Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    Pasukan Mellors Elliot Motorsport dari Bakewell, England mengesahkan mereka akan menyertai musim penuh Kejuraan Rali British (BRC) 2020 dengan jentera yang mereka bangunkan, Proton Iriz R5. Kali terakhir MEM menyertai siri berkenaan adalah pada tahun 2016 dengan sebuah lagi jentera Proton iaitu Satria Neo S2000.

    Iriz R5 MEM ini masih akan dipandu oleh pelumba yang sama mengendalikan Satria Neo S2000 sebelum ini, iaitu Oliver Mellors, anak kepada pengarah dan pengasas pasukan tersebut, Chris Mellors.

    “Sebagai pasukan dan pemandu, kami gembira untuk kembali ke Kejuaraan Rali British dengan jenama Proton. Ada warisan sejarah dan hubungan yang banyak antara jenama dengan kejuaraan ini, walaupun jika kita lihat ketika era 2WD (Satria kit car) pada tahun 2000 dan kami rasakan ini adalah tempat yang betul untuk kereta ini. Pertandingan akan menjadi hebat dan sangat sengit walaupun sekiranya hanya separuh dari pencabar yang dikhabarkan akan muncul. Itu yang kami perlukan untuk Iriz R5 dan saya tak sabar mahu lihat bagaimana prestasinya berbanding yang lain,” kata Oliver.

    Ketika musim 2016, keputusan terbaik yang mampu diraih oleh Oliver hanya berada di tempat keempat pada pusingan di Circuit of Ireland National kerana ketika itu pesaing lain mula beralih menggunakan jentera dengan spesifikasi R5. Musim tahun ini merupakan peluang terbaik untuknya bersama juru arah, Ian Windress bagi mencapai kejayaan pertama.

    Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    “Segalanya telah kami buat dengan Proton sejak bermula dengan konsep pada 2017 meningkat dengan pesat dari segi perkembangan,” kata Chris pula.

    “Kami berbangga untuk menjadi satu-satunya pengeluar yang menawarkan (jentera R5) versi pemanduan sebelah kiri dan kanan dan membuka peluang yang banyak di seluruh dunia. Bukan itu sahaja, kami juga telah memastikan setiap langkah, kami mempunyai pemandu yang berpengalaman di sebalik kereta bagi memperolehi data dan memastikan pembangunan kami menuju kearah yang betul.

    “Kami rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk melancarkan Iriz dalam kejuaraan British, yang mana kami sentiasa melihatnya sebagai sebahagian perkembangan selanjutnya untuk kereta ini. Ini hanyalah permulaan,” tambah Chris lagi.

    Hubungan MEM dan Proton telah bermula seawal tahun 2002, apabila pasukan berkenaan menyediakan Proton PERT Evo VI untuk pelumba negara, Karamjit Singh bagi membolehkan mereka bergelar juara dunia WRC kategori Group N (PWRC) pada tahun berkenaan hanya dengan percubaan pertama.

    MEM dan Proton sekali lagi kembali ke WRC pada tahun 2012 dalam kategori WRC2 dengan Satria Neo S2000, membolehkan pemandu Sweden, Per-Gunnar Andersson menjadi juara Rali Sweden dan Finland seterusnya menjadi naib juara dalam kategorinya pada musim berkenaan.

    Proton Iriz R5 ini dibangunkan oleh MEM sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11 yang hampir sama dengan enjin Mitsubishi Lancer Evo X (juga asas untuk enjin Proton Inspira) yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5, digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun lalu bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

    Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin 4B11, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

    Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    Disember lalu, jentera ini sekali lagi telah diuji oleh juara dunia WRC dua-kali dari Finland, Marcus Grönholm, dan beliau sendiri menyatakan bahawa Iriz R5 sudah bersedia untuk bertarung di SS WRC.

    Manakala pada bulan ini, Iriz R5 telah di bawa oleh MEM ke Autosport International Show 2020 yang diadakan di National Exhibition Centre, Birmingham, UK, menampilkan livery baharu bagi menggantikan grafik berwarna oren jenama minuman keras Thornbridge Brewery sebelum ini.

    Pelekat Thornbridge masih lagi ada pada bonet hadapan, tetapi ia kini menerima warna putih di atas dan kuning yang seiras kuning Proton Satria Neo S2000 mendominasi bahagian bawah badan. Juga, logo Proton Motorsport dibintangi kepala harimau ‘Thundercats’ kini mendominasi bahagian sisi Iriz R5 berkenaan.

    Kejuaraan Rali British 2020 akan berlangsung dalam enam pusingan. Pusingan pertama iaitu Rali Cambrian yang berlangsung Wales Utara akan bermula pada 8 Februari nanti.

     
     
  • VIDEO: Hyundai i20 WRC, Ott Tänak melambung dan jatuh tebing di Rally Monte Carlo 2020; masih selamat

    Pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2020 telah pun bermula semalam, seperti biasa ‘gelanggang’ akan di buka di Rali Monte Carlo. Baru hari pertama, drama telah dimulakan oleh Juara Dunia WRC 2019, Ott Tänak dengan kemalangan dahsyat yang berlaku di SS ke-4.

    Tänak yang kini memandu untuk pasukan Hyundai setelah berhijrah dari pasukan Toyota Gazoo Racing hilang kawalan pada kelajuan lebih 160 km/j pada satu selekoh laju kilometer ke 9.2 SS berkenaan, kemudian melanggar pelbagai halangan termasuk pokok, seterusnya melambung dan jatuh dari tebing tinggi.

    Walau bagaimanapun, Tänak masih mampu untuk keluar dengan membuka sendiri pintunya. Juru arahnya, Martin Järveoja pula terpaksa keluar sendiri menerusi pintu pemandu kerana pintunya telah tersekat. Kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan serius, namum tetap perlu di bawa ke hospital kerana prosedur standard (SOP) FIA memerlukan kesihatan pemandu dan juruarah yang terlibat dalam kemalangan sebegini perlu dipantau terlebih dahulu.

    Setelah tamat lapan SS pada hari Jumaat, pemandu Toyota Sebastien Ogier kini berada di tempat pertama Rali Monte Carlo 2020 dengan perbezaan hanya 1.2 saat berbanding pemandu di tempat kedua, Elfyn Evans yang juga memandu Toyota Yaris WRC.

    Seorang lagi pemandu Hyundai Motorsport, Thierry Neuville berada di tempat ketiga, ketinggalan 6.4 saat berbanding Ogier. Lapan lagi SS perlu dilalui oleh kesemua pemandu untuk menghabiskan Rali Monte Carlo ini yang hanya akan tamat pada hari Ahad, 25 Januari 2020.

     
     
  • TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Walaupun kereta-kereta dari Nihon Automotive Technology School (NATS) yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS) saban tahun hanyalah hasil kerja dari pelajar-pelajar kolej tersebut, mereka ini antara yang menjadi hiburan di acara berkenaan kerana sering tampil dengan idea-idea di luar kotak.

