Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bawa bil elektrik/air ketika keluar rumah sepanjang PKP, bukti alamat kediaman dan jarak pergerakan

    Bawa bil elektrik/air ketika keluar rumah sepanjang PKP, bukti alamat kediaman dan jarak pergerakan

    Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua ketika ini, pemeriksaan dan sekatan oleh pihak berkuasa juga semakin ketat. Dan, bagi mengelakkan kelompok-kelompok orang awam yang masih ada kerap bergerak ke sana-sini dalam jarak yang jauh tanpa sebab penting, pihak polis menasihatkan semua supaya membawa dan menunjukkan bil elektrik atau air yang tertera alamat tempat tinggal semasa anda.

    Itupun sekiranya anda mematuhi peraturan sedia ada yang telah diperketatkan. Misalnya, tidak bergerak lebih daripada 10 km dari tempat kediaman, hanya berseorangan dalam kereta atau atas motosikal (kes khas perlu menunjukkan bukti lain, misalnya membawa OKU ke hospital) dan tentunya, keluar hanya untuk tujuan penting seperti senarai ini sahaja.

    Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor yang bertindak selaku jurucakap khas Op COVID-19 Polis Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim, memaklumkan langkah itu sebagai persediaan menunjukkan mereka memenuhi syarat dalam Peraturan 4, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, lapor Bernama.

    Bawa bil elektrik/air ketika keluar rumah sepanjang PKP, bukti alamat kediaman dan jarak pergerakan

    Bagi individu yang berada di luar rumah kerana bertugas dengan perkhidmatan penting, adalah memadai dengan membawa surat kebenaran daripada ketua jabatan atau syarikat masing-masing. “Jika pergerakan untuk tujuan bertugas, bil (beralamat kediaman) bukan justifikasinya tetapi memerlukan surat kebenaran bekerja daripada ketua jabatan atau syarikat.

    “Kita harapkan dalam tempoh PKP ini, letaklah bil dalam kereta sementara sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan kerana kalau polis tanya justifikasinya hendak ke mana, kita sebut nak balik rumah atau membeli barang keperluan, kita boleh tunjuk (bil berkenaan),” katanya.

     
     
  • Wanita jerit ‘Idiot’ ketika sekatan jalan raya PKP polis dihadapkan ke Mahkamah dengan 2 pertuduhan

    Wanita jerit ‘Idiot’ ketika sekatan jalan raya PKP polis  dihadapkan ke Mahkamah dengan 2 pertuduhan

    Rasanya semua tahu kejadian di mana seorang wanita yang menjerit dengan kata-kata tidak menyenangkan kerana terperangkap dalam kesesakan kerana pihak polis menjalankan sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari bukan?

    Lanjutan dari kejadian tersebut, wanita berkenaan kini sudahpun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Halim. Walau bagaimanapun, tertuduh yang bernama Tong Poh Kim, 44 tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan, lapor Harian Metro.

    Dua pertuduhan tersebut adalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan juga mengucapkan perkataan tidak sopan kepada penjawat awam mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil-Kecil 1955. Tong didakwa melakukan perbuatan itu ketika sekatan jalan raya Op Covid-19 penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Persiaran Surian, Jalan Damansara-Kota Damansara pada 31 Mac, jam 9.40 pagi.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh di Jalan Persiaran Surian menghala masuk ke Pelangi Damansara didapati berkelakuan kurang sopan terhadap anggota polis bernama Koperal Izuan Hasim Nor Hamzah dengan berkata ‘idiot’.
    Manakala pertuduhan kedua, wanita itu didakwa pada hari, masa dan tempat yang sama dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu polis Korporal Izuan Hasim Nor Hamzah daripada menjalankan tugas-tugas dengan fungsi jawatannya.

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100 untuk kesalahannya yang pertama, manakala pertuduhan kedua adalah lebih berat dengan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya.
    Tong diwakili peguam, Datuk Suraj Singh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan supaya tertuduh dibenarkan wang jamin RM1,000. Bagaimanapun peguam bela tertuduh meminta mahkamah supaya mengurangkan jumlah wang jaminan seringan-ringannya kerana tertuduh yang bekerja sebagai pengurus jualan hanya berpendapatan RM2,000 saja.

    Nurshahira membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 untuk pertuduhan pertama dan RM3,000 untuk pertuduhan kedua dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei 2020 sebagai tarikh serahan dokumen kes dan sebutan semula.

     
     
  • Mazda lancar model sambutan ulang tahun ke-100

    Mazda lancar model sambutan ulang tahun ke-100

    Tahun 2020 ini Mazda menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya, dan bagi meraikan pencapaian bersejarah ini, mereka memperkenalkan barisan model keluaran istimewa yang akan mula dijual di Jepun dan seterusnya diikuti oleh pasaran lain. Tempahan awal sudah pun dibuka di sana dan hanya akan diterima sehingga bulan Mac 2021.

    Model ulang tahun ke-100 ini ditawarkan untuk hampir setiap model utama Mazda, bermula dari Mazda 2, hinggalah ke MX-5, dengan setiap satunya menggunakan tema warna putih dan merah burgundy seperti kereta penumpang pertama Mazda yang diperkenalkan pada tahun 1960 iaitu R360.

    Model ini menjadi titik permulaan peralihan Mazda kepada kenderaan penumpang, di mana sebelum itu mereka cuma menghasilkan motosikal dan trak. Model coupe empat pintu itu menggunakan enjin v-twin empat silinder 356 cc, berserta pilihan transmisi manual empat kelajuan atau automatik dua kelajuan.

