Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua capai 2,825 unit untuk pasaran eksport pada 2019, meningkat berbanding 2,184 unit bagi tahun 2018

    Perodua capai 2,825 unit untuk pasaran eksport pada 2019, meningkat berbanding 2,184 unit bagi tahun 2018

    Perodua mengesahkan berjaya memperoleh sebanyak 2,825 unit kenderaan bagi pasaran eksportnya pada tahun lalu. Perkara ini diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pembentangan Prestasi Jualan 2019 pagi tadi.

    Walau pun jumlah ini kurang berbanding dengan angka yang disasarkan untuk pasaran eksport bagi 2019 iaitu 3,270 unit, namun rekod yang dicapai ini masih mendahului jumlah yang diperoleh pada tahun 2018 dengan 2,184 unit, iaitu meningkat sebanyak 29.4%. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,800 unit merupakan model Myvi yang dieksport ke Indonesia, atau lebih dikenali sebagai Daihatsu Sirion untuk pasaran negara jiran itu.

    Manakala pasaran eksport kedua terbesar pula ialah Sri Lanka dengan 583 unit, di mana Bezza menjadi model terlaris bagi sedan bawah 1.0 liter di sana. Perodua turut berjaya menembusi pasaran baharu pada Jun tahun lalu, Seychelles, dengan jualan sebanyak 37 unit. Selain itu, Perodua masih meneruskan pasaran eksport ke Brunei (162 unit), Mauritius (125 unit), Singapura (98 unit) dan Fiji (20 unit).

    “Walau pun pasaran ekpsort kami kekal sederhana, namun dapat dilihat ada kemajuan dalam memperkenalkan jenama kami ke pasaran global, malah kami mahu mempertingkatkan angkanya untuk tahun ini,” ujar Zainal.

     
     
  • Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan harga kereta pemasangan tempatan (CKD) akan naik sehingga 15% atau lebih setelah kerajaan menstrukturkan semula duti eksais, kerana kerajaan masih lagi belum memuktamadkan langkah tersebut. Perkara ini dijelaskan beliau dalam satu laporan Malay Mail yang dipetik dari Reuters.

    Menurut Lim, jika pun ada sebarang perubahan, ia akan dilakukan secara beransur-ansur. “Sekiranya ada sebarang perubahan, ia mesti dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya mendadak. Kita sedang berbincang mengenai perkara itu bagi memastikan ketelusan (dari segi pelaporan) supaya kita boleh terus memenuhi obligasi kita terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya.

    Lim memberitahu perkara ini ketika bercakap dengan wartawan selepas pelancaran Belanjawan 2020: Skim Jaminan Kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) di Kuala Lumpur hari ini, dan menggesa orang ramai untuk menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan dan tidak terpengaruh dengan spekulasi dalam pasaran.

    Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Berdasarkan apa yang termaktub di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah digazetkan pada 31 Disember 2019, kenderaan pemasangan tempatan (CKD) akan dikenakan lebih banyak cukai. Ini adalah disebabkan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (open market value, OMV) bagi kenderaan telah berubah.

    OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

    Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baru ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

    Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, cara baru mengira OMV, yang memperkenalkan duti ke atas jualan barangan menimbulkan persoalan-persoalan baru dan menyebabkan kekeliruan kepada OEM dan pengedar-pengedar.

    Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Sebelum ini, OMV hanya mengambil kira kos pengilangan barang, tetapi bahagian “jualan” berkenaan kini turut merangkumi perkara-perkara lain seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, pelan dan lakaran, bayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagang, hakcipta).

    Walau bagaimanapun, gazet ini dilihat masih belum jelas, dan ia bergantung pada tafsiran. Dalam masa yang sama, kami akan cuba mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), iaitu badan yang mewakili syarikat pengeluar kereta dalam negara.

    Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata keputusan baru ini agak mengejutkan mereka.

    “Kami telah mengikuti semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan segala kira-kira. Kami masih menilai apa kesannya kepada kami, tapi yang pasti, dalam masa beberapa bulan akan datang, tiada impak kepada industri dan kami tidak akan menaikkan harga kenderaan kami,” katanya.

     
     
  • Perodua alu-alukan persaingan sihat, sambut baik kebangkitan Proton – industri lokal dapat manfaat

    Perodua alu-alukan persaingan sihat, sambut baik kebangkitan Proton – industri lokal dapat manfaat

    Semalam Proton mengumumkan beberapa berita positif untuk syarikat itu sepanjang 2019, termasuk kembali meraih keuntungan daripada jumlah jualan kenderaan yang meningkat. Dan bagi Perodua, itu satu perkembangan yang bagus; kebangkitan Proton adalah baik untuk industri automotif tempatan dan akan galakkan lebih banyak persaingan sihat.

    Mengulas tentang perkara itu, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengalu-alukan persaingan itu. Ia juga membuatkan Perodua juga tidak akan duduk diam; misalnya, sasaran jualan untuk tahun 2020 telah ditetapkan dengan peningkatan 32% atau 132,000 unit.

    “Bagi kami di Perodua, kami sukakan persaingan. Kami mengalu-alukan perkara itu, kerana ia akan menjadikan situasi kami lebih baik dan bersedia. Kami akan memerhatikan dan meniliti, dan mencari jalan yang membolehkan kami untuk bersaing, tentunya secara sihat, dan memastikan kami sentiasa di depan,” ujar beliau.

    Selain itu, industri automotif tempatan juga berpeluang untuk mendapat lebih manfaat sekiranya situasi Proton bertambah kukuh. “Misalnya, Proton mengumumkan peningkatan sebanyak 30% bagi jumlah keluaran tahun ini. Berdasarkan itu, serta ramalan kami terhadap jumlah keseluruhan tahun ini iaitu 610,000, ia sesuatu yang sangat baik untuk industri,” tambah beliau.

    Perodua alu-alukan persaingan sihat, sambut baik kebangkitan Proton – industri lokal dapat manfaat

    “Bayangkan jika kita membeli daripada industri tempatan sejumlah RM6 bilion setahun, dan mereka meningkatkan jumlah kepada 130,000 unit, dan pembelian itu katakan 50% daripada jumlah pembelian kami, kita akan membeli dengan nilai antara RM9 bilion hingga RM10 bilion dari industri tempatan,” ujar beliau. Perodua mensasarkan untuk membeli sekitar RM6 bilion daripada vendor tempatan tahun ini, merekodkan 11.1% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

    Bagi Perodua, tahun ini bakal jadi lebih menarik, baik dari sudut saingan penawaran mahupun pilihan kepada pengguna. Walaupun belum diumumkan secara langsung, tetapi kita boleh jangkakan antaranya pengenalan SUV D55L yang diasaskan daripada Daihatsu Rocky akan dilancarkan tahun ini.

