Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Program Subsidi Petrol: Masalah kebocoran data akaun bank penerima berjaya diselesaikan – KPDNHEP

    Program Subsidi Petrol: Masalah kebocoran data akaun bank penerima berjaya diselesaikan – KPDNHEP

    Baru-baru ini kecoh mengenai kebocoran nombor akaun bank penerima Program Subsidi Petrol (PSP) yang terdedah di portal rasmi PSP membuatkan golongan penerima terbabit panik seketika. Walau bagaimana pun, tindakan pantas yang diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menyelesaikan masalah ini dalam waktu yang singkat sebaik sahaja laporan diterima.

    Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah pembetulan telah dilakukan ke atas portal tersebut oleh pasukan kementerian yang bertanggungjawab dalam masa beberapa jam selepas masalah itu dilaporkan.

    “Masalah itu berlaku dalam tempoh yang tidak panjang dan ia telah segera diperbaiki dan sistem itu berjaya dilindungi serta keselamatan data penerima adalah terjamin,” katanya menerusi laporan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, lebih 1.6 juta hits diterima dalam masa tiga hari sejak portal tersebut dilancarkan. “Untuk tiga hari pertama sehingga 17 Oktober, sebanyak lebih 218,000 permohonan PSP yang layak dan dikemas kini dicatatkan oleh portal terbabit. Melalui jumlah tersebut menunjukkan bahawa kepentingan portal PSP untuk memastikan golongan yang layak berada dalam senarai menerima bantuan bersasar berkenaan.

    “Fokus kementerian sekarang adalah memastikan agar tiada yang tercicir, jadi kita mengajak rakyat untuk semak di portal dan semua talian KPDNHEP bagi mengemas kini maklumat mereka,” katanya.

     
     
  • KPDNHEP gesa semua pengusaha stesen minyak pastikan aspek keselamatan pada tahap terbaik

    KPDNHEP gesa semua pengusaha stesen minyak pastikan aspek keselamatan pada tahap terbaik

    Demi mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan harta termasuk melibatkan insiden kebakaran, semua pengusaha stesen minyak di seluruh negara digesa untuk meningkatkan aspek keselamatan di premis masing-masing pada tahap terbaik.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, peranan itu perlu dikongsi bersama oleh pengguna dengan mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kebakaran.

    “Kita lihat masih ada lagi pengguna yang menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak, ini boleh menyebabkan kebakaran seterusnya membahayakan keselamatan semua orang yang berada di premis itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    KPDNHEP gesa semua pengusaha stesen minyak pastikan aspek keselamatan pada tahap terbaik

    Untuk pengetahuan, mereka yang didapati merokok di kawasan stesen minyak boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun sekiranya sabit kesalahan.

    Dalam hal yang berkaitan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Jalailudin Abdul Mubin pula menyarankan pengusaha stesen minyak agar meletakkan iklan video berkaitan langkah-langkah keselamatan termasuk cara menggunakan alat pemadam api supaya dapat ditonton pengguna ketika sedang mengisi minyak.

    “Ini kerana bukan semua orang tahu cara mengendalikannya. Perlu juga memaparkan bagaimana untuk kenal pasti bahan punca kebakaran antaranya pepejal, cairan seperti petrol dan peralatan elektrik,” katanya.

     
     
  • Proton 3S baharu dibuka di Tebobon, KK, Sabah

    Proton 3S baharu dibuka di Tebobon, KK, Sabah

    Pusat 3S Proton yang terbaharu telah pun dilancarkan di daerah Tebobon, 18 km dari Kota Kinabalu, Sabah. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh menteri MITI, Datuk Darell Leiking dengan disaksikan oleh Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Asli Sabah, Datuk Haji Aidi Mokhtar, Dato’ Madani Sahari selaku CEO MARii, Dato’ Haji Zainuddin Abd Rahman, Presiden PEKEMA dan juga Yusry Yusof, Pengarah Kanan Pengurusan Risiko & Strategi Korporat Proton.

    Dikendalikan oleh Shirba Auto World Sdn Bhd, pusat 3S ini ditampilkan dengan fasiliti yang mengikut identiti korporat Proton. Ia menempatkan 12 petak penyelenggara, lounge pelanggan dan sudut permainan kanak-kanak. Pusat 3S ini beroperasi setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

    “Terima kasih kepada Proton Edar Sdn Bhd kerana mempercayai kami untuk melaksanakan tanggungjawab dalam menguruskan pusat 3S ini. Kami percaya dengan usaha ini, kami dapat mengurangkan isu pengangguran di sekitar kawasan ini dan juga dapat membantu merangsang ekonomi tempatan dan nasional di samping bersaing secara sihat dalam industri ini,” ujar Rizwan Lassim, CEO Shirba Auto World Sdn Bhd.