    Selain warna badan Snowflake White Pearl Mica dan kemasan burgundy di dalam, model sambutan ulang tahun ke-100 ini juga mendapat kemasan unik lain yang menandakan ia model istimewa iaitu di fender, hab tengah rim, penyandar kepala tempat duduk, alas kaki dan juga rantai kunci.

    Untuk pasaran Jepun, model sambutan ulang tahun ini akan mulanya ditawarkan bagi Mazda 2, Mazda 3 dan CX-3 pada bulan Jun ini, kemudiannya diikuti oleh CX-30, CX-5, CX-8, MX-5 dan MX-5 RF sebulan selepas itu, dan seterusnya Mazda 6 pada bulan September.

     
     
  • Daihatsu Taft – tempahan SUV kei dibuka di Jepun

    Daihatsu Taft – tempahan SUV kei dibuka di Jepun

    Daihatsu telah mengumumkan tempahan bagi Taft telah pun dibuka di Jepun. SUV kei yang pernah dipertontonkan menerusi model konsep di Tokyo Auto Salon 2020 awal tahun ini, ditampilkan dengan imej yang lebih rugged, dan sedikit mirip dengan model Hustler.

    Nama Taft ini sebenarnya mula digunakan sejak 1974 lagi, pada sebuah SUV 4×4 – yang membawa maksud “Tall & Almighty Four-wheel Touring Vehicle”. Namun, memandangkan model terbaru ini kemungkinan besar akan menggunakan sistem pacuan roda depan (pacuan semua roda ditawarkan sebagai pilihan, seperti biasa di Jepun), nama panjangnya diubah kepada “Tall & Almighty Fun Tool”.

    Daihatsu Taft – tempahan SUV kei dibuka di Jepun

    Kalau ikut model konsepnya, Tarf hampir sama dengan versi produksi model WakuWaku ketika Tokyo Motorshow 2019 Oktober lalu. Ia menampilkan rekaan keseluruhan yang hampir serupa, berpetak dengan lampu depan oktogonal serta bampar yang berisi dan diikuti tingkap berpetak yang agak luas.

    Tidak seperti WakuWaku Taft bakal ditampilkan dengan pemegang pintu biasa. Daihatsu juga memaklumkan bahawa Taft datang dengan sunroof yang luas, serta ruang barangan yang rendah dan mendatar untuk memudahkan pengguna. Sementara lampu belakangnya berbentuk-C dengan tiga blok menegak, menyamai konsep pada lampu nyalaan siang LED hadapan.

    Konsep estetika kubik akan terus ditampilkan untuk bahagian dalaman, termasuk papan pemuka berkotak dengan corong udara menegak berwarna jingga. Konsol tengah pula lebih menyerlah, dengan petak segi empat tepat jingga di sekeliling corong udara (corong kiri berkedudukan melintang) dan pada tuil gear. Panel paparan skrin sesentuh juga akan ditampilkan.

    Buat masa ini, tiada perincian teknikal diberikan, tetapi Taft muungkin akan menggunakan enjin 658 cc naturally-aspirated dan pengecas turbo yang mengikut pematuhan yang ditetapkan untuk model kei car.

    GALERI: Daihatsu Taft Concept di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Pasar Tani pandu lalu di buka di Shah Alam Ahad ini

    Pasar Tani pandu lalu di buka di Shah Alam Ahad ini

    Bagi mengurangkan kesesakan di pasar-pasar awam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan tapak Pasar Tani Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai lokasi Pasar Tani pandu lalu, lapor Selangorkini.

    Perkara ini diumumkan oleh EXCO pertanian negeri Selangor, Ir Izham Hashim. Menurutnya, langkah tersebut diambil susulan pengumuman kerajaan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil tanggungjawab menjual barangan basah bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

    “Bagaimanapun kawalan ketat dilakukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang pasar tani beroperasi maka untuk kemudahan pembeli, Kerajaan Negeri wujudkan laluan pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan.

    “Tetapi jika anda menggunakan laluan berkenaan, harus diingat hanya pemandu sahaja boleh datang membuat pembelian, tidak boleh berdua atau lebih daripada itu, kita masih perlu mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

     
     
  • ERL henti perkhidmatan mulai 4 Apr hingga tamat PKP

    ERL henti perkhidmatan mulai 4 Apr hingga tamat PKP

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah mengumumkan pergantungan semua perkhidmatan trennya bermula esok, 4 April 2020 iaitu sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasminya, langkah ini diambil bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19, selain boleh dikatakan semua penerbangan dihentikan yang mengakibatkan hampir tiada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan ERL yang terhad.

    Justeru, bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan tiket secara dalam talian bagi tempoh berkenaan, boleh memohon untuk pemulangan semula bayaran menerusi e-mel [email protected].

    Untuk maklumat lanjut, sila layari www.KLIAekspres.com, Facebook KLIA Ekspres atau hubungi talian khidmat pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8.30 pagi-6.00 petang waktu tempatan).

     
     
  • Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

    Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

    Sebaik sahaja Toyota GR Supra didedahkan sepenuhnya pada Januari tahun lalu, penala-penala khususnya dari Jepun mula menghasilkan jentera drift dari kerangka kereta sport tersebut dengan kuasa sekitar 800 hp. Namun, tiada satu pun darinya yang menggunakan enjin asal B58 dalam Supra berkenaa di mana GR Supra milik Daigo Saito dan HKS dipandu Nobuteru Taniguchi dijana enjin 2JZ dari Supra JZA80, manakala GR Supra Toyo Tyres untuk Kawabata Masato yang sebelum itu juga menggunakan 2JZ, kini dikuasakan oleh enjin V8 3UZ-FE.

    Dan ini dia, jentera drift GR Supra dari Papadakis Racing yang akan dipandu oleh Fredric Aasbø dalam kejohanan Formula Drift tahun ini, menjana lebih 1,000 hp dan masih mengekalkan enjin asal B58 3.0 liter turbo – pertama seumpamanya di dunia!

