pekerja dan bil elektrik antara RM30,000 dan RM70,000 (bergantung kepada saiz stesen minyak) yang juga sebahagian daripada modal kerja,” katanya.

    Oleh itu, PDAM menggesa agar pihak kerajaan memperkenalkan harga lantai bahan api serta mewujudkan dana penstabilan bagi membantu kalangan peruncit petrol. “Sewajarnya harga lantai perlu ditetapkan. Jika terdapat sebarang lebihan pun, kutipan itu boleh dilakukan oleh kerajaan menerusi dana penstabilan yang dapat dimanfaatkan bagi tujuan (skim) subsidi apabila harga melonjak melangkaui paras siling. Dana penstabilan itu merupakan satu mekanisme yang baik,” katanya.

     
     
  • Singapura umum tempoh sah VEP untuk kenderaan pendaftaran Malaysia dilanjutkan sehingga 30 Jun ini

    Singapura umum tempoh sah VEP untuk kenderaan pendaftaran Malaysia dilanjutkan sehingga 30 Jun ini

    Singapura mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh sah Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan pendaftaran Malaysia sehingga 30 Jun ini. Menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), ia bagi memudahkan pekerja Malaysia untuk terus kekal di sini bagi tempoh lebih panjang dalam situasi terkini perkembangan COVID-19.

    Berdasarkan pemantauan LTA, ramai pekerja Malaysia memilih untuk kekal di Singapura berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di Malaysia, dan LTA memaklumkan tiada keperluan bagi pemandu Malaysia untuk mengemukakan sebarang permohonan bagi tempoh lanjutan berkenaan.

    “Mereka bagaimanapun perlu memastikan kad Autopass dimiliki mempunyai nilai mencukupi untuk fi VEP Singapura, Caj Jalan Timbal Balik (untuk kereta asing sahaja), caj ERP dan bayaran tol sebelum meninggalkan Singapura.

    “Mereka juga perlu mengemas kini tarikh sah insurans kenderaan menggunakan perkhidmatan digital VEP untuk perlindungan sepanjang tempoh mereka tinggal di Singapura,” menurut kenyataan LTA seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

     
     
  • Honda Malaysia sahkan waranti kereta Honda anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    Honda Malaysia sahkan waranti kereta Honda anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    Seperti yang diketahui, semua jaringan pengedar termasuk pusat servis bertauliah semua jenama-jenama automotif di Malaysia menutup operasi mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19. Jadi adakah ini akan menjejaskan waranti kenderaan anda sekiranya waktu servis sudah sampai ketika dalam tempoh PKP ini?

    Untuk Honda Malaysia (HM), mereka mengesahkan bahawa waranti pelanggan yang berhadapan dengan situasi ini tidak akan terjejas, seperti apa yang disebutkan dalam terma dan syarat yang tercatat pada booklet servis dan waranti.

    Namun menggesa pelanggan-pelanggan yang terbabit akan menghubungi pengedar dalam masa 15 hari selepas PKP berakhir untuk membuat temu janji dan menghantar kereta mereka untuk diservis dalam tempoh 30 hari selepas hari terakhir PKP bagi memastikan waranti mereka kekal aktif.

    Malah, sekiranya ada waranti kenderaan pelanggan yang akan tamat dalam tempoh PKP ini, HM turut akan memanjangkannya dengan tambahan 30-hari, bermula hari terakhir PKP ini berkuatkuasa.

     
     
  • Proton pindah fungsi streaming muzik online ke Joox – tawar 30 juta lagu percuma, OTA bermula 27 Mac

    Proton pindah fungsi streaming muzik online ke Joox – tawar 30 juta lagu percuma, OTA bermula 27 Mac

    Perhatian untuk pemilik Proton dengan sistem infotainmen “Hi, Proton”, jenama automotif nasional tersebut mengumumkan bahawa servis streaming muzik secara atas talian sistem berkenaan akan dipindahkan ke aplikasi Joox Music bermula 27 Mac ini, manakala aplikasi asal akan ditutup sepenuhnya pada tengah malam 31 Mac ini.

    Macam mana nak buat? Jangan risau, kerana proses ini tidak memerlukan anda ke mana-mana pusat 3S Proton kerana Proton akan melancarkan kemaskini over-the-air (OTA) bermula esok untuk Proton X70, Persona Premium, Iriz Premium dan juga Exora Premium.

    Anda boleh lakukan kemaskini sendiri ini di rumah dengan cara berikut:

    Setelah enjin dihidupkan, tetingkap kemaskini akan keluar secara automatik pada skrin selama 30 saat sekiranya ada perisian versi baharu untuk dikemaskini.Pilih[Go to upgrade] untuk memuat turun kemaskini. Jika anda tertekan butang [Cancel] secara tidak sengaja, anda boleh lakukan kemaskini manual dengan cara ini:[Settings]> [System]> [GKUI XX.0]> [Update].

