Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kadar ingkar PKP naik 51% semalam, orang ramai anggap “cuti ahad” keluar tanpa alasan – menteri

    Kadar ingkar PKP naik 51% semalam, orang ramai anggap “cuti ahad” keluar tanpa alasan – menteri

    Seramai 554 individu ditahan di sekatan jalan raya dan rondaan oleh pihak polis pada Ahad (5 April) dan ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak 51 peratus, dedah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media sebentar tadi, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, orang ramai menganggap hari minggu sebagai hari cuti dan mengambil kesempatan untuk keluar tanpa alasan kukuh.

    “Semalam hari Ahad dan mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu. Saya berharap semua bercuti setiap hari dan bukan pada hari minggu sahaja. Tolong jangan ambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai pada hari minggu,” katanya pada sidang media tadi.

    Sehubungan itu, Ismail berkata tindakan dan pemeriksaan yang lebih tegas dikenakan pihak polis kerana masih lagi ramai yang melanggar arahan PKP ini. Tindakan tegas polis ini juga didorong oleh peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

    Kadar ingkar PKP naik 51% semalam, orang ramai anggap “cuti ahad” keluar tanpa alasan – menteri

    “Tindakan keras oleh polis telah bermula. Oleh itu, jangan langar perintah dan arahan di bawah PKP yang dikeluarkan. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang masih tetap mengingkari arahan PKP,” tegas beliau.

    Ismail juga memmaklumkan bahawa pada Ahad lalu pihak polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 743 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 293,051 kenderaan. Sebanyak 25,818 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan 4,822 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

    Sehingga semalam, sebanyak 3,662 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 61-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

    Hari ini masuk hari ke-20 PKP berlangsung, dan jika rantaian ini masih berleluasa, tempoh yang dijadualkan akan tamat pada 14 April ini mungkin akan dilanjutkan lagi. Kalau tak nak ia disambung, ayuh bantu barisan hadapan negara untuk menjayakan perperangan terhadap Covid-19 ini dengan duduk di rumah, dan tidak sewenang-wenangnya keluar untuk urusan remeh-temeh!

     
     
  • Jaminan kenderaan Proton tidak terjejas sebab PKP – lanjutan 1,000 km bagi waranti yang sepatutnya tamat

    Jaminan kenderaan Proton tidak terjejas sebab PKP – lanjutan 1,000 km bagi waranti yang sepatutnya tamat

    Proton hari ini mengumumkan bahawa jaminan bagi kenderaan keluaran syarikat itu yang sepatutnya tamat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan oleh kerajaan akan dilanjutkan sebanyak 1,000 km atau 30 hari selepas tempoh berkenaan berakhir kelak (atau yang mana dahulu).

    Perkara ini mencerminkan sokongan kepada langkah yang diambil oleh kerajaan berkaitan PKP dan juga bagi mengurangkan beban serta kerisauan pemilik serta pelanggan Proton terhadap kenderaan mereka.

    Berikutan penutupan semua pusat servis Proton sepanjang tempoh PKP, jaminan sedia ada bagi setiap kenderaan masih sah dan boleh digunakan meskipun kenderaan tersebut telah melepasi tempoh servis yang sepatutnya. Pelanggan dinasihatkan untuk menyelenggara kenderaan mereka dalam tempoh 30 hari selepas hari terakhir PKP bagi memastikan waranti kenderaan mereka kekal aktif.

    Pelanggan juga dinasihatkan untuk menghubungi pusat servis PROTON bagi membuat temu janji dalam tempoh 15 hari selepas hari terakhir PKP nanti. Selain itu, sementara menanti tempoh PKP tamat, Proton juga menyarankan agar pemilik untuk melakukan penyelenggaraan ringkas terhadap kenderaan mereka.

    Jika ada sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian khidmat pelanggan Proton di 1800-88-8398 atau emel kepada [email protected].

     
     
  • Dua pemandu F1 McLaren, staf lain setuju dipotong gaji secara sukarela kerana pandemik Covid-19

    Dua pemandu F1 McLaren, staf lain setuju dipotong gaji secara sukarela kerana pandemik Covid-19

    Pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini bukan hanya menjejaskan pendapat Mak Cik Kiah dan juga artis-artis di Malaysia. Pendapatan untuk pasukan lumba profesional juga nampaknya turut terjejas. Dengan lapan perlumbaan awal musim ditangguhkan atau dibatalkan terus, pasukan dari British iaitu McLaren kini berhadapan dengan masalah kewangan.

