Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – 2019 vs 2018, jenama mana yang meningkat naik atau merosot

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – 2019 vs 2018, jenama mana yang meningkat naik atau merosot

    Jumlah jualan kenderaan bagi tahun 2019 telah pun disiarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, dan di sini kami mahu tunjukkan jenama mana yang menunjukkan peningkatan paling banyak dan jenama mana pula yang paling merosot.

    Jumlah industri keseluruhan (TIV) Malaysia bagi tahun 2019 adalah 604,287 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 5,689 unit atau 1% berbanding jumlah 598,598 unit yang dicatatkan pada tahun 2018. Kenderaan penumpang mencatat jumlah paling tinggi dengan peningkatan 17,080 unit, atau 3.2%, kepada 550,179 unit pada tahun 2019. Jualan kenderaan komersial turun 17.48%, atau 11,391 unit, menjadi 54,108 unit. Daripada keseluruhan jumlah TIV ini, 91% daripadanya adalah kenderaan penumpang – tahun 2018 89.1%.

    Catatan jualan tahun 2019 juga menandakan kali pertama ia melepasi tahap 600k sejak tahun 2015 (666,677 unit). Bagi tahun 2020, MAA mengunjurkan jumlah TIV akan meningkat sedikit, iaitu 0.5%, menjadi 607,000 unit. Sekarang, mari kita lihat pula prestasi jualan tahun 2019 mengikut jenama.

    Terletak paling atas sudah tentu adalah Perodua, yang telah menjadi pendahulu sejak tahun 2006 selepas mengatasi Proton buat pertama kali. Sekali lagi pada tahun 2019, Perodua mencatat jumlah jualan tahunan paling tinggi, iaitu sebanyak 240,341 buah kenderaan, yang bersamaan dengan peningkatan 5.8% berbanding jumlah 227,243 unit pada tahun 2018. Perkongsian pasaran Perodua sekarang hampir 40%.

    Pergi pula kepada Proton, ia sekarang mendaki dua tangga, daripada tempat keempat pada tahun 2018 kepada tempat kedua bagi tahun 2019 – satu-satunya perubahan dalam kedudukan 10 teratas. Ia juga mencatat peningkatan jualan paling besar bagi tahun 2019, iaitu sebanyak naik 54.7% atau 35,439 unit berbanding jualan tahun 2018, dengan jumlah 100,183 yang dijual pada tahun 2019.

    Honda yang sudah berada di tempat kedua selama beberapa tahun nampaknya turun satu tangga bagi tahun 2019, dan menjual 85,418 unit bagi tahun 2019. Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 16.5%, iaitu 16,864 unit, berbanding jumlah 102,282 unit yang dicapai pada tahun 2018. Nampak gayanya, isu kelulusan pelancaran model baru semakin memberi kesan kepada jenama Jepun ini.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – 2019 vs 2018, jenama mana yang meningkat naik atau merosot

    Walaupun begitu, Honda masih dapat mengakhiri tahun 2019 sebagai jenama kenderaan bukan nasional paling atas, mengatasi Toyota yang mencatat jualan 69,091 unit. Jika dibandingkan dengan tahun 2018, Toyota mencatat peningkatan sebanyak 5.4%. Melihat kembali kepada prestasi Perodua dan Proton, ia menjadikan perkongsian pasaran jenama nasional sekarang naik kepada 56.4% berbanding 48.8% pada tahun 2018.

    Selain daripada empat jenama besar ini, kebanyakan yang lain mencatat penurunan, dengan yang paling banyak adalah Kia (-39.3%) dan Subaru (44.7%). Malah, untuk jenama terkenal, hanya Perodua, Proton, Toyota dan Renault sahaja yang menunjukkan peningkatan jualan tahunan.

    Pergi pula kepada jenama premium, Mercedes-Benz mencatat jualan 10,535 unit, meletakkannya lebih atas daripada BMW yang menjual 9,300 unit (tidak termasuk jumlah kenderaan MINI sebanyak 1,142 unit). Walaubagaimanapun, kedua-dua jenama Jerman ini menunjukkan penurunan jumlah jualan tahun iaitu masing-masing sebanyak 21.7% dan 22.6%. Volvo pula sebaliknya, dengan mencatat peningkatan 36.1 %, kepada 1,883 unit.

     
     
  • Toyota panggil semula 3.4 juta kereta di seluruh dunia; beg udara mungkin tidak berfungsi ketika kemalangan

    Toyota panggil semula 3.4 juta kereta di seluruh dunia; beg udara mungkin tidak berfungsi ketika kemalangan

    Toyota bakal mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 3.4 juta kenderaan jenamanya yang telah dijual kerana masalah berkaitan beg udara, menurut laporan Reuters.

    Panggilan besar-besaran ini walau bagaimanapun tidak berkaitan dengan skandal inflator beg udara buatan Takata sebelum ini, sebaliknya masalah yang baharu dikesan ini melibatkan beg udara yang mungkin tidak berfungsi ketika kereta berkenaan terlibat dalam kemalangan.

    Dari keseluruhan jumlah tersebut, 2.9 juta daripadanya adalah kenderaan di pasaran Amerika Syarikat, termasuk Corolla 2011-2019, Matrix 2012-2018, Avalon 2012-2018 dan Avalon Hybrid 2013-2018.

    Masalah ini terjadi kerana unit kawalan elektronik mungkin tidak mendapat perlindungan secukupnya dari hingar elektrik yang terhasil ketika kemalangan, seterusnnya menyebabkan beg udara tersebut tidak beroperasi dan tidak mengembang. Perlindungan yang tidak cukup ini juga mungkin akan menjejaskan sistem lain seperti sistem pra-tegangan tali pinggang keledar.

    Toyota panggil semula 3.4 juta kereta di seluruh dunia; beg udara mungkin tidak berfungsi ketika kemalangan

    Unit kawalan elektronik yang bermasalah tersebut dibekalkan oleh TRW Automotive, salah satu jenama milik pengeluar komponen automotif, ZF Friedrichshafen. Sehingga kini lapan kematian telah direkodkan yang mungkin boleh dikaitkan dengan masalah ini, tulis laporan Reuters berkenaan menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat.

    Bagi mengatasi masalah ini, kenderaan yang dipanggil semula perlu dihantar ke pengedar-pengedar bertauliah Toyota bagi memasang penuras hingar antara modul kawalan beg udara dan juga abah-abah pendawaian jika diperlukan. Menurut laporan ini lagi, pemilik kenderaan yang terjejas akan menerima notis panggilan semula ini pada pertengahan Mac nanti.

    NHTSA telah melanjutkan siasatan mereka terhadap masalah beg udara ini kepada 12.3 juta kenderaan pada April, termasuk unit-unit yang tersenarai dalam panggilan semula Toyota ini, dan telah mengenalpasti dua kejadian kemalangan pada bahagian hadapan di mana salah satunya menyebabkan kematian “melibatkan produk Toyota di mana (tegasan elektrikal berlebihan) disyaki sebagai puncanya,” menyebabkan beg udara tidak mengembang. Kedua-dua kenderaan tersebut adalah dari model Corolla baharu, lapor Reuters.