    Projek dari Papadakis Racing ini sebenarnya telah bermula sejak tahun lalu lagi. Enjin B58 tersebut diceraikan, dan dibangunkan semula sendiri oleh pengasas pasukan ini sendiri iaitu Stephan Papadakis. Enjin ini masih lagi menggunakan aci engkol asal enjin tersebut, tetapi kesemua omboh telah digantikan dengan omboh custom dari JE Piston, dikahwinkan dengan rod penghubung forged dari Carillo.

    Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

    Kepala silinder juga telah diusik bagi memberikan aliran liang-liang injap yang lebih baik, dengan nisbah mampatan pada kebuk pembakaran kini dicatatkan pada 11:1. Turbo asal digantikan dengan unit Borg Warner EFR 9280 dengan boost dikawal oleh dua buah wastegate Tial MVR 4mm.

    Suapan dari pengecas turbo lebih besar berkenaan dihantar ke kebuk pembakaran menerusi manifold kemasukan dari Montune yang dihasilkan dengan pencetak 3D. Enjin ini tidak lagi beroperasi dengan petrol biasa, tetapi ia dijana oleh Ethanol E85, yang disampaikan oleh dua pam AEM 400 LPH dan disuntik ke kebuk pembakaran dengan enam penyuntik bahan api Dynamic Injector 2000 cc.

    Hasilnya, enjin ini berjaya mengekstrak sejumlah 1,100 hp dan tork maksima 1,232 Nm ketika diuji terus pada mesin dyno atas bench, dan 750 hp dengan boost 1.7 bar pada roda belakang ketika ujian dyno dengan casis dijalankan.

    Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

    Kerangka GR Supra ini turut mendapat sentuhan semula dari Papadakis Racing. Ia kini diberikan rollcage penuh mengikut spesifikasi jentera Pro Level untuk Formula D, manakala suspensinya pula menampilkan set penyerap hentak dan spring perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari RSR, serta kit dari Wisefab yang bukan sahaja menjadikan trek roda kereta ini lebih lebar, tetapi turut memberikan sudut stereng yang lebih jauh untuk aksi drift dengan sudut yang tidak masuk akal.

    Dengan suspensi dan roda yang jauh lebih lebar dari asal, GR Supra ini ‘terpaksa’ diberikan kit badan yang juga lebih lebar dari asal. Papadakis Racing tidak menggunakan kit badan Pandem atau HKS untuk Supra A90 mereka, tetapi menggunakan kit lebih ringkas dari Jonsibal – tiada lengkok dan liang mengarut, tiada sayap GT gergasi dan hanya menerima spoiler ekor itik yang lebih panjang.

    Imej yang disiarkan ini sebenarnya masih dalam bentuk digital. Kereta ini belum siap sepenuhnya – hanya kit badan dan livery perlumbaan masih lagi belum dilengkapkan. Kejohahan Formula D untuk musim 2020 akan bermula pada 10 April ini (jika tidak ditunda kerana pandemik Covid-19) di Long Beach, Califronia. Musim lalu Fredric Aasbø hanya berjaya naib juara dengan memandu Toyota Corolla (diubah menjadi pacuan roda belakang dengan enjin 2AR juga binaan Papadakis). Dengan jentera baharu ini, Aasbø diramal bakal memberikan saingan yang lebih sengit.




     
     
  • Jangan guna sarung tangan plastik ketika isi minyak

    Jangan guna sarung tangan plastik ketika isi minyak

    Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua hingga 14 April ini menyaksikan penguatkuasaan yang lebih ketat dann tegas. Ini termasuklah mengehadkan jarak perjalanan dalam radius 10 kilometer sahaja dari kediaman masing-masing dan hanya seorang sahaja dalam sebuah kenderaan, jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan.

    Dengan pematuhan PKP ini, sudah pasti orang ramai pun kurang pergi ke stesen minyak, mungkin kalau ada yang terpaksa pergi untuk mengisi minyak, terasa sangsi untuk memegang nozzle, bimbang risiko dijangkiti COVID-19, memandangkan komponen terbabit memang ‘most wanted’ untuk virus tersebut ‘berumahtangga’ sebab ramai yang menggunakannya.

    Jadi, bagaimana hendak mengurangkan kerisauan dan kegusaran anda sekiranya terpaksa juga untuk mengisi minyak? Perlukah memakai sarung tangan untuk memegang nozzle dan sewaktu hendak memasukkan nombor PIN untuk membuat pembayaran.

    Baru-baru ini, Petronas ada memaparkan peringatan mengenai perkara ini. Di mana orang ramai tidak digalakkan menggunakan sarung tangan (khususnya material plastik atau pun high-density polyethylene (HDPE) yang biasa digunakan ketika penyediaan makanan), tisu, sapu tangan mahu pun beg plastik bila hendak menggunakan nozzle. Ini kerana penggunaan material berkenaan boleh berisiko mencetuskan statik dan sekaligus boleh menyebabkan kebakaran.

    Buat masa ini, kebanyakan stesen minyak mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga termasuk mengelap nozzle, pembuka pintu, mesin ATM dan sebagainya dengan cecair penyah virus dan pembasmi kuman secara kerap.

    Jika anda tetap mahu menggunakan sarung tangan nitril yang hanya boleh digunapakai sekali sahaja (tak kiralah sama ada powdered atau pun bebas-powder), pun boleh juga. Sarung tangan jenis ini anti-statik dan selamat digunakan untuk tujuan berkenaan. Cuma selepas menggunakannya, jangan pula main buang tak tentu hala. Pastikan anda lupuskannya dengan cara yang betul. Buka sarung tangan terbabit dan pastikan ia dalam keadaan terbalik (yang di bahagian dalam semasa anda menggunakannya, diterbalikkan ke luar).

