Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hadri, Toyota AE86 selamat tiba di Nürburgring!

    Hadri, Toyota AE86 selamat tiba di Nürburgring!

    Akhirnya, selepas 98 hari mengembara dari Putrajaya, Malaysia, Engku Mohamed Hadri telah pun berjaya tiba ke litar Nürburgring di Jerman semalam (2 Nov 2019) bersama Toyota Sprinter Trueno AE86 hanya menerusi jalan darat dengan perjalanan sejauh lebih dari 25,000km!

    Perjalanan yang mengambil masa selama 14 minggu berkenaan memerlukan Hadri dan dua lagi ahli pasukan Retro Havoc World Motorsport Tour iaitu Sharifah Nur Sharmila (juru pandu arah), serta Abdul Rahman Halid (mekanik dan pemandu gantian) merentasi Thailand, Laos, China, Mongolia, Kazakhstan, Russia dan tiba di benua Eropah pertengahan bulan lalu menerusi Latvia.

    Tiada masalah ditimbulkan oleh AE86 ini, dan suspensi yang dibekalkan oleh pakar suspensi tempatan, FTuned Suspension membolehkan kereta tersebut melalui pelbagai permukaan muka bumi dengan selamat. Malah Hadri turut menerima satu set tayar Yokohama Advan AD08R bagi menggantikan tayar Advan Fleva sumbangan Yokohama Tyres Jepun setelah mereka mengetahui AE86 itu berada Beijing, China pada 9 September lalu.

    Hadri, Toyota AE86 selamat tiba di Nürburgring!

    Pasukan ini turut menerima sambutan dari komuniti-komuniti sukan permotoran di setiap negara yang mereka tiba, malah turut dijemput untuk memandu di litar Red Ring, Russia ketika sampai di sana. Malah ketika di China, mereka turut ‘ditahan’ oleh seorang pemuda semata-mata takjub melihat AE86 berkenaan pertama kali di depan mata, yang sebelum ini hanya boleh dilihat di internet, filem dan juga animasi Initial D.

    Sebelum ‘membelasah’ AE86 ini di litar ‘The Green Hell’ berkenaan, Hadri sempat membuat talaan semula kereta berkenaan di Boulogne Autoworks, Belanda. Antara perkara yang dibuat adalah menukar tempat duduk standard belah pemandu kepada tempat duduk bucket penuh, set suspensi baharu juga dari FTuned khas untuk Nürburgring, dan juga satu set tayar Advan AD08R baharu dari Yokohama Malaysia – kesemua ini dipos terus dari Malaysia ke Belanda.

    Bagi yang belum mengenali Hadri dan bagaimana tercetusnya idea serta visinya untuk menamatkan ekspedisi ini, anda boleh membaca artikel khas dari kami pada PAUTAN INI. Macam mana Hadri ‘menyerang’ litar Nürburgring? Enjoy video yang dikirimkan oleh pengasas Retro Havoc, Alie Kuoppa di bawah ini!

     
     
  • PACE 2019 – Harley-Davidson buat tawaran istimewa

    PACE 2019 – Harley-Davidson buat tawaran istimewa

    Selain BMW Motorrad, satu lagi jenama motosikal yang menyertai acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 hujung minggu ini di Setia City Convention Centre adalah Harley-Davidson, dan mereka membawa pelbagai model seperti Street Bob, Fat Bob 114, Iron 883, Iron 1200, Breakout dan FXDR 114 yang baru saja dilancarkan.

    Bukan setakat untuk pameran, pengunjung yang mempunyai lesen motosikal juga boleh menguji sendiri model Street Bob dan Breakout di sekitar kawasan acara. Kalau berminat dengan model FXDR dan Sportster pula, anda boleh mendapatkan pelbagai hadiah apabila membeli di PACE 2019.

    Pembeli cruiser FXDR akan menerima ekzos Screamin’ Eagle yang bernilai RM6,792, secara percuma apabila membeli di PACE 2019, manakala pembeli Sportster pula akan diberi sepasang ekzos Screamin’ Eagle Street Cannon yang bernilai RM4,000, juga secara percuma bersama tempat duduk penumpang dan peletak kaki yang bernilai RM2,500.

    Ada lagi. Sekiranya anda membeli Harley-Davidson FXDR di PACE hujung minggu ini, anda juga akan menerima baucar USD1,000 untuk membeli barangan H-D seperti kelengkapan menunggang dan pakaian di H-D Petaling Jaya dan Pulau Pinang, sementara ada juga barangan lain yang dijual pada harga diskaun 40%.

     
     
  • Pelumba Asia Talent Cup, Afridza Munandar dari Indonesia maut selepas kemalangan di Litar Sepang

    Pelumba Asia Talent Cup, Afridza Munandar dari Indonesia maut selepas kemalangan di Litar Sepang

    Semasa hari pusingan kelayakan dan latihan di Litar Sepang hampir berakhir hari ini, orang ramai dikejutkan dengan insiden yang berlaku semasa perlumbaan pertama Asia Talent Cup. Ia agak serius kerana salah seorang pelumba yang terlibat, Afridza Munandar, 20 tahun dari Indonesia tidak sedarkan diri di atas litar.