    Toyota panggil semula 3.4 juta kereta di seluruh dunia; beg udara mungkin tidak berfungsi ketika kemalangan

    Menurut NHTSA lagi, kesemua beg udara yang disiasat tersebut telah dipasang pada lebih 12 juta kenderaan dibuat pada tahun 2010 hingga 2019, bukan sahaja pada kereta-kereta Toyota, malah turut terdapat pada kereta keluaran Fiat Chrysler Automobiles (FCA), Honda, Hyundai, Kia dan Mitsubishi.

    Dari jumlah tersebut, Hyundai, Kia dan FCA telah mengeluarkan notis panggilan semula untuk 2.5 juta kenderaan kerana unit kawalan beg udara TRW yang mungkin menyebabkan beg udara tidak berfungsi dan tidak mengembang ketika kemalangan.

    FCA telah memanggil semula hampir dua juta kenderaan dan mendapati bahawa tiga kematian serta lima kecederaan mungkin berkait dengan masalah ini, manakala Hyundai dan Kia memanggil semula lebih dari sejuta kenderaan atas masalah yang sama. Jenama dari Korea berkenaan menerima laporan empat kematian dan enam kecederaan di Amerika Utra yang mungkin berkait dengan perkara ini.

     
     
  • KPDNHEP sedia untuk laksana program subsidi petrol – tunggu lampu hijau dari kabinet, pendaftaran M40

    KPDNHEP sedia untuk laksana program subsidi petrol – tunggu lampu hijau dari kabinet, pendaftaran M40

    Program subsidi petrol (PSP) kini sudah sedia untuk dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tetapi masih menunggu lampu hijau daripada kabinet – lapor The Star.

    Menurut menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kementerian kewangan sekarang sedang mencari jalan terbaik untuk mendaftar kumpulan M40, yang juga layak untuk menerima subsidi petrol ini bersama kumpulan B40. Beliau berkata dua kementerian ini sudah pun mengadakan mesyuarat berkenaan perkara ini pada minggu pertama tahun 2020.

    “Pada pihak kami, kami telah mengenal pasti 2.9 juta penerima daripada kumpulan B40. Jika anda melihat kepada pengumuman Bajet 2020, kementerian kewangan telah memperuntukkan RM2.4 bilion untuk PSP dan kami mensasarkan lapan juta orang akan menerima manfaat daripada program ini. Kami masih memperkemas mekanisme pemberian subsidi ini dan akan membuat perancangan komunikasi yang lebih baik supaya orang ramai boleh memahami PSP dengan lebih baik,” kata Saifuddin.

    KPDNHEP sedia untuk laksana program subsidi petrol – tunggu lampu hijau dari kabinet, pendaftaran M40

    Walaubagaimanapun, Saifuddin tidak mendedahkan sebarang garis masa waktu berhadapan dengan wartawan pada acara Malaysia Economic and Strategic Outlook Forum 2020 di Kuala Lumpur semalam.

    Pada awal bulan ini, Saifuddin telah dipetik berkata pendaftaran PSP untuk M40 akan bermula pada suku kedua tahun ini. “Data untuk penerima bagi golongan B40 kami telah lengkapkan dan kaedah yang sesuai bagi pengagihan subsidi merupakan antara yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua kementerian, bila program subsidi ini dilaksanakan kelak,” kata beliau.

    “Pada ketika yang sama KPDNHEP menjalankan kajian untuk B40 (dan) berpendapat sumbangan tunai untuk pengagihan subsidi adalah lebih cekap berbanding kaedah lain, jadi dengan penangguhan (pelaksanaan subsidi) ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian untuk mencapai satu keputusan sama,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    KPDNHEP sedia untuk laksana program subsidi petrol – tunggu lampu hijau dari kabinet, pendaftaran M40

    Mengikut perancangan awal, PSP sepatutnya dilaksanakan pada Januari 2020, tetapi pada penghujung tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan ia ditangguh kepada masa yang belum ditentukan. Menurut KPDNHEP, langkah ini akan membenarkan lebih banyak inisiatif diambil untuk memastikan orang awam mendapat lebih informasi dan bersedia untuk pelaksanaan program ini.

    Selain daripada itu, penangguhan ini juga memberikan masa kepada kementerian kewangan untuk meneruskan proses pendaftaran golongan M40 yang layak untuk menerima PSP, seperti yang diberitahu sebelum ini.

    Jadi, buat masa ini rakyat Malaysia masih perlu membayar harga tetap RM2.08 seliter untuk RON 95 manakala harga apungan RON 97 sekarang berada pada RM2.53 seliter.

    Setakat ini, perincian yang telah disahkan untuk skema PSP adalah:

    • Subsidi hanya akan diberi kepada pemilik kereta atau motosikal, dan terhad kepada satu kenderaan bagi satu penerima. Jika seseorang itu memiliki sebuah kereta dan sebuah motosikal, beliau akan menerima subsidi yang lebih tinggi, iaitu untuk kereta. Kereta dan motosikal tersebut mestilah didaftar atas nama penerima.
    • Kadar subsidi ditetapkan kepada RM30 sebulan untuk pemilik kereta, dan RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.
    • Kerajaan akan membayar semula subsidi sekali dalam masa empat bulan, jadi pemilik kereta akan menerima RM120 dan pemilik motosikal akan menerima RM48 sekali setiap empat bulan. Pembayaran akan dilakukan dengan memasukkan jumlah tersebut terus ke dalam akaun berdaftar pemilik. Pembayaran pertama ditetapkan pada April 2020.
    • Hanya mereka yang tersenarai dalam bantuan sara hidup (BSH), dengan nama mereka termasuk dalam senarai penerima elaun dalam pengkalan data BSH, akan menerima subsidi petrol baru tersebut. Semua orang kelainan upaya juga akan menerima subsidi ini.
    • Pendapatan isi rumah penerima juga mestilah tidak melebihi RM4,000 sebulan.
    • Untuk layak, penerima cuma boleh memiliki maksimum dua buah kereta dan dua buah motosikal pada satu-satu masa dalam isi rumah mereka.
    • Untuk kereta, syarat yang ditetapkan untuk kapasiti enjin adalah:
      – 1,600 cc ke bawah
      – atau lebih 1,600 cc, tetapi hanya untuk kereta berusia lebih 10 tahun
    • Untuk motosikal, syarat yang ditetapkan untuk kapasiti enjin adalah:
      – 150 cc ke bawah
      – atau lebih 150 cc, tetapi untuk motosikal yang berusia lebih tujuh tahun
     
     
  • TAS2020: Toyota Hilux GR Sport di bawa ke Tokyo

    TAS2020: Toyota Hilux GR Sport di bawa ke Tokyo

    Tahun lalu, Toyota membawakan Hilux TRD Black Rally Editon ke Tokyo Auto Salon (TAS), iaitu model produksi edisi khas untuk pasaran domestik Jepun. TAS tahun ini sebuah lagi Hilux di bawa untuk dipamerkan, iaitu Hilux GR Sport bagi memberitahu peminat Toyota di Jepun bahawa trak pikap tersebut tahun ini menyertai Rali Dakar, dipandu oleh bekas pemandu Formula 1 dari Sepanyol, Fernando Alonso.