    Proton pindah fungsi streaming muzik online ke Joox – tawar 30 juta lagu percuma, OTA bermula 27 Mac

    Selepas butang [Go to upgrade] dipilih, sistem akan mula memuat turun pakej MPU secara automatik

    Proton pindah fungsi streaming muzik online ke Joox – tawar 30 juta lagu percuma, OTA bermula 27 Mac

    Selepas pakej dimuat turun, sila pilih [Update now], kemudian pilih [Confirm update] untuk mengemaskini sistem berkenaan. Skrin anda akan restart secara automatik apabila proses tersebut lengkap. Jangan matikan enjin sehingga kemaskini berkenaan benar-benar lengkap.

    Proton pindah fungsi streaming muzik online ke Joox – tawar 30 juta lagu percuma, OTA bermula 27 Mac

    Akhir sekali, pilih ikon [Settings] pada homepage setelah proses kemaskini lengkap, dan pilih [Restore factory settings]. Pilih [Restore] pada bahagian atas tetingkap untuk proses restart skrin infotainmen anda. Selepas proses ini diingatkan bahawa semua data yang tersimpan termasuk tetapan peribadi anda (sistem offline Baidu, Bluetooth, dan radio) akan hilang.

    Proton pindah fungsi streaming muzik online ke Joox – tawar 30 juta lagu percuma, OTA bermula 27 Mac

    Untuk menggunakan aplikasi Joox Music, anda terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi tersebut ke telefon pintar anda, dan daftarkan akaun peribadi anda untuk aplikasi berkenaan. Selepas itu, buka aplikasi Joox Music pada skrin infotaiman Proton anda, dan scan kod QR pada telefon pintar anda untuk login kali pertama.

    Joox adalah platform streaming muzik secara online yang boleh digunakan secara percuma, dan ia menyediakan lebih dari 30 juta lagu dari pelbagai artis seluruh dunia. Seperti juga aplikasi sebelum ini, anda turut boleh menghasilkan playlist anda sendiri untuk dimainkan dalam kereta.

     
     
  • RM5.6j dikutip pada hari pertama kempen bayaran saman trafik e-payment sempena Hari Polis ke-213

    RM5.6j dikutip pada hari pertama kempen bayaran saman trafik e-payment sempena Hari Polis ke-213

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias mengesahkan sebanyak RM5.6 juta bayaran saman trafik berjaya dikutip pada hari pertama kempen pembayaran saman secara dalam talian (e-payment).

    Kempen sempena sambutan Hari Polis ke-213 yang dilaksanakan bermula 25 hingga 29 Mac tersebut mendapat sambutan menggalakkan kerana orang ramai akan menikmati diskaun saman sehingga 50% untuk saman-saman tertentu.

    “Orang ramai yang mempunyai tunggakan saman diminta mengambil peluang untuk membuat pembayaran saman secara dalam talian di rumah. Apabila kempen ini tamat, orang ramai perlu membayar saman mengikut kadar biasa yang telah ditetapkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya lagi, semua saman layak mendapat diskaun kecuali saman kemalangan tahun 2019 dan 2020, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat 2019 dan 2020, saman berstatus non compaundable, saman berstatus mahkamah, dan saman berstatus waran tangkap tahun 2019 serta 2020.

    Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April ini, semua kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis seluruh negara ditutup.

    “Justeru, dalam tempoh pelaksanaan PKP, semua urusan pembayaran saman hanya boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

     
     
  • Volkswagen, Audi promosikan iklan social distancing

    Di dalam masa-masa yang sukar seperti sekarang ketika berdepan Covid-19, pengeluar kenderaan juga tidak ketinggalan untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran umum melalui cara tersendiri. Volkswagen misalnya telah mengeluarkan satu iklan untuk menyampaikan mesej berkenaan.

    Dengan hanya melibatkan teks sahaja, mesej teras yang ingin dihebahkan adalah supaya semua orang mengekalkan jarak antara satu sama lain ketika ini, walaupun dalam krisis-krisis terdahulu, “kita berganding bahu dengan erat dan menjadi satu”. Huruf V dan W di dalam logonya juga dipisahkan sebagai simbolik kepada penjarakan sosial ini.

    Audi juga tidak ketinggalan menyampaikan mesej yang sama, di dalam video berasingan. Empat gelung pada logo ikonik Audi dipisahkan bagi membolehkan ada “jarak selamat” antara satu sama lain. Di dalam waktu yang mencabar dengan penularan wabak Covid-19 ini, ia telah menyebabkan banyak pengeluar kenderaan terpaksa menghentikan pengeluaran dan menutup kilang mereka.

    Keep Distance. Stay Together.

    Stay at home, keep your distance, stay healthy, support each other – we are in this together. As a global company and a global community, our highest priority is to identify any opportunities to #FlattenTheCurve. Stay safe.

