Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Lotus Evora GT410 didedahkan – model lebih selesa kegunaan harian dengan kelajuan maksima 298 km/j

    Lotus Evora GT410 didedahkan – model lebih selesa kegunaan harian dengan kelajuan maksima 298 km/j

    Lotus sering dikaitkan dengan kereta sport yang ‘kosong’ tanpa ciri-ciri fancy, semata-mata mahu mencapai berat yang paling minima untuk prestasi pengendalian dan pecutan terbaik. Namun berbeza dengan model yang baharu didedahkan ini – digelar Lotus Evora GT410, ia diberikan pelbagai ciri untuk keselesaan untuk kegunaan harian

    Seperti namanya, model ini sebenarnya diasaskan dari Evora GT410 Sport, kemudian diperhalusi dengan lebih baik. Jadi, model ini diberikan pelbagai ciri yang berteraskan keselesaan secara standard seperti tempat duduk sport dari Sparco dengan sistem pemanas, sistem pendingin hawa, cruise control dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh premium yang bukan sahaja menyokong Apple CarPlay, malah turut memaparkan visual dari kamera undur.

    Badan kereta ini juga menerima bahan penebat bunyi yang lebih banyak bagi mengurangkan bunyi jalan yang masuk ke kabin, manakala panel dalaman pintu kini hadir dengan perehat tangan dan juga bekas simpanan untuk praktikaliti yang lebih baik.

    Lotus Evora GT410 didedahkan – model lebih selesa kegunaan harian dengan kelajuan maksima 298 km/j

    Pada bahagian luaran, Evora GT410 kelihatan seiras dengan GT410 Sport. Walau bagaimanapun, ia diberikan cermin tingkap belakang yang lebih besar bagi memberikan pandangan belakang yang lebih baik. Pelanggan untuk model ini diberikan pilihan warna badan menampilkan pelbagai warna baharu, manakala bumbung dan panel seperti bendul sisi dan cermin padang sisi diberikan kemasan warna badan.

    Untuk unit janakuasa, GT410 masih dibekalkan dengan enjin dan transmisi sama dengan GT410 Sport – enjin petrol 3.5 liter V6 yang disuap supercharger menghasilkan 416 PS dan tork maksima 410 Nm yang terletak di belakang pemandu. Kuasa dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear manual enam-kelajuan (nisbah lebih sporty). Jika anda mahu lebih keselesaan, kotak gear automatik enam-kelajuan turut ditawarkan sebagai pilihan.

    Gabungan ini membolehkan model manual memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat, manakala versi automatik pula lebih pantas dengan mencatatkan 4.1 saat dalam pecutan sama. Tetapi, versi manual mampu mencatatkan kelajuan maksima lebih tinggi pada 298 km/j, berbanding versi automatik yang hanya mampu mencapai 278 km/j.

    Lotus Evora GT410 didedahkan – model lebih selesa kegunaan harian dengan kelajuan maksima 298 km/j

    Untuk sistem mekanikal, GT410 ini dibezakan dari model Sport adalah pada sistem suspensi – ia diberikan penyerap hentak baharu yang memberikan lebih keselesaan. Tayar juga berbeza di mana model untuk pemanduan setiap hari ini dibekalkan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S berbanding PS Cup 2s pada versi Sport. Angkup brek AP Racing berwarna merah pada kereta ini hadir sebagai ciri standard.

    Walaupun hadir dengan pelbagai ciri yang diperhalusi untuk kegunaan jalan raya, GT410 dijual pada harga £82,900 (RM440k), atau £3,000 (RM16k) lebih murah dari versi Sport yang dihasilkan lebih tertumpu untuk kegunaan litar.

     
     
  • Grab bagi imbuhan RM800 untuk pemandu baru daftar

    Grab bagi imbuhan RM800 untuk pemandu baru daftar

    Mana-mana warga negara Malaysia yang mendaftar untuk menjadi pemandu sebelum 31 Mac ini, Grab akan tawarkan imbuhan sebanyak RM800. Selain itu, syarikat e-hailing berkenaan juga telah melancarkan GrabBenefits, sebuah program flagship untuk membantu komuniti pemandu Grab berbelanja dan berjimat dengan lebih baik, lapor The Star.

    Imbuhan RM800 ringgit berkenaan terdiri daripada bonus pendaftaran yang berjumlah RM500, manakala RM300 merupakan subsidi untuk membantu meringankan beban pemandu baru dengan kos peraturan yang ada, termasuk untuk tujuan kesihatan, latihan, ujian, pemeriksaan kenderaan dan perlesenan.

    Bagi GrabBenefits pula, ia terdiri daripada simpanan dalam empat kategori – rebat bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan aksesori, kesihatan serta gaya hidup/kembara. Pemandu juga boleh menikmati penjimatan untuk beberapa jenama seperti Petronas, Liqui Moly, Shell Advance, Qualitas Medical, Lourdes Medical, Digi, Mitsui, Chubb Insurance, Zakat (KL & Selangor), Kaodim, GrabFood, GrabRewards dan GrabPay.

    “Misi Grab adalah antaranya untuk menyediakan pilihan pengangkutan yang selesa dan selamat dan meningkatkan kualiti hidup warga Malaysia. Tahun lalu sahaja, komuniti pemandu Grab keseluruhannya telah berjaya menambah lebih daripada RM3 bilion bagi pendapatan isi rumah mereka,” ujar Ketua Grab Malaysia, Sean Goh.

    Lingkungan ekonomi seperti ini bukan sahaja dapat membantu warga Malaysia untuk menambah pendapatan isi rumah, tetapi juga membantu meringankan beban mereka di dalam keadaan yang memerlukan. Grab ingin memastikan kebajikan semua yang terlibat melalui insurans kemalangan peribadi GrabInsure serta insurans harian Grab sebagai perlindungan kepada pemandu dan juga penumpang. Tidak lupa juga pelan sumbangan zakat.