    Petunjuk juga semakin jelas bahawa model berkenaan akan menggunakan enjin 1.0L turbo, dan turut datang dengan sistem pemanduan autonomous Tahap Dua. Semua ini menjadikan pasaran tempatan kita lebih menarik untuk diperhatikan sepanjang tahun 2020.

     
     
  • Ducati Panigale V4 diperbaharui untuk tahun 2020 – aerodinamik lebih baik, quickshifter lebih pantas

    Ducati Panigale V4 diperbaharui untuk tahun 2020 – aerodinamik lebih baik, quickshifter lebih pantas

    Ducati Panigale V4 diperkenalkan pada penghujung tahun 2017, dan waktu itu ia menandakan satu transformasi bagi motosikal sports Ducati yang sebelumnya lebih banyak menggunakan enjin v-twin. Sekarang untuk tahun 2020, Panigale V4 diberikan peningkatan untuk menjadikannya lebih “mudah untuk ditunggang, kurang memenatkan dan lebih intuitif.”

    Paling utama adalah pakej aerodinamik bagi Panigale V4 R di mana ia termasuk aerofoil, skrin plexiglass, fairing hadapan, fairing tepi yang lebih besar, serta sirip udara tepi yang lebih cekap untuk radiator dan memberikan stabiliti pada kelajuan tinggi.

    Kerangka motosikal ini turut dijadikan sedikit lebih tegar untuk memberikan rasa yang lebih baik pada bahagian hadapan waktu berada dalam sudut condong yang rendah dan kelajuan tinggi. Penunggang juga akan dapat memacu keluar dari selekoh dengan lebih yakin melalui sistem kawalan cengkaman ‘predictive‘. Quickshifter pula ditala semula supaya dapat memberi waktu penukaran gear atas 10,000 rpm yang lebih cepat dan lebih stabil apabila ditukar waktu memecut agresif dan mengambil selekoh.

    Bahagian enjin masih sama iaitu menggunakan unit empat silinder V Stradale 90 darjah 1,103 cc yang mampu menghasilkan kuasa 214 hp pada 13,000 rpm dan 126 Nm tork pada 10,000 rpm. Antara fungsi elektronik yang ada pada motosikal ini adalah termasuk tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street, ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

    Di Malaysia, hanya Panigale V4 S yang dijual dengan harga RM172,900, dan datang dengan suspensi elektronik. Bagi catatan jualan tahun 2019, Ducati berjaya menjual 53,000 buah motosikal di seluruh dunia, dengan pasaran utama masih adalah Itali manakala China yang menjual 3,200 unit berada sebagai pasaran kelima paling penting bagi Ducati.

     
     
  • Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    Dalam pembentangan prestasi jualan bagi 2019 pagi tadi, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad turut berkongsi sasaran utama bagi tahun 2020. Sentiasa optimis dengan setiap langkah yang diambil, Perodua memutuskan untuk mengekalkan sasaran angka jualan dan perkongsian pasaran bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) seperti tahun 2019.

    “Walau pun laluan dalam pasaran kian mencabar, namun rekod jualan keseluruhan pada tahun lalu yang mencecah 240,341 unit telah mengekalkan kedudukan kami di tangga pertama untuk industri automotif tempatan ini. Biarpun kami berjaya memperoleh angka jualan seperti yang disasarkan untuk tahun 2019, namun kami masih mahu mengekalkan sasaran yang sama untuk 2020 iaitu sebanyak 240,000 unit.”

    Menurut Zainal lagi, ini termasuklah berdasarkan unit tempahan yang belum dihantar kepada pelanggan (tempahan yang dibuat hujung tahun lalu), di mana jumlah tersebut dilihat mampu membantu melonjakkan lagi jualan untuk tahun ini.

    Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    “Kami menjangkakan Myvi dan Bezza mampu memacukan lagi angka jualan untuk tahun ini. Di mana permintaan terhadap model Myvi dilihat kian utuh dan disasarkan mencecah 83,000 unit tahun ini. Manakala Bezza pula, jumlah yang disasarkan mampu mencecah 54,000 unit iaitu lebih 6,000 unit berbanding tahun lalu. Ini termasuklah dengan 8,000 unit tempahan untuk Bezza pada penghujung tahun lalu yang masih belum dihantar kepada pelanggan yang secara automatiknya akan menerima model facelift.”

    Mengenai perkongsian pasaran dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), Perodua turut mengambil keputusan untuk mengekalkan angka sasaran yang sama seperti tahun lalu iaitu 40%. “Walau pun persaingan dijangka bertambah sengit untuk tahun ini, namun kami tetap optimis untuk mencapainya, sekaligus mengekalkan kedudukan kami sebagai pendahulu jenama kenderaan di Malaysia,” ujar Zainal Abidin.

    Walau pun angka sasaran bagi jualan dan perkongsian pasaran untuk 2020 sama seperti tahun 2019, namun Perodua berazam mempertingkatkan pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan mereka.

    Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    “Tahun 2019 juga boleh dianggap sebagai tahun yang cemerlang bagi kami. Walau bagaimana pun, kami berazam untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan. Mengenai Bezza, kami menganggarkan kira-kira 13,000 tempahan dari tahun lepas yang masih belum dipenuhi. Malahan buat masa ini, tempoh masa menunggu pula cecah dua bulan dan kami sedang berusaha untuk memendekkan lagi tempoh tersebut.

    “Justeru, untuk tahun ini, kami mahu meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran untuk kesemua model sebanyak 254,000 unit berbanding 244,000 unit pada 2019, iaitu kenaikan sebanyak 4.1%. Angka ini merangkumi pengeluaran untuk eksport dan penyimpanan stok untuk tahun 2021,” jelas Zainal lagi.

    Beliau turut berkata, separuh pertama 2020 dijangka agak mencabar, justeru, Perodua akan memberi tumpuan kepada memenuhi tempahan yang sedia ada. Malahan, Perodua akan menilai semula keadaan pasaran pada separuh kedua tahun ini sambil membina inventori supaya sentiasa bersedia andai pasaran bertambah baik.

    Disebabkan pengeluaran yang ingin dipertingkatkan, Perodua juga menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen tempatan, berbanding RM5.4 bilion tahun lalu.

    Mengenai perkhidmatan selepas jualan pula, Perodua mensasarkan peningkatan sebanyak 2.6%, iaitu lebih 2.6% berbanding 2019. Begitu juga dengan jumlah kenderaan yang diservis untuk tahun ini disasarkan sebanyak 2,350,000 unit iaitu meningkat sebanyak 0.1% berbanding 2,347,000 unit pada tahun lalu. Sehingga kini, Perodua memiliki 186 pusat servis bertauliah di seluruh negara.

