Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GrabExpress sedia penghantaran barangan keperluan

    GrabExpress sedia penghantaran barangan keperluan

    Selain pilihan untuk ambil sendiri pesanan di restoran, Grab turut menawarkan perkhidmatan GrabExpress untuk menghantar barangan anda. Kerana, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini penting untuk dipatuhi oleh semua orang bertujuan mengekang penyebaran wabak Covid-19, maka ini mungkin satu lagi pilihan untuk memudahkan anda mengirim barang.

    Fungsinya sama sahaja ketika anda menggunakan GrabFood. Cuma, yang dihantar adalah barangan dan bukannya makanan dari restoran. Selain itu, pengguna boleh menjejak perjalanan penunggang Grab dalam masa nyata dan lebih menarik, setiap penghantaran dilindungi insurans sehingga RM500. Pelanggan hanya perlu memastikan yang saiz kiriman mereka perlu berada tak lebih daripada 43 cm x 43 cm x 43 cm maksimum. Berat pula tak boleh lebih daripada 10 kg.

    Upah asas yang dikenakan ialah RM3.60, dengan jarak enam km pertama akan dicaj 60 sen bagi setiap kilometer. Jarak enam ke 10 km berikutnya pula akan dikenakan 70 sen bagi satu kilometer. 10-20 km selepas itu, caj akan menjadi RM1 bagi setiap kilometer. Tambahan surcaj juga akan dikenakan bagi penghantaran yang dilakukan antara 11 pagi hingga dua petang dan enam petang hingga sembilan malam – kadarnya antara RM3-RM5, bergantung kepada situasi dan permintaan.

    “Bagi memudahkan anda ketika tempoh PKP dan penjarakan sosial yang dikenakan oleh kerajaan ketika ini, GrabExpress akan memastikan anda tetap boleh mengirim barang. Makanan yang dimasak di rumah, sanitiser dan lain-lain barangan yang penting boleh dihantar tanpa ada sentuhan melalui GrabExpress,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan Grab.

    Kepada semua, teruskan beri kerja sama untuk berada di rumah. Ini sumbangan paling kecil kita boleh lakukan ketika ini untuk membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak. Dan, kalau perlu keluar untuk urusan penting, hanya seorang wakil keluarga sahaja dibenarkan berbuat demikian.

     
     
  • Aston Martin bangunkan enjin 3.0L V6 sendiri – paling berkuasa pernah dihasilkan syarikat, lebih 700 hp

    Aston Martin bangunkan enjin 3.0L V6 sendiri – paling berkuasa pernah dihasilkan syarikat, lebih 700 hp

    Aston Martin telah pun mengeluarkan lebih lagi perincian tentang enjin V6 hibrid 3.0 liter baru yang dihasilkan sendiri oleh syarikat dan akan digunakan buat pertama kali pada supercar Valhalla dari tahun 2022. Enjin yang menggunakan nama kod TM01 (nama jurutera terkenal Aston Martin pada tahun 50-an, Tadek Marek) ini sudah pun melalui proses ujian dyno secara menyeluruh.

    Ia dilengkapi dengan sistem pengecas turbo, dan direka supaya boleh dipadankan dengan pelbagai sistem hibrid yang telah dibangunkan sekali bersamanya seperti hibrid ringkas dan juga plug-in hybrid. Ia juga adalah enjin pertama yang dibangunkan sendiri oleh Aston Martin sejak tahun 1968, dan akan menjadi enjin paling berkuasa Aston Martin, mengatasi enjin V12 5.2 liter 725 PS dan 900 Nm tork pada DBS Superleggera.

    Dalam satu kenyataan, Aston Martin memberitahu enjin ini boleh dibawa ke rpm lebih tinggi, dan apabila digabungkan dengan sistem hibrid, mampu menawarkan karekter prestasi sebuah kereta sports enjin tengah, pada kadar yang ekstrem. Ia akan diletakkan di belakang kabin pemandu dan dilengkapi dengan sistem takung minyak kering untuk merendahkan titik graviti. Ia juga boleh diletakkan di hadapan kenderaan dan mempunyai berat kurang daripada 200 kg.

    Aston Martin bangunkan enjin 3.0L V6 sendiri – paling berkuasa pernah dihasilkan syarikat, lebih 700 hp

    Selain daripada itu, tahap kuasa TM01 boleh diubah untuk “mengikut karekter setiap produk yang menggunakannya,” sekaligus memberikan gambaran beberapa model lain akan turut menggunakan enjin ini. Untuk tahap emisi, ia direka untuk melepasi standard emisi Euro 7.

    “Membuat pelaburan untuk pembangunan enjin sendiri adalah sesuatu yang sukar, tetapi pasukan kami telah bangun untuk menyahut cabaran ini. Pada masa hadapan, unit kuasa ini akan menjadi aspek penting kepada banyak perkara yang kami lakukan dan tanda awal yang ditunjukkan olehnya adalah sangat mengujakan,” kata CEO Aston Martin, Andy Palmer.

