Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Berlaku kesesakan teruk di Puchong hari ini, mungkin ramai yang ingkar PKP – Ketua Polis Selangor

    Berlaku kesesakan teruk di Puchong hari ini, mungkin ramai yang ingkar PKP – Ketua Polis Selangor

    Terdapat video tular di laman media sosial hari ini yang memaparkan rakaman kesesakan lalu lintas yang teruk di hadapan Plaza IOI, Puchong. Bagaikan tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula.

    Perkara ini turut mendapat perhatian Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, yang tidak menolak kemungkinan kesesakan tersebut disebabkan ramai yang ingkar PKP. Walau bagaimana pun, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Serdang, meninjau lokasi berkenaan bagi mendapatkan faktor utama kesesakan yang dianggarkan lebih satu kilometer itu.

    “Saya sendiri pelik kenapa berlakunya kesesakan teruk di kawasan itu sedangkan cara dan prosedur sekatan jalan raya (SJR) yang dibuat dalam bentuk yang sama seperti sebelum ini. Jadi kita percaya kesesakan ini adalah disebabkan tindakan segelintir pihak yang mengingkari arahan PKP,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Berlaku kesesakan teruk di Puchong hari ini, mungkin ramai yang ingkar PKP – Ketua Polis Selangor

    Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan alasan tidak munasabah terhadap mana-mana pihak yang mengingkari arahan PKP termasuk tindakan cuba keluar rumah.

    “Arahan polis jelas, sesiapa yang mengingkari arahan PKP ini dan ditahan semasa melalui SJR berkenaan akan ditahan dan dikompaun RM1,000. Kita (Polis Selangor) juga sedang mendapatkan maklum balas dari beberapa lokasi lain di seluruh Selangor yang mencatatkan jumlah kenderaan yang begitu tinggi di atas jalan raya hari ini,” katanya.

    Noor Azam turut mengulangi bahawa cara dan prosedur SJR masih dalam bentuk yang sama dengan membuka satu atau dua lorong namun apabila wujud kesesakan teruk, itu adalah disebabkan kehadiran jumlah kenderaan yang tinggi.

    Berlaku kesesakan teruk di Puchong hari ini, mungkin ramai yang ingkar PKP – Ketua Polis Selangor

    Tambahnya, kesesakan teruk di Puchong juga berpunca daripada tindakan polis membuka satu lagi SJR di kawasan berhampiran selepas pengguna yang melalui laluan di kawasan Plaza IOI, Puchong cuba mengelak diperiksa polis. Pengguna terpaksa melalui sekatan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan menempuh sekatan berkenaan.

    “Ini berkemungkinan ada antara pengguna jalan raya terbabit melakukan kesalahan PKP dengan mengingkari arahan tidak keluar rumah. Kesan daripada cubaan menggunakan laluan lain yang sebelum ini tidak disekat akhirnya menyebabkan kesesakan teruk dan jumlah kenderaan yang tinggi berbanding fasa satu dan dua PKP,” katanya.

    Petang tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan, bagi fasa ketiga PKP yang bermula esok, kerajaan telah bersetuju membenarkan pihak PDRM untuk tidak akan lagi beri tumpuan terhadap kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada pesalah ingkar PKP. Sebaliknya pesalah PKP akan direman dan dihadapkan ke mahkamah. Menurutnya lagi, di bawah Seksyen 24 Akta 342 menyebut bahawa mahkamah boleh menghukum individu yang disabit kesalahan ini dengan penjara tidak lebih dua tahun atau lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

     
     
  • Beberapa laluan menghala ke Jambatan Kedua Pulau Pinang terus ditutup sepanjang PKP fasa ketiga

    Beberapa laluan menghala ke Jambatan Kedua Pulau Pinang terus ditutup sepanjang PKP fasa ketiga

    Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), syarikat yang mengendalikan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), atau turut dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang telah memaklumkan beberapa laluan menghala ke jambatan berkenaan terus ditutup sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga hingga 28 April ini.

    Laluan yang ditutup ialah Batu Maung Ramp 4 (BMR4) iaitu susur dari George Town ke JSAHMS, Bandar Cassia Ramp 7 (BCR7) iaitu susur masuk dari Batu Kawan Industrial Park (BKIP) ke JSAHMS dan Plaza A di Plaza Tol Bandar Cassia.

    Menurut JKSB, walau bagaimana pun terdapat laluan alternatif untuk pengguna dari arah George Town yang ingin ke Batu Kawan melalui JSAHMS, bolehlah membuat pusingan U di Batu Maung sebelum memasuki JSAHMS. Manakala pengguna dari BKIP yang ingin ke Batu Maung melalui JSAHMS, perlu membuat pusingan U di Bandar Cassia sebelum memasuki JSAHMS.

    Beberapa laluan menghala ke Jambatan Kedua Pulau Pinang terus ditutup sepanjang PKP fasa ketiga

    Bagi pengguna yang ingin ke Batu Maung atau George Town melalui JSAHMS, perlukan menggunakan laluan Plaza B Tol Bandar Cassia.

    Syarikat tersebut turut memaklumkan, tiada transaksi tunai dan jualan kad Touch n Go (TNG) di mana-mana plaza tol JSAHMS dan kios tambah nilai Touch n Go di hentian sebelah JSAHMS juga ditutup.

    Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi 1300-30-2828 atau melayari laman sesawang www.jambatankedua.com.my, Twitter @jsahmsofficial atau Facebook www.facebook.com/jsahmsofficial.

     
     
  • Masjid India lokasi baru PKPD, Hulu Langat tamat

    Masjid India lokasi baru PKPD, Hulu Langat tamat

    Menerusi sidang media hariannya hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan Masjid India dan kawasan di sekitarnya diwartakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini hingga 28 April ini, lapor Astro Awani.

    Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan itu. Standard operasi prosedur (SOP) untuk PKPD Masjid India juga adalah sama dengan yang telah digunapakai pada empat PKPD sebelum ini.

    “PKPD Masjid India melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India. Semua penghuni kawasan yang terbabit diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” jelasnya.

    Masjid India lokasi baru PKPD, Hulu Langat tamat

    Dalam perkembangan sama, Ismail turut mengumumkan tempoh PKPD untuk PKPD Hulu Langat telah ditamatkan hari ini, namun ia tidak termasuk dua kawasan yang dikenal pasti iaitu Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah, serta sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui.

    Selain dari Masjid India dan Hulu Langat, kawasan lain yang turut telah diwartakan sebagai PKPD adalah PKPD Simpang Renggam, PKPD Menara City One, dan PKPD Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion. Tempoh PKPD lain yang belum diumumkan tamat berkenaan akan berterusan sehingga 28 April ini ekoran peningkatan kes positif di kalangan penduduk di kawasan tersebut.

