Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Daihatsu Sirion dikemaskini di Indonesia – warna dan kit aero baharu, masih hanya 1.3L, RM55k-RM59k

    Daihatsu Sirion dikemaskini di Indonesia – warna dan kit aero baharu, masih hanya 1.3L, RM55k-RM59k

    Selepas diperkenalkan buat pertama kali di Indonesia pada tahun 2018, Daihatsu kini memdedahkan Sirion dengan berberapa kemaskini untuk pasaran berkenaan serentak dengan pelancaran adiknya, Daihatsu Ayla 2020 semalam.

    Untuk mereka yang masih belum mengetahui, Daihatsu Sirion di Indonesia ini bukanlah model yang dibangunkan di Jepun, sebaliknya ia adalah produk rebadge dari Perodua Myvi yang di bangunkan di Rawang, Selangor. Malah Sirion pasaran Indonesia ini juga diimport dari Malaysia dan bukan dipasang oleh Astra Daihatsu Motor.

    Tidak banyak perubahan yang diberikan untuk Sirion 2020, selain ditawarkan dengan warna baharu yang dipanggil Electric Blue dan Granite Gray Metallic, ia juga kini diberikan kit aero baharu yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi yang digelar pelindung batu, dan juga bahagian plat nombor pendaftaran belakang yang digelapkan.

    Sebenarnya kalau anda tengok dengan teliti, tiada apa yang baharu kerana kit aero yang ditambah ini adalah ciri standard untuk Myvi 1.5 High dan 1.5 AV untuk pasaran Malaysia. Untuk pengetahuan anda juga, tiada Sirion yang diberikan enjin 1.5L disini, tetapi hanya dijual dalam versi 1.3L dengan enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp/121 Nm bersama pilihan kotak gear sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

    Daihatsu Sirion dikemaskini di Indonesia – warna dan kit aero baharu, masih hanya 1.3L, RM55k-RM59k

    Untuk ciri lain, ia masih kekal sama seperti sebelum ini iaitu dibekalkan dengan rim 15-inci seiras Myvi 1.5L, dan juga kit kelengkapan yang setara dengan Myvi 1.3 Premium X – terdiri dari lampu LED, lampu kabus, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin.

    Bagi bahagian dalaman, skrin sesentuh untuk pemain audio utama kini telah ditingkat taraf bagi membolehkan ia menyokong fungsi hubungan mirrorlink kepada telefon pintar. Kelengkapan lain masih kekal dengan diberikan roda stereng dengan balutan kulit dan butang pelbagai fungsi, perehat kepala belakang boleh laras, kawalan penghawa dingin digital dan pengecas USB pada bahagian sisi pemandu.

    Untuk keselamatan, model ini menerima sistem ABS, EBD, VSC, pengingat pemakaian tali keledar belakang dan empat beg udara (dua hadapan, dua sisi). Walau bagaimanapun, Sirion tidak diberikan sistem start-stop enjin automatik Eco-Idle seperti Myvi 1.3 Premium X.

    Dengan kapasiti enjin lebih dari 1.2L, Sirion tidak layak untuk diklasifikasikan sebagai kereta hijau kos rendah (LCGC) Indonesia seperti Ayla. Dengan pertambahan berberapa kit juga menyebabkan harga Sirion naik sikit dari sebelum ini – model dengan transmisi manual dijual pada harga 200.1 juta rupiah (RM55k), manakala model automatik pula berharga 214.85 juta rupiah (RM59k).

    GALERI: Daihatsu Sirion di GIIAS 2018

     
     
  • PLUS tutup kaunter dan lorong tambah nilai di semua lebuhrayanya hingga 31 Mac, R&R masih dibuka

    PLUS tutup kaunter dan lorong tambah nilai di semua lebuhrayanya hingga 31 Mac, R&R masih dibuka

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan semua operasi kemudahan tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan dan lorong tambah nilai di semua plaza tol sistem tertutup dan sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya. Ia adalah bagi membendung penularan wabak Covid-19 selari dengan pelaksanaan ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ (RMO) yang telah pun memasuki hari ketiga dan berlangsung sehingga 31 Mac 2020.

    Penutupan sementara kemudahan tambah nilai ini merupakan strategi menjarakkan diri secara selamat untuk mengurangkan risiko jangkitan antara kakitangan di plaza tol dan pelanggan lebuh raya. Justeru, PLUS menasihatkan agar pengguna lebuh rayanya merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dengan menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal di pusat tambah nilai yang disediakan di seluruh negara.

    Kemudahan tambah nilai antaranya menerusi Kiosk Layan Diri (SSK) yang terdapat di 67 lokasi di kawasan rehat dan rawat terpilih, mesin ATM, stesen-stesen minyak terpilih, kedai serbaneka serta lain-lain lokasi di luar ekosistem lebuh raya.

    PLUS tutup kaunter dan lorong tambah nilai di semua lebuhrayanya hingga 31 Mac, R&R masih dibuka

    Dalam masa yang sama, PLUS turut memaklumkan semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuhrayanya pada ketika ini dibuka namun terhad kepada perkhidmatan jualan makanan dan minuman secara bungkus sahaja. Walau bagaimanapun, semua ruang makan di medan selera ditutup kepada orang ramai bagi mengelakkan pelanggan berkumpul.

    PLUS juga menasihatkan pengunjung yang berhenti untuk membeli makanan di R&R supaya beratur di dalam jarak satu meter di antara satu dan lain. Hanya seorang wakil dari setiap kenderaan dibenarkan untuk keluar membeli makanan dari gerai R&R bagi pihak penumpang yang lain.

    Manakala surau pula terpaksa ditutup daripada digunakan untuk bersolat biar pun sebelum ini PLUS ada memaklumkan ia dibuka dan pengunjung diminta membawa sendiri kelengkapan solat termasuk sejadah, dan telekung. Walau bagaimana pun, terkini, PLUS mengambil keputusan untuk menutup surau.

     
     
  • Puspakom gantung semua operasi dari 20-31 Mac

    Puspakom gantung semua operasi dari 20-31 Mac

    Untuk yang memerlukan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Puspakom, harap bersabarlah kerana
    agensi terbabit telah mengumumkan penutupan semua operasinya bermula hari ini, 20 hingga 31 Mac 2020.

    Ia adalah selaras dengan penutupan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tempoh yang sama, seperti mana yang diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan, di bawah Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

    Puspakom turut memaklumkan pelanggan yang telah membuat temujanji melalui MyPuspakom akan mendapat pulangan bayaran penuh secara automatik.