     
     
  • General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    Kilang-kilang pengeluar automotif seantero global kini banyak yang sudah tutup kerana pandemik Covid-19. Ia bukan sahaja untuk mengekang penularan wabak tersebut, malah bagi mengurangkan kerugian kerana jualan yang semakin merudum kerana situasi ekonomi yang semakin tidak menentu kerana Coronavirus ini.

    Jadi dengan pemberhentian operasi produksi kenderaan di kilang-kilang berkenaan, ada pengeluar yang mengambil inisiatif bagi menghasilkan peralatan untuk hospital untuk membantu usaha merawat pesakit-pesakit positif Covid-19 yang semakin hari semakin meningkat.

    Untuk jenama dari Amerika Syarikat, General Motors (GM), mereka telah mengumumkan kerjasama dengan pengeluar peralatan perubatan iaitu Ventec bagi menghasilkan alat bantuan pernafasan untuk kegunaan hospital-hospital di negara berkenaan bagi merawat pesakit-pesakit COVID-19, lapor New York Times.

    Kerjasama yang diberi nama ‘Project V’ ini akan memproduksi alat berkenaan di kilang GM yang terletak di Indiana. Sehubungan itu, GM telah mengaturkan 95% bekalan komponen yang diperlukan untuk menghasilkan alat tersebut, dan mereka kini sedang mencari lagi sumber untuk 37 komponen lain yang diperlukan, tulis satu email dari naib presiden GM untuk pembelian global, Shilpan Amin kepada pembekal-pembekal.

    General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    GM Kokomo Operations brought balers together in one central location to recycle a number of different materials more efficiently.

    Menurut sumber yang berkait rapat degan projek ini, kerjasama berkenaan mensasarkan untuk memproduksi sejumlah 200,000 alat bantuan penafasan itu.

    “Ventec Life System dan General Motors telah berusaha keras bagi mengimplementasikan rancangan untuk menghasilkan lebih alat bantuan pernafasan. Dengan sokongan GM, Ventec kini sedang merancang untuk meninggikan lagi produksi alat bantuan pernafasan berkenaan secepat yang mungkin,” kata jurucakap GM, Dan Flores.

    Kumpulan pertama komponen-komponen berkenaan akan dihantar oleh pembekal kepada GM pada 6 April, manakala produksi pembekal pula akan bermula ‘dalam masa lagi dua atau tiga minggu’, kata Amin dalam email tersebut. Walau bagaimanapun, bila GM akan memulakan operasi produksi alat berkenaan masih lagi belum jelas.

    Salah satu pembekal komponen automotif, Creative Foam Corp turut akan menyertai projek ini, dan telah pun mempunyai divisi khas untuk sektor perubatan, menurut laporan berkenaan. Syarikat swasta tersebut akan mula menghasilkan komponen berasaskan span untuk bagi sistem penapis udara alat bantuan pernafasan itu minggu ini.

    General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    The dispension of the battery slurry is done manually in gloveboxes.

    Syarikat yang berpangkalan di Minneapolis, Twin City Die Castings yang telah menandatangani kontrak dengan Ventec sembilan bulan lalu akan meningkatkan kapasiti komponen yang dihasilkan mereka kerana permintaan yang semakin meningkat. Sebelum ini Ventec hanya mensasarkan untuk memproduksi 150 alat bantuan pernafasan sebulan, dan selepas ini ia boleh meningkat kepada 20,000 sebulan.

    Selain GM, pengeluar automotif lain juga dilaporkan menghasilkan peralatan untuk perubatan di kilang mereka. Ford kini sedang menghasilkan topeng muka, begitu juga dengan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) sedang berusaha untuk memproduksi lebih dari sejuta topeng muka sebulan.

    Kapasiti produksi untuk pembuatan topeng muka tersebut akan dipasang di kilang mereka minggu ini, manakala operasinya akan bermula minggu hadapan. Menurut FCA, topeng muka ini akan terlebih dahulu didermakan kepada mereka yang memerlukan di seluruh Amerika Syarikat, Kanda dan Mexico.

    Manakala di Itali, FCA dan Ferrari kini sedang berbincang dengan pengeluar alat bantuan pernafasan terbesar di sana iaitu Siare Engineering bagi meningkatkan pengeluaran alat berkenaan.