    Cuma disebabkan di stesen minyak, tiada tong sampah khas untuk membuang sarung tangan atau barang tercemar begini (tidak seperti di hospital, yang ada tong sampah khas untuk membuang sarung tangan sebegini), jadi sebenarnya tidak digalakkkan anda untuk menggunakan sarung tangan tersebut. Memadai membasuh tangan dengan sabun dan air bersih atau pun menggunakan hand sanitizer. Untuk pembayaran pula, kalau ada kad debit (kena pastikan ada duit di dalam akaun bank), boleh gunakan kaedah pembayaran secara pay wave. Kalau mengisi minyak di stesen minyak Petronas, boleh juga menggunakan aplikasi Setel lebih memudahkan transaksi pembayaran secara dalam talian.

     
     
  • Harley-Davidson bakal keluarkan model cafe racer dan flat tracker? Dokumen pelabur serta paten tersebar

    Harley-Davidson bakal keluarkan model cafe racer dan flat tracker? Dokumen pelabur serta paten tersebar

    Semasa pameran EICMA tahun lepas, Harley-Davidson telah menunjukkan dua model baru yang dirancang memasuki pasaran pada tahun 2021, iaitu Pan America yang mempunyai ciri adventure/touring, serta Bronx dengan gaya naked streetfighter. Walaubagaimanapun, syarikat itu mempunyai beberapa lagi model baru dalam perancangan yang tidak diberitahu kepada umum.

    Dokumen pembentangan khas untuk pelabur syarikat itu yang bertarikh 24 September 2019 telah bocor dalam internet, menampakkan sebuah model cafe racer serta sebuah model flat tracker baru, dan ia dikuatkan lagi dengan pendaftaran paten bentuk motosikal serupa di Eropah yang dijumpai oleh media di sana.

    Pada muka surat 55 dokumen pembentangan itu, Pan America dan Bronx ditandakan dengan waktu pelancaran pertama pada tahun 2020, manakala pada tahun 2021 terdapat satu lagi model yang dikategorikan sebagai High Performance Custom. Melihat pula pada muka surat 58, model cafe racer dan flat tracker tersebut diletakkan di bawah kategori High Performance Custom, tetapi tidak mempunyai tanda masa bila ia akan memasuki pasaran.

    Harley-Davidson bakal keluarkan model cafe racer dan flat tracker? Dokumen pelabur serta paten tersebar

    Dalam dokumen itu juga tidak dinyatakan secara terperinci apa enjin yang akan digunakan pada model baru itu, tetapi daripada gambar, kita boleh melihat ia menggunakan unit v-twin 60 darjah Revolution Max. Walaubagaimanapun, kapasitinya masih tidak diketahui kerana pada Pan America, enjin Revolution Max yang digunakan berkapasiti 1,250 cc manakala pada Bronx pula ia berkapasiti 975 cc.

    Selain model-model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman ini, dokumen pembentangan itu juga menunjukkan Harley-Davidson mempunyai perancangan memperkenalkan model elektrik lain sebagai tambahan kepada LiveWire, dengan satu untuk kategori Mid Power dan satu lagi Low Power.

     
     
  • Senarai perkhidmatan penting dipendekkan kepada hanya 10 sepanjang tempoh PKP fasa dua dilaksana

    Senarai perkhidmatan penting dipendekkan kepada hanya 10 sepanjang tempoh PKP fasa dua dilaksana

    Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua dan lebih menyeluruh ketika ini, kerajaan juga telah mengurangkan senarai perkhidmatan penting hanya kepada 10 kategori sahaja berbanding 22 kategori sebelum ini.

    Senarai yang diperbaharui ini juga kini menjadi sebahagian daripada Warta Kerajaan Persekutuan – Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang diterbitkan pada 31 Mac lalu.

    Ini 10 perkhidmatan penting yang dimaksudkan:

    • Makanan
    • Air
    • Tenaga
    • Komunikasi dan Internet
    • E-Dagang
    • Sisa buangan pepejal dan pengurusan kebersihan dan saliran awam
    • Kesihatan dan perubatan termasuk supplement pemakanan
    • Perbankan dan kewangan
    • Keselamatan dan pertahanan
    • Logistik yang tertakluk kepada perkhidmatan penting berkaitan

    Senarai perkhidmatan penting yang tidak termasuk di dalam warta berkenaan terdiri daripada:

    • Perkhidmatan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang
    • Penjara
    • Penapisan, penyimpanan dan pengedaran minyak dan pelincir
    • Hidupan liar
    • Hotel dan penginapan

    Berdasarkan warta berkenaan, seseorang itu boleh melakukan pergerakan di kawasan-kawasan terlibat atau di antaranya hanya bagi lima tujuan ini sahaja:

    • Untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat dan supplement pemakanan
    • Untuk membekal atau menghantar makanan, keperluan harian, ubat dan supplement pemakanan
    • Untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau perubatan
    • Untuk menjalankan tugas-tugas rasmi
    • Untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan perkhidmatan penting yang tersenarai

    “Kawasan Tempatan Yang Dijangkiti” bermaksud mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon dijangkiti di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Perisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Ambil maklum juga, pergerakan untuk tujuan keperluan juga telah dihadkan kepada 10 km sahaja dari tempat kediaman.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2020 kini di M’sia — AEB, RM209k

    Ford Ranger Raptor 2020 kini di M’sia — AEB, RM209k

    Ford kini memperkenalkan model Ranger Raptor 2020 untuk pasaran tempatan yang turut melibatkan sedikit kemaskini dari aspek penawarannya. Trak pikap prestasi itu kini dijual RM9,000 lebih tinggi pada harga RM208,888 atas jalan tanpa insurans – tetapi hadir dengan pertambahan ciri yang berbaloi.