     
     
  • PKP hingga Jun jika ramai degil – Ketua Polis Negara

    PKP hingga Jun jika ramai degil – Ketua Polis Negara

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran bahawa sekiranya masih ramai yang berdegil tidak mahu duduk di rumah dan menyebabkan kes jangkitan wabak Covid-19 bertambah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diwartakan mungkin akan dilanjutkan sehingga Jun nanti, lapor Harian Metro.

    “Sehubungan itu, hari ini saya sekali lagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya tak lupa bahawa PKP tidak akan dilonggarkan. Tindakan tangkapan akan dipergiatkan lagi kepada mereka yang melanggar arahan PKP, ” katanya ketika dihubungi akhbar berkenaan hari ini.

    Dengan jumlah jangkitan baharu yang masih belum menunjukkan angka yang semakin rendah, minggu lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP fasa dua yang sepatutnya berakhir hari ini (14 April) dilanjutkan lagi untuk masuk ke fasa ketiga selama dua minggu lagi, bermula esok, 15 hingga 28 April 2020.

    Sebentar tadi juga, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa, oleh kerana masih ramai yang ingkar arahan PKP ini walaupun denda kompaun RM1,000 dikenakan bagi mereka yang ditahan, kerajaan selepas ini akan lebih menumpukan kepada untuk terus menahan reman mereka yang didapati bersalah kerana ingkar arahan ini, dan dihadapkan ke mahkamah.

    PKP hingga Jun jika ramai degil – Ketua Polis Negara

    “Mulai esok PKP ketiga akan dilaksanakan, saya percaya ekspektasi rakyat terhadap tindakan polis adalah yang lebih keras dan tegas. Kita lihat rakyat seolah-olah tidak peduli atau tidak takut dengan undang-undang pada hari ini.Mungkin RM1,000 tidak dianggap tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar.

    “Oleh itu, mulai esok, kita bersetuju bahawa pihak polis tidak memberikan tumpuan kepada kompaun. Sebaliknya, pesalah PKP akan direman dan dihadapkan di mahkamah. Biarlah mahkamah yang memutuskan (hukuman bagi pesalah PKP),” ujar Ismail Sabri dalam sidang media harian PKP di Putrajaya, sebentar tadi.

    Sehingga hari ini, sebanyak 4,987 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 82-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Barisan hadapan kita, terutama mereka yang bertugas sebagai petugas kesihatan telah menjalankan tugas dengan begitu baik dengan berjaya memulihkan seramai 2,478 orang yang telah dijangkiti wabak berkenaan, atau 49.69% dari jumlah keseluruhan.

    Apa pula tugas kita untuk membantu mereka yang sedang bertungkus-lumus ini? Senang sahaja, putuskan rantaian jangkitan dengan tidak keluar rumah!

     
     
  • Geometry C hatchback dalam lakaran terbaru ditunjuk — bagaimana jika ini Proton Suprima versi elektrik?

    Geometry C hatchback dalam lakaran terbaru ditunjuk — bagaimana jika ini Proton Suprima versi elektrik?

    Masih ingat atau belum pernah dengar nama Geometry? Ia merupakan sebuah sub-jenama bagi Geely yang memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik. Dan, model yang sedang anda lihat ini dipanggil Geometry C, patutnya dipertontonkan secara rasmi bulan ini di Auto China, Beijing, tetapi telah ditangguh disebabkan Covid-19.

    Geometry C ini awalnya akan mengambil bentuk sebuah hatchback segmen C dengan turut menerapkan “body cladding” hitam di kelilingnya untuk nampak seperti sebuah crossover. Bagaimanapun, lakaran digital yang ditunjukkan ini, ia mempunyai kedudukan dari tanah yang lebih tinggi. Ia mewarisi beberapa pendekatan rekaan dari model sedan Geometry A (model sulung jenama ini), seperti lampu utama yang tirus, tiada gril bahagian atas dan garis tingkapnya.

    Geometry C hatchback dalam lakaran terbaru ditunjuk — bagaimana jika ini Proton Suprima versi elektrik?

    Apa pun, wajah depan ini nampak lebih sporty, dengan rekaan bampar yang lebih ringkas dan lebar. Garis bahu kereta ini juga memberi imej bahawa ia lebar dan stabil, menurun di bahagian belakang. Tiang D pula digelapkan, menyumbang kepada rupa bumbung apung padanya.

    Di belakang, Geometry C menampulkan satu lagi sentuhan rekaan yang kian menjadi pilihan; bahagian lampu belakang yang melintang penuh dari kiri ke kanan. Bahagian spoiler juga datang bersekali dengan pintu ruang berkenaan, sementara rekaan seperti diffuser pada bamparnya turut menempatkan lampu kabus. Boleh juga dijangka model ini akan turut dilengkapi dengan paparan 12.3-inci ditengah papan pemukanya, dengan skrin instrumen kecil dan konsol tengah terapung.

    Geometry C hatchback dalam lakaran terbaru ditunjuk — bagaimana jika ini Proton Suprima versi elektrik?

    Bagi janaan kuasa, ia mungkin akan kekal dengan sistem sama pada Geometry A; motor synchronous magnet kekal tunggal di depan yang menghasilkan 120 kW (161 hp) dan 250 Nm tork. Ini membolehkan model sedan berkenaan mencapai 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, sementara bateri lithium ion dalam varian 51.9 kWh dan 61.9 kWh memberikan jarak sama ada 410 km atau 500 km dalam kitaran NEDC. Bagi model hatchback C pula, angkanya mungkin tak akan lari jauh.

    Setakat ini belum ada rancangan untuk memperkenalkan jenama Geometry di Malaysia. Tapi, di masa hadapan ketika prasarana dan permintaan semakin meningkat, anda nak tengok model ini dipasarkan di sini? Bagaimana kalau Geometry C ini nanti yang akan jadi ganti bagi Proton Suprima versi elektrik?

     
     
  • Nissan Kicks e-Power dilihat di Thailand — pesaing Honda HR-V ini akan masuk ke pasaran Malaysia juga?

    Nissan Kicks e-Power dilihat di Thailand — pesaing Honda HR-V ini akan masuk ke pasaran Malaysia juga?

    Macam-macam hal jadi tergendala disebabkan Covid-19 yang masih berleluasa ketika ini. Antara “mangsanya” ialah Nissan Kicks facelift; SUV segmen B itu patutnya dilancarkan bagi peringkat global pada 19 Mac lalu seiring dengan pengenalan untuk pasaran Thailand (pacuan e-Power), tetapi tak jadi.