     
     
  • PLUS tunda pelaksanaan RFID di semua plaza tol sistem tertutup di lebuhrayanya termasuk LPT2

    PLUS tunda pelaksanaan RFID di semua plaza tol sistem tertutup di lebuhrayanya termasuk LPT2

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terpaksa menunda tarikh pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan RFID di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijadualkan bermula pada 1 April yang akan datang. Syarikat konsesi ini mengambil keputusan tersebut demi keselamatan dan kesihatan kakitangannya serta pengguna lebuh raya. Oleh itu, semua ujian dan kerja progresif berkaitan sistem tersebut dihentikan sementara tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Semua persiapan untuk memastikan persediaan RFID di semua lebuh raya kendalian PLUS akan bersambung sejurus selepas tempoh PKP berakhir. Apabila siap kelak, semua 83 plaza tol sistem tertutup di lebuh raya PLUS dan 10 plaza tol di LPT2 akan dilengkapi dengan kemudahan pembayaran tol menggunakan RFID.

    “Di PLUS, kami percaya bahawa Perintah Kawalan Pergerakan merupakan langkah penting untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja kepada kakitangan kami malah kepada semua rakyat Malaysia daripada risiko Covid-19. Berdasarkan prinsipal ini, kami telah membuat keputusan untuk menjadualkan semula pelaksanaan pembayaran tol menerusi RFID di Lebuh raya PLUS dan LPT2 ke tarikh yang baru yang akan diumumkan selepas tempoh arahan ini selesai,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    PLUS juga ingin mengingatkan semua pengguna agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan dan terus berada di rumah bagi membendung penularan Covid-19, untuk keselamatan diri dan keluarga.

     
     
  • Mazda gantung operasi pengeluaran beberapa tempat

    Mazda gantung operasi pengeluaran beberapa tempat

    Disebabkan penyebaran wabak Covid-19 ketika ini, Mazda mengumumkan syarikat itu akan menyelaraskan pengeluaran di beberapa kemudahan kilangnya diseluruh dunia. Ini antaranya disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan peralatan dan komponen, angka jualan yang merudum serta ketidaktentuan pasaran di masa hadapan.

    Dalam satu kenyataan rasmi, pengeluar kenderaan dari Jepun itu akan menggantung pengeluarannya bagi tempoh 13 hari dan hanya akan beroperasi pada waktu siang bagi lapan hari sahaja di kilang Hiroshima serta Hofu bermula 28 Mac hingga 30 April 2020.

    Mazda juga berhasrat untuk memindahkan sebahagian daripada pengeluaran yang asalnya dirancang untuk tempoh berkenaan kepada suku kedua tahun kewangan syarikat yang berakhir pada Mac 2021. Ini akan dilanjutkan bergantung kepada perkembangan semasa. Dalam tempoh berkenaan, operasi pentadbiran bagaimanapun akan diteruskan seperti biasa.

    Bagi kemudahan yang berada di luar negara asal, Mazda de Mexico Vehicle Operation pula akan ditutup 10 hari bermula 25 Mac ini, sementara AutoAlliance (Thailand) akan menggantung pengeluarannya juga bagi tempoh 10 hari, bermula dari 30 Mac.

    Syarikat itu bagaimanapun akan meneruskan operasi jualannya di Jepun dan China, tetapi akan mengambil lankah berjaga-jaga dan mematuhi perintah dan dasar tempatan serta mengambil usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan.

     
     
  • Kualiti udara di India bertambah baik serta merta selepas sekatan pergerakan kerana wabak COVID-19

    Kualiti udara di India bertambah baik serta merta selepas sekatan pergerakan kerana wabak COVID-19

    Atas arahan sekatan pergerakan oleh kerajaan India untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan kenderaan tidak lagi berlegar di atas jalan raya serta kebanyakkan kilang perlu dihentikan dari beroperasi, Indeks Kualiti Udara (AQI) negara berkenaan bertambah baik secara serta merta, lapor Reuters.

    Aliran trafik di kota New Delhi mula lengang pada pagi Ahad lalu apabila perdana menteri India, Narendra Modi meminta rakyatnya untuk duduk di rumah secara sukarela, sebelum sekitar 75 daerah di negara berkenaan telah diberikan arahan untuk sekatan pergerakan mandatori bermula semalam.

    India tersenarai dalam 50 negara dengan kualiti udara paling teruk di dunia tahun lalu oleh IQAir di mana di New Delhi sendiri mencatatkan bacaan AQI tidak sihat pada kadar 161 pada hari biasa. Walau bagaimanapun, semalam bacaan AQI di bandaraya tersebut mencatatkan bacaan sekitar 93 yang boleh dikategorikan sebagai sederhana.

    Manakala di Mumbai pula, AQI yang biasanya memberikan bacaan harian purata 153 pada Mac tahun lalu, menunjukkan penurunan mendadak sehingga 90 semalam, tulis laporan ini.

    “Sebab utama (penurunan ini) adalah kerana aliran trafik yang turun mendadak,” kata Dr. Gufran Beig, pengarah projek di agensi pemantau alam sekitar SAFAR. Reuters turut melaporkan bahawa bangunan pencakar langit yang sebelum ini diselubungi kabut kini mula jelas kelihatan, dan ada juga penduduk menyatakan bahawa mereka dapat melihat bintang dengan lebih banyak di waktu malam.