     
     
  • Geely minta Proton tembusi pasaran Asia Tenggara, tumpuan awal ke Thai, Indonesia, S’pura dan Brunei

    Geely minta Proton tembusi pasaran Asia Tenggara, tumpuan awal ke Thai, Indonesia, S’pura dan Brunei

    Sudah dua tahun Dr. Li Chunrong menerajui Proton sebagai CEO dan dalam tempoh itu juga, orang kepercayaan Geely ini bersama pasukannya berhempas pulas memulihkan semula imej syarikat pengeluar kereta nasional pertama Malaysia yang hampir rebah ini. Malahan dalam tempoh dua tahun juga, Proton bergerak agresif untuk mengatasi jenama gergasi Jepun termasuk Honda dan Toyota.

    Melihatn akan kejayaan yang berjaya dicapai ini, Geely meminta beliau untuk bersaing di pasaran Asia Tenggara dan lebih jauh dari itu. Menurut Geely, antara kejayaan yang dilakarkan termasuklah usaha pengurangan kos yang agresif.

    “Kini, Geely meminta kami untuk berkembang merentasi rantau ini, dengan tumpuan awal kepada Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei, kata Chunrong kepada Reuters. Ini kali pertama butiran konkrit rancangan pertumbuhan Proton didedahkan.

    Seperti Malaysia, negara yang disebutkan itu merupakan pasaran pemanduan sebelah kanan yang memerlukan modifikasi lebih kecil terhadap kereta.

    Geely minta Proton tembusi pasaran Asia Tenggara, tumpuan awal ke Thai, Indonesia, S’pura dan Brunei

    “Proton juga mensasarkan untuk menembusi Asia Barat dan meningkatkan jualannya ke Mesir. Malahan mahu meningkatkan jualan luar negara, yang hanya berjumlah 1,000 unit tahun lalu, atau satu peratus daripada jualan keseluruhannya kepada sekurang-kurangnya empat kali ganda tahun ini,” ujar Chunrong yang tidak memberikan garis waktu tertentu rancangan pengembangan kepada setiap pasaran.

    Tambahnya lagi, Proton mahu 40% jualannya daripada pasaran luar negara menjelang 2027. Malah turut mengenalpasti Thailand dan Indonesia sebagai pasaran penting, namun Chunrong enggan mendedahkan strateginya.

    “Kami mempunyai asas yang baik. Kami komited termasuk melancarkan model baharu pada setiap tahun,” katanya.

    Kalau mengikut rantau ASEAN yang mempunyai 500 juta penduduk, perancangan Proton ternyata bertepatan kerana memilih wilayah yang berpotensi.

    Geely minta Proton tembusi pasaran Asia Tenggara, tumpuan awal ke Thai, Indonesia, S’pura dan Brunei

    Kalau mengikut jualan kereta yang diunjurkan oleh firma perunding, IHS Markit, pasaran automotif akan berkembang pada kadar tiga peratus setahun pada 2016 hingga 2020, berbanding penurunan satu peratus di peringkat global. Namun, IHS berkata, Proton masih lagi pemain industri yang kecil berbanding jenama dari Jepun dan pasti berdepan kesukaran untuk bersaing.

    Untuk peringkat ASEAN, Toyota masih mendominasi pasaran sebanyak 30%, diikuti Honda (13%) dan Mitsubishi (10%), menurut IHS Markit. Manakala Proton berada di kedudukan ke-11 dengan tiga peratus penguasaan dalam pasaran dan kebanyakan jualan adalah dari Malaysia sendiri.

    Menurut seorang penganalisis kanan IHS, sasaran Proton adalah satu cita-cita yang tinggi dan ia mungkin tidak mempunyai kapasiti pengeluaran untuk menembusi pasaran serantau. Jelasnya lagi, dari segi jualan, Proton mungkin tidak berjaya di luar Malaysia.

    Walau bagaimana pun, Geely berkata, Proton mencatatkan prestasi baik sejak dua tahun lalu dan syarikat ini komited untuk melihat jenama Malaysia itu menjadi jenama utama di Asia Tenggara.

    Pada tahun lalu, Proton telah menduduki tangga kedua dalam penjualan kereta di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 16.7% – berjaya mencatatkan keuntungan buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun – mengatasi kedudukan Honda dan Toyota, masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

    Chunrong turut berkata, Proton mampu mengatasi Perodua yang masih utuh di kedudukan pertama dalam jualan kenderaan di Malaysia, dan disasarkan mampu mencapai misi tersebut menjelang 2022 – lima tahun lebih awal berbanding apa yang Geely pernah umumkan sebelum ini.

     
     
  • Kubota tunjuk trak konsep elektrik dengan fungsi A.I

    Kubota tunjuk trak konsep elektrik dengan fungsi A.I

    Sempena ulang tahun syarikat yang ke-130, pengeluar jentera komersial dari Jepun, Kubota telah menunjukkan sebuah traktor konsep yang dipanggil sebagai X-Tractor (Cross Tractor). Ia juga dianggap oleh Kubota sebagai sebuah “traktor impian”, menyamai konsep seperti sebuah lagi traktor yang pernah ditunjukkan pada tahun 1970 – dengan ciri yang cukup canggih pada zamannya.

    Antara tujuan yang disasarkan untuk penghasilan traktor ini adalah mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam industri perladangan, menambahkan kecekapan serta menerapkan teknologi pintar yang penuh pada jentera perladangan.

    Selain reka bentuk futuristik yang boleh dilihat secara jelas, traktor yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya ini turut dipasang dengan teknologi A.I yang membolehkannya bergerak secara sendiri. Data seperti cuaca dan kadar pertumbuhan boleh direkod dalam memori serta dikongsi kepada jentera lain.

    Kubota tunjuk trak konsep elektrik dengan fungsi A.I

    Untuk memberikan kuasa, bateri lithium-ion pada traktor ini boleh dicas seperti biasa, tetapi satu lagi kelebihannya, ia turut dilengkapi dengan tambahan bateri yang boleh dicas menggunakan kuasa solar. Sudah tentu, dengan tetapan seperti ini, ia menjadi lebih mesra alam.