    Posted by Audi USA on Jumaat, 20 Mac 2020

     
     
  • Peraturan lebih ketat dikenakan bagi fasa kedua PKP

    Peraturan lebih ketat dikenakan bagi fasa kedua PKP

    Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diperketatkan – sebaik memasuki minggu kedua – bagi memastikan Malaysia dapat mencapai matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 seberapa segera, lapor The Star.

    Ismail yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, dalam fasa pertama pelaksanaan PKP, orang ramai masih dibenarkan bergerak, walaupun dengan cara yang dihadkan. “Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah untuk merangka draf prosedur operasi standard (SOP) bagi fasa kedua PKP. Ini bakal menyaksikan peraturan lebih ketat dikenakan berbanding fasa pertama,” jelas beliau.

    Pengumuman berkaitan perkara ini bagaimanapun belum dilakukan lagi, dan menyatakan bahawa MKN akan membentengkan rancangan tersebut pada Sabtu ini, 28 Mac. Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa tempoh PKP seluruh Malaysia akan dilanjutkan hingga 14 April 2020. Fasa pertama PKP adalah dari 18-31 Mac ini.

     
     
  • UMW sahkan waranti Toyota dan Lexus anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    UMW sahkan waranti Toyota dan Lexus anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    Seperti yang diketahui, semua jaringan pengedar termasuk pusat servis bertauliah semua jenama-jenama automotif di Malaysia menutup operasi mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19. Jadi adakah ini akan menjejaskan waranti kenderaan anda sekiranya waktu servis sudah sampai ketika dalam tempoh PKP ini?

    Untuk dua jenama di bawah payung UMW iaitu Toyota dan Lexus, syarikat tersebut mengesahkan bahawa waranti pelanggan mereka yang berhadapan dengan situasi ini tidak akan terjejas. Malah, sekiranya ada waranti kenderaan pelanggan yang akan tamat dalam tempoh PKP ini, UMW turut akan memanjangkannya dengan tambahan 30-hari.

    UMW sahkan waranti Toyota dan Lexus anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    Tambahan tempoh waranti berkenaan diberikan pada “hari terakhir PKP”. Ini bermaksud ia tidak tetap pada 14 April ini, tetapi tertakluk kepada arahan selanjutnya yang akan dikeluarkan oleh kerajaan selepas ini.

    Menurut UMW lagi, semua kenderaan pelanggan yang sepatutnya perlu diservis sepanjang tempoh PKP ini akan dijadualkan semula oleh UMW Toyota dan Lexus Malaysia selepas tamat tempoh PKP berkenaan.

     
     
  • Geely hantar kunci kereta baru kepada pelanggan guna dron – tiada hubungan manusia jarak dekat

    Geely hantar kunci kereta baru kepada pelanggan guna dron – tiada hubungan manusia jarak dekat

    Bulan lepas Geely telah melancarkan sistem jualan atas talian yang dipanggil sebagai “satu penyelesaian lengkap untuk menempah kereta atas talian”, di mana orang ramai boleh memilih model kenderaan, spesifikasi, pakej pembiayaan serta insurans yang dimahukan. Kini, syarikat itu membawa sistem tersebut satu langkah ke hadapan lagi – pelanggan boleh memilih cara penghantaran tanpa sebarang hubungan jarak dekat dengan manusia.

    Untuk kereta itu sendiri, Geely memberitahu mereka boleh menghantarnya ke rumah pelanggan, selepas ia melalui proses pembersihan kuman yang menyeluruh manakala kunci pula akan diserahkan kepada pemilik menggunakan dron, sama ada di depan rumah ataupun beranda jika mereka duduk di rumah bertingkat.

    Proses ini dianggap berguna pada waktu jarak sosial ataupun interaksi terus antara manusia sedang menjadi langkah utama untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 sekarang. Cara penghantaran ini akan dimulakan di beberapa lokasi terpilih di China sebelum dikembangkan ke kawasan lain.

    Sejak platform jualan atas talian dibuka oleh Geely Februari lalu, lebih 10,000 pelanggan telah menempah dan membayar untuk kenderaan mereka melaluinya dan 110,000 lagi pengguna lain telah mendaftarkan minat untuk membeli kenderaan Geely dalam masa terdekat. Tempahan dan pendaftaran ini kemudiannya dihantar kepada pengedar berdekatan untuk diproses.

    Geely juga pada bulan lalu telah membuat pengumuman akan melaburkan 370 juta RMB (RM218 juta) untuk pembangunan “kenderaan pintar dan sihat”, dengan memasang sistem pemulihan udara pintar G-Clean (IAPS) yang boleh menapis partikel berbahaya serta penggunaan bahan antimicrobial pada kenderaan mereka. Model terawal yang menerima barangan ini adalah Icon, yang dilancarkan pada bulan lepas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026