    Macam dua kereta tribut kepada bintang filem Fast & Furious, Paul Walker ini. Pada asalnya kami ingat mereka betul-betul potong bumbung Toyota GR Supra yang baru berberapa bulan dalam pasaran dan juga Nissan GT-R R35, tapi sebenarnya kedua-duanya hanyalah sekadar klon!

    ‘GR Supra’ yang diubahsuai seakan Supra JZA80 Targa Top yang dipandu Brian O’Conner pada filem pertama Fast & Furious yang anda lihat ini sebenarnya adalah sebuah Lexus SC430, atau nama lainnya Toyota Soarer Z40. Walaupun ia adalah klon, tapi ini bukan projek klon sambil lewa.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Bagi menjadikan ia nampak seperti GR Supra sebenar, pelajar-pelajar ini menggunakan banyak komponen asli Supra A90 berkenaan termasuk lampu hadapan dan belakang, bampar hadapan dan belakang dan juga penutup bonet hadapan. Tak cukup dengan itu, Supra palsu ini juga menerima kit badan lebar asli Pandem keluaran Tra Kyoto!

    Bagi menandakan ia tribut untuk Supra Paul Walker, Lexus ini diberikan warna oren dan juga grafik badan serta liang bonet hadapan ala-TRD serupa dengan kereta yang tampil pada filem pertama Fast & Furious berkenaan.

    Di kabin, papan pemuka asal SC430 masih dikekalkan, tetapi tempat duduk telah ditukar dengan menggunakan tempat duduk bucket dari Bride dan roda stereng Sparco yang dibalut dengan alcantara menggantikan komponen asal. Di belakang tempat duduk pula terdapat tiga tong gas yang nampak seperti tong NOS, tapi melihat aliran paipnya, ia mungkin tangki udara untuk sistem suspensi.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Kereta ini bukan tampil hanya bergaya semata-mata. Pelajar-pelajar NATS jurusan Customize ini juga telah membuang enjin 3UZ-FE 3.0 liter V8 NA asal dari Lexus ini, dan menggantikannya dengan enjin 2JZ-GTE 3.0 liter enam-sebaris turbo dari Supra JZA80.

    Enjin tersebut juga nampaknya tidak standard kerana turbin yang digunakan adalah dari jenis turbo tunggal dengan saiz yang lebih besar, bersama Intercooler, radiator dan juga manifold kemasukan aluminium dari Greddy. Berdasarkan tombol gear dalam kabin, enjin tersebut turut digandingkan kotak gear Getrag enam-kelajuan manual asal Supra berkenaan.

    Beralih ke ‘R35 Convertible’ disebelahnya pula, ia sebenarnya diasaskan dari Nissan Fairlady 350Z Z33 Convertible. Sama seperti Supra tadi, Fairlady ini dikacukkan dengan lampu serta bampar hadapan dan belakang dari R35 GT-R bersama kit badan lebar Pandem bagi menjadikannya sebuah GT-R Pandem Convertible jadian.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Tribut untuk Paul Walker pada ‘GT-R’ digambarkan menerusi pemilihan warna badan perak dan juga jalur badan berwarna biru yang nampak seperti Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu Brian O’Conner dalam filem kedua F&F iaitu 2 Fast 2 Furious.

    Lain sedikit dari projek Supra, Nissan ini diberikan pintu yang dibuka keatas dan bahagian dalaman yang nampak lebih kemas. Lantai kabin kereta ini masih lagi dilitupi karpet manakala papan pemukanya turut diberikan grafik seakan menyamai tema warna luaran. Tempat duduk digantikan dengan tempat duduk bucket Bride bersama tali pinggang Sparco.

    Tiada perincian ubahsuai enjin yang dibuat pada kereta ini dan penutup bonet juga tidak dibuka untuk tatapan orang ramai. Jadi kami agak ia masih menggunakan enjin VQ35DE V6 3.5 liter NA asal dari Fairlady 350Z.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Untuk pengetahuan anda, projek-projek pelajar NATS ini akan dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • LATAR umum diskaun tol 10% untuk pengguna lebuhrayanya sempena Tahun Baharu Cina 25 Jan ini

    LATAR umum diskaun tol 10% untuk pengguna lebuhrayanya sempena Tahun Baharu Cina 25 Jan ini

    Sempena Tahun Baru China yang bakal berlangsung esok (25 Jan 2020), pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% untuk semua kenderaan kelas satu. Ia akan berlangsung dari jam 12 tengahmalam ini sehingga 11.59 malam pada tarikh yang sama.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi, diskaun tol ini adalah sebagai penghargaan kepada pengguna, selain memudahkan urusan perjalanan pulang orang ramai ke kampung halaman masing-masing.

    Beliau berkata, pemberian diskaun itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada pengguna LATAR.

    “Tahun lalu, kita memberi diskaun kepada pengguna kenderaan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Krismas dan ini adalah pemberian diskaun pertama untuk tahun ini,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 25-31 Jan 2020: RON97 turun 4 sen

    Harga minyak 25-31 Jan 2020: RON97 turun 4 sen

    Bagi minggu terakhir bulan Januari 2020, bertarikh 25 hingga 31 Januari, sekali lagi menyaksikan penurunan harga runcit bagi petrol RON 97 sebanyak 4 sen seliter, iaitu daripada RM2.53 seliter menjadi RM2.49 seliter. Harga baharu ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga 31 Januari hadapan.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.19 seliter dan RM2.26 seliter. Ini menunjukkan penurunan berbanding minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.23 seliter, manakala diesel yang berada pada paras RM2.33 seliter.

    Harga minyak 25-31 Jan 2020: RON97 turun 4 sen

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 25 hingga 31 Januari adalah berjumlah RM49.30 juta.

    Sepatutnya Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dilaksanakan mulai Januari 2020. Namun demikian, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan bahawa perlaksanaannya terpaksa ditangguhkan sehingga ke tarikh baharu yang bakal diumumkan nanti.

     
     
  • MARii sasar sifar pekerja asing dalam eko sistem industri automotif menjelang akhir tahun 2020

    MARii sasar sifar pekerja asing dalam eko sistem industri automotif menjelang akhir tahun 2020

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), menyasarkan sifar pekerja asing dalam industri automotif menjelang akhir tahun ini. Buat masa ini, daripada 220,000 pekerja dalam 641 syarikat automotif, 70,000 daripadanya adalah pekerja asing.

    Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, berkata pihaknya berharap sasaran itu mampu dicapai pada tahun ini, sekaligus membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

    “Kami telah selesai mengadakan perbincangan dengan Perodua dan Proton, dan kedua-duanya bersetuju untuk mengurangkan pekerja asing di semua 200 vendor tier 1 mereka yang berjumlah 40,000 orang pada tahun ini. Malah kami juga giat mengadakan perjumpaan dengan pengeluar kereta lain pada tahun ini untuk tujuan sama,” katanya.

    Menurut Madani lagi, semua pekerja asing yang bakal diberhentikan ini akan digantikan oleh pekerja tempatan. Ini bermakna pada tahun ini, akan ada 70,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan dalam industri automotif.