    Sebenarnya Hilux GR Sport telah ditawarkan sebagai model edisi terhad di berapa pasaran iaitu di Afrika Selatan iaitu pangkalan asas pasukan Rali Dakar Toyota Gazoo Racing, serta di negara-negara Amerika Selatan seperti Argentina dan Brazil. Hilux GR Sport yang di bawa ke TAS 2020 ini berkemungkinan adalah dari pasaran Argentina kerana kedudukan pemandu berada di sebelah kiri.

    Berbanding model standard, Hilux GR Sport ini diberikan bampar hadapan berbeza dengan serlahan merah diberikan pada kemasan lampu kabus, gril hadapan dengan elemen sarang lebah bersama tulisan “Toyota”, manakala bonet hadapan, bumbung, fender flare dan pemijak sisi diwarnakan hitam. Lencana GR diletakkan pada pintu hadapan dan tailgate, dan bagi melengkapkan rupanya, livery merah-hitam Gazoo Racing diberikan pada badan bersama rim dua-tona 17-inci dibaluti tayar jenis all-terrain.

    Dalam kabin, trak pikap ini turut menerima pelbagai aksesori dengan logo GR termasuk suis penghidup enjin, karpet kaki dan juga sulaman pada perehat kepala. Panel instrumen diberikan pencahayaan berwarna putih, manakala untuk mengingkatkan nilai eksklusif model edisi terhad ini, plak GR dengan nombor siri unik diletakkan di belakang tuil penukar gear.

    TAS2020: Toyota Hilux GR Sport di bawa ke Tokyo

    Di kesemua pasaran yang menawarkan Hilux GR Sport ini, ia boleh dipilih dalam tiga varian janakuasa – enjin turbodiesel 2.8 liter dengan kotak gear enam-kelajuan manual, turbodiesel 2.8 liter dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta 4.0 liter petrol NA 1GR-FE dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Talaan kesemua pilihan enjin ini adalah sama dengan versi standard – versi 2.8 turbodiesel menjana 177 PS dan tork maksima 420 Nm untuk model manual dan 450 Nm untuk model automatik, manakala versi 4.0 liter petrol NA pula menghasilkan 235 PS dan tork maksima 376 Nm.

    Walau bagaimanapun, versi GR Sport ini diberikan talaan suspensi berbeza dari Hilux standard. Ia diberikan penyerap hentak jenis monotube dan juga spring yang lebih keras di hadapan, di dakwa Toyota dapat menala semula suspensi tersebut bagi meningkatkan kawalan kenderaan dan meningkatkan keyakinan pemandu tanpa berkompromi dengan keselesaan dan juga kapasiti beban.

     
     
  • MAA unjurkan TIV naik 0.5% pada 2020 menjadi 607k

    MAA unjurkan TIV naik 0.5% pada 2020 menjadi 607k

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah meramalkan sedikit kenaikan dalam jumlah industri keseluruhan (TIV) tahun ini, menjadi 607,000 unit. Ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 2,703 unit atau 0.5% berbanding jumlah 604,287 unit yang diserahkan kepada pelanggan tahun 2019. Jumlah pada tahun 2019 menandakan kali pertama sejak tiga tahun yang lepas (2016-2018) TIV melepasi tahap 600,000 unit. Pada tahun 2015 jualan berjumlah 666,677 unit.

    Daripada jumlah yang diunjurkan ini, persatuan tersebut menjangka kenderaan penumpang menjadi penyumbang utama dengan catatan 552,000 unit (peningkatan 1,821 unit atau 0.3% berbanding 550,179 pada tahun 2019). Sementara itu, kenderaan komersial pula dijangka mencatat peningkatan tinggi, kepada 55,000 unit ataupun bersamaan peningkatan 882 unit atau 1.6% berbanding 54,118 unit pada tahun 2019.

    MAA unjurkan TIV naik 0.5% pada 2020 menjadi 607k

    Antara faktor ekonomi dan persekitaran yang diambil kira untuk menghasilkan unjuran ini adalah termasuk perubahan polisi automotif dan cukai oleh kerajaan yang tidak dijangka, peningkatan ekonomi global, nilai ringgit yang terus lemah, garis panduan pinjaman yang semakin ketat, pengenalan model baru sepanjang tahun dan beberapa projek pembangunan lain yang telah dirancang.

    Selain daripada itu, MAA juga menunjukkan keyakinan kepada jumlah jualan antara tahun 2021 hingga 2024, dengan TIV pada tahun 2021 dijangka mencecah 619,200 unit, bersamaan peningkatan 2% berbanding jumlah yang diunjurkan untuk tahun 2020. Angka ini diunjurkan terus naik dengan tahun 2022 dijangka mencapai 632,220 unit, 646,050 untuk tahun 2023 dan 660,920 untuk tahun 2024.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Toyota GR Yaris di TAS 2020 – 1.6L turbo, 272 PS/370 Nm, AWD, untuk homologasi WRC!

    Untuk menghasilkan jentera Kejuaraan Rali Dunia (WRC) yang lebih kompetitif untuk musim 2021, prinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinnen minta syarikatnya untuk menghasilkan model produksi ini – Toyota GR Yaris, didedahkan kepada dunia ketika Tokyo Auto Salon 2020.

    Berbanding Yaris biasa dengan badan lima-pintu, GR Yaris ini dihasilkan dengan badan tiga-pintu serta bumbung belakang yang jauh lebih rendah bagi membolehkan jentera WRC sebenar nanti diberikan pakej aerodinamik yang jauh lebih baik dari pesaing lain.

    Walaupun syarat homologasi WRC kini tidak mewajibkan kereta lumba sebenar dan model produksi jalan raya menggunakan enjin produksi dan sistem pacuan yang sama, GR Yaris masih datang dengan pakej janakuasa yang hampir sama antara kedua-duanya – enjin 1.6 liter turbo tiga-silinder berkuasa 272 PS/370 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan sistem pacuan semua roda yang digelar GR-Four.

    GR Yaris ini juga sebenarnya adalah model kelahiran semula Toyota Celica GT-Four, yang juga satu ketika dahulu dihasilkan sebagai model homolagasi sebenar untuk membolehkan Toyota bertanding dalam WRC.

     
     
  • Volvo catat rekod jualan 1,883 unit di M’sia pada 2019; naik 36.1%, eksport ke ASEAN & Taiwan cecah 3k unit

    Volvo catat rekod jualan 1,883 unit di M’sia pada 2019; naik 36.1%, eksport ke ASEAN & Taiwan cecah 3k unit

    Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menjual sejumlah 1,883 kenderaan tahun lalu, rekod terbaik pernah dicatatkan oleh mereka sepanjang beroperasi disini. Angka tersebut juga dilihat 36.1% lebih baik dari tahun 2018 di mana mereka berjaya menjual sebanyak 1,384 unit kenderaan.