    Pekerja perubatan sedaya upaya cuba melakukan rawatan kecemasan di situ juga, dan kemudiannya beliau diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur. Walaupun usaha sebaik mungkin dilakukan, Afridza tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.

    Sebagai pelumba, Afridza mempunyai rekod yang baik, dengan pernah mendapat dua kedudukan sebagai juara, dua kali di tempat kedua dan dua kali di tempat ketiga bagi musim tahun ini. Perlumbaan di Sepang ini juga boleh menjadi penentu sama ada beliau akan menjadi juara keseluruhan.

    Seluruh warga FIM, Dorna Sports dan Idemitsu Asia Talent Cup mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan dan orang tersayang Afridza, sementara pelumba lain pula membuat keputusan untuk meneruskan perlumbaan pusingan kedua esok sebagai peringatan kepada Afridza.

     
     
  • PACE 2019 – BMW Motorrad bawa model S1000RR dan R1250R baru – pembeli dapat baucar dan hadiah

    PACE 2019 – BMW Motorrad bawa model S1000RR dan R1250R baru – pembeli dapat baucar dan hadiah

    Kami percaya pada waktu ini anda pasti sudah melihat banyak berita tentang acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 yang sedang berlangsung hujung minggu ini di Setia City Convention Centre. Sebenarnya pameran ini bukan sahaja untuk kenderaan empat roda, malah anda juga boleh mendekati model motosikal. Antaranya daripada BMW Motorrad.

    Sudah tentu, beberapa model semasa dibawa untuk tontonan dan jualan mereka yang berminat, tetapi ada yang lebih menarik iaitu model S1000RR serta R1250R. Dua model ini baru sahaja dilancarkan semalam dan kehadirannya di PACE menjadi antara penampilan pertama di dalam Malaysia.

    S1000RR yang anda boleh lihat di PACE ini dijual pada harga RM135,800, dan ia adalah unit yang dipasang terus dengan pakej M dan diimport sepenuhnya dari Berlin, Jerman. R1250R pula dipasarkan dengan harga RM102,500 dan pembaharuan penting padanya adalah enjin yang menggunakan teknologi ShiftCam.

    Bagi S1000RR, antara kelengkapan menarik padanya adalah seperti enjin ShiftCam empat silinder 207 hp, rim gentian karbon, kerangka Flex Frame, lengan ayun aluminium rekaan seperti motosikal WSBK, kinematik Full Floater Pro, Dynamic Damping Control (pilihan tambahan), Dynamic Traction Control, DTC Wheelie Function, BMW Motorrad Race ABS, Engine Brake Function dan pelbagai lagi.

    Sekiranya anda membeli motosikal (model tertentu) BMW Motorrad di PACE, anda juga akan menerima baucar barangan gaya hidup yang bernilai sehingga RM2,000, pulangan balik menarik serta pakej pembiayaan yang lebih memudahkan. Selain daripada itu, anda juga akan menerima barangan misteri antaranya seperti GoPro, Garmin atau Touch n’ Go yang mempunyai nilai RM1,000.

    GALERI: BMW R1250R 2019

    GALERI: BMW S1000RR 2019

     
     
  • Audi Q3 2019 dipamerkan di PACE 2019 – 1.4 TFSI S tronic, 147 hp/250 Nm, harga dari RM270k

    Audi Q3 2019 dipamerkan di PACE 2019 – 1.4 TFSI S tronic, 147 hp/250 Nm, harga dari RM270k

    Baru-baru ini Audi Malaysia telah melancarkan Q3 generasi kedua dan kini kami membawakan pula galeri penuh SUV ini yang sedang dipertontonkan di Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran Paultan.org yang kini sedang berlangsung selama dua hari (2-3 Nov 2019) di Setia City Convention Centre (SCCC).

    Pencabar bagi BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA, untuk pasaran kita, Q3 ini hanya dihadirkan dengan varian tunggal – 1.4 TFSI S tronic yang ditawarkan pada harga RM269,900 atas jalan tanpa insurans.

    Dibangunkan dengan platform MQB dari Volkswagen Group, A3 2019 ini lebih panjang sebanyak 97 mm (4,484 mm), 25 mm lebih lebar (1,849 mm) dan 23 mm lebih rendah (1,585 mm) berbanding sebelum ini, dengan jarak roda yang lebih panjang sebanyak 77 mm (2,680 mm). SUV ini turut diberikan rekaan luaran baharu yang ada mirip dengan lain-lain model dalam barisan Audi terkini, termasuk lampu utama LED (dengan bantuan lampu tinggi) dan lampu belakang seperti e-tron.

    Gril bingkai tunggal Audi turut digayakan semula, kini dengan rekaan berbentuk-oktagon dengan bentangan menegak, sementara pakej penggayaan tambahan termasuk kemasan kelabu Manhattan yang menjadi kontras di bahagian bampar. Lain-lain ciri standard termasuklah rel bumbung dengan kemasan aluminium dan roda aloi lima-jejari 18-inci.

    Di dalamnya, bentangan papan pemukanya tidak seperti A6 dan A7, tiada skrin kedua di bahagian tengah. Sebaliknya, ia menempatkan skrin sesentuh sentral 10.1-inci yang disambungkan pada sistem infotainmen MMI Navigation Plus dengan MMI touch dan Audi Connect.