    Dalam tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan, diharap semuanya dapat mematuhi arahan supaya tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah atau pun kecemasan. Pihak polis juga mempertingkatkan rondaan ke serata tempat termasuk membuat sekatan jalan raya bagi mencegah orang ramai berada di luar terutamanya di tempat awam. Minta kerjasama semua untuk mematuhi arahan ini sekiranya tidak mahu Malaysia memasuki gelombang ketiga COVID-19 yang akan membuatkan situasi menjadi lebih parah.

     
     
  • Daihatsu Ayla facelift 2020 dilancarkan di Indonesia – kembar Axia disegarkan dengan harga bermula RM28k

    Daihatsu Ayla facelift 2020 dilancarkan di Indonesia – kembar Axia disegarkan dengan harga bermula RM28k

    Serentak dengan pengenalan Toyota Agya facelift 2020 di Indonesia, kembarnya di pasaran sama iaitu Daihatsu Ayla facelift 2020 turut sama diperkenalkan. Untuk kemaskini kali kedua ini, Ayla tampil dengan rupa lebih segar dan penambahan berberapa perincian baharu.

    Berbeza dengan kembarnya di Malaysia iaitu Perodua Axia yang hanya tampil dengan enjin 1.0 liter, Daihatsu Ayla (juga Toyota Agya) turut hadir dengan enjin 1.2 liter. Jika Agya hanya diberikan tiga varian berbeza, Ayla pula ditawarkan dengan lebih banyak pilihan varian.

    Ia dimulakan dengan versi asas 1.0 D dan 1.0 D+ yang dijana enjin yang sama seperti Axia iaitu 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder berkuasa 67 PS/89 Nm, dipadankan dengan hanya kotak gear lima-kelajuan manual. Varian enjin satu liter ini diteruskan dengan model 1.0 X dan 1.0 X Deluxe, di mana kedua-duanya hanya hadir dengan pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan sahaja.

    Daihatsu Ayla facelift 2020 dilancarkan di Indonesia – kembar Axia disegarkan dengan harga bermula RM28k

    Model 1.2 liter pula dimulakan dengan varian 1.2 X, meningkat ke model pertengahan 1.2 R, manakala versi tertinggi pula adalah 1.2 R Deluxe. Kesemua model 1.2 liter ini menerima enjin 3NR-VE empat-silinder yang menjana 88 PS/108 Nm, dan boleh dipilih dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Untuk bahagian luaran, nampaknya hanya model 1.2 liter sahaja yang menampilkan perubahan sedikit ketara. Ia terdiri dari bampar dengan rekaan lebih tajam, gril hadapan yang disentuh semula, dan juga kemasan lampu kabus yang lebih bersegi. Sementara untuk model-model 1.0 liter, rupa dengan lampu hadapan dan bampar yang lebih bulat masih lagi kelihatan sama.

    Dua varian tertinggi iaitu 1.2 D dan 1.2 R Deluxe menerima cermin sisi lipatan berkuasa, namun hanya Deluxe diberikan kit aero terdiri dari spoiler dagu hadapan, skirt sisi dan kemasan seakan diffuser pada bampar belakang. Kemaskini kali ini turut menampilkan rim aloi 14-inci baharu dimana model 1.2 R ke atas diberikan rim kemasan digilap manakala 1.0 X, 1.0 X Deluxe dan 1.2 X menerima rim kemasan kelabu gelap. Model 1.0 D dan 1.0 D+ masih kekal dengan rim besi.

    Daihatsu Ayla facelift 2020 dilancarkan di Indonesia – kembar Axia disegarkan dengan harga bermula RM28k

    Dalam kabin, sama seperti Ayla, Agya juga menerima sentuhan semula pada bahagian tengah papan pemuka. Model 1.2 X ke atas kini diberikan kawalan pendingin hawa digital pada kawasan tersebut, bersama pemain audio dengan skrin sesentuh di atasnya.

    Perubahan lain pada bahagian dalaman ini termasuk grafik baharu pada instrumen meter dan juga corak fabrik baharu untuk uphlosteri – kedua-duanya juga untuk model 1.2 X ke atas.

    Untuk keselamatan pula, kesemua Daihatsu Ayla diberikan dua beg udara, manakala model 1.2 R ke atas yang hadir dengan kotak gear automatik akan disertakan sekali dengan sistem brek ABS dan EBD. Model-model terpilih diberikan penderia parkir, manakala model yang hadir dengan skrin sistem audio turut akan dihubungkan dengan kamera undur.

    Dua warna baharu tampil pada model facelift 2020 ini iaitu Yellow Metallic dan Glittering Silver Metallic. Manakala lima lagi warna dari brosur sebelum ini iaitu Red Solid, Ultra Black Solid, Dark Grey Metallic, Icy White Solid dan Orange Metallic masih dikekalkan.

    Di Indonesia, Daihatsu Ayla adalah salah sebuah model yang dijual dalam segmen kereta hijau kos rendah (LCGC). Model kemaskini ini boleh dibeli pada harga bermula 101.65 juta rupiah (RM28,115) untuk model 1.0 D, manakala versi tertinggi 1.2 R Deluxe AT dijual pada harga 159.4 juta rupiah (RM44,055).

     
     
  • Honda City 2020 – India akan dapat enjin 1.5L i-VTEC NA dan bukannya 1.0L Turbo, Malaysia juga sama?

    Honda City 2020 – India akan dapat enjin 1.5L i-VTEC NA dan bukannya 1.0L Turbo, Malaysia juga sama?

    Honda City 2020 pertama kali muncul di Thailand pada bulan November tahun lalu, dan kemudiannya dilancarkan sebagai sebuah kereta di dalam kategori eco Phase 2. Model generasi sebelumnya tidak termasuk dalam kategori ini, di mana antara pesaingnya adalah seperti Nissan Almera dan Toyota Yaris Ativ.

    Bagi meletakkan model generasi kelima ini dalam kategori Phase 2 tersebut, Honda terpaksa menggunakan enjin petrol 1.0L turbo bagi memastikan ia dapat memenuhi beberapa peraturan yang telah ditetapkan seperti Euro 5, emisi CO2 bawah 100 g/km dan penggunaan bahan api tidak melebihi 4.3 liter setiap 100 km (23.25 km/l).