    Tetapi, menurut Headlightmag, jika keadaan pulih selepas ini, model berkenaan akan membuat penampilan sulung peringkat globalnya di Thailand Mei ini, sebelum diperkenalkan di Jepun kemudiannya pada bulan Jun. Dilaporkan, Nissan Kicks e-Power untuk Jepun nanti akan diimport dari Thailand.

    Daripada apa yang dapat dilihat, Kicks telah menerima gril yang lebih besar, lampu utama yang juga lebih tirus dan tajam. Wajah depan yang lebih agresif ini dilengkapkan dengan rekaan bukaan udara merangkap perumah lampu kabus pada bucu bampar.

    Nissan Kicks e-Power dilihat di Thailand — pesaing Honda HR-V ini akan masuk ke pasaran Malaysia juga?

    Kesan bumbung apung disebabkan tiang C dihitamkan pula sudah pernah dilihat pada Kicks sejak 2016. Rim bagaimanapun menampilkan rekaan baru. Bahagian belakang pula nampak sama seperti sebelumnya, kecuali pada rekaan bampar – kini dengan diffuser yang besar dalam warna badan.

    Sistem e-Power dari Nissan bukanlah hal baru. Nissan Note telah menggunakannya, begitu juga dengan MPV Serena. Ia bukan sistem hibrid biasa, dan bukan EV penuh – sistem yang memanjangkan jarak itu menggunakan enjin petrol sebagai penjana kuasa utama bagi motor elektrik. Enjin berkenaan tidak disambungkan pada roda pacuan seperti sistem hibrid biasa. Menurut Nissan, sistem ini memberikan manfaat motor elektrik – seperti tork maksimum dari kedudukan pegun.

    Sama seperti Note e-Power, Kicks e-Power akan menggunakan enjin 1.2L tiga-silinder petrol sebagai penjana. Unit HR12DE dengan 79 hp/103 Nm akan menguasakan motor elektrik EM57 dengan 129 hp/254 Nm – janaan yang lebih tinggi berbanding pada Note e-Power dengan hanya 109 PS/254 Nm.

    Nissan Kicks e-Power dilihat di Thailand — pesaing Honda HR-V ini akan masuk ke pasaran Malaysia juga?

    Kicks yang menjadi pesaing Honda HR-V dan Toyota C-HR, mempunyai dimensi 4,384 mm long dan 1,813 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,673 mm. Ini 90 mm lebih panjang, 41 mm lebih lebar dan 63 mm lebih panjang jarak antara rodanya berbanding HR-V.

    Adakah model ini akan masuk pasaran di sini? Pada 2018, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dilaporkan pernah memaklumkan bahawa Kicks memang ada dalam perancangan masa depan syarikat itu. Ia sekali lagi disebut-sebut oleh pengedar berkenaan pada April 2019. Cadangan awalnya, Kicks akan diperkenalkan selepas Nissan Almera N18. Tapi sekarang, suasana ekonomi sudah berubah. Masih adakah Kicks untuk Malaysia?

     
     
  • Maybank Sama-Sama Lokal bantu penjaja tempatan

    Maybank Sama-Sama Lokal bantu penjaja tempatan

    Sedang kita berada dalam tempoh kawalan pergerakan ini, ramai sebenarnya peniaga kecil tempatan yang berhadapan kesukaran kerana tidak ramai pelanggan seperti biasa. Orang lebih banyak pergi ke pasaraya besar untuk membeli keperluan sementara yang membeli menggunakan aplikasi atas talian juga banyak memilih jenama yang terkenal.

    Disebabkan itu, Maybank telah mewujudkan Sama-Sama Lokal. Ia adalah satu halaman untuk menghubungkan peniaga serta penjaja kecil tempatan dengan pelanggan secara mudah, sekaligus membantu perniagaan mereka terus bertahan dalam waktu sukar ini.

    Melalui Sama-Sama Lokal, orang ramai boleh melihat senarai peniaga serta penjaja kecil tempatan yang terlibat, dan sekiranya mereka berminat untuk mendapatkan produk yang ditawarkan (seperti makanan, minuman, barang runcit dan pelbagai lagi), nombor telefon peniaga akan dipaparkan dan mereka boleh berhubung dari situ.

    Maybank Sama-Sama Lokal bantu penjaja tempatan

    Maybank tidak terlibat dengan tempahan yang dilakukan dengan peniaga dan segala komunikasi perincian pelanggan serta tempat penghantaran dilakukan terus dengan peniaga. Bayaran pula boleh dilakukan kepada peniaga menggunakan pemindahan bank atas talian atau Maybank QRPay, bergantung kepada kemahuan peniaga.

    Untuk penghantaran, setakat ini ia cuma menggunakan khidmat Lalamove tetapi perbincangan dengan beberapa syarikat penghantaran lain juga sedang dilakukan. Menambahkan lagi sokongan, Maybank juga akan menanggung kos penghantaran dalam lingkungan 10 km di kawasan tertentu.

    Sekiranya kawasan penghantaran pelanggan tidak termasuk dalam lingkungan tersebut, pelanggan perlu membayar kos penghantaran kepada penyedia khidmat penghantaran dengan kadar RM1 bagi setiap km, secara tunai (waktu menerima barang yang dibeli).

     
     
  • Fasa ketiga PKP bakal menyaksikan pesalah yang ingkar direman, dihadap ke mahkamah – Ismail Sabri

    Fasa ketiga PKP bakal menyaksikan pesalah yang ingkar direman, dihadap ke mahkamah – Ismail Sabri

    Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga esok bakal menyaksikan penguatkuasaan yang lebih keras dan ketat. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disebabkan kompaun RM1,000 bagi pesalah PKP masih dianggap rendah oleh segelintir rakyat, maka kerajaan telah bersetuju membenarkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak akan lagi beri tumpuan terhadap kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada pesalah ingkar PKP, mulai esok. Sebaliknya pesalah PKP akan direman dan dihadap ke mahkamah.

    “Mulai esok PKP ketiga akan dilaksanakan, saya percaya ekspektasi rakyat terhadap tindakan polis adalah yang lebih keras dan tegas. Kita lihat rakyat seolah-olah tidak peduli atau tidak takut dengan undang-undang pada hari ini.Mungkin RM1,000 tidak dianggap tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar.

    “Oleh itu, mulai esok, kita bersetuju bahawa pihak polis tidak memberikan tumpuan kepada kompaun. Sebaliknya, pesalah PKP akan direman dan dihadapkan di mahkamah. Biarlah mahkamah yang memutuskan (hukuman bagi pesalah PKP),” ujar Ismail Sabri dalam sidang media harian PKP di Putrajaya, sebentar tadi.