    Rekod tersebut turut menyokong prestasi keseluruhan jualan Volvo diseluruh dunia di mana mereka buat pertama kalinya mencapai angka melebihi 700,000 unit setahun dengan rekod sebanyak 705,452 unit kenderaan dijual sepanjang tahun 2019.

    Menurut VCM, prestasi jualan mereka di sini tahun lalu dipacu dengan pengenalan model-model baharu seperti SUV kompak XC40, sedan S60 dan juga XC90 facelift. Ia juga turut dibantu dengan pembukaan berberapa pengedar baharu jenama tersebut di Malaysia iaitu di Setia Alam, Johor Bahru, Mutiara Damansara, Ipoh dan Ara Damansara.

    Operasi pemasangan VCM di kilang Swedish Motor Assemblies Shah Alam juga merekodkan peningkatan dengan jumlah keseluruhan produksi sekitar 5,000 unit, yang kebanyakkannya dieksport ke Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Taiwan.

    Ini adalah kali pertama jumlah penghasilan kenderaan kilang tersebut untuk pasaran eksport melebihi jumlah permintaan pasaran tempatan, dan ia telah mencapai sasaran yang telah diumumkan pada tahun 2017.

    Untuk 2020, kilang berkenaan bakal memulakan pula operasi pemasangan tempatan untuk model S60 dan juga S90 facelift, yang telah disahkan akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada tahun ini. VCM juga mengumumkan bahawa satu lagi pengedar baharu di Kota Kinabalu, Sabah akan dibuka tidak lama lagi.

     
     
  • Diskaun tol 10% di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 25 Jan ini sempena CNY

    Diskaun tol 10% di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 25 Jan ini sempena CNY

    Sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut Sabtu ini, semua kenderaan Kelas Satu yang melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akan menikmati diskaun tol sebanyak 10% pada 25 Januari 2020.

    Pengendali plaza tol terbabit, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) memaklumkan, diskaun tersebut berlangsung mulai 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada tarikh berkenaan sebagai penghargaan kepada pengguna, selain memudahkan urusan perjalanan pulang ke kampung halaman.

    Mulai 1 Januari lalu, kadar tol jambatan itu dikurangkan kepada RM7 berbanding caj sebelumnya iaitu RM8.50. Penurunan terbabit juga bertujuan menyeragamkan kadar tol jambatan itu dengan caj yang sama di Jambatan Pulau Pinang (jambatan pertama). JSAHMS sepanjang 24 kilometer mula dibuka secara rasmi pada 1 Mac 2014 dan sehingga kini tidak pernah mencatatkan rekod kesesakan jalan raya.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan di Malaysia sepanjang 2019 – 604,287 unit diserahkan, naik 1% dari tahun 2018

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia sepanjang 2019 – 604,287 unit diserahkan, naik 1% dari tahun 2018

    Persatuan Automitif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan angka jualan dan pengeluaran kenderaan bagi tempoh sepanjang 2019 di Malaysia. Walaupun berdepan suasana mencabar tahun lalu, jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dicatatkan ialah 604,287 unit. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 5,689 unit, atau kira-kira 1%, jika dibandingkan tahun 2018, yang merekodkan 598,598 unit.

    Ini juga menjadi kali pertama TIV melepasi angka 600,000 unit bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sebelum ini (2016-2018). Pada 2015, TIV yang dicatatkan ialah 666,677 unit. Menurut MAA, peningkatan dalam TIV itu disebabkan oleh jualan kenderaan penumpang yang meningkat, menjadi 17,080 unit atau naik 3.2% kepada 550,179 unit pada 2019 berbanding 533,099 unit pada 2018.

    Jualan kenderaan perdagangan pula menyusut sebanyak 11,391 unit, atau 17.4% untuk 2019; 54,108 unit berbanding 65,499 unit pada 2018. Secara keseluruhannya, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 91% daripada TIV 2019. Itu merupakan peningkatan daripada 2018 yang merekodkan 89.1%.

    Bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan kenderaan setiap bulan adalah lebih tinggi pada 2019 berbanding tahun sebelumnya, kecuali pada bulan Jun dan Ogos. Perbezaan bagi dua bulan berkenaan adalah disumbangkan oleh tempoh bebas cukai GST pada 2018.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia sepanjang 2019 – 604,287 unit diserahkan, naik 1% dari tahun 2018

    Pengeluaran kenderaan pula, keseluruhannya 571,632 unit telah dihasilkan pada 2019, iaitu 6,661 unit atau 1.2% kurang berbanding 2018 dengan 564,971 unit. Penurunan itu disebabkan oleh segmen kenderaan perdagangan, yang menyaksikan penurunan 15.6% pengeluaran kenderaan sepanjang 2019. Pengeluaran kenderaan penumpang pula sebaliknya meningkat 2.6%.

    Bagi segmen kenderaan penumpang, pengeluaran kenderaan penumpang dan 4WD/SUV meningkat, dengan kenderaan 4WD/SUV menyaksikan peningkatan 14.9% menjadi 110,480 unit pada 2019, berbanding 96,139 unit pada 2018. Sementara itu, bagi kenderaan penumpang pula, peningkatannya tidak ketara; 390,980 unit pada 2019 berbanding 380,472 unit pada 2018 – naik 2.8%. Bagi van dan MPV, kedua-duanya menurun, masing-masing 7.8% dan 26.7%. Bagi tahun 2020, MAA meramalkan sebanyak 607,000 unit akan diserahkan tahun ini, atau peningkatan 0.5% berbanding 2019.

     
     
  • Pusat Latihan Serantau Volvo baharu di Petaling Jaya ganti fasiliti di Seksyen 16 Shah Alam sebelum ini

    Pusat Latihan Serantau Volvo baharu di Petaling Jaya ganti fasiliti di Seksyen 16 Shah Alam sebelum ini

    Setelah sekian lama beroperasi di Seksyen 16 Shah Alam, hari ini secara rasmi Pusat Latihan Serantau Volvo berpindah dan beroperasi di fasiliti baharu, bertempat di Menara Symphony, Seksyen 13, Petaling Jaya. Bukan sahaja pusat latihan berkenaan, malah pejabat operasi Volvo Cars Malaysia (VCM) yang sebelum ini terletak di sebelahnya iaitu di PJ33 turut berpindah ke bangunan yang sama.

    Menurut VCM, ruang terbaharu ini memainkan peranan penting untuk menjalankan latihan bidang teknikal dan bukan teknikal sebanyak 7,500 jam kerja bagi kakitangan dan pengedar kereta Volvo di seluruh rantau Asia Pasifik.