    Sehingga semalam, India mencatatkan sekurang-kurangnya 341 kes positif COVID-19, di mana tujuh daripadanya telah disahkan meninggal dunia. Manakala laporan kajian yang diterbitkan oleh Lancet Planetary Health menyatakan bahawa 1.24 juta orang telah terkorban di India sehingga tahun 2017 kerana pencemaran udara.

     
     
  • Perodua perkenal minyak transmisi automatik baru

    Perodua telah memperkenalkan minyak transmisi automatik (ATF) baru untuk digunakan pada kenderaan mereka, dan ia boleh didapati di pusat servis berdaftar serta stokis terpilih di dalam negara.

    Minyak yang mempunyai spesifikasi D3-SP ini boleh digunakan pada semua kenderaan Perodua, termasuk Axia, Bezza, Myvi, Alza dan Aruz. Dua versi berbeza minyak ini ditawarkan, dengan satu daripadanya khas untuk Aruz kerana itu adalah satu-satunya model pacuan roda belakang keluaran Perodua.

    Menurut Perodua, formula baru dalam minyak ini mampu memberikan “prestasi klac unggul dengan anti getaran” dan “pemindahan kuasa tinggi dengan penjimatan bahan api yang dipertingkat,” sekaligus memberikan prestasi pemanduan yang lebih baik kepada pengguna. Buat masa sekarang, kami masih belum mendapat perincian tentang harganya, tetapi nanti akan dikemas kini.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Feb 2020 susut 5.3%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Feb 2020 susut 5.3%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Februari 2020. Sebanyak 40,403 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan pada bulan lalu, menyaksikan penyusutan sebanyak 5.3% atau kurang 2,249 unit berbanding 42,623 unit yang dicatatkan pada Januari lalu.

    MAA berkata, penyusutan jualan ini disebabkan penangguhan pelancaran model baharu dan juga sentimen pengguna terhadap impak negatif COVID-19.

    Angka bagi tahun-ke tahun untuk Februari 2020 ini pula dilihat lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu sebanyak 590 unit, atau lebih 1.5% berbanding 39,813 unit yang dicatatkan pada Februari 2019.

    Untuk bulan Mac ini pula, MAA menjangkakan jumlah jualan akan lebih rendah, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung sehingga 31 Mac ini, di mana semua bilik pameran, pejabat JPJ dan pusat pemeriksaan Puspakom ditutup sepanjang tempoh tersebut.

     
     
  • MG ZS EV dilihat di Malaysia – bakal dijual Mei ini

    MG ZS EV dilihat di Malaysia – bakal dijual Mei ini

    Model MG ZS EV telah pun kelihatan di Malaysia baru-baru ini, namun ia masih menanti masa yang lebih sesuai untuk dilancarkan di negara ini. Foto SUV elektrik ini adalah ihsan daripada Humaizi Bahri menerusi entrinya di Facebook. Difahamkam, SUV segmen-B ini sedang menanti kelulusan JPJ dan dijangka akan diperkenalkan pada Mei ini. Walau bagaimana pun, dengan penularan wabak pandemik COVID-19, tidak diketahui adakan perancangan ini bakal dilaksanakan mengikut jadual mahu pun ada penangguhan.

    SUV berkenaan akan dijual oleh MG Berjaya, berdasarkan penjanjian yang dimeterai pada Januari 2019 antara Berjaya dan SAIC Motor Passenger Vehicle Co (SMPV) dari China yang membangunkan, memasang dan menjual semua kenderaan MG, serta akan menguruskan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia.

    Sebagai permulaan bagi pengenalan ini, bilik pameran pertama MG Berjaya di negara ini akan berlokasi di Plaza Berjaya, Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Unit yang dipaparkan menerusi foto ini adalah model contoh CBU dari China, dan seperti yang kita ketahui, MG ZS yang akan dijual di negara ini ditawarkan dengan varian tunggal, tidak dipastikan sama ada ia bakal memasuki negara ini sebagai model CKD atau pun CBU.

    Harganya juga belum dipastikan, tapi ada perkhabaran mengatakan ia mungkin akan lebih murah berbanding Nissan Leaf, yang bernilai RM189k.

    Di Thailand, model berkenaan telah diperkenalkan pada Jun tahun lalu dan dijual pada harga 1.19 juta baht (RM160,000). ZS EV dijanakan oleh motor elektrik dengan output 150 PS dan 350 Nm, dan dikuasakan oleh bateri lithium-ion 44.5 kWh (yang ditempatkan di bawah lantai kereta), dan SUV ini dianggarkan mampu dipacu sehingga 335 km (mengikut kitaran NEDC) dalam pengecasan penuh.