    Antara yang paling penting ialah Raptor ini akhirnya menerima ciri brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki serta bantuan pengekalan lorong – dari segi spesifikasi, ia kini semakin menyamai varian Wildtrak 4×4 yang RM64,000 lebih murah. Tetapi, Raptor masih lagi kekurangan ciri kawalan melayar adaptif dan peninjau titik buta.

    Sistem bantuan pemandu pada Raptor merupakan sebahagian daripada kemaskini yang lebih meluas diberikan kepada model Ranger diperingkat global. Di Malaysia, setakat ini hanya Raptor yang paling awal menerimanya. Ini termasuk lampu utama LED dengan projektor segi empat baru, sensor parkir depan, amaran tali keledar penumpang depan serta slot USB berdekatan cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dash cam.

    Selebihnya, Raptor 2020 ini kekal serupa seperti sebelumnya. Dengan gril tulisan Ford yang besar, bampar rekaan lasak, pemijak sisi serat lengkung tayar yang lebih besar yang menjadikannya nampak lebar serta tayar all-terrain saiz besar membentuk imej utama trak ini. Di dalam, paddle shifter magnesium masih dikekalkan, roda stereng yang lebih tebal serta tempat duduk sport balutan kulit juga masih ada.

    Ford Ranger Raptor 2020 kini di M’sia — AEB, RM209k

    Kelengkapan standard juga sama, termasuk lampu kabus depan LED, sistem tanpa kunci, butang Push Start, lampu dan pengilap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan melayar, soket 230-volt di belakang dan sistem intotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh lapan-inci serta Apple CarPlay dan Android Auto. Enam beg udara dan kawalan kestabilan masih dikekalkan.

    Raptor menggunakan enjin 2.0 EcoBlue turbocas berkembar empat-silinder diesel yang menghasilkan kuasa sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork yang digandingkan bersama transmisi automatik Getrag 10R80 10-kelajuan. Casis ladder frame khas untuk Raptor serta talaan penyerap hentak Fox Racing masih sama.

    Satu lagi tambahan terbaru bagi Raptor 2020 ialah warna Ford Performance Blue yang menggantikan warna hero Lightning Blue terdahulu. Lain-lain warna pilihan yang masih ada ialah Conquer Grey, Absolute Black dan Arctic White.

     
     
  • Hyundai siar gambar tiga model N baru sebagai usikan

    Hyundai siar gambar tiga model N baru sebagai usikan

    Dunia sekarang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, dan gurauan bodoh yang biasanya muncul pada 1 April memang tidak dialu-alukan. Hyundai bagaimanapun masih meneruskan lawak April Fool’s ini, tetapi dengan cara yang lebih berhemah – mereka menyiarkan gambar tiga model N baru melalui Instagram.

    Model yang digunakan pula adalah model yang paling kita kurang jangka menerima talaan daripada cabang prestasi Hyundai ini, iaitu SUV hidrogen Nexo, SUV besar Palisade dan kereta elektrik Prophecy. Dalam keterangan gambar, Hyundai N menyatakan mereka mahu memberikan senyuman kepada orang ramai melalui model palsu ini dan berharap semua boleh tabah menghadapi situasi mencabar sekarang.

    Walaupun ini cuma gurauan oleh Hyundai, kita tidak boleh nafikan ia nampak menarik sekiranya betul-betul masuk ke pasaran. Antara yang diubah dalam gambar ini untuk menjadikan model tersebut lebih garang adalah seperti skirting pada bampar dan tepi, diffuser, sirip angin dan paling utama, adalah warna biru yang sudah menjadi tanda unik model N.

    Dalam dunia realiti, model N yang menjadi bualan ramai sekarang adalah i30 N, di mana ia mampu menghasilkan kuasa 250 PS, tork maksima 353 Nm dan pelbagai talaan prestasi lain. Hyundai Elantra juga dilaporkan bakal diperkenal dengan versi N, manakala i20 N pula sudah pernah dilihat diuji di litar Nürburgring.

     
     
  • Pendaftaran kenderaan bermotor di Malaysia cecah 31.2 juta unit sehingga 31 Disember 2019 — JPJ

    Pendaftaran kenderaan bermotor di Malaysia cecah 31.2 juta unit sehingga 31 Disember 2019 — JPJ

    Kini di Malaysia terdapat 31.2 juta unit kenderaan bermotor yang berdaftar, mengikut data yang direkodkan sehingga 31 Disember 2019 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, data ini turut menunjukkan purata pertambahan kenderaan baharu melebihi 1 juta setiap tahun, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Data terkini juga menunjukkan peningkatan jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia sejak 10 tahun yang lalu – pada 2010, kenderaan berdaftar di Malaysia direkodkan sebanyak 20.18 unit, dan angka terkini untuk tempoh 2010-2019 menyaksikan sejumlah lebih 11 juta pendaftaran baharu dicatatkan, atau pun secara purata 1.1 juta unit setiap tahun dalam tempoh sedekad ini.

    Walau pun tiada perincian yang spesifik, namun data yang dikumpulkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk 10 model kereta terlaris yang kami senaraikan ini menunjukkan pendaftaran baharu sejak tahun 2017 dimonopoli kenderaan penumpang.

    Pendaftaran kenderaan bermotor di Malaysia cecah 31.2 juta unit sehingga 31 Disember 2019 — JPJ

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan penumpang mencapai 514,675 unit pada tahun 2017, 533,2092 unit opada 2018 dan 550,179 unit pada 2019, pertambahan sehingga 1.6 juta unit untuk ketiga-tiga tahun berkenaan.