    Jelasnya, Perodua akan terus bekerjasama dengan para pengedarnya, yang kini membentuk 75% daripada rangkaian jualan dan servisnya, untuk menaiktaraf dan melabur bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan.

    “Perodua mempunyai rangkaian jualan dan servis kenderaan yang terluas di Malaysia. Kami berhasrat untuk menambahbaik kemudahan sedia ada melalui kerjasama erat dengan para pengedar kami supaya kami boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik buat para pelanggan,” kata Zainal.

     
     
  • TAS2020: Toyota Hiace OGUshow Transporter Iseya Model II – pamer ruang dalaman ala-nusantara

    TAS2020: Toyota Hiace OGUshow Transporter Iseya Model II – pamer ruang dalaman ala-nusantara

    Di Tokyo Auto Salon, bukan kereta ubahsuai sahaja di bawa ke sini, malah semua yang beroda empat atau lebih yang tidak lagi standard kilang akan diletakkan untuk tatapan pengunjung. Ini salah satunya, van Toyota Hiace H200 yang diubahsuai oleh OGUshow, diberi nama Transporter Iseya Model II.

    Sebenarnya bukan ini sahaja van yang ada dalam dewan Makuhari Messe sepanjang TAS 2020 berlangsung, ada banyak lagi pengeluar peralatan aftermarket dan bengkel custom lain yang turut mempamerkan van yang diubahsuai. Tetapi apa yang menarik pada Hiace dari OGUshow ini adalah – cuba tengok dalam dia, macam rumah tradisional melayu kan?

    Menerusi brosur yang kami dapat di ruang pameran OGUshow ini, Hiace berkenaan dihasilkan untuk seorang bintang filem dan drama Jepun, Iseya Yusuke. Dan ini sebenarnya van kedua yang dihasilkan mereka untuk Iseya dan sebab itulah diberi nama ‘Model II’.

    TAS2020: Toyota Hiace OGUshow Transporter Iseya Model II – pamer ruang dalaman ala-nusantara

    Apa yang kami faham lagi, van ini memang digunakan oleh Iseya untuk jadual hariannya sebagai selebriti – ia bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan untuk berlibur untuk aktiviti meluncur ombak dan berbasikal gunung, malah turut boleh digunakan sebagai ruang tamu untuk menjalankan perbincangan atau mesyuarat kecil di mana-mana.

    Apa yang membuatkan ia kelihatan seperti rumah-rumah di nusantara adalah penggunaan kain seperti songket untuk upholsteri tempat duduk dan panel pintu, penggunaan lantai parquet kayu, dan juga bahagian-bahagian ‘perabot’ lain seperti panel penutup tingkap, meja sisi dan ruang storan bersama pemegang cawan (juga berfungsi sebagai meja kecil) turut diperbuat dari kayu.

    Pada bahagian luaran pula, van ini nampaknya diberikan penggayaan seperti kenderaan off-road, sesuai dengan tugasnya untuk dibawa kemana-mana sahaja termasuk tepi pantai dan kawasan pedalaman tanpa jalan yang berturap.

    Bampar hadapan dan belakang, pelindung sisi badan dan juga kesemua overfender pada ruang tayar diperbuat dari plastik keras dengan permukaan kasar bagi melindungi bahagian bawah badan van ini. Satu unit bull bar diberikan bampar hadapan bersama skid plate di bawahnya. Satu lagi skid plate turut diberikan pada bampar belakang.

    Rim asal Hiace ini telah digantikan dengan rim off-road dari Essex, yang turut dibaluti oleh tayar jenis R/T Toyo Open Country. Badan van ini kelihatan semakin tinggi bukan kerana rim dan tayar ini sahaja, set suspensinya juga telah digantikan dengan set dari Ohlins yang memang untuk kegunaan off-road.

    Badan Hiace ini diberikan warna Gunmetal Brown, kemudian disudahi dengan jalur badan dilekatkan pada bahagian sisi. Iseya juga memilih cogan kata “Hustle hard, stay humble” untuk dipadankan pada bahagian tertentu van ini. “Stay humble” tu pun dengar macam Malaysia sangat kan?

     
     
  • Perodua akan cuba kurangkan impak peraturan eksais duti baru kepada pelanggan, tidak dirunding – CEO

    Perodua akan cuba kurangkan impak peraturan eksais duti baru kepada pelanggan, tidak dirunding – CEO

    Peraturan eksais duti baru yang dikuat kuasakan oleh kerajaan berpotensi untuk untuk memberikan kesan besar kepada harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD). Ia adalah satu topik yang hangat sekarang – peningkatan harga dijangka boleh mencecah 15% – dan Perodua cuba menenangkan pelanggan dengan mengatakan ia akan cuba mengurangkan impak peraturan baru ini terhadap harga kenderaan mereka.

    Semasa sesi sidang media prestasi sepanjang tahun 2019 hari ini, presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengeluar kenderaan tempatan itu telah mengikuti segala keperluan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan isu ini dan dalam tempoh masa terdekat tiada perubahan harga akan dilihat.

    “Kami telah mengikuti semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan segala kira-kira. Kami masih menilai apa kesannya kepada kami, tapi yang pasti, dalam masa beberapa bulan akan datang, tiada impak kepada industri dan kami tidak akan menaikkan harga kenderaan kami,” kata Zainal.

    Perodua akan cuba kurangkan impak peraturan eksais duti baru kepada pelanggan, tidak dirunding – CEO

    Beliau turut menambah, jualan sepanjang tempoh ini dijangka stabil kerana mereka berhasrat untuk mengurangkan sebarang peningkatan harga kerana peraturan baru ini. “Buat masa ini kami cuba untuk meminimakan kesan dan seboleh mungkin mengelak daripada mengenakan impak tersebut kepada pelanggan. Berdasarkan pemahaman dan prinsip ini, kami rasa jumlah jualan akan kekal stabil.”

    Berkenaan penglibatan dalam industri, Zainal memberitahu Perodua tidak terlibat dalam merangka peraturan ini. “Kami memang selalu bekerja sama dengan kerajaan, terutamanya berkenaan perkara yang berkaitan dengan pembangunan industri automotif tempatan. Tapi, untuk duti eksais ini secara spesifik, tiada rundingan dibuat dengan kami. Sebab itulah kami sekarang sedang berbincang dengan beberapa ahli MAA untuk cuba menilai apa kesan daripadanya.”

     
     
  • Perodua Myvi GT – masih dikaji sebelum boleh lancar

    Perodua Myvi GT – masih dikaji sebelum boleh lancar

    Pada tahun 2018, Perodua tiba di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) dengan membawa sebuah model konsep Myvi yang dikenali sebagai Myvi GT. Penampilannya lebih garang dan sporty, dengan banyak kelengkapan prestasi. Sudah tentu bagi orang ramai, persoalan yang timbul adakah ia akan diperkenalkan kepada pasaran.