    Fasa ketiga PKP bakal menyaksikan pesalah yang ingkar direman, dihadap ke mahkamah – Ismail Sabri

    Menurutnya lagi, di bawah Seksyen 24 Akta 342 menyebut bahawa mahkamah boleh menghukum individu yang disabit kesalahan ini dengan penjara tidak lebih dua tahun atau lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

    Ismail Sabri turut memaklumkan, semalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (PDRM) telah mengadakan sebanyak 786 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksan sejumlah 546,553 kenderaan.

    Malah PDRM turut menahan seramai 1,374 individu yang ingkar PKP, merangkumi 931 orang telah dikompaun sebanyak RM1,000, manakala seramai 418 orang direman dan 25 orang dibebaskan atas jaminan polis.

    Fasa ketiga PKP bakal menyaksikan pesalah yang ingkar direman, dihadap ke mahkamah – Ismail Sabri

    “Semalam juga seramai 427 individu telah dituduh di mahkamah. Manakala jumlah tangkapan kumulatif yang ingkar PKP sejak dilaksanakan sehingga 13 April 2020 mencecah seramai 9,090 individu, dengan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 4,036,” sambungnya lagi.

    Ismail Sabri turut mengumumkan pertambahan lokasi yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Masjid India, Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya mulai hari ini hingga 28 April. Manakala PKPD di Sungai Lui, Hulu Langat yang bermula 30 Mac lalu telah ditamatkan hari ini, kecuali melibatkan Maahad Tahfiz An Nabawiah dan sebuah rumah di Kg Payu Lebar Batu 23 yang dilanjutkan sehingga 28 April. Begitu juga PKPD di Kg Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam dilanjutkan sehingga 28 April ini.

    Sekali lagi, kami di paultan.org ingin merayu dan memohon jasa baik anda semua untuk terus mematuhi PKP ini bagi memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19. Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Noor Hisham Abdullah semalam, fasa ketiga PKP merupakan tempoh penentu kejayaan (atau kegagalan) usaha mengekang COVID-19. Menurut beliau, sekiranya bilangan pesakit COVID-19 masih menunjukkan peningkatan, tidak mustahil PKP akan dilanjutkan ke fasa yang seterusnya.

     
     
  • DC2 e Amby – model kelahiran semula Hindustan Ambassador; kuasa elektrik, akan dilancar pada 2021

    DC2 e Amby – model kelahiran semula Hindustan Ambassador; kuasa elektrik, akan dilancar pada 2021

    Jika anda biasa menonton filem-filem Tamil dan Bollywood dari India, anda tentu kenal dengan kereta Ambassador dari Hindustan Motors yang selalunya digunakan oleh watak-watak menteri dan ahli politik. Selepas lebih 60 tahun diperkenalkan, nampaknya Ambassador akan dilahirkan semula menerusi model kelahiran semula yang dipanggil e Amby, bermaksud “electric Ambbasador”.

    Seperti namanya, model jelmaan semula ini adalah kereta elektrik sepenuhnya dan bukan lagi dijana oleh enjin petrol. Dan ia juga bukan lagi keluaran Hindustan Motors yang telah dijual kepada pemilik Citroen dan Peugeot iaitu PSA Group pada tahun 2017, tetapi ia kini dihasilkan oleh firma rekaan India, DC2 atau sebelum ini dikenali dengan nama DC Design.

    Menurut pengasas DC2, Dilip Chhabria e Amby ini masih dalam peringkat konsep dan nama untuk model produksi nanti mungkin berbeza, lapor IndiansAutoBlog yang memetik berita dari laman Electric Vehicle Web. Chhabria juga mahu menghasilkan e Amby ini sebagai kereta elektrik “yang tidak pelik berbanding kereta gasolin dari sudut pandangan biasa”.

    “Dalam berberapa hari kebelakangan ini, imej-imej dari kami telah tersebar dalam media sosial dan kereta yang paling mendapat perhatian adalah Ambassador”, kata Chhabria dan menjelaskan bahawa prototaip yang dihasilkan ini adalah untuk menilai respon dari orang ramai.

    DC2 e Amby – model kelahiran semula Hindustan Ambassador; kuasa elektrik, akan dilancar pada 2021

    DC2 e Amby ini akan dihasilkan dengan saiz 125 mm lebih lebar dan 170 mm lebih panjang dari Ambassador sebenar. Pembangunan teknikalnya akan diserahkan kepada satu syarikat dari Switzerland. Walaupun kereta ini akan dihasilkan dengan jumlah yang tidak banyak dan hanya mensasarkan jualan tahunan sebanyak 5,000 unit setahun, kos penghasilannya perlu berada pada kadar yang rendah.

    Sebanyak empat prototaip e Amby ini telah dihasilkan di Switzerland. Rancangan asal pembangunan kereta ini adalah untuk membekalkannya dengan empat motor elektrik, diletakkan secara berasingan pada setiap roda. Namun rancangan ini mungkin boleh berubah kepada hanya dua motor elektrik, diletakkan masing-masing pada gandar hadapan dan belakang.

    Keputusan untuk menggunakan konfigurasi yang mana satu hanya akan dibuat berdasarkan yang mana paling mampu untuk dimiliki oleh pelanggan mereka kelak. Menurut Chhabria lagi, e Amby ini akan diasaskan dari kerangka jenis space frame aluminium sepenuhnya dengan bahagian tengah dihasilkan dengan material komposit karbon, membolehkan ia memecut dari 0-60 km/j dalam masa hanya 4 saat.

    Kesemua unit prototaip tersebut sepatutnya akan dibawa ke India hujung bulan ini, tetapi disebabkan negara berkenaan dalam situasi lockdown kerana pandemik Covid-19, ia mungkin hanya akan tiba pada Jun nanti. Rekaan ini juga belum dimuktamadkan sepenuhnya untuk dihantar ke vendor bagi menghasilkan perkakasan pengilangan untuk produksi kelak.

    “Kami mempunyai banyak pilihan bagaimana untuk menghasilkan kereta ini – sama ada kami memproduksinya sendiri, sekiranya kami mahu menggunakan infrastruktur yang kami ada, atau kami boleh jualnya sebagai projek. Sebelum lockdown, saya telah menerima permintaan yang sangat serius dari syarikat dari China yang menjadi peneraju dalam dunia kereta elektrik,” kata Chhabria dan mengumumkan bahawa dia mahu e Amby ini dilancarkan pada penghujung 2021.

    Menurut laporan ini lagi, syarikat dari China yang disebut berkenaan berminat untuk membeli projek e Amby DC2 ini dan memproduksinya di India. Tetapi berdasarkan respon orang ramai selama 10-hari ini, DC2 dilihat seperti mahu meneruskan produksi e Amby tersebut sendiri.

    Chhabria juga turut memberikan petunjuk bahawa e Amby ini mungkin boleh dijual di luar India bagi memperkenalkan kereta jenama mereka dengan rekaan beridentitikan negara berkenaan – seperti London Taxi di England atau Yellow Cab di Amerika. Namun ia mungkin akan dijual sebagai kereta elektrik yang boleh dijual tanpa memerlukan sebarang pensijilan.