    Angka yang ditunjukkan oleh MAA pada pertengahan 2017 mencatatkan hampir 13.29 juta daripada 28.18 juta pendaftaran baharu adalah kereta, secara anggaran konservatif – dengan jumlah kenderaan penumpang di negara ini yang mencapai lebih 14 juta.

    Selain itu, JPJ turut merekodkan bilangan pemandu yang dilesenkan menunjukkan peningkatan sebanyak 10% daripada 15.2 juta orang pada 2018, kepada 16.8 juta pada 2019. JPJ turut mencatatkan keuntungan sebanyak RM4.32 bilion pada tahun lalu.

     
     
  • MKN sahkan bahawa mesej “saman RM300 naik kenderaan lebih dari seorang” adalah berita palsu

    Ada dapat mesej menerusi aplikasi WhatsApp seperti yang tertera di atas? Menurut satu ciapan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), ini adalah sah berita palsu.

    Sebelum ini memang ada kerajaan mengumumkan bahawa dalam Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua yang bermula 1 hingga 14 April tidak membenarkan lebih dari seorang di dalam sebuah kereta, di mana hanya ketua keluarga dibenarkan untuk keluar membeli keperluan, namun hukuman saman seperti mesej yang tular ini tidak pernah diwartakan.

    Walau bagaimanapun, anda mungkin dikenakan denda sekiranya ingkar dengan arahan PKP yang tertakluk di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Sehingga semalam, sebanyak 2,906 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 45-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

    Hari ini masuk hari ke-16 PKP berlangsung, bagaimana keadaan anda? Sanggup ke nak harungi lagi jika tempoh ini dilanjutkan? Kalau tak nak, ayuh bantu barisan hadapan negara untuk menjayakan perperangan terhadap Covid-19 ini dengan duduk di rumah, dan tidak sewenang-wenangnya keluar untuk urusan remeh-temeh!

     
     
  • VPCM lancar Volkswagen eShowroom – beli VW secara dalam talian, dari Lazada, penjimatan tambahan

    VPCM lancar Volkswagen eShowroom – beli VW secara dalam talian, dari Lazada, penjimatan tambahan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan bilik pameran secara dalam talian sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini. Langkah ini dilihat bersesuaian kerana semua bilik pameran VW di seluruh negara tutup sepanjang PKP.

    Bilik pameran dalam talian yang digelar ‘Volkswagen eShowroom’, memudahkan pelanggan untuk ‘bertemu pengedar’ menerusi hujung jari sahaja. Malahan VPCM turut memberikan tawaran dalam talian istimewa. Bukan itu sahaja, VPCM turut bekerjasama dengan platform e-dagang Lazada, seperti sebelum ini.

    “Keselamatan para pelanggan dan pekerja kami adalah keutamaan kami dan ini antara peranan yang kami ambil untuk membantu mencegah penularan wabak pandemik COVID-19. Volkwagen eShowroom ini disediakan untuk pelanggan yang bverminat untuk membeli kenderaan Volkswagen sepanjang tempoh PKP, dengan tawaran menarik yang turut disediakan,” ujar Pengarah Urusan VPCM Erik Winter.

    VPCM lancar Volkswagen eShowroom – beli VW secara dalam talian, dari Lazada, penjimatan tambahan

    Klik untuk besarkan

    Penjimatan yang ditawarkan bagi model Volkswagen adalah seperti carta di atas. Kalau mahu tawaran tersebut, pelanggan hanya perlu ‘berkunjung’ ke Volkswagen eShowroom menerusi laman web rasmi VPCM, pilih model yang berkenan di hati, isi borang tempahan secara dalam talian, pilih wakil pengedar Volkswagen dan klik untuk hantar borang berkenaan. Kemudian, tunggu panggilan daripada Volkswagen Customer Care untuk pengesahan.

    Jika membeli di Lazada pula, pergi terus ke Volkswagen flagship store, pilih model yang berkenan dan klik “beli sekarang”. Bayaran tempahan sebanyak 1% adalah bagi tempahan yang dibuat dan anda akan menerima pengesahan melalui email daripada Lazada. Kemudian Volkswagen Customer Care akan menghubungi anda untuk pengesahan dan pemilihan wakil pengedar. Pendaftaran dan penghantaran kenderaan akan dilakukan apabila PKP tamat kelak.

     
     
  • Andrea Iannone positif steroid, digantung 18 bulan

    Andrea Iannone positif steroid, digantung 18 bulan

    Semasa ujian rutin bahan terlarang (doping) diadakan waktu pusingan perlumbaan MotoGP di Litar Sepang 3 November tahun lepas, pelumba pasukan Aprilia Racing Team Gresini, Andrea Iannone telah didapati positif untuk Drostanolone metabolite 2?-methyl-5?-androstane-3?-ol-17-one, iaitu bahan terlarang di bawah kod “S1. Anabolic Agents, 1. Anabolic Androgenic Steroids (AAS), a. Exogenous AAS” dalam kod Anti-doping FIM.

    Sejak daripada itu, beliau telah digantung sementara daripada menyertai sebarang perlumbaan dan kemudiannya pendengaran kes dilakukan di Mies, Switzerland 4 Februari lalu. Pada penghujung sesi, pendengaran ditangguh lagi bagi menunggu beberapa dokumen oleh pihak yang terlibat.

    Kini, selepas beberapa bulan akhirnya Mahkamah Disiplin Antarabangsa (CDI) FIM membuat keputusan beliau bersalah dan tidak layak untuk sebarang perlumbaan selama 18 bulan. Tempoh gantung ini hanya akan berakhir 16 Jun 2021 dan dikira bermula daripada 17 Disember 2019.