    Pengecasannya menggunakan MG Home Charger – pada kadar AC sekitar 6.6 kW – mengambil masa sekitar 6.5 jam untuk bateri dicas penuh, sementara dengan pengecas pantas DC pula, mengambil masa 30 minit untuk 80% pengecasan. Terdapat dua port pengecasan (CCS dan Type 2) yang tersembunyi di bawah lencana MF di bahagian hadapan.

    Spesifikasi untuk model pasaran Thailand termasuklah bumbung kaca panoramik, lampu (projektor halogen) dan bilah pengelap cermin automatik, tempat duduk material upholstery kulit dengan larasan kuasa bagi tempat duduk hadapan (enam-hala untuk pemandu, dan-hala untuk penumpang). Selain itu, ia turut didatangkan dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, skrin sesentuh tengah lapan-inci, dan paparan pelbagai-info berwarna, sistem penapis udara PM 2.5 dan sistem kawalan suara I-Smart ciptaan pengeluar kereta tersebut.

     
     
  • PDRM bagi diskaun 50% untuk kempen bayar saman trafik secara e-payment mulai 25 hingga 29 Mac ini

    PDRM bagi diskaun 50% untuk kempen bayar saman trafik secara e-payment mulai 25 hingga 29 Mac ini

    Sempena peringatan Hari Polis yang ke-213, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik (JSPT) telah melancar kempen bayaran saman secara e-payment bermula 25 hingga 29 Mac ini. Kempen in turut menawarkan pemberian diskaun sebanyak 50% bagi saman-saman tertentu.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias, kempen ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membayar saman secara e-payment berikutan penutupan kaunter bayaran saman di seluruh negara sejak 18 Mac lalu.

    Kempen bayaran saman secara e-payment ini juga merupakan langkah JSPT bagi menggalakkan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan secara menyeluruh pada ketika ini.

    Pembayaran saman menerusi kaedah e-payment ini boleh dilakukan melalui laman sesawang www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

     
     
  • Semua video MotoGP diberikan percuma sementara perlumbaan ditangguh – tiada bayaran langganan

    Semua video MotoGP diberikan percuma sementara perlumbaan ditangguh – tiada bayaran langganan

    Selain siaran perlumbaan secara langsung melalui stesen televisyen, MotoGP juga ada menyediakan pelbagai lagi video melalui laman web mereka. Walaubagaimanapun, ia hanya boleh ditonton selepas anda melanggan MotoGP VideoPass pada harga tertentu bergantung kepada tempoh yang dimahukan.

    Sekarang, sementara perlumbaan masih lagi ditangguh akibat daripada perintah kawalan pergerakan bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19, MotoGP memberikan akses kepada semua video ini secara percuma kepada orang ramai. Sekiranya anda peminat perlumbaan motosikal, ini pastinya merupakan sedikit berita gembira di waktu suram.

    Anda bukan sahaja boleh menonton ulangan perlumbaan dari tahun 1992 hingga Qatar 2020, tetapi juga pelbagai lagi video istimewa seperti dokumentari, temu ramah khas, sorotan waktu-waktu bersejarah, keadaan di sebalik perlumbaan serta pelbagai lagi.

     
     
  • KTMB henti sementara perkhidmatan tren antara negeri dan bandar mulai 25 Mac hingga PKP selesai

    KTMB henti sementara perkhidmatan tren antara negeri dan bandar mulai 25 Mac hingga PKP selesai

    Semalam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan akan menghentikan sementara beberapa perkhidmatan tren antara negeri dan bandar mulai hari ini, 24 Mac. Walau bagaimana pun, KTMB terpaksa menangguh langkah berkenaan dan mengambil keputusan untuk melaksanakannya mulai esok, 25 Mac. Ini untuk memberi keselesaan dan kemudahan buat para penggunanya yang telah pun membeli tiket perjalanan tren untuk hari ini.

    Menurut KTMB, langkah untuk menghentikan sementara beberapa perkhidmatan tren berkenaan adalah disebabkan perkembangan terbaharu wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Menurut CEO KTMB, Datuk Kamarulzaman Zaman, hanya dua perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan dua perkhidmatan KTM antara bandar akan beroperasi setiap hari, berbanding lapan sebelum ini.

    “Perkhidmatan Ekspress Rakyat Timuran, Ekspress Selatan dan Shuttle Tebrau dihentikan sepenuhnya sehingga tamat tempoh PKP. Operasi KTM Komuter pula akan dikurangkan kepada 49 perkhidmatan sehari bagi sektor Lembah Klang dan utara.