    Bagi membantu pasukan mengharungi keadaan sukar ini, dua pemandu utama pasukan tersebut, Carlos Sainz dan Lando Norris bersetuju dipotong gaji secara sukarela, lapor Motorsport.com. Bukan hanya dua bintang utama ini, gaji staf lain termasuk CEO pasukan, Zak Brown dan juga senior-senior pengurusan turut dipotong, manakala sebahagian staf telah dicutikan buat sementara waktu.

    Dua pemandu F1 McLaren, staf lain setuju dipotong gaji secara sukarela kerana pandemik Covid-19

    “McLaren Group kini telah mencutikan berberapa orang pekerja sebagai sebahagian langkah dari pelbagai cara untuk mengurangkan kos kerana impak dari pandemik Covid-19 terhadap perniagaan. Langkah ini diambil bagi menumpukan usaha untuk mengekalkan pekerjaan dalam masa pendek bagi memastikan pekerja kami dapat bekerja semula secara sepenuh masa apabila ekonomi pulih kelak,” kata jurucakap McLaren kepada portal berkenaan.

    Dalam masa yang sama, pihak pengendali F1 masih berharap musim ini dapat diteruskan. Kini mereka sedang berbincang untuk mengadakan satu format ‘superseason’ di mana pusingan akhir akan berjalan pada bulan Januari tahun hadapan.

     
     
  • Nissan kurangkan pengeluaran di Thailand akibat Covid-19, satu kilang ditutup dan satu lagi beroperasi

    Nissan kurangkan pengeluaran di Thailand akibat Covid-19, satu kilang ditutup dan satu lagi beroperasi

    Pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia kini memberikan kesan kepada pelbagai perniagaan, dan Nissan telah membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah pengeluaran produk mereka di Thailand.

    Salah satu kilang mereka yang terletak di Samut Prakan telah ditutup buat sementara waktu sehingga 3 Mei 2020, sementara satu lagi kilang masih lagi dibuka, tetapi dengan jumlah pengeluaran yang dilaras semula untuk mengikuti permintaan pengguna.

    Menurut laporan Bangkok Post, siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Nissan juga menyatakan pelarasan semula turut akan dibuat pada operasi lain yang berkaitan, termasuk pemasangan enjin dan kelengkapan lain. Di Thailand, Nissan mempunyai lima anak syarikat yang termasuk dua pusat pengeluaran, serta 180 pusat pameran dan servis. Pada masa ini, pekerja pejabat juga sudah diarahkan bekerja dari rumah.

    Nissan kurangkan pengeluaran di Thailand akibat Covid-19, satu kilang ditutup dan satu lagi beroperasi

    “Matlamat kami adalah untuk menyambung operasi perniagaan seperti biasa secepat mungkin, tetapi dengan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja, keluarga serta masyarakat Thailand sebagai keutamaan,” kata presiden Nissan Thailand, Ramesh Narasimhan.

    Beliau menambah, Nissan sedang mempertingkatkan usaha untuk melindungi pekerja, pelanggan serta komuniti semasa penularan wabak ini, dan yakin bekalan produk mereka mencukupi bagi permintaan sekarang. Rangkaian pengedaran jenama ini juga masih dibuka di seluruh Thailand.

     
     
  • Volkswagen lancarkan kempen servis “Welcome Back”

    Volkswagen lancarkan kempen servis “Welcome Back”

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini melancarkan kempen “Welcome Back” di bawah usaha Volkswagen Care sedia ada dan mensasarkan pemilik kenderaan Volkswagen yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Syarikat itu menggesa pelanggan terlibat untuk mendaftar dan membuat tempahan untuk temujanji servis kenderaan mereka melalui laman web, yang kemudiannya akan disusuli oleh petugas bagi menetapkan perincian lanjut.

    VPCM memaklumkan temujanji berkenaan mesti dibuat dalam tempoh 30 hari selepas PKP ditamatkan. Semua pelanggan yang mendaftar dalam tempoh ini turut akan menerima cenderahati. Mereka yang tidak menuntut servis penyelenggaraan percuma atau bukan ahli Volkswagen Care Plus (VCP) layak untuk mendapat baucar tambahan bernilai RM50 bagi minyak enjin.