    Enjin 1.0L turbo yang digunakan pada Honda City 2020 pasaran Thailand mempunyai tiga silinder, DOHC dan mampu menghasilkan kuasa 122 PS serta 173 Nm tork pada antara 2,000 rpm hingga 4,500 rpm.

    Pada penghujung bulan ini, Honda City akan dilancarkan pula di India dan sudah ada beberapa laporan tempatan mendedahkan perincian varian yang bocor lebih awal. Ada enam varian semuanya, dua pilihan transmisi (MT dan CVT), serta enjin 1.5L NA i-VTEC dengan kuasa 121 PS. Pilihan tersebut dibuat mungkin kerana India tidak mempunyai kategori eco seperti Thailand.

    Sama juga dengan Malaysia, kita tidak mempunyai program kereta eco seperti Thailand, jadi agak selamat untuk membuat andaian pilihan enjin yang sudah biasa akan diberi pada City baru – sudah dijumpai diuji di Malaysia – ini apabila ia masuk pasaran nanti (1.5L i-VTEC CVT dan bukannya 1.0L Turbo).

    Selain daripada enjin petrol, City 2020 di India juga akan hadir dengan pilihan enjin diesel 1.5L i-DTEC seperti sebelum ini, tetapi dinaik taraf untuk menepati tahap emisi Bharat 6 (BS-VI) dan ditawarkan dengan pilihan transmisi manual serta CVT.

    GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

     
     
  • JPJ tutup perkhidmatan di kaunter mulai 20 Mac ini

    JPJ tutup perkhidmatan di kaunter mulai 20 Mac ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan penutupan semua perkhidmatan di kaunternya kepada orang ramai mulai 20 Mac ini sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

    Menerusi notis penutupan tersebut, JPJ memaklumkan, ia adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi sepanjang tempoh dua minggu, dari 18 hingga 31 Mac ini bagi mencegah ancaman wabak COVID-19.

    Pada 17 Mac lalu, JPJ telah memaklumkan pembukaan kaunter perkhidmatan di cawangannya (kecuali di UTC) dibuka seperti biasa. Namun demikian, setelah mendapati kaunter-kaunter JPJ telah menjadi tempat orang ramai berkumpul, iaitu bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, keputusan penutupan tersebut terpaksa diambil

    Justeru, orang ramai yang ingin membuat sebarang pertanyaan lanjut, diminta hubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara di talian 03-88882010. Walau bagaimana pun, segala info terkini juga akan disiarkan menerusi laman media sosial rasmi JPJ dari semasa ke semasa

     
     
  • Toyota Agya facelift 2020 kini dilancarkan di pasaran Indonesia – model 1.2 TRD dijual pada harga RM46k

    Toyota Agya facelift 2020 kini dilancarkan di pasaran Indonesia – model 1.2 TRD dijual pada harga RM46k

    Kembar Perodua Axia di Indonesia (selain Daihatsu Alya) iaitu Toyota Agya kini sudah masuk satu lagi fasa facelift. Ia kini bukan sahaja diberikan berberapa ciri baharu, malah hadir dengan gaya yang disegarkan.

    Agya hadir dengan tiga varian untuk pasaran berkenaan, bermula dengan versi asas 1.0 G, dan istimewa untuk varian pertengahan dan tertinggi, ia dijana oleh enjin 1.2 liter iaitu dalam versi 1.2 G dan 1.2 G TRD.

    Model paling rendah digerakkan dengan enjin sama seperti Perodua Axia disini, dibekalkan dengan enjin 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder berkuasa 67 PS/89 Nm. Manakala untuk versi 1.2 liter, Agya menerima enjin empat-silinder Dual VVT-i berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 108 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Toyota Agya facelift 2020 kini dilancarkan di pasaran Indonesia – model 1.2 TRD dijual pada harga RM46k

    Berbanding model sebelum ini, Agya diberikan bampar hadapan yang direka semula dengan elemen rekaan seperti SUV segmen-B Toyota Raize, tetapi masih mengekalkan lampu kabus berbentuk bulat. Di belakang, kluster lampu masih lagi nampak sama, tetapi grafiknya telah direka semula menampilkan jalur LED berbentuk-L.

    Untuk versi TRD, Agya diberikan tambahan kit badan yang terdiri dari spoiler hadapan tambahan, skirt sisi dan lips tambahan pada bampar belakang, bersama serlahan jalur-jalur merah dan juga pelekat badan TRD berhampiran tiang-A. Model tertinggi ini juga dilengkapkan dengan cermin sisi lipatan berkuasa.

    Kesemua model hadir dengan rim aloi 14-inci, namun untuk model TRD, rim saiz sama diberikan tetapi hadir dengan elemen rekaan “gaya kipas” dengan kemasan akhir yang digilap. Tujuh warna ditawarkan untuk Agya facelift ini iaitu merah, oren metalik, kuning, putih, perak metalik, kelabu metalik dan hitam.

    Toyota Agya facelift 2020 kini dilancarkan di pasaran Indonesia – model 1.2 TRD dijual pada harga RM46k

    Pada bahagian dalaman pula perubahan yang boleh dilihat adalah pada bahagian konsol tengah di mana untuk veris 1.2 G dan 1.2 TRD ia menerima paparan dan kawalan pendingin hawa baharu. Versi 1.2 TRD pula lebih istimewa kerana dibekalkan dengan skrin sesentuh untuk sistem audio serta butang penghidup enjin. Kesemua varian hadir standard dengan dua beg udara dan cagak tempat duduk Isofix di belakang.

    Di Indonesia, Toyota Agya adalah salah sebuah model yang dijual dalam segmen kereta hijau kos rendah (LCGC). Model kemaskini ini boleh dibeli pada harga bermula 143.8 juta rupiah (RM39,351) untuk varian 1.0 G lima-kelajuan manual sehingga 169.29 juta rupiah (RM46,344) untuk versi tertinggi 1.2 TRD dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Dikhabarkan selepas ini Daihatsu Alya juga bakal menerima facelift sekali lagi seiring apa yang diterima oleh Agya ini. Jadi bagaimana? Lawa lagi Axia facelift dengan Axia Style, atau ada yang dah geram nak convert Agya TRD?