    “Malaysia merupakan hab yang paling sesuai kerana negara ini menawarkan infrastruktur yang baik dan tenaga kerja tempatan yang berkemampuan melaksanakan fungsi-fungsi serantau. Pusat latihan ini dan perkhidmatan perkongsian yang lain seperti Kluster Kewangan, Hab Teknikal, dan Perolehan yang beroperasi di sini dijangka menjana keuntungan perkhidmatan eksport lebih daripada RM100 juta dalam jangka masa 5-7 tahun akan datang,” kata Encik Nalin Jain, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

    Dalam majlis yang, VCM turut menyatakan bahawa mereka terus komited untuk meningkatkan pengalaman hujung ke hujung bagi setiap pelanggan Volvo. Rangkaian pusat pengedar Volvo di Malaysia kini dilengkapi dengan pasukan selepas jualan terlatih.

    Tahun lalu, 90% daripada pusat pengedar Volvo turut dilengkapi dengan perisian Volvo Personalised Service (VPS). Perubahan ini membolehkan Volvo memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka dan sekaligus meningkatkan lagi prestasi perniagaan.

    “Sebagai pembuat kereta, kami bukan sahaja menyampaikan mobiliti kepada pengguna. Kami juga mementingkan pengalaman pelanggan kerana kami memahami bahawa pengalaman yang baik boleh membina kepercayaan terhadap jenama. Sebab itulah kami bertekad menyampaikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang terbaik,” kata Encik Nalin lagi.

     
     
  • Data jualan kenderaan Disember 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan Disember 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi bulan Disember 2019 sudah pun dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dengan mencatat keseluruhan 54,842 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 4.29% atau 2,258 unit berbanding bulan November 2019.

    Melihat kepada pecahan ikut jenama pula, semua 10 yang berada di tangga teratas mencatatkan jumlah jualan yang meningkat, kecuali Perodua yang turun sebanyak 10.2% dengan jualan 18,357 buah kenderaan. Walaubagaimanapun, Perodua masih berada di tempat pertama, diikuti oleh Proton yang mencatat jualan 11,117 buah kenderaan dan naik sebanyak 15.3% berbanding bulan sebelumnya.

    Dalam bulan ini juga kita boleh menyaksikan Mercedes-Benz berada di tempat ketujuh dengan jualan yang meningkat sebanyak 35.5% menjadi 1,186 buah kenderaan. Seterunya, iaitu BMW pula mencatat jumlah jualan yang menurun sebanyak 39.6%, berjumlah 465 unit (di tempat ke-13).

    Data jualan kenderaan Disember 2019 ikut jenama

    Jenama yang meningkat paling banyak berbanding bulan sebelumnya adalah Isuzu iaitu 49.5%, dengan catatan keseluruhan bagi bulan Disember 2019 sebanyak 1,193 unit. Jenama lain yang mencatat peningkatan jualan adalah Kia 26.6% (233), Hyundai 25.7% (171), Mitsubishi 24.4% (775), Nissan 22.8% (2,124), Toyota +15.7% (8,046) dan Honda 8.1% (7,235).

    Jenama yang mencatat penurunan paling banyak pula adalah Subaru, iaitu 47.7%, di mana pada bulan November mereka menjual 264 buah kenderaan, tetapi bulan Disember cuma 138 buah. Renault pula mencatat penurunan 17% dengan jualan 78 buah kenderaan, berbanding bulan sebelumnya 94 buah.

     
     
  • Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    Lepas Proton dan Perodua, hari ini Volvo Cars Malaysia (VCM) pula menjemput kami ke majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina sambil mendedahkan prestasi syarikat untuk tahun lalu serta rancangan untuk tahun 2020. Dalam majlis tersebut, jenama premium dari Sweden tersebut mengumumkan bahawa mereka kini memberi waranti selama lapan tahun untuk bateri sistem hibrid plug-in (PHEV) model-model baharu mereka, serta mengesahkan bahawa S90 facelift dan S60 T8 versi CKD akan dilancarkan di Malaysia tahun ini.

    Untuk bateri tersebut, tawaran berkenaan sah untuk pelanggan yang membeli model-model PHEV Volvo bermula 1 Januari 2020. Menurut VCM, tawaran ini diberikan kepada pelanggan bagi memberikan mereka lebih ketenangan selepas membeli model-model yang lebih mesra alam tersebut.

    Dengan tawaran waranti ini, menyaksikan waranti dari Volvo untuk bateri hibrid ini adalah antara yang paling lama di Malaysia, sama dengan apa yang ditawarkan oleh Honda. Manakala pengeluar premium Eropah lain seperti BMW dan Mercedes-Benz hanya menawarkan waranti selama enam-tahun/100,000 km untuk komponen yang sama.

    Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    VCM juga mengesahkan bahawa sedan S60 T8 Twin Engine R-Design yang buat masa ini dijual dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) bakal dijual dalam versi pemasangan tempatan, dengan spesifikasi serta harga yang sama. Ketika dilancarkan pada Oktober tahun lalu, model berkenaan dijual pada harga RM295,888.

    Seperti namanya, janakuasa T8 pada S60 tersebut menggandingkan enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

    Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

    Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    Pakej R-Design pada S60 ini datang dengan ciri-ciri seperti pakej penggayaan luaran R-Design yang lebih garang, rim aloi 19-inci, tempat duduk balutan kulit Nappa R-Design, skrin sesentuh sembilan inci format potret dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan head-up, bumbung panaromik, sistem bantuan pemanduan penuh serta fungsi pemanduan separa autonomous Pilot Assist.

    Manakala untuk S90 facelift, model ini sebenarnya masih lagi belum didedahkan lagi pada peringkat global. Walau bagaimanapun, menerusi berberapa imej spyshot yang telah tersebar, versi kemaskini berkenaan akan menampilkan berberapa perubahan pada bampar serta lampu hadapan dan belakang, dan juga hadir dengan sistem infotainmen berasaskan sistem Android seperti pada model elektrik XC40 Recharge.

    Seperti juga versi SUV siri-90 iaitu XC90 facelift yang telah diperkenalkan, sedan ini dijangka turut akan ditawarkan dengan model hibrid ringkas menggunakan lencana ‘B’ serta janakuasa untuk versi T8 Twin Engine yang disentuh semula bagi menghasilkan kuasa sehingga 420 PS (XC90 facelift pasaran Malaysia walau bagaimanapun kekal dengan 407 PS). Juga dengan bateri lebih besar, jarak gerak untuk sistem elektrik sepenuhnya S90 ini akan mencapai 50 km.

    GALERI: Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design CBU

     
     
  • Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Dalam sesi pembentangan prestasi jualan 2019 semalam, Perodua turut berkongsi rancangan dan pelan tindakan untuk tempoh masa akan datang. Dengan sokongan padu daripada rakan sekutunya, Daihatsu, Perodua mensasarkan misi untuk menjadi hab R&D di rantau ASEAN, termasuklah membangunkan produk bagi pengeluar kereta Jepun itu sendiri.

    Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sasaran untuk Perodua merekabentuk kenderaan bukan hanya untuk Malaysia, tetapi juga untuk Indonesia dan Thailand. Justeru, syarikat ini sedang bekerja keras untuk mencapai impian bagi menjadi hab R&D di rantau ini dan berdikari sepenuhnya pada masa itu.