    Terdapat empat motor elektrik pada traktor ini dan setiap satunya diletakkan di dalam roda. Melaluinya, setiap roda boleh menghasilkan kuasa yang berbeza, bergantung kepada cengkaman permukaan yang dilalui. Selain daripada itu, badan traktor ini juga boleh naik dan turun bergantung kepada keadaan.

     
     
  • GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

    GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

    Honda City 2020 telah pun diperkenalkan di Thailand sebelum 2019 berakhir. Model pesaing bagi Nissan Almera 2020 ini telah pun dinaiktaraf sepenuhnya termasuk didatangkan dengan pilihan enjin turbo tiga-silinder.

    Tiga varian diperkenalkan termasuklah City Turbo RS yang dikuasakan oleh enjin 1.0 liter (998 cc) VTEC Turbo dengan hamburan kuasa 122 PS pada 5,500 rpm dan tork 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Di Thailand, ia digandingkan dengan kotak gear CVT dengan tujuh-kelajuan maya yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    Larasan suspensinya masih kekal seperti sebelum ini, dengan topang MacPherson digunakan untuk bahagian hadapan, dan palang torsion untuk gandar belakang. Begitu juga dengan sistem brek yang masih sama, dengan cakera ventilated di hadapan, dan dram di belakang.

    GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

    Bagi dimensi, City baharu ini ditambah 113 mm lebih panjang (4,553 mm) 53 mm lebih lebar (1,748 mm) dari versi sedia ada. Namun ia kini 10 mm lebih rendah (1,467 mm) dan jarak roda pula 11 mm lebih dekat (2,589 mm) berbanding sebelum ini. Honda turut memberikan penebat polyurethane dan tebatan bunyi lebih tebal pada ruang enjin bagi memberikan NVH lebih baik.

    Bagi rekaan luaran, untuk model RS, ia hadir dengan kemasan-kemasan hitam yang menggantikan komponen krom pada varian SV. Ia juga menampilkan cermin sisi dan juga lid spoiler belakang dengan kemasan hitam, dan juga rim 15-inci dua-tona dengan rekaan tersendiri.

    Selain itu, ia turut menampilkan wajah hadapan nampak lebih ‘jendul’ berbanding sebelumnya, dengan iras muka lebih mirip kepada Civic, serta ‘kening’ bersama lampu nyalaan siang LED yang bercantum pada gril ‘solid wing’ yang tebal pada bahagian tengah.

    Pada bahagian sisi, garis bahu kelihatan lebih menyerlah, tetapi ia tidak menaik ke belakang, sebaliknya nampak lebih tegak. Di belakang, model ini diberikan lampu dengan kluster lebih tirus dan berbucu dari sebelum ini, dan ia hadir dengan jalur grafik LED yang unik. Kemasan seakan diffuser pada bampar belakang direka kecil, tetapi ia diberikan sepasang liang udara pada setiap sisi yang nampak agresif.

    Kabinnya pula menampilkan rekaan papan pemuka baharu, dengan paparan infotainmen di bahagian tengah, corong udara dengan gaya vertikal, rekaan roda stereng baharu serta kokpit yang kelihatan lebih bergaya. Konsol tengah pula tidak banyak perubahan melainkan terdapat penambahan butang di sebelah tuil gear untuk mod Econ dan lahu enjin.

    Untuk aspek keselamatan, tiada brek kecemasan sendiri (AEB) ditampilkan, tetapi Thailand telah menetapkan mandat bagi ciri ABS, EBD, BA dan VSA secara standard, dan kesemua varian City baharu dilengkapi ciri berkenaan.

    Honda City 2020 ini telah pun diuji oleh media Thai di Chiang Rai, di mana foto ini dirakamkan. Harga bagi sedan segmen-B ini bermula dari 579,500 baht (RM77,534), dengan menawarkan empat varian – S, V, SV dan RS – untuk pasaran di sana. Bolehkah kita mengharapkan City 2020 ini akan memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini?

     
     
  • Nissan rancang buang 4,300 orang pekerja – laporan

    Nissan rancang buang 4,300 orang pekerja – laporan

    Nampaknya tahun 2020 masih kekal mencabar untuk industri automotif dunia. Di dalam perkembangan terbaru, Nissan dilaporkan merancang untuk membuang kira-kira 4,300 orang pekerja dan menamatkan operasi dua kilang pengeluarannya sebagai langkah pengurangan kos, lapor Reuters berdasarkan beberapa sumber terdekat.

    Pengeluar kenderaan yang kedua terbesar di Jepun itu mensasarkan untuk mengurangkan perbelanjaan susulan daripada penurunan angka jualan yang tidak dijangka. Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menambah 480 bilion yen ($4.4 bilion) untuk syarikat menjelang 2023.

    Pelan tindakan terbaru ini adalah tambahan terkini kepada pelan peralihan yang diumumkan Julai tahun lalu. Sumber memberitahu agensi berita itu yang langkah berkenaan turut akan melibatkan pengguguran barisan model kenderaan yang tidak memberikan prestasi jualan yang baik seperti dijangkakan, serta mengurangkan pilihan terhadap produk dan tingkat kemasan yang ditawarkan.

    Nissan rancang buang 4,300 orang pekerja – laporan

    Sementara itu, pekerjaan akan turut dikecilkan di ibu pejabat Nissan Amerika Syarikat dan Eropah, dan peruntukan bagi pengiklanan dan pemasaran turut akan dikurangkan. “Situasi agak mendesak. Sama ada lakukan sesuatu atau bungkus,” ujar sumber yang dekat dengan pengurusan kanan Nissan.

    Menurut dua sumber, kebanyakan rancangan penjimatan dan langkah untuk memperbaiki kecekapan dibentangkan kepada ahli lembaga Nissan November lalu, yang memberikan persetujuan mereka secara umum untuk ia dilaksanakan. Nissan berdepan dengan banyak cabaran sepanjang 2019, dengan bekas bosnya Carlos Ghosn telah meninggalkan syarikat itu selepas dikaitkan dengan skandal pemalsuan jumlah pendapatan korporatnya.

    Beberapa orang eksekutif kanan juga telah meninggalkan syarikat itu, termasuk Ketua Pegawai Operasi, Jun Seki. Hubungan sukar dengan rakan pakatannya, Renault juga menyulitkan lagi situasi yang dihadapi Nissan.