    KTMB henti sementara perkhidmatan tren antara negeri dan bandar mulai 25 Mac hingga PKP selesai

    “Tren Skypark Link antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang juga dikurangkan separuh kepada empat larian sahaja,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambahnya lagi, perkhidmatan beberapa tren masih perlu diteruskan setelah mengambil kira keperluan khusus seperti penghantaran bahan perubatan dan makanan.

    “Ia termasuklah pergerakan kakitangan pelbagai perkhidmatan penting yang terbabit dalam penguatkuasaan perintah ketika ini,” katanya.

    Beliau berkata, penumpang boleh membuat pindaan tarikh perjalanan di kaunter atau pembatalan tiket menerus laman sesawang, www.ktmb.com.my. Maklumat semasa juga boleh didapati di laman web berkenaan atau berhubung dengan Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200.

     
     
  • Petronas sumbang barangan serta bekalan perubatan berjumlah RM20 juta bagi bantu menentang Covid-19

    Petronas sumbang barangan serta bekalan perubatan berjumlah RM20 juta bagi bantu menentang Covid-19

    Petronas akan menyumbangkan barangan dan bekalan perubatan berjumlah RM20 juta bagi membantu hospital dan barisan hadapan untuk menentang virus Covid-19 yang sedang merebak sekarang di Malaysia. Sumbangan ini akan dibuat melalui Yayasan Petronas secara berperingkat, dengan kerjasama kementerian kesihatan (MoH) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Kedua-dua badan kerajaan ini akan menyampaikan barangan penting seperti ventilator, katil hospital, tilam, kamera pengimbas suhu, termometer digital, kit ujian virus, topeng muka dan kelengkapan perlindungan kepada hospital serta pusat kuarantin yang tertentu. Pembasmi kuman pula turut akan diberi kepada warga emas di pusat penjagaan tertentu.

    “Kami sangat berterima kasih kepada setiap pekerja kesihatan dan penguat kuasa yang bekerja keras untuk menentang penyebaran wabak Covid-19 ini. Mereka memerlukan segala bantuan yang boleh diberi, memandangkan sekarang terdapat lebih daripada seribu orang pesakit yang sedang dirawat,” kata CEO Yayasan Petronas, Lita Osman.

    Langkah terbaru ini mengikuti inisiatif Petronas Dagangan Berhad (PDB) sebelum ini yang menyumbangkan bekalan makanan serta minuman kepada pekerja perubatan di pusat pengimbasan Covid-19 Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

     
     
  • Ford gantung sementara operasi kilang produksi di India, Afrika Selatan, Thailand serta Vietnam

    Ford gantung sementara operasi kilang produksi di India, Afrika Selatan, Thailand serta Vietnam

    Semalam Ford Motor Co. telah mengumumkan penutupan sementara kilang produksi kenderaan dan enjin miliknya di India, Afrika Selatan, Thailand dan Vietnam sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19.

    Di India, penggantungan operasi kilang telah pun bermula sejak 21 Mac lalu, dan syarikat ini turut berkata, penutupan tersebut akan berterusan dalam tempoh beberapa minggu dan ia juga (penggantungan operasi) akan dibuat untuk pasaran lain.

    “Kami akan meneruskan langkah ini pada masa yang tepat dan mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan di semua kilang pengeluaran kami di pasaran antarabangsa,” ujar Presiden Kumpulan Pasaran Antarabangsa Ford Motor Co, Mark Ovenden seperti yang dilaportkan oleh Automotive News Eropah.

    Minggu lalu, Ford bersama General Motors dan Fiat Chrysler, telah menggantung sementara kilang produksinya di Amerika Utara disebabkan faktor risiko COVID-19 ini. Malahan kilang produksi di benua Eropah juga telah ditutup sementara disebabkan faktor yang sama.

     
     
  • Urusan perbaharui lesen memandu dan cukai jalan perlu dilakukan secara dalam talian sepanjang PKP

    Urusan perbaharui lesen memandu dan cukai jalan perlu dilakukan secara dalam talian sepanjang PKP

    Kementerian Pengangkutan telah menetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),
    semua perkhidmatan kaunter jabatan dan agensi di bawah kementerian terbabit iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak termasuk perkhidmatan JPJ di Pejabat Pos ditutup sepenuhnya sehingga 31 Mac 2020.

    Keputusan tersebut diambil selepas melihat kehadiran orang ramai ke kaunter jabatan/agensi yang tidak dapat dikawal serta tidak selari dengan PKP yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun. Justeru, pihak kementerian bersetuju untuk kekal dengan keputusan yang dibuat demi kepentingan semua pihak.

    Bagaimana pun, untuk tidak mendatangkan kesulitan terhadap orang ramai yang perlu memperbaharui lesen memandu atau Competent Driver’s License (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, semua proses pembaharuan hanya boleh dilaksanakan secara atas talian sepanjang tempoh PKP ini.