     
     
  • Gambaran digital Nissan X-Trail generasi baharu T33

    Gambaran digital Nissan X-Trail generasi baharu T33

    Nissan X-Trail generasi ketiga T32 sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2013 dan masih lagi dijual hingga sekarang. Disebabkan sudah terlalu lama, ramai yang membuat spekulasi model penggantinya akan muncul tidak lama lagi, dan petunjuk awal sudah diberi melalui model konsep Xmotion yang ditunjuk pada tahun 2018.

    Berita tentang X-Trail ini kembali panas apabila satu dokumen yang dihantar kepada kementerian ekonomi kerajaan Brazil menampakkan lukisan paten sebuah SUV yang kelihatan seperti X-Trail generasi baru. Ia nanti mungkin menggunakan nama kod T33.

    Sekarang, kami tunjukkan pula gambaran digital X-Trail baru hasil oleh Theophilus Chin, yang dibuat dengan inspirasi daripada lukisan paten yang tersebar itu, bersama sedikit tanda rekaan SUV konsep Ariya yang pernah ditunjukkan di Tokyo Motor Show tahun lepas.

    Gambaran digital Nissan X-Trail generasi baharu T33

    Bentuk keseluruhan gambaran digital ini sama seperti lukisan paten di Brazil itu, serta X-Trail T32 sekarang, tetapi mempunyai beberapa perbezaan seperti pada garis tingkap, garis badan, c-pillar, lengkung roda dan juga lampu belakang yang lebih nipis.

    Pada bahagian hadapan pula, muka X-Trail gambaran digital ini sebenarnya lebih ringkas berbanding X-Trail T32, tetapi masih lagi garang dengan lampu bertingkat serta gril V-Motion dengan logo baru. Nissan setakat ini masih belum memberitahu bila X-Trail T33 akan diperkenalkan tetapi jangkaannya mungkin sebelum pertengahan tahun 2021.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia melanjutkan tempoh servis dan waranti selama 60 hari selepas PKP tamat

    Mercedes-Benz Malaysia melanjutkan tempoh servis dan waranti selama 60 hari selepas PKP tamat

    Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan sehingga 28 April ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membuat keputusan untuk terus menggantung operasinya di seluruh negara sehingga PKP tamat. Pada 3 April lalu, MBM telah memaklumkan untuk memanjangkan tempoh bagi servis dan warantinya agar ia tidak mendatangkan kegusaran di kalangan para pelanggannya.

    MBM memaklumkan, syarikatnya akan memberikan penambahan masa bagi servis dan waranti sepanjang tempoh PKP. Untuk kenderaan yang sepatutnya diservis di antara 18 Mac hingga 28 April, akan diberikan tempoh tambahan sehingga 60 hari dari tarikh akhir PKP.

    Mengenai waranti pula, MBM berkata untuk kenderaan yang warantinya berakhir antara 18 Mac hingga 30 Jun, juga akan dilanjutkan selama 60 hari selepas 30 Jun.

    Sepanjang tempoh PKP ini, jika ada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan kecemasan untuk kenderaan mereka atau pun perkara yang berkaitan, bolehlah menghubungi pusat khidmat pelanggan MBM di talian bebas tol 1-800-88-1133.

     
     
  • Nissan Fairlady baru dilapor akan guna nama 400Z

    Nissan Fairlady baru dilapor akan guna nama 400Z

    Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Autocar, model baru Nissan Fairlady nanti akan menggunakan nama 400Z apabila memasuki pasaran untuk menggantikan 370Z yang kini sudah berusia lebih 10 tahun. Laporan itu juga menyatakan kemungkinan penggunaan enjin V6 turbo 3.0 liter yang diambil daripada model Infiniti Q50 dan Q60 Red Sport, sementara platform juga dikatakan diambil daripada Infiniti sedia ada.

    Satu demi satu persiapan Nissan untuk pengenalan model ini dapat dilihat, dengan pada bulan lalu, mereka diketahui mendaftar logo baru model Z sebagai tanda niaga di Canada. Logo dua dimensi ini membawa semula kepada rekaan model klasik Fairlady sebelum ini dan dikatakan bersesuaian dengan rekaan model baru yang akan lebih banyak menggunakan rekaan ciri warisan model terdahulu.

    Selepas versi biasa, ia kemudiannya akan diikuti pula oleh versi berprestasi tinggi, di mana kalau menurut laporan Autoblog, ada kemungkinan penghasilan versi Nismo yang mempunyai kuasa sehingga 500 hp. Walaupun dikata banyak membawa ciri rekaan warisan, Fairlady 400Z dijangka mempunyai ciri teknologi canggih termasuk pada sistem infotainmen dan paparan instrumen.

    Nissan Fairlady baru dilapor akan guna nama 400Z

    Sebenarnya, Nissan sudah pernah menghasilkan Fairlady yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo sebelum ini, tetapi ia sekadar sebuah model konsep yang dibawa ke pameran SEMA. Ia menggunakan enjin VR30DDTT, menggantikan unit enjin NA asal VQ37VHR, mampu menghasilkan kuasa sekitar 400 hp dan dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan serta limited-slip rear differential.

    Manurut laporan Autocar lagi, Fairlady 400Z dijangka masih mengekalkan tetapan pacuan roda belakang, dan mungkin lebih laju berbanding model Infiniti yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo sama kerana ia lebih ringan. Pendedahan Fairlady 400Z dijangka berlaku dalam masa 12 bulan lagi tetapi kerana pandemik Covid-19 sekarang, ia mungkin ditangguh.

     
     
  • VIDEO: Mazda RX8 dari Thailand dengan enjin Toyota 2JZ dan kotak gear DCT 7-kelajuan Getrag BMW M3

    Thailand memang terkenal dengan kepakaran mereka mengubahsuai enjin Toyota 2JZ-GTE, iaitu enjin yang dikenali sebagai enjin standard pada Toyota Supra generasi keempat JZA80. Di sana, anda tak perlu hairan jika ternampak enjin 2JZ ini duduk di dalam perut Nissan Cefiro atau Nissan Skyline, kerana ia adalah normal.

    Video yang anda lihat di atas adalah salah satu contoh lagi betapa popularnya enjin 2JZ ini di Thailand, sehinggakan pemilik Mazda RX8 ini, Pon Naruepon dari Bangkok membuang enjin Rotary Genesis 13B asal pada kereta berkenaan dan digantikan dengan enjin Toyota tersebut. Tapi apa yang tidak normal adalah kotak gearnya – ia kini menghantar kuasa ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik 7-kelajuan dari Getrag yang diambil dari BMW M3 E92!

    Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan, kotak gear BMW tersebut dapat digandingkan dengan enjin Toyota dalam badan Mazda ini menggunakan satu plat penyuai yang dibuat secara custom – ini bukan sesuatu yang pelik kerana cara ini telah digunakan di serata dunia sejak sekian lama.

    Apa yang pelik, bagaimana kotak gear yang penuh dengan sistem elektronik ini boleh berfungsi dengan sistem mekanikal yang penuh dengan gandingan-gandingan ‘rojak’. Rahsianya, enjin dan kotak gear ini dikawal dengan kotak komputer jenis stand alone dari Sweden iaitu MaxxEcu bagi membolehkan perkara sihir dan khurafat ini menjadi kenyataan.

    Pon menggunakan MaxxEcu dari siri Pro yang sememangnya mempunyai fungsi untuk mengawal kotak gear DCT. Ia bukan sahaja membolehkan transmisi tersebut berfungsi semata-mata, malah talaan karekter penukaran gear turut boleh diubah, serta membekalkan fungsi-fungsi lain seperti launch control yang boleh berfungsi ketika pegun atau bergerak!

    Dalam video di atas anda boleh lihat Pon mendemonstrasikan fungsi tersebut yang boleh dioperasikan menerusi butang untuk menjawab telefon pada roda stereng yang telah diubahsuai. Gear juga boleh ditukar secara manual dengan kelajuan 0.080 saat menerusi pedal penukar gear yang dipasang di belakang roda stereng berkenaan. Bagi memberikan penghantaran kuasa yang lebih baik dan panjang, nisbah gear akhir pada gandar belakang dari 4.1 kepada 3.1 yang diambil dri Nissan Skyline.

    VIDEO: Mazda RX8 dari Thailand dengan enjin Toyota 2JZ dan kotak gear DCT 7-kelajuan Getrag BMW M3

    Walaupun spesifikasi Mazda RX8 ini seakan Frankenstein di atas kertas, tipikal kereta ubahsuai Thailand, ia masih lagi tampil dengan rupa yang cukup kemas – bukan sahaja boleh membuatkan orang ternganga dengan kelajuannya di litar, ia juga mungkin boleh menang dalam acara-acara autoshow.

    Enjin 2JZ tersebut diletakkan dengan cukup kemas dalam ruang enjin, dengan wayar dan komponen lain yang disusun rapi, pilihan warna-warna yang seimbang dan unit turbo sebesar pasu bunga yang kelihatan seakan baru keluar dari kotak – dalam video yang disiarkan oleh saluran Youtube RaceBoyz sebelum ini menyebut ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 700 hp.

    Begitu juga pada bahagian dalaman, di mana tombol gear BMW tersebut nampak seakan memang keluar dari kilang Mazda, manakala unit hiburan dari era cakera padat telah digantikan dengan skrin infotainmen yang turut dapat memaparkan informasi-informasi enjin dan kotak gear menerusi aplikasi MaxxEcu yang telah diimplementasikan.

    Pada bahagian luaran pula, RX-8 ini diberikan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny, lengkap dengan sayap GT bersaiz gergasi di belakang. Pon juga memilih skema warna merah-hitam seakan livery Tomica pada kereta lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an dahulu.

     
     
  • Polis P.Pinang memperketatkan lagi penguatkuasaan PKP fasa ketiga – 40 sekatan jalan raya setakat ini

    Polis P.Pinang memperketatkan lagi penguatkuasaan PKP fasa ketiga – 40 sekatan jalan raya setakat ini

    Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memasuki fasa ketiga bermula Rabu ini, 15 April dan berlangsung dalam tempoh dua minggu. Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr. Noorhisham Abdullah, fasa ketiga ini merupakan penentu sama ada rantaian penularan COVID-19 ini boleh diputuskan atau pun kita terpaksa melanjutkan lagi PKP.

    Justeru, kerajaan sangat mengharapkan agar semua individu di Malaysia, supaya terus mematuhi PKP ini dan penguatkuasaannya juga akan diperketatkan memandangkan masih ramai lagi yang didapati ingkar biar pun kompaun RM1,000 telah dilaksanakan.

    Di Pulau Pinang, ketua polisnya, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, penguatkuasaan lebih ketat bakal dilaksanakan termasuklah merangkumi perairan negeri. Menurutnya, setakat ini terdapat 40 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di negeri terbabit.

    “Kita bermula dengan 21 SJR sebelum menambahnya kepada 34 SJR ketika PKP fasa kedua. Sekarang ada 40 sekatan dan kita akan menambah lebih banyak lagi apabila memasuki fasa ketiga. Dalam fasa ketiga PKP nanti kita jangkakan lebih ramai orang akan keluar susulan kebenaran untuk industri tertentu beroperasi, tapi selagi mereka ada pas dan mempunyai surat syarikat, tiada masalah.

    Polis P.Pinang memperketatkan lagi penguatkuasaan PKP fasa ketiga – 40 sekatan jalan raya setakat ini

    “Tetapi kita akan mengetatkan pemeriksaan terutama pada 9 pagi hingga 4 petang, yang tiada sebab untuk berada di atas jalan akan diarah berpatah balik,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Menurutnya, ketika awal pelaksanaan PKP terdapat 50% kenderaan yang diarahkan berpatah balik kerana tiada sebab kukuh untuk keluar dan jumlah itu berkurangan sehingga kini.

    “Ia satu perkembangan yang baik apatah lagi ketika pemeriksaannya antara 4 petang hingga 11 malam semalam, hanya dua kereta saja diarahkan pulang,” ujarnya lagi.

    Bermula semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang, turut mengambil inisiatif untuk menutup laluan atas (flyover) Jalan Sultan Azlan Shah dari arah George Town menghala Bayan Lepas iaitu berdekatan Tapak Pesta Sungai Nibong.

     
     
  • Spesifikasi Honda City 2020 di India bocor – tiada enjin 1.0L turbo, tapi ada Lanewatch dan Honda Connect

    Spesifikasi Honda City 2020 di India bocor – tiada enjin 1.0L turbo, tapi ada Lanewatch dan  Honda Connect

    Setelah dilancarkan di Thailand hujung tahun lalu, lepas ini nampaknya Honda City generasi baharu akan muncul di India pula – Autocar India telahpun mendedahkan berberapa spesifikasi model ini untuk pasaran negara berkenaan menerusi brosur yang telahpun bocor.

    Tiada perincian berkenaan enjin pada brosur tersebut, tetapi menerusi laporan sebelum ini, India sah tidak menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo seperti Thailand. Sebaliknya model berkenaan kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5L NA i-VTEC dengan kuasa 121 PS dan juga enjin 1.5 liter diesel i-DTEC yang kini telahpun menepati tahap emisi Bharat 6 (BS-VI).