    Shirba Auto World Sdn Bhd mensasarkan untuk menjual 840 unit Proton menjelang hujung tahun hadapan. Malah berharap dapat konsisten memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan terus berkembang sebagai pengedar Proton.

    Ini merupakan pusat servis Proton yang ke-empat di Sabah dengan tiga daripada pusat 3S terletak di Lahad Datu dan Sandakan, dan pusat 4S pula di Kota Kinabalu. Jumlah keseluruhannya pula mencapai lebih 60 pusat 3S dan lebih 40 pusat 4S di seluruh negara.

     
     
  • Pusat 3S Hyundai baharu kini beroperasi di Klang

    Pusat 3S Hyundai baharu kini beroperasi di Klang

    Pusat 3S Hyundai Global Dealership Space Identity (GDSI) terbaharu telah pun dibuka di Klang, Selangor, dan bersedia memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh pemilik Hyundai di bandar berkenaan. Buat masa ini, ia merupakan satu-satunya pusat 3S Hyundai yang beroperasi di Klang dengan satu lagi pusat 3S Hyundai yang terhampir terletak di Port Klang.

    Dikendalikan oleh MN Automart, pusat 3S baharu yang membawakan identiti GDSI turut menawarkan perkhidmatan premium untuk pelanggannya, turut menempatkan ruang lounge dengan WiFi percuma.

    “Dengan kerjasama rakan pengedar MN Automart, ia memberikan kelebihan kepada kami dalam memberikan perkhidmatan untuk pelanggan di sini. Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh MN Automart, pemilik Hyundai pastinya memperoleh perkhidmatan yang berkualiti dan efisien,” ujar Low Yuan Lung, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).

    Pusat 3S Hyundai Global Dealership Space Identity (GDSI) Klang ini dibuka pada jam 9 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Sabtu, manakala pada hari Ahad dan cuti umum pula, ia beroperasi dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Untuk pusat servis pula, ia beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk Isnin hingga Sabtu, dan ditutup pada Ahad serta cuti umum.

    Para pelanggan boleh menghubungi talian 03-84081812 untuk maklumat lanjut atau menempah sesi pandu uji, sementara bagi menempah slot servis, sila hubungi 03-84081813.

    Kini HSDM telah pun mempunyai sembilan cawangan GDSI di sekitar Lembah Klang, sebagai tambahan kepada pusat 3S, cawangan jualan dan pusat servis sedia ada di seluruh negara.

     
     
  • Honda RS150R ‘disumpah’ menjadi Winner X – kos tukar penampilan RM3,500, tidak perlu kimpalan

    Honda RS150R ‘disumpah’ menjadi Winner X – kos tukar penampilan RM3,500, tidak perlu kimpalan

    Honda RS150R mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2016. Selepas lebih tiga tahun, ia masih tidak diperbaharui, selain grafik, sedangkan pesaing terdekatnya iaitu Yamaha Y15ZR sudah pun menerima naik taraf yang melibatkan perubahan bahagian meter dan juga lampu hadapan.

    Disebabkan itu, popularitinya di kalangan pengguna semakin berkurang. Sehinggalah pada bulan Julai lalu, muncul sebuah model kapcai Honda baru dilancarkan di Vietnam. Ia dipanggil sebagai Winner X, dengan bentuk badan yang berubah terus, tetapi di sebaliknya masih lagi menggunakan asas seperti RS150R (juga dipanggil sebagai Winner 150 atau Supra GTR 150 di beberapa negara lain).

    Ramai yang teruja dengan kemunculan Winner X ini, terutamanya penggemar motosikal Honda di Malaysia. Soalan utama yang selalu muncul tentulah berkenaan bila Boon Siew Honda (BSH) Malaysia Sdn Bhd akan membawanya masuk ke dalam pasaran. Kami ada bertanya sendiri kepada wakil BSH, tetapi mereka juga tidak dapat memberi kata putus sama ada ia akan masuk ataupun tidak.

    Bertanya soalan seperti ini adalah tingkah laku yang boleh dijangka daripada orang biasa. Tapi, Khairi Yaakub bukan begitu. Sebaik sahaja Winner X muncul di Vietnam, beliau terus membuat keputusan untuk mencari jalan bagi memiliki model baru ini.

    Membawanya masuk menggunakan permit import (AP) bukanlah satu pilihan yang bijak atau berbaloi, jadi cara seterusnya adalah membawa masuk kit badannya sahaja. Memandangkan Winner X ini masih menggunakan asas yang sama dengan RS150R, dan Khairi memang sudah memiliki kapcai 150 cc Honda tersebut, pilihan ini kedengaran lebih rasional.