    Turut ditampilkan ialah paparan instrumen digital Audi virtual cockpit plus 12.3-inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan sokongan lumbar empat-hala, upholstery kulit, kawalan suhu dwi-zon, antara muka telefon pintar Audi, roda stereng balutan kulit tiga-jejari, kemasan pemuka hitam berkilat, kemasan ambang pintu dengan aluminium serta Audi Drive Select. Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia didatangkan dengan ESC, bantuan penahan, kawalan kelajuan, bantuan menurun bukit dan sistem parkir Audi.

    Untuk mengetahu perincian lebih lanjut mengenai Audi Q3 ini boleh diperoleh menerusi Carbase.my.

     
     
  • Benelli Imperiale 400 tiba di M’sia – harga RM15,888

    Benelli Imperiale 400 tiba di M’sia – harga RM15,888

    Semasa minggu MotoGP yang berlangsung sekarang di Litar Sepang, Benelli telah melancarkan sebuah model klasik untuk pasaran Malaysia, iaitu Imperiale 400. Versi asasnya dijual pada harga RM15,888 tidak termasuk insurans, sementara beg tepi yang boleh dilihat pada model yang dipamerkan itu dijual secara berasingan.

    Motosikal ini menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api dengan sistem penyejukan udara, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 20.8 hp pada 5,500 rpm dan 29 Nm tork pada 4,500 rpm. Enjin ini juga mendapat penarafan emisi Euro 4.

    Daripada enjin, kuasa disampaikan kepada roda belakang menggunakan sistem rantai, dan motosikal ini turut dilengkapi dengan pemula enjin elektrik. Rim yang digunakan pada Imperiale 400 ini adalah unit spoked dengan saiz 19 inci di hadapan bersama tayar 110/90 dan 18 inci di belakang dengan tayar 130/80.

    Brek Imperiale 400 datang dengan sistem ABS, dengan di hadapan mempunyai cakera 300 mm tunggal serta angkup dua piston terapung, manakala di belakang pula mempunyai cakera 240 mm serta angkup satu piston. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik dengan jarak gerak 121 mm, manakala di belakang terdapat dua penyerap dengan jarak gerak 55.5 mm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, berat 197 kg, jarak dari tanah 165 mm, pelapik getah di tepi tangki, serta cermin sisi dan ekzos krom. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna berserta jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Volkswagen Beetle Retro edisi terhad di PACE 2019 – tiga unit sahaja, dua warna, berharga RM170,539

    Volkswagen Beetle Retro edisi terhad di PACE 2019 – tiga unit sahaja, dua warna, berharga RM170,539

    Volkswagen Beetle merupakan ikon yang tidak memerlukan pengenalan panjang di dalam dunia automotif. Walaupun telah diberhentikan pengeluarannya, status dan sejarah panjangnya telah meletakkan Beetle pada tahap tersendiri dan akan sentiasa didambakan oleh peminat-peminatnya.

    Untuk pasaran Malaysia, selepas pengenalan Collector’s Edition Julai lalu, kini ada satu lagi versi edisi terhad untuk Beetle yang ditawarkan ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 – Volkswagen Beetle Retro Edition.

    Dijual pada harga RM170,593, kelainan yang ditampilkan hanyalah perbezaan bagi aksesori Retro yang bernilai RM17,498. Tambahan atau kelainan berkenaan termasuk rim 17-inci Circle White, spoiler belakang, aluminium scuff dan juga VW Tint. Lebih unik, hanya ada tiga unit versi ini dihasilkan – dua daripadanya dalam warna biru dan sebuah dalam warna putih, seperti yang dilihat ini.

    Selebihnya, tiada perubahan dilakukan terhadap unit edisi terhad ini. Ia kekal menggunakan enjin empat-silinder petrol 1.2 liter TSI yang mampu menghasilkan 103 hp pada 5,000 rpm dan 175 Nm tork pada 1,550 rpm. Kuasa berkenaan disampaikan kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

    Dari sudut keselamatan, sama seperti versi sebelum ini, ia dilengkapi antaranya dengan ABS dan BA, kawalan cengkaman, ESC, bantuan mula mendaki dan lain-lain. Ada yang berminat dengan edisi terhad Beetle yang satu ini? Bagaimana dengan rekaan rim dan tambahan lain, berbaloi dengan harga yang dikenakan?

     
     
  • Range Rover Evoque generasi kedua dipertonton di Malaysia di PACE 2019 – lancar pada Q1 2020

    Range Rover Evoque generasi kedua dipertonton di Malaysia di PACE 2019 – lancar pada Q1 2020

    Range Rover Evoque generasi kedua telah pun membuat penampilan di peringkat global buat pertama kalinya pada November 2018, dan SUV tersebut kini telah pun berada di Malaysia untuk dipertontonkan secara rasmi di Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran Paultan.org yang kini sedang berlangsung selama dua hari (2-3 Nov 2019) di Setia City Convention Centre (SCCC).