    Walaubagaimanapun, Iannone masih boleh membuat rayuan di hadapan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland dalam tempoh masa 21 hari daripada waktu keputusan dikeluarkan oleh CDI mengikut Artikel 13.7 dalam kod Anti-Doping FIM.

    Memberi respon kepada perkara ini, CEO Aprilia Racing, Massimo Rivola menyatakan penalti yang diberikan adalah tidak masuk akal. Pihak beliau telah mengemukakan bahawa perkara ini berlaku disebabkan pencemaran makanan dan Iannone tidak sedar terdapat bahan tersebut di dalam makanan.

     
     
  • Milltek Sport hasilkan ekzos palsu untuk Tesla – boleh pilih bunyi 5-silinder, V8, V10 bersama pops & crackle!

    Milltek Sport hasilkan ekzos palsu untuk Tesla – boleh pilih bunyi 5-silinder, V8, V10 bersama pops & crackle!

    Pembuat ekzos berprestasi tinggi dari UK, Milltek Sport hadir dengan produk yang agak inovatif, digelar Milltek Active Sound, iaitu sistem ekzos palsu yang mampu memberikan bunyi realistik walaupun dipadankan pada kereta elektrik sepenuhnya Tesla Model S, X serta 3, dan ia kini tampil dengan sistem yang dikemaskini Milltek Active Sound 2.

    Berbanding sistem ekzos palsu lain yang biasanya diletakkan pada papan pemuka atau mengeluarkan bunyi dari pembesar suara sistem audio, sistem dari Milltek ini diletakkan pada bahagian bawah kereta. Ia menggunakan teknologi pembesar suara gentian karbon, yang diletakkan dalam muffler diperbuat dari logam tahan karat gred sukan bermotor sebenar, bagi menghasilkan bunyi yang kuat dan realistik.

    Muffler tersebut dikawal oleh modul yang boleh dipasang secara ‘plug and play‘ kepada kereta. Dengan algoritma yang dihasilkan oleh Milltek, ia akan menghasilkan bunyi yang natural berdasarkan kelajuan kereta, posisi pedal pendikit dan juga kelajuan enjin.

    Bunyi ekzos palsu tersebut boleh dikawal menerusi aplikasi dalam telefon pintar anda, dengan lapan fail preset bunyi yang telah disediakan terdiri dari bunyi enjin lima-silinder, V8 dan V10. Bunyi ekzos meletup ‘pops & crackle‘ juga mampu dihasilkan oleh sistem ini.

    Selain dari tahap bunyi, anda juga boleh menala semula bunyi-bunyi preset yang dibekalkan seperti anda melaras equalizer pada sistem audio. Milltek Active Sound ini bukan sahaja dihasilkan untuk Tesla, malah turut dibuat untuk model-model dengan enjin pembakaran dalaman biasa, membolehkan SUV diesel anda menghasilkan bunyi seperti enjin V8 petrol!

     
     
  • Polis tutup 9 jalan secara berperingkat di Gombak sepanjang PKP – 5 sekatan jalan raya ditetapkan

    Polis tutup 9 jalan secara berperingkat di Gombak sepanjang PKP – 5 sekatan jalan raya ditetapkan

    Polis daerah Gombak telah mengumumkan penutupan jalan secara berperingkat di daerah berkenaan bermula semalam sehingga tamat fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 14 April 2020. Ia melibatkan sembilan jalan susur dan simpang yang akan ditutup secara berperingkat iaitu Batu 20 Jalan KL-Rawang (berdekatan MayPlastik / jalan alternatif : Lebuhraya Latar-Jalan Rawang-Batu Arang-Country Homes), Simpang ke Kundang-Tasik Puteri dari Country Homes (jalan alternatif : Jalan Ipoh-KL – buat pusingan U di KM14) dan pusingan U Lebuhraya Latar-Jalan Rawang-KL (jalan alternatif : Jalan Ipoh-KL – buat pusingan U di KM14).

    Selain itu, pusingan U selepas Shell Jalan Templer Jalan Rawang-KL (jalan alternatif : Jalan Ipoh-KL – buat pusingan U di KM14), susur naik ke Pejabat Tanah Jalan Rawang-KL (jalan alternatif : Jalan Ipoh-KL-lampu isyarat KM14-Jalan Selayang Segar).

    Juga melibatkan jalan keluar dari Selayang Utama (jalan alternatif : Jalan Selayang Utama-Jalan Selayang Jaya-bypass Jalan Selayang Kepong), simpang ke Kg.Selayang Pandang dari Jalan KL-Ipoh (jalan alternatif : KM14 Jalan KL-Ipoh-Selayang Jaya) dan jalan besar Selayang Baru (sebelum Petron Jalan KL-Ipoh) (jalan alternatif : Jalan 2 Selayang Baru-Petron-Pasar Borong-Jalan KL-Ipoh).

    Polis tutup 9 jalan secara berperingkat di Gombak sepanjang PKP – 5 sekatan jalan raya ditetapkan

    Dalam masa yang sama, polis juga telah mengaturkan lima lokasi sekatan jalan raya di daerah yang sama iaitu di KM14, Jalan KL-Ipoh dari arah Rawang menghala ke KL, KM14, Jalan KL-Ipoh dari KL menghala ke Rawang, sebelum Plaza Tol Rawang dari arah Rawang menghala ke Sungai Buloh, sebelum Plaza Tol Gombak dari arah Gombak menghala ke Bentong dan Jalan Desa Aman Puri, Desa Jaya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe, pihak IPD Gombak menyarankan agar masyarakat mematuhi PKP ini dengan sepenuhnya dan bersabar dalam mengharungi segala kesulitan.