     
     
  • Pasukan MotoGP factory Yamaha sambung kontrak Vinales, disertai Quartararo bagi musim 2021-2022

    Pasukan MotoGP factory Yamaha sambung kontrak Vinales, disertai Quartararo bagi musim 2021-2022

    Meskipun kontrak sedia ada masih sah untuk sehingga hujung musim 2020, pasukan MotoGP factory Yamaha telah menyambung kontrak dengan Maverick Vinales untuk tambahan dua tahun lagi iaitu untuk tahun 2021 dan 2022. Ini sekaligus menunjukkan keyakinan mereka dengan pelumba dari Sepanyol tersebut.

    Satu lagi berita yang mengejutkan adalah Fabio Quartararo telah dipilih untuk menjadi rakan sepasukan Vinales bermula musim 2021 dan 2022. Kontraknya telah pun ditandatangani, dan bagi musim 2020, Quartararo masih lagi akan berlumba untuk pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

    “Fabio dan Maverick akan memberikan dorongan yang besar kepada kami semua di Yamaha Factory Racing MotoGP Team, untuk terus membangunkan jentera YZR-M1 kami, dan mengambil segala langkah yang perlu untuk mendapatkan gelaran juara dalam MotoGP World Championship,” kata pengarah urusan Yamaha Factory Racing MotoGP Team, Lin Jarvis.

    Satu persoalan besar yang muncul hasil daripada kontrak yang ditandatangani oleh dua pelumba ini untuk musim 2021 dan 2022 adalah ke mana pula perginya pelumba legenda, Valentino Rossi yang kontraknya akan berakhir pada akhir musim 2020.

    Setakat yang diberitahu oleh MotoGP, Rossi cuma akan mengeluarkan kenyataan sama ada akan terus berlumba secara kompetitif atau tidak pada pertengahan musim 2020. Tempoh masa ini diminta sendiri oleh Rossi, bagi membolehkan beliau menilai prestasi selepas tujuh atau lapan perlumbaan.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 ABS 2020 – berpotensi jadi pilihan yang berbaloi, harga RM9.7k

    TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 ABS 2020 – berpotensi jadi pilihan yang berbaloi, harga RM9.7k

    Pada sepanjang masa, akan sentiasa ada orang-orang yang baru hendak belajar menunggang motosikal. Tidak kiralah, mereka dari golongan muda yang baru sahaja layak untuk mengambil lesen, ataupun yang sudah berusia tetapi baru terbuka hati untuk merasai pengalaman bersama jentera dua roda.

    Kalau mereka mahukan sebuah motosikal yang mudah sudah tentu jawapannya adalah skuter atau kapcai, tapi saya juga selalu menerima soalan apakah motosikal yang sesuai jika mereka mahu membiasakan diri terlebih dahulu sebelum bertukar kepada motosikal yang berkapasiti lebih besar.

    Untuk keperluan ini, saya suka mencadangkan motosikal yang mempunyai klac, bersaiz sebenar (kapcai lebih kecil) dan mempunyai tangki di atas. Kalau dulu, jawapan yang selalu saya beri adalah Yamaha FZ150i, tapi sekarang Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sudah tidak mengeluarkan model ini dan yang tinggal dalam pasaran cumalah stok akhir ataupun terpakai.

    Motosikal yang menepati ciri ini sudah tidak banyak dalam pasaran, melainkan anda pergi kepada kategori 250 cc yang harganya berada di sekitar RM20k untuk model jenama terkenal. Itupun saya jangka anda tidak akan memilikinya untuk masa lama dan akan terfikir untuk naik taraf kepada model berkapasiti lebih tinggi.

    Daripada motosikal jenama Jepun, sekarang cadangan saya bertukar kepada jenama dari India, atau lebih spesifik lagi dari Bajaj. Sejak kerjasama antara syarikat ini terjalin dengan Modenas tiga tahun lalu, kita sudah menerima beberapa model seperti Pulsar RS200, Pulsar NS200, Pulsar NS160 dan V15.

    Baca seterusya di sini

     
     
  • Hukuman lebih berat menanti pemandu mabuk, pengaruh dadah dan memandu secara bahaya – Loke

    Hukuman lebih berat menanti pemandu mabuk, pengaruh dadah dan memandu secara bahaya – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

    Menurutnya lagi, akta sedia ada akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Cadangan itu akan dibincangkan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara. Kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Hukuman lebih berat menanti pemandu mabuk, pengaruh dadah dan memandu secara bahaya – Loke

    Buat masa ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

     
     
  • OP Selamat 16: 290,567 saman dikeluarkan, 16,940 kemalangan dicatatkan dari 18 hingga 28 Jan 2020

    OP Selamat 16: 290,567 saman dikeluarkan, 16,940 kemalangan dicatatkan dari 18 hingga 28 Jan 2020

    Sepanjang Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina yang diadakan sejak 18 Jan lalu, sehingga semalam, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sejumlah 290,567 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara.

    Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Dr Bakri Zainal Abidin, kebanyakan saman yang dikeluarkan meliputi kesalahan memandu melebihi had laju dengan mencatatkan 57% daripada jumlah keseluruhan saman.

    “Ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya masih tidak berubah walaupun terdapat pertambahan kenderaan di atas jalan raya.

    OP Selamat 16: 290,567 saman dikeluarkan, 16,940 kemalangan dicatatkan dari 18 hingga 28 Jan 2020

    “Dalam data kami, mendapati faktor memandu melebihi had laju adalah punca utama kemalangan jalan raya. Kalau kita lihat kebanyakan kenderaan yang terbabas adalah disebabkan memandu laju dan bukannya sebab faktor lain,” katanya seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    Tambah beliau lagi, jumlah kemalangan pada Op Selamat kali ini turut mencatatkan peningkatan sebanyak 10% iaitu 16,940 kemalangan dalam tempoh 11 hari berbanding tempoh sama dalam op tahun lepas iaitu 15,464 kemalangan.

    “Kami mendapati kumpulan penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang tertinggi kemalangan pada op selamat kali ini,” katanya.