    Orang pertama yang terlintas di fikiran beliau adalah bekas pelumba Grand Prix, Shahrol Yuzy yang sekarang aktif sebagai pengurus dan pelatih pasukan lumba Honda yang bertanding dalam pelbagai perlumbaan antarabangsa. Khairi bertambah gembira apabila Yuzy beritahu boleh membantu.

    Honda RS150R ‘disumpah’ menjadi Winner X – kos tukar penampilan RM3,500, tidak perlu kimpalan

    Awalnya memang sedikit sukar, kerana model tersebut terlalu baru dalam pasaran Vietnam, tapi akhirnya setelah beberapa minggu, kebanyakan bahagian Winner X ini sampai ke tangan Khairi. Ini termasuklah bahagian panel badan, meter dan juga pendawaian. Berkenaan kos, Khairi memberitahu, ia dalam sekitar RM3,500.

    Tambah Khairi lagi, kerja memasang panel badan Winner X ini kepada badan RS150R mengambil masa cuma satu minggu sahaja, dan beliau melakukannya sendiri di rumah bersama beberapa orang rakan, kebanyakannya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Perkara yang paling memakan masa adalah untuk ‘membogelkan’ keseluruhan motosikal dan menanggalkan sistem pendawaian asalnya. Kemudiannya, sistem pendawaian Winner X yang perlu digunakan juga mempunyai beza pada soket beberapa bahagian termasuk sensor TPS.

    Kerja memasang panel badan itu sendiri tidak begitu rumit dan tidak memerlukan sebarang kimpalan pada rangka motosikal. Cumanya, untuk beberapa skru, beliau perlu membuat tapak khas (bracket). Dari pandangan mata kami yang melihat sendiri motosikal ini di depan mata, hasilnya agak kemas dan tiada bahagian yang renggang atau longgar.

    Kalau anda perhatikan juga, selain panel badan Winner X, banyak lagi bahagian lain pada motosikal Khairi ini yang sudah diubah suai. Tetapi sebenarnya, ini adalah ubah suai yang sudah dilakukan lebih awal oleh Khairi, iaitu sejak dari awal beliau memiliki motosikal itu lagi.

    Ubah suai yang dilakukan oleh Khairi (selain badan Winner X) sudah mencecah hampir RM30,000 dan ini termasuk fork, rim dan brek superbike, lengan ayun NSR150 SP, rim VFR400, ekzos SC Project, pam klac jenis hidraulik dan peletak kaki jenis lumba.

    Honda RS150R ‘disumpah’ menjadi Winner X – kos tukar penampilan RM3,500, tidak perlu kimpalan

    Walaubagaimanapun, Khairi masih mengekalkan enjin asal RS150R dan ia cuma ditala semula dengan penggunaan unit pengawal enjin (ECU) TuneBoss. Pam brek dan klac juga dinaik taraf dengan unit RCS19 pada bahagian brek. Satu bahagian yang nampak sedikit kekurangan adalah tempat kunci yang mempunyai ruang kosong kerana Khairi tidak mengunakan sistem tanpa kunci Winner X dan meletakkan tempat kunci asal RS150R di situ.

    Khairi juga memberitahu, walapun motosikal ini sudah dikenakan sumpahan ‘tayar besar’, beliau cuma menggunakan tayar 150/60 di belakang kerana ia nampak lebih seimbang berbanding penggunaan lengan ayun dan rim superbike lain (seperti Ducati) yang menggunakan tayar sehingga saiz 180/55.

    Untuk perancangan masa hadapan, Khairi memberitahu beliau mungkin akan mengenakan grafik airbrush khas pada Winner X ubah suai beliau tetapi cuma akan melakukannya selepas acara MotoGP Sepang. Semasa minggu perlumbaan popular tersebut di Litar Sepang, Winner X Khairi juga akan diletakkan di salah satu kawasan pameran dan jualan.

     
     
  • Toyota C-HR facelift 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

    Toyota C-HR <em>facelift</em> 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

    Awal bulan ini, Toyota telah mendedahkan versi facelift 2019 untuk Crossover segmen-B C-HR, dan kini model berkenaan secara rasmi masuk pasaran Jepun. Selain dari rupa yang lebih segar bersama kit-kit yang dinaik taraf, C-HR JDM juga menerima versi yang menerima sentuhan dari sayap perlumbaan mereka, Toyota Gazoo Racing.