    Dibina dengan platform Premium Transverse Architecture campuran material Land Rover, Evoque terkini ini tidak mengalami perubahan saiz yang ketara berbanding model asalnya, ia berukuran 4,371 mm panjang (tidak berubah dari sebelumnya), 1,904 mm lebar (+4 mm) dan 1,649 mm tinggi (+14 mm). Walau bagaimana pun, ruang kabinnya sedikit besar dengan penggunaan platform baharu ini, dan jarak rodanya pula meningkat sebanyak 21 mm menjadi 2,681 mm.

    Bagi aspek rekaannya, banyak sifatnya dari generasi pertama dibawa ke model baharu ini termasuk garis bumbung yang menurun kebelakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas. Otot-otot yang diberikan pada kesemua ruang roda, bersama rim 21-inci baharu menggambarkan “sikap yang teguh dan dinamik”. Walau bagaimana pun, bagi menampakkan kesegarannya, imejnya kini banyak dipengaruhi dari Velar termasuk lampu utama LED yang lebih langsing, lampu indikator yang melunjur, pemegang pintu tersorok dan juga susunan lampu belakangnya.

    Range Rover Evoque generasi kedua dipertonton di Malaysia di PACE 2019 – lancar pada Q1 2020

    Malahan rekaan untuk kabinnya juga banyak dipengaruhi dari Velar termasuklah bentangan papan pemuka yang lebih ringkas dengan corong pengudaraan yang lebih nipis. Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo (menampilkan perisian baharu yang lebih pantas), tempat duduk dengan kawalan 16-hala serta ionisasi udara kabin.

    Ruang kargo pula dihasilkan dengan kapasti 591 liter atau 10% lebih besar, membolehkan ia diisi dengan satu beg golf. Malah jika mahu ruang yang lebih luas, lipat tempat duduk belakang (dengan nisbah 40:20:40) sepenuhnya, dan kapasiti boleh dipertingkatkan sehingga 1,383 liter.

    Varian yang dipertontonkan oleh Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) ini dijanakan oleh penjana kuasa P200 AWD, yang terdiri daripada enjin Ingenium 2.0 liter turbocharged empat-silinder dengan 200 PS (197 hp) dan tork 320 Nm, transmisi automaiyk sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda (dengan Terrain Response 2).

    Menurut JLRM, pelancaran rasminya mungkin akan berlangsung pada suku pertama 2020, tetapi tidak pula memberikan sebarang perincian mengenai harganya.

    GALERI: Range Rover Evoque generasi kedua

     
     
  • Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Renault Koleos facelift 2020 secara rasminya telah membuat penampilan sulung di Malaysia, di acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 anjuran paultan.org yang berlangsung hujung minggu ini, 2 & 3 November 2019 bertempat di Setia City Convention Center. Dua varian ditawarkan, dengan tanda harga bermula RM179,888 bagi Koleos Standard manakala Koleos Signature pula dijual pada harga RM189,888.

    SUV segmen-D ini masih mengekalkan enjin 2.5 liter NA empat-silinder dengan janaan kuasa 171 PS dan tork 226 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear X-Tronic CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, menawarkan anggaran penggunaan bahan api sekitar 8.1 liter per 100 km.

    Antara ciri yang dipertingkatkan untuk model facelift ini termasuklah bampar hadapan baru dengan tambahan kemasan krom yang dilanjutkan sehingga ke sekeliling lampu kabus. Bampar belakang juga menerima rekaan baru, menampilkan perincian krom tambahan dengan kemasan dua-tona.

    Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Versi Koleos yang lebih murah dipadankan dengan roda 18-inci, sementara varian Signature menerima roda 19-inci. Malah warna luaran baharu turut diperkenalkan iaitu Amethyst Black, Millesime Red, dan Ultra Silver. Warna sedia ada Universal White dan Black Metallic masih dikekalkan.

    Di dalam, ia didatangkan dengan sistem infotainmen R-Link2 8.7-inci baru dengan sokongan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta kedua-dua tempat duduk hadapan dengan larasan elektrik. Manakala tempat duduk belakang pula kini tampil dengan fungsi yang boleh dibaringkan untuk keselesaan optimum. Bumbung panoramik pula hanya untuk Koleos Signature. Kedua-dua varian juga menerima tailgate larasan kuasa automatik sebagai standard.

    Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Model ini ditawarkan dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan serta penyelenggaraan percuma juga selama lima-tahun atau 100,000 (yang mana tiba dahulu).

    Bagi tempahan yang dibuat dalam bulan November, pembeli boleh menikmati ganjaran sehingga RM15,000 dengan menukar milik kenderaan sedia ada – nilai akan ditambah dengan apa yang ditawarkan selepas proses penilaian kenderaan terbabit. Selain itu, Koleos baru ini juga ditawarkan melalui program langganan Renault dengan bayaran bulanan bermula RM2,299.

     
     
  • PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    Hujung minggu ini, sekiranya anda memang merancang untuk membeli atau sedang mempertimbangkan untuk menukar kenderaan terutamanya dari jenama-jenama premium, hanya ada satu tempat yang perlu anda kunjungi; Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org yang berlangsung hari ini dan esok (2 & 3 November) bertempat di Setia City Convention Centre, bermula 9 pagi hingga 7 malam.