     
     
  • Maybank, Hong Leong Bank, AmBank, CIMB, Public Bank tawarkan penangguhan bayaran pinjaman

    Maybank, Hong Leong Bank, AmBank, CIMB, Public Bank tawarkan penangguhan bayaran pinjaman

    Penularan wabak coronavirus semakin memberi kesan kepada ekonomi negara dan beberapa bank tempatan mula menawarkan bantuan kewangan kepada mereka yang terlibat. Pada bulan Februari lepas lagi, Maybank dan Hong Leong Bank telah mengumumkan mereka bakal menawarkan servis yang termasuk penstrukturan semula serta penjadualan semula pembiayaan, serta penangguhan bayaran pinjaman sehingga enam bulan.

    Maybank secara khususnya berkata bahawa langkah bantuan yang diberikan, antaranya kepada individu yang mempunyai perjanjian sewa beli akan diberi bergantung kepada kes. “Sekiranya situasi berterusan, bank akan mempertimbangkan kemungkinan melanjutkan lagi penangguhan bayaran serta bantuan kewangan ini lebih lama,” kata presiden kumpulan dan CEO, Datuk Abdul Farid Alias.

    AmBank juga mengumumkan penangguhan bayaran semula sementara kepada pelanggan yang terlibat (serta kelulusan 24 jam), dan kemudiannya disertai oleh CIMB serta Public Bank melalui program hampir sama semalam. Bank lain juga mungkin sudah melaksanakannya atau mengeluarkan pengumuman dalam masa terdekat ini.

    Sepanjang tempoh arahan kawalan pergerakan ini, bank masih lagi dibuka seperti biasa tetapi pelanggan disarankan mengikut langkah berjaga-jaga yang telah ditetapkan seperti kerap membasuh tangan, menjarakkan diri dan mengelakkan pertemuan berhadapan. Sudah tentu, urusan atas talian adalah lebih baik.

     
     
  • Kia Sorento 2021 didedah sepenuhnya – lebih banyak teknologi, keselamatan dan penjana kuasa elektrifikasi

    Kia Sorento 2021 didedah sepenuhnya – lebih banyak teknologi, keselamatan dan penjana kuasa elektrifikasi

    Walau pun Geneva Motor Show 2020 terpaksa dibatalkan kerana penularan wabak pandemik COVID-19, ini tidak menghalang Kia daripada mendedahkan sepenuhnya model Sorento 2021. SUV generasi ke-empat ini asalnya dijadualkan didedahkan pada 3 Mac lalu, namun terpaksa ditunda.

    Sorento baharu ini menggunakan platform crossover saiz sederhana N3 ciptaan Kia yang terkini dan turut mengaplikasikan campuran material keluli dan aluminium untuk binaannya, di samping peratusan Keluli Ketahanan Tinggi Termaju dan keluli ‘hot-stamped’, berbanding model sebelumnya. Ia memiliki ketegaran 12.5% lebih tinggi dan kerangka badan 54% (5.6%) lebih ringan berbanding model lama.

    Ia juga besar sedikit berbanding dahulu; 10 mm lebih panjang – kini 4,810 mm, 1,900 mm lebar dan 1,695 mm tinggi. Untuk jarak roda juga telah dipanjangkan lebih kurang 35 mm, kini dengan 2,815 mm. Selain itu terdapat juga pertambahan 30 mm di bahagian tiang-A.Overhang pula lebih pendek, membuatkan rupa SUV ini nampak lebih premium.

    Seperti yang boleh dilihat, Sorento baharu ini memiliki rekaan yang lebih menyerlah berbanding model semasa. Ia menampilkan garisan yang lebih tajam dan permukaan yang lebih berlekuk, paling jelas di bahagian belakang.

    Kia Sorento 2021 didedah sepenuhnya – lebih banyak teknologi, keselamatan dan penjana kuasa elektrifikasi

    Untuk bahagian hadapan, kelihatan gril “hidung harimau” dengan bentuk-U di dalamnya, melunjur ke lampu utama yang lebih nipis dengan projektor LED. Kesan ini lebih menyerlah dengan kehadiran jaluran krom penuh dan lampu nyalaan siang “mata harimau” berbentuk-L. Ditambah pula dengan corong udara di tengah yang lebih besar dan juga hujung bampar berbentuk-L.

    Manakala bahagian sisinya pula kelihatan garisan yang melengkung yang membaluti sehingga ke hujung hadapan dan belakang, dan di bawahnya pula terdapat tetulang krom pada fender hadapan dan pintu. Di sepanjang garisan itu, terdapat krom “sirip jerung’ pada pintu belakang, sementara cermin pintu pula diasingkan dari tiang-A untuk imej yang lebih bersih dan premium.

    Pada sudut belakang pula merupakan bahagian yang paling radikal untuk model ini, dengan rekaan tailgate yang lebih menyerlah. Empat lampu belakang menegak pula menampakkan iras umpama Ford Mustang, dan keselurahan gayanya diserikan dengan bampar hitam yang besar dan beberapa corong palsu.

    Di dalamnya pula, kelihatan pandangan yang lebih luas, termasuk papan pemuka melintang yang seakan mengambil ilham daripada Mercedes-Benz. Paling menonjol dengan panel paparan besar, dengan perumah skrin sesentuh tengah berukuran sehinga 10.25-inci, serta didatangkan juga dengan paparan instrumen digital 12.3-inci. Di sampung itu, ia juga menampilkan paparan bagi kawalan termasuk untuk kawalan suhu.

    Kia Sorento 2021 didedah sepenuhnya – lebih banyak teknologi, keselamatan dan penjana kuasa elektrifikasi

    Model Eropah ini didatangkan dengan telematik UVO Connect dengan servis Kia Live bagi informasi trafik secara langsung, ramalan cuaca, informasi parkir dan sebagainya. Pengguna juga boleh menghantar lokasi yang mahu dituju kepada sistem kereta sebelum bertolak. Sistem infotainmen pula membolehkan Bluetooth disambungkan ke dua telefon secara serentak, membuatkan setiap satu unit peranti tersebut boleh digunakan untuk membuat panggilan dan satu lagi memainkan muzik.

    Sorento ini juga menawarkan pengecasan telefon pintar tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, lapan corong udara menegak, konsol tengah yang tinggi, pemilih gear rotari umpama Jaguar, dan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, seperti Mercedes. Kia turut memberikan kualiti material yang dipertingkatkan untuk kabin dalaman, dengan kemasan italik, permukaan efek satin timbul dan juga kulit Nappa.