    MARii sasar sifar pekerja asing dalam eko sistem industri automotif menjelang akhir tahun 2020

    Tambahnya lagi, kerajaan telah mengurangkan perkhidmatan pekerja asing antara 32,000 hingga 35,000 orang di negara ini sejak 2014 hingga 2019.

    Mengenai sama ada langkah itu akan meningkatkan kos kepada vendor, Madani berkata, ia adalah tidak benar berdasarkan kajian analisis kos yang dibuat pihaknya.

    “Pekerja tempatan tidak akan balik ke negara asal berbanding pekerja asing. Jadi, majikan tidak perlu melatih semula pekerja tempatan ini berbanding terpaksa melatih semula pekerja lain apabila pekerja asing tadi pulang ke negara mereka dan ini meningkatkan kos latihan.

    “Selain itu, kos levi pekerja asing yang perlu ditanggung oleh majikan tetapi tidak buat pekerja tempatan yang tidak dikenakan levi. Begitu juga kos pasport dan sebagainya. Jadi sebenarnya adalah lebih kompetitif secara menyeluruh untuk mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing,” katanya.

     
     
  • Petronas rai CNY 2020 dengan kempen #Celebratelikeneverbefore – pelbagai ganjaran menanti

    Petronas rai CNY 2020 dengan kempen #Celebratelikeneverbefore – pelbagai ganjaran menanti

    Sempena dengan Tahun Baharu Cina (CNY) 2020 yang bakal disambut esok, seperti kebiasaan, Petronas juga tidak ketinggalan dalam meraikan perayaan ini dengan kempennya eksklusif untuk para pelanggan. Kali ini kempen #Celebratelikeneverbefore dianjurkan mulai 23 Januari lalu, menawarkan pelbagai promosi dan baucer diskaun di stesen Petronas termasuklah Kedai Mesra, Setel, Tealive, Dunkin’, Shopee dan Touch ‘n Go.

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad (PDB), “Tahun ini kami mahu meraikan para pelanggan dengan ganjaran yang lebih hebat. Bersama rakan niaga kami, pelbagai hadiah dan ganjaran menarik menanti para pelanggan bertuah.”

    Untuk menggalakkan penggunaan aplikasi Setel, PDB menawarkan cashback bernilai RM5 untuk pengguna baharu yang mendaftar dengan Setel dan menambah nilai e-wallet sebanyak RM30. Penggunaan aplikasi ini membantu mengelakkan anda dari beratur panjang ketika membuat pembayaran sebelum mengisi minyak atau membeli barangan di stesen Petronas.

    Selain itu, dengan pengisian minyak minima RM30, pelanggan juga bakal menerima paket angpow eksklusif Petronas dan nikmati diskaun RM2 dengan setiap pembelian minuman Tealive di stesen Petronas terpilih. Malah juga berpeluang mendapat diskaun sebanyak RM6 untuk t-shirt 6th times World Constructors’ Championship.

    Bagi pelanggan yang mengisi minyak dengan nilai RM50 dan ke atas, anda bakal menerima secawan kopi percuma dari Dunkin’ (hanya di stesen terpilih yang ada cawangan Dunkin’). Menariknya juga, semua pelanggan bakal dapat kod promosi khas dari Shopee.

    Bila isi minyak di Petronas, jangan pula singgah membeli minuman dan makanan ringan di Kedai Mesra. Ada tawaran menarik dengan harga istimewa daripada 26 jenama yang mengambil bahagian. Anda berpeluang membeli bekas air edisi istimewa Star Wars dengan hanya RM49.90 apabila berbelanja minimum RM10 atau pun pembelian minyak pelincir Petronas Syntium (4L) yang juga bakal mendapat botol thermos Syntium dan beg sandang secara percuma.

    Seperti mana yang pernah paultan.org laporkan sebelum ini, tiada lorong tambah nilai dibuka di plaza tol PLUS di seluruh negara. Jadi, jika anda menambah nilai kad Touch ‘n Go di stesen Petronas dari 23 hingga 29 Januari, tiada caj tambahan sebanyak RM0.50 yang bakal dikenakan.

    Petronas rai CNY 2020 dengan kempen #Celebratelikeneverbefore – pelbagai ganjaran menanti

    Seperti tradisi tahunan sebelum ini, PDB juga bakal menawarkan kopi Nescafe dan makanan ringan kepada para pelanggan menerusi kempen Coffee Break di 160 stesen Petronas yang mengambil bahagian. Ia berlangsung pada tarikh 23-24 Januari dan 1-2 Februari 2020.

    Bukan itu sahaja, dengan kerjasama Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, PDB juga menawarkan pemilik motosikal untuk melakukan pemeriksaan percuma motosikal mereka, selain pemeriksaan kesihatan untuk semua pelanggan, dengan kerjasama St.John Ambulance Malaysia di stesen terpilih. Malahan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya, program berhubung keselamatan jalan raya juga akan dianjurkan.

    Selain itu, PDB turut memaklumkan kempen Mesra Bonanza masih berjalan sehingga 31 Januari ini. Untuk menyertainya, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM30 untuk mengisi minyak atau membeli barangan di Kedai Mesra. Antara hadiah yang berpeluang dimenangi termasuklah 2,000 mata ganjaran Mesra (bersamaan nilai RM200), 3 hadiah utama bernilai RM100,000 dan juga wang tunai RM3,000 untuk 14 pemenang.

     
     
  • Geely Holding jual 2.178 juta kenderaan pada 2019 – jualan Proton naik 55.7%, Volvo catat lebih 700k unit

    Geely Holding jual 2.178 juta kenderaan pada 2019 – jualan Proton naik 55.7%, Volvo catat lebih 700k unit

    Kumpulan automotif dari China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) telah mengumumkan prestasi jualan tahun lalu untuk semua tiga subsidiari di bawahnya iaitu Geely Auto Group, Volvo Car Group dan juga Geely New Energy Commercial Vehicle Group. Sepanjang 2019, ketiga-tiga entiti ini berjaya mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 2.178 juta.

    Jika dilihat secara spesifik, Geely Auto Group mencatatkan jualan sebanyak 1,361,560 unit, atau kurang berbanding tahun sebelumnya, di mana pada 2018 mereka berjaya menjual sebanyak 1,500,838 unit kenderaan. Angka ini adalah termasuk jenama mewah mereka iaitu Lynk & Co serta jenama elektrik sepenuhnya, Geometry.

    Walau bagaimanapun jika dipecahkan lagi, Lynk & Co mencatatkan peningkatan sebanyak 6.4%, dan jenama tersebut bakal masuk ke pasaran Eropah secara rasmi tahun ini. Lotus Cars juga mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun dengan kenaikan sebanyak 12%, dengan pasaran paling pesat jenama tersebut dicatatkan di Jepun – meningkat sebanyak 4%.