    Berbanding model sebelumnya, model facelift ini diberikan gril bawah yang lebih besar, dan mempunyai kemasan pada bampar yang direka dengan apron yang kelihatan lebih lebar. Bahagian bawah gril bampar juga kini telah diwarnakan dengan warna badan bagi menyerlahkan lagi rupa dinamik SUV ini.

    Lampu LED depan dan belakang model ini juga telah direka semula. Untuk bahagian depan, ia dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (juga bertindak sebagai lampu isyarat membelok) yang disepadukan dalam unit lampu tersebut, manakala lampu belakang pula bersambung dengan spoiler berwarna hitam, memberikan imej yang lebih kemas.

    Toyota C-HR <em>facelift</em> 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

    Bagi model Gazoo Racing yang digelar C-HR GR Sport pula, ia hadir dengan bampar hadapan berbeza, diberikan rekaan hampir sama dengan model-model GR Sport lain. Gril bampar model kelihatan lebih bersegi bagi memberikan ruang kemasukan udara yang lebih besar, bersama liang tambahan di bawahnya. Versi ini juga diberikan rim 19-inci kemasan dua tona, direka dengan jejari berbentuk-Y.

    Namun untuk bahagian kabin, C-HR ini menerima perubahan yang minimal, menyaksikan hanya skim warna Orchid Brown sebagai pilihan tambahan baharu. Tetapi untuk versi GR Sport, ia diberikan berberapa ciri lain yang ketara, antaranya adalah roda stereng lebih kecil dan sporty diambil terus dari Toyota 86 facelift, tempat duduk sport, kemasan dalaman berwarna perak gelap, set pedal aluminium, serta logo-logo GR pada tempat duduk, roda stereng dan butang penghidup enjin.

    Kesemua varian C-HR JDM ini dilengkapkan dengan sistem infotainmen Display Audio, hadir dengan sokongan sistem mirroring telefon pintar SmartDeviceLink, Apple CarPlay dan juga Android Auto. Data Communications Module (DCM) juga diberikan yang membolehkan sistem pilihan servis menjejak dari jarak jauh oleh operator pada T-Connect berfungsi, yang juga mempunyai fungsi concierge dan panggilan kecemasan.

    Toyota C-HR <em>facelift</em> 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

    Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Suite juga kekal sebagai ciri standard, yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan bantuan kekal lorong. Ia juga diberi tambahan sistem baharu termasuk sistem intelligent clearance sonar bagi mengelakkan kemalangan akibat pemandu tersalah pijak pedal, dan juga sistem opsyen brek automatik lintasan trafik belakang serta sistem kamera pemantau 360 darjah.

    Untuk pilihan janakuasa pula, model pasaran Jepun ini tidak menerima versi yang dijana oleh sistem hibrid bersama enjin 2.0 liter baharu yang menghasilkan 184 hp. Ia masih kekal dengan dua pilihan seperti sebelum ini – model hibrid 1.8 liter dan juga versi petrol sepenuhnya 1.2 liter turbo.

    Bagi model Hybrid, ia menggabungkan enjin kitaran-Atkinson 1.8 liter empat silinder 2ZR-FXE (94 hp/142 Nm) dan juga motor elektrik (72 hp/163 Nm) bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 hp, dan kadar penggunaan bahan api sehingga 25.8 km setiap liter mengikut standard WLTP.

    Model petrol sepenuhnya pula dijana oleh enjin 8AR-FTS 1.2 liter empat silinder dengan pengecas turbo, berkuasa 115 PS/185 Nm. Kedua-dua versi berkenaan digabungkan dengan kotak gear CVT automatik, tetapi untuk model GR Sport dengan enjin 1.2 liter turbo, pembeli boleh memilih kotak gear manual enam-kelajuan, yang direka bersama sistem rev-match automatik yang akan memberikan kesan sama seperti teknik heel & toe ketika pemandu menurunkan gear secara agresif.

    Bukan itu sahaja, Toyota C-HR GR Sport juga hadir dengan kerangka lebih tegar menerusi pemadanan pendakap pada tengah lantai, dan juga penyerap hentak, spring, bar anti-oleng, dan juga stereng yang ditala semula bagi memberikan pemanduan yang lebih dinamik. C-HR JDM sudah pun mula dijual di Jepun bermula hari ini dengan harga bermula dari 2,367,000 yen (RM91,100) hingga 3,095,000 yen (RM119,100).

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Sept 2019 susut 13%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Sept 2019 susut 13%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk September 2019, di mana sebanyak 44,666 unit kenderaan baharu dijual pada bulan berkenaan. Jumlah berkenaan dilihat menyusut sebanyak 6,482 unit atau 13% berbanding 51,148 unit yang direkodkan pada Ogos 2019.