    Kia turut berkata Sorento memiliki dimensi yang lebih besar dan memberikan ruang yang lebih luas untuk penumpang dan juga muatan kargo. Ia juga memiliki ruang kaki untuk barisan pertama dan kedua yang lebih selesa dan juga lebih ruang kepala untuk barisan ketiga. Sebagai tambahan untuk konfigurasi lima dan tujuh-tempat duduk, Sorento juga buat pertama kalinya menawarkan formasi enam-tempat duduk dengan dua-tempat duduk individual pada barisan kedua.

    Ruang bagasi juga dipertingkatkan sebanyak 32%, sehingga 187 liter. Untuk Sorento baharu ini juga buat pertama kalinya menampilkan penjana kuasa elektrifikasi, justeru model hibrid baharu ini menempatkan bateri di bawah tempat duduk penumpang hadapan, berbanding di bawah lantai but – sekaligus meminimakan penggunaan ruang but sebanyak 179 liter. Apabila tempat duduk barisan ketiga dibaringkan, kapasiti kargo dipertingkatkan menjadi 821 liter (910 liter untuk model lima-tempat duduk).

    Kia Sorento 2021 didedah sepenuhnya – lebih banyak teknologi, keselamatan dan penjana kuasa elektrifikasi

    Bagi aspek keselamatan, Sorento diberikan sistem bantuan pemandu sepenuhnya, termasuklah brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan trafik yang akan datang, pemantauan titik buta dengan pengelak pelanggaran dan brek trafik lintasan belajang, pengesan isyarat trafik, kawalan kelajuan adaptif berdasarkan navigasi dengan fungsi stop/go, bantuan kekal lorong, amaran perhatian pemandu dan Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA).

    Sorento juga menjadi model pertama Kia di Eropah yang didatangkan dengan Bantuan Parkir Pintar Kawalan Jauh (RSPA), yang membolehkan kereta dipandu masuk dan keluar dari petak parkir menggunakan key fob, brek sendiri apabila mengesan kereta lain, penunggang basikal atau pejalan kaki. Lain-lain ciri yang ditampilkan termasuklah amaran pintu dibuka, brek sendiri untuk parkir secara undur dan lapan beg udara, termasuk beg udara tengah baharu yang diletakkan di antara tempat duduk hadapan.

    Turut ditawarkan ialah Pemantauan Pandangan Sekliling, yang membolehkan pengguna untuk memantau sekeliling kereta menerusi telefon pintar, sama seperti BMW. Selain itu, sistem brek pelbagai-pelanggaran baharu juga diberikan iaitu brek akan berfungsi terus selepas beg udara keluar, menggurangkan pelanggaran seterusnya yang lebih teruk.

    Pasaran Eropah dan Korea juga akan menawarkan dua pilihan enjin Smartstream. Pilihan pertama ialah 2.2 liter empat-silinder turbodiesel, dengan blok aluminium yang mampu menjimatkan 19.5 kg berbanding model semasa yang menggunakan blok cast iron. Ia menghasilkan kuasa hingga 202 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, dengan padanan transmisi dwi-klac kering lapan-kelajuan baharu, di mana ia dikatakan antara dua ke tiga peratus lebih menjimatkan berbanding automatik konvensional.

    Pilihan lain adalah untuk model hibrid juga akan ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat, dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo T-GDi petrol dengan hamburan kuasa 180 PS pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rom. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan bersama gandingan motor elektrik yang menambah lagi 60 PS dan 265 Nm, secara keseluruhan output 230 PS dan 350 Nm. Motor elektrik berkenana dikuasakan oleh bateri lithium-ion 1.49 kWh.

    Pasaran Korea dan Amerika juga menerima pilihan enjin petrol 2.5 liter turbo dengan suntikan terus bahan api, bersama kuasa 281 PS dan 421 Nm serta padanan DCT lapan-kelajuan. Varian plug-in hybrid pula akan didedahkan hujung tahun ini.

    Telah mula menggunakan platform monocoque sejak generasi kedua, Kia turut mendakwa, Sorento ini mampu memberikan pengendalian yang lebih selesa dan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan, hasil suspensi ‘fully-independent’ yang disemak sepenuhnya.

    Ia turut menampilkan komponen baharu dan siri geometri yang diubah, termasuk struktur suspensi, dengan meminimakan kesan permukaan yang kurang sempurna, mengurangkan bunyi bising dan getaran serta mempertingkatkan kawalan badan dan maklumbalas stereng ketika di selekoh. Jarak roda yang lebih panjang juga membantu pengendalian yang lebih sempurna, sementara kerangka badan juga lebih tegar – dengan empat peratus peningkatan penggunaan keluli tegangan tinggi – sekaligus mengurangkan NVH.

    Model ini juga menawarkan pilihan sistem pacuan semua-roda dengan Terrain Mode baharu bagi penatapan laluan berlumpur, bersalji dan berpasir. Sistem ini akan melaraskan kawalan kestabulan, pengedaran tork antara kesemua empat roda dan penukaran transmisi yang membantu jentera ini mencari serta mengekalkan cengkaman ketika melalui permukaan jalan yang licin.

     
     
  • Suzuki Swift Sport 2020 ditawar dalam versi hibrid

    Suzuki Swift Sport 2020 ditawar dalam versi hibrid

    Suzuki Swift Sport 2020 dijangka didatangkan dengan pilihan janaan kuasa hibrid. Model berkenaan dijangka akan berada di pasaran UK bulan hadapan, lapor Autocar. Langkah berkenaan adalah sebahagian usaha Suzuki untuk memperbanyak model dengan teknologi elektrik jenama itu bagi memenuhi peraturan emisi yang semakin ketat.

    Swift Sport akan dilengkapi dengan teknologi mild hybrid, dengan sistem 48V dipasangkan kepada unit enjin 1.4 liter turbocas petrol yang digunakan. Bateri akan menyediakan lebih banyak tork dalam keadaan rpm rendah, pada kadar 235 Nm di bawah 2,000 rpm hingga 3,500 rpm. Dengan 129 hp, Swift Sport terbaru akan memberikan bacaan 0-100 km/j dalam 9.1 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

    Suzuki Swift Sport 2020 ditawar dalam versi hibrid

    Enjin 1.4L Boosterjet bukan hibrid sebelum ini memberikan bacaan angka 138 hp pada 5,500 rpm, dan 230 Nm tork antara 2,500-3,500 rpm. Ini melibatkan pengurangan kuasa, demi mendapatkan emisi CO2 127 g/km dan penggunaan minyak 17.7 km/l yang disahkan oleh kitaran WLTP – bersamaan 6% penambahbaikan. Sistem “Smart Hybrid” baru, yang terdiri daripada Integrated Starter Generator dan bateri lithium-ion di bawah tempat duduk penumpang juga akan digunakan pada model S-Cross dan Vitara.