    Banyak jenama yang terlibat memberikan tawaran khas dan eksklusif, jadi jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan kelebihan yang yang ada ini. Antara jenama yang ikut serta dengan promosi menarik ialah Audi, BMW, Bufori, Harley-Davidson, Jaguar, Land Rover, Mazda, Mercedes-Benz, MINI, Renault, Subaru, Volkswagen dan Volvo.

    Bagi Audi, pelanggan yang membuat tempahan antara 2-10 November akan berpeluang memenangi hadiah utama berupa pakej Audi Driving Experience di Jerman bernilai RM40,000. Hadiah kedua pula ialah baucar beli-belah bagi aksesori tulen Audi bernilai RM5,000, sementara hadiah ketiga berupa perakam trafik universal di depan (UTR) bernilai RM2,500. Bagi unit-unit terpakai, potongan sehingga 65% akan diberikan.

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    BMW pula menawarkan rebat berjumlah RM25,000 bagi model terpilih, dan pembeli juga boleh menikmati insurans kenderaan complimentary selama setahun bernilai RM7,000 serta kadar faedah serendah 0.33% (tertakluk kepada terma dan syarat). Setiap pembelian model PHEV pula didatangkan dengan kabel pengecas pantas AC BMW i percuma.

    Bagi MINI, semua tempahan yang dibuat akan diberikan kemeja-T percuma. Ketika penyerahan kenderaan, pelanggan akan menerima pula pengering rambut Dyson Supersonic serta kad Touch n’ Go dengan nilai RM1,000. Model terpilih pula akan didatangkan dengan rebat insurans percuma dan/atau kadar faedah serendah 0.77% setahun. Pelanggan juga berpeluang memenangi perjalanan ke UK untuk dua orang melalui peraduan cabutan bertuah yang diadakan.

    Tidak lupa juga kepada motosikal oleh BMW Motorrad, yang turut mempamerkan model terbaru S1000RR dan R1250R; setiap tempahan akan menerima baucar bagi cenderahati gaya hidup bernilai RM2,000 (bagi model terpilih), rebat menarik serta pakej pembiayaan mudah. Pelanggan yang membuat tempahan juga akan menerima hadiah misteri – antara GoPro, Garmin atau Touch n’ Go (dengan nilai kad RM1,000).

    Bagi Jaguar Land Rover, pengunjung akan dapat melihat buat pertama kali model Evoque terbaru yang turut dipamerkan terlebih dahulu, sebelum dilancarkan. Bagi model Velar, ditawarkan secara percuma ialah pemijak sisi automatik bernilai RM20,000, serta ciri Apple CarPlay dan Android Auto percuma, bernilai RM3,000. Bagi Jaguar juga sama; SUV Jaguar F-Pace ditawarkan dengan pemijak sisi automatik percuma bernilai RM20,000. Mana-mana tempahan model kedua-dua jenama ini juga akan menerima jam tangan chronograph bernilai RM2,500.

    Hap Seng Star pula menawarkan pakej Star Agility Care untuk kenderaan Mercedes-Benz bagi pelanggan yang membeli C 200 atau GLC 200 yang merangkumi bayaran bulanan menarik, insurans kenderaan komprehensif, pakej servis bersepadu empat kali, insurans tayar dan rim serta akses kepada program MobilityPlus. Selain itu, promosi sedia ada termasuk akses tiga kali ke Plaza Premium Lounge di KLIA serta peluang memenangi 100 gram emas 999.9. Turut dipamerkan ialah Mercedes-AMG A35 Sedan, A 250 Hatchback AMG Line, GLA 200 Urban Line dan GLC 250 4Matic AMG Line.

    Mazda pula menawarkan barisan model terpakai bermula pada harga RM143,000, merangkumi barisan lengkap model-model sedan dan SUV sedia ada, termasuk model CX-9 2.5L Turbo 2WD. Mana-mana model yang dipilih, semua model terpakai Mazda didatangkan dengan jaminan kilang dan pakej servis percuma sehingga lima tahun, sah bermula dari tarikh pembelian dibuat. Cenderahati Mazda turut akan diberikan.

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    Ruang pameran Renault pula akan dihiasi dengan kehadiran model SUV Koleos 2020 terbaru, disamping model Megane RS 280 Cup. Kedua-dua model ini juga kini ditawarkan melalui program langganan Renault, bermula dari RM2,299. Bagi Subaru pula, ruang pameran jenama ini akan dihiasi oleh model-model seperti Subaru WRX dan Subaru Outback dengan ciri EyeSight.

    Menarik di ruang pameran Volkswagen pula ialah kelibat Volkswagen Beetle Retro edisi terhad. Hanya ada tiga unit model terbabit ditawarkan – dua dalam warna biru dan satu warna putih dan dijual pada harga RM162,388, ia melibatkan aksesori retro bernilai RM17,498. Tidak lupa juga, barisan kenderaan terpakai Volkswagen yang dipamerkan di bahagian luar turut ditawarkan pada harga menarik. Arteon juga ada dipamerkan dan dibuka untuk tempahan.