    Semalam, warta yang digazetkan menurut Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Penggunaan Jalan) (Jalan Persekutuan) (No. 2) 2020 telah dimuat naik menerusi laman web rasmi Jabatan Peguam Negara hari ini. Antara peraturan yang disebut termasuklah hadkan jarak perjalanan untuk seorang individu bagi membeli bekalan makanan dan keperluan penting termasuk ubat-ubatan, iaitu tidak boleh melebihi lingkungan radius 10 kilometer daripada rumah kediaman masing-masing.

    Warta tersebut turut menyebut, mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan terbabit, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau pun dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

     
     
  • Jarak perjalanan tidak boleh melebihi 10km dari rumah sepanjang tempoh PKP – denda RM1,000 jika ingkar

    Jarak perjalanan tidak boleh melebihi 10km dari rumah sepanjang tempoh PKP – denda RM1,000 jika ingkar

    Memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini sehingga 14 April 2020, kerajaan telah mengehadkan jarak perjalanan untuk seorang individu bagi membeli bekalan makanan dan keperluan penting termasuk ubat-ubatan, iaitu tidak boleh melebihi lingkungan radius 10 kilometer daripada rumah kediaman masing-masing.

    Ia adalah berdasarkan warta yang digazetkan menurut Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Penggunaan Jalan) (Jalan Persekutuan) (No. 2) 2020. yang dimuat naik menerusi laman web rasmi Jabatan Peguam Negara hari ini.

    Gazet ini telah ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang menetapkan bahawa keadaan pergerakan ini terpakai bagi mana-mana individu yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang dalam dalam mana-mana kawasan tempatan yang dijangkiti atau dari satu kawasan yang dijangkiti ke kawasan lain yang turut dijangkiti.

    Jarak perjalanan tidak boleh melebihi 10km dari rumah sepanjang tempoh PKP – denda RM1,000 jika ingkar

    Malah, akta itu turut menetapkan bahawa, hanya seorang sahaja yang dibenarkan dalam sebuah kenderaan dan tidak boleh ditemani oleh orang lain, melainkan terdapat keperluan yang munasabah. Untuk individu yang harus keluar untuk tugas rasmi termasuk perkhidmatan penting yang dibenarkan, haruslah membawa surat pengesahan daripada majikan.
     
    Selain itu, mana-mana individu yang perlu meninggalkan rumah untuk perkara-perkara yang mustahak dan atas sebab-sebab yang munasabah, perlukan mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak polis. Contohnya, kalau anda terpaksa pulang ke kampung kerana ada saudara yang sedang sakit, anda perlu ke balai polis terlebih dahulu untuk mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri yang perlu ditandatangani oleh ketua balai polis berkenaan. Apa pun, syarat dan penerimaan alasannya adalah tertakluk atas budi bicara pihak berkuasa.

    Bukan itu sahaja, sekiranya anda ditahan dalam sekatan jalan raya, dan memberi alasan untuk ‘pulang ke rumah’, sekiranya alamat pada kad pengenalan anda tidak sama dengan alamat kediaman anda sekarang, pastikan anda bawa sekali dokumen sokongan seperti bil air atau bil elektrik, misalnya, bagi membolehkan anda lepas sekatan jalan raya berkenaan.

    Warta tersebut turut menyebut, mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan terbabit, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau pun dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

     
     
  • Toyota GR86 2021 — imej bayangan awal, enjin turbo?

    Toyota GR86 2021 — imej bayangan awal, enjin turbo?

    Banyak yang telah diperkatakan tentang Toyota 86 generasi akan datang. Ada yang menjangkakan model berkenaan bakal menggunakan enjin turbo dan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik berbanding GR Supra. Tetapi, setakat ini masih belum ada sesiapa pun sejauh mana kebenaran dakwaan-dakwaan tersebut – termasuklah reka bentuknya.

    Jadi, sementara menunggu, kami minta Theophilus Chin untuk membayangkan rupa bentuk model generasi terbaru 86 kelak. Daripada rekaan yang dihasilkan ini, bahagian depan menampilkan banyak kelainan. Gril ada iras Toyota Yaris, sementara bukaan udara sisi serta lampu utama yang lebih tirus menaikkan lagi imej sporty. Lencana GR turut digunakan pada bahagian fender, yang hadir sekali dengan sisik liang.

    Di belakang pula, kelainan utama ialah pada lamu LED yang bersambung, yang semakin menjadi pilihan rekaan pada kebanyakan model ketika ini – bertujuan untuk menampakkan kereta lebih lebar. Selain itu, disebabkan ia sebuah kereta sport, bahagian overhang lebih pendek, bampar belakang dengan bukaan udara serta diffuser yang disekalikan dengan hujung ekzos.

    Toyota GR86 2021 — imej bayangan awal, enjin turbo?

    Selebihnya, GR 86 generasi akan datang ini menggunakan platform baru, yang membolehkannya untuk dipasangkan enjin turbocas 255 hp. Ia akan kekal dengan pacuan roda belakang seperti sebelumnya, dan dijangka akan diperkenalkan pada Julai 2021. Toyota juga sekali lagi akan bekerjasama dengan Subaru bagi projek 86/BRZ terbaru ini nanti.

    Ada juga sumber lain yang menyatakan bahawa model bari ini nanti akan menggunakan enjin 2.4 liter empat-silinder Subaru. Ada juga yang mendakwa ia akan beralih kepada platform pacuan roda belakang akan datang daripada Mazda dengan talaan suspensi double wishbone. Apa pun kebenarannya nanti, kita perlu tunggu kedua-dua 86 dan BRZ terbaru ini didedahkan nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026