    Katanya, walau pun Daihatsu memiliki operasi yang sangat besar di Indonesia, “namun buat masa ini, unit R&D Perodua yang merangkumi fasiliti, kelengkapan ujian dan pelaburan, adalah lebih besar berbanding Indonesia.”

    Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Buat masa ini, keupayaan R&D Perodua termasuklah rekaan bahagian atas badan kenderaan, rekaan kejuruteraan, pembangunan komponen tempatan serta keupayaan melaksanakan projek facelift utama. Namun demikian, langkah terbesar yang bakal dilakukan melibatkan model akan datang, di mana ia dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut berdasarkan produk Toyota.

    Model tersebut adalah SUV D55L, yang dijangka bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. Selain SUV terbabit, terdapat lagi empat model yang belum dikenalpasti yang dibangunkan dengan platform DNGA, kalau mengikut info grafik yang dikongsikan dalam pembentangan semalam. Tetapi Zainal pantas menyangkal, katanya bukan semua model terbabit adalah untuk Perodua sendiri.

    “Empat model baharu tersebut tidak semestinya menjadi model Perodua. Bila kami telah mencapai tahap R&D untuk menjadi hab ASEAN, kami akan merekabentuk apa jua model walau pun untuk Daihatsu,” katanya sambil menambah tidak kira apa pun model, sama ada untuk Perodua atau pun Daihatsu, pihaknya berkeupayaan untuk membangunkannya.

    Menariknya, tiga model misteri tersebut adalah hatchback, dan satu lagi dengan kerangka sedan. Walaupun tiada sebarang pengesahan, namun ia menunjukkan Perodua bakal menerajui pembangunan bagi model sedan yang berplatformkan DNGA, bermakna ia untuk pasaran ASEAN.

    Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Model konsep Daihatsu DN F-Sedan yang dipertontonkan dua tahun lepas mampu memberikan idea untuk pembangunan model sedan ini. Daihatsu memang tidak pernah mempunyai model sedan, jadi ini merupakan perkara yang boleh dianggap baharu bagi pengeluar kereta Jepun ini. Tetapi dengan adanya pengalaman dari Perodua menerusi pengeluaran Bezza, pastinya pelaksanaan untuk penghasilan produk yang diingini mampu direalisasikan.

    Mengenai reka bentuk produk bagi menampung pasaran yang berbeza di rantau ini, Zainal berkata, hab tersebut dapat memenuhi keperluan yang berbeza.

    “Sebagai contoh, jika mereka meminta kami untuk membangunkan model bagi jenama Daihatsu untuk pasaran Indonesia. Unit R&D kami mampu melaksanakannya, tetapi ini tidak bermakna kami (Perodua) akan turut membuat model tersebut untuk pasaran Malaysia,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, Daihatsu banyak memberikan peluang kepada Perodua untuk mereka bentuk bagi pasaran yang berbeza, dan sejak tahun lalu, Perodua turut menerima beberapa tugasan untuk membangunkan kenderaan bagi negara lain.

    Ini termasuklah Avanza yang dibaluti penyamaran yang dikesan pada Oktober lalu yang mungkin memberikan petunjuk bahawa ia merupakan unit ujian untuk model generasi akan datang bagi Daihatsu Xenia/Avanza untuk pasaran Indonesia.

    Syarikat ini turut mendedahkan sejumlah RM1.4 bilion bagi pelaburan untuk R&D, di mana ia merangkumi 18% bagi keseluruhan kos pelaburan. Ia adalah untuk membangunkan pelbagai fasiliti termasuk makmal enjin, litar ujian, ruang termal, makmal VPT, pusat ujian emisi dan pusat kajian/studio rekaan.

    Tambah Zainal lagi, pihaknya juga sedang menaiktaraf trek ujian sepanjang 5 km, dengan gambaran jalan di Malaysia, bagi menjalani ujian keupayaan kenderaan. Kerja-kerja menaiktaraf terbabit dijangka bakal siap sepenuhnya sebelum 2020 berakhir.

    GALERI: Model konsep Daihatsu DN F-Sedan di GIIAS 2017

     
     
  • Harga kenderaan CBU akan naik bermula 1 Jun 2020

    Harga kenderaan CBU akan naik bermula 1 Jun 2020

    Semasa majlis pembentangan prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tahun 2019 pagi ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad telah memberitahu penstrukturan semula duti eksais yang diwartakan pada 31 Disember 2019 tidak akan memberi kesan kepada harga kenderaan CKD tahun ini.

    Ini kerana kesan daripada kaedah pengiraan baru Open Market Value (OMV) ini akan diserapkan atau dikecualikan sepenuhnya oleh kerajaan buat tahun ini dan pada tahun hadapan, barulah ia akan mula naik secara berperingkat. Itu adalah bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD), tapi bagaimana pula dengan kenderaan import sepenuhnya (CBU)?

    Aishah turut memberitahu kenderaan CBU akan mengalami peningkatan harga tahun ini kerana bermula 1 Jun 2020, pengiraan nilai kenderaan juga akan berubah (tapi masih berbeza berbanding OMV). Dalam keadaan sebelum ini, prinsipal cuma perlu mengisytiharkan harga kenderaan sekali saja, iaitu waktu ia tiba dan nilai tersebut akan digunakan sehinggalah terdapat perubahan pada kod atau deskripsi model.

    Harga kenderaan CBU akan naik bermula 1 Jun 2020

    Jika terdapat sebarang kenaikan atau penurunan pada harga atau kadar tukaran wang asing, nilai yang sama masih lagi boleh digunakan untuk menentukan harga sesebuah model (selagi tiada perubahan pada kod atau deskripsi model). Biasanya, prinsipal akan mengumumkan perubahan harga jualan pasaran dalam selang masa enam bulan atau satu tahun.

    Tapi bermula 1 Jun 2020, nilai kenderaan akan ditentukan berdasarkan nilai transaksi semasa, iaitu mengikut harga dan kadar tukaran wang asing semasa. Duti yang dikenakan oleh kastam bergantung kepada nilai ini dan Aishah memberitahu harga kenderaan CBU boleh berubah setiap minggu. Tapi ada kemungkinan juga ia boleh turun sekiranya nilai ringgit bertambah kuat.

    Pengiraan nilai kenderaan CBU adalah bergantung kepada Kos, Insurans dan Penghantaran (CIF), di mana duti import dan eksais dikenakan. Duti eksais adalah antara 60% hingga 105% (tidak kira CKD atau CBU), dikira berdasarkan model kereta dan kapasiti enjin, manakala duti import boleh mencecah hingga 30% bergantung kepada dari negara mana kenderaan itu datang.

    Walaupun kenderaan dari negara ASEAN tidak dikenakan dengan duti import, duti eksais masih lagi dikenakan pada harga CIF, dan kenderaan yang datang dari Thailand juga akan menerima kesan, melihat kepada nilai Thai Baht yang kukuh sekarang.