    Semasa majlis pembentangan prestasi tahun 2019, Perodua juga ada memberitahu sedikit perkembangan mengenai model ini. Penilaian tentangnya sedang dibuat dan antara perkara yang mencabar adalah pada bahagian teknikal.

    “Sekiranya kami mahu melancarkan Myvi GT atau sesuatu yang hampir seperti kereta konsep itu, kami perlu memastikan ia mematuhi standard yang diperlukan seperti keselamatan, kualiti dan paling penting adalah harga. Kami juga perlu memastikan apa sahaja pelaburan yang dibuat untuk model yang berjumlah kecil ini dapat diperoleh kembali dalam masa tertentu,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Buat masa ini, beliau turut memberitahu bahawa kajian tentang pengenalan Myvi GT sedang dibuat secara menyeluruh dan mereka perlu memastikan berapa jumlah jualan yang diperlukan sebelum boleh membuat keputusan untuk memperkenalkannya kepada pasaran atau tidak.

    Jika melihat kepada Myvi GT yang dipamerkan waktu KLIMS 2018 itu, ia menggunakan asas daripada varian Advance 1.5L, tetapi dipasang dengan bukan sahaja kit badan yang lebih sporty dan garang, tetapi juga kelengkapan seperti suspensi boleh laras, rim 17-inci, tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003, brek Brembo, roda stereng gentian karbon serta tempat duduk yang dibalut Alcantara.

    GALERI: Perodua Myvi GT di KLIMS 2018

     
     
  • SUV Perodua D55L: Sah guna platform DNGA Rocky; makin pasti dijana enjin 1.0L turbo, lancar Q4 2020?

    SUV Perodua D55L: Sah guna platform DNGA Rocky; makin pasti dijana enjin 1.0L turbo, lancar Q4 2020?

    Ketika pembentangan prestasi jualan Perodua sebentar tadi, pengeluar kereta nasional kedua itu turut mendedahkan rancangan masa hadapan mereka, khususnya berkenaan antara model yang paling ditunggu-tunggu iaitu SUV segmen-B yang dikenali dengan kod nama D55L.

    Sehingga kini, pelbagai teka-teki menunjukkan SUV tersebut akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang pertama kali digunakan pada model Daihatsu Rocky generasi baharu telah pun membuat kemunculan di Tokyo Motor Show 2019 Oktober lalu.

    Hari ini, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa mereka sememangnya berupaya untuk melancarkan satu model baharu tahun ini berdasarkan keupayaan “1 tahun, 1 model facelift dan 1 model baharu sepenuhnya”; satu model facelift iaitu Bezza 2020 sudah pun dilancarkan, manakala model baharu selepas ini akan dihasilkan menggunakan platform DNGA.

    SUV Perodua D55L: Sah guna platform DNGA Rocky; makin pasti dijana enjin 1.0L turbo, lancar Q4 2020?

    “Model baharu kami akan menggunakan DNGA,” tegas Dato’ Zainal ketika ditanya berkenaan projek D55L tersebut, seterusnya membayangkan bahawa D55L adalah kembar langsung kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize (juga muncul di TMS 2019) untuk pasaran Malaysia. Persoalan seterusnya, adakah D55L ini nanti turut akan dijana oleh enjin 1.0L tiga-silinder turbo seperti Rocky, atau hanya diberikan enjin-enjin sedia ada seperti enjin 2NR-VE 1.5L NA dari Myvi?

    Perodua turut mendedahkan hala tuju masa hadapan syarikat itu, antaranya bagi memperkenalkan enjin-enjin yang jauh lebih kompak dari apa yang mereka ada sekarang, seiring dengan trend yang sedang meningkat naik di seluruh dunia.

    Menurut Perodua, pembuat-pembuat kereta diperingkat global kini sedang mengecilkan kapasiti enjin mereka bagi memenuhi piawaian pencemaran alam sekitar yang semakin ketat, dalam pada masa sama menggunakan unit pengecas turbo bagi menghasilkan jumlah kuasa yang sama dengan enjin dengan kapasiti lebih besar.

    Apa yang didedahkan oleh Perodua ini mungkin petunjuk bahawa D55L, bukan sahaja berkongsi platform dengan Daihatsu Rocky, malah hampir pasti akan diberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS/140 Nm bersama transmisi CVT automatik serupa dengan kembar JDM-nya itu.

    Antara hala tuju strategik lain yang turut dinyatakan oleh Dato’ Zainal pagi tadi termasuk adaptasi teknologi pemanduan autonomous tahap dua untuk model-model akan datang, di mana sistem berkenaan kini sudahpun diterapkan pada Daihatsu Rocky.

    Perodua juga kini sedang berusaha untuk memendekkan tempoh purata antara permulaan produksi satu unit dan permulaan produksi unit seterusnya (takt time) untuk kedua-dua kilangnya iaitu Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) yang lebih baharu.

    Buat masa sekarang, takt time untuk Myvi di PMSB adalah 1.8 minit, manakala Axia dan Bezza yang dihasilkan di PGMSB pula adalah 2 minit. Dalam perancangan baharu yang sedang dibuat, takt time untuk PGMSB disasarkan akan berkurangan sehingga 1.6 minit menjelang September tahun ini.

    Dengan perancangan ini, boleh dijangka pengurangan takt time tersebut adalah sebahagian petunjuk bahawa D55L mungkin akan dihasilkan di PGMSB, dan SUV segmen-B tersebut berkemungkinan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

    Perodua turut mengumumkan bahawa mereka akan meningkatkan pelaburan mereka dengan tambahan RM490.1 juta kepada RM1.06 bilion, dimana 20% (sekitar RM200 juta) dikhaskan untuk fasiliti pembuatan – ini satu lagi petanda mereka sedang memastikan segalanya berjalan lancar ketika D55L ini dilancarkan nanti.

    GALERI: Daihatsu Rocky di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Perodua Bezza 2020 – tempahan cecah 15,000 unit, 2,000 sudah diserah, tempoh menunggu dua bulan

    Perodua Bezza 2020 – tempahan cecah 15,000 unit, 2,000 sudah diserah, tempoh menunggu dua bulan

    Hari ini, Perodua telah mendedahkan keseluruhan prestasi jualan syarikat untuk tahun 2019, iaitu sebanyak 240,341 buah kenderaan. Untuk tahun ini pula, sasaran diletakkan pada 240,000 unit dan antara yang dijangka menjadi penyumbang penting adalah Bezza facelift 2020.