    Volvo pula segar dengan penawaran model yang baru saja dilancarkan, sedan S60. Bagi unit-unit Volvo terpakai, penjimatan sehingga RM70k ditawarkan kepada pelanggan, bagi model-model terpilih. Bagi mereka yang berhasrat untuk membeli kenderaan baru Volvo, mereka akan menikmati servis standard lima-tahun (VSA5+) percuma serta Volvo Car Insurance Plus untuk setahun secara percuma.

    Selain itu, sebagai tambahan, tawaran menarik turut disediakan oleh paultan.org sendiri. Bagi 150 pembeli kenderaan baru terawal, anda akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,450; ini termasuk RM770 baucar 3M Tint, RM680 baucar keahlian Babel Fit, RM500 baucar beli-belah Reebonz dan RM500 baucar Kuzig Glanz.

    Kami juga menawarkan baucar gabungan bernilai RM1,270 bagi 50 tempahan terawal kenderaan terpakai, termasuk RM770 3M Tint dan RM500 baucar Kuzig Glanz. Cabutan bertuah turut menanti mereka yang mengesahkan pembelian (pinjaman telah diluluskan) ialah 10 telefon Samsung Galaxy Note 10 terbaru bernilai RM3,699*, serta hadiah utama percutian untuk dua orang bernilai RM25,000*.

    Acara ini turut menerima tajaan bersama dari Michelin yang turut mempamerkan barisan tayar berkualiti tinggi seperti Energy XM2+, Primacy 4 sehinggalah kepada tayar prestasi Pilot Sport 4, Pilot Sport 4 SUV dan Pilot Sport 4 S. Selain itu, TyrePlus yang beroperasi di 22 negara untuk menyediakan khidmat penyelenggaraan kenderaan juga bertindak sebagai penaja bersama.

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    Penganjuran sulung PACE tahun lalu berjaya menyaksikan sebanyak 214 unit kenderaan bernilai RM50 juta terjual dalam tempoh dua hari – 180 unit kenderaan baru dan 34 unit kenderaan terpakai. Jika anda belum pernah berkunjung ke acara ini, jangan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada pengunjung untuk hari ini dan esok.

    *Bagi Volkswagen Passenger Cars Malaysia, ia sah untuk semua model kecuali Volkswagen Polo, Volkswagen Vento dan Volkswagen Jetta. Bagi Renault, sah untuk model Koleos dan Renault Megane RS. Bagi Subaru, sah untuk semua model kecuali Subaru XV dan Subaru Forester 2.0i-L. Bagi Mazda, sah untuk semua model kecuali Mazda2, Mazda 3 1.5L, Mazda CX-3, Mazda CX-5 2.0 Mid 2WD dan Mazda BT-50. Tidak sah untuk motosikal Harley-Davidson.

     
     
  • Triumph Street Triple 765RS 2020 dilancar untuk M’sia – beberapa bahagian dipertingkat, harga masih RM68k

    Triumph Street Triple 765RS 2020 dilancar untuk M’sia – beberapa bahagian dipertingkat, harga masih RM68k

    Pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd melancarkan secara rasmi Street Triple 765RS 2020 untuk pasaran Malaysia pada harga RM67,900 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga jualan yang sama seperti Street Triple 765RS 2019 sedangkan model baru ini mempunyai beberapa peningkatan.

    Perubahan paling jelas untuk model tahun 2020 ini adalah bentuk lampu LED hadapannya yang lebih kecil serta DRL LED yang berbentuk seperti kening. Enjin tiga silinder 765 cc yang sama masih digunakan, malah kuasa maksimum juga sama iaitu 123 PS pada 11,750 rpm dan 79 Nm tork pada 9,350 rpm, tetapi penunggang akan dapat menikmati sembilan peratus lebih kuasa pada tahap rpm pertengahan.

    Maklum balas pendikit diperbaiki, dengan kini ia boleh dipulas dengan tujuh peratus kurang usaha. Turut dipasang adalah ekzos dengan dua catalytic converter, yang bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi juga membenarkan aliran udara ekzos yang lebih lancar. Untuk memberikan keseimbangan antara bunyi intake dan juga bunyi ekzos, sistem pengudaraan masuk diubah sedikit.

    Kotak gear model baru ini turut diusik untuk memberikan penukaran lebih lancar dan mengurangkan berat, manakala gear satu dan dua pula lebih pendek untuk memberikan pecutan lebih baik. Dalam keadaan standard, model ini datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Sekali imbas, panel paparan TFT-LCD berwarna penuh pada model ini nampak sama, tapi sebenarnya ia mempunyai empat gaya paparan dan empat warna yang berbeza. Sudut skrin juga boleh dilaras seperti Speed Triple 1050 untuk menyesuaikannya dengan ketinggian penunggang yang berbeza.

    Melalui panel paparan ini juga penunggang dapat menikmati sistem sambungan baru. Apabila disambungkan dengan modul Bluetooth yang dijual secara berasingan, ia boleh mengawal kamera GoPro, menunjukkan navigasi dan mengawal telefon serta muzik menggunakan butang pada bahagian pemegang.