     
     
  • Dasar Automotif Negara (NAP 2020) kini lengkap sepenuhnya, bakal diumumkan suku pertama tahun ini

    Dasar Automotif Negara (NAP 2020) kini lengkap sepenuhnya, bakal diumumkan suku pertama tahun ini

    Seperkara lagi yang menarik turut disentuh oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad dalam sidang media bagi tadi ialah berkaitan Dasar Automotif Kebangsaan (atau NAP 2020) yang telah tertangguh beberapa kali sebelum ini.

    Menurut beliau, NAP 2020 kini sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk diumumkan. “Ketika ini, saya difahamkan kementerian sedang menetapkan tarikh yang sesuai kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir. Jangkaannya ia akan diumumkan dalam suku pertama tahun ini,” jelas Aishah.

    Kali terakhir NAP diberikan penilaian semula ialah pada tahun 2014, ketika itu dengan penekanan terhadap kenderaan EEV. Antara yang dijangka diberi tumpuan bagi NAP terbaru ini nanti ialah kekal terhadap EEV, tetapi kali ini diharap ia lebih merangkum dengan melibatkan dasar-dasar yang jelas berkaitan kenderaan dan teknologi elektrifikasi. Tidak lupa juga hal berkaitan kereta nasional terbaru yang kerap diperkatakan.

    Menurut Aishah, versi lengkap NAP 2020 ini tidak jauh berbeza daripada draf akhir seperti yang pernah diberi perhatian dan diperkatakan oleh kerajaan dan MITI sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apapun, sehingga ia diumumkan secara rasmi nanti, barulah kita dapat meneliti perincian demi perincian yang terkandung di dalamnya.

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Dis 2019 – naik 4.29%

    Data jualan kenderaan di M’sia Dis 2019 – naik 4.29%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan data jualan kenderaan bagi Disember 2019, yang menyaksikan sebanyak 54,842 unit telah dihantar kepada pelanggan sepanjang bulan terbabit. Malah ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2,258 unit – atau 4.29% – berbanding 52,584 unit yang direkodkan pada November 2019.

    Faktor jualan yang memberangsangkan pada bulan lalu terdorong dengan pelbagai kempen jualan yang menawarkan promosi menarik sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2020.

    Malahan jumlah keseluruhan jualan kenderaan bagi Disember 2019 turut melebihi sebanyak 14% berbanding bulan yang sama untuk tahun 2018 yang hanya mencatatkan angka 48,188 unit.

    Angka ini juga memberikan kesan terhadap Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tahun hingga ke tarikh tersebut, di mana sebanyak 604,287 unit kenderaan telah dihantar sepanjang 2019, meningkat sebanyak 5,659 unit atau 0.95%, berbanding 598,598 unit bagi tahun 2018.

    Walau bagaimana pun, untuk Januari 2020, MAA menjangkakan bakal berlaku sedikit penyusutan dalam jualan berbanding Disember 2019, disebabkan faktor waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

     
     
  • Harga kereta CKD tidak dinaikkan hingga 31 Dis 2020

    Harga kereta CKD tidak dinaikkan hingga 31 Dis 2020

    Dalam sesi taklimat pembentangan prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tahun 2019 yang berlangsung pagi ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad memaklumkan, seperti yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa tiada sebarang kenaikan harga bagi kereta pemasangan CKD akan dilakukan sehingga 31 Dis 2020.

    Ini berikutan laporan kami yang menyentuh berkaitan penstrukturan semula duti eksais di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah diwartakan atau digazetkan pada 31 Disember 2019.

    Ini bermakna, perkara yang telah digazetkan itu tetap dilaksanakan (kaedah pengiraan baru OMV), tetapi bagi tempoh setahun ini, apa juga kenaikan bagi harga atas jalan bagi model-model yang terkesan dengan kaedah pengiraan baru OMV ini akan diserapkan atau dikecualikan sepenuhnya oleh kerajaan. OMV berdasarkan pengiraan baru ini bertujuan untuk meletakkan satu metologi pengiraan yang lebih telus dengan struktur yang piawai untuk semua pengeluar.

    Maksudnya, untuk tempoh sehingga 31 Disember 2020, harga kereta CKD akan kekal sama seperti sekarang. Jika ada yang tertanya-tanya mengapa kaedah pengiraan baru OMV ini diperkenalkan ketika ini, Kementerian Kewangan menyatakan itu bertujuan untuk diselaraskan dengan kerangka sama seperti yang digariskan oleh World Trade Organization (WTO).

    Harga kereta CKD tidak dinaikkan hingga 31 Dis 2020

    “Justeru, syarikat pengeluar kenderaan telah diminta untuk menyerahkan OMV berdasarkan pengiraan baru berkenaan kepada pihak Kastam secepat mungkin bagi semua model yang terlibat dengan metologi baharu ini. Bagi kenaikan harga bermula tahun 2021 dan selepasnya (dijangka impak sepenuhnya akan berada di antara 0-20%), kami dimaklumkan ia akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh rentang waktu lima tahun.” ujar Aishah lagi.

    Sekadar makluman semula, OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

    Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baharu ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

    Mercedes-Benz E-Class W213 ditunjukkan kali pertama waktu North American International Auto Show (NAIAS) 2016, dan sekarang memasuki tahun 2020, sedan eksekutif ini bakal menerima facelift yang pertama. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, pengeluar dari Jerman ini mendedahkan perincian awal untuk seteru BMW 5 Series ini.

    Meskipun kereta yang ditunjukkan dalam gambar rasmi ini masih mempunyai pelekat samaran, kami masih boleh melihat perubahan gaya yang diberi. E-Class ini akan ditawarkan dengan beberapa pilihan pakej luaran seperti sebelum ini, termasuk Luxury Line, Avantgarde Line, Exclusive Line dan AMG Line.

    Pada bahagian hadapan, terdapat gril yang lebih lebar dan rata, dengan rekaan bahagian dalam yang berbeza bergantung kepada pakej yang dipilih – AMG Line menggunakan gril diamond pin, Avantgarde mendapat gril dua jalur manakala Exclusive dan Luxury menggunakan gril tiga jalur dengan bahagian tengah berwarna krom (dua lagi jalur berwarna hitam).

    Rekaan gril baru ini adalah perlu, bagi memadankannya dengan bentuk lampu baru, yang sekarang lebih tajam dan mempunyai lampu siang berbentuk L pada bahagian atasnya – rekaan hampir seperti CLS baru. Lampu utama jenis LED sekarang datang secara standard pada E-Class, dengan Multibeam disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Satu lagi perubahan bahagian luar adalah bonetnya, yang dibentuk semula untuk mengikut bentuk lampu baru, dan menampilkan dua jalur bonjol pada model Avantgarde dan AMG Line. Model Luxury Line dan Exclusive Line tidak mendapat bonjolan ini, tetapi model Exclusive Line mendapat logo hiasan di atas bonet.

    Selain daripada itu, model dengan pakej Avantgarde, Exclusive dan Luxury juga menyaksikan bahagian bawah bampar yang lebih nipis, sementara pakej AMG Line terus mendapat rekaan yang lebih agresif, dengan “A-wing” membahagikan bahagian bukaan udara tengah di bawah dengan bukaan di tepi.