    Selain itu, VPCM juga mencadangkan mereka yang memasuki tahun kelima pemilikan kenderaan untuk mendaftar di dalam program yang disediakan untuk mebolehkan mereka menikmati manfaat yang disediakan. Ini termasuklah tiga baucar servis 20%, bantuan tepi jalan selama dua tahun dan pakej ganti bateri di lokasi 24 jam.

    Bagi jaminan pula, Volkswagen akan terus memberikan jaminan pelindungan bagi kenderaan yang tidak dapat mengikut jadual servis yang sepatutnya sepanjang PKP ini. Bagi yang berkenaan, anda boleh klik di sini untuk menempah temujanji “Welcome Back”, dan ketahui cara memuat turun aplikasi Volkswagen Care.

     
     
  • PLUS nasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya pastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi

    PLUS nasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya pastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi

    Untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang yang harus membuat perjalanan atas urusan penting sahaja, diminta untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi. Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), sebarang transaksi tambah nilai menerusi pembantu khidmat pelanggan tidak lagi dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

    “Kami menggesa pelanggan lebuhraya supaya sentiasa memastikan mereka mempunyai baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi. Bagi memudahkan mereka menambah nilai, pelanggan boleh berbuat demikian di pusat-pusat menambah nilai yang lain seperti mesin ATM, kedai serbaneka serta stesen minyak yang terdapat di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Prai. Kiosk Layan Diri turut disediakan di lokasi-lokasi terpilih sepanjang lebuhraya PLUS,” kata CEO PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

    Walau bagaimana pun, PLUS amat memahami kesukaran sesetengah pemandu untuk membuat tambah nilai di lokasi-lokasi lain selain plaza tol. Namun demikian, langkah untuk memberhentikan perkhidmatan menambah nilai di lorong tol sepanjang PKP ini perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di kalangan pelanggan dan juga pembantu khidmat pelanggan.

    “Paling utama, langkah terbaik membendung penularan COVID-19 adalah dengan duduk di rumah dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial. Dengan memastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai baki yang mencukupi untuk transaksi tol, ia dapat mengelakkan interaksi langsung bersama pembantu khidmat pelanggan dan pada masa yang sama, memastikan penjarakkan sosial dapat dilakukan,” jelas Zakaria.

     
     
  • Hyundai promosikan social distancing untuk bendung Covid-19 dengan logo yang telah diubah secara kreatif

    Tahukah anda loga ‘H’ senget pembuat automotif Korea ini bukan sekadar bermaksud ‘Hyundai’ semata-mata? Jika anda lihat dengan teliti, ia sebenarnya adalah bayang dua orang yang sedang bersalam – yang kiri mewakili pekerja syarikat, manakala di kanan pula adalah pelanggan yang berpuas hati.

    Namun bagi mempromosikan penjarakkan sosial (social distancing) bagi membendung penularan Covid-19 yang sedang mengancam dunia sekarang, Hyundai menghasilkan logo memaparkan kedua-dua bayangan tersebut tidak lagi bersalam. Bukan itu sahaja, logo itu juga dihasilkan dalam bentuk memaparkan kedua-dua tangan itu dibasuh bagi mengingatkan orang ramai agar selalu membasuhkan tangan, untuk memastikan mereka tidak terjangkit dengan Coronavirus ini.

    Hyundai bukan sahaja telah menghentikan banyak operasi kilang mereka untuk membendung wabak Covid-19 ini dari terus merebak, bahkan mereka juga adalah jenama pertama di Amerika Syarikat yang menawarkan Insuran Perlindungan Kehilangan Pekerjaan yang menyaksikan jenama tersebut menyerap bayaran bulanan selama enam-bulan untuk kereta pelanggannya yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik Covid-19 ini.

    Selain dari Hyundai, jenama lain turut melakukan perkara sama – Volkswagen misalnya mengasingkan huruf ‘V’ dan ‘W’ dalam logo mereka, manakala Audi pula menjarakkan empat gelung yang sebelum ini saling bersentuhan.

     
     
  • BMW R18 2020 – bentuk klasik, boxer paling berkuasa

    BMW R18 2020 – bentuk klasik, boxer paling berkuasa

    Model cruiser terbaru daripada BMW Motorrad ini mulanya ditunjukkan sebagai sebuah konsep pertengahan tahun lepas, tapi apa yang anda saksikan ini pula adalah versi produksi untuk pasaran. Rekaan motosikal ini banyak mengambil inspirasi daripada model lama terutamanya R 5, dan digabungkan dengan teknologi moden.