     
     
  • Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah dari dua juta pemilik dan bekas pemilik model Focus dan Fiesta yang dilengkapi dengan unit transmisi klac berkembar automatik (DCT) bermasalah DPS6 PowerShift di Amerika Syarikat, lapor akhbar Detroit Free Press.

    Tuntutan mahkamah berkenaan difailkan buat pertama kali pada tahun 2012, mendakwa bahawa Ford yang mengetahui masalah pada kotak gear DPS6 (atau 6DCT250) terus menjual produk berkenaan kepada pelanggan yang tidak menyedari perkara tersebut kemudian menyalahkan pemandu atas semua masalah yang mereka alami.

    Julai lalu, akhbar berkenaan turut telah mendedahkan dokumen sulit dan emel dari Ford yang menunjukkan bahawa mereka mengetahui masalah kotak gear berkenaan sejak dari awal, tetapi terus menjualnya ke pasaran.

    Para pemilik model-model yang terjejas tersebut mendakwa dalam tuntutan berkenaan bahawa Focus C346 generasi ketiga yang diproduksi dari 2012 hingga 2016 dan Fiesta B299 yang diproduksi dari 2011 hingga 2016 diberikan transmisi yang bermasalah serta terdedah untuk “bergegar, tergelincir, melompat-lompat, menerkam, teragak-agak ketika menukar gear, kehausan pramatang pada komponen dalaman, lambat untuk turun gear, dan dalam berberapa kes, pecutan yang secara tiba-tiba atau lambat.”

    Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford sebelum ini pernah berulang kali cuba memperbaiki semula kerosakan tersebut. Pada 2014, pengeluar berkenaan memanjangkan tempoh waranti transmisi itu kepada tujuh-tahun dan 160,000 km (100,000 batu) untuk Focus dan Fiesta yang diproduksi sebelum pertengahan 2013. Selepas penyebaran berita pada Julai lalu, waranti yang sama turut digunapakai untuk Focus 2014-2016 dan juga Fiesta 2014-2015.

    Dalam perjanjian yang diusulkan, Ford menawarkan jaminan komitmen sebanyak US$30 juta (RM122.5 juta) dalam bentuk pampasan tunai kepada konsumer yang telah merekodkan pembaikan transmisi yang rosak berulang kali dalam masa lima tahun selepas membeli kereta mereka atau 96,000 km (60,000 batu).

    Syarikat tersebut turut menawarkan program belian semula mudah untuk kereta yang terjejas dan juga proses yang lebih mudah untuk bekas pemilik serta orang yang menyewa kereta berkenaan bagi diberikan pampasan.

    Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford telah menawarkan perjanjian awalan dengan kos bayaran dianggarkan sekitar US$35 juta (RM142.8 juta), dengan tanpa bayaran minimun diperlukan. Perjanjian awalan tersebut turut memerlukan pemilik kereta untuk memberikan peluang terakhir kepada Ford bagi memperbaiki kereta mereka sebelum ditimbang tara, tetapi prasyarat tersebut telah digugurkan dalam perjanjian baharu ini. Kes ini akan didengar semula pada 28 Februari nanti untuk kelulusan akhir.

    Bayaran yang perlu dikeluarkan oleh Ford mungkin akan mencapai US$100 juta (RM408.25 juta), menurut peguam yang membantu mencapai persetujuan ini bagi pihak pemilik-pemilik kereta. Tiada had ditetapkan, dan Ford perlu membayar sehingga kesemua pemilik tersebut selesai membuat tuntutan.

    Ford juga mendedahkan bahawa antara Oktober 2017 hingga akhir 2019, mereka telah menghabiskan sekitar US$47.47 juta (RM193.8 juta) bagi membeli semula 2,666 unit Focus dan Fiesta yang terjejas menerusi program timbangtara sukarela. Walau bagaimanapun, penyelesaian ini hanyalah untuk pasaran Amerika Syarikat dan syarikat tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagaimana ia akan diselasaikan pada Focus dan Fiesta pasaran lain yang turut menghadapi masalah sama.

     
     
  • VIDEO: Presiden Toyota ‘belasah’ Yaris WRC

    Presiden, CEO atau ‘Bos Besar’ syarikat-syarikat pengeluar automotif biasanya terikat dengan pelbagai protokol. Walaupun mereka ini selalunya dikenali sangat berminat dengan kereta, jarang boleh kita mereka memandu sendiri kereta masing-masing dan kebiasaannya hanya duduk di tempat duduk belakang kereta mewah yang mempunyai pemandu.

    Pernah tengok Enzo Ferrari melakukan aksi drift dengan mana-mana Ferrari dikhalayak ramai? Tak pernah kan? Tapi lain pula dengan presiden Toyota, Akio Toyoda. Kita dapat tengok aksi beliau dalam video teaser GR Yaris sebelum ini, dan semasa Tokyo Auto Salon 2020 yang berlangsung dua minggu lalu, Akio memperlihatkan kemahirannya mengendalikan jentera Yaris WRC sebenar secara live di khalayak ramai.

    Dalam video tersebut, Akio ditemani oleh Katsuta Takamoto – pemandu WRC Jepun yang dibangunkan sendiri oleh Toyota dan juga prinsipal pasukan rali dunia Gazoo Racing, Tommi Makinnen. Beliau dilihat ‘membelasah’ Yaris WRC berkenaan dengan melakukan aksi hand brake turn, drift dan juga donut dengan begitu bergaya.

    Bagi mereka yang belum mengetahui, Akio Toyoda sememangnya seorang pelumba. Sebelum beliau sah bergelar Presiden Toyota pada tahun 2009, beliau berlumba dengan nama samaran Morizo Kinoshita, menggunakan sebuah Toyota Altezza terpakai.

    Nama samaran tersebut digunakan kerana statusnya sebagai penyambung legasi perniagaan moyangnya – aktiviti berbahaya yang mungkin boleh meragut nyawa berkenaan perlu dilakukan secara rahsia bagi mengelakkan status hubungan awamnya tercemar. Namun Akio bukan berlumba secara semberono, sebaliknya beliau mendapat didikan terus dari jurutera penguji lagenda Toyota yang turut dikenali ‘Master of Nürburgring’, mendiang Hiromu Naruse.