    Geely Holding jual 2.178 juta kenderaan pada 2019 – jualan Proton naik 55.7%, Volvo catat lebih 700k unit

    Proton juga tidak terkecuali dari senarai jenama yang mencatatkan kenaikan dalam kumpulan ini – peningkatan jualan sebanyak 55.7%, dengan jumlah 100,821 kenderaan jenama berkenaan terjual sepanjang 2019. Pengeluar automotif Malaysia itu dijangka akan terus berkembang tahun ini kerana bakal melancarkan dua lagi model yang ditunggu-tunggu iaitu X70 versi CKD dan juga SUV segmen-B Proton X50.

    Manakala untuk jenama Sweden yang turut bernaung di bawah Geely, Volvo turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri kerana buat pertama kali dalam sejarah sejak ditubuhkan pada tahun 1927, jualan tahunan global mereka berjaya mencapai angka 700,000. Sepanjang 2019, Volvo berjaya menjual sebanyak 705,452 unit kenderaan atau meningkat dengan kadar 9.8% berbanding 2018.

    Bagi Geely New Energy Commercial Vehicle Group yang baru sahaja ditubuhkan pada 2016, mereka berjaya mempelbagaikan lagi barisan produk yang ditawarkan oleh jenama Farizon Auto dan London Electric Vehicle Company (LEVC). ‘London Taxi’ dengan janakuasa EV janaan enjin penambah jarak keluaran LEVC mencatatkan jualan hampir sekali ganda berbanding jualan tahun sebelumnya.

    Menurut Geely Holding lagi, model-model yang dijana tenaga baharu mencatatkan kenaikan jualan yang signifikant tahun lalu. Sepanjang 2019, sebanyak 167,507 kereta penumpang dan komersial mesra alam telah dijual, atau meningkat 50.6% berbanding 2018.

    Jualan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi Geely Auto Group (termasuk Geely Auto, Lynk & Co dan Geometry) meningkat 68.5% kepada 113,067 unit. Satu lagi fakta menarik adalah, secara keseluruhan dalam kumpulan ini termasuk Proton dan Lotus, sebanyak 50% model yang terjual adalah SUV dan crossover, manakala selebihnya adalah sedan dan MPV.

     
     
  • Ducati pengeluar pertama dedah jentera MotoGP 2020

    Ducati pengeluar pertama dedah jentera MotoGP 2020

    Musim baru bagi perlumbaan MotoGP akan bermula pada 8 Mac 2020, iaitu di Qatar, dan Ducati menjadi pasukan pertama yang mendedahkan jentera mereka. Walaubagaimanapun, apabila perlumbaan sudah bermula nanti mungkin ada lagi perubahan pada beberapa bahagian jentera Desmosedici GP20 ini, jadi ia hanya adalah sekadar tontonan grafik yang mereka akan gunakan.

    Khidmat Andrea Dovizioso dan Danillo Petrucci masih lagi dikekalkan, bersama penaja utama seperti Philip Morris International (Mission Winnow), Audi Sport, Lenovo, NetApp, Shell, Riello, Valsir, Unipol Sai dan Akrapovic.

    “Kami telah meninggalkan musim 2019 di belakang, satu tahun yang menyaksikan kami mendapat tempat kedua dalam kedudukan pelumba, buat kali ketiga berturut-turut melalui Dovizioso. Beliau mendapat sembilan kali podium dan dua kali juara. Pada masa sama, Petrucci juga memberikan emosi yang luar biasa kepada kami dengan kemenangan di Mugello, iaitu litar yang kami telah menjadi juara selama tiga tahun yang lepas,” kata pengurus kanan Ducati Corse, Luigi Dall’Igna.

    Beliau turut menambah,”Sasaran utama kami masih lagi sama: untuk mendapatkan gelaran juara. Tahun 2020 akan menjadi lebih tegang dan mencabar dengan terdapat 20 perlumbaan dalam kalendar dan pesaing kami semakin kompetitif. Sebab itulah kami perlu meningkatkan komitmen.”

    “Kedua-dua Ducati dan saya bekerja keras untuk kembali lebih kuat berbanding sebelum ini. Jika dibandingkan dengan tahun lepas, saya jangka akan terdapat lebih banyak pesaing yang kompetitif dan saya yakin kami akan dapat terus menunjukkan trend yang positif,” kata Dovizioso.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan Malaysia dibandingkan dengan negara ASEAN lain – Indonesia terus di atas

    Prestasi jualan kenderaan Malaysia dibandingkan dengan negara ASEAN lain – Indonesia terus di atas

    Dengan tahun 2019 sudah berakhir dan jumlah jualan kenderaan bagi tahun itu dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kita juga boleh melihat bagaimana prestasi Malaysia jika dibandingkan dengan negara lain dalam ASEAN. Walaubagaimanapun, tidak semua organisasi dalam negara yang disebutkan ada mengeluarkan data jualan tersebut.

    Disebabkan itu, statistik yang anda lihat ini hanya menunjukkan jualan antara bulan Januari hingga November 2019, dan hanya melibatkan lapan negara iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – Kemboja dan Laos tiada. Daripada lapan negara itu, Brunei dan Singapura tidak mempunyai pengeluaran kenderaan tempatan.

    Sepanjang tempoh yang dimaksudkan awal tadi, 3,147,822 buah kenderaan dijual dalam rantau ASEAN, menunjukkan penurunan 3% berbanding jumlah 3,234,560 buah yang direkod pada tahun 2018. Indonesia adalah penyumbang paling banyak bagi jumlah ini, dengan catatan jualan 940,362 unit – turun 12% berbanding 1,063,445 unit pada tempoh sama tahun 2018.

    Di tempat kedua adalah Thailand dengan catatan 918,267 unit, yang mana adalah turun cuma 1% berbanding 928,158 unit pada tahun 2018. Malaysia berada di tangga ketiga dengan jumlah jualan 549,445, ataupun turun 0.2% bagi tempoh sama pada tahun 2018.

    Prestasi jualan kenderaan Malaysia dibandingkan dengan negara ASEAN lain – Indonesia terus di atas

    Pergi lebih bawah adalah Filipina, yang menyaksikan TIV meningkat 3% menjadi 336,226 unit. Negara terakhir yang mencatat jualan enam angka adalah Vietnam iaitu 289,128 unit – naik 14% berbanding 254,449 unit yang dicatat bagi tahun 2018. Negara pertama yang berada di bawah jumlah 100k adalah Singapura dengan jualan 84,171 unit (-3%), diikuti Myanmar 19,274 unit (+25%) dan akhir sekali Brunei 10,949 unit (+7%).

    Melihat pula kepada jumlah pengeluaran, 3,858,458 buah kenderaan dikeluarkan bermula Januari hingga November 2019 di ASEAN, dengan Thailand berada paling atas, berjumlah 1,879,502 unit (-6%), diikuti Indonesia 1,188,078 unit (-5%) dan Malaysia 528,333 unit (+1%).

    Kedua-dua Filipina dan Myanmar mencatat peningkatan jumlah pengeluaran dua angka, iaitu masing-masing 87,864 unit (+16%) dan 14,042 unit (+29%). Vietnam pula mencatat penurunan 13% menjadi 160,639 unit.