    Tetapan enjin boxer penyejukan udara sama seperti R 5 turut digunakan pada R18, tetapi istimewanya, ia adalah unit boxer paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW, dengan kapasiti 1,802 cc dan kuasa 91 hp pada 4,750 rpm serta tork 150 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem syaf.

    Suspensi hadapan motosikal ini masih lagi menggunakan fork biasa berdiameter 49 mm, tetapi ia ditutup dengan kelongsong khas untuk menjadikannya lebih kemas manakala di belakang juga terdapat lengan ayun dan monoshock yang tersembunyi di bawah tempat duduk, meskipun jika diperhati dari tepi ia nampak seperti kerangka rigid.

    BMW tidak mahu penunggang motosikal ini terganggu dengan pelbagai teknologi moden dan mahukan mereka lebih menikmati tunggangan, jadi tidak banyak kelengkapan canggih padanya. Walaubagaimanapun, ia masih dipasang dengan Automatic Stability Control (ASC), Engine Drag Torque Control (MSR) serta tiga mod tunggangan iaitu Rain, Roll dan Rock. Hill Start Control dan bantuan undur pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Selain daripada keadaan standard, BMW Motorrad juga menyediakan pelbagai pilihan aksesori untuk R18 ini, untuk menjadikannya lebih sesuai dengan kemahuan pemilik seperti pemegang yang lebih tinggi, tempat duduk, kemasan enjin, ekzos dan pelbagai lagi.

    GALERI: Aksesori BMW R18 2020

    GALERI: BMW R5

     
     
  • Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    Seperti yang sedia maklum, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan bantuan anggota tentera memperhebatkan lagi penguatkuasaan termasuk melakukan sekatan jalan raya di kebanyakan lokasi.

    Walau bagaimana pun, masih terdapat banyak kenderaan di jalan raya walau pun kerajaan menggesa agar orang ramai duduk sahaja di rumah melainkan untuk membeli bekalan makanan, keperluan mustahan dan juga ubat-ubatan. Tapi ada juga yang ingkar akan larangan ini, selamba sahaja keluar dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah termasuk nak siram bunga di pejabat, nak hantar resepi kat kawan dan macam-macam lagi.

    Dan yang tak boleh diterima dek akal, bila ramai juga yang mencemuh dan menyalahkan polis dan tentera bila tersekat dalam kesesakan lalu lintas akibat sekatan jalan raya. Ini termasuklah seorang wanita yang menjerit dengan kata-kata kesat terhadap anggota polis di satu lokasi sekatan jalan raya baru-baru ini dan hasilnya, dia ditahan reman dan telah dihadapkan di mahkamah.

    Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    Ini pula peringatan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang menyeru agar orang ramai berhenti menyalahkan anggota polis ekoran berlaku kesesakan lalu lintas ketika sekatan jalan raya, kerana tugas pasukan keselamatan itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah semasa tempoh PKP.

    Katanya, orang ramai seharusnya mematuhi setiap arahan PKP yang dikuatkuasakan bagi membataskan pergerakan keluar rumah individu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

    “Kami terpaksa membuat sekatan jalan raya di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19, selain mengehadkan pergerakan keluar rumah orang ramai. Saya menasihatkan orang ramai yang tidak tersenarai dalam sektor perkhidmatan perlu untuk memahami arahan PKP, dan perlu melalui sekatan jalan raya,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Tambahnya lagi, sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas semasa sekatan jalan raya, orang awam diminta bersabar kerana pihaknya tidak mahu terlepas pandang jika ada individu tidak berkenaan keluar dari rumah.

    Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    “Orang ramai jangan merungut dengan isu remeh seperti berlaku kesesakan lalu lintas sekitar 10 hingga 15 minit di lebuh raya mahupun di pusat bandar.

    “Saya minta mereka fikirkan keadaan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksanakan… jangan begitu manja dengan menyalahkan sekatan jalan raya,” katanya yang turut menyuarakan kekesalan apabila ada anggotanya turut menerima cacian daripada orang ramai kerana melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara.

    Walau bagaimana pun, beliau yang turun sendiri ke ke lapangan untuk melihat anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya dan menasihatkan mereka supaya bersabar dan bekerja dengan profesional.

    “Alhamdulillah mereka menunjukkan kesabaran yang tinggi dalam menangani isu ini (menerima cacian). Orang ramai kena ingat bahawa anak buah saya, pihak tentera dan lain-lain pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya seluruh negara juga mudah terdedah dengan risiko COVID-19,” katanya.