    Model sedan segmen A ini dilancarkan sekitar dua minggu lalu dan dalam tempoh itu, 15,000 tempahan sudah diterima oleh Perodua. Walaubagaimanapun, daripada jumlah ini, 8,000 adalah tempahan tahun lepas yang ditukar daripada model sebelumnya. Sehingga sekarang, 2,000 unit Bezza 2020 sudah diserahkan kepada pemilik sementara 13,000 lagi sedang dalam proses.

    “Kami anggarkan sekarang kami mempunyai 13,000 tempahan yang masih belum dipenuhi secara keseluruhannya dari tahun lepas. Kepada pelanggan yang dihargai, kami memang menyedari perkara ini dan sedang cuba seboleh mungkin untuk memenuhi segala tempahan. Kesabaran anda sangat dihargai dan kami minta maaf atas penantian anda,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Bezza 2020 – tempahan cecah 15,000 unit, 2,000 sudah diserah, tempoh menunggu dua bulan

    Pada masa ini, tempoh menunggu untuk Bezza boleh mencecah hingga dua bulan, dan antara langkah yang diambil oleh Perodua untuk mengurangkan masa ini dan memenuhi tempahan pelanggan adalah dengan meningkatkan lagi pengeluaran di kilang. Untuk tempoh awal tahun 2020 ini, itu adalah antara fokus utama.

    Selain daripada itu, Perodua juga memberitahu pada tahun 2019 jumlah eksport mereka telah meningkat dan Bezza menjadi sedan sub 1.0 liter dengan jualan terbaik di Sri Lanka. Jun tahun lalu juga Perodua telah memasuki pasaran luar negara baru iaitu Seychelles, sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi, timur Afrika.

     
     
  • Jualan tahunan Perodua bagi tahun 2019 meningkat, atasi rekod terdahulu dengan 240,341 unit terjual

    Jualan tahunan Perodua bagi tahun 2019 meningkat, atasi rekod terdahulu dengan 240,341 unit terjual

    Bagi tahun 2019, Perodua berjaya mengatasi angka jualan terdahulu dengan sejumlah 240,341 unit kenderaan terjual sepanjang tahun lalu. Bagi 2018, Perodua merekodkan jualan sebanyak 227,243 unit kenderaan terjual. Model yang mencatatkan jualan paling laris mengikut turutan adalah Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.

    “Pencapaian ini melangkaui jangkaan kami sendiri dan untuk itu, kami ingin berterimakasih kepada pelanggan dan semua yang terus menyokong Perodua. Dengan permintaan kukuh ini, kami menjangkakan prestasi jualan pada tahun ini akan sama seperti tahun lalu, dengan sasaran 240,000 unit yang kami rasakan mampu dicapai walaupun suasana pasaran mencabar,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Pencapaian jualan sepanjang 2019 ini menyaksikan peratusan peningkatan jualan dari tahun ke tahun Perodua melonjak sebanyak 13,098 unit atau naik 5.8% dan merupakan angka jualan paling tinggi yang pernah dicapai oleh syarikat, setakat ini.

    Jualan tahunan Perodua bagi tahun 2019 meningkat, atasi rekod terdahulu dengan 240,341 unit terjual

    Berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2019 yang dianggarkan sekitar angka 604,775 unit, Perodua menguasai hampir 40% perkongsian pasaran di Malaysia, mengatasi angka tahun sebelum itu yang mencatatkan 38%. Menurut Perodua, semua modelnya mendahului dalam segmen masing-masing, termasuklah Perodua Aruz yang menjadi SUV paling laris segmen berkenaan dengan sejumlah 30,115 unit terjual.

    Dari sudut jumlah pengeluaran kenderaan Perodua pula, angkanya turut meningkat sebanyak 10.8%, menjadi 244,400 unit berbanding 220,600 unit bagi 2018. Bagi aspek lepas jualan pula, ia turut mencatatkan peningkatan sebanyak 14.7%, sementara jumlah kenderaan yang diterima untuk servis semula di Perodua juga meningkat 2,347,000 unit (naik 8.3%) berbanding 2018.

     
     
  • Subaru akan beralih kepada teknologi elektrifikasi bagi keseluruhan barisan modelnya menjelang 2035

    Subaru akan beralih kepada teknologi elektrifikasi bagi keseluruhan barisan modelnya menjelang 2035

    Subaru menyertai beberapa lagi pengeluar kenderaan lain dalam menyatakan komitmen untuk usaha mengurangkan jejak karbon melalui pengenalan model-model kereta dengan teknologi elektrifikasi.

    Di dalam satu taklimat teknologi baru-baru ini, Subaru mendedahkan perancangan jangka panjangnya, yang bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 40% daripada jumlah jualan globalnya akan terdiri daripada kenderaan elektrik atau hibrid elektrik menjelang 2030. Ketika ini Subaru menawarkan beberapa model dalam versi mild-hybrid dan plug-in hybrid bagi XV dan Forester di beberapa pasaran.

    Untuk mencapai matlamat berkenaan, Subaru akan memanfaatkan kerjasama dengan Toyota, dengan kedua-dua syarikat itu kini sedang membangunkan platform modular khusus untuk EV yang boleh dilimpahkan kepada kenderaan pelbagai saiz, termasuk segmen C dan segmen D bagi sedan dan SUV. Subaru juga mendedahkan kajian rekaan mereka hasil daripada usahasama ini, yang dijangka akan keluar pada 2025 nanti.

    Selain itu, Subaru juga mensasarkan untuk melebarkan penggunaan teknologi elektrikfikasi kepada semua barisan modelnya yang dijual diseluruh dunia menjelang 2035. Dan, menjelang 2050 pula, ingin mengurangkan pembebasan CO2 (well-to-wheel) dari kenderaan baru sehingga 90% atau lebih berbanding tahun 2010.

     
     
  • TAS2020: Honda CR-V Black Edition Custom Concept sentuhan dari Modulo bersama The Check Shop

    TAS2020: Honda CR-V Black Edition Custom Concept sentuhan dari Modulo bersama The Check Shop

    Honda CR-V, walaupun dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda dan tayar yang besar, ada yang sanggup buat SUV ini masuk ke laluan off-road sebenar? Di Tokyo Auto Salon 2020, kami jumpa satu CR-V yang kelihatan begitu lasak diberi nama Honda CR-V Black Edition Custom Concept yang dihasilkan oleh Honda Modulo bersama penala yang sinonim dengan jenama Eropah, The Check Shop.

    Untuk pengetahuan anda, CR-V Black Edition ini adalah salah satu varian SUV segmen-C ini untuk pasaran ‘mat saleh’ seperti Eropah (generasi sebelum ini) dan Kanada, serta mungkin ini sebagai preview untuk Black Edition ini masuk ke pasaran Jepun.