    “Ia bukan lagi tentang kuasa semata-mata. Kami juga menjadikan sistem 48V lebih cekap pada kedudukan rpm rendah,” ujar seorang jurucakap Suzuki kepada majalah UK berkenaan. Suzuki Swift Sport 2020, yang sedikit lebih mahal berbanding versi terdahulu (£17,999 atau RM90,921) disebabkan perkakasan dan alatan yang lebih mahal bagaimanapun disifatkan masih mempunyai berat bersih yang ringan, 1,025 kg berbanding 970 kg dahulu. Ciri standard terbaru termasuk kawalan melayar adaptif dan lampu LED.

     
     
  • Polis mula laksana sekatan jalan raya di serata negeri sepanjang 2 minggu Perintah Kawalan Pergerakan

    Polis mula laksana sekatan jalan raya di serata negeri sepanjang 2 minggu Perintah Kawalan Pergerakan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam bagi mengelakkan orang ramai berada di tempat awam tanpa alasan munasabah. Perintah Kawalan Pergerakan yang berlangsung selama dua minggu ini adalah bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

    Di Selangor, polis mula melancarkan Ops COVID-19 bagi memastikan rakyat di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmad berkata ops yang bermula pukul 8 malam tadi akan memfokus kepada lokasi tumpuan ramai di seluruh negeri terutama bandar-bandar besar.

    “Kita akan ke lokasi tumpuan ramai seperti pusat peniagaan termasuk di kawasan perumahan bagi memastikan orang ramai tidak berada di tempat yang tidak sepatutnya sepanjang tempoh perintah kawalan berkuat kuasa,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut berkata ibu pejabat polis daerah di seluruh Selangor juga diarahkan membuat sekatan jalan raya di kawasan masing-masing bagi memastikan tiada orang keluar dari rumah tanpa alasan yang munasabah.

    “Untuk peringkat awal ini, polis mengambil pendekatan menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan yang ditetapkan dan tidak mengenakan tindakan seperti yang tertakluk di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” ujarnya lagi.

    Polis mula laksana sekatan jalan raya di serata negeri sepanjang 2 minggu Perintah Kawalan Pergerakan

    Di Kuala Lumpur pula, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata hasil sekatan jalan raya yang dijalankan bermula malam tadi, pihaknya mendapati rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah.

    ““Hasil pemeriksaan yang dijalankan semasa sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Loke Yew, rata-rata dari mereka datang dari luar ibu negara, sebagai contoh ada yang datang dari Kajang, Pandan Indah, Ampang dengan tujuan untuk makan dan membeli barang.

    “Apabila ditanya mengenai arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan, nampaknya mereka sedar akan peraturan namun demikian mereka seolah-olah tidak mengambil berat dan berada dalam keadaan lalai untuk mengikut arahan berkenaan,” ujarnya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Sementara itu, di Kuantan pula, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata rata-rata yang ditemui dalam sekatan jalan raya memberikan alasan tidak kukuh untuk masih berada di tempat awam.

    Polis mula laksana sekatan jalan raya di serata negeri sepanjang 2 minggu Perintah Kawalan Pergerakan

    “Ada antara mereka memberikan alasan ingin melihat keadaan sebenar bandar Kuantan selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan ada yang sekadar melawat rakan di kediaman mereka,” katanya selepas melakukan sekatan jalan raya di beberapa jalan utama di sekitar bandar berkenaan.

    Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

    Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insya-Allah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.

    “Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Duduklah di rumah, lindungilah diri sendiri dan keluarga,” tegas Muhyiddin dalam perutusannya itu.

     
     
  • Hyundai Elantra 2021 – N-Line 204 PS dan model N berkuasa 275 PS sedang dalam pembangunan?

    Hyundai Elantra 2021 –  N-Line 204 PS dan model N berkuasa 275 PS sedang dalam pembangunan?

    Semasa pendedahan Hyundai Elantra generasi ketujuh di Amerika Syarikat semalam, jenama Korea berkenaan turut menyatakan bahawa selain dari versi biasa dan hibrid, sedan dengan bentuk coupe-empat pintu itu turut akan dihasilkan dalam versi ‘lebih pedas’ kerana asas pembinaannya adalah komited kepada prestasi dan pengendalian.

    Setakat ini, Hyundai sudah mengesahkan selepas ini Elantra N-Line bakal diperkenalkan pula. Tiada sebarang perincian didedahkan, namun boleh di agak ia bakal menggantikan Elantra Sport dari generasi sedia ada, dan mungkin akan menggunakan unit penjana yang sama.

    Untuk Elantra Sport (pernah dijual di Malaysia dalam versi pre-facelift) generasi sekarang, ia menerima enjin 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI), menghasilkan 204 PS/265 Nm. Pada pasaran tempatan, model Sport ini hadir dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, manakala di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat, ia turut ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan bagi berhadapan terus dengan Honda Civic Si.’

    Ada juga khabar mengatakan bahawa Elantra 2021 bukan hanya akan tampil dengan model N-Line ini, Hyundai turut sedang merancang pembangunan Elantra dengan lencana penuh N seperti i30 N dan Veloster N. Buat masa sekarang, kedua-dua model ini dijana oleh enjin 2.0L T-GDI yang menghasilkan kuasa sehingga 275 PS/353 Nm yang digandingkan hanya kotak gear manual enam-kelajuan bersama e-LSD.

    Hyundai Elantra 2021 –  N-Line 204 PS dan model N berkuasa 275 PS sedang dalam pembangunan?

    Selain enjin, Elantra N berkenaan dijangka turut akan diberikan kelengkapan lain yang sama seperti i30 dan Veloster N, antaranya casis lebih tegar, sistem suspensi adaptif dengan larasan sangat keras boleh dibuat, sistem ekzos dengan fungsi pop & bang, dan bermacam lagi.

    Ketika diperkenalkan tempoh hari, Elantra 2021 ini terlebih dahulu ditawarkan dalam versi petrol 2.0L dan juga model Hybrid dengan enjin 1.6L dan motor elektrik. Model asas akan dijana enjin 2.0L MPI kitran Atkinson berkuasa 147 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 179 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia akan dipadankan secara standard dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya, dakwa Hyundai sendiri.