     
     
  • Nissan Almera 2020 dengan kit Drive68 – meleleh!

    Nissan Almera 2020 dengan kit Drive68 – meleleh!

    Itu hari kita tengok penangan pembuat kit badan Thailand NKGarage memberikan sentuhan yang ‘merecik’ terhadap Honda City 2020. Kali ini satu lagi pembuat kit dari negara tersebut iaitu Ter Studio, menghasilkan rekaan yang ‘meleleh’ kepada satu lagi sedan segmen-B generasi baharu iaitu Nissan Almera 2020.

    Kit badan yang diberikan pada Almera ini adalah dari siri Drive68, yang hadir lengkap dengan spoiler bawah dan kemasan sekeliling lampu kabus pada bampar hadapan, skirt sisi, kemasan diffuser lebih agresif bersama perumah tip ekzos palsu pada bampar belakang dan juga spoiler jenis ekor itik pada penutup but.

    Rekaan asas Almera generasi baharu ini sememangnya jauh lebih sporty dari generasi sebelumnya. Di Thailand, Almera mengikut jejak langkah City untuk masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2, jadi ia perlu dijana oleh enjin HRA0 1.0 liter tiga-silinder dengan pengecas turbo, yang menghasilkan kuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm.

    Nissan Almera 2020 dengan kit Drive68 – meleleh!

    Walau bagaimanapun, tiada transmisi manual ditawarkan, di mana kesemua model diberikan kotak gear Xtronic CVT automatik dengan sistem D-Step Logic.

    Sebelum ini, kelibat Almera ini sudah pun dilihat sedang diuji di Malaysia, dan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sudah pun mengesahkan bahawa Almera generasi baharu ini akan tiba di pasaran tempatana pada tahun ini. Ok, setakat ini mana pilihan anda, Almera atau City?

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

    GALERI: Foto rasmi Nissan Almera 2020

     
     
  • Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang; jangan ganggu tugas pihak berkuasa – Ismail Sabri

    Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang; jangan ganggu tugas pihak berkuasa – Ismail Sabri

    Ada sesetengah pihak menganggap hukuman penjara yang dikenakan terhadap pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya golongan remaja adalah tidak wajar. Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) antara yang merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan hukuman perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah muda, bukannya penjara.

    Bagaimana pun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak berkuasa mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana tiada khidmat masyarakat boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP, laporan MalaysiaKini.

    Perkara ini turut mendapat perhatian kerajaan, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan isu hukuman penjara terhadap pesalah PKP akan dibincangkan antara Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara, dalam masa terdekat.

    “Mesyuarat Jawatankuas Khas Menteri-Menteri mengenai PKP bersetuju supaya pihak Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara untuk membincangkan isu ini supaya dapat diselesaikan segera,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang; jangan ganggu tugas pihak berkuasa – Ismail Sabri

    Dalam masa yang sama, beliau turut memberi peringatan agar jangan sesekali orang awam cuba mengganggu tugas atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas keselamatan.

    “Tolong beri kerjasama kepada pihak polis. Jangan cuba untuk menghalang tugas mereka atau memaki hamun. Seperti yang saya katakana bahawa ‘mood’ dari segi penguatkuasaan pihak polis telah berubah daripada menasihat kepada tegas dan kini keras,” tegasnya lagi.

    Baru-baru ini, Jabatan Penjara turut meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar PKP, memandangkan langkah itu akan menyebabkan kesesakan di penjara, selain menjadi punca penularan wabak COVID-19 di dalam penjara.

    Susulan itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menggesa pegawai kehakiman untuk mengambil pertimbangan, berhubung masalah risiko penularan wabak COVID-19 sekiranya pesalah dipenjarakan. Beliau turut mencadangkan supaya pesalah pelanggaran PKP dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat, tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

     
     
  • Dorna beri bantuan kewangan kepada pasukan satelit MotoGP serta semua pasukan Moto2 dan Moto3

    Dorna beri bantuan kewangan kepada pasukan satelit MotoGP serta semua pasukan Moto2 dan Moto3

    Pandemik Covid 19 yang sedang melanda sekarang turut memberi kesan kepada pendapatan pasukan-pasukan sukan permotoran termasuklah yang terlibat dalam MotoGP. Melihat kepada perkara ini, Dorna Sports telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada pasukan satelit MotoGP serta semua pasukan Moto2 dan Moto3.