     
     
  • TAS2020: Daihatsu Mira Gino L700 Kcar Luxury Complete (KLC) – modifikasi ringkas tapi menarik

    TAS2020: Daihatsu Mira Gino L700 Kcar Luxury Complete (KLC) – modifikasi ringkas tapi menarik

    Di Tokyo Auto Salon, modifikasi K-Car masih ada, tetapi percaya atau tidak ia bukan didominasi oleh kereta, sebaliknya kebanyakkan model-model dengan plat pendaftaran kuning ini adalah dari Kei-Van, Kei-Truck dan juga Suzuki Jimny.

    Nak jumpa Daihatsu Mira atau Suzuki Alto generasi terbaharu memang agak sukar, kalau ada kereta pun yang kebanyakkannya adalah dari “K-Car Bangsawan” iaitu Honda S660 dan juga Daihatsu Copen – dua model dengan bumbung boleh buka ini boleh tahan mahal harganya walapun hanya hadir dengan enjin 660 cc.

    Jadi bila terjumpa dengan Daihatsu Mira Gino L700 ini bolehlah di anggap sangat rare – dari 800 buah kereta yang dipamerkan di 11 dewan Makuhari Messe tersebut, ini satu-satunya Mira yang kami jumpa, sama seperti L700 Kurumadoh yang kami jumpa di TAS 2019.

    TAS2020: Daihatsu Mira Gino L700 Kcar Luxury Complete (KLC) – modifikasi ringkas tapi menarik

    Mira Gino L700 ini adalah milik penala K-Car di Jepun iaitu Kcar Luxury Complete (KLC), dan dibawa ke TAS oleh pakar ubahsuai suspensi K-Car, Spiegel. Kalau ia adalah Perodua Kelisa, tentu banyak yang perlu diubahsuai untuk berada pada tahap seperti ini. Tetapi ini adalah Mira Gino asli, jadi tidak banyak perubahan sebenarnya dari versi standard.

    Berbanding Mira L700 biasa, versi Gino ini sememangnya hadir dengan kit badan seakan klon kepada MINI sebenar dari British. Ia diberikan lampu hadapan bulat dengan gril besar seperti MINI, serta bampar hadapan dan belakang krom dummy yang dilekatkan pada bampar plastik sebenar.

    KLC menambah omph pada Gino ini dengan memadankan berberapa akseori tambahan seperti gril baharu bersama sepasang lampu sorot dan juga spoiler ekor itik ala kereta-kereta JDM old school pada pintu tailgate belakang. Kemudian badan kereta ini direndahkan sehingga kesemua tayar tenggelam ke dalam fender, bersama camber yang dicondongkan dengan sudut negatif.

    Gino ini dipadankan dengan rim two piece 15-inci baharu tetapi dengan gaya old school – Work Equip 40 yang dihasilkan sempena 40 ulangtahun ke-40 Work sebagai pengeluar rim pada tahun 2017. Ia dibalut dengan tayar bersaiz 165/40R15.

    Pada bahagian dalaman, boleh dikatakan kesemua bahagian masih lagi standard. Perubahan yang boleh dilihat dari luar hanyalah roda stereng di mana unit asal telah ditukar kepada roda stereng kulit tiga jejari buatan Itali, Momo Prototipo.

    KLC juga tidak melakukan sebarang modifikasi terhadap enjin Mira Gino ini. Menurut maklumat yang dipaparkan disebelahnya, ia masih dijana enjin asal EF-VE tiga-silinder 660 cc NA menghasilkan 58 PS dan tork maksima 87 Nm.

     
     
  • Jeep kembali dengan Wrangler dan Compass 2020

    Jeep kembali dengan Wrangler dan Compass 2020

    Jenama kenderaan ikonik Amerika Syarikat, Jeep kini kembali ke pasaran Malaysia. Kali terakhir berada di sini pada penghujung 2014 di bawah seliaan DRB-Hicom, Jeep kini kembali dengan pengedar baru, TAHB Automotive.

    Turut diperkenalkan ketika majlis pelancaran jenama berkenaan minggu lalu ialah dua model tahun 2020, Jeep Wrangler dan Jeep Compass. Model Compass ditawarkan dalam dua peringkat kemasan – Limited dan Longitude, dan kedua-duanya menggunakan enjin 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris, walaupun dengan transmisi dan output berbeza.

    Versi Limited menggunakan transmisi automatik sembilan-kelajuan pacuan semua roda, dengan output 168 hp pada 5,000 rpm dan 250 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,000 rpm. Longitude pula menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan pacuan roda depan dengan janaan 162 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm pada 2,500 rpm.

    Jeep kembali dengan Wrangler dan Compass 2020

    Compass Longitude antara lain hadir dengan kelengkapan seperti lampu utama automatik, lampu kabus, pintu ruang barangan automatik, kamera undur, sistem tanpa kunci, skrin sentuh 7.0-inci dengan arahan suara serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Compass juga lengkap dengan kawalan kestabilan serta kawalan cengkaman, ABS, brake Assist, sistem tinjauan tekanan tayar dan lain-lain.

    Pilihan warna terdiri daripada Grigio Chiario (Graphite Metallic), Atlantic Blue Pearl Coat, Bronze Metallic, Colorado Red, Mocca Latte dan Brilliant Black Crystal Pearl Coat. Pilihan rim pula antara 17-inci dan 18-inci.

    Wrangler yang dipertontonkan pula dalam dua versi – Jeep Wrangler Unlimited Rubicon (kuning) dan Unlimited Sport (merah) – versi empat-pintu dan juga dua-pintu. Wrangler 2020 ini menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris petrol dengan janaan 270 hp dan 400 Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajua dan 4WD.

    Jeep kembali dengan Wrangler dan Compass 2020

    Bagi Wrangler Unlimited Sport, sistem 4WD menampilkan transfer case dua-kelajuan Command-Trac dengan nisbah terendah 2.72:1 bersama gandar Dana di depan dan belakang, sementara sistem 4WD pada Rubicon menampilkan transfer case Rock-Trac dengan nisbah 4:1 dengan nisbah perlahan sehingga 84:1.

    Di dalam, ia hadir dengan ciri pintar tanpa kunci, sistem infotainmen Uconnect dengan skrin 7.0-inci dan arahan suara serta kamera undur. Pilihan lain untuk versi Wrangler Unlimited Sport termasuk sistem audio Alphine serta bumbung keras tiga-bahagian dalam warna hitam; rim pula 17-inci.

    Wrangler Unlimited Rubicon pula ada lebih banyak kelengkapan. Antaranya fungsi nyah-sambung elektronik bagi sway bar, landasan batu off-road dan skid plate besi, fender dengan jarak kelegaan luas, bumbung keras tiga-bahagian serta pilihan lain termasuk sistem audio Alpine, lampu LED, kemasan kulit dan lain-lain.