    Manakala untuk Elantra Hybrid, ia dijana oleh enjin petrol lebih kecil, iaitu unit 1.6L GDI kitaran Atkinson, tetapi dibantu dengan motor elektrik magnet kekal berkuasa 43 hp yang menerima tenaga dari bateri pek bateri lithium-ion-polymer 1.32 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

    Secara keseluruhan, unit gandingan ini menghasilkan kuasa 139 hp dan tork maksima 265 Nm dan kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan. Hyundai menganggarkan penggunaan bahan api gabungan EPA untuk model ini adalah 50 batu segelen atau 4.7 liter untuk setiap 100 km.

    GALERI: Hyundai Elantra 2021

     
     
  • Seorang pekerja DRB-Hicom di Pekan positif Covid-19

    Seorang pekerja DRB-Hicom di Pekan positif Covid-19

    DRB-Hicom baru sahaja mengumumkan seorang pekerja anak syarikat mereka iaitu DRB-Hicom Auto Solutions (DHAS) di Pekan, Pahang telah disahkan positif Covid-19.

    Menurut kenyataan daripada DRB-Hicom, pekerja itu dijangkiti virus berkenaan daripada suami beliau, yang mempunyai hubungan dengan peserta perhimpunan tabligh di Seri Petaling yang berlangsung dari 28 Februari hingga 2 Mac yang lalu.

    Bukan setakat itu, anak lelaki mereka juga telah disahkan positif untuk virus berbahaya ini. DRB-Hicom memberitahu, mereka sedang menyiasat pergerakan mangsa sebelum ini, supaya langkah-langkah yang sepatutnya dapat diambil. Mereka juga akan diletakkan dalam pengasingan.

    Buat masa sekarang, kawasan yang perlu dibersihkan dan dinyah kuman telah dikenal pasti dan ditutup, dan operasi pembersihan akan dilakukan dalam masa terdekat. DRB-Hicom sekarang ini mengikuti arahan kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan dan semua pekerja yang disenaraikan di bawah servis kurang penting diarahkan bekerja di rumah.

     
     
  • Piaggio Group terus operasi kilang secara berjaga-jaga

    Piaggio Group terus operasi kilang secara berjaga-jaga

    Walaupun kebanyakan pengeluar kenderaan membuat keputusan untuk menutup operasi mereka bagi mengekang penularan Covid-19, Piaggio Group yang merupakan syarikat induk bagi jenama Moto Guzzi, Aprilia, Vespa dan Aprilia telah mengumumkan kilang serta pejabat mereka kembali dibuka bermula 16 Mac 2020.

    Ini selepas tiga kilang mereka di Pontedera, Mandello del Lario, Noale dan Scorzè di Itali ditutup selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Mac bagi tujuan pembersihan mengikut arahan pihak berkuasa kerana salah seorang pekerja di Pontedera dijangkiti virus tersebut.

    Walaupun kilang dan pejabat mereka sudah mula beroperasi semula, Piaggio mengambil langkah menyusun semula semua bahagian bagi mengelakkan hubungan rapat antara pekerja dengan jarak minimum satu meter di antara stesen kerja masing-masing. Selain daripada itu, kit khas untuk individu dan pembersihan secara berkala turut dilakukan bagi melindungi pekerja.

     
     
  • Bengkel kenderaan hanya dibenarkan beroperasi pada kadar minima dalam Perintah Kawalan Pergerakan

    Bengkel kenderaan hanya dibenarkan beroperasi pada kadar minima dalam Perintah Kawalan Pergerakan

    Boleh dikatakan hampir semua jaringan pusat servis bertauliah jenama-jenama automotif menutup operasi mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac nanti yang diumumkan kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19. Tetapi bagaimana pula dengan bengkel-bengkel biasa? Adakah mereka masih dibenarkan beroperasi?

    Menurut hantaran Facebook rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, bengkel kereta tidak diklasifikasikan sebagai salah satu perkhidmatan pengangkutan yang dikelaskan sebagai Perkhidmatan Perlu (Essential) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 ini, sebaliknya ia termasuk dalam Perkhidmatan Bukan Keperluan Utama (Non Essential).

    Walau bagimanapun, dalam hantaran berkenaan turut menyatakan bahawa bengkel masih dibenarkan untuk beroperasi tetapi ia perlu hanya pada kadar minima. Manakala perkhidmatan menunda (towing) masih boleh beroperasi seperti biasa.

    Tidak dinyatakan apa maksud sebenar “pada kadar minima” berkenaan, tetapi semalam Majlis Bandaraya Shah Alam membuat pengumuman bahawa bengkel kereta hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 2 petang sahaja, manakala di Taiping pula MPT hanya membenarkan operasi bengkel bermula pukul 9 pagi hingga 1 petang. Jadi untuk kepastian, anda mungkin boleh rujuk pihak berkuasa tempatan masing-masing.

    Selepas kerajaan mengumumkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan ini pada 17 Mac lalu, kebanyakkan jenama automotif seperti Honda, Perodua, Volvo, Mercedes-Benz, Renault, Volkswagen, Modenas, Yamaha, Nissan dan lain-lain akur dengan arahan tersebut dengan menutup semua operasi mereka termasuk pusat servis. Ada juga jenama yang menutup operasi pusat 3S mereka tetapi masih menerima panggilan dari pelanggan untuk kes-kes kecemasan dan bantuan menerusi talian hotline seperti Proton, Toyota dan Lexus.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia tutup bilik pameran dan pusat servis, gantung operasi kilang hingga 31 Mac

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mengambil langkah untuk menutup semua bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara bermula hari ini, 18 hingga 31 Mac 2020. Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Akta Polis 1967 yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengurangkan penyebaran wabak pandemik COVID-19.

    Walau bagaimana pun, bagi pelanggan yang telah membuat temujanji untuk penyelenggaraan dan/atau baik pulih kenderaan, diminta untuk menghubungi unit perkhidmatan pelanggan MBM di talian bebas tol 1-800-88-1133 bagi penjadualan semula temujanji berkenaan.

    Selain bilik pameran dan pusat servis, MBM turut memaklumkan kilang produksinya di Pekan, Pahang juga digantung operasi bagi tempoh yang sama.

    “Dalam keadaan sebegini, kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan para pekerja dan pelanggan menjadi keutamaan kami. Justeru, kami akan sentiasa memantau situasi ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dari masa ke semasa,” ujar MBM.