    Pemberian bantuan ini turut mendapat persetujuan daripada FIM serta dua pemegang saham utama iaitu Bridgepoint Capital dan CPP Investments. Jumlah sebenar bantuan yang diberi tidak diumum tetapi semua pasukan Moto2 dan Moto3 telah menerimanya manakala untuk pasukan satelit MotoGP, ia akan diberi pada bulan April, Mei dan Jun.

    Bantuan ini tetap akan diberikan tanpa mengambil kira sama ada perlumbaan masih ditangguh ataupun sudah boleh dilaksanakan pada masa hadapan. Setakat ini juga kita masih belum tahu bila perlumbaan seterusnya siri MotoGP musim 2020 akan berjalan kerana satu demi satu pusingan telah ditangguh.

    Dorna berharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada kewangan pasukan, dan mereka dapat terus memastikan kewujudan dalam siri perlumbaan ini. Langkah-langkah bantuan lain juga sedang diambil kira.

     
     
  • Selangor benarkan bengkel & kedai alat ganti di buka dari 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh PKP

    Selangor benarkan bengkel & kedai alat ganti di buka dari 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh PKP

    Kerajaan negeri Selangor telah membenarkan bengkel-bengkel kenderaan dan juga kedai-kedai alat ganti beroperasi mulai jam 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari, bagi tujuan kecemasan sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua, lapor Berita Harian.

    Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, dan menjelaskan bahawa langkah ini dibuat kerana barisan hadapan dan mereka yang terbabit dalam ‘essential services’ masih perlu keluar bekerja setiap hari.

    “Kebenaran ini adalah untuk tujuan kecemasan di mana masalah kereta dapat dibaiki demi keselamatan rakyat, terutamanya mereka yang perlu bekerja dalam tempoh PKP ini yang menghadapi masalah kenderaan”, katanya.

    “Tetapi semua individu, dalam apa juga situasi perlu mematuhi jarak sosial 1 meter apabila berada di tempat awam seperti itu. Bagi yang tiada keperluan untuk keluar, duduk di rumah sahaja bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19,” tambahnya.

     
     
  • PANDU UJI: MINI JCW Countryman 2020 — model sasa dengan prestasi gempak yang tak boleh dibuat main

    PANDU UJI: MINI JCW Countryman 2020 — model sasa dengan prestasi gempak yang tak boleh dibuat main

    Tak menghairankan sebenarnya jika bagi sesetengah orang, model kenderaan MINI mempunyai sudut tersendiri dalam angan-angan atau jauh terpendam di lubuk hati mereka. Ini jelas dapat dilihat, misalnya terhadap penghargaan atau layanan yang diberikan terhadap model-model lama MINI oleh peminat-peminatnya di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

    Tetapi, ketika ini, saya sebenarnya sedang merujuk kepada MINI yang moden, yang sejak diperkenalkan sebagai lanjutan kepada model generasi lama kereta kecil dan comel berkenaan, ia juga boleh dikatakan sangat berjaya dalam menggamit bukan sahaja imaginasi, tetapi juga keinginan terhadapnya sebagai sebuah mesin kejuruteraan yang ada jiwa dan sejarah panjang tersendiri.

    Saya sendiri sebenarnya sudah agak lama tak meletakkan tangan pada stereng kereta MINI, meluangkan masa bersamanya untuk diingatkan semula betapa memikatnya jenama dan model berkenaan, walaupun ia sekadar hadir dalam pakej saiz yang kompak. Dan, itu jugalah penyesalannya selepas memandu uji versi terbaru MINI JCW Countryman F60 2020 yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ketika ini.

    Laporan lanjut di sini

     
     
  • Harga minyak 4-10 Apr – RON 95 turun ke RM1.30, RON 97 kini RM1.60, diesel juga turun ke RM1.58

    Harga minyak 4-10 Apr – RON 95 turun ke RM1.30, RON 97 kini RM1.60, diesel juga turun ke RM1.58

    Buat tiga minggu berturut-turut harga bahan api utama di Malaysia dilaporkan turun. Untuk minggu bertarikh 4 hingga 10 April 2020, Kementerian Kewangan memaklumkan, harga runcit petrol RON 95 turun sebanyak 8 sen, menjadi RM1.30 seliter, berbanding RM1.38 seliter minggu sebelum ini.

    Sementara petrol RON 97 juga turun sebanyak lapan sen, menjadi RM1.60 seliter, dari RM1.68 seliter minggu sebelum ini.