    Jeep kembali dengan Wrangler dan Compass 2020

    Pusat 3S Jeep kini berada di Glenmarie, dengan keluasan 13,000 kaki persegi yang menempatkan sembilan ruang servis. Ia beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin-Jumaat, manakala 10 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad.

    Semua Jeep baru yang dijual ini datang dengan jaminan lima-tahun dan pakej servis percuma. Harga bagaimanapun masih belum ditetapkan, dengan harga anggaran bagi Compass dijangka berada di bawah RM200,000 sementara Wrangler di bawah RM300,000 – harga yang sah akan diumumkan kelak. Beberapa model lain seperti Renegade, Grand Cherokee Trailhawk dan Grand Cherokee SRT turut dirancang untuk diperkenalkan di sini.

    Jeep Compass

    Jeep Wrangler Unlimited

    Jeep Wrangler Unlimited Sport

     
     
  • Peruntukan undang-undang memandu di bawah pengaruh alkohol mungkin dikaji semula – Loke

    Peruntukan undang-undang memandu di bawah pengaruh alkohol mungkin dikaji semula – Loke

    Kemarahan masyarakat terhadap kes kemalangan yang disebabkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol kian membara sejak kebelakangan ini. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, media massa kerap melaporkan kes kemalangan angkara pemandu mabuk.

    Antara terbaru, seorang penunggang motosikal maut akibat dilanggar oleh pemandu pikap trak yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol. Kejadian tersebut berlaku kelmarin di Klang, Selangor, turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Menerusi entri terbaharunya dalam laman Facebook rasminya, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan memandang serius kejadian kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

    “Proses untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kesalahan tersebut akan dibincangkan minggu depan. Kajian semula undang-undang berkenaan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan nanti,” ujar Loke.

    Peruntukan undang-undang memandu di bawah pengaruh alkohol mungkin dikaji semula – Loke

    Pada ketika ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

    Pada Mac 2019, isu ini juga pernah diperhujahkan di Dewan Rakyat, di mana Loke sendiri berkata, kementeriannya akan meneliti dan mengkaji cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada. Tambah beliau lagi, langkah itu selaras cadangan meningkatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya sehingga menyebabkan kematian, terutamanya yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Walau bagaimana pun, sudah hampir setahun, masih tiada kata putus mengenainya.

     
     
  • Subaru tunjukkan crossover elektrik penuh konsep

    Subaru tunjukkan crossover elektrik penuh konsep

    Semasa satu taklimat teknologi baru-baru ini, Subaru telah mengumumkan rancangan penggunaan elektrik terhadap model mereka, termasuk memastikan sekurang-kurangnya 40% daripada jualan global mereka datang daripada kenderaan elektrik atau hibrid menjelang 2030, dan menerapkan teknologi elektrik kepada semua kenderaan yang dijual oleh mereka menjelang 2035.

    Langkah ke arah inisiatif ini sudah pun bermula, dengan pengeluar Jepun ini telah memperbaharui kerjasama mereka dengan Toyota, yang akan menyaksikan kedua-dua syarikat bukan sahaja membangunkan Subaru BRZ dan Toyota 86 generasi seterusnya, tetapi juga platform modular khas untuk kenderaan elektrik (EV).

    Platform itu dikata akan digunakan untuk pelbagai saiz kenderaan, dengan model pertama yang mahu diperkenalkan oleh Subaru adalah crossover elektrik penuh menjelang 2025. Perincian masih lagi kabur tentang crossover ini – cuma lukisan yang disiarkan – tapi sekarang fizikalnya telah pun didedahkan waktu taklimat tersebut.

    Seperti yang boleh dilihat, kenderaan tersebut menggunakan rekaan badan dengan banyak garis tajam dan berbucu. Cermin hadapan nampak condong manakala bumbung yang berwarna hitam dijadikan rendah untuk menghasilkan gaya yang lebih sporty. Kemasan hitam biasa pada crossover masih boleh dilihat pada lengkuk tayar, tepi dan bawah bampar tetapi ia lebih besar dan mungkin sedikit keterlaluan.

    Lampu utama model ini lebih kecil manakala bahagian gril pula tertutup sepenuhnya dengan hanya terdapat logo Subaru di tengah. Tiada gambar bahagian belakang yang diperoleh, tapi ia sepatutnya mengikuti lukisan yang pernah disiarkan sebelum ini. Besar kemungkinan, sebelum memasuki pasaran, beberapa aspek rekaan kenderaan ini akan diubah dan kita juga boleh menjangkakan pelbagai teknologi autonomous dan bantuan pemandu padanya.

     
     
  • Mitsubishi Triton catat lonjakan jualan sebanyak 2.4% pada 2019 tapi menyusut 21% bagi segmen trak

    Mitsubishi Triton catat lonjakan jualan sebanyak 2.4% pada 2019 tapi menyusut 21% bagi segmen trak

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan peningkatan sebanyak 2.4% bagi jualan Mitsubishi Triton dengan sejumlah 5,792 unit terjual sepanjang tahun 2019. Walau bagaimana pun, jumlah tersebut menyusut sebanyak 21& bagi segmen trak pikap pada tahun lalu.

    MMM mendakwa Triton merupakan satu-satunya model dalam barisan trak yang menunjukkan perkembangan positif pada 2019, dan perkongsian pasaran Mitsubishi dalam segmennya kini meningkat dari 3.8% ke 16.5%. Malahan Triton telah menyumbang sebanyak 71.2% dalam keseluruhan jualan MMM bagi tahun lalu.

    “MMM akan terus memasarkan trak pikap yang miliki pengendalian terbaik dari barisan model perdana kami, Triton Adventure X hingga ke Triton Quest 4×2 untuk memenuhi keperluan pelanggan kami. Kami berasa yakin dengan sasaran jualan Triton dan MMM akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan kami,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

    Mitsubishi Triton catat lonjakan jualan sebanyak 2.4% pada 2019 tapi menyusut 21% bagi segmen trak

    Beliau turut memaklumkan Mitsubishi turut menduduki tangga teratas dalam JD Power 2019 Malaysia Customer Service Index (CSI) Mass Market Study. Di mana jenama ini menduduki tangga pertama dalam dua tahun berturut-turut. Malah turut menduduki tangga kedua dalam 2019 JD Power Sales Satisfaction Index (SSI) Study.

    Jualan memberangsangkan yang dicatatkan oleh Triton terdorong oleh pelancaran model facelift pada Januari 2019, sekaligus menyumbang rekod sepanjang tahun bagi MMM. Trak yang dipertingkatkan ini turut didatangkan dengan imej Dynamic Shield yang lebih ranggi, dan kesemua barisan modelnya (kecuali varian Quest) kini didatangkan dengan enjin 2.4L MIVEC turbodiesel (181 PS/430 Nm) dan enam-kelajuan.

    Pada November lalu, MMM turut mempertingkatkan varian Triton Adventure X dan Triton AT Premium dengan lebih banyak ciri menarik, dan juga pelancaran versi facelift bagi Triton Quest, dan model edisi terhad Triton Knight diperkenalkan pada Disember 2019.