    Menurut kementerian terbabit, perkhidmatan ini boleh dibuat menerusi portal MySikap JPJ atau portal MyEG (hanya untuk perbaharui LKM). Orang awam yang tidak memiliki public/portal ID bagi mengakses portal MySikap JPJ, boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi portal MyEG.

    Orang ramai yang telah memperbaharui CDL/LKM menerusi kedua-dua portal tersebut sepanjang tempoh PKP ini juga tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkan lesen memandu/pelekat LKM secara fizikal. Sebaliknya bukti pembayaran yuran CDL/LKM menerusi portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti.

    Oleh yang demikian, orang ramai diminta untuk tidak tergesa-gesa atau resah bagi mendapatkan lesen memandu/pelekat LKM yang telah diperbaharui. Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan di sepanjang tempoh PKP sahaja. Orang ramai dikehendaki untuk mendapatkan pelekat LKM dan kad CDL sebaik sahaja perintah PKP ditarik semula.

    Selain itu, baru-baru ini, pihak Kementerian turut mengadakan konsultasi dan perbincangan bersama pihak Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful bagi mempermudahkan urusan orang ramai sepanjang tempoh PKP ini. Seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan hendaklah memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh PKP ini. Oleh itu, pembaharuan perlindungan insurans untuk kenderaan motor boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi portal-portal syarikat insurans yang berkaitan.

    Bagi sebarang aduan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghantar e-mel ke [email protected], atau WhatsApp ke 019-2907723. Hotline MOT : 1800-88-7723 (8am-6pm). Atau, boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010.

     
     
  • Prasarana hadkan waktu operasi esok hingga 31 Mac

    Prasarana hadkan waktu operasi esok hingga 31 Mac

    Selari dengan perkembangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, pengendali operasi rangkaian pengangkutan awam di ibu negara, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal melaksanakan waktu operasi terhad bagi semua perkhidmatannya bermula esok hingga 31 Mac 2020.

    Semua rangkaian perkhidmatan tren Rapid KL, termasuk LRT, MRT dan Monorail akan hanya beroperasi dari jam enam pagi hingga 10 pagi sebelum dihentikan, dan perkhidmatan akan disambung semula dari jam lima petang hingga 10 malam. Jadualnya adalah seperti berikut:

      Isnin hingga Jumaat

    • 6.00am – 7.00am : kekerapan setiap 30 minit
    • 7.00am – 9.00am : waktu puncak, kekerapan setiap 10 minit
    • 9.00am – 10.00am : kekerapan setiap 30 minit
    • 5.00pm – 7.00pm : waktu puncak, kekerapan setiap 10 minit
    • 7.00pm – 10.00pm : kekerapan setiap 30 minit
      Sabtu, Ahad dan cuti umum

    • 6.00am – 10.00am : kekerapan setiap 30 minit
    • 5.00pm – 10.00pm : kekerapan setiap 30 minit

    Prasarana hadkan waktu operasi esok hingga 31 Mac

    “Tidak ada perkhidmatan yang disediakan antara 10 pagi hingga lima petang. Tren terakhir akan beroperasi pada 10 malam, diikuti dengan penutupan semua stesen selepas itu,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan Prasarana.

    Bagi semua perkhidmatan bas henti-henti pula – termasuk Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Rapid Manjung, ia hanya akan beroperasi dari jam enam pagi hingga 10 pagi sebelum dihentikan, dan disambung semula pada jam lima petang hingga 10 malam.

    “Bagi lokasi semasa bas, pengguna boleh merujuk Bus Tracking Web App (hanya bagi tempoh PKP), sementara bagi pengguna Rapid Penang pula boleh memuat turun aplikasi Rapid Penang Journey Planner. Selain itu boleh juga menghubungi hotline untuk pertanyaan,” dipetik daripada kenyataan yang sama.

    Feri Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Rapid Ferry akan menggerakkan sebuah feri tunggal setiap jam antara enam pagi hingga 10 pagi dan antara lima petang hingga 10 malam. Prasarana menasihatkan agar orang awam yang ada keperluan untuk bergerak supaya merancang perjalanan mereka dan mematuhi PKP yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac nanti.

     
     
  • Semua pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup

    Semua pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup

    Mulai hari ini, semua pintu sempadan darat dan air antara Malaysia dan Thailand ditutup sementara kepada orang ramai. Perkara ini telah disahkan oleh Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin, yang berkata, ia berikutan langkah kerajaan Thailand melarang semua warganya dan warga asing keluar atau masuk ke negara itu. Ia juga adalah bagi pencegahan penularan wabak COVID-19.