    Kami telah menulis satu artikel bagaimana tertubuhnya Toyota Gazoo Racing yang diasaskan oleh Akio Toyoda dan juga Hiromu Naruse, dan anda boleh bacanya pada ARTIKEL INI.

     
     
  • Penduduk, warga kerja di Pulau Pinang dapat diskaun esktra 18% di Jambatan Pulau Pinang mulai 1 Feb ini

    Penduduk, warga kerja di Pulau Pinang dapat diskaun esktra 18% di Jambatan Pulau Pinang mulai 1 Feb ini

    Khas untuk penduduk dan warga kerja di Pulau Pinang yang selama ini telah diberi diskaun 20% untuk kadar tol sebelum ini di jambatan itu, bakal menikmati diskaun ekstra 18% lagi (kategori kereta persendirian) mulai 1 Feb ini.

    Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kadar baharu itu adalah hanya bagi penerima diskaun khas yang dinikmati penduduk Pulau Pinang dan warga kerja di Pulau Pinang.

    “Contohnya, bayaran tol Jambatan Pulau Pinang sekarang adalah RM7 dan ia akan dipotong 18% jadi lepas ini kadar tolnya adalah RM5.74. Bagi penduduk Pulau Pinang yang sebelum ini menikmati diskaun 20% akan terus menerima diskaun 18% itu lagi menjadikan harga bayaran kadar tol yang baharu ialah RM4.59,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, dengan pengurangan kadar tol 18% itu lagi membolehkan penduduk negeri ini menerima kadar bayaran baharu hanya RM4.59 manakala bagi penduduk atau pengguna dari luar Pulau Pinang akan menikmati kadar tol RM5.74 di jambatan itu selepas pengurangan kadar tol terbabit.

    Pada masa ini penduduk Pulau Pinang menikmati kadar diskaun tol di jambatan itu sebanyak 20% daripada RM7 kepada RM5.60

    Bagaimanapun, bermula 1 Feb ini, pengiraan kadar baharu tol Jambatan Pulau Pinang bagi penduduk negeri ini akan menggunakan formula baharu dan bayaran kadar tol RM5.60 itu tidak lagi terpakai.

    Lim berkata pengurangan itu adalah manfaat besar yang diterima rakyat daripada perubahan kerajaan.

     
     
  • Geely sedia dana RM117 juta bendung Coronavirus

    Geely sedia dana RM117 juta bendung Coronavirus

    Dalam kecoh-kecoh berkaitan coronavirus yang sedang melanda sekarang ini, Geely mengumumkan bakal bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Li Shufu untuk menyediakan dana sebanyak RMB200 juta (RM117 juta) bagi pencengahan dan kawalan epidemic Coronavirus di Hubei, Guangdong, Zhejiang dan Henan serta kawasan-kawasan lain yang terlibat.

    Yayasan berkenaan ditubuhkan oleh pengasas dan pengerusi Geely Holding, Li Shufu, dan akan membeli serta mengedarkan keperluan perubatan yang diperlukan dengan segera. Ini termasuk topeng pernafasan, cecair cegah jangkitan, goggle perubatan serta saluran pernafasan bergantung pada keperluan setiap kawasan terbabit.

    Dana itu juga sebahagiannya akan digunakan untuk membina hospital sementara dan menyediakan bantuan kepada staf perubatan, petugas binaan, media dan sukarelawan. Kenderaan juga akan disumbangkan, dengan 50 buat MPV Geely Auto akan diserahkan untuk kegunaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Baru Coronavirus Wuhan.

    Servis e-hailing syarikat itu, CaoCao juga telah menyediakan barisan kenderaan untuk digunakan di kawasan Wuhan, dengan semua perkhidmatan pengangkutan akan disediakan kepada penduduk Wuhan secara percuma. Lebih daripada 250,000 topeng kesihatan dari Sweden telah diperoleh oleh Geely, dan akan diedarkan ke kawasan yang terkesan di China. Jenama-jenama lain di bawah kumpulan Geely juga dilaporkan bakal bekerjasama dengan yayasan berkenaan untuk melawan epidemik terbaru ini.

     
     
  • Bajaj bangunkan motosikal bawah 750 cc untuk Triumph – akan masuk pasaran menjelang tahun 2022

    Bajaj bangunkan motosikal bawah 750 cc untuk Triumph –  akan masuk pasaran menjelang tahun 2022

    Satu kerjasama telah dijalin antara Bajaj Auto dan Triumph Motorcycles, dengan dalam perjanjiannya, Bajaj akan membangunkan motosikal antara 250 hingga 750 cc untuk Triumph di kilang mereka di Chakan, India, seterusnya dipasarkan di seluruh dunia menjelang tahun 2022.

    Triumph akan menggunakan rangkaian pengedaran sedia ada mereka untuk memasarkan motosikal baru berkapasiti rendah dan sederhana ini, manakala Bajaj pula akan menambah jumlah pengedar Triumph di negara seperti Afrika dan India, di mana mereka mempunyai kedudukan yang kukuh.

    “Ini adalah satu kerjasama yang penting bagi Triumph, dan saya rasa senang hati kerana ia telah bermula. Selain membawa jenama kami ke dalam segmen penting yang baru, produk yang akan akan terhasil daripada kerjasama ini juga akan membantu menarik pelanggan yang lebih muda serta satu langkah ke hadapan terhadap sasaran kami untuk berkembang secara global,” kata ketua pegawai eksekutif Triumph.

    “Triumph adalah satu jenama yang ikonik di seluruh dunia, Jadi, kami yakin terdapat permintaan yang tinggi di India dan pasaran membangun lain untuk produk baru ini. Kami tidak sabar untuk bekerja dengan syarikat motosikal terkenal ini dan menggunakan kekuatan serta kepakaran masing-masing untuk menjadikan hubungan ini satu kejayaan,” kata pengarah urusan Bajaj, Rajiv Bajaj.