    Ini juga mungkin sebabnya The Check Shop dipilih untuk melaksanakan tugas bagi mengubahsuai Black Edition tersebut. Ia diberikan rupa yang jauh lebih lasak dari CR-V standard dan kelihatan seperti bersedia untuk masuk ke hutan bila-bila masa.

    Pada bahagian luaran, yang paling menyerlah sudah tentu set rim dan tayar yang dipadankan pada CR-V ini. The Check Shop memilih rim off-road dengan perisa Eropah, Agio berdiameter 17-inci dengan kemasan hitam, dibalut dengan tayar Toyo Open Country bersaiz 265/65R17.

    TAS2020: Honda CR-V Black Edition Custom Concept sentuhan dari Modulo bersama The Check Shop

    Dengan tayar yang lebih besar ini, pengubahsuaian lain turut perlu dilakukan. CR-V ini diberikan set overfender yang lebih besar pada kesemua ruang roda, dan badannya ditinggikan lagi menerusi suspensi JRZ RSPro3 dengan 3 larasan yang boleh dibuat.

    Bumbung CR-V ini turut dilengkapi dengan kotak storan tambahan dari Hapro, ditampung oleh rak bumbung dari Kohlenstoff. Akhir sekali, pencahayaan waktu malam yang lebih terang akan dibantu dengan bar-bar lampu LED tambahan yang diletakkan pada bampar hadapan dan juga pada bahagian bumbung.

    Berdasarkan tuil gear normal yang kelihatan pada sebelah dalam, Black Edition yang dibawa ke Tokyo ini berkemungkinan dari versi janakuasa sama dengan pasaran Malaysia iaitu enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 193 PS/243 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Macam mana? Ada pemilik CR-V yang nak buat kereta mereka macam ni?

     
     
  • Proton kembali untung pada tahun 2019 – Li Chunrong

    Proton kembali untung pada tahun 2019 – Li Chunrong

    Pada bulan Disember tahun lepas, CEO Proton, Li Chunrong berkata syarikat pengeluar kereta itu akan kembali mencatat keuntungan pada tahun 2019. Perkara itu kini disahkan, dan beliau memberitahu kepada paultan.org semasa majlis makan tengahari Tahun Baru Cina semalam bahawa Proton kini sudah kembali bangkit, hasil daripada jualan domestik yang baik pada tahun 2019.

    Walaupun begitu, Li tidak boleh mendedahkan sebarang angka tepat memandangkan Proton adalah sebahagian daripada DRB-Hicom, yang merupakan sebuah syarikat senarai awam. Jumlah spesifik hanya akan didedah apabila konglomerat tersebut menyiarkan angka tahunannya, iaitu tidak lama lagi memandangkan DRB-Hicom telah menukar tempoh tamat tahun kewangan dari 31 Mac ke 31 Disember.

    Tahun 2019 memang adalah tahun yang baik bagi Proton. Sebelum ini syarikat itu telah mengumumkan ia menjual 100,821 buah kenderaan (domestik dan eksport) tahun lepas, dan merupakan peningkatan sebanyak 55.7% berbanding jumlah tahun 2018. Ini juga memberi Proton perkongsian pasaran sebanyak 16.7%, iaitu yang paling tinggi sejak tahun 2014. Jumlah sebenar akan dikeluarkan oleh MAA tidak lama lagi.

    Proton kembali untung pada tahun 2019 – Li Chunrong

    Untuk tahun 2020, sasaran jualan diletakkan minimum pada 132,000 unit, yang menjadikannya naik 32% lagi. Antara model yang akan mencatat permintaan tinggi adalah Saga facelift, serta dua model yang akan dilancarkan iaitu X70 CKD dan “Proton X50“. SUV yang lebih kecil daripada X70 ini akan masuk pasaran terus sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

    Li juga mendedahkan bahawa Proton meletakkan sasaran untuk mencatat jumlah jualan paling tinggi dalam lima segmen berbeza tahun ini. Walaupun tidak memberitahu segmen mana, Li ada mengatakan bahawa syarikat telah menjadi yang paling atas dalam beberapa segmen sepanjang tahun 2019. X70 telah menjadi pendahulu bagi “SUV segmen C premium” sejak awal tahun manakala Exora sekarang berada di atas dalam MPV segmen C.

    Saga juga pernah menjadi pendahulu dalam kategori sedan segmen beberapa kali tahun lepas, dan ia akan terus bersaing dengan Perodua Bezza yang baru sahaja diberikan facelift tahun ini. Kami menjangkakan, dua lagi kategori mungkin adalah SUV segmen B melalui X50 dan sedan segmen B melalui Persona.

     
     
  • Proton ingin jadi No. 1 dalam lima segmen tahun ini

    Proton ingin jadi No. 1 dalam lima segmen tahun ini

    Banyak perancangan ringkas serta angka-angka sasaran baru yang dikongsikan oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong ketika sesi bersama media hari ini. Antaranya sasaran jualan bagi tahun 2020 yang telah dinaikkan sebanyak 32% lagi, perancangan untuk menambah angka eksport dan juga pengenalan model baru X70 CKD serta X50 tahun ini.

    Satu lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh beliau ialah sasaran Proton untuk menduduki tangga No.1 bagi jualan di dalam lima segmen berbeza. Walaupun beliau tidak nyatakan secara jelas perincian untuk perkara berkenaan, berdasarkan angka jualan yang sempat kita perhatikan sepanjang 2019, rasanya boleh diagak segmen yang mana.

    Pertama sekali tentulah SUV X70 yang berada di dalam segmen C SUV, yang menjadi pendahulu segmen berkenaan sejak awal tahun lagi. Sementara itu, Exora juga menjadi pendahulu untuk segmen C bagi MPV. Jadi ini mungkin antara segmen yang diintai oleh Proton untuk mengukuhkan kedudukan. Selain itu, Proton Saga juga kerap menggungguli di dalam segmen A sedan, dan rasanya masih mempunyai kelebihan untuk terus bersaing dengan lawan yang sama padan, Perodua Bezza yang baru sahaja diberikan pembaharuan untuk tahun 2020 ini.

    Proton ingin jadi No. 1 dalam lima segmen tahun ini

    Model SUV crossover yang bakal dilancarkan, X50 juga mempunyai peluang cerah untuk merampas kedudukan teratas segmen yang dihuninya – SUV segmen B. Selain itu, Persona juga mempunyai peluang yang saksama untuk menggugat di dalam segmen B sedan, memandangkan pesaing lain – seperti Honda City dan Toyota Vios – datang tanda harga yang lebih mahal.