    Untuk diesel Euro 2M pula menyaksikan penurunan sebanyak 10 sen, kini RM1.58 seliter (sebelum ini RM1.68). Ini bermakna diesel Euro 5, lebih mahal 10 sen daripada diesel Euro 2M, iaitu RM1.68 seliter.

    Semua harga baharu ini efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 10 April 2020.

    Menurut Kementerian Kewangan, penurunan harga runcit bahan api ini adalah disebabkan trend harga minyak mentah dunia yang terus menurun ekoran ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19. Walau bagaimana pun, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Waranti kereta Nissan ketika PKP – tidak terjejas jika tidak datang servis, dilanjutkan 30-hari jika tamat

    Waranti kereta Nissan ketika PKP – tidak terjejas jika tidak datang servis, dilanjutkan 30-hari jika tamat

    Seperti yang diketahui, semua jaringan pengedar termasuk pusat servis bertauliah semua jenama-jenama automotif di Malaysia menutup operasi mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19. Jadi adakah ini akan menjejaskan waranti kenderaan anda sekiranya waktu servis sudah sampai ketika dalam tempoh PKP ini?

    Pengedar rasmi untuk jenama Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengesahkan bahawa waranti pelanggan yang berhadapan dengan situasi ini tidak akan terjejas.

    Namun ETCM menggesa pelanggan-pelanggan yang terbabit akan menghubungi pengedar untuk membuat temu janji dan menghantar kereta mereka untuk diservis dalam tempoh 30 hari selepas hari terakhir PKP bagi memastikan waranti mereka kekal aktif.

    Pelanggan juga boleh membuat penjadualan semula servis mereka menerusi aplikasi atas talian DriveOn dan juga di laman sesawang Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS).

    Sekiranya ada waranti kenderaan pelanggan yang akan tamat dalam tempoh PKP ini, ETCM turut mengumumkan bahawa mereka akan memanjangkannya dengan tambahan 30-hari, bermula hari terakhir PKP ini berkuatkuasa.

     
     
  • Jarak perjalanan lebih 10 km termasuk rentas negeri sepanjang PKP dibenarkan atas budi bicara polis

    Jarak perjalanan lebih 10 km termasuk rentas negeri sepanjang PKP dibenarkan atas budi bicara polis

    Dua hari lalu, kerajaan telah mengumumkan penguatkuasaan baharu bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang telah pun bermula sehingga 14 April ini. Ini termasuklah mengehadkan jarak perjalanan untuk seorang individu bagi membeli bekalan makanan dan keperluan penting termasuk ubat-ubatan, iaitu tidak boleh melebihi lingkungan radius 10 kilometer daripada rumah kediaman masing-masing.

    Selain hanya seorang sahaja yang dibenarkan dalam sebuah kenderaan dan tidak boleh ditemani oleh orang lain, melainkan terdapat keperluan yang munasabah. Untuk individu yang harus keluar untuk tugas rasmi termasuk perkhidmatan penting yang dibenarkan, haruslah membawa surat pengesahan daripada majikan.

    Malah, pihak polis turut menasihatkan sesiapa yang mahu ke mana-mana supaya membawa dan menunjukkan bil elektrik atau air yang tertera alamat tempat tinggal semasa.

    Jarak perjalanan lebih 10 km termasuk rentas negeri sepanjang PKP dibenarkan atas budi bicara polis

    Sekiranya ada individu yang didapati melanggar peraturan terbabit, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau pun dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Walau bagaimana pun, jarak yang telah dihadkan tersebut mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat. Ada yang mempertikaikan langkah tersebut, sebagai contoh, sekiranya hendak mendapatkan rawatan di hospital yang terletak lebih 10 km dari kediaman, sudah pasti perkara ini akan lebih menyulitkan lagi keadaan.

    Tengahari tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
    polis dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 km bagi mendapatkan barangan makanan mahupun perubatan sekiranya terdapat keperluan.

    Jarak perjalanan lebih 10 km termasuk rentas negeri sepanjang PKP dibenarkan atas budi bicara polis

    Ia termasuk perjalanan merentasi negeri walaupun sebelum ini peraturan PKP fasa dua mengehadkan perjalanan haruslah tidak melebihi 10 kilometer.