     
     
  • Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Menurut sebuah laporan The Star, konsortium Naza-Berjaya nampaknya telah dipilih oleh kerajaan sebagai syarikat yang akan membekal, menyelenggara dan menguruskan armada kenderaan rasmi kerajaan serta kereta peronda polis. Dipercayai konsortium berkenaan telah menerima surat makluman daripada kementerian kewangan, dengan penganugerahan kontrak sebenar akan diumumkan Jun nanti.

    Konsortium berkenaan bakal menggantikan Spanco yang menguruskan armada kenderaan kerajaan sebelum ini sejak 1994. Spanco merupakan sebuah syarikat pengurus armada kenderaan yang memiliki dua pusat servis flagship di Batu Caves dan Bangi, serta lebih 200 pusat servis seluruh negara.

    Keperluan untuk melantik syarikat baru itu muncul selepas perjanjian konsesi 25-tahun Spanco dengan kerajaan tamat pada Disember 2018 – syarikat itu kemudiannya diberikan dua kali lanjutan (enam bulan setiap satu) pada 2019 dan terus mengurus armada kenderaan kerajaan sehingga hujung tahun lalu. Laporan itu juga menyebut, dipercayai Spanco telah diberi sekali lagi lanjutan bagi tempoh enam bulan sehingga Jun, menyebabkan perjanjian konsesi baru ini hanya akan dianugerahkan selepas itu.

    Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Pada Februari tahun lalu, kerajaan membuka panggilan untuk cadangan bagi kontrak untuk membekal, menyelenggara dan penguruskan barisan kenderaan rasminya bagi tempoh 15 tahun. Dipercayai sekurang-kurangnya tujuh syarikat telah menghantar cadangan bagi tempoh konsesi baru ini; selain Naza Group, pembida lain termasuk Berjaya Group, Sime Darby, DRB-Hicom, Samling Group, Comos dan Go Auto serta Spanco sendiri, yang menjangkakan dapat meneruskan konsesi tersebut.

    Saiz dan jumlah konsesi berkenaan bagaimanapun masih belum didedahkan, tetapi ia dijangka akan ditawar berdasarkan jumlah armada sebanyak 12,500 unit kenderaan; kontrak berkenaan boleh mencecah nilai RM300 juta setahun bagi tahun kelima dan berikutnya. Barisan kenderaan sedia ada, semuanya yang dipajak daripada Spanco bagi tempoh kitaran gantian setiap lima tahun, adalah termasuk kenderaan yang digunakan oleh menteri dan pegawai kerajaan serta kereta peronda polis.

    Dengan kontrak Spanco, konsesi pengurusan menyeluruh bagi barisan kenderaan itu datang dengan kitaran penggantian bagi setiap lima-tahun untuk memastikan kenderaan kerajaan sentiasa kekal baru dan semasa, dengan kos penyelenggaraan bagi setiap unit ditetapkan had maksimumnya.

    Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Merujuk laporan yang sama, pemegang konsesi baru hanya akan mula membekalkan kereta baru kepada kerajaan untuk menggantikan kenderaan Spanco yang telah tamat tempoh pajakan sebaik sahaja kontrak itu diperincikan lebih lanjut. Bagaimanapun, dengan kontrak konsesi baru ini, Spanco masih akan dilantik untuk menyelenggara dan menguruskan kenderaan yang dipajak olehnya, yang masih digunakan oleh kerajaan sehinggalah kenderaan-kenderaan itu diganti nanti.

    Dalam tempoh 12 bulan lalu, Spanco membekalkan sekitar 2,000 kenderaan kepada kerajaan sebagai ganti kepada kenderaan yang telah tamat tempoh lima-tahun penggunaan. Ini termasuk 500 unit Proton X70 yang diserahkan pada Disember lalu dan January tahun ini.

    Konsortium Naza-Berjaya mempunyai 20 jenama kenderaan di bawah mereka, termasuk Kia, Peugeot dan Mazda. Ogos tahun lalu, ketika bercakap kepada sisipan perniagaan StarBiz, Ketua Pegawai Strategi Naza Corp, Azrul Reza memberitahu bahawa konsortium Naza-Berjaya akan mampu untuk melanjutkan kadar sewaan kenderaan yang kompetitif dan membantu kerajaan mencapai kecekapan kos melalui penawaran menyeluruh dan memberi manfaat kepada kerjaaan melalui kos yang lebih rendah.

     
     
  • Ducati Scrambler 110 Pro dan 1100 Sport Pro didedah

    Ducati Scrambler 110 Pro dan 1100 Sport Pro didedah

    Ducati telah memperkenalkan dua model tambahan bagi Scrambler 1100, yang dinamakan sebagai Scrambler 1100 Pro dan Scrambler 1100 Sport Pro. Mengikut perancangan, ia akan berada di pasaran Eropah pada bulan Mac ini manakala Malaysia pula dijangka menerimanya pada suku ketiga 2020.

    Dua model baru ini datang dalam pilihan warna dua tona yang dipanggil “Ocean Drive”, kerangkanya diwarnakan hitam manakala panel tepi pula menggunakan aluminium. Dua ekzos yang keluar di bahagian tepi, kanan motosikal ini dijadikan lebih rapat kepada tempat duduk sementara lampu hadapan pula mempunyai hiasan berbentuk X di dalamnya.

    Beza antara keduanya boleh dilihat pada bahagian suspensi di mana Scrambler 1100 Sport Pro menggunakan unit Ohlins depan dan belakang manakala Scrambler 1100 Pro menggunakan fork Marzocchi dan monoshock Kayaba. Sport Pro juga menggunakan pemegang yang lebih rendah serta cermin sisi seperti cafe racer. Bahan balutan tempat duduk juga adalah baru untuk kedua-duanya.

    Enjin masih lagi sama seperti Scrambler 1100 sebelum ini, iaitu unit v-twin 1,079 cc dengan kemampuan 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rm. Ciri elektronik pada motosikal ini antaranya termasuk Ducati Traction Control, cornering ABS dan tiga mod tunggangan – Active, City dan Journey. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter manakala brek adalah unit daripada Brembo.