    Dan menurut Dr. Li, hanya dalam satu segmen sahaja Proton menjangkakan akan memnduduki tempat kedua. Ini tidak lain merujuk kepada Iriz, yang berentap di dalam segmen B hatchback dan berdepan dengan pilihan yang lebih popular, model apa lagi kalau bukan Perodua Myvi. Anda rasa Proton mampu memberikan saingan yang lebih ketat terhadap Perodua untuk tahun 2020 ini?

     
     
  • TAS2020: Toyota 86 empat-pintu NATS LS86 yang sebenarnya dihasilkan dari Camry Hybrid AVV50

    TAS2020: Toyota 86 empat-pintu NATS LS86 yang sebenarnya dihasilkan dari Camry Hybrid AVV50

    Eh, apa ni? Bila masa pula Toyota 86 ada versi empat pintu? Rileks tuan-tuan, macam biasa ini adalah salah satu projek Nihon Automotive Technology School (NATS) jurusan Customize yang di bawa ke Tokyo Auto Salon (TAS). “Toyota 86 empat-pintu” yang anda lihat ini sebenarnya adalah Toyota Camry Hybrid dari generasi AVV50, yang dikacuk dengan muka dan belakang Toyota 86.

    Projek ini diberi nama NATS LS86, di mana LS bermaksud Livability Sports; mungkin konsepnya ialah sebuah kereta sport yang boleh digunakan secara praktikal setiap hari. Pelajar-pelajar NATS ini telah mengacuk komponen-komponen sebenar dari Toyota 86 seperti lampu hadapan dan bampar. Manakala bonet hadapan juga dibentuk seperti bonet 86 sebenar dan ia tidak kelihatan janggal dengan badan sedan empat-pintu Camry.

    Begitu juga pada bahagian belakang, keseluruhan penutup but, spoiler, lampu dan juga bampar bersama diffuser belakang, dan juga tip ekzos berkembar semuanya ‘dikahwinkan’ pada panel asal Camry berkenaan.

    TAS2020: Toyota 86 empat-pintu NATS LS86 yang sebenarnya dihasilkan dari Camry Hybrid AVV50

    Pada bahagian kabin pula, hampir sebahagian besar komponen Camry masih dikekalkan kecuali tempat duduk hadapan telah ditukar dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro. Dan untuk menampakkan lagi ini adalah sebuah 86 sedan yang real, mereka telah menggantikan roda stereng Camry kepada roda stereng Toyota 86 Gazoo Racing.

    Untuk bahagian mekanikal, tiada ubahsuai berat dilakukan. Ia masih Camry Hybrid pacuan hadapan yang dijana oleh enjin kitaran Atkinson 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder, bersama sistem Hybrid Synergy Drive yang menghasilkan kuasa keseluruhan 200 PS.

    Untuk pengetahuan anda, projek-projek pelajar NATS ini akan dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    TAS2020: Toyota 86 empat-pintu NATS LS86 yang sebenarnya dihasilkan dari Camry Hybrid AVV50

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

    Kami juga rasa pelajar-pelajar ini turut diajar untuk bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar kenderaan – terdapat pelekat ‘Toyota Corolla Chiba’ iaitu salah satu pengedar rasmi Toyota di Jepun pada kereta ini, menandakan mereka mendapat sokongan dari pihak berkenaan bagi mendapatkan alat-alat ganti 86 yang bukannya murah.

     
     
  • Proton sasar peningkatan jualan 32%, 150 pusat 3S/4S

    Proton sasar peningkatan jualan 32%, 150 pusat 3S/4S

    Bagi tahun 2020, Proton terus optimis untuk mengorak langkah yang lebih besar di Malaysia dengan meletakkan sasaran jualan 32% lebih tinggi daripada apa yang telah dicapai sepanjang tahun 2019. Sebagai rekod, jualan kenderaan Proton tahun lalu seperti yang dilaporkan ialah sebanyak 100,821 unit, sedikit melangkaui sasaran asal 100,000 unit yang ditetapkan.

    Perkara ini dikongsikan oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong di dalam satu taklimat ringkas bersama media hari ini. “Dengan sasaran baru ini, saya ingin mencabar semua orang di Proton untuk cuba mencapai sasaran berkenaan, walaupun kami sedar ia bukanlah mudah,” jelas beliau.

    Perancangan ini bukanlah bual kosong Proton kepada pasaran. Ini kerana, beberapa matlamat telah ditetapkan dalam rangka untuk menyokong perkembangan ini. Antaranya ialah pengenalan model CKD bagi SUV X70 (yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat) serta pelancaran model crossover X50, yang akan terus dipasang di Malaysia (CKD) dan dilancarkan dalam tahun ini juga. Kedua-dua ini dijangka akan menyumbang kepada jumlah jualan yang lebih baik.

    Proton sasar peningkatan jualan 32%, 150 pusat 3S/4S

    Selain itu, model-model sedia ada juga sedang menunjukkan perkembangan yang sangat meyakinkan. Bagi Proton Saga misalnya, pengeluarannya kini telah mula dilakukan dalam dua syif untuk memenuhi permintaan pelanggan. Tidak lupa juga, sasaran untuk pasaran eksport luar negara yang ditetapkan sebanyak 4,000 unit tahun ini.

    Selain itu, Proton tidak hanya memberi tumpuan untuk menjual dan memasarkan kenderaan sahaja. Untuk menampung keperluan lepas jualan pula, terutama untuk pasaran dalam negara, angka pusat 3S/4S juga disasarkan mencapai 150 buah, berbanding yang ada ketika ini sebanyak 120 kemudahan sama.

     
     
  • Proton X50 sah akan dilancar tahun ini, terus CKD

    Proton X50 sah akan dilancar tahun ini, terus CKD

    Selain dari mengumumkan bahawa Saga kini diproduksi dengan lebih laju dalam dua syif ketika majlis makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina tadi, CEO Proton Dr. Li Chunrong turut mengesahkan bahawa SUV segmen-B yang hangat diperkatakan, Proton X50 sah akan dilancarkan pada tahun ini.

    Menurut Dr. Li, SUV berkenaan akan menjadi pelancaran kedua terbesar Proton untuk tahun ini, selepas X70 CKD yang dihasilkan di Tanjung Malim diperkenalkan nanti. Tidak seperti X70, model lebih kecil ini tidak mempunyai versi CBU China, sebaliknya akan terus dibuat dalam versi pemasangan tempatan.

    Ini bermaksud, kilang Proton di Tanjung Malim akan menjadi satu-satunya kilang di dunia yang menghasilkan SUV SX11 dalam versi pemanduan sebelah kanan, manakala model pemanduan sebelah kiri Geely Binyue dan juga model pasaran Filipina Geely Coolray masih di hasilkan di China, bertepatan dengan pengumuman Geely bahawa Proton akan menjadi hab pengeluaran versi-versi pemanduan sebelah kanan.