     
     
  • Johor bakal buka semula sempadan S’pura – laporan

    Johor bakal buka semula sempadan S’pura – laporan

    Sempadan antara Johor dan Singapura baru sahaja ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac nanti yang telah diumumkan kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19. Namun dalam laporan terbaharu yang disiarkan oleh The Star, kerajaan Johor nampaknya berharap ia akan dibuka semula dalam berberapa hari lagi.

    Menurut Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, pembukaan semula sempadan tersebut bukanlah akan dilakukan seperti biasa, sebaliknya ia akan dilakukan dengan pemeriksaan kesihatan yang lebih ketat di kedua-dua belah sempadan.

    “Kami akan umumkan pelan pengurangan kesan semasa wabak Covid-19 ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif negeri.

    “Antara kategori yang dikecualikan ialah mereka yang memegang pas kerja oleh Malaysia atau Singapura, pelajar yang menuntut di Singapura, mereka yang mempunyai kemahiran khusus, ahli perniagaan, mereka yang terlibat dalam logistik, dan lain-lain yang akan diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya lagi.

    Katanya lagi, jawatankuasa khas itu diketuai oleh beliau sendiri, selain setiausaha negeri dan majlis keselamatan negeri. Mereka juga akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di Singapura mereka pada selepas ini sebelum mengemukakan perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat pengumuman.

     
     
  • Rapid KL tingkatkan kekerapan LRT setiap 10 minit bermula 20 Mac – stesen, kabin kerap dibersihkan

    Rapid KL tingkatkan kekerapan LRT setiap 10 minit bermula 20 Mac – stesen, kabin kerap dibersihkan

    Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan, Rapid KL turut mengambil langkah bersesuai untuk memenuhi keperluan pengguna yang masih menggunakan perkhidmatan itu. Kadar kekerapan tren bagi LRT akan diubah kepada setiap 10-minit sekali, bermula 6 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum.

    Kekerapan baru ini akan dilaksanakan bermual 20 Mac. “Jika kami dapati kekerapan ini perlu dipendekkan lagi, tren tambahan akan digunakan. Sepanjang tempoh ini juga, kami nasihatkan pengguna yang perlu menggunakan perkhidmatan kami untuk perancang perjalanan dengan baik,” ujar CEO Rapid Rail Sdn Bhd, Abdul Hadi Amran.

    “Kami juga ingin memastikan bahawa kerja-kerja pembersihan di stesen dan juga dalam kabin akan dijalankan secara berterusan untuk memastikan tahap keselematan semua, yang selalu menjadi keutamaan kami,” tambah beliau.

    Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini dan semasa berkaitan daripada laman Facebook, Twitter atau Instagram rasmi Rapid KL. Selain itu, boleh juga menghubungi talian Rapid KL Helpline 03-7885 2585.

     
     
  • TC Euro Cars henti operasi bilik pameran dan pusat servis – khidmat pembelian atas talian masih dibuka

    TC Euro Cars henti operasi bilik pameran dan pusat servis – khidmat pembelian atas talian masih dibuka

    Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berlangsung hingga 31 Mac ini, pengedar kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesihatan pelanggan dan pekerja.

    Walaupun bilik pameran dan pusat servis akan ditutup sepanjang tempoh berkenaan, TCEC tetap menawarkan kaedah serta perkhidmatan lain untuk pelanggan. Ini termasuk urusan langganan dan pembelian kenderaan Renault yang masih berjalanan seperti biasa melalui laman Renault E-Store. Dari peringkat permohonan hinggalah pembayaran, pelanggan boleh menyelesaikan semua proses berkaitan secara atas talian pada bila-bila masa melalui renault.com.my.

    Selain itu, TCEC juga menawarkan pilihan bagi penghantaran pintu-ke-pintu bagi setiap kenderaan baru yang dibeli atau dilanggan. Kenderaan juga akan melalui proses pembersihan/sanitize terlebih dahulu sebelum diserahkan. Bagaimanapun, sebagai langkah pencegahan, kenderaan hanya akan diserahkan selepas tamat tempoh berkenaan, iaitu bermula 1 April nanti.

    Bagi pelanggan yang memerlukan bantuan kerosakan kenderaan pula, ia masih akan disediakan. Petugas TCEC bagi hal-hal penting akan terus bersiap sedia untuk membantu, disamping melalui saringan kesihatan harian bagi memastikan keselamatan pelanggan. Bagi sebarang bantun, hubungi 1800-18-8663.

     
     
  • Continental dedah perincian meter 3D Genesis GV80

    Continental dedah perincian meter 3D Genesis GV80

    Genesis GV80 adalah SUV produksi pertama bagi jenama mewah di kelolaan Hyundai, dan ia juga adalah model pertama yang menggunakan panel instrumen tiga dimensi baru keluaran Continental. Bagi menunjukkan kepada orang ramai bagaimana panel ini berfungsi, Continental telah mendedahkan perinciannya.

    Sistem yang digunakan oleh Continental boleh memaparkan skala, penunjuk dan objek secara 3D dalam pandangan pemandu, tanpa memerlukan sebarang cermin mata khas. Ia dapat dilakukan dengan penggunaan pembahagi paralaks yang mengasingkan imej kepada dua pandangan yang berbeza dan membentuk imej 3D.

    Apabila kepala pemandu beralih, sebuah kamera akan mengesan pandangan pemandu dan melaraskan imej 3D ini supaya bersesuaian dan dapat dilihat secara jelas. Continental juga menerapkan teknologi pengesan perhatian untuk mengelakkan pemandu daripada memandang terlalu lama pada panel 3D ini, serta mengenal pasti sekiranya pemandu terganggu atau terlalu letih.

    Continental dedah perincian meter 3D Genesis GV80

    Sekarang, Continental juga sedang membangunkan generasi seterusnya bagi teknologi ini, di mana ia boleh disepadukan dalam satu unit dan pemandu boleh mengagihkan informasi kepada skrin lain. Sebagai contoh, mereka boleh mengambil paparan navigasi daripada skrin tengah, dan dialihkan kepada skrin di hadapan mereka dan menyusunnya menggunakan pergerakan tangan.

    Penumpang juga boleh menikmati teknologi baru ini tidak lama lagi kerana Continental sedang membangunkan sistem paparan yang menggunakan teknologi 3D Lightfield oleh Leia. Ia dijangka dapat dikeluarkan menjelang tahun 2022 dan menyediakan pelbagai fungsi digital termasuk panggilan video, beli-belah atas talian, permainan Augmented Reality dan filem 3D.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026