    “Rakyat Thailand di Malaysia yang mahu pulang ke negara mereka hanya dibenarkan menggunakan laluan udara sahaja dan begitu juga rakyat Malaysia yang berada di sana. Arahan ini mula berkuatkuasa 6 pagi hari ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Lima pintu berkenaan adalah Sadao-Bukit Kayu Hitam (Kedah), Sungai Golok-Rantau Panjang (Kelantan), Wang Prachan-Wang Kelian (Perlis), Jeti Thammalang-Kuala Perlis (Perlis) dan Betong-Pengkalan Hulu (Perak). Bagaimanapun pergerakan barang masih dibenarkan melalui lima pintu sempadan yang wilayahnya bersempadan dengan Malaysia.

    Penutupan pintu sempadan yang dilakukan oleh Thailand ini turut melibatkan negara jirannya seperti Laos, Kemboja dan Myanmar. Bagaimana pun, tidak dimaklumkan sampai bila penutupan pintu masuk sempadan ini akan dilaksanakan.

     
     
  • Jerman minta pengeluar kereta tempatan pertimbangkan cadangan hasilkan peralatan perubatan

    Jerman minta pengeluar kereta tempatan pertimbangkan cadangan hasilkan peralatan perubatan

    Kerajaan Jerman telah meminta pengeluar kereta tempatan untuk mempertimbangkan pengeluaran kelengkapan perubatan seperti topeng muka atau ventilator bagi membantu menampung kekurangan bekalan keperluaan berkenaan pada saat penularan COVID-19 ini.

    Menurut laporan yang disiarkan Reuters, jurucakap kementerian ekonomi negara berkenaan berkata, syarikat pengeluar kereta perlu membuat keputusan ini sekiranya ia dilihat dapat membantu meningkatkan masalah kekurangan bekalan peralatan perubatan terbabit.

    Pada Jumaat lalu, Volkswagen berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas untuk melihat bagaimana ia dapat menggunakan percetakan 3D untuk membantu menghasilkan ventilator bagi kegunaan di hospital dan juga peralatan perubatan lain. Setakat ini, Volkswagen memiliki 125 unit pencetak 3D industrial yang sering digunakan untuk menghasilkan komponen bagi prototaip kenderaan. “Kami akan mula menghasilkan komponen berkenaan sebaik sahaja pasukan petugas kami menerima maklumat dan cara pembuatan yang diperlukan,” ujar jurucakap syarikat terbabit.

    Manakala di United Kingdom pula, beberapa konsortium kejuruteraan termasuk McLaren dan Nissan telah membangunkan prototaip vertilator kecemasan, dan sedang menunggu kelulusan untuk digunakan di hospital menjelang minggu hadapan.

    Di Itali pula, jenama Ferrari dan Fiat Chrysler Automobiles bersedia untuk membantu Siare Enginering, pengeluar ventilator terbesar di negara berkenaan, untuk meningkatkan pengeluaran peralatan berkenaan.

    Sementara itu, di China, BYD telah membina sebuah kilang baharu di Shenzhen, China untuk mengeluarkan topeng muka serta cecair pembasmi kuman.

     
     
  • Kerajaan wajibkan semua stesen minyak sediakan cecair pembasmi kuman untuk cegah COVID-19

    Kerajaan wajibkan semua stesen minyak sediakan cecair pembasmi kuman untuk cegah COVID-19

    Dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di Putrajaya sebentar tadi, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan semua pengendali stesen minyak supaya menyediakan cecair pembasmi kuman di premis mereka, lapor Astro Awani.

    Menurut menteri berkenaan, tindakan itu perlu diambil ekoran reaksi kepada kebimbangan orang ramai yang mencadangkan pihak stesen minyak untuk menggaji seorang pekerja khas untuk mengepam petrol.

    “Ïa (menggaji pekerja khas) adalah sukar untuk dilaksanakan, jadi kita wajibkan mereka (pengendali stesen minyak) menyediakan cecair pembasmi kuman.

    “Jadi orang ramai boleh menggunakan cecair itu sebelum memegang pam berkenaan,”tambah beliau lagi.

     
     
  • Pengangkutan awam hanya beroperasi 6-10 pagi, 5-10 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

    Pengangkutan awam hanya beroperasi 6-10 pagi, 5-10 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

    Menerusi sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya sebentar tadi, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pengangkutan awam hanya dibenarkan untuk beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, lapor Astro Awani.

    Menurut beliau, keputusan ini diambil ekoran laporan mengenai pengurangan jumlah penumpang yang menaiki kenderaan awam itu ketika waktu pejabat.

    Kata beliau keputisan itu diambil ekoran laporan mengenai pengurangan jumlah penumpang yang menaiki kenderaan awam itu ketika waktu pejabat.

    “Selain itu, penjarakan sosial satu meter juga sukar untuk dikawal dalam kenderaan pengangkutan awam,” katanya.

    Walau bagaimanapun, perkara ini tidak tertakluk untuk teksi dan e-hailing dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatan mereka. Namun pemandu untuk kedua-dua perkhidmatan ini perlu memakai topeng muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika beroperasi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026