    Malahan Triton turut diberikan waranti yang paling terbaik dalam segmen trak, dengan lima-tahun atau 200,000 km.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X

     
     
  • TAS2020: Datsun Sunny B310 TS-Cup – kuda tua dengan enjin yang mampu menjerit sehingga 9k rpm!

    TAS2020: Datsun Sunny B310 TS-Cup – kuda tua dengan enjin yang mampu menjerit sehingga 9k rpm!

    Kalau kita di bagi klu seperti “kereta lama Jepun”, “ringan”, “pacuan belakang”, dan “enjin NA rpm tinggi”, tentu dalam kepala anda terbayang Toyota Corolla AE86 bukan? Datsun Sunny B310? Alah, itukan kereta yang selalunya orang buat teksi.

    Tapi bukan semua Sunny begitu tuan-tuan. Di Malaysia Sunny hanya dijual secara rasmi oleh Tan Chong Motor dalam versi sedan 120Y. Namun untuk pasaran Jepun, Datsun sebenarnya ada menghasilkan versi ‘berprestasi tinggi’ untuk Sunny dalam bentuk badan liftback seperti AE86, dalam varian 140Y (enjin 1,400 cc) dan 150Y (enjin 1,500 cc).

    Antara dua model berkenaan, 140Y adalah model yang paling berkuasa. Walaupun enjin A14 pada model ini mempunyai kapasiti yang lebih kecil dari enjin A15 pada 150Y, strok yang pendek pada omboh membolehkan kadar rpm diperah pada kelajuan yang lebih tinggi.

    Ia juga juga dibekalkan dengan karburator yang paling besar antara semua model, dan digandingkan dengan kotak gear ‘dogleg’ (gear satu pada kedudukan kiri bawah yang kelihatan seperti kaki anjing, sama dengan model-model lama Ferrari dan Porsche) manual lima-kelajuan dengan nisbah gear yang lebih pendek.

    Ketika era 80’an dahulu, Sunny 140Y ini adalah salah model yang sangat popular dalam siri perlumbaan TS-Cup (Touring Special) di Jepun, iaitu siri kejohanan touring car produksi yang bertarung sebagai kelas lebih rendah dari kategori Group 5 Super Silhouette dalam Fuji Grand Champion Series.

    Sunny B310 berwarna kuning yang kami temui di Tokyo Auto Salon 2020 adalah salah satu jentera sebenarnya yang bertarung dalam kejohanan TS-Cup berkenaan. Berdasarkan pelekat perlumbaan pada fender kanan kereta ini milik pasukan Moon Power Racing Team ini, ia nampaknya masih lagi aktif berlumba dalam TS-Cup yang dianjurkan oleh Persatuan Kereta Klasik Jepun (JCCA) saban tahun di litar Fuji Speedway dan litar Tsukuba.

    Menurut regulasi TS-Cup, kesemua jentera yang bertanding perlulah menggunakan enjin produksi yang sama dengan model di bilik pameram, tetapi dibenarkan untuk menerima ubahsuai berat. Jadi Sunny B310 ini masih menggunakan enjin A-series asal – empat silinder, lapan-injap yang di tolak oleh push rod kerana aci sesondol berada pada sisi enjin.

    Enjin pada jentera Moon Power Racing Team ini disediakan oleh penala yang sinonim dengan enjin A-series ini sejak tahun 70’an lagi iaitu Tomei. Ia kebiasaannya berasaskan enjin A12 atau A14 kerana seperti yang disebutkan tadi mempunyai konfigurasi enjin oversquare (strok lebih pendek dari bore) yang membolehkan takat rpm lebih tinggi dicapai.

    Dengan ubahsuai menyeluruh dari aci engkol, omboh, injap, aci sesondol serta penggunaan karburator perlumbaan berkembar jenis side draught, enjin-enjin A-Series yang disediakan oleh Tomei ini mampu menjana sekitar 170 hingga 190 PS, dan kalau anda perasan redline pada takometer Smith Datsun ini, ia ditetapkan pada 9,500 rpm!

    Untuk perlumbaan TS-Cup ini, kesemua Sunny menerapkan rekaan aerokit yang sama. Kesemua lampu dan juga bampar masih lagi sama dengan model produksi, tetapi diberikan spoiler hadapan, overfender pada kesemua ruang roda bagi memberikan trek suspensi kiri dan kanan yang lebih lebar – semuanya berbentuk petak, serta spoiler ekor itik pada bonet belakang.

    Jentera milik Moon Power Racing Team ini adalah B310 dari versi ‘Kouki’ iaitu versi facelift 1981 hingga 1983 dengan lampu hadapan petak, dan bukan dari versi ‘Zenki’ (pre-facelift, lampu bulat, 1979-1981). Rim juga boleh dikatakan kesemua Sunny menggunakan set dengan dimensi sama iaitu 13-inci X 8jj di hadapan dan 13-inci x 9jj di belakang.

    Kokpit pula tampil ringkas seperti kereta lumba lain dengan hampir keseluruhan komponen ‘ditogelkan’ kecuali papan pemuka dan panel dalaman pintu. Kemudian ia diberikan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan dari Bride (hanya pemandu), tali pinggang dari Sabelt, pemadam api dan roda stereng dari Momo.

     
     
  • Cermin gelap: Saman untuk pemandu sahaja – JPJ

    Cermin gelap: Saman untuk pemandu sahaja – JPJ

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, mengesahkan hanya pemandu kenderaan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan saman manakala pemilik akan diberikan notis membawa kenderaan itu untuk diperiksa oleh pihaknya.

    Tambahnya lagi, tindakan itu diambil selepas pihaknya membuat kajian terperinci dan memperuntukkan maksimum dua saman sahaja boleh dikenakan pada satu kenderaan. Buat masa ini, JPJ masih meneruskan pemeriksaan untuk cermin gelap, iaitu kadar kegelapan cermin depan sebanyak 70%, cermin sebelah penumpang dan pemandu 50% dan tiada peratusan kegelapan untuk cermin belakang.

    “Jika kenderaan itu dipandu orang lain, tiada saman berganda akan dikeluarkan. Saman hanya dikeluarkan pada pemandu manakala pemilik kenderaan akan diberikan notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan. Pemilik diberikan tempoh 10 hari untuk berbuat demikian.

    Cermin gelap: Saman untuk pemandu sahaja – JPJ

    “Sebelum ini, kita berikan saman kepada kedua-duanya atas kesalahan yang sama. Pemandu akan dikenakan saman, dan pemilik kenderaan juga akan menerima saman yang sama. Tetapi selepas kajian terperinci dijalankan, kita membuat keputusan supaya hanya pemandu akan diberikan saman terbabit,” katanya seperti yang dilaporkan menerusi Berita Harian.

    Sebelum ini, akhbar terbabit turut melaporkan pemilik kenderaan dengan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan turut dikenakan saman walaupun ketika ditahan penguat kuasa kereta itu dipandu orang lain.