    Triumph Street Triple 765RS 2020 dilancar untuk M’sia – beberapa bahagian dipertingkat, harga masih RM68k

    Kelengkapan lain 765RS 2020 ini masih sama seperti sebelumnya termasuk angkup brek Brembo M50 dengan cakera 310 mm di hadapan, angkup satu piston dan cakera 220 mm di belakang, serta fork Showa Big Piston Forks (BPF) dan monoshock Ohlins STX40 yang boleh dilaras sepenuhnya. Tayar standard adalah Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.

    Dua warna disediakan untuk Street Triple 765RS 2020 ini iaitu Matte Jet Black dengan pelekat Aluminium Silver dan Kuning, atau Silver Ice dengan pelekat Diablo Red dan Aluminium Silver – jalur merah pada rim dicat menggunakan tangan. Seperti biasa, pemilik juga boleh memilih pelbagai aksesori yang disediakan oleh Triumph untuk motosikal ini seperti ekzos daripada Arrow.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Nov: RON97 turun 3 sen seliter

    Harga minyak 2-8 Nov: RON97 turun 3 sen seliter

    Buat dua minggu berturut-turut harga runcit petrol RON97 dilaporkan mengalami penurunan. Kementerian Kewangan mengesahkan untuk minggu bertarikh 2 hingga 8 November 2019, harga runcit bahan api tersebut turun sebanyak 3 sen seliter iaitu RM2.56 seliter, berbanding RM2.59 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu tersebut efektif mulai 12 tengah malam ini.

    Namun demikian harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.26 seliter dan RM2.33 seliter masing-masing. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.29 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.29 seliter.

    Harga minyak 2-8 Nov: RON97 turun 3 sen seliter

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 2 November 2019 sehingga 8 November 2019 adalah berjumlah RM86.25 juta.

    Namun, ingin diingatkan sekali lagi, mulai Januari 2020, harga runcit petrol RON95 akan menjadi lebih tinggi memandangkan kerajaan yang telah mengumumkan penarikan balik subsidi bahan api tersebut, melainkan untuk golongan B40 yang layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) dan juga Kad95 untuk golongan M40.

     
     
  • Mazda CX-5 2.5L Turbo dilancarkan di Thai – RM256k

    Mazda CX-5 2.5L Turbo dilancarkan di Thai – RM256k

    Model Mazda CX-5 facelift telah pun dilancarkan di Thailand, sebulan selepas SUV segmen-C tersebut diperkenalkan di negara kita. Dipasang di Malaysia, seperti pasaran kita, barisan CX-5 baharu ini turut disertakan dengan varian CX-5 2.5L Turbo.

    2.5L Turbo SP 4WD merupakan varian tertingi untuk CX-5 2019 dan ditawarkan pada harga 1.85 juta baht, atau pun RM256k. Jauh lebih mahal berbanding harga di negara kita yang hanya RM178k.

    Enjin yang digunakan oleh 2.5 liter turbo adalah sama dengan yang menjanakan CX-9, dan risalah di Thailand mengesahkan hamburan kuasannya mencecah 231 hp dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Penjana kuasa ini digandingkan bersama transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda i-Activ secara standard, tetapi tiada pedal penukar gear untuk mod manual.

    Mazda CX-5 2.5L Turbo dilancarkan di Thai – RM256k

    Eksklusif untuk varian Turbo, ia didatangkan dengan headlining hitam, pencahayaan ambien, cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan fungsi auto kelam, kemasan kayuan, kulit Nappa coklat dan tempat duduk dengan pengudaraan.

    Ciri-ciri lain termasuk aloi 19-inci dengan tayar siri 225/55, bumbung matahari, lampu utama LED adaptif auto, bilah pengelap cermin auto, tailgate berkuasa, dan butang penghidup enjin/kemasukan pintar. Varian tertinggi CX-5 ini turut ditampilkan dengan sistem Bose Surrond Sound 10-pembesar suara.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia didatangkan dengan Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support Forward (SCBS F), Smart City Brake Support Reverse (SCBS R), Driver Attention Alert (DAA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Lane-Keep Assist System (LAS) are all available, dengan tambahan dalam Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

    Jadi, dengan harga yang agak ‘mengejutkan’ di Thailand, kira adillah sebab ada beberapa ciri yang varian sana dapat, tapi tidak ditampilkan untuk model Malaysia, iaitu sistem audio Bose, tempat duduk kulit Nappa dengan fungsi pengudaraan, kemasan kayuan, bumbung matahari dan MRCC. Kalau semua ciri sama dengan model Malaysia, pastinya harga pun sama mahal juga kan?

    GALERI: Mazda CX-5 2.5 Turbo GLS AWD, spesifikasi Malaysia

     
     
  • Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    TC Euro Cars telah mengumumkan pertambahan terbaru bagi Program Langganan Renault yang kini turut menawarkan model Renault Megane RS 280 Cup. Pelanggan kini berpeluang memandu pulang kereta ini tanpa perlu meletak bayaran pendahuluan dalam jumlah yang besar atau mengambil pinjaman dengan kadar faedah tinggi dalam tempoh yang lama untuk tujuan itu.

    Kedua-dua varian RS280 Cup sah untuk program ini, bagi tempoh satu hingga tiga tahun langganan. Pembeli boleh memilih antara Fixed Plan atau Switch Plan.

    Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    Pelan kekal lebih teratur, ditawarkan bagi tempoh satu, dua atau tiga tahun. Ia merangkumi kadar bayaran bulanan yang termasuk di dalamnya cukai jalan, insurans dan kos penyelenggaraan biasa bermula pada harga RM3,999 sebulan.

    Pelanggan yang memilih pelan tukaran pula akan menikmati akses kepada keseluruhan barisan model Renault tanpa perubahan kadar yang diumumkan sebelumnya. Switch Plan ini menawarkan Renault Captur dengan pilihan untuk penggunan Renault Koleos dan Megane RS 280 Cup dalam tempoh langganan berkenaan.

    Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    Selain itu, Switch Plan juga datang tanpa had perbatuan dan tiada denda pembatalan. Semua bayaran adalah termasuk insurans, cukai jalan dan kos servis biasa. Kos alat ganti juga akan dimasukkan sekali di dalam pelan ini.

    Megane RS 280 Cup dalam unit terhad kini boleh didapati melalui program langganan. Jika anda berminat, elok disegerakan. Anda boleh melakukan tempahannya di acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 anjuran paultan.org dan ditaja bersama oleh Michelin dan TyrePlus hujung minggu ini. Megane RS 280 Cup turut akan berada di acara ini yang berlangsung dari 2-3 November 2019, dari jam 9 pagi hingga 7.00 malam di Setia Alam Convention Centre.

     
     
  • BMW S1000RR 2019 dilancar untuk Malaysia – versi M dengan rim gentian karbon, harga jualan RM138,500

    BMW S1000RR 2019 dilancar untuk Malaysia – versi M dengan rim gentian karbon, harga jualan RM138,500

    Sempena minggu perlumbaan MotoGP di Sepang hari ini, BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan versi terbaru superbike terkenal mereka, S1000RR. Ini adalah model yang diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali semasa pameran EICMA tahun lepas, dan dipanggil sebagai model tahun 2019.

    Hampir keseluruhan bahagian model baru ini direka semula termasuklah penampilan, kerangka, enjin, suspensi dan geometri. Selain daripada itu, BMW Motorrad Malaysia juga buat masa sekarang cuma membawa masuk versi tertinggi bagi model ini, iaitu dengan pakej M yang memberi rim gentian karbon, bateri serba ringan, kit casis M, tempat duduk sport, Pro Mode serta warna cat Motorsport. Harganya adalah RM138,500.

    Seperti yang boleh anda lihat, tiada lagi rekaan lampu berbeza bentuk di hadapan S1000RR ini, sebaliknya BMW menggunakan rekaan yang sama untuk kedua-dua belah kiri dan kanan, dengan di tengahnya terdapat bukaan udara sementara panel yang digunakan juga kelihatan lebih tajam.

    Bentuk kerangka utama juga diubah, dengan kini melibatkan rekaan yang dipanggil sebagai Flex Frame dan membenarkan bahagian tangki, pemegang, tempat duduk serta kedudukan kaki diubah untuk memberikan ergonomik yang lebih baik untuk tunggangan sporty.

    Melalui model baru ini juga, penunggang dapat menikmati tunggangan yang lebih dinamik dan tepat kerana bahagian suspensi diubah sepenuhnya termasuk geometri. Sudah tentu, ia boleh dilaras sepenuhnya, dan disokong lagi dengan barangan seperti lengan ayun aluminium rekaan seperti motosikal WSBK, kinematik Full Floater Pro, Dynamic Damping Control (pilihan tambahan) dan untuk bahagian belakang sahaja, ia lebih ringan 300 gram.

    Tidak cukup dengan kuasa 199 hp yang didapati daripada enjin empat silinder selari 999 cc pada model sebelum ini, BMW telah meningkatkan kuasa S1000RR 2019 menjadi 207 hp pada 13,500 rpm dan tork 113 Nm pada 11,000 rpm (masih sama) hasil daripada penggunaan teknologi ShiftCam baru, serta laluan udara dan sistem ekzos (1.3 kg lebih ringan) yang diubah.

    BMW S1000RR 2019 dilancar untuk Malaysia – versi M dengan rim gentian karbon, harga jualan RM138,500

    Pada bahagian elektronik, S1000RR 2019 ini sekarang mempunyai pengesan 6-axis, seterusnya membolehkan ia dilengkapi dengan fungsi seperti Dynamic Traction Control, DTC Wheelie Function, BMW Motorrad Race ABS serta Engine Brake Function yang boleh dilaras sepenuhnya.

    Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan Launch Control, Pit Lane Limiter, Shift Assistant Pro (boleh ditukar dengan mudah kepada GP-Style), Electronic Cruise Control serta empat mod tunggangan secara standard iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race (boleh ditambah dengan pilihan Pro Mode). Untuk bahagian panel instrumen, model ini menggunakan skrin TFT 6.5 inci baru dengan paparan yang boleh diubah.

    Unit yang dipasarkan di Malaysia adalah diimport sepenuhnya dari Berlin, Jerman dan ia didatangkan bersama jaminan serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun. Buat masa sekarang BMW Motorrad Malaysia juga cuma mahu menumpukan perhatian kepada model dengan pakej M ini, dan waktu ketibaan model standard yang lebih mampu milik tidak diberitahu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024