    Menurut MAA, penyusutan ini disumbangkan oleh banyak cuti umum yang menyebabkan waktu bekerja turut menjadi pendek pada bulan berkenaan, di samping sikap pengguna yang menangguh pembelian mereka untuk menunggu pengumuman Belanjawan 2020.

    Walau bagaimana pun, jumlah kenderaan yang dijual pada September 2019 dilihat lebih tinggi sebanyak 13,426 unit atau 43% berbanding 31,240 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) hingga ke tarikh itu, sembilan bulan pertama 2019 menyaksikan sejumlah 442,991 unit kenderaan telah dihantar, atau kurang 11,864 unit (-2.6%) berbanding tempoh yang sama pada 2018.

    Untuk Oktober 2019, MAA menjangkakan jumlah jualan kenderaan akan meningkat memandangkan waktu bekerja yang lebih panjang sepanjang bulan ini.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Okt: RON97 naik 1 sen seliter

    Harga minyak 19-25 Okt: RON97 naik 1 sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga minyak bagi minggu bertarikh 19 hingga 25 Oktober 2019, di mana ada perubahan yang melibatkan petrol RON97, iaitu naik sebanyak 1 sen seliter, menjadi RM2.68 seliter, berbanding RM2.67 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu tersebut efektif mulai 12 tengahmalam ini.

    Seperti minggu-minggu sebelumnya, harga petrol RON 95 dan diesel masih dikekalkan. Di mana petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

    Untuk diesel Euro 2M, ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 19-25 Okt: RON97 naik 1 sen seliter

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.38 seliter dan RM2.31 seliter masing-masing. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.27 seliter.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 19 Oktober 2019 sehingga 25 Oktober 2019 adalah berjumlah RM123.81 juta.

    Tapi rakyat Malaysia yang tidak layak menyertai Program Subsidi Petrol (PSP) mahupun Kad95 seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, kenalah bersiap sedia dengan harga yang lebih tinggi untuk petrol RON 95 mulai Januari 2020.

     
     
  • Hyundai iMax N – Grand Starex yang boleh drift!

    Selepas hot-hatch i30 N dan Veloster N, ramai yang tertunggu-tunggu model talaan Hyundai N yang lain seperti i20 N dan juga SUV Tucson N. Tetapi nampaknya Hyundai iMax N yang muncul dahulu, iaitu sebuah MPV sebesar bas mini yang boleh drift!

    Namun Hyundai iMax (dikenali sebagai Hyundai Grand Starex di Malaysia) versi berprestasi tinggi ini sebenarnya hanyalah model konsep yang dihasilkan oleh Hyundai N Australia, dan ia akan dipamerkan ketika berlangsungnya perlumbaan World Time Attack Challenge (WTAC) di Sydney Motorsport Park, Australia bermula 18 hingga 19 Oktober ini.

    Seperti model N yang lain, iMax N ini turut hadir dengan warna badan Performance Blue yang sama seperti jentera WRC i20 N. Ia kemudian turut diberikan splitter hadapan yang diubahsuai dari peralatan aftermarket untuk Nissan GT-R R35, manakala di belakang pula ia menerima bampar i30 N sebenar yang diubahsuai. Emblem-emblem N juga diletakkan pada tempat sepatutnya.

    Hyundai iMax N – Grand Starex yang boleh drift!

    Rim ‘bas mini’ ini pun nampak macam rim i30 N kan? Sebab ia memang rim 19-inci dari i30 N dengan Performance Package lengkap dengan tayar Pirelli P Zero 235/35R19, di mana Hyundai N telah mengubahsuai knuckle enam-stud iMax asal kepada lima-stud. Dapat dilihat juga, brek hadapan iMax tersebut kini menggunakan sistem lebih besar dengan angkup empat piston bersama cakera 348 mm, tetapi bahagian belakang masih dengan sistem dram.

    Hyundai iMax N ini masih mengekalkan konfigurasi lapan-tempat duduk. Namun tempat duduk hadapan telah digantikan dengan tempat duduk dari i30 N, manakala tempat duduk belakang pula telah dibalut semula dengan tema yang sama, lengkap dengan sulaman logo N. Roda stereng asal juga telah digantikan dengan roda stereng i30 N, dan ia diubahsuai dengan dipadankan sekali bersama pedal penukar gear.

    Bukan sahaja nampak lebih ‘lumba’, MPV besar ini juga sebenarnya lebih laju dari asal, dan ia ditala bagi membolehkan ia melakukan aksi drift. Enjin 2.5 liter turbodiesel asal iMax ini telah diangkat dari perutnya, dan digantikan dengan enjin V6 3.5 liter Hyundai yang turut disuap bersama dua pengecas turbo, membolehkan ia menjana 402 hp dan tork maksima 555 Nm!