    Buat pertama kali juga, kedua-dua enjin pada pasaran ini menerima pilihan kotak gear manual dan CVT automatik – pada model generasi sebelumnya, versi diesel hanya tampil dengan kotak gear manual.

    Spesifikasi Honda City 2020 di India bocor – tiada enjin 1.0L turbo, tapi ada Lanewatch dan  Honda Connect

    Dalam brosur yang bocor ini, model tertinggi di India iaitu City ZX (dua varian lain lebih rendah adalah VX dan V) diberikan kelengkapan yang agak baik. Ia hadir standard dengan lampu hadapan dan belakang LED-penuh, bumbung suria berkuasa elektrik, upholsteri kulit, material sentuhan lembut pada papan pemuka, dan juga paparan pelbagai info dengan skrin berwarna penuh tujuh-inci diletakkan di sebelah meter kelajuan analog.

    Manakala untuk sistem hiburan, City ZX ini dibekalkan dengan skrin sesentuh lapan-inci yang dihubungkan dengan Alexa Remote, serta boleh dihubungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Sedan segmen-B ini juga hadir dengan sistem Honda Connect, iaitu sistem hubungan dengan aplikasi telefon pintar yang menggunakan kawalan telemetik bagi memberikan status perincian kereta terus kepada pemandu walaupun dalam jarak jauh.

    Untuk keselamatan pula, City dengan spesifikasi penuh pasaran India ini diberikan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan pengendalian lincah (AHA), kawalan traction, sistem pemantau tekanan angin tayar, bantuan mula mendaki (HSA) dan juga kamera undur.

    Apa yang menarik lagi, model pasaran ini turut diberikan satu ciri yang tiada pada City Turbo di Thailand iaitu sistem kamera pemantau titik buta Honda Lanewatch. Pada pasaran lain termasuk Malaysia dan Thai, sistem Lanewatch ini biasanya hanya diberikan pada model-model besar seperti Civic, Accord dan CR-V.

    Dalam ujian ASEAN NCAP untuk City 2020 yang didedahkan baru-baru ini, City tersebut dilaporkan akan hadir dengan sistem Lanewatch berkenaan. Adakah ia akan muncul di Thai dalam model kemaskini akan datang? Atau ia akan dibekalkan pada model-model negara ASEAN lain yang belum dilancarkan termasuk Malaysia? Kita tunggu sajalah perkembangannya nanti.

    GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

     
     
  • Haval H5 generasi baru terdedah sebelum pelancaran

    Haval H5 generasi baru terdedah sebelum pelancaran

    Great Wall Motors mempunyai perancangan untuk memperkenalkan Haval H5 generasi baru pada suku ketiga tahun 2020 di China. Walaubagaimanapun, gambar model SUV tersebut telah bocor lebih awal dan didedahkan oleh CarNewsChina.

    Berdasarkan apa yang boleh dilihat daripada gambar ini, Haval H5 baru kelihatan sangat berbeza berbanding model sekarang yang lebih konvensional. Ia mempunyai rekan yang lebih berkotak dan seperti mendapat inspirasi daripada model Ford Bronco.

    Penampilan lebih ranggi ini dicapai dengan penggunaan dua lampu bulat di hadapan, gril dengan tiga jalur di tengah, bampar berwarna hitam dengan cangkuk bersepadu, kemasan plastik di keliling roda serta side skirt.

    SUV ini juga mempunyai lengkuk roda belakang yang lebih membonjol, bersama cermin sisi dengan lampu penunjuk arah, rel bumbung, rekaan rim lebih kompleks serta bumbung panoramik. Bahagian belakang dan dalam kenderaan ini masih belum dapat dilihat.

    Begitu juga dengan perincian teknikal. Tiada yang diketahui setakat ini, tetapi ada laporan yang mengatakan Haval H5 baru ini akan didatangkan dengan beberapa pilihan enjin turbo termasuk unit 1.5 liter, 2.0 liter serta plug-in hybrid yang menggunakan gabungan enjin 1.5 liter dan motor elektrik.

    GALERI: Haval H5 pasaran China yang dipasarkan sekarang

     
     
  • Suzuki Katana inspirasi Gundam dari Icon Motosport

    Suzuki Katana inspirasi Gundam dari Icon Motosport

    Icon Motosports adalah sebuah syarikat pengeluar kelengkapan menunggang yang beroperasi di Oregon, Amerika Syarikat dan terkenal dengan rekaan yang menyerlah. Identiti jenama mereka banyak dikaitkan dengan dunia stunt motosikal serta mereka yang menunggang secara agresif.

    Dalam mempromosi produk mereka, Icon juga banyak menggunakan motosikal yang diubah suai sendiri supaya bersesuaian dengan identiti jenama mereka, dan projek terbaru melibatkan sebuah Suzuki Katana. Ini adalah kali pertama Icon memulakan motosikal projek menggunakan asas motosikal baru dari kilang dan hasilnya agak menarik.

    Penampilan luar motosikal yang dipanggil Brand New Jack ini menggunakan inspirasi daripada karekter dalam animasi Gundam dari Jepun, dengan terdapat beberapa tambahan panel pada tepi radiator, fork, bawah enjin, belakang serta penghadang angin hadapan.

    Bukan setakat penampilan, Icon juga mengubah suai motosikal ini dengan pemasangan suspensi Nitron, tayar Avon, ekzos Leo Vince, kelengkapan pengawal pada bahagian pemegang daripada Driven Racing dan Magura, rim Galespeed serta penyampai bahan api lumba.

    Tiada sebarang informasi berkenaan peningkatan bahan api, dan kami menjangkakan ia tidak diusik, bermakna masih lagi menggunakan unit empat silinder sebaris DOHC 999 cc dengan kuasa 150 hp dan transmisi enam kelajuan. Mengenali Icon Motosports yang terlibat dengan banyak aksi stunt, sprocket motosikal ini pastinya telah diubah.

     
     
  • Toyota Harrier 2020 generasi keempat – platform TNGA (GA-K), 2.0L petrol, Direct-Shift CVT, tiada lagi turbo

    Toyota Harrier 2020 generasi keempat – platform TNGA (GA-K), 2.0L petrol, Direct-Shift CVT, tiada lagi turbo

    Toyota Harrier generasi keempat telah diumum akan diperkenalkan Jun tahun ini, dan bakal menyaksikan platform TNGA (GA-K) untuk SUV membuat penampilan sulungnya dengan varian petrol dan hibrid. Namun, enjin petrol 2.0 liter turbocas nampaknya digugurkan daripada barisan varian bagi model baru ini.