    Menurut laporan berkenaan, bagi kesalahan cermin gelap, tiga saman akan dikeluarkan kepada pemandu iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan yang menjadikan jumlah saman dikeluarkan sebanyak enam saman iaitu tiga saman kepada pemandu dan tiga saman kepada pemilik.

     
     
  • Kelambatan kelulusan harga kenderaan masih satu isu kata MAA – boleh ambil masa empat bulan atau lebih

    Kelambatan kelulusan harga kenderaan masih satu isu kata MAA – boleh ambil masa empat bulan atau lebih

    Antara perkara yang telah memberi kesan kepada syarikat kereta di Malaysia untuk tempoh beberapa bulan yang lepas adalah kelambatan kelulusan harga kenderaan, khususnya untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD). Akhirnya, beberapa pelancaran kenderaan baru juga terbantut dan hanya harga jangkaan sahaja yang dikeluarkan.

    Sebagai contoh, Honda HR-V facelift dipertontonkan di Malaysia pada bulan Julai 2018, tetapi cuma dilancarkan pada bulan Januari 2019. Model lain seperti Toyota Rush, Vios dan Mazda CX-5 juga menerima kesan daripada isu ini di mana pada awalnya cuma harga jangkaan yang dikeluarkan waktu pengenalannya.

    Kes yang paling baru adalah Honda Civic facelift, di mana Honda Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan pada bulan September 2019, tapi sampai sekarang masih belum dilancar secara rasmi.

    Semasa sesi soal jawab yang diadakan selepas pembentangan prestasi jualan kenderaan 2019 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, isu ini dibangkitkan semula untuk mengetahui statusnya. Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad memberitahu, “Saya rasa anda bercakap tentang Pelarasan Dana Industri (IAF), iaitu insentif yang dipakai untuk kenderaan pemasangan tempatan.”

    Kelambatan kelulusan harga kenderaan masih satu isu kata MAA – boleh ambil masa empat bulan atau lebih

    “Prosesnya adalah kami perlu menghantar [satu permohonan] kepada ABDC (Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif), yang terdiri daripada pengerusinya, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), MARii (Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia), Kastam dan MoF (kementerian kewangan).”

    “Mereka berkata ia akan mengambil masa selama tiga bulan sebelum mereka boleh memproses sebarang permohonan yang dihantar, tapi isunya bukanlah ABDC. Selepas itu, apabila ia tiba kepada MoF, anda tidak akan tahu berapa lama pula masa yang akan diambil untuk mendapatkan surat kelulusan. Boleh jadi empat bulan, boleh jadi lebih lagi,” kata Aishah.

    Tambah beliau, “perkara ini masih tidak berubah, tapi apa yang mereka beritahu kepada kami, mereka sedang mengkaji proses ini, cuba untuk memendekkan tempohnya dan akan diumumkan kepada industri.”

    Pada bulan Januari tahun lepas, MITI berkata mereka akan mengambil langkah tertentu untuk menghadapi isu kelambatan kelulusan harga kenderaan ini, dan antaranya adalah meningkatkan kekerapan pertemuan bulanan yang diadakan oleh ABDC, serta menghasilkan aliran proses dan piagam klien yang lebih baik untuk memastikan lebih ketelusan dalam proses permohonan taksiran insentif.

     
     
  • Diskaun tol di 19 lebuhraya sempena CNY 2020

    Diskaun tol di 19 lebuhraya sempena CNY 2020

    Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan pemberian diskaun tol antara 10% hingga 33% di 16 lebuhraya dan tiga lagi lebuhraya dengan diskaun antara 10% hingga 30%, sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) disambut pada hujung minggu ini.

    Diskaun tol terbabit melibatkan pengguna kenderaan Kelas 1, bermula jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 25 Januari 2020.

    Di antara 19 lebuhraya yang disebut oleh kementerian terbabit, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang menawarkan pemberian diskaun tol paling banyak iaitu 33%. Manakala Lebuhraya Cheras-Kajang (GSSB) pula dengan diskaun tol sebanyak 30% dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) pula serta Leburaya Utara-Selatan (PLUS) ndengan 20%.

    Diskaun tol di 19 lebuhraya sempena CNY 2020

    Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GSNK) pula menawarkan diskaun tol sebanyak 15%. Manakala lapan lagi lebuhraya menawarkan diskaun tol sebanyak 10% iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Shah ALam (KESAS), Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS-Jambatan kedua Pulau Pinang), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

    Para pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui semua plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar. Anda juga disarankan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh syarikat-syarikat konsesi.

     
     
  • Ujian lesen memandu E-Testing bermula Jun ini; lebih telus tanpa kehadiran pegawai JPJ di sebelah calon

    Ujian lesen memandu E-Testing bermula Jun ini; lebih telus tanpa kehadiran pegawai JPJ di sebelah calon

    Sistem ujian memandu E-Testing yang tidak memerlukan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) duduk di sebelah calon ketika ujian dijalankan yang sebelum ini dikatakan akan bermula pada 2019, kini disahkan akan bermula pada Jun tahun ini. Perkara ini diberitahu oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dalam laporan oleh Astro Awani.

    Menurut Shaharuddin, melalui sistem tersebut, pengukuran prestasi calon ujian memandu akan dijalankan secara elektronik (automasi) dan keputusan ujian memandu akan dijana secara berkomputer, manakala pegawai JPJ akan berada di bilik kawalan untuk memantau dan memberi arahan kepada calon.

    “Ia bukan sahaja memudahkan calon tetapi yang penting tiada lagi urusan antara calon dan pegawai JPJ di dalam kenderaan itu sekaligus meningkatkan integriti jabatan,” terangnya lagi. Beliau turut memberitahu bahawa bagi pelaksanaan sistem itu, tiga institut memandu di Johor dipilih sebagai projek rintis.

    Ujian lesen memandu E-Testing bermula Jun ini; lebih telus tanpa kehadiran pegawai JPJ di sebelah calon

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam laporan pada Julai 2018, fasa pertama percubaan dilaksanakan di Pusat Latihan Memandu Sri Jaya, Simpang Renggam pada penghujung Ogos sehingga November tahun berkenaan. Manakala fasa kedua di Pusat Latihan Memandu Ulu Tiram pada September hingga November 2018 dan fasa ketiga di Pusat Latihan Memandu Berjaya Berhad pada Oktober hingga November 2018.

    Katanya, E-Testing dilihat lebih telus kepada pelajar kerana mereka akan dinilai tanpa sebarang faktor campur tangan manusia yang berbeza dengan kaedah tradisional di mana seorang anggota JPJ perlu berada di sebelah calon.

    “Semua sistem dipantau menggunakan komputer kerana ada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan, pergerakan kenderaan juga akan dipantau melalui satelit dengan maklumat yang dipaparkan secara ‘real time’ di pusat kawalan. Jadi, kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang baik bukan sahaja untuk JPJ malah kepada institut pemanduan dan pelajar kerana pelajar-pelajar akan mendapat maklumat secara atas talian punca kegagalan mereka kerana mereka dinilai menggunakan sistem dan bukan lagi manusia,” jelas menteri berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026