    Di Malaysia, model standard Ducati Scrambler 1100 dijual pada harga RM79,900, Scrambler 1100 Special RM85,900 dan Scrambler 1100 Sport RM89,900 – tidak termasuk insurans.

     
     
  • Honda City dengan enjin 1.0 liter turbo mungkin menyebabkan harganya naik – Honda Indonesia

    Honda City dengan enjin 1.0 liter turbo mungkin menyebabkan harganya naik – Honda Indonesia

    Honda City generasi baharu telah muncul buat kali pertama pada peringkat global Oktober lalu, dengan Thailand sebagai pasaran pertama yang menerimanya. Direka bagi membolehkan ia masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 yang membolehkan ia menerima insentif potongan cukai istimewa, City di pasaran berkenaan dibekalkan dengan enjin 1.0 liter tiga silinder dengan pengecas turbo yang agak menggiurkan selera pelanggan pasaran lain termasuk Malaysia.

    Namun adakah pasaran selain Thai akan menerima City dengan enjin yang sama? Untuk Malaysia, masih lagi tiada pembayang. Namun di Indonesia, pengedar Honda di negara tersebut membayangkan City mungkin akan di jual pada harga tidak masuk akal sekiranya di jana dengan enjin turbo berkenaan.

    “Keinginan untuk memasarkannya (enjin 1,000 cc VTEC Turbo) di Indonesia memang ada, tapi bagaimana dengan harganya? Apabila harganya jadi lebih mahal sekitar 30 juta Rupiah, apakah pelanggan masih mahu beli?” kata Yusak Billy, pengarah inovasi perniagaan dan pemarasan jualan Honda Prospect Motor Indonesia kepada laman AutonetMagz.com.

    Kegusaran Billy berkenaan sememangnya berasas kerana angka 30 juta rupiah (sekitar RM9k) tersebut sememangnya besar kerana City masih dianggap sebuah sedan dalam segmen low-end di sana, dan faktor harga sememangnya sangat kritikal. Malah jika kita aplikasikannya ke pasaran Malaysia juga nampak tidak logik – adakah anda sanggup membeli sebuah sedan segmen-B dengan harga melebihi RM95k?

    Honda City dengan enjin 1.0 liter turbo mungkin menyebabkan harganya naik – Honda Indonesia

    Billy turut menerangkan untuk menawarkan enjin turbo dalam pasaran Indonesia bukan masalah besar untuk syarikatnya, tetapi ia kelak akan menimbulkan masalah harga dan segmentasi.

    “Jika dipasang di Honda HR-V misalnya, dan terjadi kenaikan harga tersebut, biasanya pelanggan akan terus memilih CR-V. Jadi kami masih pelajari lagi, apa kehendak pasaran, apa kehendak pengguna, kerana kami mencari mana yang sepadan,” jelasnya.

    Di Thailand, City generasi baharu ini menerima enjin P10A2 1.0L tiga-silinder VTEC Turbo, bersama kotak gear CVT automatik untuk semua varian. Ia adalah enjin yang sama menjana Honda Civic 1.0L pasaran Eropah, tetapi talaan kuasanya sedikit kurang iaitu hanya 122 PS/173 Nm.

    Jadi apa pendapat anda? Adakah anda sanggup membayar lebih untuk sebuah City berkuasa turbo? Atau lebih suka ia dijual pada julat harga sedia ada dengan enjin 1.5 liter i-VTEC yang sama?

    Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • TVS iQube skuter janaan elektrik dengan tork 140 Nm

    TVS iQube skuter janaan elektrik dengan tork 140 Nm

    Pengeluar motosikal dari India, TVS Motor Company melancarkan sebuah skuter elektrik untuk pasaran sana, yang dinamakan sebagai iQube. Ia dikuasakan oleh bateri lithium ion yang memberi kuasa kepada motor elektrik 4.4 kW, dan tork maksimum 140 Nm.

    Bateri pada iQube boleh dicas penuh dalam masa sekitar lima jam, dan selepas itu, ia boleh bergerak untuk jarak sehingga 75 km. Laju maksimum adalah 78 km/j manakala pecutan 0-40 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.2 saat.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motoikal ini adalah termasuk rim 12 inci dengan tayar 90/90, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, serta panel instrumen TFT dengan sistem sambungan Smart X Connect.

    Melalui sistem ini, yang boleh disambungkan kepada telefon bimbit, pengguna boleh pelbagai fungsi seperti navigasi, status bateri, geofencing, pemberitahuan panggilan dan mesej, amaran lebih kelajuan, kedudukan motosikal serta statistik tunggangan.

    Selain daripada ciri yang disebutkan ini, iQube juga datang dengan fungsi unik Q-Park Assist iaitu bantuan kuasa untuk bergerak ke hadapan dan belakang apabila hendak meletakkan kenderaan. Ia juga datang dengan dua mod tunggangan. Di India, iQube dijual pada harga 115,000 Rupee (RM6,579).

     
     
  • Ops Selamat 16 – 14,087 kecelakaan, 138 kematian

    Ops Selamat 16 – 14,087 kecelakaan, 138 kematian

    Jika ditinjau di media sosial sahaja, banyak kecelakaan jalanraya yang berlaku hanya dalam tempoh cuti perayaan ini. Ini kemudian disokong juga oleh angka yang diumumkan PDRM sempena Ops Selamat 16 – setakat ini sebanyak 14,087 kecelakaan dilaporkan dalam tempoh sembilan hari operasi berkenaan dijalankan, lapor Bernama.

    Selangor negeri yang mencatatkan angka tertinggi dengan 4,089 kes, diikuti Johor (2,194), Kuala Lumpur (1,616) dan Pulau Pinang (1,147). Daripada jumlah itu, 127 kecelakaan telah menyebabkan 138 kematian. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kematian tertinggi dengan 94 kes.

    Keseluruhannya, 233,454 saman juga telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan, dan daripada jumlah itu, 1466,008 (62.5%) melibatkan kesalahan utama seperti menggunakan telefon ketika memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had kelajuan, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong digarisan berkembar.

    Ops Selamat 16 yang dijalankan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 akan berlangsung sehingga 1 Februari nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026