    Barisan enjin baru bagi Harrier serba baru ini terdiri daripada unit 2,487 cc suntikan terus empat-silinder petrol bagi varian hibrid, termasuk motor pada gandar depan yang menjana 120 PS/202 Nm. Selain itu, unit 1,986 cc suntikan terus Dynamic Force NA petrol yang menghasilkan 171 PS pada 6,600 rpm dan 207 Nm pada 4,800 rpm.

    Toyota Harrier 2020 generasi keempat – platform TNGA (GA-K), 2.0L petrol, Direct-Shift CVT, tiada lagi turbo

    Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT, dengan versi Hybrid juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang ditambah motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 54 PS dan 121 Nm. Versi Hybrid FWD pula akan mempunyai output sistem 218 PS, sementara versi E-Four dengan output 222 PS.

    Dengan ukuran dimensi 4,740 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,660 mm tinggi serta jarak antara roda 2,690 mm, SUV lima-tempat duduk ini menggunakan suspensi MacPherson Strut di depan dan jenis double-wishbone di belakang, dengan cakera brek berliang di depan sementara cakera penuh di belakang. Rim 19-inci dengan tayar 225/55R19 digunakan.

    Toyota Harrier 2020 generasi keempat – platform TNGA (GA-K), 2.0L petrol, Direct-Shift CVT, tiada lagi turbo

    Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripda Toyota Safety Sense, yang turut mengandungi sistem pra-perlanggaran yang turut mengesan pejalan kaki termasuk di waktu malam; pengayuh basikal juga boleh dikesan waktu siang sahaja. Ciri Intelligent Clearance Sonar dengan Parking Support Brakes pula membantu untuk menghindarkan perlanggaran dalam kelajuan rendah, seperti ketika membelok di tempat letak kereta.

    Di dalam, Harrier serba baru ini menerima Digital Inner Mirror, model pertama Toyota yang dipasangkan ciri ini, membolehkan rakaman imej di bahagian depan dan belakang ketika memandu. Sistem infotainmen pula turut terkandung ciri sistem tunjuk arah T-Connect SD dengan skrin sentuh TFT 12.2-inci dengan SmartDeviceLink serta sokongan capaian Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk audio, sistem bunyi JBL dengan sembilan pembesar suara disediakan.

    Toyota Harrier 2020 generasi keempat – platform TNGA (GA-K), 2.0L petrol, Direct-Shift CVT, tiada lagi turbo

    Bumbung panoramik juga disertakan, model pertama juga untuk Toyota yang menerima ciri berkenaan. Ini dilengkapkan lagi dengan operasi elektrik bagi pelindung cahaya matahari dan panel elektromagnetik yang menyempurnakan lagi kualiti pada SUV ini. Tahap kebisingan dalam kabin juga lebih rendah, dengan bahagian penebat bunyi yang digunakan, termasuk pada cermin tingkap.

    Ketika pelancaran nanti, Toyota Harrier generasi keempat ini akan ditawarkan dalam tujuh warna, serta tiga peringkat kemasan bagi kedua-dua pilihan enjin biasa dan hibrid.

     
     
  • PKP: 1,220 orang telah ditahan Sabtu lalu, 854 individu kena saman RM1,000 – masih ramai yang berdegil

    PKP: 1,220 orang telah ditahan Sabtu lalu, 854 individu kena saman RM1,000 – masih ramai yang berdegil

    Dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal memasuki fasa ketiga Rabu ini sehingga 28 April nanti, harapannya orang awam akan lebih patuh kepada perintah ini memandangkan sudah membiasakan diri selama sebulan untuk berbuat demikian. Tambahan pula, ini waktu-waktu genting yang akan menentukan sama ada kita berupaya melawan wabak coronavirus di Malaysia atau sebaliknya, keadaan akan bertambah buruk.

    Tetapi, data menunjukkan hal yang berbeza. Sabtu lalu sahaja, polis telah menahan seramai 1,220 orang bersangkutan pelbagai kesalahan perlanggaran PKP. Daripada jumlah itu, 854 orang telah dikenakan saman RM1,000. 345 orang pula ditahan reman, sementara 21 orang lagi dibenarkan ikat jamin. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

    Angka individu ydang dikenakan juga semakin meningkat sejak Jumaat lalu, yang menyaksikan sebanyak 815 denda telah dikeluarkan. Sejak notis kompaun diperkenalkan pada 8 April lalu, seramai 2,156 orang telah disaman setakat ini. Ada juga yang menyatakan bahawa saman ini terlalu rendah, menyebabkan masih ramai orang tak ambil serius hal berkenaan.

    PKP: 1,220 orang telah ditahan Sabtu lalu, 854 individu kena saman RM1,000 – masih ramai yang berdegil

    Pada Sabtu lalu, sebanyak 783 sekatan jalan diadakan di seluruh negara, dengan pihak berkuasa telah memeriksa sebanyak 435,361 kenderaan. Pada Jumaat, sebanyak 490,249 kenderaan diperiksa di 779 sekatan jalan yang diadakan. Di lihat daripada angka ini, terlalu banyak kenderaan yang masih bergerak; tak kan lah semua ini dalam perkhidmatan dan urusan penting?

    Masalahnya, masih ramai yang bagi alasan merapu ketika ditahan, seolah-olah sengaja tidak menghormati atau ingin patuh kepada PKP. Boleh sama-sama berusaha untuk pastikan kita berjaya melawan menularan wabak Covid-19 ini sepanjang PKP fasa tiga?

     
     
  • VIDEO: Maki timbalan ketua polis daerah Kangar ketika sekatan jalan PKP, seorang pemuda terus ditahan

    Seorang lelaki telah ditahan dalam satu sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang dijalan oleh polis daerah Kangar, Perlis semalam setelah dia mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasukan penguatkuasa tersebut ketika diminta menunjukkan kad pengenalan diri.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew dalam video yang disiarkan oleh saluran Youtube Asry Shafii ini, orang yang ditahan tersebut adalah seorang lelaki cina berumur sekitar 30’an. Dia ditahan setelah mula memaki pegawai kanan polis, iaitu timbalan ketua polis daerah Kangar sendiri dengan perkataan ‘Babi’ apabila diminta menunjukkan kad pengenalan dan juga lesen.

    Wari turut menyatakan bahawa pemuda berkenaan ditahan di bawah seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Ketua polis Kangar itu juga merayu kepada orang ramai agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat ketika polis menjalankan tugas sepanjang tempoh PKP ini kerana tugas berkenaan bukanlah tugas mudah, dan ini dilakukan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 ini terputus.

    Kami juga ingin merayu kepada semua, kalau tak dapat bantu, janganlah kita menyusahkan pula tugas-tugas para pejuang barisan hadapan ini untuk memastikan hidup kita kembali normal seperti biasa. Sehingga semalam, sebanyak 4,683 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 76-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026