    Proton X50 sah akan dilancar tahun ini, terus CKD

    Pelbagai unit ujian prototaip Proton X50 ini telah dilihat di atas jalan raya, dan terbaharu kira-kira dua minggu lalu, ia nampaknya sudah pun mengenakan gril signatur Infinite Weave Proton.

    Kami jangkakan X50 akan menerima kelengkapan hampir sama dengan X70 termasuk bumbung panaromik, sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk pemandu kawalan berkuasa, sistem infotaimen “Hi Proton” yang dihasilkan dari Geely Key User Interface (GKUI) bersama skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci.

    Pasaran Malaysia mungkin akan menerima enjin 1.5 liter turbo berkuasa 174 hp/255 Nm digandingkan dengan kotak gear klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan sama seperti X70 CKD kelak.

    Di China, Geely Binyue turut ditawarkan dengan enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 134 hp/205 Nm, dan juga sistem pemanduan autonomous tahap 2 – ciri-ciri ini masih lagi belum jelas sama ada akan turut diterapkan pada X50 di Malaysia nanti atau tidak.

     
     
  • Proton sasar 4,000 unit bagi pasaran eksport untuk tahun ini – operasi CKD di Pakistan sudah bermula

    Proton sasar 4,000 unit bagi pasaran eksport untuk tahun ini – operasi CKD di Pakistan sudah bermula

    Bagi tahun 2020, Proton berazam untuk melangkah lebih agresif lagi dalam pengeluaran dan penjualan modelnya. Ini termasuklah dalam pasaran eksport, antaranya Brunei, Pakistan, dan beberapa negara di Timur Tengah. Buat setakat Disember 2019, pasaran eksport terbesar Proton adalah Mesir, di mana ia menjual model Saga dan Exora, unit pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Dalam majlis makan tengahari sempena Tahun Baharu Cina bersama pihak media hari ini, CEO Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 4,000 unit bagi model keluarannya untuk pasaran eksport pada tahun ini. Walau pun pada Disember lalu, Dr.Li pernah memaklumkan, sebaik melancarkan model yang dinaiktaraf pada tahun 2020, pihaknya akan meningkatkan pasaran eksport dengan sasaran sebanyak 5,000 unit setahun.

    “Bagi tahun ini, Proton mensasarkan sebanyak 4,000 unit untuk dieksport ke negara luar. Walau bagaimana pun, jumlahnya mungkin mampu meningkat ke 6,000 unit dengan bantuan dan inisiatif daripada kerajaan,” ujar Dr. Li.

    Proton sasar 4,000 unit bagi pasaran eksport untuk tahun ini – operasi CKD di Pakistan sudah bermula

    Mengenai kilang pengeluaran di Pakistan, iaitu kilang pertama Proton di kawasan Asia Selatan, Dr.Li memaklumkan, operasi untuk unit pemasangan tempatan (CKD) di sana, telah pun bermula dan dijangka bakal memulakan jualannya pada tahun 2021. Kilang pengeluaran terbabit adalah kerjasama antara Proton dengan syarikat dari Pakistan sendiri, Alhaj Automotive.

    Manakala pada pertengahan Disember lalu, Proton secara rasminya telah memulakan operasi pemasangan tempatan bagi SUV segmen-C X70 di fasiliti baharu mereka di Proton City, Tanjung Malim, Perak. Fasiliti terbabit juga memasang model-model Proton baharu akan datang yang akan dihasilkan bersama Geely.

    Ia bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah turut akan dieksport ke pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang lain. Antara negara yang dirancang untuk pasaran eksport ini termasuk Brunei, Thailand, Australia, Afrika Selatan, Amerika Selatan dan United Kingdom.

    Terbaru pula, Proton telah pun melancarkan barisan model facelift Iriz, Persona dan Saga di Brunei – menjadikan negara berkenaan sebagai pasaran eksport pertama bagi model-model facelift tersebut.

    Dengan matlamat jangka panjang Proton untuk menjadi jenama paling laris di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang tahun 2027, ia adalah penting bagi syarikat ini untuk mengutamakan jualan eksport dalam perancangan jangka panjangnya itu.

    Memetik kenyataan Dr.Li sebelum ini, “Pasaran eksport akan memainkan peranan penting dalam kenaikan jualan tahunan Proton. Ketika menaik taraf model Iriz, Persona, Exora dan Saga tahun lepas, kami melakukannya dengan turut mengambil kira keperluan pasaran di luar negara selain Malaysia dan kini, tiga daripada kereta tersebut berada di pasaran Brunei.

    “Ia adalah permulaan yang baik untuk tahun 2020 tetapi dari semasa ke semasa, kami akan terus mencari peluang untuk mengeksport kereta kami ke lebih banyak negara.”

     
     
  • Perodua Bezza facelift tak jejas Saga, produksi ditingkatkan kepada dua syif – CEO Proton, Dr. Li

    Perodua Bezza facelift tak jejas Saga, produksi ditingkatkan kepada dua syif – CEO Proton, Dr. Li

    Atas permintaan yang cukup tinggi, produksi model paling mampu milik Proton iaitu Saga kini dihasilkan dalam dua syif bagi meningkatkan jumlahnya. Perkara ini dinyatakan oleh CEO Proton sendiri, Dr Li Chunrong ketika berlangsungnya majlis makan tengah hari bersama media sempena Tahun Baru Cina sebentar tadi.

    Menurut Dr. Li, dengan berjalannya dua syif di kilang tersebut, syarikatnya mensasarkan 5,000 unit Saga akan dapat disiapkan setiap bulan bagi dihantar kepada pelanggan dengan lebih cepat. Proton juga mensasarkan Saga akan menjadi sedan segmen-A paling laris untuk keseluruhan tahun 2020 ini.

    Bos besar Proton itu turut menyatakan bahawa setakat ini prestasi jualan Saga masih belum terjejas untuk bulan Januari ini walaupun saingan terdekatnya, Perodua Bezza facelift 2020 telah dilancarkan lebih seminggu lalu.

    Secara keseluruhan, Proton mensasarkan jumlah jualan mereka untuk 2020 akan naik 32% termasuk dua model baharu yang bakal dilancarkan tahun ini iaitu SUV Proton X70 versi CKD, dan juga SUV segmen-B yang menjadi bualan hangat dikalangan warganet iaitu Proton X50.

    Dengan peningkatan jumlah sasaran jualan itu juga, Proton menjangkakan mereka akan menjadi peneraju bagi lima segmen, dan satu lagi segmen akan berada di tempat kedua.

    Apa pendapat anda? Adakah Proton Saga akan kekal di depan walaupun Perodua Bezza menerima pelbagai ciri baharu termasuk sistem ASA 2.0 yang juga dilengkapi brek kecemasan automatik?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026