    Kuasa enjin disalurkan ke kedua-dua roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan. Ada LSD pada gandar belakang? Tiada, tetapi Hyundai N telah mengimpal unit differential biasa bagi membolehkan MPV ini melakukan aksi drift di litar Pheasant Wood seperti yang boleh anda tonton pada video di atas. Menurut Hyundai lagi, jentera dengan berat 2.2 tan ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa sekitar lima saat!

    MPV ‘gedabak’ ini juga diberikan sistem suspensi yang dikawal oleh sistem elektronik. Dengan lapan orang penuh di dalam, iMax N ini di dakwa mempunyai nisbah berat antara hadapan dan belakang sempurna 50:50. Gila kan? Oh ya, Hyundai juga akan menyertai WTAC tahun ini menggunakan Hyundai i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama yang berbuat demikian, dalam perlumbaan yang didominasi oleh penala-penala aftermarket berkenaan.

     
     
  • Volvo S60 ditunjuk sekali lagi dalam iklan teaser M’sia

    Selepas iklan acah Volvo S60 terbaru keluar pertama kali untuk pasaran tempatan awal Oktober, kini satu lagi iklan seumpamanya ditunjukkan di laman FB Volvo Car Malaysia (VCM). Ini menjadi petunjuk sahih bahawa model berkenaan akan dilancarkan di sini dalam masa terdekat.

    Untuk pasaran global, S60 menjadi model pertama Volvo yang dipasang di Amerika Syarikat, dan pengedarannya bermula pada suku kedua tahun ini. Malaysia pula merupakan hab pemasangan Volvo dirantau ini, jadi kemungkinan S60 di sini akan keluar dari kilang Volvo di Shah Alam, begitu juga untuk pasaran eksport ke Thailand.

    Volvo S60 ditunjuk sekali lagi dalam iklan <em>teaser</em> M’sia

    Volvo S60 datang dengan dua pilihan, termasuk unit T6 Twin Engine AWD (340 hp/590 Nm) dan T8 Twin Engine AWD (390 hp/640 Nm), yang turut ditawarkan oleh V60. Model versi wagon V60 T8 AWD Inscription juga pernah dikesan di Malaysia, tetapi belum diketahui sama ada model terbabit akan dilancarkan sekali.

    Seperti biasa, kumpulan pertama S60 dijangka akan tiba dalam unit import sepenuhnya (CBU). Seperti S90, XC90 dan XC60 sebelum ini, varian T5 (254 hp dan 350 Nm) juga ada kebarangkalian besar akan turut ditawarkan. Untuk perincian lanjut, nantikan pelancaran rasminya kelak.

     
     
  • Kit Toyota Hilux Wald Black Bison kini di Malaysia

    Kit Toyota Hilux Wald Black Bison kini di Malaysia

    Bagi pemilik Toyota Hilux yang ingin membuatkan trak pikap anda lebih ohsem, ni ada kit badan terkenal dari Jepun yang baru saja dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Rekaan dan keluaran syarikat talaan terkenal, Wald, kit badan Sports Line Black Bison Edition ini memberikan gaya yang lebih agresif buat Hilux, bermula dengan bampar hadapan bersama corong pengambilan udara ala-Mercedes-benz dan skid plat perak. Malah pembeli juga boleh memilih lampu LED dan bonnet scoop serta bug shield

    Fender pula lebih besar, ditambah 55 mm dengan kelebaran trak pada kedua-belah sisi. Bahagian belakang pula ditampilkan dengan tailgate spoiler yang diletakkan lampu belakang, bersama dekorasi pada bampar.

    Wald turut menawarkan roda aloi 12-jejari Jarret sama dengan saiz 20 atau yang lebih besar 22-inci, serta tiga corong ekzos yang cukup menonjol.

    Kit Toyota Hilux Wald Black Bison kini di Malaysia

    Pengedar tempatan, JR Parts Centre di Bandar Sunway, bertanggungjawab dalam mengedarkan kit badan ini, tapi disebabkan ia didatangkan khas dari Jepun, maka harganya bukanlah murah. Bagi keseluruhan set, yang diperbuat daripada gentian fiber untuk bampar hadapan dan belakang, over-fender dan tailgate spoiler, ia ditawarkan pada harga RM15,600. Manakala set tanpa tailgate spoiler pula hanya RM11,500. Dan jika hanya mahu bampar hadapan dan belakang, set ini berharga RM5,500.