    “Semalam, kita ada individu yang ingin mendapatkan perubatan, tetapi hospital lebih 10km jadi mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana sedangkan kesihatan adalah perkara utama yang diberi perhatian kerajaan sehingga kita perkenalkan PKP untuk jaga kesihatan rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, sehingga semalam, terdapat 4,189 individu telah ditahan dalam sekatan jalan raya dan rondaan polis dan tentera sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu. Di mana 1,449 individu telah dituduh di mahkamah kerana mengingkari PKP. Manakala sebanyak 687 sekatan jalan raya telah dijalankan dengan 380,342 kenderaan telah diperiksa.

     
     
  • Syarikat pengangkutan kargo diberi tambahan empat hari untuk menghantar barangan keperluan penting

    Syarikat pengangkutan kargo diberi tambahan empat hari untuk menghantar barangan keperluan penting

    Syarikat pengangkutan barangan kargo diberikan tambahan empat hari untuk memindahkan atau membuat penghantaran barangan penting yang kini bersesak di pelabuhan seluruh negara. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Ini bagi memastikan isi rumah boleh mendapatkan akses kepada bekalan keperluan yang penting disepanjang tempoh PKP fasa kedua dan berikutnya.

    Bermula 4 April, semua syarikat yang mempunyai barangan keperluan penting yang disimpan di pelabuhan-pelabuhan Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu, Padang Besar dan Pelabuhan Klang dinasihatkan untuk menggerakkan barangan berkenaan sehingga 7 April, lapor The Star.

    Beliau menjelaskan bahawa semua aktiviti dan proses yang melibatkan rantaian bekalan di pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang dan menggunakan pengangkutan darat, air atau udara tergolong di dalam senarai perkhidmatan penting. Prosedur operasi standard juga telah dikongsikan bersama syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang terlibat.

    Langkah ini adalah selari dengan Peraturan 4, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Senarai 10 perkhidmatan penting yang telah diwartakan bagi fasa kedua PKP boleh dirujuk di sini.

     
     
  • Perodua sumbang RM2 juta untuk Tabung COVID-19

    Perodua sumbang RM2 juta untuk Tabung COVID-19

    Perodua yang sememangnya terkenal dengan sikap murah hati dalam kerja amal membantu masyarakat, turut tidak ketinggalan dalam menyumbang sebanyak RM2 juta kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Selain sumbangan tunai, Perodua juga telah menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh untuk membantu perjuangan menentang pandemik ini.

    Sumbangan tunai tersebut telah diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.

    Tabung COVID-19 NADMA dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 Mac lalu bagi menolong rakyat yang paling memerlukan bantuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

    “Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas langkah-langkah ini. Perodua, bersama dengan seluruh rakyat Malaysia, berharap pandemik ini akan selesai dalam masa yang terdekat; juga dengan bilangan kes serta kematian yang minima. Kami juga mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang akibat COVID-19.

    “Kami juga sedang memantau kesan wabak ini ke atas ekosistem kami serta memastikan gaji, faedah kerja dan pekerjaan warga Perodua terjaga. Kami komited untuk mengamalkan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk membendung penyebaran virus ini. Kepada para pelanggan kami secara khusus dan semua rakyat Malaysia secara umum, teruskan tinggal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat,” kata Dato’ Zainal.

     
     
  • Mercedes-Benz Services Malaysia tiada penangguhan bayaran pinjaman, penyelesaian lain diusahakan

    Mercedes-Benz Services Malaysia tiada penangguhan bayaran pinjaman, penyelesaian lain diusahakan

    Pada 25 Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan arahan kepada semua bank untuk memberikan penangguhan bayaran semula pinjaman selama enam bulan kepada pelanggan mereka, bermula 1 April hingga 30 September 2020. Ini termasuklah bayaran semula pembiayaan sewa beli kenderaan.

    Ini adalah untuk bank, sementara pemberi khidmat kredit lain pula tidak termasuk dalam kategori di bawah arahan BNM ini dan mereka tidak perlu memberikan penangguhan bayaran semula tersebut. Ini termasuklah Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM), yang menyatakan mereka bukan terletak dalam kategori bank berlesen atau institusi kewangan di bawah arahan BNM.

    Dengan itu, syarikat yang merupakan cabang pembiayaan kewangan di bawah Mercedes-Benz Malaysia ini menyatakan mereka terus menerima bayaran bulanan seperti biasa. Walaubagaimanapun, mereka sedar terdapat pelanggan yang menghadapi kesukaran dan sedang berusaha untuk memberikan penyelesaian lain. Pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi 1-800-88-1133 (pilih #2) atau hantarkan emel ke [email protected]

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026