    Pada bahagian belakang, E-Class facelift datang dengan penutup but baru untuk memadankannya dengan lampu baru yang sekarang lebih nipis dan mendatar. Rekaan bahagian bawah bampar adalah berbeza bergantung kepada pakej luaran yang dipilih, dan boleh datang dengan rekaan yang mempunyai seperti diffuser dan kemasan pada muncung ekzos.

    Masuk ke dalam, perubahan paling ketara adalah pemasangan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang datang standard dengan skrin 10.25 inci dan boleh dinaik taraf kepada unit 12.3 inci. Sama seperti model lain yang mempunyai MBUX, ia datang dengan pelbagai fungsi seperti bantuan digital, input skrin sesentuh dengan tambahan butang kawalan di konsol tengah, akses kepada servis atas talian, serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

    Selain daripada sistem MBUX, terdapat juga rekaan roda stereng baru, dengan versi AMG mendapat rekaan paling sporty yang mempunyai empat cabang dan bahagian bawah yang rata – model lain mendapat rekaan biasa. Mercedes-Benz juga telah memperbaiki ciri NVH model ini, dan menawarkan pelbagai pilihan kemasan bahagian dalam. Pada bahagian mekanikal, E-Class facelift akan ditawarkan dengan tujuh piihan enjin plug-in hybrid, serta pilihan enjin petrol dan diesel – pacuan empat roda disediakan sebagai pilihan untuk enjin tertentu.

    Untuk sistem keselamatan, Active Distance Assist Distronic boleh mendapatkan informasi keadaan trafik semasa, dan melaraskan kelajuan kenderaan supaya berpatutan, manakala Active Traffic Jam Assist membantu pemandu mengekalkan kenderaan dalam lorong dan jarak selamat sehingga kelajuan 60 km/j. Sistem lain termasuk Active Steering Assist, Active Brake Assist dengan fungsi cross-traffic, Active Blind Spot Assist dengan amaran keluar, serta Parking Package dengan kamera 360 darjah.

    Perincian tepat masih belum dikeluarkan oleh Mercedes-Benz, tetapi mereka ada memberitahu dua enjin baru akan menyertai barisan enjin lain, dengan yang pertama adalah unit empat silinder 2.0 liter M254 berkuasa 268 hp untuk menggantikan unit M274 sebelum ini.

    Satu lagi enjin adalah unit enam silinder 3.0 liter M256 yang juga digabungkan dengan sistem hibrid ringkas, memberikan kuasa 362 hp. Enjin ini sudah pun digunakan pada CLS, GLE, S-Class serta E 53 AMG (model sebelum facelift). Kedua-dua enjin petrol ini dilengkapi dengan teknologi hibrid ringkas 48 volt dan starter-generator bersepadu untuk memberikan tambahan 20 hp dengan EQ Boost.

     
     
  • Diskaun tol 10% di Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 pada 25 Jan ini – rujuk TTA untuk rancang perjalanan

    Diskaun tol 10% di Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 pada 25 Jan ini – rujuk TTA untuk rancang perjalanan

    ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Pantai Timur bagi komponen Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1 bagi pada 25 Januari ini bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam di kedua-dua lebuhraya terbabit. Ia adalah sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini.

    Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein,turut berkata, dijangkakan purata trafik harian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 akan meningkat sebanyak 60% sempena musim cuti Tahun Baru Cina, iaitu kira-kira 250,000 kenderaan berbanding 156,000 pada hari biasa.

    “Justeru, kami berharap pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit merujuk jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang kami keluarkan untuk merancang perjalanan yang lebih selesa, di samping mampu mengurangkan kesesakan trafik.

    Diskaun tol 10% di Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 pada 25 Jan ini – rujuk TTA untuk rancang perjalanan

    “Kami juga memastikan semua aset berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan peningkatan ini, termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik dari udara selain meningkatkan rondaan serta penugasan lebih 550 kakitangan bahagian tol dan trafik,” katanya.

    Semalam, ANIH turut melancarkan Kempen Keselamatan Lebuh Raya bertemakan hashtag #PasangSokmo dan #MohSinggah. Ia juga adalah hasil kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan lagi kesedaran pengguna tentang aspek keselamatan serta keperluan untuk berhenti rehat selepas dua jam memandu. Ia bertujuan untuk mengurangkan lagi kes kemalangan maut di lebuh raya akibat faktor keletihan dan tidak memakai tali pinggang keselamatan.

    Kempen #PasangSokmo ini diperkenalkan untuk mengajak pengguna KLK dan LPT 1 membudayakan amalan untuk sentiasa memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu yang mampu menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan.

    Manaka kempen #MohSinggah ini pula untuk mengajak pengguna KLK dan LPT 1 berhenti rehat seketika di R&R atau di Hentian Rehat Sebelah di sepanjang LPT sebelum meneruskan semula perjalanan.

     
     
  • PLUS tutup lorong tambah nilai di plaza tol di lebuhrayanya mulai 22 Jan hingga 3 Feb 2020

    PLUS tutup lorong tambah nilai di plaza tol di lebuhrayanya mulai 22 Jan hingga 3 Feb 2020

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan kesemua operasi Lorong Tambah Nilai di plaza tol masuk seliaannya mulai 22 Januari hingga 3 Februari 2020. Ia adalah bagi membantu melancarkan pergerakan trafik pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina 2020 yang akan datang

    Langkah menutup lorong tambah nilai sepertimana yang dilaksanakan pada setiap musim perayaan adalah untuk membantu mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pelanggan beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

    Bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan terlebih dahulu merancang perjalanan mereka dan yang paling utama, menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal selain memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi.

    Pada musim perayaan kali ini, sebanyak dua juta kenderaan dijangka akan menggunakan lebuh raya PLUS terutama sekali pada waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari yang akan datang.

    PLUS tutup lorong tambah nilai di plaza tol di lebuhrayanya mulai 22 Jan hingga 3 Feb 2020

    Justeru, pergerakan di plaza tol dijangka akan terjejas sekiranya terdapat pelanggan yang terkandas dan mempunyai baki Touch ‘n Go tidak mencukupi. Apabila kejadian sebegini berlaku, sudah pasti ianya menganggu keselesaan dan kelancaran perjalanan pelanggan yang lain.

    PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol. Namun begitu, terdapat kira-kira 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go telah tersedia di seluruh negara dan antaranya, pelanggan boleh menambah nilai kad di 34 stesen minyak terpilih di sepanjang lebuh raya PLUS, 67 Kiosk Layan Diri (Self-Service Kiosk) yang terdapat di Kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan di plaza-plaza tol yang terpilih.

    Selain itu, orang ramai boleh menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di plaza tol terpilih.

    PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini. Anda boleh semak jadual tersebut bagi membantu merancang perjalanan anda ke destinasi pilihan. Jangan lupa amalkan pemanduan berhemah dan patuhi undang-undang jalan raya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026