    Harga ini tidak termasuk lampu hadapan LED, yang berharga RM1,200. Untuk komponen tunggal, bampar belakang ditawarkan pada harga RM2,050, over-fender pula RM6,000, tailgate spoiler belakang RM3,700, spoiler bumbung hadapan (tiada dalam gambar, lengkap dengan lampu LED), pada harga RM4,400, bug shield untuk bonet pula RM2,600 dan bonnet scoop RM4,000. Kalau nak dapatkan set bug shield dan skop bonet, harganya RM6,800.

    Roda juga boleh tahan mahal, dengan set 20-inci berharga RM13,000 dan bagi 22-inci pula RM17,800. Pengedar ini berkata harga bagi sistem ekzos akan diumumkan kemudian.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Karongsa tawar RM5.2b untuk pemilikan penuh, cadang beri 25% diskaun tol

    Isu ambil alih PLUS: Karongsa tawar RM5.2b untuk pemilikan penuh, cadang beri 25% diskaun tol

    Biar pun Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pemegang saham utama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berpendirian tegas enggan melepaskan pegangannya dalam syarikat konsesi terbabit, namun masih ada lagi syarikat konglomerat berusaha untuk mendapatkannya.

    Terbaru, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Wong Gian Kui menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd, turut menawar sejumlah RM5.2 bilion untuk mengambil alih 100% kepentingan PLUS.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh The Star, Halim telah pun membuat pemohonan tersebut menerusi surat yang dihantar kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

    “Saya berhasrat untuk melaksanakan tawaran ini bersama Wong, ahli perniagaan terkenal, yang kini merupakan ahli lembaga pengarah bagi Insas Bhd, Inari Amertron Bhd, Ho Hup Construction Co Bhd, SYF Resources Bhd dan Yi-Lai Bhd,” ujar Halim menerusi surat bertarikh 11 Oktober. Halim dan Wong berkata, tawaran itu adalah untuk membeli keseluruhan kepentingan dalam PLUS, atau 51% pegangan milik Khazanah.

    Di samping tawaran bernilai RM5.2 bilion itu, pihaknya juga bercadang menawarkan diskaun bagi kadar tol sebanyak 25% dengan tarikh tamat konsesi seperti sebelum ini, hujung Disember 2038, ujar Halim.

    Karongsa merupakan syarikat konglomerat keempat yang menawarkan pengambilalihan PLUS selepas Maju Holdings, RRJ Capitals, dan WIDAD Business Group.

     
     
  • JPJeBid diperluaskan di Selangor pula – sasar kutip RM1j menerusi bidaan siri nombor pendaftaran BQB

    JPJeBid diperluaskan di Selangor pula – sasar kutip RM1j menerusi bidaan siri nombor pendaftaran BQB
    Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) telah diperluaskan di Selangor pula dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mensasarkan kutioan sebanyak RM1 juta bagi penjualan nombor pendaftaran BQB1 hingga BQB 9999 bermula 25 hingga 29 Oktober ini.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata pihaknya menjangkakan peningkatan bagi bidaan siri nombor pendaftaran BQB berbanding siri BQA yang dibuka sebelum ini.

    “Harga bidaan dalam JPJeBid mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu bagi kategori nombor bernilai popular sebanyak RM20,000, nombor menarik sebanyak RM3,000, nombor popular sebanyak RM800 manakala nombor biasa RM300. Kadar kenaikan minimum bidaan adalah lima peratus bagi setiap empat kategori terbabit,” katanya seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    Shaharuddin berkata, setakat ini, nombor pendaftaran kenderaan dari Perak iaitu ALL mencatatkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM3.38 juta. Sejak diperkenalkan April lalu, sistem berkenaan berjaya mengutip hasil bidaan berjumlah RM27.22 juta menerusi 21 siri nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik.

     
     
  • Kerajaan tetap sumbang subsidi petrol walau harga RON95 diapungkan mulai 1 Jan 2020 – KPDNHEP

    Kerajaan tetap sumbang subsidi petrol walau harga RON95 diapungkan mulai 1 Jan 2020 – KPDNHEP

    Bagi mengurangkan impak perubahan harga petrol RON 95 yang bakal diapungkan mulai 1 Januari 2020, kerajaan tetap akan menyumbang subsidi petrol selain melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Menurut Pengarah Bahagian Rasionalisasi Petroleum Kenderaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Amran Ahmad, setiap kali semakan harga minyak dilakukan, kerajaan akan memastikan ia tidak melebihi 5 sen dengan kos selebihnya ditanggung melalui subsidi.

    “Apabila RON95 diapungkan, ia tidak akan naik secara mendadak sebaliknya berperingkat-peringkat. Pemberian subsidi itu diteruskan sepanjang kenaikan secara berperingkat harga minyak RON95 sehingga ia mencapai harga pasaran yang sepatutnya,” katanya kepada Bernama.

    Kerajaan tetap sumbang subsidi petrol walau harga RON95 diapungkan mulai 1 Jan 2020 – KPDNHEP

    Mengenai subsidi petrol kepada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) yang bakal diumumkan awal tahun hadapan, menurut KPDNHEP, selain butiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kelayakan menerima subsidi oleh golongan yang sering dikatakan dihimpit peningkatan kos sara hidup tetapi tidak diberi peruntukan sewajarnya itu akan bersandarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Langkah saringan ketat itu bagi memastikan pendirian kerajaan bahawa subsidi tidak akan diperuntukkan secara membuta tuli sehingga mengundang ketirisan dan pembaziran berupaya direalisasikan.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata panduan lain yang akan digunakan untuk meneliti kelayakan subsidi kepada M40 ialah dengan menyemak 7.5 juta pembayar bil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    “Kita semak bil TNB mereka dan kalau sepanjang tempoh enam bulan, jumlah bil elektriknya ialah sekitar RM100 hingga RM120, maka kita tahu pemegang akaun berkenaan tergolong dalam kelompok bawahan. Ketika ini kita mulakan dengan B40, iaitu kumpulan bujang dan keluarga seramai 10 juta, selain data JPJ yang memberikan jumlah 18 juta, iaitu 11.6 juta kereta serta 6.8 juta motosikal.

    Kerajaan tetap sumbang subsidi petrol walau harga RON95 diapungkan mulai 1 Jan 2020 – KPDNHEP

    “Selepas kita silang semak, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai kereta bawah 1,600cc (kuasa kuda) dan motosikal 150cc ialah 2.9 juta, tetapi kerajaan genapkan kepada tiga juta. Jika Kementerian Kewangan jangkakan penerima subsidi ialah untuk menampung jumlah lapan juta, ia bermaksud lima juta lagi adalah lingkungan yang dimaksudkan, sama ada kelompok bawah, pertengahan atau atas dalam M40,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

    Memperincikan acuan mekanisme, Saifuddin berkata, kerajaan masih berpegang dengan pendirian bahawa bayaran tunai adalah kaedah terbaik, selaras kajian membabitkan amalan negara luar yang menjalankan program subsidi bersasar. Saya terus terang, jujur bahawa kaedah pelaksanaan itu baru diumumkan dan kementerian kami akan duduk dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan prinsip program subsidi bersasar mesti lancar serta tidak kacau bilau pada hari pertama pembayaran.

    “Kami akan cuba mencapai kepastian dalam perkara ini, tetapi yang paling penting rakyat terbanyak dan layak dapat (subsidi) mesti menerimanya,” katanya.

     
     
  • Hyundai Veloster Grappler Concept sedia untuk SEMA

    Hyundai Veloster Grappler Concept sedia untuk SEMA

    Lain macam cara Hyundai. Biasanya, untuk jentera off-road, orang akan guna dan ubah suai trak pikap. Tapi, lain pula ceritanya dengan Hyundai; untuk pameran SEMA tahun ini, syarikat itu memperkenalkan Veloster Grappler Concept.

    Kereta ini bersungguh-sungguh untuk jadi “jahat”. Ia dipasangkan pelindung pada bampar depan dan belakang, skid plate, bonet gentian karbon Seibon, kedudukan badan yang lebih tinggi serta roda Method Racing dengan tayar all-terrain saiz besar.

    Model berkenaan juga dipasangkan dengan bekas barangan Thule pada bumbung, serta panel solar Goal Zero yang boleh dialihkan. Untuk lampu tambahan, ia mengggunakan sistem output tinggi daripada Baja Design. Walaupun hal-hal mekanikal pada Veloster ini masih sama, Hyundai turut memasang sistem ekzos Borla untuk menambah “bunyi” kereta ini.

    Di dalam, versi Grappler ini turut siap datang dengan roll-bar serta mounting untuk bawa tayar ganti saiz penuh. Kereta ini juga lengkap dengan alatan off-road seperti penyodok tanah, penyedia kuasa mudah alih Goal Zero, kit bantuan tepi jalan, kit kecemasan, khemah Napier serta tempat dudukk Recaro.

    Lain-lain kelengkapan termasuk panel suis kustom untuk mengawal sistem lampu yang ada serta aksesori Hyundai yang lain, seperti pedal sport, sport shifter, tikar pelapik semua cuaca dan lain-lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024